Sebaik sahaja Cassius keluar dari rumahnya, Musa mengheret mayat Kasturi sehingga ke bahagian belakang rumahnya. Darah Cassius yang disimpannya di dalam mangkuk perak yang kelihatan berombak-ombak dan menggelegak itu dituangkan ke dalam mulut Kasturi kesemuanya, kemudian mulut Kasturi dijahit dengan benang yang tebal supaya mulutnya itu tertutup rapat...
*
Kasturi mendapati matanya begitu sukar untuk dibuka walaupun dia sedang berada di dalam keadaan sedar. Dia cuba menggerakkan tangannya. Dia mendapati dirinya berada di dalam keadaan di mana dirinya mungkin tertanam di dalam tanah.
Kasturi menggunakan tenaganya untuk cuba bangun di dalam keadaan baringnya di dalam tanah. Tanah yang menimbusnya merekah. Di dalam keadaan teragak-agak dia cuba membuka matanya.
Tanah-tanah yang telah kering pecah di mukanya ketika Kasturi cuba membuka matanya. Apabila dia cuba membuka mulutnya, dia mendapati mulutnya tertutup rapat. Dia meraba-raba bahagian mulutnya. Dia mendapati bahawa mulutnya telah dijahit rapat.
Kasturi mendapati dirinya sedang berada di belakang rumah Musa dan Musa pula sedang duduk di hadapannya sambil membaca mantera seraya menaburkan asap kemenyan yang dibakar ke arahnya.
Dengan teragak-agak Musa mendekatkan dirinya kepada Kasturi. Dia mengambil sepasang gunting yang tajam lalu dia memotong tali yang menjahit rapat mulut Kasturi. Tali-tali jahitan ditariknya lalu bekas jahitan di mulut Kasturi terus tertutup dengan sendirinya tanpa meninggalkan sebarang kesan di mulutnya itu.
"Apa yang telah berlaku?" tanya Kasturi kehairanan. Dia terlalu keliru. Dia hampir-hampir terlupa tentang peristiwa yang telah berlaku kepada dirinya sebagai tawanan perang pihak Portugis sehingga menyebabkan dirinya diseksa sehingga mati.
Kasturi memandang ke arah Musa. Dia mendapati Musa kelihatan sedikit teragak-agak untuk memandang ke arahnya. Kasturi dapat mencium bau ketakutan yang dikeluarkan Musa. Satu perkara yang dirasakannya tidak mampu dilakukannya sebelum ini.
Kasturi melihat ke arah tangannya. Dia mendapati kulitnya kini berwarna hitam, lembap dan berminyak. Dia memegang tubuhnya. Dia cuba membersihkan tanah yang menimbus tubuhnya tadi. Dia mendapati kulitnya kini diganti dengan selaput berminyak berwarna hitam.
"Apa yang telah berlaku kepada aku?" tanya Kasturi sementara dia cuba berdiri untuk memeriksa keadaan dirinya yang jelas telah berubah.
"Vampiro itu telah melapah kulitmu hidup-hidup sehingga akhirnya kau mati." Musa memberitahu dengan dia cuba untuk memberanikan dirinya memandang ke arah Kasturi. "Apabila aku menjumpai mayatmu... Keadaan dirimu memang tidak berkulit."
"Mayat?" kata-kata Musa terus berdengung di dalam kepalanya. Adakah dia sudah mati? Masakan dia sudah mati sedangkan sekarang dia merasakan dirinya masih hidup lagi!
Perasaan Kasturi cukup-cukup terganggu apabila dia teringat kembali kepada peristiwa kulitnya disiat sehingga dia mati di dalam keadaan penuh terseksa. Dia mendendami Cassius. Kini, satu-satunya perkara yang mahu dilakukannya adalah untuk memburu Cassius lalu membunuhnya. Kemudian Kasturi terfikir pula tentang Awang. Dia betul-betul risau tentang keselamatan Awang. Adakah Awang masih hidup lagi atau sebaliknya?
"Awang... Adakah dia masih ada di atas kapal Portugis?" tanya Kasturi kerisauan.
"Dia tidak mungkin hidup lagi... Mungkin seperti kau, dia sudah lama mati." Musa menjelaskan dengan suara yang cuba dibuat-buatnya sedih.
"Mati? Apa yang kau cakapkan ni? Berapa lama aku tidak sedarkan diri?" ucap Kasturi dengan suara cemas.
"Empat puluh hari empat puluh malam." Musa meletakkan bekas kemenyan ke tepi. Dia cuba memeriksa tubuh Kasturi dengan lebih dekat lagi.
"Apa?" Kasturi sukar untuk mempercayai kata-kata Musa, kerana dia merasakan seolah-olah baru sahaja tersedar dari tidurnya yang lenyak.
Syahadan, Kejadian Kasturi amat berlainan dengan kejadian seorang vampiro seperti Cassius. Darah 'bernyawa' seorang vampiro seperti Tiresias diperkenalkan ke dalam tubuh Cassius ketika Cassius masih hidup lagi, sedangkan darah vampiro diperkenalkan kepada tubuh Kasturi setelah dia mati.
Darah Cassius yang diperkenalkan ke dalam tubuh Kasturi dengan perlahan-lahan membina kembali sel-sel tubuhnya yang telah mati. Termasuklah kulitnya yang telah digantikan dengan bahan-bahan yang telah disediakan Musa, seperti lumpur berminyak dari tanah kubur tujuh orang yang telah mati dibunuh. Tanah lumpur berminyak ini dicampurkan lalu diselaputi ke tubuh Kasturi sebelum dia ditanam selama empat puluh hari, empat puluh malam. Bahan-bahan ini lantas digunakan oleh darah-darah 'hidup' yang berada di dalam tubuh Kasturi untuk membina kulitnya yang dapat melindungi bahagian dalaman tubuhnya dari alahan kepada cahaya matahari - satu perkara yang menjadi kelemahan bagi golongan vampiro.
Kini tubuh Kasturi kelihatan seperti separuh siap gamaknya. Di dalam masa yang sama, dia dapat merasakan perubahan yang berlaku ke atas dirinya. Dia dapat merasakan deria penglihatan dan pendengarannya bertambah baik. Tubuhnya juga dirasakan semakin kuat, walaupun kekuatannya ini belum sempat diujinya.
"Apa yang telah berlaku kepada Melaka selama aku tidur?" tanya Kasturi ingin tahu. Diharapkannya Portugis dapat dikalahkan tentera Melaka. Sekurang-kurangnya apa yang berlaku kepadanya sekarang tidak sia-sia belaka.
"Melaka akhirnya berjaya ditawan Portugis setelah 40 hari kota Melaka ditawan." Musa menjelaskan. Sebaik sahaja dia menghabiskan kalimah-kalimahnya dia dapat melihat tubuh Kasturi perlahan-lahan berubah bentuknya - menggerutu dan mengeras seperti dia sedang memakai perisai.
"Banyak yang perlu kau belajar untuk mengawal tubuh barumu ini." Musa mengingatkan ketika melihat perubahan kepada tubuh Kasturi.
"Kawal?Aku mahu tubuhku kelihatan seperti sedia kala. Seperti manusia biasa... Bukan seperti ini!" Kasturi meraba tubuhnya yang kembali berubah kepada sedia kala - hitam dan berminyak apabila keadaan marahnya mula reda.
"Semuanya ini adalah sementara." Musa cuba menenangkan perasaannya yang kacau itu.
"Sementara?" tanya Kasturi seperti tidak percaya kepada apa yang diberitahu Musa. Buat masa ini, dia merasakan dia sanggup melakukan apa sahaja dari kelihatan seperti lembaga serba hitam yang menggantikan tubuh manusianya. "Aku tidak boleh hidup dalam keadaan hodoh seperti ini!"
"Kau perlu mengumpul tenaga... Agar darah vampiro di tubuhmu itu akan dapat membina kulit yang menyerupai manusia untukmu... Dan, supaya kamu akhirnya dapat menukarkan logam seperti timah kepada emas. Bukankah itu yang kau mahu, dahulu?"
"Tapi bukan dengan cara ini!"
"Setiap apa yang kita mahukan ada harganya yang perlu kita bayar, Kasturi!"
Kata-kata Musa merimaskan lagi fikirannya. Kasturi serba salah. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya sekarang, kecuali membalas dendam kepada pembunuhnya. Setelah Kasturi mendiamkan dirinya buat beberapa lama, dia membuka mulutnya kembali kepada Musa untuk bertanya:
"Kau ada menyebut tentang darah vampiro... Aku tak faham."
"Cassius, lelaki yang telah membunuh kau adalah seorang vampiro."
"Vampiro?"
"Vampiro adalah sejenis makhluk malam yang kejam. Vampiro Cassius lah yang telah membunuh kau... Dan Awang sekeluarga." Musa sengaja mahu mengapi-apikan keadaan. Memburuk-burukkan lagi Cassius, agar Damak tidak akan tahu tentang rancangan jahatnya sehingga menyebabkan diri Kasturi berubah seperti sekarang.
Mata Kasturi bertukar merah. Musa dapat melihat wajah Kasturi berubah menjadi makhluk yang menakutkan. Kulitnya menggerutu, kepalanya bertanduk tajam, Jari-jemari tangannya panjang dengan kuku yang tajam.
"Kau perlu belajar mengawal kuasa yang ada di dalam dirimu, Kasturi!" perintah Musa. Dia mula dapat melihat Kasturi dapat merubah zarah-zarah di dalam tubuhnya lalu menyerupai apa sahaja yang dimahukannya. Satu kebolehan yang perlu dipelajari agar dia dapat mengawal serta menggunakannya dengan sebaik-baiknya.
"Aku perlu mencarinya! Aku mahu membunuhnya dengan tangan aku sendiri!" Giginya yang tajam menyeringai seperti harimau yang sedang lapar. Dia cukup marah dengan Cassius.
"Kau tidak mungkin boleh melawannya sekarang. Dia terlalu kuat untuk kau.. Lagipun dia masih menyimpan senjata yang digunakan untuk membunuh kau." Musa menasihatkan. "Kau perlu kumpulkan tenaga kau sehingga kau betul-betul mempunyai kuasa untuk memusnahkannya... Lagipun aku rasa, dia sudah berangkat ke India. Jadi kau tidak perlu terlalu memikirkan tentang dirinya sekarang, Kasturi."
"Kasturi sudah mati," katanya dengan nada kesal. Wajahnya perlahan-lahan berubah kepada bentuk sedia kala - hitam dan berkilat. Dia melihat kepada keadaan dirinya yang mampu berubah itu. Keadaan ini membuatkan dirinya semakin keliru.
"Ya, Kasturi sudah mati." Musa menganggukkan kepalanya. "Jadi aku rasa, mulai sekarang, kau harus dikenali dengan nama lain."
Musa kemudian menjelaskan kepada Kasturi bahawa dia mempunyai kuasa yang berada di luar jangkauan manusia biasa. Dia juga memberitahu kepada Kasturi bahawa mulai sekarang, nama sebenarnya tidak perlu diketahui oleh sesiapapun, kerana itulah satu-satunya cara untuk sihir dapat digunakan bagi menumpaskannya. Selain dari itu, kelemahannya adalah kepada senjata yang digunakan untuk membunuhnya.
"Panggil sahaja aku Damak." Akhirnya dia berkata apabila dia berfikir dengan lama.
"Mengapa Damak?" tanya Musa ingin tahu.
"Damak adalah nama datukku..." Jawabnya perlahan. Dia tahu dia perlu melupakan keluarganya dan segala-galanya yang bersangkut paut dengan kehidupannya sebelum ini. "Tidak ada sesiapapun yang tahu tentang hal ini sekarang kecuali kau, anggota keluargaku... Dan Awang."
*
Damak telah diajar Musa untuk mengawal setiap zarah di dalam tubuhnya. Satu kebolehannya yang sehingga kini terus menerus membuatnya kaget setiap kali dia mencuba kemampuan ini.
Perkara yang paling awal ya diajar Musa kepada Kasturi adalah cara untuk dia bergerak menembusi tembok. Satu perkara yang dapat dilakukan Kasturi dengan mudah, seperti mana yang dilakukannya sekarang. Kasturi cuba masuk ke dalam sebuah rumah di Kampung Jawa. Apabila dia menembusi dinding papan di dalam rumah tersebut, segala zarah di tubuhnya bergetar, berpisah, lalu bergerak ke dalam tembok kayu itu sebelum zarahnya bercantum semula di bahagian yang berjaya ditembusinya.
Damak masuk ke dalam bilik seorang anak gadis yang sedang tidur. Dia meletakkan tangannya ke atas lengan gadis itu yang terdedah lalu menyedut tenaga kehidupan gadis tersebut. Damak telah memastikan agar tenaga hidup gadis tersebut tidak disedutnya sehingga mampu menyebabkan kematian. Apa yang pasti, di lengan gadis ini akan terdapat tanda lebam berwarna hitam setelah dia selesai dengan tugasnya. Gadis ini akan bangun di dalam keadaan kepenatan dan pasti akan jatuh sakit selama berhari-hari lamanya. Si gadis kemudian akan menyalahkan perbuatan 'pelesit' kepada apa yang berlaku kepadanya.
Walau bagaimanapun, ada kalanya, kehadiran Damak akan disedari oleh mangsa-mangsanya yang tersedar sewaktu dia melakukan kerjanya ini. Apabila mereka menjerit, Damak akan terus lari menembusi dinding rumah mereka lalu hilang entah ke mana. Apa yang akan dilaporkan oleh mereka adalah kehadiran satu lembaga serba hitam bertubuh yang kelihatan berkilat dan berminyak. Lama-kelamaan, lembaga yang hanya muncul di waktu malam ini dikenali dengan nama Orang Minyak oleh penduduk-penduduk tempatan...
Damak telah diberitahu Musa bahawa dia perlu mengumpul tenaga hidup 40 orang anak gadis yang masih belum terusik daranya sebelum dia memperoleh kuasa untuk menyerupai seorang manusia biasa dan akhirnya dapat merubah jisim objek yang disentuhnya kepada emas.
Seyogia, Sewaktu Damak keluar pada waktu malam untuk mencari mangsanya inilah dia dapat melihat bagaimana Kota Melaka akhirnya benar-benar dapat dijajah Portugis. Dia dapat melihat bagaimana pagar-pagar kayu telah dibina di sekeliling Kota Melaka. Dilihatnya juga bagaimana beberapa buah masjid di Melaka diruntuhkan dan batunya digunakan untuk membina sebuah kubu pertahanan di atas tapak bekas Istana Sultan Melaka yang telah hangus dibakar Portugis. Kubu ini akhirnya dinamakan A Famosa.
Damak serba salah melakukan kegiatannya sekarang. Dia serba salah, sebenarnya. Dia tahu apa yang dilakukannya ini melampaui batas, tetapi dia perlu melakukan sesuatu agar dia mampu kelihatan seperti manusia biasa. Dia tidak sanggup melihat keadaannya seperti sekarang. Dia tidak boleh keluar pada waktu siang kerana takut dirinya yang hodoh itu akan diketahui orang ramai. Dia perlu kelihatan seperti manusia biasa!
Semakin ramai anak dara yang dijadikan mangsa Damak, semakin bertambah-tambah lagi kuasa yang ada di dalam dirinya. Kini, Damak dapat mengumpul zarah-zarah yang ada di kawasan sekelilingnya lalu mencipta bahan-bahan yang kecil seperti segenggam beras ataupun secawan air. Air panas boleh dibekukan serta-merta hanya dengan menyentuhnya dan mengawal getaran zarah air. Ini tidak dikira lagi bentuk-bentuk luar biasa yang dapat dilakukan kepada dirinya sendiri, seperti mengubah bentuk wajahnya dan tubuhnya kepada apa sahaja yang dimahukannya.
Pada masanya apabila cukup 40 orang anak gadis yang berjaya diserap tenaga hidup mereka oleh Damak, dia merasakan dia akan dapat melakukan perkara-perkara yang lebih hebat lagi... Mungkin, mengubah logam biasa kepada emas hanya sebahagian sahaja dari perkara-perkara yang lebih hebat yang dapat dilakukannya nanti!
Awang dan Kasturi mendapati suasana di kampung mereka senyap sunyi seperti telah dilanggar garuda, gamaknya. Mungkin semua penduduk kampung sedang berada di dalam rumah menunggu di dalam ketakutan ataupun ramai di antara mereka yang telah lari bersembunyi jauh ke pendalaman Melaka.
