Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 45: Pembelajaran sepanjang hayat bermula di dalam janin dan berakhir di saat mati
Ilusi Pengawalan
Ahli psikologi Ellen Langer telah melakukan satu kajian yang membawa beliau memperkenalkan istilah "Ilusi Pengawalan". Istilah ini membawa maksud kecenderungan manusia untuk mempercayai bahawa mereka mempunyai kuasa untuk mengawal kesudahan kepada satu-satu kejadian walaupun agak mustahil untuk mereka melakukannya.
Di dalam beberapa eksperimen yang dilakukannya, Langer dapat menunjukkan bagaimana subjeknya menunjukkan tanda-tanda ilusi pengawalan ini dan kemudian mereka akan selalunya menunjukkan bahawa mereka mampu mengawal satu-satu perkara yang melibatkan nasib di mana terdapatnya kewujudan "isyarat kemahiran".
Menurut Langer, Isyarat kemahiran dapat dilihat di dalam situasi yang berkenaan dengan seseorang itu perlu menggunakan kemahiran, terutamanya kemahiran dan penglibatan dalam soal membuat pilihan dalam satu persaingan dan kebiasaan dengan stimulus yang ada.
Di dalam eksperimennya, Langer mendapati apabila subjeknya bermain dengan loteri, mereka yang memilih sendiri nombor loteri didapati sukar untuk berenggang dengan kad loteri mereka dengan menjualnya dibandingkan dengan mereka yang diberikan kad loteri secara rambang. Apabila mereka bermain dengan daun pakau, walaupun peluang kemenangan mereka agak tipis, mereka tetap akan bertaruh dengan jumlah wang yang banyak apabila mereka dapat melihat terlukis raut kurang yakin pada wajah pesaing mereka. Walaupun kita dapat melihat bahawa tindak tanduk mereka jelas kurang rasional, tetapi ada kalanya kita sendiri akan melakukan perkara yang sama. Kita semua sedikit sebanyak mempunyai semangat optimistik tentang masa depan kita dan ada kalanya kita akan mempunyai persepsi yang kurang realistik tentang kemampuan kita mengawal perjalanan hidup kita sendiri yang ada kalanya tidak boleh dikawal.
Kita dapat melihat sebelum meletusnya peristiwa 6/6, pemerintah Kota Sendayu dan beberapa buah kota yang lain mula berlumba-lumba menggunakan kuasa ketenteraan sebagai instrumen diplomasi. Polisi ini diambil kira sebagai satu cara yang terbaik untuk mengawal sebuah dunia yang masih kucar-kacir (setelah sistem ekonomi dan budaya beberapa buah negara langsung musnah akibat Peperangan Robotik). Dalam hal ini, Weltanschauung Kota Sendayu adalah untuk melihat kota-kota lain di seluruh dunia terus mengikut nilai-nilai yang dipersetujui mereka - di antaranya adalah Hukum Eugenik dan keterbatasan teknologi. Kuasa ketenteraan dilihat sebagai satu cara yang terbaik untuk melihat kesinambungan nilai ini terus dikongsi bersama kota-kota yang lain. Apa yang tidak dapat dilihat oleh mereka yang menggunakan kuasa ketenteraan ini adalah mereka telah mencipta satu ilusi pengawalan yang berbahaya. Apa yang tidak disedari oleh Kota Sendayu apabila mereka menggunakan teknologi ketenteraan dalam percubaan mereka mengawal konflik yang berlaku di kota-kota lain di seluruh dunia adalah; penglibatan mereka yang melampaui batas dan tindakan yang kurang bijak yang mereka lakukan kepada kota-kota yang tidak sehaluan dengan mereka.
Tindakan mereka akhirnya memakan diri - kerana apa mereka fikir dapat mereka kawal akhirnya langsung berada di luar kawalan mereka sendiri! Kota Sendayu akhirnya di kawal oleh satu entiti yang selama ini cuba dihindarkan oleh mereka sendiri...
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 46: Sesebuah negara belum lagi benar-benar merdeka apabila ia masih mencari-cari apa itu erti kemerdekaan
Fidzan tidak mahu keluar dari biliknya walaupun telah dipanggil oleh Faris agar bersama-sama makan malam. Faris muak dengan perangai abangnya itu. Sudah seminggu abangnya murung begitu. Faris pergi menemui ibunya yang sedang menunggu di meja makan. Dia memberitahu ibunya bahawa abangnya tidak mahu makan.
Diana nampak bimbang. Dia mengeluh. Dia duduk di meja makan lalu memastikan agar Faris memakan sayur-sayuran yang telah dimasaknya.
Setelah Faris selesai makan, dia terus meminta Faris supaya mencuci pinggan mangkuk yang telah digunakan. Faris berdecit, tetapi dia tetap sedar akan tanggungjawabnya. Dia terus mengangkat pinggan mangkuk lalu dibawanya ke dapur.
Faris menoleh ke arah ibunya. Dia dapat melihat ibunya membawa sepinggan makanan ke bilik abangnya.
Faris termenung ke hadapan. Dia mula memikirkan tentang perubahan yang berlaku kepada dirinya sejak akhir-akhir ini. Dia tidak faham mengapa perubahan-perubahan ini berlaku kepada dirinya. Apa yang sebenarnya berlaku? Siapa dia sebenarnya?
Faris tidak faham mengapa jika dia menumpukan fikirannya dia boleh melihat apa yang dilihat oleh Muerte. Dia tidak tahu tiba-tiba sahaja dia dapat bermain bola keranjang dengan baik dan bagaimana dia mampu berlari lebih pantas dari atlet pelari pecut sekolahnya di dalam kelas pendidikan jasmaninya. Apa maknanya semua ini?
Semenjak dua menjak ini Faris melihat perangai ibunya juga lain macam sahaja. Dia lebih banyak termenung. Semua ini telah berlaku sejak peristiwa dia jatuh dari tebing tingkap bilik rahsia di dalam perpustakaan Teratak Halcyon. Kenapa agaknya ibunya jadi begitu. Apa yang berlegar di dalam fikirannya?
Dia terpaksa mengetuk pintu bilik anak bujangnya itu sebelum pintu dibuka. Diana dapat mlihat wajah lesu Fidzan.
"Nak apa mak?" tanya Fidzan di belakang daun pintunya.
Diana menunjukkan pinggan yang dipenuhi makanan yang telah disediakan untuk anaknya. Fidzan membuka pintu lalu mempersilakan ibunya masuk ke dalam biliknya.
Diana meletakkan pinggan di atas meja belajar anaknya. Dia dapat merasakan makanan yang telah disediakannya itu tak akan terusik seperti malam-malam sebelumnya.
[Kenapa Fidz?]
Tanya Diana sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya di atas katil Fidzan.
"Kenapa apa, mak?"
[Fidz ada masalah?]
Sukar untuk Fidzan meluahkan perasaannya kepada ibunya. Dia termenung lama ke lantai sebelum dia membuka mulutnya untuk bersuara:
"Mak... Kenapa mak tak pernah ceritakan kepada Fidz siapa ayah sebenarnya. Kenapa mak!"
Wajah Diana berubah pucat. Dia sedar bahawa lambat-laun, pasti soalan ini kan tercetus juga di mulut anaknya. Lagipun, sampai bila anaknya itu akan berdiam diri dengan langsung tidak bertanyakan kepadanya tentang hal ayahnya sendiri. Tetapi dia tidak pernah menyangka masanya kini telah tiba untuk dia berhadapan dengan anaknya lantas menjawab soalan anaknya ini dengan sejujur-jujurnya.
"Dia masih hidup lagi mak... Mak sendiri tahu, bukan? Selama ini mak sememangnya tahu! Tapi kenapa mak hanya berdiam diri sahaja, mak?"
[Dari mana kau tahu ini semua. Fidz?]
"Dari dia sendiri, mak!" Fidzan terus memandang ke dinding. Wajahnya cukup pasrah.
[Apa? Tapi bagaimana?]
"Mak tak perlu tahu bagaimana... Yang pentingnya sekarang, saya tahu di mana dia berada! Dan saya juga mak tahu tentang hal ini semua sejak dahulu lagi."
[Ya, mak tahu dia masih hidup lagi. Tapi itu satu rahsia yang terpaksa mak simpan dan kau dan Faris.]
"Tapi kenapa mak?"
[Kerana mak tak mahu kau tahu tentang dirinya... Lagipun inilah permintaannya dahulu.]
"Apa yang mak tak nak tahu kami tentang dirinya?"
Diana menggigit bibirnya. Perasaannya di88 dengan perasaan serba salah.
[Jadi sekarang kau tahu siapa dia sebenarnya?]
"Ya," jawab Fidzan dengan penuh sesal.
[Dia bukanlah seperti yang kau fikir, Fidz]
"Dia lah yang telah menyebabkan peristiwa 6/6!"
[Bukan itu yang sebenarnya berlaku, Fidz]
"Jadi apa yang sebenarnya yang telah berlaku, mak?"
Diana melepaskan nafasnya. Dia sedar kini bahawa dia tidak mungkin dapat menyembunyikan apa-apa lagi dari anaknya ini. Mungkin sudah sampai masanya untuk dia menceritakan segala-galanya kepada anaknya ini. Lagipun, inilah janjinya kepada suaminya dahulu - bahawa anak-naknya perlu tahu tentang apa yang telah diperjuangkannya.
[Suami Lydia, Adam ketika meningkat remaja dahulu adalah seorang yang mengidap penyakit atropi otot tulang belakang. Ibu dan bapanya telah cuba melakukan apa sahaja untuk memastikan agar anak mereka ini dapat diselamatkan...]
"Jadi Apa kena mengena dia dengan ayah?"
[Segala-galanya... Kerana jika bukan kerananya, mak tidak mungkin akan dapat bertemu dengan ayah kamu.]
"Apa seterusnya yang berlaku?" tanya Fidzan, kerana selama ini tidak tidak pernah sedar bahawa mendiang suami Lydia itu pernah mengidap apa-apa penyakit kronik ketika dia muda dahulu.
[Halcyon Corp. telah mendapatkan khidmat seorang saintis muda untuk mencari jalan menyelamatkan nyawa Adam.]
"Doktor Londoh?"
[Ya, doktor Londoh]
Diana menyentuh bibirnya, seolah memikirkan secebis kisah di dalam hidupnya yang telah lama ditinggalkannya.
"Apa hubungan mak dengan doktor Londoh?"
"Mak pernah bertugas sebagai pembantu kanannya di makmalnya dahulu.]
"Jadi apa yang telah dilakukan oleh doktor Londoh?"
[Sebenarnya pada waktu itu kami sudah mula menyedari tentang wujudnya sekumpulan manusia yang mempunyai kuasa yang luar biasa. Kami tahu semua ini telah berlaku akibat kesan letupan bom denyutan elektro-magnetik berserta beberapa faktor yang lain. Faktor-faktor inilah yang cuba dikaji kami.]
"Dan ayah adalah di antara mereka yang telah dijadikan subjek ujikaji?"
[Ya... Dia adalah seorang anggota polis berpangkat leftenan yang telah cedera parah dalam satu kejadian rompakan. Dia hampir-hampir mati ketika dia dibawa ke makmal kami.]
"Eksperimen itu berjaya... Doktor Londoh akhirnya dapat membina sebuah mesin yang dapat meniru kembali kesan letupan bom denyutan elektro-magnetik dalam makmalnya."
[Ya, itu pun setelah banyak kali kami melakukan eksperimen kami.]
"Jadi nyawa ayah dapat diselamatkan... Tapi bagaimana pula dengan kesan sampingannya?"
[Pada waktu itu mereka langsung tidak memikirkan tentang itu semua... Yang penting bagi mereka adalah untuk menyelamatkan nyawa Adam, satu-satunya waris kepada empayar Halcyon Corp.]
"Dan Adam kemudian menjadi Sikapitan..."
[Ya... Dia mahu menggunakan kuasa yang ada pada dirinya untuk menentang kejahatan.]
"Dan kenapa pula ayah menjadi Zohak, mak?"
[Kerana itu pilihannya.]
"Tapi mak... Dia yang telah menyebabkan tragedi 6/6!"
[Itu yang mahu mereka kau fikirkan.]
"Jadi apa yang sebenarnya telah berlaku, mak?"
[Bapa kamu dan Adam mempunyai dua pendapat yang berbeza. Mereka tidak sehaluan. Adam percaya dengan penggunaan bom antimatter terhadap Kota Nalla, pertumpahan darah yang lebih besar dapat dielakkan dari berlaku di kota-kota lain. Pada waktu itu beberapa buah kota sudah mula bergabung dan bersekutu. Dia mahu mengelakkan perang dunia sekali lagi tercetus di muka bumi ini.]
"Dan ayah pula? Apa pendapatnya tentang ini semua?"
[Dia percaya ada cara lain selain dari kekerasan. Dia percaya pemerintah kota-kota ini boleh menyelesaikan masalah mereka melalui rundingan diplomatik.]
"Apa sebenarnya telah berlaku antara dirinya dan Sikapitan?"
[Ayahmu cuba membawa keluar bom antimatter yang telah dibuat di dalam makmal Halcyon Corp. tetapi tindakannya cuba dihalang oleh Sikapitan. Kemudian, belum sempat ayah kamu dapat melakukan apa-apa, sistem auto-pembinasaan telah dihidupkan secara tiba-tiba. Jika bukan kerana ayah kamu, letupan itu pasti akan membinasakan seluruh bahagian kota ini dan membunuh kesemua penduduk-penduduknya.]
"Dia telah menggunakan kuasanya untuk menyerap kuasa letupan?"
[Ya, sejauh mana yang termampu olehnya.]
"Oh..." akhirnya Fidzan mengerti apa yang sebenarnya telah berlaku. Selama ini Zohak telah disalahkan kerana telah menyebabkan berlakunya peristiwa 6/6 sehinggakan namanya takut untuk disebut.
[Lydia masih berdendam dengan ayah kamu kerana telah menyebabkan kematian suaminya.]
"Jadi kenapa kita di sini, mak? Kenapa mak bekerja dengannya?"
[Ayah mu pada satu ketika dahulu adalah anak buah Puan Nora... Dia tidak akan melupakan jasa-jasa ayah mu kepadanya dahulu.]
"Jasa-jasa ayah?"
[Kau tidak dapat bayangkan keadaan Kota Sendayu sebelum bapa mu muncul sebagai Zohak. Kota Sendayu pada waktu itu tidak seperti sekarang. Kota ini dipenuhi dengan korupsi dan kejahatan.]
"Tapi sekarang-"
[Ya, sekarang semuanya telah berubah sejak peristiwa 6/6 dan sejak munculnya Ziggurat Merah.]
Fidzan merapatkan dirinya kepada ibunya. Dia duduk di sebelah ibunya. Keadaan dirinya menjadi semakin keliru setelah mendengar penjelasan ibunya walaupun ada beberapa perkara kini yang membuatnya lebih memahami kepada apa yang telah berlaku dahulu.
[Apa yang telah berlaku di dalam makmal Halcyon Corp. bukan satu kemalangan. Ia telah dirancang. Semua ini telah dirancang agar mereka dapat menyalahkan bapa kamu lalu memulakan satu Order Baru di Kota Sendayu]
Mungkin benar kata-kata ibunya, fikir Fidzan. Kejadian yang telah berlaku di Kota Sendayu pada 6/6 telah menyebabkan kota-kota yang telah bertelagah memberhentikan persengketaan mereka. Mereka tidak mahu apa yang telah berlaku di Kota Sendayu pada waktu itu berlaku kepada kota mereka. Pemerintah Kota Sendayu pula mengambil peluang ini untuk merombak cara mereka memerintah kota ini di dalam satu bentuk pemerintahan yang dikenali mereka sebagai Order Baru. Kesemua warga Sendayu perlu diidentifikasikan dengan tag mikro frekuensi radio. Media dikawal ketat. Ziggurat Merah pula dibina kononnya untuk memproses segala informasi yang keluar masuk ke dalam kota ini.
Dalam masa tidak sampai setahun mereka berjaya mengubahkan segala-galanya untuk menepati Order Baru ini. Mereka telah berjaya menurunkan kadar jenayah dan membanteras hampir apa sahaja yang didapati tidak akur kepada acuan mereka.
"Saya tahu bahawa Ziggurat Merah itu digunakan untuk mengubah kandungan pemikiran warga Kota Sendayu... Hanya mereka yang mempunyai mutasi sahaja yang tidak akan terjejas. Saya tahu mak juga tahu tentang hal ini."
