<$BlogRSDURL$>

Limau Nipis - AvantGo

Laman Avantgo Limau Nipis oleh Nizam Zakaria

Friday, February 25, 2005

Awang Vampiro: Buku III. Bab 5

Aku tahu, masa untuk kami bertindak telah pun tiba. Perdana Menteri Britain, Neville Chamberlain telah pun mengeluarkan ucapan memberitahu rakyat British tentang tindakan agresif tentera Nazi menyerang Poland.

Mengikut apa yang telah dapat dilihat Aliya, pergerakan sejarah dunia akan berubah perjalanannya mulai malam ini. Bagaimana ia akan dilakukan, inilah persoalannya sekarang.

Aku mendapati hubungan Eva dan Ivana dengan toyol yang dibawa mereka ke stor kabaret New World semakin rapat. Beberapa hari sejak kebelakangan ini, mereka telah menemani toyol itu di sana tanpa pulang semula ke hotel. Dan aku pula, telah menghabiskan masaku memerhatikan Hanim dari jauh dengan rupa wajah dan tubuh yang telah aku ubah dengan menggunakan medan hologram.

Pada satu malam sejurus selepas aku menonton bangsawan Megat Panji Alam yang telah dilakonkan Hanim, aku telah dipanggil oleh seorang budak lelaku berusia 9 tahun bernama Talib agar ke belakang pentas.

"Cik Hanim mahu berjumpa dengan Baba Tan di belakang." Ujar Talib kepadaku. Dia menggaru-garu kepalanya yang botak itu.

"Tapi mengapa?" tanyaku kehairanan. Aku memegang tongkat yang kupegang pada waktu itu dengan erat.

"Dia ingin mengucapkan terima kasih kepada Baba Tan." Kata Talib serba salah.

"Untuk apa?"

"Dia ingin mengucapkan terima kasih kepada Baba Tan untuk hadiah susunan bunga kemboja yang Baba Tan hadiahkan kepada dia hampir setiap malam."

"Tapi bukan aku sudah minta kepada kau jangan beritahu siapa yang hadiahkannya bunga-bunga ini kepadanya?" tanyaku cuba mengawal nada kemarahanku.

"Tapi dia paksa saya!" sambut Talib dengan wajah yang muram. Dia berkata benar. Aku tahu jika Hanim mahukan sesuatu, dia mampu membuat siapa sahaja memenuhi permintaannya itu.

"Baiklah... Di mana dia sekarang?" kataku akhirnya, sambil menjeling.

"Baba Tan ikut saya." Ujar Talib. Dia membawaku ke sebuah bilik yang terletak di belakang pentas bangsawan yang terletak di dalam taman rekreasi New World ini.

Talib mengetuk pintu berkali-kali sebelum kedengaran suara lembut yang membenarkannya masuk. Suara Hanim.

"Ini dia Baba Tan yang saya sebutkan tu, Cik Hanim." Ujar Talib memperkenalkanku kepada Hanim. Aku memandang kepada wajah Hanim di dalam cermin, kemudian kepada diriku yang kelihatan seperti seorang Cina Peranakan yang agak berumur dan mempunyai perut yang buncit.

"Baba Tan apa khabar?" tanya Hanim sambil tersenyum manis. Talib duduk di tepi sambil menggaru-garu telinganya.

"Baik Nona Hanim." Jawabku perlahan. Mataku terus kepada rambutnya yang dibiarkan mengurai itu.

"Saya selalu dihadiahkan dengan bunga... Tapi tidak pernah pula sesiapapun yang pernah hadiahkan saya dengan bunga kemboja-"

"Cik Hanim tak suka dengan bunga kemboja?" aku berbuat-buat tanya.

"Bukan begitu, Baba Tan..." Hanim tersenyum sambil menggeleng cepat. Dia mengeluarkan anting-antingnya lalu diletakkan ke atas meja soleknya. "Saya suka dengan bunga kemboja. Bunga kegemaran saya. Tapi tak ramai yang tahu ini bunga kegemaran saya."

Anak tekakku bergerak-gerak. Tidak mungkin Hanim dapat membaca fikiranku, inikan pula melihat menerusi medan hologram yang aku gunakan sekarang.

"Hari-hari saya lihat Baba menonton lakonan saya... Sejak minggu lepas lagi." Hanim memberitahu. Dia memandang ke arahku melalui cermin di hadapannya.

"Saya memang minat tengok bangsawan."

"Baba Tan dari mana?"

"Melaka..."

"Oh ye ke? Saya pun dari Melaka juga."

"Saya tahu Nona memang berasal dari Melaka..."

"Berapa hari Baba akan berada di Singapura?"

"Saya akan pulang ke Melaka pada malam lusa nanti." Kataku sambil tersenyum. "Kalau lama-lama di Singapura, bibik saya di Malaka nanti risau pula."

"Kalau begitu... Semoga Baba selamat pulang ke Melaka nanti." Ujar Hanim sambil menghulurkan tangannya untuk bersalaman denganku. Aku menyambut salamnya lalu meminta diriku untuk pulang.

Pada malam itu, air mataku terus keluar bercucuran sebaik sahaja aku tiba ke bilikku di Hotel Raffles. Aku tidak mungkin mampu menahan rasa sebakku lagi. Aku tahu selepas ini, aku tidak mungkin akan berpeluang untuk menemui Hanim lagi - seorang wanita yang telah kuanggap sebagai adikku yang paling aku sayangi.

*

"Maklumat-maklumat yang dihantarnya... Berbeza dengan apa yang telah dihantarnya sebelum ini." Eva menganalisis konsolnya dengan lebih teliti lagi.

"Berbeza?" tanyaku ingin tahu lagi penemuannya itu, sewaktu kami sedang menyorok di dalam semak di hadapan banglo yang didiami Asaeda.

"Lenggok bahasa yang digunakannya berlainan." Ujar Eva dengan yakin. Sejak seminggu yang lepas Eva telah meneliti setiap utusan maklumat yang dihantar oleh Asaeda. "Tak mungkin lenggok bahasanya berubah dalam masa sehari sahaja. Pasti ada sesuatu yang tak kena-"

"Jadi apa yang kau rasa kita harus lakukan?" tanya Ivana kepadaku. Memintaku membuat keputusan dengan cepat.

Aku memandang kepada kelibat Asaeda yang dapat kulihat seperti biasa menaip ke dalam mesin khasnya di tepi jendela. Sememangnya tidak ada apa-apa berbezaan yang dapat kulihat pada dirinya, tapi aku dapat mencium sesuatu yang tak kena.

"Kau dapat cium bau kematian yang datangnya dari banglo ini?" tanyaku kepada Eva dan Ivana meminta kepastian.

Mereka memandang sesama mereka sebelum aku lihat mereka berdua mengangguk sama.

"Kita harus menyiasat..." Aku akhirnya berkata pasti sambil terapung bergerak semakin dekat ke arah banglo Asaeda.

"Dan membiarkan dia sedar akan kehadiran kita di sini? Bukan nanti perbuatan kita akan menganggu perjalanan sejarah di masa hadapan?" tanya Eva berlari mendapatkanku.

"Kita tak ada pilihan lain." Jawabku lalu terus terbang melintasi pintu pagar banglo di hadapanku.

Aku muncul di veranda bilik tidur Asaeda. Aku menyeru namanya. Dia menoleh lalu kelihatan terkejut. Dia cepat-cepat mengambil sepucuk pistol dari dalam lacinya.

"Siapa kau?" dia bertanya dengan matanya terbeliak sambil mengacukan pistol dari model Hamada Shiki ke arahku.

Setahu aku, pistol yang ditiru rekaannya dari pistol Browning M-1910 ini hanya dikeluarkan pada tahun 1941 di Jepun untuk kegunaan pegawai-pegawai tentera Jepun. Hanya 5000 pucuk pistol dari model ini telah dikeluarkan dan ia dianggap satu pistol yang dinilai tinggi oleh pengumpul-pengumpul senjata seperti aku.

"Persoalannya sekarang, siapa kau sebenarnya." Ujarku sambil mencium bau Asaeda. Dia tidak mengeluarkan sebarang bau. Kini aku mempertikaikan jika Asaeda yang sedang berada di hadapanku adalah seorang manusia biasa.

Eva dan Ivana muncul di belakang Asaeda. Mereka cepat-cepat merampas pistol yang digenggamnya lalu diserahkan kepadaku. Kemudian, Eva menendang kaki lembaga yang menyerupai Asaeda ini sehingga dia terjatuh ke lantai.

"Kami menjumpai mayat seorang lelaki yang menyerupai Asaeda yang di simpan di dalam sebuah almari di bilik bawah." Beritahu Ivana. Dia sedaya mungkin cuba menekan tubuh lembaga ini ke lantai, tetapi beberapa saat kemudian, ia dapat melepaskan dirinya sehingga membuatkan Ivana tercampak ke tepi.

Lembaga di hadapanku ini mempunyai kekuatan dan kepantasan melebihi manusia biasa. Aku pasti ia telah dihantar ke sini melalui mesin merentas masa yang telah dibina oleh Daevas dan konco-konco mereka untuk menggantikan tempat Asaeda.

Aku mengeluarkan pistol sonik yang disisipkan ke pinggangku. Apabila Eva dan Ivana sibuk cuba menangkap lembaga yang menyerupai Asaeda ini, aku pula mengacukan pistol sonik ini ke kepalanya.

Ledakan sonik menyebabkan kepala lembaga yang menyerupai Asaeda ini berkecai. Tubuh tanpa kepalanya rebah ke lantai. Eva bercekak pinggang kerana aku tidak memberinya amaran tentang tindakanku ini. Aku tersenyum sampil menaikkan kedua belah bahuku.

Ivana memeriksa tubuh lembaga ini. Fragmen kepala lembaga ini yang telah berkecai juga diperiksanya dengan teliti.

"Ia adalah sebuah cyborg!" getusnya dengan wajah terkejut. "Bukan dari jalur masa kita."

"Maksud kau?" tanya Eva kehairanan.

"Teknologi ini terlalu jauh ke hadapan." Aku menjelaskan kepada Eva. "Ini bermakna Daevas telah menjelajah ke masa hadapan lalu membawa pulang teknologi-teknologi seperti ini." Jelasku lagi. Mungkin Daevas sudah mula sedar mereka tidak boleh mengharapkan lagi perkhidmatan Frère Maçon yang seringkali lalai ketika melakukan tugas mereka.

"Lembaga yang dihantar Daevas ini digunakan untuk menggantikan tempat Asaeda. Ia akan terus melalukan tugasnya nanti tanpa melaporkan tentang penemuan-penemuan penting yang sepatutnya dilaporkan oleh Asaeda nanti kepada pegawai perisikannya." Ujar Ivana dengan wajah risau. Kini Asaeda sudah mati. Walaupun apa yang berlaku, sejarah tetap akan berubah.

"Jadi apa yang dapat kita lakukan?" tanya Eva pula. Dia membaringkan tubuh lembaga tidak berkepala ini ke tepi katil.

"Bawa mayat Asaeda ke sini." Perintahku sambil meraba-raba daguku.

Eva dan Ivana mengangkat mayat Asaeda yang telah disimpan di dalam sebuah almari kosong di tingkat bawah, lalu dibawa ke tingkat atas.

Aku memeriksa mayat Asaeda. Aku mendapati dia mungkin telah dibunuh pagi tadi.

"Kita mungkin perlu menggunakan prototaip SDN-z yang telah berjaya kita programkan kepadanya." Aku sebuah kotak kecil berwarna hitam yang aku simpan di dalam salah sebuah beg kecil di talipinggangku. Kotak kecil itu terbuka dengan perlahan apabila aku menekan butang merah di atas kotak tersebut. Sistem penyejukan mikro di dalam kotak itu menyebabkan tiub picagari yang aku keluarkan terasa sejuk.

"Tapi prototaip ini belum pernah dicuba!" Eva memandang kepada bahagian dahi Asaeda yang ditembusi peluru itu.

"Tak apa... Kita boleh jadikan dia bahan uji kaji kita." Jawabku tanpa teragak-agak.

Apabila Asaeda sedar nanti dia tidak akan tahu bahawa dirinya pernah mati buat seketika. Dia akan terus melakukan pekerjaannya ini seperti sedia kala. Prototaip SDN-z ini akan sekadar menggantikan sel-selnya yang mati dan digantikan dengan baru. Apabila Asaeda sedar kelak, dia akan mempunyai kemahuan untuk makan daging mentah yang segar dan berdarah, tetapi mungkin itu sahaja yang akan diketahuinya.

SDN-z prototaip ini telah diprogramkan agar tidak sensitif terhadap cahaya ultralembayung serta ia akan musnah dengan sendirinya dalam masa 2 tahun. Selepas itu, ia akan terus diserap oleh tubuh Asaeda dan diganti dengan sel-sel darah merah biasa. Asaeda mungkin tidak akan sedar bahawa di dalam masa itu dua tahun ini, tubuhnya akan dipenuhi oleh mesin-mesin mikroskopik ini atau kenapa dirinya terlalu hauskan darah.

Aku menyuntik tubuh dingin Asaeda dengan tiup picagari yang terkandung SDN-z ini di tanganku. Tidak sampai seminit, SDN-z menjalankan tugasnya dengan menutup luka di kepala Asaeda. Eva dan Ivana aku lihat sibuk cuba mengemaskan bilik tidur Asaeda yang berselerak itu. Aku pula mengangkat cyborg serta cebisan yang telah aku musnahkan tadi lalu membawanya ke tepi pantai di belakang banglo yang didiami Asaeda. Di sana, aku telah menggunakan sebuah alat khas yang kelihatan seperti sebuah kiub kecil yang akan mengeluarkan berjuta-juta mesin nano yang menyerupai SDN yang akan melenyapkan bukti bahawa cyborg ini pernah wujud di dalam titik ruang dan waktu ini. Mesin-mesin mikroskopik ini akan memecahkan dan memusnahkan sel-sel organik dan logam cyborg ini sehingga ia berubah menjadi abu.

