Apabila kami muncul di dalam bilik Yin Peng di Holne Chase, kami mendapati dia biliknya itu masih kosong. Pastinya dia bersama datuk masih dalam perjalanan ke sini lagi.
Kerana terlalu ingin tahu, aku membuka laci meja belajar kepunyaan Yin Peng. Aku mendapati Yin Peng ada menyimpan beberapa keping gambar yang telah diambil oleh datuk. Yang lebih menarik, album lama kepunyaan datuk ada disimpannya di dalam laci tersebut.
Aku telah mengeluarkan album tersebut walaupun ditegah Saiful. Aku dapati Yin Peng baru sahaja membeli album tersebut. Mungkin dia mahu menggunakan album tersebut untuk menyimpan gambar-gambar yang telah dikumpulnya selama ini.
Apabila membelek album tersebut, aku merasa pelik. Aku menimbang berat album tersebut dengan tanganku.
"Kenapa? Apa yang tak kena lagi?" bisik Saiful perlahan, antara dengar dengan tidak.
"Album yang kita ambil dari Kuala Lumpur... Lebih berat dan tebal rasa-rasanya."
"Mungkin album yang kita ambil tu sudah diisi penuh dengan gambar." Kata-kataku tadi tidak menarik perhatiannya.
"Tapi..." aku cuba membantah. Saiful menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan. Mungkin sudah sampai masanya untuk kami kembali ke dunia kami kembali.
Aku meletakkan album gambar yang telah aku jumpa tadi ke dalam laci. Aku memastikan barang-barang yang telah aku keluarkan diletakkan seperti mana yang aku jumpa tadi. Bila aku melakukan ini semua, barulah puas hati Saiful. Wajahnya berubah lega.
Sebelum Aileen melakukan sesuatu untuk membuka jalan pulang di muka cermin solek di dalam bilik asrama Yin Peng, aku telah memastikan agar ikatan benang hitam menghubungkan kami bertiga diikat mati ke ibu jari kami. Apabila kami bersedia, aku telah meminta supaya Saiful melangkah dahulu ke dalam cermin.
Suasana di sebalik cermin agak muram dan gelap. Aku pasti tidak ada sesiapapun di situ. Apabila tiba giliran aku pula untuk melangkah ke dalam cermin, aku dapati ada sesuatu yang tidak kena. Satu lembaga muncul di dalam sebuah sudut yang gelap di dalam bilik lalu berdiri di hadapan kami.
"Inspektor Jason! Kau masih berada di sini lagi?" tanyaku sebaik sahaja aku dipimpin turun dari meja solek oleh Saiful.
"Ya," katanya sambil meraba-raba tengkuknya. Matanya terus kepadaku lalu kepada Saiful. "Beritahu kepadaku apa yang aku lihat tadi adalah mimpi." Pintanya dengan suara yang serius.
"Kau tak bermimpi." Saiful menyambut kata-katanya itu dengan selamba.
"Apa yang sebenarnya berlaku?" katanya dengan suara terketar. Dia menghampiri cermin. Dengan takut-takut dia cuba menyentuh muka cermin, tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku.
Aku dan Saiful saling berpandangan. Kami tidak tahu apa yang perlu kami lakukan. Adakah patut kami menolaknya sehingga terjatuh, lalu mengikatnya lalu lari meninggalkannya di dalam rumah kosong ini?
"Kalau aku beritahu pun kau tak mungkin faham!" kataku bersahaja. Aku akhirnya menolak ke tepi rancanganku untuk cuba menolaknya sehingga jatuh. Dia seorang pegawai polis. Aku pula tidak mahu melakukan sesuatu yang bakal aku sesali nanti.
Aileen membuka pintu bilik untuk memastikan jika ada anggota polis yang lain di dalam rumahnya itu. Dia nampak lega apabila mendapati ruang tamu apartmen lamanya itu kosong.
"Tengah malam tadi aku nampak kau masuk ke dalam cermin... Kemudian, aku memberitahu konstabel-konstabel yang lain tentang apa yang nampak. Mereka fikir aku gila. Tetapi mereka tidak dapat menjelaskan bagaimana kau berdua boleh hilang sedangkan pintu dan tingkap berkunci-"
"Jadi kau tunggu di dalam bilik ini sehingga kami muncul kembali?" tanyaku sambil merapatkan diriku kepada Saiful.
"Ya... Sebab aku pasti aku bukan gila."
"Kau tak gila Inspektor Jason... Kita semua belum gila lagi." Saiful berkata dengan suara yang keras sambil memeluk tubuhnya sendiri. Inspektor Jason langsung menyepetkan matanya ke arah Saiful.
"Jadi apa maknanya ini semua?" suara Inspektor Jason semakin berat kedengarannya. Dia mahukan penjelasan yang lebih terperinci dari Saiful dan dari diriku sendiri.
Aku memandang ke arah jam tangan. Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Kami mempunyai sehari sahaja lagi sebelum terdetiknya jam 12 pagi yang akan menandakan tarikh keramat 14 April. Kami semestinya keluar dari rumah ini secepat mungkin untuk mencari Yin Peng - sebelum semuanya terlambat!
"Begini Inspektor Jason... Kami sebenarnya sedang berusaha mencari seorang wanita yang bertanggungjawab terhadap beberapa kes bunuh yang berlaku di Singapura sejak Perang Dunia Kedua dahulu."
"Kes bunuh?"
"Ya... Seperti kes pembunuhan Chee Meng baru-baru ini dan entah berapa lagi kematian mengejut yang tidak direkodkan."
"Maksud kau... Pembunuhan Chee Meng telah disebabkan oleh wanita yang kau cari ini?"
"Lebih tepat lagi... Sekutunya. Tubuhnya hanya dijadikan hos oleh sekutunya itu di dalam dunia kita ini. Jadi, untuk terus hidup, sekutunya itu perlu membunuh dan terus membunuh untuk mendapatkan tenaga hidup mereka yang menjadi mangsanya."
"Jika apa yang kau kata ini betul... Maka ramailah yang telah menjadi mangsanya?"
"Ya." Jawabku sambil mengangguk sekali. "Dengan adanya teknologi MMS, lebih ramai lagi mangsa yang telah dan akan menjadi korbannya... Kecuali jika kita melakukan sesuatu untuk cuba menghalangnya!"
"MMS?"
"Mangsa akan menerima pesanan MMS yang kelihatan seperti mereka akan menerima wallpaper. Kemudian mereka akan membaca pesanan yang mereka terima tanpa menyedari bahawa mereka sedang membaca mantera untuk membolehkan Colubra atau penunggu kucing keluar masuk ke dalam dunia mereka."
"Columbra?"
"Sekutunya itu adalah makhluk yang dikenali dengan nama Colubra. Di dalam dunia ini Colubra akan menampakkan dirinya seperti seekor ular tedung. Kadangkala ia akan muncul sebagai seekor ular tedung gergasi berwajah manusia."
Inspektor Jason memandang ke arahku memandang seorang perempuan gila. Aku tak faham bagaimana sukarnya untuk dia mempercayai kata-kataku ini sedangkan dia telah menyaksikan sendiri aku keluar masuk dari cermin meja solek di hadapannya ini.
Pintu apartmen diketuk dari luar. Inspektor Jason meminta kami bertiga tunggu di sini dan jangan ke mana-mana.
Pintu hadapan apartment yang tidak terkunci itu terkuak. Aku terkejut lagi untuk kesekian kalinya. Jantungku berdegup semakin kencang.
Di luar, seorang inspektor polis dari Ibu pejabat Divisyen 'G' yang berpangkalan di Bedok memperkenalkan dirinya kepada Inspektor Jason. Inspektor polis yang bernama Bala itu memberitahu kepada Inspektor Jason bahawa dia telah ditugaskan untuk mengambil alih kes ini dari Inspektor Jason.
"Mereka ada di dalam?" tanya Inspektor Bala dengan perlahan kepada Inspektor Jason.
"Ya."
"Tadi aku mereka hilang begitu sahaja?"
"Kesilapan teknik... Nanti akan aku sebutkan secara lebih terperinci di dalam laporan aku nanti."
Sesekali aku dapat melihat Inspektor Bala akan memerhatikan kami dari luar dengan mendongakkan kepalanya.
"Jadi mereka datang kembali ke sini dengan sendiri untuk menyerah diri?"
"Ya..." Inspektor Jason menjawab dengan teragak-agak sambil menoleh ke arah kami. "Beri saya seminit dua untuk memberitahu kepada mereka supaya bekerjasama dengan kita."
Inspektor Bala mengangguk setuju. Inspektor Jason melangkah untuk mendekati kami, lalu membisikkan sesuatu kepadaku:
"Aku perlu membawa Saiful ke balai polis untuk membantu dalam siasatan kami-"
"Nak bantu siasatan apa pula ni? Dia tak bersalah!" aku membantah dengan menaikkan suaraku.
"Dengar ni Pick Yin... Aku memang nak membantu, percayalah! Tapi Saiful perlu dibawa ke balai polis agar kamu semua tidak perlu lari lagi. Kita lakukan perkara ini dengan betul... Kita perlu mengikut prosedur. Kau sendiri perlu ke balai polis agar laporan yang lengkap dapat disediakan."
"Tapi kami tidak mempunyai banyak masa!" Aku mendengus dalam keadaan kurang sabar. Aku dapat merasakan darahku naik menyirap sehingga menyebabkan wajahku panas merona.
"Kamu semua tidak mempunyai banyak masa untuk apa?" tanya Inspektor Jason seolah mencabar kredibilitiku.
"Saiful adalah mangsa MMS berpuaka ini. Kami perlu mencari jalan untuk berhadapan dengan wanita yang aku sebutkan tadi, sebelum..."
"Sebelum apa?" dia kembali melontar persoalan.
"Sebelum si Colubra datang untuk mengambil nyawanya." Kataku pantas. Aku lihat Saiful hanya mendiamkan dirinya. Mungkin dia tidak mahu bertekak dengan Inspektor Jason kerana dia tahu perbuatannya itu langsung tidak akan mendatangkan sebarang hasil.
"Aku berjanji akan menolong kamu bertiga." Kata Inspektor Jason dengan matanya yang tajam itu merenung ke dalam mataku. Kemudian kepada Saiful dan seterusnya Aileen.
Aku tidak mempunyai jalan yang lain kecuali memberikan seluruh kepercayaanku kepadanya. Mungkin dia jujur mahu membantu.
Aku menoleh ke arah Saiful. Dia memegang tanganku dengan erat sebelum dia mendakap tubuhku.
"Saya perlu pergi... Saya tak mahu nanti kerana saya, awak mempunyai rekod polis!" bisiknya ke dalam telingaku. Apabila aku memandang ke wajah Inspektor Jason, aku dapat memerhatikan gurisan cemburu terlukis di wajahnya.
"Tapi!" aku cuba membantah. Saiful berdiri bertentangan dengan Inspektor Jason. Dia menghulurkan tangannya ke hadapan. Dia menunggu Inspektor Jason untuk mengeluarkan garinya.
Lidahku tiba-tiba terkunci. Aku terasa seperti tidak mampu untuk mengeluarkan sebarang kata-kata lagi walaupun jiwaku meruntun mahu memberitahunya bahawa aku akan melakukan apa sahaja untuk memastikan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku kepadanya nanti.
Dengan rasa serba salah Inspektor Jason mengeluarkan garinya. Dia terus menggari Saiful lalu memegang bahunya dari belakang untuk membawanya ke ruang tamu lalu diserahkan kepada Inspektor Bala dari ibu pejabat Bedok itu.
Aku termangu melihat Saiful diperlakukan seperti seorang penjenayah. Di tingkat bawah, di bahagian tempat meletak kereta, dia terus ditolak masuk ke dalam kereta polis oleh seorang pegawai polis muda.
Di dalam kereta polis, Saiful memandang ke arahku dengan raut wajah yang tenang seolah mahu memberitahuku supaya jangan menaruh sebarang perasaan bimbang terhadap dirinya.
Kereta polis yang dinaiki Saiful bergerak laju ke arah Bedok. Aku memegang lengan kiriku sendiri. Cuaca pada pagi itu dingin sekali. Aku rasa bila-bila masa sahaja nanti hujan akan turun. Aileen memegang bahuku lalu memintaku agar bersabar.
"Apa yang akan dilakukan kepadanya di balai polis nanti?" aku menoleh ke arah Inspektor Jason yang sedang berdiri di belakangku.
"Dia akan disoal siasat oleh pihak polis sebelum dimasukkan ke dalam lokap." Inspektor Jason memberitahuku dengan suara jujur.
"Untuk berapa lama?" tanyaku dengan nada suara yang tertahan-tahan marahnya.
"Mungkin dalam masa 24 jam sebelum boleh diputuskan jika dia boleh diikat jamin."
"Apa!"
"Ya, saya tahu... Dia tidak mempunyai banyak masa lagi!" getus Inspektor Jason dengan wajah yang serius. "Tapi biarlah kita selesaikan perkara ini satu persatu."
Aku menarik nafasku dalam-dalam. Aku terpaksa bersetuju.
"Saya akan ikut awak ke balai... Tapi awak perlu berjanji untuk membantu saya untuk menyelesaikan masalah yang saya hadapi ini."
Inspektor Jason mengangguk perlahan tanda setuju. Aku mendongak ke langit. Awan hitam kelihatan berkepul-kepul. Petir dapat kulihat mula sabung-menyabung. Beberapa detik kemudian, hujan turun renyai-renyai turun membasahi bumi.
Inspektor Jason terus memintaku dan Aileen supaya masuk ke dalam kereta polisnya. Dengan berat hati aku masuk ke dalam keretanya. Hujan turun dengan lebat. Aileen yang sedang duduk di sebelahku mengusap-usap rambutku yang dibasahi hujan. Dia cuba menguatkan semangatku walaupun aku tahu, dirinya terasa lemah untuk menangani ini semua...
Aku dapat melihat Profesor Hinkel membongkok mengeluarkan beberapa keping dokumen penting dari almarinya lalu disemaknya betul-betul dokumen-dokumen tersebut di bawah cahaya lilin yang samar-samar sebelum dia memasukkan ke dalam sebuah kotak. Aku rasa Professor Hinkel berusia di sekitar awal 60-an. Wajahnya berkedut. Cermin mata yang dipakainya tebal.
Bunyi bom berdentum kuat menggamatkan keadaan. Aku dapat merasakan gegeran yang kuat menggoncang bangunan. Pihak Jepun nampaknya sedang bersengketa dengan pihak British yang telah membina sebuah kubu pertahanan berdekatan dengan Kolej Raffles.
"Kita tak sepatutnya berada di sini, Prof!" ujar Cleo dengan wajah bimbang. Dia mengoyakkan beberapa keping kertas lalu dibuangnya ke tepi.
"Saya tak mahu semua bahan-bahan kajian ini nanti jatuh ke tangan Jepun. Jika jatuh ke tangan Jepun nanti padah jadinya." Sambut Profesor Hinkel bersungguh-sungguh.
"Kenapa pula? Apa yang boleh mereka lakukan dengan bahan-bahan kajian Prof?" tanya Cleo dengan wajah skeptis. Mana tidaknya, Profesor Hinkel hanya seorang ahli dalam bidang sejarah Zaman Pertengahan Eropah dan bahasa Latin. Bagaimana pula bahan-bahan kajiannya jika jatuh ke tangan Jepun akan menyebabkan kemudaratan kepada manusia sejagat?
"Banyak yang boleh mereka lakukan dengan pengetahuan mereka kepada perkara-perkara yang sukar untuk kita fahami."
"Seperti apa?"