[Ada di antara mereka yang bekerja di makmal doktor Londoh yang terdedah kepada denyutan elektro-magnetik sehingga memberi kesan sampingan kepada diri mereka, termasuk mak.]
"Sebab itulah saya dah Faris jadi begini?" Fidzan menutup lampu biliknya lalu membuka cermin mata hitamnya untuk mendedahkan kepada ibunya matanya itu. Anak matanya perlahan-lahan berubah merah apabila Fidzan menyesuaikan pandangannya agar dia dapat melihat dengan lebih jelas lagi di dalam keadaan di dalam keadaan biliknya yang gelap itu.
[Ya.]
"Selama ini kita semua telah diasuh supaya takutkan kepada Zohak... Saya tidak pernah menyangka bahawa Zohak itu adalah ayah, mak!"
[Ayah kamu telah melakukan pengorbanan ini untuk kita semua... Agar kita semua dapat terus hidup.]
"Jadi siapa musuh kita yang sebenarnya, mak?" tanya Fidzan yang mula memikirkan kembali tentang nasib yang telah menimpa diri bapanya.
Diana hanya menggelengkan kepalanya tanda tidak tahu. Wajahnya muram. Dia meminta diri untuk keluar dari bilik anaknya yang gelap-gelita itu. Dia mula sedar bahawa apa yang berlaku kelak kepada fidzan adalah di luar kawalannya.
Fidzan memandang sayu ke arah ibunya yang sedang melangkah keluar dari biliknya. Dia merasa serba salah kerana telah meluahkan perasaannya itu kepada ibunya, walaupun sebelum ini dia begitu beria-ia memberitahu dirinya bahawa dia mahu merahsiakan hal ini darinya.
Fidzan berjalan masuk ke bilik airnya. Dia memandang ke arah cermin di hadapannya. Buat seketika dia dapat melihat wajahnya berubah menggerutu. Apabila dia memandang ke arah tangannya pula dia dapat melihat beberapa duri tajam keluar menembusi kulitnya dari dalam. Fidzan hampir-hampir mahu panik.
Fidzan menutup matanya rapat-rapat. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Apabila dia membuka matanya, apa yang dapat dilihatnya tadi tidak berlaku lagi. Keadaan dirinya normal.
"Walaupun Adam sudah tiada lagi, Sikapitan tidak pernah mati... Begitu juga Zohak." Bisik Fidzan kepada dirinya sewaktu dia sedang berdiri di hadapan cermin. Kata-kata itu dibiarkan terkubur terus di dalam hatinya.
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 43: Biarkan Ilusi menentukan realiti
Gestalt
Gestalt membawa maksud sesuatu yang penuh, menyeluruh dan lengkap. Pada pendapat ahli psikologi Gestalt, satu persepsi jika diperhatikan dengan menyeluruh, akan menjadi lebih bermakna daripada campuran komponen-komponen yang berasingan.
Ahli psikologi Gestalt berpendapat bahawa fikiran manusia sentiasa aktif dan sentiasa mencari erti dan maksud kepada apa yang diprosesnya. Sebagai contoh, jika kita ke satu tempat yang asing, dengan sekali pandang kita akan membuat kesilapan untuk menganggap orang yang tidak mengenali diri kita sebagai rakan yang pernah kita kenali. Fenomena pelanduk dua serupa ini sebenarnya berlaku apabila persepsi pancaindera kita disusun dengan penuh bermakna di dalam bentuk pengetahuan yang telah ada di otak kita sejak awal (a priori). Dalam kata lain, kita membuat kesilapan apabila kita memandang wajah orang yang tidak kita kenali itu secara keseluruhan dan bukan secara terperinci (kedua-dua orang yang mempunyai wajah yang serupa ini mungkin mempunyai bentuk mata dan hidung yang sama, tetapi bentuk mulut yang berbeza, tetapi kita tidak mungkin akan menyedari perkara ini tanpa penelitian).
Ahli psikologi Gestalt juga menyatakan bagaimana persepsi kita bukan sahaja bergantung pada kesan yang diperoleh dari pancaindera, tetapi juga konteks kepada tanggapan yang sudah sedia ada di dalam diri kita. Sebagai contoh, jika kita menemui seseorang yang memakai topeng untuk menyerupai Zohak di sebuah parti Halloween, kita tidak mungkin akan merasa gementar. Walau bagaimanapun, kita pasti akan merasa cemas jika kita menemui kelibat yang menyerupai Zohak di sebuah lorong yang gelap lagi sunyi.
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 44: Jangan biarkan pemerintah menentukan kandungan memori anda
Fahmy berdiri di dalam bilik kosong yang terletak jauh di bawah tanah. Dia tidak tahu berapa lama dia perlu menunggu di dalam bilik itu. Perasaan kacau. Dia mengeluh berlaki-kali.
Tiba-tiba pintu di hadapannya terbuka luas. Dia dapat melihat Muzaffar memanggilnya supaya keluar dari bilik tersebut.
"Kenapa kau mahu berjumpa dengan aku?" tanya Muzaffar buat-buat bertanya walaupun dia tahu tujuan utama Fahmy bertemu dengannya pada malam itu.
Fahmy tidak menjawab soalan Muzaffar itu dengan serta-merta. Dia menoleh ke sebelah kanannya. Dia dapat melihat makmal rahsia kumpulan Al Qadim yang telah dibina di dalam sebuah ruang yang luas itu. Seorang wanita bertudung hitam memandang ke arahnya. Pandangan wanita itu tajam sehingga menusuk ke jiwanya. Fahmy terus memandang ke hadapan. Wanita itu mengingatkan dirinya kepada ibunya yang telah terkorban di dalam peristiwa 6/6 dahulu.
"Apa yang telah berlaku kepada Fidzan?" tanya Fahmy akhirnya setelah lama dia mendiamkan dirinya.
"Apa maksud kau?" tanya Muzaffar kembali. Dia membawa Fahmy masuk ke dalam sebuah lif berkaca lalu mereka berdua naik ke tingkat atas.
"Ketika aku menemuinya semalam dia nampak murung. Dia meracau-racau seorang diri apabila dia tidur di rumah ku." Kata Fahmy di dalam lif di dalam nada yang risau. Apabila lif terbuka, Muzaffar terus membawanya masuk ke biliknya.
"Biar dia hadapi semua ini sendiri sehingga dia faham akan bebanan yang terpaksa ditanggungnya."
Wajah Fahmy kelihatan terganggu. Dia meraba-raba lehernya. Tekaknya terasa kering dan pedih.
"Aku tidak sampai hati melihatnya begini."
"Biar dia hadapi semua ini sendiri, Fahmy!" getus Muzaffar dengan suara yang tegas.
Fahmy menggigit buku jarinya. Cukup sukar untuk dia menerima usul dari Muzaffar ini.
Muzaffar sedar bahawa Fahmy sedang berada dalam keadaan yang terganggu. Dia perlu mengingatkan Fahmy bahawa Fidzan bukan seorang manusia biasa. Apa yang sedang dihadapi Fidzan tidak mungkin dapat diselesaikannya walau bagaimana dia mencubanya. Lalu Muzaffarpun berkata:
"Kau tentu masih ingat lagi apa yang mampu dilakukannya ketika kau dan dia menceroboh masuk ke dalam makmal bioteknologi Halcyon Corp. dahulu..."
Fahmy menganggukkan kepalanya. Dia tidak mungkin akan dapat melupakan ini semua. Masakan tidak, dia telah bersetuju untuk mencuri masuk ke dalam makmal Halcyon Corp. semata-mata kerana dia kagum melihat kebolehan luar biasa yang ada pada diri Fidzan. Pada waktu itu dia yakin dengan kuasa yang ada pada diri Fidzan, mereka berdua dapat melakukan tugas mereka dengan senang tanpa sebarang masalah. Alangkah silapnya andaiannya itu.
Di dalam usia sebegitu muda, Fidzan mula menampakkan bibit-bibit kuasa yang ada pada dirinya. Fidzan dapat mengawal tenaga berbentuk gelombang seperti cahaya, bunyi malah elektrik. Dia dapat menghalang kuasa elektrik dari memberikan tenaga kepada sebuah kompleks bangunan yang besar hanya dengan memikirkan tentangnya. Dengan hanya dengan menumpukan perhatiannya, dia dapat mengubah keadaan di sekelilingnya supaya menjadi gelap dan sunyi - satu kuasa yang mampu menakutkan sesiapa sahaja yang mengalaminya sendiri.
Kuasa luar biasa Fidzan akhirnya dapat dikawal dengan pil psikotropik berwarna biru yang terpaksa diambilnya hampir setiap hari.
Kuasa Fidzan perlu dikawal agar dia tidak akan membahayakan sesiapa di sekelilingnya, itulah alasan yang telah diberikan oleh Komisyener Nora (yang kini telah pun berjaya memenangi pilihan raya umum di dalam pemilihan Datuk Bandar Kota Sendayu yang baru) satu ketika dahulu.
"Aku hairan mengapa kau tidak pernah tanya kepada diri kau dari mana dia dapat kuasanya itu..." ujar Muzaffar dengan nada sinis.
"Aku mahu tahu... Cuma persoalan ini tidak pernah timbul setiap kali aku bersamanya. Aku tidak berani bertanyakan soalan ini kepadanya!"
"Kenapa? Kau takut dengannya?"
"Ya." Jawab Fahmy teragak-agak.
"Kau, antara manusia paling berani yang pernah aku temui takut dengannya?" Muzaffar menggelengkan kepadanya sambil tersengih sendiri.
"Pernah sekali dia mengamuk apabila aku bertanyakan kepadanya tentang hal ini... Dia terlalu banyak berahsia."
"Bercakap tentang rahsia... Kau tahu apa yang perlu kau lakukan ketika kau mencuri masuk ke dalam makmal itu?"
"Ya, aku perlu membantu Fidzan untuk mencuri ubat untuk adiknya."
"Adik dia tidak sakit, Fahmy..."
"Jadi jika dia tidak sakit, mengapa dia perlu mencuri ubat di dalam makmal itu?"
"Kerana ibunya mahu adiknya itu membesar sebagai manusia biasa." Muzaffar menyilangkan kakinya. Dia merehatkan kedua-dua belah tangannya di tepi kerusinya. "Pada waktu itu doktor Londoh sedang mengusahakan sejenis ubat untuk anak perempuannya... Hana, sudah tentu kau kenal dengan Hana."
"Ya, kenapa dengan Hana?"
"Hana telah cedera parah dalam Peristiwa Hirabah... Bapanya telah meniru kembali proses gelombang denyutan elektro-magnetik di dalam keadaan terkawal di dalam makmal untuk cuba menyelamatkannya-"
"Tapi kenapa?"
"Ketika kami meletupkan bom ini di seluruh dunia, kami tidak pernah terfikir tentang kesan-kesan sampingannya kepada manusia-"
"Maksud kau?"
"Pada mulanya kami berfikir bom ini hanya akan memusnahkan perkakasan elektronik di seluruh dunia sahaja dan ia tidak akan memberi sebarang kesan kepada manusia... Tetapi kami silap. Di dalam beberapa situasi tertentu, manusia-manusia yang terdedah kepada bom ini secara langsung akan mengalami mutasi DNA."
"Jadi Fidzan adalah sebahagian dari manusia yang mana DNAnya telah berubah?"
"Ya." Angguk Muzaffar. Dia menggunakan lidahnya untuk menjilat bibirnya yang kering itu. "Doktor Londoh cuba mengulangi proses ini untuk memastikan Hana yang tubuhnya hampir 90 peratus terbakar itu dapat diselamatkan. Dan sememangnya Hana dapat diselamatkannya. Tubuhnya kembali sihat dengan pantas. Tetapi dengan pantas juga doktor London mula sedar tentang keganjilan yang mula ditunjukkan Hana. Anak perempuannya itu mula menunjukkan bahawa dia mempunyai kuasa luar biasa..."
"Kuasa apa?"
"Di dalam keadaan marah, apa sahaja yang disentuhnya akan mati."
"Oh..." Fahmy mematahkan jari jemarinya.
"Jadi doktor Londoh terus berusaha untuk mencari jalan untuk memastikan agar anaknya itu dapat hidup normal... Dia hampir-hampir berjaya di dalam pencariannya sehinggalah kau dan Fidzan masuk ke dalam makmalnya... Kuasa yang telah digunakan Fidzan telah memadam beberapa formula penting di dalam pembikinan ubatnya yang telah disimpan di dalam komputer di dalam makmalnya itu."
"Jadi apa yang diambilnya sekarang?"
"Komposisi ubat dari formula yang cuba dihasilkan semula oleh doktor Londoh." Muzaffar mengeluh, seolah dia sedang mengesali sesuatu ."Apa yang pasti, ubat psikotropik yang disintesiskannya semula tidak lah sebaik ubat yang dibuat terlebih dahulu dibuatnya - yang ternyata dapat menstabilkan kembali DNA manusia-manusia yang mempunyai kuasa-kuasa luar biasa ini."
"Bagaimana dia tahu ubat yang disintesiskannya dahulu lebih baik dari apa yang ada sekarang?"
"Dia telah melakukan eksperimen kepada bapa Fidzan... Dan ternyata ubatnya itu berjaya merubahnya menjadi normal. Halcyon Corp. mahu menggunakan ubat ini nanti untuk mengubah struktur DNA mereka yang didapati mempunyai mutasi agar kembali normal seperti bapa Fidzan."
"Kenapa?"
"Mereka tidak mahu melihat sebarang anomali... Anomali seperti Fidzan dan bapanya adalah satu ancaman kepada mereka. Fikiran mereka tidak dapat dikawal seperti manusia lain yang fikiran mereka dapat dikawal selama ini."
Fahmy menyuakan rambutnya ke belakang. Dia kenal benar dengan latar belakang bapa Fidzan. Segala-galanya tentang bapa Fidzan diketahuinya dari awal sehingga ke akhir - dari Muzaffar tatkala kali pertama mereka bertemu.
Fahmy tahu bahawa bapa Alias bukanlah seorang manusia yang normal. Tidak ada tentang dirinya yang normal.
"Kau perlu beritahu kepada aku apa yang telah ditemuinya apabila dia turun ke tingkat paling bawah Hospital Mentak Sendayu tempohari." Tanya Fahmy kali ini dengan suara yang lebih serius. "Aku perlu tahu apa yang telah dilihatnya sehingga mengganggu fikirannya."
"Masyarakat Kota Sendayu dicengkam oleh fikiran psikosis. Seperti seorang mendapat gangguan paranoid psikotik, mereka akan membahagikan dunia ini kepada dua bahagian yang berasingan - apa yang anggap sebagai suci atau baik dan apa yang mereka kelompokkan sebagai buruk, jahat dan akan sentiasa akan melakukan sesuatu untuk memusnahkan mereka...
"Apa yang telah dilihat pada hari itu adalah sesuatu yang dianggapnya sebagai satu kuasa jahat yang mampu memusnahkan apa sahaja yang dianggapnya baik lagi suci."
"Apa yang telah ditemuinya?"
"Dia telah menemui Zohak..." jawab Muzaffar berterus terang tanpa matanya sedikit pun berkelip apabila dia memberitahu hal ini kepada Fahmy. "Dia telah menemui bapanya di situ!"
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 41: Aktifkan pemikiran tidak sedar anda!
Lokus Kawalan
Ahli psikologi bernama Julian Rotter menyatakan bahawa secara amnya terdapat ada dua jenis manusia. Perbezaan ini berlaku mengikut cara individu itu dibesarkan. Lokus kawalan adalah persepsi individu kepada sebab-penyebab kepada peristiwa yang dilalui mereka sepanjang hidup. Ada individu yang berfikir bahawa mereka mempunyai daya untuk mengawal untung nasib kehidupan mereka dan ada pula yang berfikir bahawa kehidupan mereka dikawal oleh orang lain dan bergantung pada nasib.
Kelakuan kita dan reaksi kita kepada sesuatu hal bergantung pada lokus kawalan luaran dan lokus kawalan dalaman:
Lokus Kawalan Dalaman
Mereka yang mempunyai lokus kawalan dalaman berpendapat bahawa mereka bertanggungjawab kepada kehidupan mereka sendiri dan akan melakukan apa yang mereka rasa sesuai untuk diri mereka sendiri. Mereka mempunyai tahap kesihatan fizikal dan mental yang lebih sihat dan mempunyai kemahiran sosial yang lebih baik. Mereka mempunyai ibu bapa yang sering memberikan pujian, memberi sokongan kepada segala apa yang mereka lakukan dan tidak bersikap autoritatif.