Apabila aku kembali ke bilik Asaeda. Aku dapati biliknya itu kelihatan seperti sedia kala. Tubuh Asaeda diletakkan seperti dia sedang tertidur dengan kepalanya di letakkan di atas meja. Aku meletakkan tanganku di atas kepala Asaeda. Aku memadamkan segala memorinya tentang pencerobohan cyborg yang menyerupai dirinya ke rumahnya yang telah datang membunuhnya pada pagi tadi.

Pada esok pagi Asaeda akan bangun dari tidurnya tanpa mengesyaki apa-apa.

Kerja kami kini selesai. Kami boleh pulang pada malam ini juga.

*

Apabila kami sampai ke stor di belakang kabaret New World, kami mendapati pintu stor terbuka dengan seorang lelaki sedang menunggu diluar. Wajahnya nampak risau.

Aku terus mengarahkan Eva dan Ivana supaya berhati-hati. Dengan sepantas kilat kami masuk ke dalam stor agak kelibat kami tidak dapat dilihat oleh lelaki tersebut.

Aku dapat melihat Eva dan Ivana terus mendapatkan toyol kesayangan mereka. Mereka ingin memastikan ia berada di dalam keadaan selamat. Aku pula pada waktu itu cukup terperanjat melihat kelibat Damak di dalam bilik stor.

Tiba-tiba toyol yang sedang didokong Eva lesap di tangannya lalu muncul di hadapan Damak. Ia seolah-olah mahu bermain dengan Damak. Aku mengeluh lesu. Toyol ini ternyata telah membuat tugasku semakin sukar.

Aku tidak mempunyai pilihan lain, selain dari menghadapi Damak. Eva pula aku tugaskan untuk membuka vorteks wormhole agar kami dapat pulang dengan secepat mungkin pada malam itu.

Damak ingin bersengketa denganku. Tetapi aku sememangnya tidak ada masa untuk melayan kerenahnya, lantas aku mengeluarkan kiub eksotermik untuk kugunakan terhadapnya bagi memastikan agar aku dapat melepaskan diriku dari genggamannya.

Apabila tiub eksothermik itu mengeluarkan cahaya yang terang, kami bertiga cepat-cepat masuk ke dalam wormhole untuk pulang ke dunia kami. Akhirnya aku dapat menarik nafas lega... Atau sekurang-kurangnya itulah yang aku fikirkan pada ketika itu!

*

Apabila kami bertiga keluar dari wormhole, kami mendapati bunyi amaran masih lagi kedengaran, diikuti dengan satu gegaran gelombang kuantum yang menyebabkan beberapa peralatan di dalam makmal bergegar dan ada yang terjatuh di atas lantai. Pecah.

"Apa yang telah berlaku?" tanyaku kepada Dr. Wildstein. Tangannya masih berpaut kepada mesin Geiger dengan erat.

"Dunia di luar kita telah pun berubah." Jelasnya dengan wajah bimbang.

"Tapi kita telah memastikan agar Asaeda terus hidup!" ujar Eva yang cuba menahan rasa sebaknya meninggalkan toyol kesayangannya pada tahun 1939 di Malaya.

"Nampaknya kita silap." Ujar Dr. Cuomo. Dia membaca analisis sejarah yang dikeluarkan oleh mesin Geiger. "Mereka bukan sahaja membawa cyborg ke tahun 1939, tetapi mereka telah menukar struktur mesin kriptografi JN-25."

"Apa?" Ivana seperti tidak percaya apa yang didengarnya. Dia mula mahu menyalahkan dirinya kerana tidak membuat sebarang imbasan terhadap mesin yang digunakan Asaeda itu.

"Mereka telah memprogramkan mesin itu untuk menghantar informasi yang telah mereka sediakan terlebih dahulu. Jadi apa yang berlaku... Asaeda akan kelihatan seolah selama ini dia hanya menghantar informasi-informasi remeh tentang keadaan pasang surut di Malaya dan sebagainya. Langsung tidak ada apa-apa maklumat penting tentang kewujudan Johor Battery mahupun maklumat paling mutakhir tentang pangkalan tentera British di Sembawang." Dr. Cuomo menjelaskan. Dia terus menganalisis informasi-informasi baru yang baru diterimanya dari mesin Geiger.

"Singapura tidak dibom Amerika." Ujar Aliya dengan perlahan kepadaku. Kemudian katanya. "Ini bermakna, Hanim tidak mati... Kerana peristiwa pengeboman Singapura tidak akan berlaku, Awang."

Tubuhku kaku mendengarkan kalimah-kalimahnya itu. Makmal ini yang telah dilindungi dengan medan kuantum ini adalah satu-satunya tempat yang aku tahu yang menyimpan jalinan sejarah kepada satu dunia yang kini langsung berubah perjalanan peristiwanya di atas kami.

posted by Nizam  # 2:58 PM

Thursday, February 24, 2005

Awang Vampiro: Buku III. Bab 4

Aku keluar dari stor yang terletak di bahagian bawah kabaret New World. Aku menghidupkan fungsi medan hologram supaya menampakkan diriku berpakaian kot serba putih.

"Kita perlu ke mana malam ini?" tanya Ivana kepadaku. Dia nampak anggun dengan gaun malam yang dipakainya. Begitu juga Iva. Dari dalam stor yang gelap itu kami dapat mendengar beberapa anggota muzik yang sedang menguji alat muzik mereka sebelum kabaret ini dibuka sebentar lagi.

Kami bertiga berjalan menaiki tangga, lalu membuka pintu stor. Suasana di taman rekreasi New World agak meriah. Aku dapat mendengar suara-suara gembira mereka yang datang ke taman rekreasi untuk bersuka-suka dari bahagian belakang dewan kabaret ini.

"Malam masih muda lagi." Kataku sambil memandang ke ufuk barat. Cahaya matahari kelihatan kelam di sana. Mataku ke kiri dan ke kanan seolah mencari sesuatu.

"Kenapa kita ke sini?" tanya Iva. Dia dapat melihat diriku yang langsung tidak dapat menumpukan perhatianku kepada misi kedua kami ini. Tentu dia mahu tahu mengapa aku telah mengarahkan mesin Geiger supaya membuka wormhole lalu membawa kami ke destinasi ini.

"Aku perlu mencari seseorang yang lama tak aku temui..." jawabku perlahan.

"Siapa?" tanya Eva.

"Hanim namanya..."

"Seorang vampiro?"

"Bukan." Jawabku pendek. Aku tidak mahu menjelaskan lagi kepada mereka. Hal ini merupakan satu perkara yang agak peribadi bagiku.

Eva tersenyum sinis ke arah Ivana. Kemudian Eva memegang erat lenganku lalu menyandarkan kepalanya ke bahuku. Kami berjalan sehingga kami tiba di kawasan pintu gerbang New World. Beberapa orang kanak-kanak dapat kulihat mengunyah gula kapas berwarna merah jambu. Wajah mereka jelas bahagia. Aku menarik nafasku panjang-panjang. Aku pasti jika mereka masih berada lagi di Singapura selang beberapa tahun akan datang, mereka semua akan mati - mereka dan seluruh anggota keluarga mereka akan menjadi mangsa bom atom yang akan dijatuhkan ke Singapura nanti.

Tugasku kali ini adalah untuk memastikan agar perkara ini akan berlaku. Aku perlu memastikan agar sejarah tidak akan ditukar sesuka hati oleh Daevas. Singapura perlu musnah bersama beratus ribu penduduknya, termasuk Hanim.

Sememangnya tugasku kali ini memang sukar. Aku serba salah jadinya.

Di hadapan New World, aku menahan sebuah teksi yang sedang dipandu oleh seorang lelaki Cina berwajah ceria. Pemandu teksi ini keluar dari teksinya lalu membuka pintu teksi untuk Eva dan Ivana. Aku duduk di bahagian hadapan teksinya.

"Mahu ke mana, tuan?" tanya si pemandu teksi kepadaku sebaik sahaja aku duduk di dalam teksi.

"Raffles Hotel." Aku menjawab sambil memandang ke arahnya. Si pemandu teksi mengangguk cepat.

Tatkala itulah aku dapat melihat kelibat Hanim keluar dari sebuah teksi yang telah disewanya. Hanim sedang memakai baju kebaya ketat dengan sehelai selendang yang diletakkan di bahunya. Dia kelihatan anggun.

Aku dapat melihat wajah Hanim sedikit terganggu. Dia memandang ke kiri dan ke kanan, seolah mencari sesuatu. Teksi yang aku naiki terus bergerak dari Jalan Besar ke arah Beach Road.

"Cantik orangnya," ujar Ivana kepadaku. "Itu pasti Hanim, bukan?"

"Ya... Hanim memang cantik orangnya." Kataku perlahan. Kemudian aku menoleh ke arah kembar Eva dan Ivana. Aku dapat membaca apa yang sedang mereka fikirkan pada waktu itu. Mereka sedang memikirkan tentang keadaan diri mereka dan keluarga mereka yang pada saat yang sama sedang berada di Budapest.

"Tentera Nazi akan menyerang Poland beberapa hari sahaja lagi." Kataku perlahan kepada Eva, kepada peristiwa penting yang akan berlaku pada titik ruang dan waktu kami jelajahi ini.

"Ya... Aku tahu." Jawabnya. Dia memegang tangan Ivana dengan erat.

Aku termenung jauh. Kemudian aku melepaskan kalimah-kalimah yang aku ambil dari sajak bertajuk September 1, 1939 oleh W.H. Auden:

"I and the public know. What all schoolchildren learn. Those to whom evil is done. Do evil in return."

"Kau merujuk kepada dirimu atau kami?" tanya Ivana dengan keningnya ternaik tinggi. Mulutnya mencebik ke tepi.

"Kepada kita semua..." Jawabku sambil menjeling. Aku memikirkan tentang Auden yang pernah aku temui melalui sahabatku Christopher Isherwood tatkala aku berada di Berlin. Auden adalah di antara penyajak yang paling aku sayangi dari abad ke-20.

"Kau berada di Berlin pada masa ini?" tanya Eva yang sememangnya tidak mengetahui tentang hal ini langsung dariku.

"Tidak... Aku berada di Berlin pada awal tahun 1930-an. Kemudian aku mengambil keputusan untuk berpindah ke Bali pada tahun 1937 setelah aku jatuh cinta kepada lukisan-lukisan Walter Spies yang pernah aku lihat di Berlin."

"Tapi mengapa?" tanya Ivana.

"Mengapa tidak?" tanyaku kembali sebelum menambah lagi: "Tapi aku masih terus berhubung dengan rakan-rakanku di Berlin. Lagipun, siapa yang kau fikirkan telah mengarahkan Vampiro Möllemann supaya pergi menemuimu dahulu?" tanyaku dengan suara sinis. Sememangnya beberapa kertas kajian tentang Eva dan Ivana yang telah dikumpulkan oleh para saintis Nazi akhirnya pindah ke tangan Illuminati sebelum mereka kemudiannya diberitahu kepadaku tentang kewujudan kembar istimewa ini.

Aku lihat Eva dan Ivana saling berpandangan. Kemudian Ivana menyentuh bahuku dari belakang sambil membisikkan ucapan terima kasih mereka kepadaku.

Teksi yang kami naiki berhenti di hadapan Hotel Raffles. Seorang lelaki berbangsa Sikh dengan pakaian uniform yang nampak segak membuka pintu teksi yang kami naiki. Lelaki Sikh itu mengucapkan selamat datang kepada Eva dan Ivana sebelum tertunduk hormat kepadaku.

"Buat apa kita ke sini?" tanya Ivana kepadaku. Matanya kini terus kepada bahagian hadapan bangunan Hotel Raffles yang telah dicat putih ini.

"Kita akan menetap di sini... Sementara itu, kita perlu bertemu dengan seorang rakanku, James Pearson-"

"Seorang Illuminati?" Eva cuba meneka.

"Ya. Juga seorang perisik British." Aku menjawab sambil berjalan masuk ke dalam Hotel Raffles. Apabila kami tiba di sebuah veranda yang kosong, aku memprogramkan sesuatu ke dalam sistem komputerku, lantas medan hologram merubah rupa serta bentuk Eva dan Ivana menjadi dua orang lelaki Inggeris yang berusia di sekitar 30-an.

Eva dan Ivana saling berpandangan. Mereka tersenyum, lalu melangkah masuk ke dalam sebuah kedai minuman yang terdapat di hotel ini.

"Tak molek jika aku dilihat membawa wanita masuk ke dalam Long Bar ini." Aku memberitahu. Kemudian aku memandang ke arah seorang lelaki berbangsa Serani yang sedang bertugas sebagai pelayan yang pada ketika itu sedang berhenti berdiri di hadapan kami.

"Kami ingin menemui encik Pearson. Dia selalunya duduk di sana... Oh itu pun dia." Kataku, sambil menudingkan jariku ke arah Pearson yang sedang duduk di tempat biasanya di tepi tingkap.

Aku mendapati Pearson sedang duduk bersama seorang rakannya - seorang lelaki berbangsa Scotland yang mempunyai sebuah ladang getah di Batu Pahat.

Wajah Pearson pucat apabila dia melihat kelibatku di sini. Dia terus memberitahu rakannya bahawa dia mempunyai hal yang penting yang perlu dibincangkan dengan kami. Rakannya, terus meninggalkannya tanpa memandang ke arah kami bertiga.

Keadaan di dalam Long Bar agak nyaman pada malam itu. Lebih-lebih lagi dengan adanya kipas anyaman yang di letakkan di bahagian siling lalu digerakkan ke kiri dan ke kanan. Rata-ratanya, pengunjung Long Bar berbangsa Eropah. Ada di antara mereka adalah pegawai-pegawai British seperti Pearson yang bertugas di Singapura dan ada pula yang terdiri dari pelancong asing yang datang singgah ke koloni British ini.

Pearson memanggil seorang pelayan berbangsa Cina yang dikenalinya dengan nama Boon, lalu memintanya membawa tiga gelas Singapore Sling dan segelas Whisky - walaupun dia tahu aku seorang vampiro yang tidak mungkin dapat minum apa dipesannya.

"Bukan sekarang kau sepatutnya berada di Bali?" Tanya Pearson. Dia mengupas sebiji kacang tanah yang diletakkan di atas sebiji mangkuk di atas mejanya lalu dibuang isinya ke atas lantai. "Kalau tak salah aku, kau duduk di Ubud berdekatan dengan rumah si pelukis Walter Spies."

