Kampung Paku Laris terkenal dengan Primadona Meriam, penari gamelan yang telah menawan hati ramai peminat di pasar dan di istana. Harum bunga sundal malam pembuka tarian Meriam serta kejelitaannya mengasyikkan. Sesekali apabila gerak Meriam bersatu dengan rentak, tubuh Meriam menjadi ringan dan terapung di atas canang. Saudagar Marsani dan sahabat baiknya Danial di antara mereka yang berebut-rebut mencuri hati Meriam. Tetapi Meriam memilih Danial sebagai suaminya. Marsani yang lebih tampan terguris dan menyimpan perasaan cemburu.
Teman Meriam, Laila dan pembantunya yang separuh pekak, terjumpa Meriam yang mengandung anak sulongnya berlumuran darah tertikam di perutnya. Meriam tidak dapat diselamatkan. Kapal Danial pula karam di laut dan membawa maut. Marsani amat kecewa dan patah hati di atas pembunuhan Meriam . Kejadian aneh mula berlaku di Kampung Paku Laris. Ramai yang terbunuh terutamanya kaum keluarga dan orang-orang Marsani.. Orang kampung menuduh Meriam mengamalkan ilmu hitam dan kembali menjadi pontianak.
2003 Di sebalik rahsia tersembunyi beban dosa menghantui Marsani yang “hidup dalam kematian”; hingga kini. Dalam ketakutan, Marsani menghadapi hari tuanya menunggu ketibaan Meriam kerana percaya Meriam akan menghapuskan keturunannya. Marsani melawan usia tuanya melalui rawatan ozon dan pembedahan plastik. Asmadi yang agak sewel sudah biasa dengan perangai bapa saudaranya.
Kemunculan Maria seiras Meriam dan bekerja di cafe; Ana menjadi obsesi pada Marsani. Marsani melihat Maria sebagai Meriam dan percaya cucunya Norman bersama isterinya Ana akan menjadi mangsa dendam Meriam. Beberapa peristiwa mempengaruhi hidup Marsani, Maria, Norman dan Ana setelah terjumpanya kubur di tapak pembinaan tempat Norman bekerja. Lembaga yang menakutkan telah kelihatan berkeliaran di Paku Laris. Maria semakin hari semakin merasakan dirinya berubah dan dia bukan lagi Maria. Dia menjadi takut kerana dituduh pontianak oleh Marsani setelah melihat tanda ditengkoknya.
Bau haruman bunga sundal malam dan barang lama peninggalan Marsani di rumah Ana mengakibatkan perkahwinan Norman dan Ana terancam. Marsani dan Asmadi cuba memberi amaran kepada Norman dan Ana bahawa Maria adalah Meriam yang kembali menjadi pontianak untuk membalas dendam tetapi tidak diterima oleh mereka. Marsani akhirnya memaksa Maria berhadapan dengannya bertarung bagi kali terakhir.
Siapa Maria?
Pengarahan Filem ini sebenarnya bertarung dengan “lembaga” Penapisan Filem sebelum dibenarkan ditayang di bumi tanah tumpah negaranya sendiri. Lembaga itu sebenarnya lebih dahsyat dari Pontianak Harum Sundal Malam. Lembaga itu mencantas segala kreativiti manusia dengan alasan-alasan yang tidak masuk akal dengan andaian rakyat Malaysia tidak tahu membuat pilihan sendiri. Kaki dan tangan Pengarah tidak berkerja dengan kreatif kerana kekangan-kekangan yang ada. Beliau sebenarnya terpenjara di bidangnya sendiri. Sekurang-kurangnya Pontianak Harum Sundal Malam mempunyai alas an yang kukuh bertindak merasuk dan membunuh mereka yang didendami olehnya. Lembaga itu apa tujuannya ?
Walaupun dirasuk kekangan-kekangan yang merumitkan, saya masih berpuas hati dengan kerja Pengarah ini. Beliau cuba untuk meransang minda penonton dengan kreativitinya. Rumit dan sedikit berjaya. Harus saya puji. Beliau seboleh-bolehnya mengelak untuk menggunakan “Oh ! Aku bermimpi rupanya !” Lalu bermain dengan teknik imbas kembali yang adakalanya meracau fikiran penonton.
Produksi ini disokong oleh mereka yang terdekat dengan beliau sejak Selubung, Ringgit Kasorga, Layar Lara dan Mimpi Moon. Kerjasama utuh mereka nyata membuahkan hasil.
Secara keseluruhan kerja Pengarahan banyak tertumpu kepada zaman 1947. Zaman ini memerlukan ketelitian sang Sutradara. Banyak masa ditumpukan untuk zaman tersebut dan hasilnya AMAT MENGKAGUMKAN. Filem ini sekiranya ditamatkan dengan berlatarkan zaman 1947 sudah tentu ia merupakan taruhan terbaik Malaysia untuk festival filem antarabangsa. Segala perkara diambil kira walaupun terlepas beberapa kelemahan yang masih boleh ditutup atau tidak disedari penonton.
Lakonan Saya kurang menggemari lakonan Maya Karin. Masih kelihatan kaku terutamanya sewaktu beliau melakonkan watak Maria. Beliau nyata terserlah sewaktu melakonkan watak Mariam dan Pontianak. Saya suka dengan lakonan Rosyam Noor. Ada kelainan pada wataknya. Juga Ida Nerina.
Filem-filem Shuhaimi Baba nyata tidak pernah meminggirkan watak-watak kurang sihat sebegini. Mimpi Moon dengan Sok Vhan yang capek kakinya, Layar Lara dengan Malik yang panas baran, Selubung dengan Pintu yang gemar mengundang ketawa dan Ringgit Kasorrga dengan watak Sham seorang jurusolek dan penjaga busana yang bodoh-bodoh alang. Dalam Pontianak Harum Sundal Malam, Rosyam Noor membawa watak Asmadi yang macam tiga suku dan Ida Nerina membawa watak Sitam yang lidahnya pendek atau mungkin pekak.
Lakonan Azri Iskandar juga masih biasa dan Kavita Kaur hanya sekdar pelengkap cerita. Sebagai Pengarah, beliau harus pandai memilih pelakon yang sesuai untuk membawakan watak-watak penting dalam filemnya. Seperti contoh watak Norman, seorang jurutera pembinaan yang kerjanya saban hari di lokasi-lokasi terik dengan bahang matahari, mana mungkin pelakonnya seorang yang berkulit putih cerah Fair & Lovely seperti Eizlan Yusof. Lebih-lebih lagi beliau dipanggil dengan nama gelaran Norm. What a bad name !
Latihan para pelakon telah diberikan oleh guru seni lakon Akademi Fantasia, Fatimah Abu Bakar, guru seni lakon Audition, Normah Nordin dan aktivis teater terkenal, Zahim Al Bakri. Hasilnya ? Biasa sahaja kerana kelemahan kepada pelakon utama sebenarnya telah menjatuhkan rating pelakon yang telah memberikan lakonan yang mantap.
Suntingan Teknik imbas kembali filem ini nyata meracaukan. Jika terleka, kita akan tertinggal banyak mesej penting dalam visual filem ini. Seperti pengarahan, teknik suntingan pada zaman 1947 juga baik dan kelemahan ketara adalah pada zaman sekarang. Pada zaman sekarang terlalu banyak imej-imej ulangan sang pontianak mengganggu hidup Marsani juga pelakon di sekeliling Marsani. Naratif penceritaan filem ini agak goyah pada sekitar zaman sekarang.
Fotografi AMAT MENGKAGUMKAN ! Sesiapa sahaja boleh menjadi Pengarah Filem jika mempunyai seorang Pengarah Fotografi yang bagus. Shuhaimi Baba bernasib baik kerana beliau ada itu. Kesan seni pada fotografi filem ini amat halus kerjanya. Ketelitian Mohd Filus Ghazali mendapatkan shot yang terbaik dibantu dengan kreativiti Pengarah sudah mencukupi untuk mendapat pujian tinggi. Adegan yang paling menarik pada saya tentu sekali sewaktu Mariam menghantar Danial hendak keluar belayar. Adegan titi gantung di Sungai Lembing itu amat merbahaya tetapi hasilnya amat cemerlang.
Penerbitan Pontianak Harum Sundal Malam telah menggunakan filem 35mm Kodak dan HD, High Definition Technology. Penggambaran menggunakan 24 frame dan format widescreen. Ia telah dilakukan dengan teknik direct sound.
Muzik Latar dan Bunyi Penggunaan Dolby Digital Surround file mini benar-benar memberi kesan besar kepada penonton. Bunyi dating dari kiri, kanan, depan dan belakang. Terasa seperti diserang Pontianak yang sebenar-benarnya. Kosnya memang tinggi lebih-lebih lagi perlu dihantar ke luar negeri untuk proses adunan.
Lagu Pulangkanlah nyanyian Misha Omar amat meremang bulu roma. Lagu ini telah pun menjuarai Carta ERA dan telah diterima pendengar. Saya suka dengan lagu ini walaupun ada kedengaran seperti salah satu lagu dalam filem Ada Apa Dengan Cinta. Vokal Misha Omar amat kena dengan melodi lagu ini dan penonton merasai kesedihan tersebut.
CGI 3 Dimensi dan Kesan Khas Sebagai penggemar teknologi inilah aspek yang paling saya suka dalam filem Melayu. Buli gagal memanafaatkan kesan CGI 3 Dimensi dengan baik, tetapi tidak kepada Pontianak Harum Sundal Malam. Sewaktu adegan di Istana Jugra tentunya saya akan meneliti segala detail untuk mencari kesilapannya. Kereta-kereta yang dibina dengan teknologi ini amat kena dengan saiz Istana tersebut. Pencawang-pencawang dan tiang-tiang eletrik berjaya dipadamkan.
Sedikit kelemahan pada bahagian ini adalah sewaktu adegan Mariam menghantar Danial berlayar, khabarnya kelihatan wayar-wayar pencawang yang tidak terpadam. Saya tidak perasan, tetapi salah seorang kawan yang menonton perasan katanya.
Adegan Mariam menari di atas gamelan juga nampak begitu artistik tetapi tidak terlalu palsu.
Penataan Seni Kerja-kerja Penataan Seni banyak dibantu oleh kesan shot oleh Fotografi yang menarik. Bukan mudah untuk mengembalikan zaman 1947 secara terperinci tanpa sebarang kesilapan.
Solekan dan Busana Bahagian ini juga telah bekerja keras untuk memastikan setiap perkara kena dengan zamannya. Solekan Pontianak saya kira sudah mampu untuk mengalahkan kerja-kerja solekan Erra Fazira dalam Cinta Kolesterol. Solekan Pontianak jauh lebih natural dari solekan perempuan gemuk yang nampak janggal.
Siapa Maria ? Jika kita tidak teliti menonton, kita pasti tertanya-tanya siapakah Maria sebenarnya. Maria umurnya lebih muda dari Norman dan Ana, cucu kepada Marsani. Sewaktu adegan Laila mengajar seorang anak kepada Mariam menari gamelan ada seorang anak kecil di tepid an itulah Maria.
Pontianak atau Mariam mula merasuk setelah kuburnya diganggu dengan kerja pembinaan dan mulalah cerita Pontianak Harum Sundal Malam yang mahu menuntut haknya. Haknya yang telah dirampas oleh Marsani secara paksa. Tanah dan rumah pusakanya yang telah diberikan kepada Norman dan Ana serta barang-barang peninggalan Danial kepadanya. Pontianak juga mengamuk kerana memperjuangkan nasib rakan-rakan dan suaminya yang telah dibunuh dengan kejam angkara Marsani.
Secara keseluruhan, filem ini merupakan sebuah filem yang wajib ditonton untuk dinilai nilai-nilai artistic filem tersebut. Kekacauan pada suntingan dan penceritaan pada latar zaman sekarang wajar tidak diambil kira sebelum menonton filem ini. Ia tetap sebuah filem yang bagus. Sekurang-kurangnya lebih hebat dari Cinta Kolesterol dan Mr Cinderella 2.
Pelajar Akademi Fantasia II artikel asal diterbitkan oleh Sultanmuzaffar
Klik di sini untuk melihat gambar yang lebih besar! Klik di sini untuk melihat wajah-wajah Akademia AFI2 dari Indonesia!
Ahmad Zahid Baharuddin ZAHID 23, Kuala Lumpur "Rapper" yang bermula dengan dikir barat dan nasyid ini merupakan satu-satunya anak lelaki di dalam keluarga 4 beradik. Seorang yang peramah, periang, mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Seorang ahli muzik yang pernah menganggotai 'live band'. Hadiah harijadi paling ideal untuknya adalah seekor iguana.
Mohd Aizam b Mat Saman ADAM 21, Kota Kinabalu, Sabah Sekali pandang, mungkin akan dianggap sebagai ‘playboy’ atau sombong. Namun, realitinya beliau seorang periang, penyayang dan berjiwa sentimental. Merupakan peminat fanatik KRU. Mempunyai kumpulan muzik sendiri yang diberi nama “Es d CO”, dan bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam dunia hiburan. Anak pertama daripada 4 orang adik beradik. Berketurunan Bajau. Tidak mempunyai kekasih dan sedang mencari cinta sejati. Pandai menari dan menyanyi. Dia gemar penampilan yang segak dan ingin sentiasa nampak kemas.
Yusrizan Usop BOB 23, Limbang, Sarawak Anak pertama daripada 2 orang adik-beradik. Seorang yang agak ‘gila-gila’ sedikit, gemar bergurau dan sangat manja dengan ibu. Selain itu, beliau juga amat penyayang dan ‘simple’ orangnya. Moto hidupnya adalah ‘ceriakan hidup anda dengan senyuman.’ Pandai menulis puisi. Fobia dengan binatang reptilia terutamanya ular dan cicak. Berhasrat untuk menurunkan berat badan di Akademi Fantasia.
Mohd Fitri Zainal Abidin FITRI 25, Kuala Lumpur Seorang yang suka mengusik dan bergurau, serta mencuba sesuatu yang baru. Sayang pada binatang tetapi agak cerewet. Anak ketiga daripada 4 orang adik beradik. Mempunyai bakat dalam mereka pakaian, sehingga terpilih mewakili Malaysia ke Milan, Itali untuk kursus rekaan fesyen 2001. Walaupun nampak macho, beliau adalah peminat siri kartun anime Crayon Shin Chan.
Wan Mohammad Khair Wan Azami KAER 19, Petaling Jaya, Selangor Seluruh keluarganya berkecimpung dalam bidang Arkitek. Beliau tidak suka makan menggunakan tangan, dan seringkali ditemani bantal busuknya semasa tidur. Anak kedua daripada 4 orang adik beradik. Manja dan tegas dalam keluarga. Juga seorang yang pemalu dan menghormati orang tua. Pernah menjadi johan dalam peraduan melukis ‘Malaysia International Japan.’
Anding Indrawani Zaini ANDING 21, Kuching, Sarawak Anak ketiga daripada 5 orang adik-beradik ini sangat manja dengan ibunya. Seorang yang ceria, pendiam, mudah didekati, lurus dan kadang-kadang emosional. Beliau amat sensitif dengan persekitaran yang sejuk. Boleh menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Tagalog dan Spanish. Sikap buruknya suka bertangguh dalam melakukan kerja.
