Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 2
Pa: Pulang ke Kampung
Ma dan Pa berjalan di koridor di luar flat kediaman Lady Sarah Shamara. Koridor itu sunyi. Pa mahu berpatah balik tetapi dihalang oleh Ma. Ma menarik tangan Pa, lalu mengetuk pintu sampai memberi salam.
"Waalaikumsalam... Masuk!" ucap Lady Sarah Shamara dengan nada garang. Ma menolak daun pintu yang tidak berkunci itu.
Ma dan Pa masuk dengan takut-takut. Rumahnya ini dicat dengan warna hijau cair. Lady Sarah Shamara sedang berada di dapur sambil menunggu kuihnya masak di dalam oven. Rambutnya sedikit kerinting. Orangnya kurus. Dia sedang merokok dengan matanya tepat ke arah Ma dan Pa.
"Esok kau nak balik kampung, Pa?" tanya Lady Sarah Shamara dengan suara yang rendah.
"Tak tahu lagi, Lady Shamara."
"Macam mana boleh tak tahu ni?"
"Esok kan kita kena uruskan kerja kahwin tu?"
"Ish, aku tangan jugak pondan ni tau!" Lady Sarah Shamara mencucukkan rokoknya yang telah kontot ke dalam tempat abu rokok yang penuh dengan rokok-rokok yang telah dihisapnya. "Ini hal keluarga kau... Nak tak nak kau kena pergi jugak!"
"Tapi Pa dah janji tak mahu jejak kampung Pa lagi."
"Nyah... Perlu ke berdrama-drama ni semua?" Lady Sarah Shamara membakar puntung rokok yang baru sahaja dikeluarkan dari kotak rokoknya.
"Tapi-"
"Nak tapi apa lagi nyah?"
"Pa malu dengan orang-orang kampung!"
"Kau nak malukan apa? Selama ini kau ada mencuri harta benda diorang di sana? Menyusahkan hidup diorang?"
"Tak ada, Lady Shamara... Tapi dengan keadaan Pa macam ini sekarang?"
"Tak ya jugak kan? Dulu masa kau datang KL, slim jer aku tengok. Sekarang dah gerga."
"Bukan fasal tu-"
"Aku tahulah fasal apa!" tengking Lady Sarah Shamara. Dia memakai sarung tangan kain untuk mengeluarkan kuihnya dari dalam oven. Dia meletakkan dulang kuih di atas dapur untuk menyejukkan kuih yang tengah panas itu. Hobinya memang memasak kuih. Hampir setiap malam dia akan memasak kuih untuk menenangkan fikirannya. "Nok... Dalam hal yang melibatkan keluarga, aku tak nak kau main-main. Keluarga tu penting, kau tahu tak?"
Pa mengangguk perlahan lalu tertunduk.
"Pa kena bawak pulang anak saudara Pa. Tak ada orang yang mahu menjaganya di kampung."
"Jadi apa masalahnya sekarang?"
"Susah-"
"Apa yang susah?"
Pa termenung. Dia sukar untuk menjawab soalan Lady Sarah Shamara tadi.
"Kau lakukanlah tanggungjawab kau tu. Kau tu bukannya budak muda lagi nok, masih boleh terkinja-kinja. Kau tu dah tua. Kalau kau dah kahwin, anak kau dah masuk universiti dah dek non!"
"Tapi-"
"Kau didik budak tu nanti dengan sebaik-baik didikan yang kau mampu. Lengkapkan dia dengan ilmu supaya dia sejahtera dunia dan akhirat. Kau tak perlu takut kalau kau tak ada duit untuk tanggung dia. Kita semua ada, nyah. Kalau kita-kita sendiri ni tak tolong kaum sendiri, siapa lagi?" Lady Sarah Shamara mengingatkan.
Pa tidak dapat memberi sebarang alasan lagi. Dia akur dengan nasihat yang diberikan oleh Lady Sarah Shamara. Dia tidak dapat membantah. Jika bukan kerana Lady Sarah Shamara menjaga dan mengambilnya bekerja sebagai seorang penari latar ketika dia mula-mula tiba ke KL dahulu, mungkin dia terpaksa melakukan kerja yang bukan-bukan untuk menyara hidupnya.
Lady Sarah Shamara memasukkan beberapa keping kuih yang telah dimasaknya tadi ke dalam bekas plastik yang hampir penuh. Dia menyerahkan kuih tersebut kepada Pa. Pa menerima kuih tersebut sambil menarik nafasnya.
"Bagi kuih ni kat budak tu nanti. Beritahu dia, nenek dia yang masak."
Pa mengangguk. Dia meminta dirinya untuk pulang ke rumah. Lady Sarah Shamara menganguk sekali. Dia menghisap rokoknya dalam-dalam. Majalah menganbil majalah Mestika kegemarannya di atas meja dapur. Dia membaca isi majalah tersebut tanpa memandang ke arah Ma dan Pa yang mahu beredar keluar dari rumahnya.
Pa tiba di Stesen Bas Tangkak pada pukul 1 tengah hari. Dia tidak keruan. Sudah lama dia tidak ke sini, fikirnya. Bandar ini sudah banyak berubah. Dengan berpakaian kemeja lengan panjang yang agak ketat untuk saiz tubuhnya yang gempal dan seluar palazzo berwarna putih, dia berjalan berlenggang ke arah teksi berdekatan. Dua tiga buah teksi tidak mahu membawanya ke destinasinya. Sebuah teksi lagi bersetuju untuk membawanya ke Kampung Sialang hanya selepas dia bersetuju untuk membayar lebih.
Di sepanjang perjalanan ke Kampung Sialang, fikiran Pa melayang memikirkan tentang kisah lampaunya di kampungnya ini. Dia teringatkan saat-saat dia bermain masak-masak dengan Rosmah dan kakaknya di bawah kolong rumahnya. Dia teringat bagaimana bapanya itu pernah memukulnya separuh mati apabila menjumpai dia memakai gincu ibunya ketika dia berusia 12 tahun dahulu. Dia terbayangkan semula saat-saat budak-budak kampung mengekorinya ketika dia pulang dari sekolah lalu memanggilnya pondan beramai-ramai. Apabila bapanya tahu dia tidak melawan, dia pula dipukulnya. Pa tidak tahan dengan deraan yang diterima bapanya yang berkeras mahu dia berubah menjadi anak jantan sehingga dia lari dari rumah. Sejak dia lari dari rumah, belakangnya tak ada lagi bekas-bekas sebatan tali pinggang atau kaki dan tangannya lebam-lebam dek dihentam dengan tongkat. Walaupun begitu, lebam dan luka di dalam hatinya tak pernah sembuh. Sekurang-kurangnya ketika dia lari ke KL, dia sedikit tenang setelah dia tidak perlu lagi mendengar deruan tangisan ibu dan bapanya yang merintih meminta bapanya berhenti dari terus memukulnya.
Apabila teksi masuk ke dalam kawasan kampungnya, di mana-mana yang dipandangnya, dia akan lihat kehampaan bergerak mengabui matanya. Pa merasa sayu. Segala luka yang ada di dalam hatinya berdarah kembali. Segala cemuhan yang pernah diterima dari bapanya kembali terngiang-ngiang di dalam kepalanya.
"Berhenti di sini, pek!" perintah Pa sebaik sahaja apek teksi tiba di hadapan rumahnya. Pa terus membayar ongkos teksi tanpa banyak cakap. Apabila apek teksi mula menukar gear untuk bergerak, Pa memintanya supaya menunggunya di sini. Katanya dia tidak akan lama di sini. Dia mahu pulang ke Tangkak secepat mungkin.
Rumah di hadapannya kosong. Mak dan bapaknya sudah lama meninggal dunia. Rumah ini sudah tak berpenghuni lagi. Dia pasti Hadi ditumpangkan di rumah Rosmah. Dia berjalan ke rumah sebelah.
Pa memberi salam. Rosmah muncul di hadapan rumah. Dia memandang ke arah Pa dari atas ke bawah, kemudian dia tersenyum. Senyumannya mesra. Terus dia menjemput Pa masuk ke dalam rumah. Dia meminta Pa duduk di ruang tamu.
Beberapa detik kemudian, Rosmah muncul semula dengan Hadi berdiri di sisinya. Hadi pergi mendapatkan Pa lalu mencium tangannya. Hadi langsung tertunduk. Dia tidak berani memandang ke arah Pa.
"Berapa lama kau di sini, Shukor?" tanya Rosmah.
"Sekejap aja. Aku nak balik ke KL secepat mungkin. Banyak kerja aku di sana."
"Lah, kenapa tak duduk berehat jer di sini. Boleh kita bersembang cerita-cerita lama. Tunggulah laki aku tu balik kalau ya, pun!"
"Lain kali sahajalah, Mah."
"Kau jadi bawak balik Hadi bersama kau?"
"Ya."
Rosmah mengangguk sambil memandang ke arah Hadi. Dia mengeluh lesu. Khairul dan Khairil yang sejak tadi sedang menyorok di dapur berjalan ke arah Hadi.
"Salam pakcik," perintah Rosmah kepada anak-anaknya. Dia meminta diri untuk membawa keluar beg Hadi yang telah dikemaskan sejak malam tadi.
Pa duduk diam. Dia lihat kedua-dua orang anak Rosmah sedang merenung tajam ke arahnya. Pa meraba-raba kepalanya yang botak itu. Dia rasa tak selesa. Selalunya dia akan memakai rambut palsu ke mana-mana dia pergi, tetapi hari ini tidak. Dia menoleh ke arah Hadi. Dia lihat Hadi duduk terdiam dengan kepalanya tertunduk ke lantai.
Rosmah membawa beg Hadi keluar. Wajahnya nampak sedih. Dia meminta Pa supaya sering menghubunginya. Pa sekadar mengangguk tanpa mengutarakan janji.
Khairul dan Khairil jelas sedih. Khairul memeluk Hadi lalu menangis. Ibunya memujuknya supaya jangan menangis. Sejak dia kecil, Hadilah yang menjadi sahabatnya yang paling rapat. Kalau boleh, dia langsung tak mahu berenggang dengan Hadi.
Hadi bersalaman dengan Rosmah. Wajahnya terus kaku tanpa bicara.
"Jaga diri Hadi baik-baik. Jangan nakal-nakal. Hormat orang tua, ya Hadi." Pesan Rosmah. Hadi mengangguk.
Pa menjemput Hadi keluar. Teksi yang ingin disewanya masih menunggu di luar. Dia meminta Hadi duduk di belakang sementara dia duduk di sebelah apek.
"Apek... Ikut jalan depan ni. Terus kemudian belok ke kiri. Kita ke situ dulu sebelum ke Tangkak." Pinta Pa. Apek itu terus memandu tanpa banyak soal. Di rumah Rosmah, Pa dapat melihat Rosmah anak-beranak sedang melambaikan tangannya ke arah Hadi, tetapi Hadi hanya duduk diam dengan kepalanya memandang pahanya sendiri.
Pa mengambil keputusan untuk menziarahi kubur kakak serta abang iparnya. Dia menangis di atas kubur arwah kakaknya. Dia menoleh ke arah Hadi. Dia lihat Hadi berdiri kaku tanpa emosi. Mungkin di sebalik wajahnya dia tercetus perasaan marah di dalam jiwanya. Dia marah kerana kedua orang tuanya telah meninggalkannya secara mengejut. Dia rasa semua ini tak adil. Kenapa dia harus lalui ini semua sedangkan kawan-kawannya yang lain hidup bahagia dengan keluarga mereka sendiri.
Pa mendapatkan dua keping tiket untuk pulang ke Kuala Lumpur. Dia agak beruntung kerana dia tidak perlu menunggu lama. Dalam masa sepuluh minit lagi bas akan tiba. Dia bertanya kepada Hadi jika dia mahu beli minuman atau buang air kecil. Hadi tidak menjawab. Pa, berjalan ke tandas berdekatan. Hadi mengikutnya sahaja. Pa dah lama tak masuk ke tandas lelaki.
Pa membelikan Hadi beberapa bungkus snek dan minuman. Bas yang mereka tunggu tiba pada masa yang ditetapkan. Hadi dan Pa duduk di tempat duduk paling belakang. Tak ramai yang mahu ke KL pada hari itu. Hadi terus duduk diam walaupun Pa cuba berbual dengannya.
Ketika bas yang mereka naiki berhenti berehat di Seremban, Pa menelefon Rosmah. Dia risau melihatkan keadaan Hadi yang tidak mahu bercakap itu. Rosmah menegaskan bahawa sebelum orang tuanya meninggal dunia, Hadi adalah seorang anak yang ceria dan petah bercakap.
"Apa yang dia suka, Mah?" tanya Pa sambil menggosok-gosok kepalannya. Dia mendongak ke atas. Hadi sedang memerhatikannya dari tingkap bas.
"Dia suka main bola... Dalam beg dia ada kasut bola pemberian bapak dia. Tapi sampai sekarang dia tak pakai kasut tu lagi." Rosmah menjelaskan, dengan harapan dia dapat membantu Pa untuk membuat Hadi membuka mulutnya untuk berkata-kata.
Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom)
Pa: Panggilan telefon dari Rosmah
Sudah lama Pa tidak mendengar namanya itu digunakan. Jadi apabila namanya itu digunakan untuk memanggil dirinya, dia sudah dapat meneka pasti ada sesuatu perkara yang tidak diingininya berlaku kepada orang yang disayanginya.
Pa terduduk di atas pangkin pelamin yang baru sahaja dibinanya. Dia terasa seperti mahu pitam. Kawan-kawannya yang lain seperti Ma, Linda dan Celisha terus mendapatkannya. Ma cepat-cepat mengipaskan Pa yang bertubuh gemuk itu. Seperti seorang ratu, Pa kembali berdiri. Dia cuba berjalan keluar daru rumah pengantin yang sedang mereka berempat sediakan untuk hari esok. Dia perlu mendapatkan udara segar. Dia berjalan terhuyung-hayang. Ma yang kurus seperti biskut itu cuba memimpinnya agar dia tidak jatuh lalu menghempap barang-barang hantaran hasil kerja tangan mereka.
