<$BlogRSDURL$>

Limau Nipis - AvantGo

Laman Avantgo Limau Nipis oleh Nizam Zakaria

Friday, July 29, 2005

Dua oleh Nizam Zakaria: Bab 12

Dua

Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 23: Masa harus diukur dengan perasaan, bukan dengan jam

Sindrom Pasca Trauma

Apabila kita kehilangan sesuatu, kita akan mengalami perasaan sedih. Perkara ini memang normal dan kita semua akan mengalaminya. Perasaan sedih ini agak kompleks dan ada kalanya akan dialami oleh kita buat jangka masa yang panjang. Ramsay dan de Groot telah mengenal pasti beberapa komponen kesedihan seperti yang disenaraikan di bawah.



Komponen kesedihan

Walaupun kita semua mengalami kesedihan, ada di antara kita yang terpaksa berhadapan dengan bencana yang dahsyat. Selain dari mengalami kesedihan akibat kehilangan orang yang disayangi, mereka juga akan dihantui dengan malapetaka tersebut. Mereka yang mengalami trauma ini akan menunjukkan trauma jangka masa yang panjang. Sindrom yang menimpa mereka ini dikenali dengan nama sindrom pasca-trauma.

Tanda-tanda Sindrom Pasca Trauma

Mereka yang mengalami sindrom pasca trauma sering 'mengalami kembali' malapetaka yang mereka lalui. Mereka akan mengalami mimpi ngeri dan ada kalanya, ketika dalam keadaan sedar mereka akan terbayangkan malapetaka ini berlaku di hadapan mereka.

Tanda-tanda sindrom ini ada kalanya hanya akan timbul beberapa bulan selepas tercetusnya peristiwa pahit ini. Ia akan berlarutan sehingga beberapa bulan dan ada kalanya bertahun-tahun. Ia akan hilang lalu mungkin akan muncul semula beberapa tahun kemudian.

Aku akhirnya mendapat tahu bahawa banyak perkara yang terpaksa dilalui oleh Dr. Londoh ketika berlakunya malapetaka 6/6. Dia telah melihat kemusnahan dan kematian yang berlaku di hadapannya. Ramai orang-orang yang dikenali dan disayanginya mati di dalam peristiwa ini, termasuklah isterinya. Sehingga kini, dia cukup terkilan kerana tidak dapat mencari mayat isterinya itu.

Dr. Londoh berasa cukup bersalah ke atas peristiwa yang telah berlaku ini. Keadaan dirinya berubah dari seorang periang dan ceria kepada seorang pendiam yang lebih suka menyendiri. Dia seterusnya telah menyalahkan dirinya kerana dia mempunyai kuasa untuk mengelakkan peristiwa ini dari berlaku tetapi dia tidak melalukannya. Perasaan marah timbul di dalam diri Dr. Londoh - pada mulanya kepada dirinya kemudian kemarahannya ini ditujukan kepada orang lain.

Dr. Londoh akhirnya mengambil keputusan untuk membalas dendam.



Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 24: Imaginasikan erti kesepian

Cinta bercekak pinggang memandang ke arah Faris. Dia mendapati Faris duduk bersila di atas lantai sambil membaca sebuah buku lama Harry Potter yang pernah menjadi kegilaan kanak-kanak pada satu masa yang lampau. Faris langsung tidak nampak bimbang walaupun kini mereka berdua terperangkap di dalam sebuah bilik rahsia yang banyak menyimpan barang-barang khazanah lama yang tidak ternilai harganya.

"Faris... Kalau kita tak boleh keluar nanti macam mana?" tanya Cinta menundukkan dirinya agar dia dapat bertentang mata dengan Faris. Tujuannya adalah untuk meminta Faris supaya melakukan membantunya mencari jalan keluar dari bilik ini.

"Kakak tengok kotak ni... Ada macam-macam benda yang tersimpan di dalamnya." Faris langsung tidak menjawab soalan Cinta tadi.

Cinta perlahan-lahan mengusap mulus rambutnya yang panjang itu ke belakang. Dia memeriksa kandungan kotak yang diujarkan oleh Faris tadi.

Di dalam kotak kayu itu tersimpan barang-barang lama kepunyaan mendiang Adam, suami Lydia. Banyak benda-benda yang telah dikumpulkan selama ini disembunyikan di dalam kota yang diperbuat daripada kayu ini.

Cinta mengeluarkan sebuah kotak besi yang berhabuk yang dijumpainya dari dalam kotak kayu ini. Di dalam kotak itu dia terjumpa dengan beberapa keping gambar lama. Dia terlalu terkejut melihat gambar-gambar lama ini. Gambar-gambar yang dilihatnya ini sememangnya sukar dicari. Tidak banyak gambar-gambar seperti ini yang ada lagi sekarang ini. Malah, dia cukup sedar bahawa gambar-gambar seperti ini telah diharamkan oleh pihak berkuasa.

"Apa tu?" tanya Faris ingin tahu apabila dia melihat wajah Cinta cukup terkesima melihat gambar-gambar di dalam kotak itu satu persatu.

"Gambar-gambar lama kota yang telah musnah sebelum kota Sendayu di bina di atasnya." Jelas Cinta tanpa memandang ke arah Faris. Dia kurang pasti jika Faris tahu menahu tentang hal ini. Tidak banyak orang yang mengetahui tentang hal ini sebenarnya. Alkisahnya, segala catatan sejarah dunia yang berlaku beberapa dekat sebelum Perang Robotik mahu dilupakan - malah dinyahkan dari pemikiran kolektif manusia pada zaman ini.

Banyak bahagian dunia yang telah musnah apabila tercetusnya Perang Robot lebih 80 tahun yang lalu. Robot-robot, khususnya robot-robot perhambaan berbentuk humanoid telah memberontak lalu berperang dengan manusia untuk memastikan agar mereka dapat menguasai bumi. Robot-robot seperti Rasputin dan Peon yang pada mulanya digunakan manusia untuk memusnahkan robot-robot yang memberontak ini, akhirnya bersekongkol dengan robot-robot yang memberontak lalu membunuh beratus juta manusia di muka bumi ini. Robot-robot ini begitu efisien memusnahkan segala-galanya untuk memastikan kemenangan mereka sehinggakan beberapa kota besar di dalam dunia ini hanya tinggal padang jarak padang tekukur...

"Saya pernah membaca tentang hal ini dalam salah sebuah siri Sikapitan... Tentang satu legenda yang mengatakan bahawa Kota Sendayu telah dibina di atas sebuah kota yang dipanggil Kota Malaikat."

"El Aye." Cinta memberitahu Faris nama lama kota legenda ini yang telah lama dilupakan.

"El Aye?" tanya Faris lalu menyebut nama kota lama ini dengan sebutan 'eleh'.

"Ya... Kalau tak salah kakak, orang memanggil kota ini dengan panggilkan El Aye." ujar Cinta, dia mengeluarkan isi kotak ini lalu diletakkannya ke tepi sebelum dia menambah lagi. "Apabila tamatnya Perang Robotik, Halcyon Corp. terus membina semula kota ini. Banyak dari bangunan-bangunan yang ada di dalam kota ini adalah replika bangunan-bangunan terkenal dari seluruh dunia yang telah musnah dalam peperangan itu... Itulah menurut kata orang-orang tua. Tapi kakak tak boleh pastikan jika semua yang mereka katakan ini betul atau tidak..."

Perkara ini terlalu baru bagi Faris. Sukar untuk dia mempercayainya.

Cinta cuba mengingati semua cerita yang pernah diberitahu oleh datuknya satu ketika dahulu. Pada kemuncak Perang Robotik, ketika manusia hampir-hampir berhadapan dengan kekalahan (yang akan menjanjikan kemusnahan mutlak kepada manusia sejagat), sebuah kumpulan misteri yang hanya dikenali dengan nama Al Qadim telah memasang beberapa butir Bom Denyutan Elektro-Magnetik di beberapa buah lokasi di dunia ini lalu bom ini diletupkan di dalam masa yang sama. Kesemua bahan berunsur elektronik musnah sama sekali, termasuklah robot-robot pembunuh ini. Sistem Internet dan komputer langsung lumpuh. Segala maklumat-maklumat yang telah lama terkumpul dan tersimpan dalam sistem komputer langsung hilang. Sistem ekonomi beberapa buah negara musnah sama sekali. Manusia, buat pertama kalinya, terpaksa bersatu untuk membina semula sebuah dunia yang hampir musnah. Dengan semangat berkobar-kobar mereka berjanji untuk membina sebuah dunia yang lebih baik lagi. Sebuah dunia utopia yang berlandaskan kepada sistem yang lebih adil dan saksama.

Apa yang mereka akhirnya bina adalah sebuah dunia salinan awal abad ke-21 (atau sekurang-kurangnya itu yang difikirkan mereka). Satu dekat pada kemuncak ketamadunan manusia sebelum manusia menjadi terlalu taksub dengan teknologi. Mereka fikir, ketamadunan manusia harus terus berada di dalam titik masa ini tanpa perlu berganjak ke hadapan untuk kesejahteraan manusia sejagat. Dan inilah kontrak sosial yang mereka persetujui. Kisah-kisah sejarah silam ketamadunan manusia selepas tahun 2020 perlu dilupakan sama sekali agar mereka dapat hidup dalam keadaan harmoni di dunia yang mereka cipta ini...

"Bila keratan akhbar ini diambil?" tanya Faris ingin tahu apabila dia melihat Cinta sedang tekun membaca keratan akhbar yang baru ditemuinya. Faris hairan melihat seni bina kota El Aye seperti mana yang dilihatnya di dalam keratan akhbar ini. Bentuk bangunannya berlainan benar dengan bangunan-bangunan yang pernah dilihatnya di Kota Sendayu. Keratan akhbar ini menunjukkan pengasas Halcyon Corp. sedang berdiri megah di hadapan bangunan ibu pejabatnya.

"Tahun 2105." Sambut Cinta perlahan. "Mungkin keratan akhbar ini telah diambil beberapa tahun sebelum meletusnya Perang Robotik."

"Ye ke?" tanya Faris kehairanan. Sistem kalender yang disebutkan Cinta agak asing baginya. Mungkin Cinta menggunakan sistem kalender yang pernah digunakan oleh mereka yang terdahulu darinya.

"Halcyon Corp. pada waktu itu adalah sebuah syarikat kecil yang menerajui penyelidikan klon, robotik, AI dan senjata." Ujar Cinta apabila dia membaca keratan akhbar tersebut sepintas lalu.

Faris terus mendengar penjelasan Cinta, walaupun dia jelas bingung. Apa yang nyata kepadanya sekarang, Halcyon Corp. adalah di antara syarikat korporat yang terbesar di dunia.

"Kakak rasa, dunia kita ini adalah salinan kepada satu dunia yang pernah wujud di masa lampau. Segala-galanya adalah salinan. Kota Sendayu ini sendiri adalah salinan kepada beberapa buah kota yang telah musnah..." Cinta mengutarakan hipotesisnya.

"Tapi mengapa?"

"Mereka ingin mencipta sebuah dunia yang sempurna... Kota Sendayu ini adalah di antara produk mereka."

"Adakah dunia kita ini sempurna, kak?"

Cinta tidak dapat menjawab soalan Faris itu. Dia berjalan ke arah jendela. Dia menyelak langsir jendela yang tebal itu. Benda pertama yang dapat dilihatnya adalah bangunan tinggi Halcyon Corp. dengan menara kristal yang dikenali juga dengan nama Ziggurat Merah itu. Perkara kedua yang dilihatnya pula adalah seekor burung nasar yang sedang bertenggek di atas belebas di tepi bumbung Teratak Halcyon.

"Kita perlu mencari jalan keluar." Ujar Cinta dengan perlahan.

"Saya boleh panjat ke luar tingkap lalu masuk ke tingkap sebelah." Faris menganjurkan.

"Jangan mengarutlah Faris!" kata Cinta membeliakkan matanya kepada Faris.

"Betul kak.. Ini sahaja cara untuk kita keluar dari bilik ini."

"Tapi cara ini berbahaya." Cinta menegaskan.

"Okay... Kalau tak, apa kata kakak cari mana-mana butang suis tersembunyi di celah-celah kotak kayu di bahagian hujung ini."

Cinta mengangguk setuju. Dia perlu mencari butang suis yang mungkin tersembunyi di dalam bilik ini. Dia berjalan ke arah bahagian hujung bilik ini. Dia cuba mengubah kedudukan beberapa buah kotak untuk mencari suis yang dikatakan oleh Faris tadi.

"Faris boleh tolong kakak cari suis ini?" tanya Cinta lalu menoleh ke arah jendela. Dia mendapati Faris tidak ada di situ lagi.

Cinta panik. Dia berjalan ke arah jendela. Dia menoleh ke kanan. Dia mendapati Faris sedang berjalan di tepi tebing tingkap.

"Faris! Jangan bergerak!" pekik Cinta. Faris menoleh ke arahnya tersenyum nakal.

"Dah nak dekat ni kak..." kata Faris. Tangannya memegang bahagian hujung jendela sebelah. "Kakak tunggu di dalam bilik tu. Nanti saya akan buka pintu rahsianya dari luar."

Wajah Cinta pucat. Dia cukup gayat melihat Faris berdiri di tepi tebing yang sempit itu. Dia hampir-hampir tidak boleh bernafas. Apa akan berlaku jika Faris tersilap langkah lalu terjatuh?

Belum sempat dia dapat berfikir panjang, Faris tergelincir ketika cuba bergerak lebih dekat ke jendela sebelah.

