<$BlogRSDURL$>

Limau Nipis - AvantGo

Laman Avantgo Limau Nipis oleh Nizam Zakaria

Thursday, September 29, 2005

Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 3
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.

Telefon awek cun dengan bantuan "gula getah penghilang rasa gementar"

Aku rasa perkara pertama yang aku perlu jelaskan tentang diri aku adalah aku sebenarnya seorang yang pemalu. Memang aku tahu aku kerja di belakang kaunter 7Eleven, dan aku terpaksa menghadapi berbagai-bagai jenis kerenah manusia hampir setiap hati, tetapi itu lain. Di belakang kaunter aku tak perlu melaburkan sebarang emosi kepada orang-orang yang aku temui. Paling banyak pun aku hanya perlu senyum. Aku tak perlu bertanya khabar dengan mereka dan berbual.

Malam ini aku bercadang untuk menelefon gadis bernama Sanisah, tapi aku segan. Aku tak tahu apa nak aku cakapkan bila aku dapat menghubunginya nanti.

Malam ini tak ramai orang yang berkunjung ke Bintang Walk. Di luar hujan lebat. Aku termenung di kaunter sementara Zila melayan berapa kerat pelanggan yang keluar masuk ke dalam kedai. Aku pegang handphone ku. Aku masih tak berani nak call Sanisah lagi.

Meh aku nak tengok gambar awek tadi. Ujar Zila kepada ku. Aku menggaru kepala ku. Aku keluarkan gambar yang aku simpan di dalam poket baju ku.

Gambar ini telah diambil di London. Beritahu ku dengan pantas.

Aku tahu lah!

Ye lah, mana tahu kau tak tahu ke...

Cun jugak awek dalam gambar ni... Sure sekarang dah jadi mak orang. Pakai tudung. Pipi dah tembam-

Mungkin betul cakap Zila. Mungkin Haryati dan tua, gemuk dan bertudung. Tak lagi secantik dalam gambarnya ini. Macam mak aku lah. Walaupun pipi mak aku tak tembam, tapi sekarang dia dah bertudung. Dulu, pada zaman awal 80'an; ketika dia muda dulu, mak aku pakai seluar jean stonewash yang ketat. Make-up dia tebal macam Madonna ketika dalam zaman dia bawak lagu Like a Virgin dulu. Rambutnya dipotong pendek dan kembang serabai macam Cindy Lauper. Dia pakai stoking panjang warna neon pink yang boleh silaukan mata. Masa tu, mak aku kata dia jarang nampak sesiapapun pakai tudung. Kalau ada perempuan pakai tudung, mereka akan disindir dengan panggilan hantu kum-kum. Sekarang zaman dah berubah. Orang-orang Melayu kini berfikiran lebih konservatif dari dulu. Aku rasa betul cakap mak. Kalau zaman P. Ramlee dulu ada bermacam-macam jenis filem dengan pelbagai tema boleh disentuh, sekarang mungkin tidak. Banyak filem-filem zaman P. Ramlee seperti Doktor Rushdi, Panggilan Pulau, Sumpah Orang Minyak dan Keluarga 69 (tajuknya sahaja dah boleh buat penapis filem kita melenting, kan?), tidak boleh dibuat pada zaman sekarang. Sebab itulah kebayakan filem-filem yang dibuat sekarang hancur tahap gaban. Aku rasa, orang-orang zaman dahulu lebih bebas berfikir dan berkarya. Dahulu aku rasa, rakyat Malaysia dari pelbagai bangsa lebih bersatu, tak macam sekarang bila kita boleh lihat ada jurang di antara kaum. Orang Melayu hanya akan bercampur dengan orang-orang Melayu, begitu juga dengan bangsa-bangsa lain.

Bagi aku zaman sekarang segala-galanya dipenuhi dengan kepalsuan. Semuanya plastik. Manusia zaman sekarang hidup bertopeng-topeng sehinggakan mereka tak tahu apa yang betul dan apa yang tidak. Ada orang kritik filem Sepet sebab mereka keliru dengan watak Orked yang rajin bersolat, berbaju kurung tetapi berani mempunyai teman lelaki berbangsa Cina yang dipanggilnya 'sayang' setelah baru 2-3 kali berdating. Mereka kata, Orked ini gadis sosial, jadi gadis sosial tak sepatutnya pakai baju kurung. Orang-orang seperti ini hanya tahu melihat keadaan luaran manusia. Dalam kehidupan serba kepalsuan, mereka mahu melihat semua manusia mengikut acuan kepalsuan mereka. Mereka hidup dalam dunia fantasi mereka sendiri dan apabila mereka dipertontonkan kepada cara hidup yang asing bagi mereka, terus mereka akan melenting. Mereka menolak kepelbagaian. Mereka akan kata semua yang mereka lihat ini sebenarnya tak wujud atau sengaja dibuat-buat atau ia telah berlaku akibat kesan budaya barat. Aku ada kenal orang macam ni. Pak Long aku sendiri. Kalau ada sahaja sesuatu yang ditontonnya di kaca TV, atau dibacanya di dalam akhbar yang dirasainya tak betul, dia kata ini adalah taktik Yahudi - seperti apa yang berlaku pada 9/11 di kota New York (dia tak tahu, penduduk New York berbangsa Yahudi adalah yang terbesar di luar Israel). Dia juga pernah tuduh anak jirannya yang bekerja sebagai pramugari dan tak bertudung sebagai perempuan murahan serta kurang asuhan agama (dia kata anak jirannya dah ikut budaya Yahudi). Aku diam jer. Dalam pada itu, aku tak sampai hati nak bagi dia printout gambar sepupu aku yang sedang dilancap aweknya yang bertudung labuh ketika mereka diskodeng di dalam sebuah taman di Shah Alam. Sampai sekarang agaknya dia tak tahu gambar sepupu aku tu (yang telah diambil oleh kaki-kaki skodeng yang kononnya nak buat kerja khidmat masyarakat), tu dah tersebar luas di Internet.

Aku benci kepada kepalsuan. Apa-apa yang palsu dan Pak Long aku tu!

Aku masukkan handphone aku di dalam kocek. Aku pandang ke hadapan. Aku dapati orang gila yang aku selalu nampak berjalan di kawasan Bukit Bintang tu berjalan di dalam hujan lebat. Dia berjalan sambil memeluk tubuhnya kerana kesejukan. Aku nampak segala-galanya ini berlaku di hadapan ku dalam bentuk slow-motion (lepas tu keluar lah pulak lagu Another Day In Paradise oleh Phil Collins dalam kepala ku).

Satu lagi hari di syurga untuk kau dan aku tapi bukan untuknya. Jadi aku keluar dari kaunter. Aku kuakkan pintu kedai, lalu panggil dia supaya masuk ke dalam. Dia menoleh ke arah ku. Dia berjalan ke arah ku lalu masuk ke dalam kedai. Badannya yang lencun telah menyebabkan lantai kedai basah dengan air yang menitik-nitik dari tubuhnya.

Uncle tak boleh jalan kat luar sana macam tu. Lain kali kalau hujan, uncle cari tempat berteduh. Kata ku kepadanya, lalu aku masuk ke dalam bilik stor. Prasasti ada berikan aku sehelai "tuala ajaib penyerap air tanpa had". Aku keluarkan tuala ini dari dalam beg ku. Aku pernah bawa tuala ini ke tempat tinggal Zila di Jalan Scott ketika aku mahu berenang di kolang renang yang ada di kondominiumnya. Selepas puas berenang dan setelah aku keringkan badan aku yang basah, aku letak tuala kecil ini ke tepi. Tuala kecil ini terbang ditiup angin, lalu terjatuh ke dalam kolam renang. Dalam masa tak sampai seminit, semua air dalam kolam renang diserap tuala kecil ini. Nasib baik lah masa tu tengah hari dan tak ada sesiapapun yang menggunakan kolam renang kecuali aku...

Aku gunakan tuala kecil ini untuk keringkan tubuh orang gila ni. Aku rasa dia berumur di sekitar awal 40-an. Tuala kecil aku kotor sewaktu mengesat tubuhnya yang berdaki dan berbau hanyir tu. Tapi sekarang dia nampak kering dan sedikit bersih. Kemudian aku tertunduk-tunduk mengesat lantai yang dibasahinya.

Aku menoleh ke arah Zila. Dia menyerahkan sebiji cawan styrafom kepada ku. Dia minta aku buat kopi untuk uncle ni.

Apa nama uncle? Tanyaku. Dia tidak menjawab. Aku rasa tentu dia ingat aku gila sebab nak tolong dia bila tak ada seorang pun yang berani mendekatinya. Tak pun dia mesti ingat aku mahu menyakatnya seperti yang selalu dilakukan oleh budak-budak punk dan skinhead yang datang lepak di kawasan ini.

Aku serahkan air kopi panas kepadanya lalu mengingatkannya supaya menghirup air kopi pemberian ku itu dengan perlahan. Aku tanya dia kalau dia lapar. Dia tak menjawab. Aku keluarkan dompet aku. Aku beli roti sardin dan bayar sekali harga air kopi yang aku sedekahkan kepadanya tadi.

Pakcik ada keluarga tak kat sini? Tanya Zila dengan lembut. Orang gila tu menggeleng. Nampaknya dia memang faham pertanyaan Zila tadi. Uncle ada nama tak? Tanya Zila lagi.

Chandran. Jawabnya perlahan tanpa memandang ke arah Zila. Dia kemudian berpaling ke arah ku tanpa kami bertentang mana. Katanya kepada ku: Tugas kamu bukan untuk mencari cinta, tetapi sekadar mencari semua halangan yang ada di dalam diri kamu yang telah kamu bina terhadapnya.

Jalaluddin Rumi? Tanya ku meminta kepastian. Dia tidak menjawab, tapi aku tahu itulah jawapannya.

Apakah halangan yang telah dia bina di dalam dirinya uncle? Tanya Zila ingin tahu.

Uncle Chandran tidak menjawab soalan Zila tadi. Dia tersengih-sengih. Dia makan roti sardin yang aku belikan untuknya. Aku memintanya duduk diam di tempat duduk berdekatan. Dia menurut sahaja.

Jam menunjukkan pukul 11 malam. Aku tak tahu jika aku harus menelefon atau tidak. Aku masih segan untuk menelefonnya. Aku tenung kertas pemberian Miss Lee lama-lama.

Kalau kau nak aku call dia bagi pihak kau... Aku boleh tolong. Kata Zila menawar bantuan. Aku menggeleng. Aku terus mengeluarkan handphone ku. Aku keluarkan "gula getah penghilang rasa gementar" pemberian Prasasti, lalu aku kunyah gula getah tersebut agar aku tidak gugup nanti. Seterusnya aku tekan nombornya lalu menarik nafas ku dalam-dalam.

+ Hello, boleh saya bercakap dengan Sanisah
- Ya, ini Sanisah bercakap... Siapa ni?
+ Nama saya Masdor.
- Masdor mana pulak ni?
+ Saya ada beli beberapa keping rekod dari kedai antik Teresa Forever semalam...
- Jadi kenapa? You dapat nombor ni dari siapa?
+ Miss Lee yang bagi.
- Miss Lee dari kedai antik tu ke?
+ Ya.
- Jadi apa masalahnya sekarang? You nak pulangkan kembali rekod you yang rosak ke? You ingat I jual VCD cetak rompak ke... Boleh tukar-tukar?
+ Eh, tak... Bukan fasal tu. Rekod yang awak jual okay jer.
- Dah tu?
+ Saya ada terjumpa dengan sekeping gambar dalam sampul piring hitam Sanisah Huri.
- Gambar apa?
+ Gambar lama yang telah diambil di Carnaby Street.
- ...
+ London.
- Saya tahu lah Carnaby Street tu kat London.
+ Kat belakang gambar tu ada tertulis perkataan: Salam sayang untuk abang Mokhtar, dari Haryati. London 1979.
- Oh...
+ Saya nak pulangkan gambar ini kepada awak.
- ...
+ ...
- Tak payah susah-susah lah. You can keep it.
+ Saya nak pulangkan jugak! Esok awak free tak? Mungkin kita boleh berjumpa kat mana-mana?
- ...
+ Pukul 3 petang.
- Tak payah susah-susah lah!
+ Tak susah. Saya akan bawak kawan saya sekali. Perempuan. Boleh tak?
- Awek you ke?
+ Tak. Kawan sekerja.
- You tak kerja ke esok?
+ Saya kerja malam.
- Mana?
+ Bintang Walk... 7Eleven.
- Oh, that's interesting!
+ Apa yang interesting?
- I ingatkan nak ke Bintang Walk tadi... Tapi tak jadi sebab hujan.
+ Kalau tak hujan dan saya call awak awal sikit, mungkin kita boleh berjumpa di sini sahaja kan?
- Ya... Tapi takdir telah menentukan agar kita diketemukan esok.
+ So... Esok jadilah kan?
- Jadi
+ Pukul 3, ya?
- Okay jer.
+ Kita jumpa kat mana?
- Rumah I... I malas nak keluar mana-mana.
+ Awak tinggal kat mana?
- Kondominium Bistari, Jalan Putra... Tahu kat mana tak?
+ Tak.
- Depan The Mall... Sebelah Pan Pacific.
+ Okay. Tahu.
- Tingkat 31. Call me bila dah sampai sini nanti.
+ Okay.

Aku telan air liur. Jantung ku berdegup kencang. Aku tak tahu apasal ntah, tapi masa tu aku rasa semacam jer. Aku tengah stim.

Zila, esok ikut aku jumpa awek ni? Boleh? Tanyaku kepadanya separuh merengek.

Aku dah agak dah. Kau ingat aku tak dengar apa kau bual kan tadi?

So? Camna? Boleh?

Ye lah! Zila menjeling ku. Aku memandang ke hadapan. Uncle Chandra tak ada lagi di dalam 7Eleven. Aku tak tahu ke mana dia pergi. Aku harap malam ini dia dapat cari tempat untuk berlindung. Di luar hujan masih turun dengan lebat...








posted by Nizam  # 1:30 PM

Wednesday, September 28, 2005

Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 2
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.

Pengorbanan seorang pemain gitar

Aku suka mengumpul piring hitam sebab itu sahajanya harta yang mampu diturunkan oleh bapak aku kepada ku. Bapak aku seorang peminat muzik. Dia banyak mengumpul piring hitam. Bila mak aku buang koleksi piring hitamnya, aku kutip balik dan kemudian aku simpan baik-baik di dalam bilik ku. Ketika itu aku berusia 8 tahun.