"Seperti manuskrip ini," Profesor Hinkel menunjukkan kepada Cleo. "Jika ia jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab, Midgard, anak kepada Loki dan Angerboda dapat dijemput dari dunianya lalu dikawal dan membuat kacau di dunia ini."
Profesor Hinkel memasukkan manuskrip itu ke dalam beg dokumennya dengan penuh berhati-hati.
Sekali lagi kedengaran letupan bom yang kuat. Bangunan sekali lagi bergegar. Aku dan Aileen menjerit kecil, Saiful menyuruh kami diam.
"Bunyi apa tu? Prof dapat dengar?" tanya Cleo dengan wajah ketakutan.
"Bunyi apa?"
"Bunyi orang menjerit di dalam bilik ini tadi."
Profesor Hinkel menggeleng laju. "Kau dalam keadaan tertekan, sebab itulah kau mendengar suara yang bukan-bukan Yin Peng!"
"Namanya Yin Peng!" bisikku kepada Saiful. Saiful mengangguk.
"Awak rasa kalau kita bisikkan sesuatu ke dalam telinganya dia boleh dengar?"
"Mungkin boleh, agaknya... Tapi kenapa?"
"Kita boleh mengubah sejarah!"
"Baik kita jangan buat macam tu... Kalau tak nanti, lain pula jadinya."
"Apa yang boleh berlaku?"
"Macam-macam! Ish! Lupakanlah!" Saiful menegaskan. Sekali lagi Cleo yang kini kami mengenalinya dengan nama sebenarnya Yin Peng, memandang ke arah kami. Aku yakin dia dapat mendengar suara kami walaupun kelibat kami tidak dapat dilihatnya dengan jelas.
Profesof Hinkel kini mengeluarkan pisau Stregheria dari simpanannya. Dia memandang ke arah Yin Peng. Lalu katanya dengan suara perlahan:
"Yin Peng... Aku ada satu permintaan..."
"Permintaan apa Prof?" tanya Yin Peng. Cahaya lilin menerangi wajahnya yang cantik itu.
"Aku mahu kau menyimpan pisau ini dengan baik." Dia menyerahkan pisau itu ke tangan Yin Peng.
"Prof tak boleh simpan sendiri?"
"Pisau ini terlalu tinggi nilainya untuk aku bawa bersamaku. Aku takut nanti akan terjadi apa-apa kepadaku ketika aku cuba mencari jalan untuk pulang ke England."
"Prof tak perlu bimbang... Pihak British pasti akan dapat mempertahankan Singapura dari kemaraan tentera Jepun."
"Memang itu yang kita semua mahukan... Tapi bagaimana jika Singapura ini jatuh ke tangan Jepun nanti?"
Yin Peng tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh Profesor Hinkel. Dia mula merasa serba salah menerima pemberian dari Profesor Hinkel itu.
"Dari mana prof dapatkan pisau ini?"
"Pisau Stregheria ini saya beli dari seorang penjual barang-barang antik di Genoa, Italy. Dia menjual pisau ini kepadaku tanpa mengetahui nilainya yang sebenar."
"Jadi... Kenapa Prof rasa pisau ini begitu berharga?"
"Pisau ini mempunyai kuasa yang luar biasa..."
"Luar biasa?"
"Ya... Pisau ini jika digunakan dengan betul dapat digunakan untuk masuk ke ruang dan waktu yang lain. Tetapi fungsinya yang lebih penting adalah untuk menyeru dua makhluk - Colubra dan si kucing."
"Jika kedua-dua makhluk ini diseru, apa yang akan terjadi?"
"Colubra akan memakbulkan permintaan tersebut dan setelah permintaan dimakbulkan, si kucing akan membawa sesiapa yang membaca mantera yang tertulis di atas pisau Stregheria ini ke alamnya, lalu dijadikan hamba suruhannya buat selama-lamanya..."
"Jadi ada juga orang yang mahu melakukan ini semua?" tanya Yin Peng sambil meraba-raba tengkuknya.
"Ya... Manusia di dalam masa-masa yang terdesak akan melakukan apa sahaja, Yin Peng! Kau pasti ingat kepada legenda Fautus dan Mephistopheles yang pernah aku ceritakan di dalam kelas dua tiga bulan yang lepas..."
"Ya... Christopher Marlowe pernah menulis karyanya yang bertajuk Doctor Faustus dan Faust pula ditulis oleh Johann Wolfgang von Goethe. Kedua-dua mereka menulis tentang Fautus yang dikatakan mendapatkan khidmat Mephistopheles untuk menunaikan kemahuannya-"
"Legenda Fautus bermula dengan ini." Profesor Hinkel menudingkan jarinya ke arah pisau Stregheria yang sedang berada di dalam genggaman Yin Peng. "Makhluk seperti Mephistopheles ini wujud di dalam banyak mitos di seluruh dunia... Di antaranya adalah mitos Jerman ini. Dan selalunya ia akan muncul di dalam bentuk Colubra, iaitu seekor ular tedung. Bukan satu kebetulan apabila di dalam karya Goethe, Faust telah memanggil Mephistopheles seekor ular yang terkutuk!
"Jadi... Jangan kau sekali-kali tanggalkan sarung pisau ini. Bukan orang yang sembarangan yang dapat mengawalnya. Kau perlu menyimpan pisau ini sehingga aku datang sendiri untuk mencarinya apabila semua kecelaruan yang kita hadapi ini selesai kelak."
Yin Peng menganggukkan kepalanya dengan perlahan. Dia memegang pisau Stregheria ini rapat ke dadanya.
"Kita perlu pergi dari sini sekarang... Kapal dagang yang akan membawaku ke India akan bertolak malam pada tengah malam ini." Profesor Hinkel bergegas membawa beg dokumen serta sebuah kotak penuh dengan buku keluar dari pejabatnya. Yin Peng pula memasukkan pisau Stregheria pemberian Profesor Hinkel lalu dimasukkan ke dalam beg galasnya.
Yin Peng bersalaman dengan Profesor Hinkel. Dia mengucapkan selamat jalan kepadanya sebelum dia bergegas turun ke bawah.
Aku, Aileen dan Saiful mengambil keputusan untuk mengekorinya ke tingkat bawah bangunan Federal. Di sana, aku dapat melihat kelibat seorang pemuda yang sedang menunggunya di sana.
"Kenapa lambat sangat, Cleo!" tanya pemuda yang usianya pasti belum mencecah 20 tahun itu.
"Maaflah Anthony... Banyak kertas-kertas Prof yang terpaksa saya musnahkan untuknya. Dia takut jika tempat ini diambil alih Jepun, semua kajiannya akan diambil dan diplagiat mereka." Ujar Yin Peng dengan suara perlahan.
"Saya perlu cepat-cepat bawa awak pulang ke Holne Chase secepat mungkin. Pihak tentera Jepun sudah mara sehingga ke kawasan Bukit Timah ni!" dia mengambil basikalnya lalu dia telah meminta Yin Peng supaya menaikinya. Sepintas lalu kemudian, dia terus menunggang basikalnya itu laju-laju merentasi kawasan dataran kosong Upper Quadrangle. Kelibat mereka berdua hilang dimakan kegelapan malam.
"Itu datuk saya!" bisikku ke telinga Saiful.
"Ya, saya tahu..." jawab Saiful sambil merapati dirinya kepadaku.
"Kesian dia... Selepas ini dia akan mendapat tahu semua anggota keluarganya mati dibom Jepun." Ujar Aileen pula.
"Yin Peng dah banyak berubah sejak si Colubra mendiami tubuhnya dan mengajarnya ilmu sihir yang hebat... Dia bukan lagi seperti gadis yang kita lihat tadi. Perasaan dendam yang ada di dalam dirinya akhirnya memakan dirinya." Saiful mengingatkan. Katanya lagi: "Si penunggu kucing hanya menunggu masa sahaja untuk membawa Yin Peng ke alamnya setelah dia berjaya membalas dendam kesumatnya... Tetapi si Colubra lebih senang hidup di dunia ini lalu terus menggunakan tubuh Yin Peng untuk terus melakukan kejahatan di dunia ini."
"Yin Peng telah membunuh kawannya sendiri yang bernama Melly itu apabila Melly mengetahui siapa dirinya itu yang sebenar." Kataku membentangkan satu telahan yang aku sendiri tidak tahu dari mana datangnya, tetapi entah mengapa, aku pasti telahan aku ini benar sama sekali. "Dia memang susah banyak berubah..."
"Jadi sekarang kita tahu namanya... Kita dapat menggunakan nama ini untuk mengalahkannya, kan?" tanya Aileen meminta kepastian.
"Ya," jawab Saiful dengan pasti. "tetapi sebelum itu kita perlu mencari jalan untuk pulang ke dunia kita dahulu."
Aku mengangguk pantas tanda setuju. Kini nama sebenar Cleo sudah kuketahui. Apa yang perlu aku lakukan sekarang adalah untuk mencarinya, berhadapan dengannya sebelum sumpahan yang menimpa Saiful mengorbankannya seperti mangsa-mangsa sumpahan MMS berpuaka yang lain.
Tentang Dia oleh Sultanmuzaffar dengan suntingan tambahan oleh Nizam Zakaria
Tentang Dia ceritanya berpaksi kepada watak Gadis seorang yang muram perwatakannya. Kemuraman dirinya menjadi tunjang utama dalam filem hasil garapan Rudi Soedjarwo. Ceritanya ditulis oleh Titien Wattimena yang diadaptasi dari cerpen yang ditulis oleh Melly Goeslaw.
Gadis yang dilakonkan oleh Sigi Wimala berperwatakan kelam. Kabur. Hidupnya tampak suram, penuh duka sejak ditinggalkan kekasihnya yang mengahwini temannya. Rutin kehidupannya amat membosankan dengan jalan cerita yang sama setiap hari juga menjadi bahan jenaka kawan-kawan sekampusnya.
Namun demikian kehidupan aneh Gadis telah menarik perhatian Randu (Fauzi Baadilla) jejaka yang menjadi pujaan seluruh kampus. Walaupun ramai gadis ingin mendekatinya, namun Gadis tetap menjadi pujaannya. Seboleh mahu ia berusaha mendapatkan perhatian Gadis. Jelas, reaksi Gadis masih samar-samar.
Satu hari kerana sifat lalainya, Gadis telah terlanggar Rudi (Adinia Wirasti) seorang perempuan yang berperwatakan keras (atau dalam kata lain, pengkit) yang bekerja di sebuah kedai makan. Lantas mengubah kehidupan suram Gadis menjadi sesuatu yang lebih indah. Kehidupannya lebih terbuka kini. Gadis seakan-akan keluar dari kongkongan yang mengongkong dirinya. Rudi juga seakan-akan memberikan satu perspektif baru pada dunia Gadis.
Perubahan tersebut sekali gus telah menimbulkan rasa hairan Randu dan beliau cuba mencari penyebabnya. Lama-kelamaan, Rudi mengesyaki ada sesuatu hubungan intim antara Gadis dan Rudi. Dalam waktu yang sama Gadis merasa tidak selesa melihatkan hubungan intimnya bersama Rudi yang semakin erat.
Pembaharuan yang dibawa oleh filem ini memperlihatkan penataan seninya yang bersifat kelam, kabur dan suram. Warna-warna terang yang ada dalam Ada Apa Dengan Cinta tiada pada filem ini. Penggunaan warna kelabu dan biru gelap seakan dominan pada setiap adegan. Hujan yang turun seakan-akan memberi tafsiran membasuh ego, suram, kelam mereka lalu mereka disatukan.
Naratif filem ini bergerak terlalu lambat. Mungkin terlalu lambat atau sengaja dilambatkan. Di dalam banyak hal, filem ini mungkin mahu bergerak jauh dari acuan Ada Apa Dengan Cinta oleh pengarahnya Rudi Soedjarwo. Filem ini mungkin mahu memperkenalkan kepada khalayak penonton kepada filem cinta dengan nafas dan gaya baru - sekurang-kurangnya di Indonesia.
Pengalaman Rudi yang telah melalui perjalanan hidup yang perit apabila melihat kesengsaraan adiknya menjadikannya seorang yang menyesali kehidupannya yang terdahulu. Lalu beliau menggunakan peluang yang ada di hadapannya untuk menginsafi kesilapannya yang lalu. Rudi menjadi begitu mengambil berat hingga disalah anggap.
Gandingannya dengan Gadis menjadi begitu erat dan beliau banyak menasihati Gadis untuk membuang kisah-kisah silamnya dan kekuatan diri untuk menghadapi kehilangan seseorang yang kita sayangi.
Rudi terlalu mengongkong lagaknya sehingga menimbulkan kecurigaan di hati Gadis. Tetapi penonton akhirnya akan mengerti mengapa Rudi bersikap demikian...
Ulang tayang kisah silam Rudi menyerupai apa yang dialami oleh Gadis. Kehidupan mereka penuh dengan onak dan ranjau yang menyebabkan jiwa mereka tertekan melalui zaman remaja yang penuh pancaroba.
Ia merupakan sebuah eksperimen Rudi Soedjarwo dalam menghasilkan sebuah filem remaja yang nyata berbeza dengan filem remaja masa kini. Sinematografi yang suram dengan latar biru menjadi objek utama dalam filem ini. Keadaan yang suram ini disengajakan oleh pengarah untuk menunjukkan perasaan sedih, murung dan rasa tersisih Gadis terhadap lingkungan dunianya. Sememangnya semua ini nampak jelas, tetapi tidak diperkukuhkan lagi dengan lakonan yang lebih mantap dari pelakon utamanya sendiri, Sigi Wimala. Lakonannya sukar untuk membuatkan penonton bersimpati kepada keadaan dirinya yang ditinggalkan kekasih, malah penonton mungkin akan tertanya-tanya mengapa dia perlu begitu bersedih ditinggalkan kekasih sebegitu rupa? Perlu kah dia bersikap 'over' seperti ini?
Lakonan Adinia Wirasti sebagai Rudi lebih memberangsangkan. Lakonannya yang bersahaja pasti akan membuat penonton rasa dekat kepadanya.
Seperkara yang perlu diamati oleh penonton adalah nilai produksi filemnya ini (atau filem-filem dari Indonesia dan Thailand) yang tinggi jika dibandingkan dengan filem-filem di Malaysia. Filem ini tebal dengan semiotik yang mampu mengundang pelbagai interpretasi. Pastinya semuanya telah dirancang oleh si sutradara dengan begitu teratur sehingga berhasil menyiapkan sebuah warkah filem yang bersifat 'art-house'. Filem ini bukan filem cinta sembarangan. Khalayak penonton filem-filem cinta remaja ala Kuliah Cinta, Cinta Fotokopi dan Sembilu 2005 pasti sukar untuk menerima filem ini.
Filem ini sebuah filem yang cantik. Ia telah digarap dengan baik dan pastinya akan memuaskan hati penonton-penonton yang sentiasa mencari sesuatu kelainan dari apa yang mereka tonton.
Sebelum pintu bilik tidur utama dibuka secara paksa dari luar, aku cepat-cepat memasukkan pisau Stregheria ke dalam laci yang terdapat di meja solek. Beberapa orang anggota polis meluru masuk ke dalam bilik. Inspektor Jason terus mendapatkanku. Apabila Inspektor Jason dapat melihat aku dan Aileen kelihatan terkejut, dia terus mengarahkan anggota-anggota polis yang lain supaya keluar dari bilik.
"Kau tak ada apa-apa ke?" dia bertanya dengan wajah risau. Terus dia merapatiku.