Cinta terlalu terkejut. Denyutan nadinya terhenti buat sedetik dua. Jeritan Faris terus bergema di dalam kepalanya...


posted by Nizam  # 4:06 PM

Wednesday, July 27, 2005

Dua oleh Nizam Zakaria: Bab 11

Dua

Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 21:

Ruang Peribadi

Terdapat satu bidang di dalam penyelidikan psikologi yang menyelidiki tentang ruang peribadi sesama manusia. Ruang yang wujud ini dikenali dengan nama proxemics. Kita semua dikatakan dikelilingi oleh sebuah 'gelembung' ruang peribadi dan kita akan hanya membenarkan orang-orang yang kita kenali dan percayai untuk memasuki gelembung ini.

Besarnya ruang gelembung ini sebenarnya berbeza mengikut budaya. Ada di antara kita yang mempunyai gelembung yang kecil dan sebaliknya. Mereka yang mempunyai gelembung yang besar (seperti aku) tidak akan merasa selesa jika orang yang tidak aku kenali tiba-tiba sahaja merapati ku lalu berbual dengan ku. Aku akan terus rasa rimas jika perkara ini berlaku.

Zon Jarak Peribadi

Menurut ahli antropologi Edward T. Hall, terdapat empat zon jarak peribadi seperti gambar rajah di bawah:



Dalam satu eksperimen yang dilakukan oleh Felipe dan Sommer, mereka mendapati kebanyakan orang akan melindungi ruang peribadi kita dengan menggunakan tanda seperti buku dan beg. Sememangnya terdapat ruang peribadi yang difahami oleh kita semua melalui 'persetujuan sosial tak bertulis'. Apabila ruang peribadi ini dicerobohi, kita akan melakukan sesuatu untuk memastikan agar ruang ini tidak dicerobohi dengan meletakkan tanda sebagai satu garisan yang tidak boleh dicerobohi.

Satu ketika dahulu, Peon adalah sebuah robot yang mempunyai ruang peribadi yang kecil. Pada waktu itu dia dikenali sebagai sebuah robot yang ganas. Dia tidak suka dirinya berada dekat dengan robot-robot lain. Dia sukar untuk 'dijinakkan'. Mak terpaksa mengambil masa yang lama untuk memprogramkan Peon agar dia tidak lagi menjadi robot pembunuh (perkara pertama yang telah mak lakukan adalah untuk membesarkan lagi ruang peribadinya). Apabila dia berjaya diprogramkan, mak telah memberi sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menjaga aku ketika aku kecil. Peon akhirnya mempunyai hubungan yang rapat dengan ku. Kami menjadi kawan baik.

Aku tidak suka dengan cara abang menggunakan Peon untuk berlatih seni mempertahankan diri yang dipelajarinya dari Puan Lydia dengan Peon. Dia akan memprogramkan Peon supaya kembali menjadi buas lalu berlawan dengannya. Aku tidak suka melihat Peon di dalam keadaannya yang buas itu. Dia nampak menakutkan tipikal sebuah robot Ares K72 yang mampu membunuh sesiapa sahaja yang berada dekat dengannya!




Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 22:

Cinta terkesima melihat beberapa karya seni yang dipamerkan di dalam Teratak Halcyon. Beberapa karya seni ini telah dihasilkan oleh pelukis-pelukis terkenal sepanjang zaman. Sebagai contoh, Cinta pasti lukisan Rembrandt yang dilihatnya dipamerkan di atas dinding berdekatan dengan pintu masuk perpustakaan bernilai berjuta-juta Quid!

Faris membuka pintu perpustakaan. Dia masuk ke dalam perpustakaan yang besar ini. Belum apa-apa lagi dia dapat mendengar dia buah robot sedang bertekak tentang rancangan Dr. Who yang telah mereka tonton pagi tadi.

"Peon!" Faris memanggil nama robot kesayangannya itu. Cinta terkejut melihat Peon yang mempunyai tubuh humanoid dan kaki seperti ketam itu. Ia mempunyai bahagian tangan robotik yang kelihatan tajam dan berkilat.

Cinta melangkah beberapa tapak ke belakang. Dia takut melihat keadaan Peon. Apa yang lebih menakutkannya adalah wajah Peon yang bengis. Tubuhnya diperbuat daripada bahan sintetik yang mempunyai tekstur seperti kulit manusia, tetapi lebih kebal dari sebuah kereta kebal.

"Kakak jangan takutkan dengan si Peon... Dia baik!" Faris memegang tangan Cinta dengan kemas. Faris dapat merasakan tangan Cinta dingin. Menggigil. "Dia kawan baik saya... Sejak saya kecil dia telah menjaga saya ketika mak saya bekerja di dalam rumah ini." Faris menjelaskan lagi.

"Tapi dia robot ketenteraan yang telah diharamkan penggunaannya sejak 40 tahun yang lepas." Cinta menutup mulutnya. Dia cukup sedar bahawa kerana robot ketenteraan seperti Ares K72 inilah yang telah menyebabkan penggunaan robot ketenteraan dihadkan malah diharamkan di beberapa buah kota di dunia ini.

"Ya... Dia adalah versi yang telah diharamkan itu." Ujar Faris dengan perlahan. Peon adalah robot yang terakhir dari siri robot buatan Halcyon Corp. yang pernah menggila ketika ia beroperasi dahulu. Robot-robot seperti Peon ini pernah membunuh setiap manusia yang ditemuinya - dan itulah masalahnya. Ia akan membunuh tidak kira kawan atau lawan. Peon sendiri ketika ia beroperasi dahulu telah membunuh berpuluh ribu manusia-manusia yang tidak berdosa.

"Tapi-"

"Walaupun ia telah diprogramkan semula untuk menjaga keselamatan rumah ini, dia tidak akan membunuh." Faris menegaskan. Dia cukup sayang kepada kawannya si Peon ini. Dia yakin Peon tidak akan mencederakan sesiapapun.

"Faris pasti tentang hal ini?" tanya Cinta teragak-agak.

"Ya... Kerana ibu saya sendiri yang menulis programnya."

"Oh..." Cinta mengurut dadanya. Jantungnya masih berdegup pantas. Dia tahu robot Ares K72 seperti Peon ini mampu membunuhnya hanya dengan mengibaskan tangannya yang tajam seperti pedang itu.

Peon bergerak menghampiri Cinta. Dia ingin bersalaman dengan Cinta.

"Hulurkan tangan kakak. Biar dia mengenali kakak dan biar saya memberitahunya kakak adalah kawan saya." Bisik Faris kepada Cinta.

Cinta menghulurkan tangannya dengan teragak-agak. Dia terpaksa mendongak untuk memandang ke arah Peon.

"Dekat lagi!" getus Peon dengan suaranya yang dalam lagi kasar itu.

Cinta menggigit bibirnya. Dengan penuh berhati-hati dia menghampiri Peon Dia membenarkan Peon memegang tangan Cinta lalu mengimbas telapak tangannya dengan matanya.

Cinta dapat merasakan bahawa tangan humanoid Peon sejuk seperti air batu.

"Cinta adalah kawan saya, Peon." Ujar Faris sekali. Kata-katanya terus terbuku di dalam kepala robot berwajah ngeri ini.

Kini giliran Rasputin pula bergerak ke arah Cinta. Rasputin ini pula adalah siri robot kebal Mars 808 yang telah disenaraihitamkan sebagai di antara robot pembunuh yang telah diharamkan di dalam Konvensi Peperangan Robot kira-kira 40 tahun yang lalu. Robot Mars 808 setinggi 7 kaki seperti Rasputin ini telah dilengkapkan dengan senjata-senjata berbahaya, tetapi ia tidaklah seganas Ares K72 yang mempunyai Kecerdasan Tiruan (Artificial Intelligence - AI) yang paling canggih yang mampu dibina oleh Halcyon Corp. pada waktu itu.

Rasputin memuat turun informasi yang dikumpulkan oleh Peon tentang Cinta. Ia kemudian memandang ke arah Cinta dengan penuh minat. Dia mengusap rambut Cinta yang panjang itu. Cinta membenarkan sahaja walaupun dia berada di dalam penuh ketakutan.

"Rasputin telah diubah perisiannya. Kini dia mampu menganalisis sebarang kandungan kimia dan organik yang diberikan kepadanya." bisik Faris kepada Cinta dengan harapan Cinta tidak akan takut kepadanya. "Dia tidak diprogramkan untuk membunuh."

"Silikon, arginine hydrochloride, sodium laureth sulfate, cocoyl isethionate, polyquaternium-16-"

"Ya, dia baru sahaja bersyampu pagi tadi, Rasputin!" pintas Faris ketika ia cuba menyenaraikan sebatian kimia yang masih terkandung di dalam rambutnya.

Cinta cuba mengukir senyuman. Senyumannya nampak tawar.

"Kak... Mana pil kakak Hana?"

Cinta mengeluarkan pil biru kepunyaan Hana yang telah disimpannya di dalam koceknya. Dia memberanikan dirinya untuk menyerahkan pil tersebut kepada Rasputin.

Rasputin mengambil pil tersebut dari Cinta. Ia membuka kompartmen pada bahagian dadanya yang telah diubahsuai. Ia memasukkan pil tersebut ke dalam mesin khas yang telah dibina ke dalam dadanya itu.

"Rasputin, selepas ini, analisis pil ini pula." Ujar Faris menyerahkan pil birunya kepada Rasputin.

Selepas menganalisis pil Hana, ia menganalisis pil pemberian Faris pula.

"Kedua-dua pil ini mengandungi kandungan yang sama." Beritahu Rasputin lalu menyerahkan pil-pil ini kepada Faris dan Cinta. Suara Rasputin agak lembut, tidaklah sekasar Peon yang menakutkan itu.

"Apakah kandungan utama yang ada di dalamnya?" tanya Faris ingin tahu.

"Clonazepam, Colloidal silver dan beberapa kandungan protein yang unik."

"Kau tahu apa kegunaan pil ini, Rasputin?" tanya Faris. Si Peon menyibuk. Dia meminta Faris menyerahkan pil biru itu kepadanya. Dia mencium pil tersebut sebelum dia menjilatnya.

"Tidak... Maklumat tentang kandungan pil ini langsung tidak ada di dalam sebarang pangkalan data." Ujar Rasputin yang telah memeriksa segala kebarangkalian di dalam Internet sebelum Faris menyoal soalan ini kepadanya.

"Langsung tak ada?" tanya Faris kehairanan.

Rasputin menggelengkan kepalanya. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku. Rasputin dapat mengenali sebarang bahan yang diserahkan kepadanya. Sebagai contoh, dia dapat menganalisis sehelai baju lalu memberitahu siapa pemilik baju ini melalui kandungan DNAnya dan lain-lain maklumat seperti bahan mentah untuk membuat baju ini sehinggalah ke kilang di mana baju itu dihasilkan...

"Apa kegunaan clonazepam?" tanya Cinta.

"Clonazepam digunakan untuk mengawal kekejangan. Ia juga sering digunakan untuk melegakan kegelisahan dan tanda penyakit Parkinson, renggutan, skizofrenia dan untuk menahan sakit." Jawab Rasputin dengan pantas.

"Kau memang tak boleh menganalisis kandungan protein yang ada di dalam pil ini?"

"Tidak... Aku tidak pernah melihat struktur protein yang pelik seperti ini yang mungkin berlaku akibat mutasi protein." Ujar Rasputin. Peon bergerak mendekatinya. Mereka nampaknya sedang berkomunikasi.

"Aku pernah melihat Fidzan mengambil pil ini." kata Peon kemudian.

"Kau pasti, Peon?" tanya Faris sambil memeluk tubuhnya.

"Ya..." Jawab Peon sambil menjeling. "Oh ya... Puan Diana sedang mencari kamu. Dia sedang menaiki lif untuk ke sini Aku rasa dia mahu bertanya kepada ku jika aku nampak kau di sini"

"Alamak!" Faris nampak risau.

"Kenapa Faris?"

"Sebenarnya.... Mak tak suka saya bawa kawan saya ke sini."

"Dia tahu kau telah menggodam sistem video dan imbasan biologi keselamatan agar dia tak dapat kesan kau di sini." Kata Peon lagi.

"Beritahu kepadanya kau tak nampak aku di sini ya?" pinta Faris kepada Peon dan Rasputin. Kedua-dua robot ini mengangguk.

Si Peon tersenyum seorang diri.

"Kita perlu bersembunyi." Ujar Faris kepada Cinta.

"Di mana?"

"Saya rasa di sini ada bilik rahsia... Tapi saya tak tahu di mana"

"Macam mana Faris tahu?"

"Lihat tingkap besar di dalam perpustakaan ini... Dari luar saya mengira terdapat 12 buah tingkap di sini, tapi jika kita lihat, hanya terdapat 11 buah tingkap di perpustakaan ini."

"Betul juga" ujar Cinta. Dia berjalan ke arah rak buku di bahagian tepi perpustakaan. Dia memerhatikan reka bentuk binaan perpustakaan ini. Sememangnya ada yang tidak kena. Dia yakin ada sebuah bilik kecil di belakang rak buku yang telah dibina dari siling ke lantai ini.

"Cari buku yang tidak sepatutnya berada di dalam rak buku tentang perihal sejarah ini" ujar Cinta kepada Faris.

"Kenapa pula?"

"Sebab Faris budak genius yang dapat melakukannya, bukan kakak." Kata Cinta sambil tersenyum.

Faris memandang ke arah beribu-ribu judul buku di hadapannya. Matanya dengan pantas mengimbas judul-judul buku yang tersimpan di dalam rak buku ini.

"Buku Darwin 'The Origin of Species' tidak sepatutnya berada di sini" Faris menudingkan tangannya ke arah buku tebal itu kepada Cinta.

Cinta mengangguk bersetuju. Dia cuba menarik keluar buku tersebut, tetapi didapatinya buku itu sebenarnya bukan sebuah buku, tetapi sebuah bongkah kayu dengan sebiji butang kecil di atasnya. Cinta menekan butang tersebut. Bahagian rak buku di tepinya terbuka seperti sebuah pintu. Faris cepat-cepat masuk ke dalamnya agar ibunya tidak dapat mengesannya di sini, diikuti dengan Cinta.