"Kenapa nok? Apa dah jadi ni?" tanya Ma dengan nada serius. Pinggangnya ramping macam Saloma. Memang dia meminati Saloma pun. Sejak kecil lagi dia telah menganggap Saloma sebagai ratu yang bertakhta di hatinya. Sebab itulah dia dipanggil dengan nama Ma. Ketika dia membuat show bersama Pa di sebuah resort di Pantai Cherating dahulu, lagu-lagu Saloma lah yang dibawanya. Si Pa pula akan membawa lagu-lagu Syarifah Aini. Siapa tak kenal dengan mereka berdua? Satu Pantai Timur mereka hiburkan dengan lagu-lagu evergreen Saloma dan Sharifah Aini.
"Kakak Mak baru saja meninggal dunia, nok." Jawab Pa dengan nada sedih. Dia cuba mengawal air matanya dari turun bercucuran. Di dalam kepalanya tiba-tiba kedengaran soundtrack lagu Hapuslah Airmata Mu. Semakin sedih lah dia jadinya.
"Innalillah..." Sambut Ma. Dia menoleh ke arah Linda dan Celisha yang sedang berdiri terpinga-pinga di atas pelamin.
"Mak tahu kau nak semuanya perfect. Jangan risau! Kita kan dah lama buat kerja ni."
Pa mengangguk lesu. Dia perlu tenangkan fikirannya. Berita yang diterimanya terlalu mengejutkan. Apa tidaknya, kakaknya yang disayangi tiba-tiba sahaja pergi begitu sahaja.
Pa keluar dari rumah pengantin yang terletak di Wangsa Maju itu lalu terus mengambil teksi untuk pulang ke flatnya yang terletak di Kampung Baru. Di sepanjang perjalanan jiwanya resah. Perasaannya tidak tenteram. Masakan tidak, kakaknya itu sudah banyak kali memujuknya supaya pulang ke kampungnya tetapi Pa berdegil tidak mahu menjejakkan kakinya lagi ke sana. Walaupun begitu, mereka masih terus berhubungan melalui surat ataupun panggilan telefon. Ada kalanya Pa akan menghantar kepada kakaknya gambar-gambarnya yang terbaru. Kakaknya memang suka Pa menghantar gambar-gambarnya itu, kerana menurutnya, inilah satu-satunya cara untuk dia menghilangkan rindunya kepada adik kesayangannya itu.
Kali terakhir kakaknya itu pergi menemui Pa adalah pada empat tahun yang lepas ketika dia menghadiri satu kursus kesihatan di Kuala Lumpur. Ketika itu, Pa ditunjukkan kepada gambar anak saudaranya yang bernama Hadi yang pada ketika itu berusia dua tahun. Pa mendapati Hadi adalah seorang anak yang comel. Berkulit putih dan mempunyai wajah persis bapanya, yang hanya akan menjanjikan bahawa satu hari nanti dia akan menjadi seorang pemuda yang kacak.
Setibanya Pa di rumah, dia terus masuk ke dalam biliknya. Dia mengeluarkan surat-surat serta gambar-gambar yang telah diterimanya dari kakaknya itu. Dia menangis lagi.
Dia mengeluarkan gambar Hadi, yang terbaru sekali menunjukkan Hadi dibawa bapanya ke sekolah dengan menaiki motornya bersama ibunya di sebelah. Air mata Pa terjatuh ke atas gambar. Pa cepat-cepat mengesat air matanya itu dari permukaan gambar tersebut. Dia takut air matanya itu akan merosakkan gambar lalu menidakkan memori yang dia ada terhadap keluarga kakaknya yang disayanginya itu.
Pada lewat malam itu, Ma pulang ke rumah. Dia pergi mendapatkan Pa di biliknya. Pa duduk termenung sambil menghadap ke gambar Sharifah Aini yang diletakkan di atas meja soleknya. Dia perlu menguatkan semangatnya. Dia perlu mempunyai semangat kental macam Kak Pah. Walaupun banyak onak dan duri perlu di hadapinya, Kak Pah tetap diva - dan inilah yang mahu dicontohi Pa.
"Kerja semua we all dah siapkan. Pelamin pun dah cantik. Keluarga pengantin suka dengan kerja-kerja kitaorang." Jelas Ma. Pa mengangguk perlahan. Dia mengeluh lesu.
"Jadi u'olls nak balik Muar ke?" Tanya Ma meminta kepastian.
"Mak tak tahu lah nyah."
"Sampai bila u'olls nak jadi macam ni? Sampai bila u'olls nak bertekat tak nak balik kampung u'olls lagi?"
"Mak dah tak ada apa-apa lagi di situ, nyah."
"Anak saudara u'olls masih ada di situ, kan?"
"Itulah masalahnya sekarang nok!"
"Masalah apa?"
"Mak kena bawak balik budak tu ke sini."
"Haiyohhh, sentap nih!" Mata Ma terbeliak. Tapi dia nampak teruja. Dia memang suka dengan budak-budak dan entah mengapa, budak-budak yang tinggal di kawasan ini pun suka dengannya. Cita-cita besarnya adalah untuk menjaga seorang anak angkat yang dapat dicurahkan segala kasih sayang yang ada di dalam dirinya. Sekurang-kurangnya, jika dia ada anak angkat, ada orang yang akan memanggilnya dengan panggilan 'mak' di dalam konteks sebenar-benarnya.
"Mak dia yang mintak ini semua."
"Jadi apa masalahnya sekarang, nok?"
"Nyah! Kita mampu ke?"
"Mampu apa?"
"Mampu jaga budak ni! Diri kita pun ada kalanya tak terurus!"
"Nok... Anggap budak tu sebagai rahmat. Soal cari makan soal rezeki, nok. Rezeki Tuhan yang beri. Walaupun hidup kita susah, mana tahu budak tu murahkan rezeki kita nanti."
"Entah lah nok..."
"Oh ya, Lady Sarah Shamara nak jumpa." Ujar Ma. Dia tahu Pa takut benar dengan nyah 'kertu' ini. Lady Sarah Shamara adalah 'mak ayam' bagi mereka berdua. Mereka berdua bekerja pun di bawah naungan ratu segala ratu ini. Orangnya garang. Kalau pelamin yang dibina dan dihias Pa tidak mengikut spesifikasi kualiti yang ditetapkan Lady Sarah Shamara, depan-depan orang ramai dirinya akan dimaki hamunnya.
"Apahalnya, nok?"
"Tadi dia ada tanya u'olls pergi mana, jadi mak bagitahu lah apa yang berlaku. Sekarang dia nak jumpa u'olls."
"Tak mahu lah... Mak takut!"
"Jom lah! Nanti mengamuk ponen kertu tu nanti!" Ma menarik tangan Pa. Jam menunjukkan pukul 12.20 malam. Lady Sarah Shamara belum tidur lagi. Dia jarang tidur malam walaupun esoknya dia ada kerja mengandam. Ada orang kata dia ada ilmu. Apa tidaknya, dia mampu membuatkan Leman Tanjung Malim yang sejantan-jantannya nampak macam peserta Miss World. Inikan pula pengantin perempuan yang diandamkannya...
Pa mengeluh. Dia membetulkan rambutnya. Dia berdiri tegak. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Lady Sarah Shamara tinggal di tingkat paling atas flat mereka. Dengan teragak-agak dia mengikut Ma untuk pergi menemui mak ayam mereka ini.
Lif terbuka. Di dalamnya Ma dan Pa dapat melihat kelibat Rais di situ, seorang pemuda berusia 21 - seorang mat rempit yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.
"Awal kau balik hari ni Rais?" tanya Ma dengan sinis. Rais tidak menjawab. Dia hanya menjeling. Dia keluar dari perut lif lalu berjalan terhuyung-hayang ke rumah sewanya.
"Dah lalok, lah tu!" tegur Pa pula. Mereka masuk ke dalam ke dalam lif. Bau ganja bercampur arak menusuk ke dalam hidung mereka.
"Muka hensem macam dia tu kalau dah jadi mat fit... Satu sen pun tak guna, nyah! Semalam aku dengar dia kena pecat dari tempat kerja dia tu sebab selalu datang lambat! " Keluh Ma. Pa tidak menjawab. Matanya terus ke siling lif. Diam tanpa kata.
Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom)
Prolog
Hadi dari Kampung Sialang, Muar berusia 8 tahun ketika kejadian ini berlaku. Dia seorang budak lelaki berusia 8 tahun yang suka bermain bola. Dia makan, bola minum, tidur pun bola. Bapaknya Razak hampir-hampir dipilih untuk mewakili pasukan bola sepak Johor tetapi gagal kerana mengalami kecederaan yang teruk pada bahagian lututnya. Ibunya Noraini pula (ketika itu dia bertugas sebagai jururawat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baru), mula berkenalan dengan bapanya ketika bapanya itu menjalani rawatan di hospital akibat kecederaan pada bahagian lututnya itu. Kejadian ini berlaku kira-kira 18 tahun yang lepas. Ini bermakna, Razak dan Noraini terpaksa menunggu selama 10 tahun sebelum anak sulung mereka dilahirkan. Kerana itulah Hadi telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Dia telah dijaga seperti menatang minyak yang penuh.
Razak yang kecewa tidak dapat memenuhi mimpinya untuk bermain dengan pasukan Johor berharap satu hari nanti Hadi akan meneruskan perjuangannya. Sejak kecil lagi dia akan membawa Hadi ke mana-mana perlawanan bola yang diadakan di Muar atau di bandar-bandar berdekatan. Jika dia ada masa, dia akan memastikan masanya itu dihabiskan dengan Hadi bermain bola dengannya.
Razak sayangkan isterinya. Ketika isterinya minta ditukar ke pusat kesihatan berdekatan dengan kampungnya di Kampung Sialang (untuk menjaga arwah bapanya yang uzur), dia sanggup mengikut isterinya ke sana.
Noraini mempunyai seorang adik bernama Shukor yang berusia setahun lebih muda darinya. Sejak kecil lagi hubungannya dengan Shukor memang rapat kerana keluarganya kecil. Syukorlah satu-satunya adik yang dia ada. Selain dari Syukor, Noraini rapat dengan jirannya yang seusia dengannya bernama Rosmah. Sejak kecil lagi mereka berkawan baik.
Rosmahlah yang berada bersama Noraini ketika dia sedang nazak. Menurut cerita pada petang itu seperti biasa Razak telah mengambil Rosmah di tempat kerjanya. Hari itu hari Razak mendapat gaji. Dia dan Noraini sempat ke pekan untuk membeli sepasang kasut bola untuk Hadi. Dalam perjalanan pulang, sebuah lori yang dibawa dengan laju melanggar motor yang dinaiki mereka. Razak mati serta-merta di tempat kejadian.
Di dalam detik-detik terakhir hidupnya, Noraini telah memberitahu kepada Rosmah, "jika aku pergi, aku mahu Shukor jaga Hadi. Aku mahu dia bawak Hadi ke Kuala Lumpur dan jaga dia baik-baik."
Syukor akhirnya menerima tentang berita kematian kakaknya seminggu selepas kakaknya dikebumikan. Syukor dihubungi sesusah nombornya dijumpai di dalam telefon bimbit Noraini yang akhirnya dipulangkan oleh pihak Polis bersama dengan kasut bola yang telah dibelikan oleh suaminya untuk Hadi dua hari selepas kemalangan tragik ini berlaku.
Hadi tidak sedikit pun menangis apabila dia mendengar berita tentang kematian kedua orang tuanya. Di dalam masa yang sama, dia langsung tidak membuka mulutnya untuk berbual dengan sesiapa. Dia terus diam membisu seribu bahasa.
"Makcik dah telefon Pakcik Syukor kau tu kelmarin... Makcik dah beritahu kepadanya tentang apa yang telah berlaku. Baru tadi dia telefon makcik. Dia beritahu kepada makcik, dia akan datang ke sini esok untuk bawa kau ke Kuala Lumpur." Beritahu Rosmah kepada Hadi.
Hadi menganggukkan kepalanya dengan perlahan. Anak-anak Rosmah, Khairul dan Khairil yang berusia 10 dan 12 tahun itu terus merenung ke dalam wajah murung Hadi. Hadi telah menetap di rumah mereka sejak kedua ibu dan bapanya meninggal dunia seminggu yang lalu. Hadi tidak seceria dahulu.
"Pakcik Syukor tu baik orangnya Hadi. Dulu makcik dengan dia kawan baik, tau!" Ujar Rosmah dengan perlahan sambil mengusap-usap rambut Hadi yang lembut itu. Hadi masih duduk diam.
"Makcik tahu Hadi tak pernah berjumpa dengannya... Tapi makcik tahu, arwah mak Hadi tentu selalu ceritakan tentang hal dia kepada Hadi, kan?"
Hadi mengangguk lesu. Seumur hidupnya dia tidak pernah bertemu dengan pakciknya itu. Dia hanya ditunjukkan dengan gambar pakciknya ketika pakciknya itu ketika masih kecil dan berusia belasan tahun. Jadi dia tidak tahu bagaimana rupa pakciknya itu yang sudah lebih 20 tahun tidak pulang ke kampungnya sendiri.
Syukor telah melarikan dirinya dari Kampung Sialang setelah dia tamat peperiksaan SPMnya. Sejak dari hari itu dia telah berjanji kepada dirinya bahawa dia tidak akan sekali-kali pun pulang ke kampungnya itu. Pengalaman lampaunya yang penuh dengan titik-titik hitam bersama bapanya telah membuatnya bertekat untuk lari ke Kuala Lumpur buat selama-lamanya.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 30 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Akhirnya. Di Carnaby Street
Keadaan menjadi begitu kalut sehingga aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Bas dua tingkat berwarna merah kini berada beberapa meter sahaja dari ku. Bas membunyikan hon dengan kuat. Aku berada di dalam keadaan begitu terkejut sehingga tubuh ku menjadi kaku. Pada saat itulah aku dapat merasakan diri ku di tarik ke belakang dengan kuat. Aku terjatuh di atas kaki lima jalan.
Bas hampir-hampir melanggar ku tadi berhenti buat seketika. Penumpang-penumpang di dalam bas ada yang memerhatikan ku ada pula yang membuat hal masing-masing. Si pemandu menggelengkan kepalanya dengan mulutnya terkumat-kamit menyumpah seranah.