Pada awal tahun 80-an dahulu bapak aku menganggotai sebuah kumpulan muzik bergelar The Phase. Mereka hanya sempat membuat sebuah EP dan lagu-lagu mereka langsung tak terkenal. Bila aku dengar semula lagu yang mereka mainkan, aku dapati mereka jauh ke hadapan masa mereka. Lagu yang mereka bawa menyerupai lagu-lagu yang dibawa oleh kumpulan Coldplay atau Radiohead yang bersifat melankolik. Masa tu (dan sekarang ini juga) peminat-peminat muzik lebih suka lagu-lagu yang pop yang ceria. The Phase lebih senang memainkan lagu-lagu tentang perpisahan, kekecewaan dan kemurungan yang dicipta oleh bapak aku. EP mereka tak laku. Dalam sekejap masa sahaja mereka dilupakan dan beberapa tahun kemudian, kumpulan The Phase dibubarkan.

Mak aku telah mengenali bapak aku kerana mak aku ini seorang groupie. Dialah salah seorang di antara 5 peminat setia kumpulan The Phase masa itu. Mak aku pernah beritahu aku, dia minat dengan bapak aku sebab dia telah jatuh cinta dengannya sejak kali pertama dia bertentang mata dengan bapak aku ketika The Phase sedang mengadakan sebuah pertunjukan di funfair Sentul. Ketika tu mak aku baru sahaja berhenti sekolah. Dia kata bapak aku hensem, sebab itu dia jatuh hati kepadanya. Rambutnya panjang dan ikal macam Andy Gibb. Masa tu, tauke funfair tak bagi The Phase bawak lagu mereka yang melankolik. Jadi bapak aku menyanyikan lagu cover version Rock the Boat dari Hues Corporation. Aku rasa, itulah satu-satunya masa bapak aku nyanyi lagu yang ceria. Bapak aku nyanyi kat funfair tu sebab dia nak kumpul duit untuk sewa studio dan rekod beberapa buah lagu mereka untuk diberikan kepada syarikat-syarikat rakaman.

Mak aku minat dengan bapak aku dan bapak aku pula memang syok giler dengan mak aku. Mereka bercinta. Mereka akhirnya berkahwin pada tahun 1984 setelah empat tahun mereka saling mengenali. Pada ketika itulah kumpulan The Phase dibubarkan. Setahun kemudian, aku dilahirkan. Bapak aku terus berhenti dari bermain gitarnya lalu bekerja macam orang biasa. Dia diambil bekerja untuk menjadi jaga di bangunan syarikat rakamannya dahulu. Aku rasa pada saat dia berhenti menjadi pemuzik, pada saat itu lah sebahagian dari jiwanya mati.

Macam-macam rekod yang dikumpulkan bapak aku dahulu (8-track tape pun ada, tapi banyak yang dah berkulat dan tidak boleh dimainkan lagi). Aku rasa, seperti aku, duitnya habis di situ sahaja. Antara koleksi-koleksi piring hitam yang telah aku warisi darinya adalah album-album dari Aretha Franklin, Ozzy Osbourne, Kiss, Pink Floyd dan Steve Miller Band. Ketika aku kecil dahulu, dunia aku telah dipenuhi dengan muzik. Tak kira muzik dari Malaysia ataupun dari barat. Semua muzik yang memenuhi hidup ku terhenti apabila bapak aku semakin tua dan apabila kaset menggantikan piring hitam dan seterusnya CD menggantikan kaset.

Aku sayangkan bapak aku macam aku sayangkan mak aku. Tapi bapak aku ni pendiam sikit orangnya. Aku tak boleh bayangkan dirinya ini sebagai seorang pemuzik dengan keadaannya sekarang yang tidak banyak campur orang dan lebih suka menyendiri. Kalau kau nak tahu, bapak aku telah berhenti dari menjadi seorang pemuzik di atas desakan datuk aku. Dia kata kalau dia nak kahwin dengan mak aku, dia kena ada kerja tetap. Demi cinta, dia sanggup melakukan pengorbanan ini semua. Demi cinta, kumpulan The Phase yang jauh ke hadapan masanya itu akhirnya terpaksa dibubarkan. Ketika itu, aku rasa tentu bapak aku sayang gila dengan mak aku sehingga dia sanggup melakukan ini semua. Aku kurang pasti jika jauh di dalam hatinya, dia menyesali tindakan yang telah diambilnya, kerana sekarang, dia tak sayangkan mak aku.

Sebaik sahaja aku membuka mata aku petang itu, aku terus ambil piring hitam dari Steve Miller Band lalu memainkan lagi Abracadabra. Mak aku sedang memasak di dapur. Sekejap lagi dia akan masuk kerja, begitu juga bapak aku dan aku. Kami semua kerja malam. Kami selalu ada di rumah pada waktu siang dan rumah ini akan kosong pada waktu malam kecuali pada hujung-hujung minggu. Pada malam hari, Prasasti akan menjadi ratu rumah ini. Kadangkala aku rasa dia buat pesta di dalam bilik aku dengan kucing-kucing lain yang tinggal di dalam flat ini. Macam-macam jenis bulu kucing aku jumpa dalam bilik aku bila aku balik dari kerja. Bila aku tanya dia fasal benda ini semua dia tak akan jawab. Dia akan buat-buat tidur.

Siapa menang Malaysia Idol semalam? Tanya ku kepada Prasasti. Dia jawab Nita. Babi lah kucing tu. Sah-sah yang menang Daniel. Aku dah agak dia mesti temberang aku. Sebab tu aku suka tanya soalan-soalan macam ni kepadanya.

Aku lupa nak bagi dia DVD cetak rompak filem Pedro Almodovar yang bertajuk Bad Education yang dimintanya dari ku. Aku keluarkan DVD dari beg aku lalu aku serahkan kepadanya. Sikit pun dia tak ucap terima kasih. Aku dah banyak kali tanya kenapa dia tak gunakan mesin-mesin ajaibnya untuk ambil sahaja segala barang yang diingininya dari menyusahkan aku macam ni turun naik BB Plaza cari filem yang dia mahu tonton. Dia beri aku jawapan yang sama. Mesin-mesinnya hanya boleh digunakan bukan untuk kebaikannya tapi untuk kebaikan orang lain.

Aku keluar dari bilik ku. Aku lihat bapak aku sedang duduk membaca surat khabar. Aku duduk sambil memandang ke arahnya. Dia tak tahu aku tahu macam-macam mengenai dirinya dan rahsia yang cuba disimpannya dari aku dan mak. Sekarang ini dia sedang mengadakan hubungan dengan Lailati penyanyi kelab dangdut yang masih bergetah tu. Bapak aku sayangkan Lailati kerana dia mengingatkan bapak aku kepada cintanya kepada muzik yang dah lama mati di dalam hatinya. Aku tak tahu kenapa bapak aku masih mengadakan hubungan dengan mak aku sedangkan dia tak sayangkan mak aku lagi seperti dahulu.

Yah, kalau ABBA tak ada dalam dunia ni... Ayah rasa dunia kita ni macam mana agaknya? Tanya ku tiba-tiba kepadanya.

Kau kena dengar balik lirik Thank You for The Music. Jawab bapak ku. Dia masih bersembunyi di sebalik surat khabar yang dibacanya.

What would life be? Without a song or a dance what are we? Aku jawab balik dengan menyanyikan rangkap lagu ABBA yang disebutkannya tadi.

Ya. Tanpa ABBA dunia kita akan kekurangan lagu-lagu yang mampu menghiburkan kita.

Tapi ayah ada album Abba, The Visitors aja... Kenapa, yah?

Kau sendiri tahu jawapannya bukan? Sambut bapak aku lalu dia terus mendiamkan dirinya. Ya, aku memang tahu jawapannya. Album ini pada pendapat ku adalah album ABBA yang paling melankolik. Jarang lagu-lagu di dalam album ini yang diingati pada masa ini walaupun lagu-lagu di dalam album ini penuh dengan emosi dan kreativiti. Bapak aku suka dengan album ini. Setahu aku, dia tidak pernah beli album-album ABBA yang lain. The Visitors sahaja album ABBA yang ada di dalam koleksinya.

Album ABBA bertajuk Voulez-Vous yang terkandung lagu Chiquitita adalah piring hitam pertama yang aku beli dengan duit aku sendiri - ketika itu aku berusia 9 tahun. Ketika itu lah aku mula-mula berkenalan dengan Miss Lee. Dia yang merekomenkan album ini kepada ku. Dia kata kalau aku dengar lagu-lagu ABBA dalam album ni, mesti aku suka. Bila aku mainkan lagu Chiquitita, aku mainkan banyak-banyak kali. Aku mainkan lagu ini walaupun aku tak tahu liriknya. Aku mainkan lagu ini sampai aku menangis sebab irama lagu ini sedih sekali rasanya. Aku rasa sepi. Mak bapak aku kerja malam dan aku pula sekolah siang. Bila malam hari aku kena duduk rumah seorang diri. Aku rasa pada masa itulah aku minta supaya aku ditemani oleh seorang kawan. Aku rasa masa itulah Prasasti mula muncul di dalam hidup ku.

Aku beritahu kepada mak aku, aku mahu keluar awal untuk ke Central Market sebelum aku masuk kerja malam ini.

Kau nak ke kedai Miss Lee, ke? Tanya mak aku dari dapur. Aku kata, ya. Dia tanya kalau aku mahu makan malam bersamanya. Aku kata tak. Dia kata dia akan bungkus kan makanan untuk aku dan Zila. Dia ingat Zila tu awek aku. Malas aku nak terangkan kepada mak aku yang Zila dia tak minat dengan lelaki dan dah ada awek.

Petang itu aku keluar rumah dengan dua plastik penuh dengan makanan untuk aku dan Zila. Aku terus ke Central Market. Aku lepak sekejap kat luar Central Market untuk menunggu Zila di situ. Dia tiba tepat pada masanya. Aku tanya dia kalau dia lapar. Dia mengangguk. Suzi outstation - dia kena pergi Jakarta selama seminggu mulai hari ini untuk menguruskan hal penggambaran. Suzi seorang juru foto untuk sebuah majalah fesyen terkemuka. Suzi yang selalu masakkan untuk Zila. Sebab itulah Zila tak bawak bekal hari ini atau makan sebelum dia berjumpa aku di sini.

Kami duduk di luar Central Market sambil mendengar dua orang pemuzik jalanan memainkan lagu Stairway to Heaven oleh Led Zeppelin. Kami berdua makan di situ sambil mendengar muzik yang dinyanyikan.

Budak-budak lelaki yang duduk bertentangan dengan aku tak henti-henti memandang ke arah Zila. Aku rasa mereka sedang dok komen fasal body Zila yang cun tu. Lagipun Zila cantik, jadi aku tak hairan jika mereka akan jadikan Zila fantasi bulan madu mereka malam ini dengan kawan baik mereka Si Tangan Kanan (Si Tangan Kiri, kalau mereka kidal).

Zila mempunyai kulit putih bersih, bermata coklat. Wajahnya cantik macam model. Suzi mula-mula kenal dengan Zila ketika Zila baru sahaja masuk bekerja di 7Eleven. Suzi mahu ambil gambar Zila dan menjadikan dia seorang model. Tapi Zila menolak pelawaannya dan dia kata dia tak mahu jadi model. Dia tak mahu jadi terkenal sebab dia takut mak bapak dia akan tahu dia berada di Kuala Lumpur lalu akan mengheretnya pulang ke Kelantan. Zila lari dari Kota Bharu lebih setahun yang lalu sebab dia takut akan dikahwinkan dengan seorang ustaz PAS yang dah ada bini dua dan tiga orang cucu. Kalau dia kena paksa kahwin dengan Brat Pitt pun aku rasa dia akan lari jugak, sebab dia tak minat lelaki.

Ramai yang cemburu sebab Zila rapat dengan aku. Diorang ingat Zila tu awek aku. Baguslah macam tu, yang glamor aku jugak, kan? Apa tidaknya, kawan-kawan Zila yang kebanyakannya model (yang dikenalinya melalui Suzi), selalu singgah ke 7Eleven dah tu laga-laga pipi dengan dia. Stim jugak aku tengok. Bila diorang jadi kawan Zila, aku terus jadi kawan diorang jugak.

Zila belanja aku minum air sirap yang dijual di tepi jalan. Selepas minum, kami masuk ke Central Market lalu ke kedai Miss Lee. Aku dah lama perkenalkan Zila kepada Miss Lee dan Miss Lee memang suka dengan Zila sebab dia kata muka Zila ada iras-iras muka Faye Wong, lebih-lebih lagi semasa penyanyi Cina tu berlakon dalam filem Chungking Express. Zila memang rapat dengan Miss Lee lebih dari aku rapat dengannya, sebab studio kepunyaan Suzi terletak di bangunan sebelah, di Annexe, Central Market. Jadi, setiap kali dia pergi melawat Suzi di studionya, dia pasti akan menjenguk Miss Lee.

Miss Lee tanya Zila jika dia free hari Sabtu dan hari Minggu ini. Zila kata dia tak buat apa-apa. Miss Lee kemudian memberitahunya dia mahu bercuti ke Singapura untuk bertemu sanak saudaranya di sana dan dia sedang mencari pembantu kedai untuk menjaga kedainya. Zila bersetuju. Wajah Miss Lee berseri-seri sebab akhirnya dia jumpa jugak dengan pembantu kedai yang dicari-carinya, jadi dia tak perlu tutup kedai antiknya ini nanti.

Tak susah nak jaga kedai ni. Kalau orang tawar, you bagi lah diskaun. Kalau hensem macam si Masdor ni, you bagi diskaun lebih! Kata Miss Lee kepada Zila sambil bertepuk tampar dengannya. Dia ambil sebentuk bunga plastik yang ada di dalam simpanannya lalu disematkan ke telinga Zila. Terus Zila disuruh posing macam Teresa Teng. Apabila Zila buat jer apa disuruh, terus Miss Lee nak jadikan Zila anak angkatnya. Macam mana tu?