Pintu di belakangnya tertutup dengan sendirinya. Cinta dapat mendengar bunyi pintu perpustakaan dibuka dari luar diikuti dengan bunyi tapak kaki. Beberapa detik kemudian dia dapat mendengar Peon memberitahu Diana bahawa dia tidak nampak Faris di dalam rumah ini. Rasputin pula menambah dengan mengatakan dia yakin Faris sedang bermain-main di kawasan luar Teratak Halcyon.

Faris melepaskan nafasnya apabila dia dapat mendengar bunyi ibunya berjalan keluar dari dalam perpustakaan. Rasputin dan Peon pula keluar sama kerana mereka telah diperintahkan Diana supaya mengikutnya mencari Faris di perkarangan Teratak Halcyon yang luas ini.

Cinta bercekak pinggang. Dia mendapati dia sedang berada di dalam sebuah bilik rahsia yang dipenuhi dengan barang-barang yang telah lama dilupakan dan terus disorokkan di sini. Cinta ingin keluar dari bilik ini, tetapi dia dengan pantas mendapati tidak terdapat sebarang cara untuk membuka semula pintu rahsia yang dapat dibukanya tadi.

"Faris... Macam mana kita nak keluar dari bilik ini?"

"Entah" Faris menggaru-garu kepalanya.

Cinta mengeluh lesu. Dia mengetapkan bibirnya. Dia tidak sampai hati untuk memarahi Faris yang mempunyai wajah comel itu walaupun dia tahu dia sedang menghadapi satu masalah besar pada waktu ini..


posted by Nizam  # 3:58 PM

Tuesday, July 26, 2005

Dua oleh Nizam Zakaria: Bab 10

Dua

Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 19: Nikmati kekeliruan

Hukum Rangsangan Yerkes-Dodson

Rangsangan luaran bukanlah sesuatu yang terus menerus dianggap negatif. Kak Hana sebagai contoh, sering aku lihat akan meneguk air kopi sebelum dia memulakan pekerjaannya. Dia juga pernah berkata, dia tidak mampu melakukan apa-apa tanpa memulakan harinya dengan secawan kopi. Kak Cinta pula suka merokok (sama tabiatnya seperti Puan Lydia). Tanpa merokok, mereka akan rasa seperti ada kekurangan di dalam hidup mereka. Abang pula akan melakukan senaman di dalam gym hampir setiap hari dengan sebab yang serupa. Mereka menjadikan aktiviti-aktiviti yang sudah menjadi kebiasaan di dalam hidup mereka sebagai satu rangsangan. Dengan adanya rangsangan seperti ini, mereka dapat melakukan pekerjaan mereka dengan lebih baik lagi. Tetapi hanya ke satu tahap sahaja...

Kadangkala rangsangan yang terlalu banyak akan mendatangkan kesan negatif. Sebagai contoh, Sikapitan tidak dapat mengalahkan musuhnya jika dia berada di dalam keadaan terlalu marah (dia akan kehilangan fokus, lalu sukar untuk dia melawan musuhnya). Tetapi di dalam hal lain pula, ketika perasaan Sikapitan sekadar terganggu akibat perkara yang dilakukan musuhnya, dia akan melawan musuhnya sehingga mereka tewas. Sikapitan hanya akan mengalami masalah untuk menewaskan musuhnya apabila dia tidak dapat mengawal perasaannya. Apabila perkara ini berlaku, tahap rangsangan dirinya terlalu tinggi. Dia tidak dapat berfikir dengan baik bagi mengatur langkahnya untuk menumpaskan gerak lawannya. Di dalam perkara ini, kita akan dapat melihat bahawa tahap rangsangan dapat memberi kesan positif kepada pelaksanaan tugasan kita, tetapi tahap rangsangan yang berlebihan akan menimbulkan kesan negatif. Prinsip ini dikenali dengan nama Hukum Ransangan Yerkes-Dodson.



Apa yang menarik tentang Hukum Rangsangan Yerkes-Dodson ini adalah di dalam kajian ingatan saksi (Eyewitness Memory), di mana terdapatnya dakwaan bahawa saksi sesebuah kes jenayah tidak dapat mengingati apa yang telah berlaku di hadapan mereka kerana mereka mengalami rangsangan yang terlalu tinggi (tekanan perasaan dan keadaan tegang). Dan mungkin disebabkan hukum ini juga, ramai mangsa-mangsa 6/6 sehingga kini tidak dapat mengingati apa yang sebenarnya telah berlaku kepada diri mereka sehingga ke hari ini...





Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 20: Pencarian kebebasan harus bermula di dalam diri kita sendiri

Sabtu itu pagi-pagi lagi Fidzan telah ke Hospital Mental Sendayu. Dia memberitahu dirinya berkali-kali jika dia pantas melakukan kerjanya dia pasti akan dapat pulang awal.

Pada hari ini Fidzan telah menetapkan agar dia mengumpul data dari lima orang pesakit. Dia tidak mahu duduk lama-lama di dalam hospital ini. Entah mengapa, ada sesuatu tentang hospital ini yang membuat dirinya kurang selesa. Rimas rasanya.

Fidzan masuk ke dalam bangunan hospital. Dia ke kaunter hadapan lalu mengucapkan selamat pagi kepada jururawat yang sedang bertugas. Dia memberitahunya tentang tujuannya ke sini. Si jururawat terus memintanya menandatangani sekeping dokumen lalu memintanya menunggu sebentar.

Si jururawat memanggil seorang pembantu kesihatan yang telah ditugaskan untuk membantu Fidzan dengan tugasnya pada pagi itu.

"Nama aku Garcia... Kau Fidzan dari Universiti Sendayu?" tanya seorang pemuda bertubuh tegap dan tinggi.

"Ya." Jawab Fidzan sambil berjabat tangan dengannya. Dia mendapati genggaman tangan Garcia agak kuat. Tapak tangannya kesat, mungkin kerana sudah biasa melakukan kerja-kerja berat sebelum ini.

"Kita perlu ke tingkat bawah." Jelasnya lalu membawa Fidzan turun ke tingkat bawah dengan menuruni anak tangga.

Suasana di tingkat bawah agak muram. Tidak bertingkap.

"Inilah tingkat paling bawah yang boleh kau masuk. Kau tidak boleh ke tingkat yang lebih bawah lagi." Garcia mengingatkan sambil menudingkan jarinya ke arah pintu berpagar untuk tingkat bawah.

"Apa yang ada di bawah?"

"Bilik sekuriti maksimum. Kau tidak mungkin mahu ke situ... Percayalah." Ujar Garcia melepaskan nafasnya. Dia membawa Fidzan ke sebuah bilik kecil yang diterangi dengan cahaya kalimantang yang kuat.

Fidzan memakai cermin mata aviatornya. Dia mengeluarkan kertas-kertas tugasannya dari dalam beg galasnya, kemudian dia duduk di atas kerusi di dalam bilik itu. Dia menyusun kertas-kertas tugasannya di atas meja.

"Jika kau perlukan bantuan, di bawah meja ada butang. Tekan butang itu dan aku akan masuk ke dalam bilik untuk membawa keluar pesakit yang sudah kau temu duga." Garcia memberitahu. Fidzan meraba bahagian yang disebutkan Garcia. Dia mendapati terdapat dua buah butang di situ. Sebiji butang merah dan sebiji butang hijau.

"Jika kau menghadapi apa-apa masalah, tekan sahaja butang merah. Ingat... Butang merah itu butang kecemasan." Jelas Garcia lagi.

Fidzan mengangguk sambil berharap dia tidak perlu menggunakan butang tersebut.

Garcia keluar lalu beberapa minit kemudian membawa masuk pesakit pertama yang perlu ditemu duganya; seorang wanita bertubuh kecil bernama Rachel. Fidzan memintanya duduk. Rachel duduk tanpa banyak soal.

Fidzan dapati tugas yang dilakukannya itu tidaklah sesukar yang dibayangkannya. Dia cuma perlu banyak bersabar ketika bertanyakan soalan-soalan yang perlu ditanyanya. Sebagai contoh, pesakit nombor empat, Made Djelantik perlu ditanya berkali-kali sebelum dia mahu menjawab soalannya.

Fidzan memandang ke arah jam tangannya. Dia mendapati dia telah berada di dalam bilik tidak bertingkap itu selama 45 minit bersama Djelantik. Apabila Djelantik dibawa keluar oleh Garcia, Fidzan menarik nafasnya dalam-dalam. Kini dia mempunyai seorang sahaja lagi pesakit yang perlu disoal jawabnya.

Garcia membawa masuk seorang lelaki berkulit hitam yang mempunyai tubuh yang tinggi dan sasa. Kepalanya botak. Wajahnya bengis.

"Burley, jangan sukarkan kerja budak kolej ni." Tegas Garcia memintanya duduk di atas kerusi.

"Buka garinya Garcia." Pinta Fidzan ketika Garcia ingin melangkah keluar dari bilik kecil itu.

"Apa?"

"Buka garinya seperti pesakit-pesakit yang lain."

"Kau pasti ini yang kau mahu?" tanya Garcia dengan berbisik ke telinga Fidzan.

"Ya." Jawab Fidzan dengan tegas. Dia memeriksa informasi peribadi David Burley. Dia mendapati David adalah seorang bekas anggota polis Kota Halcyon. Dia telah dimasukkan ke hospital ini sejurus selepas peristiwa 6/6. Sebabnya tidak disebutkan pula di dalam laporan yang sedang dibacanya itu.

Garcia membuka gari David. Dia memandang sekali ke arah Fidzan sebelum dia keluar dari bilik.

"Nama?" tanya Fidzan memulakan soalannya.

"Kau sudah tahu nama ku, buat aku kau tanya lagi?" jawab David dengan penuh sinis.

"Umur?"

"40 tahun."

"Berapa kerap saudara mara atau kenalan saudara datang melawat saudara dalam masa sebulan?"

David tidak menjawab. Matanya terus kepada Fidzan.

"Buka cermin mata hitam mu."

"Apa?"

"Aku mahu melihat mata mu."

"Tapi kenapa?"

David tidak menjawab soalannya. Dia terus memandang ke arah Fidzan dengan satu pandangan yang dalam.

Fidzan membuka cermin mata hitamnya. Dia meletakkannya ke tepi.

"Kau tak suka dengan keadaan di dalam bilik ini, bukan?"

Fidzan menggelengkan kepalanya. David mendongak ke atas. Dia menutup matanya. Sebatang lampu kalimantang meletup. Keadaan di dalam bilik tidak lagi seterang tadi.

"Aku tahu siapa kau sebenarnya." Ujar David dengan suaranya yang keras itu. Wajah Fidzan terus berubah cemas.

"Aku tidak faham apa yang kau maksudkan." Kata Fidzan tersipu-sipu. Dia memakai cermin mata hitamnya kembali.

"Jawapan yang kau cari selama ini ada di tingkat bawah..." Kata David dengan suara yang lebih tenang.

"Aku tidak mencari sebarang jawapan di sini." Fidzan meletakkan pennya ke tepi.

Fidzan terus memandang ke arah David. Dia mendapati tubuh David kaku seperti patung. Fidzan memandang ke atas meja. Dia mendapati pennya tidak ada lagi di atas meja.

Dengan sepantas kilat David menggunakan pen yang telah dicurinya tanpa pengetahuan Fidzan lalu dia cuba menikam tangan Fidzan yang diletakkannya di atas meja. Dengan sepantas kilat juga Fidzan dapat mengelak lalu merampas kembali pen tersebut dari tangan David.

"Kau lebih hebat dari apa yang aku sangka." Ujar David kembali duduk kaku di atas kerusinya.

"Kalau kau buat hal lagi aku akan panggil Garcia-"

"Sudah ditakdirkan bahawa kau akan menjadi penghulu kami satu hari nanti." Kata David sambil tertunduk hormat. "Apabila masanya tiba nanti, tubuh mu akan bersatu dengan kegelapan-"

"Dah cukup!" Fidzan menyusun kertas-kertas di atas mejanya.

"Aku hairan bagaimana kau boleh melupakan ku begitu sahaja, Fidzan... Bagaimana kau boleh lupakan aku sedangkan akulah orangnya yang telah memotong lidah ibu mu dahulu di hadapan mu dahulu..."

Fidzan menekan butang merah di bawah meja. Garcia terus bergegas masuk ke dalam bilik.

"Apa yang telah berlaku?" tanya Garcia dengan nada bimbang. Dia terus menggari tangan David.

"Tidak ada apa-apa perkara yang berlaku... Saya cuma tidak selesa berada sebilik dengannya... Maaf kerana menyusahkan-"

"Oh, kau tak perlu bimbang. Bukan kau sahaja yang tidak selesa dengannya. Pasti dia memberitahu kau bakal penghulunya dan kau akan bersatu dengan kegelapan..."

Fidzan mengangguk pantas.

"Dia akan mengatakan perkara yang sama kepada semua orang yang ditemuinya." Garcia mendongak ke siling. Dia mendapati sebatang lampu kalimantang telah rosak. Dia mengingatkan dirinya supaya menukarkan lampu ini selepas dia membawa Garcia dan pesakit-pesakit lain pulang ke bilik mereka.

"Saya perlu pulang." Ujar Fidzan kepada Garcia.

"Jumpa lagi minggu hadapan." Ujar Garcia. Dia memegang bahu David lalu menolaknya keluar dari bilik. Fidzan mengangguk perlahan. Dengan segera dia keluar dari dalam bilik di tingkat bawah itu. Nafasnya turun naik dengan pantas. Dia mahu keluar dari perut bangunan hospital mental ini secepat mungkin.

Fidzan berjalan keluar dari bangunan hospital dengan terhuyung-hayang. Dia hampir-hampir mahu terjatuh melanggar akar sebatang pokok yang rendang. Dia berhenti di pokok yang sama. Tekaknya terasa loya. Dia termuntah di situ juga langsung terkeluar segala isi makanan yang telah dimakannya pagi tadi ke atas tanah...