Kasturi mengambil keputusan untuk menghantar Awang sehingga ke depan rumahnya. Awang nampak lega apabila dia selamat sampai ke rumahnya. Dia memandang ke arah rumahnya, senyap sunyi. Semua pintu dan tingkat tertutup rapat.
"Awang, jangan lama-lama sangat... Sejam dua dari sekarang aku akan tunggu kau di sini. Kita kena kembali ke Kota Melaka secepat mungkin!" Kasturi mengingatkan. Awang mengangguk lemah.
Kasturi mengorak langkah untuk pulang ke rumahnya sebelum Awang bersuara untuk mengeluarkan kalimah-kalimat berikut:
"Bang... Terima kasih."
"Untuk apa?" tanya Kasturi kehairanan.
"Untuk segala-galanya, dan untuk ini." ujar Awang. Kasturi sekadar mengangguk sebelum kelibatnya hilang dimakan kegelapan malam.
Awang mengetuk pintunya sambil memberi salam. Pintu rumah cepat-cepat dibuka. Bapanya terus menyambutnya dengan mendakap tubuhnya. Ibunya pula menangis-nangis sambil mencium pipinya. Mereka fikirkan, Awang sudah mati seperti beberapa orang pemuda kampung yang telah disahkan mati ketika berjuang melawan Portugis.
"Pak, ada baiknya bapak bawak keluarga kita ke bahagian pendalaman." Awang menasihatkan. Dia dapat melihat kedua orang adik perempuannya kelihatan gelisah melihat keadaan dirinya yang tidak terurus pada ketika itu.
"Kau pula bagaimana?" tanya Budiman dengan wajah penuh risau.
"Saya perlu kembali ke Kota Melaka, Pak!" kata Awang dengan matanya memandang ke bawah.
"Awang... Jangan Awang. Ikut kami lari ke pendalaman!" pinta ibunya mengambil kain yang dibasahkan lalu mengelap tubuh Awang yang dikotori lumpur dan darah itu. "Temankan si Melati dan Melur ni nanti. Mereka risau sangat bila kau pergi tadi. Sehari suntuk mereka menangis."
"Tak boleh mak! Lagipun sekejap lagi abang Kasturi akan ambil saya di sini!"
"Ikut hati mati, ikut rasa binasa, Awang!" ucap Budiman sambil menggelengkan kepalanya.
"Kalau Kasturi tu nak mati, biarkan dia. Jangan kau ikut cara dia!" suara ibu Awang tersekat-sekat. Marah bercampur sedih. Kecewa dengan sikap anak bujangnya itu.
"Mak... Maafkan saya kalau saya tak boleh dengar cakap mak dan bapak. Saya dah dewasa. Lagipun saya lelaki. Saya perlu mempertahankan Melaka. Saya tak boleh lari begitu sahaja masuk ke dalam hutan bila orang lain bertungkus-lumus mempertahankan Melaka." Awang tertunduk sedih. Anak tekaknya terasa perit menelan kata-katanya ini.
Budiman mengeluh. Apabila isterinya Teja cuba bersuara, dia meminta supaya isterinya itu diam. Katanya kemudian dengan perlahan kepada Awang:
"Kau buatlah apa yang patut, Awang. Apa-apa pun, bapak tetap berbangga dengan kau."
Ibu Awang hanya mampu menggelengkan kepalanya. Dia terus mengesat tubuh awang dengan kain basahnya. Air matanya berlinangan lagi.
Lebih kurang sejam lamanya Awang duduk berehat di dalam rumahnya tatkala ibu dan bapanya mengemaskan beberapa barang keperluan yang boleh mereka bawa bersama untuk mencari perlindungan ke kawasan pendalaman. Awang cuba makan, tetapi seleranya langsung tertutup. Dia terlalu kepenatan. Mahu sahaja dia melelapkan matanya buat sementara, itu pun sukar untuk dia lakukan. Yang hanya mampu dia lakukan sekarang adalah melayan si Melur dan si Melati yang masing-masing berumur 6 dan 8 tahun itu berbual. Mereka petah bertanyakan kepada Awang tentang apa yang telah dilaluinya tadi.
Ketika dia sedang sibuk melayan kerenah adiknya, pintu di hadapan rumahnya itu tiba-tiba pecah. Seorang lelaki berbangsa Eropah berambut perang merempuh masuk ke dalam rumahnya.
Maka ketika itulah kali pertama Awang bertembung dengan Cassius...
Kasturi mengucapkan selamat jalan kepada keluarganya yang dilihatnya berjalan dengan barang-barang yang boleh mereka bawa bersama ke arah utara. Kasturi berjanji kepada orang tuanya dan kepada adik serta kakak-kakaknya bahawa dia akan pulang bila keadaan Melaka reda nanti. Mereka menangis ketika mereka melihat Kasturi membuka langkah meninggalkan mereka lalu berjalan ke arah rumah Awang.
Sebaik sahaja Kasturi sampai ke rumah Awang, dia mendapati terdapat sebuah kereta lembu diletakkan di hadapan rumahnya itu. Di atas kereta lembu, dia dapat melihat tubuh tiga pemuda Melayu terkulai. Mereka masih hidup lagi tetapi berada di dalam keadaan tidak sedarkan diri. Kasturi pasti mereka adalah hulubalang-hulubalang Melaka yang telah berjaya ditawan tentera Portugis apabila dia memerhatikan pakaian yang mereka pakai.
Apabila Kasturi memandang ke hadapan, dia dapat melihat tubuh layu Awang diangkat oleh Cassius di atas bahunya. Tanpa berfikir panjang, Kasturi terus mengeluarkan parangnya lalu terus menyerang Cassius. Dengan pantas, Cassius bergerak, lalu menghilang entah ke mana, sesudah itu dia tiba-tiba muncul di belakang Kasturi.
Cassius menghentak kepala Kasturi dengan sikunya sehingga Kasturi terjatuh pengsan. Cassius mengangkat tubuh Kasturi lalu dia mencampakkan tubuhnya itu ke atas kereta lembu. Tubuh Awang pula diasingkannya lalu dibaringkan di bahagian tempat duduk kereta lembu...
Apabila Kasturi membuka matanya, dia mendapati dirinya berada di dalam sebuah bilik kecil di dalam sebuah kapal Portugis. Di dalam bilik itu terdapat ramai pemuda-pemuda sepertinya. Ada di antara mereka telah dipasung. Ada pula didapatinya telah mati dengan tubuh mereka dihurung lalat.
Kepala Kasturi terasa sakit. Dia memegang kepalanya. Dia mendapati rambutnya keras. Bekas darah beku. Dia mengeluh. Dia teringatkan kepada Awang. Dia mencari Awang. Dia memanggil nama Awang. Tetapi Awang tidak ada di dalam bilik itu. Mungkin Awang ada di tempat lain, fikirnya. Kerana dia dapat merasakan kehadiran Awang dekat kepadanya.
Pada petang itu dia diseksa. Dia di ikat di tiang kapal lalu bahagian belakangnya disebat. Dia ditanya pelbagai soalan tentang kekuatan hulubalang Melaka dan di mana lokasi markas rahsia mereka. Kasturi tidak tahu. Masakan dia tahu kerana dia bukan seorang hulubalang Melaka. Tentera Portugis yang menyeksanya tetap dengan pendirian mereka bahawa Kasturi sebenarnya tahu akan kesemua soalan-soalan yang ditujukan kepadanya.
Setelah diseksa bertubi-tubi selama beberapa hari lamanya, tubuhnya akhirnya di bawa masuk ke dalam sebuah bilik, di dalam keadaan bogel.
Di dalam bilik itulah dia diketemukan dengan Awang. Dia dapat melihat keadaan Awang yang lemah. Dia tidak sampai hati melihat Awang begitu. Jiwanya meruntun lalu meminta agar dirinya dibunuh sahaja oleh Cassius. Dia mahu Awang dibebaskan. Tak sampai hati rasanya untuk Kasturi melihat diri Awang diseksa begitu.
Pada malam itulah Kasturi telah diseksa dengan kejam sehingga mati. Kulitnya telah disiat dengan begitu teliti - dia masih hidup lagi ketika seluruh bahagian kulit yang pernah menyeliputi tubuhnya itu berjaya dilapah Cassius. Sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia telah berdendam berdoa agar Awang tidak diapa-apakan lagi. Biarlah dia mati asalkan Awang tidak perlu melalui segala keperitan yang terpaksa dilaluinya. Kasturi telah mati dalam keadaan terseksa...
Tubuh Kasturi yang merah dengan darahnya masih menitik-nitik itu diusung keluar dari bilik penyeksaan. Kemudian tubuhnya ia dilitupi dengan sehelai kain lusuh sebelum ia dicampakkan ke atas sebuah sampan kecil yang sedang menunggu di bawah kapal. Dua orang pendayung membawa sampan itu bergerak ke arah pantai Melaka. Sesekali pendayung-pendayung itu akan memerhatikan Cassius yang sedang berdiri di atas sampan dan ke arah mayat Kasturi yang kelihatan mengerikan itu. Mereka ketakutan. Ada sesuatu tentang diri Cassius yang menakutkan mereka.
Sebaik sahaja sampan mendarat di pantai Melaka, mayat Kasturi diletakkan di atas sebuah kereta lembu. Kemudian Cassius menyuruh penunggang kereta lembu itu membawa mayat Kasturi ke Kampung Arab.
Kereta lembu itu membawa mayat Kasturi melintasi kawasan Melaka yang hampir musnah akibat kebakaran yang dimulakan oleh pihak Portugis. Di beberapa simpang di jalan yang dilalui Cassius, dia dapat melihat ceracak-ceracak kayu yang diletakkan kepala wanita dan kanak-kanak yang telah dipenggal. Di beberapa tempat lain pula kelihatan tubuh-tubuh layu pemuda-pemuda Melayu yang telah disula dengan sebatang kayu tajam yang telah diselaputi lemak binatang. Ada yang masih hidup dan mengerang menahan kesakitan yang tidak terperi rasanya. Bau hanyir darah tebal menyelinap di udara, amat meloyakan siapa sahaja, kecuali Cassius.
Di satu simpang berdekatan dengan Kampung Arab, seorang anak muda yang mungkin seusia dengan Awang diangkat tinggi-tinggi oleh tali barut Portugis, sebelum dia didudukkan di atas penyula sehingga bahagian kayu yang tajam menusuk ke bahagian duburnya. Tubuh anak muda itu dilepaskan lalu dia menjerit sekuat hati. Batang kayu itu menembusi sehingga ke dalam bahagian perutnya melalui lubang duburnya. Batang kayu itu semakin merah dengan darah. Muka anak muda itu menyala menahan kesakitan. Suaranya tidak kedengaran, cuma mulutnya ternganga luas serta mata tertutup rapat dan urat lehernya timbul menahan kesakitan yang tidak dapat dibayangkan.
Cassius tahu bahawa anak muda itu tidak akan mati sehingga sekurang-kurangnya tengah hari esok. Jika dia bernasib baik, ceracak kayu yang menyulanya akan menusuk ke bahagian jantungnya atau ke bahagian paru-parunya untuk mempercepatkan kematiannya. Jika tidak, kayu ini akan terus menikam tubuhnya sehingga ia terkeluar di bahagian mulutnya atau di tengkuknya.
"Berhenti di sini!" Perintah Cassius sewaktu kereta lembu itu berada betul-betul di hadapan satu-satunya rumah yang ada mengibarkan sehelai bendera Portugis di Kampung Arab.
Cassius mengangkat mayat Kasturi di atas bahunya, lalu berjalan ke muka pintu untuk mengetuk pintu rumah tersebut. Pintu rumah dibuka dengan tergesa-gesa.
"Ini mayatnya seperti yang dijanjikan." Kata Cassius kepada Musa. Dia mencampakkan mayat Kasturi di atas lantai. Mayat Kasturi tergolek lalu meninggalkan kesan darah di lantai Musa.
"Kau sendiri yang menyiat kulitnya?" tanya Musa dengan kagum melihat hasil kerja Cassius. Dia sememangnya tidak sangka Cassius dapat memburu Kasturi hanya dengan memberinya cebisan baju terpakai kepunyaan Kasturi yang diciumnya.
"Ya." Jawab Cassius pendek dengan suara yang menjelaskan kebosanannya.
Musa berpuas hati dengan ganjaran yang diberikan kepadanya, setelah lebih dua tahun dia menjadi perisik bagi pihak Portugis. Ini sahaja yang dimahukannya. Tubuh anak muda yang telah diisinya dengan ilmu kebatinan yang disiat kulitnya dan yang akan dihidupkan kembali untuk menjadi hambanya - yang diharapkan Musa akan mempunyai kuasa untuk mengubah apa-apa sahaja yang disentuhnya kepada emas.
"Mengikut perjanjian kita-"
"Ya, aku tahu apa yang kau nak!" sergah Cassius. Dia mengeluarkan pisau secespita dari sisip pinggangnya lalu menoreh tangan kirinya. Musa cepat-cepat mengambil mangkuk perak dari atas mejanya lalu menadah darah Cassius.
"Terima kasih wahai vampiro." Ucap Musa dalam bahasa Latin yang difahami Cassius. Inilah bahan yang paling penting yang diperlukan Musa untuk membangkitkan mayat yang terkujur di atas lantainya nanti.
Cassius menyeringai. Musa nampak takut jika dirinya nanti akan diapa-apakan oleh Cassius nanti.
"Jadi mana bahagian aku yang kau janjikan?" tanya Cassius. Matanya nampak liar. Seperti seekor haiwan buas yang senang memerhatikan mangsanya yang bakal dibahamnya.
Musa cepat-cepat mengangguk, lalu mengeluarkan sebuah manuskrip lama dari sebuah peti berkunci yang telah diletakkan di tepi dinding rumahnya. Manuskrip Vitruvius yang pernah disimpan di Perpustakaan Iskandariah, hilang buat beberapa ratus tahun, berpindah dari satu tangan ke tangan yang lain dan kini ia akan berpindah pula ke tangan Cassius.
"Mengapa manuskrip ini begitu penting bagi kau?" tanya Musa ingin tahu sebelum dia menyerahkan manuskrip ini yang telah dibayar dengan harga darah Cassius.
"Jika aku beritahu kau sebabnya, aku terpaksa membunuh kau selepas itu." Kata Cassius sambil tersengih.
Musa terus menyerahkan manuskrip itu ke tangan Cassius. Kemudian Cassius membuka langkah untuk beredar dari rumah Musa.
"Kau tahu bukan, dia akan membunuh vampiro Tiresias satu hari nanti?" tanya Musa dengan tangannya menuding ke arah mayat Kasturi.
"Ya aku tahu... Ini adalah satu takdir yang terpaksa dia hadapi sendiri." Kata Cassius dengan suara yang tenang. "Kau juga aku rasa tahu, teman budak yang aku lapah ini akan menjadi vampiro satu hari nanti..." Katanya kemudian dengan suara yang lebih perlahan.
"Ya, aku tahu... Awang namanya. Aku telah dapat melihat perkara ini sejak kali pertama aku bertemu dengannya... Dia akan menjadi seorang vampiro yang hebat. Mungkin dia tidak akan menjadi seorang vampiro sekejammu, tetapi dia tetap hebat." Musa memberitahu apa yang dapat ditiliknya.
Cassius menguap lesu tatkala mendengar penjelasan dari Musa tadi. Matanya sengaja diredupkan sebelum dia bersuara:
"Kau fikir aku tak tahu yang kau suruh dia baca mantera yang kau berikan kepadanya agar aku tidak dapat membaca fikirannya dan menilik masa depannya ketika aku menyeksanya tadi?" mata Cassius kini tepat kepada Musa. "Kau tahu apabila dia membaca mantera itu, kau sendiri tidak akan menilik apa yang akan dilakukannya selepas ini?"
"Ya. Aku tahu." Jawab Musa teragak-agak.
"Kelemahan kau, Musa... Kau dapat menilik masa depan orang lain kecuali diri kau sendiri!"
Musa mengangguk perlahan. Muka tuanya berkerut seribu.
"Kalau begitu... Kau tidak mungkin mahu tahu apa yang akan berlaku kepada kau nanti!" kata Cassius dengan sinis lalu meninggalkan kata-katanya tergantung di situ sahaja. Dia meninggalkan Musa di rumahnya dengan senyuman puas terukir di wajahnya tatkala memikirkan tentang kematian yang kejam yang bakal menunggu Musa nanti...
