Big Fish merupakan sebuah filem terbaru dari Tim Burton. Seorang pengarah yang mempunyai visi yang luar biasa. Filem-filemnya sebelum ini, aneh-aneh. Lihat sendiri filem Beetlejuice, Batman, Batman Returns, Edward Scissorhands, Sleepy Hollow dan Mars Attack - filem-filem ini seolah membawa kita ke sebuah dunia yang aneh.
Dalam Big Fish, kita sekali lagi dibawa Burton ke sebuah dunia yang aneh. Kita akan dibawa ke sebuah dunia realisme magis yang mengkhayalkan dengan naratif visual menarik.
Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Will (Billy Crudup) yang mempunyai seorang bapa bernama Edward Bloom (lakonan Ewan McGregor semasa muda, kemudian oleh Albert Finney ) yang suka membuat cerita yang sukar untuk dipercayainya. Hubungan mereka berdua akhirnya terganggu kerana Will mendapati bahawa beliau tidak suka mendengar cerita-cerita dongeng bapanya dan alasannya lagi, kerana itulah beliau tidak mengenali diri bapanya itu. Dan mungkin kerana pekerjaannya sebagai seorang penulis untuk agensi berita di Paris yang menyebabkan beliau lebih suka mendengar cerita penuh fakta mengenai bapanya, dari cerita yang diselang-selikan dengan kisah-kisah penuh fantasi.
Edward Bloom memang mempunyai cerita yang aneh-aneh mengenai kehidupannya. Yang paling aneh adalah mengenai seekor ikan yang ditangkapnya dengan menggunakan cincinnya (yang sebenarnya adalah alegori mengenai kehidupannya sendiri).
Filem ini telah diadaptasi oleh John August dari sebuah novel yang telah ditulis oleh Daniel Wallace. Cerita Big Fish ini, sedikit sebanyak mengingatkan saya kepada novel Forrest Gump oleh Winston Groom (dan karakter Winston dan Forrest kedua-duanya berasal dari sebuah bandar kecil di Alabama). Kedua-dua karakter ini akan menemui watak-watak aneh dalam perjalanan hidup mereka, lantas membuat kehidupan mereka penuh dengan warna-warni.
Kisah-kisah Winston yang dipenuhi dengan gergasi, sarkas, kembar Siam, sebuah pekan terpencil di tengah-tengah kawasan pendalaman dengan penduduknya yang kelihatan seperti mereka adalah semua ahli MLM yang penuh dengan kepelikan dan isterinya, (watak ini telah dilakonkan oleh Jessica Lange) yang telah ditemuinya tatkala pergi menonton sebuah pertunjukan sarkas. Kalau di amati, unsur-unsur filem Fellini dapat kita perhatikan dalam babak-babak fantasi Winston.
Kisah dalam Big Fish tidak dipenuhi dengan kisah fantasi Winston semata-mata (yang sememangnya menarik) tetapi diselang-selikan dengan konfliknya bersama anaknya Will. Will terbang dari Paris bersama isterinya, (Marion Cotillard) untuk melawat Winston yang kini uzur dengan penyakit barah yang ditanggungnya. Dalam saat-saat akhir inilah Will sedaya upaya cuba mengenali watak sebenar bapanya. Beliau cuba mengasingkan di antara fakta dan fantasi dalam cerita-cerita bapanya.
Filem ini bagi saya adalah satu penelitian kepada kemahuan seorang individu untuk mengetepikan kisah-kisah nyata dan menggantikannya dengan kisah-kisah penuh fantasi. Kita sendiri, pasti dalam beberapa situasi dalam hidup kita sendiri, akan melakukan perkara yang sama, kerana realiti kehidupan terlalu perit dan sukar untuk diterima. Maka inilah yang telah dilakukan oleh Winston.
Filem ini dilakonkan oleh beberapa pelakon yang hebat-hebat seperti Steve Buscemi, Helena Bonham Carter dan Danny de Vito. Bersama, mereka berjaya menghidupkan dan menjiwai watak-watak dalam filem yang berteraskan genre magis realisme ini.
Pada bahagian akhir filem ini, saya menangis dengan semahu-mahunya. Perkara ini langsung tidak saya jangka, kerana saya tidak menganggap filem ini sebagai sebuah filem yang sedih. Tetapi mungkin sedikit sebanyak, filem ini berjaya menyentuh perasaan saya, lantas memikirkan tentang hubungan saya dengan bapa saya sendiri dan juga orang yang paling saya sayangi dalam hidup saya buat masa ini...
Juara Lagu ke 18 tahun ini yang telah dijalankan di Stadium Putra Bukit Jalil, bagi saya adalah yang paling memuaskan dari banyak-banyak acara Juara Lagu yang pernah diadakan. Idea untuk mengadakan acara gilang-gemilang ini di lokasi yang strategik dan berbayar adalah baik dan patut diteruskan. Penonton-penonton dapat pergi sendiri dan melihat sendiri rakaman siaran langsung Juara Lagu sambil beramal (kutipan tiket akan didermakan kepada mangsa gempa bumi di Iran). Juara Lagu ini pula, dengan stadium yang hampir-hampir penuh, (stadium ini dapat menampung 8000 penonton) menggamatkan lagi acara yang menarik perhatian ramai peminat-peminat muzik Melayu tanah air.
Juara Lagu dimulakan dengan para penari memakai kostum ala "The Matrix" (dan nasib baiklah bukan ala LOTR) sambil membawa tarian yang bertenaga untuk memperkenalkan Dayang Nurfaezah dan Adibah Noor naik ke atas pentas untuk menyanyikan lagu-lagu yang dipertandingkan. Pada masa inilah agaknya kita benar-benar berpeluang mendengar dan melihat sendiri kebolehan vokal Dayang dan Adibah yang dinamik sedang penyanyi serta komposer berjalan masuk dan keluar pentas. Pentas Juara Lagu ke 18, berbentuk rekaan ekspresionis, tetapi yang paling menyerlah pastinya tata cahaya yang saya rasa agak canggih dan telah diatur dengan teliti.
Pengacara Sarimah dan Aznil sememangnya ada "chemistry". Kedua-duanya memang mempunyai gaya gila-gila bahasa yang dapat membantu untuk memeriahkan suasana pertandingan. Saya cukup seronok melihat mereka berdua yang bersahaja membaca skrip yang telah disediakan, yang rata-ratanya mempunyai tema "lelaki lawan perempuan" - satu isu yang semestinya sudah lapuk, tetapi dengan gaya persembahan Aznil dan Sarimah, ia dapat diterima dengan baik oleh penonton.
Lagu pertama yang dipersembahkan datangnya dari kumpulan OAG dengan lagu Merpati Putih yang bertanding dalam Kategori Pop Rock. Persembahan oleh OAG menarik dengan adanya tiga orang penarik cilik berkepak yang menari-nari tatkala Radhi sedang menyanyikan lagunya yang begitu "atmospheric" sekali. Saya suka melihat pakaian yang dipakai oleh mereka yang nampak seperti uniform sekolah. Sambutan yang diberikan kepada mereka dari penonton agak baik.
Persembahan kedua datangnya dari Ning Baizura, dengan lagunya Selagi Ada Cinta untuk Kategori Balada. Pakaian yang dipakai oleh Ning memang "divine". Nyanyiannya memberangsangkan. Persembahan Ning disertakan juga dengan sketsa yang agak "theatrical", yang serius dalam kelucuannya. Ning ternyata mempunyai peminat "Die-Hard"nya yang tersendiri yang saya perhatikan semahu-mahunya memberikan sokongan padu kepadanya pada malam itu.
Persembahan paling aneh pada malam itu pastinya datang dari Waheeda yang membawa lagu Wassini untuk kategori Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif. Lagu berentak rancak ini dibawa oleh Waheeda dengan penari-penari lelaki berpakaian ketat yang nampak seperti anggota-anggota "The Village People". Sesuailah agaknya, memandangkan lagu ini sendiri sudah menjadi lagu "anthem" di kelab malam Blue-Bar dan beberapa buah kelab malam lain di ibu kota...
Ezlynn masuk ke atas pentas untuk membawakan lagu Hi Hi Bye Bye yang dipertandingkan dalam Kategori Pop Rock yang sememangnya rancak. Ezlynn mempunyai "stage presence" yang memampukannya berinteraksi dengan baik bersama-sama penari-penarinya yang ada.
Anuar Zain membawa lagu Keabadian Cinta yang dipertandingkan dalam Kategori Balada dengan cara yang ringkas tetapi bagi saya, antara persembahan yang terbaik pada malam itu. Pakaiannya serba putih, beliau menyanyikan lagu berunsur baladanya ini tanpa penari, tetapi dengan sendiri, beliau dapat mengadakan satu persembahan yang begitu baik, malah berjaya memikat hati penonton.
Yasin keluar dengan membawa lagu Salsabila yang dipertandingkan dalam Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif. Bersama-sama pemuzik yang memainkan peralatan akustik, beliau menyanyi dengan bersungguh-sungguh. Malangnya, tenaga nyayiannya tidak sampai kepada penonton yang tidak begitu memberi sambutan kepadanya.
Persembahan Siti Nurhaliza dengan lagu Ku Milikmu yang bertanding dalam Kategori Pop Rock sememangnya nampak segar. Saya cukup teruja melihat imej ala Britney Spears yang dibawa oleh Siti Nirhaliza yang agak menjadi. Beliau diiringi oleh penari-penari latar dan beberapa penari-penari breakdance yang nampak agak retro, tetapi sesuai untuk persembahannya. Penonton cukup-cukup ghairah dibuatnya melihatkan kelincahan Siti Nurhaliza membawakan lagunya yang rancak ini yang diakhiri dengan tarian "tap-dance" ala Riverdance.
Bagi saya, persembahan Misha Omar, Bunga-bunga Cinta yang bertanding dalam Kategori Balada adalah persembahan yang terbaik pada malam itu. Sejak dari awal lagi, saya dapat melihat bahawa penonton sudah memberikan sokongan padu kepada Misha. Saya dapat memberikan rumusan bahawa Misha sememangnya popular di kalangan penonton secara total, bukan sekadar penonton yang "die-hard". Misha pandai bermain dengan kamera. Mimik mukanya mengalahkan Ziana Zain. Penonton bertepuk gemuruh setiap kali Misha bermain-main mata (dan kening) di hadapan kamera. Sebaik sahaja persembahan Misha tamat, beberapa orang penonton di sekeliling saya memberikan "standing ovation" kepada Misya sebagai tanda penghargaan kepada persembahannya yang cemerlang.
Nuraniza Idris membawakan lagu dalam Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif yang bertajuk. Persembahan beliau, seperti biasa; "over the top". Persembahan ala sarkisnya kadangkala menakutkan - saya sebagai penonton takut benar akan aspek keselamatannya dan juga penari-penarinya. Tetapi dek latihan yang intensif, saya nampak apa yang dipersembahkan berjaya nampak unik dan luar biasa. Dalam banyak-banyak persembahan, persembahan beliaulah yang paling banyak menggunakan penari dan props.
Exist membawakan lagu Percayakan Siti dalam Kategori Pop Rock. Persembahan ala retro 60-an ini nampak bertenaga dan kumpulan Exists jelas mahu menghiburkan penonton dan mereka sendiri rasa terhibur.
Persembahan kumpulan May, dengan lagu Sinar bertanding di dalam Kategori Balada. Kumpulan yang telah lama wujud ini cukup-cukup saya hormati. Vokal kumpulan May sememangnya cemerlang, membawakan sebuah lagu rock yang pastinya akan menjadi klasik satu hari nanti.
Satu lagi persembahan pelik pada malam itu dibawakan oleh Mas Idayu, yang memulakan lagu Hasrat Perindu yang bertanding dalam Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif dengan aksi "nasi kangkang"nya yang pastinya akan hangat diperkatakan nanti. Beliau telah diiringi oleh penari-penari lelaki dalam satu kumpulan penari bertubuh gempal yang paling ramai pernah saya perhatikan.
Bahagian interlude agak menarik dengan nyanyian artis-artis undangan seperti Dayang Nurfaezah, Adibah Noor, Hazami, Siti Sarah, Ella, Bandi Amuk, Neves Pretty Ugly dan Muix Metal Asia. Persembahan mereka luar biasa dan bertenaga, terutamanya persembahan Ella yang membawa lagu dangdut. Ella ternyata masih mampu menarik perhatian penonton yang rata-ratanya memberikan tepukan yang gemuruh kepadanya sebaik sahaja beliau menamatkan persembahannya.
Berikut adalah senarai pemenang-pemenang Juara Lagu ke 18:
Juara Lagu ke-18: Misha Omar - Bunga-bunga Cinta Pencipta: Adnan Abu Hassan Lirik: Adnan Abu Hassan
Juara Kategori Pop: Ezlynn - Hi Hi Bye Bye Pencipta: KRU Lirik: KRU
Juara Kategori Balada: Misha Omar - Bunga-bunga Cinta Pencipta: Adnan Abu Hassan Lirik: Adnan Abu Hassan
Juara Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif: Waheeda - Wassini Pencipta: Yasin Lirik: Yasin
Juara Persembahan Terbaik: Siti Nurhaliza - Ku Milikmu Pencipta: Zuraini Lirik: Siti Nurhaliza/M. Zulkefli
Rata-ratanya, saya cukup berpuas hati dengan keputusan yang telah diberikan pada malam semalam. Walau bagaimanapun, saya cukup terkilan kerana Misha Omar tidak merangkul hadiah Persembahan Terbaik. Saya harap keputusan pada tahun ini tidak akan menimbulkan apa-apa rasa tidak puas hati di kalangan mereka yang akan sengaja mahu membuat isu.
Tentang Misha Omar, saya gembira dengan pengiktirafan yang telah diberikan kepadanya. Misya sememangnya seorang penyanyi yang hebat. Saya masih ingat lagi kepada reaksi sebilangan pembaca yang tidak berpuas hati dengan saya tatkala saya memuji album Misha serta mengatakan bahawa beliau akan menjadi seorang penyanyi yang hebat yang akan menandingi Siti Nurhaliza. Nah, kini terbukti telahan saya tentang Misha!