I tak ada anak... Tapi kalau I ada anak I nak ada anak beautiful macam you. Macam Faye Wong! Kata Miss Lee dengan nada sayu. Dia tarik nafasnya dalam-dalam. Memang aku kasihankan pondan kertu macam dia ni. Dia duduk seorang diri di sebuah flat yang terletak di Chow Kit. Dia pernah beritahu aku dia tak ramai kawan. Dia suka kalau aku datang ke kedainya walaupun aku tak beli apa-apa darinya. Memang masa aku kecik dulu aku sula lepak dengannya, tapi bila dah kerja sekarang, jarang aku ada masa nak jumpa dia inikan duduk berbual dengannya macam dulu.

Miss Lee, ah! Apasal you tak mintak I jaga kedai you ni? Tanyaku kepadanya sambil mencebik.

Kedai ini namanya Teresa Forever, lor... You boy-boy. Kalau boy-boy jaga kedai ini nanti apa orang kata? Itulah alasan yang diberikannya kepada ku.

Miss Lee, siapa jual you rekod-rekod lama I beli semalam?

Oh... Kenapa you tanya?

I mau tahu lah.

I jumpa gambar ini dalam sampul album Sanisah Huri yang I beli... I nak pulang kan balik kepada tuan punya gambar. Kata ku bersungguh-sungguh.

Miss Lee memakai cermin matanya. Dia meneliti gambar tersebut. Kemudian dia memandang ke arah ku. Dia berjalan ke kaunternya lalu mengambil sekeping buku nota yang disimpannya. Dia menulis nombor handphone yang ada di dalam buku notanya itu di dalam sekeping kertas lalu diberikan kepada ku.

Kalau you nak tahu, ah... Budak perempuan dalam gambar tu yang jual rekod-rekod ni semua. Dia suruh I call dia kalau I mahu dia bawak lagi banyak rekod untuk I jual di sini.

Apa? Biar betul! Siapa nama budak perempuan tu?

I sudah tulis nama dia dalam kertas I bagi you, lor!

Aku baca nama yang ditulisnya. Sanisah. Bukan Haryati. Aku simpan nombor yang diberikan kepada aku baik-baik.

Selepas aku dapat nombor keramat ini dari Miss Lee, aku terus memberitahunya aku dan Zila perlu bergerak ke Bukit Bintang. Miss Lee mengangguk faham. Zila memberitahunya dia akan menelefonnya kelak tentang pekerjaan yang perlu dilakukannya pada hujung minggu ini.

Aku membawa Zeti naik motor ku ke Bukit Bintang. Sepanjang perjalanan, fikiran ku melayang memikirkan tentang gadis yang dikatakan Miss Lee mempunyai wajah menyerupai gambar Haryati yang sudah aku sayang setengah mati ini. Siapa sebenarnya gadis ini. Adakah dia Haryati sendiri, atau mungkin anaknya? Aku perlu mendapatkan jawapannya dengan segera!





posted by Nizam  # 2:27 PM

Tuesday, September 27, 2005

Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 1
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.

Prasasti si kucing robot yang kuat melatah

Si Prasasti kucing robot dari zaman masa depan ini muncul di dalam hidup ku secara tiba-tiba. Sebenarnya aku pun tak tahu bila. Dia tiba-tiba sahaja muncul dan aku rasa macam ia adalah sebahagian dari hidup ku. Dia beritahu aku dia kembar Doraemon (seperti Doraemon, dia lahir pada 3 September, 2112). Tapi aku tak tahu jika ini betul aku dia sengaja nak temberang aku. Prasasti si robot kucing betina kelabu ni memang kaki temberang. Tapi mungkin betul dia ni adik kepada Doraemon sebab macam Doraemon, dia ada poket empat dimensi yang membolehkan dia keluarkan macam-macam mesin ajaib yang tak masuk akal.

Aku pernah tanya kepada Prasasti kenapa dia nak sibuk-sibuk muncul di dalam hidup ku. Dia kata itu adalah kerjanya dan kerjanya adalah untuk memastikan agar dia dapat menjaga ku kerana aku dapat membantunya untuk membetulkan apa sahaja yang tak betul di dalam kehidupan orang lain. Aku telah dipilih kerana menurutnya, aku ada hati yang suci dan hati seperti ku susah untuk dicari. Aku tak tahu apa yang Prasasti lihat yang ada di dalam diri ku, sebab tak pernah terlintas dalam fikiran aku yang aku ada hati yang suci. Masalahnya, aku tak tahu jika aku mampu tugas yang berat yang terpaksa aku lakukan kerana hidup aku sendiri tak betul. Aku rasa Prasasti sendiri tak tahu apa yang sepatutnya dia lakukan sebab aku selalu lihat dia makan tidur makan tidur. Prasasti sendiri tak banyak tolong aku. Cuba kau bayangkan, Prasasti mampu buat aku kaya raya dengan segala mesin ajaib yang dia ada tetapi dia tak pernah nak bagi aku peluang untuk meraih keuntungan. Selalunya mesinnya lebih mendatangkan kesusahan di dalam hidup ku dari kebaikan. Beberapa tahun yang lepas, dia memberi ku untuk mencuba sebuah topi yang boleh ku pakai untuk membolehkan aku membaca fikiran orang lain, tapi aku terus berhenti untuk menggunakannya apabila aku dapat tahu bapak aku ada simpan perempuan lain dan dia dah berhenti menyayangi mak aku. Apabila Prasasti beri aku guna cermin mata khas untuk membolehkan aku melihat menembusi tembok, aku dapat tahu jiran sebelah rumah ku, Uncle Lim tu sebenarnya tauke VCD lucah.

Namaku Masdor. Bapak aku kata dia menamakan aku sempena nama Kassim Masdor pengubah lagu pada zaman P. Ramlee dulu. Bapak aku memang minat dengan filem-filem P. Ramlee. Dia bekerja sebagai seorang jaga di sebuah bangunan pejabat di Jalan Sultan Ismail. Dia bekerja malam. Mak aku pula bekerja sebagai pembantu perubatan di Hospital Besar Kuala Lumpur. Aku seorang sahaja anak mereka. Kami tinggal di Flat Melati di Jalan Loke Yew sejak aku kecil. Flat ku kecil. Dunia ku lagi kecil.

Usia aku sekarang 20 tahun. Aku kerja di 7Eleven di Bintang Walk. Dah dekat setahun aku kerja di sini. Sebelum ini aku kerja jadi budak despatch, tapi aku kena buang bila awek setiausaha muda boss aku suka kat aku. Dengan mesin membaca minda yang dipinjamkan Prasasti, aku dapat tahu boss aku yang ada bini dua dan anak tujuh orang tu sedang tergila-gilakan dengan setiausaha muda dia tu. Adeh!!!

Hobi aku kumpul piring hitam lama yang sukar dicari sekarang. Bilik aku penuh dengan piring hitam lama. Sebelum aku tidur mesti aku akan mainkan lagu dari salah sebuah koleksi yang aku ada, kalau tak aku tak boleh tidur. Semalam bila aku mainkan EP Allahyarham A Ramlee dan Jeffry Din, mak ketuk pintu. Dia minta aku perlahan lagu Pop Yeh Yeh yang aku mainkan tu sebab dia takut Uncle Lim tauke jual VCD lucah tu akan komplen lagi. Anak dia yang masih sekolah lagi tu nak tidur.

Mak kata aku suka berangan-angan. Tapi biarlah apa mak nak kata. Dia kata jika aku tak habiskan masa ku dengan termenung, lalu belajar rajin-rajin, aku dah masuk universiti macam anak Cik Senah kawan baiknya tu. Dia kata aku cerdik, tapi aku malas. Memang aku malas nak baca buku. Aku malas nak belajar. Prasasti pun kata aku ni pemalas.

Aku pernah tanya dengan Prasasti jika dia ada mesin untuk jadikan aku rajin. Dia kata dia ada, tapi dia cakap nanti aku rajin buat benda lain seperti rajin kacau awek-awek cun atau rajin pergi racing moto dengan kawan-kawan mat rempit aku. KAU MEMANG TAK GUNALAH! BUKANNYA NAK TOLONG KAWAN! Aku tengking si Prasasti ni bila dia tak nak tolong aku menang satu race ni dengan kawan-kawan aku. Tak guna aku habiskan duit beli sedozen kuih pau kacang untuknya. Lepas tu aku lagik sikit nak tempeleng muka dia bila dia kata PIRAH MABUK, NAK MAIN RASUAH KONON! Bila aku marah-marah dan nak tempeleng dia, si Prasasti terus melatah. OPOCOT MAK KAU MELETUP!

Ya, memang benar Prasasti kuat melatah. Cuit sikit pun boleh melatah. Bila dia melatah, hari tu, dia keluarkan sebuah mesin dari kocek dia lalu ditukarnya aku menjadi seekor kucing. Sehari suntuk aku jadi kucing. Tapi aku suka jadi kucing. Menonong aku pergi rumah budak-budak salesgirls yang tinggal di kat tingkat 4 tu. Diorang usap aku, belai aku atas paha diorang sampai aku stim sendiri. Sekarang aku tahu kepada kucing suka kena belai. Aku dah banyak kali pujuk dia untuk jadikan aku seekor kucing parsi yang comel, tapi Prasasti tak bagi. Kemut lah dia tu!

Aku kerja shif malam. Aku suka kerja syif malam sebab tak banyak kerja yang perlu aku lakukan malam-malam di hadapan kaunter dibandingkan dengan kerja di waktu siang. Pada malam hari, macam-macam manusia yang aku temui - kakidiskokakibotolkakijantankakibetinakakilepaklesbianhomoheterometroseksualmatrempitbohjanbohsiapelacurmoneyboymakdatintaitaiposersyuppyawekcunawekgedikawekbertudung...

Kalau Nobita ada Shizuka, aku pula ada Zila. Kawan aku yang paling rapat dengan aku sekarang ini nama penuhnya Nur Zila binti Effendi. Dia setahun lebih muda dari aku. Lesbian. Berasal dari Kota Baharu, Kelantan dan dah dua tahun berhijrah ke Kuala Lumpur. Aku tak pernah jumpa manusia yang baik macam dia. Di dalam Kuala Lumpur yang segala-galanya palsu, dia sahaja yang aku lihat antara contoh manusia yang jujur. Dia tak pernah berbohong kepada ku. Kalau dia tak sukakan sesuatu, dia akan beritahu. Dia tak akan selindung-selindung. Kalau dia kemaruk marahkan aku, dia akan belasah aku cukup-cukup. Dia pernah tumbuk muka aku bila dia dapat tahu aku ikut kawan aku sedut syabu. Mata aku lebam. Dia marah betul dengan aku. Dia ugut aku dia akan bunuh aku kalau dia dapat tahu aku guna syabu lagi. Dia akan panggil kawan-kawan lesbian butch dia tu lepas tu belasah aku sampai mati belakang Lot10. Aku boleh bayangkan aku mati terkangkang tepi longkang kena belasah pengkid. Dia kata kalau aku nak mampus, biar dia dan kawan-kawan dia sahaja yang bunuh aku.

Pagi ini aku ada terima SMS dari Miss Lee pondan kertu yang menjaga kedai antik kepunyaannya di Central Market. Dia kata dia ada sekotak rekod-rekod lama yang sampai ke kedainya semalam. Miss Lee hidup sezaman dengan penyanyi Teresa Teng yang menjadi idolanya. Jadi, hari-hari dia akan pakai baju ikut style Teresa Teng dalam zaman 70-an. Dia namakan kedai antiknya, Teresa Forever.

Pagi tadi bila aku balik ke rumah, aku belikan Prasasti dua biji pau kacang dari kedai kopi Cina di bawah flat aku yang menjadi kegemarannya. Dia makan dengan rakus.

Mrasalah* you all dapatkan koleksi rekod baru kan dari Miss Lee, kan? Kata Prasasti kepada ku apabila aku mainkan piring hitam Teresa Teng (dengan penyanyi Malaysia Lee Yee pada bahagian A piring hitam yang sukar dicari ini) . Prasasti tahu aku dah sebulan tak beli piring hitam baru sebab aku tak ada duit.

Tengoklah nanti kalau dia ada koleksi yang gerek. Jawab ku. Suara Teresa Teng memenuhi setiap ruang di dalam bilik ku.

Prasasti mengunyah pau kacangnya lalu dia mendekati ku. Dia pandang aku dalam-dalam kemudian dia kata aku perlu mendapatkan sekeping piring hitam khas oleh Sanisah Huri dari kedai Teresa Forever. Dia kata piring hitam yang perlu aku dapatkan ini akan menentukan hidup dan mati aku nanti.

Hah?

Nanti mrasalah you all akhirnya tahu jawapan kepada rahsia kehidupan dan segala-galanya.

Jawapannya: nombor 42

Prasasti bercekak pinggang. Dia pantang jika aku main-main setiap kali dia serius kepada ku macam ni.

Okaylah... Nanti aku cari. Aku akhirnya mengalah. Malam itu sebelum aku masuk kerja, aku terus ke Central Market. Aku dapati kedai antik Teresa Forever tak ada pengunjung. Miss Lee aku lihat sedang duduk mendengar radio sambil berkipas. Dia meletakkan bunga plastik di telinganya macam dalam gambar zaman kegemilangan Terese Teng dulu.

Hensem boy! I ingatkan you tak mahu datang jumpa I lagi! Miss Lee menutup lipatan kipasnya lalu memukul manja bahu ku dengan kipasnya itu. Dia kemudian mengeluarkan kotak rekod-rekod lama dari bawah kaunter sempitnya.

Ni jer ke?

Sekarang banyak susah nak cari stok baru lah, Masdor!

Itu Barry Manilow punya rekod, Copacabana ada tak?

Mana ada. Susah nak cari lah. You terai eBay lah. Mana tahu boleh dapat.

I tak ada credit card lah, Miss Lee! Aku memeriksa koleksi piring hitam lamanya. Aku keluarkan beberapa keping piring hitam yang hendak aku beli. Sekeping piring hitam Anita Sarawak. Sekeping dari Anneke Gronloh yang dah lama aku cari. Dan sekeping piring hitam oleh Sanisah Huri, seperti mana yang dinyatakan Prasasti kepada ku.

Koleksi EP dari Sanisah Huri ini terkandung lagu-lagu yang dicipta oleh Kassim Masdor dan Yusnor Ef.

Berapa semua sekali, Miss Lee?

Tiga saja ke?