II


Kereta kecil kepunyaan Cinta berhenti di hadapan rumah Faris. Cinta keluar dari dalam keretanya lalu memandang ke arah rumah kecil Faris. Sukar untuk dia mempercayai bahawa Faris, Fidzan dan ibunya duduk di dalam rumah kecil ini sedangkan di hadapan rumah mereka tersergam Teratak Halcyon yang besar lagi gah yang hanya didiami oleh Lydia seorang.

Faris terus berjalan ke arah Teratak Halcyon. Cinta mengekorinya dari belakang lalu masuk ke dalam perkarangan Teratak Halcyon yang letaknya hanya beberapa tapak sahaja dari rumah Faris.

Cinta mendapati kawasan taman di belakang Teratak Halcyon telah dijaga dengan rapi. Rumputnya dipotong pendek. Kolam renangnya jernih kebiruan. Sebuah robot kecil nampaknya sedang bekerja keras untuk memastikan dedaun yang jatuh dari sebuah pohon yang rendah dibersihkan.

"Kita akan masuk dengan menggunakan pintu belakang." Ujar Faris kepada Cinta yang sedang memandang ke arah robot-robot tukang kebun yang sedang sibuk melakukan tugas-tugas mereka dengan khusyuk.

Cinta mengangguk. Dia mendongak ke arah bangunan utama Teratak Halcyon yang berdiri megah di hadapannya. Sememangnya bangunan ini besar. Seperti rumah Hana, sebahagian besar dari rumah ini juga disaluti dengan kaca.

Faris menekapkan telapak tangannya pada bahagian tepi pintu. Pintu terbuka dengan sendirinya. Cinta mendapati dia kini berada di bahagian dapur Teratak Halcyon. Bahagian ini nampak bersih dan teratur. Beberapa buah robot kecil bersaiz tikus berjalan di atas lantai.

"Klaus, di mana Rasputin?" tanya Faris kepada sebuah robot yang sedang berdiri di dapur. Klaus, sebuah robot yang diperbuat daripada logam perak yang berkilat menoleh ke arah Faris. Matanya yang pudar kini berubah biru.

"Dia berada di tingkat atas, Faris." Beritahunya dengan suara yang tenang sambil memandang ke arah Cinta. "Di dalam bilik perpustakaan."

"Buat apa dia di sana?" tanya Faris lagi.

"Dia ingin berjumpa dengan si Peon." Ujarnya sambil mengeluh. Atau sekurang-kurangnya itulah yang didengar Cinta.

"Oh, bergaduh lagi lah tu!"

Klaus mengangguk perlahan. Faris menggelengkan kepalanya lalu membawa Cinta meninggalkan kawasan dapur.

Cinta menarik nafasnya dalam-dalam. Dia akhirnya berada di dalam Teratak Halcyon. Dia hampir-hampir tidak dapat mempercayai nasib baiknya ini. Cinta sememangnya terpegun melihat keadaan di dalam Teratak Halcyon.

Seni bina di dalam Teratak Halcyon jelas menampilkan ia sebagai sebuah rumah bestari. Tingkap-tingkapnya akan condong ke arah sudut sinaran matahari pada musim dingin dan sebaliknya pada musim panas. Beberapa bahagian di dalam rumah ini menggunakan sistem hidraulik yang canggih untuk mengubah bentuk dan saiz bilik mengikut permintaan tuan rumah. Hampir setiap sudut di dalam rumah ini disimbah dengan cahaya yang datangnya dari luar.

Di tengah-tengah bahagian rumah tumbuh sebuah pohon yang kecil tetapi rendang. Terdapat sebuah terusan kecil yang melingkari rumah ini. Udara di dalam rumah ini segar.

"Jom ke tingkat atas!" jemput Faris meminta Cinta mengikutnya menaiki sebuah lif untuk ke bilik perpustakaan. Cinta menurut sahaja. Dia masuk ke dalam sebuah lif berkaca dengan perasaan teruja. Matanya rambang melihat keadaan di dalam rumah ini sebaik sahaja lif dengan pentas naik ke tingkat enam rumah yang besar ini.


posted by Nizam  # 4:33 PM

Monday, July 25, 2005

Dua oleh Nizam Zakaria: Bab 8

Dua

Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 17: Terokai sebuah bilik yang kosong

Emosi

Apakah itu emosi? Apakah itu perasaan? Ahli-ahli falsafah telah berdebat tentang perkara ini sejak beribu-ribu tahun dahulu. Aku sendiri kadangkala berfikir jika sekiranya haiwan seperti Muerte si burung nasar mempunyai perasaan seperti manusia? Adakah haiwan sepertinya mempunyai emosi untuk merasa sedih dan gembira?

Kali ini, aku ingin membentangkan beberapa teori yang bersangkut-paut dengan perolehan emosi seperti mana yang dikaji oleh beberapa ahli psikologi.

Teori James-Lang

Emosi yang kita alami boleh disebabkan oleh faktor luaran dan dalaman. Setiap kali mak terkenangkan keadaan dirinya yang terpaksa membesarkan aku dan abang tanpa ayah, dia akan merasa sedih. Apabila aku menonton rancangan komedi di TV, aku akan ketawa. Menurut teori James-Lang, emosi disebabkan oleh perubahan yang berlaku kepada beberapa perubahan pada perubahan fisiologi tubuh badan.

Aku akan mengambil contoh satu episod di dalam komik Sikapitan: seorang wanita yang sedang berjalan di sebuah lorong yang sunyi pada malam hari. Dia mendengar bunyi tapak kaki seorang yang sedang mengekorinya. Dia dapat merasakan bulu romanya berdiri tegak. Dia sedar akan perubahan fizikalnya lalu melihatnya sebagai cara tubuhnya cuba bersiap sedia untuk menghadapi satu situasi yang menakutkan. Hanya selepas itu wanita itu akan mengalami apa yang dikenali sebagai ketakutan.

Peristiwa --> Rangsangan --> Interpretasi --> Emosi

Teori Cannon-Bard

Menurut teori Cannon-Bar, kita akan mengalami rangsangan fisiologi dan emosi di dalam masa yang sama, tetapi tidak akan memberi sebarang perhatian terhadap peranan pemikiran ataupun perilaku.

Contoh: Si wanita yang berjalan di dalam lorong gelap itu mendengar bunyi tapak kaki lalu mula menggigil ketakutan. Jantungnya berdegup keras dan nafasnya turun naik dengan pantas. Di dalam masa yang sama apabila berlakunya perubahan fisiologi ini, dia juga rasa takut.

Peristiwa --> Rangsangan --> Emosi

Teori Schachter-Singer

Teori ini berpendapat bahawa saranan persekitaran adalah sama pentingnya untuk mengalami sesuatu emosi.

Contoh: Si wanita yang berjalan di dalam lorong gelap itu mendengar bunyi tapak kaki lalu mula menggigil ketakutan. Jantungnya berdegup keras dan nafasnya turun naik dengan pantas. Apabila dia melihat dirinya yang ketakutan ini, dia mula sedar bahawa dia sedang berjalan di dalam lorong sunyi dan gelap ini seorang diri. Dia tahu perbuatan ini mengundang bahaya (lebih-lebih lagi di beberapa bahagian Kota Sendayu yang sememangnya berbahaya terutamanya di malam hari) dan akibat kesedaran inilah dia merasakan emosi rasa takut.

Peristiwa --> Rangsangan --> Penyebab --> Emosi

Teori Ekspresi Muka

Menurut teori ini, ekspresi muka ataupun air muka dikatakan sebagai satu bayangan kepada jiwa manusia. Jika ekspresi muka seseorang itu berubah, maka berubahlah emosinya. Dalam erti kata lain, ketika aku senyum, aku sebenarnya berada dalam keadaan bahagia. Ketika aku bersedih pula muka aku akan masam.

Contoh: Si wanita yang berjalan di dalam lorong gelap itu mendengar bunyi tapak kaki. Matanya terbeliak, wajahnya terkerut seribu, dia mengetapkan giginya. Mindanya mentafsirkan perubahan pada wajahnya sebagai ekspresi perasaan takut. Maka apa yang dialaminya adalah emosi ketakutan.

Peristiwa --> Perubahan Ekspresi Wajah --> Emosi

Aku kurang pasti jika aku dapat menerima Teori Ekspresi Muka ini dengan hati yang terbuka. Aku berkata demikian kerana aku lihat abang sering menampilkan ekspresi muka yang berlawanan dengan emosi sebenarnya. Ketika dia takut, dia tak akan menunjukkan kepada aku bahawa dia takut. Ketika dia sedih (dan aku sekarang tahu abang ini melankolik orangnya), dia akan menunjukkan wajah yang gembira. Pendek kata, abang pandai menyembunyikan emosi agar orang lain tidak mengetahui isi hatinya yang sebenar. Abang pandai berpura-pura...

NB: Di dalam siri komik Sikapitan yang aku ambil contohnya ini, si wanita sebenarnya sedang diekori oleh Zohak, watak dalam komik Sikapitan yang paling misteri. Sehingga kini, pembaca-pembaca setia komik Sikapitan tidak tahu bagaimana rupa si Zohak yang amat-amat ditakuti ini. Dia hanya muncul di dalam kegelapan malam dan hanya bayangannya yang menakutkan itu yang akan ditonjolkan. Zohak adalah musuh nombor satu Sikapitan!




Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 18: Cipta tradisi kita sendiri agar ia dapat diikuti oleh generasi akan datang

Fidzan berlari pantas masuk ke dalam kawasan Hospital Mental Sendayu. Dia memandang ke arah jam tangannya. Dia sebenarnya tidak lambat. Dia mendongak memandang ke arah bangunan HMS yang nampak muram itu. Bangunan itu nampak seperti sebuah tembok yang besar dengan seni bina Art Deco. Dia mengeluh. Cuaca pada petang itu mendung. Tubuhnya terasa dingin. Dia tak keruan.

Fidzan masuk ke dalam hospital. Dia dapat mencium bau hospital yang menusuk hidungnya. Segala-galanya di dalam hospital ini berwarna putih. Tidak ada-apa yang ada di hospital ini yang mampu mencetuskan rasa ceria.

Fidzan berdiri di hadapan kaunter hospital.

"Masa melawat hanya akan bermula dua jam lagi." Ujar jururawat yang sedang bertugas di kaunter.

"Saya perlu bertemu dengan Dr. Yates." Ujar Fidzan kepada jururawat yang sudah berumur itu.

"Kenapa... Kamu mempunyai temu janji dengannya?"

"Ya. Saya dari Universiti Sendayu. Saya perlu melaporkan diri saya kepadanya."

"Oh..." dia mengangguk lalu mengambil sekeping fail yang terkandung nama-nama pelawat yang datang ke hospital ini. "Siapa nama kamu?"

"Fidzan Alias."

"Turunkan tanda tangan awak di sini." Ujar jururawat tersebut di atas sekeping kertas yang sudah tertulis namanya di situ.

Fidzan menurut sahaja. Sedetik kemudian dia diberikan sekeping pas pelawat. Dia menulis alamat penuh pejabat Dr. Yates di atas sekeping kertas.

"Bilik pejabatnya di tingkat tujuh?" tanya Fidzan meminta kepastian.

"Ya, di blok B." Jawabnya ringkas, langsung dia tidak mahu melayan Fidzan lagi kerana kesibukannya sendiri.

Fidzan memakai tag keselamatannya. Dia berjalan ke arah lif yang terdekat. Dia menekan butang lif. Pintu lif terus terbuka.

Fidzan masuk ke dalam lif. Dia menekan butang 7. Lif terus bergerak ke tingkat atas sebaik sahaja pintunya tertutup.

Suasana di tingkat tujuh agak sunyi. Fidzan melangkah berjalan ke arah bilik pejabat Dr. Yates. Setibanya dia di hadapan bilik pejabat Dr. Yates, dia terus mengetuk pintu.

"Masuk!" ujar Dr. Yates dari dalam.

Fidzan masuk ke dalam bilik Dr. Yates. Biliknya dipenuhi dengan buku-buku bersifat ilmiah. Dinding bilik pejabatnya dihiasi dengan sijil-sijil profesional yang telah dikumpulkannya selama ini.

"Duduk..."

Fidzan duduk di atas kerusi yang menghadap ke arah meja besar Dr. Yates. Dia mengeluarkan sampul surat tebal yang terkandung tugasannya yang perlu diserahkan kepada Dr. Yates. Dia menyerahkan sampul surat itu kepadanya. Fidzan mendapati Dr. Yates ini tinggi orangnya. Kurus dengan rambut yang beruban. Di atas rak bukunya dia dapat melihat beberapa keping gambar Dr. Yates berbasikal di beberapa buah lokasi di seluruh dunia.

"Tahun ini kami hanya mampu mengambil seorang sahaja pelajar praktikal dari Universiti Sendayu. Pihak pentadbiran hospital terpaksa memotong banyak kos tahun ini."

"Oh..."

"Tiap-tiap tahun Dr. Osman akan menghantar pelajarnya yang terbaik untuk buat praktikal mereka di sini. Ramai di antara pelajarnya yang pernah membuat praktikal mereka di sini yang akhirnya bekerja di sini." Beritahu Dr. Yates sambil mengetuk hujung pennya di atas meja. Fidzan mahu sahaja memberitahu Dr. Yates bahawa mungkin pada tahun ini Dr. Osman menukar polisinya, kerana dia akhirnya telah dihantar untuk membuat praktikalnya di sini...

"Jadi, apa yang kamu rasa ingin kamu lakukan selepas kamu mendapatkan ijazah kamu nanti?" tanya Dr. Yates apabila dia melihat Fidzan terus duduk diam di hadapannya.

