<$BlogRSDURL$>

Limau Nipis - AvantGo

Laman Avantgo Limau Nipis oleh Nizam Zakaria

Thursday, October 28, 2004

Seri Tertangguh: Bab 37

Seri Tertangguh

Kahar: Good as Gold (Stupid as Mud)

Kahar terpaksa bergegas ke One Utama secepat mungkin. Dia membawa Fendi bersamanya pada petang itu. Fendi begitu beria-ia memberitahunya bahawa dia tahu cara yang terbaik untuk mengubati sakit tekak yang kronik.

Rosli sakit tekak. Doktornya memberitahunya dia sakit tekak kerana terkena jangkitan kuman dan doktornya itu tidak membenarkannya menyanyi buat beberapa hari. Kavita merasakan Rosli terkena serangan sakit tekak kerana dia telah berlatih menyanyi hampir setiap hari dengan menggunakan teknik nyanyian yang salah.

Rosli perlu menyanyi duet dengan Kavita pada malam itu. Mereka perlu menyanyi lagu kedua mereka; Good as Gold (Stupid as Mud) oleh The Beautiful South bersama.

Fendi dan Kahar terus ke bahagian bumbung One Utama untuk menemui ahli kumpulan Limau Nipis. Mereka semua nampaknya sedang berkumpul berdekatan dengan kawasan pentas yang telah dibina khas untuk pertunjukan Battle of the Bands yang akan bermula pada lewat petang ini.

"Macam mana ni?" tanya Rosli. Suaranya serak dan hampir tidak terkeluar.

"Nih... minum air asam jawa aku buat untuk kau." Sambut Fendi dengan wajah yang serius. Rosli mengikut sahaja. Fendi sempat melihat pakaian serba hijau yang dipakai oleh kumpulan Limau Nipis. Fendi pasti baju-baju mereka telah direka oleh Eling. Rekaan Eling rasanya semakin hari semakin matang. Apa yang dipakai oleh Rosli (baju T hijau dengan lukisan stensil oleh Eling sendiri), sebagai contoh, jika di jual di toko-toko pakaian yang ternama seperti Topshop, FCUK dan Zara, pasti akan cepat dijual seperti goreng pisang panas.

"Relax Rosli... Minum perlahan-lahan!" nasihat Kavita. "Anyway, I'm not a doctor. But I don't think this is helping. What you need right now is to just keep your mouth shut and keep playing your guitar."

"Dah tu macam mana?" tanya Rosli sambil menekan lehernya. Dia menyerahkan bekas air yang habis diminumnya kembali kepada Fendi.

"Pilih lagu lain." Kahar menasihati.

"We can't do that, Mr. K." Ujar Kavita. "Kita tak boleh tukar lagu pada saat-saat akhir."

"Okay..." Kahar meraba-raba pipinya.

"Kau nyanyi lah." Tiba-tiba Fendi menyarankan.

"Eh, saya pulak!" bantah Kahar dengan cepat.

"Ya, kau lah! Siapa lagi?" Fendi bercekak pinggang. Dia selalu mendengar Kahar membaca Yasin di dalam biliknya pada malam Jumaat, ataupun menyanyi seorang diri ketika mandi sewaktu mereka tinggal serumah dahulu. Dia tahu Kahar mempunyai suara yang boleh dikatakan sedap didengar...

"Eh, seganlah!" Kahar menggeleng cepat.

"Please!" Elina dan Eling merengek bersama. "Suara Mr. K macam Philip Oakey dari Human League kan?" kata Elina kemudian.

"Rubbish!" bantah Kahar.

"Mr. K... I know you can do it." Kavita berkata perlahan kepada Kahar. "Please do it for us! We really need you."

Kahar memandang ke lantai. Dia menarik nafasnya panjang-panjang. Akhirnya dia mengangguk.

Elina dan Eling melonjak kesukaan. Rosli ingin menjerit tapi Kavita menutup mulutnya sambil memberi isyarat dengan tangannya untuk menyuruhnya diam. Rosli ketawa keseronokan.