Aturcara Juara Lagu ke 18 berjalan dengan lancar, walaupun kadang kala, "timing" untuk mercun agak lambat dan confetti yang telah ditaburkan oleh penari-penari Mas Idayu tidak dibersihkan dari lantai pentas (lantas nampak berserabut).
Senarai lagu-lagu yang dipertandingkan hebat-hebat dan para artis telah memberikan yang terbaik. Syabas kepada mereka yang bertanding dan terutamanya kepada yang menang!
Gimik paling berani dalam persada teater Melayu tahun ini? Tidak Lain dan tidak bukan, jawapannya adalah Jangan Bunuh Sam. Lebih-lebih lagi apabila isu lelaki lembut hebat diperdebatkan di Malaysia sejak kebelakangan ini.
Jangan Bunuh Sam telah ditulis oleh Zakaria Ariffin dan dipersembahkan oleh Teater Keliling 2003 (sebuah kumpulan drama yang dianggotai oleh bekas pelajar Akademi Seni Kebangsaan). Drama ini menceritakan tentang pergelutan jiwa Rahim (Mohd Shahrul Mizad Ashari) yang membawa watak Sam yang terganggu kerana wataknya akan dimatikan (baca: bunuh) oleh produser, Encik Othman (Azizi Mohd Said). Sam telah dituduh mencemarkan budaya tempatan, dan hukum Islam melarang kaum lelaki menyerupai ataupun meniru gaya wanita. Rahim walaubagaimanapun, menegaskan bahawa Sam telah dilahirkan begitu.
Encik Othman kini berada di dalam dilema. Beliau terpaksa menukar skrip untuk "membunuh" Sam, tetapi di dalam masa yang sama, beliau cukup sedar tentang popularnya rancangan "Butik Sam" ini. Para pelakon serta warga kerja "Butik Sam" juga tidak bersetuju dengan langkah ini. Bersama, mereka mencari jalan untuk memastikan supaya Sam dapat terus hidup, satu karakter yang telah ke udara selama 15 tahun lamanya.
Jangan Bunuh Sam telah dibuat dengan bersungguh-sungguh. Seperkara yang pastinya akan disedari oleh para penonton adalah kualiti arahan pementasan ini yang baik. Harapan yang tinggi telah diletakkan terhadap pengarahnya Nam Ron, yang dianggap ramai sebagai pengarah muda yang paling berbakat dalam dunia teater Melayu. Karya terbarunya, sebuah monolog yang berjudul matderihkolaperlih mendapat sambutan yang menggalakkan dari peminat teater tanah air.
Saya ingin memuji Akademi Seni Kebangsaan kerana telah berusaha untuk mementaskan drama ini ke beberapa buah lokasi di seluruh negara. Perkara ini penting, agar penonton dapat melihat sendiri hasil kerja Nam Ron dan mengapa beliau sering mendapat pujian dari peminat teater tanah air.
Drama Jangan Bunuh Sam secara keseluruhannya berlaku di dalam studio di mana "Butik Sam" difilemkan. Set drama ini telah direka oleh Wan Azli Wan Jusoh, yang meletakkan barisan pelakon di dalam sebuah bilik make-up dan sebuah studio rakaman yang berwarna-warni.
Zakaria Ariffin menulis sebuah dialog lucu dengan style yang menarik. Tetapi, saya begitu mengharapkan beliau mempunyai kecekalan untuk menulis sebuah karya yang benar-benar berani. Pada hemat saya, Jangan Bunuh Sam mempunyai segala-galanya untuk menjadikan ia sebuah pementasan yang akan membuat penonton berfikir.
Dalam Jangan Bunuh Sam, saya sebenarnya tidak mengerti mengapa penonton perlu diingatkan berkali-kali bahawa Sam lembut kerana beliau telah dilahirkan begitu dan beliau adalah seorang lelaki heteroseksual. Jadi kalau begitulah adanya, konflik yang ditimbulkan tidaklah sebesar mana. Sam hanya lembut. Bagaimana pula jika Sam merasa selesa dengan keadaan dirinya dan seorang homoseksual? Adakah pementasan ini akan membawa makna dan persoalan yang lebih mendalam? Atau mungkin sebaliknya? Adakah penonton akan merasakan watak Sam seharusnya dibunuh jika mereka diberitahu bahawa Sam seorang homoseksual? Persoalan-persoalan seperti inilah yang harus mencabar minda penonton yang saya juga rasa susah sampai masanya penonton teater Melayu dicabar sebegini. Walau bagaimanapun, sukar untuk kita melihat perkara ini berlaku, memandangkan adanya 'self-censorship' dan penapisan dari DBKL yang sering menjadi penghalang kepada penulis-penulis drama dari menulis naskhah yang mungkin terkandung 'isu-isu sensitif' di dalamnya.
Dan mungkin sebab itulah, skrip Jangan Bunuh Sam terasa seperti kurang rencahnya. Mungkin perkara ini berlaku kerana Encik Zakaria sendiri menjadikan watak Sam/Rahim lebih kepada watak yang teraniaya, dan bukan watak yang berani menentang. Di bahagian akhir drama, watak Sam yang lembut menjadi Sam yang keras. Rahim sengaja tidak mahu mematikan watak Sam yang lembut walaupun sudah termaktub di dalam skrip. Beliau lebih rela memilih jalan senang, iaitu "menjantankan" watak Sam. Akhirnya, Sam yang "jantan" jelas nampak membosankan dan tidak ubah seperti watak-watak yang lain. Jika kita dalami betul-betul aspek ini, mungkin inilah yang ingin dibentangkan oleh Encik Zakaria. Mengubah satu yang semula jadi kejadiannya akan menyebabkan kekakuan dan hilang sifat-sifat kejujuran yang ada.
Encik Shahrul sememangnya berjaya menjiwai watak Sam, lebih-lebih lagi apabila watak tersebut dilakonkannya dalam situasi rakaman "Butik Sam" di hadapan penonton. Adegan ini menarik. Malah membuatkan penonton paham mengapa Sam diminati ramai dan caranya diikut-ikut oleh orang ramai.
Encik Azizi adalah seorang pelakon yang terserlah dalam pementasan ini. Wajahnya yang menarik dan suaranya dan lantang cukup sesuai untuk dijadikan pelakon sitcom dan drama TV. Beliau sesungguhnya dapat membawa watak produser yang berada dalam dilema dengan baik, dan dalam masa lagi, masih dapat menunjukkan sikap tegasnya.
Cik Norzizi Zulkifli yang membawa watak Sherrie/Kartika adalah seorang pelakon yang perlu dipuji lakonannya kerana beliau dapat melakonkan wataknya yang memerlukan beliau meluahkan pelbagai perasaan yang kompleks. Begitu juga pelakon-pelakon yang lain.
Jangan Bunuh Sam bukanlah sebuah pementasan yang "perfect" tetapi sudah cukup baik mengikut ukuran saya. Ia merupakan sebuah protes satira yang dapat membuat kita melihat keadaan sebenar budaya Malaysia di mata dunia: sitcom, lelaki lembut, agama, dan para pelampau moralis.
Return Of The King - Satu Ulasan Alternatif dari Vovin.
Return of The King, sebuah filem yang ditunggu-tunggu oleh ramai peminat filem dan merupakan bahagian terakhir dalam saga sebuah cincin paling berkuasa di dunia. Ketika chat dengan saudara Nizam, saya telah dipelawa untuk membuat reviu mengenai filem besar ini. Saya bersetuju dan menanti masa setelah saya menonton filem tersebut.
Namun hanya selepas tiga hari filem tersebut ditayangkan saya dapati sudah ada tiga reviu mengenai LOTR: ROTK di laman web Limau Nipis. (Reviu dari saudara Fairul,Spiral dan sudah tentulah dari Nizamsendiri).
Jadi apa lagi yang perlu saya tulis? Ketiga-tiga reviu tersebut sudah menceritakan tentang kehebatan dan makna filem itu tersendiri. Ketiga-tiga pengulas tersebut sudah membuat kupasan yang cukup lengkap dan saya rasa tidak perlu lagi saya ulangi.
Namun ada beberapa perkara yang amat ingin saya berkongsi bersama pembaca-pembaca yang lain. Perkara yang mana datang dari pendapat saya, juga datang dari rakan-rakan saya ketika berbual mengenai ROTK dan ada juga ketika berdiskusi dalam beberapa forum di Internet.
Perkara pertama yang ingin saya perkatakan mengenai kesudahan Return of The King - "ending"-nya. Pendapat bercampur baur dalam memperkatakan mengenai kesudahan filem kali ini. Ada yang suka dan ada juga yang... So so. Bagi saya, kesudahannya sudah cukup baik, cukup menarik. Jika tidak sempurna 100 peratus pun, saya letak 90 peratus. Kenapa ya?.
Memang jika dilihat filem tersebut seharusnya tamat ketika Aragorn dimahkotakan menjadi raja, lantas menyanyi (?), bertemu rakan-rakan seperjuangan dan akhir sekali memberi tunduk hormat kepada empat Hobbits tersebut. Kelihatan shot kamera semakin lama semakin jauh sehingga meninggalkan bahagian atas Minas Tirith yang serba meriah itu. Sempurna. Ia memang sempurna jika adegan itu adalah pengakhirannya.
Tapi sebenarnya ia masih kehilangan sesuatu. Pemain utama Lord of The Rings pada asasnya adalah empat Hobbits tersebut. (Terutamanya Frodo). Ingat tak ketika monolog Galadriel ketika permulaan Fellowship of The Ring? Pada akhir dialognya dia menyatakan, sudah tiba masanya Hobbits mengubah nasib dunia? Jadi masih ada sesuatu yang hilang, sesuatu yang kurang bererti jika Minas Tirith menjadi pilihan untuk menamatkan cerita. Semacam mengabaikan si Hobbit berempat yang telah mengubah nasib dunia Lagipun tidakkah agak klise jika pengakhirannya sedemikian rupa? Berapa banyakkah filem yang mempunyai pengakhiran sebegitu? Saya pasti agak banyak.
Jadi Pete Jackson membawa kita ke Shire kembali. Kembali ke tempat di mana ia bermula. Ketika ini empat Hobbit tersebut duduk, memandang antara satu sama lain dan minum, simbolik meraikan kejayaan mereka. Ia boleh berakhir sedemikian rupa. Cukup baik. Tapi... Masih ada kekurangannya.
Jadi kita di bawa pula ke rumah Bilbo, seterusnya menyusuri jalan sehingga sampai ke pelabuhan di mana kapal menanti membawa mereka pergi. Ketika ini sememangnya saat yang penuh emosi apabila Gandalf terpaksa pergi, berpisah dengan rakan-rakan yang tersayang. Saat lebih pilu lagi apabila Frodo juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal. Ketiga-tiga mereka bergilir-gilir memeluk Frodo dalam tangisan. Tak dinafikan adegan itu agak panjang. Sempat juga rakan saya bergurau selepas itu dengan mengatakan "nasib baik tiga orang aje yang perlu Frodo peluk, kalau ada Aragorn, Gimli, Legolas, Eowyn, Eomer, Faramir, Arwen, Elrond dan lain-lain watak kena peluk, sampai subuhlah baru habis).
Nah, pastinya itulah ending yang paling baik. Tapi kemudiannya kita di bawa pula ke Shire kembali, melihat Sam berjumpa dan memeluk anak-anaknya. Ketika itulah baru perkataan "The End" muncul. Ketika itulah barulah filem tersebut benar-benar berakhir. Ketika kali kedua saya menontonnya, ada segelitir penonton bersuara: "Ahhhhh..habis jugak".
Jadi sebenarnya kita ada empat kebarangkalian untuk penamat sebuah trilogi yang hebat (Jika bukan pun, setaraf dengan trilogi hebat yang lain).
Kenapa Sam yang menjadi penamatnya? Bukan Frodo? Saya cuba untuk memahami Pete Jackson dan kenapa dia memilih Sam. Bagi saya Sam memang layak menjadi penamat kisah pengembaraan ini. Sam merupakan lambang semangat keperwiraan. Benar Aragorn, Gandalf dan pahlawan-pahlawan lain bersabung nyawa menentang ribuan Orcs, Uruk-hai, Nazgul dan lain-lain. Namun kalau tak kerana semangat juang yang ada pada Sam, dia takkan kahwin dengan perempuan idamannya. Dia takkan hidup. Tidak pada Sam. Dia harus berdepan dengan kemungkinan berselisih dengan tentera Sauron di tengah jalan, Nazgul di udara, ancaman alam sekitar (seperti tasik berhantu ketika Two Towers), ancaman bunuh dan muslihat Gollum, keganasan Shelob, selain terpaksa menjaga Frodo yang sudah kelihatan seperti budak kecil. Lemah dan tak bermaya. Dia melakukannya seorang diri. Tiada siapa yang datang membantunya. Bukankah itu semangat perwira yang sejati?. segala kesusahan yang dilaluinya, wajar sekali Sam dipilih atau dihargai sebagai karakter penutup untuk trilogi ini.
Kenapa tidak letak sahaja sebagai "extra-features" dalam DVD? Boleh. Tapi sebuah trilogi yang kita harus tunggu tiga tahun untuk menonton sehingga babak terakhirnya, takkan kita nak lihat penutupnya begitu ringkas? Bagi saya penutup Return of The King mewakili keseluruhan trilogi tersebut dan dibawa dengan cukup bermakna sekali.
Cukup memperkatakan mengenai penamatnya. (Oh ya, jika secara peribadinya saya merasakan penutup trilogi LOTR jauh lebih hebat dari penutup trilogi Matrix. Ada bantahan?)