"Ya..." aku mengangguk perlahan. "Tapi aku ada hal di sini... Oh ya, ini rakan-rakanku, John dan Roger."

Pearson menghulurkan tangannya untuk bersalaman, tetapi Eva dan Ivana terus duduk kaku di atas kerusi rotan sekadar mengangguk. Pearson menarik tangannya lalu tersenyum tawar.

"Mereka juga vampiro sepertiku." Kataku perlahan kepada Pearson. Dia mengangguk mengerti. Sebagai seorang Illuminati, kesetiaannya hanya kepada vampiro seperti kami.

"Apa yang kau perlukan dari aku, Awang?" tanya Pearson. Dia terus menghabiskan air whisky di dalam gelasnya sebelum menunggu minuman whisky yang baru sahaja dipesannya sampai. Matanya kadangkala akan beralih kepada sekumpulan pegawai kerajaan British yang sedang duduk menghadap ke bar sambil ketawa berdekah-dekah sesama mereka.

"Kau tentunya tahu tentang kepentingan Malaya di mata British-"

"Ya, sudah tentu." Jawab Pearson dengan perlahan. Dia memastikan tidak ada sesiapapun yang mendengar kata-katanya. "Malaya mengeluarkan 38 peratus dari pengeluaran getah dan 58 peratus pengeluaran timah dunia. Koloni ini penting bagi kami."

"Kau pasti sudah mendengar desas-desus yang mengatakan tentera Nazi akan menyerang Poland tidak berapa lama lagi."

"Ya..."

"Jika perkara ini berlaku, pasti Perdana Menteri Neville Chamberlain akan mengisytiharkan perang terhadap Jerman."

"Mungkin juga..." Wajah Pearson nampak risau. Nafasnya turun naik dengan cepat. "Jadi apa bantuan yang ingin kau mahukan dari aku?"

"Maklumat... Itu sahaja."

"Maklumat tentang apa?"

"Tentang seorang jurutera pertanian dari Jepun bernama Asaeda."

"Kenapa dengan dia?"

"Dia sedang berada di Singapura... Kami perlu mencarinya sampai dapat."

"Beri aku masa untuk mendapatkan maklumat tentang dirinya."

"Kami tidak mempunyai banyak masa." Ujar Eva. Suara yang diluarkan diproses lalu kedengarannya keras menyerupai wajah medan hologram yang terpancar menyembunyikan wajahnya yang sebenar.

"Lusa aku akan kembali ke sini. Dapatkan maklumat tentang dirinya. Anggap permintaan ini satu permintaan paling penting yang kau pernah dapat sebagai seorang anggota Illuminati." Kataku dengan nada suara yang rendah. Pearson menelan air liurnya. Air yang dipesan kini telah pun sampai. Si pelayan bernama Boon itu terus meletakkan gelas-gelas minuman di atas meja.

Aku termenung memandang ke luar tingkap. Kemudian aku bersuara: "Kami terpaksa pergi dahulu."

Pearson mengangguk perlahan. Kami bertiga berdiri lalu meninggalkannya keseorangan di Long Bar sambil mengesat manik-manik penuh yang mula membasahi dahinya.

*

Kami bertiga telah ke Kampung Tanjung Irau. Kami telah ke sana berdasarkan maklumat yang telah diberikan oleh Pearson kepada kami. Katanya, Asaeda menetap di sebuah banglo di kawasan tersebut. Kononnya dia perlu membuat beberapa kajian tanah dan geologi di sana.

"Aku tidak faham bagaimana seorang manusia biasa sepertinya boleh menentukan perjalanan sejarah dunia." Eva seperti merungut ketika dia kubawa masuk ke dalam kawasan kampung yang terletak di utara Singapura ini.

"Semua orang telah ditentukan kedudukannya di dunia ini, Eva." Kataku sambil membiarkan Eva memaut ke bahuku ketika kami berjalan mendaki sebuah bukit kecil di atas jalan kampung di Tanjung Irau. "Ada pula mempunyai kedudukan yang lebih penting dalam perjalanan sejarah. Jika diubah perjalanan hidup mereka, maka akan berlakulah efek domino yang akan mengubah segala-galanya. Asaeda adalah di antara mereka ini. Sebab itulah Daevas akan melakukan sesuatu kepadanya untuk mengubah perjalanan sejarah masa depan."

"Jika mengikut perjalanan sejarah, pada masa ini Asaeda sedang melakukan kerja-kerja perisikan. Dia dikatakan sedang mengumpul informasi mengenai pantai di kawasan utara Singapura serta Malaya dan pasang surut laut di sini." Aku memberitahu apa yang telah kupelajari dari Asaeda yang telah diberikan terlebih dahulu oleh Dr. Cuomo kepadaku.

"Tak kan itu sahaja?" tanya Ivana seperti tidak percaya. Pasti dia memikirkan ada udang di sebalik batu, mungkin itulah yang difikirnya di dalam hati.

"Banyak perkara tentang dirinya yang tidak kita ketahui, kerana dia seorang perisik. Tapi apa yang jelas kita ketahui sekarang adalah penemuannya kepada kerja-kerja awal membina 'Johore Battery'" Aku menjelaskan kepada Eva dan Ivana dengan suara yang perlahan. Lalu kataku lagi: "Di dalam prosesnya membuat kerja-kerja perisikan, dia akan mendapat tahu tentang niat British ingin membina sebuah kubu pertahanan rahsia bawah tanah di Changi yang akan dibina beberapa bulan dari sekarang. Terowong-terowong akan dibina untuk menyimpan peluru yang akan digunakan untuk meriam 15-inci yang akan digunakan untuk mempertahankan Singapura dari serangan Jepun. Perlengkapan meriam-meriam gergasi ini merupakan yang terbesar dibina di luar Britain.

"Pihak Jepun akan menggunakan hasil perisikan Asaeda untuk menyekat pihak Tentera British dari memusnahkan meriam sepanjang 16.5 meter dan beratnya 373 tan ini. Seterusnya, dengan segala kelengkapan tentera yang mereka berjaya rampas dari pihak British, pihak tentera Jepun menggunakan kelebihan ini untuk memperkuatkan lagi kedudukan mereka bukan sahaja di Asia, tetapi di medan perang Pasifik dengan Singapura menjadi pusat ketenteraan Jepun yang paling besar di luar Jepun."

"Bagaimana agaknya dia dapat mengorek rahsia ini dari pihak British?" tanya Eva. Matanya memandang ke tepi, seolah-olah dia dapat melihat sesuatu yang sedang bergerak di dalam semak.

"Ada yang mengatakan dia mendapat tahu hal ini dari pihak pentadbiran kerajaan Johor yang telah memberitahunya bahawa Sultan Johor telah menyumbangkan sebanyak £500,000 untuk menyokong kempen perang British. Itu salah satu teori ahli sejarawan perang, kerana dia banyak menghabiskan masanya di Johor Baru selepas dia menghabiskan masanya di Singapura." Beritahuku dengan panjang lebar. Aku berhenti apabila aku dapat melihat kelibat seorang anak kecil dengan tubuh pucat kehijauan. Matanya putih tanpa anak mata.

"Apa ni?" tanya Eva kehairanan. Dia mencekak pinggangnya.

"Dia suka kepada kau." Iva memerli sambil tersenyum.

"Di daerah ini kita mengenali lembaga ini dengan nama toyol." Aku memberitahu mereka berdua. Mata mereka bulat memandang ke arah toyol tidak bernama ini mata yang bulat. Mereka mungkin menganggap toyol ini comel.

"Banglo yang didiami oleh Asaeda letaknya di sana." Ujar Eva memeriksa kembali peta 3D yang dipancarkan melalui sebuah konsol kecil yang sedang dipegangnya. "Dia sedang berada di dalam banglo itu seorang diri." Katanya kemudian setelah menganalisis hasil penelitian yang dilakukan dengan menggunakan alat khasnya itu.

Aku memandang kepada banglo yang dikatakan dipunyai oleh seorang doktor gigi berbangsa Jepun. Banglo yang terpencil ini telah dibina menghadap ke arah selat Johor itu. Lokasinya agak strategik untuk dijadikan tempat pengintipan untuk mengkaji kawasan geografi di kawasan utara Singapura ataupun di selatan Johor. Lagipun, tempat ini letaknya agak berdekatan dengan pangkalan tentera laut British yang telah dibina di sebuah tapak di Sembawang yang sahaja siap pembikinannya pada tahun 1938.

"Fuck!" getus Eva.

"Kenapa?" tanya Ivana kehairanan.

"Konsol aku dicuri!"

"Kau ni lalai sangat lah!" Ivana mencekak pinggang. Sukar untuk dia menerima bahawa Eva boleh lalai begitu.

"Konsol aku dicuri toyol!" Eva menudingkan jarinya kepada lembaga kecil di hadapanku. Sememangnya toyol itu sedang memegang konsol Eva. Kerja memang mencuri. Apabila aku ingin menangkapnya, dia tiba-tiba sahaja hilang lalu muncul di belakangku pula.

"Kita tak boleh biarkan dia curi konsol kita ni!" Ivana mengejar toyol itu yang sekejap muncul dan sekejap pula hilang. Aku pula hanya mampu menggelengkan kepalaku.

"Kita perlu mencari tuannya." Kataku dengan suara tenang.

"Di mana tuannya?" tanya Eva tergesa-gesa.

Aku mencium udara di sekelilingku. Kemudian kataku setelah diriku terapung beberapa meter di udara:

"Ikut aku."

Aku terbang ke arah rumah tuan toyol ini. Eva dan Ivana mengejarku dengan berlari secepat mungkin.

Kami tiba di sebuah rumah kecil yang terletak jauh dari kelompok rumah-rumah kampung di Tanjung Irau. Aku terus memecahkan pintu rumah ini lalu masuk ke dalam rumah.

Di dalam rumah aku dapat melihat seorang dukun tua yang sedang memegang konsol yang telah dicuri oleh toyolnya tadi. Dia nampak terkejut melihat kehadiranku bersama Eva dan Ivana menceroboh masuk ke dalam di rumahnya.

"Siapa kau semua?" tanya dukun tua itu dengan angkuh. "Berani kau masuk ke rumah aku!"

"Pulangkan semula barang kami yang kau curi itu." Perintahku dengan suara tenang.

"Apa kau dah gila minta aku pulangkan benda ini kepada kau."

"Jangan buang masa kami... Kami tak ada masa untuk melayan kerenah kau." Kataku mendekatinya. Dia mengeluarkan sebilah keris yang aku pasti telah dicurinya juga. Konon-kononnya keris itu mempunyai kuasa untuk melindunginya.

Apabila aku mendekatinya, dia terus menikamku dengan kerisnya. Kerisnya tidak dapat menembusi medan kuantum yang melindungi tubuhku. Malah, bahagian keris yang menyentuh tubuhku hilang entah ke mana.

"Siapa kau sebenarnya?" tanya si dukun tua dengan suara terketar-ketar. Dia kini mula sedar bahawa aku bukannya manusia biasa yang berani melawannya pada malam itu.

"Segala ilmu yang kau ada tak mungkin dapat kau gunakan untuk menumpaskan aku, wahai manusia." Ujarku sambil berjalan mendekatinya. Kemudian dengan sepantas kilat aku mengambil kembali konsol yang dicurinya itu dari tangannya. Aku serahkan konsol tersebut kepada Eva.

"Jangan apa-apakan aku!" getus si dukun tua terketar-ketar. Dia mungkin sudah dapat mencium bau kematiannya sendiri. Atau mungkin dia ketakutan melihat perubahan di wajahku yang berubah bengis menampakkan taringku yang tajam.

Aku tidak tahu jika aku perlu membunuhnya atau sebaliknya. Tetapi belum sempat aku dapat membuat apa-apa, aku lihat si dukun tua ini memegang bahagian dadanya dengan genggaman yang kuat. Tubuhnya kejang. Kemudian dia rebah ke lantai. Dia diserang sakit jantung.

Toyol kepunyaan si dukun tua terus memeluk tuannya. Dia menangis keseorangan. Kini dia tidak bertuan lagi.

Eva memegang tangannya, kemudian mendukung toyol tersebut.

"Kau bawa dia ke kabaret New World... Simpan dia di sana." Aku menyarankan dengan suara malas. "Aku tak nak dia buat kacau di sini. Huru-hara jadinya nanti. Nanti fasal dia, rosak rancangan kita di sini."

Eva mengangguk sambil tersenyum. Aku menyuruhnya membawa toyol yang didokongnya itu kembali ke kereta yang telah kami sewa. Aku dan Ivana pula kembali menyiasat di banglo yang didiami Asaeda.

Setibanya kami di sana, kami mendapati Asaeda sedang berada di dalam biliknya. Dari jauh, kami dapat melihatnya menaipkan sesuatu ke dalam sebuah mesin. Ivana cepat-cepat menggunakan komputernya untuk membaca apa yang cuba dihantar oleh Asaeda.

"Dia menggunakan sistem kriptografi JN-25. Sistem kod yang digunakan ketika pihak tentera Jepun menyerang Pearl Harbor." Ivana memberitahuku, sewaktu membaca apa yang cuba disampaikan oleh Asaeda. "Dia sedang menghantar maklumat tentang jumlah lori yang keluar masuk ke dalam pangkalan tentera laut British di Sembawang yang disyakinya membawa kelengkapan senjata."

"Itu sahaja?" tanyaku meminta kepastian.

"Ya."

"Jadi kau rasa... Apa yang akan dilakukan oleh Daevas untuk mengubah perjalanan sejarah jika Asaeda menjadi tumpuan mereka?" tanyaku kepada Ivana.

"Aku sendiri tidak pasti... Mereka juga menggunakan teknologi medan kuantum untuk melindungi diri mereka dari dikesan, jadi sukar untuk aku meneka apa yang akan mereka hantar kepada agen-agen Frère Maçon di ruang dan waktu ini."

Kami berdua kebingungan. Mungkin kami terpaksa menunggu beberapa hari lagi apabila Polan akhirnya diserang dan ditakluk tentera Nazi, lalu Perdana Menteri Britain, Neville Chamberlain akan membuat pengisytiharan bahawa negaranya berperang dengan Jerman.