"Ini liriknya." Rosli kemudian menyerahlah lirik lagu nyanyian kumpulan The Beautiful South itu kepada Kahar. Kahar cukup mengenali lagu ini, kerana lagu ini merupakan di antara lagu kegemarannya dan dia pernah meminta Seri berlatih menyanyikan lagu ini bersama kumpulan Limau Nipis satu ketika dahulu.

Kahar mengambil lirik tersebut dari tangan Rosli. Dia hampir-hampir tidak percaya dia bersetuju untuk menyanyi di hadapan penonton selang beberapa jam sahaja lagi tanpa melakukan sebarang latihan dan persediaan. Dia mula merasakan dia harus menarik diri. Tetapi dia membatalkan niatnya apabila dia memandang ke dalam wajah Kavita yang nampak girang itu.

"Okay... So, sekarang abang jangan buang masa, pergi berlatih dengan Kak Kavita, tau! Kita tak ada banyak masa ni!" perintah Rosli dengan suara seraknya. Kahar mengangguk mengerti.

*


Kahar membawa Kavita berjalan ke sudut tempat meletak kereta One Utama yang lebih sunyi. Kawasan meletak kereta di tingkat yang teratas ini telah ditutup untuk acara malam ini, jadi kawasan yang selalunya dipenuhi kereta, pada hari ini kosong - kecuali beberapa orang anak-anak muda yang kelihatannya sedang duduk di beberapa sudut di tempat meletak kereta itu untuk melakukan latihan pada saat-saat akhir sebelum menghadapi Battle of the Bands.

"Terima kasih kerana datang untuk menyokong persembahan kami malam ini." Ujar Kavita kepada Kahar. Bila-bila lagi dia akan mengajak Kahar memulakan latihan nyanyiannya.

"Saya lakukannya semuanya kerana awak. I know this event means a lot to you." Jelas Kahar. Dia menggaru keningnya yang lebat itu.

"Really?"

"Ya." Kahar menyambut pertanyaan pendek Kavita itu dengan ikhlas.

"Tapi kenapa?"

"Sebab saya-"

"Kenapa Sabtu lepas awak tinggalkan saya di dalam studio?" pintas Kavita menagih jawapan.

"Saya mintak maaf... Fikiran saya masa itu sebenarnya terlalu buntu. Terlalu tertekan."

"Tapi kenapa?"

"Saya tak tahu sama ada nak terima awak semula atau terus lupakan awak. Jadi saya betul-betul mintak maaf. Saya tahu saya silap. Saya tak sepatutnya tinggalkan awak macam tu saja. Masa tu saya memang keliru. Dan saya perlukan masa untuk berfikir..."

"I know you were hurt badly. Your ibu told me about what happened to you. Jadi saya pun minta maaf."

"Awak tak perlu minta maaf. Awak tak lakukan apa-apa kesalahan. Cuma keadaan yang memaksa awak lakukan apa yang telah awak lakukan."

Kavita tertunduk. Ada sesuatu yang mahu diluahkannya. Tetapi sukar untuk diluahkannya.

Kahar mendekatkan dirinya kepada Kavita apabila dia melihat Kavita diam begitu.

"Kenapa, Kavita?"

"I really want you back... For good!" Kata Kavita mengharapkan. "Tapi tak apalah kalau awak tak mahu terima saya lagi. Saya faham."

Kahar termenung seketika. Kemudian dia memandang ke arah Kavita.

"Awak nak tahu kenapa saya bersetuju untuk menyanyi tadi?"

"Tidak..."

"Sebab saya boleh melakukan apa sahaja asalkan awak ada bersama saya." Kata Kahar dengan penuh yakin. Suaranya terang dan nyata.

Kavita rasa terharu mendengar penjelasan Kahar tadi. Matanya mula berkaca-kaca. Jelas Kahar lagi:

"Saya akan lakukan apa sahaja untuk awak... Sebab rasa sayang saya terhadap awak tak pernah pudar."

"I will do the same for you, Mr. K." Ujar Kavita dengan sejujur-jujurnya. Bayu petang dengan lembut bertiup ke arahnya. Beberapa helai rambutnya yang panjang dan lurus itu terlerai menutupi wajahnya. Kahar mendekati Kavita lalu mengemaskan rambut Kavita dengan tangannya agar dia dapat melihat wajah Kavita dengan jelas.