"Saya tak pasti lagi..."

"Linda pelajar yang buat praktikal di sini dua tahun yang lalu kini sedang melanjutkan pelajarannya di Kolej Perubatan Sendayu."

"Okay..."

"Doktor Osman beritahu kepada saya kamu sebenarnya mempunyai bakat di dalam bidang psikologi ataupun bidang psikiatri-"

"Ye ke?" tanya Fidzan. Dia tidak tahu menahu pula tentang hal ini.

Dr. Yates mengangguk. Dia mengeluarkan sekeping sampul surat dari dalam lacinya. Dia menyerahkan sampul surat itu kepada Fidzan.

"Saya sebenarnya lebih suka memberikan pelajar praktikal berdikari ketika membuat tugasan mereka. Jika kamu mempunyai apa-apa masalah, jangan segan untuk bertanya. Kamu bebas untuk keluar masuk di dalam hospital ini bila-bila masa kamu suka. Tugasan kamu untuk minggu ini ada di dalam sampul surat yang saya berikan tadi berserta kad sekuriti yang boleh kamu gunakan untuk bergerak bebas di dalam bangunan ini."

"Dengan kad sekuriti ini saya boleh masuk ke mana-mana bahagian di dalam hospital ini?' Fidzan meminta kepastian.

"Ada bahagian di dalam hospital ini yang dikawal dengan rapi. Saya rasa awak mungkin tidak mahu ke sana." Itu sahaja jawapan yang diberikan kepadanya.

Fidzan mengangguk. Dia faham benar dengan bahagian hospital yang dimaklumkan oleh Dr. Yates tadi. Bahagian ini menempatkan penjenayah-penjenayah yang tidak siuman, di antaranya pembunuh dan perogol bersiri.

Fidzan meneliti tugasan yang diberikan kepadanya. Dia perlu mengumpul data beberapa pesakit di hospital ini. Nama mereka sudah tersenarai di dalam pakej tugasannya. Fidzan menggigit bibirnya. Jelas kepadanya kini bahawa tugas yang terpaksa dilakukannya di sini bukan mudah.

II


Faris menekan butang loceng rumah Hana. Dia sedang menunggu agar pintu dibuka. Dia tahu Hana tidak ada di rumah. Hana terpaksa menghabiskan masanya di universitinya untuk membantu seorang profesor muda melakukan satu eksperimen di dalam bidang photonik.

Pintu dibuka oleh Cinta. Sememangnya pada hari itu Cinta menumpang di rumah Cinta kerana dia mahu menggunakan makmal Hana untuk menggunakan sejenis mesin fabrikasi untuk menyiapkan sebuah model bangunan sebagai tugasan kelas seni binanya.

"Masuklah." Ujar Cinta. Cermin mata keselamatan yang diperbuat daripada plastik masih terlekap di dahinya. "Faris nak minum? Kalau Faris lapar atau dahaga, buat macam rumah sendiri, ya? Ambil sendiri di dapur."

"Ya." Jawab Faris perlahan. Dia mengekori Cinta ke tingkat bawah, lalu masuk ke dalam makmal.

Faris ke meja yang digunakan Cinta. Dia memerhatikan projek seni bina yang mahu diselesaikan oleh Cinta. Nampaknya Cinta sedang menggunakan sejenis perisian komputer untuk membina model bangunannya. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membina model bangunannya itu difabrikasikan satu persatu dengan menggunakan sejenis mesin khas.

"Faris nak tolong kakak buat kerja kakak ni tak?" tanya Cinta kepada Faris yang dilihatnya sejak tadi tekun memerhatikannya memasang bahan-bahan yang sudah difabrikasikan ke dalam model bangunan yang berbentuk seperti siput itu.

"Boleh jugak." Ujar Faris. Dia sebenarnya tidak tahu apa yang harus dilakukannya pada hari itu kerana Hana tidak ada bersamanya. Dia ke makmal pada hari itu pun kerana dia lebih senang menghabiskan masanya di sini dari duduk di rumahnya lalu bermain dengan alat permainan video sehingga ke petang.

"Faris ke bilik tidur Kakak Hana di tingkat atas... Di dalamnya ada beg kak Cinta berwarna hitam. Ambil beg kak Cinta turun ke bawah ya? Beg itu kakak letak di atas meja." Ujar Cinta. Faris mengangguk lalu keluar dari bilik makmal lalu menaiki anak tangga sehingga ke tingkat atas.

Faris menaiki tangga kaca di dalam rumah Hana dengan penuh berhati-hati. Dia masih berasa gayat setiap kali dia menaiki tangga kaca ini untuk ke tingkat atas rumah aneh yang mempunyai seni bina aneh ini.

Faris membuka pintu bilik Hana. Dia mendapati biliknya ini nampak ceria seperti bilik anak-anak gadis yang seusia dengannya. Sebahagian besar bilik Hana dilitupi oleh tingkap hijau dari siling ke lantai. Faris menekan butang suis di tepi dinding, lalu dengan serta-merta cermin hijau gelap itu bertukar jernih lalu menampakkan suasana Pondok Indah dan kawasan di sekitarnya. Kini Faris dapat melihat bangunan-bangunan pencakar langit Kota Sendayu dengan jelas sekali.

Faris mengambil keputusan untuk melihat apa yang disembunyikan Hana di bawah katilnya, kerana dia sendiri ada menyimpan banyak benda-benda yang mahu dirahsiakan dari pandangan orang lain di bawah katilnya.

Seperti yang dijangkakannya, Faris telah menjumpai sebuah kotak kecil yang tersorok di bawah katil Hana. Dia membuka kotak itu. Di dalam kotak itu Hana ada menyimpan sebuah buku nota dan beberapa barangannya yang lain. Faris membuka buku nota itu. Dia mendapati Hana telah mengumpul beberapa keping gambar Fidzan yang telah dikumpulkannya selama ini dari keratan akhbar tempatan lalu ditampalnya ke dalam buku nota tersebut. Hana dengan bersungguh-sungguh mengumpul segala-galanya tentang Fidzan di dalam buku nota khasnya itu, termasuklah kertas esei yang telah ditulis Fidzan tetapi tidak diambilnya kembali.

Faris berdecit. Dia cukup benci kerana terpaksa membaca kembali sebuah keratan akhbar yang menulis tentang kejayaan abangnya menjadi acara pecut di universitinya pada tahun lepas. Dia terus menutup buku nota Hana itu lalu memasukannya kembali ke dalam kotak rahsianya itu. Dengan penuh berhati-hati, Faris menolak kotak itu ke bawah katil Hana.

Faris berdiri lalu berpaling ke arah beg hitam kepunyaan Cinta yang terletak di atas meja belajar Hana. Dia mengambil beg tersebut lalu disandangnya ke bahunya.

"Ish, nak terkencing pulak." Ujar Faris di dalam hati. Dia meletakkan beg Cinta di atas katil. Dia masuk ke dalam bilik air Hana.

Faris mendapati terdapat sebuah tingkap besar di tepi tub mandi di dalam bilik air Hana ini. Dia terkial-kial mencari suis yang dapat menggelapkan tingkap tersebut. Dia terus menekan suis tersebut apabila dia menjumpainya untuk memastikan agar tingkap tersebut gelap. Dia menarik nafasnya dalam-dalam setelah dia berjaya melakukannya.

Setelah selesai membuang air kecil, Faris membasuh tangannya. Dia mengelap tangannya dengan tuala yang tergantung di tepi sink. Kemudian dengan perasaan ingin tahu yang menebal, dia membuka kabinet yang terdapat di dalam bilik mandi Hana.

Faris terkejut apabila dia melihat Hana mempunyai botol ubat yang serupa dengan apa yang dia ada di rumahnya sendiri.

Dia membuka botol tersebut. Sememangnya di dalam botol itu terkandung pil biru yang sama yang terpaksa ditelannya selama ini. Dia tidak faham mengapa Hana perlu menelan pil yang sama sedangkan ibunya selama ini memberitahunya dia perlu mengambil pil ini kerana dia dikatakan sedang mengidap sejenis penyakit yang pelik yang sehingga kini dia sendiri tidak ketahui apa sakitnya itu. Jadi persoalannya sekarang, adakah Hana mengidap penyakit yang sama?

Faris mengambil botol itu lalu dibawanya ke tingkat bawah ke dalam bilik makmal.

"Terima kasih!" ucap Cinta apabila Faris menyerahkan begnya itu kepadanya. Cinta mengeluarkan buku notanya lalu menulis sesuatu ke dalam bukunya itu dengan tekun.

"Kak..." Faris bersuara beberapa detik kemudian. Cinta menoleh ke arahnya sambil menggigit hujung pennya.

"Ya Faris... Ada apa?"

"Saya jumpa botol pil ini dalam kabinet bilik air Kak Hana."

"Jadi kenapa?" tanya Cinta kehairanan. Dia sudah terbiasa dengan pil tersebut yang setahunya perlu diambil Hana.

"Kenapa Kak Hana perlu ambil pil ini?"

"Dia kata dia mengidap sejenis penyakit migrain yang kronik. Bila penyakitnya menyerang sahaja dia terpaksa ambil ubat ini." beritahu Cinta. Dia pernah melihat keadaan Hana diserang penyakit ini. Dia dapat melihat betapa seksanya Hana ketika itu. Hanya setelah menelan pil hijau ini sakitnya itu reda.

"Tapi saya tak pernah sakit kenapa." Ujar Faris menyerahkan pil tersebut kepada Cinta.

"Apa yang Faris maksudkan?"

"Saya terpaksa makan pil yang sama."

"Faris pasti?"

"Ya, saya pasti. Bentuknya sama... Semuanya sama." Kata Faris bersungguh-sungguh.

Cinta mengesotkan bibirnya seolah dia meragui kata-kata Faris.

"Kalau kakak tak percaya, apa kata kita ke Teratak Halcyon. Di situ kita boleh tanya kepada Rasputin tentang kandungan pil ini untuk pastikan jika kandungannya sama atau tidak!"

"Rasputin?"

"Ya, Rasputin! Tugasnya adalah untuk menguji kandungan makanan yang disediakan kepada Puan Lydia." Ujar Faris bersungguh-sungguh.

"Jadi kerjanya makan je lah?"

"Rasputin tu robot lah kak!" jawab Faris dengan kedua belah keningnya ternaik tinggi. Faris sebenarnya tidak mengetahui bahawa tugas utama Rasputin adalah untuk memastikan agar makanan yang dimakan Lydia bebas dari racun.

Cinta termenung seketika. Dia memikirkan tentang peluangnya untuk ke Teratak Halcyon. Sejak dia ke Kota Sendayu, Teratak Halcyon adalah di antara tempat yang ingin dilawatinya. Teratak Halcyon telah dibina oleh arkitek yang paling dihormatinya, Nasha Yushchenko. Menurut cerita, Nasha telah membunuh dirinya sebelum sempat dia dapat melihat Teratak Halcyon ini siap dibina. Selama ini, Cinta hanya mampu membaca dan melihat gambar keterampilan seni bina Teratak Halcyon melalui buku-bukunya. Kini, impiannya mungkin tercapai untuk melihat sendiri keunikan seni bina Teratak Halcyon.

"Faris boleh masuk ke dalam Teratak Halcyon?"

"Ya... Kenapa pula tak boleh?" tanya Faris sambil menggaru kepalanya.

Cinta menaikkan kedua belah bahunya. Dia tersenyum. Dia mula menyesal kerana tidak membawa kameranya bersamanya. Dia memandang ke arah model seni binanya. Dia memberitahu dirinya dia boleh menyiapkan model ini di lain masa, kerana pada pagi ini, dia mahu merealisasikan impiannya untuk melihat sendiri hasil seni bina terakhir arkitek legenda Nasha Yushchenko dengan lebih dekat lagi...







posted by Nizam  # 3:45 PM

Friday, July 22, 2005

Dua oleh Nizam Zakaria: Bab 8

Dua

Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 15: kita hanya layak membenci orang yang menghina kerja kita

Mimpi

Kita sering tertanya-tanya, mengapa kita bermimpi atau apakah itu mimpi. Mimpi hanya boleh berlaku apabila kita tidur. Kita selalunya akan bermimpi apabila kita berada dalam tahap tidur mata gerak pantas (REM atau Rapid-Eye-Movement). Kadangkala aku tidak akan sedar bahawa aku sedang bermimpi sehinggalah aku bangun dari tidur. Kadangkala aku akan bermimpi tentang perkara yang aku fikirkan sehari atau dua sebelum mimpi itu berlaku. Ada pula mimpi ku yang tidak masuk akal (aku pernah bermimpi berada di dalam keadaan bogel ketika pergi ke sekolah!).

Apabila kita tidur dalam tahap REM, kita selalunya akan bermimpi sesuatu yang lengkap dengan jalan cerita dan plotnya sekali. Ketika kita berada di dalam tahap tidur mata tidak gerak pantas (NRAM atau Non-Rapid-Eye-Movement) pula, plot mimpi kita pula lebih ringkas dan kabur.

Setiap malam, kita mungkin akan mencapai tahap tidur REM (itu pun jika kita tidur selama 8 jam) sebanyak 5 kali. Jadi dalam satu malam kita mungkin akan mengalami sebanyak 5 mimpi. Walau bagaimanapun, ada kalanya kita tak akan mengingati kembali apa yang kita mimpikan. Apa-apa pun, sehingga kini aku tidak dapat pastikan jika aku bermimpi di dalam suasana berwarna ataupun hitam putih!

Mimpi ini penting. Menurut penyelidik tidur dan mimpi William Dement, apabila seseorang itu diganggu tidur mereka pada tahap pergerakan mata pantas dalam masa lima hari berturut-turut, mereka akan menjadi marah, agresif, tidak dapat memberi tumpuan pada kerja dan kadangkala akan mengalami halusinasi.