Mungkin pada waktu itu, misi kami akan menjadi lebih jelas lagi, lantas tindakan yang betul dapat kami ambil sebelum kami boleh pulang ke makmal kami di Paris.

posted by Nizam  # 4:29 PM

Tuesday, February 22, 2005

Awang Vampiro: Buku III. Bab 3

Pada malam itu malam itu bulan mengambang penuh. Angin pula bertiup kencang. Mataku terus ke arah bangunan-bangunan pencakar langit di Singapura dari atas bumbung blok 116 yang terletak di Lorong 2, Toa Payoh itu.

Aku terus memandang ke hadapan. Bangunan-bangunan yang aku lihat tersergam jauh di bahagian selatan Kota Singapura ini semuanya telah dibina selepas Perang Dunia Kedua.

Pada saat-saat akhir Peperangan Dunia Kedua, Amerika telah menjatuhkan bom atom ke kota Singapura. Hampir tiga perempat penduduk di Singapura mati dalam sekelip mata. Kubu serta penempatan Jepun yang terbesar di luar Jepun juga berjaya dimusnahkan di dalam masa yang sama.

Ketika itu, bangunan-bangunan di kota Singapura semuanya lenyap musnah seperti padang jarak padang tekukur, gamaknya. Bom atom itu telah dijatuhkan di daerah Victoria Street pada pukul 4.44 petang, 14 September1944.

Hanim adalah di antara mereka yang terkorban di dalam tragedi ini. Satu perkara yang benar-benar menghantui diriku sehingga ke hari ini. Aku kurang pasti siapa harus aku salahkan di dalam hal ini. Kerana pada waktu itu, aku cukup sedar bahawa Damak terpaksa meninggalkan Hanim di Singapura apabila dia terpaksa ke Siam untuk melarikan dirinya dari terus diburu oleh tentera-tentera Jepun. Aku sepatutnya pergi sendiri mencari Hanim di Singapura lalu membawanya pulang bersamaku ke Bali. Tapi perkara ini ternyata tidak aku lakukan demi menghormati kehendak Damak yang tidak mahu aku mendekati Hanim lagi.

Kini Hanim tiada lagi di dunia ini... Aku benar-benar merindukannya.

Aku dapat mencium bau Aliya. Dia nampaknya tidak menyedari tentang kehadiranku. Aku akhirnya membiarkan dirinya dapat melihat kehadiranku yang sedang berdiri di tepi bahagian bumbung flat setinggi 20 tingkat ini.

Kami bersemuka lalu berbual. Aku mendapati Aliya ini cukup-cukup lucu orangnya. Mahu sahaja aku berdekah-dekah mendengar jawapan-jawapan yang terkeluar dari mulutnya, tetapi aku terus mengawal diriku dari ketawa lalu menampakkan wajah yang serius.

Pada mulanya memang Aliya langsung tidak dapat menerima hakikat bahawa dia telah dilahirkan ke dunia ini sebagai seorang orakel. Aku akhirnya memberitahu kepadanya tentang hakikatnya sebagai seorang anak angkat.

Tapi pada malam itu aku tidak sempat menceritakan kepada Aliya apa yang akhirnya dapat dikorek oleh Eva tentang latar belakangnya. Ibu dan bapanya telah meninggalkan Aliya kepada sebuah keluarga di Segamat beberapa minggu sebelum diri mereka diburu lalu dibunuh. Aku pasti perkara ini telah dilakukan di atas perintah Daevas yang cuba mengubah perjalanan sejarah. Menurut tulisan kumpulan Illuminati di dalam siasatan yang telah dilakukan mereka, kedua ibu dan bapa Aliya telah mati dengan keadaan misteri dengan diri mereka ditembak dengan peluru yang hilang di dalam tubuh mereka. Mereka pasti telah dibunuh dengan pistol berpelurukan air batu, sejenis teknologi yang datangnya dari dunia dari masa depan.

Mereka dapat memburu ibu dan bapa Aliya tetapi sehingga ke hari ini mereka masih lagi tidak dapat menemui orakel muda ini.

Jadi pada malam itu, aku telah mengeluarkan pisau secespita, lalu kutoreh tanganku sebelum pisau itu aku gunakan untuk menikam perut Aliya lalu kutolak tubuhnya sehingga jatuh dari bumbung flat.

Mayatnya terkulai di atas lantai. Mati. Mesin-mesin mikrosopik SDN memulakan tugas mereka dengan menggantikan sel-sel yang mati dengan sel-sel hidup yang disintesiskan. Dalam masa kurang 24 jam lagi, Aliya akan dilahirkan semula sebagai seorang vampiro. Tubuhnya akan terus hidup walaupun mungkin... Ya, mungkin rohnya sudah bercerai dari tubuhnya.

*

Pada malam itu aku membawa Aliya masuk ke dalam wormhole yang aku buka untuk kembali ke Paris pada tahun 2061.

Apabila aku keluar dari wormhole aku mendapati riak wajah para saintis illuminati serta vampiro yang ada di dalam makmal adalah sama seperti ketika aku masuk ke dalam wormhole beberapa hari yang lalu.

Bagi mereka, dapat melihat kelibat aku, Eva dan Ivana masuk ke dalam wormhole, lalu tak sampai sesaat kemudian, kami keluar dari wormhole yang sama membawa Aliya keluar bersama kami.

Mereka semua nampak terkejut. Terdiam buat seketika. Ada di antara para saintis terus menganalisis maklumat yang dikumpul kami yang terus dimuat turun ke dalam mesin Geiger. Beberapa saat kemudian, barulah mereka sedar bahawa kami sebenarnya telah pun melaksanakan misi pertama kami dengan berjaya. Mereka semua bertepuk tangan lalu mengucapkan tahniah kepadaku.

"Kita tidak boleh terlalu gembira... Mereka telah pun berjaya merentas masa." Ujarku kepada mereka dengan suara serius. Wajah-wajah mereka yang sedang berada di dalam makmal terus berubah.

"Sehingga kini, belum ada perubahan ketara di dunia luar." Ujar seorang vampiro yang sedang menganalisis realiti ruang dan waktu di Paris pada ketika itu.

"Keadaan ini tidak mungkin akan berkekalan." Kataku, lalu memberi isyarat kepada Dr. Wildstein supaya mematikan fungsi medan kuantum yang melindungi makmal ini dari dunia luar lalu menyambungkan makmal ini ke bangunan induk.

Aliya memegang lenganku dengan erat. Fikirannya masih bingung. Sesekali dia akan menoleh lalu memandang ke arah Eva dan Ivana yang sedang dibantu oleh beberapa orang saintis muda yang cuba mengeluarkan peralatan-peralatan khas yang telah disambungkan ke pakaian mereka.

"Di mana kita sekarang?" tanya Aliya kepadaku. Matanya memandang kepada sfera besar yang dapat dilihatnya melalui dinding cermin makmal ini.

"Di Paris, lebih 150 meter di bawah tanah. Tahun 2061." Aku menjelaskan. Beberapa orang vampiro sedang memandang kepadanya dengan wajah penuh hormat. Mereka menundukkan kepada mereka sebaik sahaja Aliya memalingkan wajahnya ke arah mereka.

"Mereka semua vampiro seperti kau, Awang?" tanya Aliya kepadaku. Dia ternyata dengan cepat terus memperoleh kebolehan untuk membaca fikiran makhluk-makhluk di sekelilingnya.

"Ya... Kau juga kini seorang vampiro."

Aliya mengeluh. Aku tahu sukar untuk dia menerima kenyataan ini. Dia tahu dia telah pun mati. Tetapi aku yakin, dia merasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan nasib umat manusia dan bumi yang akan dikuasai mesin-mesin mikroskopik SDN melalui hos mereka, kaum Daevas nanti.

"Mungkin kau perlu berehat."ujar Lilith yang bertubuh tinggi dan mempunyai wajah yang menakutkan itu. Mata Aliya terbeliak melihat makhluk aneh yang sedang berdiri di hadapannya itu. Dia hampir-hampir mahu pengsan kerana ketakutan. Genggaman jarinya kepada lenganku semakin kuat.

"Siapa dia ni?" bisik Aliya kepadaku.

"Oh, ini Lilith. Sahabat lamaku. Seorang bangsa Daevas."

"Hah?"

"Kau pernah membaca buku Chariots of the Gods oleh Erich Von Daniken?" tanyaku kepada Aliya kerana aku tahu dia minat membaca. Itulah sahaja hobi yang dia ada dan yang telah dilakukannya sejak kecil. Aku tahu dia suka membaca kerana itulah satu-satunya cara untuk dia membawa dirinya jauh dari realiti sempit yang menggamit hidupnya.

"Tidak... Tapi aku tahu apa yang ditulisnya. Tentang makhluk dari planet lain yang datang ke bumi untuk membina tamadun-tamadun awal di bumi."

"Secara kebetulan, teori Erich Von Daniken ternyata ada betulnya."

"Jadi... Lilith bukan berasal dari bumi?" wajah Aliya kehairanan. Matanya terus kepada Lilith.

"Bukan." Jawabku sambil tersenyum.

Lilith menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Aliya. Dengan ragu-ragu Aliya memegang tangan Lilith yang keras menggerutu itu lalu menyambut salamnya. Dengan cepat dia dapat membaca isi hati Lilith. Dia kini sedar bahawa Lilith mempunyai hati yang baik. Dia ikhlas mahu membantu dan menyelamatkan manusia, walaupun dia sedar bahawa apa yang dilakukannya ini seperti mengkhianati kaumnya sendiri.

"Kau tidak mengkhianati mereka... Kerena tubuh mereka telah dipergunakan seperti boneka." Lilith tiba-tiba bersuara. Dia tertunduk ke lantai. Dia tidak tahu apa yang disebutkannya.

"Ya, aku tahu. Itulah yang aku cuba terapkan kepada diriku dari masa ke semasa. Sebab itulah aku mahu membantu umat manusia." Lilith menjawab. Wajah 'exoskeleton'nya nampak kaku. Tanpa kebolehan Aliya membaca fikiran Lilith, dia tidak mungkin dapat membaca perasaan Lilith yang agak sedih itu.

"Kau perlu berehat." Kataku kepada Aliya apabila matanya memandang kepada keadaan di dalam makmal, lebih-lebih lagi ke arah mesin yang akan digunakannya kelak. Dia seperti sudah tahu akan tugas yang perlu dilakukannya tanpa aku perlu menjelaskan kepadanya dengan lebih lanjut lagi.

"Tidak... Mungkin kita perlu memulakan tugas kita secepat mungkin!"

"Mengapa?"

"Mereka mahu melakukan beberapa perkara yang besar untuk mengubah sejarah." Kata Aliya seperti mencari sesuatu yang terlintas di dalam fikirannya.

Aliya melepaskan genggamannya ke lenganku. Dia berjalan ke arah mesin yang telah disediakan khas untuknya. Dia duduk di situ. Aku dapat melihat Dr. Wildstein terus bergegas mendapatkanku dari keadaannya yang sibuk menonton rakaman video yang telah dimuat turun dari pakaian yang dipakai Eva ke dalam mesin Geiger.

"Ajar dia bagaimana untuk menggunakan mesin ini." ucapku kepada Dr. Wildstein. Dia mengangguk cepat. Dia berjalan mendapatkan Aliya. Dengan suara yang perlahan dia mengajar Aliya cara-cara untuk menggunakan mesin ini. Aku dapat melihat Aliya mengangguk kepalanya berkali-kali tanda faham.

Dr. Wildstein mengenakan alat yang kelihatan seperti lintah itu ke kepala Aliya. Alat tersebut membuka 'mulutnya' lalu mencengkam ke permukaan kepala Aliya. Dr. Wildstein bertanyakan kepada Aliya jika dia selesa berkeadaan seperti ini. Aliya hanya mengangguk tanpa menambah kata-katanya.

"Jadi apa kau mahu buat sekarang?" tanyaku kepada Aliya dengan suara ingin tahu. Memang aku anggap budak Aliya ini pelik, satu perkara yang tidak aku jangkakan sama sekali sebelum ini. Semangat ingin tahunya terlalu tebal.

"Aku mahu menggunakan alat ini sekarang juga!"

"Kau masih lemah lagi... Lagipun kau tak tahu apa yang kau lakukan."

"Aku boleh belajar." Aliya menegaskan. Aku menggelengkan kepalaku lalu memandang ke arah Dr. Wildstein yang sedang mengesat peluh jantan di kepalanya. Beberapa orang saintis mula berjalan mengelilingi mesin orakel ini.

Aku saling berpandangan dengan Dr. Wildstein. "Jadi apa pendapat kau?" tanyaku kepadanya dengan perlahan.

"Mesin ini memang sudah boleh digunakan." Jawab Dr. Wildstein dengan pasti.

"Jadi apa kita tunggu lagi?" Kata Lilith sambil berpeluk tubuh di belakangku. Aku mengangguk bersetuju.

"Kita tak ada masa untuk uji mesin ini... Jadi kita cuba guna sahaja mesin ini sekarang. Setuju?"

Dr. Wildstein mengangguk. Dia memanggil para saintisnya. Dia memberitahu apa yang sedang berlaku. Mereka mengangguk dengan wajah teruja.

"Kamu perlu melihat garisan-garisan sejarah sebagai satu talian yang dinamik. Ruang dan masa hanya satu ilusi. Apabila kamu melihat ke belakang atau ke hadapan, cari satu titik yang ingin kamu jelajahi. Lihat dengan menggunakan mata hatimu, bukan biji matamu." Beritahu Dr. Cuomo yang akan menganalisis informasi yang akan dapat dilihat oleh Aliya kelak.

Aku pasti Aliya tidak faham apa yang dinyatakan oleh Dr. Cuomo tadi. Kata-katanya penuh dengan kata-kata kabur yang aku sendiri terpaksa mengambil masa untuk mencernakannya.

Seorang vampiro berbangsa Cina mengeluarkan arahan bahawa generator medan kuantum telah pun dihidupkan. Beberapa detik kemudian, gelang-gelang logam yang mengelilingi kerusi yang diduduki Aliya berpusing dengan laju di setiap arah sehingga mesin ini kelihatan seperti ia telah dikelilingi dengan sebuah sfera.

