Empat hari di Bali: Pengalaman hari pertama (Bahagian 2)
Seorang anak muda berjalan di pantai Kuta
Saya menarik nafas panjang-panjang sebelum keluar dari hotel, lantas berjalan menjelajah Kuta.
Dengan berbekalkan dua buah buku, Eyewitness Travel Guide: Bali & Lombok dan The Rough Guide to Bali & Lombok (satu untuk saya dan satu lagi untuk Dia), kami berjalan ke arah bandar Kuta.
Tempat pertama yang ingin kami tuju pada waktu itu adalah Pasar Seni. Pasar Seni ini letaknya di bahagian hujung Tuban, dan berdekatan dengan hotel kami. Di sini, banyak terdapatnya gerai-gerai yang menjual baju serta kerajinan tangan untuk para pelancong.
Kami hanya melalui kawasan ini dengan tujuan melihat-lihat tanpa sebarang niat mahu membeli apa-apa. Dari sana, kami berjalan sehingga menuju ke tepi pantai. Di sana, kami dapat melihat beberapa orang peniaga sedang bersantai di bawah pepohon yang rendang. Kami dapat melihat seorang peniaga yang meletakkan ukiran-ukiran yang hendak di jualnya di atas jalan berpasir.
"Do you want to tatoo your body?" tanya seorang pemuda berkulit gelap kepada saya.
"Nggak bisa mas, saya orang Muslim." Itulah jawapan yang terbaik yang boleh saya fikirkan pada waktu itu.
"Tapi saya selalu buat tatoo dengan orang Muslim... mereka yang honeymoon di sini selalu bikin tatoo dengan saya." Jawabnya kemudian dengan bersungguh-sungguh.
Saya hanya tersenyum lalu terus berjalan. Saya memerhatikan kawasan pantai. Di sini tidak terdapat ramai yang mandi-manda. Mungkin kerana keadaan terlalu panas pada waktu itu.
Kami berpatah balik ke jalan besar. Kami mahu terus berjalan. Sesekali kami akan melihat barang-barang yang ada dijual di pasar seni. Tatkala melihat-lihat, saya fikirkan saya akan diganggu oleh para peniaga di sini dengan meminta kami membeli barang-barang yang mereka jual, tetapi nampaknya tidak sama sekali. Kami tidak diganggu, malah kami bebas membelek-belek barang-barang yang menarik perhatian kami. Lebih-lebih, kami akan ditanya: "Mau apa, mas?" dan jawapan yang saya berikan: "Mau melihat sahaja, mbak."
Sejurus kami keluar dari Pasar Seni, kami terus ke kompleks membeli-belah Matahari. Tujuan utama saya ingin ke sana adalah kerana ingin mencari "adapter" untuk "charger" laptop dan kamera digital yang saya bawa bersama.
Kami mundar-mandir di dalam Matahari. Toko membeli-belah ini kelihatan seperti toko Metrojaya dan Jaya Jusco yang ada di Malaysia. Adapter yang saya cari, senang saya dapati di sini, malah harganya juga agak berpatutan. Boleh dikatakan, apa sahaja benda yang ingin kita cari, boleh kita dapati di sini.
Saya melihat-lihat baju dan kemeja yang ada di sini. Harganya hampir sama ataupun lebih murah dari yang terdapat di Malaysia. Ada di antara baju-baju kemeja yang ada cantik, (macam rekaan Seed, U2 dan PDI di Malaysia) tetapi saya tidak berminat untuk membelinya. Saya rasa begitu keberatan untuk berbelanja pada hari pertama saya di sini. Mungkin kerana saya takut lari dari bajet yang telah saya sediakan sejak awal-awal lagi.
Di bahagian paling toko Matahari terdapat sebuah pasar raya yang kelihatan sibuk amat. Pada waktu itu, kami telah bersetuju untuk kembali ke sini untuk membeli barang-barang keperluan kami, termasuk juga makanan ringan. Di bahagian bawah ini terdapat sebuah kedai yang menjual VCD dan CD. Koleksinya agak sederhana, tetapi sudah cukup untuk membuatkan saya rasa teruja setelah melihat beberapa album penyanyi serta kumpulan dari Indonesia yang dijual di sana. Tetapi apa yang pasti, saya tidak boleh membeli apa yang saya mahu pada hari pertama saya di sana. Saya hanya akan membeli (baca: memborong) koleksi CD dan VCD dari Indonesia ini pada hari terakhir saya di Bali. Saya tidak mahu kehabisan wang ataupun melihat keadaan beg sudah penuh walaupun cuba berada selang dua atau tiga hari di Bali.
Dari toko Matahari, kami berjalan di sepanjang Jalan Kartika Plaza. Di sini terdapat beberapa kedai-kedai pakaian yang berjenama, seperti Polo Ralph Lauren, Gucci dan Prada. Harga-harga pakaian yang dijual agak mahal, kecuali baju pejabat jenama Polo. Saya rasa, pakaian-pakaian yang dijual di sini adalah pakaian-pakaian khas untuk dieksport tetapi tidak menepati piawaian. Saya tidak berminat untuk membeli-belah di sini, tetapi saya ada ternampak sepasang topi (cap) Oakley yang menarik. Sekali lagi, saya memberitahu diri saya bahawa saya hanya akan belanja sakan pada hari ketika atau terakhir saya di Bali.
Dari Jalan Kartika Plaza, kami ke arah kiri jalan menyusur ke Jalan Pantai Kuta. Dari sana kami dapat melihat pantai Kuta dari jauh, tetapi kami tidak mahu ke berjalan ke arah pantai, sebaliknya, kami mahu bergerak ke arah Bemo Corner, bahagian tengah bandar Kuta.
Jalan di sini sedang sibuk dikorek. Saya telah diberitahu bahawa sebuah parit sedang dibina untuk mengelakkan banjir dari berlaku. Banjir sering sekali berlaku di kawasan ini walaupun hujan hanya turun sekejap.
Para pekerja yang bekerja keras mengorek parit kadangkala kelihatannya berehat di tepi-tepi jalan. Dari raut wajah mereka, saya rasa mereka bukan dari Bali. Rasa-rasanya, mereka mungkin berasal dari pulau Jawa. Mungkin tekaan saya ini benar kerana saya pernah melihat seorang pekerja berlari dan menjerit kepada kawannya bahawa pihak polis sedang berada di kawasan tempat mereka bekerja.
Bali adalah sebuah pulau yang padat dengan penduduk (3 juta). Ia adalah salah sebuah daerah yang terkaya di Indonesia yang sebahagian besar dari pendapatannya bergantung pada sektor industri pelancongan. Maka, tidak hairanlah begitu ramai kaum "pendatang' dari luar pulau Bali yang datang menetap di pulau ini. Proses transmigrasi juga telah menyebabkan ramai penduduk dari pulau Jawa dihantar untuk menetap terus di Bali.
Saya agak tertarik melihat barang-barangan yang dijual di dalam kedai-kedai kecil di sepanjang Jalan Pantai Kuta. Di antaranya adalah replika kemaluan lelaki yang terpacak megah yang diperbuat daripada kayu. Ada di antara replika yang kelihatan agak realistik. Ada yang terlalu besar dan boleh dijadikan sebagai tempat untuk membuang abu rokok. Dengan selamba, saya telah membeli sebuah replika (yang bersaiz normal pada anggaran saya), dengan harga Rp. 20,000 (RM 8.80).
Dari situ, saya terus berjalan. Ketika Dia sibuk melihat kerajinan tangan di sebuah kedai, saya pula masuk ke sebuah kedai buku. Kebanyakan buku yang dijual adalah buku-buku "second-hand". Terdapat banyak buku-buku dalam beberapa bahasa Eropah di sini, tetapi tidak ada buku dalam Bahasa Indonesia. Ternyata saya kecewa.
"Pak, ada buku mengenai pulau Bali?" tanya saya kepada tuan punya kedai buku yang hanya memakai singlet, seluar pendek dan tidak berkasut. Tapi di wajahnya jelas beliau seorang yang berpendidikan tinggi.
"Buku guide ataupun sejarah?" beliau menanyai saya kembali.
"Sejarah-"
Tuan kedai berjalan ke arah sebuah rak buku dan membongkok untuk mencari buku yang boleh disarankannya kepada saya. Buku tersebut bertajuk: "The Birthmark: Memoirs of a Balinese Prince, hasil tulisan A.A.M. Djelantik."
"Buku ini sukar di cari. Kalau ada pun, di gedung perpustakaan. Tidak ada lagi di jual di toko-toko buku." Jelasnya kepada saya.
"Berapa harganya, pak?"
"Kamu dari mana?"
"Singapur." Jawab saya teragak-agak. Setelah dua hari saya berada di Bali, barulah saya sedar bahawa jika saya menjawab bahawa saya berasal dari Jakarta, (atau Malaysia) mungkin harga yang diberikan kepada saya lebih rendah.
"150,000 Rupiah."
"Aduh, mahalnya!" saya mengeluarkan PDA untuk mengetahui harga yang telah disebutkan ini dalam Ringgit Malaysia (RM 66). Sememangnya harga ini mahal buat diri saya, walaupun saya memang mahu membeli buku ini darinya dan harga yang diberikannya agak berpatutan - jika saya memesan buku ini melalui Amazon.com, harganya USD$39.95.
"100,000 bisa pak?" tanya saya dengan penuh harapan.
Tuan punya kedai mengangguk setuju. Saya pula, entah mengapa, walaupun mahu membeli buku tersebut, terlalu kedekut untuk mengeluarkan wang untuk berbelanja. Pada waktu itu Dia masuk ke dalam kedai. Saya menunjukkan judul buku itu kepadanya.
"80,000 bisa pas?"
Tuan punya kedai tidak bersetuju. Lantas mengatakan bahawa buku Eyewitness Travel Guide yang sedang saya pegang pada waktu itu bernilai lebih Rp. 200,000. Masakan saya tidak boleh membeli sebuah buku yang lebih tebal dengan harga separuh dari buku di tangan saya.
"Nanti saya datang kembali, ya pak." Itulah alasan yang telah saya beri, lantas saya dan Dia keluar dari kedai buku.
"Nanti kita ke sini lagi, ya!" beritahu saya kepada Dia. Sayangnya, kami tidak mempunyai masa untuk ke sini pada hari terakhir kami di sini. Saya rasa agak kecewa juga kerana tidak membeli buku ini, kerana buku ini agak penting dalam proses kajian untuk membuat novel "Satu Senja di Kuta", yang ingin saya tulis satu hari nanti.
Buku "Memoirs of a Balinese Prince" ini menceritakan tentang pengalaman Anak Agung Made Djelantik, seorang putera raja dari Karangasem yang akhirnya menjadi seorang doktor. Perkara yang paling menarik tentang dirinya adalah pengalamannya tatkala di negeri Belanda sewaktu Belanda berada di dalam tawanan Jerman pada masa Perang Dunia Kedua.
Saya merasa agak menyesal kerana tidak membeli buku ini apabila peluang untuk saya membelinya terbuka dengan luas. Perkara yang sama berlaku apabila kami tiba di sebuah kedai yang menjual kain dan pakaian tradisional Bali. Saya rasa, kedai ini adalah kedai pakaian dan kain yang khusus untuk pelanggan-pelanggan dari Bali, kerana kedai ini tidak menjual kain-kain sarung batik murah yang digemari para pelancong, terutamanya pelancong Barat.
Dalam kedai ini, terdapat beberapa orang wanita yang sedang sibuk menjahit. Mereka nampak tekun melakukan kerja mereka. Saya dan Dia dibiarkan melihat koleksi kain yang ada.
Saya dan Dia tertarik melihat kain-kain yang mereka jual. Kain songket di dalam koleksi mereka, sebagai contoh, agak menarik rekaannya. Dan saya telah diberitahu bahawa kain songket ini digunakan sebagai "kamben sarung" sebelum disarungkan dengan kain "saput" dan kemudian dikemaskan dengan ikatan kain "selepot".
"Boleh mbak tunjukkan kepada saya bagaimana cara untuk memakainya?" tanya saya malu-malu kepada seorang wanita yang sedang sibuk menjahit. Beliau senyum kepada saya dan terus, saya dilayannya dengan baik. Beliau dengan begitu baik hati mengajar saya bagaimana untuk mengenakan kamben sarung dengan ikatan Bali yang betul juga kain saput.
Walaupun beliau mengambil sedikit dari masanya untuk mengajar saya mengenakan kain sarung Bali ini dengan memakai kain yang mempunyai rekaan yang menarik, saya tidak membelinya. Sekali lagi saya fikir, saya akan datang ke tempat yang sama pada hari terakhir saya di Bali dan membeli kain-kain yang saya berkenan ini darinya. Ternyata, saya tersilap langkah. Di lain masa, jika saya ada melihat mana-mana barang yang saya berkenan, saya harus terus membelinya. Tidak perlu tangguh-tangguh kerana saya tidak mahu perkara seperti ini berlaku kepada saya lagi.
Kami terus berjalan dan setelah kami berjalan dan cuci-cuci mata selama sejam, Dia akhirnya memberitahu kepada saya bahawa beliau merasa agak lapar. Pada waktu itu jam menunjukkan pukul 4 petang dan kami pula sedang berada di Jalan Singo Sari. Walaupun saya tidak merasa lapar, saya bersetuju untuk makan petang.
"Polisi!" Itulah yang telah dijeritkan oleh lelaki ini kepada beberapa orang kawannya yang sedang bekerja mengorek parit di tepi jalan. Kejadian ini berlaku tatkala kami sedang makan petang di Jalan Singo Sari
Kami tiba ke sebuah cafe yang agak kosong. Hanya kami berdua pelanggan mereka pada waktu itu. Kami sekadar memesan nasi goreng untuk mengalas perut sebelum kami makan malam.
Saya masih ingat kepada rungutan bapa saya sewaktu beliau mengunjungi Indonesia. Bapa saya tidak begitu sukakan makanan Indonesia. Tapi setelah mengenali dirinya dengan begitu lama, saya cukup sedar bahawa beliau memang tidak suka makan di luar. Bapa saya lebih senang memakan masakan yang di masak di rumah sahaja.
Nasi lemak yang kami pesan langsung tidak berperisa. Saya pasti nasi goreng yang telah kami pesan telah dibuat mengikut cita rasa pengunjung-pengunjung Barat terutamanya dari Australia. Dia merungut beberapa kali kerana nasi goreng yang kami pesan memang tidak sedap.