Lokus Kawalan Luaran
Mereka yang mempunyai lokus kawalan luaran pula adalah mereka yang bergantung kepada sumber luaran, seperti nasib dan kemahuan dan harapan ibu bapa yang autoritatif.
Mereka yang mempunyai lokus kawalan dalaman yang keterlaluan, terutamanya mereka yang tidak mempunyai keyakinan diri dan kurang cekap di dalam pekerjaan yang mereka lakukan - akan menunjukkan ciri-ciri neurotik, bimbang dan murung. Manakala ada juga mereka yang mempunyai lokus kawalan luaran yang hidup dengan bahagia. Walau bagaimanapun, kajian psikologi jelas menunjukkan bahawa secara amnya, mereka yang mempunyai lokus kawalan dalaman mempunyai kehidupan yang lebih baik, sebagai contoh, mereka mendapat gaji yang lebih tinggi.
Suzanne Kobasa, dalam kajiannya terhadap ahli-ahli perniagaan yang jarang jatuh sakit walaupun mengalami tekanan hidup yang berat, menyatakan bahawa ahli-ahli perniagaan ini mempunyai lokus kawalan dalaman yang kuat. Kobasa mendapati bahawa ahli-ahli perniagaan ini merasakan bahawa mereka mampu mempengaruhi baik dan buruk kehidupan mereka - dari menunjukkan rasa kurang upaya.
Menurut Kobasa, insan yang 'lasak' dapat menentang gejala tekanan perasaan dengan lebih baik lagi kerana mereka 'memilih' untuk berhadapan dengan masalah yang mereka hadapi. Sebagai contoh, jika mak menghadapi masalah dengan abang, dia akan berhadapan dengan abang lalu cuba menyelesaikan masalah mereka dengan matang. Mak akan mengambil peluang ini untuk cuba memahami perasaan abang yang selalu kacau dari cuba menjauhkan dirinya dari abang yang panas baran itu.
Entah mengapa, abang tidak pernah mengikut cara mak, malah aku mendapati abang adalah seorang yang mempunyai lokus kawalan luaran yang kuat. Sejak kecil lagi dia sering melakukan sesuatu dengan harapan dia dapat menarik perhatian mak. Walaupun dari luar abang nampak tegar dan yakin, dia adalah seorang yang tidak mempunyai keyakinan diri. Dia pernah berpendapat bahawa walau apa sahaja yang dilakukannya, dia tidak mungkin dapat mengubah keadaan di sekelilingnya.
Tapi akhirnya abang berubah. Dia akhirnya berubah setelah dia menemui apa yang dicarinya selama ini di bahagian bawah tanah Hospital Mental Sendayu...
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 42: Kismet itu indah
Cinta dapat melihat Hana sedang berdiri di hadapan poster nukilan kata-kata dari Ayn Rand yang menghias dinding ruang tamu asramanya. Beberapa saat kemudian, poster yang diperbuat daripada kertas digital itu berubah wajah. Hana telah memindahkan poster yang telah dibelinya semalam, yang telah disimpannya di dalam telefon bimbitnya di dalam bentuk digital ke poster di hadapannya.
"Kau dah bertukar selera ke, Hana?" tanya Cinta sambil berpeluk tubuh. Sejak akhir-akhir ini dia dapat melihat perubahan drastik di dalam diri Hana. Kini Hana mula memakai pakaian serba hitam. Rambutnya yang berwarna hitam itu dihitamkannya lagi, lantas membuatkan wajahnya yang putih itu nampak semakin pucat.
"Poster ini bertajuk 'Anima Mia' oleh pelukis H.R. Giger. Poster yang telah dilukis lebih seratus tahun Sebelum Era Keamanan."
"Oh... Aku tak biasa dengan karya ini."
"Aku tahu," sambut Hana dengan angkuh, satu perkara yang langsung tidak mencerminkan keperibadiannya yang sebenar.
"Kenapa dengan kau Hana?"
"Kenapa apa pulak ni?" tanya Hana yang masih memandang ke arah poster barunya itu. Wajahnya kelihatan puas.
"Kau dah banyak berubah lah aku tengok!"
"Tak adalah, aku macam biasa aja. Mana aku ada berubah!"
"Sejak akhir-akhir ini kau selalu sahaja balik lewat. Kita dah jarang makan malam bersama."
"Jadi kenapa? Salah ke, Cinta? Salah ke kalau aku pulang lambat sikit ke rumah?"
"Salah tu tak salah, tapi-"
Hana menjeling. Dia tidak mahu lagi mendengar rungutan Cinta tentang dirinya. Dia keluar dari bilik asramannya lalu menggunakan lif untuk tingkat yang teratas. Di sana, dia menaiki tangga untuk berehat di sebuah taman kecil yang telah dibina di atas bangunan asramanya.
Udara petang yang segar dihirupnya dalam-dalam. Anima si burung gagak datang bertenggek di atas di atas sebuah palang berdekatan. Dia mengeluarkan suaranya yang kasar itu seolah-olah dia sedang menyapa Hana.
"Kau seorang sahaja yang memahami perasaan aku, Anima!" Ujar Hana lalu memanggil Anima supaya mendekatinya. Anima menurut perintah Hana. Ia terbang lalu bertenggek di atas bahu Hana.
Hana mengeluarkan beberapa biji kacang yang disimpannya di dalam kocek seluarnya. Dia memberi Anima makan kacangnya itu.
Beberapa ekor burung gagak bertenggek di atas palang. Beberapa ekor burung lagi sedang berterbangan di atas kepala Hana. "Kau panggil kawan kau yang lain, Anima?"
Hana tersenyum seorang diri. Dia mengusap-usap kepala Anima si burung gagak. Dia merasa cukup senang berada bersama Anima dan rakan-rakannya yang lain...
II
Fidzan berjalan di dalam gelap menuju ke arah anak tangga. Dia terus turun ke tingkat bawah lalu berhenti di hadapan pintu berpagar yang dikunci rapat itu. Dia merapatkan tangannya ke arah alat pembaca biometrik di tepi pintu pagar tanpa menyentuhnya. Lampu-lampu kecil yang tadi berkelip-kelip pada alat pembaca biometrik itu kini terpadam. Pintu pagar tiba-tiba terbuka dengan sendirinya.
Fidzan terus bergerak maju ke hadapan. Keadaan di sekelilingnya gelap geleta. Lampu-lampu serta kamera keselamatan di kawasan itu kesemuanya rosak secara tiba-tiba.
Fidzan berhenti di hadapan sebuah pintu besi yang kelihatan seperti sebuah peti besi gergasi. Dia menggigit bibirnya sendiri. Dia cuba memikirkan bagaimana pintu ini dibuka, sedangkan dia tidak dapat melihat apa-apa mekanisme pengunci di bahagian pintu ini.
Fidzan akhirnya mengambil keputusan untuk menggunakan nanorobot yang digunakan ibunya untuk membetulkan robot-robot rosak di Teratak Halcyon. Dia mengeluarkan sebiji kapsul hitam dari dalam kocek seluarnya. Dia membuka kapsul itu di tengah-tengah lalu menaburkan isinya yang kelihatan seperti serbuk itu ke tepi pintu. Serbuk itu dengan pantas membuat satu deretan panjang lalu masuk ke dalam celah-celah pintu besi ini.
Fidzan mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia cuba mendapatkan nanorobot yang telah terlebih dahulu diprogramkannya sendiri untuk mencari jalan agar ia dapat menggodam sistem kekunci pintu ini.
Dalam masa sekejap masa sistem kekunci pintu besi di hadapannya dapat dibuka oleh nanorobotnya dari dalam. Pintu ini kini terbuka dengan luas. Perlahan-lahan Fidzan melangkah masuk ke dalam bilik bawah tanah yang terletak di hospital mental ini.
Pintu tertutup secara automatik apabila Fidzan melepasi pintu tersebut. Fidzan mengeluh sendiri. Dia terus berjalan maju ke hadapan.
Fidzan terkejut apabila dia mendapati dia sedang berada di bahagian paling atas sebuah atrium yang berbentuk silinder. Dia memandang ke bawah. Terdapat entah berapa puluh tingkat ke bawah - dia sendiri kurang pasti. Keadaan di sekelilingnya terlalu gelap untuk dia memastikan ini semua.
Fidzan berjalan ke arah dinding berdekatan, dia terkejut amat sehingga membuatnya melangkah beberapa tapak ke belakang. Dia nyaris-nyaris jatuh ke bawah atrium ini.
Nafas Fidzan turun naik dengan kencang. Dia cuba memberanikan dirinya untuk memastikan apa yang dilihatnya tadi bukan satu halusinasi.
Dia tidak berhalusinasi. Maka tepatlah apa yang dilihatnya tadi adalah kepala manusia yang diletakkan secara vertikal ke dinding. Bahagian tulang belakang tuan punya kepala ini disambungkan dengan beribu-ribu wayar halus terus ke dinding.
Kepala ini masih hidup lagi walaupun ia kelihatan pucat. Ia terus dihidupkan melalui sistem elektronik yang telah diasimilasikan dengan kepala ini.
Fidzan memandang ke arah sekelilingnya, kini barulah dia sedar bahawa dia sedang dikelilingi dengan berpuluh ribu kepala yang diletakkan ke tepi dinding seperti ini!
Bulu romanya berdiri tegak. Dia menelan air liurnya. Dia mula merasakan dia telah melakukan satu kesilapan yang besar kerana telah menemui tempat yang telah dirahsiakan ini. Dia pasti nyawanya akan terancam jika dia didapati berada di sini. Tetapi semuanya telah terlambat. Tidak ada gunanya jika dia berpatah balik sesudah dia telah pun mengetahui tentang kewujudan tempat ini!
Sebuah platform terapung-apung di tepinya. Dia mengambil keputusan untuk berjalan ke arah platform tersebut.
Di atas platform itu terdapat sebuah skrin yang menunjukkan pelan struktur gergasi di bawah tanah ini. Fidzan masih kurang pasti apakah tujuan struktur bawah tanah ini dibina dan siapakah yang telah membinanya.
Suara yang sering mengganggu Fidzan di dalam mimpinya tiba-tiba terngiang-ngiang di dalam kepalanya. Suara ghaib itu memberitahu Fidzan bahawa dia sedang berada di sini.
Fidzan menggerakkan platform yang terapung itu supaya turun ke bawah. Fidzan memandang ke arah sekelilingnya. Dia dapat merasakan seolah-olah beribu-ribu orang manusia sedang memandang setiap pergerakannya, apa tidaknya, dia dapat melihat beberapa pasang mata yang sedang memerhatikan setiap gerak-gerinya.
Dia pasti kepala-kepala ini masih berada di dalam keadaan sedar!
Fidzan turun ke tingkat paling bawah - lima puluh tingkat ke bawah tanah. Di situ dia dapat mendengar bunyi rintihan seorang lelaki yang sedang ketakutan. Fidzan berjalan keluar dari platform terapung itu lalu masuk ke dalam sebuah gerbang yang mengarah kepada suara itu.
Gerbang itu mengarah kepada sebuah bahagian yang menempatnya beberapa buah bilik dengan pintu-pintu yang tertutup dengan rapat. Fidzan dapat merasakan bahawa di sinilah tempatnya orang-orang yang telah dipenggal kepalanya ditahan terlebih dahulu sebelum diri mereka 'diproses'.
Fidzan memasuki sebuah bilik. Dia mendapati bilik tersebut adalah bilik persalinan kepada pekerja-pekerja di bekerja di dalam kompleks ini. Fidzan terus memakai pakaian pekerja yang tergantung di situ. Pakaian sesuai untuknya - sehelai pakaian serba biru yang menutupi hampir seluruh bahagian tubuhnya.
Fidzan keluar dari bilik tersebut. Dia terus berjalan. Tiba-tiba lampu kecemasan dihidupkan. Fidzan mengeluh. Belum sempat dia dapat melakukan apa-apa dua orang pekerja sedang berjalan ke arahnya.
Mereka langsung tidak mengendahkannya. Fidzan melepaskan nafas lega. Dia masuk ke dalam bilik di mana dia dapat mendengar suara jeritan lelaki yang telah menjerit meminta tolong sejak tadi.
Fidzan mendapati dia sedang berada di dalam sebuah bilik pembedahan. Dia dapat melihat beberapa orang pembantu perubatan dan seorang doktor sedang mengerumuni seorang lelaki yang telah diikat tubuhnya ke meja pembedahan. Mulutnya kini diikat agar dia tidak boleh menjerit lagi.
"Kau datang ke sini untuk membetulkan masalah tenaga yang kita hadapi?" tanya doktor yang sedang bertugas. Fidzan memandang ke arah pakaian yang dipakainya. Terdapat tulisan pada koceknya yang memberitahu bahawa dia sedang memakai pakaian uniform seorang pekerja penyelaras bangunan.
"Ya," jawab Fidzan perlahan.
"Sampai bila aku perlu menunggu sehingga masalah ini diperbaiki?"
Fidzan tidak menjawab. Dia hanya menarik nafasnya lalu tenaga elektrik kembali pulih di dalam bilik pembedahan itu. Fidzan melangkah beberapa tapak ke belakang ke arah sebuah sudut yang terlindung. Dia memastikan agar tidak ada sesiapapun di dalam bilik pembedahan itu menyedari akan kehadirannya di situ.
Doktor dan pembantu perubatannya kini nampaknya begitu tekun melakukan tugasnya. Dia sememangnya ingin melakukan tugasnya secepat mungkin.
Salah seorang pembantu perubatan ini membawa sebuah bikar kecil lalu dipersembahkan kepada si doktor. Doktor ini pula mengambil sebatang penyepit panjang lalu dengan penuh berhati-hati cuba mengambil sesuatu yang bergerak-gerak di dalam bikar tersebut.
Apa yang diambilnya itu cuba melawan. Wajah doktor nampak cemas. Dia terpaksa bergelut dengan apa yang cuba dikutipnya sebelum dia dapat mengeluarkannya dari dalam bikar.
Fidzan dapat melihat bahawa si doktor sedang mengeluarkan seekor ulat yang kecil yang sedang bergerak-gerak dari dalam bikar lalu didekatkan kepada lelaki yang sedang terbaring di atas meja pembedahan. Si doktor sempat meminta pembantunya untuk memegang kepala lelaki itu agar ia tidak meronta-ronta lagi. Si doktor memasukkan ulat tersebut ke dalam telinga lelaki itu. Dengan pantas si ulat masuk ke dalam telinga, lalu lelaki itu terbeliak dan cuba menjerit dalam keadaan mulutnya ditutup rapat itu.
Dia sedang menjerit kesakitan. Ulat itu terus masuk ke dalam lubang telinganya lalu mengorek sehingga ke dalam otaknya.
Darah merah keluar meleleh dari lubang telinganya. Si doktor meminta pembantunya supaya membersihkan darah yang mengalir itu.
Fidzan memberitahunya dia perlu beredar dari situ dengan pantas. Sudah cukup rasanya apa yang dapat dilihatnya pada waktu itu. Dia terus keluar dari bilik pembedahan itu lalu berjalan kembali ke platform terapung yang membawanya ke tingkat ini.
Fidzan menekan butang untuk ke tingkat paling atas. Dia tertekan butang tingkat 42. Platform bergerak laju ke atas lalu berhenti di tingkat 42. Di tingkat itu dia dapat mendengar suara yang mengganggunya semakin kuat memanggil namanya.
Fidzan ingin mengarahkan platform supaya membawanya ke tingkat teratas, tetapi dia akhirnya mengambil keputusan untuk keluar dari platform lalu meneroka tingkat ini.
Beberapa pasang mata terbuka lalu memandang ke arahnya. Dari anak mata mereka Fidzan dapat merasakan seolah-olah mereka sedang meminta tolong. Mereka memintanya supaya mengakhiri hayat mereka yang selama ini terseksa di sini.
"Kau akhirnya datang!" ujar suara di dalam kepalanya. Dia terus berjalan ke hadapan. Di situ dia dapat melihat sekujur kepala yang telah disambungkan ke dinding seperti lainnya, tetapi kepala ini lain dari yang lain, kerana dia mengenali tuan punya kepala ini!