Tiga jer ni. Lain kali kalau I ada duit lebih I beli lagi lah. Kataku sambil mengeluarkan dompet wang ku. Miss Lee mengeluarkan album Hasnah Haron lalu menyerahkan album itu kepada ku sebagai hadiah. Kemudian dia minta 50 ringgit dari ku. Aku tak sampai hati nak mintak tawar. Aku masukkan piring hitam ini ke dalam beg ku. Apabila aku melangkah keluar dari kedainya, dia melambaikan tangannya lalu menghadiahkan 'flying kiss' kepada ku. Aku balas 'flying kiss'nya kembali.

Malam itu aku kerja macam biasa. Aku lihat Zila bawak bekal. Awek dia Suzi masakkan nasi goreng. Dia kongsi nasi goreng tu dengan aku. Kami makan di tepi jalan Bukit Bintang sambil memandang kenderaan yang lalu lalang. Seorang mak nyah yang dah lama aku kenal berdiri di hadapan aku lalu berkata: Menurut Jalaluddin Rumi, hati memiliki kemampuan tujuh puluh kali dalam melihat kebenaran di bandingkan dengan deria penglihatan kita. Dia tersenyum lalu meninggalkan aku begitu sahaja. Dia akan buat begini setiap kali kami bertemu di sini. Aku masih tak kenal siapa namanya.

Pagi itu seperti biasa aku belikan Prasasti pau kacang kegemarannya. Aku duduk di atas katil lalu keluarkan piring hitam yang aku beli semalam. Prasasti mahu aku mainkan lagu Sanisah Huri. Jadi aku terus mengeluarkan piring hitam dari dalam sampulnya. Sekeping gambar yang terselit di dalam piring hitam terkeluar lalu jatuh di atas lantai. Aku ambil gambar tersebut. Gambar ini aku rasa telah diambil pada tahun 70-an. Aku nampak ada tulisan Welcome to Carnaby Street yang diletakkan di antara dua buah bangunan. Di bawah papan tanda ini pula kelihatan seorang gadis Melayu dengan wajah yang ayu. Aku terus jatuh cinta kepada gadis yang aku lihat di dalam gambar ini.

Salam sayang untuk abang Mokhtar, dari Haryati. London 1979.

Demikianlah tulisan yang tertulis di belakang gambar ini. Oh, cinta mati ku ini bernama Haryati rupa-rupanya!

Aku memainkan lagu Sanisah Huri yang bertajuk "Bersabarlah Sayang" lalu meletakkan gambar itu ke dada ku.

Lagu Hari Raya lah pulekkkkk!!! Kata Prasasti dengan sinis. Pedulik apa dia nak kata apa. Sekarang aku dah jumpa dengan wajah yang boleh aku sayangi seumur hidup ku!

*mrasalah = bolehlah



posted by Nizam  # 3:41 PM

Monday, September 26, 2005

Sinopsis novel Halimunan oleh Nizam Zakaria

Novel ini dimulakan dengan pembaca mengenali seekor kucing kelabu yang suka berceloteh bernama Prasasti. Prasasti adalah saudara kembar kepada Doraemon, kucing sakti berwarna biru yang menetap di Jepun.

Masdor adalah seorang pemuda berusia 20 tahun yang suka mengumpul piring hitam lama. Satu hari, Prasasti memintanya mencari sebuah piring hitam dari Sanisah Huri dan katanya, hidup dan matinya bergantung pada piring hitam itu. Ketika akhirnya berjaya mendapatkan piring hitam lama yang dinyatakan Prasasti di sebuah kedai antik di Central Market, dia telah terjumpa dengan sebuah foto lama yang menampakkan seorang wanita muda di Carnaby Street, London yang terselit di dalam sampul piring hitam tersebut. Di dalam pencariannya, dia mendapat tahu wanita di dalam gambar itu telah lama mati akibat membunuh diri dan meninggalkan dua orang anak- Sanisah yang seusia dengan Masdor dan mempunyai wajah saling tak tumpah dengan arwah ibunya dan Yusnor pula berusia 17 tahun.

Sanisah ingin merapati Masdor setelah Masdor bersetuju untuk menindik lidahnya. Sebelum ini tidak ada sesiapapun yang sanggup melakukannya dan dia yakin, mana-mana pemuda yang berani menindik lidahnya layak menjadi teman istimewanya.

Di dalam pada itu, tanpa Masdor sedari, gambarnya telah diambil di hadapan kedai antik itu sambil memegang rekod lama ini lalu digunakan di dalam sebuah kempen iklan alat pemain MP3 di Singapura. Seorang pengarah filem begitu beria-ia mahu mencarinya untuk berlakon di dalam sebuah filem independen arahannya, lalu mendapatkan khidmat dua orang along merangkap penjual DVD cetak rompak untuk mencarinya sampai dapat.

Masdor akhirnya jatuh hati kepada Sanisah. Sanisah yang sedang melanjutkan pelajarannya di London memberitahu Masdor, dia akan membalas cintanya jika dia berada di gerbang Carnaby Street pada satu titik tarikh dan masa yang telah ditetapkannya.

Masdor, di dalam keadaan terdesaknya telah meminjam wang dari along. Tetapi duit yang dipinjamnya itu hilang dicuri orang.

Masdor memikirkan dia sedang diburu oleh along yang mendapat tahu dia telah menghilangkan wang yang telah dipinjamkan kepadanya dengan harapan dia dapat ke London untuk mencari Sanisah di sana. Satu-satunya cara yang difikirkannya untuk melarikan dirinya dari buruan along ini adalah untuk menjadikan dirinya seorang halimunan.

Prasasti saudara kembar Doraemon itu mempunyai sebuah alat ajaib yang dapat membuatnya menjadi manusia halimunan. Tetapi tanpa disedari Prasasti, alat tersebut (yang telah dipasang di Malaysia dengan komponennya diimport dari Thailand) tidak sebaik alat yang sama buatan Jepun yang digunakan Doraemon. Akhirnya, Masdor di bawa ke satu ruang dan masa yang membuatkannya dia akhirnya sedar akan rahsia yang disimpan Sanisah darinya selama ini dan apa yang telah menyebabkan ibunya membunuh diri.

posted by Nizam  # 3:45 PM

Friday, September 23, 2005

Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 20
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.



Mak aku telah memberitahu kepada ku bahawa bapak akhirnya telah memberanikan dirinya untuk pergi berhadapan dengannya. Bapak aku telah meminta maaf kepadanya kepada segala apa yang telah berlaku di antara mereka. Mak aku seorang yang pemaaf. Dia telah memaafi bapak aku. Tetapi dia ada kata dia belum bersedia untuk pulang ke Shah Alam. Dia perlukan sedikit masa untuk menerima bapak aku kembali ke dalam hidupnya. Aku sebagai anaknya yang paling tua memberitahunya bahawa dia tidak perlu tergesa-gesa di dalam hal ini. Biarlah dia mengambil masanya sendiri untuk melihat jika bapak aku betul-betul ikhlas mahu menjadi seorang suami untuknya dan seorang ayah yang baik untuk aku, Hani dan Nani.

Hasnah menjumpai teman lelaki yang sesuai untuknya. Seorang pemuda berbangsa Cina yang baru sahaja pulang ke Malaysia setelah mendapatkan ijazahnya dalam bidang Perundangan di Cambridge. Aku rasa Hasnah menyayanginya lebih dari dia menyayangi ku. Baguslah kalau macam tu. Aku bahagia jika aku lihat dia bahagia.

Aku rasa semakin sayang dengan Melati. Dia sendiri tahu aku sayang kepadanya. Aku dan dia terus memakai sayap yang telah dibuat oleh Raslan ke kampus. Dalam sekejap masa, ramai yang mula tertanya-tanya dari mana mereka boleh mendapatkan sayap tersebut. Raslan kini menerima banyak tempahan untuk sayap rekaannya. Dia dan Tamrin kini menjadi tauke buat sayap ini. Rumah kami sekarang penuh dengan sayap-sayap yang mereka usahakan bersama. Seperti gelang ala 'Livestrong' yang menjadi kegilaan remaja, kini aku lihat ramai yang memakai kepak rekaan Raslan ini ke mana-mana sahaja aku pergi. Mereka memakai sayap ini sebagai bukti cinta mereka kepada orang yang mereka sayangi.

Aunty Kalsom sering memberitahu kepada Melati supaya jangan sekali-kali berputus asa di dalam hidup. Kita tidak boleh berputus asa jika mahu mengecap kebahagiaan yang kita cari-cari. Aku tidak mahu berputus asa dalam pencarian ku mencari kebahagiaan ku. Itulah janji ku kepada diri ku dan kepada Melati, disaksikan awan-awan indah kesayangannya...

TAMAT



Untuk mak yang telah mengajar ku untuk menjadi seorang manusia yang pemaaf


posted by Nizam  # 1:38 PM
Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 19
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.



Bapak aku bangun tidur pada pagi itu dengan keadaan kepalanya sakit. Aku membuatkan air kopi untuknya. Dia masih tak faham mengapa aku bersayap. Aku malas nak jelaskan kepadanya mengapa aku memakai sayap di belakang ku. Dia kata aku pelik. Aku kata aku setuju dengan pendapatnya.

Dah lama aku tak berbual dengannya. Kali terakhir aku di rumah ini adalah ketika aku nyaris-nyaris mahu menumbuknya. Pada ketika itu bapak aku akhirnya memberitahu kepada mak aku tentang pilihan yang terpaksa dilakukannya.

Aku masih hairan bagaimana mak aku mampu berada di samping bapak aku sepanjang masa ketika perbicaraan diadakan. Segala tohmahan telah dikeluarkan oleh masyarakat tentang mak aku pada waktu itu, tetapi dia tetap bersabar. Ada orang yang mengatakan mak aku tidak pandai menjaga bapak aku sendiri sehingga membuat bapak aku mencari perempuan lain. Walaupun dia dituduh bukan-bukan, mak aku tetap menghadapi ini semua dengan tabah.

Sebulan selepas bapak aku dibebaskan dari sebarang tuduhan membunuh, bapak aku akhirnya memberitahu kepada mak aku bahawa dia sedang mengadakan hubungan intim dengan Fatin. Sebelum bapak aku mengenali Najwa yang mempunyai pekerjaan sambilan sebagai GRO itu, bapak aku telah terlebih dahulu mengenali Fatin. Melalui Fatinlah dia akhirnya mengenali Najwa yang jauh lebih cantik dan lebih muda itu.

Fatin sebenarnya sudah lama menaruh hati kepada bapak aku walaupun dia menjadi perempuan simpanan kepada seorang eksekutif berbangsa Cina yang tinggal serumah dengannya dan Najwa.

Ketika bapak aku bertengkar dengan mak aku pada hari itu, dia ada berkata tentang konspirasi seorang kenamaan yang melibatkan Fatin. Sejumlah wang yang banyak telah bertukar tangan. Bapak aku juga terpaksa menurut kemahuan Fatin jika tidak katanya, Fatin akan memberitahu kepada pihak berkuasa apa yang sebenarnya telah berlaku pada hari Najwa dibunuh.

Fatin mahukan cinta dari bapak ku setelah dia ditinggalkan eksekutif Cina yang telah menjaganya selama ini. Dia mahu bapak aku meninggalkan mak aku begitu sahaja...

Mak aku cukup-cukup kecewa bila dia dikhianati bapak aku sebegini rupa. Dalam keadaan sedihnya, dia tanya bapak aku jika dia telah membunuh Najwa. Bapak aku tidak menjawab. Dia tidak memberikan sebarang jawapan kepada soalan mak aku itu, tetapi dia telah berkata:

Kalau memang betul aku sayangkan kau, aku tak akan cari perempuan-perempuan macam ni untuk menggantikan tempat kau!

Ketika itu aku tidak mampu berdiam diri lagi. Ketika itulah aku terlalu marahkannya kerana telah membuatkan mak aku meratapi nasibnya dicela oleh suaminya sendiri.

Aku memasakkan telur goreng untuk bapak aku. Aku suruh dia makan. Aku kata aku perlu pulang ke KL. Dia tanya jika aku ada kelas pagi ini. Aku kata aku tak ada kelas pada hari Sabtu. Dia tanya aku jika aku akan ke mana-mana pada hari ini. Aku menggeleng.

Aku lihat bapak aku hanya merenung ke arah makanannya. Aku mengucapkan selamat jalan kepadanya. Aku ke ruang tamu lalu mengambil buku nota keratan akhbar kepunyaan ibu ku. Bapak aku tidak memerlukannya. Dia tidak perlu ini semua untuk mengingatkannya tentang kesilapan yang telah dilakukannya lalu menghancurkan hidupnya dan orang-orang yang disayanginya.

Aku terus keluar lalu menghidupkan enjin motor kapcai ku.

Aku rasa bapak aku perlu belajar untuk menerima hakikat bahawa dia tidak mungkin boleh mendapatkan kembali kebahagiaan yang pernah dikecapnya ketika kami hidup sebagai sebuah keluarga. Lagipun, apa yang telah berlaku ke atas dirinya adalah tindak balas kepada apa yang dilakukannya di atas pilihannya sendiri dan kini dia perlu menerima padahnya.

Dari Shah Alam aku terus ke Kuala Lumpur. Aku telah ke McDonald's yang terletak di sebelah Central Market dengan harapan untuk menemui rakan Melati yang bernama Siew Ling itu. Aku bernasib baik. Dia sedang bekerja ketika aku mahu menemuinya di sana.

Aku telah bertanyakan kepada Siew Ling apa yang harus aku lakukan kepada Melati untuk memberitahunya bahawa aku menyayanginya. Siew Ling mengajar ku isyarat tangan untuk "aku sayang kamu" - satu isyarat tangan yang pernah aku lihat Melati tujukan kepada ku tanpa aku fahami maksudnya sebelum ini.

Selama ini, tanpa aku sedari, Melati telah berkali-kali memberitahu aku bahawa dia menyayangi ku.

Aku mengucapkan terima kasih kepada Siew Ling. Aku rasa bersalah terhadap Melati.

Dalam rasa bersalah ku, aku terus ke Kampung Baru. Aku ke tempat rahsia ku. Aku perlu menenangkan fikiran ku di sana.

Aku ke tingkat teratas flat PKNS itu. Aku terus duduk di tangga besi sambil memandang ke arah panorama Kuala Lumpur yang tersergam indah di sekeliling ku. Aku memikirkan tentang Melati. Aku memikirkan tentang segala kesilapan yang telah aku lakukan kepadanya.
Aku sayang kepadanya. Dialah satu-satunya manusia yang berjaya melembutkan hati aku dan membuat aku fahami bahawa dunia ini penuh dengan keindahannya.