Dari Jalan Singo Sari, kami berjalan dan terus berjalan sehinggalah kami sampai dekat dengan hotel kami. Tetapi, dari terus ke hotel, kami sekali lagi masuk ke Matahari. Kami ke sana untuk membeli sehelai tuala untuk di bawa ke pantai dan sekali lagi, "window shopping" melihat-lihat pakaian yang ada dijual di sana.
Kami pulang ke hotel dalam keadaan kepenatan, walaupun kami hanya berjalan selama dua jam lebih. Kami mandi dan berehat tidak sampai setengah jam, kemudian kami keluar sekali lagi dari bilik hotel dan terus ke pantai. Untuk ke pantai, kami terpaksa menggunakan jalan besar dan melalui Pasar Seni.
Pantai Kuta (sebenarnya secara teknikal, kami sedang berada di daerah Tuban) agak lengang pada petang itu. Jarang kelihatan orang yang mandi-manda di atas gigi pantai dengan ombaknya yang bergelora.
"Maybe it's a week day." Ujar Dia sambil melihat sekumpulan anak muda yang sedang bersiap sedia untuk bermain bola di atas pantai. Hanya mereka sahaja yang ada pada ketika itu untuk menceriakan lagi suasana di pantai.
Kami berjalan sehingga ke sebuah kawasan yang dikunjungi oleh sebuah keluarga dari Bali. Mereka sekeluarga duduk di bawah sebuah tebing batu yang rendah yang letaknya di hadapan sebuah hotel. Kami bersetuju untuk bersantai di sana sahaja.
Sejurus selepas saya meletakkan beg, saya terus membuka baju dan memakai seluar mandi. Saya rasa tak sabar untuk mandi laut, walaupun saya lihat, tidak ramai yang mandi, lebih-lebih lagi berenang di laut pada ketika itu.
Di atas pasir pantai terdapat banyak pecahan-pecahan batu karang. Sewaktu berjalan di atas pasir yang dipenuhi dengan pecahan kecil batu karang, saya teringat pula kepada tulisan Louise Koke tentang keadaan di Kuta pada tahun 1930-an dahulu. Pada waktu itu menurutnya, Kuta adalah sebuah kampung yang terpencil. Tidak terdapat ramai pengunjung ke sini, terutamanya pengunjung dari Barat. Colin McPhee, seorang komposer dari Amerika Syarikat yang menulis buku "A House in Bali" pula memerhatikan perkara yang sama, malah beliau ada mengatakan bahawa terdapat beberapa buah pura (kuil Hindu) yang telah di bina di sini dibina dengan menggunakan batu karang.
Akhirnya sampai juga saya ke Kuta. Entah mengapa, Kuta yang wujud di dalam kepala saya berlainan dengan Kuta yang saya lihat sekarang. Kuta yang wujud dalam kepala saya adalah Kuta tahun 30-an melalui gambar-gambar lama yang saya lihat. Apa-apa pun, saya cukup senang melihat Kuta yang saya alami kini - walaupun sudah terusik dek pelancong, kemodenan dan globalisasi...
Ombak besar memukul tubuh saya dengan kuat. Kadangkala saya akan membiarkan arus untuk membawa saya jauh dari gigi pantai. Keadaan ombak besar Lautan Hindi membuatkan saya sedikit takut untuk berenang sehingga ke tengah. Setelah mandi laut selama lebih lima belas minit, kini giliran Dia pula untuk mandi.
Selesai kami mandi. Kami terus nongkrong di pantai sambil menghirup udara segar senja di Kuta. Kami hanya memerhatikan mereka yang datang bersantai di atas pantai. Ada juga terdapat beberapa penduduk tempatan yang sedang bersenam dengan berlari-lari anak di atas pantai - satu aktiviti yang menjadi keanehan seorang penulis dari Australia yang pernah saya baca pengalamannya di Bali di sebuah laman di Internet. Sikap perkaumannya jelas, kerana dalam benak fikirannya, penduduk tempatan, khususnya yang asli dari Bali pasti tidak mempunyai masa untuk beriadah, setelah mereka terpaksa bekerja keras melayani pelancong sepertinya. Satu persepsi pasca-kolonialisme yang cukup-cukup saya benci. Mereka tidak dapat melihat penduduk tempatan sebagai manusia biasa seperti mereka, tetapi hanya wujud untuk melayani serta menghiburkan mereka.
Pada waktu senja itu, awan yang tebal melitupi ufuk barat. Maka, kami tidak dapat melihat matahari terbenam cantik.
Setelah puas menghabiskan masa di atas pantai, kami berjalan keluar dari pantai Kuta. Terus, sekali lagi kami ke pasar raya Matahari. Di sana, kami pergi membeli berus gigi, air minuman dan makanan ringan. Boleh dikatakan apa yang kami beli semunya murah-murah.
Kami pulang ke hotel. Mandi. Menonton TV.
Mata Dia pada waktu itu terpaku ke kaca TV. Dia sedang menonton rancangan Akademi Fantasi Indonesia 2 (versi Akademi Fantasi Indonesia, tetapi mereka sudah sampai ke Musim Dua) di saluran Indosiar.
Setelah menonton rancangan AFI selama beberapa hari, saya boleh merumuskan satu sahaja soalan: "Kalau Vince pergi audition, boleh lepas ke?"
Entah mengapa, saya jadi malu. Tahap kualiti penyanyi-penyanyi AFI sememangnya cemerlang kalau dibandingkan dengan apa yang kita ada di Malaysia. Kalau boleh, saya tidak mahu orang-orang Indonesia tahu akan kewujudan Akademi Fantasia di Malaysia. Biar mereka tidak kenal siapa Atie, Nana dan Khai (rambut seterika dia cukup menakutkan). Satu lagi, mereka mempunyai hos yang ala-ala Ryan Seacrest dari American Idol (hos kita pula macam Richard Simmons gamaknya). Nama hos kacak AFI yang saya maksudkan adalah Adi Nugroho.
Selepas selesai mandi dan menonton AFI2, kami keluar dari bilik hotel dan berjalan menikmati udara malam. Kami melintas jalan. Kami mundar-mandir di kawasan ke kawasan Tuban. Banyak dari kedai-kadainya sudah tutup. Sewaktu berjalan, seorang lelaki menegur kami dan bertanyakan kepada kami jika kami mahu pergi ke karaoke. Kami tidak berminat, lebih-lebih lagi apabila beliau mengatakan bahawa terdapat gadis-gadis yang cantik yang akan melayani kami di sana nanti.
"Kamu berdua berasal dari mana?" tanya lagi sambil mengekori kami.
"Malaysia." Jawab Dia.
"Kami ada lagu Siti Nurhaliza." Sambutnya bersungguh-sungguh.
"Di sini Siti terkenal?"
"Ya, Siti ramai peminatnya di sini." Jelasnya. Kami kemudian mengucapkan terima kasih, lantas menegaskan bahawa kami tidak berminat untuk berkaraoke. Beliau faham lantas berhenti dari mengekori kami.
"Abang tadi tu hensem... I swear if he said he will layan us during the Karaoke session. I'd say yes just now. Too bad lah." Kata saja dengan bersahaja kepada Dia kemudiannya.
Kami berjalan sehingga kami tiba kembali ke bahagian hadapan hotel kami. Di seberang jalan, kami menuju ke Kuta Centre Shopping Complex, di mana terdapatnya deretan kedai dan restoran yang kelihatannya agak eksklusif.
Dia memerlukan bekas untuk kanta pelekapnya. Kebetulan, di sana terdapat sebuah kedai cermin mata. Kami masuk ke dalam kedai tersebut. Kami telah dilayan dengan baik. Saya mendapati harga cermin mata di sana agak murah. Pakej membuat cermin mata berharga Rp. 300,000 (RM 131). Saya memesan sepasang cermin mata yang agak sesuai untuk bentuk muka saya. Cermin mata yang saya pesan akan saya ambil pada hari Sabtu petang.
Saya cukup berpuas hati pada malam itu setelah memesan sepasang cermin mata dengan bentuk yang saya suka, ditambah lagi dengan harga yang murah.
Kami masih mencari-cari lagi tempat untuk makan. Di Kuta Centre, restorannya kelihatan terlalu eksklusif untuk kami. Sebagai contoh, sebuah restoran sushi di sana kelihatannya seperti mempunyai senarai minuman wine yang agak komprehensif.
Saya kemudian teringatkan kepada sebuah restoran yang telah direkomenkan kepada saya oleh Yasmin. Saya memeriksa kembali SMS yang telah saya terima darinya tadi. Beliau menyarankan agar kami mencuba nasi goreng di Made's Warung. Saya memberitahu Dia tentang hal ini dan beliau bersetuju untuk ke sana sahaja.
Kami membelek-belek buku The Rough Guide to Bali & Lombok. Di dalam buku ini terdapat sebuah peta Kuta yang senang untuk kami baca dan ikuti. Maka dengan berbekalkan buku ini, sekali lagi kami menjelajah bandar Kuta dan berjalan ke arah Made's Warung.
Made's Warung terletak di bahagian penghujung Jalan Pantai Kuta menuju ke Bemo Corner (bemo ini sebenarnya adalah kenderaan kecil seperti bas dan van yang dijadikan pengangkutan awam di sini).
Suasana dalam Made's Warung agak unik. Ia kelihatan seperti sebuah restoran yang hanya akan wujud dalam filem-filem lama dari Hong Kong. Ia tampak seperti sebuah set filem kungfu. Di dalamnya ramai pengunjung, tetapi kami bernasib baik kerana masih terdapat sebuah tempat duduk untuk kami. Yang lebih unik lagi, kalau tidak salah saya, di sebelah Made's Warung ini terdapat sebuah pura. Dari luar kami sudah dapat mendengar irama gamelan Bali dimainkan. Mungkin sedang di adakan upacara khas di sana. Saya rasa cukup rasa terhibur dapat mendengar irama gamelan dimainkan yang sayup-sayup kedengarannya sambil duduk di dalam restoran yang unik ini.
Kami duduk dan terus memesan nasi goreng. Rasa nasi goreng yang kami terima sederhana. Sekali lagi, kami terpaksa meletakkan garam dan lada putih untuk menyedapkan lagi rasa nasi goreng yang agak tawar - yang sudah pastinya dibuat khas mengikut cita rasa pelancong-pelancong barat. Akhirnya kami merumuskan pada malam itu bahawa makanan di Bali langsung tidak sedap...
Kami pulang ke hotel dengan rasa kenyang tetapi kurang rasa puas kerana apa yang kami makan pada hari itu tidak sedap belaka. Pada malam itu kami tidur awal, kerana pada keesokan harinya, kami terpaksa bangun awal untuk sarapan dan terus menyaksikan pertunjukan Barong yang akan diadakan pada pukul 9.30 pagi.
Jika diberi tajuk filem terbaru arahan Shuhaimi Baba; "Pontianak Harum Slut Malam" sudah tentunya filem ini akan digam. Jadi sesuailah filem ini dinamakan "Pontianak Harum Sundal Malam". Itu pun, kalau tak salah saya, pada mulanya, nama ini telah mendatangkan kontroversi. Perkataan "sundal" dikatakan tidak sesuai digunakan.
Syukurlah filem ini lambat-laun dapat dibikin dan diselesaikan, dan akhirnya dapat saya tonton semalam di dalam acara pratonton Pontianak Harum Sundal Malam (HSM) yang telah diadakan di GSC MidValley.
Pontianak HSM menceritakan tentang Meriam, seorang primadona yang berjaya menawan ramai hati yang menyaksikan tarian gamelannya. Sewaktu menari, beliau mampu terapung dengan sendirinya, ala David Blaine, ahli silap mata muda dari Brooklyn, New York.
Pada tahun 1947 di Kampung Paku Laris, dua orang bersahabat, saudagar Marsani (Azri Iskandar) dan Danial (Sharonizam) sama-sama jatuh hati kepada Meriam (Maya Karin). Tetapi Meriam akhirnya menerima Danial.
Meriam terbunuh ketika beliau sedang sarat mengandung. Bukan itu sahaja, suaminya Danial pula mati di tengah laut. Marsani kecewa dan rasa bersalah ke atas kematian Meriam. Dalam pada itu, Kampung Paku Laris mula diserang dengan kejadian aneh di mana penduduk-penduduknya mati dibunuh dengan kejam. Puntianak yang menyerang kampung dikatakan jelmaan Meriam yang ingin membalas dendam dirinya yang telah dibunuh ketika sedang sarat mengandung.
Penonton kemudian dibawa ke masa kini. Marsani yang masih hidup terus diganggu oleh beban peristiwa yang pernah dilaluinya pada waktu yang lalu. Marsani yang obses dengan rentetan cintanya yang tak berbalas ditambah lagi dengan rasa takut bahawa keturunannya akan dihapuskan oleh Meriam, mengambil keputusan untuk melawan usia tuanya. Dengan bersungguh-sungguh beliau menjalani pembedahan plastik dan rawatan ozon ala Micheal Jackson (Ini bukan "spoiler", tapi bila fikirkan Marsani, saya teringatkan kepada kepelikan Micheal Jackson, terutamanya di bahagian akhir filem).
Munculnya seorang gadis bernama Maria yang seiras Meriam di dalam hidupnya, menggusarkan jiwanya. Marsani menjadi semakin runsing apabila kejadian-kejadian ngeri berlaku kepada orang-orang yang terdekat dengannya...
Ingin saya tegaskan di sini bahawa filem ini adalah sebuah filem yang telah diarahkan dengan naratif visual yang indah di tambah dengan penekanan Shuhaimi terhadap lakonan yang bersungguh-sungguh dari para pelakonnya. Saya cukup terpesona melihat set serta kostum pelakon dalam adegan Kampung Paku Laris pada tahun 1947. Adegan tarian gamelan dibuat dengan begitu cantik dan halus sekali. Lokasi yang dipilih juga menarik, terutamanya rumah Hijjas Kasturi - Rimbun Dahan, yang dijadikan lokasi utama dalam babak-babak akhir filem ini.
Shuhaimi juga nampaknya begitu bersabar tatkala bercerita dan membiarkan penonton mengupas ceritanya ini tanpa gopoh. Penggunaan teknik imbas kembali (flashback) begitu berkesan untuk menguatkan jalan cerita sekali gus pemahaman penonton. Walau bagaimanapun, beberapa adegan mungkin terlalu mengejut tanpa kesinambungan yang wajar. Sebagai contoh, adegan kawan kepada Norman (Eizlan Yusof) yang mati secara tiba-tiba tanpa hujung pangkal.