Ayah dan mak cepat-cepat pergi mendapatkan ku. Aku memandang ke arah gambar Haryati yang telah melekat pada tayar bas yang kini bergerak meninggalkan kawasan Carnaby Street. Mulut ku ternganga. Sekeping gambar yang amat-amat aku hargai ini kini hilang buat selam-lamanya.
Apa yang kamu kejarkan tadi? Tanya lelaki yang telah menyelamatkan aku.
Gambar. Jawab ku tanpa menoleh ke arahnya. Beberapa detik kemudian barulah aku sedar dia telah bercakap Melayu kepada ku. Aku berpaling ke arahnya. Wajah ku berubah pucat. Tersentak aku dibuatnya. Aku rasa aku mengenali dirinya.
Terima kasih. Ujar ayah kepada lelaki yang telah membantu ku tadi. Mak membantu aku untuk berdiri.
Munsyi! Katanya. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan ayah.
Panggil saja aku Adam. Sambut ayah sambil bersalam dengannya.
Nama saya Zamani. Katanya. Maka betul lah telahan ku. Dia memang abang Zamani. Tetapi tubuhnya sekarang tidak gemuk. Malah dia nampak tegap untuk lelaki yang seusia dengannya. Aku pasti dia tidak mengenali ku. Mungkin seumur hidupnya, inilah kami pertama dia bertentang mata dengan ku.
Saya dan isteri saya peminat nombor satu Munsyi! Saya telah menghadiahkan EP pertama The Phase kepada isteri saya dan menujukan lagu Cinta Takkan Pergi kepadanya. Lagu itu telah memberi perangsang kepada saya untuk memberitahunya bahawa saya mencintainya.
Isterinya di mana? Tanya Mak sambil tersenyum, kerana dia tahu ayah telah mencipta lagu ini khas untuk dirinya.
Oh, dia ada di sini. Mahu bergambar dengan anaknya di tempat dia pernah bergambar dahulu.
Aku berlari meninggalkan mak. Aku perlu pergi ke tempat di mana Haryati pernah bergambar dahulu. Apabila aku menoleh aku lihat mak terpinga-pinga melihat gelagat ku.
Di sudut yang sama itulah aku dapat melihat Haryati. Versi tuanya. Dia masih cantik lagi. Aku berjalan mendekatinya.
Excuse me, I'm taking my mother's photo! Kata seorang gadis di belakang ku. Aku menoleh ke arahnya. Aku terkejut melihat wajahnya.
Sanisah! Getus ku. Gadis itu mempunyai wajah saling tak tumpah dengan Sanisah. Tetapi rambutnya pendek.
Excuse me?
Awak Sanisah kan?
No... Nama I Suraya.
Kami menamakannya Suraya sempena nama lagu Suraya, lagu di dalam EP pertama The Phase. Ujar abang Zamani di belakang ku - yang pastinya kini harus aku panggil 'uncle' ataupun pakcik...
Suraya bersalaman dengan mak dan ayah. Kemudian dia berpaling kepada ku.
You salah orang. Suraya mengingatkan ku.
Saya tahu. Oh, ya. Nama saya Masdor.
Why are you blushing, Masdor? Merah muka you. Ujar Suraya. Seorang anak muda yang mempunyai wajah persis Yusnor tetapi dengan tubuh yang lebih tinggi dan tegap berjalan ke arah kami sambil menjilat ais krim.
Yusnor!
No, he's not Yusnor... That's my brother, Zubir. Are you okay? Selalu sangat you salah orang.
Aku bersalaman dengan Zubir. Dia tersenyum melihat gelagat ku yang pelik.
Masdor ni pelik sikit sejak tiga empat hari yang lepas. Rungut mak sambil menjeling ke arah ku.
Jumpa kawan lama ke, kak? Tanya Zubir kepada Suraya. Dia menggeleng.
Oh ya, Haryati... Ini Munsyi... Maaf, Adam dan isterinya Suraya.
Oh, dear! Tak sangka dapat jumpa Munsyi di tengah-tengah London! We are your biggest fan! Ujar Cik Haryati bersalaman dengan mak dan ayah.
Tempat ini istimewa buat kami... Saya telah menghadiahkannya dengan EP The Phase di sini sejurus selepas saya mengambil gambarnya di sudut itu. Tapi gambarnya dah hilang entah ke mana. Ujar abang Zamani.
Aku memandang ke arah Suraya. Namanya sama dengan nama mak. Dia tersenyum ke arah ku. Pada saat itu aku dapat merasakan kelainan yang ada pada dirinya jika dibandingkan dengan Sanisah. Suraya adalah seorang gadis yang lebih ceria. Aku pasti kehidupannya dipenuhi dengan kasih sayang.
Apa kata kita duduk minum-minum. My treat!Ujar abang Zamani. Ayah mengangguk. Aku rasa memang tekaknya kering setelah melalui ini semua - melihat ku hampir-hampir di langgar bas di hadapan matanya sendiri.
Di dalam Cafe aku duduk berbual dengan Suraya. Menurutnya dia akan memulakan pengajiannya di London School of Economics and Political Science di dalam bidang ekonomi. Aku ada bertanya jika dia minat menulis. Dia mengangguk dengan pantas. Aku tersenyum.
Mak dan ayah ligat bersembang dengan abang Zamani dan Cik Haryati. Aku pula duduk sambil mendengar celoteh Zubir dan Suraya. Mereka berdua saling tak tumpah dengan Sanisah dan Yusnor yang pernah aku kenali - mungkin personaliti dan penampilan mereka sahaja yang sedikit berbeza. Suraya aku lihat berpakaian yang nampak sedikit sopan dan Zubir pula tak lagi nampak macam budak hip hop.
Jauh dalam hati ku, aku yakin aku dapat membuat Suraya jatuh hati kepada ku. Aku tahu dia bukan Sanisah, tetapi sebahagian dari diri Sanisah yang telah diturunkan ibunya ada di dalam dirinya.
You know what... Semalam I mimpi. A weird dream. Sebab tu lah I dragged my parents to come here! Ujar Suraya dekat kepada ku.
Mimpi apa?
Seekor kucing robot dari masa hadapan yang keluar dari sebuah pintu ajaib. Ia suruh I ke Carnaby Street. I know it sounds silly-
Tak apa... Teruskan!
Dia kata I akan jumpa sesuatu yang amat-amat berharga di dalam hidup I tepat pukul 12 di Carnaby Street. But I was late by half an hour. Entahlah. It was a silly dream. Papa terjumpa dengan sepasang kasut yang mahu dibelinya di Mark & Spenser tadi, sebab itu lah kami lambat ke sini tadi. Dia tu cerewet sikit bila nak beli benda-benda macam tu!
Seperti Sanisah, Suraya juga suka menggigit bibirnya. Aku merenung wajahnya. Aku gembira melihat senyuman yang menguntum di bibirnya itu.
Apa yang paling berharga di dalam hidup awak, Suraya? Tanya ku, lantas terus dia terdiam buat seketika untuk berfikir.
Kebahagiaan. Jawabnya dengan jujur. Aku tersenyum.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 29 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
London, 21 September
Aku memandang kosong ke luar tingkap apabila kapal terbang berlegar di udara Sepang. Kemudian aku menoleh ke arah mak dan ayah yang sedang duduk di kerusi sebelah. Mereka sedang bergurau sesama mereka sebelum mereka ketawa berdekah-dekah. Mereka nampak bahagia. Hati ku tenteram melihatkan kebahagiaan yang terwujud di dalam diri mereka. Muzik terus hidup di dalam jiwa ayah dan inilah yang membuatkan ayah menjadi seorang manusia yang mencintai kehidupannya. Kebahagiaannya membahagiakan mak.
Lampu untuk meminta penumpang memakai tali pinggang keledar dimatikan. Aku membuka ikatan tali pinggang keledar ku. Aku menoleh ke arah ayah. Dia mahu ke tandas.
Mak, ingatkan orang kenapa orang nak jadi doktor. Tanya ku dengan suara perlahan kepada mak.
Mak tersenyum. Dia memandang ke arah ayah yang sedang berjalan ke arah tandas sebelum dia menoleh ke arah ku.
Mak menjawab soalan ku dengan memulakan cerita tentang kerja-kerja sukarelawannya. Mak kata, dia mula menjadi sukarelawan ketika aku berusia dua tahun. Dia menggunakan pengalamannya sebagai seorang bekas jururawat untuk menyedarkan pekerja seks di Chow Kit tentang amalan seks secara selamat. Ketika itulah mak mula-mula bertemu dengan Miss Lee. Mereka akhirnya menjadi kawan baik. Mereka berdua sering bekerjasama untuk menyedarkan pekerja-pekerja seks di Chow Kit tentang bahaya HIV.
Ingat tak dulu bila mak ada bawak Masdor berjumpa dengan Cik Wati yang terlantar di hospital... Cik Wati kawan baik Miss Lee. Masdor kata, Masdor ingin menjadi doktor supaya satu hari nanti Masdor dapat mencari jalan untuk mengubati pesakit AIDS macam Cik Wati.
Aku hanya mengangguk walaupun aku tidak dapat mengingati semua ini.
Orang harap satu hari nanti orang dapat melakukan ini semua.
Sebab itu mak nak kau belajar rajin-rajin. Mak yakin kalau Masdor tumpukan perhatian Masdor kepada pelajaran, pasti Masdor akan berjaya. Kalau Masdor berjaya mencipta vaksin untuk mengubati penyakit Aids, berjuta-juta nyawa akan dapat diselamatkan.
Aku mengangguk perlahan. Aku lihat ayah kembali duduk di tempatnya. Seorang pemuda yang seusia dengan ku datang mendekatinya lalu meminta ayah menandatangani CD Tribute to The Phase yang ingin dibawanya ke London. Dia panggil ayah dengan panggilan Munsyi. Satu panggilan yang sinonim dengan ayah sejak awal 90-an dulu setelah ayah berjaya membuktikan dirinya sebagai seorang pemuzik dan komposer bertaraf antarabangsa. Setelah ayah selesai menandatangani CDnya, dia sempat bertanyakan kepada ayah jika benar ada ura-ura untuk ayah bekerjasama dengan Sifu M. Nasir untuk album barunya. Ayah tersenyum sambil mengangguk perlahan.
Kota London adalah sebuah kota yang mempesonakan bagi ku. Entah mengapa, walaupun aku tak pernah ke kota ini, perasaan "deja-vous" menyelinap ke seluruh jiwa ku.
Di dalam realiti ini, ayah akhirnya berjaya mencapai cita-citanya untuk ke Liverpool dan seterusnya ke Strawberry Fields pada tahun 1989. Kemudian, dua tahun sekali, dia pasti akan membawa kami sekeluarga bercuti ke UK. Dia kata, dia mahu aku belajar di sini pun, agar dia mempunyai alasan untuk sering berulang alik ke sini. Mak pula menegaskan aku telah memilih untuk belajar di King's College, University of London kerana ia mempunyai tradisi penyelidikan yang cemerlang di dalam bidang perubatan.
Semalam sehari suntuk aku habiskan masa ku memindahkan barang-barang aku dari Great Dover Street ke New Hunts House. Mak dan ayah tolong aku berpindah. Bilik baru aku letaknya di tengah-tengah kampus Guy. Jadi aku tak payah berjalan jauh untuk ke kuliah.
Kuliah aku akan bermula dalam masa seminggu dua sahaja lagi. Entah mengapa, aku rasa tak sabar untuk mula belajar. Bersemangat pula aku untuk belajar sehingga satu hari nanti aku berjaya menjadi seorang doktor dan mungkin seorang penyelidik.
Kenapa termenung, Masdor? Tanya ayah kepada ku ketika aku sedang menunggu mak bersolek di bilik mandi.
Esok 21 September.
Jadi kenapa?
Yah... Orang ada suka dengan sorang budak perempuan ni, tapi dia tak wujud dalam dunia ni. Tapi orang rasa dia wujud.
Apa yang kau ceritakan ni, Masdor? Ayah menggaru-garu kepalanya.
Dengarlah dulu yah!
Ya, ayah dengar ni.
Orang rasa dia wujud.
Macam mana kau tahu dia wujud?
Orang dapat rasa dia wujud. Tak tahu lah macam mana orang nak explain.
Jadi... Kalau kau tahu dia wujud, kau perlu cari dia sampai dapat.
Ya. Saya akan cari dia sampai dapat.
Kalau memang dah jodoh kau... Walaupun dia berada seribu batu dari kau sekarang, satu hari nanti, kau akan tetap diketemukan dengannya.
Esok kita ke Carnaby Street, ya?
Ayah mengangguk. Katanya elok juga jika kami ke sana kerana esok dia dan mak memang bercadang mahu membeli-belah di Oxford Street.
Pada malam itu aku terasa sukar untuk masuk tidur. Aku terbaring di dalam bilik ku sambil memandang ke arah siling. Ada kalanya aku akan menoleh ke kaki ku kerana Prasasti selalu berada di situ. Tetapi dia tak ada. Aku merindukannya. Aku berjalan ke arah jendela. Aku memandang ke arah kampus. Aku mengeluh. Tak berapa lama dahulu aku seorang mat rempit yang bekerja di 7Eleven dan sekarang aku seorang pelajar perubatan di London. Dunia di sekeliling ku berubah akibat satu irama yang aku siulkan ke dalam telinga ayah.
Aku menarik nafas ku dalam-dalam. Wajah Sanisah terus terlekat di dalam jiwa ku. Aku paling takut jika satu hari nanti aku akan melupakan rupa wajahnya itu. Memang benar seperti kata Prasasti Sanisah dan Yusnor tidak wujud lagi di dunia ini. Sejurus selepas aku menemui Uncle Chandran, aku pergi ke kondominium yang didiami Sanisah dan Yusnor. Mereka tidak ada di situ. Yang ada cuma sebuah keluarga India yang telah tinggal di situ sejak lima tahun yang lepas.