Farah Diana Anuar FARAH 19, Kuala Lumpur Seorang yang periang, tidak sombong, dan pandai ambil hati sesiapa sahaja. Peminat setia Pasukan Hoki Lelaki Kebangsaan. Pengarang majalah idolanya ialah Mama Juwie. Berpendirian tegas dalam membuat keputusan dan mempunyai pandangan jauh dalam kehidupan. Anak ketiga daripada 6 orang adik beradik. Jika berseorangan di rumah, beliau akan berkaraoke sendiri.
Edlin Abdul Rahim EDLIN 21, Melaka Anak pertama daripada 2 orang adik beradik. Seorang gadis yang lemah lembut, peramah dan penyayang. Awas! Walaupun nampak ayu dan sopan tetapi tersembunyi sifat panas barannya. Berasa bangga kerana mampu berdikari semasa melanjutkan pelajaran di Melbourne, Australia. Sangat sensitif dan mudah menangis terutamanya ketika hero atau heroin mati dalam filem.
Nurullah Abd Hamid NURUL 22, Kuching, Sarawak Wajahnya seiras Fauziah Latif, gayanya semanja Ella. Sekali pandang seolah-olah ‘mengada-ngada’ tetapi realitinya dia seorang yang lemah-lembut. Pakar memasak masakan ‘mee segera campur kari dan ikan.’ Menyimpan impian untuk menjadi penyanyi berjaya suatu hari nanti. Anak sulung daripada 6 orang adik beradik.
Asma Ghani MAS 23, Tawau, Sabah Suka bercakap, mesra, manja dan mengamalkan kesederhanaan dalam segala hal. Seorang yang pakar dalam bidang bakar-membakar sate kerana membantu bapanya berniaga sate. Anak bongsu daripada 6 orang adik-beradik.Teringin untuk melakonkan watak-watak jahat dalam filem. Tidak suka orang yang suka tabur fitnah dan mengata orang lain.
Zarina Zainoordin ZARINA 20, Johor Bahru Berkebolehan menyanyikan lagu-lagu ghazal dan mempunyai asas dalam bidang kesenian tradisional. Seorang yang jujur, dan memendam rasa. Sesekali beliau keras kepala dan panas baran. Namun, beliau boleh bergaul dengan sesiapa sahaja tak kira usia dan jantina. Masa lapangnya diluangkan dengan bermain bowling dan menonton wayang.
Norlinda Nanuwil LINDA 21, Ranau, Sabah Anak ketujuh daripada 8 orang adik-beradik. Kemasukannya ke AF disokong oleh seluruh penduduk kampung Tudangan Ranau, iaitu tempat asalnya. Berbangsa Dusun, pandai bermain gitar dan seorang yang periang, suka ketawa dan bergaul mesra.
Siaran Akhbar
SATU harapan, SATU tujuan, SATU destinasi; Mengubah impian menjadi realiti DEMAM AKADEMI FANTASIA MELANDA LAGI
Kuala Lumpur, 26 Mei 2004:
Setelah mengadakan ujibakat di seluruh pelusuk negara dalam pencarian pelajar-pelajar Akademi Fantasia musim kedua, stesen televisyen satelit Astro hari ini mengumumkan nama 12 peserta yang bakal menerima asuhan dari Akademi tersebut.
Terdiri dari enam lelaki dan enam perempuan, pelajar-pelajar ini amat menyerlah untuk mengatasi lebih 4000 peserta ujibakat yang menyimpan impian untuk bergelar artis.
Menurut Zainir Aminullah, Ketua Program Astro, 12 pelajar yang terpilih mempunyai keunikan tersendiri. Mereka diyakini memiliki pakej - bakat, penampilan dan personaliti – untuk diketengahkan sebagai penghibur yang mampu menyerikan persada seni tempatan.
“Tujuan penganjuran Akademi Fantasia adalah untuk mengetengahkan bakat-bakat baru sebagai pelapis kepada penghibur dan karyawan seni di Malaysia. Untuk kemajuan industri hiburan kita harus bersedia untuk menampilkan lebih ramai bakat baru,” tambah Zainir lagi.
Seperti di musim yang lalu, Akademi Fantasia menawarkan pakej yang menyeluruh kepada bakat-bakat baru untuk menjadi penghibur. Mereka akan diberi kursus vokal, teknik kawalan suara, kursus tarian dan seni persembahan pentas. Pelajar-pelajar baru ini akan dibimbing oleh tenaga pengajar seperti Adnan Abu Hassan (vokal), Siti Hajar (nada suara), Fauziah Nawi (seni pentas), Linda Jasmin (tarian) dan Corrie (tarian) selain menerima bimbingan dari Dr. Sher (motivasi) dan Fatimah Abu Bakar (penasihat). Komposer, pemuzik dan pengubah lagu terkenal, Ramli MS bertindak sebagai pengetua.
Pelajar-pelajar ini mula mendaftar diri di Akademi yang terletak di Kajang, Selangor pada 5hb. Jun. Mereka perlu berada di Akademi untuk tempoh maksimum 10 minggu. Keperluan penginapan dan makan minum peserta ditanggung sepenuhnya. Sewaktu di Akademi, peserta-peserta tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar agar mereka dapat menumpukan perhatian terhadap pembelajaran harian serta tidak terdedah kepada reaksi atau undian penonton.
Setiap pelajar dikehendaki mengikuti kursus dari Isnin hingga Jumaat untuk mempersiapkan diri bagi konsert mingguan yang akan disiarkan secara langsung dari Dewan Sivik MPPJ selama sepuluh minggu berturut-turut di Astro RIA setiap Sabtu bermuda 12hb Jun. Konsert akhir pada 14 Ogos pula akan mengambil tempat di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan bakal disiarkan secara langsung serentak di Astro RIA dan Radio ERA.
Masih mengekalkan format rancangan, keputusan siapakah pelajar yang akan terkeluar dari Akademi ditentukan oleh sistem pesanan ringkas (SMS) premium yang dihantar penonton. Undian SMS akan bermula pada pukul 9 pagi mulai 7hb. Jun 2004. Pelajar pertama akan disingkir keluar dari Akademi pada konsert ketiga iaitu pada 26hb. Jun. Walaupun begitu, undian daripada 7hb Jun akan tetap diambil kira. Ini memberi peluang kepada para penonton untuk mengenali personaliti peserta dengan lebih dekat, termasuklah bakat nyanyian mereka.
Selain Astro, Radio Era selaku penyiar rasmi, akan memainkan peranan dalam mempromosikan kesemua pelajar Akademi Fantasia musim kedua. Setiap pelajar yang tersingkir keluar dari Akademi akan ditemuramah oleh DJ Era setiap hari Isnin dari pukul 4 – 5 petang, mulai 28hb. Jun. Selain itu, pendengar setia ERA berpeluang untuk mengetahui informasi terkini dan cerita-cerita ‘hangat’ melalui siaran ekslusif setiap Isnin hingga Jumaat dari minggu pertama lagi.
Juara Akademi Fantasia akan menerima hadiah lumayan berupa sebuah kereta Citroen C3 bernilai RM120,000 tajaan DIRECTIONAL (M) Sdn. Bhd., sistem AV tajaan Audio Planet AV Sdn. Bhd. dan pakej percutian tajaan Empire Hotel & Country Club. Naib Juara pula bakal menerima sistem AV tajaan Audio Planet AV Sdn. Bhd. dan pakej percutian tajaan Empire Hotel & Country Club. Tempat ketiga, keempat dan kelima masing-masing akan menerima kamera digital tajaan Canon selain itu mereka juga akan berpeluang memenangi pakej percutian tajaan Empire Hotel & Country Club.
Semua pelajar-pelajar Akademi Fantasia akan ditawarkan kontrak sebagai artis baru di bawah pengurusan Maestro, anak syarikat Astro. Kontrak ini membuka peluang untuk mereka mengembangkan bakat sebagai penyanyi, pengacara TV, penyampai radio atau pelakon berdasarkan kebolehan masing-masing.
Akademi Fantasia musim kedua dibawakan khas oleh Penyiar Rasmi Astro RIA dan Radio ERA serta diaktifkan oleh Hotlink selaku Penaja Utama.
Empat Hari Di Bali: Pengalaman hari ketiga (bahagian 4)
Saya masih berada di dalam keadaan merajuk tatkala keluar dari bilik, lantas keluar ke lobi. Di tempat letak kereta, saya dapati Komang telah lama menunggu ketibaan kami untuk dibawanya ke salon Pak Herman yang letaknya di daerah Tuban.
"Komang, tunggu sebentar ya. Saya mahu ambil cermin mata saya di hadapan sana." Ujar saya kepada Komang, sambil menudingkan jari saya ke arah deretan kedai di hadapan hotel kami. Komang mengangguk sambil tersenyum
Dia mengekori saya dari belakang. Saya masih tidak melayaninya. Saya terus masuk ke dalam kedai cermin mata lalu meminta cermin mata yang telah saya tempah beberapa hari yang lalu.
Cermin mata yang saya tempah telah siap. Saya berpuas hati dengan cermin mata baru saya ini, lantas terus memakainya. Sejurus selepas membayar harga cermin mata saya ini, saya terus keluar dari kedai dan melintas jalan untuk mendapatkan Komang. Dia mengekori saya dari belakang, melayan segala gelagat saya pada malam itu.
Saya masuk ke dalam perut Van. Begitu juga Dia. Beliau memegang tangan saya untuk memujuk saya sekali lagi. Saya masih terus mendiamkan diri saya. Mahu sahaja saya memintanya agar membiarkan saya diam buat seketika, tetapi kalimah-kalimah ini tidak terluah oleh saya. Saya pasti perkara ini berlaku kerana saya terlalu kepenatan. Sememangnya saya fikir, jika berjalan jauh seperti ini, perkara-perkara yang tidak diingini seperti ini pasti akan berlaku. Perhatikan sahaja rancangan Amazing Race. Para peserta pasti akan bertelagah sesama mereka, walaupun pada hari-hari biasa mereka adalah pasangan bahagia. Cuma pasangan Chip dan Reichen sahaja yang jarang-jarang sekali kelihatannya bertengkar sesama mereka. Mungkin sebab itulah mereka dapat menang dalam peraduan Amazing Race yang lepas!
Salon Pak Herman letaknya tidak begitu jauh dari hotel kami. Di hadapan salon Pak Herman terdapat sebuah warung. Sejak semalam, Pak Herman asyik menceritakan tentang warungnya yang popular di kalangan anak-anak muda di Bali. Menurutnya, makanan yang disediakan murah dan sedap.
Komang meletakkan van, lantas memanggil Pak Herman keluar dari losmennya (bilik kecil yang dijadikan tempat tinggal). Menurut Komang, Pak Herman mempunyai sebuah banglo di Nusa Dua, tetapi banglonya itu disewanya. Pak Herman lebih suka tinggal di losmennya ini yang dibina bersebelahan dengan salonnya.
Pak Herman meminta kami agar duduk di bahagian beranda sebuah rumah yang telah dibina di kawasan salonnya itu. Dia, Pak Herman dan Komang duduk bersama sambil berbual di sana. Pak Herman nampaknya suka bergurau senda dengan Komang, walaupun Komang menganggap Pak Herman sebagai majikannya.
Di dalam pada itu, Pak Herman meminta pelayan di warung di hadapan salonnya agar membawa menu. Pak Herman beria-ia memberitahu kepada kami bahawa makanan yang dihidangkan dijamin lazat, kerana tukang masaknya sudah lama dikenali oleh Pak Herman. Pak Herman telah mengenali si tukang masak sejak beliau bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran Cina di Medan beberapa tahun yang lalu.
"Hari-hari mereka makan di sini." Ujar Komang kepada saya. Beliau menjuihkan mulutnya ke arah pasangan lelaki barat dan wanita Bali yang sedang duduk di dalam warung.
Komang menjelaskan kepada saya bahawa walaupun wanita yang kami lihat tidak cantik (berkulit gelap, katanya), mereka diminati oleh lelaki-lelaki dari barat terutamanya dari Australia. Mereka akan ke Bali untuk mencari teman wanita. Mereka akan menjaga wanita-wanita tempatan ini sehingga mereka kehabisan wang dan pulang ke negara mereka sendiri. Ada di antara mereka yang akan terus menghantar wang, dengan mengharapkan "teman wanita" mereka ini akan setia hanya kepada mereka.
Ingin sahaja saya beritahu kepada Komang bahawa di Singapura, wanita-wanita seperti ini dipanggil dengan gelaran "sarung party girl".
Pak Herman menjemput Komang agar minum minuman keras bersamanya, tetapi Komang menolak dengan baik. Menurutnya, beliau tidak mahu pulang dengan keadaan mabuk-mabuk seperti dahulu. Kini, setelah usianya semakin dewasa dan mempunyai tanggungan seorang isteri dan seorang anak kecil, beliau mula menyedari akan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan seorang bapa.
Pada ketika inilah agaknya saya mula berkata-kata kembali dengan Dia. Hati saya mula sejuk tatkala melihatkan telatah Pak Herman yang selalu sahaja mengusik Komang.
Makanan malam dihidangkan di meja kami satu persatu. Nasi goreng saya ditambah dengan beberapa keping keropok yang enak dan semangkuk kecil sambal. Nasi goreng yang saya pesan tidak terkata sedapnya. Begitu juga dengan nasi goreng yang dipesan Dia.
"Lain kali bila kami ke Bali, kami akan makan di sini sahaja, Pak Herman!" ujar saya bersungguh-sungguh kepadanya.
Selepas makan, kami duduk berehat di beranda sambil berbual. Komang meminta dirinya pada pukul 9.45 malam. Dia memberinya tips sebanyak Rp. 50,000. Komang seperti biasa, mengucapkan terima kasih tidak terhingga apabila diberikan pemberian wang yang tidak seberapa dari kami.
Saya merasa sedih ketika Komang meninggalkan kami pada malam itu. Walaupun kami hanya mengenali Komang buat beberapa hari, kami menganggap dirinya sebagai kawan kami sendiri. Selama kami mengenalinya, banyak tentang diri Komang yang kami pelajari. Salah satu darinya adalah pekerjaan yang dilakukannya sebagai pemandu ini sekadar dapat membantu perbelanjaan dirinya dan keluarganya untuk hidup, tetapi tidak mencukupi untuk simpanan di hari muka. Komang juga telah memberitahu kami bahawa beliau agak beruntung mempunyai pekerjaan, sedangkan ramai anak-anak muda di Bali hidup menganggur.
Di harapkan, di lain masa kami ke Bali, kami akan dapat menggunakan perkhidmatan Komang sebagai supir kami...
Sewaktu bersantai-santai, Pak Herman sempat menunjukkan kepada kami rakaman video sebuah perkahwinan yang telah diuruskannya di Medan. Dalam majlis perkahwinan pasangan Cina-Indonesia ini, ada diadakan pertunjukan "paper doll". Pak Herman nampaknya begitu bangga menunjukkan kepada kami seorang kenalannya yang mempunyai rupa seakan Kris Dayanti!
Setelah puas bersantai, Pak Herman membawa kami untuk menemui Encik Saiful yang perlu diambilnya di Spa Antique (sebuah spa khas untuk lelaki dengan kesemua kakitangannya lelaki) yang terletak di dearah Kerobokan. Encik Saiful adalah pengurus penjualan tiket di sebuah syarikat penerbangan terkemuka yang beribu pejabat di Kuala Lumpur. Beliau sudah berpuluh kali ke Bali dan telah mengenali Pak Herman sejak awal tahun 80-an lagi.