Walaupun suntingan yang dilakukan Mior Hashim Manap kemas, saya rasa agak terganggu apabila montaj pontianak yang serupa diselitkan berkali-kali (untuk menakutkan penonton, barangkali). Skor Muzik Shamsul Chairel pula, adalah antara skor muzik yang terbaik untuk sebuah filem Melayu sejak akhir-akhir ini. Dalam hal efek bunyi pula, memang memuaskan, kerana tatkala menonton filem ini, adunan Dolby Digital Surround memang benar-benar dapat dirasakan.
Lakonan para pelakon memuaskan, lebih-lebih lagi lakonan Nanu Baharudin sebagai Laila dan Sharonizam sebagai Daniel. Saya agak kecewa apabila mendapati watak kedua-dua pelakon berbakat ini dimatikan setengah jalan. Watak mereka menarik, malah saya rasa apa yang berlaku di Kampung Paku Laris pada tahun 1947 jauh lebih istimewa dari Kampung Paku Laris pada zaman sekarang.
Jangan lupa untuk perhatikan lakonan "cameo" oleh pelakon-pelakon undangan seperti Azwan Ali, Shah Rezza dan Afdlin Shauki.
Kalau tidak salah saya, pelakon-pelakon filem ini mendapat tunjuk ajar dari Fatimah Abu Bakar dan Normah Nordin. Nampaknya mereka berjaya membuat para pelakon mendalami watak-watak mereka, kecuali Maya Karin. Lakonan Maya Karin agak kaku. Mungkin beliau perlu diberikan sedikit masa lagi untuk berlatih... Kalau diberi kuasa untuk memilih pelakon, saya rasa watak utama Meriam/Maria/Pontianak akan saya berikan sahaja kepada Nanu yang lakonannya jauh lebih mantap.
Seperkara yang saya kurang senang dengan filem ini adalah adegan-adegan mimpinya yang diadakan berkali-kali sehingga membuat saya sedikit muak. Nak tahu mengapa perlu diadakan adegan-adegan mimpi ini? Kerana pakcik dan makcik kita di Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah mengadakan garis panduan di antaranya:
1. Filem genre ini (seram) perlu ada elemen mimpi 2. Filem ini tidak boleh terlalu menakutkan, ganas, banyak berdarah dan tak boleh tunjuk keluar masuk kubur.
Bahagian-bahagian akhir filem ini telah diakhiri dengan satu lagi adegan mimpi (Marsani rupa-rupanya meracau-racau dalam mimpinya. Atau mungkin, pontianak yang kita lihat dalam filem ini sebenarnya adalah hasil imaginasinya sendiri - ala halusinasi John Nash dalam filem "A Beautiful Mind"). Entah dah berapa banyak agaknya filem-filem Melayu yang dibikin dan akan terus dibikin dengan elemen mimpi ini. Kalau macam itu, berikan saya kesempatan untuk memberikan istilah baru kepada genre filem seram Malaysia - "seramimpi".
Saya tidak salahkan Shuhaimi kerana membikin sebuah naskhah yang mempunyai "ending" yang sukar untuk saya terima, tetapi kepada pihak kerajaan, khususnya Lembaga Penapisan Negara kerana mengeluarkan garis panduan yang bukan-bukan dan yang akhirnya menyukarkan proses kreatif para pembikin filem. Maka, terhasillah produk filem yang dikeluarkan di pasaran, walaupun dibuat dengan bersungguh-sungguh dengan penuh rasa hormat terhadap karya seni filem (seperti filem Pontianak HSM ini), menjadi produk seni yang ibarat kuah kekurangan garam. Ada sahaja yang tidak kena.
Shuhaimi Baba, dalam Nota Pengarah yang saya terima, telah mengatakan bahawa dengan adanya segala halangan yang ada, beliau tetap mahu meneruskan projek filemnya ini dengan harapan: "Akan datang kerajaan akan lebih terbuka bila melihat filem hantu kita mempunyai keunikan sendiri."
Saya cukup menghormati semangatnya ini. Sememangnya apa yang cuba dilakukannya ini bagus. Biarkan mereka yang begitu "arif" melakarkan garis panduan untuk pembikin-pembikin filem melihat sendiri produk yang akhirnya terhasil oleh pembikin-pembikin filem kita (baca: filem seramimpi).
Kita sebagai penonton pula perlu memberikan sokongan kepada Shuhaimi Baba dengan menonton filemnya ini (sememangnya filem ini agak fantastik dan indah untuk ditonton. Terutama pada bahagian awal filem ini yang mempunyai gaya dan rupa sebuah naskhah filem yang boleh dibawa ke festival filem!). Kita harus menonton dan menilai sendiri bahagian akhir filem ini, dan filem ini secara total. Sebagai penonton, kita harus bertanyakan kepada diri kita... Sampai bila agaknya harus kita diperkotak-katikkan dengan segala 'syarat dan garis panduan' yang ada. Tanyakan sendiri soalan ini kepada diri kita: "Adakah rakyat Malaysia begitu bebal sehingga tidak mampu menilai apa yang baik dan apa yang buruk dengan sendirinya sehingga perlu diadakan garis panduan ini semua?"
Secara ikhlas, ingin saya nyatakan bahawa filem Pontianak HSM ini berpotensi menjadi sebuah filem yang baik, malah antara filem Melayu terbaik sejak akhir-akhir ini, tetapi setelah ia dibuat dengan penapisan sendiri, dek mengikut garis panduan yang tidak masuk akal, akhirnya filem seramimpi ini hilang arah tuju dan berputar di pusaran kebingungan.
Sutradara & Lakonlayar : Quentin Tarantino Genre : Aksi/Adventure/Thriller/Drama Pelakon : Uma Thurman, David Carradine, Michael Madsen, Daryl Hannah, Gordon Liu, Samuel L. Jackson Durasi : 2 jam 15 minit Distributor : Miramax Films
PERHATIAN : Jika anda berasa ragu-ragu atau khuatir ulasan ini akan 'memudaratkan' keterujaan anda untuk menikmati kesudahan filem ini, saya sarankan agar anda tidak membacanya. WALAUBAGAIMANAPUN, perlu saya tekankan bahawa ulasan ini lebih bersifat informasi atau previu sebelum anda menontonnya (jika belum menonton). Apapun, jika anda lebih teruja untuk membacanya juga, saya juga turut teruja untuk mengucapkan SELAMAT MEMBACA!
"Kesumat Si Pengantin Malang"
Filem yang paling dinanti-nantikan untuk tahun ini. Misi dendam Si Pengantin diteruskan dan apa yang pasti, filem ini berakhir juga. Jika kita rujuk kepada tajuknya, sememangnya nama Bill (David Carradine) berada di dalam senarai terakhir Si Pengantin malang itu (lakonan Uma Thurman) atau juga dikenali sebagai "The Bride" (Black Mamba nama kod kumpulan gelapnya) dalam melampiaskan kesumatnya.
Dalam Kill Bill Vol. 1, dua daripada lima bekas rakan sekumpulannya (O-Ren-Ishii dan Vernita Green) telahpun tersungkur di tangan beliau. Begitu banyak sekali pertumpahan darah dalam melangsaikan dendamnya ke atas bekas ahli kumpulannya itu. Namun, perlu saya katakan di sini bahawa ‘pesta’ gore sebagaimana dipertontonkan kita dalam Vol. 1 tidak lagi boleh dinikmati dalam 'grand finale' ini.
Tetapi, itu sebenarnya tidak memberikan sebarang impak ke atas kesinambungan filem ini. Filem ini masih boleh berdiri megah dengan tema, falsafah serta genrenya. Malah, Tarantino kali ini dilihat lebih memberi penekanan dalam membangunkan watak-watak seperti Budd (lakonan Michael Madsen) – yang berada dalam senarai ketiga Si Pengantin, watak Bill (lakonan David Carradine) termasuk Si Pengantin itu sendiri.
Filem ini dibuka tirainya dengan membawa kita kembali ke gereja tempat berlangsungnya upacara raptai perkahwinan Beatrix (nama watak sebenar Si Pengantin) dengan Tommy, di mana di situlah terpalit titik hitam Si Pengantin dalam kisah penuh keganasan ini. Di sana, pertemuan Bill dengan Beatrix yang pada mulanya disaksikan penuh melodramatis, akhirnya bertukar (seperti mana kita diperjelaskan dalam Vol. 1). Ungkapan "Bill… It’s your baby…" dan BANG!! - masih lagi diimbas kembali dalam saat-saat awal filem ini.
Untuk sambungan kisahnya kali ini, Tarantino tidak lagi memilih untuk memaksimumkan aksi-aksi lawan pedang - potong-memotong seperti mana kita tonton koreografi pertembungan hebat The Black 88, Vernita Green (Copperhead) dan O-Ren Ishii. Tarantino tidak lagi menggunakan acuan yang sama berulang kali.
Adegan Si Pengantin ditanam hidup-hidup oleh Budd, saya pasti ia benar-benar berkesan dalam menerbitkan rasa klaustrofobia penontonnya. Watak Budd juga sebelum itu dikembangkan dengan baik. Seperti mana Vernita dalam Vol. 1, Budd juga telah membuat haluan hidup masing-masing iaitu bekerja di sebuah bar tetapi masih lagi berhubungan baik dengan abangnya, Bill.
Bagaimanapun, penonjolan watak Elle Driver (lakonan penuh sadistik Daryl Hannah) agak minimum. Beliau cuma diimbaskan kepada kita kisah kehilangan sebelah matanya iaitu sewaktu beliau berguru dengan Pai Mei, seorang Kung-Fu Master (Elle merupakan murid seperguruan Si Pengantin itu juga).
Jika sebelum ini (Vol. 1) kita dihidangkan dengan kehebatan seni kepahlawanan samurai Jepun, tetapi kali ini, Tarantino memilih seni Kung-Fu sebagai pendokong filem ini. Anda pasti akan merasakan seperti menonton filem Kung-Fu era Jackie Chan suatu masa dahulu.
Saya agak terkejut kerana terdapat adegan Pai Mei (lakonan lagenda filem Kung-fu Hong Kong, Gordon Liu) secara terang-terangan mengutuk Samurai – katanya, "Saya benci Jepun…Semua orang Jepun bodoh!" sambil memperlihatkan serta melaungkan kehebatan seni Kung-Fu yang beliau miliki. Saya kira kutukan ini mungkin boleh menimbulkan kontroversi.
Pada hemat saya, pertembungan Elle Driver dengan Si Pengantin boleh dikategorikan sebagai acara kemuncak filem ini. Benar, kerana anda mungkin tidak percaya jika saya katakan dalam setengah jam sebelum filem ini berakhir, Tarantino memilih untuk menggarap sebuah twist yang agak menarik dan beremosi. Masih ingat lagi yang Si Pengantin telah kehilangan anaknya sewaktu empat tahun koma?
Keseluruhannya, tiada perbandingan yang boleh saya buat antara kedua-dua filem ini kerana masing-masing ada tema serta nilai artistiknya tersendiri. Tambahan lagi, pada hakikatnya Kill Bill merupakan 'sebuah' filem yang dipisahkan menjadi dua berikutan durasinya yang jika disatukan boleh saja mencecah empat jam lebih (1 jam 50 minit + 2 jam 15 minit).
Dan saya boleh katakan bahawa Kill Bill boleh sahaja mencapai status filem aksi paling menghiburkan untuk tahun ini jika tidak disenaraikan dalam kategori terbaik sekalipun.
Untuk Perbadanan 'Pengharaman' Filem Nasional Malaysia aka FINAS : "Bang Bang… Here Comes The Bride…again"
Empat hari di Bali: Pengalaman hari pertama (bahagian 1)
Satu kerinduan yang tak pernah terwujud. Seperti hampas rindukan padi. Itulah yang saya rasakan sekarang apabila pulang dari Bali. Saya mahu ke sana lagi. Saya tidak pasti bila, tetapi saya harus ke sana lagi.
Selama empat hari saya di sana, rasa-rasanya saya hanya termampu untuk melihat sedikit sahaja dari apa yang boleh saya buat dan tinjau di sana.
Saya telah ke Bali dengan menaiki pesawat Garuda Indonesia pada tanggal 15 April 2004 yang lepas. Harga tiket yang saya beli agak murah (lebih kurang RM 630), kerana saya telah membeli tiket tersebut tatkala berlangsungnya Matta Fair.
Saya telah ke Bali dengan Dia. Inilah kali pertama kami bercuti ke luar negeri bersama, kerana sebelum ini kami hanya bercuti di dalam Malaysia sahaja. Paling jauh pun, ke Langkawi apabila kami ke sana bersama keluarga saya.
Dia telah menaiki pesawat MAS yang berlepas setengah jam selepas berlepasnya pesawat yang saya naiki.
Penerbangan dengan pesawat Garuda sememangnya selesa. Saya cukup senang dengan layanan pramugari dan pramugara Garuda yang sopan dan cekap. Tatkala Dia tiba ke Bali, beliau telah mengadu kepada saya tentang perkhidmatan MAS yang kurang memuaskan. Ini bukan satu cerita yang baru bagi saya. Banyak kali rasanya saya mendengar keluhan yang sama dari orang lain. Terutamanya dari penumpang-penumpang yang berketurunan Asia (kalau hendak lebih "direct" lagi, penumpang-penumpang yang berkulit gelap, coklat dan kuning yang berasal dari Malaysia).
Di dalam pesawat, saya duduk di tepi tingkap. Saya sebenarnya suka duduk dalam kedudukan tersebut terutamanya dalam penerbangan di waktu siang hari. Saya suka melihat pemandangan di luar tingkap kapal terbang dan satu lagi, dengan sentiasa menjenguk ke luar, saya fikir saya dapat mengelakkan diri saya dari berbual dengan sesiapapun yang duduk di sebelah saya pada ketika itu.
Tapi dalam penerbangan ini, saya tidak dapat mengelakkan diri saya dari terpaksa membuka mulut dan berbual.
Di sebelah saya, duduk seorang lelaki Melayu yang umurnya mungkin tidak terlalu jauh dari umur saya tetapi sudah kelihatan agak matang. Orangnya bertubuh gempal dan berkulit cerah.
Beliau telah memperkenalkan dirinya kepada saya tatkala saya sedang duduk membaca. Nak tak nak, saya terpaksa melayannya, walaupun saya lebih suka duduk diam. Saya mendapat tahu dari perbualan kami bahawa beliau mempunyai sebuah syarikat pembinaan yang letaknya berdekatan dengan tempat tinggal saya. Beliau telah berkahwin ketika umurnya 25 tahun dan beliau merupakan seorang kerabat Diraja Johor.
Beliau kemudian menambah lagi dengan menceritakan kepada saya tujuan utamanya ke Bali. Menurutnya, beliau mahu melepaskan dirinya dari masalah yang sedang di hadapinya. "Girlfriend"nya telah memaksanya agar mengahwininya.
