<$BlogRSDURL$>

Limau Nipis - AvantGo

Laman Avantgo Limau Nipis oleh Nizam Zakaria

Wednesday, June 29, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 25



Lyold menampar lengannya. Seekor nyamuk mati akibat tamparannya itu. Lyold menjentik bangkai nyamuk yang dilumuri darah itu. Dia mengibas-ngibaskan tangannya sewaktu dia sedang mendengar taklimat Kapten Chen tentang agen-agen Force 136 yang menyelinap masuk ke Malaya secara sembunyi. Tatkala ini, beberapa orang agen Force 136 telah dihantar ke Ipoh, Lumut dan Pangkor untuk mewujudkan sebuah jaringan perisikan yang dikenali dengan nama Operation Gustavus untuk mengumpul maklumat ketenteraan Jepun.

Sedang Lyold menampar seekor nyamuk yang hinggap di atas kakinya, dia mendengar Kapten Chen menyebut namanya. Lyold mendongak. Dia mendapati Kapten Chen telah memerintahnya supaya menghantar satu perutusan kepada salah seorang agen Force 136.

Lyold mengangguk cepat walaupun dia kurang pasti dengan apa yang harus dilakukannya nanti.

"Aku difahamkan kau mempunyai pertalian darah dengan Lim Bo Seng," ujar Kapten Chen kemudian.

"Ya, tapi pertalian yang agak jauh sebenarnya. Di sebelah mendiang ibu saya." Sambut Lyold sambil menggaru lehernya. Cuaca panas pada malam itu menyebabkan keadaan di dalam kem persembunyian mereka di dalam hutan berdekatan dengan perkampungan Cina Kong Mui, berbahang rasanya.

"Aku mahu kau membantunya sejauh mana yang kau mampu. Di harapkan nanti, apa-apa maklumat yang berjaya dikumpulkan mereka dapat disalurkan kepada kami."

Lyold mengangguk mengerti. Di dalam diamnya dia memikirkan tentang Lim yang telah lesap di Singapura dan kini tiba-tiba muncul di Perak.

"Esok kau perlu ke Ipoh. Kau perlu ke kedai runcit Jian Yik Jan. Di sana, serahkan surat ini kepada tauke kedai. Dia akan faham." Ujar Kapten Chen. Dia memasukkan sekeping surat ke dalam tiub ubat gigi yang telah dikosongkan. Ubat gigi tersebut diserahkan kepada Lyold.

II


Pada keesokkan harinya, sejak awal subuh lagi Lyold telah keluar dari kawasan pendalaman hutan lalu berjalan ke arah bandar Papan. Berkali-kali dia memastikan dokumen-dokumen palsu yang telah disediakan untuknya dibawanya bersama. Sewaktu berjalan, dia terpandang ke arah seorang pemuda yang sedang berbasikal dari arah Main Road, Papan lalu membelok ke arah Pusat Rawatan Papan.

Lyold cepat-cepat menyembunyikan dirinya di sebuah sudut di Panggung Cina yang terletak di hadapan simpang Main Road. Jantungnya berdegup pantas. Dia menggosok matanya untuk memastikan apa yang dilihatnya itu adalah benar dan bukan satu ilusi.

Kini dia pasti dengan apa yang dilihatnya. Tidak syak lagi... Pemuda yang dilihatnya sedang berbasikal adalah Kamarul. Lyold terus memandang ke arahnya yang membelok ke dalam Pusat Rawatan Papan dengan perasaan marah yang ditahan-tahannya.

Lyold mencongak-congak. Haruskan dia berhadapan dengan Kamarul lalu mengambil peluang ini untuk membunuhnya atau dia harus terus melangkah ke Ipoh untuk melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya.

Lyold meludah ke tepi. "Nasib kau cukup baik kali ini, Kamarul." Katanya dengan penuh dendam sambil mengelap bibirnya dengan tangannya.

Lyold terus berjalan menuju ke arah Ipoh di dalam keadaan meluap-luap dengan kemarahan sambil memikirkan 1001 cara untuk memastikan agar dia dapat membalas dendam kesumatnya kepada Kamarul...

III


Di Ipoh, Lyold akhirnya diketemukan dengan Lim Bo Seng yang kini menggunakan nama Tan Choon Lim yang kini menyamar sebagai seorang ahli perniagaan.

Lyold masuk ke dalam sebuah bilik di tingkat dua kedai runcit Jian Yik Jan sambil ditemani oleh seorang pemuda berwajah bengis. Di dalam bilik tersebut dia dapat melihat Lim sedang menggunakan sebuah alat komunikasi radio. Lim berkomunikasi dengan alat tersebut selama seminit seminit sebelum dia mendongak memandang ke arah Lyold.

Mulut Lim terlopong. Dia tidak penyangka anggota MPAJA yang telah dihantar kepadanya adalah seorang yang pernah dikenalinya dahulu di Singapura, maka terus dia berdiri lalu mendapatkan Lyold.

"Aku tak sangka akan bertemu kau di sini, Lyold." Ujar Lim sejurus selepas dia melepaskan dakapannya ke tubuh Lyold yang didapatinya lebih kurus dari kali terakhir dia bertemu dengannya di Singapura dahulu.

"Saya pun sama..." Ujar Lyold sambil tersenyum.

"Oh ya... Saya ada pesanan dari Kapten Chen," Lyold mengeluarkan ubat giginya dari dalam beg kecilnya. Dia menyerahkan ubat gigi tersebut kepada Lim.

Lim mengambil ubat gigi tersebut lalu mengeluarkan surat yang terkandung di dalam ubat gigi itu. Dia membaca kandungan surat yang diberikan kepadanya yang memintanya agar berhati-hati.

"Kelmarin, seorang agen Force 136 telah ditangkap oleh Kempeitai di Pangkor ketika dia menghantar mesej berkod ke sebuah kapal selam pihak Perikatan. Dia telah dikhianati oleh seorang anggota Parti Komunis Malaya yang masih belum dikenali orangnya." Ujarnya dengan wajah yang jelas bimbang. "Kita harus berhati-hati... Aku rasa Majer Koji mungkin sudah dapat mencium gerak-geri kita di sini."

"Majer Koji?" tanya Lyold dengan matanya terbeliak besar.

"Ya.. Dia ketua kepada unit khas yang telah ditubuhkan untuk membanteras kegiatan-kegiatan gerila anti-Jepun. Orangnya cerdik. Aku rasa dia tahu akan kegiatan kita di sini... Dia hanya tunggu masa yang sesuai untuk memulakan langkahnya." Jelas Lim membuka cermin matanya lalu membersihkannya dengan hujung kemejanya.

Lyold memikirkan tentang Koji. Kemudian tentang Kamarul. Kedua-dua seterunya ini rupa-rupanya sedang berada begitu dekat dengannya sekarang. Dia perlu melakukan sesuatu agar kedua-dua mereka dapat dibunuhnya secepat mungkin. Bila mereka berdua mati nanti, barulah puas hatinya nanti.

IV


Kasim, anggota polis muda yang terpaksa menyaksikan Sybil diseksa pada ketika itu merasakan seolah-olah dia tidak dapat berdiri lagi. Sendi-sendinya terasa lemah apabila dia melihat Sybil doktor berbangsa Serani itu dipukul dengan teruk oleh Yoshimura dengan sebatang kayu cota. Setiap kali kayunya itu mengena ke bahagian tubuh Sybil, setiap kali itulah Kasim akan beristighfar.

Yoshimura mendengus marah. Dia memaksa Sybil memberitahunya lokasi persembunyian anggota-anggota MPAJA yang ditemuinya. Sybil berkali-kali memberitahunya bahawa dia tidak tahu. Kemudian, dia memukul bahagian belakang Sybil dengan begitu kuat sehingga Kasim hampir-hampir rasa mahu pitam. Tulang belakang Sybil hampir-hampir patah dipukul Yoshimura.

Sejak dari peristiwa ini, Sybil tidak lagi mampu berjalan dengan sendirinya. Apabila Kasim diperintahkan Yoshimura supaya membawa Sybil ke bilik penjaranya, air matanya turun bercucuran apabila melihatkan keadaan Sybil yang teruk dibelasah. Kulit belakangnya berdarah-darah kerana terlalu kerap diseksa.

Fikir Kasim, inilah kali terakhir kekejaman Yoshimura yang akan disaksikannya dengan mata kepalanya sendiri. Dia ternyata silap.

Pada petang itu dia telah diperintah Yoshimura supaya membawa anak Sybil yang bernama Dawn itu ke ibu pejabat Kempeitai. Apabila Kasim membawa Dawn menemui Yoshimura, dia memegang pipi Dawn yang lembut itu sebelum dia menyerahkan segumpal tali ke tangan Kasim.

"Ikat tangan dia. Kemudian biarkan dia tergantung di bawah pokok rambutan di sebelah padang tu." Perintah Yoshimura dengan keras.

Kasim hampir-hampir tidak mampu bernafas. Dia tercengang. Yoshimura menolak tubuh Kasim ke hadapan. Wajahnya cukup bengis. Kasim mengangguk takut lalu membawa Dawn ke bawah pohon rambutan yang disebutkan oleh Yoshimira tadi. Di situ, dia mendapati terdapat beberapa orang buruh berbangsa India yang sedang menyediakan kayu api.

Kasim mengikat tangan Dawn. Kemudian, salah seorang buruh India itu mengambil bahagian hujung tali dari tangan Kasim. Dia memanjat pokok rambutan itu dengan pantas.

Belum sempat Kasim dapat mengeluarkan sapu tangannya untuk mengelap air mata Dawn yang mula turun bercucuran itu, tubuh Dawn telah ditarik oleh buruh-buruh India sehingga tubuh kecilnya itu tergantung 10 kaki dari aras tanah. Kini, kayu-kayu api dilonggokkan di bahagian mana Dawn digantung. Apabila Kasim menoleh ke belakang, dia dapat melihat sebaldi penuh kerosin telah disediakan di bawah pokok rambutan yang dikerumuni dengan kerengga itu.

Sybil yang kini lumpuh itu diheret keluar oleh anggota-anggota Kempeitai sehingga ke tepi padang. Dia terus menjerit memanggil nama anaknya yang telah digantung itu. Perasaan tidak dapat dikawal lagi apabila dia melihat Dawn menjerit kesakitan apabila tubuhnya mula digigit kerengga yang mula mengerumuni tubuh kecilnya.

Yoshimura yang tidak berhati perut itu menuangkan kerosin ke atas kayu api. Dia mengambil mancis lalu membuat unggun api yang bersemarak panas.

"Kau hanya perlu memberitahu kepada aku di mana tempat persembunyian MPAJA di Papan dan Pusing. Jika tidak, budak perempuan ini akan mati hari ini juga!" Yoshimura memberi isyarat kepada buruh-buruh India yang sedang mengawal tali supaya mengebawahkan tubuh Dawn. Inci demi inci tubuh Dawn kini berada semakin dekat ke unggun api yang sedang terbakar itu.

Dawn menjerit sekuat hati menahan rasa sakit terkena bahang api yang panas serta ratusan kerengga yang sedang menggila menggigit tubuhnya. Pegawai-Pegawai Kempeitai yang sedang menyaksikan peristiwa ini ketawa berdekah-dekah. Kasim tidak dapat menahan rasa sebak yang amat sangat. Dia terus meninggalkan kawasan tersebut sambil menangis semahu-mahunya.

Kemudian, satu perkara yang aneh berlaku. Dawn berhenti meronta. Tubuhnya kini kaku. Dia berhenti menangis dan menjerit. Dengan suara yang tenang dia memberitahu ibunya:

"Jangan beritahu mereka apa-apa, mummy! Walaupun kita akan dibunuh mereka, mummy jangan beritahu apa-apa kepada mereka. Doa! Doa, mummy! Tuhan pasti akan membantu kita!"

"Hentikan ini semua!" ujar suara keras dari jauh. Semua yang sedang berada di situ terkejut. Mereka menoleh ke arah seorang pegawai tinggi yang sedang berjalan ke arah mereka.

Yoshimura terkejut melihat kelibat Koji berjalan ke arahnya. Dia berdiri tegak lalu menabik ke arah Koji.

"Aku kata hentikan ini semua!" kata Koji dengan suaranya yang garau itu. Yohsimura mengangguk lalu memerintahkan pegawai-pegawai bawahannya supaya menarik tubuh Dawn jauh dari unggun api lalu membuka ikatan tali pada tubuhnya itu.

"Aku tak mahu melihat perkara seperti ini berlaku lagi, faham?" herdik Koji.

"Faham tuan!" jawab Yoshimura sambil menjeling benci ke arah Sybil.

Koji mengeluh. Dia menggelengkan kepalanya sewaktu dia memerhatikan keadaan di sekelilingnya.

"Aku mahu budak perempuan ini dibawa pulang. Aku tak mahu melihat kau membawa budak kecil di tempat ini lagi!" Sergah Koji. Dia mengeluarkan sapu tangannya lalu mengelap titik-titik peluh yang mula membasahi dahinya.

"Baik tuan!" ujar Yoshimura tanpa memandang terus ke wajah Koji yang bengis itu.

Koji mendengus. Dia mengucapkan selamat tinggal lalu berjalan dengan pantas ke arah keretanya yang diletakkan di luar ibu pejabat kempeitai ini.

Dawn kini dibebaskan. Anak kecil ini mengibas-ngibas kerengga yang merayap di atas tubuhnya. Kemudian dia mahu mendapatkan ibunya yang dibiarkan terlantar di atas tanah.

"Bawa dia pulang ke Papan." Perintah Yoshimura dengan perlahan kepada dua orang pegawai bawahannya.

Pada saat itulah Sybil hilang pertimbangannya sama sekali. Dia dalam keadaan dirinya yang tidak mampu lagi mengawal perasaan marahnya dia menjerit ke arah Yoshimura di dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu:

"Inikah dia yang kau semua, anggota Tentera Imperial Jepun panggil semangat samurai?"

Kata-kata Sybil telah menyebabkan Yoshimura terkedu buat beberapa ketika. Kemudian tanpa membuka mulutnya dia berjalan ke arah Sybil lalu terus dia menghenyak wajah Sybil berkali-kali dengan butnya sekuat hati, lalu beredar dari situ tanpa berkata apa-apa.

Tubuh Sybil terkulai di atas tanah. Wajahnya luka berdarah. Dia masih bernafas. Dia belum mahu mati lagi...

V


Koji meminta Seman beredar dengan pantas dari ibu pejabat Kempeitai. Kemudian dia menoleh ke arah Kamarul yang sedang duduk diam di dalam kereta.