Perjalanan ke Kerobokan agak menarik, kerana kami dapat melihat beberapa buah kedai yang menjual barang-barang perhiasan rumah yang cantik-cantik. Mahu sahaja saya meminta agar Pak Herman berhenti di kedai-kedai hiasan dalaman yang ada di kawasan ini.
Kami tiba di Spa Antique dan menemui Encik Saiful di sana. Spa Antique ini terletak di sebuah kawasan sawah padi, tetapi kerana malam terlalu gelap, kami tidak nampak apa-apa. Di Spa ini juga terdapat sebuah galeri yang menjual barang-barang perhiasan yang diperbuat daripada tembaga merah oleh seorang artis yang menghasilkan karya-karyanya khas untuk galeri ini. Saya terpikat kepada sebuah lampu besar yang saya rasa layak diletakkan di hotel-hotel terkemuka ataupun di rumah orang-orang berkemampuan. Harga lampu tersebut agak berpatutan dan saya mampu membelinya, tetapi...
"How in the world am I going to bring this home?" tanya saya kepada Dia.
Belum sempat dia dapat menjawab, Pak Herman memanggil kami agar masuk ke dalam kereta.
"Esok kita datang ke sini lagi." Beritahunya kepada saya.
"Esok kita tiba di sini pukul 1.30 ya, pak?" tanya saya untuk memastikan.
"Iya. Sudah booking sejak tengah hari tadi. Saiful juga mahu pergi sekali esok." Jawab Pak Herman.
Encik Saiful kemudian memberitahu saya bahawa dia memang suka kepada Spa Antique ini, yang dikatakannya lebih baik dari mana-mana spa yang pernah dilawatinya di KL seperti di Kursani dan di Senjakala.
Dari dearah Kerobukan, Pak Herman membawa kami ke Musro, sebuah kelab malam di daerah Tuban. Dari luar, kelab malam itu memang kelihatan gah sekali. Terdapat ramai anak-anak muda yang sedang berkeliaran di luar kelab. Terdapat juga beberapa anggota keselamatan yang bertugas.
Pada waktu itu, saya dan Dia berjalan di belakang Pak Herman dan Pak Sazali. Kami masih segan lagi dengan Pak Sazali. Mereka berdua lebih tua dari kami dan sudah tentunya kami menghormati mereka sebagai orang-orang yang lebih berpengalaman dari kami.
Pak Herman nampaknya mempunyai ramai kenalan di Musro. Beliau terus dibenarkan masuk ke dalam Musro. Kami mengikutinya dari belakang. Di dalam Musro, nampaknya tempat duduk khas telah disediakan untuk kami. Kami duduk agak dekat dengan pentas.
Ketika itu pertunjukan telah dimulakan. Seorang gadis berbangsa Cina menyanyikan beberapa lagu Cina. Saya memerhatikan keadaan sekeliling saya. Tidak terdapat seorang pun pelancong barat. Yang ramai adalah pelancong-pelancong dari Taiwan. Yang lebih memeranjatkan, terdapat pula beberapa orang kanak-kanak yang dibawa oleh ibu-bapa mereka ke sini.
Saya hanya tersenyum kepada Dia. Saya tidak mahu membuat apa-apa komen tentang tempat yang kami lawati ini. Tetapi kalau difikirkan, Musro ini adalah sebuah kelab malam ala "canto-pop".
Pak Herman memberitahu kami bahasa pertunjukan tarian akan dimulakan sebentar lagi, jadi buat masa ini kami sekadar menunggu.
Setelah menunggu selama setengah jam, akhirnya persembahan tarian dimulakan.
Persembahan tarian nampaknya macam persembahan tarian yang pernah kita tonton dalam rancangan Solid Gold ataupun dalam In Living Color. Para penari (kesemuanya berbangsa pribumi Indonesia) menari mengikut rentak lagu yang rancak.
Ada kalanya, penari akan menari dengan pergerakan yang agak erotik sesama mereka. Mata saya menjeling ke arah beberapa orang kanak-kanak yang ada menonton. Ibu bapa mereka seperti tidak kisah. Mereka juga nampaknya tidak kisah minum minuman keras semeja dengan anak-anak mereka yang jelas berada di bawah umur.
Saya tidak begitu meminati tarian yang dipersembahkan oleh penari-penari dari Musro, yang saya yakin telah direka khas untuk pengunjung-pengunjung kelab malam ini yang rata-ratanya terdiri dari para pelancong Taiwan. Tarian yang dipersembahkan mungkin sesuai dipersembahkan di dalam mana-mana kasino di Las Vegas ataupun di dalam kapal pelayaran, tapi bukan untuk persembahan seni untuk ditonton oleh mereka yang meminati seni tari.
Saya menarik nafas lega selepas persembahan tamat. Beberapa minit selepas persembahan tamat, Pak Herman ingin ke Hulu Cafe pula. Di sana menurutnya, ada pertunjukan "paper doll".
"I swear to God if I have to review this show... I'll bury this show like nobody's business!" bisik saya ke telinga Dia tatkala kami berjalan ke arah tempat letak kereta.
Dari Musro, Pak Herman membawa Encik Saiful pulang ke hotelnya. Pada hari esoknya, Pak Herman akan mengambil Pak Saiful dari hotelnya sebelum mengambil kami di hadapan hotel kami untuk ke Spa Antique. Kebetulan pula Encik Saiful akan pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat yang sama dengan yang akan saya naiki.
Hulu Cafe terletak di Legian. Sebaik sahaja kami tiba ke sana, pertunjukan "paper doll" hampir selesai. Kami hanya dapat menyaksikan lima minit terakhir pertunjukan yang agak menarik. Mereka yang mengadakan pertunjukan ternyata nampak cantik. Pengunjung Hulu Cafe rata-ratanya pelancong barat. Mereka memberikan sokongan yang hebat dengan memberikan tepukan yang gemuruh selepas selesainya pertunjukan.
Kami kembali ke kereta Pak Herman selepas selesainya pertunjukan. Pak Herman bertanyakan kepada saya dan Dia jika jika kami berminat mahu ke Kudos bar yang terletak di Seminyak pada malam itu, tetapi saya agak keberatan. Saya sudah agak kepenatan. Jadi saya memintanya untuk membawa kami pulang ke hotel.
Lagipun esok adalah hari terakhir kami di Bali. Banyak yang perlu kami lakukan pada hari esoknya sebelum kami pulang semula ke Kuala Lumpur...
Konsert Gemilang Cahaya Akademi Fantasia oleh Sultanmuzaffar
Akhirnya selesai sudah persembahan gabungan graduan Akademi Fantasia Malaysia dan Akademi Fantasi Indosiar berlangsung di Jakarta. Siti Nurhaliza turut serta tampil sebagai artis undangan. Akademi Fantasia diwakili oleh Top 5 bukan pilihan rakyat Malaysia sebaliknya diwakili oleh Top 5 pilihan Indosiar, khabarnya. Jika diteliti dari senarai Top 5 Malaysia tentulah ia merupakan Top 5 yang sebenar-benarnya. Vince, Khai, Azizi, Sahri dan Rosma merupakan Top 5 yang sepatutnya dipilih ke Konsert Final. Ahh, perkara sudah lepas. Tidak perlu diungkit-ungkit. Pilihan masing-masing. Rakyat Malaysia punya selera masing-masing.
Vince, Khai, Azizi, Sahri dan Rosma terbang ke kota Jakarta membawa nama Malaysia di bahu mereka.
Disclaimer: Persediaan yang singkat. Mereka diberi masa empat hari untuk menghafal lagu tanpa diberikan cd lagu tersebut. Ada di antara mereka perlu menghafal lima lagu. Satu cabaran yang hebat buat rakyat Malaysia. Bukan mudah nak jadi artis dik ! Malaysia Boleh !
Persembahan Pembukaan
Saya suka dengan rekaan pentas yang ada di dewan tersebut. Sejak akhir-akhir ini, rekaan pentas yang memungkin sebilangan penonton berada di dalam pentas semakin popular. Secara tidak langsung interaksi penyanyi dan penonton dapat ditingkatkan. Pentas-pentas sebegini seringkali kita lihat untuk Anugerah MTV dan beberapa anugerah di barat. Di Malaysia, seingat saya pertama kali ia diperkenalkan adalah sewaktu Anugerah ERA.
Orkestra
Penggunaan orkestra merupakan satu peluang yang besar diterima oleh graduan AF. Bukan calang-calang artis berpeluang untuk menyanyi dengan diiringi oleh orkestra secara live. Peluang sebegini patut dipergunakan sepenuhnya.
Namun demikian, persembahan pembukaan kurang memberi impak kepada penonton, baik di dewan mahu pun di rumah. Suasana yang tidak meriah.
Veri Kia Dicky Romi Smile (Terbang) 2/5 bintang
Mereka membawakan lagu Terbang. Mereka tampil dengan pakaian warna putih lengkap bersayap amat menarik. Persembahan vokal mereka masih belum dapat dilihat kecemerlangan sebenarnya.
Mawar, Rini, Icha, Hera, Lastmu, Yeni (Optimis) 3.5/5 bintang
Saya suka dengan persembahan mereka. Vokal graduan wanita AFI nampaknya lebih hebat berbanding graduan lelaki. Koreograf tarian mereka juga menarik kerana saya dapat melihat sebuah koreograf yang berbeza dari apa yang biasa saya lihat di AF. Vokal mereka juga harmoni dan secara langsung amat hebat.
Konsert selama hampir 3 jam setengah itu telah dikendalikan oleh pengacara Udjo P Project dan Cut Mini. Agak terkilan kerana Pengacara sebenar AFI dan AF iaitu Adi Nugroho dan Aznil Nawawi tidak terpilih untuk mengacara rancangan ini.
Smile Rini (Kibar Kreasi) 3/5 bintang
Lagu Kibar Kreasi terkandung di dalam album Akademi Fantasi yang dinyanyikan oleh mereka berdua. Sekali lagi vokal Rini jauh lebih hebat daripada vokal Smile. Saya suka kolaborasi mereka. Ada keserasian.
Graduan AFI (Ekspresi) 4/5 bintang
Saya suka dengan persembahan ini kerana koreografnya menarik. Selain daripada vokal mereka yang agak harmoni dan sedap didengar.
Salah satu aspek yang menyebabkan saya tidak suka dengan Konsert Gemilang Cahaya adalah kerana pencahayaannya yang terlampau terang terutama pada shot yang jauh lalu mewujudkan silau pada penyanyi.
Pergerakan kamera yang kelam-kabut juga mencacatkan hampir keseluruhan konsert ini. Saya menonton konsert ini adalah kerana ingin menikmati nyanyian dari penyanyinya bukannya ingin melihat penonton-penontonnya. Jika saya ingin melihat penontonnya, saya boleh pergi ke Chow Kit Road setiap petang Ahad, sudah pasti ramai yang berkumpul di situ.
Kia (Harus Sampai Di Sini) 4/5 bintang
Saya kira beliau merupakan antara Top 5 AFI. Kehebatan vokal beliau terbukti malam tadi. Beliau menyanyi dengan penuh perasaan. Lagu tersebut merupakan ciptaan Glenn. Oleh kerana beliau menggunakan minus one dan tidak menggunakan muzik iringan live, saya telah menuduh beliau miming. Saya tidak dapat membuktikan. Nyanyian beliau sungguh sempurna. Sama seperti CD.
Mawar lebih hebat daripada Rini yang sememang sudah bagus. Muzik iringan string sungguh mengkagumkan.
Kia, Rini, Rosma dan Vince (Begitulah Cinta) 2/5 bintang
Saya suka dengan penampilan Rosma. Nampak macam anak patung. Not bad ! Persembahan mereka agak tidak berapa baik. Keharmonian vokal mereka tidak cocok. Vokal Rosma pada bahagian rendah agak kurang menyengat berbeza pada bahagian tinggi. Berbanding vokal Rini yang menunjukkan kehebatannya di bahagian tinggi. Begitu juga Vince. Beliau tidak sehebat Rini. Tiada interaksi antara Vince dan Rini. Rini cuba berinteraksi tetapi tiada respon dari Vince.
Yeni, Lastmi dan Hera (Arti Mencinta) 4/5 bintang
Menggunakan konsep kabaret, vokal penyanyinya telah dipersembahkan dengan cemerlang. Ada idea kreatif untuk mewujudkan suasana kabaret di pentas dan koreograf mempunyai unsur-unsur kabaret. Persembahan vokal mereka begitu cemerlang.
Khai (Sephia) 1/5 bintang
Persembahan Khai amat mendatar. Vokal beliau tidak seimbang dengan muzik orkestra. Khai seakan-akan tidak bertenaga. Membawakan lagu Sephia memerlukan konsentrasi yang baik terutamanya pada bahagian rendah. Lagu tersebut agak monotone dan Khai gagal memanafaatkan peluang yang diberikan dengan baik. Beliau sepatutnya memilih lagu yang lebih sesuai dengan jiwa beliau. Aladdin contohnya. Saya takut sekiranya album Khai dibawa ke Indonesia, tiada siapa yang beli angkara sambutan penonton terhadap persembahan Khai malam itu memang dingin. Beliau berusaha keras untuk menjerit di penghujung lagu macam yang dilakukan sewaktu Konsert Final, tetapi tidak mendapat respon penonton. Malu !
Smile, Icha, Vince dan Azizi (Stand By Me) 4.5/5 bintang
Antara persembahan terbaik malam itu. Smile mempunyai mutu vokal yang superb. Vince agak selamba dengan lagu ini. Beliau menyanyi dengan konfiden. Azizi seperti biasa menyanyi dengan penuh perasaan. Icha berjaya mencuri tumpuan dengan vokal yang mantap.
Hera, Lastmi, Yeni, Rini dan Mawar (Bohong) 4/5 bintang
Vokal yang baik serta showmanship yang hebat. Selepas beberapa jam menonton konsert ini, saya harus memberikan pujian setinggi langit kepada graduan wanita AFI. Kehebatan vokal mereka benar-benar mengkagumkan.
Graduan Akademi Fantasia Malaysia 3.5/5 bintang
Summer’s Night You’re The One That I Want Rosma merupakan key player untuk lagu Summer’s Night. Persembahan Sahri agak superb untuk lagu You’re The One That I Want. Rosma telah memberikan showmanship yang superb. Stage presence beliau agak hebat. Showmanship Azizi juga agak baik untuk menutup beberapa kesilapan pada nyanyian.
Kia dan Romi (Cintaku) 5/5 bintang
Hebat ! Vocal mereka serasi !
Icha, Rini, Mawar dan Vince (You’ve Got A Friend) 3.5/5 bintang
Hampir tenggelam vocal Vince apabila menyanyi bersama Icha, Rini dan Mawar. Mereka menyanyikan lagu You’ve Got A Friend. Mawar paling menyerlah dalam persembahan tersebut.
Graduan AF Malaysia (Khayalan) 4/5 bintang
Lagu Khayalan adalah lagu berhantu AF. Rosma menyanyi rap untuk lagu ini. Lagu ini kalau ada yang silap juga, tidak tahu lah. Koreograf biasa tetapi menarik.
Azizi (She Bangs) 4/5 bintang
Sebuah persembahan yang OK. Showmanship mantap. Beliau mempunyai mutu vokal yang hebat. Langkah bijak dengan menyanyikan lagu yang sudah biasa dinyanyikan.
Vince (Bunyi Gitar dan Dara Manisku) 3/5 bintang
Bunyi Gitar dengan susunan muzik yang baru.Hampir mencacatkan lagu ciptaan P.Ramlee. Persembahan Vince di Konsert AF lebih baik dari persembahan malam tadi. Persembahan Dara Manisku juga biasa sahaja. Sambutan penonton terhadap Vince sekurang-kurangnya ada. Ada juga yang bersorak melihat kemunculan beliau.