Pada waktu itu saya terus menjadi keliru. Saya keliru mengapa beliau memberitahu saya tentang perkara, sedangkan saya tidak mengenalinya. Perkara ini, saya fikir, hanya akan dilakukan oleh rakyat Amerika ketika mereka bertemu dengan orang yang tidak mereka kenali - dan diri saya sendiri yang cukup senang berceloteh satu ketika dahulu.
Maka diluahkanlah segala-gala isi hatinya kepada saya. Beliau memberitahu kepada saya bahawa kelemahannya adalah wanita. Sejak beliau berkahwin, beliau sudah mengadakan hubungan sulit dengan tiga orang wanita dan isterinya langsung tidak tahu menahu tentang perkara ini - kerana sebagai seorang ahli perniagaan, beliau sering berkelana seorang diri.
Dia bertanyakan kepada saya jika saya ke Bali seorang diri. Saya kata tidak. Saya bersama seorang teman yang menaiki pesawat MAS dan kami akan bertemu di lapangan terbang sebentar nanti.
"You nak jumpa girlfriend you kat Bali?" beliau membuat tekaan dalam nada seolah-olah beliau sudah pasti jawapan dari saya pastinya "ya".
"No. I'm meeting a friend who is a man."
"Why don't you have a girlfriend?" beliau menanyai saya kemudian.
"I choose not to." Jawab saya tegas walaupun dalam nada bersahaja. Jawapan saya pendek, dan saya tidak mahu menambah apa-apa lagi.
Dalam perbualan kami, beliau ada mengatakan keinginannya untuk mencari "kenalan" wanita tatkala di Bali. Saya hanya mampu mengangguk dan mengharapkan bahawa dari jawapan yang saya berikan kepadanya tadi, beliau akan faham bahawa mencari kenalan wanita merupakan satu perkara di luar bidang kuasa (dan minat) saya. Beliau juga bertanyakan kepada saya jika beliau boleh ikut sama menjelajah Bali. Saya cuba mengelak seboleh yang saya mampu.
"I am going to meet some friends in Bali and we are going to be busy... You know, like meeting and more meetings. In fact, I'm here on a retreat of sort. So, I think I'm going to be stuck in the resort all the time. Sad, innit?" itulah jawapan yang telah saya berikan kepadanya dengan wajah selamba.
"Do you have roaming services? Perhaps you can have my number..." Beliau mencuba lagi.
"No I don't. Sorry." Saya berbohong buat kali kedua.
Pada waktu itu, saya dapati kapal terbang sedang melewati pulau Bali. Hati saya teruja seketika, lebih-lebih lagi apabila saya dapat melihat pemandangan gunung Batur di bahagian timur Bali.
Lebih kurang lima belas minit kemudian, kapal terbang yang saya naiki mendarat di Lapangan Terbang Ngurah Rai. Saya dan kerabat Diraja Johor yang saya temui tadi juga akhirnya berpisah di luar kawasan imigresen. Saya menarik nafas lega. Bukan kerana saya tidak menyukainya, tetapi kerana saya sememangnya tidak begitu senang berbual panjang dengan orang yang tidak saya kenali atau mahu kenali dengan lebih lanjut.
Urusan imigresen dan kastam berjalan dengan lancar tanpa apa-apa masalah. Saya mengambil keputusan untuk keluar dari ruang legar di dalam lapangan terbang dan menunggu Dia di sana.
Di luar, saya mendapati terdapat ramai orang yang sedang menunggu ketibaan penumpang sambil memegang kad yang terkandung nama penumpang dan hotel penginapan mereka. Saya mengintai seketika nama-nama yang ada dengan sekali imbas dan terus berjalan keluar sambil mencari tempat untuk menghisap rokok.
Saya menyalakan putung rokok. Saya menghidupkan handphone lantas terus menerima sebuah mesej SMS dari Yasmin Ahmad. Secara kebetulan, beliau juga akan ke Bali. Saya menjawab SMSnya sambil menghirup udara segar Bali.
Pada waktu itu saya mula sedar bahawa keadaan di Bali agak panas tetapi sedikit berangin. Keadaan di sekeliling diterangi cahaya matahari yang terik dan segar. Keadaan di sekeliling saya nampak terang dan jelas, mungkin kerana kurangnya habuk yang terdapat di udara.
Lapangan Terbang Ngurah Rai, walaupun kecil, tetap nampak cantik. Lapangan terbang ini mungkin saiznya lebih kecil lagi dari Lapangan Terbang Subang. Yang bagus mengenai lapangan terbang ini adalah kedudukannya yang strategik berdekatan dengan kota Denpasar dan Kuta. Tidaklah dibina sebuah lapangan terbang di ceruk rantau tempat jin bertandang, lantas menyusahkan para penumpang.
Tatkala sedang bersantai, saya telah mengambil keputusan untuk menelefon agensi pelancongan yang telah kami gunakan untuk menempah bilik hotel. Saya telah diberitahu bahawa sebenarnya pada waktu itu, sudah ada orang yang telah dihantar agensi untuk mengambil saya dari lapangan terbang kemudian di hantar ke hotel.
"Pak Jansen sudah lama menunggu kamu di sana. Dia masih ada lagi di sana." Kata agen pelancong dengan lembut.
Jadi terus saya bingkas dan mencari orang yang telah ditugaskan untuk membawa saya ke hotel. Kini saya perlu pergi mencari Pak Jansen.
Saya mencari nama saya di antara beratus-ratus nama yang tertulis di atas kertas dan dipegang oleh pemandu pelancong. Lama juga saya mencari, akhirnya terjumpa jua. Saya memperkenalkan diri saya kepada agen syarikat pelancongan yang sedang memegang sekeping kertas yang ada tertera nama saya di atasnya.
"Maaf ya, Pak... Saya nongkrong sambil menghisap rokok di hujung sana." Kata saya kepada Pak Jansen yang berasal dari Flores. Saya seharusnya memanggilnya dengan panggilan "Mas", kerana apabila saya melihat raut wajah serta susuk tubuhnya, saya congak umurnya mungkin tua sedikit sahaja dari saya. "Sudah lama menunggu?" tanya saya kemudian.
"Tidak apa." Jelas Pak Jansen sambil tersenyum. Orangnya rendah dan bermisai tebal. Beliau mengajak saya duduk jauh dari tempat orang berkerumun menunggu penumpang yang baru sampai.
"Teman saya akan tiba sebentar lagi-"
"Cewek atau cowok?"
"Cowok... Dia menaiki pesawat MAS."
"Saya tahu." Pak Jensen memeriksa kembali fail yang dibawanya bersama, "pesawatnya belum tiba lagi. Kita rehat sebentar."
Saya mengangguk setuju. Kami akhirnya berbual sambil menghisap rokok.
"Bagaimana pula kamu bisa berbicara dalam Bahasa Indonesia?" tanya Pak Jansen dengan penuh minat. Saya memberitahunya bahawa saya mempunyai ramai rakan-rakan berbangsa Indonesia sewaktu menuntut di Singapura dan di Amerika Syarikat dahulu. Tatkala di Amerika Syarikat, hubungan saya dengan pelajar Indonesia lebih rapat dari hubungan saya dengan pelajar Malaysia mahupun Singapura. Dan pelajar-pelajar Indonesia yang saya kenali telah memaksa saya berbahasa Indonesia dengan mereka, sehingga akhirnya, saya terbiasa.
Pak Jansen telah menetap di Bali selama 6 tahun. Beliau telah berhijrah ke Bali dari Flores kerana beliau lebih senang mendapatkan pekerjaan di sini. Di tambah lagi, beliau juga agak fasih berbahasa Inggeris.
"Bagaimana dengan kedatangan pelancong ke Bali selepas peristiwa pengeboman?" saya bertanya kepada beliau. Saya inginkan penjelasan darinya, kerana tatkala di dalam pesawat, saya ada membaca tentang Yayasan Sri Kandhi yang telah diasaskan oleh Asriana "Sri" Kebon. Jejak-jejak Sri Kebon, seorang gadis berdarah Bali/Australia ada ditampilkan di dalam filem Bali: Hope in Paradise, sebuah filem yang telah dibikin oleh sutradara dari Kanada, Jane Walters.
"Kedatangan pelancong sudah berkurangan. Tidak seperti dahulu lagi. Tapi sekarang, kita bisa lihat pelancong sudah mulai datang kembali." Jelas Pak Jansen. Di dalam raut wajahnya penuh dengan harapan bahawa keadaan ekonomi di Bali akan kembali pulih seperti sedia kala.
Saya menjenguk ke arah sekeliling saya. Saya menghela nafas panjang. Saya teringatkan kata-kata seorang teman yang bertanyakan kepada saya jika saya takut ke Bali dengan kes pengeboman yang pernah berlaku di sini. Saya mengatakan tidak dengan keras. Saya tidak takut kepada Bali, tetapi takut kepada manusia-manusia seperti Amrozi yang saya fikirkan tidak berperikemanusiaan. "Raison d'Etat" Amrozi mahu mengebom Sari Club ialah untuk membunuh warga Amerika - tetapi kenyataannya, tidak ramai warga Amerika yang terkorban dalam pengeboman di Bali (7 dari lebih 180 nyawa yang terkorban). Yang lebih menyedihkan, ramai warga Indonesia, khususnya dari Bali yang menjadi mangsa keganasannya - pekerja Sari Club, pengunjung serta pemandu teksi yang sedang menunggu di kawasan tersebut. Mereka semua pastinya berkeluarga dan mempunyai tanggungan. Tapi saya pasti, para terroris sepertinya tidak mungkin akan memikirkan ini semua.*
Tatkala sedang rancak berbual, saya terlihat seorang lelaki bali yang sedang memakai pakaian tradisinya - sepasang baju yang kelihatan seperti jaket, sepasang sarung batik dan di luarnya pula disarungkan juga dengan sehelai kain yang dikenali dengan nama saput (yang dipakai seperti kain samping, tetapi dilabuhkan sehingga ke bawah lutut). Di bahagian pinggangnya pula diikat dengan sejenis kain yang dipanggil udeng untuk nampak lebih kemas. Kepalanya pula diikat dengan sehelai kain yang dikenali dengan nama saput (persis tengkolok di Malaysia). Lelaki yang berwajah tampan dan bertubuh tegap itu nampak begitu kacak sekali tatkala mengenakan pakaian tradisinya itu, sehingga mata saya terus-menerus memandang tepat ke arahnya. Mungkin beliau bekerja sebagai seorang pemandu pelancong di salah sebuah hotel di sini.
Sejurus selepas lelaki yang berpakaian tradisi itu hilang dari pandangan (setelah beliau berjalan masuk ke arah tempat meletak kereta), saya berpaling ke arah jam tangan.
"Saya rasa, pesawat MAS sudah tiba." Saya memberitahu Pak Jansen. Beliau bangun, lantas mengambil beg pakaian saya dan berjalan ke arah pintu besar untuk menunggu ketibaan penumpang.
Selang beberapa minit, terus saya dapat melihat kelibat Dia. Terus saya memperkenalkannya dengan Pak Jansen. Dia pada mulanya mahu berkomunikasi dengan Pak Jansen dalam Bahasa Inggeris, tetapi saya memintanya agar berbahasa Indonesia dengannya. Saya rasa, sepanjang masa kami di Bali, Dia terus berbahasa Indonesia dengan penduduk-penduduk tempatan. Dia pada mulanya kaku, dan kemudian agak fasih walaupun terpaksa terbiasa dengan beberapa perkataan dan istilah dalam Bahasa Indonesia yang baru bagi dirinya, seperti pariwisata (pelancongan) sabut pengaman (tali pinggang keledar) dan orang bule (orang putih).
Dari Lapangan Terbang Ngurah Rai, kami terus ke hotel kami: Melasti Beach Bungalow yang terletak di berhadapan dengan pantai Kuta (Jalan Dewi Sartika). Hotel kami ini letaknya hanya sepuluh minit dari lapangan terbang dan dekat dengan pusat membeli-belah di Kuta.
Di dalam perjalanan ke hotel, kami telah menyusuri jalan sempit yang penuh dengan kenderaan di daerah Tuban. Terdapat banyak motosikal di atas jalan raya. Jalan di sebelah kiri dan kanan kami dipenuhi dengan kedai-kedai berbagai-bagai bentuk yang menjual hasil kerja tangan untuk dijual kepada pelancong. Kemudian, kami tiba pula ke kawasan yang dekat dengan pantai. Di sinilah terdapatnya beberapa buah hotel yang telah dibina di tepi pantai. Pada waktu itu, saya teringatkan pula kepada buku yang telah mencetuskan minat saya untuk mencintai pulau ini dan kebudayaannya. Buku yang saya maksudkan bertajuk Our Hotel in Bali hasil tulisan Louise G. Koke.
Buku ini kalau tak salah saya, telah saya pinjam di Perpustakaan Negara Singapura di Stamford Road tatkala saya masih lagi berusia 18 tahun. Tatkala membaca buku ini, saya seolah-olah telah dibawa Louise ke Bali (dan khususnya ke Kuta) pada tahun 30-an. Louise bersama suaminya Bob adalah pasangan rakyat Amerika yang telah membina sebuah hotel di Kuta ketika Kuta adalah sebuah kampung nelayan yang terpencil. Di dalam bukunya ini, Louise menceritakan pengalamannya berkawan penduduk tempatan di Bali, juga para pelancong dan orang-orang Eropah yang telah menetap lama di Bali, seperti pelukis Walter Spies dan Le Mayeur.
Sesudah saya membaca buku tersebut, saya semahu-mahunya membaca seberapa banyak buku tentang pulau Bali. Gamelan Bali menjadi kegilaan saya. Lukisan-lukisan Walter Spies, Le Mayeur, Rudolf Bonnet dan Lee Man Fong saya teliti satu persatu untuk membuat saya faham mengapa mereka telah memilih untuk menetap di Bali dan terus tinggal di sana. Di dalam kegilaan saya, terbentuk sebuah cerita "Satu Senja di Kuta" yang sehingga kini belum saya tulis, tetapi pastinya akan saya cari masa untuk menulisnya.
Pak Jansen dan kami berpisah di lobi hotel. Dia ingin membayar kos penginapan hotel - sehari USD$55 kepadanya, tetapi beliau tidak diberi kebenaran untuk menggunakan mesin credit card kepunyaan hotel. Jadi kami telah bersetuju untuk bertemu pada keesokan petang. Saya terus memberi Pak Jansen tips sebanyak Rp 20,000 (RM 8.80) dan berterima kasih kepadanya.