Angin yang kencang dapat kurasakan terkeluar dari mesin ini. Aku dapat melihat mata Aliya bulat ke hadapan. Aliya menghulurkan tangannya untuk menyentuh pancaran hologram dalam bentuk 3D di hadapannya. Beberapa jalinan masa yang disentuhnya akan menunjukkan ruang yang bersangkut paut dengannya. Aliya seperti mencari sesuatu melalui jalinan ruang dan masa yang bergerak dengan cepat melalui pancaran hologram di hadapannya.

Selang seminit kemudian, dia memerhatikan satu titik dalam ruang dan masa yang telah menarik perhatiannya. Dia memastikan agar hologram terus memancarkan titik yang dipilihnya ini. Dia menarik kembali kedua belah tangannya lalu berpeluk tubuh, memerhatikan hasil kerjanya dengan puas.

Gelang-gelang logam dengan perlahan-lahan berhenti bergerak sehingga akhirnya ia berhenti dengan sendiri. Alat organik yang tersambung di kepala Aliya ditarik keluar dengan sendiri. Aliya seperti tidak sabar-sabar untuk memberitahu kepadaku tentang penemuannya.

"Mereka ingin mengubah sejarah agar nanti Singapura bom atom tidak akan dijatuhkan di Singapura. Tetapi di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun." Jelas Aliya kepada Dr. Cuomo.

"Apa?" mulut Dr. Cuomo ternganga besar. Dia tidak dapat membayangkan impak kepada korban manusia jika perkara seperti ini dibenarkan berlaku. Penduduk di kedua-dua kota itu lebih ramai dari di Singapura. Jumlah mereka yang akan mati pastinya lebih ramai lagi.

"Bila dan di mana?" tanya Dr. Cuomo sambil meramas-ramas rambutnya yang beruban itu.

"Pada tahun 1939. Singapura." Jelas Aliya. "Aku sudah dapat menentukan titik ruang dan waktunya... Tapi-"

"Tapi apa, Aliya?" pintasku dengan pantas. Wajahnya sedikit terusik, di dalam ketenangan, duduk di atas kerusi mesin seperti seorang ratu di atas singgahsananya.

"Kau lihat di sini..." dia menudingkan jarinya kepada jalur-jalur masa yang mungkin hanya dia sahaja yang dapat memahaminya yang terpancar melalui montaj hologram di hadapannya. "Ada dua jalur yang bertentangan di sini. Ini bermakna mereka akan berada di titik ruang dan waktu yang berlainan."

"Apa?" aku kekeliruan jadinya. Aku tidak tahu jika aku sepatutnya bimbang atau sebaliknya. Keadaan di dalam makmal terus senyap. Mungkin ada di antara para saintis di sini lebih memahami tentang perkara ini lebih dariku.

"Ini bermakna kita hanya mempunyai satu sahaja pilihan dari dua titik ini untuk kita ubah." Jelas Dr. Cuomo. "Mungkin mereka mahu melakukan perkara ini untuk mengelirukan kita semua."

"Atau mungkin... Apa sahaja yang dapat kita lakukan tidak mungkin akan mengubah perjalanan sejarah yang mahu mereka ubah... Ataupun telah pun mereka ubah!" Aliya menjelaskan. Matanya memandang ke bawah. Dia sedang mencari jalan penyelesaian. Tetapi jalan tersebut sukar untuk dicarinya.

"Kenapa jalur ini bergerak-gerak?" tanyaku ingin tahu. Jalur ini pada mulanya berwarna biru, kini berubah merah.

Di dalam masa yang sama, bunyi amaran kedengaran memekakkan telinga. Medan kuantum di dalam sfera dihidupkan secara automatik. Jambatan yang memisahkan makmal ini dengan bangunan utama ditarik balik.

"Apa yang sedang berlaku?" tanya Aliya kerisauan.

"Mesin Geiger dapat mengesan gangguan besar kepada pergerakan sejarah sedang berlaku. Ia kini sedang memisahkan makmal ini dengan dunia luar agar kita tidak akan terlibat dengan perubahan ini." Dr. Wildstein menjelaskan.

"Kalau macam itu, kita harus bertindak dengan cepat." Kata Eva. Ivana mengangguk cepat, bersetuju dengan pendapat kembarnya itu.

Aku tidak mempunyai pilihan lain selain dari sekali lagi menjelajah masa untuk bertarung di dalam Peperangan Kuantum yang sudah pun meletus ini...

posted by Nizam  # 4:20 PM

Monday, February 21, 2005

Awang Vampiro: Buku III. Bab 2

Aku dapat melihat kawasan di sekelilingku perlahan-lahan menjadi kelam. Tidak lagi seterang tadi. Aku melangkah keluar dari keluar dari wormhole lalu berada di sebuah tempat yang begitu asing bagiku.

"Kita sedang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Malaya. Tahun 2005." Eva memberitahu apabila dia membaca apa yang tertulis di atas skrin di lengannya. Aku menganggukkan kepalaku sekali.

"Tempat meletak kereta Pusat Kesenian Malaya. Pukul 11.30 malam." Ivana memberitahu pula.

"Kita harus kelihatan seperti mereka." Aku mengingatkan, lalu memerhatikan skrin komputer di lenganku. Aku mengeluarkan arahan supaya mengeluarkan medan hologram supaya menampakkan keadaanku memakai sepasang seluar jeans dan baju T. Perkara yang sama dilakukan oleh Eva dan Ivana. Mereka memilih pakaian yang paling ranggi yang telah diprogramkan ke dalam sistem superkomputer yang terdapat di dalam pakaian khas mereka.

Kini dalam sekelip mata, mereka berdua kelihatan anggun memakai pakaian jenama Prada dari koleksi musim panas yahun 2005 yang telah mereka ambil dari pangkalan data komputer mereka.

"Kita perlu beredar dari sini..." Ujarku, lalu melangkah berjalan ke arah lif berdekatan untuk ke tingkat atas.

Aku cukup kenal dengan tempat ini. Lebih kurang seratus tahun yang lalu, ia merupakan Kelab Lumba Kuda Selangor, yang telah diasaskan oleh Sir Frank Swettenham. Kini, bekas tapak Kelab Lumba Kuda Selangor telah digantikan dengan sebuah pusat seni yang telah rasmikan oleh Perdana Menteri Malaya, Puan Zeti Jalil pada tahun 1999.

Apabila pintu lif dibuka, kami dapat melihat beberapa orang lelaki dan wanita yang sedang menunggu untuk menggunakan lif. Mereka memakai pakaian yang selalunya akan dipakai untuk ke konsert simfoni yang baru sahaja selesai mereka saksikan di dalam kompleks seni ini.

"Kamu berdua pernah ke sini di sekitar tahun 2005?" Tanyaku sebaik sahaja kami keluar dari pintu lif lalu berjalan ke arah ruang legar dewan simfoni yang besar itu. Di sana masih terdapat ramai orang yang sedang berkumpul sambil berbual kosong setelah mereka selesai menyaksikan persembahan simfoni di sana. Pengunjung lelaki rata-ratanya memakai kot hitam dan wanita pula berpakaian anggun.

"Tidak... Tapi kami tahu Pusat Kesenian Malaya ini merupakan antara pusat seni tersohor di dunia. Di sini terdapat sebuah dewan filharmonik, beberapa buah panggung teater pelbagai saiz dan fungsi. Sebuah galleri seni moden dengan koleksi lukisan abad ke-20. Tidak lupa juga sebuah pusat membeli-belah yang telah dibina di dalam kompleks seni ini." Jawab Eva. Dia memandang ke arah Ivana yang ingin menambah berkata-kata pula:

"Pusat Kesenian Malaya telah direka oleh arkitek terkenal Tan Teck Boon yang pernah memenangi anugerah Friks**. Selain dari mereka pusat kesenian ini di Kuala Lumpur, satu lagi rekaannya yang terkenal adalah Muzium Guggenheim di Bilbao, Sepanyol, di mana rekaan bangunan itu nyaris-nyaris diberikan kepada Frank Gehry..."

"Tan adalah seorang arkitek yang jauh lebih berbakat dari Gehry... Lihat sahajalah bangunan ini." beritahuku sebaik sahaja kami keluar dari ruang legar Dewan Filharmonik Kuala Lumpur. Keadaan menjadi sedikit gempar apabila rombongan Puan Zeti yang telah menyerikan persembahan simfoni oleh Academy of St. Martin in the Fields pada malam itu keluar berjalan keluar ke ruang legar dewan filharmonik .

Diriku ditolak ke tepi oleh seorang pegawai polis supaya berdiri ke tepi untuk memberi ruang rombongan Perdana Menteri ke kenderaan masing-masing yang sedang menunggu di luar. Aku sedang berdiri bersama beberapa warga Kuala Lumpur yang lain yang mahu memerhatikan wajah Perdana Menteri Malaya secara dekat. Aku dapat merasakan bagaimana mereka yang sedang berada di sampingku pada waktu itu cukup-cukup menyayangi serta menghormati Perdana Menteri mereka.

"Kita hanya ada tiga hari sahaja untuk mencari orakel kita ini sebelum dia menyambut ulang tahunnya yang ke-18." Bisikku ke telinga Eva. "Tapi kau mahu tahu apa?"

"Apa dia?" tanya Eva tanpa memandang ke arahku. Dia tertarik melihat pakaian baju kebaya ketat yang sedang dipakai oleh anak bongsu Puan Zeti yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam sebuah kereta Rolls Royce berwarna hitam yang akan dinaiki oleh kedua ibu dan bapanya sebentar lagi.

"Ada sesuatu yang tak kena di sini... Aku dapat merasakannya." Mataku penuh ke arah Puan Zeti yang sedang berhenti untuk berbual sebentar dengan seorang tokoh korporat terkenal di ruang legar Dewan Filharmonik Kuala Lumpur.

"Jadi?"

"Perdana Menteri Malaya akan dibunuh pada malam ini." Beritahuku sambil memandang mereka yang sedang berada di tempat aku berdiri.

Wajah Eva berubah semendung malam setelah mendengar kata-kataku. Dia membisikkan sesuatu ke telinga Ivana. Mereka memandang ke atas dan ke hadapan. Mereka ingin mencari wajah-wajah yang mencurigakan di sekeliling mereka.

"Dia tidak sepatutnya mati... Bukan Puan Zeti Perdana Menteri Malaya yang paling lama berkhidmat di negara ini?" Tanya Ivana kepadaku.

"Ya," jawabku pendek. Puan Zeti mula berkhidmat sebagai Perdana Menteri Malaya apabila beliau menggantikan tempat Encik Lee Ka Fai pada tahun 1997. Beliau akan menjadi Perdana Menteri Malaya sehingga ke tahun 2010. Dia tidak sepatutnya mati pada malam ini."

"Jadi siapa yang akan membunuhnya?" tanya Eva bersungguh-sungguh.

"Kita akan mengetahui sebentar lagi." Kataku yang langsung tidak dapat menilik apa yang akan dilakukan sebentar lagi. Perkara ini amat-amat menggusarkan. Aku tidak faham bagaimana perkara ini boleh berlaku.

Tentu ada sebabnya mengapa Dr. Cuomo menghantar kami ke titik ruang dan masa ini mengikut apa yang ditafsirkannya melalui buku Nostradamus yang hilang itu. Jika sememangnya terdapat percubaan untuk membunuh Puan Zeti, maka tepatlah tilikan Nostradamus.

Kini aku pasti seorang agen Frère Maçon yang bekerja untuk kaum Daevas sedang berada di sini. Kemungkinan besar mereka datang dengan menggunakan mesin menjelajah masa yang telah berjaya mereka siapkan untuk mengubah realiti di masa hadapan. Jika benarlah perkara ini berlaku, ini bermakna mereka telah pun menjelajah ke tahun 1555, lalu mendapatkan manuskrip rahsia Nostradamus yang telah dikatakan hilang kerana telah dicuri oleh kumpulan Illuminati itu.

Aku tidak mungkin dapat membenarkan perkara ini dari berlaku. Jika aku membenarkan perkara ini berlaku, sejarah Malaya dan seterusnya sejarah dunia pasti akan berubah di masa hadapan.

Malaya adalah sebuah kuasa ekonomi yang terkuat di Asia selepas Jepun. Selepas Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat telah mengebom kepentingan Jepun di Singapura. Mereka hampir-hampir memusnahkan Kota Singapura, sehingga menyebabkan Jepun menyerah kalah. Beberapa minggu selapas pihak Tentera Bersekutu berjaya merampas kembali Malaya dari Jepun, Maharaja Jepun, Hirohito menyerah kalah. Selepas perang, pemerintah Amerika membina semula Malaya dengan menggunakan dana "Program Pemulihan Ekonomi" yang lebih terkenal dengan nama Marshall Plan, dengan Kongres Amerika Syarikat memperuntukkan berjuta dolar untuk pembinaan semula Malaya. Melalui dana tersebut, infrastruktur perindustrian dan ekonomi Malaya dibina secara komprehensif. Sejak diberikan kemerdekaan pada tahun 1953 oleh kerajaan Amerika dan British, lantas rakyat Malaya diberikan mandat untuk memilih sendiri kerajaan pimpinan mereka secara demokratik, Malaya terus menjadi sebuah kuasa ekonomi yang utuh.

Maka segala kemakmuran yang dapat dilihat di Malaya pada ketika ini datangnya dari segala kemusnahan yang telah berlaku selepas Perang Dunia Kedua. Malaya terkenal sebagai sebuah negara perindustrian yang mengeluarkan produk-produk bermutu untuk pasaran dunia. Kereta jenama Sepang sebagai contoh, adalah di antara jenama kenderaan yang paling laris jualannya di pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Jenama barangan elektronik Pertama pula terkenal dengan kecanggihan teknologi serta rekaannya yang menarik. Pendek kata, ekonomi Malaya dijanakan oleh syarikat-syarikat gergasi seperti ini.

Aku dapat merasakan Frère Maçon mahu melakukan sesuatu untuk mengubah perjalanan sejarah lalu melenyapkan realiti ini sama sekali.