"Tak," aku menggeleng cepat. Aku berpaling ke wajah Aileen. Dia masih kelihatan terkejut. Wajahnya pucat. "Siapa yang beritahu kepada kau aku sedang berada di sini?"
"Pada pukul 9 malam tadi, Saiful telah menelefon ibunya. Kami dapat mengesan lokasinya di kawasan ini. Kemudian kami dapat tahu bahawa orang tua Aileen pernah tinggal di sini... Jadi kami pasti dia telah menculik kamu berdua lalu menyembunyikan kamu berdua di sini-"
"Culik? Culik apa ni?" kataku marah sambil bercekak pinggang. "Siapa yang kena culik?"
"Bukan kamu berdua telah diculik Saiful?"
"Tidak!" sahutku tegas. "Siapa pula kata kami diculik!"
"Ketika kami sedang mengawasi apartmen ini tadi kami mendengar jeritan-"
"Aku dan Aileen bergurau saja tadi. Cuba lihat ni!" aku menunjukkan ikatan benang pada ibu jariku kepada ibu jari Aileen. "Kami sedang bermain satu permainan tradisi orang-orang... Argentina. Betul kan, Aileen?"
Aileen mengangguk cepat. Matanya kini terus kepada cermin meja solek yang memalingkan wajahnya yang kelihatan takut itu.
Jason mengekori pandangan mata Aileen. Dia berpaling ke arah meja solek antik di hadapannya. Dia memeriksa meja solek tersebut. Tidak ada apa-apa yang mencurigakan di situ.
"Di mana Saiful?" tanya Inspektor Jason dengan nada yang lebih serius.
"Dia tak ada di sini." Sambutku dengan suara yang serius juga.
"Jadi di mana dia sekarang?"
"Dah saya katakan... Dia tak ada di sini!"
"Dah aku katakan... Jangan terlalu rapat dengannya. Sekarang apa sudah jadi?"
"Apa yang dah jadi?"
"Bukan dia yang cuba membunuh datuk kau di KL?"
"Inspektor Jason... Bila datuk saya sedar nanti dia akan jelaskan segala-galanya." Kataku dengan mataku terus kepada matanya. "Tapi percayalah, Saiful tidak melakukan apa-apa untuk menganiayai saya atau datuk saya!"
"Apa-apa pun Pick Yin, kau mesti ikut aku ke balai polis untuk siasatan lanjut." Beritahu Inspektor Jason sambil berpeluk tubuh, seolah-olah menungguku untuk mengikutnya keluar untuk di bawak ke balai polis.
"Tunggu sebentar, ya... Saya dan Aileen perlu berbincang tentang hal ini dahulu." Kataku lalu memegang tombol pintu. Aku mempersilakan inspektor Jason supaya keluar dari bilik. Inspektor Jason memerhatikan keadaan bilik sebelum dia melangkah keluar. Mungkin dia ingin memastikan agar kami tidak lari ke mana-mana.
Di luar, aku dapat melihat dua orang anggota polis muda sedang memerhatikan setiap gerak-geriku dengan penuh curiga.
Aku menutup pintu. Kemudian aku terus memegang tangan Aileen lalu membawanya menghadap ke cermin meja solek.
"Aileen... Kau perlu tolong aku!" pintaku dengan nada memujuk.
"Tolong apa pulak ni?"
"Kita perlu cari Saiful sampai dapat!"
"Apa kau dah gila? Kau tak nampak apa yang telah berlaku kepada dia tadi?"
"Aileen... Tolong aku Aileen. Cuma kau sahaja yang boleh tolong aku sekarang. Hanya kau sahaja yang boleh membantu aku supaya masuk ke dalam dunia di dalam cermin tu."
"Kenapa kau mahu lakukan ini semua, Pick Yin?"
"Kerana aku sayangkan Saiful!"
Pintu diketuk berkali-kali dari luar. Aku menjerit meminta Inspektor Jason supaya memberiku sedikit masa sahaja lagi.
"Okay... Aku lakukan ini semua kerana aku tahu kau sayangkan Saiful dan kerana aku seorang yang romantis." Aileen memberitahu. Dia mengetapkan bibirnya.
Aku mengeluarkan kembali pisau Stregheria dari dalam laci. Aku menyerahkan pisau tersebut kepada Aileen.
"Jadi apa yang perlu aku lakukan sekarang?" dia bertanya kepadaku sambil memeriksa ukiran halus yang terdapat di permukaan pisau tersebut.
"Kau baca sahaja apa yang tertulis di situ dan kemudian-"
"Kemudian apa?"
"Kemudian cuba tumpukan perhatian kau kepada Saiful."
Pintu sekali lagi diketuk dari luar. Aku cepat-cepat meminta Aileen supaya melakukan apa yang kupinta tadi.
Aileen cepat-cepat membaca mantera di atas pisau Stregheria yang tajam itu. Kemudian, dia mengambil pisau tersebut lalu ditusukkan ke dalam cermin. Permukaan cermin berkocak dan berombak.
"Biar aku masuk dahulu," ujar Aileen. Aku mengangguk setuju. Dia naik ke atas meja solek lalu masuk ke dalam cermin. Aku mencapai segulung benang hitam yang telah kuletakkan di tepi meja solek sebelum mengikutnya dari belakang.
Sebaik sahaja aku dapat masuk ke bahagian satu lagi, aku dapat melihat keadaan Inspektor Jason yang masuk ke dalam bilik. Dia terkebil-kebil apabila dia mendapati aku dan Aileen tidak lagi berada di dalam bilik itu tetapi di dalam cermin.
Mulutnya ternganga. Dia nampak terkejut. Kemudian dengan perlahan-lahan wajahnya menjadi pudar sehingga pandangan di dalam bilik terus hilang sama sekali.
"Di mana kita sekarang?" tanya Aileen kebingungan.
"Aku tak tahu." Jawabku dengan jujur. Aku memandang ke arah keadaan di sekelilingku. Aku memutuskan dari tinjauanku, aku sedang berada di sebuah bilik asrama.
Aku memutuskan ikatan benang di ibu jariku. Aku memeriksa meja belajar yang terdapat di dalam bilik tersebut. Di atas meja terdapat sebuah jam berkalendar. Aku memerhatikan jam kalendar tersebut.
"11 Februari 1942... Jam 7.45 malam." Getusku kepada Aileen.
"Apa?"
"Kita sekarang sedang berada di ambang peperangan... Kalau tak salah aku, pada tarikh ini, Singapura diserang Jepun." Beritahuku kepada Aileen. Aku memandang ke arah gambar Cleo yang telah diambilnya dengan seorang pemuda yang diletakkan di atas meja. Aku pasti bilik ini didiaminya. Apabila aku memeriksa gambar itu betul-betul aku dapati Cleo telah bergambar dengan datukku.
"Singapura akan jatuh ke tangan Jepun beberapa hari sahaja lagi, iaitu pada 15 Februari 1942. Jatuhnya Singapura ke pihak Jepun dianggap sebagai antara kekalahan yang paling besar di dalam sejarah ketenteraan British pada Perang Dunia Kedua." Jelas Aileen dengan perlahan.
Kami dapat mendengar bunyi kapal terbang yang terbang rendah. Bunyi siren sayup-sayup kedengarannya. Sesekali kami akan dapat mendengar bunyi dentuman bom yang kuat.
"Di mana Saiful?" bisikku kepada diriku sendiri. Lagipun tujuan kukemari juga kerana ingin mencarinya.
Tiba-tiba aku dapat lihat Saiful muncul di dalam satu sudut yang gelap. Aku terus meneriak memanggil namanya. Sejurus kemudian, dia mendapatkanku lalu mendakapku dengan erat.
"Lama saya tunggu awak-"
"Lama?"
"Ya... Lama saya di sini..."
"Berapa lama?"
"Saya pun tak pasti... Mungkin sehari dua. Saya memang tak pasti."
"Tapi awak baru sahaja masuk ke dalam cermin tadi!"
"Entahlah... Saya pun tak tahu apa yang sedang berlaku kepada kita semua sekarang. Apabila saya berjalan, saya selalu sahaja tersesat dan saya tak tahu bagaimana untuk mencari jalan pulang... Jauh saya merayau, sehinggalah saya tiba di sini."
"Jadi... Apa berlaku kepada lembaga yang tarik awak ke dunia ni?"
"Ia adalah si penunggu kucing di dalam bentuknya yang sebenar. Katanya, ia perlu menarik saya kembali kerana ia tidak mahu diri saya ditangkap. Diri saya dalam bahaya-"
"Inspektor Jason telah merempuh masuk ke dalam rumah sebentar tadi... Dia sedang memburu awak. Mereka fikir awak cuba menculik saya dan Aileen."
Saiful tersengih. Dia menggelengkan kepalanya.
"Bagaimana awak tahu kami akan berada di sini?"
"Si penunggu kucing yang beritahu apabila kepada saya sebentar tadi... Lalu dia menyuruh saya menumpukan fikiran saya kepada awak. Apabila saya melakukan ini semua, tiba-tiba sahaja saya muncul di dalam bilik ini."
"Di mana dia sekarang?"
"Si penunggu kucing?"
"Ya."
"Entahlah. Saya tak tahu."
"Jadi apa yang patut kita lakukan sekarang?"
"Menurut si penunggu kucing, kita harus ke Kolej Raffles... Cleo sedang berada di situ bersama Profesor Hinkel."
"Tapi untuk apa? Bukankah lebih baik jika kita pulang ke dunia kita sekarang?"
"Mungkin ada sesuatu yang ingin ditunjukkan kepada kita."
Aku menarik nafasku. Aku memandang ke arah Aileen. Dia menaikkan kedua belah bahunya. Dia kemudian memberitahuku dia akan mengikut ke mana sahaja aku pergi.
Kami bertiga keluar dari bilik asrama yang didiami oleh Cleo itu. Keadaan di dalam banglo yang telah dijadikan asrama pelajar wanita kolej Raffles di Holne Chase itu agak sepi. Ramai pelajar-pelajarnya sedang bersembunyi di dalam ruang utama di tingkat atas. Lampu-lampu bilik dimatikan sama sekali.
"Mereka tidak akan dapat melihat kehadiran kita di sini." Ujar Saiful kepadaku dan kepada Aileen.
"Maksud kau... Kita semua tak ubah seperti hantu?"
"Macam tu lah agaknya." Jawab Saiful bersahaja. Kami terus melangkah keluar dari Holne Chase.
Sememangnya benar kata-kata Saiful itu. Apabila dia membuka pintu hadapan dan apabila aku memandang ke arah cermin besar di ruang hadapan Holne Chase, aku langsung tidak dapat melihat kelibat kami bertiga. Yang dapat aku lihat cuma keadaan pintu yang terbuka dengan sendirinya.
"Kita datang dari ruang dan waktu yang berbeza... Lagipun kita tidak sepatutnya wujud di dalam ruang dan waktu ini. Jadi mereka semua tak akan dapat melihat kita semua secara fizikal." Jelas Saiful. Dia berjalan keluar sehingga ke pintu pagar. Di luar aku dapat melihat sekumpulan tentera Jepun yang sedang berbasikal lalu di hadapan kami.
"Jadi dari Holne Chase ini kita akan berjalan ke Bukit Timah?" tanya Aileen dalam keluhan sambil memeluk tubuhnya.
"Tak payah." Jawab Saiful pendek. Mata terus kepada saki baki tentera Jepun yang sedang berbasikal ke arah kota Singapura.
"Tak payah?"
"Aku rasa tak payah..." ujar Saiful sambil menggaru-garu dagunya yang kini ditumbuhi janggut pendek akibat dirinya sudah lama tidak bercukur. "Jika kita tahu ke mana kita mahu pergi, kita hanya perlu memikirkannya."
"Wow!" wajah Aileen cukup teruja. "Jadi kalau aku nak pergi ke Orchard Road, aku hanya perlu memikirkan tentang sale di Tangs lah, ya?"
"Aileen... Masa ni masa ada Tangs!" kataku sambil mencebik. Dalam masa-masa seperti ini dia masih mahu main-main lagi.
Aileen ketawa kecil. Saiful pula menggenggam tanganku dan tangan Aileen. "Okay, jangan buang masa... Kita perlu menumpukan fikiran kita kepada apa yang telah dapat kita apabila Cleo menolong Profesor Hinkel mengemaskan barang-barangnya di dalam bilik pejabatnya. Cuba bayangkan diri kita sedang berada di dalam bilik tersebut apabila perkara ini berlaku."
Kami bertiga mencuba kaedah ini. Kami membuat satu bulatan lalu menutup mata kami untuk menumpukan perhatian kami kepada Cleo dan Professor Hinkel.
Aku tidak dapat merasakan apa-apa perubahan kepada diriku. Tetapi apabila mataku dibuka, aku mendapati aku sedang berada di dalam bilik pejabat Profesor Hinkel bersama Aileen dan Saiful...
Kami dijemput masuk ke dalam apartment lama Aileen yang terletak di Telok Kurau. Apartmentnya itu kosong. Banyak perabot telah dibawa keluar. Keadaan di dalam apartment kosong itu muram. Apabila kami cuba berbual, suara kami berdengung memenuhi ruang.
Aileen membawa bahan-bahan makanan yang telah dibelinya terlebih dahulu di Raffles City lalu di letakkannya di atas kabinet dapur. Sejurus kemudian, dia membuka tingkap-tingkap di rumahnya itu untuk membenarkan udara segar masuk.
Saiful duduk di atas kerusi sofa di ruang tamu. Dia termenung memandang ke hadapan ke arah sebuah kabinet kosong yang pernah diletakkan sebuah TV besar di atasnya.
"Saya masakkan makan malam, ya?" ujarku kepada Saiful. Dia mengangguk sekali lalu kembali termenung.
Aku mengeluh lesu. Aku kasihan melihat keadaannya. Dia mahu menemui keluarganya di Yishun dalam masa-masa seperti ini, tetapi dia tidak mahu dirinya ditangkap. Dia yakin pihak polis sedang memburunya. Dia tidak boleh menggadai nasibnya sehingga menyebabkan dirinya tertangkap nanti. Dia tahu dia tidak mempunyai banyak masa untuk berusaha menyelamatkan nyawanya sendiri.
*
Sepuluh minit lagi sebelum detik jam 12 tengah malam. Perkakas yang paling penting, segulung benang hitam kuletakkan di atas meja solek lama di dalam bilik utama di dalam apartmen lama Aileen.
"Apa kau nak buat dengan benang tu?" tanya Aileen dengan dahinya berkerut memandangku mengikat seutas benang ke ibu jariku.
"Kita perlu membuat satu ikatan."
"Ikatan apa ni?" tanya Aileen lagi sambil memegang tengkuknya.
"Supaya kita tidak sesat nanti." Aku menjelaskan sambil melihat Saiful menyalakan beberapa batang lilin di dalam bilik yang kosong itu.
"Jadi kau yakin apa yang bakal kita buat ini akan menjadi?"
"Ya!" aku menjawab pasti. Aku harap Aileen akan memberi seluruh kepercayaannya kepadaku.
Aku mengikat seutas benang pada ibu jarinya lalu aku meminta Saiful berdiri di sebelah kirinya. Aku mengikat ibu jarinya agar dirinya terikat kepada Aileen. Kemudian aku meminta perkara yang sama dilakukan kepadaku.
Saiful mematikan lampu bilik. Kini bilik itu hanya diterangi dengan cahaya lilin. Bayang-bayang kami menari-nari di atas dinding.
"Betul ke apa yang kita buat ni?" tanya Aileen dengan wajah bimbang.