Aku telah mendengar abang telah memberitahu kepada mak bahawa dia mendapat tahu Puan Lydia pernah memberitahunya dia tidak lagi mampu bermimpi sejak kematian suaminya di dalam peristiwa 6/6...

Teori kandungan mimpi

Kita pasti mempunyai mimpi yang begitu aneh yang sukar untuk kita lupakan. Menurut ahli psikiatri Morton F. Reiser, sebahagian besar dari mimpi adalah sambungan kepada aktiviti dan masalah yang kita alami sehari-hari. Jika kita terlalu memikirkan tentang masalah yang kita alami, dilema moral dan keinginan kita kepada sesuatu, kita akan bermimpi mengenainya. Kakak Hana sebagai contoh pernah bertanyakan kepada ku jika abang suka memakai pakaian berwarna hitam, kerana setiap kali dia bermimpi tentang abang, dia akan melihat abang datang kepadanya dengan memakai pakaian serba hitam.

Kak Hana sering bermimpi tentang abang kerana dia selalu sahaja memikirkan tentang abang. Dan aku telah memberitahunya abang tidak mempunyai banyak pakaian berwarna hitam. Dia lebih suka memakai pakaian dengan warna-warna ceria.

Menurut Freud dalam bukunya 'The Interpretation of Dreams' (yang telah ditulisnya pada tahun 1900), mimpi adalah satu mekanisme 'pelaksanaan hajat' dalam seterusnya mengatakan hajat ini datangnya dari kehendak seksual menghampakan dan yang cuba disembunyikan. Dalam erti kata lain, Freud percaya bahawa mimpi merupakan refleksi kepada keinginan dan kemahuan tidak sedar. Freud telah mengasaskan teori psikodinamiknya dari kajiannya terhadap mimpi. Perkara utama di dalam kaedah psikoanalisis yang diamalkannya adalah untuk bertanyakan pesakitnya tentang mimpi yang mereka alami lalu dia akan melakukan interpretasi kepada apa yang mereka mimpikan. Freud juga percaya mimpi 'melindungi tidur' dengan memastikan agar dorongan pemikiran tidak sedar yang sering mengganggu fikiran kita dari mengejutkan kita pada malam hari. Mimpi menukar bentuk-bentuk yang menakutkan kita (yang wujud di dalam keadaan pemikiran tidak sedar) kepada satu bentuk yang boleh diterima agar kita boleh tidur nyenyak setiap malam...




Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 16: Mereka yang menantikan kiamat di dalam tempoh hayat mereka yang menjanjikan terpendamnya cahaya adalah mereka yang mahu memasukkan elemen rasa takut ke dalam sistem kepercayaan yang mereka anuti

Malam itu Faris mengigau lagi. Apabila dia membuka matanya, dia dapati ibunya sedang berada di sisinya. Wajah Faris masih menyeringai ketakutan.

Diana mengusap-usap dahi anaknya yang basah berpeluh itu. Dia nampak risau.

[Kenapa Faris?]

Tanya Diana lalu membuka lampu meja di sebelah katil Faris. Faris menggosok matanya agar dia dapat melihat dengan lebih jelas apa yang telah ditulis oleh ibunya ke alat PDAnya.

"Saya mengigau." Ujar Faris dengan wajah yang muram.

[Itulah mak cakap... Jangan baca komik Sikapitan malam-malam sebelum masuk tidur!]

Diana mengeluh sambil menyusun komik-komik Sikapitan kepunyaan Faris yang bersepah di atas karpet di sebelah katilnya. Selepas dia meletakkan komik-komik Sikapitan di atas meja, dia bertanya:

[Apa yang Faris mimpikan?]

"Faris mimpi Faris berada di dalam suasana yang gelap... Di dalam sebuah bilik yang gelap. Kemudian Faris dengar satu suara yang minta Faris bebaskan dia. Katanya hanya Faris sahaja yang boleh bekaskan dia. Kadang-kadang, ketika dalam keadaan sedar pun Faris akan mendengar suaranya. Tetapi di dalam mimpi ini, Faris dapat mendengar suaranya dengan jelas. Jika Faris tak terkejut tadi, mungkin Faris dapat melihat wajahnya dengan jelas di dalam bilik gelap itu..."

Wajah Diana berubah. Cemas!

[Faris dah ambil ubat yang perlu Faris ambil tu?"

"Tak..."

[Kenapa tidak?]

Tanya Diana dengan wajah terkerut. Dia seperti mahu memarahi anaknya itu.

"Dalam siri komik Sikapitan yang baru... Sikapitan telah diracun oleh musuhnya dengan sejenis pil berwarna biru. Sama seperti pil biru yang Faris kena telan tiap-tiap hari. Jadi-"

[Sikapitan hanya watak dalam komik, Faris... Faris perlu makan ubat yang mak beri. Kalau tak, Faris akan jatuh sakit!]

"Tapi Faris tak sakit pun mak!"

[Dah berapa lama Faris tak makan ubat ini?]

"Sebulan." Jawab Faris dengan bersahaja.

Diana masuk ke dalam bilik air yang terdapat di dalam bilik Faris. Dia mengambil ubat yang perlu ditelan Faris. Dia mengambil sebiji gelas yang terdapat di dalam bilik air lalu memenuhi gelas tersebut dengan air paip.

[Makan ubat ni, Faris.]

"Tak nak! Faris tak sakit!"

[Faris... Kalau Faris sayang dengan mak, Faris akan makan ubat ni!]

Wajah Diana jelas nampak tegas. Faris mengeluh. Dia mengambil pil berwarna biru itu lalu memasukkannya ke dalam mulutnya. Diana memberikan gelas berisi air kepada Faris. Faris meneguk air di dalam gelas itu sehingga kosong.

Diana mencium dahi Faris. Dia menyelimutkan Faris lalu mengucapkan selamat malam. Dia keluar dari bilik Faris lalu menutup lampu.

Di dalam gelap, Faris mengeluarkan pil biru itu dari bawah lidahnya. Dia membuang pil tersebut ke luar tingkap rumahnya.

Faris percaya apa yang dilakukan oleh Sikapitan perlu diturutinya. Jika Sikapitan pernah diracuni oleh sejenis pil berwarna biru, dia yakin pil yang sama akan meracuni dirinya juga...

II




Fidzan menyeludup masuk ke dalam bilik kuliahnya. Dia mendapati pelajar-pelajar di dalam kuliah Prinsip dan Prosedur Psikometrik yang sedang dijalankan oleh Dr. Julius Osman sedang tekun mengambil nota apabila Dr. Osman sedang memberikan beberapa penjelasan tentang ujian Rorschach.

Fidzan duduk lalu memerhatikan skrin projektor di hadapannya. Dia sedang memerhatikan plat Rorschach sambil mendengar keterangan Dr. Osman tentang plat tersebut.

"Fidzan... Apa yang dapat kamu lihat di dalam plat bintik dakwat ini?" ujar Dr. Osman sambil membetulkan cermin matanya.

Fidzan terkejut namanya disebut secara tiba-tiba. Beberapa orang pelajar di dewan kuliah menoleh ke arahnya menunggu Fidzan supaya bersuara...

"Saya dapat lihat seekor naga hitam dalam kedudukan untuk menyerang... Di bawah itu kelihatan seperti kepala seekor naga." Fidzan menjelaskan dengan teragak-agak. Suaranya berdengung memenuhi dewan kuliah.

"Lagi... Apa yang dapat kamu lihat?" tanya Dr. Osman sambil berpeluk tubuh.

"Lembaga seorang lelaki..."

"Boleh kamu jelaskan lagi apa yang sedang kamu fikirkan?"

"Tubuh seorang lelaki... Seorang bapa yang tegas."

Loceng tiba-tiba berbunyi. Dr. Osman mengingatkan pelajar-pelajarnya supaya membaca bab Ujian Rorschach di dalam buku teks mereka untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentangnya.

"Fidzan... Saya hendak bercakap dengan awak." Ujar Dr. Osman sebelum sempat Fidzan dapat keluar dari dewan kuliah.

Fidzan menuruni tangga curam di dalam dewan kuliah untuk menemui Dr. Osman yang sedang mengemaskan beberapa keping kertas di atas mejanya.

"Maaf Doktor Osman... Saya terlewat tadi." Ujar Fidzan tersipu-sipu.

"Kamu memang selalu sahaja lewat." Ujar Dr. Osman dengan bersahaja. Rambutnya yang kerinting itu penuh dengan uban. Begitu juga dengan janggut dan misainya lantas menyerlahkan lagi keintelektualan dirinya. "Sebelum aku memulakan kuliah aku tadi, aku telah meminta pelajar-pelajar yang mengambil komponen Penyelidikan Psikometrik supaya memilih tempat di mana mereka boleh melakukan praktikal mereka. Tempat-tempatnya terhad di beberapa lokasi penyelidikan. Kertasnya di situ."

Fidzan mengambil kertas yang telah dimaksudkan oleh Dr. Osman. Dia mendapati kesemua 12 pelajar yang mengambil komponen penyelidikan untuk semester ini di bawah pemerhatian Dr. Osman telah pun memilih lokasi kerja praktikal masing-masing. Kini cuma ada satu tempat yang dikosongkan. Satu tempat yang langsung cuba dijauhi oleh pelajar-pelajar lain.

"Hospital Mental Sendayu?" Fidzan menggaru-garu kepalanya. "Tempat ini sahaja yang tinggal?"

"Siapa yang suruh kamu datang lambat?"

"Doktor tak boleh minta Xiu Yin buat praktikalnya di sini... Ye lah, bukan kah dia sukakan kepada cabaran-cabaran macam ini?" tanya Fidzan dengan mengharapkan.

"Tidak boleh. Pilihan pelajar adalah muktamad. Lagipun, kau tak perlu bimbang... Kau akan dibimbing oleh Doktor Yates dari HMS. Dia adalah antara pakat psikiatri yang tersohor di dalam bidang Psikologi Abnormal." Dr. Osman menjelaskan sambil tersenyum.

Fidzan mengeluh lesu. Tetapi di dalam masa yang sama dia sedar bahawa dia perlu menjalani kerja-kerja praktikal ini untuk mencukupkan jumlah kredit untuk memperoleh ijazah dalam bidang yang dipilihnya ini.

"Bila saya perlu melaporkan diri saya kepadanya?"

"Esok..." beritahu Dr. Osman. "Kerja kau mudah. Kau hanya perlu mengumpul data dari pesakit-pesakit mental di HMS." Dr. Osman menyerahkan kepada Fidzan sebuah sampul surat tebal yang disarati dengan tugasannya.

"Tentang ujian Rorschach yang doktor kemukakan kepada saya tadi..."

"Ya, jadi kenapa?"

"Saya melihat seekor naga hitam... Jadi apa maknanya itu semua?"

"Kenapa kamu nampak seekor naga hitam pada mulanya dan bukan seekor beruang atau harimau?"

"Saya sendiri tak tahu... Tapi itulah yang dapat saya lihat."

"Kau tak ada tanda-tanda seorang yang mengidap penyakit skizofrenia, bukan?"

"Tidak..."

"Jadi kau tak perlu risau." Jelas Dr. Osman memasukkan kertas-kertas yang telah dikumpulkannya tadi ke dalam begnya. Kemudian dia mengingatkan: "Dan jangan lewat ke HMS nanti! Doktor Yates cukup pantang kepada sesiapapun yang datang lewat ke temu janjinya."

Fidzan mengangguk sambil melepaskan nafasnya. Dr. Osman berjalan meninggalkan dewan kuliah. Fidzan terduduk di atas sebuah kerusi berdekatan di dalam dewan kuliah memikirkan tentang tugasan barunya yang dianggapnya terlalu berat untuk dilakukannya itu...


posted by Nizam  # 11:30 AM

Wednesday, July 20, 2005

Dua oleh Nizam Zakaria: Bab 7

Dua

Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 13: Plagiat karya kita sendiri

Lebihan justifikasi: paradoks efek ganjaran

Pernah kah kita sedari bahawa kita akan bekerja dengan lebih tekun dengan lebih kreatif apabila kita melakukan sesuatu disebabkan oleh minat, kepuasan dan cabaran kerja tersebut dan bukan kerana tekanan luaran dan ganjaran?

Tom Sawyer, seorang penulis terkenal dari abad ke-19 pernah memerhatikan perihal ini malah menulisnya di dalam bukunya yang bertajuk Mark Twain:

"Terdapat golongan bangsawan di England yang membawa kereta kuda penumpang dengan empat ekor kuda dua puluh atau tiga puluh batu hampir setiap hari, pada musim panas, kerana perbuatan ini melibatkan kos yang tinggi bagi mereka; tetapi jika mereka ditawarkan dengan gaji ke atas perkhidmatan mereka, yang akan mengubahkan kegemaran mereka ini kepada satu bentuk pekerjaan, mereka akan berhenti melakukannya."

Efek paradoks ini nampaknya adalah satu kontradiksi kepada teori behaviourisme seperti yang dibentangkan oleh B.F. Skinner yang mengatakan bahawa manusia secara am mendapatkan motivasi untuk melakukan sesuatu dengan adanya ganjaran.

Nampaknya hipotesis Mark Twain ini jelas menunjukkan kita tidak semestinya mendapatkan motivasi melalui ganjaran untuk melakukan sesuatu.



Motivasi Intrinsik

Motivasi Intrinsik adalah apabila aku mempunyai motivasi untuk melakukan sesuatu melalui faktor dalaman. Motivasi intrinsik inilah yang memberikan aku bersemangat untuk mencipta beberapa gadget untuk digunakan oleh Sikapitan kerana aku rasakan aku perlu melakukan ini semua demi kebaikan dan aku dianggap gila oleh orang lain (kerana mereka menegaskan Sikapitan hanya watak komik yang tidak wujud di dunia nyata).