Dalam keadaan pasrah, aku keluarkan gambar Haryati. Gambar itu aku tatap lama-lama kerana gambar ini memberi seribu pengertian buat diri ku. Aku kembali baring di atas katil ku. Aku letak gambar itu dekat ke dada ku sehinggalah aku tertidur dengan sendirinya.
Pagi-pagi lagi aku telah bersiap sedia untuk menaiki tube ke hotel yang didiami mak dan ayah di Park Lane. Sejurus selepas makan pagi, kami terus berjalan ke arah Oxford Street. Ayah dan mak kata mereka suka berjalan di London. Apa tidaknya, jika ada apa sahaja yang menarik perhatian mereka, mereka akan berhenti lalu melihat-lihat ke dalam kedai. Aku memandang ke arah jam tangan. Jam menunjukkan pukul 10 pagi ketika kami tiba di Marble Arch.
Kenapa kau nampak tergesa-gesa, Masdor! Tanya Mak ketika dia mahu melangkah masuk ke dalam Selfridges.
Orang ada janji dengan kawan... Pukul 12 nanti. Sambut ku dengan suara yang sengaja aku kuatkan. Terlalu ramai orang yang lalu lalang di sini. Aku lihat ayah sedang memegang tangan mak dengan erat agar mereka tidak berpisah.
Kau janji untuk berjumpa dengan kawan kau di mana? Tanya ayah.
Di Carnaby Street.
Apa kata kau ke situ sahaja. Kami akan ke sana juga nanti. Bila kami sampai ke sana kami akan call kau. Saran ayah. Aku mengangguk.
Aku lihat mak dan ayah sambil tersenyum. Aku keluar dari perut Selfidges. Di luar, aku bertanyakan seorang gadis berbangsa India ke mana arah Carnaby Street. Dia menudingkan jarinya ke arah timur. Dengan pantas aku berjalan ke arah timur sehinggalah aku terpandang ke arah sebuah palang penunjuk jalan. Ia menunjukkan arah Carnaby Street.
Aku mendongak ke langit. Langit cantik membiru. Sesekali aku akan terasa sejuk apabila bayu musim luruh menyapu wajah ku. Aku memandang ke arah jam tangan ku. Aku mempunyai 15 minit lagi sebelum pukul 12. Aku memandang ke arah sekeliling ku. Terlalu ramai manusia di sini. Aku terasa rimas. Beberapa buah bas dua tingkat berwarna merah lalu di sisi ku ketika aku berhenti di persimpangan jalan menuju ke arah Carnaby Street. Tak sabar-sabar aku menunggu lampu trafik berubah warna agar aku dapat melintas jalan.
Aku akhirnya tiba di Carnaby Street dua minit sebelum pukul 12. Aku termengah-mengah. Aku tiba di bawah tanda jalan Carnaby Street yang terkenal itu. Di sinilah Haryati mengambil gambarnya dahulu. Aku berdiri di situ. Di sudut yang sama. Aku memandang ke kiri dan ke kanan mengharapkan Sanisah akan muncul di sini pada bila-bila masa sahaja.
Jadi aku tunggu dan aku tunggu. Lebih setengah jam aku menunggu di sini, tetapi Sanisah tak kunjung tiba. Aku kecewa. Aku rasa macam nak menangis. Aku rasa diri ku terlalu bodoh kerana menunggu dirinya yang tidak mungkin wujud di dalam dunia ini.
Aku keluarkan gambar Haryati. Aku renung gambar itu. Kerana gambar inilah aku akhirnya berada di sini. Aku mengeluh lesu.
Seorang lelaki Inggeris menganggar tubuh ku secara tidak sengaja. Dia meminta maaf. Gambar Haryati terlepas dari tangan ku. Ia terbang di bawa angin. Aku berlari mendapatkan gambar itu. Inilah satu-satunya gambar yang dapat mengingatkan aku kepada dunia yang telah aku tinggalkan. Aku tidak mungkin akan membenarkan gambar ini hilang begitu sahaja.
Gambar yang terbang ini akhirnya jatuh di atas jalan raya. Tanpa berfikir panjang aku terus cuba mendapatkan gambar ini. Aku dapat mendengar nama ku dipanggil apabila aku sedang melangkah ke atas jalan tanpa berfikir panjang. Aku menoleh dengan pantas. Aku dapat melihat wajah ayah yang cemas yang sedang menjerit memanggil nama ku. Beberapa detik kemudian aku dapat mendekar bunyi hon kenderaan yang kuat. Apabila aku menoleh ke sisi ku aku dapat melihat sebuah bas dua tingkat berwarna merah dengan pantas menuju ke arah ku!
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 28 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Banglo di Bukit Antarabangsa
Perasaan sedih mengelumuni diri ku. Aku kurang pasti jika aku dapat menjalani hidup ini tanpa Sanisah. Kepala ku terasa tepu. Aku akan terus mengingatinya sampai bila-bila walaupun dunia menidakkan kewujudannya.
Wajah ayah berseri-seri pada subuh itu. Dia memang sukar tidur malam. Sebab itulah dia bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan. Mak bekerja di hospital pada syif malam agar dia dapat bersama ayah pada siang hari dan lama-kelamaan aku terikut sama.
Wajah ayah berseri-seri kerana dia mula jatuh hati kepada mak. Aku tahu perasaan yang dilaluinya. Aku pernah melaluinya sendiri.
Prasasti mengingatkan aku bahawa matahari akan terbit beberapa detik sahaja lagi. Apabila aku cuba tanya apa yang akan berlaku kepada ku nanti, dia tidak menjawab, tetapi aku dapat melihat kesedihan terlukis di wajahnya.
Kenapa kau tiba-tiba sahaja sedih, Prasasti? Tanya ku dengan perlahan. Aku tidak pernah melihatnya bersedih, malah, aku tak tahu pula dia telah diprogramkan untuk mempunyai kemampuan untuk mengalami kesedihan dan menunjukkan perasaan sedih.
Tugas mek dah selesai. Katanya dengan suara layu.
Jadi kenapa?
Mek kena tinggalkan u'olls dan pulang ke dunia mek semula.
Jadi aku macam mana?
U'olls ingat mek akan bersama u'olls untuk selamanya ke?
Aku mengangguk. Itulah yang aku fikirkan selama ini. Malah pernah aku berfikir Prasastilah yang akan menjaga diri ku ketika aku tua nanti.
Prasasti duduk di atas paha ku. Dia mengusap pipi ku. Wajah ku muram. Aku rasa mahu menangis, tetapi aku rasa terlalu sedih sehingga air mata pun sukar untuk aku titiskan. Dia meminta aku supaya jangan bersedih.
Aku tidak tahu jika aku merasa terlalu sedih pada waktu itu sehingga aku tak mampu berkata-kata. Prasasti yang telah aku kenali sejak kecil kini akan meninggalkan ku begitu sahaja.
Selamat tinggal, Masdor!
Jadi inilah kali terakhir kita bertemu?
Prasasti mengangguk.
Jadi... Kau tak akan muncul lagi di dalam hidup aku?
Prasasti menggeleng.
Prasasti memegang tangan ku dengan kuat sebelum dia berdiri di atas lantai. Dia mengeluarkan Pintu Dimensi Ajaib dari poketnya. Dia berjalan ke arah pintu tersebut lalu memulas tombol pintu. Apabila daun pintu terkuak, cahaya yang maha terang bersinar dari sebalik pintu sehingga membuat mata ku silau. Aku dapat melihat Prasasti melambaikan tangannya ke arah ku. Aku melambaikan tangan ku kembali.
Keadaan di sekeliling ku menjadi terang. Aku cuba menggunakan tangan ku untuk mengelakkan cahaya yang terang itu dari menyilau mata ku. Pada masa yang sama, aku dapat merasakan tubuh ku semakin ringan dan lemah. Mata ku kabur. Aku rasa terlalu mengantuk. Aku menutup mata ku sehinggalah aku tidak apa yang berlaku kepada diri ku selepas itu.
Apabila aku membuka mata ku, aku dapati aku tidak lagi berada di dalam bilik lama ayah tetapi di dalam sebuah bilik yang kelihatan begitu asing bagi ku. Aku menggosok-gosok mata ku. Aku bangun dari katil ku. Aku mendapati kesemua barang-barang yang ada di dalam bilik ini adalah barang-barang kepunyaan ku.
Aku memeriksa jaket kulit yang masih aku pakai. Aku mengeluarkan gambar Haryati yang telah diambil di Carnaby Street dari poket jaket ku. Gambarnya ini masih ada di dalam simpanan ku. Aku mengeluarkan dompet wang ku. Kad Menilik Masa Depan yang aku simpan selama ini tidak ada lagi di situ.
Aku keluar dari bilik ku. Bahagian di tepi dinding dihiasi dengan beberapa buah album dari kumpulan The Phase yang menerima anugerah emas dan platinum. Aku menggaru-garu kepala ku. Aku rasa aku sedang berada di dalam sebuah rumah banglo yang aku diami di dalam sebuah dunia yang telah aku ubah.
Aku turun ke tingkat bawah. Mereka tersenyum ke arah ku. Aku memandang ke arah sekeliling ku. Rumah ini nampak mewah dan cantik. Aku berjalan ke meja makan. Aku dapati mak dan ayah berada di situ.
Kau dah pack beg kau tu, Masdor? Tanya ayah ketika matanya terus ke akhbar The Star yang sedang dibacanya.
Beg? Kenapa? Tanya ku. Mak memegang bahu ku. Meminta aku duduk di meja makan.
Untuk ke London lah.
Untuk ke London?
Saya dan pack beg dia tu siang-siang, bang. Kalau kita tak buatkan untuk dia, sampai esok bila kita nak fly pun dia tak akan pack bag dia tu. Kata Mak. Dia meletakkan sepinggan nasi goreng di hadapan ku.
Kita semua nak ke London?
Ish budak ni... Kau deman ke apa, Masdor? Tanya Mak. Dia nampak risau. Aku menggeleng pantas.
Ayah, buat apa kita ke London?
Untuk tolong kau berpindah dari bilik kau sekarang di Great Dover Street ke New Hunts House yang kau kata dekat dengan the Guy's?
The Guys?
Ya... Kampus Guys di Kings College? Tempat kau belajar sejak setahun lepas!
Macam mana dia nak jadi doktor kalau begini perangainya? Mak merungut. Dia menjeling ke arah ku.
Aku tak tahu bagaimana semua ini boleh berlaku. Aku tak tahu bagaimana aku menjadi seorang pelajar perubatan tahun pertama di King's College yang sedang bercuti di Malaysia. Aku tak tahu apa yang aku lakukan apabila semester ku bermula nanti, tapi itu semua tak penting sekarang. Yang penting aku perlu menemui Zila. Aku harap dia masih mengenali ku di dalam realiti ini. Aku perlu memberitahu kepadanya apa yang telah berlaku kepada diri ku sekarang.
Mak... Ayah, saya nak keluar. Kata ku dengan tergesa-gesa.
Ke mana?
Central Market.
Buat apa? Nak pergi ke Teresa Forever?
Ya.
Bukan kau baru saja jumpa dengan budak Zila tu semalam?
Zila bekerja di sana?
Ya lah, dah tu? Tanya mak dengan wajah risau. Aku lihat dia bercekak pinggang.
Mmm... Mak? Saya bawak kereta atau motor?
Masdor! Mak bercekak pinggang. Dia ingat aku main-main. Ayah tersengih. Dia meletakkan surat khabarnya ke tepi. Aku menyeluk kocek seluar ku. Di dalamnya ada kunci kereta.
Aku berjalan ke ruang tamu. Mak mengekori ku. Dia membuka pintu hadapan lantas membuka pintu pagar automatik. Aku menekan butang kawalan jauh kunci kereta kepunyaan ku. Lampu kereta Honda City berwarna merah berkelip-kelip lalu mengeluarkan bunyi. Aku masuk ke dalam kereta. Aku hidupkan enjin.
Aku menarik nafas ku dalam-dalam. Aku keluarkan dompet ku semula. Korek punya korek aku ada lesen kereta. Sebelum ini aku tak pernah belajar bawak kereta.
Bawak kereta tu baik-baik. Ucap mak dengan wajah risau. Jangan bawak laju-laju. Kau tu suka sangat bawak laju!
Aku mengangguk. Kemudian aku cuba membawa kereta ku keluar dari kawasan rumah banglo ini. Entah mengapa, dengan senang aku dapat membawa kereta ini keluar lalu memandu keluar dari kawasan perumahan ini yang terletak di Bukit Antarabangsa. Aku memandang ke arah tangan ku yang sedang memegang stereng ketika membawa kereta ku menuruni Bukit Antarabangsa. Aku dapat menamakan tulang Metacarpals dan Phalanges satu persatu. Semua fakta-fakta ini sudah tersimpan di dalam kepala ku.
Setibanya aku di Teresa Forever, aku dapat melihat Zila sedang membantu Miss Lee membuka kedainya.
Kenapa you berdiri tercegat di situ? Tanya Miss Lee kepada ku. Kenapa mulut you ternganga macam nampak hantu?
Aku tidak menjawab soalan-soalannya itu. Aku sekadar tersenyum kelat. Aku memandang ke arah Zila. Aku lihat Miss Lee memberitahunya dia akan hanya pulang pada petang itu kerana dia mahu menghadiri sebuah mesyuarat untuk sebuah program amal Pink Triangle yang akan dianjurkan tidak lama lagi.
You fly ke London esok kan Masdor? Tanya Miss Lee.
Ya.
Don't forget to write to me, ya! Macam biasa. I suka terima poskad dari you.
Aku menganggukkan kepada ku. Miss Lee tersenyum lalu dia mengucapkan selamat jalan kepada ku.
Zila... Kita kawan baik ke, Zila? Tanya ku ragu-ragu kepada Zila yang sedang duduk di belakang kaunter.
Ya kot... Kenapa?
Aku nak ceritakan kepada kau tentang satu perkara... Fasal diri aku.
Ceritakan lah. Katanya sambil menongkat dagu. Jadi aku pun bercerita. Aku bercerita dari awal ketika aku mula-mula terjumpa dengan gambar Hartini sehinggalah kepada apa yang aku alami pagi tadi.