"Jangan takut lah, Aileen!" aku mengusap-usap rambutnya yang lembut itu. Saiful pula mengeluarkan sekeping kertas kecil dari kocek bajunya. Kertas itu terkandung mantera yang tertulis di dalam pesanan MMS berpuaka yang diterimanya. Kertas tersebut diberikan kepada Aileen.
Aku memandang ke arah jam tanganku. Kemudian kepada Saiful. Dia menoleh ke arahku, mulutnya terbuka seolah ingin memberitahuku sesuatu. Tetapi dia diam. Dia hanya memberiku satu pandangan yang cukup kumengerti. Satu pandangan yang mungkin akan difahami oleh mereka yang sedang bercinta.
"Apa yang hendak awak beritahu kepada saya?" tanyaku, cukup terkejut bagaimana aku boleh terasa begitu tertarik kepada keadaan fizikal dirinya, di dalam keadaan yang cukup tertekan seperti ini. Aku cuba sedaya mungkin untuk melupakan ini semua - walaupun buat seminit.
"Saya mahu minta maaf," kata Saiful, wajahnya penuh sesal.
"Untuk apa?"
"Untuk semua ini... Awak tak sepatutnya terlibat sama. Awak tak perlu lakukan ini semua untuk saya."
Aku menghadapnya. Aku merasa seperti seorang gadis bawah umur yang sedang berhadapan dengan kekasih barunya. "Saya juga terlibat sama dalam hal ini... Lagipun, jika saya tak bantu awak, siapa lagi?"
Saiful bergerak semakin hampir kepadaku seperti mahu mengucupku. Aileen yang sedang berada di tengah-tengah berdecit. Dia terus duduk di hadapan meja solek lama kepunyaan neneknya itu.
"Dah, cukup!" kata Aileen sambil menjeling ke arahku. "Kau berdua dah lupa ke sekejap lagi jam 12?"
Aku hanya mampu tersenyum kepada Saiful. Aku memandang ke arah jam tanganku. Aileen mempunyai lebih kurang seminit sahaja untuk membaca mantera yang telah diberikan kepadanya.
"Kau boleh baca sekarang," perintahku tegas dengan membisikkan ke telinganya. Mataku kini terus kepada wajah Aileen di muka cermin. Mulutnya bergerak-gerak membaca mantera.
Meja solek di hadapanku ini sememangnya nampak antik. Menurut Aileen, meja ini telah wujud sejak tahun 1930-an lagi ketika neneknya masih kecil. Ukirannya sederhana, peninggalan pegawai British yang pernah bertugas di Singapura satu ketika dahulu.
Sejurus selepas Aileen selesai membaca mantera, dia menoleh memandang ke arahku, kemudian ke arah Saiful. Dia sedang menunggu sesuatu berlaku kepada dirinya.
Aku memandang ke cermin. Tidak ada apa-apa perkara pelik yang berlaku. Keadaan seperti sebelumnya. Aileen memandang ke arahku dengan wajah skeptis.
"Tak ada apa-apa pun!" kata Aileen menoleh ke arahku. Kemudian belum sempat dia dapat menambah kata-katanya, seekor kucing hitam tiba-tiba muncul di belakang kami. Kami dapat melihat kucing itu melalui cermin, tetapi apabila kami menoleh, kucing itu tidak ada di tempatnya.
Kucing itu melompat ke atas meja solek. Kehadirannya dapat kami lihat pada bahagian di sebalik cermin. Ia kemudian melangkah ke dalam cermin di hadapannya lalu masuk ke dunia kami. Ia melakukan semua ini dengan penuh bersahaja.
Aileen nampak ketakutan. Nafasnya turun naik dengan laju. Aku memberitahunya supaya jangan takut. Si penunggu kucing tidak akan mengapa-apakannya.
Penunggu kucing duduk di atas meja solek sambil memandang ke arah Aileen. Pandangannya tajam. Aileen takut melihat renungan mata si penunggu kucing. Dia berpaling ke arahku.
Tiba-tiba si penunggu kucing melompat ke arah Aileen. Ia terus menghilang ke dalam tubuh Aileen.
Wajah Aileen berubah. Dia tidak nampak takut-takut lagi seperti tadi. Dia memandang ke arahku. Kemudian ke arah Saiful. Naluriku memberitahu bahawa diri Aileen kini dikawal oleh si penunggu kucing.
"Di antara nama yang manusia gunakan untuk memanggilku adalah Mafdet... Kau boleh menggunakan nama ini untuk memanggilku." Ujarnya dengan suara yang garau.
"Kau telah memintaku melakukan ini semua agar kita dapat berhubungan... Jadi apa yang mahu katakan kepadaku?" tanyaku tanpa teragak-agak.
"Kau perlu menghalang si Colubra dari membunuh lagi. Dia akan terus membunuh selagi tak ada sesiapapun yang menghalangnya."
"Tapi bagaimana?"
"Mungkin kau perlu tahu apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan aku terperangkap di dalam duniamu ini." kata si penunggu kucing sambil merenung ke dalam bayangan wajah Aileen di dalam cermin.
Cermin di hadapanku beransur-ansur berubah gelap. Kemudian aku dapat melihat satu imej yang bergerak di dalam cermin seolah cermin ini berubah menjadi layar TV. Aku dapat melihat pergerakan imej kadangkala cepat dan kadangkala pula perlahan. Suara yang dapat aku dengari juga kelam. Apa yang pasti, aku fahami apa yang sedang aku saksikan kini - aku sedang diperlihatkan kepada kehidupan wanita yang pernah datuk kenali dengan nama Cleo itu.
Aku telah diperlihatkan kepada peristiwa Profesor Hinkel cuba mengemaskan barang-barang kepunyaannya dengan bantuan Cleo. Kejadian ini berlaku pada waktu malam di dalam bilik pejabat Profesor Hinkel di Kolej Raffles. Mereka berdua kelihatan tergesa-gesa memasukkan beberapa dokumen penting ke dalam sebuah kotak. Kedengaran bunyi kapal terbang yang sedang terbang rendah disulami dengan bunyi siren yang memekakkan.
Profesor Hinkel kemudian mengeluarkan sebilah pisau dari dalam meja tulisnya. Pisau tersebut diserahkan kepada Cleo agar pisau itu dapat dijaganya sehingga dia datang mengambilnya apabila keadaan semakin reda di Singapura. Sebelum itu aku dapat melihat Profesor Hinkel seperti memberi amaran kepadanya supaya jangan membuka sarung pisau pemberiannya itu sembarangan ataupun cuba membaca perkataan-perkataan yang terukir di atas pisau tersebut.
Imej berubah pula kepada keadaan Cleo yang telah dirogol beramai-ramai. Ketika perkara ini ditunjukkan kepadaku, aku langsung tidak mampu untuk melihatnya. Aku berpaling ke tepi, tetapi aku masih lagi dapat mendengar suara Cleo yang sedang meraung dan merintih.
Kemudian keadaan menjadi sepi. Aku kini dapat melihat keadaan cleo yang dibiarkan duduk keseorangan di dalam biliknya. Dia meletakkan pisau yang telah diberikan oleh Profesor Hinkel di hadapannya. Dia mengeluarkan pisau itu dari sarungnya, lantas membaca apa yang tertulis di atas pisau tersebut.
Pisau tersebut bercahaya. Cleo mengambil pisau tersebut lalu menggunakan pisau tersebut untuk memotong cermin kaca di hadapannya seperti memotong sehelai kain yang telah direntangkan.
Dari belahan yang telah dibuatnya di permukaan cermin, keluar seekor ular tedung yang datang melilit tubuhnya lalu mematuknya pada bahagian lengannya. Beberapa detik kemudian, Cleo rebah di atas katilnya dengan ular tedung tersebut terus masuk ke dalam tubuhnya melalui mulutnya.
Selepas perkara ini berlaku, keluar pula si penunggu kucing dari dalam cermin. Ia kelihatan seperti mahu memburu si ular tedung, tetapi ular tersebut sudah pun menjadi sebahagian dari diri Cleo.
Mayat Cleo dibawa ke rumah mayat. Apabila dibiarkan di atas meja pembedahan, si penunggu kucing sekali lagi muncul. Ia melangkah mayat Cleo yang telah kaku itu, kemudian dengan sendirinya, mayatnya itu bergerak-gerak sebelum ia bangun lalu mencari jalan keluar dari bilik mayat tersebut.
Selanjutnya, aku dapat melihat bagaimana Cleo membalas dendam kepada kesemua anggota tentera-tentera Jepun yang telah merogolnya dahulu. Kesemua mereka telah dibunuhnya dengan cara yang paling kejam...
"Jadi sekarang kau dah dapat melihatnya, bukan?" tanya si penunggu kucing yang sedang berada di dalam tubuh Aileen itu.
"Ya... Jadi, kau bukan dari dunia ini?"
"Aku dan si Colubra bukan dari dunia ini... Tapi dari masa ke semasa kami akan dipanggil ke dunia ini." Si penunggu kucing mengambil sebatang sikat dari atas meja solek lalu menyikat rambut Aileen yang panjang itu.
"Tetapi kali ini kau tidak dapat pulang ke duniamu?" aku cuba meneka dengan bertanyakannya soalan ini.
"Ya..." Kepala Aileen dianggukkan perlahan. "Si Colubra tidak mahu meninggalkan dunia ini, lalu ia terus hidup di dalam tubuh gadis yang kau lihat tadi. Jadi apabila ia terus berada di dunia ini, aku akan terus terperangkap di dunia ini."
"Jadi... Kau mahu aku membantumu supaya membawa si Colubra kembali ke dunianya?"
"Ya... Jika tidak, seperti yang aku katakan tadi... Dia akan terus membunuh. Dia perlu membunuh agar tubuh yang ditumpanginya sekarang akan dapat terus hidup."
"Jadi bagaimana caranya untuk aku menumpaskannya?"
"Kau perlu mengambil pisau Stregheria yang telah digunakan untuk membelah dimensi lalu gunakan pisau itu untuk sekali lagi membuka ruang di antara dunia. Selepas itu, aku akan uruskan segala-galanya." Renungan matanya hitam dan tajam. Aku takut untuk memandang lama-lama ke arahnya. "Kau juga harus mengetahui nama sebenar wanita yang membenarkan tubuhnya digunakan oleh si Colubra. Hanya dengan cara itu, dia dapat ditumpaskan."
"Tapi bagaimana?" tanyaku tergesa-gesa. Mataku kini kepada permukaan cermin yang sekali lagi berubah untuk menampakkan keadaan bilik Cleo sejurus selepas kematiannya. Pisau Stregheria dapat kulihat di atas katil di sebelah tubuhnya.
"Kamu semua perlu mengambilnya sendiri..." itulah kata-katanya sebelum ia keluar dari tubuh Aileen lalu masuk kembali ke dalam cermin.
Aileen membuka matanya perlahan-lahan. Aku dan Saiful memandangnya dengan hairan.
"Apa yang telah berlaku? Mana perginya kucing hitam tadi?" gerutu Aileen dengan dahinya yang berkerut. Matanya tajam dengan perasaan sangsi.
"Kau telah dirasuk..." sahut Saiful lambat-lambat.
"Ye ke?" tanya Aileen kembali di dalam keadaan bingung. Kemudian dia memandang ke hadapan. Ke arah cermin. Mulutnya ternganga. Dia terkesima melihat dirinya sedang memandang ke dalam sebuah bilik yang begitu asing baginya.
"Apa ni?"
"Kita perlu masuk ke dalam bilik ini... Ambil pisau di atas katil itu dan balik semula ke bilik ini." Celah Saiful memberitahu. Suaranya yang tegas dan berani memberi sedikit keyakinan bagiku untuk menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.
Aileen menarik nafasnya panjang-panjang sebelum dia berkata:
"Okay... Lepas aku buat ini semua kau jangan suruh aku buat benda yang bukan-bukan untuk kau, ya!"
"Aku janji." Jawabku bersungguh-sungguh.
Saiful memberi isyarat kepadaku bahawa dia mahu masuk ke dalam cermin. Aku cepat-cepat memberitahunya supaya berhati-hati. "Walau apa pun yang berlaku, pastikan ikatan benang hitam ini tidak terputus."
Apabila Saiful masuk ke dalam permukaan cermin, cermin di hadapanku itu berkocak seperti permukaan air. Aileen yang berada di tengah-tengah mengikut dari belakang diikuti oleh diriku.
Kini kami sedang berada di dalam rumah Cleo di Emerald Hill itu. Di luar bilik kami dapat mendengar deraian ketawa pengunjung-pengunjung rumahnya yang telah dijadikan pusat pelacuran itu.
Aku cepat-cepat mengambil pisau Stregheria dari atas katil Cleo. Aileen aku lihat sedang memandang terus ke tubuh Cleo yang kaku dengan matanya yang terbeliak itu.
"Okay... Tugas kita dah selesai. Kita tidak boleh berada di sini lama-lama. Kita patut masuk balik ke dalam cermin sebelum terlambat." Aku mengingatkan dengan suara berbisik.
Saiful memintaku masuk ke dalam cermin. Aku menurut perintahnya itu tanpa banyak soal. Aku cuba masuk ke kembali ke dalam apartmen lama Aileen dengan penuh berhati-hati. Setelah aku berjaya merangkak masuk ke dalam Apartmen Aileen, kini tiba giliran Aileen pula untuk menembusi masuk ke dalam cermin.
Aku menunggu dengan penuh debaran giliran Saiful untuk masuk ke dalam cermin. Tangannya dipegang tangan Aileen. Dengan penuh berhati-hati Aileen menarik tangan Saiful itu sehingga sebahagian dari tubuhnya dapat masuk kembali ke dunia kami.
Aku melepaskan nafas lega.
Loceng pintu tiba-tiba berdering. Kami semua saling berpandangan. Kemudian, belum sempat Saiful dapat keluar dari cermin meja solek di hadapanku itu, sepasang tangan hitam yang panjang keluar dari permukaan cermin lalu menarik tubuh Saiful masuk ke dalam cermin.
Aileen menjerit sekuat hati. Saiful cuba sedaya-upaya untuk melepaskan genggaman tangan hitam itu dari menarik tubuhnya kembali ke dalam cermin yang semakin lama semakin gelap kelihatannya. Saiful meronta-ronta agar untuk membebaskan dirinya, tetapi genggaman tangan hitam itu terlalu kuat.
Saiful seperti disedut masuk ke dalam cermin. Benang hitam yang menghubungkan kami sejak tadi terputus. Saiful terperangkap di dalam dunia di belakang cermin. Dia cuba memecahkan cermin, tetapi perbuatannya itu langsung tidak berhasil sama sekali. Apabila dia menoleh ke belakangnya, dia dapat melihat satu lembaga hitam yang menakutkan sedang menunggunya di situ. Lembaga itu mempunyai tangan yang panjang dengan kepalanya yang terlalu gelap sehingga aku tidak dapat melihat wajahnya dengan jelas, kecuali gigi-giginya yang tajam. Tangannya yang bersenjatakan kuku-kukunya yang tajam itu mula memegang tubuh Saiful lantas menariknya jauh dari cermin.
Pintu masuk apartmen dipecahkan dari luar. Keadaan menjadi kucar-kacir. Aku dapat mendengar suara beberapa orang lelaki yang menceroboh masuk ke dalam apartmen. Wajah Aileen kaku kerana terlalu terkejut menghadapi perkara yang tidak diduganya pada ketika itu.
Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan lagi, lebih-lebih lagi apabila cermin di hadapanku berubah normal dan Saiful kini terperangkap di dalam sebuah dunia yang tidak mampu kufahami dengan satu lembaga yang mungkin mahu membunuhnya.