"Kau dah puas sekarang?" tanya Koji sambil memeluk tubuhnya.

"Bagaimana dengan anak perempuannya?" tanya Kamarul sambil menggigit bibirnya. Dia cukup bimbang akan keselamatan Dawn. Sejak Dawn dibawa oleh beberapa orang anggota polis Melayu ke Ipoh, ramai kenalan-kenalan Sybil di Papan seperti Dr. Tan yang tidak senang duduk dibuatnya.

"Dia akan dibawa pulang ke Papan... Kau tak perlu bimbang."

"Apa yang berlaku tadi?"

"Kau tak perlu tahu."

"Hemm..." getus Kamarul melepaskan nafas lega.

"Aku masih tidak percaya aku sanggup melakukan ini semua semata-mata untuk kau." Kata Koji memandang ke luar tingkap kereta. Dia kemudian terus diam seribu bahasa.

Kamarul hanya mendiamkan dirinya. Dia menoleh ke arah Koji. Dia gelisah melihat Koji termenung begitu. Dia tahu Koji sanggup melakukan apa sahaja yang dimintanya. Tapi kali ini dia dapat merasakan permintaannya itu telah dilakukan jua oleh Koji walaupun sukar untuk Koji melakukannya.


posted by Nizam  # 6:00 PM

Tuesday, June 28, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 24



Kamarul dijemput masuk ke dalam bilik pejabat Dr. Danaraj. Dia masuk lalu dipersilakan duduk. Kamarul duduk lalu matanya terus kepada Dr. Dararaj. Dia tak tahu apakah yang mahu diberitahu oleh Dr. Danaraj kepadanya sehingga dia perlu dipanggil ke kliniknya pada tengah hari itu.

"Bagaimana dengan keadaan Patrick sekarang?" tanya Dr. Danaraj sambil bersandar merehatkan dirinya di atas kerusinya.

"Dia sihat sahaja. Sejak dia boleh berjalan... Dia banyak membantu dengan berkebun di rumah saya."

"Baguslah kalau begitu." Dr. Danaraj mengukir senyuman. "Sebenarnya tujuan aku memanggil kau ke sini adalah untuk memberitahu kau tentang tugasan baru yang akan aku berikan kepada kau."

"Tugasan baru?"

"Kau tentu masih ingat lagi... Aku akan beritahu kau jika aku lihat kau sudah mencedok pengalaman bertugas di Ipoh, aku mahu menghantar kau ke tempat lain yang lebih jauh."

"Ya saya ingat lagi... Jadi doktor mahu saya bekerja di tempat lain?"

"Kau pernah berkata kau biasa dengan bandar Papan, bukan?"

"Ya."

"Aku mahu kau bertugas di Papan. Basikal akan disediakan supaya kau senang nak berulang alik dari Papan ke Ipoh. Lagipun bukannya jauh sangat... 8 batu sahaja dari sini."

Kamarul menganggukkan kepalanya. "Saya selalu ke Papan di hari-hari hujung minggu untuk melawat datuk dan nenek saya di sana."

"Jadi selama ini kau ke sana dengan berjalan kaki?"

"Ya." Jawab Kamarul sambil memegang lengan kanannya. "Jadi saya akan ditempatkan di mana, doktor?" tanya Kamarul sekali lagi meminta kepastian.

"Di Pusat Rawatan Papan... Sejak Klinik pasangan Kathigasu di tutup, staf yang ditugaskan di Pusat Rawatan Papan seperti tak cukup tangan."

"Dr. Kathigasu? Kalau tak salah saya, kliniknya di Brewster Road juga telah ditutup. Tapi saya tak tahu pula kenapa..."

"Mereka telah ditahan Kempeitei." Beritahu Dr. Danaraj sambil mengeluh lesu.

"Tapi kenapa?"

"Puan Kathigasu dikatakan merawat anggota-anggota MPAJA yang datang ke kliniknya di Papan. Apabila Jepun dapat tahu, mereka pada mulanya menahan suaminya di Ipoh, kemudian mereka menahannya di Papan pula."

Kamarul melepaskan nafasnya lalu menggelengkan kepalanya.

"Jadi nasihat aku... Apabila di sana nanti, perhatikan betul-betul siapa yang perlu kau bantu. Aku rasa kawasan Papan itu adalah sebuah kawasan yang dikuasai MPAJA. Di sana nanti kau akan bertemu dengan Dr. Tan. Kau akan ditugaskan sebagai pembantu perubatannya." Jelas Dr. Danaraj. Kamarul termenung seketika setelah Dr. Danaraj mengakhiri kata-katanya. Kini dia mula sedar tentang tanggungjawab barunya. Dia rasa sedikit teruja memikirkan pengalaman baru yang dapat ditimbanya nanti di Papan, bandar kelahiran bapanya. Ramai juga saudara maranya yang bermastautin di sana, termasuklah datuk dan neneknya sendiri.

II


Sybil Kathigasu merengkok keseorangan di dalam penjara yang terletak di dalam ibu pejabat Kempeitai di Ipoh. Seluruh anggota tubuhnya terasa sakit setelah dirinya dipukul entah beberapa kali oleh beberapa orang pegawai Kempeitei - setelah ketua mereka yang bernama Yoshimura mendapat tahu tentang aktivitinya mendengar radio BBC dan menyalurkan berita-berita terbaru kepada anggota-anggota MPAJA yang ditemuinya.

Di dalam gelap, Sybil memikirkan tentang suaminya dan anaknya Dawn yang masih berusia 7 tahun itu. Dia kurang pasti jika dia harus menyesal kepada segala apa yang berlaku kepadanya sekarang. Apa yang dia tahu, semuanya ini bermula pada satu malam apabila pintu kliniknya di ketuk...

Pada waktu itu cuaca mendung. Langit gelap. Sybil dengan pantas memandang ke arah jam dinding. Jam menunjukkan pukul 10.45 malam. Dia bergegas ke arah pintu belakang kliniknya yang telah diketuk berkali-kali.

Apabila pintunya di buka, dia dapat melihat seorang lelaki yang agak tinggi dipapah oleh dua orang pemuda. Mereka bertiga berbangsa Cina. Berpakaian agak lusuh dan berkulit putih pucat.

"Kami perlukan pertolongan," ucap salah seorang lelaki yang memapah lelaki yang sedang sakit ini di dalam bahasa Inggeris yang lancar.

"Siapa kamu semua?" tanya Sybil. Pemuda tersebut mendiamkan dirinya. Lelaki yang dipapah itu menjawab dalam bahasa Kantonis bahawa mereka merupakan anggota Rejimen Kelima MPAJA. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Kapten Chen.

Sybil meminta supaya Kapten Chen di bawa ke bilik pemeriksaannya. Di situ dia mendapati bahawa terdapat luka bekas tembakan pada bahagian pahanya. Kapten Chen merayu kepadanya supaya mengeluarkan peluru yang berada di dalam pahanya itu.

"Tapi ini bukan bidang saya... Saya doktor obstetrik dan ginekologi." Ujar Sybil kepada pemuda yang berbahasa Inggeris kepadanya semata-mata kerana dirasakannya pemuda tersebut akan memahami apa yang perlu dijelaskan kepadanya.

"Tolonglah puan. Jika puan tidak tolong kami, siapa lagi?" ujarnya dengan merayu.

Sybil melepaskan nafasnya. Dia teringatkan kepada pertempuran di antara pihak Kempeitai dengan MPAJA yang telah berlaku di dalam hutan Papan dua minggu yang lalu. Apabila dia membuka balutan luka Kapten Chen, dia mendapati lukanya itu sudah mula bernanah, kerana tidak dirawat secepat mungkin. Jika dibiarkan sahaja, Sybil pasti Kapten Chen akan mati.

Sybil terpaksa membuat keputusan dengan pantas. Dia sedar jika pihak Kempeitai mengetahui tentang dirinya membantu anggota-anggota MPAJA ini, dirinya serta keluarganya pasti akan berada di dalam keadaan terancam. Di dalam masa yang saya, dia mengingati kembali Sumpah Hipocrates yang telah diambilnya dahulu. Sebagai seorang doktor, dia telah bersumpah untuk membantu sesiapa sahaja yang datang meminta bantuan darinya sejauh mana yang termampu olehnya.

"Siapa nama kau?" tanya Sybil kepada pemuda yang berbahasa Inggeris dengannya tadi.

"Nama saya Lyold." Jawabnya dengan suara tenang.

"Lyold... Aku mahu kau membantu aku buat pembedahan ini."

"Encik Kathigasu di mana? Dia tidak boleh membantu?"

"Dia di Ipoh. Dia tidak dapat balik ke sini apabila hujan tak henti-henti sejak petang tadi." Jelas Sybil. "Jadi kau perlu bantu aku. Jika tidak, pembedahan ini tidak boleh diteruskan sama sekali."

Sybil pergi ke singki yang terdekat untuk membasuh tangannya. Lyold tidak mempunyai banyak pilihan kecuali menuruti kehendak Sybil.

"Kau bukan berasal dari sini... Kau tidak seperti mereka." Ujar Sybil ketika mengelap tangannya.

"Apa maksud puan?"

"Kau berpendidikan Inggeris."

"Ya..."

"Kau berasal dari mana?"

"Singapura."

"Dan sekarang kau di sini... Duduk di tengah-tengah hutan belantara."

"Ya." Lyold mengangguk perlahan.

"Tapi mengapa?"

"Maksud puan mengapa saya menyertai MPAJA?"

"Ya?"

"Kerana saya tidak mempunyai pilihan lain... Saya cukup-cukup berdendam dengan Jepun. Saya akan melakukan apa sahaja untuk memastikan agar mereka dapat diusir keluar dari Malaya." Kata Lyold dengan penuh dendam.

Sybil hanya mengangguk setelah mendengar penjelasan dari Lyold.

Pada malam itu, Sybil akhirnya berjaya mengeluarkan peluru dari paha Kapten Chen dengan bantuan Lyold. Dia merasa lega apabila pekerjaannya itu selesai untuk malam itu.

Apabila dia selesai membalut kemas paha Kapten Chen, Lyold menyerahkan sejumlah wang kepada Sybil.

"Saya tidak boleh menerima pemberian kamu ini," ujar Sybil menolak tangan Lyold ke hadapan.

"Tapi kenapa?" tanya Lyold kehairanan. Sybil tidak menjawab soalannya, tetapi katanya:

"Kau perlu berjanji kepadaku supaya jangan beritahu perkara ini kepada sesiapa." Pinta Sybil. Lyold mengangguk pasti.

Sejurus selepas peristiwa ini, satu demi satu anggota-anggota MPAJA datang mendapatkan rawatan dari Sybil di kliniknya, lebih-lebih lagi apabila penyakit malaria mula menyerang anggota-anggota MPAJA yang bersembunyi di dalam hutan...

Kini, Sybil terpaksa menerima padah akibat keputusan yang telah diambilnya untuk membantu anggota-anggota MPAJA yang berjuang menentang Jepun. Di dalam keadaan penjara yang gelap itu Sybil memberitahu dirinya bahawa dia tidak pernah menyesal akan keputusan yang telah diambilnya itu...



posted by Nizam  # 5:28 PM

Monday, June 27, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 23



Ravi menggelengkan kepalanya tatkala dia melihat keadaan tenat Patrick. Dia memeriksa keadaan kaki Patrick yang membengkak serta berkudis itu.

"Kau tentu tahu penyakitnya, bukan?" tanya Ravi kepada Kamarul yang di dapatinya kelihatan pucat di dalam samar-camar cahaya yang membayangi wajahnya sewaktu dia sedang berada di dalam gerabak kereta api yang berbau busuk itu.

"Beriberi..." jawab Kamarul pantas.

"Teruk keadaannya."

"Aku tahu."

"Kau kenal dengan dia?" tanya Ravi apabila dia mendapati Kamarul begitu prihatin dengan pesakitnya yang satu ini.

"Ya... Dia... Dia kawan aku di Singapura dahulu." Kata Kamarul teragak-agak.

"Aku faham dengan situasi kau sekarang..." Kata Ravi dengan prihatin.

"Saya mahu dia diselamatkan."

"Aku tahu..." Ujar Ravi, dia melangkah keluar dari dalam gerabak.

"Kau boleh tolong aku uruskan tugas aku pagi ini?" pinta Kamarul sewaktu dia mendukung Patrick keluar dari dalam gerabak. Dia mendapati tubuh Patrick yang kurus kering itu ringan. Mungkin terlalu ringan sehingga dia merasakan seolah dia sedang mengangkat sebuah papan yang ringan.

Kamarul mengangkat Patrick lalu membawanya ke satu sudut di atas platform. Dia menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Patrick. Dia memastikan agar Patrick tidak terlelap. Dia mengambil bekalan air lalu dengan perlahan dia memastikan agar Patrick minum air yang diberikannya itu.

Kamarul mengambil bekalan ubat khas untuk rawatan beriberi kepada Patrick dari dalam begnya. Dia memastkan agar Patrick mengambil ubat yang diberikannya itu.

Kamarul terus berada di sisi Patrick sehinggalah mereka tiba ke pusat kuarantin di pinggir bandar Ipoh. Di sana, dia telah meminta Dr. Dararaj memastikan agar Patrick mendapatkan rawatan yang terbaik darinya. Beberapa pembantu perubatan yang lain juga diminta perkara yang sama...

"Patrick... Aku tahu kau mungkin tak akan faham apa yang mahu aku nyatakan ini, tetapi aku hanya mahu dengar." Kata Kamarul sewaktu dia sedang menemani Patrick di dalam pondok kuarantin. Dia memegang tangan Patrick yang dingin itu dengan erat. "Clive telah aku namakan Mohsin... Kini dia berada di dalam jagaan aku. Mungkin kau tidak tahu lagi tentang hal ini kerana Mohsin telah diserahkan kepada aku setelah kau diambil Jepun untuk dijadikan Romusha.

"Aku harap bila kau sedar nanti kau akan memaafkan aku ke atas segala kesilapan yang telah aku lakukan kepada Belinda dan terutamanya kepada kau. Aku sememangnya menyesal kepada segala apa yang telah aku lakukan, tetapi aku tetap bersyukur dan reda kerana sekarang aku ada Mohsin.

"Mohsin adalah seorang anak yang comel. Sejak hari pertama aku mengenalinya, aku telah berjanji untuk memberikan yang terbaik untuknya. Aku akan menjaganya seperti menatang minyak yang penuh. Aku cukup-cukup sayang dengan Mohsin, Patrick...