Hotel ini sebenarnya telah disarankan oleh rakan saya Leez, yang pernah berkunjung ke hotel ini ketika beliau melawat ke Bali awal tahun ini. Leez nampaknya suka kepada konsep hotel ini yang bercirikan hiasan dan senibina Bali dengan pepohon rendang dan menjalar melitupi sebahagian besar hotel ini. Saya pula mendapati keadaan hotel agak sederhana. Ia adalah sebuah hotel yang telah di bina di tepi pantai, lengkap dengan kolam renang yang sentiasa kosong dan tidak digunakan. Saya tidak berapa kisah tentang penginapan kami pada waktu itu, kerana banyak dari masa kami akan dihabiskan di luar hotel.
Sesampainya kami ke bilik, kami terus menelefon Pak Herman. Kami ingin memberitahunya bahawa kami sudah selamat tiba di Bali. Pak Herman adalah kenalan seorang kenalan saya (Jojiena) yang akan mengaturkan agar pada hari esoknya, seorang pemandu akan datang untuk mengambil kami dari hotel dan bersiar-siar.
"Kalau esok kita tukar hotel, macam mana ye? Terus kita lari tak payah bayar Pak Jansen tu!" Dia berseloroh, kerana Pak Jansen terus-menerus mempercayai kami untuk menetap di hotel ini tanpa wang cengkeram dan sebagainya.
Sebenarnya, setelah beberapa hari saya menghabiskan masa di Bali, saya mendapati bahawa orang-orang Bali kurang rasa curiga terhadap pelancong dan di kalangan mereka sendiri boleh dipercayai. Pak Herman pernah beritahu kepada kami sewaktu kami melalui jalan sesak di Legian (ala-ala Bangsar versi Bali tetapi mungkin lebih hebat dan lebih "happening" sedikit dari Bangsar) bahawa jika ada berlaku kejadian mencuri, si pencuri akan dikejar beramai-ramai dan akan dipukul oleh penduduk-penduduk tempatan.
Seperkara lagi yang saya perhatikan tentang orang-orang di Bali (sejak saat saya tiba di lapangan terbang) adalah kesudian mereka untuk senyum - satu perkara yang jarang-jarang sekali dilakukan di kota-kota besar Singapura dan Kuala Lumpur. Mereka di Bali akan memulakan senyuman dengan ikhlas, walaupun dengan orang yang tidak mereka kenali (malah sesama mereka sendiri). Dan saya pula perlu belajar untuk kembali membalas senyuman mereka. Satu perkara yang sudah lama tidak saya lakukan semenjak saya menetap di Kuala Lumpur. Di sini, saya mendapati, senyuman kadang-kala boleh membawa kepada perasaan curiga...
Kami telah mengambil keputusan untuk berehat di dalam bilik setelah kepenatan bangun pada waktu subuh, memandu selama satu jam lebih sebelum dapat tiba ke Sepang dan penerbangan yang pendek tetapi agak meletihkan.
Dia terbaring di atas katil sambil menonton acara gimnastik di saluran ESPN dan saya pula mengambil keputusan untuk baring bersantai di balkoni sambil berjemur. Sebelum itu, kami telah meminta pihak hotel seterika, tetapi mereka tidak ada. Mereka meminta kami untuk menggunakan perkhidmatan dobi yang mereka sediakan. Kami menurut sahaja. Lebih baik membayar lebih dari memakai baju yang ronyok, fikir kami.
Setelah puas berehat selama sejam, kami akhirnya mengambil keputusan untuk keluar menjelajah bandar Kuta.
* Baru sahaja kelmarin, Basra dan Riyadh di bom. Ramai di antara mereka yang terkorban adalah kanak-kanak.
Sutradara; Lakonlayar : David Koepp Genre : Drama/Misteri/Cemas/Psiko Pelakon : Johnny Depp, Maria Bello, John Turturro, Timothy Hutton, Len Cariou Novel adaptasi : "Secret Window, Secret Garden" oleh Stephen King Distributor : Columbia Pictures ___________________________________________________
"Jendela Rahsia – Cemas lagi mencemaskan"
Melihatkan judul filem ini, terus terang saya katakan bahawa ia tidak menarik minat saya untuk menontonnya. Malah hati saya awal-awal lagi sudahpun berkata "Mesti bosan filem ni…". Namun, tanggapan saya silap kerana sememangnya saya 'terperangkap' dari awal hingga ke akhir babak. (dan tidaklah menjadi satu kerugian untuk saya lepaskan dulu filem Taking Lives untuk menonton filem ini).
Sinopsis
Mort Rainey (Johnny Depp) ialah seorang penulis novel terkenal. Suatu petang, beliau didatangi seorang yang tidak dikenali (memperkenalkan diri sebagai John Shooter). Lelaki misteri tersebut lantas menuduhnya 'mencuri' karya novelnya ("You stole my story", katanya).
Shooter menunjukkan bukti karya asalnya yang saling tak tumpah dengan apa yang Mort telah karangkan. Tambah Shooter lagi, sudah hampir tujuh tahun (1997) beliau menulis cerita tersebut. Walaubagaimanapun, novel karya Mort pula diterbitkan dua tahun sebelumnya (1995) di sebuah majalah. Justeru Mort diberi masa tiga hari untuk tampil dengan bukti-bukti tersebut, jika tidak, beliau akan menerima akibatnya.
Situasi ini begitu mengkalutkannya apatah lagi beliau berada dalam proses penceraian berikutan kecurangan isterinya, Amy. Amy ditangkap bersama-sama teman lelakinya oleh Mort di sebuah motel. Atas kejadian tersebut, Mort jadi tak tentu arah dan mengambil keputusan untuk menjauhkan diri di sebuah kabin sambil meneruskan kerjayanya sebagai penulis.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi Mort kerana rumah isterinya bersama teman lelaki baru itu telah dibakar. Satu-satunya bukti majalah yang tersimpan di rumah tersebut kini musnah. Mort kini dalam bahaya akibat ancaman Shooter tersebut. Satu-persatu peristiwa aneh mengganggu hidupnya bermula dari saat kematian anjingnya.
Konsep/Cerita/Arahan/Lakonan
Filem ini begitu cemas dan mendebarkan. Dari saat permulaan sehingga ke akhir babak, saya seolah-olah dipaku di tempat duduk saya. Ia mengingatkan saya kepada filem Identity tahun sudah, yang mengajak kita bermain teka-teki. Malah, elemen cemas yang digarap tampak lebih berkesan dalam mewujudkan sebuah kekalutan emosi. Ia sememangnya menjadi sandaran utama filem ini.
Kisah yang diadaptasikan dari novel Stephen King ini dilayarkan ke skrin dengan gaya tersendiri David Koepp (Masih ingat Panic Room atau Stir of Echoes?). Pastinya filem ini jauh lebih bermutu dari filem Dreamcatcher (filem penuh 'kegagalan') tahun lepas, yang juga berdasarkan novel King. Jadi, David Koepp yang juga selaku pengarah, begitu teliti dalam pengolahan sebuah adaptasi.
Apa yang nyata, Johnny Depp, pelakon yang mula-mula mencipta nama dalam siri television 21 Jump Street satu masa dulu, membuktikan sekali lagi selepas menerajui filem-filem hebat seperti Once Upon A Time In Mexico, Sleepy Hollow, Edward Scissorhands, dan juga watak 'lanun lembut' dalam Pirates of The Carribean, sememangnya beliau pelakon versatile.
Lakonan Depp (berimej kusut masai) dalam filem ini berjaya mewujudkan tempo dan mood serta konflik pergolakan jiwa seorang penulis yang dirundung masalah. Bagaimanapun, harus saya bangkitkan di sini bahawa lakonan dinamik John Turturro yang mendokong watak sebagai John Shooter, jelas memainkan peranan besar dalam menghidupkan unsur suspen dan keresahan dalam filem ini.
Sebenarnya, filem ini penuh dengan maksud serta tema 'gelap' yang 'tersembunyi'. Konsep 'krisis-identiti' serta unsur twist yang ditonjolkan menjadikan filem ini menarik sekali untuk ditonton. Ia bukan sekadar kisah cemas semata-mata, tetapi lebih memberi konteks yang luas kepada permasalahan rumahtangga dan yang penting ialah menyingkap puncanya.
"Jendela Rahsia" itu mengundang seribu misteri dan ia sebagai metafora filem ini. Justeru, tidak salah rasanya jika saya letakkan filem ini antara genre terbaik tahun ini (setakat April 2004).
'When there's no more room in hell, the dead will walk to the earth'. Tagline filem yang menggunakan bahasa ekstrim ini awal-awal lagi sudah mengajak penonton untuk bermain dengan kreativiti daya pemikiran agar memberi gambaran awal mengenai apa yang akan disajikan sebelum menonton filem ini. Perhiasan literal ini nyata memberi kesan imaginasi yang tidak terjangkau oleh kemampuan pemikiran saya. Ini semacam satu isu keakhiratan yang lari dari klise lazim - cuba disesuaikan dengan agenda keduniaan, seperti kiamat sebelum masanya. Bermacam imej reaksi Tuhan terhadap aktiviti bobrok perlakuan manusia terpampang di layar minda. Mengasyikkan, mengerikan dan menggusarkan. Skrin paparan minda bertukar set - dari rahmat ke bala, dari bala ke mati, dari mati ke kiamat, dari kiamat ke neraka, dari neraka ke syurga. Betapa gegaran daripada tagline ini cukup dirasai.
Sinematografi
Erti kiamat mula ditelanjangkan apabila suatu pagi yang indah disimbah renjis asmara semalam Ana bangun dan sekonyong-konyong diserang oleh gadis jirannya yang bertukar menjadi zombie. Lebih menggerunkan lagi apabila Ana dapat tahu satu kawasan perumahannya telah menjadi kucar kacir kerana 'zombie makan orang'. Itu belum lagi tatkala dia dimaklumkan bahawa satu Amerika dilanda gejala yang sama. Saya katakan filem ini menggerunkan dari awal sehinggalah ke akhir tayangan. Pengarahnya Zack Snyder berjaya menghembuskan nyawa yang lebih realis terhadap genre filem horror ini dengan melakukan penyesuaian yang sangat teknikal dan sadis bukan sahaja dari segi sinematografi malah penghayatan watak kemanusiaan dan kedongengan secara halus. Ia bukan satu filem yang leceh dan meleret leret. Segala yang berlaku mengalir dengan pantas dan ia digambarkan dengan berkesan seiring dengan speed ketiba-tibaan malapetaka yang rasional dan logik.
Perbezaan yang jelas antara versi asal Dawn of the Dead oleh George Romero dan versi baru nyata terletak pada teknik sinematografinya. Seni pengarahan produk Hollywood era baru menampakkan peningkatan mutu yang sangat profesional dan mengambil kira setiap perkara yang mahu diketengahkan sebagai tunjang kejayaan filem Hollywood masa kini. Versi baru filem ini lebih skillful dan kurang berani. Ia juga lebih baik biarpun fokus utama telah diset dan dihadkan di dalam sebuah pasar raya besar. Mayat bertukar menjadi zombie dalam kadar masa yang sangat singkat. Zombienya pula bergerak pantas, lebih bijak dan tangkas dalam mengambil keputusan. Ia juga jauh lebih ganas berbanding zombie pada filem era 80an. Hanya satu cara sahaja untuk membunuh zombie ini iaitu tembak tepat pada kepalanya. Satu revolusi watak maya yang inovatif dan boleh dibanggakan tetapi agak stereotaip juga, kerana 28 Days Later dan Resident Evil juga mengadaptasikan kesan interface yang sama.
Mesej, Falsafah dan Kritikan
Cuma filem remake ini agak kabur dan kurang kemas dalam pemaparan falsafah yang terkandung di dalamnya berbanding versi asal. Saya cenderung mentakrifkan konsep konflik dengan mengambil kira perselisihan antara dua golongan - pro dan kontra. Jika tafsiran ini diterima, maka perselisihan antara zombie dan manusia tidak rasional lagi dilihat sebagai konflik kerana zombie tidak berperwatakan sama ada pro atau kontra. Zombie tidak harus, tidak perlu dan tidak sesuai dipertanggungjawabkan dalam malapetaka ini kerana tiada sesiapa pun yang dapat memberitahu sama ada ia adalah sejenis penyakit atau virus yang disebarkan oleh kesan gigitan manusia sendiri atau ia memang bala yang turun daripada Tuhan. Kemudian mayat bertukar menjadi zombie, zombie akan gigit manusia dan manusia akan menjadi zombie, zombie itu kemudian akan... Jadi apresiasi saya kabur, cuma penerimaan saya jelas - this is a movie about humans fighting ghouls. Cuma ghouls ciptaan filem barat lebih hidup berbanding filem Asia khususnya filem Hong Kong. Saya menyukai ketertinggian logikal movie ini walaupun jika tidak direnung ke dasar akar umbi, ia memang sebuah filem ghouls semata mata. Saya rasa tidak hairan dunia ini akan mengalami insiden yang sama, kalau sebagai permulaan kita sudah dikejutkan dengan perubahan genetic virus yang manusia cipta sendiri seperti JE, Virus Nipah, SARS, bird flu dan sebagainya. Daya tahan virus juga terbukti akan menjadi lebih kuat angkara kesan sampingan penyalahgunaan teknologi yang dicipta manusia sendiri. Ini juga satu bala yang diturunkan kepada umat manusia yang alpa dan lalai. Cuma peratusan manusia menjadi zombie saya kira terlampau tipis. Tetapi ulasan ini memang ditulis berdasarkan andaian kemungkinan ini. Jika tidak, segala apresiasi akan menjadi sia sia.
Idea Zack Synder untuk mempertanggungjawabkan malapetaka ini kepada kesan tindak tanduk manusia adalah cukup wajar. Babak yang memaparkan adegan kekejaman diselang selikan dengan isi kandungan temuramah pihak media dengan pihak superior adalah penting untuk memberitahu pentonton ini bukan filem main main. Mesejnya jelas, semua ini adalah bala sebagai balasan yang Tuhan beri akibat tindak tanduk manusia sendiri - apabila manusia sudah tidak mampu untuk memberi jawapan tepat. Bak kata fadz, "Apa yang dibawa oleh pengarahnya, Zack Snyder adalah satu satira abad ke-21 Amerika/sci-fi distopia masyarakat yang bernama manusia. Distopianya sungguh kelam dan kalau kita selami dengan lebih dalam filem ini, pesismenya sangat jelas. Ia mengutuk, dan saya kata, benar-benar mengutuk manusia sebagai semula jadinya 'amat lemah' walau bagaimana unik 'kelebihan' yang Tuhan berikan pada mereka - kuasa untuk membuat pilihan."