Sebaik sahaja kapal terbang yang kami naiki mula terbang ke udara, aku dapat melihat wajah Saiful mula nampak lega. Sejak kami keluar dari kereta datuk yang telah kupinjam dia terus menerus memegang tanganku. Aku dapat merasakan tangannya yang dingin, lebih-lebih lagi apabila kami melepasi imigresen tadi.
Mataku berat. Mengantuk. Sesekali aku akan memandang ke arah Saiful yang sedang memandang ke luar tingkap kapal terbang. Dia tidak banyak bercakap. Seperti aku, dia mahu cepat-cepat sampai ke Singapura.
Aku cuba melelapkan mataku…
Di dalam keadaan khayalku, aku bermimpi. Di dalam mimpiku itu, berdepan dengan kucing Nenek yang berwarna putih itu. Apabila memandang ke hadapan, perlahan-lahan lembaga Chee Meng muncul di hadapanku. Entah mengapa, aku tidak lagi merasa takut apabila berhadapan dengannya pada waktu itu, walaupun keadaan dirinya cukup mengerikan.
Aku tahu dia berniat baik mahu menolongku. Mungkin ada sesuatu yang ingin diberitahunya pada ketika itu…
"Apa lagi yang kau mahu beritahu kepada aku, Chee Meng?" tanyaku dengan suara yang lembut.
Chee Meng tidak mengeluarkan sebarang suara, tetapi aku cukup faham dengan apa yang hendak disampaikannya.
Aku dapat merasakan namaku dipanggil. Aku membuka mataku.
"Kita dah sampai ke Singapura," ujar Saiful kepadaku.
"Tak nampak apa-apapun di luar." Kepalaku menjenguk ke luar tingkap.
"Di luar hujan lebat." Saiful memberitahu dengan wajah yang bimbang. Aku tidak tahu dia dia bimbang tentang cuaca di luar ataupun jika kami akan ditangkap ketika mahu memasuki Singapura nanti.
Kami merasa bernasib baik kerana tidak ada apa-apa perkara yang berlaku apabila kami melangkah keluar dari pusat imigresen Singapura. Tiga jam yang lepas kami bergegas berlari keluar dari banglo datukku di Bukit Tunku, dan pada saat ini, kami berada di Lapangan Terbang Changi dengan keadaan kami yang buntu.
"Dan sekarang apa pula?" tanya Saiful. Dia pergi mendapatkan teksi untuk kami berdua.
"Kita perlu mencari Aileen."
"Kenapa dengan Aileen?"
"Dia akan dapat membantu kita."
"Tapi bagaimana?" Saiful akhirnya berjaya mendapatkan sebuah teksi. Dia membuat isyarat tanganku supaya masuk ke dalam teksi.
Di dalam teksi, Saiful meminta pemandu bergerak meninggalkan Lapangan Terbang Changi. Si pemandu teksi menurut sahaja tanpa banyak soal.
Aku mengeluarkan telefon bimbitku dari tas tanganku. Buat pertama kali sejak aku cuba melarikan diriku dari Kuala Lumpur, aku menghidupkan fungsi telefon bimbitku itu agar aku dapat menelefon Aileen. Aku melepaskan nafas lega apabila aku dapat menghubungi Aileen sekali gus mendapati dia masih berada di Singapura. Tanyaku kepadanya sebaik sahaja dia menjawab panggilanku:
"Kau di mana sekarang Aileen?"
"Shopping lah... Kau ingat pada hari-hari hujung minggu seperti ini aku ke mana?" Aileen bertanya kembali. Aku dapat mendengar hingar-bingar di belakangnya. Mungkin dia sedang beranda di sebuah pusat membeli belah. "Ke mana kau menghilang ni Pick Yin?
"Aku ambil cuti kecemasan sehingga ke pertengahan minggu hadapan."
"Tapi mengapa?" suara Aileen berubah. Nadanya risau bertanyakanku soalan ini. Aku memandang ke luar tingkap. Teksi bergerak laju di lebuh raya East Coast Parkway.
"Aku sedang menghadapi masalah."
"Masalah apa ni, Pick Yin?"
"Susah untuk aku ceritakan... Boleh kita bertemu ke untuk berbincang?"
"Boleh... Pick Yin, kalau kau ada apa-apa masalah, selagi aku boleh bantu aku akan bantu."
"Memang aku memerlukan bantuan kau, Aileen. Aku rasa aku dah tersedak sangat sekarang!"
"Okay, macam ni... Kau di mana sekarang, Pick Yin?"
"Dalam teksi... Dalam perjalanan ke pusat bandar."
"Kalau macam tu, beritahu kepada pemandu teksi untuk Raffles City... Aku sebenarnya sedang bershopping di sini. Jadi apa kata kita jumpa di New Asia Bar sahaja?"
"Okay... Aku rasa aku akan sampai ke sana dalam masa 15 atau 20 minit."
"Kalau macam tu, kita jumpa di sana ya?"
Setelah aku mengakhiri perbualanku dengan Aileen, aku terus memasukkan telefon bimbitku kembali ke dalam tas tanganku. Aku cepat-cepat memberitahu kepada pemandu untuk ke Swissotel, The Stamford. Si pemandu teksi terus mengangguk tanpa banyak soal.
Aku memeriksa telefon bimbitku. Aku mendapati aku banyak menerima pesanan SMS, lebih-lebih lagi dari ibuku yang sebelum ini tidak pernah menghantar apa-apa pesanan SMS kepadaku. Aku pasti dia cuba menghubungiku berkali-kali sebelum ini. Aku mengeluh panjang. Aku tidak berani membaca pesanan-pesanan SMS yang dihantarkan kepadaku.
Aku terus mematikan telefon bimbitku itu agar tidak akan ada sesiapapun yang dapat menghubungiku lagi.
Setibanya kami ke destinasi kami, kami terus ke tingkat 71. New Asia Bar merupakan sebuah bar dan restoran yang mempunyai hiasan dalaman yang kontemporari. Tempat ini pada satu ketika dahulu pernah dikenali dengan nama Compass Rose, antara restoran yang terkemuka di Singapura.
Tatkala berada di dalam New Asia Bar, aku terus mencari kelibat Aileen. Nampaknya Aileen sedang duduk di sebuah meja makan di tepi tingkap yang menampakkan panorama kota Singapura di waktu petang.
"Oh, Saiful pun ada!" Aileen senyum sokmo memandang ke arah Saiful, kemudian kepadaku. Dia menjemput kami duduk. Aku dan Saiful meletakkan beg kami di bawah meja.
"Kau berdua dari mana ni?"
"Dari KL!" aku cepat-cepat menjawab pertanyaannya itu.
"Bukan aku dah beritahu kepada kau kalau kau nak balik ke KL aku nak ikut sekali?" Aileen mencebikkan bibirnya. Matanya dipalingkan ke tingkap.
"Aku pergi ke sana kerana aku ada hal... Hal serius ni Aileen!" kataku bersungguh-sungguh. Seorang pelayan datang ke mejaku untuk menunggu pesanan dariku dan Saiful. Tanpa memandang ke arahnya aku memesan dua gelas Coke.
"Apa yang telah berlaku ni Pick Yin?" tanya Aileen kini dengan nada yang lebih serius.
"Kalau aku ceritakan, kau mesti tidak percaya..."
"Kau boleh cuba... Ceritakanlah. Aku akan mendengarnya."
Jadi pada petang itu aku menceritakan segala-galanya yang telah berlaku kepadaku. Bermula dengan montaj kucing hitam yang aku temui di dalam rakaman video Saiful terhadap Chee Meng, sehinggalah kepada penyiasatan yang telah aku lakukan sendiri.
Akhir sekali, aku memberitahu kepadanya tentang album gambar lama kepunyaan datuk yang aku dan Saiful temui dan apa yang dapat kami ketahui melalui datuk di KL.
Aku menunjukkan kepada Aileen gambar wanita yang dipanggil dengan nama Cleo oleh datuk.
"Jadi kau pasti si Cleo ini adalah Wendy Cheng?" tanya Aileen kepadaku dengan matanya tertumpu pada gambar hitam putih yang telah diambil datuk.
"Ya... Memang tak syak lagi!" mataku menyala dengan kesungguhan.
Mata Aileen terkebil-kebil memandang ke arahku. Dia meneguk minuman Lemonata Blue di hadapannya.
"Jadi... Bagaimana aku boleh membantu kau sekarang?" tanya Aileen menuntut penjelasan lanjut. "Jika mengikut pengiraan kau, Saiful mempunyai dua hari sahaja untuk hidup... Kita tidak mempunyai banyak masa untuk mencari nama sebenar Cleo!"
"Ya... Kemungkinan besar, Saiful ada dua hari sahaja lagi." Lidahku terasa kebas apabila cuba meluahkan kata-kataku ini. Aku memegang tangan Saiful dengan erat, walaupun dia nampak tabah menghadapi dugaannya ini. "Aku mahu kau... Baca kalimah-kalimah sumpahan Mata Kucing ini pada malam ini di hadapan cermin...
"Dan bukan sebarang cermin yang boleh digunakan... Kita perlu mencari cermin yang telah wujud sebelum Perang Dunia Kedua dahulu!"
"Apa?" gema-gema kebingungan membakar keadaan. Wajah Saiful sendiri kulihat terkejut mendengar permintaanku ini.
"Tadi ketika di dalam kapal terbang aku telah bermimpi tentang hal ini... si penunggu kucing perlu masuk ke dalam tubuh kau supaya dia dapat berhubung denganku untuk memberitahu kepadaku apa yang patut aku lakukan..."
"Tapi... Bagaimana pula nanti jika aku terkena sumpahan Mata Kucing ini?" tanya Aileen dengan gugup.
"Kau tidak akan terkena sumpahan ini seperti orang lain... Percayalah!"
"Tapi kenapa?" matanya bercerminkan kebimbangan.
"Seperti si penunggu kucing, kau juga berada di antara dua dunia berlainan... Maksud aku, kau mempunyai ciri-ciri yang sama seperti si penunggu kucing yang bersifat hermaprodit itu. Jadi hanya kau sahaja yang mampu menghubungkan dunianya dengan dunia kita ini." aku menjelaskan satu-persatu apa yang aku ketahui ini dengan harapan Aileen akan bersetuju dengan permintaanku kali ini.
"Kau pasti tentang hal ini, Pick Yin?" suaranya tebal dengan kesungguhan.
"Ya, Aileen. Aku pasti."
Aileen mengambil masa yang agak lama untuk berfikir. Sesekali, aku dapat melihat jelingannya memberontak terhadap permintaanku ini.
Suasana menjadi sepi di antara kami bertiga, sehinggalah telefon bimbit Saiful berdering. Apabila Saiful menjawab panggilan tersebut dia nampak risau. Wajahnya pucat lesi.
"Kenapa? Apa yang telah berlaku?" tanyaku dengan menatap wajahnya yang kerkerut-kerut itu.
"Pihak polis cuba mencari saya di rumah saya di Yishun. Ibu saya cukup bimbang jadinya." Aku dapat merasakan jiwanya yang terseksa di dalam seribu kebimbangan yang tak bertepi. "Dia kata... Pihak polis Malaysia baru sahaja menghubungi pihak polis Singapura untuk membantu di dalam siasatan mereka."
Aku melepaskan nafasku dengan rasa lesu. Aku menghidupkan fungsi telefon bimbitku. Aku membaca SMS yang ditulis oleh ibuku.
Ibuku memintaku supaya cepat-cepat pulang ke Kuala Lumpur. Datukku sedang berada di hospital. Dia tidak dapat sedarkan dirinya sejak peristiwa yang telah berlaku di rumahnya tengah hari tadi.
Aku tidak mahu kalut. Aku perlu menumpukan seluruh perhatianku kepada apa yang perlu aku lakukan sekarang.
Apa yang pasti sekarang, Saiful menjadi buruan polis. Mungkin aku juga diburu polis. Aku perlu berhati-hati. Setiap gerak langkahku perlu dijaga.
"Aileen... Kau perlu tolong kami!" rintihku dengan suara perlahan. "Kami tak tahu lagi ke mana kami perlu mengadu dan meminta pertolongan."
Aileen berpaling ke arahku sambil tersenyum kelat. "Ya, aku sedia membantu."
"Terima kasih, Aileen!" ucap Saiful kepadanya. Aileen hanya mengangguk sambil mengetapkan bibirnya. Lagu rancak yang dimainkan di dalam New Asia Bar langsung tidak menceriakan keadaan jiwaku yang lara pada ketika itu.
Aku terfikirkan tentang keadaan datuk di hospital. Juga ibu dan bapaku yang mungkin risau akan keadaanku pada saat ini. Mataku terus kepada suasana kota Singapura di luar tingkap kaca. Lama aku termenung memandang ke arah bangunan-bangunan pencakar langit dengan lampu-lampu berkerdipan itu.
"Pick Yin... Tapi kau ada kata kau cari cermin lama?" Aileen mengejutkanku dari lamunan kosongku.
"Ya..."
"Aku ada sebuah meja solek lama kepunyaan mendiang nenekku di rumahku di Telok Kurau... Mungkin kita boleh ke sana selepas ini." Aileen menyarankan.
Aku sekadar mengangguk. Aku memikirkan tentang rumah yang pernah didiami oleh keluarganya di Gold Leaf Mansions di Telok Kurau yang kini dibiarkan kosong itu. Mereka baru sahaja berpindah tak sampai sebulan yang lalu. Mereka masih lagi mencari penyewa untuk rumah mereka itu.
"Aku dan Saiful tidak boleh pulang ke Novena... Sekurang-kurangnya sehingga keadaan kembali reda." Jelasku kepada Aileen.
"Kau tak perlu bimbang tentang itu semua. Sementara ini kau duduk lah di Telok Kurau, ya?" Aileen mengangkat tangannya untuk memanggil pelayan yang sedang berdiri berdekatan untuk membayar harga minuman yang telah kami pesan tadi. "Apa kata kita ke sana sekarang?"
Sekali lagi aku mengangguk. Mungkin itulah jalan yang terbaik yang perlu kami ambil sekarang...
Aku dan Saiful telah menunggu di ruang tamu rumah datukku sehinggalah dia pulang dari gereja. Sementara menunggu, aku sempat bercerita kepada Saiful tentang zaman kanak-kanakku yang banyak kuhabiskan di sini.
"Di belakang rumah ini padangnya luas... Tapi ketika saya kecil dahulu, terlalu luas rasanya. Saya suka bermain di situ. Di bawah pokok saga yang tumbuh merendang di belakang sana." Ceritaku sambil mengingati zaman lampauku.
"Saya pula hanya bermain di taman permainan di bawah flat saya di Bukit Merah dahulu..." kata Saiful menyelak kisah lampaunya yang ternyata berlainan sungguh denganku.
"Jadi... Datuk awak pernah belajar di Raffles College?"
"Ya... Tetapi pengajiannya terhenti buat beberapa tahun akibat perang meletus. Kemudian dia menyambung pengajiannya selepas perang tamat."
"Apa yang telah dilakukannya selepas pengajiannya di Raffles College?"
"Datuk mendapat biasiswa Queen's untuk mengambil jurusan perundangan di Kolej Fitzwilliam, Universiti Cambridge."
Saiful memandang ke arah potret datuk yang diletakkan di ruang tamu. Potret tersebut menunjukkan gambaran datuk sedang memakai pakaian rasmi yang perlu dipakainya ketika dia menjawat jawatan Hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beberapa tahun sebelum dia bersara.