Kau kata Prasasti tu seekor kucing robot dari masa depan? Tanya Zila cuba menahan ketawa.
Ya. Tapi dia dah pulang ke dunianya semula.
Kau ni macam-macam lah Masdor! Zila mungkin fikir aku gila. Aku sendiri mula berfikir aku gila. Tapi aku tak gila. Aku masih waras lagi.
Kau nak ke mana tu? Tanya Zila. Aku memberitahunya aku perlu ke Bukit Bintang. Aku perlu mencari Abang Zamani. Mungkin dia faham!
Aku dapati kondominium yang dihuni oleh Abang Zamani kini dihuni oleh sebuah keluarga Cina dari Indonesia. Aku tak tahu di mana dia sekarang. Aku tak tahu di mana aku harus mula mencarinya. Aku sempat ke Tower Records yang terletak di KL Plaza. Di sana aku dapati album Tribute to The Phase yang dibawakan semula oleh penyanyi-penyanyi dan kumpulan-kumpulan terkenal tanah air berada di carta no. 1 penjualan album di Malaysia. Lagu lama The Phase, Berlibur Di hari Minggu yang dinyanyikan secara duet oleh Mawi dan Siti Nurhaliza kini berada di dalam carta single no. 1 di Malaysia.
Apabila aku berjalan di Bintang Walk, aku dapat melihat seorang lelaki India yang sedang duduk sambil membaca akhbar Asian Wall Street Journal di Cafe Dome. Aku mengenali dirinya.
Uncle Chandran?
Yes, but have we met?
Aku menggelengkan kepala ku. Aku berjalan meninggalkannya. Dia memandang ke arah ku dengan dahi terkerut seribu.
Semuanya ini terlalu aneh bagi ku. Aku perlu pulang. Aku mahu tutup mata ku rapat-rapat. Aku mahu tidur dan bila aku bangun nanti aku mahu bangun di dalam bilik kecil ku dan aku mahu hidup ku kembali normal.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 27 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Siulan
Ayah terus mencipta lagunya. Dia memang begitu aku rasa. Jika dia mempunyai ilham untuk mencipta lagu, dia akan terus mencipta lagu demi lagu dalam satu malam. Pada malam yang bertuah ini, mak menjadi sumber inspirasinya. Aku rasa ayah, seperti aku cepat jatuh cinta. Dia terus jatuh cinta kepada mak walaupun dia baru sekali sahaja bertemu dengannya.
Jadi apa yang perlu aku lakukan untuk merubah perjalanan sejarah? Tanya ku kepada Prasasti.
U'olls perlu bertindak sebagai musenya.
Muse?
Ya, si Pencetus Ilham. U'olls harus si Pencetus Ilhamnya.
Tapi bagaimana?
Dengan mendapatkan dia mendengar suara u'olls tu.
Tapi aku tak tahu caranya!
U'oll cuba lah dulu... Belum cuba belum tahu. Tapi u'olls kena ingat, apa-apa u'olls buat nanti akan mengubah perjalanan masa hadapan.
Lama aku memikirkan tentang hal ini. Ditelan mati emak, diluahkan mati bapak. Jika aku tidak melakukan apa yang patut aku lakukan, Prasasti kata aku akan kembali semula ke ruang dan masa yang telah aku bekukan apabila matahari terbit nanti. Aku akan mati di dalam sebuah kemalangan jalan raya yang dahsyat, dan Sanisah akan terus hidup di dalam keadaan murung yang diakhiri dengan dirinya membunuh diri.
Aku akhirnya mengambil keputusan untuk mengubah perjalanan masa hadapan. Aku lakukan ini semua demi rasa sayangnya aku kepada Sanisah. Aku tak sanggup melihat Sanisah hidup di dalam kekecewaan. Fikir ku, lebih baik buat kali ini dia tidak perlu wujud di dalam sebuah dunia yang tidak menjanjikan sebarang kebahagiaan kepada dirinya...
Jadi, pada subuh yang hening itu, aku membuka mulut aku lalu memanggil ayah berkali-kali, tetapi dia tidak dapat mendengari suara ku. Toleh pun tidak. Aku menjerit di tepi telinganya. Aku menemui jalan buntu. Aku tidak tahu bagaimana untuk menarik perhatiannya.
U'olls perlu luahkan perasaan u'olls dengan ikhlas. Prasasti menasihatkan.
Aku mengeluh panjang. Aku duduk di sebelah ayah. Aku termenung memandang ke arah dirinya yang sedar bermain gitar sambil menulis nota-nota muzik di atas sekeping kertas.
Di dalam keadaan separuh pasrah, aku menyiulkan lagu yang pernah ayah dodoikan kepada aku dahulu. Sememangnya di dalam keadaan tertekan, aku akan bersiul seperti ini - kadang kala tanpa aku sedari.
Tak semena-mena ayah memainkan semula irama yang aku siulkan. Irama ini tidak sepatutnya wujud sehinggalah aku dilahirkan! Apa-apa pun, ini semua tidak penting, apa yang aku siulkan dapat didengarinya.
Aku bersiul lagi. Aku pastikan agar ayah dapat menangkap irama lagu ini dengan tepat. Aku berdiri di sebelahnya dekat ke telinganya. Aku menyiulkan lagu ini supaya dia dapat menangkap irama lagu ini dengan betul.
Ayah akhirnya berjaya menulis segala nota lagu yang aku siulkan kepadanya. Wajahnya nampak puas. Kemudian setelah dia setelah mencatat nota lagu yang aku siulkannya ke atas kertas, dia terus memainkan gitarnya mengikut irama tersebut.
Best lah lagu ni. Ujar Prasasti bertepuk tangan mengikut irama lagu yang dimainkan ayah. U'olls akhirnya berjaya!
Berjaya apa? Tanya ku. Aku lihat Prasasti sedang memerhatikan sebuah mesin kecil di atas tangannya yang sedang berkelip-kelip.
Berjaya ubah perjalanan masa hadapan!
Apa? Itu sahaja yang perlu aku lakukan?
Ya. Itu sahaja.
Lagu ini akan ubah segala-galanya?
Ya.
Tapi bagaimana?
Beberapa tahun selepas ini, lagu ini akan dianggap sebuah lagu klasik yang menyerupai kejayaan lagu Anak oleh Freddy Aguilar dan Sukiyaki oleh Kyu Sakamoto di peringkat antarabangsa. Datuk u'olls tak kisah mak u'olls berkahwin dengannya malah menggalaknya supaya menjadi seorang pemuzik yang berjaya. Katanya membaca apa yang tertulis di dalam mesin kecilnya.
Dan apa lagi?
The Phase akan menjadi sebuah kumpulan muzik yang popular sepanjang zaman. Bapak u'olls kemudiannya akan menjadi seorang komposer lagu yang terkenal.
Oh.... Dan ini akan membawa kepada beberapa perubahan lain?
Ya.
Jadi selepas ini, Sanisah dan Yusnor tak akan wujud di dunia ini? Tanya ku untuk memastikan.
Ya. Kata Prasasti sambil mengangguk sekali.
Aku memandang ke arah Prasasti sebelum aku menoleh semula ke arah ayah ku. Aku tak tahu apa yang akan berlaku kepada ku nanti apabila matahari terbit nanti. Tapi apa yang pasti, matahari akan terbit di ufuk timur di dalam beberapa minit sahaja lagi.
Aku harap, di dalam dunia yang telah aku ubah nanti ayah akan menjadi seorang manusia yang lebih bahagia. Muzik akan terus hidup di dalam dunianya dan dia akan terus menyayangi mak sampai bila-bila...
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 26 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Masdor profesor Fizik Kuantum dari Cambridge
Mak dan ayah bertukar-tukar nombor telefon ketika ayah menghantar mak sehingga ke hadapan rumah mak di Sentul. Mak memberitahu kepada ayah dia boleh menelefonnya pada bila-bila masa dia suka. Ayah hanya mengangguk. Beberapa saat kemudian aku dapat lihat datuk berdiri di muka pintu. Mak cepat-cepat mengucapkan selamat tinggal kepada ayah sebelum dia masuk ke dalam rumah tersipu-sipu.
Ayah menghela nafasnya dalam-dalam. Dia memandang ke arah jam tangannya. Jam menunjukkan pukul 11 malam. Apabila dia tiba di jalan besar, dia menahan teksi. Aku dan Prasasti terus mengekorinya. Kami pulang ke rumahnya di Keramat.
Ayah terus masuk ke dalam biliknya yang bersepah itu. Dia terbaring di atas katilnya. Dia termenung memandang ke arah siling. Dia menyebut nama mak berkali-kali - Suraya.
Tadi, ketika mereka bersama, ayah beria-ia bercerita kepada mak tentang niatnya untuk membuat sebuah EP untuk kumpulan The Phase. Dia kata, dia membuat pertunjukan di Fun Fair Sentul itu tadi pun sebab dia ingin mengumpul duit agar cita-citanya ini tercapai. Dia ingin menjadi seorang pemuzik yang terkenal. Dia ingin mencipta lagu dan ingin melihat lagu-lagu ciptaannya nanti dimainkan di corong radio. Ayah memang bercita-cita tinggi.
Bilik ayah penuh dengan poster-poster kumpulan muzik yang digemarinya - Beatles, Cool and the Gang, Eagles, Fleetwood Mac, Led Zeppelin dan The Doors. Dia juga ada menyimpan banyak koleksi piring hitamnya yang kini menjadi milik ku. Dia memang seorang yang makan tidur dengan muzik.
Ketika dia termenung begitu, ayah menyiulkan irama yang tidak dapat ku lupakan. Lagu Cinta Takkan Pergi. Ayah cepat-cepat mengambil gitar dan sekeping kertas. Dia melakarkan lagu ini supaya dia tak akan melupakannya.
Itu lagu mak. Bisik ku kepada Prasasti.
Satu-satunya lagu darinya yang mek suka. Jawab Prasasti.
Lagu ini tak terkandung di dalam EPnya. Lagu ini ayah hadiahkan kepada mak. Lagu ini sepatutnya ayah selitkan di dalam EPnya itu. Tapi dia tidak melakukannya. EPnya itu terlalu melankolik. Ayah terlalu taksub kepada lagu yang ingin dibawanya sehingga dia lupa bahawa bukan semua orang melayan lagu macam ini, sekurang-kurangnya pada waktunya itu. Pada waktu itu, orang tengah layan lagu disko, lagu-lagu glam rock, tapi ayah nak bawak lagu Emo yang terlalu ke hadapan zamannya. Aku rasa, jika Kurt Kobain sezaman dengan ayah, mesti tak ada orang yang akan layan lagu-lagunya. Mungkin dunia tak akan kenal dengan Nirvana.
Apa pengorbanan yang harus aku lakukan jika aku cuba ubah apa yang perjalanan di masa hadapan?
Macam-macam.
Macam-macam apa ni?
Ingat tak mek pernah cakap... Tentang teori Efek Rama-rama.
Ya, aku ingat.
Sekecil-kecil perubahan yang dilakukan di masa ini akan menyebabkan perubahan yang besar di masa akan datang.
Perubahan seperti apa?
Uncle Chandran tak akan menjadi gila... Dia tak akan minum sebelum kejadian kemalangan yang meragut nyawa isterinya berlaku. Miss Lee akan mengamalkan seks yang selamat ketika dia menjadi pekerja seks di Chow Kit dan dia akhirnya akan menjadi seorang aktivis Aids. Abang Zamani akan memberitahu kepada Cik Haryati yang dia menyayanginya dan bermacam-macam-macam lagi kalau mek cerita sampai esok pun tak akan ada kesudahannya.
Abang Zamani... Dia akhirnya akan-
Ya, dia akhirnya akan berkahwin dengan Cik Haryati.
Tapi!
Sanisah tak akan wujud. Begitu juga Yusnor.
Kata-katanya membuatkan aku terduduk. Masakan aku sanggup untuk melakukan ini semua. Aku sayangkan Sanisah. Aku tak sanggup menghadapi situasi di mana Sanisah tak akan wujud sama sekali.
Kenapa aku perlu melakukan ini semua?
Kerana hanya u'olls yang mampu melakukannya.
Siapa hantar kau ke sini? Jadi selama ini kau muncul di dalam hidup ku supaya aku dapat melakukan ini semua untuk kau? Siapa yang hantar kau ke sini?
Cucu Sanisah...
Apa?
Sanisah terus menyayangi kau sehingga ke saat akhir hidupnya. Dia menceritakan tentang u'olls kepada cicitnya, Masdor. Ya, cicitnya itu telah dinamakan Masdor sempena nama u'olls!
Kata-kata Prasasti membuat aku rasa terharu. Aku mengeluh memikirkan tentang Sanisah.
Masdor tahu neneknya tidak lagi mampu mengecap erti kebahagiaan selepas dia mendapat tahu u'olls mati ketika u'olls berusaha untuk ke London untuk menemuinya. Dia telah menyalahkan dirinya kepada segala apa yang telah berlaku. Sanisah telah menghabiskan kehidupannya memikirkan tentang u'olls. Dia telah berkahwin di London, kemudian bercerai dua tahun kemudiannya setelah mendapatkan seorang anak perempuan hasil dari perkahwinannya itu. Dia tidak pernah mahu pulang ke Malaysia walaupun dia akhirnya menjadi seorang penulis terkenal. Pada tahun 2079 dia ditemui mati keseorangan dengan gambar u'olls dipeluknya ke dadanya. Dia telah mati dengan membunuh diri...
Jadi cicitnya Masdor ingin merubah segala-galanya?
Ya... Masdor adalah seorang profesor Fizik Kuantum di Cambridge. Dia telah membuat beberapa pengiraan mengikut Teori Kaos. Pada mulanya dia fikir jika u'olls hidup, Sanisah mungkin akan menjalani kehidupan yang lebih bahagia, tetapi setelah dia membuat kajian yang lebih mendalam kepada kehidupan u'olls, dia mendapati banyak yang u'olls mampu lakukan jika perjalanan sejarah dalam kehidupan u'olls diubah. Jadi titik masa yang paling sesuai untuk u'olls ubah adalah sekarang ini.
Tapi jika aku ubah, Sanisah dan cucunya Masdor tak akan wujud di masa hadapan!