Saya juga mahu menyentuh sedikit mengenai tajuk "Return of The King" dan bagaimana Pete Jackson tidak berjaya membawa kredibiliti Aragorn sebagai seorang raja yang bakal memimpin manusia. Kenapa? Saya tak nampak ketokohan Aragorn ditonjolkan sepenuhnya selain dia mewarisi darah Isildur. Aragorn tiada ketika perang dahsyat di Pelennor Fields. Dia tiada untuk memimpin manusia berhadapan dengan ribuan Orcs selain Nazgul dan Fell Beast yang membuat kacau dan Mumakil yang amat ganas itu. Ketika perang di Pelennor Fields itu saya hanya lihat bagaimana Gandalf di dalam istana bertindak sebagai pemimpin dalam mengatur barisan pertahan selain menaikkan semangat tentera Minas Tirith yang serba ketakutan.
Di sebalik sana, jelas King Theoden merupakan seorang panglima yang amat gagah, berani dan berwibawa sekali. Dia membawa Rohirrim merempuh barisan Orcs dan berhadapan dengan Mumakil. Jadi pada saya Gandalf dan Theoden berpeluang menjadi raja jika mereka mahu (Kecuali Theoden mungkin kerana dia sudah mati). Gandalf sebenarnya senang-senang boleh menuntut tahta kerajaan manusia kerana kredibiliti dia jelas kelihatan. Mujur mungkin hatinya sesuci embun pagi dan tak terfikir untuk menuntut tahta itu?
Baiklah, Aragorn juga berjasa kerana pergi berhadapan dengan "Army of the Dead". Menakutkan? Tidak kerana dia mempunyai Anduril. Hanya keluarkan Anduril dan halakan pada roh-roh tersebut, mereka pastinya menurut perintahnya. Kerja yang pada saya, Merry pun boleh lakukan jika dia memegang Anduril.
Benar dia memimpin tentera manusia ke Black Gate. Tapi perang yang dahsyat sebenarnya di Pelennor Fields. Bukan di Black Gate. Dan kata-kata semangatnya langsung tidak memberi kesan. (kelemahan dapat saya lihat disini. Jika dilihat dengan teliti, ketika tentera manusia bergerak keluar dari Minas Tirith menyusuri Pelennor Field, saya tak lihat seekor pun mayat Orcs terbaring. Padang kelihatan agak kosong. Bukankah tentera Orcs yang datang menyerang terlalu banyak jumlahnya? Mana pergi? Maaf jika mata saya tak nampak mayat itu disitu).
Baiklah. Itu sahaja yang dapat saya ulas kali ini. Sememangnya Pete Jackson sekali lagi membawakan satu "masterpiece" dalam dunia perfileman. Saya tidak dapat lari dari mengatakan bahawa trilogi Lord of The Ring jauh, jauh, jauh lebih baik dari trilogi Matrix (saya membuat perbandingan kerana kedua-dua trilogi ini hadir dalam masa yang agak sama). Maaf kepada peminat-peminat The Matrix.
Semoga di masa-masa hadapan kita akan dipersembahkan dengan trilogi-trilogi yang lebih bermutu lagi. Tapi saya amat pasti trilogi LOTR akan menjadi sebuah filem lagenda yang setaraf dengan trilogi Star Wars (Ep 4, 5 dan 6).
Menonton Mystic River, aku kena berterus-terang, memang memerlukan kesabaran yang amat lah kental, tapi isi dari kesabaran itu amatlah menjentik jiwa kalau kau boleh sabar. Aku dah lah lahap dua burger ari tu untuk lunch, so masa nak menonton filem ni, Ya Rabbi, mengantuknya! Tuhan yang tahu, menguap banyak kali tu (this is always a bad sign to me, meaning Im watching crap, but this movie seems far from being a crap, its just, its toooo draggy). Tetapi dengan watak-watak dan pelakon yang memainkan teori Groffmann, dengan kepandaian Clint Eastwood memaksa kita sebagai 'SI PEMERHATI', ia amat-amat membuat filem ini 'worth a watch'.
Filem ini mempunyai pokok yang amat gelap, 'dark' orang puteh kata. Janganlah kau orang tertipu dengan soundtrack dia yang 'melodrama' semacam, filem ini sendiri, hilang segala soap opera, melodrama yang kita tonton dalam episod-episod Pangako Sa Yo (uuuu, though, its gooodd! sape tengok finale dia? best gila kan?) kerana pandangan realistik (atau naturalisme?) yang digarap oleh Clint amatlah 'benar' dan penuh keyakinan (walaupun, memang ada beberapa adegan dalam filem ini, semacam watak-watak dalam Macbeth atau Hamlet akan berinteraksi).
Filem ini bermula lembap, macam seorang yang baru mahu menyelinap tidur lalu bermimpi, atau mungkin dekad yang diambil Clint itu sendiri adalah 'mimpi', lalu dari satu adegan itu (bila kawan mereka Dave Boyle diheret masuk ke dalam kereta), ia merubah segala yang kita tahu tentang 'innocent' dan 'kesempurnaan'.
Kemudia Clint membawa kita 'terbang', menonton manusia di pekan kecil dan segalanya di Bandar Boston ini seperti Tuhan yang merenung 'anak-anak'nya di bawah, bertanya, "Apa anak-anak aku buat hari ini, apa kemenangan yang mereka capai, apa kebobrokan yang mereka tuai?" Ya, Clint membuat kita jadi Tuhan, dan manusia-manusia dalam filem ini, subjek kita, penuh petanda dan sakit seorang manusia, kadang-kadang menjerit, "Tuhan, kenapa kau begitu sadis?" (adegan ini dapat dilihat sewaktu Jimmy mendapat tahu anak gadisnya dibunuh lalu dia mendongak, melaung sekuatnya sedang segerombolan polis menahannya). Kita diajar untuk menerima perangai manusia-manusia kecil ini (yang sebenarnya, diri kita sendiri) dan cara yang dibuat oleh Clint ini amat puitis (dalam penggambaran, mood, dan detik tangkapan setiap scene), tidak pernah dibuatnya dalam filem-filem hasil lainnya.
Filem ini sendiri adalah tentang Tragedi Manusia. Bagaimana manusia sendiri yang merengkuk diri mereka masuk ke dalam 'kotak kurungan' mereka sendiri (mereka melakukan atas tanggungjawab mereka sendiri), ada juga yang dipaksa, dan kesan akibat pada orang-orang lain yang mengenali manusia-manusia yang terperangkap itu. Tunjangnya, tema filem ini melintas ke dalam kepercayaan (dan pengkhianatan) dan cinta, dan bagaimana kedua-dua perkara ini menjadi bahan makanan untuk manusia-manusia kerdil ini hidup, atau menjadi kuat, lemah dan juga membinasakan diri.
Mungkin ada orang akan kata, wahhh banyaknya kesan Noir dalam filem ni (filem ini dikeluarkan oleh Warner Bros. satu dari bapak-bapak pengeluar filem-filem genre crime, polis, dektektif dan noir pada 30-40 an. Masa lambang WB keluar dan Village Roadshow, aku saje je bising, "EH, Matrix lah!"). Memang tak boleh dinafikan ke'noir'rannya, lebih-lebih lagi pada teknik dan ciri-ciri filem ini: set gelap dan malam, mood pesimistik, kecurigaan, watak yang samar dan bukan hitam putih, watak dengan moralnya yang samar (ini sebenarnya lebih ciri Clint dari Noir, filemnya seperti Unforgiven melahirkan namanya kerana suka mainkan watak anti-hero, atau hero berwatak anti moral) the wrong man (Dave), the wrong women atau Female fatale (technically ia bini Sean Devine, tapi sebenarnya wrong women sebenar yang kena dengan tema filem ini ialah Celeste Devine, bini pada Dave yang dilakonkan dengan simpati dan merusah oleh Marcia Gay Harden). Tetapi, mungkin kerana Clint dan penulis skripnya (Brian Helgeland) ingin cuba sesuatu yang baru, maka ia tidaklah terlalu 'noir' tapi lebih pada drama tragedi manusia, seperti Sungai Mengalir Lesu tulisan A Samad Said.
Watak-watak yang berlakon dalam filem ini, semuanya kuat dan bertenaga (juga dialognya yang kadang-kadang mencuit dalam keseriusannya). Tiada lebih atau kurang. Tetapi aku suka pelakon baru ni yang berlakon watak Brandon Harris (Tom Guiry), kekasih si mangsa dalam filem ni. Mungkin kerana 'magic' Clint mengarah scene-scene di mana dia berada, semua scene yang ada dia, aku akan menangis, sebab kejujuran semangatnya amat menekan aku, tanpa perlu melodrama, filem ini kerana interaksi-interaksi Brandon, aku boleh menangis (lebih-lebih lagi waktu dia 'confront' adiknya yang bisu pada dekat klimaks filem ini).
Kalau mahu ditandingkan dalam Academy Awards, aku percaya filem ini boleh dapat 5-8 nomination, tapi mahu memenangi filem terbaik, mungkin tidak boleh..Kau lihat, sebenarnya filem jenis mengupas tragedi manusia ini sudah banyak kali dilakukan, Sunset Blvd (pencinta filem kata, ini Mak pada segala filem Noir..Pergi cari kat Cool Planet and u wont regret it) Chinatown, Affliction, Ordinary People, In The Bedroom dan tahun lepas The Hours dan Adaptation, semuanya berlingkar pada tema ini, manusia dan tragedi yang menimpa mereka kerana sifat mereka. Seperti filem-filem yang terdahulu, filem ini mengatakan, kejahatan, tragedi, kematian, bencana bukanlah masalah Tuhan (God is not to blame) dan bukan Tuhan yang merancangkan. Ia berlaku kerana kita, ya kita sebagai manusia yang tidak mahu kenal kelemahan, memahami rahsia dan situasi menyebabkan kita sendiri terjerumus dalam satu lingkungan tragedi yang dibuat oleh kita sendiri. Ini adalah satu petanda yang amat siksa untuk pengundi Oscar untuk beri 'best picture'. Malah finale filem ini, walaupun aku kata ia justified (justifikasi yang samar bila Sean mengacah jarinya pada Jimmy, kerana ia membuak pelbagai persoalan, adakah selepas itu Jimmy ditangkap? Pertarungan tag-of-war baru apabila Sean sudah mengetahui rahsia Jimmy lalu ingin membuat 'black mail' atau memanipulasinya? Apakah Michael akan membalas dendam bila dia mengetahui kebenaran kematian ayahnya?), ia tetap mengukuhkan kekuasaannya bahawa manusia membinasakan diri mereka sendiri, hah-amat non-optimistic. Kalau kau orang tengok senarai filem yang aku beri di atas tu, hanya Ordinary People (antara filem kegemaran aku. Filem yang menaikkan nama Tim Hutton, dan Robert Redford sebagai pengarahnya) memenangi 'best picture'. Kenapa? Sebab 'at least' dalam filem tu, justifikasinya lebih memihak pada yang dimangsa dan pemangsa (ibu pada Tim Hutton, yang sebenarnya mangsa dari segi lain) terpaksa berundur seketika, sedangkan filem-filem yang lain (walaupun In The Bedroom juga termasuk justified ending mana dimangsa mendapat keadilan) sedangkan dalam filem ini, manusia adalah manusia, masing-masing adalah pemangsa dan masing-masing dimangsa oleh situasi dan motif.
Ulasan Filem : Lord Of The Rings - Return of The King oleh Nizam Zakaria
Akhirnya, dapat juga saya tonton siri ketiga karya klasik J.J.R. Tolkien yang kini sedang ditayangkan di pawagam, Lorf of the Rings: The Return of the King. Dalam siri yang terakhir ini, dapatlah kita dapat melihat kesudahan kepada perjalanan Frodo Baggins (Elijah Woods) menjelajah ke Mordor untuk memusnahkan Ring of Power. Dalam siri ketiga ini, sutradara Peter Jackson meletakkan segala-gala yang termampu olehnya untuk membuat sebuah filem yang hebat. Maka dihidangkan kepada kita adegan-adegan yang mengagumkan. Dalam siri ketiga ini, kita akan dibawa masuk ke dalam sebuah gua yang dipenuhi dengan tentera hantu; Kota Minas Tirith yang gah dengan gabungan seni bina Byzantine dan Mont-St-Michel yang sebelum ini hanya mampu wujud dalam lukisan-lukisan berunsur fantasi; bala tentera Sauron yang mengingatkan kita kepada watak-watak dalam Pirates of the Caribbean, dan labah-labah gergasi, Shelob yang mampu membuat labah-labah Aragog dari Siri Harry Potter nampak seperti seekor anak labah-labah yang jinak. The Return of the King adalah sebuah persembahan yang pastinya akan membuatkan penontonnya tertumpu pada layar perak hampir pada setiap masa agar tidak terlepas menyaksikan adegan demi adegan yang penuh dengan aksi yang hebat (lebih-lebih lagi adegan perang di Pelennor Fields yang tampak lebih hebat dari adegan perang di Helms Deep). The Return of the King bukan sahaja sebuah filem yang mempunyai jalan cerita yang menarik, ia juga sebuah halwa mata yang cantik untuk kita tonton.
Seperti yang dijangka, The Return of the King adalah sebuah filem yang telah dibuat untuk menjadi penutup kepada dua buah filem yang terdahulu. Tema, serta plotnya memang tidak banyak berbeza. Pastinya ada adegan perang yang hebat serta perjalanan Frodo yang penuh ke Mount Doom dengan segala kesukaran yang terpaksa dihadapinya. Dalam siri terakhir ini, kita juga akan melihat persahabatan di antara Gimli (John Rhys-Davies) dan Legolas (Orlando Bloom) dengan Aragorn (Viggo Mortensen) semakin kuat. Mereka bertiga akan sentiasa bersama untuk mempertahankan Middle Earth dari dikuasai kuasa jahat Sauron. Dalam The Return of the King, Aragorn anak kepada Arathorn akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa beliau mempunyai sebuah tanggungjawab yang besar untuk menjadi seorang pemimpin.