"Aku harap kau akan berjuang melawan penyakit kau ini, Patrick. Aku telah pastikan agar kau akan mendapatkan rawatan yang terbaik yang termampu diberikan oleh kami di sini. Aku mahu Mohsin mengenali kau sebagai pakciknya bila dia besar nanti." Kamarul mengakhiri kata-katanya dengan mendekatkan dirinya ke telinga Patrick. Katanya dengan membisik: "Kau perlu hidup, Patrick...Aku mahu kau terus hidup!"

II


Pada pagi itu, setelah seminggu Patrick berada di dalam keadaan tenat melawan penyakitnya, dia akhirnya berada di dalam keadaan sedar. Keadaannya semakin sihat. Bengkak di kakinya semakin berkurangan.

"Siapa nama kau... Sehingga kini aku tak tahu nama kau lagi." Ujar Patrick ketika Kamarul mengambil kain basah untuk membersihkan tubuhnya.

"Kamarul." Ujar Kamarul perlahan yang cukup sedar bahawa kini keadaan Patrick cukup sihat dan sudah dua tiga hari berhenti dari meracau seorang diri.

"Kalau tak salah aku... Kau yang jaga aku selama aku di sini?"

"Ya."

"Terima kasih."

"Sama-sama..."

"Kau berasal dari Perak?"

"Ya..."

"Nama aku Patrick... Dari Singapura." Patrick meluruskan tangannya agar dia dapat berjabat tangan dengan Kamarul.

"Aku tahu." Jawab Kamarul sambil berjabat tangan dengan Patrick.

"Aku mahu minta maaf kerana banyak menyusahkan kau."

"Kau tidak menyusahkan aku... Aku yang patut mintak maaf dengan kau-"

"Untuk apa?"

"Kerana aku yang banyak menyusahkan kau selama ini."

"Apa maksud kau?" tanya Patrick kehairanan. Kamarul meminta Patrick supaya berbaring.

"Nama aku Kamarul... Kau tak ingat dengan nama aku ini?"

Patrick menggelengkan kepalanya.

"Aku pernah menuntut di Singapura... Datukku bernama Syed Ali, dia menetap di Katong."

Wajah Patrick terus berubah. Kaku. Pucat. Jika ditoreh darah pada wajahnya itu, pasti tidak akan berdarah.

"Kau cucu Tok Syed?" Tanya Patrick. Dia menepis tangan Kamarul yang cuba mengeringkan tubuhnya dengan sehelai kain bersih.

"Ya." Jawab Kamarul serba salah.

"Kenapa aku diketemukan dengan kau begini?" kata Patrick seolah tidak mahu mempercayai dia akhirnya akan bertemu juga dengan Kamarul.

"Aku tak tahu... Tapi aku pasti semuanya yang berlaku ada sebabnya, Patrick."

"Kau telah membunuh adik aku!" kata Patrick dengan nada marah.

"Aku mintak maaf, Patrick." Kata Kamarul dengan jujur sambil mengeluh lesu.

"Aku tidak mungkin boleh maafkan kau sampai bila-bila. Kau binatang!"

Kamarul tertunduk ke atas lantai tanah. Sesaat kemudian dia menoleh ke luar -memandang ke arah kawasan lombong yang ditinggalkan yang terletak di sebelah pondok kuarantin ini.

"Clive sekarang berada di bawah jagaan aku."

"Apa?"

"Mak saudara kau telah menyerahkan Clive kepada aku untuk di jaga."

"Tak mungkin!" Patrick menggelengkan kepalanya tidak percaya.

"Aku telah menamakannya Mohsin."

"Kau telah menukarkan agamanya?"

"Dia anak aku, Patrick." Ujar Kamarul dengan lembut.

"Aku tak setuju dengan apa yang kau lakukan!" bantah Patrick dengan kuat sehingga dia membuatkan beberapa pesakit yang dikuarantin menoleh ke arahnya.

"Dia adalah anak aku. Darah daging aku. Aku akan membesarkannya mengikut cara aku." Kata Kamarul kali ini dengan nada tegas.

Tiba-tiba Dr. Danaraj masuk ke dalam pondok kuarantin. Suasana menjadi senyap. Dia terus ke berjalan ke arah Kamarul. Dia memeriksa keadaan Patrick sebelum dia berkata kepadanya:

"Keadaan kau dah beransur stabil..."

"Terima kasih doktor... Jika bukan kerana doktor, mungkin saya dah lama mati." Ujar Patrick dengan penuh kesyukuran.

"Kau harus berterima kasih kepada Kamarul... Dia yang telah menjaga kau siang dan malam di sini ketika kau tak sedarkan diri kau." Ujar Dr. Danarah sambil tersenyum ke arah Kamarul yang mula didapatinya berwajah sugul itu.

Kata-kata Dr. Danaraj membuat Patrick terdiam sebentar. Dia menarik nafasnya dalam-dalam.

"Kalau keadaannya stabil... Benarkan saya bawa pulang Patrick ke rumah saya petang ini, doktor. Saya rasa dia akan rasa lebih selesa di situ." Ujar Kamarul tanpa terlebih dahulu berbincang dengan Dr. Danaraj.

"Sebaiknya kau buat begitu..." kata Dr. Danaraj lalu pergi memeriksa pondok kuarantin yang lain pula.

"Kau tak perlu lakukan ini semua untuk ambil hati aku... Aku tetap tak akan maafkan kau." Ujar Patrick sambil menjeling benci.

"Aku hanya mahu membantu dengan ikhlas, Patrick." Kata Kamarul dengan perlahan. "Lagipun, kau pakcik kepada anak aku sendiri. Jika aku tidak tolong kau, siapa lagi?"

Patrick termenung jauh. Dia tidak pernah menyangka bahawa akhirnya dia bertemu juga dengan Kamarul yang cukup-cukup dibencinya sebelum ini. Dia tidak tahu kepada perjalanan hidup mereka bersilang begini. Apakah maknanya ini semua?

"Aku mahu berada dekat dengan Clive..." Patrick akhirnya bersuara setelah lama dia mendiamkan dirinya. "Dialah satu-satunya yang aku ada sekarang ini selepas kau bunuh adik aku Belinda."

Kamarul membiarkan sahaja Patrick menganggap dia sebagai pembunuh adiknya itu. Dia tidak kisah apa sahaja tuduhan yang dilemparkan kepadanya. Itu semua tidak penting baginya sekarang. Apa yang penting baginya, dia perlu menjaga Patrick sehingga dia betul-betul sihat.

"Petang nanti aku akan bawa kau ke rumah aku. Kau boleh tinggal di sana selama yang kau mahu. Lagipun, Mohsin ada di sana. Kau pasti rindukan dia. Petang nanti bolehlah kau bertemu dengannya." Kata Kamarul dengan bersungguh-sungguh. Dia mendapati Patrick hanya mendiamkan dirinya. Dia memalingkan tubuhnya ke arah lain.

III


Sebuah beca tarik berhenti betul-betul di hadapan rumah Mahidin di Conelly Road. Kamarul turun dari beca tersebut lalu membayar harga tambang kepada si penarik beca. Seterusnya dia mengangkat tubuh Patrick yang masih tidak mampu berjalan itu masuk ke dalam rumah.

Kamarul meletakkan tubuh Patrick di atas kerusi di ruang tamunya. Dia memanggil ibu dan bapanya. Patrick kelihatan serba salah diperlakukan begitu oleh Kamarul, tetapi dia tidak mempunyai banyak pilihan. Lebih baik di sini dari menghabiskan masanya di dalam pondok kuarantin, fikirnya di dalam hati.

"Mak, ayah... Ini kawan saya Patrick yang ceritakan tu." Ujar Kamarul kepada Mahidin dan kepada Alwiyah. Mereka berdua bersalaman dengan Patrick.

"Kau tak payah segan-segan tinggal di sini, Patrick. Buat macam rumah kau sendiri." Ujar Mahidin dengan tenang. Patrick hanya mampu mengangguk.

"Dah lama kau kenal dengan Kamarul di Katong?" tanya Alwiyah kepada Patrick.

"Lama mak..." pintas Kamarul dengan cepat sebelum sempat Patrick dapat menjawab.

"Sebelum perang meletus... Kau bekerja sebagai apa?" tanya Mahidinnya.

"Guru Bahasa Inggeris di Teluk Kurau English School. Saya tak sempat dapat mengajar dengan lama..." Kata Patrick sambil menjeling ke arah Kamarul. Dia pasti Kamarul tidak sedar bahawa dia terpaksa berhenti kerja semata-mata untuk membawa adiknya ke Melaka sebelum perang meletus dahulu. "Saya mengajar budak-budak sekolah rendah."

"Kalau macam tu baguslah, boleh kau tolong ajar si Ibrahim tu nanti... Si Margaret pun kau boleh ajar sama." Mahidin menyarankan. Patrick mengangguk perlahan.

"Saya mahu bawa Patrick ke bilik bawah. Dia perlu berehat." Ujar Kamarul tergesa-gesa. Mahidin mengangguk. Sekali lagi Patrick terpaksa merangkul tubuh Kamarul agar dia dapat mengangkatnya turun ke bawah kolong rumahnya.

Dengan penuh berhati-hati Kamarul membawa Patrick ke bilik bawah yang sebelum ini dijadikan stor. Selama beberapa hari kebelakangan ini, dengan bantuan Margaret, beberapa barang-barang yang tidak boleh digunakan lagi lalu tersimpan di bawah kolong ini dibuang, lantas ruang ini dijadikan sebuah bilik.

Kamarul terpaksa membongkok ketika mengangkat Patrick masuk ke dalam bilik di bawah kolong ini. Dia meletakkan Patrick di atas sebuah katil yang terdapat di sini.

"Ini bilik baru kau," ujar Kamarul kepada Patrick. Margaret memandang ke arah Patrick sambil menyusun buku-buku kepunyaan Kamarul yang tidak dibuangnya lagi ke dalam sebuah rak buku yang kelihatan usang.

"Patrick... Ini Margaret. Dia juga dari Singapura." Ujar Kamarul. "Itu pula yang sedang sibuk-sibuk tu, Ibrahim adik aku."

Margaret menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Patrick. Dia mengecilkan matanya, seolah dia ingin mengingati sesuatu.

"Saya rasa saya selalu nampak awak dan kawan-kawan awak yang lain bermandi manda di belakang kawasan pantai di Katong Convent! Awak dan kawan-kawan awak selalu sahaja buat bising ketika mandi, susah untuk kami belajar!"

"Ya..." Patrick mengangguk lemah. Terukir senyuman di wajahnya tatkala teringatkan kisah-kisah lamanya. Kemudian wajahnya berubah muram apabila dia mula sedar bahawa rakan-rakannya sepermainannya itu semuanya telah mati di Burma kecuali dirinya.

"Saya dengar tadi awak kata awak ni cikgu." Tanya Margaret sambil menoleh ke atas bumbung papan bilik ini, seolah ingin memberitahunya bahawa bilik di bawah kolong ini betul-betul berada di bahagian bahawa ruang tamu rumah.

"Ya... Tapi tak lama. Tak sampai setahun." Ujar Patrick sambil mengeluh.

"Mungkin nanti bila awak sihat awak boleh ajar saya apa yang patut... Abang Kamarul masih simpan buku-buku lamanya."

"Betul tu, Patrick." Ujar Kamarul menepuk bantal di atas katil Patrick untuk memastikan bantal itu empuk. "Bila kau beransur sihat nanti kau boleh ajar Margaret pelajaran-pelajaran yang ditinggalkannya. Begitu juga dengan Ibrahim tu."

Patrick tidak menjawab. Dia hanya mengangguk perlahan. Margaret pula nampak keseronokkan. Tidak sabar rasanya untuk dia menyambung belajar dengan buku-buku lama Kamarul yang baru sahaja di temuinya tiga hari yang lepas ketika mengemaskan bilik ini.

"Dah... Patrick perlu berehat. Jangan ganggu dia lagi. Biar dia tidur." Ujar Kamarul lalu meminta supaya Margaret dan Ibrahim keluar dari bilik ini. Mereka berdua menurut tanpa banyak soal.

Patrick membaringkan tubuhnya yang lesu itu di atas katil. Beberapa minit kemudian, Kamarul didapatinya muncul semula di dalam bilik sambil mendukung Mohsin.

Kamarul membisikkan sesuatu ke dalam telinga Mohsin sebelum dia menunjukkan Mohsin kepada Patrick. Patrick tergamam melihat anak saudaranya itu dibawa bertemu dengannya. Dia tidak menyangka akan diketemukan kembali dengan anak saudaranya itu, kerana beberapa minggu yang lepas, dia yakin dia akan mati lalu dirinya langsung tidak akan dikenali malah diingati oleh anak saudaranya itu apabila dia dewasa kelak.

Patrick tidak dapat menahan rasa sebaknya. Di dalam keadaannya menangis teresak-esak, dia terus mendekatkan dirinya kepada Mohsin lalu menciumnya sepuas-puas hatinya.


posted by Nizam  # 4:34 PM

Friday, June 24, 2005

Kuala Lumpur with Izam 1



Kuala Lumpur with Izam 2



Kuala Lumpur with Izam 3


posted by Nizam  # 4:07 PM
Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 22



Koji memandang ke luar dari dalam kereta yang dinaikinya. Dia dapat melihat Seman membawa Kamarul ke arah kereta untuk berjumpa dengannya. Dia memandang ke arah jam tangannya. Dia telah menunggu selama 15 minit di hadapan Hospital Besar Ipoh.

"Maaf tuan... Terlambat sikit." Ujar Seman ketika dia membuka pintu untuk membenarkan Kamarul masuk ke dalam kereta. Dia lambat kerana terpaksa memujuk Kamarul supaya pergi menemui majikannya yang sedang menunggu di dalam kereta.

"Kenapa kau perlu buat macam ni, Koji?" tanya Kamarul tertunduk. Matanya kadangkala akan menjeling ke luar kereta untuk memastikan tidak ada sesiapapun yang dikenalinya nampak dia masuk ke dalam kereta Koji.

"Buat apa?" tanya Koji kembali.

"Berjumpa dengan aku begini."

"Apa salahnya?" tanya Koji dengan suara yang selalu digunakan untuk mengusiknya.

"Memang tak salah... Tapi Ipoh bukan Singapura, Koji!" beritahu Kamarul dengan nada serius.

"Kau takut ahli-ahli MPAJA atau Parti Komunis Malaya tuduh kau ini perisik Jepun?"

Kamarul mengeluh. Dia memeluk tubuhnya. Matanya terus ke hadapan. Di hujung matanya, dia dapat melihat Koji memberi sepenuh perhatian kepadanya.