Aku dapat melihat perubahan di wajah Eva. Dia menepuk bahuku lalu meminta aku memandang ke bangunan di hadapan Dewan Filharmonik Kuala Lumpur. Di dalam masa yang sama, dengan sepantas kilat dia bergerak ke arah hadapan seolah mahu menghalang sesuatu...

Segala-galanya bergerak dengan begitu pantas sehingga ku sendiri perlu bergerak dengan pantas juga melawan arus masa. Dengan kuasa vampiroku, aku dapat melihat beberaa butir peluru sedang bergerak dengan perlahan ke arah Puan Zeti. Manusia-manusia yang sedang berdiri di sekelilingku, kelihatan kaku seperti patung. Aku dengan cepat terbang ke arah lelaki yang cuba membunuh Perdana Menteri Malaya ini. Eva dan Ivana cuba menggunakan kuasa masing-masing untuk menumpaskan serangan pembunuh upahan ini.

Eva dan Ivana dengan cepat dapat melihat bahawa peluru yang digunakan diperbuat daripada partikel air yang telah dikeraskan. Bukan teknologi tahun 2005, tetapi teknologi masa hadapan.

Ivana menggunakan kuasanya untuk mengawal partikel air lalu memecahkan setiap peluru yang datang sehingga berderai. Eva pula cuba menangkis beberapa butir peluru yang datang dengan mencair kan peluru-peluru tersebut sehingga menjadi air dan seterusnya wap. Mereka bergerak begitu cepat sehinggakan pergerakan mereka tidak mungkin dapat dilihat dengan mata kasar.

Aku dapat melihat lelaki yang cuba membunuh Puan Zeti yang sedang duduk di atas bumbung sebuah bangunan syarikat permainan elektronik terkemuka, C0ngkak. Dia sedang duduk di bawah struktur lampu neon C0ngkak yang besar itu, memikirkan tidak ada siapa pun yang akan melihatnya bersembunyi di sana.

Aku cepat-cepat mengambil senapangnya yang ditujukan ke arah Puan Zeti di bangunan hadapan. Kemudian aku mengangkat tubuhnya tinggi-tinggi dengan menggenggam kuat kolar bajunya sebelum aku membiarkan diriku bertindak di dalam pergerakan kepantasan manusia biasa.

Lelaki berketurunan Eropah ini terkejut apabila mendapati dirinya tiba-tiba sahaja berhadapan denganku. Dengan cepat dia dapat menangkap bahawa aku ini bukan manusia biasa, tetapi seorang vampiro.

"Siapa kau, sebenarnya?" tanyaku dengan berlembut. Apabila aku menoleh belakang, aku dapat melihat Puan Zeti berjalan masuk ke dalam keretanya, seolah-olah tidak ada apa-apa pun yang berlaku.
"Kau tahu kau tidak akan dapat mendapatkan sebarang jawapan dari aku wahai Vampiro." Katanya. Aku dapat membaca dari fikirannya bahawa manusia di hadapanku ini bernama Scott Weisselberg, seorang anggota Frère Maçon dari New York. Aku memandang kepada bahagian tangannya yang bertatu dengan simbol kompas dan pembaris bersiku - simbol Frère Maçon. Dia datang dari titik ruang dan waktu ini, bukan dari masa akan datang. Ini bermakna, dia hanya diberikan senjata dan arahan dari kaum Daevas yang datangnya dari masa hadapan.

Manusia tidak mungkin dapat menjelajah masa seperti vampiro. Mereka tidak mungkin dapat terus hidup di dalam keadaan sinaran radiasi yang kuat yang dikeluarkan di dalam wormhole. Jadi, aku pasti Daevas hanya dapat menghantar arahan-arahan dan senjata kepada anggota Frère Maçon dan tidak lebih dari itu.

"Siapa yang berikan kau senjata ini?" bentakku. Dalam pada itu aku dapat melihat pintu di atas bumbung itu terbuka lantas Eva dan Ivana tiba-tiba sahaja muncul di sisiku.

"Kau tahu aku tak akan menjawab!" katanya dengan cuba mengukir senyuman di wajahnya yang nampak takut itu.

Eva memegang tangan kanan Scott, Ivana pula pada tangan kiri. Masing-masing mengeluarkan haba yang panas dan sejuk. Scott menjerit kesakitan.

Aku memandang ke dalam matanya untuk mengorek rahsianya. Aku mendapat tahu bahawa sememangnya pihaknya tidak akan menyangka kami akan datang untuk menumpaskan percubaannya membunuh Perdana Menteri Malaya. Dari apa yang aku baca, percubaannya untuk membunuh itu akan mencetuskan satu efek domino yang seterusnya akan membawa kepada Perang Dunia Ketiga.

Aku melepaskan genggamanku.

"Pihak kau tidak boleh tahu kami ada di sini." Kataku perlahan, seraya memberitahu kepadanya nasib yang akan menimpa dirinya nanti. Aku menekan beberapa butang halimunan di tepi lenganku yang tidak dapat dilihatnya untuk mematikan fungsi medan hologram yang mengelilingi tubuhku. Pakaian yang kupakai kini berubah menjadi pakaian serba hitam. Aku mengambil sebiji botol logam yang terlekat di belakang tubuhku. Aku membuang darah sintetik yang digunakan sebagai bahan tenaga untuk menjanakan pakaianku ini ke tepi yang tersimpan di dalam botol logam berwarna merah ini.

"Kau tak akan menang!" getus Scott dalam saat-saat terakhir kehidupannya. "Ahriman akan dapat kami bebaskan juga akhirnya!"

Aku mengeluarkan pisau secespita yang tersemat di pinggangku. Aku memotong lingkaran urat di lehernya, lalu membiarkan darah yang deras mengalir ke dalam botol. Tubuh Scott menggelupur, tetapi dia tidak mungkin dapat melawan kekuatan seorang vampiro sepertiku lalu membebaskan dirinya dari genggamanku.

Selepas botol logam berjaya aku isi sehingga penuh, aku meratah darahnya. Setelah aku puas, aku berikan kepada Eva dan Ivana pula supaya menghisap darahnya sehingga tubuhnya tidak bernyawa lagi.

Aku meletakkan botol logam kembali ke tempatnya. Darah segar yang tersimpan ini terus disejukkan. Terdapat satu lagi botol yang tersemat di belakangku. Sebiji botol dapat menjanakan tenaga selama seminggu lamanya untuk pakaian ini. Jadi apa yang ada di dalam simpananku sebenarnya lebih dari cukup.

Darah yang aku ambil tadi bukan untuk kegunaanku, tapi untuk aku hadiahkan kepada vampiro orakel yang perlu aku cari sampai dapat...

*

Maka pada hari itu aku pun bermimpi mengenai vampiro orakel yang menjadi buruanku. Dia telah bermimpi tentang kemunculanku lama sebelum aku tiba di sini semalam. Aku dapat melihat panorama Kota Wilayah Persekutuan Singapura di dalam latar belakang mimpinya.

Aku bangun dari tidurku. Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Aku masih tidak boleh meneroka ke luar lagi. Langsir bilik hotel yang tebal membuatkan bilikku ini gelap dan langsung senyap keadaannya. Aku menekan butang alat kawalan jauh untuk menonton TV.

Di kaca TV aku menonton rancangan berita. Setelah menonton selama sejam, aku akhirnya berpuas hati kerana tidak ada apa-apa di dalam perjalanan sejarah dunia yang berubah. Aku membuat pemeriksaan yang lebih terperinci menggunakan mesin superkomputer yang aku pakai untuk memeriksa jika terdapat apa-apa perubahan ketara di dalam perjalanan sejarah.

Komputer menunjukkan graf hologram yang menunjukkan sememangnya ada kekacauan dalam garisan sejarah, tetapi tidak cukup untuk membuat apa-apa berbezaan yang besar kepada duniaku di masa hadapan. Perkara ini sekadar membuktikan bahawa kaum Daevas kini aktif cuba mengubah perjalanan sejarah.

Aku melepaskan nafas lega.

Aku menggunakan alat komunikasi untuk berhubung dengan Eva dan Ivana. Aku meminta mereka turun dari bilik hotel Hilton Kuala Lumpur sebaik sahaja matahari tenggelam di ufuk timur. Kami harus bergegas ke Singapura pada malam ini juga!

*

Kami telah menggunakan sistem kereta api bawah tanah untuk seterusnya ke stesen kereta api Kuala Lumpur di Brickfields. Di sana, kami telah membeli tiket 'Bullet Train' untuk ke Singapura. Perjalanan mengambil masa kurang dari dua jam.

Setibanya kami di stesen kereta api Tanjong Pagar, aku dapat merasakan kehadiran orakel muda yang perlu kami cari di kota ini. Degupan jantungnya hampir-hampir dapat aku rasakan. Tapi siapa orakel ini sebenarnya.

"Mengikut kata Dr. Cuomo, orakel ini mempunyai darah keturunan Tiresias, dari anak lelaki yang telah ditinggalkannya sebelum dia berubah menjadi vampiro." Ujar Eva kepadaku, mengingatkan. Kami bertiga sedang menaiki teksi untuk menuju ke arah Toa Payoh. Melalui kajian topografi 3D bangunan-bangunan pencakar langit di Singapura dengan apa yang dapat aku ingati melalui mimpiku, aku dapat merasakan orakel ini pasti berada di kawasan yang ingin kami tuju pada malam itu.

"Jika begitu... Aku rasa mungkin kita boleh mencarinya." Ujar Ivana pula dengan yakin.

"Bagaimana?" tanyaku ingin tahu.

"Salasilah anggota-anggota Illuminati agak komprehensif. Keturunan Tiresias merupakan di antara pengasas yang paling awal kumpulan ini. Mereka cukup arif dengan legenda ini... Tentang lahirnya seorang lagi orakel di dalam keluarga mereka." Ujar Ivana. "Apa yang aku lakukan adalah untuk menyemak kembali salasilah keturunan Tiresias dan lihat jika ada di antara mereka yang berkahwin dengan warga Malaya."

"Ibunya seorang wanita Melayu." Kataku sambil memegang bibirku.

"Aneh..." ujar Ivana yang sedang sibuk berinteraksi dengan sistem komputernya.

"Apa dia?" tanya Eva ingin tahu.

"Aku tidak dapat mengesan mereka langsung." Kata Ivana kerisauan.

"Illuminati tidak mahu diri mereka dikesan. Lokasi dan nama mereka dirahsiakan." Jelasku kepada mereka berdua. "Tapi kau berdua tidak perlu risau... Aku rasa aku akan dapat menjejakinya nanti."

Aku telah mengarahkan pemandu teksi supaya mengikut arahanku apabila tiba di kawasan perumahan Toa Payoh. Aku sememangnya dapat merasakan bahawa vampiro ini semakin dekat kepadaku.

"Berhenti di sini!" perintahku kepada pemandu teksi. Aku terus bergegas keluar dari dalam perut teksi lalu mencium udara malam di luar. Eva membayar harga teksi lalu kami bertiga berdiri di sebuah kawasan perumahan di Lorong 1, Toa Payoh.

"Pencarian ini langsung tidak menggunakan kaedah saintifik." Keluh Ivana yang nampak kerisauan.

"Dia ada di sini... Aku pasti." Sambutku dengan tenang. Aku memandang kepada keadaan di sekelilingku. Aku pasti dia sedang berada di sini. Jadi aku terus berjalan, aku cuba mengesan bunyi jantungnya yang dapat aku rasakan semakin kuat berdegup di dalam hatiku.

Aku masuk ke dalam kedai 7Eleven di blok 111. Aku mendapati terdapat seorang gadis yang sedang bertugas di sana. Aku terus masuk ke dalam kedai lalu memerhatikan wajahnya dari cermin cembung yang terdapat di dalam kedai serbaneka itu. Wajahnya cantik dengan matanya yang redup dan rambutnya yang panjang - yang langsung mengingatkanku kepada rambut Hanim. Dia nampaknya sedang sibuk melayan para pelanggan yang datang sehingga tidak sedar kelibatku keluar dan masuk.

"Itu orakel kita. Namanya Aliya." Kataku kepada Eva dan Ivana yang sedang menunggu di luar.

Mereka berdua memerhatikan wajah Aliya yang sedang sibuk melayan pelanggannya. Mereka tersenyum puas. Mereka tahu esok adalah harinya apabila aku terpaksa menamatkan riwayat gadis yang sedang mereka perhatikan dari jauh ini...

posted by Nizam  # 4:06 PM

Friday, February 18, 2005

Awang Vampiro: Buku III. Bab 1

Pada malam ini, pada pertengahan musim panas tahun 2061, buat sekian kalinya aku cuba mengingatkan diriku bahawa pada esok pagi, misiku untuk menjelajah masa akan bermula - dengan menggunakan mesin merentas masa yang telah dibina dengan mengikut spesifikasi yang tertulis di dalam manuskrip Vitruvius. Para saintis yang menjadi anggota Illuminati telah mengambil masa lebih 30 tahun untuk membina mesin yang kompleks ini.

Aku memandang ke arah skrin besar di dalam bilik makmal yang dikelilingi dengan tembok kaca ini. Skrin tersebut menayangkan tulisan dalam manuskrip Vitruvius serta penterjemahannya di dalam bahasa Inggeris. Beberapa orang saintis nampaknya sedang sibuk memeriksa setiap perkara yang perlu mereka periksa dengan teliti. Mereka semua perlu memastikan agar mesin ini akan dapat berjalan lancar apabila ia digunakan buat pertama kali beberapa jam sahaja dari sekarang.

"Tayangkan pelan nombor 1526-1b!" ucapku ke arah skrin lebar di hadapanku. Skrin kini berubah menunjukkan struktur mikroskopik darah hidup Lilith yang selama ini dikaji oleh Dr. Hayden.

Dr. Hayden, seorang pakar nanoteknologi telah aku temui ketika dia menjadi calon Ph.D di University Cambridge. Darah Lilith telah aku berikan kepadanya agar dia dapat mengkajinya - yang aku fikirkan lebih baik dari dia menghabiskan masanya mengkaji sintesis enjin-nano berasaskan hemoglobin yang menjadi topik tesis Ph.Dnya pada waktu itu.