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 39: sinopsiskan kebenaran
Kitaran Persepsi
Selalunya kita hanya akan melihat apa yang mahu kita lihat. Ada kalanya kita akan terkejut melihat apa yang berada di hadapan kita, maka apa yang kita harapkan tidak akan menentukan persepsi kita.
Sering kali kita hanya akan dapat melihat apa yang kita fahami. Kita memulakan pemahaman kita dengan mengenal pasti skema yang kita lihat. Ahli psikologi Ulric Neisser menyatakan bahawa skema-skema akan membantu kita menjangka apa yang akan kita tempoh (Neisser memberi istilah 'pendugaan skema' kepada skema-skema yang kita lihat).
Skema akan menentukan apa yang dapat dilihat dan seterusnya faham. Neisser menyusun satu kesinambungan di antara tingkah laku, persepsi, dan kognisi melalui apa yang dikenali sebagai 'kitaran persepsi'.
Skema-skema kita akan membantu kita dalam pemerhatian kita ke dalam situasi yang ingin kita terokai. Skema ini penting, kerana apabila kita memerhatikan sesuatu, kita tidak akan menyerap segala informasi yang kita lihat. Sebagai contoh, sekiranya kira terserempak dengan Muqarribun, kita tidak akan sedar akan topeng yang dipakainya, pakaian serba hitamnya dan pedang yang tersisip kemas di pinggangnya. Jika semua ini disedari dengan sekali pandang, kita akan mengalami apa yang dipanggil pembebanan informasi. Sebab itulah kita hanya akan mengumpul informasi yang relevan sahaja untuk diproses, yang lain tidak akan diendahkan kita. Pemerhatian kita kepada dunia di sekeliling kita bergantung dan dibentuk oleh pendugaan skema kita sendiri. Maka, apabila kita bertembung dengan Muqarribun, kita hanya akan dapat melihat satu lembaga yang menggerunkan kita (yang sememangnya sudah kita ketahui sejak awal lagi).
Setelah informasi dikumpulkan, ia akan diproses oleh sistem pendugaan skema dan perubahan persepsi akan berlaku di sini. Sikapitan sebagai contoh, melalui penerokaan persepsinya, akhirnya terpaksa mengubah pendugaan skemanya mengenai Muqarribun. Sikapitan akhirnya dapat melihat sendiri bahawa Muqarribun bukanlah sejahat yang difikirkan selama ini - dia dapat menyaksikan bagaimana Muqarribun cuba membantunya untuk menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak yang terperangkap di dalam sebuah bas yang terlanggar sebuah lori tangki cecair nitrogen di tengah-tengah kota Sendayu. Di dalam kejadian ini, sebuah lagi bekas antimatter telah berjaya dicuri oleh satu kuasa misteri apabila Sikapitan dan Muqarribun sedang sibuk menyelamatkan nyawa kanak-kanak ini. Bekas antimatter ini telah dicuri dari sebuah van khas kepunyaan Halcyon Corp. yang sepatutnya diawasi oleh Sikapitan...
Di dalam model yang dipersembahkan Neisser, persepsi adalah satu kitaran yang aktif dan bukan sesuatu yang statik. Persepsi adalah sesuatu akan sentiasa berubah. Apa yang kita fikir atau jangka akan memberi kesan kepada apa yang kita lihat, tetapi apa yang sebenarnya berlaku akan memberi kesan kepada apa yang kita jangkakan. Niat kita akan sentiasa berubah dan disesuaikan apabila kita mula mengumpulkan informasi baru, justeru kita akan menyemak semula skema kita tentang sesuatu.
Sikapitan akhirnya mengubah skemanya tentang Muqarribun. Perlahan-lahan Sikapitan dapat menerima hakikat bahawa Muqarribun bukan musuhnya (walaupun di dalam masa yang sama, dia tidak menganggap Muqarribun sebagai sahabatnya).
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 40: Beli masa yang terluang
Fidzan termenung jauh di bawah pohon elm yang tumbuh merendang di hadapan HMS. Dia berdiri di situ buat beberapa lama sambil memikirkan kembali kata-kata yang telah diluahkan oleh Fahmy kepadanya. Rahsia yang dicarinya selama ini ada di bahagian paling bawah hospital mental di hadapannya.
Fidzan tertanya-tanya, adakah dia harus menyiasat tentang perkara ini atau melupakannya sahaja?
Fahmy adalah satu-satunya manusia yang paling dipercayainya selain dari ibunya. Apa-apa sahaja kata-kata nasihat yang diberikan Fahmy yang hanya tiga tahun lebih tua darinya akan didengarinya. Apa sahaja permintaan Fahmy akan diturutinya.
Sebenarnya Fahmy dan Fidzan sudah lama bersahabat. Mereka pernah duduk di bangunan apartmen yang sama di Accra. Sejak kecil lagi Fahmy telah menganggap Fidzan sebagai adiknya sendiri. Ke mana-mana sahaja mereka pergi, pasti mereka akan bersama. Di dalam kawasan perumahan mereka yang dihuni oleh budak-budak nakal dan samseng-samseng remaja, Fahmylah yang menjadi pelindungnya.
Fahmy terus setia dengan Fidzan dan akan membantunya sejauh mana yang dia mampu. Ketika Fidzan mahu menceroboh masuk ke makmal utama Halcyon Corp untuk mencuri ubat untuk Faris, dia lah yang telah membantunya dengan kepakaran yang dia ada. Bapa Fahmy satu ketika dahulu adalah seorang perompak barang-barang kemas yang handal. Segala ilmu yang dia ada telah diturunkan kepada Fahmy. Ketika Fahmy berusia 14 tahun, bapanya itu telah mencuri sebuah artifak di Museum Metropolitan Sendayu. Bapanya menjadi buruan pihak berkuasa Sendayu apabila Fahmy telah melakukan satu kecuaian kecil pada ketika. Bapanya terus menghilang entah ke mana sehingga kini. Perkara ini telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Fahmy. Pada mulanya dia mula menyalahkan dirinya kerana telah menyebabkan bapanya identiti bapanya dapat dikesan oleh keselamatan yang gagal dimatikannya. Kemudian, rasa bersalah ini berganti pula dengan rasa benci kepada bapanya kerana telah melakukan perkara ini, malah menyara hidupnya sebagai seorang pencuri. Akhirnya perasaan benci ini bertukar kepada kudrat yang terbit di dalam jiwanya untuk cuba membanteras kegiatan-kegiatan jenayah seperti mana yang pernah dilakukan oleh bapanya...
Wajah Fahmy terus melekat di dalam kepala Fidzan. Sehingga kini dia terasa terhutang budi dengan Fahmy kerana kesanggupannya untuk melakukan apa sahaja untuknya. Fahmy akan mendengar keluhan perasaannya walaupun kadangkala dia tahu, Fahmy tidak perlu membebankan dirinya dengan masalahnya. Dan kerana itulah dia merasakan dia harus mendengar apa yang cuba diberitahu kepadanya tempohari.
Fidzan menumbuk batang pokok elm di hadapannya dengan kuat untuk melepaskan rasa yang terbuku di dalam hatinya. Perasaannya cukup-cukup terganggu pada waktu itu. Hatinya terasa begitu berat seolah-olah dirinya sedang dibebani dengan satu masalah yang tidak mampu tertanggung olehnya.
Dengan perlahan Fidzan melangkah masuk ke dalam bangunan HMS. Dia memastikan dia ada memakai pas keselamatan yang telah diberikan kepadanya. Dia terus turun ke tingkat bawah. Seperti biasa, Garcia telah pun menunggunya di sana.
"Awal kau hari ini," Garcia memerli sambil tersenyum sumbing.
"Latihan di gym telah dibatalkan oleh pelatih aku tadi."
"Oh, begitu..."
"Garcia, Dr. Yates mahu aku mengulangi tugasan aku untuk mengumpul data pesakit David Burley... Dia tak puas hati kerana aku tak lengkapkan kerja aku tu."
"Kau tak perlu jelaskan dengan lebih lanjut lagi. Aku faham sangat dengan perangai dia tu."
"Terima kasih."
"Nanti aku akan panggil dia kemari. Sementara tu, kau buat dulu kerja yang perlu kau buat. Pesakit pertama dah menunggu di dalam bilik."
Fidzan mengangguk cepat. Nampaknya helahnya menjadi. Dia terus masuk ke dalam bilik kecil yang telah digunakannya sejak dua minggu yang lepas untuk melaksanakan kerja-kerja praktikalnya. Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik itu dia terus duduk sambil melepaskan nafas lega. Dia memandang ke hadapan. Dia mendapati dia terpaksa mengambil maklumat seorang lelaki berbangsa Cina bernama Lim yang sedang tertunduk-tunduk dan menggoyangkan kepalanya dengan air liurnya turun meleleh-leleh...
II
Garcia membawa David masuk ke dalam bilik. Fidzan melepaskan nafasnya dengan perlahan. Dia melihat mata David terus kepadanya. Matanya garang. Fidzan pasti ketika dia bertugas sebagai pegawai polis dahulu pasti dirinya digeruni. Sebelum David dihantar ke sini, dia berpangkat sarjan - hanya setakat inilah sahaja maklumat yang diketahuinya tentang David...
"Garcia, buka ikatan pada jaketnya."
"Kau pasti?"
"Ya."
"Baiklah." Garcia membuka ikatan pada yang ada pada jaket David yang digunakan untuk mengehadkan pergerakannya. "Kau tahu apa yang perlu kau lakukan jika dia buat hal lagi."
"Aku tahu." Matanya jatuh buat sesaat ke bahagian butang kecemasan di mejanya. Dia harap pada hari ini dia tak perlu menekan butang itu.
Garcia keluar dari bilik tersebut. Fidzan duduk diam sambil memandang ke arah David. Dalam mimpi-mimpi ngeri yang dialaminya sejak kali terakhir dia bertemu David, dia dibawa kembali untuk mengingati peristiwa David dan beberapa anggota Carabinieri merusuh masuk ke wad bersalin ibunya.
Pada hari itu, ibunya dan dirinya dijadikan tawanan mereka dengan harapan bapanya akan menyerah diri. Lidah ibunya telah dikerat David di hadapan matanya sendiri untuk membuktikan kepada bapanya bahawa dia akan melakukan perkara-perkara yang lebih dahsyat kepada ibunya, dirinya dan Faris yang baru sahaja dilahirkan pada ketika itu jika bapanya tidak menyerah diri.
Dan bapanya akhirnya menyerah diri kerana dia tidak mahu dirinya, ibunya dan Faris diapa-apakan. Itulah kali terakhir dia melihat bapanya.
Buat seketika dia memikirkan tentang Faris. Dia berasa cemburu kepada adiknya itu kerana selama ini dia tidak tahu tentang ini semua. Selama ini, dia telah diberitahu bahawa bapanya telah mati dalam peristiwa 6/6 itu...
"Apa yang kau mahu dari aku?" tanya David. Suaranya keras. Matanya garang memandang ke arahnya. Mata seorang manusia yang kurang warasnya.
Fidzan menelan air liurnya. Dia membuka kaca mata hitamnya lalu dimasukkan ke dalam kocek bajunya. Dia merentangkan tangannya ke belakang, ke arah sebuah cermin besar yang terdapat di dalam bilik itu.
Garcia pada ketika itu sedang mengunyah sandwichnya. Dia sedang memerhatikan gerak-geri Fidzan di dalam bilik pemerhatian kecil itu seperti biasa. Memang kerjanya itu membosankan tetapi terpaksa dilakukannya juga. Dia tahu apabila dia berada di dalam bilik itu, pesakit-pesakit tidak akan dapat melihat dirinya memerhatikan mereka, apa yang dapat mereka lihat adalah bayangan mereka sendiri di hadapan cermin.
Tiba-tiba dia tidak dapat mendengar lagi suara Fidzan melalui speakernya. Apa yang lebih pelik, Dia tidak dapat lagi melihat apa yang berlaku di bilik sebelah. Cermin di hadapannya berubah menjadi cermin biasa yang memantulkan kelibatnya sendiri. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Bulu roma di bahagian tengkuknya meremang tegak. Dia cuba keluar dari biliknya itu tetapi pintu bilik terkunci dari luar. Dia cepat-cepat mengeluarkan alat komunikasinya. Dia mendapati alat komunikasinya itu tidak berfungsi langsung. Dia mengetuk pintu sambil menjerit-jerit dengan harapan ada petugas yang akan membantunya keluar dari bilik ini, walaupun dia tahu apa sahaja yang dilakukan sia-sia belaka. Bilik ini kalis bunyi.
Fidzan memastikan agar keadaan di dalam bilik menjadi gelap dengan hanya perlu memikirkannya. Lampu kalimantang terus tidak berfungsi. Yang ada kini hanya sebuah sahaja lampu yang malap cahayanya.
"Aku perlu tahu satu perkara sahaja dari kau..." Fidzan bertanya dengan suara yang tenang.
"Apa dia yang perlu kau tahu?" tanya David. Di dalam gelap dia dapat melihat anak mata Fidzan yang bersinar dengan cahaya kemerahan walaupun jelas Fidzan sedang memakai lensa pelekap yang berwarna gelap pada ketika itu.
"Apa yang sebenarnya telah berlaku sehingga menyebabkan bapa aku diburu selepas peristiwa 6/6 dahulu?"
"Jadi kau tak tahu?"
"Tidak... Sebab itulah aku bertanyakan kau."
"Aku rasa kau perlu tahu ceritanya lebih awal."
"Aku tidak mempunyai banyak masa-"
"Jika tidak, kau tidak mungkin akan faham!"
Nafas Fidzan turun naik dengan pantas. Tangannya meraba-raba permukaan meja besi yang dingin itu.
"Baiklah... Ceritakan dari mula."
David merapatkan tubuhnya ke arah meja. Dia diam buat seketika sebelum dia memulakan ceritanya:
"Sebelas tahun yang lalu, dua buah kota di benua Asia bersengketa di antara satu sama lain disebabkan oleh perbezaan ideologi. Kota Yuan bersengketa dengan Kota Nalla kerana pemerintah di Kota Nalla mahu menjadi sebuah kota autonomi yang bebas dari acuan pengehadan teknologi yang harus mereka patuhi. Mereka tidak mahu terus hidup di dalam keadaan di mana teknologi terus dibekukan dan berada di awal abad ke-21. Mereka mahu melanggar perjanjian yang telah mereka sendiri tandatangani selepas berakhirnya Perang Robotik. Kemahuan mereka ini telah menimbulkan syak wasangka di kalangan mereka yang berada di Kota Yuan - kerana mereka berfikir jika Kota Nalla menjadi sebuah kota autonomi, ia akan menggunakan teknologinya nanti untuk menguasai Kota Yuan satu hari nanti.
"Lagipun, bukankah Dasar Kebudayaan Antarabangsa yang telah dimeterai selepas Perang Robotik dilakukan agar kesemua penempatan-penempatan baru manusia sedikit sebanyak sama dari segi pencapaian teknologi, ekonomi dan budaya?"
"Halcyon Corp. telah memilih untuk masuk campur kerana mereka tidak mahu mana-mana kota di dunia ini nanti terkecuali dari pengaruhnya. Jika sebuah kota dibenarkan untuk bebas mentadbirkan pemerintahannya sendiri tanpa pengaruh Halcyon Corp., lalu membentuk budayanya sendiri - lambat laun, lain-lain kota juga akan mahukan kebebasan yang sama. Akhirnya dunia akan kembali dibahagikan kepada daerah-daerah politik yang berbeza-beza seperti dahulu. Manusia akan kembali bersengketa antara satu dengan yang lain kerana manusia pada dasarnya memang gila kuasa. Yang akhirnya akan berlaku adalah peperangan. Perang Robotik meletus kerana ini semua... Manusia berperang dengan membina robot-robot untuk menyerang satu sama lain sehinggalah robot-robot ini akhirnya memberontak lalu mengambil keputusan untuk melenyapkan manusia dari muka bumi!"
"Jadi bagaimana Halcyon Corp. campur tangan di dalam peperangan Kota Yuan dan Kota Nalla?" tanya Fidzan apabila David berhenti bercerita buat seketika.
"Untuk mengelakkan peperangan dari merebak ke daerah yang lain, mereka telah membina sebuah bom antimatter secara rahsia... Kumpulan Naga Hitam-"
"Kumpulan Naga Hitam?" pintas Fidzan dengan pantas. Nama ini mengingatkan dia kepada mimpi-mimpinya yang melibatkan kemunculan naga hitam di hadapannya yang telah mengganggu fikirannya selama ini. Adakah semua ini bersangkut paut, dia bertanya sendiri di dalam hati.