Mawar (Eternal Flame) 4.5/5 bintang
Vokal Mawar sungguh superb !
Mawar, Rosma dan Siti Nurhaliza (Menghitung Hari) 5/5 bintang
Gila best ! Persembahan Menghitung Hari sememangnya hebat. Siti Nurhaliza dan Mawar banyak menguasai persembahan. Namun demikian Rosma tetap hebat. Nasib baik dibawa Rosma, bayangkan AF Malaysia terbang ke Indonesia tanpa Rosma. Siapakah yang layak membawa lagu Menghitung Hari selain Rosma ? Nana ? Oh Tidak !, Liza ? No No No ! Nija ? Oh Tidak !, Azza ? Mungkin tidak ! Atie ? No Way !
Rini (Kupu Kupu) 5/5 bintang
Hebat ! Saya memang menyukai lagu ini, dendangan asal Melly. Rini membawakan lagu ini dengan cemerlang walaupun imej Melly masih tebal pada lagu tersebut.
Kia, Smile, Azizi dan Vince (I Have A Dream) 3/5 bintang
Lagu ini dinyanyikan sambil diiringi dengan bahasa isyarat. Sebuah persembahan yang biasa.
Siti Nurhaliza Inilah baru penghibur dari Malaysia. Hampir 3 jam menunggu untuk melihat kemunculan Siti Nurhaliza.
Bukan Cinta Biasa Siapa yang mampu menandingi beliau. Dengan selamba beliau menarik lagu tersebut ke bahagian paling tinggi. Jarang kita melihat Amien Rais tersenyum, sewaktu persembahan Siti beliau tersenyum.
Seindah Biasa Sebuah lagu baru. Beliau menyanyikannya dengan cemerlang. Hebat !
Sahri Rini (Nada Kasih) 2/5 bintang Nada rendah Sahri tidak sampai pada lagu tersebut. Lagu yang tidak sesuai untuk Sahri. Vokal Rini melangkaui kehebatan vokal sebenar Sahri. Harus memilih lagu yang lebih sesuai.
Grammy Awards pun tak lama macam Konsert Gemilang Cahaya. Letihnya nak tunggu tamat.
Siti Nurhaliza
Wow ! Siti mendendangkan lagu Greatest Love Of All. Nyanyian beliau hebat. Sebutan beliau juga hebat. Tapi…..Baju macam nyonya hendak pergi pasar. Mungkin dibeli di Taiwan. Style rambut yang agak serabut macam nyonya baru bangun tidur pagi. Siti memerlukan perunding imej yang lebih baik di masa akan datang. Baju pink tersebut tidak kena langsung dengan Siti. Beliau perlu menampilkan imej yang agak elegan pada malam tersebut. Lebih manis dipandang.
Menuju Puncak Bukankah lebih baik sekiranya Siti Nurhaliza turut sama dalam lagu ini. Sebuah persembahan yang baik. Pada persembahan ini saya dapat melihat perbezaan koreografi lagu Menuju Puncak. Saya nampak jelas perbezaannya. Saya kira koreografi untuk AFI lebih sukar daripada AF.
Secara keseluruhan, Konsert Gemilang Cahaya hanya sekadar teaser untuk Akademi Fantasia II. Tidak banyak perubahan yang dapat dilihat. Masih di takuk lama. Menunggu agak lama sehingga konsert tamat. Sebuah persembahan yang baik tentunya tidak terasa masa berlalu, tetapi tidak untuk Konsert ini. Tanpa Siti Nurhaliza, saya malu untuk mengaku seorang rakyat Malaysia.
Buat graduan Akademi Fantasia; Pastikan persembahan yang terbaik di Konsert Tour Siti Nurhaliza dan Akademi Fantasia akan datang. Itu cabaran yang besar buat anda untuk membuktikan anda masih relevan di sini.
Empat hari di Bali: Pengalaman hari ketiga (Bahagian 3)
Ketika gambar ini saya ambil, saya tidak sedar anak-anak gadis ini tersenyum kepada saya. Gambar ini merupakan antara gambar yang paling saya sukai dari koleksi gambar-gambar yang telah saya ambil di Bali
Saya merasa agak seronok pada hari itu walaupun berada dalam keadaan kepenatan. Akhirnya, dapat juga saya melawat Denpasar, ibu negeri Bali.
Setibanya di Denpasar, saya dapat melihat beberapa buah bangunan lama peninggalan penjajah Belanda. Ada di antara bangunan-bangunan lama yang terdapat di sini nampak usang, lantas menampakkan lagi karakter Denpasar sebagai sebuah kota yang menarik untuk dijelajahi.
Tujuan kami ke Denpasar pada hari itu adalah semata-mata untuk melawat ke pasar Kumbasari. Sebenarnya, banyak lagi tempat-tempat menarik di Denpasar yang boleh dilawati pelancong, seperti Bali Hotel (hotel ini pernah dihuni oleh Noel Coward dan Charlie Chaplin satu ketika dahulu), Muzium Bali, Taman Werdhi Budaya dan Pura Maospahit.
Tatkala berada di Denpasar, kami dapat melihat ramai anak-anak remaja yang sedang berkumpul di Taman Budaya Denpasar. Mereka rata-ratanya kelihatan sedang memakai pakaian tradisi yang berwarna-warni. Saya menanyai Komang mengapa anak-anak remaja ini berkumpul beramai-ramai. Komang tidak dapat menjawab. Saya hanya tahu tentang tujuan mereka berkumpul di sana pada keesokan harinya apabila membaca akhbar Kompas. Apa yang sedang berlaku pada ketika itu adalah Pesta Seni Remaja ke-20. Pesta ini melibatkan lebih 5000 pelajar dan ianya berlangsung dari 17-24 April 2004.
Dalam pesta ini, diadakan pertandingan dan pertunjukan perbagai cabang seni; dari seni tradisi sehinggalah ke seni kontemporari. Para pelajar digalakkan memasuki pertandingan teater, membaca puisi dan lagu pop.
Saya agak sesal tidak mengetahui hal ini dengan lebih awal. Jika tidak, pasti banyak yang boleh saya pelajari dan lihat dari Pesta Seni Remaja yang telah diadakan sejak 20 tahun yang lalu ini. Di lain masa, saya rasa ada baiknya jika saya (dan pembaca-pembaca budiman sekalian) membaca akhbar-akhbar tempatan untuk mengetahui agenda seni atau pesta yang sedang berlaku di tempat-tempat mereka lawati. Dengan mengetahui apa yang sedang berlaku di tempat yang kita lawati dengan lebih awal, kita dapat mengaturkan agenda percutian kita dengan lebih baik.
Keadaan di Denpasar nampak sibuk. Jam di tangan saya menunjukkan jam 4.15 petang. Komang membawa kami ke kawasan Pasar Badung/Kumbasari (Pasar Badung dan Pasar Kumbasari letaknya sebelah menyebelah. Sungai Badung memisahkan kedua-dua pasar ini). Komang kemudian memberitahu kepada saya di mana dia akan meletakkan van yang dipandunya agar senang kami mencarinya nanti selepas melawat Pasar Kumbasari.
Komang meninggalkan kami di hadapan Pasar Badung. Di kawasan luar pasar kelihatan ramai penjual-penjual yang berjualan. Kebanyakan mereka menjual bunga-bunga dan keperluan-keperluan sembahyang yang digunakan oleh penganut agama Hindu. Ramai pengunjung yang datang ke sini, walaupun pada hari Sabtu petang seperti ini.
Saya dan Dia kehausan. Kami dapat melihat seorang pemuda yang menjual "es kelapa". Kami memesan dua gelas air kelapa yang dijualnya.
"This is so good!" getus saya kepada Dia. Keadaan saya yang sedang kehausan mungkin membuatkan es kelapa yang saya minum terasa begitu nikmat sekali rasanya.
Dia memberitahu saya bahawa air kelapa yang kami minum ditambah dengan limau manis. Sememangnya es kelapa ini menyegarkan sama sekali! Setelah habis minum, kami melangkah masuk ke dalam kawasan pasar.
Pasar Badung mengingatkan saya kepada Pasar Siti Khatijah di Kelantan. Di sini, kebanyakan penjual-penjualnya juga wanita. Kita bukan sahaja dapat membeli bahan makanan di sini, di bahagian tingkat atas pasar ada dijual pelbagai keperluan sembahyang kaum Hindu dan kain-kain pelbagai jenis.
Sebaik sahaja kami masuk ke dalam pasar, kami diekori oleh seorang wanita yang bertanyakan kepada kami apa yang kami cari. Saya memberitahu kepadanya bahawa kami hanya datang untuk melihat-lihat apa yang ada di jual di sini. Wanita itu terus mengekori kami dan melantik dirinya sebagai pemandu pelancong tidak rasmi kami. Setiap kali kami berhenti melihat-lihat barangan yang di jual, beliau akan meminta pekedai melayani kami dengan sebaiknya. Saya rasa, wanita ini pasti mendapat komisen jika kami membeli barang dari pekedai-pekedai di Pasar Badung ini.
Kami tidak begitu berminat dengan apa yang kami lihat terjual di Pasar Badung. Kami bertanyakan beliau jalan yang terdekat untuk ke Pasar Kumbasari. Wanita tersebut menunjukkan kepada kami jalan yang boleh kami ambil untuk merentasi Sungai Badung lantas ke Pasar Kumbasari. Kami mengucapkan terima kasih kepadanya sebelum cepat-cepat turun dari Pasar Badung untuk berjalan ke arah Pasar Kumbasari.
Di bahagian bawah Pasar Badung penuh dengan penjual-penjual barang-barang keperluan dapur. Terdapat ramai juga orang-orang tempatan yang sedang membeli belah. Hanya kami sahaja pelancong yang kelihatan. Pelancong-pelancong barat, tidak ada langsung di kawasan ini.
Kami terpaksa melalui sebuah jambatan kecil yang merentangi Sungai Badung untuk ke pasar Kumbasari. Kami dapat melihat, di atas jambatan pun masih terdapat orang yang mencari peluang untuk berniaga. Di tepian Sungai Badung, kelihatan beberapa orang sedang memancing.
Beginilah keadaan Pasar Badung dan Pasar Kumbasari di waktu petang Sabtu kami di sana. Pasar Kumbasari di sebelah kiri. Di tengah-tengahnya, sungai Badung mengalir lesu...
Dari luar, kami dapat melihat keadaan Pasar Kumbasari yang kelihatan seperti adik kembar kepada Pasar Badung. Yang membezakannya adalah apa yang dijual di kedua-dua buah pasar besar ini.
Pasar Kumbasari ini terkenal dengan kedai-kedai yang menjual barang kerajinan tangan. Sebaik sahaja kami naik ke pasar Kumbasari, inilah sahaja yang dapat kami lihat di sini. Terdapat beratus-ratus buah kedai yang hanya menjual cenderamata yang mahu dibawa pulang oleh pelancong.
Saya jadi rambang mata. Bermacam-macam benda rasanya yang boleh saya beli di sini. Yang menariknya, harga-harga barang kerajinan tangan yang dijual di sini lebih murah dari yang dijual di Kuta mahupun di Ubud.
Wanita inilah yang telah mengekori kami di Pasar Badung. Di dalam pasar ini terdapat pelbagai jenis kain yang dijual dengan harga yang murah.
Tatkala berada di pasar Kumbasari, saya hanya berminat untuk membeli topeng. Benda-benda lain tidak begitu saya minati. Tatkala sedang melihat-lihat, saya terpandang sebuah topeng kodok yang cantik. Topeng itu boleh dipakai dan mulutnya pula boleh digerakkan. Topeng ini dijual dengan harga Rp 20,000 (RM 8.40).
Sewaktu membayar harga topeng kodok yang saya beli dari sebuah kedai, jurujual sempat bertanyakan kepada saya soalan ini:
"Mas dari mana, ya Mas?"
"Malaysia. Tapi aslinya dari Singapur." Itulah jawapan saya berikan kepadanya.
"Saya fikirkan mas dari Jakarta. Cara Mas ngomong gini kayaknya orang Jakarta!" ujarnya bersungguh-sungguh. "Teman Mas pula saya fikirkan dari Bali."
Saya memandang ke arah dia. Beliau nampaknya sedang sibuk membayar harga beberapa buah kucing ukiran kayu yang dibelinya dari kedai yang sama.
"Emangnya, cowok-cowok Bali ganteng sekali, iya nggak!" ujar saya kepadanya dengan nada berseloroh. "Kayak teman saya gitu."
"Mas berdua juga ganteng!" sambutnya dengan pantas. Kami berdua ketawa bersama.
Kami terus berjalan dari satu kedai ke satu kedai. Kami berhenti di sebuah kedai yang hendak ditutup. Saya terlihatkan sebuah topeng Sidha Karya Putih yang saya cari-cari selama ini. Sayangnya, topeng tersebut ada di dalam kedai, dan jurujual terpaksa mengeluarkan barang-barang yang telah disimpannya jika saya bersetuju untuk membeli topeng tersebut.
Setelah tawar menawar, harga yang telah diberikan kepada saya adalah Rp. 15,000 (RM.6.30) untuk topeng tersebut.
Tetapi pada waktu itu, saya dan Dia berselisih faham. Beliau telah diberitahu oleh seorang pekedai bahawa Pasar Kumbasari akan ditutup dalam masa 10 minit lagi. Dia memberitahu kepada saya, bahawa beliau belum lagi membeli sebarang cenderahati. Ketika perselisihan faham berlaku, saya terus mendiamkan diri. Saya juga langsung tidak mempunyai sebarang nafsu untuk membeli-belah lagi.
Saya tidak jadi membeli topeng yang saya inginkan. Dia menyuruh saya pergi membeli-belah bersendirian, sementara Dia pergi mencari barang-barang yang diingininya. Saya hanya menggeleng. Lesu.
Dia akhirnya membeli beberapa pasang kain dan baju-T. Setelah selesai beliau membeli belah, kami pergi mendapatkan Komang di tempat letak kereta. Ketika itu Dia dapat melihat beberapa buah kedai kain yang masih dibuka. Dia mahu ke sana. Saya pula, kerana masih merajuk, menunggu di dalam van sahaja.
"Capek iya, mas?" tanya Komang kepada saya. Saya sekadar mengangguk.
Lima belas minit kemudian, barulah Dia kembali ke dalam van. Kami langsung tidak berkata-kata. Dalam diam, saya marah kepadanya.
Kami ke Tuban setelah berada di Denpasar tidak sampai sejam setengah kami di sana. Setibanya kami ke Tuban, kami terus "check-in" ke hotel Kuta Paradiso. Proses untuk mendapatkan kunci agak mudah kerana soal pendaftaran dan bayaran telah diaturkan oleh Pak Herman terlebih dahulu.
Hotel Kuta Paradiso sememangnya lebih baik dari Melasti Beach Bungalow. Hotel ini bertaraf 4 bintang dan kawasan kolam mandi dan restorannya lebih menarik. Bilik yang kami sewa, walaupun lebih kecil dari bilik di Melasti Beach Bungalow, ternyata nampak lebih eksklusif.
Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik, Dia terus mendakap saya dan meminta maaf. Saya hanya mendiamkan diri saya sahaja, mungkin kerana terlalu marah. Saya terus mendiamkan diri saya sehinggalah ke awal malam. Saya jarang merajuk seperti ini. Mungkin kerana kepenatan, sukar agaknya untuk saya kembali ceria seperti sedia kala.