Mat. Namaku dipanggil oleh suara yang aku kenali. Aku menoleh. Aku melihat Melati ada di situ. Dia telah memberanikan dirinya untuk berdiri sendiri di atas tangga besi untuk menemui ku.

Mel! Sahut ku. Aku berdiri. Aku memandang ke arahnya. Mana awak tahu saya ada di sini?

Dia memandang terus kepada ku. Dia tidak menjawab soalan ku itu. Tapi dari raut wajahnya aku dapat membaca bahawa dia tahu ini tempat rahsia ku dan dia tahu jika aku ada masalah, aku pasti akan ke sini - untuk mengadu nasib ku kepada sebuah kota bernama Kuala Lumpur yang mampu memberikan segala-galanya dan mengambil segala-galanya dari manusia-manusia yang bercinta dengannya.

Dia menunjukkan sesuatu ke dalam buku notanya. Tulisan yang telah ditulisnya sebelum ini:

Tamrin dah jelaskan kepada saya apa sebenarnya telah berlaku.

Saya mintak maaf Mel. Kata ku dengan menggunakan isyarat tangan. Melati mengangguk. Dia memahami dan memaafkan.

Aku memegang tangannya. Aku meminta dia duduk di sebelah ku. Aku tunjukkan kepadanya buku nota keratan akhbar kes pembunuhan Najwa. Di bahagian terakhir buku nota ini aku terjumpa dengan sekeping gambar keluarga ku yang terselit di antara keratan-keratan akhbar yang ada. Gambar ini telah diambil di Pantai Teluk Chempedak setahun sebelum peristiwa ini hadir untuk menghancurkan kebahagiaan kami. Aku tak tahu mengapa mak aku selitkan gambar ini di dalam buku nota ini. Tetapi aku pasti dia mempunyai sebab untuk melakukannya.

Aku tatap gambar itu lama-lama. Aku beritahu kepada Melati bahawa mereka adalah manusia-manusia yang paling aku - Bapak aku, Mak aku, Hani dan Nani.

Kemudian tanpa aku sedari air mata ku berlinangan membasahi pipi ku. Segala saat-saat bahagia yang pernah aku alami bersama mereka sebagai sebuah keluarga tiba-tiba terlintas di fikiran ku. Kini semuanya hanya tinggal sebagai memori manis yang akan aku simpan sampai bila-bila di hati ku.

Melati mengesat air mata ku. Dia kata mak aku cantik dan adik-adik aku comel. Aku pula mempunyai iras-iras wajah bapak ku.

Awak tak boleh terus hidup di masa lampau dan membiarkan apa yang telah berlaku terus menghantui hidup awak. Tulis Melati di dalam buku nota kecilnya. Aku setuju dengan pendapatnya. Aku simpan gambar keluarga ku ke dalam kocek kemeja ku kemudian aku terus siat kandungan buku nota di hadapan ku satu persatu lalu aku campakkan kertas-kertas yang telah aku siat ini ke hadapan dan biarkan ia berterbangan di bawa angin.

Aku akhirnya menjumpai cara untuk mengubati hati ku yang luka selama ini.

Kenapa awak cari saya? Aku akhirnya bertanya kepadanya. Saya fikir saya dah kehilangan awak... Saya fikir awak bencikan saya... Saya fikir dunia ini tak ada erti lagi kalau awak tidak lagi menjadi sebahagian dari hidup saya-

Melati meletakkan jarinya ke mulut ku untuk meminta aku diam. Barulah aku sedar, aku juga suka membebel.

Seterusnya dia buat isyarat tangan yang mengatakan dia sayang kepada ku. Satu isyarat yang baru sahaja aku belajar pagi tadi.

Saya tahu awak pakai sayap awak untuk buktikan awak sayang kepada saya. Sekarang satu universiti tahu awak sayangkan saya!

Sejurus selepas aku membaca tulisannya, aku memintanya berdiri lalu memandang ke arah panorama Kuala Lumpur di hadapan kami. Aku mencari sebentuk awan yang dapat dengan tepat menjelaskan perasaan ku kepada dirinya.

Aku menjumpai awan yang aku cari. Awan yang aku pilih itu berkepul di tengah-tengah langit yang membiru. Warnanya putih seperti kapas. Kemudian aku membuat isyarat tangan bahawa aku menyayanginya.

Dengan pantas Mel mengeluarkan kameranya. Dia mengambil gambar awan tersebut. Dia kemudian memberitahu ku bahawa inilah dia awan yang 'perfect' yang dicari-carinya selama ini.

Tapi kenapa awan ini?

Kerana kehadiran awak di dalam hidup saya telah membahagiakan saya dan awan ini adalah buktinya.

Itu lah jawapan yang diberikan kepada ku.

Aku terus memandang ke arah Melati. Dia terus memandang ke arah ku. Buat beberapa minit kami hanya diam begitu. Kesepian yang terwujud di antara kami seperti bunga-bunga indah menari-nari dalam hati ku. Tanpa meluahkan sepatah perkataan pun, aku terus dapat memahami isi hatinya pada ketika itu, begitu juga dirinya. Barulah aku fahami bahawa pada saat itu, hati kami akhirnya lebur menjadi satu.

Walaupun kewujudan cinta tidak mampu ku lihat, tetapi aku yakin cinta yang diungkai Melati dan diri ku ini indah dan cantik seperti awan-awan di langit.

posted by Nizam  # 12:21 PM

Thursday, September 22, 2005

Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 18
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.



Banyak kali aku cuba hubungi Melati dan Hamiza melalui SMS, tetapi gagal. Aku dapati, Melati masih menghidupkan telefon bimbitnya, cuma dia memilih untuk tidak mahu menjawab sebarang mesej SMS yang aku hantarkan kepadanya.

Aku cuba cari Hamiza dan Melati di perpustakaan, tetapi mereka tidak ada di situ. Aku cuba cari mereka di tempat-tempat mereka selalu lepak, juga mereka tak ada.

Aku tanya Tamrin jika dia ada nampak Melati dan Hamiza di mana-mana. Tamrin menggeleng. Kepala aku kusut. Aku rasa segala-galanya macam dah tunggang-langgang. Tak ada yang betul lagi.

Okay kau menang. Aku akhirnya berkata kepada Tamrin.

Menang apa ni?

Taruhan kita lah! Kau betul, aku salah.

So... Kau mengaku sekarang kau tak boleh kekal dengan mana-mana awek bukan sebab kau kata diorang kuat membebel?

Ya, aku mengaku.

Aku tak pernah sangka aku akan dengar ini semua dari kau...

Aku tak pernah jadi begini. Aku tak pernah buat apa yang aku buat semata-mata kerana aku rasa bersalah. Tadi, tiga jam aku duduk depan rumah sewa Mel. Tetapi kawannya kata Mel tak ada. Aku tahu dia ada di dalam rumah. Hamiza pun sama. Macam orang bodoh aku dok tunggu depan rumah sewanya dengan harapan dia akan keluar jumpa aku. Tapi tak. Dia langsung tak mahu keluar.

Tamrin masuk ke dalam biliknya. Dia keluarkan apa yang kelihatan seperti sepasang sayap yang boleh dipakai.

Raslan siang-siang lagi dah sediakan sayap ini untuk kau pakai jika kau kalah dalam pertaruhan ini. Tapi tak apalah. This is a bad idea anyway. Kau tak perlu pakai. Kita anggap semua ini tak pernah berlaku.

Aku capai sayap yang dipegang Tamrin. Aku memakainya. Ikatan kulit pada sayap ini aku ketatkan pada bahagian dada ku agar selesa aku pakai. Kini aku ada sepasang sayap.

Tak apa, biar aku pakai. Kata ku dengan serius.

Eh, kau dah gila ke apa?

Kalau Mel tanya kepada kau kenapa aku pakai sayap ni, kata sahaja bahawa inilah bukti cinta aku kepadanya. Beritahu kepadanya juga aku akan terus pakai sayap ini sehinggalah Melati jumpa aku.

Lepas aku beritahu kepadanya tentang niat aku ini aku terus masuk ke dalam bilik tidur ku. Aku kunci pintu aku rapat-rapat. Aku periksa e-mail aku. Melati tak jawab lagi e-mail aku, begitu juga dengan Yahoo Messenger.

Aku rasa dia benci dengan ku.

Malam tu seperti malam-malam sebelumnya aku tak susah nak tidur. Aku rasa sepi. Aku rasa sebahagian dari diri ku kini menghilang entah ke mana.

Aku pergi ke kuliah macam biasa. Tapi dengan sayap aku yang akan aku pakai ke mana-mana kecuali ketika aku nak mandi dan tidur. Aku tak pedulik apa orang nak cakap. Aku tahu ada bebudak yang ketawakan aku, tapi lantak lah.

Dah masuk lima hari aku pakai sayap aku. Dalam keadaan aku macam orang gila ni pun ada budak perempuan hantar e-mail kata diorang nak berkenalan dengan aku -sebab mereka kata aku 'cute' pakai sayap tu ke mana-mana aku pergi. Pada mulanya aku tak tahu mengapa tiba-tiba sahaja banyak e-mail yang aku terima dari budak-budak perempuan ni. Aku hanya tahu bila aku terima e-mail dari seorang kawan yang mengatakan dia ternampak gambar aku di dalam sebuah blog popular kepunyaan seorang budak perempuan dari UM. Budak itu ambil gambar aku tanpa pengetahuan aku lepas tu dia letakkan gambar aku tu ke dalam blognya. Dia ada tulis lah dia terkejut bila dia ada nampak 'angel' di dalam kampus. Dalam masa dua tiga hari selepas itu, dia terima enam foto dari budak-budak yang nampak aku dengan sayap aku. Diorang ambil gambar aku ke mana sahaja aku pergi. Gambar aku tengah naik motor pun ada.

Semakin hari semakin banyak gambar aku yang diletakkannya, sampai segan rasanya aku nak masuk ke dalam kampus. Memang ada kalanya aku sedar akan ada pelajar yang keluarkan handphone mereka yang dilengkapkan dengan kamera lalu mengambil gambar ku, tapi aku buat bodoh jer. Aku malas dah nak layan.

Tamrin beritahu ku, aku dah jadi macam fenomena di dalam kampus. Semua orang nak tahu kenapa aku pakai sayap tu. Jadi seperti biasa, Tamrin lantik diri dia jadi jurucakap aku. Dia beritahu kepada mereka kenapa dan mengapa.

Dah masuk hari keenam aku pakai sayap aku. Aku masih tidak dapat melihat kelibat Melati dan Hamiza di mana-mana. Mereka sengaja melarikan diri mereka dari ku. Melati masih tidak mahu menjawab mesej-mesej yang aku tinggalkan kepadanya.

Aku rasa sedih. Aku betul-betul rindu kepadanya. Aku rasa kosong. Aku mahu berjumpa dengannya. Sekurang-kurangnya bersemuka dengannya. Aku tak kisah jika dia mahu marahkan aku. Aku tak kisah, asalkan aku dapat melihat wajahnya untuk mengubati kerinduan ku.

Bapak kau ada tunggu di bawah kondo petang tadi. Ujar Tamrin kepada ku. Petang tadi memang aku tak ada di sini. Percaya atau tidak, aku duduk di hadapan rumah Melati dari pukul 5 petang sehingga ke Maghrib.

Apa dia nak? Tanya ku.

Dia nampak sedih... Aku rasa dia nak duduk berbual dengan kau. Tu jer.

Aku mengeluh. Aku termenung jauh. Aku tak mahu bapak aku terus tunggu aku di bawah kondominium sehingga setiap hari aku rasa takut untuk pulang ke rumah aku sendiri. Aku rasa aku perlu berjumpa dengannya untuk memintanya supaya berhenti.

Aku ambil helmet aku. Aku beritahu kepada Tamrin aku mahu ke Shah Alam. Dia tanya jika aku akan pulang ke rumah malam ini, aku tidak menjawab.

Aku ke rumah yang telah aku diami sejak aku kecil. Sebuah rumah yang tidak aku jejaki hampir dua tahun lamanya. Aku menekan loceng rumah. Aku memberi salam. Pintu pagar terbuka secara automatik.

Di dalam rumah aku dapat lihat bapak aku duduk di ruang tamu seorang diri. Ada beberapa botol arak di atas meja. Dia duduk diam termenung. Aku rasa dia mabuk. Ketika mak aku ada di rumah ini dulu, tak pernah berlaku ini semua. Kini semuanya telah berubah.

Bapak aku meracau. Dia ingat ada malaikat yang masuk ke dalam rumahnya tadi. Aku memintanya supaya jangan merepek.

Amat... Kau ada sayap Amat? Tanya bapak aku sambil menggosokkan kepalanya.

Aku mengangguk. Aku menunjukkan sayap ku kepadanya. Dia kata tadi dia nampak aku terbang ke dalam rumah dengan sayap aku cantik berkibar. Aku mengingatkannya bahawa dia dah banyak minum.

Dia mengangguk. Kemudian dia suruh aku duduk di sebelahnya. Aku duduk. Sepertinya, aku rasa aku perlukan seseorang untuk mengisi kesepian ku.

Pa, jangan minum lagi, Pa. Pinta ku kepadanya. Dia tidak menjawab. Dia hanya termenung kosong ke hadapan sebelum dia berkata:

Papa harap Amat dapat maafkan papa.

Saya akan maafkan papa... Tapi papa kena janji dengan saya jangan minum lagi macam ni.

Bapak aku mengangguk perlahan. Aku dapat rasakan dia ikhlas mengukir janji.

Mana Fatin, pa? Tanya ku tentang perempuan jalang yang menyebabkan bapak aku terpaksa meninggalkan mak aku dulu.

Dia tinggalkan papa untuk jantan lain...

Dia tak ugut papa lagi?

Bapak aku menggeleng.

Papa mahu kita semua hidup kembali seperti sedia kala.

Saya tak tahu kalau kita boleh hidup bahagia macam dulu... Segala-galanya dah berubah sekarang, pa.

Amat rasa mak masih sayangkan papa?

Saya tak tahu, pa...

Amat tahu papa sayangkan Amat?

Saya tahu, pa. Saya pun sayangkan papa... Kalau tidak saya tak akan ke sini menjenguk papa.