"Mereka juga dikenali dengan nama Kokuryu-kai... Kumpulan ini telah mengambil keputusan untuk campur tangan dalam hal ini. Mereka percaya kedua-dua buah kota yang bertelagah ini mempunyai cara yang lebih diplomatik yang boleh mereka lakukan dari berperang. Mereka berpendapat, pengeboman Kota Nalla yang ingin mendapatkan kuasa autonomi bukan jalan penyelesaian untuk mengajar kota-kota lain yang mahu mengingkari Dasar Kebudayaan Antarabangsa yang telah dimeterai dahulu...
"Jadi siapakah anggota Kokuryu-kai ini?"
"Di antaranya adalah Zohak-"
"Apa?"
"Ya, Zohak!"
"Tapi ini semua hanya desas-desus sahaja bukan? Legenda Kota Sendayu!"
"Tidak... Zohak sememangnya wujud."
"Jadi apa yang dikatakan berlaku sebelum peristiwa 6/6 itu sememangnya berlaku?"
"Ya, segala apa yang kau dengar dahulu sememangnya berlaku."
"Tapi Zohak satu kuasa yang jahat!"
"Banyak perkara yang nampaknya tidak kau ketahui..."
"Jadi kau perlu beritahu kepada aku segala-galanya!"
"Kau terlebih dahulu perlu tahu mengapa Kokuryu-kai diasaskan... Dan aku tidak akan menjawab ini semua. Jawapannya kau boleh dapati di tingkat bawah."
Fidzan termenung buat seketika. Dia dapat merasakan dia tidak mempunyai banyak masa lagi dengan David. Manik-manik peluh mula terbit membasahi dahinya.
"Kenapa kau dimasukkan ke sini?"
"Kerana mereka akhirnya mendapat tahu bahawa aku juga seperti kau apabila mereka cuba melenyapkan segala bukti tentang wujudnya Zohak di dalam kepalaku. Mereka tidak boleh menyentuh kandungan memori ku sehingga kini."
"Aku tahu... Aku tahu selama ini kau hanya buat-buat gila. Tapi kenapa?"
"Kerana kau... Selama ini aku menunggu agar kau datang kepada ku supaya semua ini dapat aku beritahu kepada kau."
Fidzan menarik nafasnya panjang-panjang. Kemudian daun pintu dibuka dari luar. Garcia termengah-mengah masuk ke dalam bilik.
"Kenapa, Garcia?" tanya Fidzan dengan tenang lalu memakai kembali cermin mata hitamnya.
"Aku rasa ada masalah elektrik di sini." Jelasnya. "Bekalan elektrik pada bahagian ini terputus."
"Oh..." Fidzan memasukkan plat digitalnya ke dalam sampul surat yang dibawanya tadi. "Tolong berikan tugasan yang saya selesaikan ini nanti kepada Doktor Yates."
Garcia mengangguk tatkala dia mengikat tangan David ke belakang tubuhnya.
"Kau ingin aku temankan kau ke tingkat atas?"
"Tak apa, terima kasih."
Garcia hanya menganggukkan kepalanya. Dia membawa David keluar dari dalam bilik lalu pergi ke arah lif terdekat untuk membawa David pulang ke wadnya.
Fidzan terus meninggalkan bilik itu tanpa berkata-kata ataupun menoleh ke belakang. Dia berjalan dengan perlahan ke arah tangga berpagar yang akan membawanya ke tingkat bawah.
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 36: Bakat hanya boleh dipupuk dalam pengasingan
Histeria Kelompok
Perkataan histeria berasal dari perkataan Yunani 'hystera' yang membawa maksud rahim. Hippocrates percaya bahawa histeria ini adalah sejenis penyakit yang dialami oleh kaum wanita kerana beliau percaya bahawa rahim di dalam tubuh wanita bergerak-gerak di seluruh tubuh dan tidak berpaksi di satu tempat.
Di dalam psikologi, histeria kelompok ini merupakan satu nama yang diberikan kepada satu fenomena di mana berlakunya manifestasi gejala histeria yang berlaku kepada lebih dari seorang individu. Gejala histeria ini selalunya akan berlaku kepada satu individu, lalu akan dimanifestasikan di hadapan individu lain yang tiba-tiba sahaja akan dijangkiti dengan gejala histeria ini. Fenomena histeria berkelompok ini menyerupai fenomena folie à deux (perkataan Perancis yang membawa maksud 'kegilaan yang dikongsi oleh dua') di mana gejala psikosis seperti paranoid dan delusi dikongsi atau dipindahkan dari satu individu kepada individu yang lain.
Penjelasan yang sama digunakan untuk fenomena 'gelombang awam', di mana di dalam masa ke semasa, akan timbulnya minat di kalangan sesetengah warga Kota Sendayu tentang wujudnya kumpulan seperti Kokuryu-kai kai (ataupun Pertubuhan Naga Hitam yang dianggotai oleh Zohak dan antara ahlinya yang terbaru, Muqarribun). Apabila perkara ini berlaku, mulalah terpancar perasaan panik di kalangan penduduk awam Kota Sendayu. Mereka mula melaporkan melihat makhluk ghaib, kereta terbang dan menyaksikan peristiwa yang sebenarnya tidak pernah berlaku. Istilah 'histeria berkelompok' ini sebenarnya adalah taktik yang digunakan oleh pemerintah Kota Sendayu untuk 'menyalahkan mangsa' kepada segala peristiwa yang menakutkan dan pelik yang mereka sendiri tidak dapat jelaskan (atau selesaikan dengan proses pemadaman informasi minda dengan bantuan Ziggurat Merah, kerana mereka tidak dapat mengesan individu yang terlibat secara langsung dalam histeria berkelompok ini).
Ahli psikologi pada hari percaya histeria disebabkan oleh tekanan perasaan. Pandangan psikodinamik dalam hal gangguan konversyen pula mengatakan gejala ini melindungi individu dari rasa bersalah juga aib, atau dari punca lain tekanan perasaan. Gangguan konversyen ini dikatakan mempunyai manfaatnya yang tersendiri. Sebagai contoh, terdapat beberapa kes di mana terdapatnya anggota polis Sendayu yang tiba-tiba mengatakan bahawa mereka telah disumpah menjadi 'buta' sebaik sahaja mereka mengetahui bahawa mereka sedang menyiasat kes yang bersangkut paut dengan Kokuryu-kai. Mereka yang mengalami fenomena 'buta' ini sebenarnya ingin cuba melarikan diri mereka dari terpaksa mati dengan sia-sia dengan cara yang paling menakutkan - kerana anggota Kokuryu-kai tidak pernah mengenal erti belas dan kasihan. Mereka akan membunuh sesiapa sahaja yang menjadi batu penghalang kepada hajat yang ingin mereka tepati.
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 38: Masa adalah satu ilusi, ruang pula satu delusi
Fidzan memegang tangan Hana dengan erat sepanjang perjalanan mereka berjalan ke arah rumah Fahmy yang terletak kira-kira satu kilometer dari Kelab Agape. Hana masih menggigil ketakutan. Cinta pula hanya berjalan diam. Wajahnya kosong.
Fahmy memandang ke arah jam tangannya. Dia mengeluh seorang diri. "Kau tahu aku akan melupakan ini semua dalam masa seminit dua lagi..."
"Aku tahu." Jawab Fidzan perlahan. Dia dapat melihat fikiran Cinta sedang diakses sekarang ini. Cinta terus berjalan dengan matanya tepat ke hadapan, tanpa sedikit pun terkelip. Sebentar pula giliran Fahmy pula. Sememangnya mereka yang berada di kelas yang lebih tinggi akan diakses fikiran mereka terlebih dahulu sebelum tiba giliran kelas yang lebih bawah seperti Fahmy.
"Hana pula?" tanya Fidzan yang kehairanan melihat keadaan Hana yang terus menangis. Dia tidak sepatutnya berkeadaan begini. Ini tidak normal sama sekali!
"Aku tak tahu..." Fahmy ternyata tidak mampu menjawab soalan Fidzan itu. Dia sendiri tidak faham mengapa fikiran Hana tidak diakses di dalam masa yang sama seperti Cinta.
"Apa yang korang berdua bualkan?" tanya Hana sambil mengesat air matanya. Dia terus berjalan sambil dipimpin Fidzan.
"Tak ada apa-apa Hana." Ujar Fidzan perlahan, lalu mendekatkan Hana ke tubuhnya dengan merangkul tangannya ke lehernya. Dia ingin memastikan agar Hana tidak menggigil lagi seperti tadi. "Awak tak perlu takut Hana, saya ada di sini bersama awak."
Hana mengangguk perlahan. Dia dapat merasakan kehangatan tangan Fidzan di lehernya, dan ini sahaja sudah mampu untuk membuat dirinya tenang. Hana pula mula sedar mungkin apa yang dinyatakan oleh Cinta sebelum ini ada kebenarannya. Dalam saat-saat genting seperti ini dia dapat melihat belang sebenar Fidzan dan Fidzan ada menunjukkan kesungguhan bahawa dia sebenarnya mempunyai rasa ambil berat tentang dirinya.
Fidzan menoleh ke arah Fahmy. Dia mendapati Fahmy hanya mendiamkan dirinya. Matanya kini berubah pudar. Fahmy terus berjalan seperti seorang yang telah dipukau. Proses ini akan mengambil masa selama seminit atau dua - semunya bergantung pada Ziggurat Merah yang akan mengeluarkan gelombang khas yang unik kepada individu yang ingin diubah atau dipadamkan memori mereka.
Fidzan menoleh ke arah Cinta. Dia mendapati keadaan Cinta kembali normal. Mungkin sedikit keliru, tetapi dia tidak lagi berwajah kosong seperti tadi.
"Kita nak ke mana, Fidzan?" tanya Cinta di dalam keadaan kelirunya.
"Ke rumah Fahmy... Rumahnya tidak jauh dari sini. Hana tak berapa sihat. Dia perlu berehat."
"Hana, kau tak sihat ke Hana?"
Hana memandang ke arah Cinta seperti dia baru sahaja melihat seorang yang tidak siuman. Dia tidak percaya dia disoal soalan begini olah Cinta.
Cinta hairan melihat gelagat Hana yang sedang berada di dalam keadaan terganggu begitu. Dia tidak tahu mengapa Hana kelihatan seperti dia sedang mengalami trauma. Apa yang sebenarnya telah berlaku, bisik Cinta sendiri di dalam hati.
"Kau tak ingat ke apa yang telah berlaku tadi?" tanya Hana kehairanan.
"Apa yang telah berlaku?"
Fidzan memandang ke arah Cinta seolah memintanya diam. Dengan pantas Cinta faham apa yang cuba dinyatakan Fidzan kepadanya. Cinta hanya berpeluk tubuh. Dia cuba mengingati dan menyenaraikan kembali apa yang telah berlaku kepadanya sebelum ini:
1. Hana marah-marah kepadanya kerana Hana cemburu Fidzan telah memberikan tumpuan yang lebih kepada dirinya. 2. Dia telah memberitahu Hana bahawa dia dapat merasakan Fidzan suka kepadanya 3. Hana tersenyum kepadanya dan kemudian Fidzan mengajak mereka pulang 4. Mereka berjalan tanpa arah tujuan sehinggalah dia bertanyakan kepada Fidzan ke mana tujuan mereka yang seterusnya
Entah mengapa, dia tidak dapat menjawab persoalan mengapa Hana tiba-tiba sahaja kelihatan buram dan wajah Fidzan pula terlukis kebimbangan.
Fahmy memandang ke arah Fidzan. Keadaannya kembali normal. Belum sempat Fidzan dapat membuka mulutnya, Fidzan telah mengucap kalimah: "Animus".
Kalimah ini digunakan Fidzan untuk mengingatkan Fahmy bahawa kandungan memorinya telah diubah - satu kod yang telah digunakan mereka sejak mereka berdua menyedari tentang fenomena ini.
Fahmy mengeluh. Dia cuba mengingati kembali apa yang berlaku kepadanya, tetapi dia sukar untuk memilih mana satu di antara memorinya ini adalah memorinya sendiri dan memori yang telah diubah. Apa yang pasti, dia masih mengingati kembali apa yang dipesan oleh Muzaffar kepadanya tadi.
Kini mereka berempat tiba di bangunan tempat tinggal Fahmy - sebuah 'loft apartment' di daerah Halsted, sebuah daerah yang didiami oleh ramai pelukis, penulis dan mereka yang terlibat dengan kerja-kerja seni di Kota Sendayu. Daerah ini terletak di sebuah kawasan yang menghadap ke lautan Pasifik. Sememangnya daerah ini cantik dan letaknya tidak begitu jauh dari Distrik Pusat Perniagaan Kota Sendayu.
Cinta masuk ke dalam lif di dalam bangunan apartmen Fahmy yang besar itu. Sebelum ini bangunan yang didiami Fahmy pernah digunakan sebagai sebuah kilang pakaian, kini ia telah diubah menjadi apartmen dan studio kepada mereka yang mampu menyewa apartmen di kawasan ini yang sememangnya mahal dan hanya mampu disewa oleh para artis yang sudah menempah nama di dunia seni.
Fahmy menekan butang tingkat tujuh. Lif bergerak perlahan, malah mengeluarkan bunyi yang aneh. Bahagian-bahagian mekanikal lif ini perlu diletakkan minyak pelincir, fikir Cinta di dalam hati.
Setibanya mereka di tingkat tujuh, Fahmy terus berjalan ke arah sebuah pintu besi yang besar saiznya. Fahmy membuka pintu rumahnya. Dia menjemput Cinta dan Hana supaya masuk, sementara dia mengemas bahagian kerusi sofanya yang kelihatan berselerak itu.
"Duduklah," ujar Fahmy kepada Cinta. Cinta melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi replika rekaan arkitek muda bernama Kaluki Musyoka. Kerusi itu berwarna merah garang, cukup-cukup sesuai rasanya kerusi berbentuk aneh itu diletakkan di dalam apartmen Fahmy yang mempunyai bahagian lantai yang luas itu. Bahagian bilik tidurnya tidak berdinding, begitu juga bahagian dapurnya dan bahagian-bahagian lain di dalam rumah itu.
Fidzan dengan penuh berhati-hati memimpin tangan Hana lalu menyuruhnya duduk di atas kerusi sofa.
"Jangan tinggalkan saya,"
"Saya tak akan tinggalkan awak."
Fidzan terus memegang tangan Hana. Dia membiarkan Hana membaringkan kepalanya ke dadanya. Hana melelapkan matanya kerana kepenatan.
"Kalau awak nak tidur atau berehat, awak boleh tidur di katil saya." Ujar Fahmy.
"Awak pula akan tidur di mana?"
"Saya tak tidur... Saya perlu siapkan komik Sikapitan yang tak tersiap lagi... Kalau awak dahaga atau lapar, pergi sahaja ke dapur. Jangan malu-malu."
Cinta mengangguk sambil tersenyum. Dia berdiri lalu berjalan ke arah dinding apartmen Fahmy yang ada diletakkan beberapa buah lukisannya di situ. Cinta memeriksa lukisannya satu persatu sebelum dia menoleh kembali ke arah ruang tamu. Dia mendapati Hana dan Fidzan telah pun terlelap di atas kerusi sofa. Cinta tersenyum sendiri...
II
Hana termenung jauh memandang ke luar tingkap bilik asramanya. Dia mengambil cuti sakit pada hari ini. Cinta pula pagi-pagi lagi telah keluar untuk menghadiri kuliahnya. Kini tinggal Hana bersendirian. Fikirannya masih terganggu kepada segala apa yang telah dialaminya pada malam Sabtu yang lepas. Imej kepala Sudhir Sekhri yang pecah berderai berulang-ulang di dalam kepalanya.
Hana menghirup air kopi panas yang telah dibuatnya sendiri. Tubuhnya kesejukan.
Hana tidak faham mengapa tidak ada sebarang berita mengenai letupan yang telah disaksikannya itu. Semalaman dia menonton TV, tetapi tak ada apa-apa berita pun. Semakin lama dia menonton TV semakin kusut fikirannya jadinya.
"Sudah Hana, berehatlah," itulah yang dinasihatkan Cinta kepadanya semalam. Cinta bermati-matian memberitahunya bahawa tidak terdapat sebarang letupan di Kelab Agape.