Ketika Kasturi dilahirkan, Sultan Mahmud Shah adalah Sultan yang memerintah Melaka. Tun Perak masih hidup tetapi beliau sedang menghabiskan sisa-sisa hari tuanya melihat kegemilangan Melaka dari hari ke sehari semakin pudar dek pimpinan Sultan-sultan yang lemah serta gila kuasa. Melaka yang satu masanya gemilang, kini seperti menanti hari-hari kejatuhannya. Kuasa-kuasa Eropah seperti Portugis mula mencari jalan ke Timur dan mula lapar untuk menjajah sebuah pelabuhan yang kaya dan tersohor seperti Melaka untuk memperkuatkan lagi kedudukan ekonomi negara mereka...
Bapa Kasturi merupakan bomoh yang terkenal di kampungnya dan ibunya pula seorang bidan. Sejak kecil lagi, Kasturi telah diturunkan oleh bapanya ilmu-ilmu kebatinan yang diharapkan pada satu hari nanti Kasturi akan dapat menjadi seorang bomoh sepertinya.
Apabila Kasturi berumur sembilan tahun, dia mempunyai minat yang mendalam dalam seni persilatan. Berbekalkan kecekalan diri, dia telah meminta bapanya supaya membenarkannya berguru dengan seorang guru silat dari Pasai. Seorang pedagang Pasai yang menetap di hujung kampungnya, di Kampung Gajah Berang bernama Budiman.
Sewaktu Kasturi berguru dengan Budimanlah dia mula mengenali Awang. Awang yang berusia tiga tahun lebih muda darinya itu mula rapat dengannya sejak hari pertama Kasturi berguru dengan Budiman. Ke mana sahaja Kasturi pergi. Awang mahu ikut sama. Dari awal lagi Awang, anak sulung Budiman itu menganggap Kasturi sebagai abangnya sendiri.
Kasturi dan Awang mempunyai sifat yang amat berbeza. Jika Kasturi suka kepada dunia persilatan dan dunia mistik, Awang pula lebih suka menghabiskan masanya membaca kitab-kitab agama yang telah dikumpul bapanya. Jika Kasturi suka menghabiskan masa lapangnya dengan mengembara, Awang pula lebih suka mengukir dan bertukang di rumah. Mungkin perbezaan yang ada di antara mereka inilah yang membuatkan hubungan mereka rapat. Awang suka mengikut apa sahaja dilakukan oleh Kasturi. Jika Kasturi mahu pergi mengail di sungai, dia akan ikut sama dan belajar untuk mengail. Jika Kasturi mahu belajar seni persilatan dan berlatih sehingga ke larut malam, Awang akan melakukan perkara yang sama - menemaninya dengan setia. Hubungan mereka memang rapat dan Awang langsung tidak menyembunyikan perasaan sayangnya kepada Kasturi dengan memberitahunya bahawa dia menyayanginya seperti seorang adik yang menyayangi abangnya.
Apabila Kasturi meningkat dewasa, semangatnya untuk belajar dunia kebatinan dari bapanya semakin mendalam. Jika tidak cukup berguru dengan bapanya, dia akan masuk ke dalam hutan dan bertapa di sana. Awang yang rapat dengannya, akan mengikut sama, walaupun dia langsung tidak tahu apa yang dilakukannya bersama Kasturi dan yakin dia tidak mendapat apa-apa faedah dari pertapaannya. Jadi lama-kelamaan, Awang tidak ikut serta, lalu belajar dari bapanya ilmu pelayaran. Melalui ilmu pelayaran yang dipelajarinya ini, sejak dia berumur 16 tahun dia telah berjaya berlayar sehingga ke Pasai dan pulang semula dengan membawa barang-barang perdagangan yang boleh diperdagangkan oleh bapanya di Kota Melaka.
Ketika berusia 16 tahun itu jugalah, pada tahun 1509, Awang telah dapat melihat sendiri seangkatan kapal dari Portugis yang diketuai oleh Diego Lopez de Sequiera tiba di Melaka. Walaupun Melaka pada masa itu sering dilawati oleh pelbagai bangsa dari segala pelosok Asia, itulah kali pertama Melaka dilawati oleh orang dari benua Eropah.
*
Kasturi memandang kepada sekumpulan pedagang Portugis yang berjalan di Kota Melaka. Matanya tertumpu pada mereka. Dia ada mendengar beberapa pedagang Melaka yang telah memanggil mereka dengan nama 'Benggali Putih' dan ada pula dengan nama Feringgi. Kumpulan mereka dikerumuni oleh anak-anak Melaka yang mahu memegang janggut mereka serta menyentuh pakaian yang mereka pakai.
Kasturi mendapati Awang lebih berminat untuk mendekati mereka, mendengar apa yang terkeluar dari mulut mereka dari dirinya. Mata Awang terus kepada mereka dengan pandangan penuh kagum. Dia tidak menyangka dia akan akhirnya bertemu dengan orang-orang Eropah yang selama ini hanya diketahuinya melalui pembacaannya mengenai kisah-kisah perang salib dari kitab-kitab kepunyaan bapanya.
Pada ketika itu, Kasturi lebih berminat melihat pertunjukan ahli sihir dari Mesir yang sedang mengadakan pertunjukan di tengah-tengah kesibukan Kota Melaka. Beberapa orang pemuda Melaka sibuk memperkatakan tentang pertunjukan tersebut yang dikatakan penuh dengan keajaiban yang tidak pernah mereka saksikan sebelum ini.
"Cepatlah sikit!" Kasturi menarik tangan Awang yang sedang tercengang mendengar perbualan pedagang Portugis yang sedang melihat rempah ratus yang diperdagangkan di kedai kepunyaan keluarganya.
"Tapi saya nak tahu apa yang mereka bualkan sesama mereka!" tegas Awang apabila rombongan dari Portugis itu datang ke gerai keluarganya untuk melihat lada hitam yang diperdagangkan di sana. Seorang lelaki Portugis sedang mengambil segenggam lada hitam lalu menciumnya. Wajahnya jelas takjub.
"Kau nak pergi ke tak nak? Kalau kau tak nak aku boleh pergi sendiri!" ujar Kasturi dengan nada mengugut. Awang mengeluh lesu.
Awang memberi isyarat kepada ibunya bahawa dia mahu mengikut Kasturi ke bahagian hujung pasar besar di Kota Melaka ini. Ibunya sekadar mengangguk perlahan, walaupun kalau boleh, dia mahu anaknya dapat membantunya melayan kerenah Benggali Putih yang sedang bertanyakan itu dan ini kepadanya dengan menggunakan bahasa yang langsung tidak difahaminya.
Kasturi sudah berjalan pantas ke hadapan meninggalkannya, Awang dengan cepat mengekorinya di kalangan ramai pengunjung yang datang ke pasar besar Melaka itu.
Nampaknya, pertunjukan sihir sudah lama diadakan. Ramai pengunjung-pengunjung pasar besar Melaka yang datang mengerumuni ahli sihir itu ketika dia sedang mengadakan pertunjukannya. Kasturi menolak beberapa orang pengunjung ke tepi agar dia dapat berdiri di bahagian paling hadapan dan melihat pertunjukan ahli sihir ini dengan lebih jelas. Awang berdecit, tetapi dia terus melakukan perkara yang sama agar dia dapat berdiri di samping Kasturi.
Kasturi memerhatikan si ahli sihir yang memperkenalkan dirinya sebagai Musa dari Kaherah dengan wajah penuh ketakjuban. Musa melakukan pertunjukan silap mata dengan menjadikan dirinya terapung, mengeluarkan air dari cawan yang sebelumnya kosong dan yang paling menakjubkan, dia dapat menukarkan wang pitis buaya yang diperbuat daripada timah kepada emas.
"Hebat kebolehan dia!" bisik kasturi ke telinga Awang.
Awang pula sekadar menjeling, kerana dia tahu semua ini hanya usaha ahli sihir melalaikan penonton-penonton yang datang menyaksikan pertunjukannya. Katanya:
"Semua ni sihir semata-mata. Dia dah pukau semua orang untuk melihat pitis buaya tu bertukar jadi emas!"
Kini mata Awang berpindah pula kepada dua orang anak gadis yang sedang memandang ke arah Kasturi. Mereka tersenyum-senyum melihat Kasturi. Mungkin mereka tertarik dengan Kasturi yang bertubuh yang tinggi dan jelas kelihatan gagah dengan badan yang tegap itu. Lagipun wajah Kasturi memang kacak. Pernah tok penghulu di kampungnya yang sudah agak berumur itu mengatakan wajah Kasturi sekacak Hang Jebat ketika dia muda dahulu. Agaknya sebab itulah Kasturi digilai gadis-gadis ke mana sahaja dia pergi.
"Mana pulak! Kau tak tengok ke, kehebatan dia tadi? Dia ni hebat kau tahu tak!" bantah Kasturi. Dia memeluk tubuhnya. Dia mula sedar dua orang gadis di hadapannya sedang memandang ke arahnya. Dia tersenyum lalu mengenyitkan matanya kepada mereka. Kedua-dua orang anak gadis itu ketawa tersipu-sipu dengan wajah mereka merona merah.
"Bang... Kalau dia boleh memang boleh ubah timah kepada emas... Dia tak payah jadi tukang sihir tepi jalan macam ni. Dia dah boleh jadi saudagar besar di Melaka ni." Awang menjelaskan. Kasturi sekadar menjeling.
Apabila Musa selesai melakukan persembahan silap matanya dan mengutip wang yang telah dicampakkan oleh penonton-penonton kepadanya, Kasturi terus mendekatinya. Dia cuba berbual dengannya tetapi mendapati Musa tidak fasih berbahasa Melayu.
"Tanya kepadanya aku nak jadi anak muridnya." Ujar Kasturi kepada Awang yang diketahuinya fasih berbahasa Arab. "Eh, abang dah gila ke?" tukas Awang dengan membeliakkan matanya. Dia menjeling ke arah ahli sihir tua itu dengan pandangan yang mencurigakan.
"Gila apa pulak?"
"Tak kan lah dia senang-senang nak ambil abang jadi muridnya?"
"Kalau kau tak tanya, mana dia tahu!" Kasturi menaikkan suaranya. Dia memang angkuh, kerana selama hidupnya, dia akan selalu sahaja mendapatkan apa yang dimahukannya.
"Kawan saya ingin bertanya kepada tuan jika tuan tidak keberatan untuk menjadikannya anak muridnya." Ujar Awang takut-takut di dalam bahasa Arab. Dia tidak berani memandang ke arah mata Musa yang galak serta bercelak itu.
Musa memandang ke arah Awang seolah dia dapat membaca sesuatu tentang dirinya. Musa menelan air liurnya seolah takut kepada Awang. Kemudian dia memandang ke arah Kasturi. Dia ingin memastikan sesuatu lalu dia memegang tangan Kasturi untuk membaca garisan-garisan halus di telapak tangannya. Dia menarik Nafasnya dalam-dalam sebelum berkata:
"Suruh dia datang ke rumahku nanti malam ini. Di kampung Arab. Di sebelah rumah Sheikh Razali... Suruh dia datang seorang diri."
Awang memberitahu kepada Kasturi apa yang telah dikatakan oleh Musa. Kasturi tersenyum lalu bersalaman dengannya. Kasturi berjalan ke arah pelabuhan dengan wajah girang.
"Saya macam rasa tak senang hatilah bang..." Awang akhirnya memberanikan dirinya untuk bersuara. Matanya tertumpu pada kapal-kapal Portugis yang sedang berlabuh di pelabuhan.
"Kenapa?" tanya Kasturi kehairanan. Dia membiarkan deruan angin laut menyapu wajahnya.
"Macam ada sesuatu yang tak kena."
"Kau ni macam-macam lah Awang!" getus Kasturi sambil menjeling. Dia memang degil orangnya. Kalau dia mahukan sesuatu, dia akan mendapatkannya tanpa memikirkan hal dan pendapat yang lain.
Jadi pada malam itu, Kasturi telah mengambil keputusan untuk berjumpa dengan Musa di rumah sewanya di pinggir kota Melaka, walaupun ditegah Awang. Rumah Musa senang dicarinya. Apabila dia memberi salam dan mengetuk pintu, Musa terus membuka pintunya lalu membenarkannya masuk.
"Kau hanya datang seorang diri ke sini?" tanya Musa berbahasa Melayu.
"Ya," jawab Kasturi kehairanan, kerana sebelum dia setahunya Musa tidak pandai berbahasa Melayu.
"Aku tidak mahu pedagang Arab yang lain tahu aku pandai berbahasa Melayu... Lagipun aku baru sahaja tiba ke sini." Musa menjelaskan.
"Dari mana kau belajar bahasa Melayu?"
"Aku hanya perlu minum rendaman air batu permata ini yang aku beli di Baghdad." Ujar Musa menunjukkan kepadanya sebutir permata merah yang telah terbenam di dalam sebiji cawan yang diletakkan di atas meja. Dahi Kasturi terkerut. Dia tidak tahu sama ada mahu mempercayai kata-kata Musa tadi kepadanya.
Di dalam rumah sewa Musa yang kecil ini, dia dapat melihat beberapa barang-barangan yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Terdapat beberapa buah kotak yang masih belum dibuka Musa.
Pada malam itu, Musa memperkenalkan dirinya kepada Kasturi dan memberitahunya bahawa dia seorang 'Ul-Khemi' atau 'al-kimia'. Musa berpindah ke Melaka kerana di sini terdapat banyak rempah ratus diperdagangkan dan dia mahu menghabiskan masanya mengkaji inti pati rempah ratus ini yang diharapkannya boleh dijadikan ubat.
Seyogia, sejak pada malam itu, banyak dari masa Kasturi dihabiskan bersama Musa. Sememangnya Kasturi mahu mempelajari sendiri ilmu untuk membuat ubat dari Musa, jadi dia tidak kisah jika dia terpaksa bekerja dengannya sebagai pembantunya.
Beberapa bulan selepas Kasturi berkawan dengan Musa, 'al-kimia' dari Mesir itu telah membuka sebuah kedai ubat di Kota Melaka.
Setelah mengenali Musa dengan rapat lagi, akhirnya Kasturi sedar bahawa Musa sememangnya menggunakan kebolehan sihirnya untuk membuat orang lain melihat bahawa dia mampu menukarkan apa sahaja kepada emas. Musa mengakui dia masih tidak mampu untuk mengubahkan logam seperti timah kepada emas, tetapi menurutnya, perkara ini boleh dilakukannya mengikut ilmu yang telah dipelajarinya di Istanbul, di mana pada satu ketika dahulu, menurut satu lagenda, Raja Midas dari Phrygia dengan bantuan dewa Silenus berjaya menukarkan apa sahaja yang disentuhnya kepada emas.
Ilmu Raja Midas ini telah diturunkan dari zaman ke zaman walaupun ramai tidak mengetahui tentangnya. Dan kini Musa mengetahui tentang ilmu ini dan semahu-mahunya menggunakan ilmu yang diketahuinya itu untuk menjadikan dirinya kaya, sekaya Raja Midas yang tamak haloba itu.
Ketika ini, Musa cukup sedar bahawa dia memerlukan Kasturi untuk menzahirkan kemahuannya ini. Hanya Kasturi sahaja yang dapat melakukannya, fikir Musa. Dan apabila Kasturi diberitahu tentang hal ini oleh Musa, cukup teruja dia jadinya. Apa tidaknya, siapa yang tidak mahu memperoleh kebolehan untuk menukarkan apa sahaja kepada emas?
"Jadi apa yang perlu saya lakukan, tuan?" tanya Kasturi kepada Musa. Wajahnya bersinar-sinar dengan harapan agar ilmu ini akan diturunkan oleh Musa kepadanya.
"Kau tidak perlu membuat apa-apa kecuali membaca sepotong ayat yang akan aku beritahu kepadamu apabila nyawamu terancam nanti." Kata Musa sambil mengacau cecair berwarna biru yang sedang disulingkan di bahagian belakang kedai ubatnya itu.
Kasturi mengangguk. Dia bersetuju untuk melakukan apa sahaja yang diminta oleh Musa, asalkan ilmu yang luar biasa ini dapat dipelajarinya dan akhirnya digunakannya untuk menjadikannya kaya dan berkuasa. Mungkin lebih kaya lagi dari Sultan Mahmud Shah yang memerintah Melaka pada ketika itu...
*
Pada tanggal 25 Julai 1511, tentera Portugis datang menyerang Melaka. Apabila perkara ini berlaku, pemuda-pemuda di Melaka telah dikumpulkan untuk mempertahankan Melaka. Kasturi adalah di antara anak-anak muda Melaka yang paling awal menawarkan dirinya untuk mempertahankan kedaulatan Melaka. Apabila Awang menyedari tentang hal ini, dia juga mahu turut serta, walaupun ibu dan bapanya jelas menentang akan kehendaknya ini.