Dr. Hayden telah mengambil masa lebih 17 tahun mengkaji darah Lilith yang terkandung mesin-mesin mikroskopik yang diberikan dengan nama Sel Darah Nanobot (SDN). Jika dalam darah manusia terkandung berbilion-bilion sel darah merah atau erythrocytes, dalam darah Daevas pula terkandung berbilion-bilion SDN ini.

Dari hasil kajian Dr. Hayden, dia mendapati bahawa setiap satu dari mesin bersaiz mikroskopik ini mempunyai fungsi lebih canggih dari mana-mana komputer ataupun robot yang mampu dibina oleh manusia sehingga kini. SDN yang jumlahnya berjuta-juta ini berfungsi secara kolektif di dalam tubuh seorang Daevas seperti Lilith, menggantikan setiap sel-sel tubuh mereka yang mati dan menggantikan dengan yang baru. Dan sebab itulah sesiapa yang diasimilasikan dengan SDN akan dapat hidup buat satu jangka masa yang lama...

"Ini merupakan satu teori, tetapi aku pasti mesin-mesin mikroskopik inilah yang mengawal kaum Daevas ini." Ujar Dr. Hayden dengan bersungguh-sungguh kepadaku kira-kira sepuluh tahun yang lalu apabila dia membuat kajian tentang hal ini di dalam makmalnya.

"Maksud kau?" tanyaku, memerhatikan struktur canggih SDN yang setiap satunya kelihatan seperti sebuah robot kecil berbentuk seperti piring terbang di dalam mesin mikroskop elektronnya.

"SDN ini tidak boleh hidup dengan sendirinya, jadi ia perlukan hos." Jawab Dr. Hayden. Matanya nampak lesu. Aku pasti berhari-hari lamanya dia tidak keluar dari kompleks makmal yang telah dibina di bawah tanah ini.

"Jadi Daevas menjadi hosnya?" tanyaku satu soalan yang sudah aku ketahui jawapannya sendiri.

"Ya... Itulah yang aku fikirkan..." Dr. Hayden menggaru-garu rambutnya. "Cuba kau fikirkan... SDN inilah yang mengawal Daevas, bulan sebaliknya!"

Jadi kerana ingin tahu tentang hal ini, aku terus bertanyakan Lilith tentang teori Dr. Hayden. Lilith memberitahuku bahawa teori Dr. Hayden itu sememangnya tepat. Malah, Lilith akhirnya memberitahuku dengan lebih lanjut tentang asal usul kaumnya.

"Mereka telah dicipta di sebuah planet koloni Daevas yang dikenali dengan nama Kanodoo-3."

"Bagaimana semuanya ini boleh berlaku?"

"Penduduk Kanadoo-3 telah melakukan kesilapan yang besar mencipta nanobot ini. Mereka ingin mencipta sejenis mesin mikroskopik yang dapat membuatkan tubuh mereka bertahan buat jangka masa yang lama. Mereka mahu hidup buat selama-lamanya...

"Teknologi mereka begitu maju sehinggakan nanobot yang mereka cipta ini mempunyai keupayaan untuk berfikir sendiri. Dan kau tentu tahu apakah satu-satunya perkara yang mahu dilakukan oleh makhluk yang berfikir bahawa dirinya hidup, mempunyai perasaan yang bernyawa?"

"Ia mahu membiak..."

"Ya. Itulah yang telah ia lakukan kepada kami. Apabila kesemua penduduk di koloni Kanadoo-3 berjaya diasimilasikan, mereka telah menculik penduduk-penduduk planet kami lalu menggunakan tubuh kami sebagai hos mereka. Tubuh Daevas dari spesies humanoid serangga seperti kami sesuai untuk diasimilasikan mereka kerana kami berfikiran secara kolektif. Tidak sampai setahun, setiap makhluk di planet kami berjaya mereka asimilasikan, tanpa kami sendiri sedari pada mulanya..."

"Jadi kenapa kau tidak dapat dikawal mereka?"

"Kerana aku lain dari yang lain... Aku adalah satu anomali. Jika dibandingkan dengan Daevas yang lain, aku mampu berfikir secara individu... Seperti kamu." Lilith menjelaskan.

"Mereka tidak boleh mengawal manusia, kerana manusia bukan makhluk yang berfikir secara kolektif..." Kataku mengatur hipotesisku sendiri. Pada waktu itu aku mula sedar bahawa jika manusia diasimilasikan dengan SDN, mereka akan menjadi vampiro. SDN yang akan menggantikan sel darah manusia dan akhirnya hidup dalam tubuh vampiro.

Walau bagaimanapun, SDN ini tidak dapat mengawal manusia seperti yang dapat mereka lakukan kepada kaum Daevas. Struktur biologi manusia yang berlainan dengan Daevas juga menyebabkan SDN yang telah didedahkan ke dalam tubuh manusia sensitif kepada gelombang ultra-lembayung. Dan sebab itulah mereka menjadi vampiro yang alah kepada sinar matahari...

"Betul Awang..." jawab Lilith sambil mengangguk perlahan. "Jadi kau faham bukan, apa maknanya ini semua?"

"Apa maksud kau?"

"Mesin-mesin mikroskopik yang ada di dalam tubuhmu itulah yang menyebabkan kau terus hidup sehingga ke hari ini. Jasadmu sebenarnya telah lama mati-"

Diriku ini tidak ubah seperti sebuah robot yang mampu berfikir dengan sendirinya. Aku berfikir kerana otakku masih berfungsi. Tapi mana datangnya perasaan yang wujud di dalam jiwaku ini? Mana datang semuanya ini? Aku rasa aku tidak mungkin akan dapat menjawab soalan ini sampai bila-bila.

SDN yang berfikir ia bernyawa malah berperasaan ini kini terus hidup di dalam tubuhku. Ia membiarkan aku hidup kerana seperti makhluk-makhluk yang lain, SDN ini akan melakukan apa sahaja untuk terus hidup. Untuk aku terus hidup, aku terpaksa menghisap darah manusia, kerana itu sahajalah punca tenaga SDN dalam tubuh vampiroku ini.

Jadi musuhku kini sebenarnya bukan kaum Daevas, tetapi kepada mesin-mesin 'Artificial Intelligence' bersaiz mikroskopik yang hidup di dalam diri mereka yang mahu membiak dan berkembang di muka bumi ini.

Setelah aku puas memeriksa struktur SDN yang terpampang di layar skin di hadapanku, Dr. Wildstein, penyelidik Fizik Kuantum yang sedang bertugas di dalam makmal Illuminati menunjukkan kepadaku mesin yang akan digunakan oleh vampiro orakel yang bakal menggantikan tempat Tiresias. Mesin ini baru sahaja disiapkan oleh kumpulannya pada minggu lepas.

"Mesin ini akan membaca garisan-garisan sejarah dan orakel kita akan dapat melihat bahagian mana yang cuba diubah oleh golongan Daevas dan Frère Maçon." Jelas Dr. Wildstein tanpa memberitahuku bagaimana nanti cara-cara untuk si vampiro orakel ini akan menggunakannya.

Aku seterusnya diberitahu bahawa mesin ini mempunyai bentuk yang aneh. Sebuah kerusi diletakkan di tengah-tengah gelang-gelang logam yang akan ligat berputar sehingga membentuk sebuah sfera. Si orakel akan mengenakan sebuah alat yang perlu dipakainya di kepala yang mempunyai bentuk organik. Alat tersebut kelihatan seperti seekor lintah yang hidup dan berdenyut-denyut. Segala informasi yang terkumpul tentang garisan-garisan sejarah yang berubah atau cuba diubah akan disalurkan kepada kepala si orakel melalui alat ini.

Sebenarnya, mesin menjelajah masa ini merangkumi seluruh bahagian makmal yang dikelilingi dengan dinding berbentuk sfera. Dinding sfera dengan diameter berukuran 75 meter ini akan melindungi makmal serta mereka yang berada di dalamnya dengan medan kuantum. Makmal ini pula dibina di atas sebuah tiang kukuh yang terkandung penjana anti-matter di dalamnya. Makmal berkaca berbentuk kubah ini diletakkan di tengah-tengah sfera.

Fungsi sfera yang mengeluarkan medan kuantum yang dibina mengelilingi makmal ini penting untuk melindungi maklumat serta mereka yang berada di dalam makmal - apabila segala apa yang berlaku di dunia luar makmal ini diubah. Jadi dengan adanya sfera ini, walaupun perjalanan sejarah dunia di luar mereka berubah, mereka tetap menyimpan informasi asal tentang perjalanan sejarah dunia mereka sendiri.

Tatkala memandang ke arah dinding sfera yang yang kelihatan seperti sebuah tembok besar di hadapanku, aku cukup sedar bahawa konco-konco Daevas kini sedang di dalam proses membina sebuah mesin menjelajah masa seperti ini. Aku kurang pasti jika mesin ini telah pun berjaya mereka siapkan. Selagi orakel vampiro tidak kubawa kembali ke sini, aku tidak mungkin akan tahu jika dunia aku ini sendiri telah pun mereka ubah.

Dr. Wildstein kemudian menunjukkan kepadaku mesin utama penjelajah masa yang akhirnya dapat dibina. Komponen yang paling penting sekali yang akan digunakan di dalam mesin ini adalah SDN. Berjuta-juta SDN akan digunakan untuk membuat pengiraan kompleks untuk mencari sebuah wormhole yang sesuai dapat dibuka lantas membawa kami ke titik ruang dan waktu yang mahu kami jelajahi.

"Wormhole, atau dikenali sebagai Jambatan Einstein-Rosen dianggap sebagai satu-satunya cara yang boleh kita gunakan untuk merentas masa. Vitruvius nampaknya telah memahami tentang hal ini lama sebelum kita dapat memahaminya dengan pengetahuan sains yang kita ada sekarang!" Ujar Dr. Wildstein yang pernah mengajar di Princeton itu dengan nada terujah ketika dia mula-mula menelaah salinan manuskrip Vitruvius yang aku berikan kepadanya.

Aku memandang kepada mesin yang berjaya dibina oleh para saintis Illuminati dengan menggunakan spesifikasi yang mereka pelajari dari manuskrip Vitruvius. Mesin ini berbentuk aneh. Sumber tenaga yang banyak yang dikeluarkan dari reaktor anti-matter yang dibina betul-betul di bawah makmal ini akan disalurkan terus kepada mesin ini. Mesin bio-organik yang akan melakukan pengiraan yang kompleks ini kelihatan seperti ia telah dicipta oleh H. R. Geiger sendiri. Ia dibentuk seperti sebuah mesin hidup lengkap dengan urat saraf dan bahagian yang berdenyut seperti jantung. Mesin ini nampak seolah ia bernyawa! Jadi sejak kali aku dibawa melihat bahagian mesin ini yang separuh siap, aku telah menamakannya mesin Geiger.

Untuk menggunakan wormhole ini pula, mereka yang menjelajah masa harus menggunakan sebuah sarung tangan yang disambungkan kepada sehelai pakaian khas yang perlu dipakai oleh penjelajah masa. Pakaian serba hitam ini dilengkapkan dengan pelbagai peralatan canggih yang menggunakan teknologi SDN, juga sebuah jana kuasa kecil yang melindungi tubuh mereka dengan medan kuantum. Hanya mereka yang memakai pakaian ini boleh membuka dan mengawal gerbang wormhole. Tanpa pakaian ini, atau apabila pakaian ini rosak, kedudukan mereka tidak mungkin dapat dikesan oleh mesin Geiger yang mengawal segala-galanya. Jika perkara ini berlaku, si penjelajah masa boleh tersesat di dalam satu titik ruang dan waktu yang tidak mungkin dapat dikesan sampai bila-bila.

"Jadi apa perkara pertama yang akan kau lakukan apabila mesin ini dapat digunakan nanti?" tanya Lilith kepadaku sambil melihat darahnya diambil lalu disalurkan ke dalam sebuah silinder kaca yang besar. Darahnya yang terkandung berjuta-juta mesin mikroskopik yang canggih ini akan disalurkan ke dalam pakaianku nanti agar ia dapat berfungsi sebagai sebuah pakaian yang mempunyai kuasa sebuah superkomputer yang luar biasa.

"Aku perlu ke Selat Inggeris... Tahun 1787. Aku perlu menyelamatkan Cassius." Jawabku tanpa perlu berdolak-dalik lagi apabila soalan ini ditanyakan oleh Lilith lebih setahun yang lalu.

"Ada banyak lagi perkara penting yang perlu kau fikirkan dan lakukan dahulu sebelum kau pergi menyelamatkannya." Ucap Lilith cuba menasihatiku. Aku tidak tahu mengapa aku harus mendengar kata-katanya ini, sedangkan tujuan aku membina mesin ini adalah untuk menyelamatkannya.

"Perkara apa lagi?" aku memandang ke arah pakaianku yang sedang diperiksa oleh beberapa orang saintis muda Illuminati. Mereka sedang memastikan bahawa pakaianku ini dapat berfungsi dengan sepatutnya apabila SDN disalurkan ke dalam pakaianku nanti.

"Kau tentu tahu... Perkara pertama yang dia mahu kau lakukan adalah cuba menyelamatkan umat manusia. Nyawanya adalah soal kedua dalam hal ini!" Lilith mengingatkan dengan nada menasihati. "Lagipun, kau perlu mendapatkan vampiro orakel itu dahulu yang akan dapat membantu kau mencarinya nanti. Aku rasa hanya dia sahaja yang akan mampu membawa kau ke titik terakhir ruang dan waktu di mana Cassius di buang ke Selat Inggeris dahulu."

Aku terpaksa mengangguk akur. Sememangnya perkara pertama yang harus aku lakukan sekarang adalah untuk membawa vampiro orakel pulang ke duniaku ini.

"Aku perlu pergi... Esok beritahu kepada saintis-saintis kita supaya bersiap sedia awal-awal pagi agar kita dapat memulakan penjelajahan pertama kita." Kataku dengan lesu kepada Dr. Wildstein. Dia mengangguk patuh. Mataku menjeling ke arah Lilith yang sedang membantu seorang saintis vampiro membuat pemeriksaan terakhir kepada mesin Geiger.