"Apa pula berehat! Macam mana kau boleh suruh aku berehat bila kau, Fahmy dan Fidzan kata mereka tidak tahu menahu langsung tentang kejadian yang berlaku malam tadi!"
"Hana, dengar ni. Tak ada apa yang berlaku Hana!"
"Tapi bagaimana pula dengan Sudhir Sekhri? Bagaimana kau menjelaskan kematiannya dan entah berapa puluh orang yang berada dekat dengannya?"
Apa yang lebih merunsingkan sekarang adalah apabila Hana memberitahu Cinta bahawa tidak tahu menahu bahawa wujudnya pelakon bernama Sudhir Sekhri. Hana sukar untuk menerima ini semua. Bagaimana ini semua boleh berlaku? Bagaimana seorang pelakon yang terkenal seperti Sudhir Sekhri tiba-tiba sahaja lenyap di muka bumi ini?
Hana menggunakan Internet untuk mencari informasi tentang Sudhir Sekhri. Langsung tak ada informasi tentang pelakon kesayangannya itu. Penyanyi wanita yang telah menari bersamanya juga seolah-olah tidak pernah wujud.
"Kau rasa aku gila ke, Cinta?" tanya Hana dengan suara serius. Wajahnya pucat lesi.
"Dah aku katakan, Hana... Kau perlu berehat."
Itulah nasihat yang diberikan Cinta semalam. Pada hari ini, hatinya masih tidak tenteram walaupun dia menghabiskan banyak dari masanya dengan tidur setelah dia disuruh mengambil pil tidur yang telah diberikan Cinta kepadanya.
Hana tidak tahu apa yang berlaku kepada dirinya kini. Kepalanya sakit berdenyut-denyut. Dia mencari pil birunya yang ada di simpan di dalam laci di dalam bilik tidurnya. Dia mendapati dia hanya mempunyai sebiji sahaja pil di dalam simpanannya. Dia terus menelan pilnya itu.
Mungkin dia perlu mengambil peluang ini untuk pulang ke rumahnya untuk mengambil bekalan pilnya yang masih ada tersimpan di dalam rumahnya di Pondok Indah. Ya, mungkin ada lebih baik dia ke situ sahaja pada hari ini untuk cuba melupakan segala mimpi ngeri yang sedang dialaminya sekarang.
Tiba-tiba seekor burung gagak bertenggek di tepi tingkap bilik Hana. Burung gagak itu mengeluarkan suara yang kasar dari tenggorokannya.
"Kenapa kau bertenggek di situ, gagak?" tanya Hana sambil tersenyum.
Si gagak tidak menjawab. Matanya terus merenung ke arah Hana.
"Kau nak makan?" Hana bertanya, si gagak sekali lagi tidak menjawab. Dia nampak angkuh dalam keadaan bulunya yang hitam dan berkilat itu.
Hana mengeluarkan sekeping cookie dari dalam bekas tin yang diletakkan di atas mejanya. Kemudian dia membuka tingkapnya untuk meletakkan cookie tersebut di tepi tingkap. Dia cepat-cepat menutup tingkapnya kembali apabila si burung gagak berjalan mendapatkan habuannya itu.
"Kau akan menjadi kawan baruku, kerana kau seorang sahaja tahu yang aku tidak gila." Ujar Hana kepada si gagak. Dia merasakan dia perlu menamakan gagak ini yang nampaknya masih terus bertenggek di luar tingkapnya.
"Aku akan namakan kau Anima." Kata Hana lalu mengambil kerusi untuk duduk bersama rakan barunya itu. Hana terlalu terpesona melihat rakan barunya itu sehinggakan buat seketika itu, dia langsung terlupa tentang peristiwa yang telah menghantuinya sejak sehari yang lepas...
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 35: Pemilikan aset awam oleh individu akan membuatkan aset itu lebih terjaga
Ketidakupayaan yang dipelajari
Terdapat ramai ahli psikologi yang merumuskan teori bahawa perkembangan rasa murung bermula dari satu fenomena yang dikenali dengan panggilan 'ketidakupayaan yang dipelajari'. Teori ini muncul apabila ahli-ahli psikologi memerhatikan tindak-tanduk haiwan dan manusia yang didedahkan kepada rangsangan aversif yang tidak terkawal. Dalam satu eksperimen yang dilakukan oleh Seligman dan Maier, mereka telah mengenakan kejutan elektrik terhadap dua kumpulan anjing yang diletakkan di dalam sangkar. Kumpulan anjing pertama tidak dapat mengawal kejutan elektrik yang dikenakan kepada mereka, manakala kumpulan satu lagi pula diberikan satu mekanisme untuk mereka memberhentikan kejutan elektrik ini. Seterusnya, sangkar itu diletakkan halangan di tengah-tengahnya. Apabila kejutan elektrik dikenakan sekali lagi, kumpulan anjing pertama sekadar merintih kesakitan dan tidak akan cuba melakukan apa-apa untuk cuba melepasi halangan lalu ke bahagian sangkar yang 'selamat'. Anjing-anjing dari kumpulan kedua pula dengan pantas cuba melakukan sesuatu untuk mengelakkan diri mereka dari terus dikenakan kejutan elektrik dengan melompat halangan tersebut. Anjing-anjing dari kumpulan pertama pasrah di dalam situasi ketidakupayaan yang mereka pelajari.
Subjek manusia juga menunjukkan hasil yang sama apabila mereka didedahkan kepada bunyi yang kuat, seperti mana yang dilakukan di dalam eksperimen oleh Hiroto. Di dalam situasi yang lain, mereka akan mengalami kesukaran untuk belajar melakukan sesuatu bagi mengelakkan diri mereka dari terus mendengar bunyi yang membingitkan ini. Setelah meneliti kedua-dua eksperimen ini, Seligman mendedahkan bahawa manusia yang haiwan yang terpaksa berhadapan dengan kejadian yang tidak dapat dikawal mereka akan berhenti dari mencuba melakukan apa-apa untuk mengawal situasi yang mereka hadapi. Di dalam situasi di mana seseorang didedahkan di dalam situasi di luar kawalan mereka seperti ini, subjek yang tidak mengalami kemurungan akan menunjukkan ciri-ciri seorang yang murung seperti perasaan pesimistik, lemah semangat dan hilang inisiatif untuk cuba menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Justeru, Seligman menyatakan bahawa kemurungan adalah satu bentuk ketidakupayaan yang dipelajari. Mereka yang murung 'belajar' bahawa apa sahaja yang mereka lakukan tidak berguna dan sia-sia. Mereka akan mengalami situasi yang akan meneguhkan lagi kepercayaan mereka bahawa kehidupan mereka adalah di luar kawalan mereka.
Perkara inilah yang terpaksa dilalui oleh setiap anggota warga Kota Sendayu. Warga Kota Sendayu dengan pantas akan mempelajari bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk membantah apa-apa polisi yang diperkenalkan oleh pemerintah. Mereka juga berada di dalam satu situasi yang menyebabkan mereka bergantung hidup sepenuhnya dengan pemerintah. Pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perumahan sehinggalah kepada hiburan ditentukan pemerintah.
Pilihan yang diberikan hanyalah satu ilusi. Kerana apa yang dipilih telah terlebih dahulu diluluskan oleh pemerintah. Pemerintah Kota Sendayu akan memilih apa yang boleh dilihat, didengar dan dialami oleh penduduknya.
Penduduk Kota Sendayu akhirnya pasrah. Mereka akhirnya menyerahkan seluruh kebebasan mereka kepada pemerintah Kota Sendayu asalkan mereka dapat menikmati apa yang mereka kenali sebagai kehidupan...
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 36: Ahli politik adalah pendusta yang dapat mempakejkan tipu helah dalam bentuk yang lebih menarik
Bunyi muzik dimainkan dengan kuat melalui beberapa buah speaker di dalam kelab malam Agape. Seorang DJ yang terkenal sedang memainkan lagunya di atas konsol. Ramai di antara mereka yang sedang menari akan menumpukan perhatian mereka ke arah DJ dengan menjerit dan bertepuk tangan setiap kali lagu yang dibawanya berjaya membuat mereka menari dengan penuh ghairah.
"Saya tak sangka DJ Tanaka ada pada malam ini." Ujar Cinta dekat ke telinga Fidzan ketika mereka sedang berada di dewan tari.
"Awak ni peminat DJ Tanaka?" kini giliran Fidzan pula mendekatkan dirinya ke telinga Cinta. Dia dapat mencium bau minyak wangi yang digunakan Cinta. Sekali cium sahaja dia sudah terasa teransang. Serta merta jantungnya berdegup kencang.
"Ya, saya telah meminatinya sejak di Kota Tamparuli lagi." Sambut Cinta, dia dapat melihat bayangan wajahnya pada cermin mata hitam yang sedang dipakai Fidzan pada waktu itu.
Fidzan tidak dapat mendengar suaranya dengan jelas, tetapi tak apalah. Dia tidak kisah itu semua. Dia hanya perlu menganggukkan kepalanya.
Fidzan menjilat bibirnya apabila dia melihat tubuh Cinta yang menggiurkan itu menari dekat kepadanya. Cinta menggoyangkan tubuhnya. Sesekali tubuh mereka akan tersentuh. Fidzan dapat merasakan mungkin Cinta sengaja mahu mengusiknya begitu.
Suasana di dewan tari makin lama makin sesak keadaannya. Beberapa orang anak muda sedang menari di atas pangkin dan di atas pentas.
"Jom kita menari di sana!"
"Nanti semua orang akan dapat melihat kita menari."
"Jadi awak takut?"
"Tidak, saya hanya mengingatkan awak sahaja." Ujar Cinta dengan nakal. Dia tersenyum lalu memegang tangan Fidzan untuk menariknya ke atas pentas.
Mereka kita menari di atas pentas dengan semahunya. Keadaan di atas pentas tidak sesesak seperti di bahagian lantai dewan. Cinta menggelekkan tubuhnya dengan lebih berani lagi. Ada di antara penari yang mula menumpukan perhatian mereka kepadanya. Sememangnya Cinta pandai menari.
Ketika sedang ligat menari, Fidzan sempat menoleh ke atas. Dia memandang ke arah bilik-bilik kaca di hadapannya, sebelum matanya berhenti memandang ke arah bilik kaca yang digunakan Keflix. Dia mendapati Fahmy sedang tekun berbual dengan seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Keflix tidak kelihatan di mana-mana. Hana pula sedang duduk seorang diri di atas kerusi sofa dengan wajah yang sugul. Mereka bertentang mata buat beberapa detik sebelum Fidzan memandang ke bilik kaca bertentangan.
Lydia sedang berpeluk tubuh sambil memandang ke arahnya dari arah bilik kacanya. Yuko muncul di belakang Lydia lalu membisikkan sesuatu ke telinga Lydia. Lydia mengangguk lalu dia menggunakan isyarat tangannya seolah meminta Yuko memberinya sedikit masa lagi untuk berada lebih lama di sini.
Yuko memandang ke arah Keflix. Dia hanya saling berpandangan dengannya. Dengan pantas Keflix dapat meneka bahawa dia perlu menunggu dengan lebih lama lagi sebelum dia dapat bersemuka dengan Lydia...
II
"Agaknya seluruh alam semesta ini berkomplot untuk menentang ku!" getus Hana seorang diri di dalam hati. Dia cukup cemburu melihat Fidzan sedang ligat menari dengan Cinta di dewan tari. Dia mula merasa dirinya serba kekurangan. Mungkin Fidzan sering tidak mengindahkannya kerana dia tidak cantik. Adakah dia tidak cantik di mata Fidzan? Soalan ini terngiang-ngiang di dalam kepalanya.
"Awak cantik malam ini." kata Keflix tiba-tiba.
"Apa?"
"Saya kata awak cantik." Dia mengulangi kata-katanya.
Hana tidak tahu jika dia harus ketawa atau membuka mulutnya untuk mengucapkan terima kasih kepada Keflix. Dia tidak percaya pemuda yang menjadi fenomena pop di seluruh dunia ini mungkin sedang menaruh hati kepadanya.
Belum sempat Hana dapat membuka mulut, seorang lelaki masuk ke dalam bilik kaca VIP ini. Keflix nampaknya begitu mengenali lelaki tersebut.
"Jangan lupa apa yang ingin awak katakan kepada saya tadi," pinta Keflix lalu dia berdiri mendapatkan lelaki yang sedang berpakaian serta hitam itu.
"Kau datang juga akhirnya Muzaffar!" ujar Keflix lalu mendakap tubuh rakannya itu lalu menepuk belakangnya berlaki-kali.
"Sekali-skala aku rasa aku perlu menghirup udara malam seperti ini." katanya sambil tersenyum. Dia menoleh ke arah Fahmy. Dia kenal benar dengan Fahmy.
"Ini Fahmy, seorang pelukis muda yang sedang menempah nama." Keflix memperkenalkan Fahmy kepada Muzaffar.
"Sebenarnya kami saling mengenali." Ujar Muzaffar. Senyumannya meleret.
"Maksud kau?" tanya Keflix kembali.
"Kau tahu maksud aku..." Muzaffar meraba-raba janggutnya yang nipis itu. "Kau fikir aku ke sini semata-mata untuk bertemu dengan kau?"
"Kau ke sini untuk bertemu dengan Fahmy..." Keflix cuba meneka.
Muzaffar menganggukkan kepalanya dengan pasti. Dia melemparkan senyumannya ke arah Fahmy.
"Tapi bagaimana kau tahu dia di sini?"
Mata Muzaffar menjeling ke arah kamera litar yang diletakkan di dalam sebuah kubah kecil bersaiz bola tenis di atas dinding. Kadangkala dia hairan bagaimana Keflix (seperti penduduk-penduduk Kota Sendayu yang lain) sering terlupa terdapat kamera litar yang diletakkan di hampir setiap sudut di kota ini.
"Kalau begitu, aku akan biarkan kau berdua berbual... Aku ada hal sikit yang perlu aku selesaikan." Muzaffar menganggukkan kepalanya. Keflix keluar dari bilik kaca itu lalu terus dia diapit oleh pengawal keselamatannya yang telah berjaga di pintu masuk bilik ini sejak tadi.
"Jadi apa kau mahu dari aku?" Fahmy akhirnya bersuara apabila dia tidak dapat melihat lagi kelibat Keflix melalui dinding kaca bilik VIP ini.
"Aku cuma ingin tahu apa yang akan kau lukiskan di dalam siri terbaru komik Sikapitan kau tu."
"Apa yang mahu kau tahu?"
"Aku mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku kepada bekas antimatter yang cuba dicuri oleh Muqarribun... Cuba ceritakan kepada aku, apa yang akan kau lukiskan nanti."
"Kenapa kau perlu tahu?"
"Kau tahu aku perlu tahu tentang ini semua..."
"Bekas itu hilang dari Makmal Pruzan selepas Sikapitan cuba memburu Muqarribun-"
"Dan aku pasti perkara ini tidak akan disertakan di dalam siri terbaru komik Sikapitan, bukan?"
Fahmy menggelengkan kepalanya.
Sikapitan terlalu gopoh. Musuh sebenarnya akan menggunakan kelemahannya ini untuk menjatuhkannya satu hari nanti." Muzaffar cuba menasihati.
"Jadi apa lagi yang kau mahu aku lakukan?" tanya Fahmy dengan suara yang tegas.
"Kau perlu memberitahunya bahawa kita sedang menentang musuh yang sama."
"Kau sendiri tahu aku tidak mahu masuk campur!"
"Kau perlu masuk campur!" kata Muzaffar dengan suara yang lebih keras. Dia menoleh ke arah Hana. Dia perlu memastikan agar Hana tidak mendengar suaranya tadi. "Kau tahu kau sudah terlibat jauh dalam hal ini!"
"Aku tak berani melakukan apa-apa."
"Jika kau tak mahu Peristiwa Hirabah berlaku lagi kau perlu berani melakukan sesuatu." Kata Muzaffar dengan suara yang lebih tenang. "Jika kau sayangkan dia kau akan lakukan apa yang aku suruh aku lakukan."
"Jadi apa yang kau mahu aku lakukan?" tanya Fahmy, dia meraba-raba bibirnya yang kering itu.
"Dia perlu sedar tentang asal usulnya..."
"Jadi?"