Aku lihat akhirnya terlukis ketenangan di wajahnya setelah mendengarkan jawapan dariku. Dia lelapkan matanya. Dia tertidur.

Di atas meja di antara botol-botol arak yang ada di situ aku terjumpa dengan sebuah buku nota kepunyaan ibu ku. Aku masih ingat lagi dengan buku ini. Mak aku akan membeli surat khabar yang ada tertera tentang kisah bapak aku turun naik mahkamah. Mak aku akan mengumpul keratan-keratan akhbar ini lalu ditampalnya di dalam buku nota ini. Sehingga kini aku masih tidak tahu mengapa dia melakukannya.

Buku nota ini seperti menjadi saksi kepada kes pembunuhan Najwa yang telah menghancurkan hidup kami sekeluarga.

Najwa Khairudin, 22 tahun, seorang eksekutif pemasaran telah dijumpai mati di kondominiumnya yang terletak di Bukit Kiara dalam keadaan bogel, kepalanya ditutupi plastik dan kedua belah tangan dan kakinya diikat.

Bapak aku, Halim bin Abdul Rahim seorang jurutera yang bekerja dengan sebuah firma kejuruteraan yang terkemuka di Kuala Lumpur telah dihadapkan ke mahkamah dengan tuduhan membunuh Najwa.

Bermacam-macam-macam hal tentang bapak aku telah dilaporkan oleh media massa. Dari hal bapak aku yang dikatakan telah mencukur bulu kemaluannya dua hari sebelum dia menyerah diri kepada pihak berkuasa sehinggalah kepada hal seks ganas yang sering dilakukannya bersama Najwa. Segala-galanya telah disensasikan dan diceritakan dengan teliti, lebih-lebih lagi di dalam tabloid-tabloid Melayu.

Apa satu keratan akhbar yang aku menunjukkan Hani dan Nani menyerahkan kad Hari Bapa kepada bapak ku di hadapan mahkamah tangannya digari. Aku masih ingat lagi ketika aku mula-mula membaca tentang hal ini di surat khabar aku menangis.

Selama bapak aku turun naik mahkamah, mak sedaya upaya cuba melindungi identiti ku dari diketahui pihak media. Ketika itu aku tidak lagi menetap di Shah Alam. Mak sama sekali melarang aku dari pulang ke Shah Alam. Dia tidak mahu kesilapan yang telah dilakukan dengan membawa Hani dan Nani ke mahkamah dilakukan kepada ku juga. Dia tidak mahu wajah ku terpapar di ruang-ruang akhbar lalu diri ku diperkatakan mereka sebagai anak seorang yang dituduh melakukan satu pembunuhan ngeri berprofil tinggi.

Walaupun mak berjaya melindungi aku dari media, dia langsung tidak dapat mengawal apa yang mereka paparkan tentang bapa aku di ruang-ruang akhbar dan televisyen. Dia paling sedih apabila Hani dan Nani yang sudah boleh membaca itu terbaca tentang apa yang ditulis tentang bapak aku di ruang akhbar. Mereka bertanyakan kepada mak aku apa itu air mani, apa itu faraj dan apa itu dubur kerana ayat-ayat yang mereka tanya ini ada tertulis di dalam akhbar setiap kali mereka memperkatakan tentang kes bunuh Najwa.

Jadi, Hani dan Nani yang pandai membaca itu akhirnya membaca bagaimana Najwa dibunuh. Bagaimana sehelai tuala muka telah digunakan untuk melemaskannya dan kemudian tuala yang sama disumbatkan ke dalam mulutnya. Bagaimana bapak aku dan seorang lelaki tidak dikenali telah melakukan hubungan seks di faraj dan lubang dubur Najwa - semua ini diketahui dari kesan robekan pada bahagian sulitnya itu. Dan mereka berdua akhirnya dapat tahu bagaimana bapak aku telah mengadakan hubungan kelamin dengan Najwa dua kali seminggu apabila hubungan mereka semakin intim. Akhirnya, tahu lah mereka mengapa bapak aku selalu sahaja pulang lewat atau ada kalanya tidak pulang langsung ke rumah.

Ya, semua ini telah diberitakan oleh media massa tanpa selindung. Tanpa kiasan. Tanpa sembunyi. Mereka melaporkan kes ini hampir setiap hari untuk menjual berita yang mereka jaja sehingga aku rasa mereka sebenarnya mempunyai agenda untuk membuatkan rakyat Malaysia rasa sebal dan "desensitised" dengan perkara-perkara ganas dan kejam.

Ketika itu aku ada membaca di muka akhbar tentang laporan kimia yang menunjukkan kehadiran profil DNA milik bapak aku pada faraj dan dubur Najwa. Analisis profil DNA menunjukkan bahawa bapak aku telah melakukan hubungan seks dengan Najwa sebelum kematiannya dan ini mengukuhkan inferens bahawa bapak aku lah orang yang terakhir dengan si mati.

Laporan kimia juga menunjukkan kehadiran satu lagi profil DNA milik seorang lelaki tidak dikenali pada faraj dan dubur Najwa serta beberapa barang di bilik Najwa seperti pada bantal peluk dan wayar yang mengikat tangannya.

Aku ada baca bahawa wujudnya tangan-tangan halus yang nampaknya ingin melindungi identiti lelaki yang tidak dikenali ini. Ada orang mengatakan lelaki tersebut adalah seorang kenamaan dan bapak aku pula dijadikan kambing hitam di dalam kes ini...

Aku sendiri kurang pasti apa yang sebenarnya berlaku. Apa yang pasti, setelah bapak aku dibebaskan dari sebarang tuduhan membunuh, bapak aku tiba-tiba sahaja memberitahu kepada ku bahawa keluarga kami tidak perlu lagi bimbang soal wang.

Bapak aku dibebaskan dari sebarang tuduhan kerana Fatin, kawan serumah Najwa telah memberitahu kepada mahkamah bahawa dia telah melihat seorang lelaki yang bukan bapak aku lari dari rumah dan dia yakin lelaki tersebut telah membunuh Najwa. Fatin kata, lelaki misteri itu berbadan gelap seperti orang India dan berbau busuk...

Keterangan Fatin di mahkamah telah membebaskan bapak aku. Fatin juga telah menyebabkan mak aku akhirnya mengambil keputusan untuk tinggalkan bapak aku...




posted by Nizam  # 4:23 PM

Wednesday, September 21, 2005

Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 17
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.



Semalam. Semasa aku pulang dari kuliah, aku dapati bapak aku sedang menunggu di bawah kondominium. Aku lihat dia menunggu aku macam along tunggu orang yang tak bayar hutang. Aku macam tak percaya bila aku lihat kelibatnya di situ. Aku rasa dah lama dia tunggu aku di situ. Sanggup dia tunggu aku sampai aku balik dari kuliah.

Aku ingat nak melarikan diri ku darinya, tapi dia cepat-cepat berjalan ke arah ku. Dia panggil nama ku. Aku mengeluh seorang diri. Aku tak tahu apa silap aku sehingga aku perlu menghadapi ini semua.

Ke mana Amat nak pergi tadi? Dia bertanya apabila dia nampak aku nak pusing berjalan ke arah tempat aku letak motosikal ku.

Aku tidak menjawab. Aku tutup mulut aku. Tapi aku tak tahu sampai bila aku mampu berdiam macam ni.

Amat dah dapat duit yang papa serahkan kepada Amat kelmarin?

Aku mengangguk perlahan. Dia bagi aku duit lagi. Tapi memang aku bertekat tak mahu sentuh duit yang diberikannya.

Jom kita keluar makan, Amat.

Aku memandang ke kiri, ke atas, ke depan. Aku tak tahu apa mimpi dia sehingga dia nak ajak aku keluar makan.

Saya ada banyak kerja kena siapkan.

Tak kan lah kita keluar makan malam sekejap pun tak boleh?

Aku tak tahu apa yang patut aku lakukan. Aku rasa macam nak cepat-cepat lari masuk dalam lif kemudian masuk ke dalam rumah dan kunci pintu rumah rapat-rapat. Tapi aku bukan budak kecik. Sampai bila aku boleh melarikan diri ku darinya.

Apa kata papa bawak Amat makan Sate Kajang di Awan Besar? Amat masih suka makan sate, kan?

Papa nak apa sebenarnya ni, pa? Aku bertanya dengan meninggikan suara ku.

Aku lihat wajahnya terkerut.

Papa rindu dengan Amat.

Pa, Amat bukan budak kecik lagi, pa...

Papa tahu, Amat... Tapi Amat tetap anak papa.

Hubungan kita dah tak macam dulu lagi, pa!

Papa mintak maaf. Katanya perlahan. Aku hampir-hampir tidak dapat mendengar suaranya itu. Jadi aku memintanya mengulangi kata-katanya tadi kepada ku.

Papa minta maaf kepada segala apa yang telah berlaku.

Papa tahu saya tak mungkin dapat maafkan papa-

Baiklah, tapi sekurang-kurangnya Amat mesti terima papa kembali ke dalam hidup Amat.

Aku memandang ke dalam wajahnya. Aku lihat wajahnya memang nampak kacak. Tubuhnya masih nampak tegap dan segak untuk lelaki yang seusia dengannya. Aku pasti apabila aku mencecah usianya nanti, aku akan kelihatan sepertinya. Apa-apa pun, wajahnya itu masih sama dengan wajah manusia yang paling aku sayangi dahulu. Pernah satu ketika dahulu aku lebih menyayanginya dari aku sayang mak aku sendiri. Hubungan dia dengan aku lebih dari hubungan seorang anak dengan ayahnya, aku anggap dia macam kawan aku sendiri. Dia jadi tempat aku mengadu. Bila mak aku pukul aku, aku mesti mengadu kepadanya dengan mengharapkan dia akan memarahi mak aku. Bila aku mimpi basah ketika aku berumur 11 tahun, aku tanya dia apa yang sebenarnya berlaku kepada diri ku. Masa tu dia kata aku dah akil baligh, aku dah kena tanggung dosa aku sendiri dan dah boleh buat anak. Dia akan jawab soalan-soalan yang aku tujukan kepadanya dengan matang, seperti kenapa aku tidak boleh henti-henti berfikir fasal s perempuan atau kenapa dia tak bagi aku jadi askar dan mahu aku jadi seorang jurutera sepertinya.

Pa... Hubungan kita dah tak macam dulu lagi, pa!

Kenapa?

Kenapa sekarang baru papa cari saya?

Bila papa nampak Amat di Mid Valley, papa mula sedar mengapa selama ini papa merasa seperti kehilangan sesuatu di dalam hidup papa. Papa rindukan Amat. Papa rindukan Hani dan Nanti... Juga mama.

Aku benci bila dia sebut nama adik-adik ku dan mak aku. Aku rasa aku dah tak larat lagi nak layan dia. Kemudian tiba-tiba pintu lif terbuka. Aku dapat lihat Raslan dan Tamrin keluar dari pintu lif.

Eh, lambat aku tunggu korang kat sini! Getus ku ke arah mereka yang terpinga-pinga melihat ku. Pa, saya kena pergi. Saya nak ikut diorang tengok wayang kat Mid Valley... Cerita Indon.

Aku tinggalkan bapak aku macam tu jer. Aku terus ikut Tamrin berjalan ke arah tempat dia meletak kereta. Aku tak berani nak toleh ke belakang.

You all, apa ni? Tanya Raslan kepada Tamrin. You all tak cakap pun dia nak ikut kita sekali tengok wayang!

Tamrin menjeling ke arah ku. Dia terus berjalan lalu masuk ke dalam kereta. Aku terus duduk di sebelahnya sambil memeluk topi keledar ku dengan erat. Dengan pantas dia menghidupkan enjin kereta lalu bergerak keluar dari kawasan meletak kereta.

Aku masih dapat melihat bapak aku berdiri di tempat tadi sambil memandang ke arah ku. Wajahnya nampak kecewa. Aku rasa serba salah.

So... Kau nak ke mana ni? Tanya Tamrin akhirnya apabila keretanya menuju dekat ke arah stesen LRT Universiti.

Aku ikut kau jelah.

Kau takut nak balik rumah?

Ya.

Hasnah ada you all. Ujar Raslan kepada ku. Dia pandang-pandang aku menunggu jawapan.

Aku tahu lah! Sambut ku akhirnya. Aku lagi sanggup berhadapan Hasnah dari terpaksa menghadapi bapak aku sendiri.

Tapi nanti apa pulak dia kata!

APA AKU PEDULIK DIA NAK KATA APA! Sergah ku sampai dia terdiam dengan matanya terkebil-kebil.

Aku lihat Tamrin senyap sahaja. Dia tak mahu masuk campur. Lagu Siti Nurhaliza berkumandang di radio. Dia kuatkan volume radio. Dia tak mahu aku dan Raslan bertengkar di dalam kereta.

Kami menemui Hasnah di hadapan panggung GSC Mid Valley. Dia nampak terkejut melihat aku datang bersama Tamrin dan Raslan. Dia memandang ke arah Raslan untuk penjelasan. Raslan membisikkan sesuatu ke telinganya.

Hello. Kata ku dengan suara kelat.

Hi, Amat. Jawab Hasnah nak tak nak. Dia langsung tak mahu memandang ke arah ku.

Aku nak beli tiket. Ujar Tamrin. Dia meminta wang dari Raslan dan Hasnah. Aku korek poket ku untuk cari wang untuk tengok wayang. Tamrin hanya menjeling. Dia tahu aku tak ada duit.

Sorry lah, aku tak ada duit. Kataku dengan jujur. Macam ni, aku lepak-lepak kat sini tunggu korang semua habis tengok wayang. Dah habis nanti, korang SMS aku.

Hasnah beri Tamrin dua keping wang RM10. Dia suruh Tamrin belikan tiket aku sekali. Aku fikir aku nak halang, tapi Tamrin melulu ke tempat membeli tiket. Aku pandang ke arah Hasnah dengan wajah serba salah. Sebenarnya aku segan bila dia keluarkan duit untuk aku, lebih-lebih lagi sekarang bila aku dengan dia dah tak ada apa-apa hubungan lagi.

Selepas membeli tiket, Tamrin menyerahkan tiket yang dibelikannya secara rambang kepada kami. Cerita yang ingin kami tonton berkisar tentang percintaan antara dua orang remaja di Jakarta. Cerita cinta. Malas betul aku nak tengok cerita macam ni. Aku rasa mesti aku akan tertidur dalam panggung.