Saya rasa, Jackson benar-benar pandai dalam hal menampilkan karakter-karakter yang ada dengan saksama tanpa menepikan mereka sebagai watak picisan. Mungkin beliau mampu melakukannya dalam siri filem LOTR ini kerana sebuah filem memakan masa selama 3 jam. Jadi, sebagai penonton, kita akan terasa dekat kepada watak-watak yang ditampilkan. Watak Eowyn (Miranda Otto) sebagai contoh, kini diketengahkan lagi, sebagai seorang srikandi yang hebat. Perhatikan kisah cinta beliau dengan Aragorn dan rasa sayangnya kepada bapanya sendiri, Raja Theoden dari Rohan (Bernard Hill). Walaupun wataknya tidaklah begitu besar, kita akan dapat melihat kemampuannya sebagai seorang srikandi yang hebat. Mungkin lebih hebat lagi dari Lara Croft, Charlie's Angles dan Wonder Woman (kata-katanya: "I am no man." Pastinya akan diingati sampai bila-bila).
Saya pasti penonton akan berpuas hati dengan adegan perang dalam filem ini. Saya sendiri, ada kalanya memegang kerusi dengan kuat kerana ketakutan ataupun teruja tatkala menonton. Dari segi tahap keganasan, sememangnya The Return of the King adalah yang paling ganas di antara siri-siri LOTR yang sebelumnya.
Lakonan para pelakon agak baik, walaupun sukar untuk saya mengatakan bahawa lakonan mereka begitu baik sehingga layak memenangi Oscar untuk lakonan. Cukup memadailah untuk saya katakan bahawa kesemua pelakon berjaya membawa watak-watak yang telah diberikan kepada mereka. Sukar untuk kita memikirkan pelakon lain untuk membawa watak Gandalf, (Ian McKellen) sebagai contoh, dan Mortensen sebagai Aragorn sememangnya layak membawa watak yang diberikan kepadanya.
Sayang sekali untuk siri ketiga ini, watak Legolas dan Gimli tidak dikembangkan sangat. Watak Sauron pula, langsung tak ada! Dan perkara ini membuatkan saya sedikit kecewa.
Seperkara yang dapat saya perhatikan dalam filem ini (dan yang sebelumnya) adalah pendekatan Jackson yang tidak berminat untuk memasukkan implikasi agama (baca: Kristian) ke dalam filemnya ini. Jadi, interpretasi perang salib (seperti mana yang dikatakan oleh sesetengah pembaca LOTR) tidak dapat kita perhatikan dalam filem ini. Walau bagaimanapun, dalam proses mensekularkan karyanya, kita dapat melihat bibit-bibit persamaan di antara karyanya dengan situasi geopolitik yang berlaku pada Perang Dunia Kedua. Perhatikan kepada kemenangan tentera bersekutu dan apa yang telah mereka lakukan untuk menang. Juga kepada keadaan tentera-tentera perang yang pernah berjuang sebagai perwira dan keadaan diri mereka selepas perang tamat. Semua ini seolah-olah dapat dicerminkan dengan baik melalui siri LOTR sebagaimana yang direalisasikan oleh Jackson.
Seperkara yang menarik perhatian saya mengenai filem ini adalah hubungan intim di antara Merry dan Pippin serta Sam dan Frodo. Perhatikan bagaimana rapatnya hubungan mereka. Bolehkah kita menganggap hubungan di antara Sam dan Frodo sebagai satu hubungan homoerotisme? Mungkin Tolkien mempunyai mesej yang lain melalui persahabatan yang rapat di antara Sam dan Frodo, ataupun di antara Pippin dan Merry...
Bahagian akhir filem ini terlalu panjang bagi saya (keseluruhan filem menjangkau 3 jam 20 minit). Terlalu meleret sehingga saya kurang mengerti mengapa ia perlu dilakukan begini (mengapa tidak dibuat sahaja dalam DVD "Extended Version"?). Jackson sebenarnya boleh mengakhiri adegan akhir di Minas Tirith, kerana ianya lebih dramatik; tanpa perlu memasukkan adegan perpisahan yang terlalu melodramatik seperti yang ada sekarang - saya pasti impak filem ini lebih kuat lagi.
Filem ini sememangnya adalah sebuah filem yang hebat. Layak untuk dipertandingkan di Anugerah Oscar dan pastinya akan menggondol beberapa anugerah untuk kecemerlangan filem ini dari segi teknikal. Akan tetapi, saya kurang pasti jika filem ini layak untuk menang anugerah Filem Terbaik..
Ulasan Filem : Lord Of The Rings - Return of The King oleh Spiral
Filem trilogi ke 3 dan terakhir Lord of The Rings - The Return of The King kembali menggegar ke serata dunia setelah 1 tahun penantian yang cukup menyiksakan bagi penggemar filem ini. Saya juga tidak terkecuali merasai gegarannya. Perasan teruja tidak dapat saya sorokkan lagi tatkala tiket untuk menonton filem ini sudah berada digenggaman malam tadi.
Bayangkanlah, bukan sekadar sehari atau seminggu ataupun sebulan untuk mengetahui akan kesudahan trilogi paling hebat ini, tetapi kita seolah-olah dipaksa untuk menunggu selama setahun untuk melihat sambungan apakah yang bakal berlaku dalam babak kesudahan filem ini. Apapun, satu penantian yang cukup berbaloi.
Tirai filem Return of The King dibuka dengan imbas-kembali bagaimana Smeagol mula-mula menjumpai cincin tersebut, iaitu sewaktu beliau masih lagi menjadi Hobbit dan akhirnya bertukar sedikit demi sedikit menjadi makhluk Gollum akibat dari sumpahan. Lakonan Andy Serkis sebagai Smeagol merupakan antara lakonan terbaik dalam filem ini.
Namun, bukan itu saja yang menjadi kekuatan dalam filem ROTK. Setelah kita menyaksikan pertempuran hebat di Helm’s Deep dalam Two Towers, ROTK menghidangkan kita dengan aksi pertempuran paling hebat di Pelennor Fields. Bayangkan, sekali lagi 10,000 tentera Orcs yang tidak lagi diketuai Uruk-Hai setelah kejatuhan empayar Saruman, cuba menawan kota Minas Tirith, bertempur dengan tentera berkuda Rohan yang diketuai Raja Theoden. Babak yang cukup menyentuh perasaan dan penuh emosi tatkala Raja Theoden dengan penuh bertenaga, melaungkan kata-kata semangat sambil menunggang kudanya memeriksa barisan depan sekaligus menyentuhkan pedangnya ke setiap pedang tenteranya. Berulang kali dia melaungkannya, dan saya merasakan seolah-olah turut sama berada dalam pertempuran tersebut. Semboyan dibunyikan maka bermulalah peperangan hebat di Pelennor Fields!
Seperti sebelumnya, babak ini diselang-selikan dengan liku-liku perjalanan Frodo dan Sam bersama-sama Smeagol dalam meneruskan usaha memusnahkan cincin tersebut. Oleh sebab itu, kebanyakan audien kelihatan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing walaupun filem ROTK ini memakan masa hampir 3 jam lebih.
Walaupun secara jujurnya saya katakan bahawa jalan cerita ROTK agak sedikit perlahan berbanding Two Towers, namun banyak babak menarik yang ditonjolkan dalam ROTK, seperti penampilan sulung Army of the Dead, dan juga Mumakil, gajah gergasi yang yang ditunggangi tentera pakatan Sauron dijatuhkan Legolas dengan aksi yang cukup menarik sekali. Kali ini, pengarah banyak menyelitkan unsur komedi dalam ROTK. Tambahan lagi gelagat Gimli yang ternyata mencuitkan hati.
Kekuatan trilogi LOTR pada saya adalah pada perancangan yang telah dibuat oleh pengarah dan penulis skripnya. Peter Jackson saya kira berjaya membawa kisah yang diinspirasi dari novel J.R.R. Tolkien ini dengan cemerlang sekali. Walaubagaimanapun, saya difahamkan bahawa beliau tidak mengambil 100% dari jalan cerita asal novel tersebut. Ada sesetengah bahagian tidak dibawa ke layar malah ditulis kembali oleh Peter Jackson yang juga selaku penulis skrip filem ini.
Walaupun pada dasarnya kita boleh meramalkan apa yang akan berlaku pada kesudahan filem ini namun, bukan itu yang menjadi sandaran utama dalam filem ini. Efek visual, corak seni arahan, lakon layar, seni fotografi, penulisan skrip serta lakonan yang mantap lagi berkesan adalah merupakan sandaran utama filem ini. Begitu juga dari segi sinematografinya, Peter Jackson begitu teliti dalam memilih lokasi walaupun kebanyakannya hanya berasaskan teknologi efek canggih namun tampak realistik sekali.
Maka tidak boleh dinafikan lagi, LOTR merupakan filem trilogi terbaik pernah dihasilkan malah saya katakan filem terbaik untuk tahun ini walaupun sebelum tirai 2003 dilabuhkan.
Suatu seni filem paling unggul dan tidak harus dilepaskan!
Ulasan Lord Of The Rings: The Return Of The King oleh Fairul Nizam Ablah
Sememangnya, filem LOTR: The Return Of The King (ROTK) adalah filem yang saya tunggu sepanjang tahun. Tentunya yang mengganggu minda saya adalah kesudahan terhadap epik fantasi ini (saya tidak pernah membaca buku J.R.R Tolkien). Sebaik tiba di GSC MidValley untuk tayangan perdananya, saya perasan bukan saya seorang saja berperasaan begitu.
Peminat-peminat francais LOTR sudah pun memenuhi ruang legar pawagam dan tidak sabar-sabar untuk masuk panggung. Tika melangkah masuk ke dalam panggung, satu persoalan yang berputar ligat di minda saya adalah: mampukah filem ini menandingi kehebatan dua filem sebelumnya? Segalanya terjawab bila lampu terpadam, tirai dibuka dan pengembaraan yang terhenti bersambung semula...
Terdapat dua inti pati untuk filem kali ini. Pertama, menceritakan perjalanan Frodo, Samwise Gamgee dan Gollum menuju ke Mount Doom. Perjalanan mereka nyata penuh cabaran dengan konflik antara Sam dan Gollum semakin serius. Yang kedua, tertumpu kepada Aragorn (sesuai dengan tajuk filemnya, The Return Of The King), si pewaris takhta yang bakal menyatukan manusia untuk menentang tentera Sauron, sekali gus menghalang kebangkitannya. Selepas berjaya memimpin tentera Rohan mencapai kemenangan di Helm's Deep, kini Aragorn berdepan dengan tugas yang lebih besar iaitu meyakinkan Rohan untuk membantu Gondor dari serangan Sauron dan bala tenteranya. Anda juga akan dibawa menyusuri sejarah kejadian Gollum, melihat pedang untuk Raja Gondor: Anduril, mengetahui nasib Arwen dan Eowyn (dua wanita yang mencintai Aragorn) dan yang paling penting, pengakhiran kepada nasib Fellowship Of The Ring.
Filem ini jika diukur dari segi plot, adalah filem yang mudah. Ia hanya menceritakan kesukaran yang dihadapi oleh Frodo dan rakan-rakannya dalam usaha untuk menghapuskan cincin yang satu itu. Semangat setia kawan dan perjuangan adalah tema yang disuntik bagi setiap francais LOTR jadi, saya fikir tidak perlu bagi saya menyentuh tentang itu. Yang membuatkan filem ini hebat adalah olahan dari pengarahnya Peter Jackson (pendapat saya), yang tidak menjemukan penontonnya (harus diingat ia adalah filem adaptasi, maka Jackson mempunyai kekangan dalam mengarah filem ini).
Babak peperangan filem ini adalah yang terbaik pernah saya tonton (dalam trilogi LOTR). Jika anda rasa peperangan di Helm's Deep itu mengagumkan, maka anda harus menonton babak peperangan di Pelennor Fields. Anda pasti ternganga! Bukan saja pertempuran kali ini melibatkan manusia, Orcs dan Uruk-Hai tapi turut disertai oleh Nazgul (kali ini lebih banyak babak menampilkan Nazgul dan binatang tunggangannya, Fell Beasts) dan Mumakil, gajah besar dari Two Towers (perhatikan Legolas menanganinya secara berseorangan, hebat!). Nantikan juga kemunculan Shelob, labah-labah gergasi yang membawa kesengsaraan kepada Frodo dan Sam.
Tak lengkap rasanya jika bercerita tentang LOTR tanpa memperkatakan tentang efek tatavisual & sinematografinya. Weta Ltd. membuktikan sekali lagi kehebatan mereka dalam menghasilkan efek untuk ROTK. Makhluk-makhluk, kesan digital & solekan ditangani dengan begitu teliti dan kemas. Visual filem ini pula nyata memukau. Shot yang diambil kena dengan gaya penceritaan sekali gus menambah impak pada jalan cerita ROTK. Akhir sekali, pujian harus kepada diberikan pada pengarahnya, Peter Jackson yang sememangnya genius untuk merealisasikan dunia LOTR yang hampir sempurna.
Saya menulis ulasan ini dengan berhati-hati (no spoiler). Rasanya ingin menceritakan semua yang saya tonton tapi ia tidak adil bagi khalayak yang masih belum menonton. Pengembaraan menjelajah dunia LOTR kini sudah pun tamat. Ternyata, trilogi LOTR telah menempatkan dirinya setanding atau lebih baik dari trilogi Star Wars yang awal (episod IV, V, VI). Ia adalah filem yang mempunyai kelas dan kekuatan dari segi penceritaan, efek, pelakon dan warga kerja produksi. Syabas kepada mereka semua! Saya amat berpuas hati malam itu (saya ingin menontonnya sekali lagi). The Return Of The King, sesuai dengan namanya, memenuhi harapan saya sebagai filem yang hebat dan tak salah jika saya nobatkan mereka sebagai raja filem bagi tahun 2003....
Rating: 4.75/5
(ini adalah ulasan mengikut pandangan penulis. Anda berhak membuat penilaian anda sendiri selepas menonton filem ini).
Ok, trivia yang pertama; ada sebuah universiti bernama Universitas Langlang Buana di Bandung.