"Beritahu dia tidak perlu pergi jauh untuk mengetahui tentang hal ini. Tidak ada apa lagi yang mampu dilakukannya untuk menidakkan siapa dirinya itu yang sebenar."
Hana menoleh ke arah Fahmy. Kemudian dia bergerak ke arah cermin. Dia memandang ke arah Cinta. Sebaik sahaja Cinta tertoleh ke arahnya, dia membuat isyarat memanggil Cinta untuk mendapatkannya.
"Kesian Hana keseorangan di dalam bilik." Ujar Cinta kerisauan kepada Fidzan. "Saya perlu pergi mendapatkannya. Mungkin kita boleh membawanya bersama di sini."
"Okay." Fidzan mengangguk setuju. Dia dapat melihat wajah Hana yang monyok itu. Dia turun dari pentas lalu membantu Cinta turun dengan memegang tangannya. Bersama-sama mereka terus berjalan ke arah bilik VIP dengan berjalan di kalangan ramai pengunjung yang sedang bersesak-sesak-sesak di dalam kelab malam itu.
Fidzan dapat melihat Muzaffar berbual dengan suara yang perlahan dengan Fahmy. Kemudian perbualan mereka berdua berhenti sebaik sahaja Fidzan mendekatkan dirinya dengan mereka. Fahmy menelan air liurnya sambil memandang penuh ke arah Fidzan. Katanya dengan suara yang dibuat-buat bersahaja:
"Fidz, ini Encik Muzaffar... Penulis blog yang paling ngetop di Sendayu."
"Oh, blog hiburan yang popular tu."
"Ya," jawab Muzaffar sambil tersenyum. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Fidzan. Fidzan membalas salamnya dengan matanya memandang ke arah Fahmy yang nampaknya tak keruan itu.
"Oh, ya... Nama saya Fidzan."
"Kamu belajar lagi atau sudah bekerja?" Muzaffar sengaja bertanya walaupun dia tahu segala-gala tentang diri Fidzan hatta rahsia sekecil hama yang mahu dirahsiakan Fidzan sekalipun.
"Belajar lagi... Pelajar tahun ketiga Universiti Sendayu."
"Dalam bidang apa?"
"Psikologi."
"Apa yang kamu mahu lakukan setelah kamu memperoleh ijazah kamu nanti?"
"Sambung belajar..."
"Dalam bidang psikologi?"
"Mungkin perubatan, entahlah... Kalau tak dapat sambung belajar saya cari kerja."
"Dengan Halcyon Corp.?"
"Ya, mana lagi..." jawab Fidzan dengan malas, kemudian dia memandang ke kiri dan ke kanan. "Di mana Keflix?" tanya Fidzan kepada Fahmy.
"Dia ada hal katanya." Jawab Fahmy sambil menggaru hujung hidungnya.
"Hal apa?"
"Entahlah."
"Jadi kau dengan Encik Muzaffar dah lama kenal?"
"Lama juga... Setahun agaknya."
"Ya, sudah setahun kami berkenalan." Sambut Muzaffar. "Bukan begitu, Fahmy?"
Belum sempat Fahmy dapat membuka mulutnya sesuatu yang memeranjatkan berlaku. Wajahnya berubah dengan tiba-tiba. Wajahnya jelas nampak tersentak.
II
Cinta tidak faham mengapa Hana menunjukkan wajah masam. Dia memeluk tubuhnya sambil berdiri hadapan cermin. Matanya terus kepada Sudhir Sekhri yang nampaknya sedang menari dengan seorang penyanyi wanita yang kini mula menempah nama sebagai seorang pelakon.
"Fidzan suka dengan kau ke, Cinta?" tanya Hana mengharapkan Cinta akan menjawab soalannya itu dengan jujur.
"Oh, kau monyok sebab kau lihat aku rapat dengan Fidzan lah ni?" tanya Cinta, mulutnya sedikit terlopong. Tercengang dia dibuatnya.
"Dah tu?"
"Aku dengan dia kawan sajalah!"
"Tapi aku nampak kau lain macam saja dengan dia tadi!"
"Lain macam apa ni, Hana? Kau ni... Cemburu tak bertempat lah!"
Hana menggigit bibirnya. Dia tak tahu bagaimana untuk menjelaskan perasaan yang dialaminya pada waktu ini. Adakah dia sedang marah, atau dia sememangnya mengalami perasaan cemburu seperti yang dinyatakan Cinta. Mengapa dia dilamun perasaan seperti ini sedangkan Fidzan langsung tidak mengendahkannya.
"Aku rasa dia suka dengan kau, Hana?"
"Apa?" dia bertanya, dia takut dia tersalah dengar.
"Tadi aku lihat bila kau rapat dengan Keflix dia nampak cemburu... Alah Hana, aku dah biasa sangat dengan perangai lelaki ni."
"Tapi dia suka dengan kau!"
"Dia suka berkawan dengan aku... Lagipun dia tahu aku masih sayangkan Norman. Aku ceritakan kepadanya tentang hubungan aku dengan Norman ketika aku keluar makan tengah hari dengannya minggu lepas."
"Jadi dia suka dengan aku?"
"Aku pasti dalam diam-diam dia suka dengan kau. Kau kena faham lelaki macam si Fidzan ni... Dia ni jenis suka pendamkan perasaan dia."
Hana menarik nafasnya dalam-dalam. Dia menoleh ke arah Fidzan sebelum dia memandang ke arah bilik kaca bertentangan dengannya. Dia dapat melihat Keflix sedang membisikkan sesuatu ke dalam telinga Lydia. Kemudian mereka berdua memandang ke arah dewan tarian. Mata mereka seolah sedang mencari sesuatu di situ.
Mata Hana terpaku ke arah pelakon kesayangannya, Sudhir Sekhri yang sedang menari itu. Beberapa detik kemudian dia memasukkan tangannya ke dalam kocek jaketnya. Dia mengeluarkan telefon bimbit generasi baru buatan Halcyon Corp. Untuk menjawab panggilan telefonnya.
Wajah Sudhir tiba-tiba sahaja berubah cemas. Belum sempat dia dapat melakukan apa-apa, telefon bimbit yang sedang dipegangnya itu mengeluarkan satu letupan yang kuat. Kepalanya ikut berkecai bersama bahagian tangannya itu. Beberapa orang yang sedang menari berdekatan dengannya tercampak jauh seperti anak patung bersama-sama dengan bahagian tubuh mereka yang berderai.
Percikan darah merah dan sekeping kulit rambut yang terkupas melekat ke bahagian cermin kata betul-betul di hadapan Hana. Dia menjerit sekuat hati. Cinta pula terlalu terkejut untuk membuat apa-apa sejak dia dapat merasakan gegaran serta bunyi yang kuat yang telah membuatkan telinganya pekak buat beberapa detik.
"Kita perlu pergi dari sini." Ujar Fidzan kepada Cinta sambil mendakap tubuh Hana untuk menenangkannya.
Cinta mengangguk pantas dalam keadaannya yang sedang tergamam. Dia dapat mendengar jeritan dan laungan yang kuat dari arah dewan menari. Ramai pengunjung yang sedang berada di dalam keadaan terkejut bertempiaran lari ke arah pintu keluar yang terdekat. Ramai yang terjatuh lalu dipijak oleh pengunjung-pengunjung yang sedang berasak-asak dalam keadaan panik.
Muzaffar membuka pintu kaca untuk memberi laluan kepada Fidzan supaya dia dapat membawa Cinta dan Hana keluar dari Kelab Agape dengan selamat. "Gunakan pintu belakang. Kau ikut jalan ini, turun tangga lalu belok ke sebelah kini."
Suaranya tenang ketika berkata-kata. Sejurus Fidzan keluar dari bilik VIP ini, Muzaffar menoleh ke arah Fahmy, "jangan lupa pesanan aku tadi. Beritahu kepadanya bahawa kita sedang berjuang menentang musuh yang serupa. Cuma yang membezakan adalah cara kita menentangnya."
Fahmy mengangguk perlahan. Muzaffar keluar dari biliknya lalu menghilang entah ke mana. Fahmy menarik nafasnya dalam-dalam. Dia mula dapat mencium bau darah yang hanyir yang menusuk ke lubang hidungnya. Tekaknya terasa loya. Dia perlu keluar dari tempat ini secepat mungkin, fikirnya di dalam hati.
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 33: Anggaplah ucapan pujian sebagai kritikan yang paling jujur
Aplikasi Pelaziman Operan
Pelaziman operan dianggap sebagai satu cabang penting di dalam psikologi kerana ia memberi penyelesaian kepada banyak masalah yang bersangkut paut dengan tingkah laku manusia. Kita pernah membincangkan teori pelaziman operan dan klasikal sebelum ini. Kali ini pula, ayuh kita bincangkan tentang lebih lanjut aplikasi pelaziman operan.
Sebenarnya, tanpa kita sedari, kita sering menggunakan pelaziman operan untuk mempengaruhi orang lain. Guru matematik ku akan memuji ku jika aku berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang berbanding dengan pelajar-pelajar lain. Mak akan memarahi abang jika dia cuba membuli ku. Berikut adalah beberapa aplikasi pelaziman operan yang khusus yang ada digunakan pada hari ini:
Pembelajaran yang diprogramkan
Cara pembelajaran ini telah dibangunkan oleh B. F. Skinner berdasarkan kepada kaedah pelaziman operan. Skinner menganggap apa sahaja jenis pembelajaran kompleks yang melibatkan kebolehan motor atau pengetahuan konseptual boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian yang kecil yang bertahap-tahap (yang dipanggil bingkai). Di dalam setiap bingkai si pelajar akan diberikan satu tugasan. Apabila tugasan diselesaikan, si pelajar akan diberitahu oleh gurunya (selalunya perkara ini akan diambil alih oleh komputer) sama ada tugasan itu telah dilakukan dengan baik atau sebaliknya. Maklum balas inilah yang akan menjadi pelaziman bagi si pelajar. Bingkai-bingkai ini boleh disesuaikan untuk individu yang berlainan. Mereka boleh mempelajari satu-satu bidang pengetahuan mengikut kebolehan masing-masing. Si pelajar hanya akan dibenarkan untuk bergerak ke tahap seterusnya apabila jawapan yang betul diberikan, jika tidak, mereka terpaksa mengulangi seksyen yang sama sekali lagi.
Pihak berkuasa Kota Sendayu menggunakan sistem pembelajaran yang diprogramkan ini terutamanya di dalam proses indoktrinasi para polis dan tentera supaya setia dan taat kepada pemerintah, khususnya kepada Datuk Bandar Kota Sendayu.
Ekonomi token
Ahli psikologi Kota Sendayu menggunakan kaedah ini untuk mendapatkan respons yang bersesuaian dari mereka yang dikategorikan di dalam kelas Sigma, Eplison dan Kappa mengikut Akta Eugenik Seksyen 6(1)*. Antara contoh yang baik adalah permit untuk meneruskan persekolahan/pekerjaan hanya akan diberikan kepada remaja lelaki dari kelas Sigma setelah mereka menjalani pembedahan pemandulan. Hanya pasangan Epsilon yang mempunyai rekod yang baik sahaja yang akan diluluskan permit yang mereka pohon untuk melahirkan anak. Ganjaran ini menggunakan 'token' sebagai satu simbol yang boleh ditukarkan dengan peneguhan lain yang disukai. Mereka yang menunjukkan respons yang kurang sesuai tidak akan diberikan 'token' yang mereka kehendaki.
Latihan Biofeedback
Latihan biofeedback mengaplikasikan pelaziman operan untuk mendapatkan hasil yang bersesuaian dari satu-satu organisma. Apabila si pengguna menerima latihan biofeedback ini, pelaziman ini diberi dalam bentuk informasi. Di dalam tag mikro frekuensi radio sebagai contoh ada disertakan sekali satu fungsi yang cukup-cukup disedari oleh warga Kota Sendayu. Tag mikro frekuensi akan mengeluarkan gelombang alpha (yang akan membuatkan si pengguna merasa tenang) apabila si pengguna didapati telah melakukan satu perkara yang baik di mata pemerintah. Apabila si pengguna didapati melakukan perkara yang tidak disukai pemerintah, tag mikro frekuensi ini akan mengeluarkan satu kejutan elektrik yang akan mengingatkan warga Kota Sendayu tentang kesilapan yang mereka lakukan dan yang paling penting sekali, setiap gerak-geri mereka sedang diperhatikan pemerintah!
* Akta Eugenik Seksyen 6(1)
1. Warga kelas Sigma diberikan kepada pembawa penyakit genetik yang disenaraikan di dalam Akta Pencegahan Penyakit (Barah, penyakit jantung, skizofrenia dan lain-lain). Kaum lelaki kelas Sigma tidak dibenarkan untuk membiak. 2. Warga kelas Epsilon pula diberikan kepada mereka yang mempunyai IQ yang kurang dari 120. Mereka perlu memohon permit untuk mempunyai seorang (1) anak sahaja. Permit akan diluluskan mengikut budi bicara pemerintah. 3. Warga kelas Kappa pula diberikan kepada mereka yang dilahirkan dengan kecacatan. Mereka tidak dibenarkan untuk membiak
Kata-kata hikmat seorang ahli saintis muda bernama Faris bilangan 34: Kebenaran adalah fiksyen yang telah ditulis dengan baik
Cinta dan Hana keluar dari perut teksi. Mereka terus bergegas berjalan ke arah kelab malam Agape. Mereka mendapati kelab malam ini dipenuhi oleh anak-anak muda yang sedang mundar-mandir di luar kelab. Mereka semua kelihatan ranggi. Ramai di antara mereka yang sedang beratur sebelum dibenarkan masuk ke dalam kelab malam eksklusif ini. Ada pula yang sedang berkumpul di luar kelab semata-mata kerana mereka mahu melihat pelakon atau penyanyi kesayangan mereka yang ingin masuk ke dalam kelab Agape.
"Ramainya orang! Seganlah!" ujar Hana teragak-agak. Dia berjingkit melihat barisannya yang panjang ini. Sesekali matanya akan berpindah ke arah poster pilihan raya untuk pemilihan calon Datuk Bandar Kota Sendayu yang baru yang telah ditampal di tepi dinding. Datuk Bandar Kota Sendayu, Serguei Pershin perlu bersara setelah dua penggal dia melakukan tugasnya ini. Calon paling popular yang dirasakan akan memenangi pilihan raya datuk bandar pada kali ini adalah Komisyener Nora. Sejak kelmarin Hana mendapati poster Komisyener Nora mula diletakkan di merata tempat di kota ini.
"Kau nak segankan apa? Kau cantik tau Hana!" ujar Cinta dengan jujur kepada sepupunya itu. Dia hairan mengapa Hana tidak sedar bahawa dia telah dikurniakan dengan wajah yang cantik. "Kau sedar tak kau ada tubuh yang bergetah?"
Kata-kata Cinta itu membuatkan dirinya semakin tidak selesa, lebih-lebih lagi apabila dia disuruh pakai pakaian sepupunya yang agak menggiurkan itu.
Hana dan Cinta beratur di barisan paling belakang. Mereka berharap mereka tidak perlu beratur dengan lama. Cuaca pada malam itu agak dingin.
"Hello." Ujar suara yang dikenali Cinta. Dia terus menoleh. Dia mendapati Fidzan sedang berdiri di belakangnya bersama Fahmy.
"Oh, saya fikir awak tak datang... Awak tak sihat, kan?" tanya Cinta dengan kening kirinya ternaik tinggi.
"Saya dah okay." Ujar Fidzan sambil tersengih. Kalau boleh dia mahu melupakan pengalamannya di HMS. Dia mahu meletakkan segala-galanya ke tepi. Pada malam ini dia mahu bersuka-suka dan melupakan segala-galanya.
"Hello Fahmy." Hana melambaikan tangannya ke arah Fahmy, tapi matanya tepat kepada Fidzan. Dia hampir-hampir terlupa bahawa dia telah tertarik kepada Fidzan kerana wajahnya yang kacak dan di tambah lagi dengan tubuhnya yang tinggi dan tegap itu. Fidzan mempunyai wajah yang layak menjadikannya seorang hero jika dia mahu jadi pelakon, fikir Hana di dalam hati.
"Helo Hana... Cantik awak malam ni." Puji Fahmy. Dia menoleh ke arah Fidzan. Dia mendapati mata Fidzan terus ke arah lurah dada Hana, sebelum dia cepat-cepat memandang ke arah lain.