Dia dah wujud di dalam dunianya sendiri, u'olls... Tapi dengan apa yang u'olls ubah nanti, dunia masa depan akan menjadi dunia yang lebih baik lagi bukan sahaja kepada u'olls, tetapi kepada berjuta-juta manusia lain.
Aku tak faham!
Buat masa ini u'olls tak perlu faham.
Aku tak sanggup melakukannya jika di masa hadapan nanti Sanisah tak akan wujud sama sekali!
Sanisah pernah memberitahu Masdor... U'olls ada sebuah hati yang suci dan hati seperti u'olls susah untuk dicari.
Aku duduk di sebelah ayah. Aku memandang ke arahnya. Dengan pantas dia menulis lagu cinta untuk mak. Dia menggigit hujung penselnya. Dia tersenyum sendiri.
Jadi dia fikir aku akan sanggup melakukan ini semua?
U'olls sanggup melihat Sanisah menghabiskan sisa-sisa hidupnya dalam penyesalan dan kesedihan?
Aku menggeleng. Aku terlalu mencintainya untuk membenarkan semua ini dari berlaku.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 25 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Ayah yang pemalu
Sebagai seorang halimunan, aku dapati aku bergerak di dalam dunia ini tanpa disedari orang lain. Aku tidak dapat memegang apa-apa yang ada di dalam dunia ini. Malah, beberapa kali tubuh ku ini menembusi tubuh-tubuh orang berjalan melepasi ku ketika aku sedang sibuk mencari mak.
Aku akhirnya bertemu dengan versi muda mak. Dia kelihatan lebih cantik dari yang aku bayangkan selama ini. Dalam ramai-ramai penonton yang ada, memang mak gadis yang paling cantik di situ. Matanya terus ke hadapan, ke arah ayah. Aku rasa pada waktu itulah mak mula jatuh cinta dengan ayah.
Aku tunggu sehingga persembahan berakhir. Kawan mak (yang aku pasti adalah Cik Fazliana yang kini bekerja sebagai kerani kerajaan di KWSP dan bertudung labuh), membisikkan sesuatu kepada mak. Mak terkekeh ketawa sambil menutup mulutnya. Mak dan Cik Fazliana berjalan ke belakang pentas.
Kedua-dua mereka aku lihat memakai jeans ketat. Pakaian yang mereka pakai hampir sama fesyennya. Kawan baik lah katakan. Mereka senang menunggu di belakang pentas. Aku lihat ayah sedang membantu kawan-kawannya mengemaskan peralatan muzik yang mereka gunakan.
Mereka berdua menunggu dengan penuh sabar, sehinggalah ayah menyandangkan gitar kesayangannya ke belakang lalu turun dari pentas.
Ayah terus berjalan ke hadapan. Aku lihat dia langsung tidak memandang ke arah mak. Cik Fazliana menyiku mak, memaksanya mengatakan sesuatu.
Excuse me! Kata mak. Dia berjalan mendapatkan ayah.
Ya? Ayah menoleh. Dia memandang ke arah mak kemudian ke arah Cik Fazliana.
Saya suka dengan lagu-lagu yang awak bawak tadi.
Terima kasih. Kata Ayah, dia menggaru-garu kepalanya.
Ayah seorang lelaki yang pemalu. Dia tak banyak bercakap. Dalam hal-hal macam ni aku rasa mak yang kena buka laluan agar mereka dapat duduk bersama-sama dan memulakan kisah cinta mereka yang aku rasa berlanjutan sehingga tiga tahun lagi sebelum mereka berkahwin.
Awak buat apa lepas ni? Tanya Mak. Dia menggigit bibirnya.
Tak buat apa-apa. Kenapa?
Tak ada apa-apa.
Dia nak ajak awak keluar minum-minum. Kata Cik Fazliana dengan pantas. Ayah tersenyum.
Boleh. Apa salahnya kalau kita minum-minum. Sambut ayah. Dia berjalan ke arah seorang kawan yang menjadi pemain drum kumpulan The Phase. Dia memberitahu kepadanya sesuatu kemudian mereka bersalaman.
Di luar fun fair ini ada warung... Apa kata kita ke sana?
Boleh.
Mereka bertiga berjalan ke arah pintu keluar fun fair yang terletak di Sentul ini. Aku menoleh ke arah Prasasti. Aku lihat Prasasti tersenyum.
Apa yang perlu aku lakukan? Aku tak faham. Tanya ku kepada Prasasti.
Kau akan tahu juga akhirnya...
Tapi cuba kau fikir betul-betul. Apa yang boleh aku ubah sekarang untuk ubah apa yang akan berlaku di masa hadapan.
Banyak yang u'olls boleh ubah. Sebab itulah u'olls dipilih.
Dipilih?
Ya, u'olls dipilih kerana u'olls lah yang dapat mengubah segala-galanya nanti.
Aku tak tahu apa yang dicakapkannya ini. Aku keliru. Aku terus memandang ke arah ayah yang sedang memesan minuman untuk dirinya dan untuk mak dan Cik Fazliana. Mereka sedang berbual-bual kosong. Aku rasa inilah ketikanya ayah jatuh hati dengan mak.
Aku hanya mampu melihat mereka dari jauh. Segala-galanya kini hanya aku mampu melihat dari jauh...
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 24 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Bebola Merentas Masa
Aku menggigil ketakutan. Tekak ku terasa loya. Segala-galanya di sekeliling ku berhenti. Aku keliru setelah segala-galanya kini mula diproses oleh minda ku. Prasasti berjalan ke arah ku.
U'olls ada pau kacang tak? Dia tanya. Dalam masa-masa macam ini pun dia masih nak tanya fasal makan! Aku menggeleng. Aku berjalan ke hadapan, ke arah Amir Sentul.
Aku lihat Amir Sentul dalam keadaan kakunya sedang memandang ke arah cermin sisi kirinya. Dia sedang tersengih kepuasan. Aku tak faham bagaimana dia boleh tersengih begitu walaupun dia telah melakukan sesuatu yang mampu menyebabkan kematian. Aku marah. Aku terajang motornya sehingga tumbang. Tubuhnya masih melekat ke motornya. Dia kelihatan kaku macam patung.
Aku berjalan beberapa puluh meter ke hadapan. Di situ aku dapat melihat wajah-wajah pemerhati yang terkejut memandang ke arah kereta Kancil yang telah aku langgar. Salah seorang dari mereka adalah Yusnor. Dia sedang memegang handphonenya. Di sebelahnya adalah Mat Jan yang sedang menudingkan jarinya ke arah kereta Kancil yang hilang kawalannya itu.
Yusnor nampaknya sedang membaca mesej pada handphonenya sebelum dia mendongak lalu memandang ke hadapan. Aku berjalan menghampiri Yusnor. Aku memerhatikan mesej yang tertulis pada handphonenya:
Please don't forget to tell him that I love him!
Mesej ini datangnya dari kakaknya. Perasaan ku tiba-tiba sahaja terasa sebak.
Apa akan terjadi jika aku tak bekukan masa? Tanya ku kepada Prasasti.
U'olls akan dilanggar kereta Kancil. Kereta itu akan hilang kawalan dan akan melanggar beberapa orang mat rempit dan minah rempit yang sedang berkumpul di tepi jalan. Empat orang akan mati termasuk u'olls dan lima orang akan cedera parah.
Aku tak mahu semua ini berlaku! Kata ku dengan tegas. Terasa darah ku tersirap hingga ke umbun-umbun. Apa yang boleh aku lakukan untuk mengelakkan semua ini dari berlaku?
Masalahnya u'olls...
Apa masalahnya?
U'olls kena ubah perjalanan masa lepas agar semua ini tak akan berlaku. Itu sahaja cara untuk dapat kita lakukan sekarang.
Kau ada mesin merentas masa?
Ada!
Pergh! Nasib baik! Kita perlu melakukan sesuatu agar semua ini tidak akan berlaku, Prasasti.
U'olls pasti ini yang u'olls mahukan?
Ya, aku pasti.
Walaupun nanti u'olls terpaksa melakukan beberapa pengorbanan yang besar?
Aku menghela nafas ku. Aku memandang ke arah wajah-wajah kaku di tepi jalan. Ada di antara mereka yang akan terkorban jika aku tidak melakukan sesuatu.
Ya. Walaupun nanti aku terpaksa melakukan pengorbanan...
BEBOLA MERENTAS MASA! Kata Prasasti lalu mengeluarkan sebiji bola kecil dari koceknya.
Bola lut sinar yang kenyal itu dicampakkan ke atas jalan. Bola itu melantun di atas jalan tanpa henti dan semakin lama semakin cepat lantunannya. Ia mengeluarkan cahaya terang tatkala ia melantun mengelilingi kami. Keadaan di sekeliling kami menjadi kabur.
Apa yang berlaku?
Alat ini akan membawa kita ke satu titik masa dan ruang yang lampau.
Ye ke?
Ya. Bukan kita ada cara yang lain. Alat ini akan memilih ruang dan masa yang sesuai untuk u'olls tukar.
Ruang dan masa yang sesuai?
Ya. Satu ruang dan masa di mana u'olls akan menukar segala-galanya...
Bebola merentas masa ini semakin lama semakin perlahan lantunannya sehingga ia perlahan-lahan jatuh di atas lantai. Aku dapati aku bukan lagi berada di atas jalan raya tetapi di sebuah fun fair. Terdapat ramai orang yang sedang lalu lalang di sekeliling kami.
Kau tak mahu bersembunyi ke, Prasasti? Tanya ku bimbang.
Tak perlu, mereka tak akan nampak kita.
Ye ke?
Aku berdiri di hadapan seorang budak kecil berusia empat tahun. Kemudian aku menunduk ke arahnya. Aku lihat matanya terus kepada Prasasti. Dia ketawa melihat Prasasti. Dia mahu memeluk Prasasti.
Apa pulak dia tak nampak! Kau ni, dalam masa-masa macam ni pun nak temberang!
Kenapa Sara? Kenapa Sara ketawa sorang-sorang? Tanya ibu kepada budak kecil ini. Dia memandang ke kiri dan ke kanan.
Aku berdiri di hadapan ibunya itu. Dia terus memandang melepasi ku seolah-olah dia tak dapat melihat ku. Kemudian aku mendekatkan diri ku kepadanya. Sah lah dia tidak dapat melihat ku sebagaimana yang dikatakan Prasasti.
Kenapa budak ni jer yang boleh nampak kita? Tanya ku sambil menggaru-garu kepala ku.
Budak-budak macam dia sahaja yang boleh nampak kita. Orang dewasa selalunya hanya akan melihat apa yang mereka mahu lihat.
Aku memandang ke arah sekeliling ku. Aku sedang berada di sebuah fun fair. Dari pakaian yang dipakai oleh mereka yang berada di sini, aku rasa aku berada pada tahun awal 80-an.
Januari 3, 1980. Beritahu Prasasti.
Kenapa kita berada di sini? Tanyaku. Mataku memandang ke arah ferris wheel yang sedang berpusing.
Nanti kau akan tahu.
Aku terus berjalan. Aku memandang ke arah sekeliling ku. Aku tak tahu apa yang perlu aku lakukan. Tak ada sesiapa pun di sini tahu akan kewujudan ku. Aku seorang manusia halimunan sejati!
Aku dapati di dalam tapak ekspo ini ada pentas. Beberapa orang sedang berkumpul di hadapan pentas. Mereka sedang menyaksikan sebuah pertunjukan lawak jenaka yang dilakukan oleh dua orang pelawak yang tidak aku kenali.
Belum sempat aku dapat menikmati pertunjukan ini, penonton bertepuk tangan. Kemudian keluar pula seorang pengacara lelaki yang mencanangkan kepada penonton acara utama pada malam itu.
MEMPERKENALKAN, THE PHASE!
Tirah dibuka. Aku ternganga. Terkesima. Aku macam tak percaya dengan apa yang aku saksikan sekarang.
Tidak salah lagi. Apa yang aku perhatikan sekarang adalah persembahan dari kumpulan The Phase ketika mereka baru nak naik dahulu. Mata ku terus kepada ayah. Wajahnya kelihatan muda dan kacak.
Anak-anak muda yang sedang berdiri di hadapan pentas mengangguk-anggukkan kepada mereka ketika mendengar lagu cover version yang dibawa oleh kumpulan The Phase.
Lagu ini! Getus ku kepada Prasasti.
Kenapa dengan lagu ini?
Mak aku mula jatuh cinta dengan ayah aku bila dia dengar lagi ni kat sini!
Oh ye ke?
Ya. Aku perlu cari dia! Kata ku bersungguh-sungguh. Mata ku meliar memandang ke arah penonton-penonton yang datang. Aku mahu mencari kelimat mak di situ...
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 23 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Corner baring di selekoh tajam
Sederetan motor sudah kelihatan tersadai di tepi Lebuh raya NPE. Aku memandang ke langit. Tak ada awan di angkasa malam. Bintang-bintang berkelipan. Malam ini tak ada banyak kereta yang menggunakan lebuh raya ini. Malam ini, perasaan sunyi semakin menggamit perasaan ku walaupun aku di kelilingi oleh manusia. Ramai budak-budak geng Benetton, geng Ranting, geng Dendam Kesuma, dan geng Apache yang datang. Ini tidak kira lagi budak-budak geng Castello yang datang untuk memberi sokongan kepada ketua mereka yang akan lawan motor dengan aku.
Yusnor mendekati ku. Dia tak banyak bercakap. Dia berpeluk tubuh sambil melihat ku termenung memandang ke arah Lebuh Raya. Aku dapat mendengar Mat Jan memberitahunya aku selalu sahaja begitu sebelum aku lawan motor.
Aku tutup mata aku rapat-rapat. Aku cuba memikirkan kembali laluan yang akan aku ambil dari garisan mula ke garisan penamat. Aku perlu memikirkan pada bahagian mana di lebuh raya ini yang boleh aku pecut dan bahagian mana yang ada selekoh berbahaya. Semua ini perlu aku ambil kira kerana apa yang akan aku lakukan ini bahaya. Bukan senang untuk membawa motor laju-laju. Apa yang aku lakukan perlukan keberanian dan penelitian.