Aku dapat mendengar bunyi pintu pagar dibuka oleh pengawal keselamatan. Beberapa detik kemudian, kereta yang dinaiki datuk berhenti di hadapan banglonya. Datuk keluar dari kereta lalu terus masuk ke dalam rumah untuk menemuiku. Wajahnya nampak berseri pada lewat pagi itu.
"Dah lama Pick Yin tunggu datuk?" tanya datuk kepadaku sebaik sahaja dia duduk di atas kerusi kegemarannya.
"Tak juga." Jawabku ringkas sambil memegang tangannya yang tua itu dengan erat.
Mataku kini terus kepada datuk. Mungkin pada saat itu dia nampak tanda-tanda kebimbangan yang jelas terlukis di wajahku, lantas dia terus menumpukan seluruh perhatiannya kepadaku.
"Kenapa Pick Yin? Kau ada menghadapi apa-apa masalah yang mungkin mahu kau mahu beritahu kepada datuk?" tanya datuk dengan suara yang rendah. Dia nampak prihatin kepada keadaan diriku.
"Tak ada tuk..." bohongku perlahan sambil menoleh ke arah datuk. Angin kencang dari luar bertiup masuk ke dalam rumah. Hari mahu hujan.
"Jadi kenapa kau nampak risau saja ni?"
"Saya nak tanya kepada datuk tentang pengalaman datuk di Kolej Raffles dahulu..."
"Tapi kenapa?"
"Saya ingin menerbitkan sebuah rancangan khas mengenainya."
"Jadi apa yang kau mahu tahu?"
"Tentang kehidupan datuk di sana..."
"Tapi datuk dah selalu benar bercerita kepada kau tentang hal ini-"
"Tak apa, saya mahu dengar lagi."
"Tentang apa?"
"Tentang kawan-kawan datuk dahulu..."
"Kamu mahu tahu tentang Harry Lee? Wan Sulaiman Pawan Teh? Aminuddin Baki?"
"Bukan... Mereka semua saya kenal. Saya mahu tahu tentang kawan-kawan yang datuk kenali sebelum perang meletus dahulu..."
Wajah datuk sedikit berubah. Aku dapat melihatnya termenung seketika. Aku memandang ke arah Saiful lantas memintanya memberikan kepadaku album gambar lama datuk yang telah disimpannya ke tepi. Aku menyerahkan album tersebut ke tangan datuk. Aku lihat wajah datuk berubah pucat.
"Dari mana kau dapat album gambar lama datuk ni?" tanya datuk bersungguh-sungguh.
"Di dalam sebuah kotak di bilik stor di atas..."
Datuk membelek-belek album tersebut. Sekali lagi aku melihat dia termenung seolah mengimbau kisah lampaunya.
"Saya lihat datuk dahulu menganggotai kumpulan "Yellow Flower Gang-"
"Itu nama geng kami... Pada ketika itu, budak-budak perempuan yang menetap di asrama Holne Chase di Grange Road ada menanam teh Chrysanthemum di kawasan asrama mereka. Apabila kami berkumpul untuk belajar bersama, pelajar-pelajar perempuan ini akan menyediakan teh dari hasil tanaman mereka itu." Datuk menjelaskan lantas membentangkan lampiran peristiwa lamanya.
"Datuk kenal dengan... Perempuan di dalam gambar ini?" tanyaku menuding ke arag gambar wanita yang aku kenali dengan nama Wendy Cheng itu.
"Oh..." Tersingkap keraguan untuk menjawab soalanku itu seketika. Datuk kulihat menggaru-garu keningnya. Dia menarik nafasnya lalu mengenakan cermin mata bacaannya yang tebal. "Kami memanggilnya dengan nama Cleo."
"Cleo?"
"Ya... Pada waktu kami mula-mula belajar dahulu, para freshies telah disuruh untuk membuat pementasan Shakespeare. Kami semua telah bersetuju untuk mementaskan drama Antony and Cleopatra. Datuk mengambil watak Anthony dan dia pula Cleopatra. Lakonannya begitu berkesan sekali sehingga semua orang di kampus memanggilnya dengan nama Cleo."
"Saya lihat datuk banyak mengambil gambar-gambarnya..."
"Hubungan datuk dengan Cleo memang rapat."
"Rapat sebagai kawan? Atau-"
Datuk mengeluh panjang. Dia menoleh ke arah Saiful sebelum dia kembali memandang ke arahku. Katanya:
"Sebelum datuk mengenali nenekmu, datuk pernah bercinta dengannya." Datuk kini kulihat seolah tenggelam di dalam lautan fikirannya sendiri. "Ya, siapa yang tak sukakan kepadanya, seorang nyonya yang cantik dari keluarga yang berada di Singapura. Memang pada waktu itu, semua orang mahu berkawan dengannya, tetapi akhirnya, dia jadikan datuk sebagai teman istimewanya."
"Apa yang telah berlaku kepadanya tok?" tanyaku dengan serta-merta.
"Apa maksud kau?"
"Datuk telah menyintainya... Tapi apa yang telah berlaku sehingga menyebabkan datuk akhirnya berkahwin dengan nenek, dan bukan dengannya?"
"Panjang ceritanya, Pick Yin!"
"Saya sedia mendengarnya!" getusku dengan serius. Datuk kini berfikir jauh untuk mencungkil kembali kenangan-kenangan lalu.
"Ketika Jepun menyerang Singapura, ramai pelajar-pelajar Kolej Raffles serta King Edward VII College of Medicine tiba-tiba sahaja berada di dalam keadaan terkapai-kapai. Ada di antara pelajar-pelajar perubatan yang telah melakukan kerja-kerja sukarela di Hospital Tan Tock Seng dan Hospital Besar Singapura yang mati akibat serangan bom.
"Ketika perang meletus, kesemua anggota keluarga Cleo mati di dalam serangan bom tersebut. Mereka semua mati apabila mereka cuba berlindung di dalam sebuah gereja yang telah dibom Jepun. Dia hampir-hampir gila dibuatnya, tapi datuk memintanya bersabar. Dia ada memberitahu kepada datuk dia menyesal pergi membantu Profesor James Hinkel mengemaskan barang-barangnya di kampus, jika tidak dia pasti akan menerima nasib yang serupa seperti anggota keluarganya yang lain... Tapi katanya, lebih baik itu dari hidup tanpa mereka-"
"Siapa Profesor Hinkel ni, tok?"
"Dia mengajar kami sejarah Zaman Pertengahan Eropah dan bahasa Latin... Cleo amat-amat menggemari subjek-subjek yang dikendalikan oleh Profesor Hinkel, malah hubungan Cleo dengan Profesor Hinkel agak rapat..." Mata datuk menyala dengan api ingatan.
"Jadi... Apa yang berlaku kepada Cleo selepas itu, tok?"
"Keadaannya terkapai-kapai. Datuk ingin membawanya pulang bersama datuk ke Melaka, tetapi dia tidak mahu. Kemudian, datuk mendapat tahu, seorang musuh bapanya yang kini menjadi tali barut Jepun telah menyebabkan rumahnya di Emerald Hill diambil alih oleh tentera Jepun lalu Cleo akhirnya ditangkap untuk dijadikan seorang-"
"Seorang apa, Tok?"
"Dia dijadikan seorang pelacur... Bersama-sama beberapa orang gadis yang lain yang ditempatkan di rumahnya di Emerald Hill itu."
"Tok... Di mana Cleo sekarang?"
"Dia sudah tidak ada lagi, Pick Yin... Dia dah lama mati!"
"Bila, tok?"
"Kalau tak salah datuk... Setahun selepas keluarganya mati. Dia akhirnya membunuh diri."
"Bagaimana? Datuk tahu bagaimana cara dia membunuh diri?"
"Seperti Cleopatra, dia dikatakan mati di patuk seekor ular tedung yang datangnya entah dari mana..."
"Jadi dia memang dah lama mati, tok?"
"Ya."
Tiba-tiba aku dapat melihat Saiful yang sejak tadi menbisukan dirinya berdiri resah.
"Tan Sri... Siapa nama Cleo sebenarnya?" tanya Saiful tergesa-gesa. Wajahnya dilukis gelisah. Matanya kini tepat ke arah belakang datuk seolah dia dapat melihat sesuatu yang menakutkan di situ.
"Nama sebenar Cleo? Kenapa kamu perlu tahu namanya?" tanya datuk dengan nada hairan.
"Kami perlu tahu namanya, tok." Pintaku dengan cermat.
Belum sempat datuk dapat membuka mulut untuk memberitahuku nama sebenar Cleo, tiba-tiba dia terus memegang lehernya, seolah-olah sesuatu telah melilit tubuhnya itu.
Apabila aku menyentuh tubuh datuk, tiba-tiba sahaja aku dapat melihat seekor ular tedung besar yang melilit tubuh datuk. Aku menjerit sekuat hati. Saiful dengan cepat menerpa ke arah ular tedung yang dapat dilihatnya sejak tadi.
"Hoi!" sergah pengawal keselamatan yang dapat melihat Saiful bergelut cuba melepaskan ular tedung gergasi yang sedang meliliti tubuh datuk.
Tiba-tiba sahaja ular tedung itu hilang dari pandanganku. Datuk rebah di atas tubuh Saiful. Pengawal keselamatan dan pemandu datuk berlari pergi mendapatkannya lalu menolak Saiful ke tepi. Mereka meletakkan tubuh datuk di atas sofa.
Aku dapat melihat keadaan tubuh datuk yang kaku. Nafasnya cetek. Aku tidak tahu apa yang perlu aku lakukan sekarang. Aku mahu menangis, tetapi sekarang bukannya masa untuk aku menangis.
"Aku nampak dia mahu bunuh Tan Sri!" getus pengawal keselamatan kepada pemandu datuk.
"Pergi panggil polis!" sela pemandu datuk itu dengan tegas. Matanya garang merenung ke arah Saiful.
Aku perlu melakukan sesuatu. Aku tahu jika aku tidak melakukan sesuatu dengan cepat, mungkin lain pula jadinya nanti. Aku tidak mahu Saiful nanti ditahan polis ke atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Jika perkara ini berlaku, aku tidak mungkin akan dapat menyelamatkan dirinya dan seterusnya diriku yang pasti akan menjadi mangsa si colubra ganas ini.
Aku perlu melakukan sesuatu dengan pantas!
Aku cepat-cepat mencapai begku lalu mengeluarkan silinder 'pepper spray', lalu aku semburkan kandungan 'pepper spray' tersebut ke atas muka pemandu datuk. Dia menutup mukanya sambil meraung kesakitan. Si pengawal keselamatan pula terkebil-kebil melihat kejadian yang sedang berlaku di hadapannya.
Aku meminta Saiful mengeluarkan kunci kereta dari poket seluar pemandu datuk yang masih lagi meraung kesakitan. Saiful dengan teragak-agak mengikut perintahku.
"Hantarkan Tan Sri ke hospital... Cepat!" perintahku seterusnya kepada pengawal keselamatan tersebut. Dia hanya mampu mengangguk. Aku pula terus melangkah ke bahagian hadapan banglo datuk, lalu memberikan kunci kereta Mercedes kepunyaan datuk untuk dipandunya.
Kami perlu ke Singapura secepat mungkin. Mahu tidak mahu, aku perlu berhadapan dengan kuasa dari alam ghaib yang masih belum dapat kufahami kejadiannya itu...
Pagi-pagi lagi kami telah bergerak ke Bukit Tunku dengan menaiki teksi. Walaupun aku sering ke kawasan ini lebih-lebih lagi ketika di zaman kanak-kanakku dahulu, keadaan Bukit Tunku kelihatan begitu asing sekali buatku kini. Kawasan berhutan yang terletak di tengah-tengah kota Kuala Lumpur ini entah mengapa kelihatan begitu menyeramkan.
Sesekali Saiful akan menoleh dan melihat sesuatu yang mengganggu fikirannya. Aku pasti dia dapat melihat sesuatu yang tidak sepatutnya dilihat.
"Kawasan ini memang keras." Pemandu teksi yang bernama Wong itu tiba-tiba memberitahu kepadaku. Aku tidak tahu mengapa kalimah-kalimah ini tiba-tiba sahaja keluar dari mulutnya.
"Keras?" tanyaku kembali.
"Malam-malam saya takut nak masuk sini..."
"Kenapa?"
"Kawasan ini berhantu... Macam-macam cerita saya dengar dari pemandu-pemandu teksi yang melalui kawasan ini malam-malam." Kata Wong yang berusia lebih setengah abad itu kepadaku. Kemudian dia terdiam, sebelum dia berhenti di hadapan banglo datukku yang terletak di Selekoh Tunku.
Sebaik sahaja wang bertukar tangan di antara Saiful dengan Wong, si pemandu teksi tua itu terus dengan laju membawa teksinya pergi dari kawasan perumahan yang sunyi itu.
Saiful memandang ke arah pokok-pokok rendang yang membuat kawasan ini nampak segar dalam kemuramannya. Aku menarik nafasku panjang-panjang. Aku dapat melihat wajah Saiful yang keruh. Dia telah berkeadaan begini sejak pagi tadi.
"Awak tak sihat ke?" tanyaku di hadapan pintu pagar banglo.
"Awak tak perlu risaukan tentang diri saya ni." Pinta Saiful. Matanya kini kepada pondok pengawal keselamatan.
"Awak diganggu ke?" tanyaku dengan suara perlahan sambil memegang lengannya yang terasa sejuk itu.
Saiful mengangguk sekali. Matanya pudar.
"Awak tak tidur semalam?"
Saiful menggelengkan kepalanya. Dia membuka butang bajunya lalu menunjukkan kepadaku dua titik lebam di atas dadanya yang padu itu.
"Apa yang telah terjadi?"
"Saya terlelap seketika malam tadi... Kemudian saya bermimpikan seekor ular tedung yang besar yang datang menyerang saya. Ia mematuk saya. Bisanya tidak terhingga rasanya. Kemudian saya bangun. Bila saya bangun, saya nampak tanda ini di dada saya. Kemudian saya tidak dapat tidur kerana menahan sakit di dada saya ini." Saiful menjelaskan sambil mengurut-urut bahagian dadanya yang terdapat kesan lebam itu.
"Awak sakit lagi tak?" tanyaku kerisauan.
"Dah kurang sikit." Jawab Saiful sambil membutangkan semula bajunya.
Di dalam kepalaku aku sibuk menghitung hari. Hari ini hari Ahad. Hari Selasa ini jatuhnya tarikh 14 April. Aku tidak mempunyai banyak masa untuk bertindak untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh diriku dan terutamanya oleh Saiful. Apa-apa pun, aku perlu tabah menghadapi semua ini. Aku perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk melawan kuasa ghaib yang cuba memusnahkan hidupku ini.
Datuk sendiri yang telah menjemput kami di muka pintu pagar apabila aku memberitahu kepada pengawal keselamatan tentang ketibaan kami ke banglonya ini. Datuk datang dengan membawa kayu golf kegemarannya.
Aku memperkenalkan Saiful kepada datuk. Aku melihat datuk bersalaman dengannya dengan matanya memandang terus kepada Saiful seolah dia cuba membaca isi hatinya. Sememangnya datuk akan melakukan perkara yang sama kepada hampir setiap orang yang baru ditemuinya.
"Kamu nampak tak sihat..." ujar datuk kepada Saiful.
"Saya kepenatan, Tan Sri." Jawab Saiful dengan pantas. Dia menoleh ke arahku. Aku dapat melihat dia kelihatan sedikit canggung berhadapan dengan datuk.