Hehe, mungkin 'pun' itu lebih 'satirical' dan menjentik kalau kau faham.
Jadi aku dah tonton arahan kerja Mamat Khalid ini. Pertama kali aku nak kata, aku tak kenal siapa dia, apa kerja-kerja drama TVnya. Aku tonton Wayang Kita dan seperti yang Mamat Khalid kata, filem ini 'Komedi Serius Yang Amat'. Semangat Mamat Khalid amat bernas dan baru (walaupun definisi baru ini tidak semestinya dalam garisan lurus, kerana komedi yang komedi juga boleh tersirat mesej seriusnya. Contohnya seperti Adik Manja, Mekanik atau Anak Mami pun) tetapi cara tok dalang ini bermain dengan wayang kulitnya, aku amat-amat geleng kepala.
Filem ini berdasarkan genre filem purbakala, gaya zaman-zaman Cathay Keris dengan filem-filem bangsawannya, tetapi diadun dengan gaya politik, sosial dan budaya orang sekarang (ada lah sikit, situ sini..Senario sudah masuk dalam 'territory' Carry On dan sedikit Monty Phyton). Filem ini mengingatkan aku pada plot yang seakan sama dengan komedi Three Amigos (1986) arahan John Landis dan lakonan pelawak Steve Martin, Chevy Chase dan Martin Short, yang juga membawa pada persamaan dengan The Magnificent Seven (1960), yang diakari oleh 'bapa' segala 'bapa' filem 'kampung diambang serangan orang jahat'; Seven Samurai (1954) arahan Akira Kurosawa. Semua filem ini menggarap falsafah survival dan semangat kesatuan, pembinaan semangat itu dan bagaimana semangat itu dapat membawa pada kepercayaan lalu kepada kemenangan (macam falsafah 'Malaysia Boleh'lah. Ia hanya slogan kalau ia tidak disuntik dengan semangat) dari cengkaman anasir luar.
[Jenguk sebentar: Filem Senario Lagi mempunyai plot dasar yang seakan sama dengan National Lampoon's Vacation lakonan Chevy Chase. Filem Lagi-lagi Senario amat-amat sama dengan The Chicken Rice War buatan Singapura lakonan Pierre Png, yang didasarkan dari Romeo & Juliet karya William Shakespeare. Aku enggan menonton filem ini kerana marah dengan Aziz, 'meniru' filem Singapura itu. Tetapi Azwan memberitahu, itu adalah antara filem komedi satira paling baik tahun itu.]
Maka cita-cita Mamat Khalid tentulah besar (sebesar Tom Cruise atau Kevin Costner apabila mereka merentang kembali plot dasar ini dalam The Last Samurai dan Dances With Wolves, setentunya dengan kanvas falsafah pertentangan budaya yang jelas), dan segalanya (dengan kekuatan populariti Senario, arahan seni yang tinggi kualitinya, CGI effects, fotografi) seperti di dalam acuan yang membentuk kek yang cantik (haha, still in my raya mood). Tetapi ada sesuatu, sesuatu yang aku masih geleng-geleng kepalaku.
Pertamanya aku akan kata apa yang aku sangat suka tentang filem ini:
1. Pembukaan kredit filem ini amat-amat mencuit hati, seronok dan betul-betul mengambil tempo aku untuk membeliak mata aku sebesar yang mana aku boleh, mengimpikan "ini ada satu perubahan". Permainan mainan nama DJ Dave, Syarifah Aini sungguh menggelikan hati (dan bermakna setentunya).
2. Aku suka kalau pengarah fotografinya mengambil long-shots. Dan dalam filem ini, sangat banyak dan cantik-cantik pula tu (yang buat aku terpegun masa gezetnya ditayangkan, contohnya scene pemandangan kota Lang Buana, scene istana pendatang Jawa, scene mayat terdampai di sungai) . Lebih-lebih lagi, filem ini menyentuh 'kononnya' genre epik. Syabas, sesiapalah pengarah fotografinya.
3. Lawak bersahaja yang disampaikan, amat kena pada beberapa scene, 'puns' yang didialogkan berlapis maknanya, mengingatkan aku pada kata-kata dialog bersahaja dalam Gila-Gila dan Ujang, lebih-lebih lagi ciptaan Allahyarham Rejabhad dan Ujang sendiri yang suka 'bermain' dengan pantun-pantun, kiasan-kiasan dan pepatah-pepatah Melayu dalam komik-komik mereka (contohnya waktu pengikut Orang Kaya Seri Bentan berkata, "Jauhnya sebatang rokok"...ada satu scene yang trivial signifikasinya, membuat orang tak habis ketawa. Scene ini adalah scene waktu Wahid meminum air sungai, lalu dia kata semacam dia pernah meminum air ini. Penonton yang memang sudah menonton Senario Lagi sudah terkekeh-kekeh tak berhenti-henti, teringat pada scene Yasin yang 'pernah rasa air macam ni'... Kemudian scene itu bertukar dengan mayat-mayat yang bergelimpangan dalam sungai itu, semua penonton terus 'gasp'... Ini kekuatan Mamat Khalid dalam garapan komedi-seriusnya). Lagi sekali, Mamat Khalid sebagai penulis skrip dan 'improvisi' yang dilakukan oleh pelakon-pelakonnya perlulah diSyabaskan.
4. Pengarah Seni dalam filem ini, aku boleh kata, antara pengarah seni paling pandai meletak warna, corak dan ruang. Props, arca, kostum dan pemilihan penggambaran adalah yang paling baik pernah dibuat dalam filem Melayu.
Sebenarnya filem ini mempunyai plot yang lebih 'kelihatan' dari plot-plot filem senario yang terdahulu. Semuanya nampak seperti cantik dan kena. Tapi kerana 'cantik' dan 'kena' itulah filem ini agak samar inti patinya.
Semua ini perlulah ditanya pada Mamat Khalid sendiri. Kerana dalam filem ini, banyak scene yang dilakukan seakan-akan terlalu tidak kemas, sekejap ia amat serius, sekejap ia 'hillarious' yang amat. Mamat Khalid sebenarnya tidak tahu, yang mana dia perlu definisikan pada satu-satu scene, mana garisan antara komedi, dan mana drama (ya, filem ini ada bentuk-bentuk drama yang seserius Bang Rajan). Filem ini ditonton orang ramai kerana untuk melihat 'apa yang akan berlaku' dengan empat (watak Yasin yang keluar dari Senario sepatutnya dilakonkan sebagai Diponingrat Pemanahan Berapoeke Kiyemau, yang setentunya lebih 'hillarious' dari pelakon yang aku tak kenal siapa dalam filem ini, tapi lakonannya OKlah dan ada gayanya yang tersendiri (yang amat seksual yang tidak pernah aku tonton dalam filem Melayu) watak utama filem ini. Menyedihkan, ia tidak seelok garapan Senerio Lagi atau Lagi-lagi Senario. Paling kelihatan watak yang dikupas adalah watak Mazlan sebagai Kiambang, yang lain (walaupun Azli mendapat highlight plot twist, Wahid bermimpi yang 'gerun-gerun' tapi tidak dikembangkan lalu sah ia hanya teknik penggerak emosi penonton dan bukan plot filem ini) so-so lah. Apek pula mendapat watak yang unik, sama kuatnya seperti watak panglipulara dalam Tjoet Nya' Dhein (setentunya, beliaulah narrator filem ini) tapi lagi sekali, Mamat Khalid gagal mengembangkannya.
Mamat Khalid ada intinya yang tersendiri mengapa watak-watak senario ini dan kebanyakan watak-watak lain semacam 'pengisi' dan bukan pembawa plot dalam filem ini, kerana filem ini dicipta kerana menyampaikan satu mesej (atau berbagai mesej), dan bukan kerana tingkah laku serta 'cause and effect' watak-wataknya. Maka bolehlah dikatakan, filem ini filem menggarap mesej dan bukan character-driven (seperti kebanyakan sketch-style filem Monty Phyton yang lebih intelektual mesejnya). Peliknya, ia memang ada penggerak plot, tapi ia semacam dibuat-buat dan diselitkan dalam beberapa flashback (falshback yang paling tidak kena dan tak perlu adalah sewaktu ending filem in bila Kak Pah (?) mencucuk Sang Nira). Paling mengejutkan, aku seronok dan ketawa dengan stail dan lakonan 'cool' Kuswadinata sebagai Datuk Merewang. Dialog-dialog dan body language yang dilemparkannya amat pedas tapi dilakonkan dengan sangat bersahaja seakan beliau hidup dalam satira ini yang penuh absurd dan serba tak kena. Beliau sebenarnya telah pandai menggariskan di mana filem ini perlu serius dan di mana komedinya. Lakonan beliau amat bersahaja, seakan-akan Lang Buana memang akan ditimpa bahaya, tetapi tidak akan mengalah sebelum membuat 'lawak' terakhir. Karakter paling pelik pula lakonan Shmasul Ghau Ghau sebagai orang kaya yang zalim. Pemakaian ala Elvis Priestlynya amat 'cult' kerana kepelikan itu yang mengenakan 'the king' dengan 'mengikut budaya kebaratan' dengan 'I'm an idol, you must love me' - amat mencuit juga dalam ertinya. Lakonan yang paling aku menyampah pula ialah Sue Tan, watak awek pada Apek (hahah, what a coincidence). Dia semacam 'menyampah' di samping Apek, takde chemistry langsung, walaupun wataknya ada kepentingan dan amat menarik kalau dikembangkan lagi. Yang lagi aku geram ialah, pelakon-pelakon pak pacak dalam filem ini lebih-lebih lagi waktu Lang Buana kena serang. Ada ke bebudak ni boleh SENYUM bila berperang?? Main pedang macam pondan?? Aku nak slash saje skrin panggung waktu tu. Beberapa scene perang dalam filem ini juga tidak dibentuk dengan baik (aku nampak biji durian tu jatuh dari catapult, ceh malu!)..Kalau nak dibandingkan dengan scene perang Bang Rajan, filem ni macam bebudak tepi pagar main aci chop. Tapi mungkin itu yang Mamat Khalid nak sampaikan, selorohnya yang main-main dalam mesej yang serius yang amat.
Jadi pengakhiran filem ini mempunyai mesej yang paling halus dan amat kena bila Datuk Merewang membuka rahsianya tentang mengapa beliau memilih tiga hamba sahaya itu sebagai 'pahlawan' yang diharap-harapkan (juga pada erti kenapa Sejarah Melayu perlu ada Raja Zulqarnain, Merong Mahawangsa kapitan berketurunan Roman, Hang Tuah dengan Tamingsarinya). Ciri Lagenda dicipta, untuk membentuk semangat dan jati diri dan berbangga dengan diri kita sebagai orang Malaysia, maka ia hanyalah 'tercipta' kerana kita percaya dengan propaganda itu, maka bila kita percaya, kita beriman untuknya dan berpegang taat padanya, maka ia membentuk satu jalur yang penting untuk kita jaga, turun temurun. Maka ia meresap ke dalam budaya. Maka sosio-budaya dalam filem ini berbilang kaum, maka berbilang kaum itu dijadikan satu semangat baru sebagai kesatuan menentang anasir luar. (sedihnya, filem ini masih majoritinya ditonton oleh Orang Melayu walaupun ia mempunyai subtitle Inggeris yang baik tapi hilang lawaknya kerana diterjemahkan) Sepatutnya filem ini ditayangkan pada 31 Ogos, dan bukan pada hari raya. Tapi setentunya Lang Buana adalah antara filem 'mainstream' Melayu paling baik (selain Paloh) tahun ini.
Minggu lepas adalah minggu yang agak sibuk dengan adanya persembahan empat buah monolog yang telah diadakan di Stor Teater. Inilah kali pertama Stor Teater digunakan untuk persembahan drama. Projek Suitcase 2003, dianjurkan oleh Pustaka Cipta yang mempersembahkan sebuah pesta monolog oleh Teater Ekamatra. Dalam Projek Suitcase 2003, karya-karya oleh penulis-penulis drama yang dianggap tersohor di kalangan generasi muda dari Malaysia dan Singapura seperti Faisal Tehrani, Nam Ron, Alfian Sa'at dan Aidli 'Alin' Mosbit dipersembahkan dalam bentuk monolog.
Matderihkolaperlih, sebuah karya yang telah dilakonkan, ditulis dan diarahkan oleh Nam Ron adalah sebuah monolog yang benar-benar berjaya mencuit hati penonton. Saya dapat melihat ramai penonton ketawa berdekah-dekah tatkala Nam Ron melakonkan monolognya. Dengan kaedah 'Brechtian' yang diguna pakai oleh Nam Ron, penonton cepat merasa selesa dengan lakonannya yang penuh bersahaja. Penonton terus berinteraksi dengan Nam Ron tanpa segan silu.
Bagi saya, lakonan Nam Ron sememangnya bagus, walaupun tatkala saya menemuinya di pratonton Projek Suitcase 2003, beliau memberitahu kepada saya bahawa beliau baru sahaja bergiat dalam dunia lakonan. Walaupun masih baru dalam bidang lakonan, nampaknya Nam Ron jelas berbakat dalam bidang ini.
Skrip yang telah dilakarkan oleh Nam Ron adalah antara skrip yang terbaik untuk persembahan teater Melayu tahun ini (jika bukan yang terbaik). Yang bagus mengenai skrip ini adalah ia senang difahami dan menggunakan bahasa penuh selamba. Matderihkolaperlih telah dilakarkan dengan elemen penceritaan yang mempunyai nilai naratif visual yang tinggi, sehingga saya berfikir bahawa Nam Ron patut membuat sebuah filem yang diadaptasikan dari ceritanya ini. Untuk Nam Ron, nasihat saya; usah dengar cakap orang lain yang mengatakan bahawa naskhah teaternya (seperti Gedebe) tidak patut dan tidak sesuai untuk difilemkan. Beliau telah membuktikan melalui Gedebe bahawa beliau tahu perbezaan medium filem dan teater, dan saya rasa beliau boleh berjaya dalam kedua-duanya sekali seperti Sam Mendez, Shuji Terayama, Ingar Bergman dan Julie Taymor.