"Apa kata kita lupakan sahaja apa yang telah berlaku dan kita buka lembaran baru dalam hidup kita. Lagipun kita hidup hanya sekali-"

"Terima kasih. I've been waiting for this moment for a long time!" Kavita mengesat air matanya. Kahar mendekatkan dirinya kepada Kavita sekali lagi, lalu terus dia memegang bahu Kavita dengan erat sambil mengesat air matanya itu.

"Saya tak boleh hidup tanpa awak Kavita. Saya tak mahu awak tinggalkan saya macam dulu lagi." Kahar merayu di hadapan Kavita dengan suara yang lembut. "Awak tak dapat bayangkan bagaimana sunyinya hidup saya bila awak tak ada. Saya rasa macam hidup saya ini tak bermakna langsung! Jadi janji, Kavita... Jangan tinggalkan saya lagi!"

"No... I will never leave you again, ever!" Kavita berjanji sepenuh hati. Kemudian dia menambah kata-katanya dengan serangkap pantun yang pernah diajarkan oleh Mak Mah kepadanya dahulu:

"Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan, tinggal emak tinggal saudara, kerana kasih hamba turutkan..."

Kahar mengangguk perlahan. Dia faham dengan maksud kata-kata Kavita serta pengorbanan yang akan dilalui nanti semata-mata kerana mahu hidup bersamanya.

Seri: Sayang di Sayang

Aku berdiri di tengah-tengah pentas. Muzik iringan telah dimulakan diikuti oleh empat orang penari-penari latar yang sedang menari di belakangku. Pada malam ini aku diminta untuk menyanyi lagu Sayang Di Sayang yang pernah dipopularkan oleh Kartina Dahari.

Angin menderu
Dahan jatuh menimpa batu
Kuburan

Murai terkejut berkicau-kicau
langit mendung di liputi awan
Alamat bumi disirami hujan
Sayang di sayang

Hati ku rindu
Orang jauh tak lupa dari
Kenangan

Fikiran kusut berisau-risauan
Sakit untung di tinggalkan abang
Ibarat kapal tidak berhaluan
Sayang di sayang


Aku menyanyikan lagu ini dengan sepenuh perasaan.

Lirik lagu ini menusuk perasaanku, mungkin kerana aku terfikirkan tentang Rosli ketika sedang menyanyi. Aku merinduinya, tetapi aku mula dapat merasakan semakin hari hubungan kami semakin renggang. Aku tidak tahu jika dia masih lagi memikirkan tentang diriku atau sebaliknya...

Setelah selesai aku menyanyi, aku dapat melihat beberapa orang penonton berdiri sambil menepuk tangan dengan gemuruh. Andre Goh, penyanyi lagu Asli yang pernah terkenal satu ketika dahulu (hari ini dia menjadi pengadil undangan), juga aku lihat sedang berdiri sambil bertepuk tangan.

Aku berpaling ke arah papa dan mama. Aku lihat papa mengesat air matanya. Inilah kali pertama aku lihat dia datang untuk menyaksikan persembahanku. Kehadirannya membuat aku rasa terharu. Mama pula tersenyum bangga.

Kemudian aku menoleh ke tepi. Aku dapat melihat Shafik datang membawa sehelai kertas tisu. Dia menyuruh aku mengelap air mataku. Tanpa aku sedari, aku telah menangis ketika membawakan lagu ini dengan khusyuk tadi...

*


Sejurus selepas konsert selesai, aku terus menelefon Eling. Aku ingin mengetahui tentang keputusan Battle of the Bands. Aku benar-benar berharap agar mereka akan menjuarai pertandingan tersebut.

"So... Macam mana?" tanyaku kepada Eling.

"You beritahu I dulu lah! So macam mana? You terkeluar ke atau you akan terus bertanding dalam Bintang Asli?" Eling bertanya kembali. Aku rasa dia mungkin masih berada di One Utama lagi, kerana aku dapat mendengar bunyi bising-bising orang ramai sedang berbual di sekelilingnya.

"I tak terkeluar." Keluhku. "I dapat tempat pertama lagi. Bosan lah macam ni!"