"Kau tak perlu takut... Mereka bukannya bodoh. Mereka tahu membezakan seorang perisik dengan seorang wakashu* seperti kau..." Koji bersuara sinis lalu meletakkan tangan kanannya di atas paha Kamarul. Tangan kirinya pula diangkat untuk memberi isyarat kepada Seman supaya membawanya pergi dari situ.

Kamarul hanya mendiamkan dirinya. Dia terus duduk di dalam kereta kaku seperti batu.

"Aku tidak boleh percaya yang kau berada begitu jauh... Kerana aku tidak boleh melupakanmu. Maka wajahmu sentiasa berada di hadapanku." Ujar Koji, menyebut kembali puisi Ise Monogatari yang telah dipetik dari "Kisah Ise". Kaji memandang ke arah tangan Kamarul. Dia mahu memegang erat tangannya untuk menghilangkan rasa rindunya terharap Kamarul yang telah ditahan-tahannya selama mereka berpisah. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Rasa rindu dendamnya itu perlu dipendamkannya buat seketika.

"Keadaan kau sekarang bagaimana... Sihat?" tanya Koji dengan nada prihatin.

"Ya... Sihat." Jawab Kamarul dengan pantas.

"Aku ditempatkan di sebuah rumah banglo dua tingkat di Gopeng Road... Jika kau ada masa, mungkin kau boleh melawat aku di sana-"

"Tak boleh Koji!" kata Kamarul dengan tegas. "Sekarang aku sibuk. Aku perlu kerja untuk tanggung mak bapak aku! Aku perlu tanggung makan minum adik aku, Margaret dan Mohsin!"

Koji mengeluh lesu. Kereta yang dibawa Seman terus bergerak ke arah Bangunan Perhimpunan Cina. Apabila tiba di situ, Koji terus masuk ke dalam bangunan tersebut untuk ke pejabat barunya. Kamarul meluru mengikutnya dari belakang. Dia mendapati bangunan ini dikawal ketat oleh beberapa orang anggota tentera Indian National Army INA yang bersekutu dengan Jepun.

Koji mempersilakan Kamarul duduk di hadapannya. Kamarul terus duduk diam. Dengan pantas Kamarul dapat melihat gurisan intaglio kepunyaan Margaret menghiasi meja Koji.

"Kau bawa intaglio ini dari Katong?" tanya Kamarul. Dia terus mencapai plat intaglio ini untuk melihatnya lebih dekat lagi.

"Ya... Kerana kau pernah beritahu kepadaku inilah satu-satunya barang yang kau rasakan yang paling berharga di dalam rumah itu. Sebab itulah aku membawanya ke sini." Koji memberitahu dengan nada jujur.

Kamarul meletakkan plat intaglio kembali ke atas meja. Dia mendapati Koji sedang memandang ke luar tingkap. Termenung.

"Jadi inilah dia Ipoh..." Kata Koji tiba-tiba, memecahkan suasana sepi yang wujud membungkus bilik pejabat ini. "Tidak ada apa-apa yang istimewa dengan bandar kelahiran kau ini, Kamarul... Tak ada apa-apa yang indah di sini. Tapi entahlah. Aku rasa seperti ada sesuatu daya tarikan yang sukar untuk aku jelaskan yang ada di sini." Koji memandang kosong ke atas kipas yang sedang berpusing di atas siling. Kemudian dia menyambung kata-katanya: "Kau tahu... Tiap-tiap malam sejak aku tiba ke sini pada minggu lepas aku lihat kau berjalan di hadapan Celestial Cabaret. Aku lihat kau akan berjalan tepat pada masanya hampir tiap-tiap malam."

"Jadi kenapa?"

"Gerak-geri kau terlalu senang untuk diramal... Seperti sekarang ini. Sekali pandang aku dapat meneka ada sesuatu yang ingin kau beritahu kepadaku." Ujar Koji lalu mengeluarkan sekartun rokok Koa dari dalam lacinya. Dia mengoyakkan bungkusan rokok tersebut lalu mengambil sekotak rokok. Dia mengeluarkan sepuntung rokok dari kotak rokok tersebut lalu membakarnya.

Koji menghisap rokoknya dalam-dalam sambil menunggu depan penuh sabar apa yang mahu diluahkan oleh Kamarul kepadanya.

"Kau tahu apa yang telah dilakukan oleh askar-askar Jepun kepada bapaku?" tanya Kamarul dengan nada marah. Nafasnya turun naik dengan pantas.

"Apa?" Koji berdiri lalu mendekatkan dirinya ke tingkap. "Apa yang telah berlaku?" katanya menoleh ke arah Kamarul yang terus memandang ke hadapan.

"Mereka menangkap bapaku lalu dia ditempeleng dan diheret. Kemudian dia diletakkan di tengah-tengah bandar dan dicap sebagai pengkhianat."

"Maaf... Aku langsung tidak tahu menahu tentang hal ini." sambut Koji dengan jujur.

"Kau tahu siapa bapa aku? Dia bukannya orang sembarangan! Kenapa dia perlu diperlakukan begitu?"

"Aku tahu siapa bapa kau sebagaimana aku tahu siapa kau. Kau berasal dari golongan bangsawan. Tanpa diberitahu pun, dari gerak-geri kau itu aku sudah boleh meneka kau bukan orang kebanyakan. Seperti apa yang aku katakan tadi, kau ini terlalu senang untuk dibaca."

"Jadi baca ini." Kamarul menudingkan tangannya ke arah dadanya. "Kau tahu aku cukup-cukup marah kepada segala apa yang telah berlaku kepada bapa aku!"

"Kau sendiri tahu Kamarul... Jika aku berada di sini perkara ini tak mungkin akan berlaku!" Koji meninggikan suaranya.

"Itulah... Sebab kau tak berada di sini semua ini boleh berlaku!" kata Kamarul dengan nada rendah tetapi cukup sinis kata-katanya itu.

"Jadi kau nak aku buat apa sekarang?" tanya Koji dengan suara tegas yang jelas menampakkan dirinya yang garang itu. Tetapi Kamarul langsung tidak menunjukkan rasa takut kepadanya. Malah dia terus diam duduk di situ. Suasana bilik terus dilanda sepi.

Kamarul terus tanpa berkata-kata. Dia berpaling memandang ke arah Koji yang sedang termenung ke luar tingkap dengan kedua belah tangannya kemas tersisip ke belakang. Pandangannya tajam memandang ke luar. Kamarul cukup-cukup sedar bahawa dia sedang berhadapan dengan seorang pegawai Jepun yang amat-amat digeruni oleh mereka yang mengenali dirinya...

II


Tatkala itu Margaret sedang berkebun sambil diperhatikan oleh Ibrahim yang sedang bermain dengan tanah. Apabila Margaret mula menyedari tentang kehadiran tiga orang pegawai Jepun yang berkereta ini kini masuk di kawasan rumah, dia terus memegang tangan Ibrahim lalu cepat-cepat dia membawanya masuk ke dalam rumah.

Ketiga-tiga pegawai Tokoka yang telah ditugaskan untuk mengawasi hal-hal yang berkaitan dengan kegiatan anti-Jepun dan komunisme ini memanggil Mahidin supaya keluar dari rumah. Margaret mengambil selendangnya lalu menutup kepalanya. Dia bersembunyi di sebalik pintu sambil memegang tangan Ibrahim yang sedang ketakutan itu. Ibrahim pernah melihat apa yang pernah dilakukan oleh askar-askar Jepun ini kepada bapanya. Sehingga kini setiap kali dia melihat askar Jepun, setiap kali itu jugalah dia akan menggigil ketakutan.

Alwiyah memandang ke arah Margaret sebelum dia menyerahkan Mohsin kepadanya. Alwiyah meminta supaya Ibrahim jangan menangis. Dia berdiri di belakang suaminya yang sedang berjalan ke muka pintu.

Ketiga-tiga anggota Tokoka itu tunduk hormat. Lama mereka tunduk begitu. Mereka terus tunduk sehinggalah Mahidin membalas dengan menundukkan kepalanya lalu kembali berdiri tegak.

Apabila Margaret memandang ke luar, dia dapati ketika-tiga wajah anggota Tokoka yang masih muda ini lebam kemerahan. Terdapat bekas-bekas lebam seolah mereka telah dipukul dengan teruk.

Mahidin keliru. Mereka inilah pegawai-pegawai Tokoka berpangkat rendah yang telah mengheretnya keluar dari rumahnya dahulu. Jadi apa yang mereka mahu?

Pegawai-pegawai Tokoka ini seboleh-bolehnya cuba menyembunyikan sebarang rasa takut yang ada di dalam diri mereka. Salah seorang dari mereka pergi ke kereta yang mereka naiki tadi. Dia membuka but keretanya. Dia menjerit-jerit marah lalu menyuruh seorang lelaki Melayu keluar dari dalam but kereta lalu membawa sebuah guni beras dari dalam but. Dengan takut-takut lelaki ini mengangkat guni beras ini lalu diletakkan di hadapan tangga batu rumah Mahidin.

"Mitaya kami telah melakukan kesilapan. Kami mahu memohon maaf kepada segala kesilapan yang berlaku." Kata salah seorang pegawai Jepun ini kepada Mahidin, di dalam bahasa Inggeris yang tersekat-sekat, lalu dia bersama rakan-rakannya sekali lagi tunduk di hadapan Mahidin. "Kami akan menghukumnya ke atas kesilapan yang dilakukannya."

"Tolong saya Encik Mahidin!" ujar lelaki yang dikenalinya sebagai Sazali itu. Seorang kerani yang pernah bekerja di pejabatnya.

"Apa yang sebenarnya telah berlaku?" tanya Mahidin yang mahu tahu sendiri tentang hal ini dari mulut Sazali, walaupun dia telah pun diberitahu oleh pegawai Jepun tadi bahawa Sazali adalah Mitaya mereka - ataupun tali barut Jepun yang tidak mempunyai kerja lain selain dari mengkhianati orang-orang yang mereka kenali dengan memberi maklumat tentang diri mereka.

"Saya dah buat salah dengan Encik Mahidin... Jadi saya nak mintak ampun banyak-banyak! Tolong minta mereka lepaskan saya!"

"Tolong lepaskan dia..."

Pegawai-pegawai Tokoka ini tidak menjawab. Mereka menarik kolar baju Sazali lalu membawanya masuk ke dalam kereta. Pegawai-pegawai Jepun ini pergi sepantas mereka muncul di sini tadi.

Mahidin hanya mampu menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak mahu berfikir jauh untuk memikirkan nasib yang bakal menimpa diri Sazali...

III


Kamarul berdiri di atas platform kereta api. Kereta api dari utara yang ditunggu-tunggunya pada pagi itu tiba pada pukul 4 pagi. Seperti biasa, dia akan dapat mencium bau yang meloyakan sebaik sahaja gerabak kereta api berhenti di hadapannya. Kamarul membetulkan ikatan kain yang menutupi hidung dan mulutnya. Dia tidak mahu kejadian dia termuntah melihat kaki seorang pesakit yang bernanah dan bersopak dimakan ulat yang telah berlaku pada minggu lepas berlaku lagi.

Kamarul membuka pintu gerabak. Dia mengeluarkan arahan supaya romusha-romusha di dalam gerabak supaya keluar dari perut gerabak. Seperti biasa, dia akan dapat melihat wajah-wajah kosong manusia-manusia separuh jerangkung bergerak dengan perlahan keluar dari dalam perut gerabak.

Hari ini Kamarul mendapati gerabak dipenuhi oleh romusha-romusha berbangsa Serani. Setelah romusha-romusha ini keluar lalu berkumpul di atas platform, dia mendapati masih terdapat seorang lagi romusha yang masih berada di dalam gerabak.

"Keluar!" perintah Kamarul dari luar.

Kamarul mengambil keputusan untuk masuk di dalam gerabak. Sememangnya, akan ada beberapa orang romusha yang mati di dalam perjalanan ke sini. Tugasnya kini adalah untuk memastikan jika romusha ini sudah mati atau sebaliknya.

Kamarul mendapati romusha ini masih bernafas lagi. Romusha ini masih muda lagi, mungkin di dalam usia awal 20-an. Kulitnya cerah. Dia pasti romusha ini berdarah kacukan Eropah. Kamarul menggoyangkan bahunya untuk mengejutkannya.

"Kamu berasal dari mana?" tanya Kamarul apabila romusha ini membuka matanya dengan perlahan. Kamarul memerhatikan bahagian kakinya yang bengkak. Nafasnya pendek. Dia nampak keliru. Dia tidak faham apa yang sedang berlaku kepada dirinya. Dia terpaksa mengambil sedikit masa untuk mencerna apa yang telah disoal kepadanya tadi oleh Kamarul.

"Singapura..." sambutnya di dalam kesukarannya untuk menjawab.

"Singapura di kawasan mana?"

"Karikal Road..."

"Oh... Saya tinggal berdekatan dengan kawasan itu dahulu... Di dalam kawasan Katong, bukan?"

Romusha itu mengangguk.

"Kamu perlu di bawa ke platform kereta api."

Dia mengangguk lemah. Dia cuba berdiri tapi dia tidak mampu untuk melakukannya sendiri.

"Siapa nama kamu?"

"Clarke..."

"Clarke?"

"Namanya Patrick Clarke." Ujar rakannya yang sedang memerhatikan Kamarul dari pintu gerabak sejak tadi.

Wajah Kamarul terus berubah pucat. Dia mula sedar bahawa Belinda pernah memberitahunya bahawa dia bersama abangnya duduk di Karikal Road.

"Patrick. Nama saya Kamarul. Cucu kepada Syed Ali. Saya dan Belinda..."

Patrick tidak faham apa yang telah dinyatakan kepadanya oleh Kamarul. Kata-kata Kamarul pudar lalu tenggelam di dalam kepalanya. Seluruh anggota tubuhnya terasa bisa. Sekali lagi dia terasa pitam lalu pandangan matanya kabur.

"Ravi!" laung Kamarul sekuat hatinya. Dia perlu mendapatkan bantuan Ravi secepat mungkin. Dia perlu memastikan agar Patrick dapat diselamatkannya dengan apa cara jua sekalipun!


* Makna di sebalik perkataan 'Wakashu' boleh di dapati di sini, di sinidan di sini.



posted by Nizam  # 2:28 PM

Wednesday, June 22, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 21



Berkali-kali Kamarul memeriksa poket bajunya untuk memastikan dia ada membawa pas pekerja serta pas perjalanan yang baru didapatkan petang tadi di Hospital Ipoh. Pada malam itu, dia berjalan dari rumahnya di Conally Road terus ke Stesen Kereta api Ipoh.