Bagi saya, Nam Ron cukup berjaya dalam persembahannya kali ini. Ramai yang pergi ke persembahan Projek Suitcase agaknya kerana mahu pergi menonton persembahannya, dan saya pasti mereka tidak kecewa.
Persembahan Monsopiad & Lain-lain Cerita Karya Faisal Tehrani telah diarahkan oleh Rosdeen Suboh dan dilakonkan oleh Mohd Kamaludin Mohd Daud. Karya ini bagi saya bukan sebuah persembahan teater yang baik, walaupun lakonan oleh Mohd Kamaludin sememangnya memuaskan dan arahan Rosdeen Suboh boleh dikatakan kreatif kerana beliau telah pun mencuba sedaya mungkin untuk menginterpretasikan satu naskhah yang kucar-kacir strukturnya. Kelemahan Monsopiad & Lain-lain Cerita terletak pada struktur ceritanya itu sendiri, ditambah lagi dengan kesukaran penonton untuk memahami jalan cerita yang ada dengan sari kata yang telah ditapis DBKL - akhirnya, penonton seperti saya tidak tahu apa yang mahu diberitahu oleh Faisal melalui karyanya kali ini.
Monsopiad & Lain-lain Cerita adalah sebuah karya yang kabur (cukup kabur sehingga rakan penonton di sebelah saya tertidur buat beberapa ketika). Dalam kekaburan ini, terus menerus saya melupakan cerita yang ingin disampaikan, lantas menumpukan perhatian saya sepenuh-penuhnya kepada lakonan (dan tarian) Mohd Kamaludin yang menarik.
Sayang sekali lakonan Mohd Kamaludin yang unik serta arahan Rosdeen yang baik masih tidak dapat menyelamatkan sebuah monolog yang sudah lemah dari tahap teksnya lagi. Saya menganggap Monsopiad & Lain-lain Cerita sebagai monolog yang paling lemah di antara keempat-empat monolog yang dipersembahkan dalam siri Projek Suitcase 2003. Idea di sebalik Monsopiad agak besar, tetapi sukar difahami melalui cara ia dipersembahkan. Mungkin Faisal cuba memasukkan elemen satira politik dalam Monsopiad (melalui kes pengeboman di Bali yang telah diselitkan sama) tetapi sayangnya perkara ini tidak dapat ditangkap oleh kebanyakan penonton (saya sendiri telah diwar-warkan tentang aspek ini oleh seorang penonton yang lain, yang menurutnya Monsopiad adalah seorang pahlawan Dusun yang melawan kejahatan dan pengeboman di Bali dikatakan juga telah dilakukan untuk melawan kejahatan(?). Jika tidak diberitahu tentang perkara ini, saya sendiri tidak perasan).
Mungkin pada lain masa, diharapkan Faisal akan membuat sebuah karya yang senang difahami penonton, agar penonton senang mendekati karyanya. Faisal juga harus menulis sebuah cerita yang benar-benar beliau faham, yang wujud dalam lingkaran kehidupannya dan yang terjangkau olehnya.
Persembahan dari Malaysia berjaya menunjukkan kepelbagaian yang ada dalam negara kita ini. Maksud saya, kepelbagaian dari segi loghat bahasa dan budaya yang wujud dalam dunia Melayu itu sendiri. Untuk projek-projek pada lain masa, saya harap, akan ada pula karya-karya persembahan dari naskhah penulis bukan Melayu yang berkarya dalam bahasa Melayu (baca: Bahasa Malaysia).
La Libre Latifa (Latifa yang Bebas) merupakan sebuah karya Aidli 'Alin" Mosbit yang menceritakan tentang Latifa, seorang wanita India Peranakan yang ingin berkahwin dengan seorang lelaki dari India dan mendapat tentangan dari keluarganya. Bagi saya, persembahan La Libre Latifa ini juga agak baik dan bertenaga. Saya cukup terhibur dengan persembahan Alin kali ini. Lagipun, lakonan Molizah Mohd Mohter memang "superb", lantas beliau dengan sendirinya dapat membawa karya Alin dengan baik, malah dapat menghidupkan kesemua watak-watak yang diambilnya dengan cemerlang.
La Libre Latifa banyak menggunakan teknik multimedia di dalamnya. Seni video oleh Mohamad Sanif Olek - beliau telah mempersembahkan sebuah karya seni video yang sebenarnya boleh berdiri dengan sendiri.
Apa yang menarik dengan La Libre Latifa adalah struktur penceritaan yang 'non-linear'. Satu kaedah yang suka digunakan oleh Alin (semak semula ... Dan Tiga Dara Terbang Ke Bulan). Alin pandai menggunakan struktur ini untuk bercerita, lantas mengupas kisah kehidupan seorang wanita bernama Latifa yang mahu mencari kebahagiaannya sendiri. Saya cukup-cukup terhibur menyaksikan persembahan La Libre Latifa. Dan dengan tidak segan silu ingin saya nyatakan di sini bahawa perasaan saya terasa sedikit tersentuh pada bahagian akhir monolog ini. Kekuatan monolog ini saya rasa letaknya pada skrip Alin. Jika diberi masa yang lebih lama untuk memperkukuhkan lagi arahan monolog ini, saya yakin La Libre Latifa akan menjadi sebuah persembahan drama yang lebih baik lagi. Sekalung tahniah kepada Alin dan kepada Molizah kerana berjaya membuat sebuah karya yang berjaya.
Minah & Monyet adalah sebuah karya terbaru dari Alfian Bin Sa'at. Sememangnya saya adalah peminat nombor satu karya-karya Alfian, tetapi saya agak kecewa sedikit dengan karyanya ini. Bukan kerana ia adalah sebuah karya yang gagal, tetapi kerana saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik darinya.
Minah & Monyet telah dipersembahkan oleh Elnie Shumastri yang hanya diberi masa selama tiga hari untuk menghafal dialognya - kerana pelakon yang sepatutnya melakonkan monolog ini, Farah Ong, kecederaan pada bahagian kakinya. Elnie beberapa kali gugup tatkala berlakon, tetapi saya masih kagum dengan kebolehannya melakonkan wataknya walaupun diberikan masa begitu singkat untuk menyediakan dirinya.
Kelemahan Minah & Monyet terletak bukan pada lakonan ataupun arahannya, tetapi kepada kemahuan Alfian untuk memasukkan segala-gala cerita dalam sebuah persembahan monolog yang agak pendek. Alfian telah melakukan perkara yang sama untuk Causeway, tetapi Causeway adalah sebuah persembahan teater yang lebih berjaya, kerana ia telah dipersembahkan oleh beberapa orang pelakon dalam satu jangka masa penuh untuk sebuah persembahan teater. Perhatikan bagaimana siri cereka filem-filem pendek Koridor (yang ada ditayangkan di saluran Suria di Singapura) yang telah dikomisi kepadanya. Saya menganggap Koridor adalah di antara cereka siri drama Melayu dari Singapura yang paling cantik dan bermutu yang pernah saya tonton - bukan hanya kerana nilai produksinya yang tinggi, tetapi kerana cerita-cerita yang ada di dalamnya yang jujur, ringkas, tetapi padat.
Kedua-dua persembahan dari Singapura ini sememangnya berjiwa Singapura. Bahasa yang digunakan dicampuradukkan, tipikal bahasa Melayu rojak Singapura yang ada serpihan-serpihan ayat Inggeris, dialek Cina dan Melayu (terutamanya dalam La Libre Latifa). Menurut Rohaizad Suadi seorang pensyarah teater kelahiran Singapura - beliau merasakan apa yang diluahkan dari mulut Latifa agak kaku kedengarannya dibandingkan dengan bahasa Melayu loghat utara yang digunakan Derih yang agak 'earthy'. Saya menyatakan bahawa perkara ini mungkin dirasakan oleh beliau kerana penggunaan Bahasa Melayu di Singapura sebagai Bahasa Kedua. Dan inilah hakikatnya, jadi kita tidak boleh menolaknya ke tepi begitu sahaja. Di dalam persembahan Projek Suitcase inilah kita dapat melihat kepelbagaian identiti bahasa dan budaya yang ada di dalam rumpun Melayu kita.
Saya cukup seronok menonton persembahan Projek Suitcase 2003 ini di Stor Teater DBP. Keadaan Stor Teater yang kecil membolehkan penonton merasa lebih dekat kepada persembahan yang ada. Mungkin kerana ini jugalah, kaedah 'Brechtian' ('Epic theatre' - perhatikan penggunaan suara luar, montaj filem dan projeksi kata-kata di atas layar pentas) digunakan oleh keempat-empat persembahan. Seboleh-bolehnya, para pelakon juga mahu berinteraksi kepada penonton dan memecahkan ilusi realiti di atas pentas melalui monolog mereka (kaedah 'alienation effect' sering digunakan oleh para pelakon untuk mengingatkan penonton bahawa mereka hanyalah pelakon yang sedang melakonkan watak-watak yang diberikan kepada mereka).
Rata-ratanya, teknik pencahayaan agak memuaskan, terutamanya untuk persembahan matderihkolaperlih dan La Libre Latifa. Pentas yang agak kecil di Stor Teater tidak begitu membenarkan penataan cahaya yang terlalu teknikal. Tetapi cukup memadai untuk persembahan-persembahan yang tidak terlalu bergantung pada susunan set serta props yang kompleks.
Projeksi sari kata juga teratur dan senang dibaca. Perkara ini sedikit sebanyak menambahkan pemahaman penonton terhadap monolog-monolog yang dipersembahkan dan saya pasti menjadi di antara penyebab mengapa Projek Suitcase 2003 berjaya menarik penonton dari pelbagai lapisan masyarakat serta bangsa. Yang lebih menarik, saya dapat melihat bahawa terdapat ramai juga khalayak penonton teater Inggeris yang datang menyaksikan Projek Suitcase 2003 ini - satu pencapaian yang boleh dianggap membanggakan.
Menurut Pengarah Artistik Teater Ekamatra, Noor Effendy Ibrahim, pada tahun hadapan beliau mahu bekerjasama dengan penulis-penulis dari Indonesia untuk Projek Suitcase yang selanjutnya. Maka bertepatanlah dengan tujuan asas Projek Suitcase ini untuk 'meraikan dan menuntut semula kepelbagaian ke-Melayuan'. Perkara ini saya dialu-alukan oleh saya dan saya berharap, Projek Suitcase akan dapat dipersembahkan di Malaysia sebagai sebuah acara tahunan!
Rating: matderihkolaperlih: A La Libre Latifa (Latifa yang Bebas): B+ Minah & Monyet: B- Monsopiad & Lain-Lain Cerita: C
Ulasan Looney Tunes: Back In Action oleh Fairul Nizam Ablah
Bugs Bunny & rakan-rakan Looney Tunes-nya adalah nama yang cukup sinonim dengan saya. Masakan tidak, saya membesar dengan menonton gelagat mereka di kaca televisyen. Ayat "What's Up Doc?" disertai gaya Bugs Bunny mengunyah lobak masih melekat di kotak ingatan saya walaupun sudah berbelas tahun lamanya. Kali terakhir menonton mereka di layar perak adalah ketika menonton Space Jam (1996) dan selepas itu, pertemuan dengan mereka hanyalah di televisyen saja (itupun amat jarang). Kini, mereka muncul sekali lagi, dengan filem Looney Tunes: Back In Action.
Plot filem ini amat mudah. Ia mengisahkan DJ yang cuba menyelamatkan bapanya, Damian Drake dari tawanan Mr. Chairman yang ingin menakluki dunia. Pengembaraannya disertai Daffy Duck yang dipecat dari Warner Bros. kerana beliau tidak berpuas hati terhadap Bugs Bunny. Mereka kemudian disertai oleh Kate & Bugs Bunny yang ingin memujuk Daffy agar kembali menjadi pelakon semula. Pengembaraan itu membawa mereka ke menjelajah Las Vegas, Area 52 (ini adalah spoof kepada Area 51, tempat penyelidikan rahsia tentera Amerika) & Afrika semata-mata untuk mencari seketul batu yang bergelar Blue Monkey dan menyelamatkan dunia.
Jadi, anda pasti tertanya-tanya di manakah sebenarnya daya tarikan filem ini? Jika kesan khasnya dikatakan sebagai daya penarik, tentulah tak masuk akal kerana kita dah terlalu banyak disogokkan dengan filem-filem yang jauh lebih hebat. Jawapannya terletak pada karakter-karakter Looney Tunes itu sendiri. Anda boleh lihat Yosemite Sam, Sylvester, Tweety (I tawt I taw a puddy tat... I did! I did!) & Granny, Wile E. Coyote & Road Runner, Martian, Pepé Le Pew (memerang jiwang), Tasmanian Devil dan banyak lagi. Walaupun kemunculan mereka hanya sebentar ditambah dengan lawak tipikal yang mana karakter jahat akan menjadi mangsa, namun itu yang membuat hati anda tercuit untuk ketawa.
Selain dari kameo oleh karakter kartun, filem ini juga menampilkan Matthew Lillard, Goldberg (pengusti terkenal), Jeff Gordon (pelumba Nascar) & raksasa-raksasa dari filem 50-an seperti Metaluna Mutant (This Island Earth, 1954) & Robby The Robot (Forbidden Planet - saya telah membuat kajian tentang filem ini ketika menulis artikel untuk majalah saya).
Pujian saya berikan pada Joe Dante, pengarah filem ini kerana berjaya menggabungkan para pelakon dan kartun 2D dengan jayanya. Setiap gerak dan aksi para pelakon nampak sinkronisasinya (harus diingat ini adalah kombinasi pelakon manusia dan kartun). Lakonan dari Brendan Fraser, Jenna Elfman, Steve Martin serta para pelakon lain tidak mengecewakan. Mereka berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan ekspresi muka yang meyakinkan (kerana mereka berlakon bersama kartun yang tidak wujud ketika pengambaran dilakukan).