"Kita boleh berlayar ke Pasai malam ini juga. Kita tidak perlu masuk campur." Ujar Budiman kepada Awang. Kapal dagangnya sememangnya perlu berlayar ke Pasai dalam masa sehari dua ini.
"Pasai sudah diserang Portugis pak... Itulah yang saya dengar dari pedagang Arab yang saya jumpa semalam. Dah tak ada lagi yang boleh kita lakukan di situ. Sekurang-kurangnya di Melaka ni, kita masih boleh melakukan sesuatu untuk mempertahankannya dari dilanggar Feringgi!" ujar Awang dengan penuh semangat. Baru sahaja semalam keadaan Melaka aman rasanya dengan majlis persandingan puteri Sultan Mahmud Shah dengan Sultan Pahang yang telah diadakan secara besar-besaran, tapi hari ini lain pula jadinya. Pada awal pagi tadi dia dapat melihat kemusnahan yang telah dilakukan oleh pihak Portugis. Kapal-kapal yang berlabuh di Melaka habis mereka musnahkan kecuali kapal-kapal kepunyaan pedagang Hindu dan China.
"Dah lah tu Awang... Dengar saja cakap bapak kau tu." Ujar ibunya sambil mengesat air matanya yang sudah mula berlinangan. Dia sebenarnya ketakutan. Selepas menunaikan solat subuh, dia dapat mendengar bunyi meriam dilancarkan bertubi-tubi dari kapal perang Portugis ke arah Kota Melaka. Bunyinya menakutkan seperti dunia ini akan kiamat, atau sekurang-kurangnya itulah yang difikirkan oleh ibu Awang - lebih-lebih lagi apabila dia dapat melihat banyak dari rumah-rumah dan kedai-kedai yang terbakar dek letupan meriam dari Portugis itu.
"Maafkan saya, pak... Mak. Tapi saya perlu pergi sekarang. Abang Kasturi dah lama menunggu di luar." Itu sahaja yang dijawab oleh Awang pada pagi itu. Ibunya menangis teresak-esak melihat anak sulungnya yang masih berusia 18 tahun itu berjalan keluar dari rumahnya sambil memeluk dua orang anak perempuannya yang masih kecil.
Awang sudah bertekad dengan keputusannya. Dia tidak boleh berpatah balik lagi. Walaupun dia tahu dia bukan anak Melaka dan sekadar seorang anak pedagang dari Pasai, kesetiaannya tetap kepada Melaka. Dia telah menetap di Melaka sejak dia berusia enam tahun dan hanya ke Pasai satu atau dua tahun sekali. Masakan dia boleh akui Pasai itu sebagai tanah tumpah darahnya sendiri, lalu meninggalkan Melaka begitu sahaja tatkala Melaka memerlukan tenaga mudanya sekarang untuk mempertahankannya?
"Jadi apa yang tukang ubat dari Mesir itu beritahu kepada abang?" tanya Awang ketika dia diberikan parang dan perisai yang sedang diedarkan oleh anak kepada penghulu kampungnya. Suara Awang jelas sinis kedengarannya ketika bertanyakan soalan ini kepada Kasturi. Sejak Kasturi bekerja dengan Musa, Kasturi langsung tidak ada banyak masa untuk bersuka-suka dengannya seperti dahulu.
"Namanya Musa... Ish, kenapa lah kau selalu suka buat-buat lupa nama dia?" Kasturi menjeling marah.
"Saya bukan tak ingat... Cuma saya tak suka dengannya. Entahlah... Saya rasa dia dah ajar benda yang bukan-bukan kepada abang..."
"Bukan-bukan apa ni?"
Awang mengeluh lesu. Dia tidak mungkin dapat memberitahu kepada Kasturi tentang bisikan nalurinya tentang Musa. Dia yakin Musa mempunyai niat jahat untuk mempergunakan Kasturi demi kepentingan dirinya sendiri.
"Katanya, pertahanan Melaka lemah kerana rahsia pertahanan Melaka telah diketahui sejak awal lagi oleh pihak Portugis." Kasturi akhirnya menjawab soalan Awang tadi. Tubuhnya yang tinggi itu jelas menampakkan dirinya lebih gagah dari pemuda-pemuda yang lain yang telah dikumpulkan untuk mempertahankan kota Melaka.
"Apa?" tanya Awang. Matanya terkebil-kebil.
"Portugis telah yang menggunakan khidmat Nina Chattu dan Uthimutha yang bekerja di Istana Sultan Melaka. Mereka pengkhianat Melaka!"
"Dia dah tahu sejak awal-awal lagi?"
"Ya... Hasil dari tilikannya." Jawab Kasturi sambil meraba-raba jambangnya yang baru sahaja tumbuh yang tidak sempat dicukurnya ketika bergegas keluar dari rumahnya tadi. "Kalau kau tidak percaya nanti lihatlah. Mereka yang bersubahat dengan Portugis akan diberi bendera untuk diletakkan di hadapan rumah mereka agar tidak disamun tentera Portugis nanti."
"Jadi kalau si Musa tu dah tahu... Mengapa dia tidak beritahu sahaja kepada Laksamana ataupun kepada Temenggung bahawa Melaka akan diserang Portugis-"
"Nak beritahu kepada Laksamana dan Temenggung? Kau ingat mereka akan percaya kata-kata seorang tukang ubat sepertinya?" tanya Kasturi kembali sambil mendongakkan kepalanya beberapa kali kepada Awang. Tilikan Musa tentang serangan Portugis yang kini menjadi kenyataan ini membuatkan Kasturi semakin percaya kepada kuasa ghaib yang ada di dalam diri Musa. Satu kuasa yang dia sendiri mahu peroleh satu hari nanti.
Awang mengeluh. Kemudian dia termenung sendiri. Mahu sahaja dia memberitahu kepada Kasturi bahawa dia merasa takut untuk pergi berperang melawan Portugis. Tetapi disimpannya perasaan takutnya ini ke dalam hati. Dia tidak mahu Kasturi melihat garis-garis kerisauan terlukis di wajahnya. Dia perlu nampak berani dan tabah seperti Kasturi.
"Awang... Apa-apa pun berlaku, aku ada untuk menjaga kau. Kau tak perlu risau, ya?" kata Kasturi dengan lembut kepada Awang sambil mengusap-usap rambutnya yang tebal itu. Awang mengangguk perlahan. Pada pagi itu dia merasa selamat selagi Kasturi ada di sampingnya...
*
Awang tidak tahan lagi menyaksikan Melaka bermandi darah. Kota pelabuhan tersohor ini tidak dapat dipertahankan walaupun terdapat ramai tentera upahan dari Jawa, Parsi dan negara Ottoman yang dibayar untuk mempertahankannya. Kehadiran mereka langsung tidak dapat mengalahkan kegagahan tentera Portugis yang bersungguh-sungguh mahu menakluki Melaka agar Portugis dapat menguasainya lalu melupuskan penguasaan Iskandariah, Kaherah dan Venice sebagai pusat perdagangan lada hitam.
Portugis tidak mungkin dapat bertahan lama di Melaka jika bukan kerana bantuan pedagang-pedagang yang membelot. Pedagang dari China contohnya telah membelot dengan mengerahkan anak-anak kapal mereka membantu tentera Portugis menyerang Melaka. Dengan lima buah kapal layar China yang digunakan untuk mengepung Kota Melaka, sukar untuk tentera-tentera Sultan Mahmud Shah mempertahankan Melaka dan mendapatkan bantuan dari luar.
Sejak dari hari pertama Melaka diserang, pihak Portugis dengan saranan Ruy D'Araujo kepada Alfonso d'Albuquerque, akur bahawa perkara yang pertama yang perlu mereka lakukan apabila mendarat ke Melaka nanti adalah untuk menawan jambatan besar yang merentangi Sungai Melaka. Jambatan ini menghubungkan dua bahagian Kota Melaka. Dengan tertawannya jambatan ini, maka kota Melaka serta bala tenteranya akan terbahagi dua. Maka tujuan utama mereka adalah untuk memecahbelahkan kota ini serta tenaga-tenaga yang mempertahankannya.
Pada tengah hari itu, Awang dan Kasturi telah ditugaskan untuk menentang tentera Portugis yang telah pun mendarat ke Kota Melaka sejak pagi tadi dan kini berkawal dan menyerang di sekitar kawasan jambatan Melaka.
Awang dan Kasturi mula sedar bahawa walau apa pun yang cuba dilakukan oleh ketumbukan pertahanan Melaka, tentera Portugis terus dapat bertahan menawan jambatan yang menjadi nadi kepada Kota Melaka.
"Semakin lama kita tunggu di sini, semakin banyak tentera Feringgi yang datang!" bisik Awang kepada Kasturi. Mereka bersama-sama ketumbukan pemuda-pemuda Melayu yang lain sedang berdiri menunggu arahan dari seorang hulubalang untuk menyerang tentera Portugis yang sedang berkubu di jambatan Melaka.
"Dah... Jangan merungut. Tumpukan sahaja perhatian kau kepada arahan hulubalang! Nanti lain pula jadinya" tegur Kasturi dengan suara garang. Kasturi sudah sedia maklum bahawa sejak pagi lagi bahawa tentera Portugis telah mendarat pada kedua-dua bahagian tebing sungai Melaka. Malah Masjid besar Melaka yang terletak di sebelah tebing Selatan juga telah mereka berjaya cerobohi lalu dengan biadab membunuh setiap lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang bersembunyi di dalam masjid tersebut.
Beberapa detik kemudian, Awang dapat merasakan gegaran di atas tanah - bunyi gemuruh, semakin lama semakin jelas derunya. Kemudian bunyi jeritan gajah yang meluruhkan jantungnya . Apabila Awang menoleh ke belakang, dia dapat melihat bala tentera bergajah yang diketuai Sultan Mahmud Shah dan anaknya Tengku Ahmad. Dua puluh ekor gajah berlari laju betul-betul di sebelahnya lalu menyerang tembok pertahanan tentera Portugis . Walau bagaimanapun, tentera bertombak Portugis terus mengukuhkan kedudukan mereka. Tentera bergajah Sultan Melaka itu mengundur beberapa tapak ke belakang.
Pada ketika itu, dari jauh Kasturi dapat melihat ketumbukan tentera Jawa seramai lebih 700 orang menyerang tentera Portugis dari arah utara Kota Melaka. Tetapi belum sempat mereka dapat sampai ke jambatan, ramai di antara mereka yang lari bertempiaran apabila tentera Portugis melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah mereka. Ada di antara mereka yang mencari perlindungan dengan terjun ke dalam sungai hanya untuk ditikam oleh tentera-tentera Portugis yang sedang menunggu di atas sampan yang mereka naiki.
Tentera bergajah Sultan Mahmud sekali lagi menyerang ke arah jambatan Melaka. Tetapi kali ini tentera bertombak Portugis terus mara untuk menikam gajah-gajah yang datang menyerang. Tombak yang digunakan oleh panglima Portugis, de Lima berjaya menusuk ke mata gajah utama yang menyerang ketumbukannya. Keadaan terus menjadi cacamarba apabila gajah itu naik berang lantas berundur ke belakang lalu berlari ke depan memijak mati beberapa orang tentera Melaka yang sedang berjaga di belakang tentera bergajah Melaka. Ramai di antara mereka bertempiaran lari.
Tentera bertombak Portugis semakin berani maju ke hadapan, walaupun ada di antara mereka yang cedera parah dan ada pula mati dipijak gajah. Mereka terus menggunakan tombak mereka yang tajam untuk menikam gajah-gajah yang mereka tentang sehingga ada beberapa ekor gajah yang menjerit kesakitan akibat ditikam sehingga berdarah. Gajah yang dinaiki oleh Tengku Ahmad tersungkur ke atas tanah lalu tercungap-cungap sebelum ia mati di situ juga. Tangan Tengku Ahmad berdarah. Seorang pengawal istana yang rapat kepadanya terus membantunya lalu membawanya pergi entah ke mana.
Kini hulubalang yang mengetuai ketumbukan yang dianggotai oleh Awang dan Kasturi memberi arahan supaya mereka maju ke hadapan. Awang menoleh ke arah Kasturi. Dia mendapati wajah Kasturi disulami dengan semangat berkobar-kobar mahu mempertahankan kedaulatan bangsa dan agamanya. Rasa takutnya hilang apabila dia melihat wajah Kasturi yang cukup yakin dengan dirinya.
Mereka bergerak maju ke hadapan. Apabila Awang berpaling ke arah Sungai Melaka, dia dapat melihat banyak mayat-mayat yang bergelimpangan di sana. Anak-anak Melayu Melaka dan tentera-tentera upahan Melaka gugur satu persatu dikalahkan tentera bertombak Portugis yang terus merempuh ke arah mereka yang hanya bersenjatakan parang dan keris. Warna sungai Melaka kini berubah merah.
Apabila kedudukan mereka semakin dekat ke Jambatan Melaka, hulubalang terus mengeluarkan arahan untuk menyerang tentera Portugis. Ketumbukan yang disertai oleh Awang dan Kasturi terus menyerang sambil melaungkan kalimah "Allahuakbar!" Fikir Awang, jika dia mati pada hari itu, biarlah dia mati dalam keadaan mati syahid.
Awang seperti mahu menangis apabila dia melihat jambatan Melaka terus dikuasai pihak Portugis walaupun hampir sejam dia bertungkus-lumus untuk melawan tentera-tentera Portugis dengan segala tenaganya yang dia ada. Rumah-rumah yang telah dibina di tepi sungai kini dibakar oleh tentera Portugis. Angin yang bertiup kencang pada petang itu menyemarakkan lagi api kemusnahan yang semakin menggila membakar sebahagian besar dari bangunan-bangunan yang ada di kota Melaka.
Fikiran Awang pada ketika itu terlalu keliru. Dia memandang ke arah Kasturi. Wajah Kasturi berlumuran darah. Dia baru sahaja membunuh seorang tentera Portugis dengan menetak mukanya dengan parangnya sampai hancur.
Tiba-tiba sebatang tombak yang tajam menghunus ke arah Kasturi. Awang dengan cepat memegang batang tombak tersebut untuk mengelakkan muncung tombak dari menikam ke tubuh Kasturi. Dia memandang ke hadapan. Seorang tentera Portugis dengan wajah dan tubuhnya berlumuran darah dengan bersungguh-sungguh mahu menikam Kasturi. Dengan menggunakan sepenuh tenaganya seraya menjerit sekuat hati, Awang menyentap tombak itu dari tangan tentera Portugis yang nampak lemah itu lalu menggunakan tombak yang sama untuk menikam ke arah lehernya. Darah merah deras tersembur apabila Awang menarik kembali tombak dari leher tentera Portugis yang telah dibunuhnya itu. Nafas Awang turun naik dengan cepat. Inilah kali pertama dia mengambil nyawa seorang manusia.
"Kita perlu pergi dari sini," perintah Kasturi sambil memegang bahu Awang. "Hulubalang suruh kita berundur dan mengawal Kota Melaka dari terus dibakar Portugis!"
Awang langsung tidak menjawab. Tubuhnya menggeletar. Dia akan mengikut ke mana sahaja Kasturi pergi. Kalau boleh dia tidak mahu membunuh lagi. Kalau boleh, dia mahu pulang pada saat itu juga untuk mendapatkan keluarganya.
Api yang membakar semakin menggila memusnahkan rumah-rumah serta gudang yang terdapat di kota Melaka pada petang itu. Bahang panas dari kebakaran dapat dirasakan Awang walaupun dia dan Kasturi berlari semakin jauh dari kawasan pertempuran.
Awang mula merasakan dunianya musnah begitu sahaja. Kedai rempah ratus keluarganya hangus dijilat api. Sekarang ini dia cukup risau akan keselamatan keluarganya. Dia berdoa agar kampungnya di Gajah Berang tidak diapa-apakan tentera Portugis yang sedang menggila pada ketika itu.
Awang dan Kasturi kini berjaga-jaga di belakang sebuah lorong sempit bahagian utara kota Melaka dengan tujuan menyerang hendap tentera-tentera Portugis dan konco-konco mereka yang datang untuk merompak serta membakar rumah-rumah penduduk Melaka yang kini sedang bersembunyi di dalam rumah mereka. Ketakutan.
Apabila malam tiba, tugas mereka menjadi semakin sukar gamaknya. Keadaan yang gelap menyukarkan lagi tugas mereka untuk menyerang pihak musuh. Ada kalanya, mereka akan bertembung dengan penduduk Melaka yang cuba keluar dari rumah mereka untuk melarikan diri mereka ke kawasan pendalaman Melaka.