Di dalam panggung aku dapati aku terpaksa duduk di sebelah Hasnah. Aku ingatkan aku nak tukar tempat duduk dengan Raslan, tapi dah terlambat. Mereka semua cepat-cepat duduk di tempat masing-masing.

Panggung masih kosong. Raslan dan Tamrin tak habis-habis berbual. Hasnah pula diam terpaku. Aku rasa serba salah.

Saya dengar awak dah ada awek. Katanya tiba-tiba kepada ku.

Ya. Dengan pantas aku menjawab.

Cepat awak gantikan tempat saya...

Aku menoleh ke arahnya. Aku lihat matanya masih terpaku ke tirai panggung yang masih belum terbuka. Aku mengeluh.

You all nak pop-corn tak? Tanya Raslan kepada Hasnah. Hasnah mengangguk. Raslan mengajak Tamrin menemaninya untuk membeli pop-corn di lobi.

I really miss you, Emmet. Hasnah memberitahu. Aku tak tahu apa nak jawab. Aku tak pandai nak melayan jiwa awek-awek macam Hasnah yang sudah aku tinggalkan.

Dah lah... Dah tak ada apa lagi di antara kita. Lagipun, awak tahu saya ini anak siapa. Saya mana boleh adakan apa-apa hubungan dengan awak. Nanti apa pula kata orang.

Tapi awak bukan bapak awak, Emmet.

Sekali lagi aku menoleh ke arahnya. Aku tak tahu apa yang dia mahukan dari aku.

Satu perkara yang paling saya takut adalah satu hari nanti saya akan jadi macam dia. Dia bapak saya, Hasnah. Tak banyak, sikit perangai dia akan saya warisi juga akhirnya. Awak nak ke lihat apa yang dia buat kat mak saya, saya buat kat awak nanti?

Jangan fikir macam tu, Emmet.

Bapa borek anak rintik... Mana lagi nak tumpah kuah kalau tak ke nasi... Kalau benda macam ni tak berlaku kepada kita semua, tak akan ada peribahasa Melayu macam ni, Hasnah.

But you are different, Emmet... I love you because you are different.

Tak ada istimewanya saya ni, Hasnah... Baik awak cari orang lain yang lebih sesuai jer.

Tiba-tiba aku lihat Hamiza masuk ke dalam panggung. Dia masuk bersama Melati. Wajah ku pucat. Aku tak tahu mengapa mereka perlu tonton filem ini pada hari ini dan pada saat ini.

Hamiza yang mula-mula menyedari kehadiran ku di dalam panggung, kemudian barulah Melati. Wajah Melati terus berubah.

Hamiza dan Melati berjalan ke arah ku.

Tadi Melati kata awak tak nak ikut kami keluar... Awak kata awak nak pulang terus ke rumah kerana awak ada assignment yang awak kena siapkan. Kata Hamiza dengan sinis.

I can explain. Kata ku sambil memandang ke arah Melati. Aku lihat matanya terus kepada Hasnah.

Whateverlah!

Korang tengok cerita ni buat apa? Tak ada cerita lain ke?

Eh, orang nak tengok cerita apa pun, orang punya suka lah! Kata Hamiza dengan matanya tepat ke arah Hasnah.

Oh, ini Hasnah. Aku memperkenalkan Hasnah kepada mereka. Hasnah... ini Hamiza dan Melati.

Hasnah... Hasnah ex Emmet ke?

Yes... That Hasnah. Jawab Hasnah dengan nada tajam mencemik sambil bersalaman dengan Hamiza dan Melati. Hasnah memandang tajam ke arah Melati yang nampak tak keruan itu. So... Melati ni girlfriend Emmet yang bisu tu ke?

Yes. But not for long! Hamiza menjeling ke arah ku.

Baguslah, Emmet tak suka orang membebel kepadanya. You are just made for each other!

Okay, kitaorang tak mahu kacau korang dating. Sorry ya?

Eh, ni bukan dating lah! Kata ku bersungguh-sungguh.

Oh, by the way... You tak tahu ke, dia jadikan kawan you Melati ni sebagai girlfriend dia as part of a bet. Kalau tak percaya, tanya kat dia sendiri.

Hamiza menyepetkan matanya ketika dia memandang ke arah ku. Dia pandang aku macam dia dah benci sangat dengan ku. Beberapa detik kemudian, Hamiza terus menarik tangan Melati ke tempat duduk mereka tanpa berkata-kata kepada ku.

Perlu ke awak beritahu benda ni semua kat diorang? Tanya ku kepada Hasnah. Dia duduk diam tanpa menjawab soalan ku tadi.

Kepala ku rasa macam nak pecah. Bila aku fikir-fikirkan, apa yang berlaku kepada ku hari ini macam cerita filem remaja yang ntah apa-apa. Banyak sangat konflik yang bukan-bukan.

Aku tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Aku tak tahu apa yang sedang difikirkan oleh Hamiza dan Melati tentang diri ku. Tapi aku harap mereka akan berfikiran rasional. Aku harap mereka tak akan fikirkan bukan-bukan tentang diri ku.

Bila aku toleh ke belakang aku tak nampak Hamiza dan Melati di dalam panggung. Aku tak tahu ke mana mereka pergi. Aku menyumpah seranah diri ku sendiri.

Lima minit kemudian barulah Raslan dan Tamrin masuk ke dalam panggung. Aku tanya mereka kenapa mereka lambat sangat. Raslan kata dia terserempak dengan kawannya di lobi. Aku tanya kepada Tamrin jika mereka terlihat kelibat Hamiza dan Melati di luar. Tamrin menggeleng.

Panggung terus digelapkan. Aku lihat Hasnah duduk diam seperti patung. Aku pula duduk resah langsung tak tahu apa yang sedang aku tonton. Aku SMS Melati dengan mengatakan aku menonton wayang bersama Tamrin dan Raslan. Dia langsung tidak mahu menjawab SMS ku.

Aku pulang ke rumah dengan kepala ku rasa macam nak pecah. Aku SMS Melati lagi. Dia tak mahu jawab. Aku call Hamiza. Dia tak mahu angkat. Bila aku tiba ke rumah, aku takut kalau bapak aku masih menunggu. Dia tak ada. Di dalam lif pula aku rasa takut jika dia tunggu di depan pintu. Macam trauma pula rasanya. Sekarang aku rasa takut untuk pulang ke rumah ku sendiri.

Tamrin memberitahu kepada ku semua ini hal kecik. Dia kata aku tak perlu risau tentang Melati mahupun tentang bapa ku. Tapi apa yang dia tahu?

Kalau aku jumpa dengan budak Hamiza tu esok, aku akan explain kan kepada dia betul-betul. Aku rasa semua ini berlaku pun kerana silap aku jugak. Kata Tamrin kepada ku sebelum dia masuk ke dalam biliknya.

Aku mengeluh seorang diri. Aku hentak-hentakkan kepala aku ke daun pintu bilik ku sebelum aku membuka pintu. Aku terus merebahkan tubuh ku ke atas katil. Aku rasa pada saat ini aku adalah manusia yang paling malang dalam dunia ini.



posted by Nizam  # 12:14 PM

Tuesday, September 20, 2005

Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 16
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.



Sejak aku pulang dari Muar, aku dapati aku macam rasa semakin dekat dengan Melati. Aku pun tak tahu kenapa. Mungkin kerana Aunty Kalsom dan Nek Saadah melayan aku dengan baik. Walaupun begitu, aku akui bahawa aku masih dapat merasakan terdapat satu jurang di dalam hubungan aku dengannya. Aku masih tidak tahu menggunakan bahasa isyarat dengan fasih walaupun banyak dah aku belajar. Jika kami berdua, buku nota kecil lah yang menjadi perantaraan di antara kami. Aku kurang pasti jika Melati benar-benar faham apa yang tersirat di dalam isi hati ku - bahawa aku mula menyukainya lebih dari seorang kawan.

Aku bertanyakan Melati tentang apa yang diberitahu Hamiza tentang awan dan bagaimana ibunya menggunakan awan untuk mengkomunisasikan apa yang terkandung di dalam hatinya. Melati tersenyum, lalu dengan besar hati mahu mengajar ku tentang jenis-jenis awan dan makna di sebaliknya awan-awan tersebut.

Dari Melati, aku diberitahunya bahawa terdapat banyak jenis awan di langit, tetapi dia telah merumuskan tiga jenis awan yang paling utama agar senang aku fahami maknanya secara kasar:



Pada petang itu aku bawa Melati ke tempat rahsia ku. Satu tempat yang sering aku kunjungi jika aku ada menghadapi masalah atau jika aku mahu lari dari segala-galanya. Tak ada sesiapapun yang tahu tentang tempat ini termasuklah Tamrin. Aku memilih tempat ini sebagai tempat rahsia ku kerana tak ramai orang tahu tentang tempat ini. Aku rasa aku dapat melarikan diri ku dari segala-galanya apabila aku ke sini...

Aku bawa Melati ke flat PKNS yang terletak di kampung baru. Aku dan dia menekan lif ke tingkat yang teratas lalu kami ke bahagian paling tepi menara flat ini. Di sini terdapat sebuah tangga besi yang dapat digunakan untuk ke tingkat bawah. Aku dapati Melati agak gayat apabila aku membawanya ke sini, lalu aku terpaksa memimpinnya.

Di situ aku menunjukkan kepada Melati panorama Kuala Lumpur yang tersergam indah. Melati tidak pernah melihat Kuala Lumpur dari sudut ini, jadi aku lihat dia tergamam buat seketika. Dia terus memegang tangan ku dengan erat.

Aku beritahu kepadanya dia boleh melihat awan dengan lebih jelas di sini. Melati mengangguk setuju. Dia menghirup udara petang dalam-dalam lalu memandang ke arah setiap awan yang terbentang luas di hadapannya.

Melati menudingkan jarinya ke arah sebentuk awan dari jenis awan kumulus. Dia menulis ke dalam buku notanya:

Arnab

Aku ketawa kecil. Kemudian aku menudingkan tangan ku ke arah awan yang lain. Aku tulis ke dalam buku notanya:

Muka Hamiza ketika dia sedang monyok

Melati mencubit bahu ku. Dia ketawa. Aku ketawa.

Apabila dia terdiam aku memberitahunya bahawa aku menyayanginya. Melati hanya merenung ke dalam wajah ku. Aku rasa dia tidak faham apa yang telah aku luahkan kepadanya tadi.

Saya sayang awak, Mel. Kata ku lagi. Dia masih tidak dapat menangkap apa yang telah aku luahkan kepadanya.

Tanpa aku sedari, inilah kali pertama aku mengucapkan kata-kata ini dengan jujur. Aku sendiri pada mulanya tidak sedar perkataan ini terpacul dari mulut ku. Aku terpaksa mengambil masa beberapa saat untuk memproses bahawa perkataan ini telah aku sebutkan sendiri dari dalam hati ku.

Melati meminta aku menulis apa yang telah aku sebutkan kepadanya tadi. Dia ingin tahu. Dia kata dia hairan melihat wajah ku tiba-tiba sahaja nampak serius. Dia tanya jika aku demam. Aku kata tidak, aku memberitahunya aku kepenatan.

Melati menerima jawapan yang aku berikan walaupun wajahnya nampak curiga.

Aku mula sedar bahawa luahan hati ku mungkin sukar untuk difahami Melati.

Dalam bentuk kata-kata, perasaan yang aku alami ini muncul dalam pelbagai bentuk dan manifestasi:

Cinta
Kasih
Sayang
Sukma
Rindu


Setiap satu dari perkataan yang aku gunakan dapat memberi makna kepada apa yang aku alami dan rasakan. Tetapi aku tak tahu jika perkataan-perkataan ini akan membawa sebarang makna untuk Melati.

Untuk membuatkan Melati memahami tentang perasaan ku kepadanya, aku mungkin terpaksa bekerja dengan lebih keras lagi. Aku perlu tahu bagaimana untuk menyebut kata-kata cinta dalam bentuk bahasa yang difahaminya. Aku perlu belajar caranya.

Lama juga kami duduk di anak tangga besi di tepi flat PKNS itu. Melati duduk diam sambil memandang ke arah awan-awan di hadapannya. Ada kalanya dia akan menyelak rambut ku untuk melihat bahagian kepala ku yang luka. Aku beritahu kepadanya luka ku dah baik.

Melati tahu aku bergaduh minggu lepas di kampungnya kerana aku mahu mempertahankan maruahnya.

Saya tak mahu awak bergaduh lagi. Katanya di dalam tulisannya di atas buku notanya.

Aku mengangguk perlahan. Dia rasa aku tak serius. Dia pegang dagu aku. Dalam pandangan matanya, aku tahu dia suruh aku janji supaya jangan cepat naik angin lalu bergaduh tak tentu fasal. Sekali lagi aku menganggukkan kepala ku, tapi kali ini dengan lebih tegas lagi.

Pada malam aku dipukul oleh budak-budak skinhead Sawah Ring, aku dapat tahu dari Hamiza, Melati terus menangis di dalam biliknya apabila ibunya merawat ku. Melati takut akan kehilangan ku. Aku beritahu Melati, luka aku di kepala tu sikit sahaja, bukannya boleh dibawa mati. Tetapi Hamiza kata aku tidak melihat keadaan diri ku pada malam itu. Darah merah pekat membasahi muka serta baju ku. Hamiza kata dia ngeri melihat keadaan ku, tapi Melati langsung tidak mengendahkan itu semua. Dia terus menutup luka ku sehinggalah aku sampai ke rumahnya.

Dia sayangkan awak, Emmet. Itulah kata Hamiza kepada ku.

Aku memegang tangan Melati. Hari beransur gelap. Aku membawanya turun ke tingkat bawah lalu membawanya ke tempat aku meletakkan motor ku. Aku dah janji nak bawa dia ke Bukit Bintang, jadi aku bawa dia ke sana. Mel perlu mencari software anti-virus untuk komputernya. Setelah kami dapat mencari software yang dicarinya, aku memberitahunya perut aku lapar.

Kita makan, ya? Saran ku kepadanya dengan isyarat tangan yang paling senang aku hafal. Dia mengangguk.