Apabila aku menganalisis apa yang dilakukan Sikapitan, adakah dia menjadi adiwira dengan adanya motivasi intrinsik ini? Kerana setahu aku, Sikapitan tidak dibayar gaji atau mendapat apa-apa ganjaran. Tetapi, jika dia melakukan khidmat masyarakatnya untuk menunaikan satu tanggungjawab, maka dia melakukan pekerjaannya ini dengan adanya motivasi ekstrinsik yang datangnya dari faktor di luar dirinya...

Motivasi ekstrinsik

Kebiasaannya, motivasi ekstrinsik digunakan oleh majikan untuk memberi motivasi kepada pekerja: seperti gaji, ganjaran, pengiktirafan dan hukuman. Aku sebagai contoh belajar dengan bersungguh-sungguh kerana Puan Lydia akan memberikan ganjaran wang kepada ku setiap kali aku mendapat keputusan yang cemerlang di sekolah.

Walau bagaimanapun, perlu dijelaskan di sini bahawa terdapat paradoks di antara motivasi intrinsik dan ekstrinsik. Motivasi intrinsik lebih kuat jika dibandingkan dengan motivasi ekstrinsik, akan tetapi, motivasi luaran dengan pantas dapat menggantikan motivasi intrinsik (perhatikan efek 'lebihan justifikasi' di bawah).

Apa yang telah diperhatikan oleh Mark Twain mungkin ada kebenarannya. Apabila kita diberikan ganjaran untuk melakukan apa yang kita sukai seperti membaca, bersukan dan menonton filem, kita mungkin akan hilang sedikit rasa motivasi untuk melakukan perkara-perkara yang kita sukai ini. Fenomena ini dikenali dengan nama 'lebihan ganjaran' atau 'lebihan justifikasi'. Apabila perkara ini berlaku, kita akan mula berfikir aktiviti yang kita lakukan itu tidak dapat lagi mencetuskan keseronokan. Apa yang pada mulanya dianggap sebagai hobi akan berubah kepada 'kerja'.

Sebab itulah aku rasakan, seorang adiwira seperti Sikapitan harus melakukan apa yang dilakukannya tanpa gaji atau sebarang ganjaran supaya dia dapat menjaga keamanan masyarakat dengan bersungguh-sungguh!




Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 14: Jangan bezakan seni dengan iklan

Faris memerhatikan kereta usang yang dipandu oleh ibunya meninggalkan kawasan perumahan di Lorong Hale yang terletak di Pondok Indah. Faris memandang ke hadapan, dia dapat melihat Teratak Halcyon tersergam megah di atas bukit yang tidak bernama itu. Faris terus berjalan ke hadapan. Sebaik sahaja dia sampai ke muka pintu rumah yang nampaknya berbeza dengan rumah-rumah yang ada di kawasan perumahan mewah ini. Rumah berwarna hijau di hadapannya ini mempunyai reka bentuk moden. Ia dibina di atas sebuah tebing curam dengan menggunakan logam dan kaca serba hijau.

Faris menekan butang loceng.

Hana membuka pintu. Wajahnya nampak berseri-seri. Faris memandang ke dalam rumah yang nampak cerah disimbah cahaya matahari. Tidak terdapat banyak perabot di dalamnya. Zen.

"Kakak seorang sahaja ke?" tanya Faris apabila dia dijemput masuk ke dalam rumah.

"Ya... Bapak kakak pergi bekerja. Jadi kakak tinggal seorang sahaja di sini." Jawab Hana. Dia menutup pintu.

"Oh..."

"Faris dah sarapan?"

"Dah."

"Dengan abang?"

"Ya..."

"Dia di mana sekarang?"

"Di dalam Teratak Halcyon. Puan Lydia ingin melakukan latihan kenjutsu dengan abang di gymnya."

"Kenjutsu?"

"Seni mempertahankan diri Jepun dengan menggunakan pedang..."

"Oh..." Hana mengangguk perlahan. "Selalu ke dia bermain pedang dengan Puan Lydia?"

"Selalu... Sejak kami mula-mula berpindah ke sana lagi."

"Faris tak minat untuk belajar Kenjutsu?"

"Tidak." Faris menjawab pantas. Dia berjalan ke arah ruang tamu yang mempunyai dinding gelas dari atas ke bawah itu. Di situ terdapat sebuah teleskop yang menghala ke arah Teratak Halcyon. Dia menggunakan teropong tersebut lalu dia dapat melihat Teratak Halcyon dengan lebih jelas lagi. Faris mengubah kedudukan teropong agar dia dapat melihat burung-burung nasar yang sedang terbang mengelilingi bahagian atas Teratak Halcyon. "Makmal ayah kakak di mana?" tanya Faris kemudian setelah dia puas menggunakan teropong tersebut.

"Di bahagian bawah."

"Boleh kita ke sana sekarang."

Hana mengangguk. Dia membawa Faris menuruni tangga kacanya lalu turun ke bahagian bawah tanah rumahnya. Di situ mereka berjalan ke arah sebuah bilik dengan pintu besi. Ia dikawal dengan sistem keselamatan yang canggih.

Hana mendekatkan matanya ke sebuah alat pengimbas yang terletak di tepi pintu. Matanya diimpas dengan pantas sebelum pintu dibuka.

"Fuyyoh!" ujar Faris dengan teruja. Makmal bawah tanah itu dilengkapkan dengan beberapa peralatan uji kaji yang canggih-canggih. Beberapa buah rekaan Hana yang belum dapat disiapkan diletakkan di atas meja diperhatikan Faris satu persatu. "Kalau saya jadi kakak, kan... Saya akan duduk di dalam makmal ini dan tak keluar-keluar!"

"Sebab itulah Faris bukan kakak!" kata Hana sambil mencubit pipi Faris.

"Ini bilik apa kak?" tanya Faris lalu mendekatkan dirinya ke arah sebuah pintu di hujung makmal.

"Oh... ini bilik makmal bapak kakak."

"Boleh saya masuk melihat makmalnya?"

"Tak boleh..."

"Kenapa tak boleh?"

"Kakak pun tak boleh masuk tau!"

"Kenapa? Doktor Londoh tak benarkan sesiapa masuk ke dalam makmalnya ke?"

"Ya. Hanya dia sahaja yang boleh masuk ke makmalnya ini."

"Pasti rekaan terbaru yang ingin disembunyikan kepada orang lain di makmalnya ini..."

"Entahlah... Dia terus tidak membenarkan sesiapapun masuk ke dalam makmalnya ini sejak ibu kakak meninggal dunia dalam peristiwa 6/6 dahulu."

"Oh..." getus Faris sambil tertunduk. "Abang kata mak banyak berubah selepas peristiwa 6/6."

"Berubah?"

"Ya... Selepas peristiwa 6/6 dia terus menjadi bisu." Jelas Faris. "Sejak kecil... Saya tak pernah dengar suara mak saya. Bila saya fikirkan balik, saya belajar bercakap dari abang. Bukan dari mak saya."

"Ibu kakak menjalankan tugasnya sebagai doktor di Hospital Castro ketika kejadian ini berlaku." Jelas Hana. Faris cukup sedar bahawa Hospital Castro hanya tinggal rangka sahaja selepas sebahagian dari kawasan Castro dan Accra dimusnahkan oleh satu letupan yang maha dahsyat.

"Bapa saya mati di dalam kejadian ini... Saya tak tahu menahu tentang dirinya. Gambarnya pun saya tidak pernah lihat. Rumah kami di Castro musnah sama sekali bersama-sama segala harta benda kami."

"Hampir 42,000 orang mati dan lebih 250,000 orang yang cedera dalam kejadian ini. Tetapi hari ini kita seolah-olah lupa bahawa kejadian ini pernah berlaku." Ujar Hana dengan nada sedih. Dia terbayangkan wajah ibunya yang telah lama pergi. Sememangnya kata-kata Hana itu ada kebenarannya. Dia tidak faham mengapa warga Sendayu begitu senang melupakan peristiwa 6/6 ini begitu sahaja...

Faris memandang ke arah Hana. Sukar untuk dia membayangkan keperitan yang terpaksa dilalui olehnya sejak dia kehilangan ibunya.

"Ayah kakak lebih banyak menyendiri sejak mak kakak pergi..." Ujar Hana akhirnya setelah lama dia menyepikan diri. "Dia lebih banyak menghabiskan masanya di dalam makmal ini jika dia tidak menghabiskan masanya di tempat kerja."

Faris duduk di atas bangku makmal lalu terus dia meletakkan begnya di atas meja makmal. Dia mengeluarkan buku notanya. Dia menunjukkan kepada Hana gambar rajah-gambar rajah yang telah dilukisnya. Hana mendengar penjelasan Faris dengan penuh minat. Buat seketika, kesedihannya memikirkan tentang mendiang ibunya diletakkannya ke tepi.

II


Fidzan menelan air liurnya. Dia mendapati Lydia menyerangnya bertubi-tubi dengan menggunakan pedang katananya. Seni mempertahankan diri kenjutsu memerlukan pengamalnya supaya menyerang dengan menggunakan ayunan pedang yang tegar ke arah beberapa sasaran yang terpilih untuk tujuan membunuh. Ketika berlatih, banyak kali Lydia menyerangnya dengan mengayunkan pedangnya ke arah leher Fidzan. Fidzan cukup sedar jika dia tidak berhati-hati, nahas jadinya.

Lydia tidak pernah mengambil ringan latihan kenjetsunya ini. Apabila dia berlatih, dia pasti akan berlatih dengan bersungguh-sungguh. Tetapi pada hari ini, Fidzan mula sedar bahawa Lydia mungkin menjalankan latihannya dengan terlebih serius. Ayunan pedangnya lebih pantas dan kuat dari kebiasaannya.

"Mungkin kita harus berlatih dengan bokken sahaja." Ujar Fidzan dengan matanya memandang ke arah satu set pedang kayu yang diletakkan di tepi gym.

"Kenapa... Kau takut?" tanya Lydia langsung mencabarnya. Fidzan mengubah cara dia menggenggam pedang katananya. Dia pasti dia akan diserang lagi.

"Tidak." Jawab Fidzan dengan teragak-agak.

"Kau tidak menumpukan perhatian kau... Sebab itulah kau gugup." Kata Lydia. Dia menyerang Fidzan lagi. Sekali lagi Fidzan menggunakan pedang katananya untuk mempertahankan dirinya.

Percikan api dapat dilihat setiap kali pedang mereka bertembung. Bunyi pedang yang tajam berselisih bergema kuat di dalam gym.

"Maaf... Saya memang tak dapat tumpukan perhatian saya."

"Kenapa... Sebab kau pulang lewat semalam? Itu sebabnya?"

"Ya... Saya lambat masuk tidur."

"Ke mana kau semalam?"

"Saya keluar makan malam dengan... Hana dan Cinta di Pondok Indah."

"Kau tidak sepatutnya keluar dengan mereka..." kata Lydia dengan sekuat hatinya mengayunkan pedangnya ke arah Fidzan. Fidzan mengelak dengan pantas.

"Tapi kenapa?" tanya Fidzan. Dahinya berpeluh-peluh.

"Kau sepatutnya mendengar nasihat ku tanpa banyak soal!" tekah Lydia dengan marah. "Kau tahu aku lebih tahu tentang hal ini dari kau!"

Fidzan mengeluh. Kemudian sepantas kilat Lydia menendang kakinya sehingga dia terjatuh di atas lantai. Mata Fidzan terpaku memandang ke arah mata Lydia apabila dia mendapati pedang Lydia kini berada begitu dengan lehernya.

Fidzan tidak berani untuk bernafas. Lydia pula mencampakkan pedang katananya ke tepi. Dia berjalan meninggalkan Fidzan bersendirian di dalam gym.

Fidzan bangun. Dia mengambil pedang Lydia di atas lantai. Dia mengeluh lagi. Dia tidak faham mengapa Lydia perlu marah-marah kepadanya semata-mata kerana dia ingin berkawan rapat dengan Hana dan Cinta...








posted by Nizam  # 3:58 PM

Tuesday, July 19, 2005

Dua oleh Nizam Zakaria: Bab 6

Dua

Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 9: Selidiki dengan mendalam dunia pop

Teori Triarchic Sternberg

Ahli psikologi dari Universiti Yale, Robert Sternberg, menganggap kecerdasan adalah sesuatu yang bersangkut paut dengan pemprosesan informasi. Dia menkaji bagaimana informasi 'mengalir' ke dalam diri kita justeru bagaimana informasi ini berubah mengikut keperluan lingkungan kita. Analisis yang dilakukannya akhirnya muncul sebagai model kecerdasan bercabang tiga (atau triarchic). Cabang-cabang yang dinyatakannya adalah komponen (componential), pengalaman (experiential) dan konteks (contextual).

Sternberg mengakui bahawa seseorang individu tidak semestinya mempunyai satu sahaja kecerdasan yang disebutkannya. Ada individu yang mempunyai integrasi ketiga-tiga cabang kecerdasan ini dengan menunjukkan tahap kecerdasan yang tinggi.

Kecerdasan Komponen (Componential Intelligence)

Kecerdasan seseorang individu seperti aku dalam bidang akademik bolehlah dipanggil sebagai kecerdasan komponen. Kecerdasan menganalisis merupakan ciri utama kecerdasan ini. Aku dikatakan mempunyai kecerdasan luar biasa sehinggakan aku dinaikkan beberapa gred. Dalam usia 11 tahun, aku dimasukkan ke dalam kelas senior di sekolah tinggi Henry McCoy.

Kecerdasan Pengalaman (Experiential Intelligence)

Kecerdasan ini bolehlah dijelaskan ertinya dengan kreativiti. Kecerdasan ini bolehnya dilihat sebagai kebolehan untuk mengatasi situasi baru lantas mempelajari dari situasi tersebut. Amy Kamen, pelukis Sikapitan sebagai contoh dengan pantas dapat menyesuaikan kes-kes pembunuhan ke atas beberapa pegawai tertinggi Halcyon Corp. kepada penceritaannya di dalam siri komik Sikapitan yang terbaru.