Sejurus dia pulang ke rumahnya pada petang itu, dia memberitahu ibu dan bapanya tentang pekerjaan yang barunya. Bapanya hanya diam tanpa memberikan apa-apa pendapat, ibunya pula meluahkan rasa bimbang kerana Kamarul terpaksa bekerja pada malam hari. Bukan satu perkara yang disenanginya.

Ketika pulang ke rumah, Kamarul mendapati Margaret sudah memulakan kerjanya untuk membajak kawasan kecil di belakang rumahnya. Margaret ada membawa bersama beberapa biji benih sayur-sayuran pelbagai jenis yang telah dikumpulkan dari kebunnya di Katong. Ibrahim, adik Kamarul yang masih berusia lima tahun itu sibuk mengekori Margaret ke mana sahaja dia pergi. Entah mengapa, Ibrahim mula bermanja dengan Margaret yang mula dianggapnya sebagai kakaknya sendiri.

Tatkala sedang berjalan di tengah-tengah bandar Ipoh, Kamarul mendapati suasana malam di Ipoh berubah sama sekali. Sejak Jepun datang menjajah Malaya, mereka telah memindahkan pusat pentadbiran Perak dari Taiping ke Ipoh. Dengan pemindahan ini, ramai pegawai-pegawai Jepun yang telah ditempatkan ke Ipoh. Beberapa buah tempat hiburan telah dibina khas untuk mereka. Ramai pegawai-pegawai Jepun menghabiskan masa malam mereka di tempat bermain mahjong di bangunan Foong Seong, juga di Celestial Cabaret.

Hotel, rumah tumpangan, kabaret dan kasino nampak meriah dibasahi cahaya. Derai tawa pengunjungnya memecahkan suasana sunyi malam. Ramai penduduk-penduduk Ipoh keluar bersuka-ria.

Seorang pegawai Jepun yang sedang mabuk berjalan di hadapannya. Dia sedang merangkul leher seorang gadis berbangsa Cina. Kamarul mempercepatkan langkahnya. Apabila pegawai itu betul-betul berada di hadapannya, dia terus menundukkan kepalanya.

Kamarul terus berjalan tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan. Beberapa minit kemudian dia tiba di Stesen Kereta api Ipoh. Kamarul mendapati kawasan stesen sunyi sepi.

Sepuluh minit kemudian, dia didekati oleh seorang inspektor perubatan berusia di sekitar 30-an bernama Ravi. Ravi nampaknya terus mengenalinya tanpa perlu Kamarul memperkenalkan dirinya kepadanya.

"Nasib baiklah kau ada... Senang sikit kerja aku nanti." Ujar Ravi lalu meminta Kamarul mengambil beberapa bekalan ubat untuk dimasukkan ke dalam sebuah beg kecil yang telah dikhaskan untuknya.

Kamarul hanya tersenyum. Dia tidak banyak bercakap pada malam itu. Selepas bekalan ubat dimasukkan ke dalam beg khasnya. Dia bersama Ravi pergi ke bahagian kantin stesen lalu memastikan agar makanan seperti bubur dan minuman sedang di dalam proses untuk disediakan oleh pekerja-pekerja di situ. Mereka berdua berehat di situ lalu minum kopi sambil berbual-bual kosong.

Pada pukul 3.25 pagi, kereta api yang mereka tunggu akhirnya tiba.

"Kau dah betul-betul bersedia untuk menerima mereka?" tanya Ravi sambil tersenyum.

Kamarul mengangguk sekali. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Dia mendapati beberapa orang pembantu perubatan sedang bergerak mendekati kereta api yang sedang berhenti. Kereta api yang sedang berhenti itu bukanlah kereta api penumpang, tetapi kereta api gerabak yang selalu digunakan untuk mengangkut haiwan ternakan.

"Apa-apa pun, kau jangan fikirkan sangat dengan apa yang perlu kau hadapi ini. Jangan ikutkan perasaan kau sangat. Tugas kita adalah untuk cuba merawat mereka sejauh mana yang kita mampu. Itu sahaja. Tak lebih dari itu... Lagipun mereka dihantar pulang hanya untuk menunggu mati." Kata Ravi lantas bergerak ke arah sebuah gerabak di hadapannya. Dia membuka pintu gerabak tersebut. Kamarul melakukan perkara yang sama di sebuah gerabak berdekatan.

Bau yang amat busuk terus dapat dihidu oleh Kamarul apabila dia membuka pintu gerabak. Di dalam, dia dapat melihat wajah-wajah mereka yang telah dibawa dari Burma - Buruh-buruh paksa romusha yang terpaksa bekerja siang dan malam seperti hamba abdi untuk membina sebuah landasan kereta api di tengah-tengah hutan belantara Burma.

Ravi telah memberi taklimat ringkas kepada Kamarul bahawa buruh-buruh paksa ini perlu dikuarantin. Dia perlu mengambil segala langkah agar penyakit yang dibawa bersama mereka tidak merebak kepadanya. Sarung tangan dan kain penutup bahagian pernafasan harus dipakai pada setiap masa. Buruh-buruh paksa yang dibawa pulang ini kemudiannya akan dihantar ke pinggir Ipoh untuk memastikan penyakit yang mereka bawa tidak akan dijangkiti oleh penduduk-penduduk Ipoh.

Kamarul melepaskan nafasnya. Buat seketika fikirannya buntu. Dia dapat mendengar Ravi menjerit kuat meminta buruh-buruh yang sedang sakit ini agar keluar dari gerabak.

Kamarul dapati dirinya sedang diperhatikan oleh mereka yang sedang berada di dalam gerabak ini. Mata mereka layu, seolah sedang menunggu mati. Ada yang sedang terlentang langsung tidak boleh berdiri. Yang masih bertenaga pula jelas nampak lesu. Tubuh mereka kurus. Hampir kesemua mereka dijangkiti penyakit kulit yang parah. Tubuh mereka bersopak dan berkudis. Ada pula bahagian yang bernanah.

"Keluar!" ujar Kamarul dengan suara tegas dalam keadaan serba salahnya.

Satu persatu romusha ini keluar dari gerabak kereta api. Mereka diminta supaya berkumpul di atas platform kereta api. Minuman dan makanan diberikan kepada mereka. Ada di antara mereka yang berkeadaan terlalu lemah sehingga mereka langsung tidak dapat makan atau minum.

"Siapa nama budak ni?" tanya Kamarul kepada seorang pemuda yang berusia di sekitar 17 tahun yang sedang memangku seorang pemuda yang sedang sakit di atas ribanya.

"Zakri."

"Dah lama kau mengenalinya?" tanya Kamarul sambil memerhatikan keadaan Zakri yang sedang menggigil itu. Seluarnya berbau busuk akibat ceret-beret.

"Dia adik saya." Katanya dengan nada bimbang.

Kamarul mengeluh lesu. Dia dapat melihat bahawa Zakri sedang menunjukkan tanda-tanda dia sedang mengidap penyakit malaria.

"Kau berasal dari mana?"

"Gelang Patah, bang." Jawabnya sambil mengusap-usap kepala adiknya itu.

"Ada ramai lagi orang-orang kampung kau di sana?"

Pemuda itu menggelengkan kepalanya. "Ramai yang meninggal dunia di Tamarkan ketika kami disuruh untuk membina jambatan yang merentangi Sungai Kwai."

Kamarul hanya dapat mengangguk simpati. Dia memintanya supaya terus menyuapkan makanan ke dalam mulut Zakri walaupun berkali-kali Zakri memuntahkan kembali makanannya. Mereka dan romusha-romusha yang lain perlu makan. Tubuh mereka jelas kelihatan kekurangan zat makanan.

Dr. Danaraj tiba ke stesen kereta api pada tepat pukul 7 pagi. Dia bersama beberapa orang inspektor kesihatan yang lain memerintahkan romusha-romusha ini supaya menaiki beberapa lori yang telah disediakan. Mereka menurut sahaja tanpa banyak soal. Romusha yang terlalu lemah akan diangkat oleh mereka yang masih bertenaga.

"Kita akan membawa mereka ke kawasan kuarantin di bekas lombong di pinggir bandar Ipoh ni." Beritahu Dr. Danaraj sambil menggunakan sehelai sapu tangan untuk menutup hidungnya. "Kau naik lah mana-mana lori yang ada. Kita akan berjumpa di sana nanti."

Kamarul mengangguk mengerti. Dia berjalan ke arah sebuah lori yang sedang dipandu oleh seorang pemandu berbangsa Cina. Pemandu itu tersengih ke arahnya lalu menjemputnya naik supaya duduk di sebelahnya.

Kamarul banyak termenung di sepanjang perjalanan. Sesekali dia akan menoleh ke belakang untuk melihat romusha-romusha yang kebanyakkan dari mereka terdiri dari bangsa India. Perasaan sedih mula meresap ke dalam dirinya, lebih-lebih lagi apabila dia memikirkan tentang nasib Zakri dan abangnya yang sehingga kini tidak diketahui namanya...

II


Pusat kuarantin di tepi lombong ini nampaknya baru sahaja dibina. Di sini terdapat pondok-pondok atap yang telah dibina di atas tanah berpasir di atas lombong. Setelah romusha-romusha turun dari lori-lori yang membawa mereka di sini dan dikumpulkan, mereka telah diarahkan oleh Dr. Danaraj supaya menanggalkan pakaian mereka.

Mereka semua berdiri tanpa sehelai benang pun yang melitupi tubuh. Baju-baju yang dikumpulkan terus dibakar. Kamarul telah diarahkan supaya menyerahkan pakaian-pakaian baru kepada romusha-romusha ini dan kemudian dia perlu membawa mereka ke sebuah pondok khas di bawah jagaannya. Di situ, dia terus merawat kudis-kudis di tubuh mereka dengan mengenakan balutan yang kemas. Tatkala itu Kamarul mula sedar dia terpaksa menerima hakikat bahawa ramai di antara romusha-romusha yang cuba dirawatnya sebenarnya hanya menunggu hari untuk mati.

Kamarul hanya dapat menyelesaikan pekerjaannya pada lewat pagi itu. Setelah selesai melakukan kerjanya, barulah dia dibenarkan pulang oleh Dr. Danaraj.

"Sebentar lagi akan ada kenderaan datang ke sini untuk membawa pekerja-pekerja kesihatan pulang ke Hospital Besar Ipoh..." ujar Dr. Danaraj kepada Kamarul.

"Saya tahu doktor... Ravi yang beritahu saya tadi."

"Jadi... Kau sanggup buat kerja ini?" tanya Dr. Danaraj meminta kepastian.

"Saya sanggup." Jawab Kamarul tanpa teragak-agak dengan meletakkan tangannya di atas keningnya. Matanya silau dek terkena cahaya matahari yang terang pada pagi itu. "Kalau saya tak sanggup, saya perlu kuburkan sahaja cita-cita saya untuk jadi doktor."

Jawapan yang diberikan oleh Kamarul telah membuatkan Dr. Danaraj tersenyum. Kemudian katanya kepada Kamarul:

"Bila aku lihat kau dah biasa melakukan kerja kau di sini, aku mungkin mahu kau bertugas di luar Ipoh."

"Di mana tu doktor?" tanya Kamarul dengan kening kirinya ternaik.

"Kami memerlukan beberapa orang staf tambahan di Central Mental Hospital, Tanjong Rambutan. CMH kini diubah menjadi hospital daerah. Buat masa ini terdapat lebih 3,500 pesakit di situ. Aku dengar Jepun akan menghantar lebih 1000 pesakit dari Sumatera."

"Makin sesaklah hospital itu nanti."

"Itulah yang aku fikirkan... Pesakit semakin ramai tetapi jumlah doktor kita ada tidak mencukupi... Ubat-ubatan juga semakin hari semakin sukar untuk didapati." Keluh Dr. Danarah sambil bercekak pinggang, kemudian dia menyambung lagi: "Jika kau tidak ditempatkan di CMH, mungkin kau akan dihantar ke Pusat Kesihatan Papan-"

"Datuk saya serta beberapa orang saudara mara saya menetap di Papan."

"Kalau begitu... Lebih baik sahaja jika kau ditempatkan ke Papan."

Kamarul mengangguk setuju. Kemudian dia menoleh ke arah pondok jagaannya. Abang kepada si Zakri memberitahunya dari jauh bahawa adiknya yang sedang sakit sejak awal pagi tadi baru sahaja meninggal dunia, maka perlu dikebumikan secepat mungkin. Wajahnya keruh. Dia mahu meratapi kematian adiknya, tetapi dia tidak mampu untuk mengeluarkan air matanya.

Kamarul hanya mampu mengeluh.

"Kau perlu pulang dan berehat... Biar aku uruskan hal ini." Nasihat Dr. Danaraj. "Lagipun malam nanti kau perlu bekerja lagi."

Kamarul mengangguk. Kereta yang telah disediakan untuk menghantar pekerja-pekerja kesihatan pulang ke Hospital Besar Ipoh sudah pun tiba. Dengan berat hati dia memalingkan tubuhnya lalu masuk ke dalam perut bas. Matanya terus ke lantai kereta. Dia langsung tidak berani menoleh ke arah abang kepada arwah Zakri yang dapat didengarinya meraung-raung kesedihan seorang diri...

posted by Nizam  # 5:17 PM

Tuesday, June 21, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 20



Pagi-pagi lagi Kamarul telah keluar dari rumahnya lalu berjalan kaki ke pusat bandar Ipoh. Dia mendapati cuaca pada pagi itu cukup panas. Dia hampir-hampir terlupa bahawa dia kini sedang berada di sebuah kawasan lembah yang panas berbahang dan bukan lagi di kawasan di tepi pantai yang selalunya segar berangin. Kamarul terus berjalan walaupun kini dia mendapati bajunya dibasahi peluh.

Tatkala berjalan, orang pertama yang ditemuinya adalah Pak Itam Sulaiman Power Dunia, seorang broker tanah lombong yang menjadi sahabat baik datuknya di sebuah kedai kopi di Brewster Road. Dari dalam kedai kopi, Pak Itam telah memanggilnya supaya duduk bersamanya sambil minum pagi. Kamarul menurut sahaja pelawaannya. Kamarul terkejut kerana Pak Itam masih mengenalinya walaupun kalau tak salahnya, sudah lebih lima tahun mereka tidak bersemuka.

"Bila kau pulang ke Ipoh?" tanya Pak Itam setelah dia memesan air kopi untuk Kamarul.