Aku keluar dari makmal yang telah dibina lebih 150 meter di bawah tanah ini. Apabila pintu di buka, aku berjalan di atas sebuah jambatan tarik yang memisahkan makmal ini dengan bangunan induk. Jambatan tarik ini tidak berpagar. Sememangnya memang ada para saintis Illuminati yang masih gayat berjalan di atas jambatan ini walaupun ada di antara mereka yang menggunakan jambatan ini hampir setiap hari.

Apabila medan kuantum dihidupkan nanti, Jambatan ini akan ditarik ke dalam bangunan utama dengan makmal kubah berkaca ini berada tengah-tengah sfera besar yang mengelilinginya ini.

Setibanya aku tiba di bangunan induk, aku mencari lif yang terdekat untuk kugunakan ke tingkat atas. Beberapa orang vampiro dan anggota Illuminati yang aku temui ketika di dalam perjalanan ke lif bersalaman denganku sambil mengucapkan tahniah kerana mesin menjelajah masa yang ingin kubina selama ini akhirnya akan dapat kumanfaatkan kegunaannya tidak lama lagi.

Aku keluar dari bangunan kecil yang dipunyai oleh kumpulan Illuminati yang terletak di Boulevard Macdonald. Di luar, aku dapat melihat struktur muzium sains dan industri yang tersohor di Paris, - La Cité des Sciences et de l'Industrie yang terletak di kawasan Parc de la Villette itu. Dari tempat di mana aku sedang berdiri sekarang, aku dapat melihat sfera bercermin yang besar yang terdapat di muzium yang telah dibuka pada tahun 1986 ini. Agak ironis juga apabila aku memikirkan lebih 150 meter di bawah tanah, sebuah sfera yang mempunyai bentuk yang hampir-hampir serupa dibina tanpa pengetahuan sesiapapun kecuali anggota Illuminati dan para vampiro.

Aku terus berjalan untuk menghirup udara segar. Beberapa pelancong dari Taiwan sedang mengambil gambar di hadapan muzium. Salah seorang dari mereka memintaku agar mengambil gambar mereka berkumpulan dengan menggunakan kamera-telefon holografik dari model terbaru jenama Lestari. Lestari merupakan jenama telefon bimbit nombor satu di dunia. Sebuah jenama yang telah diasaskan pada tahun 1964 di Malaya dan kini menjadi salah satu jenama yang paling terkenal...

Pelancong-pelancong Taiwan itu mengucapkan terima kasih kepadaku. Mereka memberitahu kepadaku bahawa pancaran gambaran holografik mereka berlatarbelakangkan sfera besar di La Cité des Sciences et de l'Industrie itu terus dipancarkan dan edarkan kepada kenalan-kenalan mereka di Taiwan. Aku hanya mengangguk, mengiakan sahaja. Aku berjalan ke arah Terusan Saint Denis. Aku berjalan tanpa memikirkan apa-apa. Fikiranku sebenarnya kosong.

Aku melabuhkan punggungku di atas sebuah bangku yang telah di sediakan menghadap terusan yang telah di buka pada tahun 1821 ini. Aku duduk berseorangan di sana sambil memerhatikan beberapa penduduk Paris dan para pelancong yang sedang berjalan di Quai de la Charente. Buat beberapa ketika, aku termenung memikirkan kembali keadaan kawasan ini ketika aku dan Cassius masih bersama. Ketika itu terusan yang melingkari kawasan ini tidak ada lagi. Malah, kawasan ini merupakan sebuah kampung kecil jauh dari kesibukan Kota Paris.

Pada awal pagi esok aku akan memulakan tugasku untuk menjelajah masa. Selama beberapa puluh tahun ini aku telah menyediakan diriku untuk melakukan tugas ini, tapi kini hatiku mula ragu-ragu.

Setelah lebih dua jam aku duduk termenung, kembar Eva dan Ivana datang ke arahku. Kedua-dua mereka duduk di sebelah kira dan kananku. Mereka mengapitku duduk sambil kami sama-sama memandang ke arah air terusan Saint Denis yang mengalir lesu itu.

"Terima kasih sekali lagi kerana telah memilih kami berdua." Ujar Ivana kepadaku. Pemilihan terakhir ini telah aku lakukan pada petang tadi. Aku nampak mereka cukup teruja apabila dipilih dari 12 calon-calon vampiro yang terpaksa kupilih untuk mengikuti misi ini bersamaku.

"Sememangnya aku rasa kamu berdua adalah calon yang terbaik untuk misi penting ini." Kataku dengan jujur.

"Kami masih tidak percaya kami akan dipilih kerana calon-calon yang lain hebat-hebat belaka!" kata Ivana dengan bersungguh-sungguh. Eva pula memegang tangan kiriku dengan erat. Di dalam hal-hal seperti ini selalunya Ivana yang akan mengeluarkan suaranya, Eva pula akan diam, sedangkan di dalam masa-masa biasa, Evalah yang becok bercakap.

Eva dan Ivana pernah dijadikan tahanan dan bahan eksperimen kejam Dr. Josef Mengele di Auschwitz. Dr. Mengele yang terkenal dengan nama "Malaikat Maut" ini merupakan seorang anggota Nazi yang telah mengadakan eksperimen yang kejam terhadap kembar-kembar berbangsa Yahudi yang telah dibawa kepadanya.

Pada musim dingin tahun 1943, Eva dan Ivana yang berasal dari Hungary itu tiba di kem tawanan Auschwitz, lalu mereka di bawa terus ke makmal Dr. Mengele. Tidak seperti tawanan-tawanan perang yang lain yang telah dibawa dengan kereta api, Eva dan Ivana telah dibawa oleh pegawai tentera Nazi dengan sebuah kereta perisai khas. Sejak awal lagi, pegawai tentera Nazi telah melihat sendiri kuasa luar biasa yang ada di dalam diri kedua kembar ini. Di dalam percubaan menangkap Eva dan Ivana di rumah mereka di Kota Budapest, lima orang pegawai tentera Nazi hampir terbunuh dibuatnya apabila Iva dan Evana menggunakan kuasa luar biasa yang ada di dalam diri mereka. Mereka hanya berjaya ditangkap tiga hari kemudian apabila pihak Nazi berjanji akan membenarkan ahli keluarga mereka yang lain melepaskan diri mereka untuk mendapatkan perlindungan di Switzerland.

Apabila Eva dan Ivana dibawa ke makmalnya, Dr. Mengele dapat melihat sendiri akan kecantikan luar biasa kedua-dua kembar yang berusia 19 tahun ini. Kulit mereka yang cerah dengan rambut mereka yang perang langsung tidak menampakkan bahawa mereka berdua ini sebenarnya berketurunan Yahudi. Walau bagaimanapun, apa yang menarik perhatian Dr. Mengele tentang kembar yang dipersembahkan kepadanya pada ketika itu adalah kebolehan Eva dan Ivana yang masing-masing dapat mengawal elemen api dan air.

Maka eksperimen demi eksperimen telah dilakukan kepada kedua-dua kembar ini. Walau bagaimanapun, pada tanggal bulan Ogos, tahun 1944, Dr. Mengele mendapat arahan dari pentadbir Nazi bahawa kedua-dua kembar ini harus dibunuh seperti kembar-kembar lain yang telah dikajinya. Mengikut alasan yang diberikan pegawai-pegawai tertinggi Nazi, jika Eva dan Ivana dibiarkan hidup, kembar ini akan membawa musibah kepada mereka. Pegawai-pegawai Nazi ini dapat melihat dengan sendirinya bahawa dari ke sehari, kuasa yang ada di dalam diri Eva dan Ivana bertambah hebat. Eva sebagai contoh dapat mengawal api lalu membuat api merebak atau padam dengan sendirinya. Ivana pula dapat mengawal dan mengubah bentuk air sesuka hatinya.

Sehari sebelum Eva dan Ivana diarahkan untuk dibunuh, vampiro Möllemann telah datang untuk menemui mereka berdua. Pada malam itu, Vampiro Möllemann memberitahu kepada kembar seiras ini tentang apa yang akan dilakukan kepada mereka pada esok hari oleh Dr. Mengele, serta tipu helah tentera Nazi yang telah mengorbankan seluruh anggota keluarga mereka sejurus selepas mereka berdua dibawa ke sini. Eva dan Ivana kemudian telah diberikan pilihan oleh vampiro Möllemann untuk menjadi vampiro ataupun menerima kematian mereka begitu sahaja.

Eva dan Ivana memilih untuk menjadi vampiro. Pada hari esoknya, mereka telah dibunuh dengan disuntik dengan cecair beracun. Apabila tiba malam hari, mereka hidup kembali sebagai pasangan kembar vampiro, lalu mengikut vampiro Möllemann lari dari pusat tawanan Auschwitz.

Apabila Perang Dunia Kedua tamat, Eva dan Ivana menghabiskan masa mereka memburu setiap pegawai perubatan Nazi yang terlibat di dalam eksperimen kejam yang telah dilakukan kepada kembar seperti mereka - juga pegawai-pegawai Nazi yang telah membunuh keluarga mereka. Eva dan Ivana telah memburu lalu membunuh pegawai-pegawai Nazi ini dengan cara yang paling kejam yang mampu difikirkan mereka...

"Seperti yang aku katakan tadi... Aku telah memilih kamu berdua kerana aku menganggap kamu berdua yang terbaik untuk misi ini." ujarku dengan jujur. Mereka sendiri tahu hampir 300 vampiro dari seluruh dunia yang telah menyahut seruanku apabila aku mencari calon yang terbaik untuk membantuku di dalam misi penting ini.

Eva dan Ivana masih muda jika dibandingkan dengan vampiro-vampiro lain yang ada di antaranya hidup beribu tahun lamanya. Tetapi mereka tetap menjadi pilihanku, kerana dari ramai-ramai vampiro yang ada -Eva dan Ivana lah yang mempunyai kebolehan yang paling luar biasa. Jika kuasa mereka disatukan - dengan menggunakan kudrat api dan air, mereka dapat memusnahkan apa sahaja halangan yang mereka hadapi bersama.

"Kita harus kembali ke makmal... Aku rasa mereka sedang menunggu kita di sana." Ujarku kepada Eva dan Ivana. Mereka mengangguk dengan cepat.

Sambil memegang tangan Eva dan Ivana, aku berjalan ke bangunan Illuminati yang berpura-pura berfungsi sebagai sebuah bangunan pejabat syarikat guaman itu. Aku berjalan masuk ke dalam lif bersama kembar Eva dan Ivana. Aku menarik nafasku dalam-dalam. Aku tersenyum ke arah mereka berdua lantas menunjukkan raut wajah yang yakin kepada mereka, walaupun jauh di hatiku, aku cukup gusar jika mesin ini langsung tidak berfungsi seperti mana yang aku mahukan...

*

Eva dan Ivana kelihatan cukup segak memakai pakaian yang perlu mereka pakai untuk menjelajah masa. Seorang saintis Illuminati berbangsa Jepun nampaknya sedang sibuk mengepam darah sintetik ke dalam pakaian mereka di saat-saat terakhir sebelum misi kami ini bermula.

"Seperti yang telah kita bincangkan sebelum ini, kamu bertiga perlu kembali ke Malaya pada tahun 2005." Ujar ahli sejarawan Illuminati, Dr. Adrian Cuomo. Katanya lagi. "Jika mengikut tafsiran manuskrip Nostradamus yang telah kita curi pada tahun 1555, seorang orakel akan muncul di daerah ini."

Nama Nostradamus sememangnya tidak dikenali di duniaku. Tidak ada satu pun tilikannya ini menjadi nyata, jadi dirinya terus dilupakan, lebih-lebih lagi tulisan-tulisannya yang hilang yang telah dicuri oleh kumpulan Illuminati ketika dia masih hidup dahulu. Seperti Vitruvius, dia adalah seorang konco Frère Maçon. Nostradamus telah diberikan kuasa untuk melihat ruang dan waktu di masa hadapan seperti mana yang mahu diubah oleh Daevas. Maka sebab itulah sejak dari dahulu lagi ahli sejarawan Illuminati beranggapan bahawa tulisan Nostradamus penting agar mereka dapat gunakan untuk melihat perjalanan sejarah yang mungkin akan diubah oleh Daevas sehinggakan kesemua tilikan Nostrodamus akan menjadi kenyataan...

"Apabila aku tiba di sana nanti, aku pasti akan dapat mencari orakel ini." kataku dengan perlahan. Lilith memeriksa setiap sudut pakaian yang kupakai, untuk memastikan semuanya akan berjalan dengan lancar nanti.

"Selamat jalan." Dr. Cuomo bersalaman denganku. Aku dapat merasakan tangannya sejuk. Dia berjalan beberapa langkah ke belakang, menyertai para saintis dan vampiro yang sedang duduk di hadapan skrin komputer masing-masing.

Dr. Wildstein menggunakan isyarat tangan untuk menandakan bahawa kami semua telah bersedia untuk memulakan misi ini. Makmal ini tiba-tiba menjadi senyap sunyi. Jambatan yang menghubungkan bangunan induk kepada makmal di tengah-tengah sfera kosong ini ditarik.

Komputer membuat pengiraannya. Mesin Geiger kulihat berdenyut-denyut membuat pengiraan yang kompleks yang telah disambungkan terus tanpa talian ke pakaian kami.

Aku menuding jariku ke hadapan. Ruang kosong di hadapanku kelihatan seperti terpercik, kemudian bergelombang sebelum bertukar menjadi sebuah pusaran yang besar.

"Lasciate ogni speranza voi ch'entrate," kataku kepada para saintis dan vampiro di hadapanku. Mereka tersenyum walaupun jelas terlukis di wajah mereka garis-garis kerisauan. Aku sekadar meluahkan kalimah yang ditulis oleh Dante Alighieri dalam bukunya 'Inferno' yang membawa maksud: 'tinggalkan semua harapan, kamu yang memasuki di sini...'

Kini tugasku bersama Eva dan Ivana hanya satu... Membawa pulang seorang vampiro orakel yang akan aku cari hanya berpandukan kajian Dr. Cuomo dari penyelidikannya terhadap manuskrip Nostradamus yang telah dicuri lebih 500 tahun yang lalu itu...

posted by Nizam  # 12:59 PM

posted by Nizam  # 12:58 PM