"Sebenarnya... datuk ingin berangkat ke gereja..." Ujar datuk sambil berjalan masuk ke dalam kawasan banglonya. "Ibu dan bapamu pasti akan berada di gereja nanti-"
"Jangan beritahu kepada mama dan papa saya di KL, ya?" pintaku sekali lagi kepada datuk, walaupun perkara ini telah pun kupinta di dalam perbualan kami melalui telefon semalam.
"Ya. Datuk janji..."
"Saya tidak lama di KL ni. Sekejap sahaja. Saya singgah ke rumah datuk ni pun sebab nak ambil buku saya yang saya masih simpan di bilik belakang. Tengah hari nanti saya balik... Sebab itulah saya tak mahu mereka tahu saya ke sini." Itulah alasan yang telah kuberi kepada datuk.
"Kau tak mahu tunggu tengah hari? Mak Imah dah nak masakkan nasi goreng ikan masin kegemaran kamu tu nanti."
"Boleh juga... Kita makan bersama, ya tok!" ujarku sambil cuba mengukir senyuman ceria di wajahku.
Garis-garis halus yang menampakkan kepuasan terlukis di wajah tua datuk. Dia masuk ke dalam banglonya lalu meletakkan kayu golfnya ke dalam stor kecil yang terletak di bahagian belakang rumah banglonya itu. Setelah datuk keluar semula untuk menaiki kereta oleh pemandunya yang akan membawanya ke gereja, aku dan Saiful terus naik ke tingkat dua.
"Ketika saya kecil dahulu saya selalu tinggal di rumah ini untuk menemani mendiang nenek saya." Jelasku kepada Saiful.
"Awak ni cucu kesayangan nenek awak ke?" tanya Saiful ingin tahu. Dia memandang ke arah beberapa lama datuk yang diletakkan di atas dinding. Dia memandang kepada gambar lama datuk dan nenekku yang telah diambil sebelum mereka berkahwin.
"Ya," aku memulas tombol pintu bilik stor yang terletak di bahagian hujung tingkat dua banglo ini. Pintu terbuka. Keadaan di dalam bilik gelap. Aku membuka suis lampu. Lampu mentol terkelip-kelip sebelum ia menerangi bilik ini dengan cahaya malapnya.
Bilik sederhana besar ini dipenuhi dengan barang-barang lama kepunyaan datuk yang terus disimpannya tanpa mahu dibuangnya sama sekali. Banyak dari barang-barang ini kini sudah mencapai status barang-barang antik.
"Banyak barang-barang dalam bilik ni boleh didermakan ke muzium..." Kata Saiful sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik ini. Bilik ini berbau hapak, mungkin kerana bilik ini sudah lama tidak dibuka.
"Ketika saya kecil-kecil dahulu saya selalu ke sini..." kataku ketika berdiri di hadapan sebuah almari lama kepunyaan nenek.
"Kenapa?"
"Saya suka memakai baju-baju lama nenek saya..." aku membuka almari lama nenek. Di dalamnya masih tersimpan baju-baju lamanya; yang moden juga kebaya nyonya yang kini menjadi mula dipakai semula oleh golongan muda sepertiku.
"Jadi apa agaknya yang perlu kita cari?" tanya Saiful tatkala mengeluarkan beberapa keping rekod lama kepunyaan datuk.
Lampu bilik stor tiba-tiba terkelip-kelip. Kemudian pintu bilik stor pula tertutup rapat. Aku terkejut amat. Keadaan di dalam bilik tiba-tiba menjadi sejuk.
Aku memeluk tubuh Saiful dalam ketakutan, lebih-lebih lagi apabila lampu terus mati lalu keadaan bilik menjadi gelap gelita.
Tubuh Saiful kaku. Di dalam keadaan gelap itu aku dapati aku masih dapat melihat dengan jelas. Saiful aku lihat sedang memandang ke tepi. Perlahan-lahan aku menoleh ke arah pandangan matanya. Aku dapati dia sedang memandang ke arah seekor kucing hitam yang sedang melompat dan berjalan ke bahagian belakang bilik stor lalu berdiri di atas sebuah kotak yang telah diletakkan di atas sebuah rak buku.
Lampu berkelip-kelip sekali lagi kemudian ia hidup dengan tiba-tiba. Kucing hitam yang dapat kulihat tadi kini tiba-tiba hilang entah ke mana.
Aku berjalan ke arah belakang bilik stor. Aku meminta bantuan Saiful yang bertubuh tinggi itu supaya mengambil kotak tersebut dari bahagian atas rak buku. Saiful mengambil kotak tersebut lalu diletakkan kotak tersebut di atas sebuah meja lama datuk. Di atas mejanya ini terdapat sebuah lampu, aku membuka lampu tersebut agar keadaan bilik lebih terang.
Aku membuka kotak yang berwarna hitam yang dipenuhi habuk tebal itu. Aku dapati di dalamnya terdapat sebuah album lama yang sebelum ini tidak pernah dilihat olehku.
Album itu aku buka dengan penuh berhati-hati. Di dalam bahagian depan album ini terdapat tulisan datuk yang menyatakan bahawa gambar-gambar ini telah diambilnya ketika dia baru sahaja masuk ke Raffles College mulai tahun 1941.
"Ketika belajar di Victoria Institution dahulu, datuk saya dahulu mendapat tempat untuk belajar ke Raffles College... Dia mula belajar di sana pada tahun 1941 tapi terpaksa berhenti belajar pada awal tahun 1942 apabila Jepun menyerang Singapura." Aku memberitahu kepada Saiful dengan berbisik kepadanya. "Tak banyak yang saya ketahui tentang kisahnya di Singapura sebelum perang..."
"Kenapa?"
"Entahlah... Datuk tak suka bercerita tentang kisahnya pada waktu itu."
Saiful menggigit bibirnya. Matanya tertumpu pada gambar-gambar lama yang telah diambil datuk apabila aku menyelak album ini dari satu persatu.
Mataku kini tertancap kepada sekeping gambar yang telah diambil datuk di hadapan bangunan Federal di Raffles College. Aku dapat melihat perkataan 'Yellow Flower Gang, 1941' di bawah gambar tersebut. Di dalam gambar ini, datuk sedang bergambar dengan beberapa orang rakannya yang kelihatan muda belia. Wajah mereka nampak cerita.
"Kenapa, Pick Yin?" tanya Saiful dengan kerisauan. Nafasku cetek. Aku menyelak album ini lagi. Kali ini terdapat gambar 'Raffles College Belles'. Gambar ini memaparkan beberapa orang gadis yang sedang menuntut di Raffles College pada waktu itu.
Kali ini aku pasti apa yang telah kulihat itu memang wujud di hadapanku. Aku menyelak lagi gambar-gambar lain di dalam album ini, ternyata aku tidak berhalusinasi. Aku menoleh memandang ke arah Saiful. Dia nampak keliru. Mungkin dia sedang menunggu penjelasan dariku.
"Perempuan ini." jariku menuding ke arah seorang gadis cantik yang terdapat di dalam beberapa gambar kepunyaan datuk.
"Kenapa dengannya?" tanya Saiful kehairanan. Dia meneliti gambar tersebut dengan berdiri betul-betul meletakkannya di bawah cahaya lampu.
"Wendy Cheng!" aku akhirnya memberitahunya.
"Siapa Wendy Cheng?"
"Saya pernah menemuinya di Universiti Pengurusan Singapura di kampus Bukit Timah..." jelasku sambil memegang dadaku. "Dia kawan kepada Melly... Salah seorang mangsa yang-"
"Yang mati di dalam lif tu kan?"
"Ya!"
"Perempuan dalam gambar ni... adalah kawan Melly?"
"Ya!" kali ini aku mengangguk laju apabila kalimah 'ya' ini terpacul dari mulutku.
"Awak pasti?"
"Dia orang yang sama... Saya pasti!"
"Kita perlu tanya kepada datuk awak siapa Wendy ini sebenarnya..."
Aku mengangguk setuju. Aku membawa album lama ini keluar dari bilik stor yang gelap ini. Gambar ini perlu aku tunjukkan kepada datuk nanti. Aku perlu tahu identiti Wendy yang sebenar dan mengapa dia begitu rapat dengan datuk...
Aku memandang ke arah suasana di luar bas. Gelap. Aku hanya dapat melihat keadaan pepohon yang tumbuh di sisi lebuh raya PLUS menuju ke arah utara. Aku menoleh ke sebelahku. Aku dapati Saiful sedang nyenyak tidur dengan sepasang headphone dimainkan ke telinganya.
Mataku berat. Aku kepenatan. Dalam masa sejam setengah lagi kami akan tiba ke Kuala Lumpur. Hampir kesemua penumpang-penumpang di dalam bas sedang melelapkan mata mereka, walaupun filem Kungfu Hustle sedang dimainkan di kaca TV. Aku mengeluh. Keadaan bas yang bergegar dan bising menyukarkan kebarangkalian untuk aku dapat tidur walaupun buat seketika.
Aku merapatkan kepalaku ke bahu Saiful. Dengan penuh berhati-hati aku memegang lengannya. Aku menutup mataku rapat-rapat. Aku cuba untuk tidak memikirkan hal lain kecuali ketenangan.
Tatkala terlena, aku dibuai mimpi yang membawaku ke Tiong Bahru. Aku sedang berada di hadapan flat yang pernah didiami Chee Meng. Aku berdiri memandang ke atas. Aku dapati keadaan di sekelilingku pada waktu itu sunyi. Gelap. Lampu kalimantang yang malap dan berkelip-kelip di tingkat bawah membuatkan keadaan agak menyeramkan.
Aku memegang tengkukku yang sedang meremang pada waktu itu. Lebih-lebih lagi apabila aku dapat melihat kelibat Chee Meng sedang memandang keluar dari tingkap rumahnya. Wajahnya jelas ketakutan.
Aku memberanikan diriku untuk naik ke tingkat tiga. Apabila aku tiba ke tingkat tiga, aku dapati Chee Meng sudah berjalan menaiki tangga ke tingkat atas. Aku memanggil namanya. Dia menoleh seolah dia dapat mendengar suaraku. Dia memandang ke hadapan seolah dia langsung tidak dapat melihat diriku.
Aku berjalan ke arahnya lalu cuba menyentuh belakangnya. Aku dapati tanganku menembusi tubuhnya itu. Aku terkejut di buatnya, walaupun begitu, aku terus mengekorinya dari belakang.
Chee Meng sedang naik tangga besi untuk ke bumbung. Dia seperti sedang melarikan dirinya dari sesuatu.
Di atas bumbung, aku dapat melihat dirinya cuba membaca sesuatu yang telah ditulisnya di atas sekeping kertas. Selepas dia membaca kalimah-kalimah tersebut dia menutup matanya rapat-rapat. Kemudian dia membukanya semula. Dia menoleh ke arahku.
Dia terkejut melihat kehadiranku di hadapannya. Wajahnya berubah pucat.
Maaf kerana terpaksa menyerumu ke sini dengan cara ini. katanya teragak-agak.
Aku tak faham. Kataku sambil menggeleng perlahan.
Aku telah memanggilmu kemari dari alam mimpi... katanya dalam nada ketakutan.
Aku memandang ke arah sisiku. Seekor kucing hitam yang kukenali sebagai si penunggu kucing sedang memerhatikan Chee Meng dari jauh.
Kenapa kau panggil aku ke sini? tanyaku meminta penjelasan. Aku mula berasa aneh berada di dalam sedar keadaan di mana aku tahu bahawa aku sedang bermimpi.
Kau perlu memusnahkannya apabila peluangnya tiba nanti... Kerana aku tidak mampu melakukannya sendiri!
Tapi bagaimana? Aku sendiri tidak tahu apa atau siapa yang perlu aku musnahkan.
Lambat laun kau akan tahu juga akhirnya... Dia sebenarnya kenal siapa kau dan kau juga mengenalinya.
Aku mendengar suara si kucing hitam mengiau dari belakang. Kemudian angin kencang bertiup di atas bumbung. Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Wajah Chee Meng jelas ketakutan.
Di atas lantai aku dapat melihat kepulan asap hitam berkumpul lalu perlahan-lahan berubah bentuknya menjadi seekor ular tedung gergasi. Aku melangkah beberapa tapak ke belakang sehingga aku menghampiri si kucing hitam yang kini berjalan mengelilingiku.
Aku tidak dapat melihat wajah ular tedung gergasi ini yang mula membelit tubuh Chee Meng. Ular tedung ini mematuk leher Chee Meng, sebelum ia kelihatan seolah menyerap masuk ke dalam tubuhnya.
Tubuh Chee Meng kini kelihatan seperti dikawal oleh sesuatu dari dalam dirinya. Chee Meng menoleh ke arahku seolah meminta tolong. Aku tidak mungkin dapat melakukan apa-apa. Tubuhku keras kaku.
Chee Meng kini cuba melawan dirinya dari mencungkil matanya sendiri, tetapi dia tidak berdaya melawan kuasa yang sedang mengawal dirinya. Matanya itu dicungkil sehingga terkeluar. Beberapa detik kemudian dia rebah ke atas lantai.
Lembaga ular tedung gergasi itu perlahan-lahan muncul kembali melilit tubuh Chee Meng, kemudian ia melingkar lalu menyusur di atas lantai ke arahku. Ular itu berdesir dengan kuat. Aku menjerit ketakutan.
Kucing hitam yang sejak tadi berdiri di kakiku cuba mempertahankanku cuba mencakar tubuh ular sawa yang datang semakin hampir kepadaku.
Aku menjerit sekuat hati. Kemudian pipiku terasa ditepuk-tepuk.
Aku membuka mataku. Aku dapati Saiful sedang mengejutkanku dari mimpiku yang ngeri itu. Beberapa penumpang lain sedang berpaling ke arahku yang berkeadaan tidak tentu arah meracau sebentar tadi.
Maaf... kataku perlahan kepada Saiful sambil mengesat peluh di dahiku. Saiful terus memandang ke arahku. Dia memegang tanganku dengan erat.
Mataku berpaling ke arah tingkap bas. Aku dapat melihat penjara Pudu di sebelah kananku.
Kita dah sampai KL. Kataku sambil memandang jam tanganku. Jam menunjukkan pukul 12.30 pagi.
Keadaan di Kuala Lumpur, atau sekurang-kurangnya di daerah Pudu masih sibuk pada waktu itu. Aku dapat melihat beberapa orang yang sedang berdiri di tepi jalan di sebelah Pusat Perhentian Bas Pudurayayang mungkin sedang menunggu bas yang perlu mereka naiki. Seperti aku dan Saiful, wajah mereka kosong. Ada yang sedang termenung jauh memikirkan perkara-perkara yang menyapa ke dalam fikiran mereka.
Malam ni kita tidur di Hotel Impiana, ya? kataku sewaktu berjalan dengan Saiful. Aku menuding ke arah Bangunan Hotel Impiana yang telah dibina di sebelah Pusat Perhentian Bas Puduraya. Lagipun dah lewat sangat ni. Saya rasa datuk saya dah lama tidur agaknya.
Saya mengikut saja. Sambut Saiful dengan lesu sambil mengangguk kepenatan. Dia terus berjalan sambil memegang tanganku. Aku menarik nafasku dalam-dalam. Sudah lebih tiga bulan aku tidak pulang ke KL kerana akuterlalu sibuk melakukan tugasku. Kini apabila aku berada di KL, aku tidak mahu kedua orang tuaku mengetahui tentang pulangnya aku ke sini.
Pada esok pagi, aku mahu terus ke rumah datukku yang terletak di Bukit Tunku itu. Aku mahu ke sana dan aku perlu tanya apa yang telah dilakukannya sewaktu dia berada di Singapura dahulu...