"Congrats!" Eling kesukaan. Aku pasti dia suka aku terus berada di dalam Bintang Asli agar aku akan terus memakai kesemua koleksi tudung kepala yang telah direka khas untukku dalam pertandingan Bintang Asli ini.

"So... Limau Nipis macam mana malam ini?"

"Great! We had a great time performing."

"So, you all bawa lagu Cinta SMS dan Good as Gold?"

"Ya, tapi Rosli tak dapat menyanyi dengan Kavita pada saat-saat akhir."

"Kenapa?"

"Dia sakit tekak."

"How is he now?" tanyaku dengan suara risau. Aku memegang dadaku. Aku dapat merasakan gerakan nadiku kencang.

"Dia okay jer. Cuma tekak dia jer tak okay."

"Is he there?"

"Ya. He's just behind me. We are going for a late supper at a nearby mamak sekejap lagi."

"Can you please tell him to call me. Tak pun SMS!" pesanku kepada Eling.

"I will..."

"Don't tell me Mr. K ganti tempat Rosli!" aku sekadar meneka. Serkap jarang.

"Yes he did!"

"Really! Tak percayalah!"

"Betul! And he can actually sing! I can't believe it myself."

"Mr. K menyanyi? Oh my God! Why in the world did I ever allowed myself to miss this?" getusku sambil menggenggam tangan kiriku.

"Itulah! It was such a blast!" beritahu Eling keseronokan. "Mr. K and Kavita was having such a good time on stage. And then... Budak-budak perempuan semua tergila-gilakan dia... They were screaming like mad."

"Ye ke?"

"You bet! Rosli pun ramai peminat perempuan. They were screaming at him too!"

"Ye ke?"

"Yup!"

"So, apa keputusannya? Cepatlah beritahu!"

"Kitaorang dapat tempat kedua. Naib Johan... But we're still happy!" Eling memberitahuku keseronokan. Kemudian dia cepat-cepat memberitahu bahawa pemenang pertama merupakan kumpulan muzik Black Metal yang popular di kalangan penonton.

"Memang tidak boleh dinafikan... Kumpulan Ziggurat memang bagus. Tapi I rasa kita boleh menang jika you ada malam ni." Eling menjelaskan.

"Sorry lah Eling. You know how it is with me right now. I had no choice." Aku meminta maaf buat sekian kalinya. "Tell our group members that I'm really sorry that I can't be with you guys. Especially Rosli!"

"I will. And don't worry. We really had a great time tonight!"

"Mr. K dan Kavita berduet... Gosh, I wish I was there to see this!"

"Yeah... I think they are coming back together again. Romantik, kan?"

"Ye ke?" tanyaku memintakan kepastian. Aku cukup gembira apabila mendengar tentang hal ini. Jika Mr. K dan Kavita bahagia, aku juga bahagia melihat mereka bersama.

"Yup... Kavita nampak gembira sangat malam ni." Di belakang Eling aku dapat mendengar suara Rosli sedang bergurau senda dengan abang Aizizi dan abang Fendi.

"Is that Rosli behind you?" aku cuba memastikan.

"Uhuh... With abang Aizizi and abang Fendi laughing like mad. I think they are talking about a record company executive who approached Rosli just now."

"So, what's so funny about that?"

"Entahlah... Something about that guy asking Rosli for abang Aizizi's phone number or something... Anyway, dia nak dengar demo Limau Nipis! Can you imagine that?"

"Wow! I harap-harap we can cut a record one day!" suaraku jelas teruja. Aku masih menganggap diriku sebagai anggota kumpulan Limau Nipis, walaupun mungkin hubunganku dengan mereka semakin hari semakin jauh.

"Me too. Wouldn't it be fun!" Eling menjerit kesukaan.

"I know!" Aku keseronokkan. Aku dapat membayangkan diriku menyanyi bersama kumpulan Limau Nipis dan seterusnya menjadi terkenal bersama mereka. "Eling..." aku memanggil namanya perlahan.

"Ya, Seri."

"You boleh suruh Rosli call I? I really want to talk to him." Aku mengikatkan Eling tentang ini sekali lagi.

"I will, Seri." Eling mengikat janji.