Ada dua babak yang menjadikan saya mula bermain teka teki dengan niat Zakck Synder dengan set background pilihannya. Pertamanya dalam opening scene, umat Islam yang sedang sujud diselang-selikan dengan paparan kekejaman dan yang kedua, seorang wartawan TV yang sedang melaporkan suasana lintas langsung berlatarbelakangkan Masjid Sulaiman di Istanbul telah diserang oleh zombie berbangsa Arab. Ini adalah babak-babak yang berlangsung kurang daripada 1 minit tetapi kesan konflik penerimaan saya sebagai orang Islam adalah sangat kuat. Saya mengandaikan Zack Synder cuba mengungkap dua kemungkinan berdasarkan logikal persis isu semasa. Pertama agama Islam adalah agama yang diiktiraf beliau sebagai agama yang syumul - dan melibatkan banyak peraturan dan tatacara. Zack memilih scene umat Islam bersembahyang dengan tertib yang menakjubkan kerana beliau sendiri kagum dengan rutin 5 kali sehari yang dilakukan oleh umat Islam ini. Tetapi apresiasi ini dihargai dengan sinis. Buktinya dalam babak yang kedua beliau cuba mengungkap - umat Islam memang tidak dapat dipisahkan dengan terrorism. Saya cuba teka kenapa Zack tidak memilih agenda Kristian seperti Pop John Paul II diarak orang ramai dan sebagainya. Mungkin, barangkali Zack sendiri merasakan upacara spiritual yang melibatkan manusia dengan Tuhan bukannya boleh berlangsung dalam suasana yang casual seperti berjumpa bakal mertua. Ia wajar melibatkan tatacara yang agung, serius dan beridentiti. Tetapi beliau tidak menyalahkan umat Islam semata-mata, kerana beliau sendiri cuba mengutuk tindakan kuasa veto barat yang mengiakan hura hara dunia Islam dengan siri peperangan yang nyata telah menggugat keamanan dunia sejagat. Justifikasi di sini ialah tidak kira Islam atau tidak, hentikan peperangan!
Cara olahan filem ini tidak banyak berubah dari filem asal dari segi jalan cerita tetapi ia telah disuntikkan unit kemanusiaan untuk mengetengahkan beberapa karakter bagi menguatkan tahap penerimaan penonton. Pertama sekali kita diperkenalkan Ana, seorang jururawat yang ditunjangi Sarah Polley. Beliau menamatkan tugas syif malamnya dengan lancar dan memandu balik ke rumah seperti sedia kala. Ana dan suami menghabiskan malam terakhir dengan romantik dan malapetaka bermula hanya selepas 6.37 pagi apabila mereka dikejutkan dengan kehadiran gadis muda jiran mereka yang sekonyong-konyong menyerang si suami. Darah mengalir deras dan suaminya meninggal dunia serta merta. Tidak sampai beberapa saat pun, suaminya bangkit menjadi zombie dan cuba menyerang Ana. Saat saat genting begitu Ana meninggalkan kawasan kediamannya dan mendapati zombies telah mengambil alih kawasan tersebut mengetepikan manusia sebagai pemilik sah kawasan tersebut. Starting point yang stereotaip ini menepati jangkaan awal saya - pasti ada sekumpulan manusia yang secara selektif menjadi survivor dalam filem ini yang kemudiannya akan membentuk plot, konflik dan epilog filem ini. Selain Ana, filem ini turut diterajui oleh Kenneth(Ving Rhames) - seorang polis yang sentiasa optimistik; Michael (Jake Weber) - seorang lelaki yang sentiasa tenang dan tidak mudah akur pada situasi; Andre (Mekhi Pfifer) - seorang suami yang menjadi mangsa zombie dan sedang menunggu saat saat indah ditabalkan menjadi ayah tetapi tidak berkesempatan dan CJ(Michael Kelly) security guard di pasar raya tempat sementara mereka menyelamatkan nyawa.
Tidak banyak yang boleh dicelotehkan mengenai lakonan mereka kerana fokus utama filem ini ialah insiden non-stop thrill ride-nya. Terdapat beberapa babak yang secara sedar anda pasti akan tahu apa yang akan terjadi tetapi penghayatan yang terheret heret mampu menyebabkan akan terjerumus dengan helah pengarahnya. Sentimen kemanusiaan yang bermain di dalam hati setiap survivor juga terlukis dalam selitan konflik antara 'meneruskan kehidupan' atau 'kasih sayang' dengan indah dan menyayat hati. Saya cukup tersentuh dengan ending filem ini apabila Kenneth memberitahu Ana dia telah digigit oleh zombie dan tidak dapat meneruskan misi menyelamatkan diri mereka. Biarpun sukar untuk menerima kenyataan ini, namun Ana harus melepaskan Kenneth kerana mereka tidak mungkin akan meneruskan kehidupan secara normal. Sayangnya watak Kenneth diperindahkan dengan sempurna (terlalu sempurna) sehingga apa sahaja situasi yang melanda mereka, Kenneth akan mengambil keputusan berdasarkan teori di atas kertas yang lazim sehingga kadang kala, saya merungut kerana watak beliau seakan diolah tanpa penilaian sifat kemanusiaan yang sewajarnya. Saya lebih rela beliau tidak dimatikan tetapi sifat kecatatan beliau serba sedikit ditonjolkan untuk meredakan konsentrasi saya terhadap penghayatan movie yang endingnya sadis ini. Saya jangkakan semua orang tahu cerita terkemudian daripada ending filem ini - kiamat. Jadi apalah bezanya memberikan survival mutlak kepada Kenneth kalau endingnya sudah secara tidak sengaja tidak boleh berubah lagi?
Epilog
Saya tidak mengatakan filem ini adalah filem grade A seperti Good Well Hunting, Cold Mountain atau A Beautiful Mind yang punyai falsafah besar dari awal lagi biarpun ia agak bagus seacara totalnya. Saya percaya filem genre thriller atau horror juga boleh berfalsafah seperti filem yang saya sebutkan tadi. Namun saya agak prejudis terhadap filem remake. Filem ini tidak menghampakan, tetapi terlalu terikat dengan stail Dawn Of The Dead yang asal - yang memang diiktiraf sebagai filem yang mantap dari dulu lagi. Seperti The Ring versi Jepun dan Hollywood, yang original nyata lebih menyengat biarpun yang remake mempunyai banyak kesempatan untuk memperbaiki kelemahan yang original. Kenapa ya?
Tatkala saya diajak untuk menonton sebuah persembahan tarian oleh DBKL oleh Rohaizad Suaidi, salah seorang hakim BOH Cameronian Arts Awards - saya hampir-hampir mahu menolak jemputannya itu. Dalam fikiran saya, apa yang bakal saya saksikan adalah sebuah lagi muzikal purba yang entah sudah berapa kali saya saksikan persembahan seumpamanya sebelum ini...
Anggapan saya ternyata salah. "Katarsis - Dance Exploration" merupakan sebuah persembahan yang bersifat avant-garde.
Katarsis - Dance Exploration dibahagikan kepada tiga persembahan. Persembahan pertama, Erti Damai merupakan karya koreografer Khalib Shafi. Antara, karya koreografer Yusoffnor dan Jampi Bangsaku, karya koreografer Jasni Abd Hamid.
Mungkin apa yang saya saksikan tidak begitu mengejutkan sehingga mampu mencetuskan rusuhan di luar Bangunan Panggung Bandaraya; seperti mana yang berlaku di hadapan Théâtre des Champs-Eysées, tatkala The Rite of Spring dipersembahkan - kerana saya pasti, khalayak kita cukup sopan dibandingkan dengan khalayak di Paris pada waktu itu (Penonton kita masih mampu "commolot" dan mengucapkan tahniah walaupun dalam hati tak suka). Tetapi apa yang saya percaya, karya avant-garde seperti Kartasis mungkin mampu mencetuskan perbincangan yang hebat di kalangan peminat seni tanah air. Ada yang menyukainya dan ada, penonton murba seperti saya berada dalam keadaan keliru.
Tatkala menonton, dalam diam, saya mahu menjerit, ketawa dan protes. Tetapi saya cukup-cukup mengalu-alukan perasaan ini untuk muncul dalam diri saya sewaktu sedang menyaksikan satu-satu persembahan. Saya menganggap, sesebuah karya itu tidak harus dan mungkin tidak layak dipanggil avant-garde jika cetusan-cetusan perasaan seperti ini tidak timbul dari penonton seperti saya.
Idea di sebalik Kartasis baik. Tetapi secara jujur, bentuk persembahannya dapat diperbaiki lagi. Saya dapat melihat tarian ala Sankai Juku (terutamanya dalam persembahan Erti Damai) yang sememangnya menarik, tetapi hanya menarik jika ianya berisi dan koreografernya mengambil lebih masa meneliti maksud yang ingin mereka sampaikan.
Apa yang dapat saya perhatikan pada malam itu, (terutamanya dalam persembahan bertajuk Antara) seperti kehilangan arah. Dalam tarian tersebut, beberapa pelaku duduk di sekeliling sekujur mayat wanita sambil membaca Yasin. Mayat kemudian bangkit dan menari. Di bahagian kanan pentas juga, seorang lagi wanita menari. Mungkin rasa kurang selesa ini timbul tatkala menyaksikan perkara ini berlaku di hadapan saya.
Persembahan Antara, menurut Rohaizad Suaidi, adalah sebuah komposisi yang berani yang menggunakan unsur istiadat keagamaan yang meniti di atas batas persembahan tarian dan lakonan. Walau bagaimanapun, ia telah dilakukan secara superfisial. Persembahan ini tidak dihalusi dengan lebih mendalam melalui proses pembangunan idea dan penciptaan gerak tari yang memerlukan penerapan idea yang lebih teliti.
Dalam Erti Damai, hasil karya Khalib Shafi, beberapa pergerakan boleh disunting dengan lebih baik, jika tidak ia akan kelihatan seperti sedutan cerita seram dari Korea. Entah mengapa, saya seronok melihat persembahan ini pada mulanya, tetapi kerana ia meleret-leret, tumpuan saya hilang entah ke mana.
Dalam ketiga-tiga persembahan yang ada, saya lebih senang dengan persembahan Jasni Abd Hamid bertajuk Jampi Bangsaku. Persembahannya lebih teratur dengan pergerakan yang nampak lebih kemas. Improvisasi tarian berjaya menterjemahkan isu yang mahu dibentangkan oleh penari dan pereka tari.
Pada hemat saya, komposer muzik Kartasis, Kudin telah mempersembahkan satu kerja yang cukup-cukup bermutu. Beliau dapat menghidupkan naskhah-naskhah tarian dalam Kartasis dengan baik sekali. Tata cahaya juga kemas dan penggunaan multimedia untuk Jampi Bangsaku, menarik walaupun bukan satu perkara yang baru.
Selesai menonton Katarsis, saya bertanyakan seorang penonton (yang bukan berbangsa Melayu), apakah perasaan beliau sewaktu menonton beberapa persembahan dalam Kartasis yang seolah telah dibuat hanya untuk penonton Melayu/Islam dan meminggirkan penonton-penonton lain. Beliau akur bahawa beliau merasa cukup terpinggir, tetapi beliau telah memberi peringatan kepada saya bahawa inilah realitinya di Malaysia. Satu realiti yang saya sendiri cuba telan perlahan-lahan walaupun sukar untuk saya menerimanya.
Marion D'cruz, koreografer terkenal tanah air memuji persembahan ini kerana ia merupakan sebuah persembahan yang bergerak jauh dari persembahan ala "Citrawarna" yang selalu dilakukan oleh penari-penari DBKL ini. Saya menyokong pendapatnya ini. Jika kita mahu memupuk budaya cintakan seni persembahan dalam masyarakat kita melalui persembahan Citrawarna yang penuh dengan elemen-elemen ala Bollywood, baik tak payah. Biarlah para pelancong dibuai dengan tarian-tarian plastik ini yang mungkin boleh dipertikaikan keasliannya. Penonton-penonton tempatan seperti saya, berhak untuk mendapat sesuatu yang lebih baik dan bermakna dari mereka.
Saya ingin memuji DBKL kerana berani membawa satu kelainan. Apa yang saya saksikan pada malam itu merupakan satu anjakan paradigma. Menurut Edy Hashim, Penolong Pengurus Produksi Kartasis, mereka ingin melakukan sesuatu yang baru agar sebuah ikon baru dalam budaya, khususnya dalam seni tarian Malaysia dapat dilahirkan. Apa yang pihak beliau cuba lakukan sememangnya penting, kerana ia seolah menjadi pembuka jalan bagi kumpulan-kumpulan lain agar lebih berani mempersembahkan sesuatu yang lain dari yang lain. Jika kumpulan dari DBKL dapat melakukannya, mengapa tidak kumpulan yang lain. Yang jelas, melalui Kartasis, kita dapat melihat DBKL sedikit sebanyak mahu bersifat lebih terbuka (atau sekurang-kurangnya ini yang saya tafsirkan). Mungkin ini satu tanda yang baik bagi penggiat-penggiat seni tempatan. Sikap keterbukaan seperti inilah yang mahu kita dapatkan dari DBKL, jika tidak, seni dan budaya akan terus terpinggir - dan jangan sebab mereka nanti, Kuala Lumpur akan terus-menerus menjadi sebuah "cultural desert", atau sebuah kota yang hanya mampu membuahkan hasil-hasil seni yang kurang bermutu dan yang tidak dapat bersaing di arena antarabangsa.
Kita harus biarkan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL berkatarsis melalui persembahan mereka kali ini. Mereka perlukan ini semua untuk meluahkan segala-galanya yang terbuku di dalam diri mereka. Dan selepas sesi kartasis mereka ini, diharapkan nanti mereka akan mampu melahirkan karya-karya yang bersifat kontemporari (kontemporari tidak semestinya avant-garde) dan jitu. Sebuah karya dengan perbendaharaan baru dalam dunia tarian Malaysia yang kali ini, dibuat dengan lebih fokus dan padu.
Buat peminat yang datang menjenguk ke panggung dan terpandang poster besar filem bertajuk 'Super Sapiens', suka kiranya saya terangkan yang tajuk asal filem tersebut adalah Hellboy, sebuah adaptasi dari komik superhero terbitan Dark Horse. Kenapa ditukar tajuknya? Kerana di Malaysia kita punya ramai golongan cerdik pandai yang akan mengharamkan tayangan filem tersebut jika tajuknya dikekalkan (iaitu Hellboy). Hellboy jika diterjemahkan bermaksud 'Budak lelaki neraka', Tidak, golongan cerdik pandai ini bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan warganegara Malaysia dari filem yang punya tajuk negatif seperti neraka. (atau Syaitan berani @ Daredevil?).