*
Kami telah mendapatkan bilik yang berasingan di Hotel Impiana. Di dalam bilik hotel, aku terus membuka langsir lalu membaringkan diriku ke atas katil. Bangunan berkembar KLCC dapat kulihat dengan jelas dari bilikku. Jika aku berdiri dekat dengan tingkap, pasti aku akan dapat mendengar bunyi kesibukan kenderaan yang lalu lalang di bawah.
Aku termenung memandang ke arah siling. Fikiranku berkecamuk. Aku dapat merasakan bahawa sesuatu yang membimbangkan akan berlaku kepada diri Saiful bila-bila masa sahaja nanti. Aku bimbangkan kepada keselamatannya. Aku tidak mahu ular tedung gergasi berpuaka itu datang mencarinya lalu membunuhnya dengan cara yang mengerikan seperti kawan baiknya Chee Meng.
Jauh di dalam hatiku, aku tahu Saiful sendiri tahu akan perkara yang akan berlaku kepada dirinya nanti, tetapi entah mengapa dan aku sendiri tidak tahu dari mana dia mendapat semangat keberaniannya ini, dia terus menghadapinya dengan tabah...
Aku membuka mataku perlahan-lahan. Aku dapati Aileen sedang duduk di sebelah katilku sambil bercekak pinggang. Aku hampir-hampir terlupa dia baru sahaja pulang dari penggambaran sebuah rancangan dokumentari di Pulau Pinang.
"Wah, wah, wah! Nyonya kita sorang ni!" Aileen menggoyang-goyangkan badannya yang kurus itu. Aku menggosok mataku, lantas aku mengambil cermin mataku di sebelah katil. Aku merenung ke dalam wajahnya. Dia sedang membeliakkan matanya kepadaku.
"Kenapa ni?" tanyaku kehairanan. Aku menguap sambil memandang ke luar tingkap. Keadaan di luar rumahku cerah pada pagi itu. Nampaknya matahari yang lama menyingsing. Aku berpaling ke arah jam di atas mejaku. Jam menunjukkan pukul 11 pagi.
"Sudah banyak berani bawak balik jantan, ya!" katanya, sengaja mengeluarkan kalimah-kalimah pelat sambil mengetapkan bibirnya. Aku menguap lagi, kali ini aku menutup mulutku dengan tangan.
Aku cuba memikirkan kembali peristiwa semalam. Aku meniti bibit peristiwa satu persatu. Aku hampir-hampir terlupa tentang Saiful.
"Dia masih ada di luar?" tanyaku kepada Aileen dengan wajah bimbang.
"Ya, sayang kau tu masih di luar. Dia sedang tidur di atas sofa tu!" beritahu Aileen. "Terkejut aku bila aku masuk ke rumah tadi. Aku ingat siapa lah tadi!"
"Maaf... Kami buat kajian di sini semalam di sini." Aku menjelaskan dengan tegar.
"Kajian ke-"
"Kajian je lah!" aku menegaskan, memintas kata-kata Aileen yang sengaja mahu mengusikku. Aku mendengus ke arahnya lantas aku bangun dari katilku untuk berjalan keluar dari bilikku. Di ruang tamu, aku melihat Saiful tidur dengan keadaan tubuhnya mengiring ke tepi.
Aku memanggil namanya. Dia tidak menjawab. Aku duduk di sebelahnya. Aku cuba melihat turun naik nafasnya. Tubuhnya kaku. Aku cuba menyentuh lengannya. Dingin.
"Saiful!" getus ku sambil menggoyangkan lengannya itu dengan mengharapkan dia akan bangun, tetapi dia tidak bangun-bangun juga.
Wajahku berubah pucat. Aku menoleh ke arah Aileen. Dia hairan melihat keadaanku yang panik seperti itu.
"Saiful!" aku memanggil namanya dengan lebih kuat lagi. Aku cukup bimbang jika berlaku apa-apa kepadanya ketika aku masuk tidur semalam.
Setelah hampir seminit aku menggoyangkan tubuhnya, akhirnya Saiful tersedar dari tidurnya. Dia membuka matanya dengan perlahan. Dia senyum ke arahku.
"Kenapa awak nampak risau saja ni?" tanya Saiful kehairanan kepadaku. "Awak menangis ke?"
Aku mengesat air mataku cepat-cepat. Aku menggelengkan kepalaku. Kemudian Saiful berpaling ke arah Aileen. Aileen menaikkan kedua belah bahunya memberitahu Saiful dia tidak memahami perangaiku yang aneh itu pada pagi itu.
"Saya cuba kejutkan awak, tapi awak tak nak bangun..." aku mengatakan kenyataan ini lambat-lambat.
"Saya memang susah nak dikejutkan bila lambat tidur macam semalam..."
"Pukul berapa awak masuk tidur?"
"Pukul 5 pagi."
"Kenapa awak tidur lewat sangat?"
"Saya buat kajian lanjut tentang hubungan kucing dengan ular dengan menggunakan Internet."
"Oh..."
"Awak tak perlu risau tentang diri saya macam ni." Matanya keras bersungguh. Dia memandang kepadaku. Mungkin dia mahu aku mengangguk mengerti, tetapi aku hanya terpaku duduk di sebelahnya.
"Jadi apa yang awak pelajari?" kataku kemudian setelah beberapa detik meratah sepi.
"Ular dan kucing sering wujud seiringan di dalam beberapa mitos dunia." Katanya sambil menggeliatkan tubuhnya. Matanya kini mengekori Aileen yang masuk ke dalam dapur.
"Ya ke?" soalku dengan tajam dan penuh minat. "Tapi mengapa, agaknya?"
"Dari kajian saya semalam, saya mendapat tahu bahawa terdapat beberapa mitos dunia yang mengatakan kucing dan ular mempunyai banyak persamaan-"
"Seperti apa?"
"Ular dan kucing mengeluarkan bunyi yang sama ketika berhadapan dengan musuh mereka." Saiful bersungguh-sungguh mengeluarkan bunyi ular berdesis. Kemudian dia membuat suara kucing yang sedang menyinga marah, lengkap dengan aksi kucing yang mahu mencakar dengan menggunakan tangannya. Perbuatannya ini membuatkan aku tersenyum. Baru sahaja bangun tidur dia sudah mahu bergurau senda denganku.
"Okay... sekarang kita tahu mereka mengeluarkan suara yang hampir sama..."
"Bukan itu sahaja," suaranya tebal dengan kesungguhan. "Imej kucing hitam dan ular hitam sering bertukar-tukar di dalam mitos-mitos dunia. Sebagai contoh, terdapat banyak cerita tentang seekor ular kosmik yang melingkari dunia - dengan menggigit hujung ekornya sendiri. Ular yang bersifat khunsa ini di dalam mitos Babylon ini dikenali dengan nama "Tiamat," dan masyarakat Ibrani pula memanggilnya dengan nama "Leviathan,". Apa yang menarik, imej ular yang melingkari dunia ini kadangkala akan disatukan dengan imej kucing yang melingkar."
Mulutku melopong memandang ke arah Saiful. Aku tidak sangka dia dapat mengingati semua ini di dalam kepalanya. Tetapi sejak dari awal lagi aku tidak pernah menafikan kecerdikan yang ada di dalam diri Saiful. Jika kami ditakdirkan berkahwin, aku yakin anak-anakku hasil perkongsian hidup dengannya pasti cerdik-cerdik belaka seperti bapanya juga!
"Di dalam mitos yang lain pula ada menyebutkan tentang permusuhan abadi di antara kucing dan ular. Di dalam mitos Mesir kuno sebagai contoh, kucing kepunyaan dewa Ra dikatakan melawan kemaraan kegelapan malam dengan melawan si pembawa kegelapan yang muncul dalam bentuk seekor ular.
"Errmmm... Ular khunsa?" tiba-tiba Aileen menyampuk. Aku menjeling ke arahnya yang kembali datang ke ruang tamu setelah menghabiskan masanya di dapur.
"Seperti yang saya katakan, kedua-dua haiwan ini saling wujud seiringan. Jadi ciri khunsa yang ada pada ular juga ada di dalam diri si kucing." Sahut Saiful sambil tersenyum ke arah Aileen yang telah menyerahkan secawan kopi kepadanya dan kepadaku.
"Okay... Sekarang kita tahu bahawa si kucing dan si ular mempunyai hubungan yang intim di antara satu dengan yang lain. Tapi apa kena mengena mereka dengan apa yang berlaku kepada kita sekarang?" tanyaku sambil memandang ke arah Aileen yang ternyata keliru mendengar pertanyaanku ini kepada Saiful. Dia tidak tahu hujung pangkal perbualan kami ini.
"Entahlah... Tapi cuba kita teliti beberapa fakta yang berjaya kita kumpul. Pertama sekali, kita tahu bahawa nombor MMS berpuaka yang diterima mangsa membawa maksud 'Hell Cat'. Kedua, kemungkinan besar kita sedang berhadapan dengan seorang wanita yang mempunyai kuasa sihir yang hebat. Ketiga, tentang hubungan wanita seperti ini dengan ular. Dan keempat, hubungan ular dan kucing."
"Jadi... Apa agaknya makna ini semua?" tanya Aileen mencelah medan pertanyaan.
"Mungkin jawapannya ada pada Nenek." Sebut Saiful sambil termenung. Jawapan Saiful membuat Aileen keliru, lantas dia terus mendiamkan dirinya.
"Kalau macam tu, baik kita jumpa Nenek secepat mungkin!" aku menyarankan. Saiful bersetuju dengan mengangguk. Di hujung mataku aku dapat melihat Aileen berdiri lalu kembali berjalan masuk ke dapur.
*
Pada petang itu kami telah ke rumah Nenek yang terletak di Bedok North Avenue 4. Ketika kami melawatnya, Nenek sedang duduk seorang diri di rumahnya sambil menonton TV.
"Eh! Masuk lah kalau ye, pun," kata Nenek selepas menjawab salam yang diberikan oleh Saiful. Apabila kami masuk ke rumahnya, kami mendapati kucing Nenek yang berwarna putih itu terus menyapa kami. Dengan manja ia mahu Saiful mengusap bulunya yang lembut itu.
"Saya ada seekor kucing siam di rumah saya di Yishun," beritahu Saiful kepadaku. Perkara ini baru sahaja aku ketahui.
"Siapa nama kucing awak tu?" tanyaku kepadanya. Sesekali aku akan menoleh ke dapur melihat Nenek yang sedang menyediakan perkakasannya di situ.
"Tipah namanya," jawab Saiful sambil tersenyum. Nama Tipah bagi seekor kucing bukan sahaja aneh bagiku, tetapi kelakar.
"Saya telah menjumpai Tipah di dalam longkang di hadapan flat saya. Jadi saya bawak balik. Saya telah menjaganya dari kecil sehinggalah sekarang."
"Dah berapa lama awak pelihata Tipah?"
"Lima tahun..." Saiful memperlahankan suaranya apabila dia mendapati Nenek kembali masuk ke ruang tamu.
Nenek menyuruh kami duduk bersamanya di atas lantai. Kami menurut sahaja tanpa banyak soal. Bersamanya dia telah membawa sebiji mangkuk besar yang telah diisi separuh penuh dengan air.
"Nenek tahu kamu berdua akan datang berjumpa dengan Nenek... Tapi kenapa baru sekarang kamu datang? Kenapa tak datang awal-awal lagi?" tanya Nenek memandang penuh kepadaku.
"Kami sibuk, Nek..." sambutku dengan wajah yang kelat. Aku menyerahkan kepadanya 7 biji limau purut yang telah disuruhnya aku bawa bersama ketika mahu berjumpa dengannya.
Nenek memeriksa limau purut yang telah aku beli dari pasar raya NTUC FairPrice berdekatan. Dia memilih sebiji limau purut yang difikirkannya sesuai untuk dihiris. Dia menggunakan sebilah pisau yang tajam untuk menghiris limau purut yang telah dipilihnya. Hirisan limau purut jatuh satu persatu ke dalam mangkuk. Mulutnya terkumat-kamit membaca mantera.
Mata Nenek terus ke dalam mangkuk seolah memerhatikan sesuatu. Kemudian katanya:
"Benda ni berlaku kerana dia mahu membalas dendam..."
"Dendam?" ujarku dalam pertanyaan.
"Ya... Dendam lama ni." Jawab Nenek menambahkan kekaburan.
"Siapa 'dia' yang Nenek maksudkan tadi?" aku bertanya lagi.
"Seorang wanita yang cantik orangnya... Tapi macam Nenek katakan, dia ni pendendam orangnya."
"Nek... Bagaimana agaknya yang patut kami lakukan untuk melawan kuasanya?" tanya Saiful pula.
"Namanya perlu diketahui...Hanya dengan cara ini sahaja kau boleh melawannya. Kemudian, kau perlu memberi jalan kepada si penunggu kucing melakukan tugasnya."
"Melakukan tugasnya?" tanya Saiful dengan mata yang redup.
"Ya... Si penunggu kucing terus berada di dunia kita ini kerananya. Ia mahu pulang ke dunianya sendiri."
"Tapi bagaimana Nek?"
"Kau carilah jawapannya sendiri... Nanti kau akan tahu juga akhirnya." Nenek menjawab soalan Saiful tadi sambil mengangguk-angguk.
"Siapa namanya Nek?" Saiful terus bertanya.
"Kamu berdua pergilah ke utara untuk mencari namanya"
"Ke utara?" tanya Saiful kehairanan.
Nenek memandang ke arahku. Dia seperti membaca garis-garis persoalan yang terpancar jelas di wajahku.
"Datuk kamu dahulu pernah menetap di sini, bukan?" soalan Nenek telah memeranjatkanku. Bagaimana dia mengetahui ini semua?
"Ya, Nek..."
"Kau perlu pergi menemuinya. Dia akan memberitahumu namanya." Beritahu Nenek lalu berhenti dari menghiris buah limau purut. Dia menggelengkan kepalanya sambil mengeluh. "Berhati-hati ya, Saiful, Pick Yin... Setiap gerak geri kamu berdua diperhatikannya!" kata Nenek kemudian tanpa menjelaskan apa-apa lagi kepada kami.
Nenek tidak banyak membantu selepas itu, walaupun aku ceba bertanyakan kepadanya tentang hubungan datukku di dalam hal ini. Nenek bersungguh-sungguh meminta maaf kepada kami kerana apa yang telah berlaku kepada kami harus kami cuba selesaikan sendiri.
Jadi pada petang itu, kami keluar dari rumah Nenek dengan seribu lagi pertanyaan yang membingungkan. Kucing putih kepunyaan Nenek mengiau seolah mengucapkan selamat tinggal kepada Saiful tatkala Saiful melangkah keluar dari rumah Nenek dengan wajah yang muram.
Sebaik sahaja kami berdua masuk ke dalam lif untuk turun ke bawah, aku memberitahu kepada Saiful bahawa aku mahu ke Kuala Lumpur pada petang itu juga. Aku perlu selesaikan perkara ini secepat mungkin! Aku perlu menemui datukku di sana.
"Saya mahu temankan awak... Boleh kan?" tanya Saiful mendekatkan dirinya kepadaku sambil memegang bahuku. Aku menganggukkan kepalaku dengan lemah dengan wajah tua datukku jelas terbayang di dalam kepalaku kini.
"Baguslah kalau awak ikut sekali... Saya tak berani nak balik seorang diri dan saya tak mungkin mahu berenggang lagi dengan awak memandangkan kepada segala apa yang berlaku sekarang." Kataku bersungguh-sungguh.
Saiful tidak menjawab. Dia hanya dapat mengangguk, menukik kesepian yang membentang suasana di dalam lif yang sedang menurun dengan laju ke tingkat bawah...