"Abang, saya nak balik!" kata Awang dalam gelap. Badannya berbau hanyir dengan bau darah musuh yang berjaya ditumpaskannya - yang kini mulai kering.
"Balik? Dalam masa-masa begini kau kata kau nak balik?" tegah Kasturi sambil berpaling kepada Awang yang sedang duduk di sebelahnya di dalam keadaan penat dan lapar.
"Tolonglah bang, sekejap pun jadilah. Saya nak pesan kepada mak bapak saya untuk tinggalkan rumah kami di Gajah Berang dan pergi berlindung ke Bukit Beruang. Sekurang-kurangnya mereka akan selamat di sana." Pinta Awang sambil memegang lengan Kasturi dengan erat. "Lepas tu, kita cepat-cepat kembali ke Kota Melaka."
Kasturi hanya mendiamkan dirinya buat beberapa ketika. Beberapa minit kemudian dia berdiri lalu meramas rambut Awang yang kelihatan kusut itu dengan manja. Katanya dengan perlahan:
"Baiklah... Kita pulang ke kampung kita buat seketika. Kita suruh orang-orang kampung supaya bersembunyi ke kawasan pendalaman sehingga keadaan semakin reda. Lagipun aku sendiri risau memikirkan keselamatan keluarga aku di rumah."
"Terima kasih bang," ucap Awang dengan suara penuh kesyukuran. Dia dapat melihat Kasturi kini berdiri lalu berjalan dengan berhati-hati sambil mengintai ke hadapan dan ke belakang di dalam lorong gelap itu. Awang mengekori Kasturi dari belakang - berjalan ke arah kampung yang telah ditinggalkan mereka sejak awal pagi tadi.
Aku terpaksa membuat pilihan - sama ada cuba menyelamatkan Cassius ataupun pergi menyelamatkan Tiresias yang sedang diburu di Saqqara, Mesir. Aku perlu membuat keputusan ini dengan cepat. Aku perlu memilih sama ada mahu ke utara, ke Callais untuk menyelamatkan Cassius, atau ke selatan ke Marseilles untuk mendapatkan sebuah kapal yang telah disediakan khas untuk ke Mesir.
Cassius memberitahuku agar meneruskan perjalananku ke arah selatan. Aku serba salah. Aku merasa terperangkap sekarang ini.
Mungkin lebih baik jika aku memulakan hikayatku dengan menceritakan kembali apa yang telah berlaku sehingga aku berada di dalam keadaan yang begitu terdesak ini.
*
Kini sudah hampir dua minggu sejak pertama kali aku menemui Kira. Hampir setiap malam dan siangku akan kuhabiskan memikirkan tentang tawarannya itu. Kadangkala Kira akan bersuara ke dalam kota fikiranku lalu memintaku melakukan apa yang disuruhnya. Aku memintanya supaya tunggu sehingga masanya sesuai kelak untuk aku melakukannya.
Di dalam pada itu juga, aku perlu tahu dari Cassius tentang Tiresias. Sejak kebelakangan ini, aku sering bermimpi tentang Tiresias hampir setiap hari.
Di dalam mimpiku itu, tatkala aku hampir-hampir dapat bertemu dengan Tiresias, aku telah menemui satu makhluk berkepak seperti malaikat - seperti mana yang telah dilukis oleh pelukis Itali seperti Michelangelo, Carravagio dan Botticelli. Aku tidak dapat melihat wajah makhluk ini dengan jelas kerana ia telah membelakangiku, dan apabila makhluk ini menyedari akan kehadiranku, ia terus mengeluarkan cahaya indah yang terang sehingga mataku hampir-hampir buta akibat merenungnya dengan lama.
Kemudian aku terbangun dari lenaku. Dan hampir setiap kali aku tidur, aku akan bermimpi perkara yang sama. Berulang-ulang.
Pada petang itu aku bangun dari tidurku. Aku keluar dari kamarku lalu masuk ke dalam kamar Cassius. Aku mengejutkannya dari tidurnya.
"Kau perlu ceritakan kepadaku kembali tentang Majlis Vampiro..." Pintaku kepada Cassius sebaik sahaja dia membuka matanya.
Cassius memandang kepadaku dengan satu pandangan penuh kehairanan. Katanya:
"Bukan aku sudah banyak kali ceritakan kepadamu tentang tujuh ahli pengasas Majlis Vampiro, Amesha Spentas?"
"Aku tahu... Tapi ceritakan kepadaku sekali lagi. Terutamanya tentang Tiresias!" pintaku lagi dengan penuh harapan. Cassius bangkit dari keadaan baringnya lalu menghadapku.
"Kau bermimpi tentangnya lagi?"
"Ya."
"Mungkin ini satu alamat..." Cassius termenung seketika. Dia sedang memikirkan sesuatu dengan dalam.
"Apa yang telah Tiresias lakukan setelah dia berjaya memenjarakan Ahriman dan menangkap seorang pengikut Daevanya?" tanyaku. Aku cukup sedar pada ketika itu bahawa anggota Daeva yang telah ditangkap oleh Tiresias tidak lain dan tidak bukan adalah Kira. Cassius melepaskan nafasnya sebelum dia bercerita kepadaku:
"Ketika itu Tiresias dapat melihat apa yang akan berlaku di dunia ini beberapa ribu tahun di masa hadapan. Lalu dia memberitahu apa yang dapat dilihatnya ini kepada beberapa orang pendeta Babylon. Pendeta-pendeta Babylon ini kemudian berkumpul, lalu memberitahu kepada Tiresias bahawa mereka perlu melakukan sesuatu. Mereka memberitahu kepada Tiresias bahawa dia dan beberapa orang pahlawan perlu terus hidup untuk memastikan agar Ahriman dapat dikalahkan sama sekali apabila Ahriman dapat membebaskan dirinya nanti di masa hadapan...
"Pendeta-pendeta Babylon ini tahu tentang rahsia Kasra. Mereka tahu tentang rahsia minuman Haoma yang boleh mereka sediakan untuk diminum oleh Tiresias agar dia dapat hidup buat jangka masa yang lama seperti Kasra. Pada mulanya Tiresias berkeras tidak mahu memikul tanggungjawab yang berat ini, tetapi akhirnya, setelah dia memikirkan kembali tentang kemusnahan yang bakal dilakukan oleh Ahriman, dia akhirnya bersetuju.
"Selain dari Tiresias, pendeta-pendeta dari Babylon ini telah memilih enam orang pahlawan... Tiga wanita dan tiga lelaki. Pahlawan-pahlawan berbilang bangsa ini berasal dari seluruh kawasan tanah jajahan yang pernah ditakluki oleh Iskandar Zulkarnain. Walaupun pahlawan-pahlawan ini telah dijanjikan dengan kekayaan yang melimpah ruah dan keupayaan untuk hidup buat selama-lamanya, ini bukan menjadi sebab utama mereka bersetuju untuk menjadi makhluk seperti Kasra. Mereka sesungguhnya mahu memastikan agar umat manusia dapat dibantu dan diselamatkan apabila masanya tiba kelak. Mereka telah bersumpah untuk melakukan apa sahaja untuk memastikan agar Ahriman dapat dimusnahkan sama sekali apabila dia kembali untuk cuba memusnahkan manusia.
"Maka akhirnya, setelah setiap satu dari mereka meminum air Haoma, Mereka berubah menjadi makhluk malam yang kita kenali sekarang sebagai vampiro dan seterusnya menjadi tujuh pengasas Amesha Spentas atau Majlis Vampiro."
"Di mana disembunyikan kotak yang telah memenjarakan Ahriman?"
"Tidak ada sesiapapun yang tahu kecuali Tiresias." Jelas Cassius. "Tetapi apa yang aku ketahui, ia telah ditanam di sebuah tempat di tengah-tengah padang pasir... Berdekatan dengan Persepolis."
"Bagaimana dengan anggota Amesha Spentas yang lain, mereka juga tidak tahu?"
Cassius menggelengkan kepalanya.
"Kau pernah bertemu dengan ahli-ahli Amesha Spentas yang lain?" tanyaku kepadanya.
"Tidak... Kita tidak mungkin akan dapat menemui mereka semua di satu tempat yang sama..."
"Di mana mereka sekarang?"
"Di seluruh pelosok dunia. Mereka akan bersatu hanya apabila diseru nanti."
"Jadi apa yang akan berlaku jika salah seorang dari mereka mati dibunuh?"
"Tempatnya perlu diganti. Itu sahaja yang aku tahu, tapi jangan tanya aku mengapa dan kenapa." Cassius berdiri di tepi katilnya lalu meninggalkanku di kamarnya. Aku tidak tahu ke mana dia menghilang selepas itu.
*
Aku membuka peti simpanan Cassius lalu mengeluarkan manuskrip Virtruvius. Aku meletakkan manuskrip itu ke atas meja. Aku meneliti manuskrip itu. Sememangnya apa yang ditulis dan dilukis oleh Vitruvius terlalu aneh dan sukar untuk aku fahami.
Vitruvius menjelaskan tentang konsep ruang dan masa. Dia menulis beberapa kaedah terperinci membina sebuah alat yang difikirkannya boleh merentasi masa. Ada di antara apa yang ditulis Vitruvius dapat kufahami, ada pula tidak. Dia ada menulis tentang sebuah alat yang dapat melakukan berbillion-billion pengiraan matematik di dalam masa tak sampai sesaat yang perlu dicipta sebelum alat ini dapat digunakan. Sebuah alat yang lain pula diperlukan untuk membuka sebuah ruang agar masa dapat direntas.
Aku menggulung manuskrip ini. Aku kurang pasti jika aku harus keluar dari rumahku ini lalu memberi manuskrip ini kepada Kira ataupun menyimpan kembali manuskrip ini dan beranggapan bahawa pertemuan aku dengan Kira tidak pernah berlaku.
"Bawa kepadaku manuskrip Vitruvius ini, Awang!" suara Kira bergegar di dalam kepalaku.
Aku berkira-kira di dalam kepalaku. Aku perlu melakukan sesuatu. Aku memikirkan tentang Cassius dan kepercayaan yang telah diberikan kepadaku selama ini. Kemudian aku memikirkan tentang dirinya yang pernah membunuh seluruh anggota keluargaku dan kawanku Kasturi di hadapan mataku.
Mungkin inilah peluangku untuk membalas dendam kepada Cassius. Tetapi entah mengapa, aku tidak mampu untuk melakukannya. Aku perlu mendengar suara hatiku sendiri yang memberitahu agar aku harus meletakkan manuskrip ini kembali ke tempat asalnya.
"Tidak. Maafkan aku." Jawabku. Aku meletakkan manuskrip Vitruvius kembali ke dalam peti besi. Aku menutupnya rapat-rapat.
"Kau akan menyesal, Awang." Ujar Kira dengan suara marah yang ditahan-tahannya.
"Kau pasti tahu, aku tak pernah menyesali apa-apa yang telah aku lakukan." Kataku dengan penuh yakin.
Kira menjerit dengan kuat di dalam fikiranku. Begitu kuat sehingga kepalaku terasa seperti mahu pecah. Kepalaku terasa begitu sakit sehingga aku tidak mampu untuk menanggungnya lagi. Aku terjatuh ke lantai lalu duniaku berubah gelap.
Apabila aku sedar, aku dapati Cassius sedang menepuk-nepuk pipiku. Dia menyerahkan sehelai sapu tangan kepadaku. Aku dapati hidungku dan telingaku berdarah. Aku mengelap darahku yang mula membeku itu.
"Kau cuba melawannya." Kata Cassius sambil tersenyum.
"Apa?" tanyaku keliru. Mataku berpinar-pinar. Cassius mengkulurkan tangannya untuk membantuku berdiri. Aku menyambut tangannya itu.
"Aku tahu dia cuba untuk menggodamu dengan tawaran-tawaran hebatnya. Tapi kau memilih untuk setia kepadaku."
"Jadi selama ini kau tahu tentang hal ini?"
"Sudah tentu..."
"Jadi kenapa kau tak cuba menghalangku? Bagaimana kalau aku berpaling tadah kepada Kira?"
"Aku pasti kau tak akan melakukannya!" kata Cassius dengan suara yang jelas. Dia tersenyum kepadaku sebelum dia menambah lagi: "Ada seorang manusia yang perlu aku kenalkan kepada kau."
"Apa?" aku kehairanan. Cassius jarang membawa mangsanya ke rumah kami. Kenapa dia perlu melakukannya kini?
Seorang lelaki dengan pakaiannya yang kelihatan seperti pakaian bangsa Inggeris masuk dengan malu-malu ke dalam perpustakaan. Dari pengamatanku dan apabila aku mengimbas fikirannya, aku mendapat tahu bahawa dia seorang pelukis. Dan Cassius tidak mungkin akan menjadikan seorang pelukis sebagai mangsanya.
"Blake... Ini Awang." Ucap Cassius dengan perlahan kepadaku.
"Blake... William Blake. Panggil sahaja aku William." Ujarnya sambil mengetapkan bibirnya.
"Kau bawa seorang pelukis Inggeris pula ke sini?" tangan kiriku mengurut kepalaku yang berdenyut-denyut, tangan kananku pula bersalaman dengannya.
"Ya." Jawab Cassius pendek. Dia memerhatikanku. Dia nampak risau melihat keadaanku sekarang.
"Cassius selalu sahaja membawa pelukis-pelukis sepertimu ke sini. Aku tak tahu pula sekarang dia berminat dengan penyajak sepertimu." Kataku sewaktu menarik tanganku kembali selepas bersalaman dengannya.
"Bagaimana kau tahu aku menulis sajak?" tanya William. Dia menerbitkan sendiri kumpulan sajaknya. Tetapi pada waktu itu tidak ramai yang membaca karya-karyanya ataupun mengenalinya sebagai seorang penyajak inikan pula seorang pelukis. "Kau pernah membaca 'Poetical Sketches'?"
"Ya," Jawabku pendek. Buku ini ada di dalam perpustakaanku. "Kau akan jadi seorang ahli penyajak yang terkenal satu hari nanti, dan kau akan disanjung sebagai di antara pelukis Inggeris yang paling agung. Tapi buat masa ini, mereka masih tidak memahami karya-karyamu dan kau tak mungkin akan dihargai ketika kau masih hidup. Malah kau akan hidup dalam kemiskinan. Tapi aku pasti kau sudah tahu tentang hal ini dari mula lagi. Kau melukis dan menulis sajak bukan semata-mata kerana mahu mencari nama dan harta... Sukar benar untuk aku cari manusia seperti kau sekarang!"
"Awang... Kau tak sihat. Sebab itu kau membebel begini." Tegur Cassius. Sememangnya aku dapat merasakan sesuatu yang tidak kena di dalam fikiranku. Kepalaku pusing. Tetapi apa yang pasti, aku sudah dapat merasakan bahawa aku sedang berhadapan dengan seorang manusia yang bakal diingati sebagai seorang pelukis dan penyajak yang agung. Aku amat-amat menghormati manusia-manusia sepertinya.
"Pandai kau membaca fikiranku, Awang." Kata William ambil tersenyum.
"If the doors of perception were cleansed everything would appear to man as it is, infinite." Sebutku di dalam bahasa Inggeris. Satu bahasa yang kuanggap tidak selembut bahasa Perancis, Itali dan Sepanyol. "Kau boleh gunakan kata-kataku ini dalam salah satu sajakmu itu nanti."
"Bahasa Inggerismu agak fasih." William memuji. Aku terus memandang ke arahnya. Aku mula dapat merasakan Cassius tidak membawanya ke sini sekadar mahu berbincang mengenai lukisan seperti pelukis-pelukis lain. William ini lain dari yang lain, kerana sejak awal lagi dia tahu Cassius dan aku adalah makhluk vampiro.
"William adalah anggota kumpulan Alumbrados." Beritahu Cassius menggunakan nama lama kumpulan ini. Aku tidak pernah berjumpa dengan anggota kumpulan ini yang bersekongkol dengan golongan vampiro sejak Majlis Vampiro diasaskan di Babylon lagi. Nama mereka berubah mengikut zaman. Kini Alumbrados lebih dikenali dengan nama Illuminati.