Aku keluarkan dompet aku. Aku tak banyak duit. Aku tak sentuh lagi duit yang bapak aku bagi. Jadi aku bawak dia masuk ke 7Eleven yang terletak di Bintang Walk. Aku tanya kepadanya jika dia tak kisah aku bawanya makan di sini. Dia kata dia tak kisah. Di mana-mana pun boleh. Aku suruh dia duduk di bangku dan meja berdekatan. Meja itu menghadap ke arah Bintang Walk.

Aku beli nasi lemak dua bungkus dan air dua tin. Aku masukkan nasi lemak yang aku beli ke dalam microwave. Bila dah panas aku bawa bungkusan nasi lemak ke tempat makan. Aku buka bungkusan nasi lemak Melati dan air tinnya. Aku hidangkan makan malamnya.

Bila saya ada duit nanti, saya belanja awak makan kat restoran di depan tu, ya? Kata ku, sambil memikirkan tentang beberapa buah restoran eksklusif yang terdapat di sini. Apabila aku menoleh ke arahnya, aku dapati dia tidak tahu aku telah mengatakan ini semua kepadanya. Matanya terus kepada makanan yang aku hidangkan. Beberapa saat kemudian dia menoleh kepada ku. Dia tersenyum. Dia tanya mengapa aku tak makan. Aku ambil sudu plastik, terus aku suap nasi lemak yang aku beli ke mulut ku.

Aku rasa kehadiran Melati pada malam itu bersama ku sudah cukup untuk membuat ku rasa bahagia. Tak apalah jika dia tak tahu bahawa aku sayang kepadanya...



posted by Nizam  # 3:31 PM

Monday, September 19, 2005

Novel Mat & Mel oleh Nizam Zakaria: Bab 15
Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.



Nek Saadah berkeras meminta Aunty Kalsom pergi ke majlis perkahwinan anak saudaranya yang bernama Hassan. Walaupun Aunty Kalsom tidak memberikan sebarang kata putus, Nek Saadah terus meminta kami supaya bersiap untuk ke majlis perkahwinan yang diadakan tidak berapa jauh dari rumah Nek Saadah. Aku dan Tamrin sememangnya tak membawa apa-apa pakaian yang istimewa, jadi kami sekadar memakai baju T dan seluar jeans. Tamrin kata, orang lelaki tak payah pakai baju cantik-cantik. Tak ada orang nak tengok. Perempuan lain lah, kena bersolek cantik. Katanya lagi.

Kami ke majlis perkahwinan Hassan sejurus selepas solat Maghrib. Nek Saadah suruh aku imamkan solat Maghrib tu. Aku menurut sahaja tanpa banyak soal. Aku rasa mesti Nek Saadah ingat aku ni budak baik...

Majlis perkahwinan yang kami hadiri itu berjalan dengan meriah. Ramai penduduk-penduduk kampung yang hadir.

Aku dapati ramai hadirin yang berbisik sesama mereka apabila mereka melihat kelibat Aunty Kalsom di majlis perkahwinan ini. Walaupun begitu, Aunty Kalsom sedaya mungkin tidak mahu mengendahkan ini semua. Dia bersama Melati terus berjalan dengan wajah yang yakin lalu duduk di meja makan.

Memang Melati nampak cantik pada malam itu. Aku tak sangka Melati boleh kelihatan begitu anggun dengan baju kebaya yang dipinjam dari ibunya.

Dah, jangan nak merenung kat anak dara orang macam tu! Tamrin menyiku ku. Aku tersipu-sipu. Makanan dihidangkan untuk kami. Melati, Hamiza, ibunya dan Nek Saadah makan di sebuah meja agak jauh dari kami. Sesekali aku mencuri pandang ke arah mereka.

Aku sebenarnya tak suka ke majlis perkahwinan macam ini, rimas! Ada satu masa mak selalu bawak aku ke majlis perkahwinan yang terpaksa di hadirinya untuk menggantikan tempat bapak aku kerana dia selalu sahaja sibuk. Sekarang, aku rasa jarang sekali mak dijemput ke mana-mana majlis perkahwinan macam dulu. Dah ramai kawan-kawannya yang menyisihkannya. Mak dah hilang ramai kawan-kawannya kerana apa yang telah dilakukan oleh bapak aku.

Setelah aku kenyang makan nasi minyak, aku mengajak Tamrin melihat pertunjukan kuda kepang yang diadakan di perkarangan rumah pengantin. Aku nak tengok sangat tarian kuda kepang ini kerana aku tak pernah melihatnya. Nama aja aku ni orang Johor, tapi benda-benda macam ni memang cukup asing bagi ku.

Apabila pertunjukan ini diadakan, aku dapat melihat Melati, ibunya dan Hamiza berada di kalangan penonton. Mereka menyaksikan pertunjukan ini betul-betul bertentangan dengan ku. Banyak kali aku lihat Melati akan memandang ke arah ku sambil tersenyum.

Sekumpulan budak-budak kampung yang nampak macam budak skinhead menonton sama. Mereka berasak-asak di belakang ku. Mereka banyak buat bising hu hah sana hu hah sini semasa tarian kuda kepang diadakan. Dua tiga kali aku memandang ke arah mereka dengan harapan mereka diam. Tapi semakin menjadi-jadi pula mereka buat gempak tak kenal tempat dan masa.

Eh, cun sial anak pelacur tu. Kata seorang dari mereka.

Dia pekak lah bodoh! Bisu pulak tu! Kata seorang lagi.

Itulah, mak aku kata sebab dosa dia jadi pelacur. Sebab tu anak dia jadi bisu macam tu. Kata seorang lagi.

Aku menoleh ke arah Tamrin. Dia renung ke wajah aku. Aku tahu dia tahu aku sedang marah. Darah aku sedang menggelegak. Dia mahu memberitahu ku dengan renungan matanya bahawa aku harus berdiam diri sahaja. Tapi aku tak boleh nak diam. Aku tak boleh biarkan budak-budak poyo dari kampung berangan skinhead Malay Power haram jadah ni kutuk-kutuk Melati dan ibunya macam ni.

Eh, korang ni semua ingat korang dah bagus sangat ke apa? Kata ku dengan suara marah.

Kau ni siapa nak marah member-member aku? Tanya budak skinhead yang besar tubuhnya yang menjadi ketua budak-budak skinhead ini.

Aku nampak dia datang dengan pelacur besar tu tadi. Kata seorang lagi.

Perangai kau dengan member-member kau satu-satu memang macam pukimak, kau tahu tak?

Budak ketua skinhead tu tunjal kepala aku macam kepala aku ni tak bayar fitrah. Tapi bila aku fikirkan balik, agaknya bapak aku memang tak bayar fitrah untuk aku tahun ni. Apa-apa pun, dia dah buat aku marah sampai aku tak boleh tahan lagi kemarahan aku.

Aku melepaskan tumbukan ke arah budak skinhead berbadan besar yang tunjal kepala aku tadi. Aku tak tahu di mana aku tumbuk dia, tapi aku ada lihat dia tutup mata kiri dia dengan tangannya. Budak-budak lain aku tengok ambil peluang ini untuk keroyok aku beramai-ramai.

Orang-orang yang berkenaan masing-masing tak mahu masuk campur lalu menjauhkan diri mereka dari kami. Tarian kuda kepang diteruskan juga apabila aku lihat penari-penarinya sedang khayal dengan tarian masing-masing. Kemudian tanpa aku sedari, aku diterajang dari belakang sampai aku terjatuh. Bila aku terjatuh tersungkur, kepala aku disepak oleh seorang budak skinhead dengan butnya sehingga aku rasa hendak pitam jadinya. Kepala aku rasa pedih. Bila aku pegang kepala aku, aku dapat lihat darah merah pekat membasahi tangan ku.

Apabila aku tersungkur di atas tanah dengan kepala ku berdarah, aku toleh ke arah penonton. Aku dapat lihat wajah Melati yang sedang tergamam. Dia mahu mendapatkan aku tapi Hamiza menahannya. Apabila aku menoleh ke hadapan, aku dapat melihat Tamrin cuba menepis serangan budak-budak skinhead ini terhadap aku dengan melawan balik. Aku hampir terlupa bapak Tamrin ni guru silat di kampungnya, jadi seorang demi seorang budak-budak haram jadah ini ditumbangkannya. Seorang dari mereka aku lihat mulutnya bercucur dengan darah.

Sudah! Hentikan! Jerit Aunty Kalsom. Nek Saadah beristighfar sambil mengurut dadanya. Semua orang terdiam. Penari-penari kuda kepang yang aku fikir dah naik seh tu pun terdiam sama. Mereka semua memandang ke arahnya.

Tamrin hulurkan tangannya agar aku dapat berdiri. Dahi ku dibasahi darah. Melati cepat-cepat mendapatkan ku lalu mengambil sapu tangannya untuk menutup bahagian luka pada bahagian kepala ku.

Nek Saadah memberitahu kepada Tamrin supaya membawa aku pulang ke rumahnya. Tamrin mengangguk lesu. Aunty Kalsom nampak serba tak kena. Dia berjalan ke hadapan. Orang ramai membuka jalan untuk kami. Mereka semua memandang ke arahnya tanpa sepatah ayat pun keluar dari mulut mereka. Nek Saadah pula marah-marah kepada budak-budak skinhead yang dikenalinya sejak mereka kecil lagi. Nek Saadah adalah bidan kampung yang dihormati. Jadi bila dia marah-marah macam ni, semua orang terdiam. Tak seorang pun yang berani melawannya.

Melati terus berjalan di sisi ku dengan tangannya terus ke bahagian luka di kepala ku. Aku toleh ke arah Hamiza. Aku lihat dia sedang memeluk tubuhnya. Tamrin pula hanya menggelengkan kepalanya.

Sesampainya aku di anjung rumah, Aunty Kalsom meminta aku membuka baju ku yang dibasahi darah itu. Aku menurut sahaja. Dia meminta Hamiza dan Melati membawa air panas dan kain bersih. Si Tamrin duduk di sebelah ku di atas anjung. Aunty Kalsom bertanyakan kepada Tamrin apa yang sebenarnya telah berlaku. Dengan teragak-agak Tamrin menceritakan segala-galanya. Aunty Kalsom mengeluh. Dia kata aku sepatutnya diam sahaja. Tapi aku beritahu kepadanya budak-budak skinhead tu memang biadab dan perlu diajar supaya jangan biadab lagi.

Melati dan Hamiza muncul dengan kain bersih dan air panas yang diletakkan di dalam bekas plastik yang cetek. Aunty Kalsom membasahkan kain dengan air panas lalu mengelap kesan-kesan darah di atas kepala ku.

Aduh! Getusku menahan pedih apabila luka di kepala ku terkena air panas.

Tu lah, siapa suruh awak bergaduh? Bebel Hamiza. Aku menjeling ke arahnya. Dia ni macam tak reti-reti aku cukup pantang mendengar perempuan membebel macam ni.

Sudah, kamu berdua masuk ke dalam. Perintah Aunty Kalsom kepada Hamiza dan kepada Melati. Mereka berdua menurut sahaja, walaupun aku dapat melihat Melati masuk ke dalam rumah dengan penuh keberatan.

Tamrin duduk diam di hujung anjung berdekatan dengan anak tangga sambil memandang kosong ke hadapan. Aku tak tahu apa yang sedang difikirkannya pada ketika itu. Tapi aku rasa dia marah kepada ku kerana telah memulakan pergaduhan ini sehingga menyebabkan dia terpaksa masuk campur.

Aku memandang ke arah bekas plastik dipenuhi dengan air panas yang kini berubah merah. Aku mengeluh seorang diri. Kalau mak aku tahu aku bergaduh sampai pecah kepala aku begini, mesti dia marah.

Kau tahu mak kau pernah amanahkan kepada abang Rastam dan aku supaya jaga kau baik-baik, sebab dia kata kau kepala angin? Ujar Tamrin tiba-tiba kepada ku. Aku rasa dia memang marahkan aku. Dia terus mendengus lalu masuk ke dalam rumah.

Aku memang rasa sedih bila Rastam berkata begini kepada ku. Aku rasa cukup-cukup bersalah. Aku mengeluh seorang diri.

Dalam pekerjaan yang aunty lakukan... Bermacam-macam-macam manusia yang aunty dah jumpa. Kata Aunty Kalsom tiba-tiba kepada ku. Dia memerah kain basah yang digunakan untuk membersihkan kepala ku ke dalam bekas plastik.

Aunty dapat rasakan Emmet ada simpan lipatan cerita panjang jauh di dalam lubuk hati Emmet tu. Aunty tak tahu apa yang Emmet simpan selama ini, tapi Aunty tahu, Emmet kadangkala rasa susah untuk menanggungnya.

Aku mengangguk perlahan. Aku tak tahu macam mana dia boleh baca isi hati ku. Tapi apa yang dikatakannya itu memang betul.

Luka yang ada di dalam hati kita itu perlu kita ubati sebelum ia bernanah, Emmet.

Kepala ku terasa berdenyut-denyut. Tapi aku rasa darah ku sudah berhenti dari mengalir. Aunty Kalsom kata luka aku memang dalam, tetapi tidak lah seteruk yang difikirkannya. Dia kata bila Nek Saadah tiba nanti, tahulah dia untuk menyembuhkan luka ku ini.

Luka di kepala Emmet ini senang sahaja sembuh, tapi luka di hati...

Bagaimana kita nak sembuhkan luka di dalam hati kita, aunty? Tanya ku bersungguh-sungguh. Aku mahukan jawapan darinya.

Aunty Kalsom ingin membuka mulutnya untuk menjawab, tetapi dia terus diam membisu apabila Nek Saadah muncul dari dalam gelap lalu naik ke rumahnya. Aku lihat Nek Saadah memandang ke arah ku dengan wajah penuh simpati. Dia kata memang bagus budak-budak skinhead di kampungnya itu dihenyak Tamrin - seorang dari mereka patah tangannya dan seorang lagi terseliuh kakinya. Menurut Nek Saadah lagi, mereka memang patut diajar begitu kerana mereka memang suka membuat kacau di kampung ini.

Emmet perlu dapatkan jawapan yang Emmet cari itu sendiri. Bisik Aunty Kalsom kepada ku. Nek Saadah mengambil kain yang dipegang Aunty Kalsom lalu membaca sesuatu sebelum dia meniupkan nafasnya ke bahagian luka di kepala ku. Aku lihat Aunty Kalsom masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan Melati tanpa menoleh ke belakang.




posted by Nizam  # 4:23 PM