"Semalam, Pak Itam." Jawab Kamarul dengan matanya terus kepada Pak Itam yang dikenalinya sebagai seorang yang berperwatakan eksentrik itu. Kamarul meletakkan fail yang dibawanya bersama ke atas ribanya.

"Kau dah pergi berjumpa dengan datuk kau di Papan?" tanya Pak Itam sambil membetulkan tali lehernya. Mata Kamarul berpindah pula kepada topi polo kepunyaan Pak Itam yang diletakkan di atas meja.

"Belum Pak Itam..." jawab Kamarul serba salah.

"Pergilah melawat dia jika kau ada masa..."pesan Pak Itam.

"Ya... Saya akan melawatnya di Papan bila saya ada masa nanti." Jawab Kamarul bersungguh-sungguh.

"Kenapa kau perlu tunggu bila kau ada masa baru kau mahu melawatnya?"

"Saya perlu cari pekerjaan... Tentu Pak Itam tahu keadaan keluarga saya sekarang. Kami bukan orang senang lagi macam dulu."

"Aku tahu..." angguk Pak Itam sambil mengeluh. "Sejak Jepun datang menjajah, ramai orang yang aku lihat pernah hidup senang dalam sekelip masa sahaja jadi orang susah. Orang yang pernah hidup susah pula dalam sekelip mata jadi kaya raya... Mereka bekerja dengan Jepun... Jual barang-barang keperluan di pasaran gelap."

"Apalah kita perlu fikirkan sangat fasal benda ni Pak Itam... Dah nasib hidup masing-masing." Ujar Kamarul yang bersuara seperti seorang yang sudah cukup matang usianya dengan Pak Itam.

Kopi yang dipesan Pak Itam untuk Kamarul di letakkan di atas meja oleh seorang lelaki Cina yang sudah lanjut usianya yang hanya berseluar pendek dengan memakai baju singlet dan sehelai tuala yang digantungkan di lehernya. Pak Itam menjemput Kamarul minum. Kamarul mengucapkan terima kasih kepada pelayan Cina yang tua itu sebelum dia menghirup air kopi panasnya.

"Pak Itam... Saya nak tanya satu hal ni-"

"Hal apa?"

"Tentang ayah saya." Kamarul meletakkan cawan kopinya ke tepi. "Semalam saya lihat dia banyak termenung. Mak saya beritahu, kadangkala malam-malam dia akan meracau dalam bahasa Mandailing dia tu-"

"Jadi kamu tak tahu?" Pak Itam membeliakkan matanya.

"Tak tahu apa, Pak Itam?"

"Bapak kamu pernah kena penampar dek tentera Jepun!" getus Pak Itam pekat dengan loghat Peraknya.

Wajah Kamarul berubah. Marah. Nafasnya turun naik dengan kencang. Katanya kemudian dengan suara terkawal:

"Apa yang sebenarnya telah berlaku, Pak Itam?"

"Ada tali barut Jepun yang mengatakan bapak kau ni penyokong kuat British. Kerja orang Melayu jugak ni, yang dengki dengan bapak kau. Mereka ke pejabatnya... Mereka jumpa gambar Baginda King yang bapak kau letak di pejabatnya. Mereka terus tangkap dia. Dia pula kau tahulah macam mana orangnya. Degil. Askar Jepun yang tahan dia terus tempeleng muka dia."

"Subhanallah!" Kamarul mengetapkan giginya menahan marah.

"Mereka bawa bapak kau ke tengah-tengah bandar. Mereka pasung bapak kau dalam kotak tahanan biar semua orang dapat melihatnya. Mereka kata, bapak kau tu hamba British dan harus dibuat contoh. Nasib baiklah mereka tak hantar bapak kau ke pejabat Kempeitai hari tu..."

"Kemudian apa yang berlaku?"

"Akhirnya hal bapak kau diketahui datuk kau. Dr. Samsudin yang ada klinik di Anderson Road tu yang tolong beritahu. Datuk kau dengan bantuan Che Tak, Ketua Polis Perak yang baru tu pergi berjumpa dengan Gabenor Kubota. Mereka merayu agar bapak kau dibebaskan. Bapak kau dibebaskan petang itu juga...

"Dia terus berubah setelah dia diperlakukan begini oleh Jepun... Semasa dia dipasung, ada juga orang-orang yang memaki hamunnya. Meludah ke arahnya. Entahlah... Aku rasa mereka melakukan ini semua pun sebab takut kepada Jepun."

Kamarul termenung jauh. Dia menggelengkan kepalanya.

"Bapak kau sebenarnya degil... Gabenor Kubota sejak awal-awal lagi telah tawarkan dia kerja supaya dia boleh ambil kedudukan ketua orang putihnya itu, tapi dia tak mahu."

"Ayah memang degil orangnya." Jawab Kamarul seolah dia menelan ayat-ayatnya. Dia hilang selera untuk menghabiskan air kopinya.

"Kau jaga lah dia betul-betul... Aku rasa dia kena badi penampar Jepun tu." Ujar Pak Itam dengan serius. Kamarul mengangguk kepalanya. Dia tahu sebenarnya bapanya bukannya terkena badi. Kemungkinan besar bapanya itu mengalami tekanan perasaan memandangkan kepada keadaannya yang cukup murung.

Kamarul meminta dirinya. Dia berjalan keluar dari kedai kopi lantas terus berjalan kaki untuk ke Hospital Ipoh.

Kepada Kamarul cukup-cukup berserabut. Perasaannya terganggu. Dia cukup marah kepada askar-askar Jepun yang telah bertanggungjawab menempeleng bapanya lantas memalukan bapanya di khalayak ramai. Sepanjang masa dia berjalan, dia terus memikirkan pelbagai cara untuk menebus kembali maruah bapanya. Setiap kali dia berfikir begini, setiap kali itulah wajah Koji akan terpancar di dalam kepalanya.

II


Lama Kamarul menunggu di luar pejabat Dr. T.J. Danaraj yang bertugas sebagai Pegawai Kesihatan Kinta itu. Selama dia menunggu, dia hanya duduk diam sambil termenung ke lantai.

"Kamarul... Awak boleh masuk sekarang." Ujar seorang jururawat bertugas berbangsa India kepadanya. Kamarul berjalan masuk ke dalam pejabat. Dia berdiri di hadapan meja Dr. Danaraj sebelum dia dibenarkan duduk.

Dr. Danaraj memeriksa sijil-sijil yang dibawa bersama Kamarul pada waktu itu. Wajahnya nampak serius. Setiap keping sijil yang dibawa Kamarul diperiksanya betul-betul.

"Kau pemain ragbi Singapore All Blues?" tanya Dr. Danaraj dengan dahi terkerut.

"Ya... Buat beberapa bulan sebelum perang meletus."

"Kau menganggotai MAS ketika perang meletus dahulu?"

"Ya... Saya ditugaskan di hospital untuk merawat mangsa-mangsa perang."

"Hemm..." Dr. Danaraj meraba-raba dagunya.

"Kau tahu kenapa aku terpaksa ambil kau juga untuk bekerja dengan aku?" tiba-tiba Dr. Danaraj bersuara.

"Kenapa doktor?" tanya Kamarul kehairanan. Bimbang.

"Kerana pagi tadi aku mendapat surat dari Majer Koji supaya mengambil kau bekerja di bawah aku jika kau datang ke sini untuk mencari kerja."

Kamarul menelan air liurnya. Tahu sahaja Koji ke mana sahaja arah tujunya.

"Saya pernah beritahu kepadanya bahawa saya mahu mencari kerja dalam bidang perubatan bila saya pulang ke Ipoh." Kamarul memberitahu. Dia diam seketika sebelum dia menambah lagi. "Doktor... Saya sebenarnya tak kisah diambil bekerja sebagai tukang masak di hospital ini sekalipun, asalkan saya dapatkan pekerjaan. Keluarga hanya boleh mengharapkan saya untuk cari makan-"

"Apa hubungan kau dengan dia?"

Kamarul termenung buat beberapa saat yang pantas sebelum dia menjawab:

"Dia pernah berjiran dengan datuk saya di Singapura... Di Katong."

"Sebenarnya, Majer Koji tak perlu menghantar surat anjuran ini kepada aku... Masakan aku akan menolak bekas pelajar perubatan King Edward VII seperti kau?" kata Dr. Dararaj meletakkan fail kepunyaan Kamarul ke tepi. "Lagipun kami sedang mengalami krisis kekurangan staff..."

"Jadi... Doktor akan ambil saya bekerja?" tanya Kamarul dengan penuh mengharapkan.

"Ya... Itu pun jika kau sendiri sanggup bekerja dengan aku."

"Saya sanggup doktor!" jawab Kamarul bersungguh-sungguh. Dia melihat Dr. Danaraj melemparkan senyuman kepadanya.

"Tapi apa yang akan kau lakukan bukannya satu perkara yang mudah... Tugas pertama kau adalah untuk merawat pekerja-pekerja landasan kereta api yang dibawa dari Burma ke sini. Mereka akan tiba di Stesen Kereta api Ipoh pada setiap pada pukul 3 atau 4 pagi."

Kamarul menganggukkan kepalanya. Buat masa ini, dia sanggup melakukan apa sahaja asalkan dia dapat bekerja di bawah Dr. Danaraj.

"Kalau saya terpaksa bekerja sampai ke pagi, saya tak kisah Doktor!"

"Bukan itu yang perlu kau bimbangkan, Kamarul... Percayalah. Bukan itu yang perlu kau bimbangkan!" kata Dr. Danaraj lalu menyerahkan fail kepunyaan Kamarul kembali kepadanya.

Kamarul mengangguk perlahan. Dr. Danaraj seterusnya berdiri untuk mengiring Kamarul keluar dari pejabatnya. "Kalau begitu, kau boleh mula bekerja pada malam ini. Aku mahu kau melaporkan diri kau di Stesen Kereta api Ipoh pukul 12 tengah malam."

Kamarul menarik nafasnya dalam-dalam. Dia mengucapkan terima kasih kepada Dr. Danaraj sebelum dia berjalan cepat-cepat untuk keluar dari hospital seterusnya mencari jalan untuk pulang ke rumahnya...




posted by Nizam  # 4:31 PM

Monday, June 20, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 19



Margaret menoleh lalu memandang ke arah Kamarul yang sedang duduk di sebelahnya. Wajah Kamarul nampak tenang sewaktu dia sedang melelapkan matanya di dalam kereta. Margaret memerhatikan Kamarul dari dekat. Dia memerhatikan turun naik nafasnya. Jambangnya yang baru tumbuh yang belum dicukurnya. Kulitnya yang cerah kemerahan akibat selalu bekerja di bawah sinar matahari. Buat sejenak, Margaret mula mengingati saat-saat pertama dia bertentang mata dengan Kamarul. Dia tidak pernah menyangka Kamarul, abang kepada Sabariah itu kacak orangnya. Margaret serta-merta tertarik kepadanya, walaupun dia tidak pernah memberitahu akan hal ini kepada sesiapapun.

Kamarul membuka matanya. Dia menoleh ke arah Margaret. Cepat-cepat Margaret menoleh ke arah Mohsin yang sedang tidur di atas pangkunya.

"Sekejap lagi kita akan tiba ke bandar Ipoh." Beritahu Kamarul kepada Margaret yang tidak pernah ke bandar kelahiran Kamarul ini.

"Oh..." Margaret mengangguk. Dia memerhatikan pemandangan di luar tingkap. Yang dapat dilihatnya cuma deretan pokok getah. Dia tidak tahu bagaimana Kamarul boleh mengecam mereka akan tiba ke destinasi mereka sebentar lagi. Mungkin dia sudah cukup terbiasa dengan daerah bandar Ipoh sehinggakan sekali pandang sahaja dia sudah tahu di mana dia berada.

"Bang... Nanti turunkan kami di pinggir bandar." Pinta Kamarul kepada Ahmad sambil menggosok matanya. Keadaan cuaca pada tengah hari itu mendung.

"Kau tidak mahu kami bawa kamu berdua sehingga ke rumah kamu nanti?" tanya Ahmad menoleh memandang ke arah Kamarul dari tempat duduknya di sebelah pemandu.

"Tak apalah bang... Kami akan ambil beca." Ujar Kamarul lalu meminta Margaret menyerahkan Mohsin agar dapat didukungnya.

Ahmad mengangguk mengerti. Dia terus mendiamkan dirinya. Kumiko berbual kecil dengan Margaret, memberitahunya bahawa dia berharap mereka akan diberi tempat tinggal yang selesa ketika berada di Ipoh Nanti.

"Kau tinggal di mana, Kamarul?" tanya Kumiko kemudian kepadanya dengan suara yang lembut.

"Di Conally Road." Kamarul terus menjawab walaupun matanya terus kepada Mohsin. Kadang kala Kamarul dapat merasakan wajah Mohsin terlalu menyerupai dirinya. Takut juga dia nanti ibu dan bapanya akan dapat tahu bahawa anak kecil yang dibawanya adalah cucu mereka sendiri dan bukan seorang anak kecil yang telah ditinggal-tinggalkan.

"Sebenarnya ramai kawan-kawan aku di sini..." beritahu Ahmad yang pernah menghabiskan masanya menuntut di Kolej Latihan Sultan Idris di Tanjung Malim sebelum dihantar untuk mengajar di Singapura.

"Maksud abang di Ipoh?"

"Ya..." Jawab Ahmad mengangguk pasti. "Ketika belajar dulu, abang selalu juga datang ke Ipoh. Abang minat betul dengan pertunjukan bangsawan Grand Nooran Opera."

"Abang minat tengok bangsawan?"

"Kerana abang gilakan bangsawan lah abang berjumpa dengan Kak Kamariah kau ni dulu di Singapura..." jelas Ahmad sambil tersenyum memikirkan kembali saat-saat dia pergi menonton persembahan Zanzibar Royal Theatrical Company yang menampilkan pelakon bangsawan terkenal, Khairudin Tairo. Tatkala itu dia pergi menonton bangsawan di Great World yang terletak di Kim Seng Road bersama beberapa orang kawan-kawannya. Pada malam itulah buat pertama kalinya dia menatap wajah Kumiko.

"Kakak memberanikan diri kakak untuk bertanyakan kepada abang Ahmad kau ni jika dia ni adik kepada Khairudin Tairo... Apa tidaknya, mukanya memang ada iras-iras Khairudin Tairo!"

"Kakak Kamariah kau ni gilakan si Khairudin Tairo tu." Ujar Ahmad mengusik isterinya. Matanya kadangkala akan berpindah memandang ke arah perut isterinya yang bunting itu. Setelah lebih tujuh tahun mereka berkahwin, barulah kini Kumiko berjaya hamil.