Illuminati berasal dari pengikut-pengikut Osiris yang dikatakan menjadi musuh kepada Seth, yang kini lebih dikenali sebagai Ahriman. Kumpulan mereka ini menggunakan lambang mata Osiris yang juga dikatakan sebagai 'mata yang melihat segala-galanya'. Sejak dari dahulu lagi kumpulan ini telah ditubuhkan untuk memastikan Ahriman dapat dilupuskan terus dari muka bumi ini.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kumpulan Illuminati berjaya menembusi kumpulan Frère Maçon, sebuah kumpulan yang dianggotai manusia yang bersubahat dengan Daevas, yang akan melakukan kerja-kerja jahat buat mereka.
"William sebenarnya berkawan baik dengan Lilith..." beritahu Cassius sambil memegang bahu William.
"Lilith?"
"Lilith nama kepada lembaga yang datang menemuinya. Ia datang dalam bentuk sebenar Daevas." Jelas Cassius. Perkara ini sudah aku ketahui dari penyelidikanku sendiri. Daevas dalam bentuk asalnya merupakan sejenis makhluk serangga yang mempunyai ciri-ciri seperti serangga yang hidup berkelompok yang diketuai oleh seorang ketua seperti Ahriman. Dan kini apabila Ahriman dipenjarakan, tindak tanduk mereka yang kehilangan arah umpama lebah-lebah yang kehilangan permaisurinya...
"Dan?" aku ingin Cassius menambahkan penjelasannya lagi.
"Lilith menjadi sahabatnya setelah dia telah berpaling tadah kepada Illuminati." Beritahu Cassius. Aku meneroka ke dalam minda William. Aku dapat melihat lembaga yang telah dilihatnya. Satu lembaga yang menakutkan dengan tulang belakang yang berbonggol dan berdenyut-denyut. Kepalanya bersisik dengan matanya yang membonjol dengan lidah yang panjang; Otot-otot di tubuhnya berwarna merah seolah dia tidak berkulit lantas digantikan dengan darah yang mengering. Wajahnya kelihatan menakutkan seperti seekor kutu.
"Tapi kenapa golongan Daevas membuangnya?" aku bertanya meminta kepastian.
"Kerana Lilith telah melakukan kesilapan bercinta dengan seorang manusia... Pasangan manusianya dibunuh dan kuasa Lilith untuk menyerupai manusia ditarik balik. Malah seperti vampiro, dia terpaksa minum darah untuk terus hidup."
"Apa yang Lilith beritahu kepada kau, William?" tanyaku berpaling kepadanya. Seperti aku katakan, golongan Daevas ini mempunyai ciri-ciri serangga. Mereka berfikir secara kolektif. Aku percaya Lilith masih dapat mempergunakan kebolehannya menembusi pemikiran Daevas dan mengetahui gerak-geri mereka. Jadi aku pasti William mengetahui sesuatu yang begitu penting sehingga aku dapat merasakan kerisauan di dalam diri Cassius.
"Buat masa ini kau tidak perlu tahu." Cassius menghalangku dari membaca fikiran William. Wajahnya mencerminkan kebimbangan.
"Ish!" dahiku berkerut seribu apabila imbasanku dihalang Cassius.
"Enrique... Kau perlu menyerahkan sepenuh kepercayaan kau kepadaku sekarang. Apa yang akan aku suruh kau lakukan adalah untuk kebaikan kita semua. Percayalah!" mata Cassius nampak redup. Aku dapat merasakan kejujurannya tatkala mengeluarkan kalimah-kalimahnya ini.
"Jadi apa yang patut kita lakukan sekarang?" tanyaku dengan suara perlahan.
"Kau perlu ke selatan Perancis. Di dalam perjalanan kau nanti aku akan beritahu kau ke mana tempat yang perlu kau tuju selepas itu." Cassius mengarahkan. Dia kemudian membuka peti besinya. Dia mengeluarkan manuskrip Vitruvius. Manuskrip yang lain dibiarkan terus di dalam peti besi. Cassius menggulung manuskrip itu, lalu memasukkannya ke dalam sebuah bekas yang diperbuat dari gading gajah dan emas. Bekas itu juga yang dihiasi dengan ukiran di dalam bahasa Latin: 'Fere libenter homines id quod volunt credunt' yang membawa maksud; manusia rela mempercayai apa yang mereka hajatkan.
Kata Cassius kemudian kepadaku yang langsung membuatku tergamam:
"Kau perlu pergi malam ini juga. Ambil pisau secespita ini. Hanya pisau ini yang dapat kau gunakan untuk membunuhnya nanti dengan satu tusukan. Bukan dua. Ingat! Dua tusukan hanya akan membuatkannya lebih berkuasa." Kata Cassius dengan bersungguh-sungguh. Kata-katanya mengelirukanku. "Kita akan bertemu lagi. Kau tidak perlu risaukan tentang diriku. Jawapannya ada di dalam manuskrip Virtruvius. Jadi jaga manuskrip ini seperti kau menjaga nyawamu sendiri. Pulangkan pisau ini kepadaku bila kita bertemu lagi."
"Apa maksudmu 'bila kita bertemu lagi'. Kau mahu ke mana? Mengapa kita tidak ke selatan Perancis bersama?"
"Aku perlu mengelirukan mereka agar mereka tidak mengekorimu nanti." Cassius memberi alasan.
"Dan pisau secespita ini pula?"
"Bila masanya tiba kelak, kau akan tahu untuk menggunakannya." Kata Cassius dengan suara yang tegas. Dia merapatkan tubuhnya kepadaku. Aku memandang kepada wajah mudanya. Aku memegang pipinya yang sejuk itu. Cassius menutup matanya dengan rapat. Dia cuba menahan dirinya dari menangis. Aku semakin bingung melihat keadaannya begitu. "Buat masa ini kau perlu meninggalkan Paris. Anggota-anggota Illuminati akan membantumu pada sepanjang masa sehingga kau selesai melakukan tugasmu ini dan lama selepas itu. Mulai malam ini mereka akan menganggapmu sebagai penggantiku." Kata Cassius dengan tergesa-gesa.
"Tugas apa? Aku masih tidak faham!" tanyaku tergesa-gesa.
"Buat masa ini, kau perlu pergi. Mereka sedang menunggumu di luar." Cassius menolak tubuhku agar aku berjalan keluar dari perpustakaan.
Cassius membuka pintu. Aku dapati di luar sebuah kereta kuda dengan tingkap yang berlapikkan kain baldu hitam yang tebal sedang menungguku di sana.
"Tunggu arahan seterusnya dariku nanti!" perintah Cassius mengingatkan. Aku bersalaman dengannya. Aku memandang wajahnya yang diulit rasa risau. Aku tidak pernah melihatnya begini. Rasa risau yang menyelubungi diriku semakin membebankan jiwaku.
Aku terpaksa mengangguk setuju. Aku masuk ke dalam kereta kuda. Aku dapati bahagian dalam kereta kuda ini seperti sebuah keranda yang besar. Langsung tidak ada cahaya yang dibenarkan masuk. Perjalanan yang aku ambil ini mungkin akan makan masa berhari-hari lamanya.
Kereta kuda terus bergerak meninggalkan Marais. Di dalam kereta kuda yang gelap itu dapat aku rasakan adanya makhluk lain selain dari diriku.
"Siapa kau sebenarnya?" tanyaku dengan suara perlahan. Di dalam keadaan gelap tanpa cahaya dengan mataku yang mampu melihat dalam gelap itu, aku dapat melihat lembaga yang sedang duduk di hadapanku bertubuh besar. Dia sedang memakai jubah yang selalunya dipakai oleh rahib-rahib Franciscan.
"Namaku Lilith... Aku di bawa ke sini oleh Tuan Blake." Jawabnya dengan suara yang keras.
"Buat apa kamu di sini?" tanyaku memandang ke arah wajahnya yang menggerutu.
"Untuk melindungimu." Katanya lalu membuka tudung jubahnya. Aku dapat melihat wajahnya yang mengerikan itu. Tapi aku pasti, dia tidak akan mengapakanku. Dia bukan seperti anggota Daevas yang lain... "Mulai sekarang aku akan menjadi hambamu."
"Kau bukan hamba kepada sesiapapun, Lilith." Kataku dengan pasti. "Kau boleh pergi jika itu yang kau mahu."
Lilith langsung tidak menjawab kata-kataku tadi. Dia sekadar menutupi kembali kepalanya dengan jubah yang dipakai. Lilith kemudian membuka tingkap kereta kuda yang diperbuat daripada logam lalu menyelak langsir baldu yang tebal itu. Dia menghirup udara malam. Dia memerhatikan suasana malam di Paris dengan satu pandangan penuh ketakjuban. Lilith terus berkeadaan begitu sehinggalah sang suria mula menampakkan dirinya ke ufuk timur. Tingkap dan langsir ditutup rapat. Kami berdua langsung ketandusan bicara. Kereta kuda terus membawa kami ke arah Selatan.
Ketika tiba di Lyon, aku dapat tersentak dari keadaan tidurku. Aku bermimpikan tentang Cassius yang sedang berada di dalam keadaan kesusahan.
"Kita perlu berhenti." Kataku kepada Lilith. Aku menjerit dan mengetuk bumbung kereta kuda yang kunaiki. "Berhenti!" perintahku dengan suara yang keras.
Kereta kuda terus bergerak laju. Anggota Illuminati yang membawa kereta kuda ini langsung tidak mengendahkanku.
"Mereka telah diperintahkan supaya terus ke Marseille." Kata Lilith dengan bersahaja.
"Tapi Cassius sedang berada di dalam keadaan bahaya!" kataku dengan berang.
"Aku tahu. Chevaliere d'Eon sendiri yang pergi menangkapnya di Callais sebelum dia sempat berlayar ke England bersama Tuan Blake." Jelas Lilith yang dapat melihat perkara ini berlaku di dalam fikirannya. "Kapten Dragoon yang berpakaian wanita itu merupakan anggota Frère Maçon. Kau pastinya tahu tentang hal ini, bukan?"
"Cassius perlukan bantuan kita!" getusku tanpa menjawab soalannya tadi.
"Kita tidak boleh melakukan apa-apa sekarang ini untuk membantunya kerana kita perlu ke Marseilles, lalu berlayar ke Mesir dari sana!"
"Cassius!" aku menumpukan seluruh perhatianku untuk menghubunginya.
"Kau perlu mendapatkan Tiresias. Dia sedang berada di dalam keadaan bahaya sekarang. Tempat persembunyiannya sekarang sudah diketahui Daevas. Mereka sedang menghantar seorang pembunuh mereka untuk membunuhnya. Lilith akan membawamu ke sana... Ke Saqqara."
"Tapi bagaimana dengan kau?"
"Kau tidak perlu risau tentang diriku. Jawapannya ada di dalam manuskrip Viruvius. Apabila kau dapat memahami kandungannya nanti, kau akan datang untuk menyelamatkanku." Kata Cassius dengan penuh yakin. Aku dapat merasakan dia sedang dikurung dalam sebuah keranda besi dan keranda itu dirantai, diikat dan dikunci. Dia sedang berada di dalam sebuah kapal yang sedang berada di Selat Inggeris.
Aku terus mengetuk bumbung kereta kuda yang kunaiki. Permintaanku agar kereta kuda ini berhenti, lalu bergerak ke arah utara untuk ke Calais tidak diendahkan sama sekali. Aku pasrah. Tanganku menggeletar.
Beberapa minit kemudian aku dapat merasakan keranda yang memerangkap tubuh Cassius dibuang ke dalam laut. Keranda ini tenggelam ke dasar laut yang sedang bergelora. Beberapa detik kemudian, hubungan psikikku dengan Cassius terus terputus. Aku tidak tahu ke mana hilangnya selepas itu. Seolah-olah Cassius terus lenyap dari muka bumi ini.
Aku menjadi marah. Wajahku berubah bengis. Di dalam keadaan marahku itu Lilith menyentuh tanganku untuk menenangkanku.
"Cuba selami jiwa kau itu... Kau tahu kita akan menyelamatkannya. Cuma sekarang bukan masanya lagi untuk kita melakukannya..." Lilith cuba memujukku. Tangannya yang menggerutu itu memegang tanganku dengan erat. "Kita perlu melakukan dan melaksanakan satu tugas yang lebih penting. Satu tugas yang telah dipertanggungjawabkan oleh Cassius kepada kau. Aku pasti dia akan kecewa jika kau tidak dapat melakukannya dengan betul."
Aku mengangguk perlahan sambil mengeluh. Mengiakan sahaja kata-kata Lilith apabila kereta kuda yang kami naiki terus bergerak ke Marseille dengan laju.
Jikaku terasa kosong. Aku kini kehilangan pasanganku. Vampiro selalunya hidup berkumpulan, setidak-tidaknya berpasangan. Kini aku keseorangan. Aku tidak tahu sampai bila aku akan mampu hidup keseorangan begini...
Alkisahnya, sebuah kapal pedagang Arab yang kami serang dibiarkan hanyut setelah subuh mula menyingsing. Dua orang pedagang terselamat kerana mereka bersembunyi di dalam sebuah kotak simpanan makanan. Apabila diselamatkan, mereka bercerita tentang sebuah kapal lanun berhantu yang telah menyerang. Anak-anak kapal berbilang bangsa itu diketuai oleh dua makhluk ganas penghisap darah. Anak-anak kapal yang berbilang bangsa itu diketuai oleh dua makhluk ganas penghisap darah. Buat beberapa puluh tahun selepas itu, legenda mengenai sebuah kapal Sepanyol yang berpuaka terus menghantui pelayar-pelayar yang berlayar ke Nusantara...
Pelayaran Concepcion untuk ke Venice lancar, walaupun anak-anak kapal Concepcion terpaksa kami jadikan lanun. Kapal-kapal yang tidak bernasib baik yang telah bertembung dengan Concepcion akan menerima padah. Habis barang-barang berharga dipunggah dan kapal mereka dimusnahkan. Kami melakukan kerja di waktu malam, kerana aku dan Cassius tidak mungkin boleh hidup lama di bawah cahaya matahari. Ketika kapal kami memasuki lautan Mediterranean, ia bukan sahaja sarat dengan muatan rempah ratus, tetapi emas permata yang dirampas juga.
Setibanya di Venice, kami dapati anak-anak kapal Concencio hanya tinggal seramai 12 orang. Yang lain telah dijadikan habuan untuk meneruskan hidup kami ketika belaya. Sisa-sisa anak kapal ini kami tinggalkan di dalam sebuah sampan kecil disertakan dengan dua peti besar emas dan permata. Kami berharap mereka dapat membahagikan harta sesama mereka apabila tersedar daripada pukau Cassius selama ini. Seterusnya, kami berdua melabuhkan Concepcion di sebuah kawasan berpaya di ceruk-ceruk Laguna Veneta yang agak terpencil, tetapi tidak begitu jauh dengan kota Venice. Dari sana, kami pergi menemui beberapa orang pedagang dari Venice yang pernah dikenali Cassius untuk menjual segala jenis harta benda yang berjaya kami kaup dan bawa pulang ke sini.
Aku terpaksa menerima hakikat bahawa aku tidak mungkin dapat berdiri sama tinggi dengan Cassius kerana warna kulitku. Cassius sendiri telah memberitahuku dari awal lagi walaupun kini aku seorang yang bebas, bukan lagi seorang hamba, tetapi jika aku mahu terus duduk di Eropah, aku mesti menganggap diriku sebagai hamba kepunyaan Cassius. Aku menerima perkara ini dengan akur. Lagipun dia tidak kisahkan sangat tentang kedudukanku ini di mata orang lain, asalkan aku sendiri tahu aku bebas. Yang penting buat aku sekarang, Cassius menganggapku sebagai sebahagian dari dirinya yang juga dianggapnya mempunyai kedudukan lebih tinggi dari manusia biasa.
Kami menetap di sebuah istana kecil yang telah diberi nama Pallazo Minuo yang terletak di kawasan San Polo di Venice. Nama untuk istana kecil ini telah dipilih sendiri oleh Cassius. Minuo dalam bahasa Latin - bahasa yang telah dituturkan tatkala dia bergelar manusia dahulu membawa maksud perbuatan untuk mengeluarkan darah.
Seperkara yang disedariku tatkala aku pertama kali dibawa ke istana Cassius adalah tulisan yang terpampang di hadapan bangunan istana gothic ini:
Nascentes Morimur
"Mengapa 'nascentes morimur'?" tanyaku setelah aku di bawa masuk ke dalam istana yang telah lama tidak dihuninya itu.
"Kita dilahirkan untuk mati." Jelas Cassius, walaupun dia tahu benar aku memahami asas bahasa Latin. "Tulisan ini telah diletakkan oleh penghuni awalnya. Sebenarnya... Sebenarnya aku rasa lebih sesuai agaknya jika aku tukarkan tulisan yang kau lihat itu kepada 'mors ultima linea rerum' yang membawa maksud kematian adalah tanda untuk garisan terakhir."