"Baju pinjam jer ni." Balas Hana tersipu-sipu malu.
Beberapa orang anggota polis khas yang dikenali dengan nama Carabinieri berjalan di sebelah mereka. Mereka melangkah dengan mengeluarkan bunyi berderap yang setara seolah mereka sedang berkawat. Wajah mereka jelas kelihatan serius tatkala menjaga keamanan di kawasan itu dari sebarang kekacauan.
"Semakin hari semakin ramai jumlah mereka di kawasan pusat bandar!" keluh Fahmy dengan perlahan kepada Fidzan. Matanya terus ke arah seorang anggota Carabinieri yang sedang berdiri dekat dengannya. Anggota Carabinieri ini memakai pakaian berperisai lengkap dengan topeng yang menutupi seluruh bahagian wajahnya. Bahagian visor mereka berwarna merah lantas mengerikan lagi penampilan mereka. Anggota Carabinieri ini sedang memegang sepucuk mesingan yang besar dan berat kelihatannya. Pakaian perisai yang dipakainya ini sememangnya telah direka untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang terpaksa berhadapan dengan mereka.
"Sejak akhir-akhir ini, mereka juga boleh dilihat di sekitar kawasan universiti... Tapi kenapa jumlah mereka ramai sangat malam ni?" tanya Cinta kepada Fidzan. Cinta merasa kurang selesa dengan kehadiran Carabinieri ini ke mana sahaja dia berada sejak akhir-akhir ini.
"Mereka cuba mengelak kejadian pengganas yang semakin menjadi-jadi sekarang ini." bisik Fidzan ke telinga Cinta dengan matanya memandang tepat ke arah Carabinieri di hadapannya.
"Ye ke? Kenapa saya tak pernah tahu tentang kejadian-kejadian ini di TV atau di dalam akhbar?" tanya Cinta dengan nada serius.
Fidzan tidak mahu menjawab soalan Cinta tadi. Dia hanya berpandangan dengan Fahmy yang nampaknya tidak begitu selesa melihat Fidzan memaklumkan hal ini kepada Cinta.
Hana menguis bahu Cinta untuk memberitahunya seorang pelakon muda yang menjadi idolanya baru sahaja keluar dari limousinnya lalu berjalan masuk ke dalam kelab Agape. Wajah Hana nampak teruja melihat Sudhir Sekhri berjalan masuk ke dalam pintu masuk Kelab Agape. Beberapa orang paparazzi sedang sibuk memetik butang kamera mereka. Mereka memanggil nama bintang pujaan ini berkali-kali untuk memastikan agar Sudhir memandang ke arah mereka.
Kini sebuah limousin lagi berhenti di hadapan kelab. Lydia keluar dari dalam limousin dengan pakaian berwarna serba hitam yang cukup-cukup cantik hasil rekaan seorang pereka muda yang baru sahaja hendak menempah nama di Kota Sendayu. Pakaian ini jelas menampakkan susuk tubuh Lydia yang tinggi lampai dan menggiurkan itu.
Lydia ditemani oleh pembantu peribadinya, Yuko Tanaka yang telah memintanya supaya berhenti sebentar di hadapan para paparazzi agar gambarnya dapat diambil oleh mereka untuk tujuan publisiti.
Yuko telah mengingatkan kepada Lydia supaya senyum di hadapan kamera. Pada tatkala itulah Lydia mula sedar Fidzan sedang beratur untuk masuk ke dalam kelab yang sama. Dia dapat melihat Fidzan seboleh mungkin mahu mengelakkan dirinya dari dilihat oleh Lydia dengan bersembunyi di belakang Fahmy.
"Dia dah nampak kau lah." Getus Fahmy ke telinga Fidzan.
"Ish!" keluh Fidzan sambil menggaru kepalanya.
"Kau takut sangat dengan dia kenapa?" tegur Fahmy sambil menjeling. Fidzan diam sahaja. Dia melihat Lydia merenung tajam ke arahnya sebelum dia dibawa masuk oleh Yuko ke dalam kelab.
Setelah beratur semalam setengah jam, Fidzan mendapati kini tiba pula giliran mereka untuk masuk ke dalam kelab. Dua orang Carabinieri telah ditugaskan untuk membantu penjaga pintu kelab ini yang telah dilengkapkan dengan sejenis alat pengimbas untuk memilih mereka yang sesuai untuk dibenarkan masuk ke dalam kelab Agape.
"Kamu dan kamu dibenarkan masuk." Ujar si penjaga pintu yang bertubuh tinggi sasa dan berkepala botak sambil menudingkan jarinya ke arah Hana dan Fidzan - setelah identiti mereka dikenal pasti olehnya dengan mengimbas tag mikro frekuensi radio yang tertanam di leher mereka. "Boleh saya lihat kad identiti saudari?" dia bertanya kepada Cinta apabila dia tidak dapat mengimbas sebarang frekuensi radio di lehernya.
Cinta mengeluarkan kad identiti sementaranya. Dia menyerahkan kadnya ini kepada si penjaga pintu yang mula mahu menguratnya. Si penjaga pintu memeriksa kad tersebut dengan alat pengimbasnya sebelum dia memberitahu Cinta bahawa dia juga dibenarkan masuk ke dalam kelab tersebut.
"Kamu bertiga boleh masuk ke Kelap Agape, semoga kamu bertiga bergembira pada malam ini." kata si penjaga pintu sambil mengukir senyuman yang telah dipaksa-paksa.
"Dia bersama saya," ujar Fidzan sambil memegang bahu Fahmy. "Kami datang bersama!"
"Bukan aku kata aku tak sepatutnya ikut kau ke sini?" keluh Fahmy dengan suara lesu. Dia ingin melangkah pulang, tetapi di halang oleh Fidzan. Tangan Fidzan dengan erat memegang bahu Fahmy tanpa melepaskannya.
"Dia tidak boleh masuk ke sini." Kata penjaga pintu itu dengan tegas.
"Tapi kenapa?" tanya Fidzan dengan suara keras.
"Dia tidak mempunyai permit untuk keluar beriadah untuk malam ini. Sebagai seorang warga kelas Sigma dia patut tahu tentang ini semua," jelas penjaga pintu dengan matanya terus ke arah skrin pada alat mengimbasnya seolah-olah Fahmy tidak ada di hadapannya pada ketika itu.
"Tapi dia bersama saya, bukan seorang warga Alpha seperti saya boleh membawa seorang Rakan Riadah seperti rakan saya ini masuk ke dalam kelab?" kata Fidzan. Dengan pantas situasi ini telah mengingatkan dia kepada kata-kata Fahmy kepadanya dahulu. Walaupun Fahmy telah mencapai kejayaan demi kejayaan sebagai seorang pelukis, dia tetap akan dipandang rendah kerana kedudukannya sebagai seorang warga Kota Sendayu kelas Sigma.
Kekayaan tidak akan menjanjikan apa-apa di kota ini jika seseorang itu tidak dilahirkan di dalam kelas Alpha atau Beta. Kedudukan darjat seseorang itu sudah ditentukan sejak lahir lagi mengikut potensi genetik mereka. Fahmy sebagai contoh dikategorikan di dalam kelas Sigma kerana dia mempunyai informasi genetik yang mengatakan dia mempunyai kebarangkalian yang besar akan mengidap penyakit kanser paru-paru. Mengikut Hukum Eugenik dia tidak dibenarkan untuk memindahkan genomenya ke generasi seterusnya, jadi sejak dia berusia 15 tahun dia telah dimandulkan. Hukum Eugenik ini tidak boleh dipersoalkan oleh sesiapa.
"Ya saya tahu, tapi bukan untuk malam ini." sambutnya sesopan mungkin walaupun darahnya mula menggelegak melayan kerenah Fidzan. Pengunjung-pengunjung yang beratur di belakang Fidzan mula merungut-rungut.
"Oh, Cinta... Hana!" ujar Keflix yang terus berhenti di hadapan mereka sewaktu dia digegaskan masuk ke dalam kelab oleh dua orang lelaki bertubuh tegap. "Lama kita tak bertemu!"
Cinta mengangguk pantas. Senyumannya meleret memandang ke arah Keflix yang dirasakannya kelihatan kacak pada malam itu dengan pakaian berwarna merah darah diperagakannya.
"Kenapa kamu berdua tak masuk lagi?" Mata Keflix terus tertumpu pada Hana. Dia terkesima melihat keadaan Hana yang semakin lama semakin cantik di matanya.
"Kami ada masalah sedikit." Hana memberitahu sambil memeluk tubuhnya yang kesejukan kerana setelah begitu lama dia menunggu di luar kelab ini.
"Fahmy tak boleh masuk." Ujar Cinta pula.
"Oh, Fahmy... Aku tak perasan pun kau ada di sini." Keflix terus bersalaman dengannya. "Dia bersama saya." Ujar Keflix kemudian kepada si penjaga pintu.
Si penjaga pintu itu tersenyum lebar lalu membenarkan Fahmy masuk ke dalam kelab tanpa banyak soal lagi.
Keflix terus menumpukan perhatiannya kepada Hana. Hana termangu buat beberapa detik sebelum dia mengalihkan pandangannya ke arah Fidzan. "Kelflix, ini Fidzan kawan saya."
Keflix menjeling ke arah Fidzan sekali sebelum dia terus memandang ke hadapan sambil memegang tangan Hana lalu membawanya masuk ke dalam kelab.
"Ya, aku masih ingat dengan kau lagi... Kita bertemu di luar Galeri Kunst tempohari." Ujar Keflix apabila Fidzan berjalan di sisinya sebelum suasana menjadi semakin bingit dengan bunyi muzik yang datangnya dari dalam kelab.
Fidzan hanya menjeling. Masakan dia boleh melupakan Keflix. Belum apa-apa lagi dia sudah membencinya. Dia cukup meluat melihat seorang penyanyi seperti Keflix yang usianya tidak jauh darinya tetapi sudah mencapai status seorang jutawan. Dia dengkel melihat segala perhatian yang diberikan pengunjung sebaik sahaja Keflix melangkah masuk ke dalam kelab malam yang sesak dengan pengunjung itu.
"Apa kata kamu semua ikut temani aku ke bilik VIP di atas sana." Keflix menyarankan sambil menudingkan jarinya ke arah sebuah bilik kaca yang masih kosong di bahagian sisi kelab ini.
Cinta mengangguk setuju. Hana menurut sahaja kerana dia mula merasa tidak selesa bersesak-sesak. Terlalu ramai pemuda-pemudi yang dilihatnya sedang menari bersuka ria pada malam itu. Mereka hanyut di dalam dunia mereka sendiri.
Dua mengawal peribadi Keflix terus membuka jalan agar dia dapat berjalan ke tingkat atas dan seterusnya ke bilik yang telah dikhaskan untuk pengunjung VIP sepertinya. Bilik kaca yang telah dikhaskan untuknya terletak bertentangan dengan bilik kaca yang telah dikhaskan untuk pegawai-pegawai korporat Halcyon Corp.
Hana tidak lagi merasa rimas apabila dia dibawa masuk ke dalam bilik VIP ini. Dia terus ke arah tingkap kaca untuk memandang suasana di dewan menari yang terletak betul-betul di bawahnya. Di hujung dewan menari pula terdapat sebuah pentas. Hana dapat melihat bahawa pelancaran produk terbaru Halcyon Corp. akan dimulakan bila-bila masa sahaja lagi.
"Duduklah dahulu kalau ya pun," Keflix meminta Hana duduk di sisinya. Hana akur setelah tangannya ditarik oleh Cinta. Keflix menoleh ke arah pelayan untuk memesan minuman. Kemudian dia menoleh ke belakang. Dia melihat Fahmy dan Fidzan sedang berdiri di belakang. Fidzan sedang berdiri kaku sambil berpeluk tubuh, seolah-olah dia sedang menunggu Keflix membuat silap pada malam itu sama ada kepada Hana ataupun Cinta.
Pelancaran telefon bimbit pada malam itu dimulakan dengan beberapa orang model memperagakan model telefon bimbit generasi baru ini di atas pentas, diikuti pula dengan penjelasan tentang fungsi telefon bimbit ini pelakon idola Hana, Sudhir Sekhri. Sudhir yang menjadi duta jenama telefon bimbit Halcyon menerangkan bagaimana telefon ini akan menggabungkan teknologi komunikasi yang paling canggih dengan tag frekuensi radio yang ada pada warga Kota Sendayu. Dengan gabungan ini, Halcyon Corp. akan dapat memproses setiap gerak-geri pengguna telefon bimbit ini lalu menjadikan telefon bimbit mereka ini sebagai pembantu peribadi mereka. Telefon ini dapat melakukan pelbagai fungsi-fungsi menarik seperti mengenal pasti pasangan yang paling sesuai mengikut potensi genetik penggunanya sehinggalah kepada sistem Sistem Kedudukan Global yang akan memberitahu si pengguna yang sesat titik kedudukan mereka dan jalan yang perlu diambil untuk ke destinasi mereka yang sebenar. Pendek kata, segala fungsi di dalam telefon ini boleh diperibadikan mengikut kesan balas-bio yang disalurkan oleh tag frekuensi radio kepada telefon yang serba canggih ini.
Pengunjung-pengunjung kelab malam Agape nampaknya begitu berminat untuk mendapatkan telefon bimbit generasi baru ini yang telah direka dengan bentuk rekaan yang menarik. Keadaan menjadi semakin gamat apabila Sudhir memberitahu kepada para pengunjung bahawa mereka akan diberikan telefon ini secara percuma sepeninggalan mereka dari kelab ini nanti.
Pelancaran pada malam ini diakhiri oleh beberapa buah lagu yang dimainkan oleh kumpulan Basmati. Suasana menjadi semakin rancak apabila kumpulan Basmati - yang dianggotai oleh lima orang anak gadis yang ayu ini memainkan lagu mereka yang kini berada di dalam tangga teratas carta lagu Kota Sendayu.
Keflix meneguk minumannya sambil tersenyum ke arah Hana. Sudah masuk tiga kali dia memuji kecantikan Hana pada malam itu, tetapi nampaknya Hana tidak makan dipuji oleh Keflix. Sesekali Hana akan memandang ke arah Cinta seolah-olah mahu Cinta mengalihkan perhatian Keflix darinya, tetapi Cinta sedang sibuk berbual dengan Fahmy tentang projek lukisan yang terbarunya.
Hana kemudian memandang pula ke arah Fidzan. Dia mendapati Fidzan sedang memandang ke hadapan. Fidzan sedang memandang ke arah bilik kaca bertentangan yang dipisahkan oleh dewan menari yang terletak di tengah-tengah kelab malam ini. Hana mula menyedari bahawa Fidzan sedang memandang tepat ke arah Lydia yang sedang berdiri tegak sambil memeluk tubuhnya.
Wajah Lydia kaku memerhatikan apa yang sedang berlaku di dalam bilik ini, khususnya Fidzan, yang dilihatnya lebih banyak termenung dari berinteraksi dengan rakan-rakannya yang lain pada malam itu. Dari jauh Lydia dapat mengagak ada sesuatu yang mengganggu fikiran Fidzan pada malam itu tetapi dia sengaja mahu menyembunyikannya dari pengetahuan orang lain.
Lydia menekan alat komunikasi yang sedang dipakainya pada waktu itu lalu menyebut nama Fidzan. Dari biliknya dia dapat melihat Fidzan menjawab panggilannya.
"Wajah kau nampak letih... Kenapa?"
"Saya kepenatan."
"Aku mahu meminta maaf kerana telah meminta kau supaya jangan berkawan dengan budak-budak perempuan ini... Aku tidak sepatutnya menghalang kau dari berkawan dengan mereka..."
Fidzan hanya menganggukkan kepalanya dengan perlahan. Dia mengeluh lesu. Dia mematikan telefon bimbitnya.
Fidzan berjalan ke arah Cinta. Dia memandang sekali ke arah Fahmy sebelum dia membuka mulutnya untuk berkata:
"Cinta, apa kata kita menari bersama?"
Cinta tersenyum sambil mengangguk. Dia membenarkan Fidzan memegang tangannya untuk membawanya keluar dari bilik kaca itu.
"Hana, aku ingin pergi menari!" katanya dengan suara yang jelas seronok kedengarannya.
Belum sempat Hana dapat menjawab dia mendapati Cinta sudah menghilang bersama Fidzan. Hana mengeluh sendiri. Perasaan cemburu terbit dengan serta merta di dalam lubuk hatinya...