Pada malam itu, buat seketika, kami menonton rancangan Akademi Fantasi Indonesia 2 (AFI2). Kemudian, menjelang pukul 8.30 malam, kami bersiap-siap untuk keluar makan malam bersama Pak Herman.
Empat hari di Bali: Pengalaman hari ketiga (Bahagian 2)
Perjalanan dari Nusa Dua ke Ubud mengambil masa lebih sejam. Di dalam perjalanan, saya rasa pening-pening lalat akibat terlalu banyak menghisap rokok Gudang Garam yang telah saya beli di Bali pada hari sebelumnya. Saya dapati, rokok yang saya hisap agak "keras". Yang paling menarik tentang rokok-rokok di Indonesia (terutamanya rokok-rokok buatan tempatan seperti Sempoerna dan Gudang Garam) adalah "packaging"nya yang cantik.
Saya terpaksa berbaring di dalam van sewaktu Komang sedang memandu, walaupun saya lebih suka memerhatikan pemandangan di luar yang sememangnya menarik.
Saya menutup mata buat beberapa ketika sambil menarik nafas dalam-dalam. Buat beberapa minit, saya tertidur di dalam van. Tatkala terbangun, rasa mabuk yang saya alami semakin berkurangan. Saya memerhatikan suasana di luar. Saya mendapati Komang sudah masuk ke sebuah jalan kampung menuju ke arah Ubud.
Kami melintasi sebuah kawasan perkampungan. Di tepi jalan terdapat sebuah parit kecil.
"Ada cewek mandi di sana!" beritahu Komang kepada kami. Saya tidak sempat menoleh dan entah mengapa, saya tidak dapat melihat anak-anak gadis serta budak perempuan yang dinyatakan Komang tadi. "Mereka selalu mandi di situ?" tanya saya kepadanya. "Ya... Di kampung-kampung seperti ini mereka masih mandi di sungai." Jelas Komang.
Beberapa minit kemudian, kami melalui sebuah jambatan di sebuah kawasan bergaung di mana di bawahnya mengalir sebatang sungai. Pemandangan di sini nampak cantik.
"Di waktu petang, ramai orang mandi di sini. Mereka semua mandi telanjang." Beritahu Komang dengan nada bersahaja. Saya memerhatikan sungai itu untuk melihat-lihat jika ada orang yang sedang mandi. Tapi nampaknya tidak ada.
Saya teringatkan cerita dari sahabat saya, Leez yang mengatakan bahawa beliau ada ternampak beberapa orang pemuda mandi bogel di tepian sebatang sungai tanpa seurat benang pun di tubuh mereka. Nampaknya, perkara ini menjadi satu kebiasaan di sana. Jika berkesempatan, mahu juga saya dan Dia mandi air sungai dengan penduduk-penduduk tempatan. Mungkin di lain masa saya akan membuat demikian...
Untuk sampai ke pasar Ubud, kami terpaksa melalui jalan yang berliku-liku. Jalan-jalan ini menarik kerana terdapat berbagai-bagai jenis kedai di tepi jalan. Kawasan ini nampak lebih menarik lagi dengan adanya pohon-pohon rendang yang membuat suasana di Ubud ini kelihatan lebih tenang dan nyaman.
Sebenarnya, pada mulanya saya telah menyarankan kepada Dia agar kami menetap di Ubud selama kami berada di Bali. Kami telah mengubah rancangan kami ini apabila kami dapati kawasan Ubud agak terpencil dan kami pula lebih senang ke tempat-tempat yang mempunyai pusat membeli belah, kelab malam dan sebagainya. Ubud, saya rasa lebih untuk mereka yang ingin ke Bali buat kali kedua ataupun mereka yang sememangnya ke Bali untuk mencari ketenangan.
Ubud telah lama dikenali sebagai sebuah perkampungan pelukis. Sejak tahun 1930-an, kerabat-kerabat Diraja yang memerintah Ubud (khususnya Gede Agung Sukawati) telah menggalakkan para pelukis dan intelektual agar menetap di Ubud.
Ubud dikenali di seluruh dunia dengan selepas kemunculan Walter Spies yang telah mengambil keputusan untuk menetap dan melukis di sana dari tahun 1927 sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Walter Spies tertarik dengan kekayaan seni yang terdapat di Bali dan khususnya di Ubud. Selepas Spies, pelukis-pelukis lain seperti Rudolph Bonnet juga telah ke Ubud, lantas memperkenalkan tradisi lukisan barat kepada penduduk-penduduk tempatan. Mereka menggalakkan pelukis-pelukis tempatan agar melukis di luar kebiasaan mereka. Dari melukis lukisan-lukisan berbentuk mitos, penduduk-penduduk tempatan mula melukis suasana harian yang mereka alami di kampung mereka.
Selain dari terkenal sebagai sebuah pusat kesenian halus, Ubud juga terkenal sebagai pusat kebudayaan Bali. Di sinilah terdapatnya beberapa sekolah tarian dan muzik tradisi Bali yang terkenal. Penari-penari dan pemuzik-pemuzik terkenal dari Bali juga dikatakan ramai yang menetap atau mengajar di sini.
Entah mengapa, sebaik sahaja sampai ke Ubud, saya terasa seperti sudah jatuh cinta dengan tempat ini. Saya seronok melihat kedai-kedai kecil di sepanjang jalan di Ubud, yang lantas mengingatkan saya kepada kedai-kedai kecil di London mahupun di Boston. Kedai-kedai kecil ini menjual barang-barang yang unik yang ada kalanya dibuat oleh mereka yang menetap di Bali khususnya di Ubud.
Komang melalui jalan yang melepasi Pasar Ubud dan Puri Saren. Kawasan itu nampak sibuk. Puri Saren (istana Di Raja Ubud sejak tahun 1890-an) kelihatan cantik tersergam. Di dalam puri ini ada diadakan pertunjukan tarian pada setiap malam.
Komang bertanyakan kepada kami jika kami ingin turun di kawasan ini. Memandangkan kami akan ke Pasar Kumbasari di Denpasar, saya rasakan ada baiknya jika kami ke kawasan yang menghala ke Monkey Forest Sanctuary sahaja.
"Di lain masa apabila kami ke Bali... Kami mahu Komang bawa kami ke sini." Beritahu saya kepada Komang bersungguh-sungguh. Kemudian, saya memberitahunya bahawa kami lapar, dan memintanya membawa kami ke restoran nasi padang yang ada di sini.
Tatkala mencari restoran nasi Padang, Komang menunjukkan kami kepada Cafe Lotus yang dikatakan terkenal di Ubud ini. Tetapi kami kurang berminat. Kami sudah serik makan makanan yang langsung tidak berperisa yang telah dibuat untuk "orang bule".
Komang kemudian berhenti di sebuah restoran masakan Padang yang letaknya tidak berapa jauh dari Pasar Ubud. Sesampainya kami di sana, kami meminta agar Komang sama-sama makan dengan kami. Terlebih dahulu saya bertanyakan kepada Komang jika dia boleh makan dengan kami dan jika dia boleh makan tanpa sebarang pantang larang agamanya. Komang memberitahu kepada saya bahawa dia boleh makan apa sahaja.
"Orang Hindu di India sahaja yang tidak boleh makan sapi." Itulah yang diberitahunya kepada saya.
Keadaan dalam restoran tidak berapa sibuk. Terdapat beberapa pelancong di sana, yang rata-ratanya merupakan orang Melayu dari Singapura. Saya tahu mereka dari Singapura, dengan mendengar cara mereka bercakap dan yang penting sekali, dengan melihat cara mereka berpakaian - yang "so der salah, one" - dengan fesyen ala-ala Steve "Crocodile Hunter" Irwin lengkap dengan boot segala. Yang perempuan pula bertudung Wardina macam nak pergi kenduri kahwin.
Dalam keadaan lapar, kami pergi memilih lauk. Saya dapati lauk-pauk yang ada tampak eksotik. Saya memilih lauk-pauk yang saya anggap aneh atau jarang dapat dimakan, seperti belut goreng (yang kelihatan seperti cacing yang telah digoreng rangup) dan kaki sapi.
Kami bertiga makan semeja. Komang tidak banyak memilih lauk. Tatkala makan, saya memberitahu Dia bahawa ini merupakan antara masakan nasi Padang yang paling sedap yang pernah saya rasa. Beliau juga bersetuju bahawa apa yang kami makan pada waktu itu sememangnya sedap.
Saya puas dengan makan tengah hari di Ubud. Kalau difikirkan, saya sanggup ke Ubud untuk merasai masakan di restoran ini sahaja, kerana percayalah, apa yang saya makan pada hari itu tidak terkira rasa sedapnya!
Selepas selesai makan dan membayar ongkos makan tengah hari untuk tiga orang sebanyak Rp. 35.000 (RM 15), kami dibawa Komang ke sebuah jalan yang menuju ke Monkey Forest. Sejurus selepas kami turun dari perut van, Komang terus memberitahu kepada Dia bahawa beliau akan menunggu kami di beberapa lokasi di hadapan kami dan akan bergerak mengikut rentak perjalanan kami nanti.
Kedai pertama yang saya kunjungi pada ketika itu di kenali dengan nama Bali Art Family. Saya memang tertarik dengan kedai ini setelah memandang perhiasan-perhiasan topeng yang saya lihat dari luar. Saya mendapati terdapat beberapa buah topeng yang telah diukir dengan halus.
Pada waktu itu, Dia memberitahu kepada saya bahawa beliau mahu menggunakan tandas. Saya memberitahunya, mungkin di dalam kedai ini ada tandas.
Saya masuk ke dalam kedai. Saya dapati, pekedai wanita yang menjaga kedai nampaknya baru bangun tidur.
"Ibu... Di sini ada WC, nggak?" Tanya saya kepadanya dengan penuh sopan.
Wajah pekedai berubah, seolah tidak senang ditanya begitu. Beliau menggeleng rimas.
Jika bukan kerana terlihatkan beberapa koleksi topeng yang terceruk di dalam kedainya, pasti saya sudah keluar dari sini.
Saya berkenan melihat topeng Patih Manis yang ada dijualnya. Setelah tawar menawar, beliau memberikan harga Rp. 40,000 (RM 17) untuk harga topeng tersebut. Harga yang diberikan agak mahal tetapi saya mahu juga membeli. Tatkala tawar menawar, si pekedai juga telah menampakkan rasa kurang berminatnya untuk melayan saya - mungkin dia marah kepada saya kerana telah mengejutnya dari tidurnya yang lenyak tadi.
"She has a bad attitude." Bisik Dia kepada saya. Dia telah menyarankan agar saya jangan membeli apa-apa barang darinya, tetapi saya berdegil. Malah, apabila terlihatkan sebentuk topeng Bondres Bongol (badut) yang berhabuk, terus saya mahu membelinya.
Akhirnya, saya telah membeli dua buah topeng dari pekedai yang nak tak nak melayani saya itu. Tetapi saya tetap berpuas hati kerana saya dapati, topeng yang saya beli darinya sememangnya sukar di dapati dan kualiti topeng di tempat lain tidak sebaik kualiti topeng yang dijual di kedainya ini.
Kami keluar dari kedai dan terus berjalan dalam cuaca yang panas pada ketika itu. Sewaktu berjalan, saya menyarankan kepada Dia agar kami berehat sebentar di sebuah restoran kecil di hadapan kami, agar Dia dapat menggunakan tandas di situ.
Ternyata, mereka yang mengendalikan restoran ini begitu baik melayani kami. Saya memesan secawan kopi Bali sementara menunggu Dia menggunakan tandas.
Di dalam restoran ini terdapat sebuah barong yang dijadikan hiasan dengan bahagian depan topeng barong ini ditutup dengan kain kuning. Beberapa tempat baring disediakan untuk pelanggan-pelanggan yang mungkin mahu datang ke sana untuk bersantai. Keadaan cuaca yang panas dan lembap pada ketika itu hampir-hampir membuat saya mahu terbaring selesa di situ.
Di dalam restoran saya dapat melihat seorang berbangsa Eropah yang sedang duduk sambil dia dilayani oleh tuan punya restoran yang kelihatannya masih muda. Mereka tidak banyak berbual tetapi mereka nampaknya seperti sudah lama berkenalan. Anak-anak tuan punya kedai bergurau senda dengan lelaki bangsa Eropah tersebut.
Saya dapat merasakan bahawa lelaki berbangsa Eropah ini mungkin telah lama menetap di Ubud. Seperti pelukis Walter Spies dan Rudolph Bonnet satu ketika dahulu...
Kehidupan di Ubud tidak seperti di Kuta yang hingar bingar. Di sini segala-galanya seperti sengaja diperlahankan. Tidak ada keperluan langsung untuk bergegas ke mana-mana. Mungkin sebab itulah, saya rasa seperti mahu terus duduk bersantai dalam restoran ini.
Dia kembali mendapatkan saya setelah beliau selesai menggunakan tandas. Kopi Bali panas yang sudah lama dihidangkan di hadapan saya seperti tidak terluak. Saya tidak begitu menggemarinya kerana saya dapati kopi tersebut agak pahit.
Setelah duduk berehat buat seketika, selang lima minit kemudian, kami mengangkat punggung untuk melangkah keluar dari restoran. Tuan punya restoran tersenyum kepada kami, seolah-olah saya dan Dia sudah lama mengenalinya. Kami kemudian sekadar mengucapkan terima kasih kepadanya. Senyumannya, serta senyuman pekerja-pekerja restoran itu sudah cukup membuatkan diri kami rasa dihargai...
Kami berjalan dari satu kedai ke satu kedai. Rasa-rasanya, seperti banyak yang boleh kami lihat dan beli di sini.
Kami kemudian masuk ke sebuah kedai yang menjual pelbagai alat muzik buatan tempatan. Yang menariknya, seorang kanak-kanak lelaki datang melayani kami. Beliau menunjukkan kepada saya dan Dia beberapa alatan muzik yang dijual di kedai bapanya.
The best salesman in the world!
"Okay... I'm buying whatever he's selling." Ujar saya kepada Dia sambil memandang kepada anak kecil yang comel ini. Kami berdua akhirnya membeli beberapa cenderahati dari kedai ini.
Sewaktu sedang berjalan-jalan, saya tertarik melihat sebuah tembok besar yang tertulis perkataan Champlung Sari di atasnya. Kemudian, saya mendapati Komang sedang menunggu kami di kawasan "parkir" di luar kawasan tersebut.
"Champlung Sari ini apa Komang?" tanya saya kepadanya.
"Hotel..." Jawab Komang dengan cepat. Beliau kemudian masuk ke dalam van dan terus bergerak ke hadapan apabila beliau melihat Dia terus melangkah maju ke hadapan.
Semasa berada di Ubud, kami ada tidak sempat melewati Hotel Tjampuhan. Jika kami banyak masa, mahu sahaja saya melawat hotel penuh sejarah ini. Tetapi saya mengambil keputusan untuk pergi ke hotel ini di lain masa sahaja.
Hotel ini dikatakan telah di bina di atas tapak rumah Walter Spies. Di sinilah dua buah sungai bertemu dan bilik-bilik hotel di bina di cerung gaung yang curam agar penghuninya dapat melihat sungai yang mengalir deras.