"Tapi kenapa?"
"Untuk mengingatkan aku, bahawa aku telah dilahirkan sebagai seorang manusia, tetapi kini aku bukan lagi manusia, kerana aku telah mati dan kini pula tidak mati-mati." Cassius tertawa sambil berjalan di atas lantai marmar carraranya yang penuh berhabuk. "Pulvis et Umbra Sumus... kita hanya sekadar habuk dan bayang-bayang. Inilah kejadian kita. Tidak lebih dari itu."
"Pallazo ini perlu dibersihkan." Ujarku sambil melihat kepada suasana malap Pallazo Minuo. Palazzo ini cantik jika ia dijaga betul-betul, itulah yang aku fikirkan. Kerja-kerja membersihkan Palazzo ini pasti memerlukan masa dan tenaga yang banyak memandangkan saiznya ini yang besar dengan entah berapa puluh bilik di dalamnya.
"Esok akan disegerakan hal ini." Sambut Cassius dengan penuh pasti. Seorang anak bangsawan sepertinya memang tidak mampu hidup dalam suasana yang kotor dan tidak terjaga, terutamanya tatkala dia sedang berada di kota-kota besar. Satu masa dahulu di Rom, beliau telah dilahirkan di bukit Palatine, di dalam sebuah rumah besar dengan berpuluh-puluh hamba yang digunakan hanya untuk menjaga kebersihan rumahnya sahaja.
"Dari siapa kau dapatkan palazzo ini?" tanyaku ingin tahu.
"Dari musuh Ludovico Sforza, Duke of Milan, yang telah menyuruh aku membunuh musuhnya, tuan punya palazzo ini." Jelas Cassius dengan selamba. Katanya lagi: "Ludovico tahu aku mahu berpindah ke Venice setelah aku bosan dengan keadaan di Milan, jadi dia menghadiahkan Palazzo ini kepadaku."
"Apa yang sudah terjadi kepada Ludovico sekarang ini?"
"Dia sudah lama mati di dalam penjara di istana Loches, di Perancis." Kata Cassius bersahaja.
Aku termenung seketika mendengarkan penjelasannya. Aku mahu tahu tentang kisah lampaunya bergaul dengan bangsawan-bangsawan Eropah. Tapi aku pasti masanya akan tiba nanti apabila dia akan bercerita kepadaku tentang kisah hidupnya merayau ke seluruh Eropah. Lagipun, dia mempunyai banyak masa untuk bercerita kepadaku.
"Tidak ada apa tentang dirinya yang perlu kau kisahkan sangat, kecuali tentang persahabatanku dengan Leonardo da Vinci..." Cassius bersuara untuk memecahkan kebuntuan yang terwujud di antara kami.
"Siapa Leonardo?" tanyaku yang tidak pernah mendengar namanya sebelum ini.
"Seorang lelaki yang telah aku kenali di bengkel Verrocchio di Florence. Verrocchio sendiri yang telah memperkenalkan aku kepadanya sebagai salah seorang muridnya yang paling berbakat. Aku pula telah memperkenalkan Leonardo kepada Ludovico, lantas terus diambil Leonardo sebagai pelukis dan juruteranya-"
"Kau pengumpul seni..." Pintasku yang mula sedar Cassius banyak mengumpul arca-arca pelbagai bentuk dan lukisan-lukisan yang menghiasi palazzo ini. Di dalam Palazzo Minuo, sememangnya terdapat beberapa lukisan-lukisan terbaru, yang telah dapat dikumpulkan Cassius, terutamanya yang telah dilukis oleh pelukis-pelukis Venice seperti Cima da Coneglianon dan Giovanni Bellini selain dari hasil-hasil seni beratus tahun lamanya.
"Ya... itu sahaja tentang manusia yang menarik perhatian aku. Seni yang mereka mampu lahirkan dari bakat yang mereka ada. Aku cukup-cukup minat melihat bagaimana gaya persembahan seni mereka berubah mengikut peredaran waktu... Cuba lihat lukisan-lukisan dari era Byzantine oleh Paolo Veneziano dan Michele Giambono, dan cuba bandingkan dengan lukisan-lukisan Bellini pula. Ada sedikit Kelainan bukan?" tanya Cassius, kemudian dia menjemputku agar masuk ke dalam bilik perpustakaannya. Bilik yang paling disukainya di dalam palazzonya ini.
Aku memerhatikan segala-gala hasil seni yang telah dikumpul oleh Cassius di dalam bilik perpustakaannya - di dalam bilik di mana dia banyak mempamerkan lukisan-lukisan dari koleksi simpanannya sehingga tidak ada tempat lagi untuk dipamirkannya. Ada di antara lukisan-lukisannya yang tidak ternilai harganya ini disandarkan sahaja di tepi-tepi rak buku.
"Apakah hasil seni yang paling kau hargai di sini?" tanyaku seolah menguji sewaktu Mataku mencerap lukisan-lukisan yang tergantung di dindingnya.
"Bab-bab yang hilang dari buku De Architectura oleh Vitrivius. Satu-satunya yang masih wujud sekarang ini." Ujar Cassius dengan bangga. Dia bergerak ke arah sebuah peti simpanan di belakang sebuah lukisan Vittore Carpaccio yang menunjukkan keindahan suasana pesta di Rialto. Setelah membuka peti tersebut, Cassius mengeluarkan beberapa gelung skrol yang sudah nampak sedikit usang. Di dalam peti besi itu juga aku dapat melihat beberapa lebaran peta yang telah dihadiahkan oleh Ptolemy kepadanya yang masih disimpannya sehingga kini.
"Kenapa kau menghargainya?" tanyaku, mataku terus kepada skrol Vitruvius yang telah dipegang oleh Cassius dengan teliti.
"Kerana isinya yang terlalu jauh ke hadapan masa. Vitruvius hidup sezaman dengan bapaku... Tetapi apa yang ditulisnya sehingga kini sukar untuk aku fahami. Ia begitu sukar untuk difahami sehingga ia telah dikeluarkan dari terbitan asalnya dan ia terus dilupakan tentang kewujudannya."
"Jadi kenapa kau simpan?"
"Aku pasti satu hari nanti di masa hadapan pasti ia akan difahami." Jelas Cassius bersungguh-sungguh. "Aku fikirkan Leonardo akan memahami kandungan bab-bab yang hilang oleh Vitruvius, tetapi dia sendiri tidak faham. Juga Rui Faleiro. Ya, aku pernah menujukkan bab-bab yang hilang ini kepadanya, tetapi Rui juga tidak faham apa yang ditulis dan dilakarkan oleh Vitruvius. Leonardo dan Rui mungkin cerdik, tetapi seperti yang aku katakan... Apa yang ditulis Vitruvius terlalu jauh ke hadapan."
Cassius kemudian meletakkan skrol-skrol yang dihargainya itu kembali ke dalam peti simpanan. Kemudian dia bergerak ke meja utama di dalam perpustakaannya itu untuk mengambil beberapa keping kertas yang terdapat di atas meja.
Dia menyerahkan kertas-kertas yang telah dilukis itu kepadaku dan memberitahuku bahawa itulah lukisan-lukisan rekaan-rekaan Leonardo yang telah dikumpulnya. Cassius yakin bahawa satu hari nanti, Leonardo akan menjadi seorang manusia yang terkenal. Mungkin lebih dikenali dari Vitruvius sendiri.
"Apa yang kau lihat adalah senjata-senjata yang direkanya yang hanya wujud di atas kertas. Dia juga seperti Vitruvius... Banyak mereka benda-benda yang direkanya terlalu jauh ke hadapan."
"Apa yang terjadi kepada Leonardo sekarang?"
"Dia meninggal dunia kira-kira empat bulan sebelum kita berlepas dari Seville... Tahun 1519." Ujar Cassius yang mungkin sudah dapat meneka tarikh kematian Leornardo lama sebelum dia menemui ajalnya di Cloux, Perancis.
"Kira-kira tiga tahun yang lepas..." kataku termenung jauh sambil memikirkan keadaan diriku pada waktu itu.
"Banyak yang telah berlaku selama tiga tahun ini... Di antaranya, Venice tidak lagi semewah dahulu. Lebih-lebih lagi apabila Portugis sudah mula menguasai jalan untuk ke timur dan bukan lagi pedagang-pedagang Arab yang telah berurusan dengan Venice sejak berkurun lagi."
"Tidak lama lagi... giliran Sepanyol pula."
"Ya... tidak lama lagi giliran Sepanyol pula untuk menguasai dunia." Sambut Cassius dengan perlahan, seolah dia faham benar dengan rentak dunia yang sentiasa sahaja berubah tarian dan senandung manusia yang mendiaminya.
*
Hampir setiap malam, aku cuba untuk membiasakan dirinya hidup sebagai Vampiro di dalam kota Venice yang begitu indah di dalam pandangan mataku. Dalam pada itu, aku mula sedar tentang kelebihan luar biasaku sebagai seorang vampiro.
Aku mendapati bahawa aku mempunyai kekuatan yang luar biasa. Dari hari ke sehari, kebolehan deria penglihatanku semakin tajam. Daya pemikiranku pula semakin utuh, lantas membolehkanku menyerap lebih banyak maklumat dari apa yang termampu olehku sebelum ini. Kebolehanku ini telah menyebabkan aku sentiasa haus dengan ilmu pengetahuan yang mahu kupelajari. Semakin banyak yang aku belajar, semakin kecil rasanya dunia ini dan semakin aku dapat merasakan dunia ini penuh dengan keajaiban dan keindahannya yang tersendiri. Dan seperti Cassius, aku juga mula jatuh cinta kepada keindahan seni yang dihasilkan manusia...
Aku mula sedar bahawa kelebihanku kini telah membolehkanku menikmati keadaan sekelilingku dengan lebih baik lagi. Aku kini mampu melihat pergerakan kupu-kupu malam seolah ia terbang dengan perlahan. Di dalam masa yang sama, aku sendiri dapat bergerak dengan begitu pantas sehingga pergerakanku hanya dapat dilihat sebagai satu bayangan kelam dalam pandangan manusia. Satu perkara yang sering aku lakukan agar kehadiranku tidak disedari oleh manusia yang menghuni kota Venice yang indah ini.
Kebolehkanku ini juga menyebabkanku dapat melihat lembaga-lembaga gelap yang tidak mahu kulihat. Tatkala angin Sirocco yang dikatakan dapat membuat orang menjadi gila bertiup menyapa Venice, aku akan dapat mendengar suara-suara jeritan yang datangnya entah dari mana. Deria bauku yang semakin kuat menyebabkanku dapat membau ketakutan, kegembiraan dan keraguan manusia yang aku temui. Di Venice ini, dengan bermacam-macam-macam jenis barang-barang yang diperdagangkan ke seluruh Eropah yang datangnya dari segala pelosok ceruk di dunia ini - bau-bauannya yang eksotik suka kucium untuk kufahami asal-usulnya.
Kadangkala, ketika berjalan malam, aku akan terserempak dengan vampiro-vampiro yang lain. Ya, seperti aku, mereka kelihatan seperti manusia biasa. Tidak ada perbezaan langsung, kecuali, para vampiro sepertiku itu tidak mengeluarkan sebarang bau yang boleh kucium. Tidak seperti manusia, para vampiro langsung tidak mengeluarkan sebarang bau yang mungkin dapat membocorkan rahsia perasaan yang cuba disembunyikan mereka yang dapat kubaca dengan deria bauku. Mereka juga tahu bahawa aku ini makhluk yang segerombolan dengan mereka melalui cara ini. Mereka juga tahu bahawa sebahagian dari darahku merupakan darah Cassius dan Tiresias. Sehingga kini, hanya aku dan Cassius sahaja yang mempunyai jalinan darah dengan Tiresias, Vampiro yang paling disegani di kalangan vampiro-vampiro yang ada.
Pernah ditanya kepada Cassius berapa ramai makhluk vampiro yang ada sepertinya di dalam dunia ini. Kata Cassius tidak ramai. Malah dirinya sendiri, selama dia menjadi vampiro, aku sahaja vampiro yang datangnya dari dirinya. Itu pun dengan cara tidak sengaja, yang difikirkan Cassius sebagai satu kejadian yang tidak dapat dielakkannya, tetapi telah diramalkan oleh Tiresias beberapa ratus tahun sebelum ini - bahawa pada satu hari nanti Cassius akan menjadikan seorang teman untuk memburu di kalangan seorang lelaki yang ditemuinya di kawasan 'Semenanjung Emas'.
"Tapi mengapa tidak?" tanyaku kehairanan. Kami tatkala itu sedang berdiri di atas sebuah gondola sambil memerhatikan suasana malam yang masih segar di Canal Grande.
"Apa maksudmu?" tanya Cassius kembali.
"Mengapa sebelum kau menemui aku, kau tidak mencari manusia lain untuk dijadikan vampiro sebagai temanmu?"
"Kejadian kita bak haiwan pemangsa. Kita tidak perlu mempunyai jumlah yang terlalu ramai, jika tidak... Pasti sukar untuk kita mencari mangsa untuk membolehkan kita terus hidup." Jelas Cassius. Gondola yang bergerak perlahan itu kemudian berhenti di hadapan Palazzo Dario, sebuah pallazo yang bahagian hadapannya kelihatan lain dari yang lain kerana penggunaan batu marmar pelbagai warna. "Lagipun, aku tidak mahu jadi seperti vampiro-vampiro lain yang hidup berkumpulan... Aku lebih suka hidup menyendiri."
Pendayung gondola menerima upahan sekeping ducat perak dariku. Satu jumlah yang lebih banyak dari yang patut diterimanya.
"Dua lagi ducat perak jika kamu tunggu di sini sehingga menjelang subuh nanti." Beritahuku kepada si pendayung.
Pendayung gondola itu mengangguk perlahan sambil mengucapkan terima kasih tanpa memandang ke arahku mahupun Cassius. Aku dapat mencium bau gementarnya. Dari dalam kotak fikiran si pendayung yang dapat dibacaku, dapatlah ku ketahui bahawa Palazzo Dario yang dibina oleh Giovanni Dario ini berhantu. Atau itulah yang difikirkan oleh si pendayung gondola...
"Pallazo ini baru sahaja dibina, tetapi terus dianggap berpuaka..." Cassius menjelaskan. Aku melihat beberapa lembaga yang sedang berdiri di dalam Pallazo sambil memakai topeng. Mereka menunduk hormat kepada kami berdua.
"Kenapa?" tanyaku ingin tahu mengapa Palazzo ini dianggap berpuaka oleh penduduk-penduduk Venice. Setahun aku, Giovanni Dario adalah seorang ahli diplomat Venice yang telah mengadakan perundingan damai dengan Turki pada tahun 1479. Kerana tugasnya di luar negara, Giovanni jarang mendiami Pallazo mewahnya ini.
"Kerana mereka." Ujar Cassius sambil membawaku masuk ke dalam dewan tarian yang dipenuhi dengan beberapa lembaga bertopeng. Dengan sekali pandang, walaupun bertopeng, aku sudah dapat membezakan sama ada mereka terdiri dari golongan vampiro ataupun manusia. "Seperti kota-kota pelabuhan besar yang lain, kota ini menjadi tempat tinggal dan persinggahan kepada ramai vampiro. Dari masa ke semasa mereka akan mengadakan pesta di sini..."
Aku dapat mendengar berpuluh-puluh suara yang menyelinap masuk ke dalam fikiranku. Walaupun bertopeng, aku dapat mengesan bahawa vampiro-vampiro ini datang dari segala pelosok sudut dunia. Ada yang berumur berkurun lamanya seperti Cassius dan ada pula yang masih baru sepertiku.
Ketika berjalan merentasi dewan tempat berkumpulnya para vampiro yang sedang berpesta dan menari sambil menikmati lagu berbentuk madrigal hasil karya komposer Adrian Willaert yang namanya disanjung di Venice pada ketika itu, aku dapat merasakan bahawa diriku dapat diterima dengan baik di sini. Para vampiro di sini nampaknya langsung tidak dihiraukan warna kulit mahupun latar belakangku. Aku terus dianggap dan sebagai saudara baru mereka di sini, malah mereka cukup hormat denganku.
Tatkala aku dan Cassius berehat di sebuah sudut yang gelap, kami didekati oleh seorang budak lelaki yang comel. Budak lelaki yang mempunyai rambut berwarna perang dan kerinting itu telah menyerahkan dua pasang topeng untuk dipakai oleh kami berdua. Aku tersenyum. Apabila aku mengambil topeng tersebut dari budak lelaki yang mungkin masih berumur 12 tahun itu, aku dapat melihat bekas gigitan pada bahagian tangan dan lengannya.