Keseluruhannya, filem ini menghiburkan untuk segenap usia. Untuk yang dewasa, jika anda ingin menonton filem yang santai yang menghiburkan disamping melegakan tekanan atau penat bekerja, saya rasa inilah filemnya. Ia pasti akan mengundang memori betapa anda sebenarnya adalah peminat mereka suatu masa dulu dan apalah salahnya untuk kembali menonton mereka...
Rating: 2.75/5
*terima kasih kepada IMDB & laman web rasmi Looney Tunes yang membantu penulis ketika artikel ini ditulis.
Setelah mendapat beberapa cadangan dan permintaan dari ramai pihak termasuk mentor saya-Nizam Zakaria maka di bawah ini adalah review saya secara peribadi mengenai album SARAH RAISUDDIN-MIMPI PUN SAMA. Secara jujurnya harus saya tekankan di sini bahawa saya bukanlah peminat beliau, tetapi saya akan cuba berlaku adil dalam memberi ulasan terhadap album barunya itu yang baru saja diedarkan.
Album beliau kali ini masih mengekalkan penerbit yang sama, seperti Aidit Alfian, Ajai, Along Exist, Eddie Hashim, Helen Yap, Neves Pretty Ugly, dan beberapa orang penerbit baru seperti Azlan Abu Hassan, Azmeer, dan Sharon Paul.
Terus ke track pertama-Ke Sisi Mu (G-nola/Tessh RS) adalah lagu moderate yang mempunyai sedikit elemen elektronika. Saya akui, lagu ini memang cepat menangkap, dan saya rasa lagu ini ada berbaur lagu Celine Dion - One Heart dari segi muziknya. Namun vokal Sarah kurang menyerlah, dan tidak dinamik, dan kedengaran dia seperti meneran pada satu bahagian yang bernada tinggi.
Track kedua adalah hasil buah tangan Azlan Abu Hassan yang pertama untuk Sarah (lirik oleh Azalea). Lagu Dikaulah Ratu ini mengisahkan tentang kerinduan seorang anak kepada ibunya yang telah tiada. Lirik lagu dan muziknya bergerak selari dan lembut, dan Sarah banyak bermain lenggok suara. Improvise beliau di akhir lagu menjadi, walaupun suaranya tidak ke tahap yang paling octave. Lagu ini memang tipikal Azlan kerana trademark nafas penyanyi yang selalu kedengaran dalam lagunya, malahan lagu ini dihasilkan melalui approach yang sama dengan lagu Menyemai Cinta Bersamamu ciptaan beliau untuk Nora.
Saat Hilang Cintamu-lagu yang selalu diputarkan di radio kini adalah ciptaan Ajai, lirik oleh Musrad-sebagai kesinambungan untuk lagu Kesetiaan. Ia mengisahkan tentang seorang kekasih yang menasihati bekas kekasihnya, yang telah ditinggalkan oleh orang tersayang. Saya tidak berpuas hati dengan lagu ini kerana tipikal Ajai (saya rasa kini Ajai banyak menghasilkan lagu yang kurang menyengat, mungkin disebabkan permintaan yang tinggi terhadap lagunya yang menyebabkan kualiti berkurang). Suara Sarah tidak dibiarkan supaya keluar all out, dan tampak seperti dikawal dan ditahan-tahan. Liriknya juga kedengaran stereotaip atau seperti prosa di bahagian tertentu seperti "Tetapi terpaksa ku buat sejak kau tiada" yang sudah pastinya lebih baik jika ada sedikit bunga bahasa di situ.Tetapi rangkap penutupnya agak menarik, "Semua ini telah kuharungi/ Kepahitan rasa bukan untuk selamanya/ Kesabaraban menguatkan jiwaku/ Demi enyambung hidup ke akhir waktu."
Jangan Kau Mimpi (Neeves Pretty Ugly) bermula dengan "Auu! Auuu! Auu!" mulanya saya fikir, "Hmm..macam Too Phat lah pulak - Ya Aa Au!!) lagu ini seperti mahu meniru funky lagu Ezlynn -Hi Hi Bye Bye walaupun muzik kedua-dua lagu ini jauh berbeza. Lagu ini kedengaran agak janggal. Ditambah pula liriknya yang agak lucu, " Diriku kau cinta diriku kau puja/Kerat gambarku di majalah/Peraga bajuku kau tiru gayaku/Itu tak bermakna diriku kau punya!/
Selami Perasaanku menyaksikan Ajai bergabung dengan Slen.Lagu ini memikat hati saya sebaik saja bermulanya korusnya yang baik, dan saya rasa inilah antara lagu yang terbaik di dalam album Sarah kali ini. Suara Sarah memang "lepas" dalam lagu ini - tidak ada yang control ataupun ditahan. Tapi setelah diamati, ketika verse pertama dinyanyikan, ia adalah mirip lagu Klon - Cinta dan Airmata. Cuba dengar betul-betul, dan anda akan dapati perkara yang sama.
Lagi Lagu Cinta (read:lagi lagi lagu cinta!) berada di track ketujuh.Lagu ini kedengaran groovy dan elektronika, ditambah pula dengan vokal yang kedengaran "garang" dan lari dari lenggok kebiasaannya. Komposernya - Eddie Hashim turut menyelitkan sedikit elemen rap .
Helen Yap dan Loloq memberikan lagu mereka Mimpi Pun Sama kepada Sarah, yang saya kira lagu terbaik dalam album ini. Petikan piano oleh MaC Chew sangat superb dan menghidupkan elemen classic jazz. Vokal beliau dimanipulasikan dengan cemerlang sehingga ke tahap yang paling octave (ya, baru kali ini kita boleh dengar Sarah menjerit!). Saya boleh bayangkan beliau membawakan lagu ini dengan gaya dan nada yang seksi, kerana bukan senang untuk membawakan lagu ini. Sayangnya, ia lagu terpendek - cuma 2.33 minit!
Lagu-lagu lain (kesemuanya balada) seperti Kenangi diriku (Sharon Paul/Mable), Izin Darinya(Azmeer/Musrad) dan Tinggalkan Diriku (Aidit Alfian) kedengaran biasa-biasa sahaja, cuma susunan muzik yang cantik dapat dilihat dalam lagu-lagu ini, seperti dalam Tinggalkan Diriku yang banyak menggunakan strings dan digubah dalam bentuk orkestra.
Untuk kulit albumnya kali ini, beliau menggunakan inlay yang didominasi oleh warna merah, walaupun terdapat warna terang lain seperti biru dan hijau. Fesyen yang ditonjolkan kali ini oleh Sarah kelihatan begitu Stylo dan gayanya kelihatan segar - terima kasih kepada jurumekap Saidatulnisa, busana oleh Guess, rambut oleh Urban Vipes dan foto oleh Matt Fobos.Tetapi saya kurang bersetuju kerana ada sekeping gambar yang kelihatan Sarah ingin meniru Macy Gray (sekiranya beli kaset anda tak dapat tengok gambbar tersebut) tetapi kalau hendak tengok juga sila ke laman web Sultan Muzaffar. Di sana anda juga boleh dengar sendiri dua lagu-Mimpi Pun Sama dan Saat Hilang Cintamu. Di samping itu ada juga minor typing errors yang tidak sepatutnya berlaku (maaf, saya particular dalam hal ini!). Tema cinta masih menguasai keseluruhan album seperti kebiasaan - tidak ada perubahan dalam hal ini.Lagu yang bersifat moderate/rancak lebih menonjol berbanding lagu-lagu balada.
Secara keseluruhannya album ini, bagi saya adalah agak baik.Mungkin expectation saya terlalu tinggi terhadap beliau.Vokal beliau masih seperti "disimpan-simpan" dan tidak dilontarkan sepenuhnya, dan tidak ada ada lagi suara "iras-iras Nora".Anda perlu dengar ulang-ulang untuk mendapatkan feelnya. Kadangkala sebutan beliau/phrasing tidak jitu-sukar untuk mendengar lirik yang disampaikan. Namun begitu saya percaya beliau boleh pergi jauh, dengan syarat membaiki beberapa kelemahan yang ada di dalam album ini.Sukar sekali untuk saya mengatakan bahawa album ini adalah buah tangan yang terbaik untuk kita semua, tetapi lagu Mimpi Pun Sama membuatkan saya tidak jemu-jemu untuk memutarkannya berulang kali.
P/S: Di atas tadi adalah review peribadi.Pendapat saya mungkin tidak sama dengan orang lain, yang maybe mempunyai pendapat yang lebih bernas. Sila hantar komen kepada saya (nazia_naz8888@yahoo.com.saya menanti komen anda semua, kerana saya budak yang baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.Bunyinya memang klise habis tapi itulah gambaran yang tepat.
I couldn't believe that I could stay up the night of a weekday for a one hour and 59 minutes until 2 am in the morning to watch a documentary on guns, moral, and socio-economic maladies in the United States.
Nevertheless, the brilliance of Michael Moore in his Bowling for Columbine that grabbed the Academy Awards for a documentary feature is a very honest insight and analysis to all the problems crippling the social values in the America.
Moore explored the two events that set the main theme of this entire production, the Columbine school shooting and the 6th grader killing by another 6th grade kid.
The American historical background against other countries, the interviews with the victims and suspects (of Oklahoma bombing, Waco, Columbine, Littleton, etc), the case against the National Rifle Association (NRA), the byproducts of those events, the counter and balance argument against why did those things had to happen, the new reality in the changing economic landscape and welfare program, and the petition against Kmart selling of shotguns and ammunition probably best describes this entire documentary.
Thus, for me watching this documentary is like going through a social analysis and its historical backdrop of America. Little did I know that:
1. Columbine was located near the Lockheed Martin weapon plants,
2. South Park was actually a derivate of the Columbine 'massacre',
3. America dropped more bombs and killed more people in the Kosovo war more than any other days during the battle on the same day of the Columbine killing, that President Clinton, went out on national television twice that day,
4. Reform in welfare program has taken a dimension that it dehumanize the goal of its program,
5. The students who were shooting at the Columbine high school were at the bowling alley the morning of the tragic event,
6. Charleston Heston dared to rally alongside the NRA in both towns just after events took place,
7. Mairlyn Manson was the main blame for he was the idols to those kids who did the shooting
8. Most importantly, if one is to answer why those events unfold in America, there couldn't be any single answer to it. Moore attacks all his interviewee reasoning by logical arguments that you couldn't deny. At least, Charleston Heston in the final interview of the documentary failed to argue with Moore points.
If you are (or were) or somewhat took a course or two or majored in political science or economics, this is a good source of ‘edutainment’. Or perhaps if you would want to understand the history of America, there's a good cartoon slot in this documentary that satirically done it well.
In all, I think the purchase of this DVD worth every single cent of it for it has given me a lesson to look into things from different angles. Kudos, Moore!
Tajuk anime : FullMetal Alchemist (Hagaren No Renkinjujitsu) Genre : Shonen, Drama. Jumlah episode : 52 Episode ditayangkan setakat ini : 8
Untuk mendapatkan sesuatu, pertama sekali anda perlu mengorbankan sesuatu. Itulah prinsip asas alkimia. Inilah kenyataan yang diajar kepada kami sewaktu kami kecil. Dan sejak itu, kami berpegang kepada kata-kata ini.
Inilah frasa yang menjadi pembuka tirai setiap kali anda menonton episod siri anime FullMetal Alchemist. Diadaptasi daripada manga yang mempunyai nama yang sama, FullMetal Alchemist sudah memasuki episode ke 8 yang telah ditayangkan di televisyen Jepun.
Sebelum saya meneruskan penulisan artikel ini, saya rasa ada baiknya saya menerangkan serba sedikit mengenai alkimia, satu bidang ilmu pengetahuan yang menjadi tema untuk siri anime ini. Alkimia adalah satu cabang sains yang dianggap misteri, berupaya untuk menjalankan proses transmutasi untuk menukarkan sesuatu bahan kepada bahan yang lain. Jika kita lihat dalam lipatan sejarah ketamadunan manusia, dapat kita lihat percubaan manusia umat-umat terdahulu cuba menukarkan besi kepada emas. Golongan ini dikenali dengan nama "Ahli Alkimia". Namun begitu, tiada percubaan transmutasi yang berjaya telah direkodkan pada masa silam untuk tatapan generasi hari ini.
Berbalik kita kepada anime FullMetal Alchemist. Anime ini tertumpu kepada dua orang adik-beradik bersaudara sebagai watak utama; Edward dan Alphonse Elric. Ketika mereka masih kanak-kanak, ibu mereka telah jatuh sakit kerana kehilangan suaminya di medan peperangan. Berbagai usaha yang dilakukan untuk menyembuhkan ibu mereka tetapi tidak berhasil. Akhirnya, ibu mereka menghembuskan nafas yang terakhir diiringi oleh linangan air mata kedua-dua anaknya. Tidak dapat menerima kenyataan bahawa ibu mereka sudah tiada, kedua-dua adik beradik Elric kemudiannya mempelajari ilmu alkimia. Tujuan mereka - menghidupkan kembali ibu mereka yang telah meninggal dunia.
Dalam kehidupan ini, ada perkara yang dilarang kepada manusia daripada cuba melakukannya. Transmutasi manusia menggunakan alkimia adalah salah satu daripada perkara tersebut. Ketika adik-beradik Elric cuba melakukan tranmutasi untuk mengembalikan ibu mereka, mereka termakan sumpahan alkimia. Saudara yang tua, Edward kehilangan sepasang tangan dan kaki manakala adiknya, Alphonse menerima nasib yang lebih buruk. Dia kehilangan keseluruhan tubuh badannya. Namun tindakan pantas abangnya berjaya 'melekapkan' roh Alphonse ke dalam sebuah perisai manusia sekaligus menyelamatkannya daripada menemui ajal lebih awal. Sejak hari itu, mereka berdua cuba mencari jalan bagaimana mereka boleh mengembalikan tubuh badan mereka kepada normal.