Selain dari pemandangan sungai yang mengalir deras, di Ubud ini juga pelancong boleh melihat kawasan sawah padi yang ditanam secara teres di kawasan berbukit yang banyak terdapat di sini. Dia ada bertanyakan kepada Komang tentang hal ini sebelum kami tiba ke Ubud, tetapi nampaknya Komang tidak biasa dengan kawasan Ubud, jadi beliau tidak dapat banyak membantu. Di dalam buku EYEWITNESS Travel Guides, terdapat sebuah peta yang lengkap dengan arahan yang terperinci kepada pelancong yang ingin menjelajah kawasan pendalaman Ubud dengan berjalan kaki, tetapi sayangnya kami tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan aktiviti ini semua.
Kami menjelajahi dari satu kedai ke satu kedai. Saya rasa cukup seronok membeli belah di sini, lebih-lebih lagi apabila saya memasuki beberapa buah galeri lukisan yang ada terdapat dengan banyaknya di sini. Diketemui juga kami beberapa keping lukisan yang menarik. Jika saya mempunyai banyak wang, pasti sahaja saya akan membeli beberapa keping lukisan yang terdapat di sini.
Budak-budak ini ditimpa kemalangan kecil beberapa meter di hadapan saya...
Tatkala menunggu Dia yang sedang sibuk membeli beberapa cenderamata di sebuah kedai berhadapan dengan Monkey Forest, saya dapat melihat sebuah kemalangan kecil menimpa dua orang budak lelaki yang sedang menaiki basikal. Sebuah motosikal yang dinaiki oleh seorang pelancong Jepun telah melanggarnya. Kemalangan tidak begitu teruk, kedua-dua budak lelaki itu hanya luka-luka kecil sahaja dan penunggang motor berbangsa Jepun pula kelihatan sedang membantu mereka untuk berdiri. Apa yang menarik, beberapa saat sebelum berlakunya kemalangan ini, saya telah mengambil gambar mereka. Terukir senyuman di wajah mereka sejurus selepas saya mengambil gambar mereka itu.
Kerana tidak mempunyai banyak masa, saya dan Dia akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti dari terus menjelajah Ubud untuk ke Denpasar pada pukul 3.30 petang.
Sukar benar rasanya untuk saya meninggalkan Ubud. Walaupun kami tidak menghabiskan banyak masa kami di Ubud, kami rasa pengalaman kami di Ubud menarik dan manis sekali, malah mungkin lebih menarik dari di Kuta. Suasana Ubud yang tenang membuatkan kami merasakan bahawa ada baiknya juga pada masa akan datang, kami habiskan sahaja masa cuti kami di sini - dengan berjalan-jalan menjelajah kawasan bandar Ubud, juga kawasan pendalamannya yang terkenal dengan kewujudan sawah padi berteres di lereng-lereng bukitnya yang nyaman lagi indah.
Empat hari di Bali: Pengalaman hari ketiga (Bahagian 1)
Dia, sewaktu sedang "terbang" di Nusa Dua
Satu perkara yang tidak diduga berlaku ketika kami sedang tidur pada malam itu.
Kira-kira pukul 3 pagi, saya telah dikejutkan dengan satu gegaran berterusan yang menyebabkan katil saya terasa bergoyang. Bunyi gegaran yang kuat menyebabkan saya sedar bahawa saya bukan bermimpi.
Saya terus mengejutkan Dia dari tidurnya.
"Gempa bumi. We have to wake up." Ujar saya kepada Dia dengan tenang, walaupun saya sendiri tidak percaya bahawa kalimah-kalimah ini terpacul dari mulut saya. Saya memintanya agar bergerak ke arah pintu yang menuju ke balkoni. Di sana mungkin selamat, fikir saya, kerana saya pernah menyaksikan dokumentari tentang gempa bumi dan antara tempat-tempat yang terselamat adalah di antara palang pintu.
Gegaran gempa bumi menyebabkan lampu bergoyang-goyang. Beberapa penginap hotel mula membuka lampu. Saya pasti gempa bumi yang kami alami pada waktu itu tidak serius, jadi saya langsung tidak panik. Sejurus selepas gegaran berhenti, saya menyuruh Dia tidur kembali.
Dia tidak dapat tidur dengan nyenyak. Itulah yang telah diberitahunya kepada saya pada keesokan harinya.
Apa yang kami alami adalah sesuatu yang unik. Gempa bumi bukan satu perkara yang selalu berlaku di Bali, walaupun pulau ini terletak dalam lingkungan "ring of fire". Di Bali, terdapat sebuah letupan gunung berapi yang dahsyat pada tahun 1963. Letupan Gunung Batur telah menyebabkan lebih 2000 orang terkorban. Menurut kepercayaan tempatan, tragedi gunung berapi ini berlaku kerana pendeta-pendeta Hindu di Bali melakukan kesilapan menjalankan upacara Eka Dasa Rudra pada tahun 1963, dan bukan pada tahun 1979 seperti yang sepatutnya dilakukan mereka.
Gempa bumi yang kami alami berukuran 5 dalam skala Richter, dengan pusat gempa (epicenter) terletak di sebuah kawasan di dasar lautan kira-kira 69 kilometer ke selatan bandar Banyuwangi di Jawa Timur. Diberitakan bahawa tidak terdapat nyawa yang terkorban akibat gempa bumi yang kecil ini.
Ramai penduduk-penduduk di Bali telah dikejutkan oleh gempa bumi yang dikatakan berlaku selama lebih-kurang 20 minit di sesetengah tempat di Bali. Komang ada memberitahu kepada kami bahawa di dalam keadaan terkejutnya, beliau terus membawa anaknya keluar dari rumah dan beliau bersama isterinya berada di luar rumah sehingga keadaan kembali reda. Begitu juga Pak Herman yang telah keluar dari biliknya dalam keadaan ketakutan. Beliau ada mengatakan bahawa ramai penduduk-penduduk kampung di Tuban yang keluar dari rumah mereka, kerana takut jika perkara yang tidak diingini berlaku kepada mereka tatkala gempa melanda.
Selain dari gempa bumi, satu lagi kejadian yang aneh telah berlaku di Bali pada hari Sabtu itu. Seekor ikan paus terdampar di atas pantai berdekatan dengan Pura Ponjok Batu yang letaknya berdekatan dengan Tejakula.
Ramai penduduk-penduduk Bali yang melihat peristiwa-peristiwa yang berlaku ini sebagai satu petanda bahawa ada suatu malapetaka yang kurang baik akan menimpa Bali, ataupun mungkin sebaliknya...
Pada pagi itu, (setelah tidur dengan nyenyak) sewaktu saya sedang mandi, saya telah menerima panggilan telefon dari Pak Jensen. Nampaknya Pak Jensen telah tiba di lobi hotel sejam lebih awal dari masa yang ditetapkan kepadanya semalam.
Sebenarnya, pada malam sebelumnya, Dia dan saya telah bersetuju dengan saranan Pak Herman supaya kami berpindah ke hotel yang lebih baik (Kuta Paradiso Hotel). Apa yang perlu kami lakukan seterusnya adalah untuk memberitahu kepada Pak Jensen bahawa kami tidak dapat terus menetap di Bali dan terpaksa pulang ke KL. Dengan membuat demikian, kami hanya perlu membayar penginapan hotel selama 2 hari kepadanya, dan bukan 3 hari seperti yang tertakluk dalam perjanjian awal kami dengannya.
Dia menguruskan segala-gala urusan pembayaran pada pagi itu dengan pergi menemui Pak Jensen. Saya pula, mengemaskan barang-barang kami di dalam bilik dan memasukkannya ke dalam beg selepas saya selesai mandi.
Lebih kurang 20 minit selepas Dia keluar untuk menemui Pak Jensen, barulah beliau kembali ke bilik hotel. Beliau terus memberitahu kepada saya bahawa beliau dapat meyakinkan Pak Jansen agar membatalkan tempahan penginapan kami buat sehari lagi di Melasti Beach Bungalow. Menurut Dia, beliau tidak mengalami banyak masalah dengan Pak Jansen ketika berurusan dengannya, tetapi dengan pihak Melasti Beach Bungalow yang hampir-hampir mahu meminta kami membayar kos penginapan selama tiga hari.
Gambar ini telah diambil dengan menggunakan kamera lomo
Apa-apa pun, yang penting kini, kami dapat menukar tempat penginapan kami ke sebuah hotel yang lebih baik.
Seperti biasa, kami makan sarapan di hotel. Selepas makan sarapan dan selepas Komang sampai dengan vannya, kami terus ke bilik untuk mengambil beg-beg kami, dan dimasukkan beg-beg kami ke dalam van.
Kami hanya boleh "check-in" ke hotel baru kami, Kuta Paradiso Hotel pada waktu tengah hari. Jadi, untuk tidak menghabiskan masa, kami terus sahaja meminta Komang untuk membawa kami ke Nusa Dua pada pagi itu.
Kami tiba ke Nusa Dua pada kira-kira jam 9.45 pagi. Kami ke pusat rekreasi laut yang kami lawati semalam. Sebaik sahaja kami tiba di sana, kami terus dilayani oleh seorang pemuda yang mengenalkan dirinya dengan nama Komang. Beliau bertanyakan kepada kami apakah aktiviti yang ingin kami lakukan pada pagi itu. Terus, kami memberitahunya bahawa kami ingin mencuba aktiviti parasailing.
Kami diberikan harga yang agak baik untuk mencuba aktiviti parasailing. Harga yang diberikan kepada kami jauh lebih baik dari diberikan kepada pelancong-pelancong Jepun yang datang pada masa yang sama seperti kami.
"Jangan beritahu kepada mereka harga yang saya berikan kepada mas tadi." Ujar Komang dengan serius. Beliau kemudian menjelaskan kepada kami bahawa harga yang diberikan kepada pelancong diberi mengikut tempat asal mereka. Pelancong dari Jepun, sebagai contoh ditawarkan harga yang lebih tinggi dari pelancong Australia. Dan mereka ini semua akan disuruh membayar dalam mata wang AS (lebih kurang USD$ 15 seorang, sedangkan kami hanya perlu membayar Rp. 60,000 atau RM 25 untuk dua orang). Harga yang kami bayar juga jauh lebih murah dari apa yang perlu kami bayar jika kami hendak melakukan parasailing di Batu Feringgi di Pulau Pinang (RM 60 seorang).
Kami menukar pakaian, lantas setelah selesai menukar pakaian, kami memasukkan beg kami ke dalam locker. Kami menemui Komang dan beliau meminta kami mengenakan abah-abah (harness) dan memastikan agar kami memakainya dengan betul. Kami kemudian di suruh ke tepi pantai di mana terdapat beberapa pelancong yang sedang menunggu giliran untuk terbang ke udara dengan payung terjun.
Di atas pantai, kami dilayan oleh beberapa orang pemuda-pemuda Bali yang berkulit gelap dengan rambut yang kemerahan akibat terlalu banyak masa mereka habiskan di bawah sinaran cahaya matahari yang terik. Salah seorang dari mereka, menggunakan mikrofon untuk memberikan arahan kepada pelancong (yang kebanyakannya berbangsa Jepun) sewaktu payung terjun perlahan-lahan turun ke bumi. Beliau memberi arahan dalam bahasa Jepun, juga dalam bahasa Inggeris dan Indonesia.
Saya telah meminta agar Dia pergi terdahulu dari saya untuk mencuba parasailing ini, agar saya dapat mengambil gambarnya. Beliau bersetuju. Apabila tiba gilirannya, Dia terus diajar cara-cara untuk "terbang" dan "mendarat" dengan selamat. Tidak sampai seminit kemudian, beliau terus terbang ke udara.
Setelah lima minit Dia terbang di udara, beliau turun ke bumi. Dia nampak seronok. Dari raut wajahnya, seperti ada seribu cerita yang ingin diberitahunya kepada saya tentang pengalamannya terbang dengan payung terjun.
Saya menyerahkan kamera saya kepada Dia. Seperti Dia, saya telah diajar cara-cara betul menggunakan parasailing dengan ringkas dan belum sempat saya dapat berfikir panjang, bot di hadapan saya terus bergerak laju lantas membawa saya terbang ke udara seperti layang-layang.
Sebenarnya ini bukan kali pertama saya ber"parasailing". Kali pertama saya melakukannya adalah ketika saya bercuti dengan keluarga saya di Pulau Pinang kira-kira sepuluh tahun yang lepas. Pengalaman yang saya alami pada waktu itu sangat istimewa rasanya. Tatkala berada di udara, sara rasa tenang. Perasaan yang sama dapat saya rasakan sewaktu saya terbang di Nusa Dua. Di atas sana, saya tidak dapat mendengar apa-apa bunyi kecuali bunyi angin. Dari atas, saya dapat melihat keadaan dasar laut yang dilitupi batu karang, juga keadaan pendalaman Nusa Dua yang menghijau.
Saya turun semula ke permukaan pantai dengan keadaan tenang, walaupun kalau boleh, mahu juga saya terbang dengan jangka masa yang agak lama. Saya bertanyakan kepada Dia jika beliau mahu melakukannya sekali lagi, Dia menggelengkan kepalanya. Saya menurut sahaja.
Selepas melakukan parasailing, kami berdua mencari tempat untuk bersantai. Sejak awal lagi saya telah memberitahu kepada Dia tentang niat saya mahu berjemur (sun bathing) di tengah-tengah panas.
Kami menemui dua buah kerusi santai (deck chair) yang kosong, lantas kami merebahkan tubuh kami di sana. Cuaca pada hari itu panas terik - cukup sesuai untuk menjemur. Di sebelah kami seorang wanita Jepun sedang duduk sambil berbual sakan dengan seorang rakan senegaranya.
Ketika sedang sibuk meletakkan losen "sun tan" ke tubuh saya, pemuda berkulit hitam manis bertubuh tegap yang sebelum ini tugasnya memberi arahan kepada mereka yang menjalani aktiviti parasailing cuba memulakan perbualan dengan wanita-wanita Jepun di sebelah kami. Nampaknya, beliau boleh bertutur dalam bahasa Jepun dengan fasih. Saya tak tahu apa yang cuba dibualkannya dengan wanita-wanita Jepun itu, tapi saya dapat merasakan bahawa beliau telah memberitahu mereka bahawa beliau pernah ke Jepun satu ketika dahulu.
Apa-apa pun, saya dapat merasakan bahawa beliau telah ke Jepun dahulu dengan seorang wanita berbangsa Jepun yang telah membawanya ke sana.
Lelaki yang fasih berbahasa Jepun itu terus berhenti berbual dengan wanita-wanita Jepun di sebelah kami apabila "teman lelaki" wanita-wanita Jepun itu datang. Beliau juga seorang lelaki Bali dan beliau juga mampu berbahasa Jepun dengan fasih sekali.
Mungkin lelaki-lelaki Bali yang kami temui pada ketika itu adalah "Kuta Cowboys" yang terkenal di seluruh dunia itu.
Kuta Cowboys dalam erti kata yang sebenar adalah gigolo, tetapi mereka tidak mungkin mahu dikenali sebagai gigolo. Mereka lebih senang dikenali sebagai teman atau kekasih kepada wanita-wanita yang datang ke Bali untuk mencari cinta. Mereka selalunya akan berpelesiran di pantai-pantai di Bali, terutamanya di Kuta.
Sememangnya, terdapat ramai wanita-wanita dari seluruh dunia (terutamanya dari Jepun dan Australia) yang datang ke Bali untuk mencari kenalan-kenalan lelaki dari Bali. Menurut Komang (supir kami, bukan Komang dari pusat rekreasi laut) wanita-wanita Jepun khususnya, suka kepada lelaki-lelaki Bali yang berkulit gelap. Lebih gelap lebih baik, katanya.