Jadi mana wang taruhannya? Tanya Mat Jan kepada ku. Yusnor yang ada di sebelahnya terkebil-kebil memandang ku. Aku tahu semua ini terlalu baru baginya. Dia tak biasa bercampur dengan mat-mat rempit dan minah-minah rempit yang ada di sini. Dia tahu budak-budak kat sini tak suka budak skuter macamnya. Sebab itulah aku suruh Mat Jan jaga dia baik-baik.
Aku keluarkan wang taruhan ku dari dalam kocek jaket yang aku pakai. Aku serahkan kepada Mat Jan. Dia tak mengira wang yang aku serahkan kepadanya. Dia tahu aku tak suka menipu. Dia berjalan ke hadapan lalu serahkan wang tersebut kepada Shafik dari geng Apache yang menjadi orang tengah dalam perlumbaan ini.
Kami akan mula berlumba sekejap lagi. Kata ku kepada Yusnor. Dia menggigit bibirnya.
Pernah ke berlaku accident dalam racing macam ni. Tanya Yusnor kepada aku sambil menggaru keningnya.
Pernah... Aku pernah lihat sorang budak mati depan aku bila motor yang dia bawak terlanggar van. Tubuhnya di seret 100 meter. Kulitnya bersepai di atas jalan.
Yusnor nampak risau. Dia menelan air liurnya.
Kau dah biasa racing, kan?
Dulu aku biasa... Kau tak perlu risau.
Kau tak takut ke?
Mestilah aku takut. Dari rasa takut tu datangnya keseronokan.
Tapi benda ni bahaya.
Aku tahu.
Kau buat ini semua untuk Kakak aku?
Ya.
Kau betul-betul sayangkan dia?
Ya.
Woi, diorang dah nak start tu! Ujar Mat Jan kepada ku. Aku memandang ke arah Amir Sentul. Dia sedang memakai topi keledarnya sambil berbual-bual dengan aweknya.
Aku lihat Yusnor sedang membelek handphonenya. Dia buat isyarat tangan untuk meminta aku menunggu sebentar. Dia sedang bercakap ke dalam handphonenya. Wajahnya nampak serius ketika bercakap.
Kakak aku nak cakap dengan kau. Kata Yusnor kepada ku sambil menyerahkan handphonenya kepada ku.
+ Hello. - Masdor, it's me. + Sanisah. Awak kat mana sekarang? - Di rumah aunty I di London... Masdor, apa yang you buat ni? Yusnor kata you nak race motor! + Ya. - You don't have to do this, you know!
Masdor! Tunggu apa lagi? Tanya Mat Jan. Aku dapat lihat Amir Sentul dah bersiap sedia di atas jalan.
Saya perlu tahu satu benda sahaja dari awak... Awak sayangkan saya ke tak? Masdor, please don't do this! Saya melakukan semua ini kerana awak.
Selepas itu suaranya sukar untuk aku dengar. Beberapa saat kemudian, talian terputus. Aku serahkan telefon kepada Yusnor. Dia memandang ke arah ku seolah-olah mengharapkan sesuatu.
Aku pakai topi keledar ku. Yusnor berjalan mendekati ku lalu mengikat topi keledar ku sebagaimana yang pernah aku lakukan untuknya ketika aku mula-mula mengajarnya menaiki motor dulu.
Matanya terus memandang ke arah ku. Aku tahu maksud pandangannya itu. Tapi aku biarkan sahaja. Aku beritahunya supaya jangan bimbang. Mat Jan menyorong motor ku yang enjinnya telah lama dipanaskan.
Aku naik ke atas motor ku. Aku menoleh ke belakang. Aku lihat Yusnor sedang berdiri di sebelah Mat Jan. Handphonenya berdering. Dia menjawab panggilan telefonnya. Dia memanggil aku. Aku pasti panggilan itu datangnya dari Sanisah, tetapi aku tidak mungkin dapat menjawabnya. Perlumbaan ini akan dijalankan tak berapa lama lagi.
Hoi, kan nak race ke apa? Kalau kau takut nak race cakap siang-siang! Si Amir Sentul menjerit ke arah ku. Budak-budak Castello ketawa kan aku.
Pergi mampus lah. Getus ku. Mat Jan tersengih mendengar kata-kata ku. Aku menurunkan pelindung pada topi keledar ku. Seorang gadis berdiri di tepi jalan sambil membawa sehelai kain putih. Aku dengar Mat Jan kata dah tak ada kereta. Kami berdua terus membawa motor kami mendekati gadis tersebut. Apabila motor kami selari, dengan pantas gadis itu menjatuhkan benderanya, maka bermulalah perlumbaan kami.
Aku membiarkan Amir Sentul membawa motornya laju-laju. Ini memang cara aku. Aku mahu dia yakin yang dia boleh menang. Lagipun, aku masih ada masa untuk kejar dia.
Amir Sentul terus membawa motornya 10 meter di hadapan aku. Kami tiba di sebuah selekoh. Pada masa itulah aku tujukan belang aku. Aku buat corner baring dengan laju dengan langsung tidak mengambil endah kereta-kereta yang ada. Sebuah kereta keluarkan bunyi hon apabila motor Amir Sentul nyaris-nyaris melanggar bahagian tepinya.
Setelah aku melepasi selekoh ini, aku berada semakin dekat dengan Amir Sentul. Dia sempat menoleh ke arah ku lalu menggunakan jadinya untuk menunjukkan tanda 'fuck' kepada ku. Dia merapatkan dirinya kepada motornya lalu menekan minyak. Dia tak mungkin mahu kalah. Aku rasa dia dah mula bawak motor dia melebih 200 km/sejam. Tapi jelas dia tak ada skill. Motor dia mungkin laju, tapi dia tak boleh kawal motornya dengan betul bila dia bawa laju macam ni, lebih-lebih lagi dalam keadaan jalan berselekoh.
Kini motor aku berada selari dengan motornya. Dia menoleh ke arah ku. Aku rasa dia dah mula panik. Aku perlu tumpukan sepenuh perhatian aku kepada apa yang sedang aku lakukan. Dari jauh aku dapat melihat tempat kami memulakan perlumbaan tadi. Amir Sentul melajukan lagi motornya. Aku akur, dia seorang pelumba yang hebat. Dia bukan calang-calang orang untuk aku lawan. Jika aku silap langkah, aku akan kalah dan wang taruhan aku nanti hilang entah ke mana.
Aku rasa, aku mempunyai lebih kurang 500 meter lagi untuk pecut. Dia kini berada kurang semeter sahaja melebihi aku. Aku tahu kemenangan pasti berada di tangan ku. Dia sendiri tahu cara aku. Aku hanya akan betul-betul pecut pada saat-saat akhir.
Ketika itulah aku dapat melihat tangannya dengan pantas mengeluarkan sesuatu dari kocek jaketnya. Dia campakkan apa yang kelihatan seperti paku di atas jalan yang aku lalui.
Tayar aku meletup. Di dalam kelajuan mencapai 210 km/sejam, aku langsung tidak dapat mengawal motor aku yang terus bergerak laju ke arah bahu jalan. Keadaan ini berlaku dengan terlalu pantas. Aku terlanggar bahagian belakang sebuah kereta Kancil. Tubuh ku terbang melayang ke udara.
Ketika itu aku dapat melihat seluruh kehidupan ku terpancar di hadapan ku seperti sebuah filem yang dimainkan di layar perak. Pada saat itu aku dapat melihat wajah gembira mak dan ayah membawa ku pulang dari hospital, hari pertama aku ke sekolah, saat aku disunatkan, saat aku pertama kali bertemu dengan Miss Lee di kedainya, saat pertama kali aku bertentang mata dengan Sanisah sehinggalah saat Yusnor tolong mengikatkan topi keledar ku sebelum aku berlumba tadi.
Pada ketika itu aku tahu bahawa aku akan mati. Aku dapat melihat diri ku semakin dekat mencium jalan tar di hadapan ku.
Aku teringatkan kepada "Mesin Membeku Masa" pemberian Prasasti. Dengan pantas aku menekan butang pada permukaan mesin yang aku pakai seperti jam tangan itu.
Tiba-tiba segala-galanya terhenti. Masa terhenti dengan sendirinya. Aku terapung-apung di udara beberapa inci sahaja di atas jalan raya. Apabila aku menoleh ke belakang, aku dapati pemandu kereta Kancil yang aku langgar tadi, seorang gadis bertudung, kelihatannya sedang menjerit dengan matanya terbeliak. Aku rasa dia cuba menekan break. Wajahnya penuh ketakutan. Dia tahu di dalam beberapa saat sahaja lagi keretanya akan melanggar tubuh ku di atas jalan raya ini.
Aku masih terapung-apung. Aku tidak tahu apa yang dapat aku lakukan. Ketika itulah aku dapat melihat sebuah pintu tiba-tiba sahaja muncul di sebelah ku. Kemudian apabila pintu itu terbuka, aku dapat melihat Prasasti menyapa ku:
Wah, ala-ala Matrix gituh, kan u'olls!
Dah, aku tak nak tergantung macam ni!
Prasasti memegang tangan ku. Aku terus terjatuh di atas permukaan jalan. Aku cepat-cepat berdiri. Aku berjalan ke belakang kereta Kancil ini. Aku dapati sebahagian besar motosikal ku yang kemik kelihatan seperti melekat ke bahagian belakang kereta. Bahagian cermin belakang juga pecah. Nasib baik lah tak ada orang yang duduk di bahagian belakang kereta ini, jika tidak aku tak tahu apa yang akan terjadi kepadanya.
Buat pertama kalinya pada waktu itu aku mula sedar tentang apa yang telah berlaku kepada diri ku. Aku sepatutnya dah mati!
Jadi... Apa yang akan berlaku selepas ini? Tanya ku sambil membuka topi keledar yang aku pakai. Nafas ku turun naik dengan pantas. Peluh dingin membasahi dahi ku. Walaupun dah banyak jenis keajaiban yang ditunjukkan oleh Prasasti kepada ku melalui mesin-mesinnya, inilah yang paling pelik dan paling sukar untuk aku fahami.
Prasasti menjilat-jilat tangannya lalu membersihkan mukanya. Dia nampak selamba jer. Apa yang pasti sekarang, aku telah membekukan masa lalu mengelak diri ku dari kematian. Aku tak tahu apakah kesan-kesan sampingan kepada dunia di sekeliling ku apabila aku melakukan ini semua.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 22 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Mesin Membeku Masa
Ayah telah menyerahkan kepada ku wang simpanannya selama ini kemudian dia keluar dari rumah membawa barang-barangnya bersama. Aku lihat mak seperti teragak-agak untuk melepaskan ayah pergi, tetapi dia tetap dengan keputusannya. Dia duduk diam di dalam biliknya. Apabila ayah keluar dari rumah, aku ketuk pintu biliknya. Aku lihat mak duduk di hadapan meja cermin. Wajahnya nampak sedih. Dalam kesedihannya itu dia cuba senyum kepada ku.
Mak jangan risau, orang ada untuk jaga mak. Kata ku kepadanya. Aku dapat cium bau minyak wangi yang jarang-jarang dipakainya. Minyak wangi jenama Estee Lauder yang ayah belikan untuknya beberapa tahun lepas sempena hari jadinya.
Apabila aku merapatkan diri ku kepada Mak, dia pegang tangan ku. Dia genggam tangan aku kuat-kuat sebelum dia lepaskan.
Mak dengan ayah dah fikir masak-masak sebelum ambil keputusan untuk berpisah?
Mak mengangguk lemah.
Saya dah besar mak... Mak tak payah risau tentang saya lagi. Mak perlu risaukan tentang hidup mak sendiri. Kalau mak rasa sunyi, saya ada.
Pada saat itu aku teringatkan kepada diri ku yang dikatakan akan mati tidak lama lagi. Aku tak mahu mati lagi. Aku mahu terus hidup agar aku dapat menjaga mak.
Mat Jan dah slow talk dengan Amir Sentul. Dia kata, Amir sanggup keluarkan wang pertaruhan sebanyak RM 2000, lepas tu siapa kalah, motornya akan dibakar.
Jadi kau nak tak race dengan dia? Tanya Mat Jan bersungguh-sungguh kepada ku.
Dia bawak motor apa?
RX-Z. Ah Chong Segambut sendiri yang modified untuk dia.
Ye ke?
Ye lah. Dia kan taiko besar. Tak kan nak pakai motor kapcai? Kau nak takutkan apa? Aku konfiden gila kau boleh menang. Kau terer bawak motor laju-laju. Orang lain jarang ada skill macam kau.
Aku tak berani, lah!
Kau takutkan apa? Kau maintain macho je lah.
Kalau aku kalah nanti macam mana?
Kau tak akan kalah lah. Kawan aku kat Segambut bagitahu aku dia tak lah sehebat mana pun! Kau gerenti boleh kalahkan dia lah!
Kau beria-ia sangat ni kenapa?
Alah, aku tahu kau perlukan duit. Jadi apa salahnya aku tolong kawan.
Ya, aku akui aku memang perlukan wang. Nak tak nak aku terpaksa bersetuju untuk lawan motor dengan si Amir Sentul tu. Aku tahu ini kerja gila. Tapi aku akan tetap melakukannya.
Aku beritahu kepada Prasasti tentang niat aku nak lawan motor. Dia tak cakap apa pun. Tapi dia ada keluarkan sebuah alat untuk aku pakai seperti jam tangan. Alat ini kelihatan seperti sebuah butang merah untuk aku tekan pada bahagian permukaannya.
Apa benda ni? Tanya ku kepadanya.
MESIN MEMBEKU MASA!
Hah?
Mesin ini dapat memberhentikan masa, u'olls!
Untuk apa?
Entah... Ikut suka hati u'olls lah nak guna alat ini nanti.
Lain macam je kau ni. Macam ada apa-apa pulak.
Ambiklah mesin ni. Mana tahu u'olls nak gunakan nanti dalam masa-masa terdesak.
Aku terus pakai "Mesin Membeku Masa" yang diberikannya. Aku sendiri tak tahu apa kegunaan sebenarnya...