"Saya dengar abang kena sambung belajar di Ipoh nanti..." tanya Kamarul. Dia melihat Ahmad berpaling ke arah Kumiko sambil tersenyum.

"Ya... Sementara kak Kamariah kau ni bekerja dengan Majer Koji, aku pula diminta untuk belajar bahasa Jepun di Ipoh Shihan Gakko... Aku kena mengajar budak-budak kita Nippon Go." Kata Ahmad lantas mengingatkan Kamarul bahawa Koji bukan lagi berpangkat Leftenan, tetapi dia kini berpangkat Majer.

"Jadi abang nak ajar budak-budak kita bahasa Jepun?" tanya Kamarul sambil menoleh dengan cepat ke arah Kumiko.

"Ya..." Jawab Ahmad sambil memandang ke hadapan. Dia memikirkan kembali perbualannya dengan Kamarul malam semalam ketika mereka berehat Kuala Lumpur. Setelah selesai makan malam, dia telah memberitahu kepada Kamarul mengapa dia menyimpan perasaan benci kepada British. Katanya, anak-anak Melayu yang dihantar untuk belajar di sekolah Melayu sebenarnya berada di dalam satu kedudukan yang merugikan. Kanak-kanak Melayu akan disuruh belajar empat tahun di sekolah Melayu sebelum menyertai 'Special Malay Class' sedangkan anak-anak bangsa lain terus dihantar ke sekolah Inggeris. Mereka yang belajar di sekolah Melayu akan diajar untuk berkebun, membuat bakul dan kerja tangan. Lulusan sekolah Melayu tidak mampu bersaing apabila mereka mencari pekerjaan. Menurut Ahmad, British sememangnya tidak mahu melihat orang Melayu maju ke hadapan. Hasilnya kini, ramai anak-anak Melayu ketinggalan, sedangkan orang-orang bangsa asing yang sebelum ini datang ke tanah Melayu untuk bekerja sebagai kuli kini menjadi kaya raya.

"Polisi pendidikan British langsung tidak membantu anak-anak Melayu mendapatkan pekerjaan. Pada tahun 30an, hanya terdapat 16 peratus pelajar-pelajar Melayu yang bersekolah di sekolah Inggeris di Persekutuan Tanah Melayu." Ahmad memberitahu sambil menghirup air kopinya. "British hanya mahu anak-anak Melayu kita lebih pandai sedikit dari bapa mereka yang bekerja sebagai petani dan nelayan. Polisi pemerintahan British langsung tidak banyak membantu untuk memperbaiki hidup orang-orang Melayu. Mereka hanya mahu orang-orang Melayu meneruskan pekerjaan tradisi mereka, sedangkan bangsa-bangsa lain dah maju jauh ke hadapan. Mereka takut jika terdapat ramai Melayu yang berpelajaran, orang-orang Melayu akan berani mempersoalkan tentang kedudukan mereka di tanah air mereka sendiri."

Apabila Ahmad membincangkan tentang hal ini dengan Kamarul, pada mulanya dia berfikir Kamarul mungkin sukar untuk memahami apa yang cuba diperjuangankannya. Tetapi apa yang difikirkannya ternyata salah. Kamarul tidak berfikiran seperti golongan Melayu-Melayu elit dan golongan istana, yang sememangnya tidak berapa kisahkan kepada nasib orang-orang Melayu kebanyakan. Kamarul bersependapat dengannya bahawa anak-anak Melayu perlu diberikan pendidikan yang lebih baik dari apa yang ada sekarang. Anak-anak Melayu, fikir Kamarul, perlu diberikan peluang untuk bersaing dengan lebih adil dengan anak-anak bangsa asing.

Perbualan mereka semalam berterusan sehingga ke larut malam apabila
mereka berbincang tentang hubungan Melayu yang agak tegang dengan bangsa-bangsa lain. Di antara perkara yang mereka bincangkan adalah tentang keadaan tanah orang-orang Melayu yang tergadai lalu diambil alih oleh orang-orang chettiar. Kemudian Ahmad bercerita pula tentang dakwaan Lim Cheng Ean, seorang hartawan Cina Pulau Pinang yang mempersoalkan kedudukan Melayu sebagai pemilik asal tanah Melayu. "Who says Malaya belongs to the Malays?" katanya dengan penuh angkuh. Menurutnya lagi, ketika Francis Light mula-mula mengasaskan Pulau Pinang dahulu, kuli-kuli Cinalah yang dipertanggungjawabkan untuk membersihkan dan membangunkan Pulau Pinang. Jadi Pulau Pinang adalah milik mereka.

"Walaupun dia berkelulusan Universiti Cambridge, dia tidak faham bahawa Pulau Pinang sebenarnya milik Sultan Kedah dan pulau itu telah terlebih dahulu didiami oleh para nelayan dan pekebun Melayu sebelum Francis Light datang ke pulau itu pada tahun 1786..." beritahu Ahmad dengan nada penuh kesal.

"Manusia riak selalunya selalunya jahil, bang... Pelajaran setinggi gunung tidak menjamin seseorang itu mempunyai pertimbangan." Sambut Kamarul tatkala sedang berbual dengan Ahmad di dalam bilik yang disewa mereka.

"Jika Pulau Pinang itu milik orang-orang Cina semata-mata kerana mereka membantu British untuk mengubah hutan kepada bandar... Perkara ini samalah seperti seorang tukang kayu yang telah diupah untuk membina rumah oleh tuan tanah, kemudian si tukang kayu mendakwa rumah itu miliknya walaupun dia sudah dibayar untuk membina rumah tersebut oleh tuan tanah.

"Tanah Melayu kita ni kaya, Kamarul... Yang miskin cuma orang Melayu. Selama ini, orang putih kerjanya hanya mengaup hasil kekayaan bumi bertuah kita ni... Kini, orang Cina dan orang India pun ikut sama. Segala harta kekayaan yang mereka kaup, mereka akan hantar ke negara mereka sendiri. Satu-satunya cara untuk orang Melayu untuk maju adalah untuk kita mendapatkan kemerdekaan. Sudah sampai masanya kita menjadi tuan kepada tanah air kita sendiri." Suara Ahmad berkobar-kobar dengan kesungguhannya.

"Walaupun apa yang didakwa orang Cina seperti Cheng Ean itu keterlaluan dan bodoh kedengarannya... Tetapi saya berfikir-"

"Apa yang kamu fikirkan?" tanya Ahmad cepat-cepat dia memintas kata-kata Kamarul.

"Saya berfikir... Bila British lari lintang pukang ketika Jepun menyerang Malaya dan Singapura... Dan kini apabila kita dapat melihat Jepun sudah menunjukkan taringnya - kita tidak mempunyai jalan yang lain kecuali untuk kita semua bersatu sebagai satu bangsa lalu berusaha bersama untuk mendapatkan kemerdekaan lalu berusaha mentadbirkan negara yang kita bina sendiri. Ya, mungkin satu hari nanti kita perlu bekerjasama dengan orang-orang Cina, India dan Serani untuk membina sebuah negara yang kita ingini."

"Kau berpendapat kita harus berkongsi kuasa dengan bangsa-bangsa asing?"

"Ya." Jawab Kamarul mengangguk dengan nada teragak-agak. Kemudian perbualan mereka terhenti sahaja di situ sahaja. Ahmad kelihatan kurang senang dengan pendapat yang dikeluarkan oleh Kamarul.

"Bang Seman... Berhenti di sini!" pinta Kamarul kepada si Seman drebar. Dia menurut sahaja. Kereta yang dipandunya dihentikan di hadapan sebuah kedai yang ditutup.

"Jika kamu berdua ada masa nanti, jemputlah datang ke rumah kami nanti..." ujar Ahmad menoleh ke arah Kamarul yang bergegas keluar dari dalam kereta.

"Insyallah." Sambut Kamarul dengan ringkas.

Kamarul menyerahkan Mohsin kepada Margaret. Dia terus ke bahagian belakang kereta untuk mengambil begnya.

"Jaga diri kau baik-baik, Margaret, Kamarul." Ucap Kamariah sambil mengikir senyuman. Kamarul mengangguk sekali. Dia bersalaman dengan Ahmad lalu mengucapkan terima kasih kepada Seman.

Kereta yang dibawa Seman meninggalkan mereka berdua di hadapan deretan rumah kedai di pinggir bandar Ipoh. Margaret memandang ke arah Kamarul. Dia melihat Kamarul sedang menggaru-garu tengkuknya.

"Rumah abang jauh lagi ke?" tanya Margaret sambil memastikan kain batik yang digunakan untuk menyelubungi tubuh Mohsin menutupi wajahnya sekali.

"Jauh."

"Kenapa tak minta abang Seman hantar kita terus ke rumah abang?" tanya Margaret sambil membetulkan selendang di kepalanya.

"Abang tak nak orang tahu kita kenal rapat dengan mereka." Itulah sahaja jawapan yang diberikan Kamarul. Dia langsung tidak mahu menambah lagi kata-katanya itu dengan sejelas-jelasnya. Dia tidak mahu menjelaskan kepada Margaret bahawa dia tidak mahu orang-orang di Ipoh mengecapnya sebagai tali barut Jepun setelah mereka melihatnya nanti menaiki sebuah kereta yang dipunyai oleh tentera Jepun.

Margaret mengeluh. Dia memandang ke kiri dan ke kanan. Dia tidak tahu berapa jauh dia harus berjalan sehingga mereka terjumpa dengan seorang penarik beca yang akan membawa mereka pulang ke Conally Road.

Kamarul berjalan dengan membawa begnya yang besar itu yang berat kerana dipenuhi dengan buku-bukunya. Walaupun telah ditegah oleh datuknya kerana mahu membawa buku-bukunya yang akan membebani perjalanan, Kamarul tetap berdegil.

Kamarul mendapati keadaan di Ipoh sedikit berbeza dengan keadaan Ipoh yang diingatinya sebelum perang. Tidak seperti di Singapura, di sini tak ada tanda-tanda bangunan yang telah musnah dibom.

Tanda-tanda perniagaan di hadapan kedai-kedai di sini diubah dengan menggunakan tulisan Jepun Katakana. Beberapa buah kedai pula terus ditutup. Toko Whiteways yang sering dikunjungi keluarganya dahulu untuk membeli barang-barang yang khususnya diimport dari England kini terus ditutup. Di beberapa buah kaki lima, dia dapat melihat barang-barang curi yang sedang dijual yang datangnya dari rumah-rumah yang telah ditinggalkan ketika Jepun menyerang Ipoh.

Kamarul akhirnya menemui dua buah beca yang bersedia untuk membawanya pulang ke rumahnya. Sebuah beca dinaiki oleh Margaret dan Mohsin. Sebuah lagi dinaiki oleh dirinya sendiri dengan begnya yang berat itu.

Apabila Kamarul tiba di rumahnya, dia mendapati tidak lagi terdapat bendera Union Jack yang dikibarkan di hadapan rumah seperti kebiasaannya. Dia melepaskan nafas lega. Walaupun begitu, dia dapat melihat keadaan halaman rumahnya yang kurang dijaga. Lalang mula tumbuh meliar di dalam taman Inggeris yang pada satu ketika dahulu menjadi kebanggaan bapanya.

Kamarul memberi salam berkali-kali barulah kelibat ibunya keluar untuk mendapatkannya. Wajah Alwiyah terkejut melihat wajah anaknya itu muncul di hadapan rumahnya. Dari telegram yang baru diterimanya pagi tadi dari Syed Ali, dia menyangka anaknya itu akan datang dua tiga hari lagi, dan bukannya pada hari ini.

Alwiyah merenung ke dalam mata Margaret. Dia cukup-cukup bersimpati dengan apa yang terpaksa dialami oleh Margaret. Ibu Margaret, bibik Puteh adalah kawan baiknya sejak kecil. Perasaannya terus sebak tatkala memikirkan nasib yang telah menimpa bibik Puteh dan keluarganya.

"Jadi inilah dia anak kecil yang ditinggalkan di hadapan rumah datuk kau?" tanya Alwiyah lalu meminta Margaret menyerahkan Mohsin agar dapat didokongnya.

"Ya, mak..." jawab Kamarul sambil menelan air liurnya.

"Comel budak ni... Ada iras-iras muka kau ketika kau kecil dulu." Kata Alwiyah. Wajah Kamarul berubah pucat. Dia tidak tahu ibunya itu serius atau sebaliknya.

"Tak... Masa saya kecil dulu muka saya lagi elok." Kamarul cuba berseloroh. Alwiyah tersenyum kecil. Sememangnya dia tidak dapat menafikan bahawa anak sulungnya itu memang comel keadaannya ketika dia kecil dahulu. "Mak... Ayah mana, mak?"

Alwiyah mengeluh seketika, sebelum dia menjawab:

"Dia di belakang..."

Kamarul berjalan ke belakang rumahnya. Ke arah sebuah veranda yang menghadap ke arah padang yang kini ditumbuhi lalang. Bapanya ada di situ. Dia sedang duduk di kerusi malas sambil termenung jauh.

Kamarul terus mendapatkan bapanya lalu mencium tangan bapanya itu. Mahidin mengusap-usap rambut Kamarul sambil berkata:

"Ayah telah mengambil keputusan untuk tidak bekerja dengan Jepun... Jadi sekarang ayah duduk rumah sahaja." Ujar Mahidin dengan suara perlahan.

"Tak apa, yah... Sekarang saya ada di sini. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari kerja untuk menampung segala keperluan keluarga kita." Kata Kamarul sambil menggenggam tangan Mahidin. Dia mendapati garis-garis halus pada wajah bapanya semakin jelas kelihatannya. Dia pasti bapanya telah melalui satu tekanan yang hebat sehingga membuatnya begini - seperti seekor singa yang telah kehilangan taringnya.

Alwiyah memegang bahu Kamarul, seolah meminta Kamarul supaya jangan mengganggu bapanya. Kamarul mengangguk mengerti. Dia berdiri lalu berjalan beberapa tapak ke belakang. Dia menoleh. Dia dapat melihat Margaret memandang ke arahnya. Kamarul memegang lehernya tanpa berkata apa-apa kepada Margaret. Dia berjalan masuk ke ruang tamu untuk membawa masuk begnya itu ke dalam kamar tidurnya. Dia mahu berehat. Esok pagi-pagi dia mahu ke bandar Ipoh untuk mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan keluarganya yang didapatinya tidak seperti dahulu...

posted by Nizam  # 3:50 PM

Thursday, June 09, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 18



Kamarul mendongak memandang bilik atas ke atas banglo Margaret yang nampaknya terang benderang. Pastinya Koji sudah pulang dan sedang berada di dalam bilik yang terang itu, fikirnya. Dia terus berjalan melepasi dua orang anggota Heiho berbangsa Melayu yang baru sahaja berusia 17 tahun telah ditugaskan untuk menjaga kawasan rumah.