Hellboy opss... Super Sapiens adalah hasil arahan Guillermo Del Toro (Blade II & Mimic) dengan barisan pelakon Ron Perlman (Hellboy), Selma Blair (Liz Sherman), John Hurt (Prof. Broom), Doug Jones (Abe Sapien) & Karel Roden (Rasputin). Filem ini diadaptasi dari salah satu siri komik Hellboy bertajuk 'Seed of Destruction'.
Hellboy (ketika itu masih bayi) pada asalnya telah diseru oleh Rasputin dengan tujuan untuk menghancurkan dunia. Rasputin adalah sebahagian dari projek rahsia Hitler pada perang dunia ke-2 dalam usaha memenangi perang yang sedang bergolak. Kononnya Hitler secara rahsia adalah seorang yang mempunyai obsesi dengan hal-hal berkaitan dengan para normal. Namun usaha Rasputin tersebut gagal apabila diserang hendap oleh tentera-tentera Amerika lantas Hellboy jatuh ke tangan orang baik. Kita kemudian dibawa ke zaman sekarang di mana Hellboy telah dewasa dan menjadi agen untuk satu organisasi rahsia bernama Bureau of Paranormal Research and Defence (BPRD). Namun tanpa disangka-sangka Rasputin telah dihidupkan kembali oleh pengikut-pengikut setianya dan menyambung kembali rancangan yang telah gagal berpuluh tahun lalu. Kini menjadi tugas anggota BPRD iaitu Hellboy, Abe Sapien (seorang mutant yang hidup di dalam air dan mempunyai kuasa psikik), Liz Sherman (seorang awek yang mempunyai kuasa pyrokinesis) dan John Meyers, seorang ejen FBI yang baru ditukarkan ke biro itu untuk menghalang rancangan Rasputin.
Apabila sesebuah filem adaptasi komik tersebut dihasilkan, satu aspek penting yang amat ditakuti oleh si pengarah adalah penerimaan peminat setia komik tersebut. Sebagaimana peminat X-men memuji X-2 atau peminat League of Extraordinary Gentlemen menghentam filem tersebut. Namun Guillermo bertuah kerana pencipta Hellboy, Mike Mignola turut serta dalam proses produksi menjadikan mood filem ini tidak banyak lari dari komik asalnya. Cuma mungkin satu karakter baru diperkenalkan iaitu John Meyers namun tambahan tersebut tidak mencacati cerita yang dipersembahkan.
Seperkara yang menarik perhatian saya adalah penceritaan karakter-karakter utamanya yang agak sempurna dan tidak mengelirukan saya. Pengarah menceritakan asal, tujuan dan peranan karakter-karakter seperti Hellboy, Liz Sherman, Prof. Broom, Rasputin dan Kroenen dengan pelbagai variasi. Sebagai contoh asal Hellboy diceritakan secara imbas kembali pada awal cerita, siapa Liz Sherman boleh kita tahu kalau mata anda semua tajam memerhatikan gambar-gambar dan klip video TV di dalam bilik Hellboy dan kenapa Kroenen menjadi sedahsyat itu semasa Prof. Broom membuat proses autopsi ke atasnya. Penceritaan setiap karakter tidak terlalu ringkas dan lemah seperti LXG. Sepanjang perjalanan filem bergerak menceritakan setiap satunya dengan jelas sekali.
Satu lagi elemen yang menambat hati saya adalah konflik cinta tiga segi antara Hellboy, Liz Sherman dan ejen Meyers. Secara ringkasnya Hellboy telah lama menaruh hati ke atas gadis tersebut tetapi tidak mampu meluahkannya. Kebetulan pula ejen Meyers hadir sebagai seorang yang selalu menyenangkan hati Liz. Tambahan lagi Liz pernah lari dari BPRD dan bertekad untuk tidak mahu pulang lagi. Siapa lagi yang mampu memujuk Liz pulang ke BPRD kalau bukan ejen Meyers. Ini menambahkan lagi perasaan cemburu si Hellboy. Dia diserang perasaan rendah diri apabila membandingkan dirinya dengan ejen Meyers. Iyalah, antara ejen Meyers yang tampan dengan si Hellboy yang... ehem... tak ada rupa manusia, agak-agak si jelita akan pilih siapa? Ucapan-ucapan yang hadir dari mulut Hellboy untuk mencuri hati Liz agak ringkas dan tidaklah seromantik mengambil contoh Jerry Maguire barangkali?. Namun ianya sudah cukup memberi kesan tentang perasaannya. Saya juga menganggap chemistry antara Hellboy dan Liz merupakan yang terbaik antara filem-filem superhero yang saya tonton sebelum ini. Menolak terus chemistry antara Batman dan Catwoman (Batman Returns) ke nombor dua.
Pemilihan Ron Perlman sebagai Hellboy begitu tepat sekali. Beliau berjaya membawa karakter tersebut dengan begitu baik dan sebagaimana Hugh Jackman dianggap lahir untuk membawa karakter Wolverine dalam filem X-Men, begitu juga Ron Perlman.
Saya tidak tahu bagaimana dengan penerimaan peminat Hellboy, namun untuk bukan peminat, Hellboy menghidangkan satu persembahan yang amat menarik sekali. Tidak peduli apa yang orang lain kata, Hellboy sudah berada sama taraf dengan X-2, Batman (arahan Tim Burton) dan Spiderman.
Oh ya, saya terus menerus merujuk filem ini sebagai Hellboy bukan Super Sapiens kerana saya tak suka nama tersebut. Haha!
Malam Satu Drama - Himpunan empat monodrama tentang manusia serigala, pengkid, bintang popular dan badut yang malang.
Pada minggu lepas (26 & 27 Mac 2004), bertempat di Auditorium Mini Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur dan dalam jangka masa dua hari saya telah menyaksikan empat buah monodrama. Bukan satu rekod buat diri saya, kerana pada tahun lepas saya telah melakukan perkara yang sama tatkala menyaksikan Projek Suitcase kelolaan Teater Ekamatra bersama Pustaka Cipta. Malam Satu Drama merupakan projek komersial sulung Mekar Budaya Production, penganjur himpunan empat monodrama ini.
Pementasan pertama dalam siri Malam Satu Drama ini bertajuk Monolog Sang Serigala, sebuah produksi Pentas Lakon Universiti Malaya (PELAKON). Karya monolog Dorothy Jonathan ini telah diarahkan oleh Rosdeen Suboh dan dilakonkan oleh Hushairi Husin dengan penampilan koleksi puisi dan ciptaan muzik oleh Zubir Ali.
Pada dasarnya Monolog Sang Serigala merupakan sebuah monodrama mengenai kemelut yang berlaku di universiti di mana berlakunya eksploitasi tenaga pengajar terhadap murid-muridnya untuk mendapatkan nama dan kedudukan di menara gading. Persoalan yang cuba dikemukakan penulis menarik dan jarang-jarang diperkatakan.
Monolog Sang Serigala menarik, tetapi bagi saya agak meleret-leret. Props kerusi telah digunakan dengan begitu baik sehingga mampu menjadi "watak" dalam pementasan ini (termasuklah satu adegan yang kelihatan begitu erotik sekali). Sayang sekali dalam pementasan ini telah berlakunya kesilapan teknik sehingga lagu-lagu yang telah digubah khas oleh Zubir Ali tidak dapat dimainkan. Perkara ini sedikit sebanyak telah mengganggu konsentrasi serta pemahaman penonton.
Monolog Seorang Perempuan, sebuah karya Lena Farida arahan Engku Normalareesa dengan bantuan Kartika Mohamad dan lakonan Mardiana Ismail pada hemat saya adalah sebuah pementasan yang cukup ikhlas lagi jujur. Persoalan tentang jeritan hati seorang wanita yang mencari kebahagiaan dalam segala kesulitan hidup yang terpaksa ditempuhinya, walaupun bukan satu rencah yang baru - tetapi apabila persoalan seksualiti diambil kira, saya anggap perkara ini baru dan berani. Untuk memahami lebih lanjut Monolog Seorang Perempuan, bayangkan sebuah pementasan teater Melayu dengan tema filem Monster lakonan Charlize Theron, tetapi dengan tragedi yang melibatkan hal bunuh diri dan terpenjaranya seorang wanita yang tidak bersalah. Luar biasa bukan?
Saya mahu menganggap tragedi yang saya tonton cuma lakaran seorang penulis semata-mata. Tetapi saya telah diberitahu oleh seorang rakan penonton bahawa cerita ini seakan-akan menyerupai sebuah kejadian yang telah berlaku di negara kita beberapa tahun yang lalu. Maka saya pergi menemui penulisnya, Lena Farida. Beliau dengan berterang-terang memberitahu kepada saya bahawa cerita yang ditulisnya ini adalah berdasarkan sebuah kisah benar yang telah berlaku kepada seorang kenalannya.
Teks yang cukup kuat dan memberangsangkan oleh Lena telah dibantu oleh lakonan cemerlang Mardiana Ismail. Saya mahu melihat lagi lakonan pelakon berbakat ini, yang saya dengar mungkin akan berhenti berlakon apabila beliau berkahwin pada pertengahan tahun ini. Saya harap, apa yang saya dengar ini tidak benar sama sekali, kerana Mardiana seorang pelakon yang berbakat dan bakatnya dalam bidang lakonan tidak harus disia-siakan begitu sahaja!
Tatkala menyaksikan Kepadamu, sebuah karya arahan Loy Chee Luen ini, saya tidak faham mengapa sebuah cerita yang meletihkan seperti ini perlu dipersembahkan. Sewaktu menonton, terlintaslah dalam kepala saya, mungkin apa yang sedang saya saksikan adalah sebuah persembahan teater dengan teknik penceritaan ala Ingar Bergman ataupun Andrei Tarkovsky yang lembap, tetapi pastinya mempunyai sebuah pengakhiran cerita yang menggegarkan minda - malangnya, penantian saya ternyata sia-sia. Saya akhirnya tertawa dalam babak-babak akhir pementasan ini (walaupun sedang menonton sebuah cerita sedih), kerana saya dapati apa yang telah saya saksikan begitu teruk dan menyeksakan sehingga ia kelihatan begitu lucu kepada saya. Lebih lucu lagi kerana naskhah adaptasi karya Koh Choon Eiow ini telah dipersembahkan dengan bersungguh-sungguh oleh Shariful Akma Abdullah dan Abdul Hamid Chan.
Aduh, buat apa agaknya sesiapapun mahu mengetahui cerita cinta yang memuakkan seorang anak muda yang mempunyai seorang bapa yang sedang bertarung antara hidup dan mati? Mungkin mesej utama yang ingin diberitahu oleh Koh Choon Eiow melalui karyanya adalah; kebosanan mampu membunuh! Atau mungkin ada peraduan penulisan teater yang tidak saya ketahui yang motif utamanya adalah untuk menghasilkan sebuah karya yang lebih melemaskan dari karya Dato Jin Shamsuddin, Kota Idaman 13 Sempadan...
Pada pendapat saya persembahan No Smoking Please merupakan persembahan terbaik dari keempat-empat monodrama yang dipersembahkan. Menurut sinopsis yang saya terima, "penghasilan drama ini juga adalah satu tanda sokongan kepada kempen anti merokok "TAK NAK" yang dijalankan oleh kerajaan" - pasti kedengarannya seperti sebuah teater berbentuk propaganda yang membosankan. Tetapi penulis merangkap pengarah pementasan ini, Marlenny Deen Erwan berjaya membuahkan sebuah karya yang bermesej dalam bentuk komedi dan drama yang menarik. Sekalung tahniah buat Marlenny.
No Smoking Please menceritakan tentang seorang bintang popular yang telah digunakan untuk mengajak masyarakat agar mengamalkan cara hidup sihat, walaupun cara hidupnya sendiri tidak sihat dengan kisah silam yang penuh dengan onak dan ranjau. No Smoking Please, dengan mesejnya yang tersirat membawa sebuah kisah yang menarik dan telah dipersembahkan dalam satu struktur penceritaan yang cantik.
Seperkara lagi yang mempesonakan tentang No Smoking Please adalah lakonan Jaa Rased, seorang graduan dari Akademi Seni Kebangsaan yang berjaya menggubah sebuah teks yang sudah sedia baik dari segi penulisannya kepada sebuah persembahan yang bertenaga dan menakjubkan.
Gabungan bakat kedua-dua wanita muda ini berjaya menghasilkan sebuah naskhah teater Melayu yang baik, antara yang terbaik yang pernah saya saksikan sejak akhir-akhir ini (selain dari persembahan Mardiana Ismail dalam Aku Nak Jadi Bintang oleh Nam Ron). Monolog Seorang Perempuan juga tidak kurang hebatnya. Tetapi masalahnya, tidak ramai yang pergi menonton kedua-dua karya menarik ini. Yang hadir cuma kenalan-kenalan rapat mereka yang terlibat dalam produksi ini, juga beberapa peminat seni teater tanah air.
Pada hemat saya, karya-karya seperti ini tidak harus dibiarkan pergi begitu sahaja tanpa dipertontonkan oleh para peminat teater yang tidak tahu-menahu tentang kewujudannya (mungkin dek publisiti yang kurang). Tidak adil rasanya bagi pihak khalayak teater yang sentiasa hauskan karya-karya persembahan yang bermutu tinggi seperti ini. Jadi, saya sarankan agar Mekar Budaya Production sekali lagi mengadakan kedua-dua persembahan ini, (yang dua lagi tak payah) buat beberapa malam berturut-turut. Dan kali ini, dengan strategi pemasaran dan publisiti yang lebih meluas.
Pujian harus diberikan kepada Pengarah Artistik M. Nasri Ayob dan anak-anak buahnya yang berani mengorak langkah untuk mengadakan projek Malam Satu Drama yang diharapkan akan berjaya mencetus satu pergerakan dalam jagat teater Malaysia (khususnya teater Melayu) untuk mengadakan persembahan seumpamanya lantas memperkayakan lagi bidang seni persembahan sehingga berjaya menjadi sebuah industri yang menguntungkan dari segi kewangan, dan membawa kepuasan diri kepada pengamalnya.
Telefilem Ronggeng Rokiah: Kekaburan simbol dan cerita yang bakal membuatkan penonton keliru.