Baiklah. Biarlah saya tinggalkan sinopsis cerita dan kita teruskan kepada aspek perbincangan pertama kita - jalan cerita. Berdasarkan 8 episod pertama yang saya tonton, saya berpuas hati tentang flow jalan ceritanya setakat ini. Pembinaan wataknya baik, terutama sekali 2 watak yang menjadi fokus utama siri ini, Edward dan Alphonse Elric. Kebanyakan siri anime lain dipenuhi oleh babak fillers (pengisi) yang tidak memberi sumbangan kepada pembinaan watak. Ini tidak berlaku (setakat ini) dalam FullMetal Alchemist. Episod 3,4,6 dan 8 dikira sebagai episod fillers kerana tidak terdapat dalam versi komiknya, namun begitu ianya berbaloi untuk diketengahkan kerana ia melengkapkan pengetahuan kita tentang zaman silam adik beradik Elric. Feel jalan ceritanya juga berbeza daripada versi komik. Dalam versi komik, Feel yang diketengahkan adalah "Lighthearted & Easy" diselangseli dengan lawak slapstik ala Jepun. Siri anime FullMetal Alchemist boleh dikatakan mempunyai tema "berat dan gelap". Kebanyakan babak dalam FullMetal Alchemist terkesan dengan narratif ini.
Ada sesuatu "kehilangan" yang dapat saya rasakan menyebabkan saya tidak dapat menghayati watak-watak dalam siri anime ini dengan lebih mendalam. Setakat ini, saya hanya menghayati characterization siri ini pada surface levelsahaja (Tetapi episod-episod yang baru berlalu menunjukkan charaterization yang lebih baik daripada episod-episod awal). Mungkin ini akan berubah apabila saya menonton episod-episod seterusnya nanti. Dengan berkata begini, ini tidak bermaksud characterization di dalam siri FullMetal Alchemist ini teruk. Jauh daripada itu. Edward dan Alphonse merupakan pendukung watak utama yang baik. Characterization watak-watak pembantu juga baik walaupun tidak mendapat banyak tempat di dalam spotlight. Namun begitu, seperti yang saya katakan tadi, ada sesuatu "kehilangan" yang tidak dapat melengkapkan "pengalaman menonton". Justeru itu, appeal siri ini dan impak watak kepada penonton tidaklah seperti yang diharapkan. Mungkinkah kerana saya terlalu memuja siri anime Scrapped Princess dan menganggap characterization siri itu sebagai suatu benchmark?
Bercakap tentang animasi pula, FullMetal Alchemist banyak mengkorporatkan babak-babak suram dan gelap. Kualiti animasi menepati standard animasi Jepun hari ini. Cuma pada beberapa babak di awal siri, animasinya kelihatan agak choppy. Namun ini hanya komplen yang minor. Setelah beberapa episod, animasinya mengekalkan kualitinya pada satu tahap yang konsisten. Satu sahaja yang saya kurang puas hati - efek khas 'kilat'nya. Seolah-olah pereka animasi hanya menggunakan Filter perisian membuat filem untuk membuat efek tersebut.
Satu perkataan yang boleh saya simpulkan mengenai soundtrack FullMetal Alchemist. Superb . Setiap musical piece bersesuaian dengan babak yang diputarkan. Musical piece yang menjadi kegemaran saya adalah muzik Rusia yang dimainkan ketika episod 2 mencapai klimaksnya. Lagu pembukaan dan lagu akhir juga amat ber'sinergi' dan menjadi siulan saya pada ketika ini. Tidak ada sebarang komplen daripada saya untuk soundtrack siri ini. Bagus sokmo.
Saya rasa, saya telah round-up hampir semua elemen penting yang merangka siri FullMetal Alchemist ini. Walaupun ada kekurangan dalam siri ini, ia tidak mencacatkan overall experience anda. Kepada anda yang mempunyai capaiam Internet jalur lebar, saya sarankan anda mengikuti siri FullMetal Alchemist ini yang boleh dimuat-turun di laman-laman web Fansubs terkemuka. FullMetal Alchemist bukanlah satu siri anime yang terbaik, tetapi ia memang menyeronokkan dan banyak pengajaran subtle yang anda boleh dapati disebaliknya.
PRISM merupakan sebuah hasil kerjasama yang telah dikomisi di dalam siri projek kolaborasi di antara ASEAN dan Jepun. Beberapa kompeni teater dari Jepun dan ASEAN.
PRISM menceritakan tentang perjalanan hidup Aman, seorang pegawai pembangunan kota yang kerjanya adalah untuk membangunkan sebuah kawasan penuh bersejarah. Konflik dalam persembahan ini bermula apabila Aman diberikan tugas untuk menjelaskan kepada penduduk-penduduk "The Surrounding City" tentang projek pembangunan yang akan dilakukan di dalam kawasan mereka.
Para pelakon PRISM terdiri dari Ryouichi Fukuzawa (Jepun), Ryuji Mori (Jepun), Tomoyuki Motomura (Jepun), Gani Karim (Singapura), Chia Sin Chiat (Singapura), Toh Yiling (Singapore), Ponthep Palkavong Na Ayudhaya (Thailand), Hirunsri Duangjai (Thailand), Raul Alfonso (Filipina), Maria Gallardo (Filipina), Farah Asikin (Malaysia), Teo Wee Ping (Malaysia), Naomi Srikandi(Indonesia) dan Jamaluddin Latif (Indonesia).
Para pelakon jelas melakonkan watak-watak yang diberikan kepada mereka dengan ikhlas. Ada juga berjaya berlakon dengan baik, seperti Ryouichi Fukuzawa dan Jamaluddin Latif.
Penggunaan props agak kreatif. Saya rasa antara yang paling menarik yang pernah saya tonton tahun ini. Tata cahaya juga baik. Yang paling saya rasa perlu dinyatakan di sini adalah koreografi oleh Boi Sakti yang amat-amat kreatif, juga muzik latar oleh Saidah Rostam yang menarik. Kadangkala, tatkala menonton PRISM, saya rasa seperti menonton anime Jepun dek jukstaposisi koreografi, muzik dan pakaian yang digunakan oleh para pelakon. Sememangnya, apa yang dipersembahkan jelas garda-hadapan. Tetapi mungkin terlalu kabur dan abstrak kepada sebilangan penonton.
Pengalaman menonton PRISM menyesakkan apabila penonton terpaksa memerhatikan sari kata yang sukar untuk dibaca yang telah dipancarkan di tepi pentas. Acap kali, kerja untuk membaca sari kata ini akan membuatkan penonton hilang tumpuan kepada persembahan, terutamanya apabila dipersembahkan nyanyian dan tarian yang menarik.
Apa yang tertulis di atas sari kata sendiri masih boleh dipersoalkan. Sebagai contoh, seorang putera India dikatakan telah menemui seekor Singa di Temasik lantas menamakan pulau tersebut Singapura. Agak hairan juga bagaimana kesilapan ini boleh berlaku. Bagaimana mereka boleh membuat silap sehingga tidak dapat membezakan putera Hindu dengan putera India. Setelah melihat kesilapan ini, saya pasti entah berapa banyak lagi kesilapan yang mereka lakukan akibat terlalu dangkal atau kerana kurang membaca.
Para pelakon secara konsisten melakonkan watak-watak dari negara asal mereka... Kecuali Gani Karim dari Singapura (yang mempunyai wajah iras Norman Bates dari filem Psycho) yang melakonkan watak Melayu Malaysia. Eh, mengapa beliau tidak melakonkan watak Melayu Singapura? Mengapa pula Singapura diwakili oleh pelakon yang bertutur dalam Bahasa Mandarin? Dalam adegan penuh 'carthatic' di mana watak-watak yang ada meluahkan tentang segala kepincangan tentang negara mereka sendiri, tiba-tiba Gani mengatakan itu dan ini tentang Malaysia... Lantas, beliau tampak seperti seorang warga Singapura mencerca tentang kepincangan Malaysia, dari seorang anak Malaysia yang seikhlasnya mengkritik negaranya sendiri. Perkara ini dapat saya rasakan kerana pelakon-pelakon lain secara konsisten melakonkan watak dari negara mereka sendiri kecuali beliau.
Persembahan PRISM rata-ratanya menarik, tetapi terlalu banyak kekacauannya. Persembahannya juga terlalu panjang. Ia seharusnya dipendekkan, kerana plot dan temanyanya bukanlah besar sangat. Persembahannya terlalu panjang dan kelihatan seperti segala-galanya ingin dimasukkan dan dipersembahkan tanpa kawalan. Jadi apa yang dipersembahkan adalah sesuatu yang sukar difahami malah menjadikan penonton kabur. Saya rasa kesilapan ini harus disalahkan kepada pihak pengarah serta penulis Goh Boon Teck yang hilang hala tujunya, juga kepada penulis asal Liza C. Magtoto yang telah mempersembahkan satu karya yang cukup keliru, "pretentious" dan superfisial.
Perlu dinyatakan di sini bahawa saya amat-amat meminati serta menghormati sutradara kelahiran Mesir, (dan kini menetap di Kanada) Atom Egoyan. Saya meminati filem-filem arahannya. Apabila saya terjumpa DVD cetak rompak arahannya yang bertajuk 'Ararat', saya terus membelinya tanpa banyak berfikir panjang.
Pada dasarnya, filem 'Ararat' ini ingin mengimbau kembali peristiwa pembunuhan beramai-ramai kaum Armenia Turki pada Perang Dunia Pertama (1915) dahulu. Dalam penceritaan, disertakan watak pelukis Arshile Gorky (Simon Abkarian), seorang pelukis Armenia yang pernah mengambil masa selama 10 tahun melukis sebuah potret dirinya bersama ibunya dari sekeping gambar yang telah diambil tidak lama sebelum meletusnya pembunuhan beramai-ramai tersebut. Kisah hidup pelukis ini dikaji oleh seorang sejarawan seni, Ani (Arsinée Khanjian - isteri kepada Egoyan). Ani mempunyai seorang anak bernama berusia 18 tahun bernama Rafi, (David Alpay) yang mengadakan hubungan sulit dengan adik tirinya Celia (Marie-Josée Croze).
Kemudian, kita akan diperkenalkan pula dengan watak David, (Christopher Plummer) seorang pegawai kastam yang mempunyai seorang anak bernama Philip, (Brent Carver) yang bekerja sebagai ahli keselamatan di sebuah Muzium seni yang ada menampilkan karya Gorky. Philip mempunyai kekasih lelaki bernama Ali, (Elias Koteas) yang diambil berlakon watak jahat berbangsa Turki dalam sebuah filem arahan seorang pengarah terkenal bernama Edward Saroyan; (Charles Aznavour) yang mengarahkan sebuah filem mengenai peristiwa berdarah yang menimpa kaum Armenia di Turki. filem diusahakan oleh Saroyan tentang kekejaman tentera Turki terhadap bangsa Armenia. Filem yang ini diadaptasikan dari biografi doktor Clarence Ussher (Bruce Greenwood).
Sememangnya filem ini berlapis-lapis. Dan seperti kebanyakan filem-filem arahan Egoyan, filem ini dibuat dengan sub-plot yang perlu dikupas dan dicernakan, lantas disatukan kembali di dalam kepala kita sendiri - jika tidak, filem arahannya akan nampak sedikit kacau. Tetapi kekacauan inilah yang membuatkan filem-filemnya istimewa. Saya sendiri cukup kagum dengan kekacauan yang ada dalam filem 'Exotica' dan juga dalam filem 'The Sweet Hereafter'. Walau bagaimanapun, kekacauan yang ada dalam filem 'Ararat' mungkin agak sukar diterima kerana ia melibatkan secebis kisah sejarah yang hampir-hampir dilupakan.
Filem ini menceritakan tentang konflik yang berlaku di antara watak-watak yang ada, yang saya fikir agak simbolik kepada konflik bangsa Armenia dan Turki. Ani mempunyai hubungan renggang dengan anak tirinya Celia yang berfikir bahawa Anilah yang telah menyebabkan kematian bapanya. David pula, tidak bersetuju dengan hubungan gay anaknya Phillip dengan Ali. Rafi pula, ketika pulang dari Turki, telah ditahan oleh David di pusat pemeriksaan kastam.
Filem ini jika di amati dari segi falsafah, kita akan dapat melihat bagaimana hal-hal mengenai 'kebenaran' dan bagaimana 'kebenaran' ini dapat dimanipulasikan. Dalam filem 'Ararat', Ali yang berlakon menjadi seorang pegawai tentera Turki yang kejam, mempersoalkan tentang sejauh mana kebenaran tentang pembunuhan beramai-ramai kaum Armenia di Turki. Pada hakikatnya, Kerajaan Turki sehingga hari ini masih menolak kenyataan bahawa kejadian pembunuhan beramai-ramai bangsa Armenia berlaku.
Watak-watak dalam filem ini mempunyai pendapat yang berbagai-bagai, maka kita sebagai penonton juga akan dibawa berfikir tentang kepelbagaian pendapat yang ada. Dalam satu adegan, David bertanyakan kepada Rafi jika dia benar-benar percaya apa yang telah berlaku kepada kaum Armenia itu benar. Rafi berkata, "ya" walaupun sukar baginya membuktikan kesahihan peristiwa ini yang hanya wujud melalui kisah-kisah yang diceritakan oleh mereka yang pernah melaluinya.
Muzik latar dalam filem ni dicipta oleh Mychael Danna (kolaborasi kesembilan beliau dengan Egoyan) memang cemerlang. Lakonan para pelakon (Egoyan sering menggunakan pelakon-pelakon yang sama untuk filem-filemnya) juga baik dan mereka harus dipuji kerana berjaya membawa watak-watak yang berat dengan mudah.
Filem ini saya rasa agak berat. Mungkin juga kontroversi sifatnya. Maka ia perlu ditonton dengan hati yang terbuka dan ketelitian untuk memahami naratif visual Egoyan yang mungkin sedikit mengelirukan bagi sesetengah penonton.