Mungkin sebab itulah tatkala kami bersantai di tempat kami pada pagi itu, saya dapat melihat wanita Jepun di sebelah kami kerap kami menjeling ke arah Dia dengan pandangan penuh berahi. Mungkin beliau fikirkan Dia (dengan kulitnya yang hitam manis ditambah dengan tubuhnya yang tinggi dan tegap) adalah seorang lelaki Bali (baca: Kuta Cowboys).
Sebenarnya bukan hanya wanita Jepun itu sahaja yang berfikir bahawa Dia adalah seorang lelaki Bali, malah, tatkala kami ke pasar Kumbasari di Denpasar, seorang jurujual di sana juga membuat kesilapan yang sama... Dan saya pula sering dianggap berasal dari Jakarta.
Tatkala sedang bersantai, ada kalanya kami akan berjalan ke tepian pantai untuk mengambil gambar aktiviti-aktiviti yang dilakukan di sana pada ketika itu. Di antaranya adalah gambar seorang pakcik yang sedang menjual layang-layang berbentuk kapal.
Layang-layang yang dijual oleh pakcik itu kelihatan begitu menarik sekali sehingga saya membeli layang-layang yang dijualnya dengan harga Rp. 30,000 (RM 13).
Keadaan panas terik membuatkan pasir di atas pantai terasa panas membakar. Ada kalanya saya akan ke pantai dengan berkaki ayam. Telapak kaki saya terasa seperti mahu melecur dibuatnya.
Setelah puas bersantai, kami pun mengambil keputusan untuk mandi dan menukar pakaian. Selepas menukar pakaian, Dia mengajak saya untuk minum, sebelum kami bertolak ke Ubud.
Tatkala itu kami sempat berbual dengan Komang (yang bekerja di pusat rekreasi laut). Beliau agak peramah orangnya. Kami ada berbual tentang muzik Indonesia, kerana Seperti saya, Komang juga meminati kumpulan-kumpulan rock Indonesia seperti Gigi, Padi dan Dewa.
Komang berasal dari Bangli, yang letaknya di Bali Timur. Ketika berbual dengan Komang, beliau ada bertanyakan kepada saya jika kami ada menonton rancangan AFI (Akademi Fantasi Indonesia) yang amat-amat popular di Indonesia.
"Di Malaysia ada rancangan seperti AFI ini?" tanya Komang kepada saya.
"Sebenarnya, konsep AFI ini berasal dari Malaysia. Di Malaysia, rancangan ini dikenali dengan nama Akademi Fantasia." Jelas saya kepadanya. Beliau mengangguk. Wajahnya sedikit terpegun, mungkin kerana beliau dan ramai rakyat Indonesia sepertinya tidak pernah mengetahui tentang hal ini sama sekali.
Kami meminta diri darinya setelah air mineral yang kami pesan habis kami minum. Sejurus selepas kami keluar, Komang cepat-cepat berlari ke arah van untuk membuka pintu untuk kami. Beliau nampaknya sejak tadi telah menunggu kami di bawah sebuah pangkin. Beliau mengeluh panas dan mengatakan bahawa beliau tidak faham mengapa kami mahu berjemur seperti "orang bule" di tengah-tengah terik matahari. Saya hanya tersenyum melihat gelagatnya dan seterusnya mengarahkannya untuk ke Ubud, sebuah bandar yang sering dianggap sebagai pusat kebudayaan masyarakat Bali...
Empat hari di Bali: Pengalaman hari kedua (Bahagian 3)
Kami cepat-cepat mengemaskan diri untuk memastikan agar kami tidak lambat untuk menemui Komang di lobi hotel pada pukul 5.30 nanti. Dalam masa 30 minit, sempat juga untuk saya mandi dan mencuci seluar yang basah kerana terkena air laut di Nusa Dua dan menjemurnya.
Seperti biasa, apabila kami keluar dari bilik hotel, kami dapati Komang sudah ada menunggu di luar. Sejurus selepas memasuki ke dalam perut van, saya bertanyakan kepada beliau berapa lama perjalanan ke Pura Luhur Uluwatu. Katanya lebih kurang 45 minit.
Pura Luhur Uluwatu terletak di bahagian selatan Bali. Ia merupakan salah sebuah pura (kuil) tersuci di Bali dan boleh dikatakan antara yang tercantik.
Alkisahnya, Pura Luhur Uluwatu telah dibina oleh Mpu Kuturan, tokoh dalam sejarah Bali dari abad ke-11 dan Dan Hyang Nirarta seorang pendeta telah membina semula pura ini 500 tahun kemudian. Sehingga ke awal abad ke-20, hanya putera-putera dari Denpasar sahaja yang dibenarkan bersembahyang di pura ini. Kini ia dibuka untuk para pelancong.
Pura Luhur Uluwatu di bina di atas sebuah tebing tinggi. Di sini terkenal dengan monyet-monyetnya yang suka mengganggu para pelancong yang datang dengan mencuri cermin mata, dompet dan segala-galanya yang boleh mereka ambil dengan tangan mereka yang cilik itu. Kalau tidak salah saya, saya masih boleh ingat lagi iklan American Express (yang pernah ditayangkan di kaca TV Singapura ketika saya kecil dahulu), di mana dompet wang seorang pelancong dicuri oleh seekor monyet di Pura Luhur Uluwatu (atau mungkin di Monkey Forest, Ubud?). Monyet nakal ini mencuri dompet pelancong ini, lantas menyembunyikannya. Pelancong yang kehilangan dompet ini pula membuat aduan tentang kehilangan kad kreditnya, dan dalam masa 24 jam, terus kadnkreditnya digantikan. Maka itulah antara imej-imej terawal yang dapat ingati tentang Bali.
Perjalanan ke Pura Luhur Uluwatu agak menyenangkan, memandangkan kami menggunakan jalan yang berbukit-bukit merentasi kawasan kampung. Jalannya kecil, tetapi seperti biasa, Komang akan memandu laju dan akan memotong walaupun ada kereta bertentangan. Kereta yang jalan bertentangan seperti sudah masak dengan keadaan ini. Mereka akan cepat-cepat memperlahankan kereta agar kereta di hadapan mereka dapat selamat memotong.
Dalam perjalanan, saya ternampak tugu Garuda Wisnu Kencana (GWK) dari jauh. Saya bertanyakan kepada Komang tentang GWK yang agak kontroversial itu. Komang mengatakan bahawa GWK tidak terlalu menarik untuk dilawati. Lagipun harga tiket untuk masuk ke sana agak mahal.
Kami tiba ke Pura Luhur Uluwatu pada pukul 6.15 petang. Pada ketika itu kami sudah dapat melihat beberapa bas pelancong yang sudah tiba ke sana. Komang meletakkan keretanya di sebuah kawasan di mana terdapat banyak gerai-gerai di situ.
Di dalam van, saya dan Dia memakai kamben sarung yang telah dibeli di Pasar Seni di Tuban. Selepas kami selesai memakai kamben sarung, kami keluar dari dalam perut van. Saya bertanyakan kepada Komang jika beliau mahu ikut kami sehingga ke dalam pura. Beliau bersetuju, walaupun beliau ada mengatakan bahawa beliau ingin makan malam di sini. Makan sate katanya.
Kami berjalan ke arah pintu masuk pura. Di sana terdapat beberapa orang tempatan yang menjual kain selempot berwarna kuning. Pelancong-pelancong yang tidak memakai sarong perlu mengikat kain selempot ke pinggang mereka, dan inilah juga yang telah dilakukan oleh Komang.
Di luar pintu masuk pura saya terbaca amaran kepada para pelancong agar menjaga harta benda mereka supaya tidak dirampas oleh monyet.
Kami berjalan masuk ke dalam pura. Keadaan di dalam kawasan pura penuh dengan pepohon rendang. Kami berjalan menggunakan sebuah lorong yang menuju ke sebuah tebing curam.
Sesampainya kami ke tebing yang bertembok batu, saya terus menarik nafas saya panjang-panjang. Suasana di sana memang cantik dengan ombak menghempas tebing. Beberapa ekor monyet bertenggek di atas tembok batu. Dengan penuh berhati-hati saya memegang cermin mata agar tidak dicuri monyet.
Pada waktu itu kami diminta agar membayar tiket untuk menonton pertunjukan kecak. Tukang jual tiket bertanyakan kepada saya jika saya dari Jakarta. Saya kata tidak, "Dari Malaysia, pak." Itulah jawapan yang saya berikan kepadanya.
Jadi kami disuruh membayar tiket menonton rancangan kecak dengan kadar yang sering diberikan kepada penonton dari Malaysia. Kami membayar dalam mata wang rupiah. Mungkin pelancong-pelancong barat disuruh membayar dalam mata wang Amerika. Yang pasti, kadar yang diberikan kepada mereka jauh dari mahal dari kadar yang diberikan kepada kami.
Setelah memberi tiket untuk pertunjukan kecak, kami disuruh untuk terus berjalan sehingga ke sebuah kawasan pentas terbuka. Saya rasa agak keberatan untuk ke sana terlebih dahulu kerana saya mahu menikmati pemandangan indah yang terbentang di hadapan saya. Tetapi memandangkan sudah ramai pelancong yang berjalan ke arah pentas, saya terus berjalan agar dapat mencari tempat duduk yang baik.
Saya dan Dia mengambil keputusan untuk duduk di bahagian paling bawah pentas yang terbentuk seperti sebuah astaka itu. Saya mahu duduk di bahagian yang paling hampir dengan kawasan menari. Saya dapat melihat seorang lelaki Bali dengan sebatang rotan panjang telah ditugaskan untuk menghalau beberapa ekor monyet yang mungkin datang untuk mengganggu para pelancong yang datang untuk menyaksikan tarian kecak. Saya tersenyum seketika apabila melihat beberapa ekor monyet dihalau dengan rotan, kerana saya teringatkan dua ekor kucing saya, Tipah dan Taib yang sering saya panggil monyet (baca: monkey) kerana perangai mereka yang nakal.
Tari kecak sebenarnya adalah sebuah tarian yang agak moden. Ia mula muncul pada tahun 30-an dahulu. Pada mulanya, ia merupakan sebuah tarian "Sanghyang" atau tarian menurun (seperti kuda kepang). Dalam tarian ini, lebih kurang seratus penari lelaki yang berlengging dan hanya memakai sarong poleng dengan corak kotak hitam putih duduk di dalam satu bulatan mengelilingi sebuah lampu minyak. Tarian ini tidak diiringi oleh muzik gamelan. Para penari lelaki ini akan menyanyi dalam satu nada yang sama, terus-menerus meneriak: "chak-chak-chak-chak" dengan tangan mereka digerakkan seperti monyet.
Pada tahun 1900 dahulu, seorang koreografer dan penari dari Jawa, Sardono Kusumo datang ke Ubud dan menjadikan tarian Sanghyang ini lebih menarik. Beliau memasukkan unsur cahaya (sabut kelapa yang dibakar) dan dijadikannya tarian ini lebih menarik dengan pergerakan yang dinamik.
Dengan kedatangan pelancong barat ke Bali pada tahun 30-an dahulu, tarian yang mengadaptasikan epik Ramayana ini telah direka semula dengan saranan dari Walter Spies, seorang pelukis Jerman terkenal dan Katharine Edson Mershon, seorang ethnologis tarian untuk sebuah filem Victor Baron von Plessen berjudul "Island of Demons" - lantas tarian ini terus dikenali di seluruh dunia.
Sewaktu sedang menunggu tarian kecak ini dipersembahkan, kami dapati, pelancong semakin ramai memenuhi tempat duduk. Di sebelah saya, duduk sebuah keluarga dari Perancis. Si ibu nampaknya bising-bising. Dalam bahasa Perancis beliau mengatakan bahawa tempat yang dipilihnya adalah yang terbaik, dan dari tempat duduk mereka itu, mereka akan dapat mendengar dan melihat dengan jelas tarian kecak yang bakal mereka saksikan. Pada waktu itu saya dapat melihat si ibu pula meletakkan begnya di atas tempat duduk di sebelahnya untuk suaminya yang belum kunjung tiba. Beliau nampak risau setiap kali terdapat pelancong yang ingin duduk di tempatnya itu. Si ibu bising-bising sehingga seorang anak gadis dari Australia yang sedang duduk di sebelah Dia mengejek caranya membuat bising.
Saya hanya mampu tersenyum, kerana saya fikir, hanya orang Singapura (atau kelahiran Singapura seperti saya) sahaja yang kiasu. Rupa-rupanya mat saleh lagi "over"!
Bunyi "cak-cak-cak-cak" sayup-sayup kedengaran. Kemudian muncul sekumpulan lelaki yang sedang berlengging ke dalam kawasan pentas. Saya terus mengangkat kamera dan mengambil gambar-gambar mereka.
Tatkala ini juga, matahari mula tenggelam di ufuk barat. Saya melihat suasana kelam baja yang agak indah kelihatannya. Saya menjadi serba salah. Saya tidak tahu jika saya harus melihat keindahan matahari tenggelam ataupun menonton tarian kecak yang sedang diadakan di hadapan saya.
Saya memilih untuk menonton tarian kecak...
Tarian kecak ini pada dasarnya menceritakan tentang kisah putera Rama yang telah dibuang dari kerajaan Ayodya kerana dirinya dikhianati. Dengan diiringi oleh isterinya yang setia, Sita dan adiknya Laksamana, mereka masuk ke sebuah kawasan hutan bernama dandaka. Raja raksasa, Rahwana terserempak dengan mereka tatkala mereka di dalam hutan dan beliau terus menggilai Sita yang jelita. Dengan ditemani oleh Pepatihnya, Marica, Rahwana mencari jalan untuk menculik Sita. Dengan menggunakan kuasa ajaibnya, Marica mengubahkan dirinya menjadi seekor kijang emas. Sita terlihatkan kijang emas yang cantik ini lantas meminta suaminya untuk memburu kijang istimewa ini.
Putera Rama dan Laksamana pergi memburu seekor kijang emas yang diidamkan Sita. Ketika Putera Rama dan Laksamana pergi memburu, Rahwana pun pergi menculik Sita dan membawanya pulang ke istananya, Alengka (alkisahnya, pada waktu Rahwana mahu menculik Sita, Jentayu cuba melawan, tetapi dapat dikalahkan juga oleh Rahwana).
Rama mendapat tahu tentang penculikan Sita oleh Rahwana, lantas mencari jalan untuk menyelamatkan isterinya ini. Dalam pada itu, datang pula Hanoman, raja kepada segala monyet untuk datang membantu...
Tarian untuk menceritakan epik ini dilakukan di tengah-tengah pentas di mana para pelakon mengelilingi sebuah lampu minyak.
Tarian kecak ini diakhiri dengan pelakon yang membawa watak Hanoman menendang sabut yang sedang terbakar untuk melakonkan semula kembali babak beliau dibakar di dalam Alenka. Bahagian ini dipanggil tarian api, ataupun "fire dance".
Sejurus selepas pertunjukan kecak berakhir, para penonton diajak untuk bergambar dengan para penari. Sekali lagi, saya dapat rasakan bahawa apa yang saya tonton telah dibuat khas untuk para pelancong seperti saya (maka hilanglah rasa "keasliannya", fikir saya).