Dr. Anuar Nor Arai selepas pratonton telefilem Ronggeng Rokiah
Tatkala dalam sesi soal jawab telefilem Ronggeng Rokiah di Finas, bersama Dr. Anuar Nor Arai, saya telah berkali-kali meminta rakan saya dari Utusan, Saharudin Mohd Musthafa agar banyak-banyak bersabar. Tatkala itu, Dr. Anuar Nor Arai telah memarahinya kerana beliau mendakwa akhbar-akhbar tempatan, terutamanya Utusan tidak banyak membantu untuk mempromosi karya-karyanya dan di dalam masa yang sama, memberi publisiti yang meluas terhadap filem-filem Melayu yang kurang bermutu. Kemudian giliran saya pula dimarahinya kerana saya telah memberitahunya bahawa saya ada menulis untuk Kakiseni. Dr Anuar Nor Arai cukup anti kepada Kakiseni, kerana pada satu ketika dahulu, pementasan Ronggeng Rokiah di Istana Budaya telah dikritik hebat oleh Faisal Tehrani di laman ini.
Apa-apa pun, saya tidak ambil hati. Malah, ketika beliau memaki hamun pembikin-pembikin filem di Malaysia (malah Mansor Puteh dan Nam Ron juga tidak terlepas dari tegurannya), saya tersenyum dan kadangkala tergelak sendiri. Saya kurang pasti jika saya tergelak kerana keadaan pada waktu itu terlalu tegang ataupun sememangnya Dr Anuar Nor Arai mampu mewujudkan suasana kelakar dalam seram. Entahlah...
Telefilem Ronggeng Rokiah dua episod keluaran Kuasatek Pictures telah dipertontonkan buat pertama kali untuk para penonton yang telah dijemput khas di Pawagam Mini P. Ramlee, FINAS pada 27 Mac yang lepas. Setiap satu episod telefilem ini saya rasa panjangnya lebih dua jam. Filem ini telah dibuat khas untuk siaran televisyen, tetapi tarikh untuk filem ini akan ditayangkan di kaca televisyen masih belum dapat dipastikan lagi.
Dalam perbualan saya dengan Nam Ron mengenai filem ini, beliau ada memberitahu kepada saya bahawa Dr. Anuar Nor Arai membuat filem untuk dirinya sendiri. Jelas di sini, setelah selesai menonton telefilem Ronggeng Rokiah, saya dapat merumuskan bahawa filem ini bukan dibuat untuk tontonan penonton kebanyakan di Malaysia. Mungkin Ronggeng Rokiah tidak dibikin dengan mereka sebagai penonton sasarnya.
Telefilem Ronggeng Rokiah telah dibuat dengan rentak yang sengaja dilambatkan. Penumpuan kepada mise-en-scène filem ini jelas dapat kita perhatikan. Watak-watak yang ada diberikan tekstur melalui tata cahaya juga arahan seni untuk filem ini. Telefilem ini adalah sebuah filem "noir", sebuah genre yang cukup popular di Hollywood pada tahun 40-an dan 50-an dahulu. Saya dapati, Dr. Anuar Nor Arai mempunyai kecenderungan untuk membikin filem-filem genre ini. Pada tahun 1995, beliau telah membikin filem noir pertamanya, Johnny Bikin Filem yang sehingga kini tidak ditayangkan kepada penonton umum.
Selain dari menggunakan tata cahaya noir yang agak teliti, mise-en-shot filem ini juga unik. Filem ini juga menggunakan teknik "handheld shot" di mana kamera bergerak mengikut pergerakan pelakon. Pergerakan kamera ini mengingatkan saya kepada teknik yang digunakan dalam filem Perancis arahan Gaspar Noe yang bertajuk Irreversible. Sedikit sebanyak, teknik ini dapat menimbulkan perasaan klaustrophobia dalam diri watak juga penonton. Sering kali juga, watak-watak seperti ditindih ke satu sudut dalam siri bingkai (frame) untuk menampakkan keadaan mereka yang tersisih yang mempunyai semacam "psychological angst" yang tidak terluah.
Sememangnya filem ini kaya dengan semiotik. Lambang-lambang yang sebelum ini terwujud dalam Ronggeng Rokiah versi teater dipindahkan ke dalam filem, seperti pili bomba, coretan-coretan di dinding dan juga tari tango di antara Usman Players dan Rokiah Ronggeng di dalam bilik sempitnya itu.
Terdapat satu adegan dalam filem ini yang panjangnya 17 minit. Hassan Muthalib telah memberitahu kepada saya bahawa inilah adegan terpanjang tanpa henti dalam sejarah filem Melayu.
Telefilem Ronggeng Rokiah melawan arus. Filem ini merupakan wahana unjuran paradigma perfileman Malaysia yang mula kita dapat cium bau perubahannya. Apa yang jelas, telefilem Ronggeng Rokiah ini jika kita dalami, mempunyai persoalan-persoalan besar melalui subteknya. Tetapi, adakah penonton kita mahu mendalami subteks yang dikemukakan kepada mereka nanti?
Adakah penonton (terutamanya khalayak penonton murba yang parokial) nanti dapat menangkap bahawa dalam kemuraman filem ini, Dr. Anuar Noor Arai cuba mendampak dialektik politik bangsa Melayu dekat 50-an? Atau setidak-tidaknya, filem ini sebenarnya merupakan satu sindiran Dr. Anuar Nor Arai tentang kemelut yang wujud dalam dunia perfileman Malaysia?
Dalam hal ini saya agak curiga. Walaupun filem Citizen Kane oleh Orson Welles dijulang tinggi oleh pengkritik-pengkritik filem, ia masih sukar diterima oleh penonton biasa. Pada hemat saya, telefilem Ronggeng Rokiah ini begitu juga keadaannya dan pastinya akan menerima nasib yang sama. Ia mungkin akan dijadikan filem contoh untuk pelajar-pelajar perfileman tanah air, tapi ia belum tentu dapat menarik perhatian penonton kebanyakan.
Adakah genre noir ini masih relevan buat penonton zaman sekarang? Adalah gerak lakonan para pelakon telefilem Ronggeng Rokiah yang begitu "stylistic" benar-benar mencerminkan keadaan sebenar masyarakat Melayu Singapura pada zaman 50-an dahulu? Inilah persoalan-persoalan lain yang mungkin timbul tatkala penonton menyaksikan filem ini nanti.
Ku Seman Ku Hussain pernah berkata: "Istilah ''filem bermutu'' bagi sesetengah orang adalah suatu yang cukup menakutkan. Filem yang bermutu pada definisi masyarakat perfileman tempatan adalah filem yang ''syok sendiri''." Tatkala selesai menonton telefilem Ronggeng Rokiah, saya tahu filem ini sebuah filem bermutu, tapi dalam masa yang sama, saya dapat merasakan filem ini akan dikatakan filem "syok sendiri" oleh sesetengah penonton.
Bagi saya, telefilem Ronggeng Rokiah bukan sebuah filem yang "serius" tapi sebuah filem yang telah dibuat dengan serius yang akan banyak menguji tahap kesabaran penonton yang menontonnya.
Komen: Ulasan filem Win A Date With Tad Hamilton oleh Taufiq ar-Rasyidin
Prolog
Ini sebuah filem komedi cinta yang cukup ringan. Lebih ringan daripada Apa Ada dengan Cinta. Plotnya tidak memaparkan konflik dan kontroversi yang menggamat hati tetapi meninggalkan kesan dan mesej yang mendalam terhadap penonton. Apresiasi saya terhadap filem ini sama seperti bagaimana saya meminati filem ringan Sweet Home Alabama atau My Best Friends Wedding. Cuma bezanya saya langsung tidak mengenali mana-mana pelakon yang menerajui filem ini sebelum menonton filem ini. Apa yang saya tahu, pengarahnya ialah Robert Luketic yang dikenali ramai menerusi filem Legally Blonde. Daya tarikan filem ini nyata tidak terletak pada unsur-unsur teknikalnya yang membeliakkan mata penonton seperti filem gergasi Tomb Rider, Lord Of The Rings, Harry Potter atau Titanic tetapi ia masih berjaya mengumpan citarasa penonton yang sentiasa inginkan sesuatu yang lebih "dekat" dengan jiwa mereka. Paparan realiti kehidupan manusia biasa digambarkan dengan berkesan menerusi perwatakan Kate Bosworth sebagai Rosalee, Topher Grace sebagai Pete dan Josh Duhamel sebagai Tad Hamilton. Gandingan yang cukup ideal dan segar. Yang heroinnya comel dan cantik manakala heronya pula tampan dan bergaya. Sebagai sebuah filem kontemporari yang diterbitkan semata mata untuk tujuan menghiburkan penonton, ia tidak memerlukan penaakulan daya fikir yang bercakaran untuk memahami mesej dan jalan ceritanya.
Intro
Saya jangkakan jikalau filem sebegini dibarisi oleh pelakon Julia Robert atau Benjamin Bratt, anda pasti akan mengatakan filem ini bodoh dan gagal sebagaimana Kuliah Cinta arahan Prof Madya A Razak memilih Yusry dan Eera sebagai hero dan heroin filemnya. Ini klise yang pelik tetapi itulah hakikatnya. Win A Date With Tad Hamilton nyata sebuah filem remaja yang tidak memerlukan bintang Hollywood ternama untuk tujuan publisiti. Tindakan Robert Luketic ini cukup berisiko tetapi berjaya mengetengahkan pelakon baru ke layar perak Hollywood yang dibanjiri beratus buah filem untuk satu tahun yang lebih baik dan berkualiti. Berbanding dengan senario filem di Malaysia, mengambil seorang artis yang pernah beraksi bogel untuk menjadi hero filem pasti mengundang perdebatan dan kontroversi yang hebat. Namun keadaan ini cukup berbeza bagi Josh Duhamel - Tad Hamilton yang nyata lebih bernasib baik.
Filem ini mengisahkan Rosalee - seorang gadis muda yang bekerja di supermarket "Piggy Wiggly" telah berjaya dipilih sebagai pemenang Win A Date With Tad Hamilton. Beliau diterbangkan dari kampungnya West Vagina ke Los Angeles untuk menemui Tad Hamilton - seorang superstar yang bergelumang dengan hidup glamour sebagai seiring artis ternama. Arak, rokok, perempuan, parti, dadah dan seks adalah rutin hariannya di samping kerjaya sebagai pelakon. Ironinya pertemuan yang singkat ini menjadikan Tad Hamilton jatuh cinta terhadap Rosalee dan sanggup berkunjung ke supermarket di mana Rosalee bekerja untuk menagih cintanya. Dalam masa yang sama, sahabat karibnya Pete juga menyimpan perasaan cinta terhadap Rosalee. Konflik percintaan ini diakhiri dengan happy ending. Rosalee memilih Pete sebagai pasangannya. Cerita yang sangat mudah. Pemilihan genre yang stereotype dan typical tetapi masih menghiburkan.
Kritikan dan komentar
Daya tarikan filem ini nyata terletak kepada Josh Duhanel - Tom Cruise versi tinggi yang jauh lebih muda. Penghayatan watak beliau saya kira cukup baik dan berkesan dengan lagak bintangnya sebagai artis terkenal Hollywood dalam filem ini. Beliau nyata diketengahkan untuk menjadi tunjang dalam filem berbanding dengan Kate Bosworth sebagai Rosalee dan Topher Grace sebagai Pete. Josh Duhamel lebih menyerlah disebabkan beliau tidak perlu berlakon menjadi diri sendiri seperti watak yang diberi kepada Rosalee dan Pete. Lakonan Topher sebagai Pete agak rasional dan tidak banyak berkembang kerana terikat dengan watak dan perwatakan dirinya sendiri tetapi jika diamati dengan berhati hati, Kate Bosworth memang sedang berlakon untuk lakonannya. Beliau seakan lari daripada sense dan realiti apabila terlalu taksub untuk menonjolkan bakat lakonan yang ada - seorang gadis kampung yang innocent. Babak yang menyaksikan Rosalee pertama kali berjumpa dengan Tad memang berjaya dilakonkan dengan baik sehingga saya sendiri terlupa apakah saya akan memberikan reaksi yang sebegini dramatik jikalau diberi peluang berjumpa dengan wanita idaman saya Courtney Love. Sebagai seorang pelakon baru, saya rasa Kate perlu lebih kerap "menonton filem" agar beliau boleh mendapat inspirasi untuk menjadi pelakon yang berjaya. Beliau perlu seimbangkan lakonan dan realiti kehidupan. Penonton sekarang sudah semakin bijak untuk menilai kredibiliti seseorang pelakon dan keberkesanan lakonan beliau terhadap filem yang diterajui. Jadi jikalau anda tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap filem ini, saya jangka anda pasti menyukai filem ini. Paling tidak, anda pasti terhibur dengan gelagat mereka yang ceria dan meriah itu.
Satu mesej yang disampai secara terus tanpa bertapis kepada menonton menerusi filem ini ialah hidup sebagai seorang artis Hollywood yang bergelumang dengan dunia glamour. Perempuan, seks, dadah, alkohol dan rokok sudah sememangnya sebati dengan kehidupan mereka. Apabila gosip liar mulai terbit maka bermacam jenis pihak pengurusan buat untuk menutup keboborokan peribadi artis tersebut. Penonton cenderung mengingati perwatakan mereka yang baik, penuh dengan ciri - ciri lelaki idaman di dalam filem tetapi peribadi mereka yang sebenarnya di selindung oleh kecenderungan media. Jikalau anda diberi peluang seperti Rosalee yang sempat menemui dan mengenali Tad - bintang pujaan hatinya, anda akan merasakan sendiri kontradiksi watak realiti yang dimainkan oleh dua insan di dua dunia yang cukup berbeda. Filem ini antara lain cuba menyampaikan satu mesej yang sinis tetapi benar, pelakon popular juga adalah manusia biasa, mereka juga boleh melakukan ¡¥kesilapan¡� ¡V seperti manusia biasa, apabila duit menjadi tuan mereka, bukannya mereka yang menjadi tuan kepada duit. Rasa ingin menghayati kehidupan biasa memang tersemat di dalam hati para selebriti popular sepeti mana yang sentiasa dirintihi Denzel Washington, Celine Dion dan Rusell Crowe. Ini filem yang ringkas, tetapi penuh dengan mesej kemanusiaan yang kita selalu dengar tetapi tidak pernah menghayati, mendalami dan memahami apa yang kita dengar.
Epilog
Ini adalah sebuah filem lahir tepat pada masanya. Filem mutakhir terlalu berat dan sarat dengan agenda yang sukar difahami dengan unsur unsur karut - mengarut yang nyata lebih menyerlah. Jikalau anda bersetuju dengan saya, maka tontonilah filem ini.