Bila aku ke Dararan Merdeka aku lihat ramai budak-budak Castello dan kawan-kawan aku dah lama berkumpul. Mat Jan yang kononnya ambil berat tentang aku periksa keadaan motor aku betul-betul. Masa aku duduk lepak-lepak sementara menunggu larut malam, aku dapat lihat kelibat Yusnor berjalan ke arah aku.
Kau buat apa kat sini? Tanya aku kepadanya.
Nak tengok kau race lah.
Mana kau tahu aku nak race malam ni.
Eh, KL ni kecik lah... Budak-budak scooter ada cakap malam ni ada race kat NPE. Aku tanya antara siapa dengan siapa. Nama kau naik. Sebab tu lah aku cari kau kat sini.
Kakak kau macam mana?
Dia okay jer. Dia kata UK tengah sejuk sekarang ni.
Dia ada tanya fasal aku tak?
Ada.
Apa dia kata.
Dia tanya aku kalau aku ada jumpa kau... Aku kata tak ada. Aku memang nak jumpa kau, nak duduk lepak-lepak dengan kau, tapi bapak aku tak bagi. Dia dah bagi warning kat aku supaya jangan berkawan dengan kau. Masa kat airport dia bagi warning yang sama kat kakak.
Yusnor kata bapaknya tak suka dengan aku. Dia tahu aku mat rempit. Dia tak suka Yusnor dan Sanisah berkawan dengan aku, tapi Yusnor kata dia kenal aku siapa. Dia kata dia kenal hati budi aku. Dia memang suka berkawan dengan aku.
Aku tak salahkan dia. Tetapi jauh di dalam hati aku, aku memang tak puas hati dengan bapak dia. Aku pasti Yusnor tak tahu apa yang telah dilakukan oleh bapaknya itu kepada Sanisah dahulu. Tapi ada baiknya dia tak tahu.
Aku beritahu kepada Yusnor, bukan semua mat rempit tu jahat. Memang lah ada di antara mereka yang suka buat havoc dan mat pet, tapi bukan semua budak-budak yang dia nampak duduk melepak di Dataran Merdeka ni sampah masyarakat seperti mana yang disensasikan oleh Media. Dia kata dia tahu. Dia kata dia tak percaya kepada semua yang dibaca dan dilihatnya di kaca TV. Dia kata dia tahu nam membezakan mana satu fakta dan mana satu cerita sensasi.
Tapi media terus mengecap mat rempit macam aku ni sebagai JAHAT. Pihak media selalu sahaja melaporkan tentang perkara-perkara negatif tentang mat rempit - tentang seks, dadah, lumba haram semata-mata untuk menjual majalah, tabloid dan rancangan TV (kerana perkara-perkara disensasikan seperti inilah yang dapat menjanjikan pulangan yang tinggi). Bukan mat rempit sahaja yang menjadi bahan yang telah disensasikan untuk mereka jaja, tetapi pendatang tanpa izin, gay, pengkid, pondan, pelacur, skinhead, pengunjung disko dan peminat muzik black metal. Mereka hipokrit bukan sahaja kerana mereka meletakkan diri mereka lebih tinggi dari manusia-manusia mereka labelkan sebagai keji dan hina ini, mereka hipokrit kerana mereka mensensasikan perkara-perkara ini sehingga ke tahap mereka mempamerkan, menggalakkan dan mengeksploitasi manusia-manusia yang aku panggil manusia halimunan ini. Aku panggil mereka manusia halimunan kerana kita tahu mereka wujud tapi kita menidakkan kewujudan mereka sebagai manusia biasa. Sebodoh, bodoh aku ini, aku tahu apa sahaja yang cuba dihalang dan ditegah akan nampak lebih menarik untuk dicuba oleh manusia. Tak salah aku, dulu sebelum golongan skin disensasikan, tak ramai budak-budak skin, tapi sekarang tengok, mana-mana kita pergi mesti ada budak skin!
Orang Malaysia kebanyakannya juga sanggup mempercayai apa sahaja yang dihidangkan kepada mereka. Mereka akan menganggap seseorang itu baik dengan apa yang cuba ditonjolkan mereka. Kalau ada peserta rancangan realiti TV yang nampak alim terus dia dilabel baik dan suci. Terus orang-orang macam ini akan diangkat sebagai ikon. Mereka tak sedar semua ini adalah topeng yang dicipta oleh orang-orang media jugak. Mereka tak tahu bahawa di sebalik topeng ini tersirat satu jiwa manusia biasa dah bukan manusia separuh dewa yang dipersembahkan kepada mereka. Sebab itulah di Malaysia, orang suka sangat kepada kisah-kisah skandal para artis. Mereka tak kisahkan sangat kepada skandal yang dilakukan oleh artis-artis ini, tetapi mereka mengamuk kerana ilusi mereka terhadap artis-artis yang mereka sanjung ini langsung hancur. Mereka tidak mampu menerima hakikat bahawa artis-artis yang mereka jadikan ikon ini bukanlah manusia separuh dewa tetapi manusia biasa seperti aku dan kau.
Terlalu ramai manusia yang bertopeng. Manusia-manusia ini disanjung. Bapa Sanisah seorang ahli korporat. Dia dihormati, tetapi tak seorang pun tahu apa yang telah dilakukannya kepada anaknya sendiri sehingga menyebabkan isterinya membunuh diri.
Aku mintak Yusnor balik, tapi dia bertegas mahu melihat aku berlumba. Aku kata anak lord budak skooter macam dia mana campur dengan mat rempit, dia kata dia tak pedulik apa orang nak kata. Dia degil. Akhirnya aku suruh Mat Jan bawak dia ke lebuh raya NPE. Aku kata kat kawan-kawan aku dia sepupu aku...
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 21 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Dataran Merdeka dan Mat Rempit
Aku duduk melepak dengan kawan-kawan aku di Dataran Merdeka. Aku duduk atas motor. Aku tengok budak-budak race dari sini ke Jalan Raja Laut, pusing di Chow Kit sehingga ke Jalan Tuanku Abdul Rahman kemudian pulang ke Dataran Merdeka. Dulu bila aku tengok ini semua aku rasa seronok. Malam ni, aku rasa sebal. Kawan aku pacak depan aku buat wheelie pun aku buat tak nampak. Kepala dia dah masuk air. Tadi dia ajak aku teguk parkos. Dia campur ubat batuk dengan air coke. Aku cakap tak nak, walaupun aku rasa macam nak try jer. Tapi aku patut dengar nasihat Zila. Dia tak suka aku ambik benda-benda macam ni walaupun dalam keadaan tension. Dia tak mahu aku jadi mat pet.
Aku beritahu Mat Jan kawan aku tentang masalah aku. Aku cakap aku perlukan wang. Pagi tadi aku dah keluarkan wang simpanan sebanyak RM 672.57 dari bank aku. Aku nak buat pasport antarabangsa. Tadi aku baru tahu jika aku mahu ke London aku perlu keluarkan wang sebanyak RM 3100. Itu untuk harga tiket sahaja. Belum lagi campur harga penginapan dan perbelanjaan makan minum. Tak kan lah aku ke sana dengan meminta sedekah sahaja? Aku rasa aku perlu ada lebih kurang RM 5000 dalam tangan untuk uruskan segala-galanya agar aku dapat ke London. Tapi mana aku nak cari duit sebanyak itu.
Mat Jan sarankan aku racing motor. Dia kata, kalau aku berani nak lawan motor dengan budak-budak dari geng Castello, diorang jugak berani bertaruhkan wang. Dia kata budak-budak geng Castello dah lama cari peluang untuk lawan motor dengan aku sejak aku kalahkan Wazi, ketua diorang yang mati kena langgar lori kat Bangsar tahun lepas. Diorang masih berdendam dengan aku sebab diorang kata aku dah malukan Wazi. Dia bertaruhkan awek dia si Iffa tu - nama betul dia Iffatun Najiha. Aku tak sentuh pun si Iffa. Lepas Wazi serahkan Iffa kepada aku, aku hantar Iffa balik ke rumah. Lepas tu Wazi mengamuk bila dia dapat tahu Iffa sukakan aku. Iffa kemudian tinggalkan Wazi sebab Iffa kata dia mahu dengar nasihat aku supaya jangan jadi minat rempit. Wazi benci dengan aku setengah mati lepas tu.
Mat Jan berjumpa dengan ketua kumpulan Castello yang baru, si Amir Sentul. Amir kata, dia memang dah lama nak lawan motor dengan aku. Dia memang cari peluang macam ini tiba untuk dia kalahkan aku. Dia nak buktikan kepada orang lain yang dia ni jaguh, bukan macam Wazi.
Jadi kau nak race tak dengan dia? Tanya Mat Jan. Mata dia redup memandang ku.
Entah lah.
Apa pulak ntah. Kau kata kau nak duit.
Aku tak macam dulu lah, Mat Jan.
Apa kau nak cuci tangan ke?
Entahlah...
Kalau kau dah jadi mat rempit... Sampai bila-bila pun kau ni mat rempit!
Aku mendengus. Aku pakai topi keledar aku, terus aku tinggalkan Dataran Merdeka. Aku bawak motor aku laju-laju. Biarlah kalau aku kemalangan lepas tu mati. Aku dah tak kisah lagi dengan benda tu semua. Kepala aku buntu.
Bila aku tiba di rumah aku terus duduk di hadapan Prasasti. Aku tanya kepadanya jika dia boleh tolong aku.
Mana boleh y'olls! Mek tak boleh tolong y'olls dalam hal ini. Y'olls kena cari jalan penyelesaian sendiri.
Tapi kenapa?
Kerana y'olls kena belajar berdikari! Sampai bila y'olls perlu bantuan mek? Kalau mek tak ada nanti macam mana?
Alah, aku mintak tolong sekali ni jer! Kalau kau bagi aku kembarkan duit aku banyak-banyak pun jadilah. Tak payah aku guna Pintu Dimensi Ajaib untuk aku terus muncul di London.
Tak boleh!
Aku mengeluh panjang. Aku berjalan ke arah pemain rekod aku. Buat sekian kali, aku mainkan lagu Walk on By hasil ciptaan Burt Bacharach yang dinyanyikan oleh Dionne Warwick. Lagu sedih ni memang berhantu. Setiap kali aku dengar lagu ni, aku rasa macam hati aku dirundung duka, tapi entah mengapa, aku nak dengar juga. Agaknya memang aku suka seksa jika aku macam ni.
Tiba-tiba pintu aku diketuk. Aku buka lihat jam di dinding. Pukul 3 pagi. Aku suruh Prasasti sorok di dalam almari. Aku buka pintu. Ayah tercegat di luar. Dia tidak tidur lagi. Wajahnya nampak muram. Dia tanya aku kalau dia boleh masuk dalam, aku kata boleh. Dah lama dia tak masuk dalam bilik aku macam ni.
Dia duduk atas kerusi. Dia termenung di situ. Dia dengar lagu nyanyian Dionne Warwick ini. Bait-bait lirik Hal David menyentuh perasaannya.
Ayah akan berpisah dengan mak ke? Tanya ku akhirnya kepadanya langsung membuat dia mendongak ke arah ku.
Mak beritahu kepada kau kami akan berpisah?
Ya. Tadi. Sebelum orang keluar dari rumah.
Maafkan aku.
Kenapa?
Kerana ini semua.
Orang tak tahu apa nak cakap lah, yah...
Aku akan keluar dari rumah ini nanti. Aku cuba cari rumah sewa dekat dengan tempat kerja aku.
Ayah dah fikir masak-masak ke?
Dia mengangguk lesu. Dia kemudian termenung melihat kaset lama pemberiannya yang ada di atas meja. Dia memasukkan kaset itu ke dalam alat pemain kaset ku. Dia mendengar suara ku ketika kecil. Dia mendengar kembali suara mak yang senang mengacah ku.
Ayah tidak dapat menahan rasa sedihnya apabila dia mendengar suaranya mendodoikan aku dengan lagu ciptaannya sendiri. Air matanya mengalir membasahi pipinya.
Aku tak tahu apa yang harus aku lakukan pada ketika itu. Aku hanya duduk diam di atas katil ku. Aku tidak pernah melihat ayah aku menangis di hadapan ku begini. Aku biarkan ayah menangis begitu buat seminit dua.
Ayah menarik nafasnya dalam-dalam lalu dia mengesat air matanya. Dia tertunduk, seolah-olah dia malu memandang ke arah ku lalu berkata:
Mak kau kata kau perlukan wang.
Ya.
Untuk apa?
Orang nak ke London.
London?
Ya.
Tapi kenapa?
Orang dah janji dengan Sanisah untuk jumpa dia kat sana nanti.
Ayah menggosok-gosok belakang lehernya. Dia macam tak percaya dengan apa yang didengarnya.
Sanisah ni siapa?
Orang punya awek...
Ayah tersenyum kelat.
Oh ye ke? Dah lama kau kenal dia.
Lama tu, tak lama jugak.
Kau sayangkan dia?
Ya. Macam ayah sayangkan mak dulu.
Ayah menarik nafasnya dalam-dalam. Kemudian dia tanya aku berapa yang aku perlukan untuk ke London.
Lima ribu ringgit.
Banyak tu.
Tahu.
Ayah hanya boleh beri kau tiga ribu ringgit.
Biar betul! Ayah nak bagi orang duit simpanan ayah untuk ke Liverpool tu, ke?
Ya.
Orang tak boleh terima duit ayah tu. Orang tahu ayah susah nak kumpul duit tu.
Aku tak mahu kau jadi macam aku...
Maksud ayah?
Jika kau bersungguh-sungguh mahu ke London, pergilah. Sekurang-kurangnya apa yang kau mahukan terlaksana. Kau tak perlu fikir tentang aku. Aku dah tua. Aku tak perlu fikirkan tentang impian aku sebab itu semua dah tak bermakna lagi bagi aku.
Muzik dah tak membawa apa makna lagi kepada ayah?
Ayah aku menggelengkan kepalanya. Dia berdiri lalu keluar dari bilik ku. Dia langsung tidak menoleh ke belakang. Dia tinggalkan bilik ku tanpa berkata apa-apa langsung membungkus kesunyian yang wujud di dalam dirinya.