Kumpulan-kumpulan tarian melakukan pertunjukan kepada para pelancong hampir setiap hari (saya menyaksikan pertunjukan Sanggar Tari & Tabuh Karang Boma Desa Pecatu yang mungkin mengadakan persembahan tarian kecak ini enam atau mungkin tujuh hari seminggu di Pura Luhur Uluwatu). Menurut Margaret Mead, ahli antropologi terkenal yang pernah menetap di Bali, upacara yang bersifat keagamaan di Bali (seperti tarian kecak ini, sebagai contoh), walaupun dilakukan dengan dibiayai oleh orang luar (melalui pelancongan), masih tetap terpelihara kesucian kandungan keagamaannya.
Keadaan di Pura Luhur Uluwatu sudah agak gelap setelah selesai kami menonton tarian kecak. Kami terpaksa melalui sebuah jalan yang gelap sebelum sampai ke jalan besar di kawasan pura. Saya masih teringatkan kepada monyet-monyet yang sebelum ini berkeliaran di kawasan pura, yang kini menghilang entah ke mana. Mungkin mereka sudah masuk tidur, gamaknya...
Kami berjalan ke luar pura dan terus, kami dapat menemui Komang, yang sememangnya dengan setia menunggu kami di luar (saya tidak dapat memastikan jika beliau sudah makan sate, seperti yang diberitahunya kepada kami sebelum ini).
Perjalanan pulang ke hotel kami di Tuban agak lancar, mungkin kerana tidak terdapat banyak kereta di dalam perjalanan kami. Tatkala memandu, saya dapat melihat langit malam dan bintang-bintang yang bersinar cantik. Suasana malam seperti ini jarang dapat saya nikmati di Malaysia, kerana cahaya di kota-kota besar kita membuatkan bintang-bintang di langit Malaysia kelihatan pudar.
"The first time I saw the Milky Way was when I visited the Grand Canyon. It was so beautiful I almost cried." Jelas saya kepada Dia. Sukar sungguh untuk saya menceritakan kepadanya keindahan sebenar Bima Sakti yang dapat saya lihat pada waktu itu, di mana setiap butir bintang kelihatan seperti debu-debu halus bertaburan memanjang di langit malam.
"Eh, Kris Dayanti and T.T. DJ is performing tonight at Kama Sutra!" Ujar saya kepada Dia, sewaktu saya dapat melihat iklan konsert dua diva Indonesia itu di atas sehelai iklan kain rentang di sebuah persimpangan jalan berdekatan dengan Tuban.
Saya menjadi agak seronok pada waktu itu. Apa tidaknya, Kris Dayanti dan T.T. DJ sedang berada di Bali dan agak syok juga jika kami dapat menyaksikan persembahan mereka di sini sewaktu kami sedang bercuti dan berlibur.
Sejurus selepas kami tiba di hadapan hotel kami di Tuban, saya terus memberitahu Komang agar menemui kami di tempat yang sama pada pukul 8.45 pagi pada hari esoknya. Siang-siang lagi saya sudah memberitahu kepadanya bahawa kami mahu ke Nusa Dua dan menghabiskan masa pagi kami di sana.
Sebaik sahaja kami masuk ke dalam bilik hotel, saya terus meminta Dia untuk menelefon Pak Herman. Kami bertanyakan kepadanya tentang konsert dua diva itu. Beliau ada mendengarnya, tetapi tidak begitu berminat untuk menyertai kami ke sana. Beliau menyarankan agar kami keluar makan malam dahulu, kemudian kami boleh menelefonnya jika kami mahu menemuinya. Kami bersetuju.
Di dalam pada itu, saya menerima SMS dari Yasmin. Beliau memberitahu kepada saya bahawa beliau telah menemui Kris Dayanti tatkala makan malam sebentar tadi. Katanya, Kris Dayanti kelihatan begitu cantik sekali.
Saya memberitahu kepada Dia tentang hal ini. Kami bersetuju bahawa Kris Dayanti memang cantik, hasil dari pembedahan plastik dan suntikan botox yang dilakukannya. Kami berbual sebentar tentang hal artis dan kecantikan. Saya berpendapat bahawa apa yang dilakukannya itu adalah atas kemahuannya sendiri. Sekurang-kurangnya beliau bersikap terbuka tentang hal ini dan tidak mahu bersembunyi dan bersifat hipokrit, tidak seperti beberapa artis kita yang jelas-jelas telah melakukan pembedahan plastik dan suntingan Botox tapi masih tetap mahu berselindung dengan berbohong...
Selepas kami mandi dan menukar pakaian, kami keluar dari hotel untuk mencari kelab malam Kama Sutra. Pak Herman ada memberitahu arah jalan melalui perbualannya dengan Dia tadi. Katanya, Kama Sutra terletak berdekatan dengan Hard Rock Hotel.
Cuaca pada malam itu agak panas. Kami berjalan dan terus berjalan untuk mencari tempat makan. Setibanya kami ke Hard Rock Hotel, kami fikirkan ada baiknya kami makan di sana sahaja. Pengalaman kami cuba memakan makanan tempatan (yang telah dibuat mengikut selera "orang bule"atau mat saleh, tidak begitu menyenangkan). Jadi, kami akhirnya berpendapat, lebih baik sahaja kami makan makanan ala barat.
Kami singgah sebentar di kedai cenderamata di Hard Rock Hotel. Kami tidak membeli apa-apa pun di sana, memandangkan barang-barang dijual dengan harga yang agak mahal. Saya teringatkan kepada pelajar-pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (pelajar-pelajar dari Malaysia yang saya maksudkan di sini adalah pelajar-pelajar Malaysia berbangsa Melayu), yang gemar mengumpul cenderamata dari Hard Rock Cafe (dan ada kalanya Planet Hollywood) - di setiap kota yang mereka lawati. "Hobi" mereka ini saya anggap lucu, kerana mereka lebih sedia pergi ke Hard Rock Cafe dari pergi melawat ke muzium-muzium dan galeri-galeri seni yang terkenal (pergi menonton pertunjukan teater dan muzikal, jauh sekali!). Saya anggap mereka ini lucu, kerana apabila ditanya tentang pengalaman mereka ke kota-kota besar dunia seperti ni New York atau London, mereka hanya dapat menceritakan tentang pengalaman mereka di Hard Rock Cafe, dan bukan melawat ke Metropolitan Museum of Fine Arts, ataupun menonton Les Miserables di West End. Apa yang mereka akhirnya dapat bawa pulang adalah cenderamata Hard Rock Cafe dari sana, dan bukan pengalaman melihat dan menikmati kepelbagaian kebudayaan serta tamadun dunia. Dan perangai mereka ini berterusan dan di bawa-bawa sehingga mereka pulang ke Malaysia dengan langsung tidak mengendahkan pertunjukan dan pameran seni yang ada diadakan di Malaysia sendiri (dan nasib baiklah bukan semua pelajar Malaysia yang dihantar menuntut ke luar negara bersifat "philistine" seperti ini).
Tatkala ingin masuk ke Hard Rock Hotel, kami terpaksa berhadapan dengan seorang pengawal keselamatan bertubuh tegap (boleh dikatakan hampir kesemua pengawal keselamatan di sini bertubuh sasa dan mempunyai wajah bengis), yang bertanyakan kepada kami tujuan kami masuk ke kawasan hotel. Kami memberitahunya bahawa kami ingin makan malam. Setelah beliau melihat kami atas bawah, barulah kami dibenarkan masuk.
Kawasan dalam Hard Rock Hotel nampaknya sibuk. Ada sahaja orang yang mundar-mandir. Setibanya kami ke restorannya, kami hilang minat untuk makan di sana. Kami dapati keadaan restoran tidak seperti yang kami sangka. Restoran pertama yang kami temui seperti sebuah restoran biasa yang menyediakan makanan-makanan barat dan Indonesia. Apabila kami ke Hard Rock Cafe pula, bahagian restorannya telah ditutup dan dijadikan pula kelab malam.
Jadi kami mengambil keputusan untuk keluar dan mencari Kama Sutra sahaja. Mungkin kami boleh makan di sana dan menemui Pak Herman di sana.
Kami berjalan di sepanjang jalan Pantai Kuta ke arah Legian. Keadaan jalan "macet" - sesak dengan kenderaan yang lalu lalang. Ramai juga pelancong-pelancong yang berjalan di sini. Di sinilah letaknya beberapa buah hotel-hotel ternama yang menghadap ke pantai Kuta. Di sepanjang jalan terdapat banyak mesin-mesin ATM. Saya cuba menggunakan beberapa mesin ATM untuk mengeluarkan wang dari akaun bank Maybank saya, tetapi gagal. Perkara ini agak merunsingkan, bukan kerana saya kehabisan wang, tetapi kerana kad Maybank saya langsung tidak dapat digunakan di luar negeri!
Kami berjalan dalam cuaca malam yang agak panas dan lembab. Keadaan cuaca yang tidak menyenangkan ini telah membuat saya basah lencun akibat berpeluh. Ingin sahaja saya ke McDonald's untuk makan malam (sambil menikmati kedinginan "air-cond"), tetapi saya ketepikan sahaja niat saya itu, kerana saya tidak suka makan makanan "fast foods" ketika melancong.
Kama Sutra nampaknya lebih jauh dari yang kami sangka (atau itulah yang kami rasakan pada ketika itu). Kerana kami tidak dapat menemui Kama Sutra dan tidak mahu menjelajah lebih jauh lagi, kami terus menelefon Pak Herman dan bertanyakan kepadanya jika beliau boleh membawa kami makan malam sambil kami akhirnya dapat bersemuka. Beliau bersetuju, lantas menyuruh kami menunggunya di sebuah lokasi di Jalan Pantai Kuta yang letaknya bertentangan dengan sebuah restoran terkemuka di sana.
Sementara menunggu ketibaan Pak Herman, kami berjalan masuk ke kawasan pantai yang gelap. Sewaktu berjalan ke arah kawasan ini sebelum ini, kami telah ditegur oleh beberapa orang pemuda. Sememangnya kawasan ini menjadi kawasan "cruising" untuk mereka. Kawasan pantai agak sunyi, lalu kali kembali menunggu di tepi jalan. Sewaktu menunggu ketibaan Pak Herman, kami dapat melihat beberapa buah kereta berjalan perlahan, lantas memberi isyarat lampu. Apabila kami tidak melakukan apa-apa, kereta terus bergerak meninggalkan kami. Seperti yang saya katakan tadi, kawasan ini sememangnya antara kawasan "cruising" di Kuta.
Pak Herman akhirnya tiba untuk mengambil kami makan malam. Pak Herman merupakan seorang ahli perniagaan berketurunan Cina/Jepun yang berasal dari Medan. Beliau telah menetap di Bali sejak 6 tahun yang lalu. Beliau berusia dalam lingkungan lewat 40-an.
Pak Herman akhirnya menunjukkan kepada kami lokasi kelab malam Kama Sutra. Rupa-rupanya kelab malam tersebut berada tidak begitu jauh tempat kami menunggunya tadi. Kami tidak jadi makan di sana, dan kami mengambil kesempatan ini untuk meminta Pak Herman membawa kami ke tempat makan yang menyediakan makanan yang sedap. Pak Herman kemudian memberitahu kami bahawa beliau tahu ke mana untuk membawa kami makan pada waktu itu. Makanan di sana dijamin sedap, katanya.
Dalam keretanya, Pak Herman memainkan lagu-lagu dari album terbaru Anita Sarawak. Beliau mengatakan bahawa lagu "Seksis" begitu menarik sekali. Album ini telah diberikan oleh rakan Pak Herman, Encik Saiful dari Malaysia yang datang bercuti ke Bali.
Pak Herman membawa kami melihat ke kawasan Legian dan seterusnya ke Seminyak. Beliau menunjukkan kepada kami beberapa buah kelab malam yang terdapat di kawasan tersebut. Beberapa kelab malam yang ada nampak menarik, tetapi masih terdapat kurang pengunjung di sana, mungkin kerana malam masih muda.
Pak Herman akhirnya membawa kami ke sebuah warung di kawasan Legian. Warung tersebut ada menghidangkan masakan Padang. Saya dan Dia memilih makanan yang ada terhidang dan Pak Herman pula memesan sate, dan inilah kali pertama kami di Bali makan makanan yang enak.
Pak Herman sememangnya peramah orangnya. Buat sekejap masa sahaja, kami rasa begitu rapat dengannya. Ada banyak perkara yang ingin kami ketahui tentang Bali dapat dijawabnya dengan baik (berkat pengalamannya sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat pelancongan selain dari menjalankan perniagaan salonnya sendiri).
"Kamu tinggal di hotel mana?" tanya Pak Herman kepada kami.
"Melasti Banglo-" jawab saya.
"Berapa kamu bayar sehari?"
"55 dolar Amerika"
"Aduh... Mahal gituh." Pak Herman menggeleng-gelengkan kepalanya. Beliau berkali-kali menyalahkan dirinya kerana tidak bertanyakan Dia tentang penginapan kami ketika Dia menghubunginya di KL dahulu.
Pak Herman kemudian menyarankan kepada kami agar kami berpindah hotel. Ini adalah kerana jumlah yang kami bayar untuk hotel penginapan kami agak mahal (walaupun kami telah mendapatkan "Internet discount"). Menurut Pak Herman, kami sepatutnya mendapatkan harga jauh lebih murah memandangkan kami adalah orang Malaysia. Pelancong-pelancong Malaysia akan diberikan harga penginapan yang lebih murah jika dibandingkan dengan harga yang perlu dibayar oleh pelancong-pelancong dari Australia dan Jepun.
Pak Herman menegaskan bahawa beliau boleh mendapatkan sebuah hotel yang baru bertaraf lima bintang; Kuta Paradiso Hotel yang letaknya agak dekat dengan hotel kami dengan harga yang sama. Beliau berjanji akan menguruskan semua ini untuk kami. Malah, beliau mengatakan kepada kami bahawa kami tidak perlu mendapatkan khidmat pemandu pada hari Ahad, kerana beliau sendiri boleh membawa kami ke mana-mana sahaja yang kami mahu.
Selesai makan, kami dibawa oleh Pak Herman sehingga ke hadapan kelab malam Kama Sutra. Beliau tidak ikut serta. Katanya, beliau sememangnya meminati Kris Dayanti, tetapi dirasakannya umurnya agak terlalu lanjut untuk pergi menyertai kami.
Setelah Pak Herman meninggalkan kami, saya dan Dia merasakan bahawa kami agak beruntung dapat menemui seorang rakan baru seperti Pak Herman. Beliau begitu ikhlas mahu menolong kami, malah begitu bersungguh-sungguh untuk memastikan agar percutian kami di Bali lebih bermakna.
Kelab Malam Kama Sutra nampaknya penuh dengan pengunjung. Pada waktu itulah saya mula dapat melihat anak-anak muda Bali dari golongan kelas menengah dan atasan. Ada di antara mereka yang kelihatan begitu anggun dan ranggi sekali. Inilah dia "beautiful people" dari Bali yang mungkin berkunjung ke Kama Sutra pada malam itu untuk melihat-lihat dan memastikan agar diri mereka sendiri di lihat. Dan mungkin kerana itulah saya dan Dia merasa kurang selesa. Kami rasa agak janggal bergaul dengan ABG (atau disebut "a-bay-jeh"; yang membawa maksud, Anak Baru Gede), istilah yang digunakan untuk anak-anak remaja di Indonesia.
Jadi kami akhirnya mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke hotel. Kami perlu berehat dan mengumpulkan tenaga kami untuk hari esok. Pada hari esoknya, kami mahu ke Nusa Dua, Ubud dan ke Denpasar.