Kecerdasan Konteks (Contextual Intelligence)

Ada sesetengah orang yang mampu mengadaptasi diri mereka di dalam apa sahaja situasi yang di tuntut di dalam lingkungan mereka. Mereka yang mempunyai kecerdasan ini pandai mengorak langkah untuk berjaya di dalam hidup. Abang sebagai contoh bukanlah seorang yang cemerlang dalam bidang akademik, tetapi dia sering mendapat markah yang agak baik untuk subjek yang diambilnya di universiti.. Dia boleh membuatkan kawan-kawan sekuliahnya untuk meminjamkan nota kepadanya kerana dia selalu tertidur di dalam kuliah. Abang pandai mengambil hati pensyarah-pensyarahnya, terutamanya pensyarah wanita. Bukan itu sahaja, abang juga mempunyai hubungan yang rapat dengan Puan Lydia walaupun kita semua tahu dia jarang dapat didekati oleh sembarangan orang - lebih-lebih lagi sejak suaminya meninggal dunia di dalam peristiwa 6/6. Mungkin ada sesuatu yang ada di dalam diri abang yang mampu membuatkan Puan Lydia senang berada di sampingnya...

Selain dari Teori Triarchic ini, Sternberg ada membentangkan ideanya tentang kendalian minda sebagai satu komponen bersiri. Komponen-komponennya adalah seperti berikut:

- Metakomponen
- Komponen pelaksanaan
- Komponen perolehan pengetahuan

Di sini aku hanya mahu memperkatakan tentang metakomponen. Metakomponen merupakan proses khas di dalam minda kita yang di digunakan di dalam penyelesaian masalah dan proses membuat keputusan yang melibatkan sebahagian besar dari pengurusan minda kita. Ia akan memberitahu kita bagaimana untuk bertindak. Metakomponen ini juga dikenali dengan nama homunculus.

Homunculus di dalam bahasa Latin membawa maksud 'lelaki kecil'. Homunculus ini dianggap sebagai satu idea bahawa terdapatnya satu makhluk di dalam kepala kita yang mengawal setiap gerak-geri kita. Cuba bayangkan kewujudan satu makhluk yang mengawal diri kita tanpa kita sedari!

Aku dapat merasakan satu kewujudan makhluk di dalam kepala ku. Kadangkala aku akan dapat mendengarnya bersuara. Ia ingin memberitahu ku sesuatu perkara yang sehingga kini kurang aku fahami...




Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 10: Liberalisasikan komoditi sumber-sumber semula jadi untuk membatasi kehendak manusia



Cinta mengekori Hana keluar dari Galeri Kunst. Belum sempat Hana dapat menahan Fidzan untuk mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menjemputnya ke galeri ini, dia mendapati Fidzan terus masuk ke dalam sebuah limousin hitam lalu terus meninggalkan Distrik Galeri.

Cinta mengeluarkan kotak rokoknya. Dia mengeluarkan sepuntung rokok lalu cuba mencari pemetik apinya.

Seorang pemuda mengeluarkan sebuah pemetik api dari kocek seluarnya lalu menyerahkan pemetik api itu kepada Cinta.

"Maaf... Saya tidak boleh kelihatan... Merokok di tempat-tempat awam seperti ini." kata pemuda tersebut kepada Cinta.

Cinta kenal benar dengan pemuda ini. Siapa yang tidak kenal dengannya? Wajahnya di mana-mana di kota ini dan Kota Tamparuli.

Cinta mengambil pemetik api itu dari tangannya. Dia mengucapkan terima kasih. Beberapa orang paparazzi sedang sibuk mengambil gambarnya pada waktu itu.

"Oh ya, nama saya Cinta. Ini sepupu saya Hana." Ujar Cinta sambil berjabat tangan dengan pemuda tersebut.

"Nama saya Keflix... Keflix el Mawi." Ujarnya sambil tersenyum.

"Ya, kami tahu." Ujar Hana dengan selamba. Keflix memandang ke arah Hana. Keningnya terkerut buat seketika sebelum dia merapati Hana.

"Apa kata kita masuk ke dalam... Cuaca di luar ni, basah dan berangin. Kalau lama-lama di sini, boleh demam jadinya nanti."

Hana tersenyum memandang ke arah Cinta yang baru sahaja mahu merokok. Hana memegang lengan Cinta lalu memaksanya supaya masuk ke dalam.

"Saya tak sangka orang macam awak akan ke tempat seperti ini." ujar Hana kepada Keflix. Dia merasa agak rimas apabila melihat pengunjung-pengunjung Galeri Kunst setiap gerak geri Keflix, artis nombor satu Kota Sendayu dengan penuh minat.

"Apa maksud awak bila awak kata 'orang macam awak' tadi?" tanya Keflix kembali kerana ingin tahu. Suaranya sedikit serius.

"Maksud saya menyanyi macam awak-"

"Jadi penyanyi-slash-penghibur seperti saya tidak patut ke tempat-tempat seperti ini?"

"Saya tak berkata begitu..." kata Hana. Dia tidak percaya dia sedang berselisih faham dengan Keflix belum sampai lima minit mereka berkenalan.

"Jadi apa sebenarnya?"

"Tak ada apa-apalah." Sambut Hana tidak mahu mempedulikan kerenah Keflix yang dirasakan ego itu.

"Jadi kenapa awak ke mari?" tanya Cinta yang cukup tertarik melihat cara Keflix membawa dirinya.

"Sebenarnya betul kata Hana tadi... Buat apa orang macam saya ke sini." Keflix tersenyum sendiri. Dia menjeling ke arah Hana. "Saya telah diminta oleh pegawai perhubungan awam saya supaya membeli sebuah lukisan di sini. Katanya si pelukis mahu mendermakan setengah dari kutipan penjualan lukisannya kepada program seni Sekolah Tinggi Accra... Jadi-"

"Oh... Jadi ini semua urusan publisiti dan perhubungan awam lah ni?" tanya Hana dengan sinis.

"Ya," jawab Keflix serba salah. "Nak buat macam mana... Inilah harga yang perlu saya bayar untuk menjadi terkenal. Pasti Cinta tahu tentang hal ini bukan?"

"Maksud awak?" tanya Cinta kehairanan.

"Bukan awak seorang model? Ya, saya pasti awak seorang model. Saya pernah nampak wajah awak di majalah, tapi tidak ingat di mana..."

"Ya, tapi saya bukan seorang supermodel!" Cinta mengingatkan. Dia kini berhenti di salah sebuah lukisan Fahmy. Mata Keflix tertumpu di situ.

"Lukisan ini menyamai semangat lukisan Edward Hopper. Ye lah, seperti karakter-karakter dalam lukisan Nighthawk olehnya yang bukan sahaja menunjukkan sebuah imej kesepian sebuah kota besar, tetapi kesepian eksistensi."

Hana tidak percaya kata-kata ini terkeluar dari mulut Keflix. Dia menoleh ke arah Cinta. Dia nampak Cinta semakin minat untuk mengenali Keflix dengan lebih rapat lagi.

"Awak tinggal di mana?" tanya Keflix dengan tiba-tiba kepada Hana.

"Kenapa awak ingin tahu?" tanya Hana kehairanan.

"Hana tinggal di mana, Cinta?" Keflix mengalihkan perhatiannya kepadanya pula.

"Dia tinggal bersama saya di Rumah Priyadarshi, asrama Universiti Sendayu... Tingkat 27, bilik nombor 6." Jawab Cinta tanpa berselindung. Hana memandang ke arahnya dengan dahinya terkerut.

"Kenapa awak nak tahu di mana tempat tinggal saya?"

"Banyak-banyak lukisan di sini... Lukisan mana yang paling awak suka, Hana?" tanya Keflix tanpa menjawab soalan Hana tadi.

Hana memandang ke arah Keflix dengan penuh curiga sebelum dia menjawab:

"Lukisan di belakang sana..." ujar Hana. Keflix terus berjalan ke arah lukisan yang disebutkan oleh Hana.

"Kenapa awak suka dengan lukisan ini?" tanya Keflix sebaik sahaja dia berada di hadapan lukisan yang dimaksudkan Hana.

"Ya."

"Tapi kenapa?" tanya Keflix mengamati lukisan tersebut yang menunjukkan keadaan Fidzan dan Faris berjalan di belakang sebuah lorong yang sunyi.

"Keluarga saya di sebelah mak saya berasal dari daerah Les Halles. Kalau awak nak tahu, mendiang ibu saya pernah tinggal di bangunan itu." Ujar Hana sambil menudingkan jarinya ke arah bangunan tua yang dimaksudkannya itu.

"Budak lelaki dalam gambar ini... Tak salah saya, saya nampak dia keluar dari galeri ini tadi."

"Oh itu Fidzan." Ujar Hana perlahan.

"Kamu berdua kenal dengan dia?" tanya Keflix. Wajahnya jelas terganggu.

"Ya," Hana mengangguk. "Kami juga kenal dengan pelukisnya... Awak mahu berjumpa dengannya?"

"Tak apa," sambut Keflix, lalu dia menumpukan seluruh perhatiannya kepada Hana. "Saya lebih berminat untuk kenal dengan awak dengan lebih rapat lagi."

"Alahai... Selalu ke awak buat macam ni?" tanya Hana dengan sinis.

"Buat apa?" tanya Keflix kehairanan.

"Ye lah, nak berkenalan dengan semua gadis yang awak temui."

"Tidak." Felix berterus terang.

"Ke ke ni? Boleh percaya ke ni?" tanya Cinta pula.

Keflix sekadar mengangguk. Wajahnya serius. "Masakan saya boleh berbohong dengan dua gadis yang jelita seperti awak berdua."

Hana menjelingnya. Sehingga kini, dia masih tidak faham apa yang menyebabkan Keflix begitu popular sebagai seorang penyanyi. Sejak hari pertama dia menjadi peserta rancangan reatiti TV No. 1 Kota Sendayu, Akademia!, dia telah mendapat undian SMS yang paling tinggi sehingga tidak ada sesiapapun yang dapat menggugat kedudukannya sebagai juara rancangan tersebut. Pernah sekali dalam konsert mingguan Akademia! (di mana setiap peserta dimestikan untuk beradu menyanyi), Keflix terlupa akan lirik lagu yang perlu dinyanyikannya lalu dia hanya berdiri di atas pentas sambil tersenyum. Walaupun begitu, dia tetap mendapat undian SMS yang tertinggi untuk konsert tersebut.

Keflix kini menjadi satu fenomena. Di mana sahaja dia berada pasti dia akan dapat melihat wajah Keflix di majalah, papan iklan, patung permainan malah pada jenama pakaian. Album pertamanya laris di pasaran. Tiga buah lagu dari album terbarunya mendapat tempat yang teratas (di dalam masa yang sama) di dalam carta muzik Kota Sendayu.

Hana masih tidak faham bagaimana orang seperti Keflix menjadi satu fenomena di kotanya. Dia melihat Keflix mempunyai wajah yang sederhana. Orangnya bertubuh sederhana. Suaranya tidaklah sehebat mana. Tapi mengapa dia begitu diminati.

Hana menoleh ke arah Cinta. Dia mendapati Cinta menumpukan seluruh perhatiannya kepada Keflix ketika berbual seolah-olah mereka telah lama kenal. Hana mengeluh sendiri...

II


Pada malam itu Hana dapat melihat Keflix mengeluarkan cek untuk membeli lukisan yang disukainya. Beberapa orang jurugambar mengambil gambarnya ketika cek tersebut diserahkan kepada Lucy. Hana pasti cerita Felix membeli lukisan Fahmy (yang telah dibelinya dengan harga 15,000 Quid) untuk tujuan menderma ini akan dilaporkan di dalam bahagian hiburan akhbar-akhbar tempatan dan antarabangsa.

Semalam, wajah Hana terpampang di bahagian hiburan Harian Sendayu dengan tajuk gambar:

"Gadis misteri bersama Keflix di Galeri Kunst."

Di dalam laporan akhbar ini, 'gadis misteri' ini dikatakan telah ke Galeri Kunst bersama Keflix. Laporan akhbar ini telah membuatkan Hana berang. Di dalam masa yang sama, dia mula sedar dirinya menjadi perhatian di universitinya. Pelajar-pelajar popular di universitinya juga mula mahu menegurnya.

Pada petang ini pula, Hana dikejutkan dengan hadiah lukisan yang telah dibeli Keflix yang telah dihantarkan ke biliknya. Lukisan itu telah tiba ke bilik asramanya dengan sekeping kad dari Keflix. Di dalam kad itu Keflix mengucapkan terima kasih kepada dirinya dan kepada Cinta yang telah menemaninya di dalam galeri. Katanya, dia selalu merasa kekok ketika berada di hadapan orang ramai tetapi kehadiran mereka berdua telah menyebabkan dirinya merasa lebih selesa.

Cinta merampas kad tersebut dari tangan Hana. Dia tersenyum sumbing.

"Dia suka dengan kau!" kata Cinta dengan nada riang.

"Ish, mana ada!" bantah Hana bersungguh-sungguh. "Lagipun... Aku dapat rasakan seperti satu yang tak kena tentang dirinya. Susah untuk aku jelaskan. Tapi entahlah. Aku rasa kurang selesa bila aku fikirkan tentang ini semua."

Cinta berdecit sambil bercekak pinggang. Kemudian dia memandang pula ke arah lukisan bersaiz besar yang kini berada di ruang tamu asramanya. Dia tidak faham mengapa Hana tidak mengendahkan Keflix sama sekali walaupun jelas kini Keflix mula menunjukkan rasa minat terhadapnya. Cinta mula merasakan yang tak betul di dalam hal seperti ini adalah Hana dan bukan Keflix.



posted by Nizam  # 1:39 PM