Kini aku pasti bahawa budak lelaki itu dan juga manusia-manusia yang ada di situ adalah hamba darah kepada vampiro-vampiro yang ada. Tugas mereka sama seperti lembu-lembu yang diperah susunya. Manusia-manusia ini dihisap darah mereka, tetapi tidak dihisap sehingga akan menyebabkan mereka mati. Mereka tidak dipukau. Mereka memberikan darah mereka dengan sukarela. Mereka lebih rela dijaga dan diberi makan serta gaji oleh para vampiro dari hidup tidak tentu arah sebagai kutu jalanan di kota Venice ini.
"Kau akhirnya berteman." Ujar seorang vampiro yang sedang memakai topeng yang kelihatan seperti burung lengkap berparuh. "Aku fikirkan aku hanya dengar berita angin... Rupa-rupanya betul."
"Ini pun secara tidak sengaja, Garcia!" sambut Cassius. Dia terus memakai topengnya yang berwarna putih itu.
"Ya, aku pasti." Garcia menyambut sinis sebelum dia memandang ke arahku. Dia membuka topengku. Dia mahu memandang wajahku dengan lebih jelas lagi. Dia merenung ke dalam mataku. Kemudian dia mengusap pipiku sebelum dia menambah lagi: "Kacak orangnya... Dengan senyuman yang menawan. Jadi dengan secara tidak sengaja pun kau masih mengambil seorang teman memburu yang cantik kejadiannya."
"Bukankah kita semua begini?" Cassius sengaja tanya kembali dengan suara yang cukup sinis.
"Jadi di mana kau mula-mula bertemu dengan Cassius dahulu?" tanya Garcia kepadaku.
"Melaka."
"Oh, Melaka... Nama Melaka pernah satu ketika dahulu begitu dikenali di Venice ini." Beritahu Garcia. "Andainya di sana Cassius boleh menemui seorang lelaki sekacakmu, jika aku ke sana, pasti aku dapat menemui gadis-gadis yang cantik-cantik belaka!"
"Melaka tidak mungkin akan jatuh ke tangan Sepanyol, Garcia... Melaka kini milik Portugis." Kata Cassius sambil menjeling. Garcia ketawa mendengar kalimah-kalimahnya tadi.
"Kau dijadikan vampiro oleh Cassius... Antara vampiro yang paling disegani di sini. Dan antara yang tertua. Jika dia tidak ada nanti, kau akan menggantikan tempatnya, tapi aku pasti, perjalanan hidup Cassius masih panjang lagi." Ujar Garcia di dalam bahasa Sepanyol yang begitu pekat loghatnya kepadaku.
Aku pasti Garcia sedang tersenyum dan menyeringai sehingga ternampak taringnya di sebalik topeng yang dipakainya. Garcia kemudian terus diam. Dia tunduk hormat kepada Cassius sebelum dia berjalan ke sebuah sudut yang lebih gelap untuk memerhatikan seorang hamba dari Afrika yang sedang dihisap darahnya oleh seorang gadis vampiro.
"Bagaimana pesta darah seperti ini boleh dilakukan di sini? Di tengah-tengah kota Venice? Tidakkah pihak Doge ataupun Majlis Sepuluh menerima sebarang aduan di A bocca di leone?" Tanyaku yang pernah sekali mendapatkan seorang mangsaku di sana - ketika aku mendapat tahu tentang seorang peniaga yang ingin menganiaya rakan niaganya sendiri dengan menulis sebuah surat penuh fitnah dan ingin dimasukkan ke dalam peti surat di A bocca di leone. Aku tahu jika surat itu di baca, pasti pihak yang telah difitnahkannya itu akan menerima padah. Aku membunuh mangsaku itu sebelum dia sempat memfitnahkan rakan niaganya sendiri.
"Pastinya mereka tahu... Cuma di sini, wang menguasai segala-galanya." Cassius memerhatikan suasana palazzo yang telah dihias indah dengan lukisan-lukisan dan hasil-hasil seni. Makanan-makanan yang dihidangkan untuk para hamba darah juga berbagai jenis dan sedap-sedap belaka untuk mereka nikmati yang langsung tidak disentuh oleh para vampiro.
"Kau tidak bosan hidup sendiri?" tanyaku mengubah arus perbualan. Aku merasa kurang selesa memakai topeng. Sukar untuk menikmati bau-bauan yang indah yang dapat kucium dan nikmati di sini.
"Kau tidak faham dengan kehidupanku." Jawab Cassius sedikit terganggu dengan soalan dariku tadi kepadanya.
"Tapi bagaimana kau mampu hidup hampir 14 abad lamanya seperti ini?"
"Ada kalanya aku tidak mampu. Aku rasa ramai vampiro yang tidak tahan hidup begini, seperti beberapa vampiro aku kenali yang hampir menjadi gila. Ada pula yang membunuh diri dengan sengaja membuatkan diri mereka dapat ditangkap manusia-"
"Tapi kau terlalu cintakan kehidupan ini. Kau mahu melihat sejauh mana kemajuan manusia akan membawa mereka satu hari nanti." Pintasku yang semakin mengenali dirinya.
Cassius berjalan ke arah tingkap pallazo yang besar itu untuk melihat keadaan air laut Adriatic yang sedang mengalir lesu melalui terusan besar Venice. Aku pergi mendapatkannya lalu termenung dengan agak lama di situ.
Aku dapat mencium bau hanyir air di terusan dan bau darah manusia yang masih panas di belakangku. Setelah lama termenung kosong begitu, aku menoleh ke belakang. Terus aku dapat melihat Cassius menghisap lengan seorang wanita yang bertopeng yang mengipas-ngipas dirinya. Wanita tersebut kelihatan teruja. Dia menghulurkan lengannya kepadaku, tetapi aku sekadar menggeleng...
*
Setelah meneroka hampir setiap sudut dan ceruk Venice di dalam jangka masa 50 tahun, aku akhirnya merasa cukup resah dengan kota ini. Barangkali betul kata Cassius - vampiro seperti kami perlu sentiasa melakukan sesuatu yang menarik agar hidup kami tidak membosankan. Jadi untuk menghilangkan rasa bosan, ada kalanya kami akan bergerak dari satu kota ke kota yang lain di Eropah. Melancung. Mengembara...
Pada malam itu, malam St Bartholomew's Ogos 24, 1572 kami berada di Paris. Para Vampiro dari Paris nampaknya telah keluar beramai-ramai untuk menyaksikan satu perkara yang sudah kami jangkakan akan berlaku. Satu malam di mana ramai manusia dibunuh di atas nama agama yang mereka anuti. Dalam masa seminggu selepas itu, lebih dari 100,000 penganut Protestan di Perancis yang dikenali dengan panggilan Huguenot mati dibunuh oleh para penganut agama Katolik. Sungai-sungai di Perancis dipenuhi dengan mayat sehinggakan orang-orang di Perancis takut untuk memakan ikan yang ditangkap di sungai sampai berbulan-bulan lamanya.
Pada malam berdarah itu jugalah aku mula mengenali nama Daevas. Satu nama yang ditakuti oleh golongan vampiro, terutamanya Cassius. Dia tidak pasti dari mana asal usul mereka dan sejak bila mereka wujud. Tapi apa yang pasti, golongan Daevas yang diketuai oleh ketua mereka yang termaklum dengan nama Ahriman ini di kenali dengan pelbagai nama dan manifestasi di dalam pelbagai tamadun di dunia ini. Mereka telah lama wujud di kalangan manusia dan wujud lama sebelum kemunculan tujuh vampiro terawal - Amesha Spentas di Babylon.
Cassius kurang pasti jika mereka terdiri dari golongan manusia, walaupun kadangkala golongan Daevas ini akan memperlihatkan diri mereka menyerupai manusia. Seperti golongan vampiro, mereka juga mampu hidup dalam jangka hayat yang lama dan sukar untuk dibunuh. Mereka mempunyai kuasa luar biasa yang tidak mungkin ada di kalangan manusia. Mereka mempunyai kelebihan yang tidak ada pada golongan vampiro; mereka boleh hidup di kalangan manusia pada siang hari.
Setahu Cassius, Ahriman lah yang telah menyebabkan Tiresias hampir mati di bunuh apabila dia cuba memerangkap Ahriman ketika ia cuba memusnahkan kota yang agung itu. Setelah bertungkus-lumus berjuang, akhirnya Tirisias berjaya untuk menewaskan Ahriman lalu memenjarakannya di dalam sebuah kotak khas yang telah di tanam di sebuah tempat rahsia yang hanya Tiresias sahaja yang tahu. Pengikut-pengikut Ahriman, golongan Daevas ini mahu membalas dendam ke atas Tiresias ke atas perbuatannya ini. Jadi diri Tiresias sentiasa diburu mereka. Tiresias terpaksa berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain di kawasan Timur Tengah semata-mata untuk melarikan dirinya dari para Daevas pergi memburunya untuk mendapatkan maklumat untuk membebaskan tuan mereka.
"Tiresias dapat melihat bahawa Ahriman perlu memusnahkannya... Tetapi dia tidak dapat melakukannya. Tetapi dia yakin Ahriman akan dapat dimusnahkan jua. Ada sesuatu perkara yang dapat Tiresias lihat yang akan berlaku di masa hadapan yang melibatkan kau-" Ujar Cassius kepadaku sewaktu kami sedang berjalan di sebuah lorong gelap di Paris. Keadaan Paris pada malam itu terlalu cacamarba.
"Apa dia?"
"Buat masa ini kau tak perlu tahu..." Cassius mengeluh melihat mayat-mayat yang bergelimpangan di tengah jalan. Dia berhenti di hadapan mayat seorang pemuda yang kacak wajahnya. Cassius menggelengkan kepalanya kerana dia terkilan tidak dapat menghisap darah pemuda ini sebelum dia dibunuh begitu sahaja semata-mata kerana dia mengikut fahaman Protestan di dalam sebuah negara Katolik seperti Perancis. "Kau juga perlu berhati-hati dengan Ahriman dan pengikut-pengikut Daevasnya... Mereka berada di mana-mana. Malah mereka juga ramai tali barut di kalangan manusia!"
Aku mengangguk tatkala mendengarkan kata-kata Cassius mengenai makhluk yang dikenalinya dengan nama Ahriman ini. Aku berjalan melangkah beberapa mayat yang bergelimpangan di atas jalan. Darah mereka mengalir membasahi bumi. Paris pada malam itu dipenuhi dengan bau hanyir darah yang masih segar.
"Tiresias dapat melihat saat kematiannya. Dia tahu satu hari nanti, dia pasti akan dibunuh oleh seorang tali barut golongan Daevas." Kata Cassius lagi. "Seorang yang kau kenali..."
"Apa?"
"Ya... Kau mengenalinya, tetapi aku tidak pasti siapa. Satu hari nanti kau akan bertarung dengannya untuk membalas dendam ke atas kematian Tiresias."
"Tapi aku tidak mengenali Tiresias dan dia belum mati lagi!"
"Satu hari nanti kau akan mencarinya... Kau sendiri tahu bukan?"
"Ya." Jawabku perlahan. Di dalam mimpiku, aku sudah dapat melihat diriku merentas padang pasir saujana mata memandang semata-mata untuk mencari Tiresias - untuk mendapatkan jawapan kepada soalan yang masih belum ku dapat pastikan isi kandungannya. Dalam mimpiku itu, aku dapat melihat diriku cuba untuk menyelamatkan nyawanya, tetapi aku gagal. Kecuaianku akan menyebabkan kematian Tiresias...
"Jadi jika dia tahu dia akan mati dibunuh, kenapa dia tidak cuba untuk menghalang mereka?" tanyaku dengan mataku jelas mencerminkan kebimbangan.
"Mungkin dia tahu dia tidak mungkin dapat melawan takdirnya..."
Aku melihat dahi Cassius kini terukir dengan garis-garis halus yang penuh dengan perhitungan.
"Adakah kita juga perlu bimbang golongan Daevas ini buat masa ini?"
"Ya... Tapi mereka hanya akan muncul jika masa untuk kita sudah tiba untuk dimusnahkan. Buat masa ini mereka hanya beranggapan golongan vampiro bukan satu ancaman buat mereka. Mereka hanya tunggu masa sehingga Ahriman akan bebas semula dari kotak emas yang digunakan Tiresias untuk memenjarakannya. Masanya akan tiba jua akhirnya. Tapi bukan sekarang..."
Penjelasan dari Cassius ini membuatku mahu mengetahui dengan lebih mendalam tentang Ahriman dan makhluk halus bergelar Daevas ini. Aku perlu tahu tentang kewujudan mereka. Aku perlu mengetahui mengapa mereka mahu menguasai dunia. Aku kemudian bertanyakan Cassius soalan ini:
"Jadi Ahriman ini bersungguh-sungguh mahu memusnahkan golongan vampiro pada satu hari nanti?"
"Dia bukan sahaja mahu memusnahkan golongan vampiro, tetapi golongan manusia sejagat... Maka begitulah menurut Tiresias." Jelas Cassius dengan perlahan, dia berhenti seketika untuk memerhatikan seorang lelaki Katolik menyembelih leher seorang gadis Huguenot sehingga gadis itu terkulai mati.
Aku memandang kepada darah yang keluar mengalir dari leher gadis tersebut. Aku tidak dapat melakukan apa-apa pada ketika itu selain dari menjadi seorang pemerhati. Seorang pemerhati yang tidak dapat melakukan apa-apa kecuali mengintai keganasan dan kekejaman yang dilakukan manusia dari jauh.
Aku melihat keadaan sekelilingku apabila kami mula melangkah ke kawasan Place Maubert yang terletak di tengah-tengah kota Paris. Aku mendapati terdapat lebih banyak mayat-mayat yang bergelimpangan di kawasan ini. Aku dan Cassius pernah ke sini satu masa dahulu, pada tahun 1546 apabila ahli falsafah Etienne Dolet dibakar hidup-hidup di sini kerana dikatakan bersalah kerana telah mencetak karya-karya penulis humanisme terutamanya karya Erasmus.
"Dan manusia katakan kita lebih kejam dari mereka..." Cassius memegang tubuhnya sendiri memikirkan tentang segala peristiwa yang pernah berlaku di sini dahulu dan apa yang sedang disaksikannya sekarang. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.
*
Aku dan Cassius kurang pasti jika mereka harus berpindah ke Paris dari Venice setelah menyaksikan peristiwa berdarah yang sedang berlaku ke sini. Rasa-rasanya seperti Paris akan kekurangan manusia setelah melihat begitu ramai penduduk Huguenot Protestannya yang telah dibunuh dengan kejam oleh pengikut-pengikut fahaman Katolik. Semuanya ini berlaku enam hari setelah Permasuri Margot dikahwinkan dengan Henri dari Navarre, ketua bagi golongan Hugeunot. Satu perkahwinan yang telah dirancangkan oleh Catherine Medici yang berakhir dengan tragedi...
Setelah suasana di Paris semakin reda, Aku dan Cassius pun berpindah ke Paris. Lebih-lebih lagi apabila Venice telah diserang dengan hawar penyakit pada tahun 1575. Kami berpindah ke Paris setahun seterusnya setelah pelukis yang disayangi oleh Cassius, Titian meninggal dunia akibat wabak tersebut di samping 100,000 penduduk Venice yang lain. Ternyata, pada waktu itu bukan satu masa yang baik untuk kami berada di Venice kerana kurangnya jumlah mangsa yang dapat kami cari untuk meneruskan hidup kami.
Aku juga mula sedar bahawa untuk terus hidup tanpa diganggu, kami perlu berpindah dari satu kota ke satu kota. Agak sukar untuk kami hidup terlalu lama di satu-satu tempat, memandangkan wajah kami tidak pernah berubah akibat dimakan usia.
Aku mendapati Cassius cukup senang dengan kota Paris, sebuah kota yang ramai penduduknya. Jadi kami akhirnya mengambil keputusan untuk berpindah ke Paris agar senang untuk kami mencari mangsa kami di sini.
Setelah lebih 200 tahun aku menjadikan Paris sebagai tempat untuk memburu mangsa-mangsaku, buat pertama kalinya aku akhirnya bertemu dengan seorang pengikut Ahriman. Seorang wanita bernama Kira dari golongan Daevas yang dikatakan telah wujud sejak zaman Raja Kala Jengking yang telah memerintah Mesir pada tahun 3200 Sebelum Masehi dahulu...