"Bang... Ada rokok tak bang?" tanya seorang dari mereka. Dia menggunakan dua batang jarinya yang didekatkan kepada bibirnya yang terjuih. Kamarul mengenalinya dengan nama Amin, seorang pemuda dari Kampung Wak Hassan yang telah menganggotai pasukan tentera tambahan Jepun agar dia dapat menampung kehidupan keluarganya.

"Berapa kali aku nak kena ulang aku tak hisap rokok, Min?" ujar Kamarul menepuk bahu Amin. Kawan Amin yang bernama Kamil itu tersengih di sebelahnya.

"Lain kali abang mintak lah kat Leftenan Koji..." Kata Amin sambil mencebik.

"Leftenan Koji dah balik?" tanya Kamarul sambil memeluk tubuh, langsung dia tidak mahu melayan saranan Amin tadi kepadanya.

"Dia baru saja balik, terus dia biliknya." Beritahu Kamil sambil menudingkan jarinya ke arah atas.

"Bang... Munah macam mana hari ini, bang?" tanya Amin memberanikan dirinya untuk bertanya. Amin memang telah lama jatuh hati kepada Margaret. Bila ada masa yang terluang, dia dan Kamil pasti akan meninjau ke rumah sebelah untuk melihat Margaret menyiram tanaman yang sedang diusahakannya. Suka benar dia mendengar Margaret menyanyi ketika melakukan kerjanya.

Dia, seperti Kamil tidak tahu rumah yang dijaga mereka sebagai sentri ini kepunyaan keluarga Margaret. Difahaminya Margaret itu adalah cucu kepada Syed Ali...

"Munah sihat." Jawab Kamarul pendek.

"Kirim salam kepadanya ya bang? Beritahu kepadanya Amin yang kirim salam." Ujar Amin beria-ia. Kamarul sekadar mengangguk lalu masuk ke dalam banglo.

Tingkat bawah banglo ini kini didiami oleh beberapa pegawai bawahan Koji. Mereka belum pulang lagi. Kawasan rumah kosong. Apabila dia menaiki tangga ke bahagian atas, dia dapat mendengar lagu klasikal dimainkan dengan alat gramofon yang datangnya dari bilik yang digunakan Koji.

Kamarul mengetuk pintu. Sesaat kemudian dia dapat mendengar Koji memintanya masuk ke dalam bilik kecil yang telah dijadikan pejabatnya. Seperti biasa, Koji akan menghabiskan masanya di dalam bilik pejabatnya itu sehingga dia dipanggil makan malam oleh Kumar.

"Awal kau datang ke sini hari ini!"ujar Koji. Dia memandang ke arah Kamarul sekali sebelum dia mengambil sebuah fail dari atas mejanya.

"Aku datang untuk memberitahu aku mahu pulang ke Ipoh... Sebaik-baiknya awal minggu depan."

"Jadi kau akhirnya mahu juga pulang ke Ipoh?" tanya Koji sambil menulis sesuatu ke dalam failnya.

"Ya, tapi bukan di atas suruhan kau…" Kamarul menegaskan. Dia menjeling ke arah Koji. Dia melihat Koji sedang sibuk mengoyakkan sekeping kertas lalu dibuangnya ke dalam tong sampah.

"Jadi kenapa kau mahu pulang ke Ipoh?"

Kamarul tidak menjawab. Dia menarik kerusi lalu duduk di hadapan meja Koji.

"Untuk anak kecil yang ditinggalkan di hadapan rumah kau tu?" tanya Koji tanpa memandang ke arah Kamarul.

"Ya... Untuk Mohsin."

"Kau namakan anak kau tu Mohsin?" tanya Koji, kali ini dia mengalihkan pandangannya ke arah Kamarul.

"Ya," jawab Kamarul perlahan. Setahunya dia tidak pernah sekalipun memberitahu Koji perihal Mohsin, tetapi sememangnya Koji serba tahu seperti seorang ahli perisik F. Kikan gamaknya. Segala-galanya tentang dirinya tidak boleh dirahsiakan dari Koji sama sekali.

"Jadi bila kau mahu bertolak ke Ipoh?" Koji akhirnya bertanya setelah lama Kamarul mendiamkan dirinya.

"Minggu hadapan..." Kamarul memberitahu sambil menggaru-garu janggutnya yang dibiarkan tumbuh sejemput pada bahagian dagunya.

"Kau pasti mahu berpindah ke Ipoh?"

"Ya."

"Kau pasti ini yang kau mahu... Untuk berpindah ke Ipoh?" tanya Koji sekali lagi.

"Ya... Saya pasti."

"Tidak berapa lama lagi, Marai Ika Daigaku akan dibuka." Koji memberitahu sambil mematahkan jari jemarinya.

"Marai Ika Daigaku?"

"Kolej Perubatan Marai... Yang akan dibuka di Hakuai Byoin - atau nama lain untuk Hospital Tan Tock Seng. Jika kau tinggal di Singapura, aku boleh pastikan kau akan mendapat tempat sebagai pelajar perubatan di sini"

Kamarul termenung seketika. Mungkin inilah peluangnya untuk menyambung pelajarannya kembali.

"Seminggu yang lepas kau bermati-matian minta aku pulang ke Perak... Kenapa sekarang kau mahu aku terus tinggal di Singapura pula?" kata Kamarul sambil menyilangkan lengannya.

"Aku tahu kau lebih senang duduk di sini... Tak lama lagi pula kolej perubatan kelolaan Jepun akan di buka di Syonan. Aku lebih suka lihat kau sambung belajar dari tak buat apa-apa seperti sekarang ni..."

"Tak apalah... Aku lebih suka duduk di rumah dan uruskan hal keluarga aku nanti di Ipoh." Suaranya secara langsung mendatar. "Aku dah bertekat nak duduk di Ipoh."

"Kau yakin ini yang kau mahukan?"

"Ya."

"Kau tak akan menyesal nanti?" Koji meminta kepastian.

"Setibanya aku di Ipoh nanti aku akan cari mana-mana klinik yang akan mengambil aku bekerja..."

"Sebagai apa?"

"Jadi tukang sapu sampah pun aku tak kisah." Kata Kamarul bersahaja. "Oh ya... Margaret akan ikut aku pulang ke Ipoh."

"Dia mahu ikut sekali?" tanya Koji dengan dahinya terkerut.

"Ya..."

"Kalau macam itu, aku akan sediakan pas perjalanan kamu berdua." Koji menanggalkan cermin matanya lalu menggosok-gosok matanya itu sebelum dia menyambung: "Ahmad dan Kumiko akan menemani kau ke Ipoh nanti."

"Mereka akan ke Ipoh?" tanya Kamarul kehairanan.

"Aku mahu Kumiko terus berkhidmat denganku di Ipoh nanti..." Jelas Koji. Dia bersandar di atas kerusinya sambil memandang ke arah siling. Dia membiarkan dirinya khayal sebentar mendengar alunan muzik yang dimainkan dengan alat gramofon yang sedang memainkan lagu Bach kegemarannya.

"Perak adalah tempat sarang komunis dan penentang Jepun..." Koji melebarkan bicaranya setelah lama dia mendiamkan dirinya "Cuba kau bayangkan, ketika jatuhnya harga timah pada tahun 1938, beribu-ribu pekerja dibuang kerja di Perak, khususnya pekerja-pekerja lombong Cina. Parti Komunis Malaya mengambil peluang ini untuk membakar sentimen anti-Jepun di kalangan orang-orang Cina. Pihak komunis dan Kuomintang yang sebelum ini bermusuhan, sanggup bersatu padu untuk menentang Jepun. Sehingga kini sentimen anti-Jepun ini masih menebal di sana... Sebab itulah aku perlukan bantuan Kumiko... Susah untuk aku lakukan kerja aku di sana nanti tanpa bantuan Kumiko."

"Kau memerlukan Kumiko agar kau dapat bantuan orang-orang Melayu yang menyokong Jepun... Kau tidak sepatutnya menggunakan orang-orang Melayu macam ni. Nanti orang Cina akan bencikan orang-orang Melayu!" Kamarul meninggikan suaranya.

"Aku sebenarnya tak ada masa untuk berperang mulut dengan kau tentang hal ini... Setiap kali kita bertemu ada sahaja perkara yang perlu kau ungkit untuk buat kau marah-marah macam ni." Kata Koji dengan suara yang tenang. Dia cukup sedar jika pegawai bawahannya meninggikan suaranya seperti ini, haruslah akan terkena penamparnya.

Koji berjalan ke arah tingkap. Angin bertiup terlalu kencang. Hari mahu hujan. Dia menutup tingkap bilik dengan rapat.

"Koji... Tolonglah jangan laga-lagakan orang Melayu dengan Cina macam ini." kali ini Kamarul bersuara dengan lebih perlahan, seolah merayu.

Koji tidak mahu menjawab. Dia terus mendiamkan dirinya. Bunyi desiran angin menguasai keadaan.

Koji menyerahkan sekeping fail kepada Kamarul, sebuah fail yang didapatinya dari pejabat 'Special Branch' yang telah dikelolakan British tatkala mereka masih berada di Singapura.

Kamarul mendapati fail tersebut terkandung beberapa maklumat tentang Ibrahim Yaacob. Segala gerak-gerinya nampaknya telah diperhatikan oleh pihak Special Branch apabila dia mula menulis artikel-artikel anti-British sejurus selepas dia tamat belajar di Maktab Perguruan Sultan Idris. Terdapat beberapa laporan tentang penglibatannya sebagai pemimpin Kesatuan Melayu Muda. Dari bacaannya sekali lalu, Kamarul mendapat tahu bahawa dia dan beberapa orang anggota Kesatuan Melayu Muda seperti Ishak Haji Muhammad dan Abdul Samad Ahmad telah dipenjarakan sejurus selepas Jepun menyerang Malaya. Laporan terakhir mengenai Ibrahim Yaacob yang terdapat di dalam fail ini adalah mengenai pengakuannya menerima sebanyak $18,000 dari seorang konsulat Jepun untuk 'membeli' Warta Malaya agar ia dapat dijadikan sebagai alat propaganda Jepun...

"Kami sebenarnya tak payah membuat apa-apa... Mereka sendiri yang datang mencari kami." Koji tersenyum sendiri. Dia melihat raut wajah Kamarul terlalu serius. Dia mengambil rokoknya lalu membakar hujung puntung rokoknya sebelum menambah lagi.

Koji kemudian dia menyerahkan sebuah buku tulisan Ibrahim Yaacob yang bertajuk Melihat Tanah Air kepada Kamarul. Dengan bantuan Ahmad dan Kumiko, Koji sedikit sebanyak diberitahu tentang isi buku yang telah ditulis pada tahun 1941 ini. Koji menambah apabila dia melihat buku itu dibelek-belek Kamarul: "Katanya orang-orang Melayu perlu bersatu dan mereka memerlukan pemimpin-pemimpin utuh yang untuk memperbaiki lagi kehidupan orang-orang Melayu-"

"Apa tujuan kau menyuruh aku baca buku agen Jepun ni?" tanya Kamarul kehairanan. Pertanyaannya itu cukup-cukup sinis kedengarannya.

Kamarul cukup sedar tentang penglibatan Ibrahim Yaacob di dalam Giyu gun, atau pasukan tentera sukarelawan yang dianggotai oleh orang-orang Melayu untuk membantu Jepun mengusai Malaya. Dia tidak faham mengapa Ibrahim Yaacob dan pengikut-pengikutnya yang lain masih mahu menyokong Jepun walaupun sebagai orang surat khabar, mereka sudah sedia maklum tentang kekejaman Jepun tatkala di China pada tahun 1937.

"Aku fikir kau minat membaca... Boleh kau bawa buku ini untuk kau baca di dalam perjalanan ke Ipoh nanti." Kata Koji dengan bersahaja. Dia mengambil kembali fail Ibrahim Yaacob lalu menyimpannya di dalam laci di bawah mejanya.

II


Pada awal pagi itu, sebuah kereta Oldsmobile berwarna hitam yang sedang dipandu oleh seorang pemandu berbangsa Melayu berhenti di hadapan banglo Syed Ali. Ahmad dan Kumiko nampaknya telah diambil terlebih dahulu dari rumah mereka di Club Street. Mereka keluar dari kereta lalu terus bersalaman dengan Syed Ali dan Syarifah Alwiyah. Sebelum ini Kamarul telah memberitahu bahawa dia, Margaret bersama Mohsin akan menumpang kereta mereka untuk ke Ipoh.

Syed Ali mencium pipi Mohsin berkali-kali sebelum dia menyerahkan Mohsin agar didukung Margaret. Kamarul memasukkan begnya ke dalam bahagian but kereta.

"Kirim salam kepada mak bapak kau, Kamarul." Ujar Alwiyah ketika dia dicium tangannya oleh cucunya itu. Kamarul mengangguk. Dia menoleh ke arah Margaret yang telah mengeluarkan anting-antingnya untuk diberikan kepada Amah Kim. Amah Kim menolak, tetapi Margaret berdegil mahu memberikan anting-antingnya itu kepada Amah Kim.

Kamarul meminta supaya Margaret masuk ke dalam kereta. Margaret duduk di sebelah Kumiko. Ahmad pula duduk di sebelah isterinya itu sementara Kamarul duduk di hadapan.

Kereta bergerak meninggalkan kawasan banglo Syed Ali. Mata Margaret kini terus ke arah Banglonya. Matanya sayu, mulutnya berujar:

"Dalam sekelip mata sahaja nasib manusia boleh berubah."

Kamarul menoleh ke arah Margaret. Dia mahu tahu apa yang dimaksudkan olehnya.

"Dahulu saya mempunyai segala-galanya... Keluarga, harta. Sekarang saya tak punyai apa-apa lagi kecuali pakaian yang saya pakai dan bawa ke Perak." Margaret menoleh ke arah Mohsin. Dia memegang pipi Mohsin.

Kamarul mengeluh. Dia ingin membuka mulutnya untuk mengatakan sesuatu kepada Margaret, tetapi mungkin bukan sekarang. Dia kembali menoleh ke hadapan. Dia duduk diam di situ dengan matanya kini menoleh ke arah Selat Singapura. Satu pemandangan yang telah sebati dengannya sejak dia berpindah ke Singapura hampir dua tahun yang lalu.








posted by Nizam  # 4:13 PM