Jadi pada malam itu aku menunggu panggilan dari Rosli. Hampa. Rosli langsung tidak menelefonku. Masakan dia masih marah lagi kepadaku? Sampai bila dia nak merajuk begini? Entahlah. Mungkin dia tidak menyayangiku lagi.
posted by Nizam  # 11:00 AM

Tuesday, October 26, 2004

Seri Tertangguh: Bab 36

Seri Tertangguh

Kahar: Masuk ke dalam studio AA Top

Rosli masuk ke dalam pejabat Glitterads. Dia terus mencari Kahar. Pencetaknya rosak. Dia perlu mencari pencetak untuk mencetak tugasannya yang perlu dihantarkannya kepada pensyarahnya petang ini.

Sebaik sahaja Rosli menemui Kahar, dia terus menyerahkan pen drivenya kepada Kahar. Kahar mencucuk hujung pen drive ke dalam port USB komputernya. Sejenang selepas itu, dia terus mencari dokumen yang perlu di cetak oleh Rosli.

Sejurus selepas Rosli berjaya mencetak tugasan-tugasannya, dia terus melepaskan nafas lega.

"Dah siap?" tanya Kahar kepada Rosli. Rosli mengangguk cepat. Dia mengambil salinan-salinan tugasannya lalu meletakkannya ke dalam failnya.

"Saya nak buat style macam rambut abang lah... Tapi tak reti." Kata Rosli secara tak semena-mena. Matanya tepat memandang ke arah rambut Kahar.

"Style apa pulak ni?"

"Style rambut out of bed abang tu ler. Apa rahsianya?"

"Kau letak wax kat rambut kau sebelum tidur... Bila bangun, terus jadi macam ni lah." Beritahu Kahar.

"Oh, macam tu rupanya..." Mulut Rosli terlopong mendengar petua yang diturunkan Kahar. Dia tidak tahu jika Kahar sedang bermain-main dengannya ataupun dia serius. Apa-apa pun, dia pasti akan mencuba petua dandanan rambut Kahar malam ini.

"Jom kita turun minum!" anjur Kahar. Tekaknya kehausan. Rosli mengangguk sekali sambil mengemaskan begnya. Mereka berdua turun dari pejabat Glitterads yang terletak di MidValley Boulevard itu lalu ke Starbucks yang terletak di tingkat bawah Mid Valley.

"Abang tak nampak budak-budak tu?" Tanya Rosli ketika dia meletakkan minuman yang telah dipesan Kahar ke atas meja.

"Nampak apa?" Kahar memandang ke belakangnya. Dia sedang duduk sambil menyedut air mocha frappuccino yang dipesannya.

"Cara diorang pakai tudung!" Rosli menjuihkan mulutnya ke arah hadapan.

"Dah tu kenapa?"

"Diorang tiru style Seri!"

Kahar memandang dua orang gadis remaja yang baru sahaja melintasinya. Dia ketawa sendiri. Dia dapat melihat rekaan tudung Eling yang dipakai mereka - tudung kepala yang kelihatan seperti topi (berwarna hitam) dan ditambah dengan hiasan selendang kain organza (berwarna merah jambu). Sememangnya mereka nampak pelik mengikut stail ikatan tudung Seri.

"Hari ini saja saya nampak tiga orang yang ikut style tudung dia dari konsert satu. Dua dari konsert dua dan Lima orang dari konsert tiga!"

"Ye ke?"

"Oh, saya ada baca kat Pancaindera ahad lepas... Kain organza corak belang-belang yang Eling beli di Jalan Tunku Abdul Rahman untuk tudung Seri dah out of stock. Mereka panggil kain tu, kain tudung Seri Konsert Pertama."

"Okay..." Kahar sekadar mengangguk.

"Dia memang popular sekarang. Ramai yang minat dengan dia. Tiap-tiap kali dia adakan konsert, dia mesti dapat undian SMS yang tertinggi... Sekarang cara dia pakai tudung pun dah jadi ikutan gadis-gadis Melayu di seluruh Malaysia" Kata Rosli seraya menjeling ke arah Kahar.

Kahar masih tak banyak cakap. Dia sedang menggaru-garu pipinya.

"Dia selalu dapat undian yang tinggi sebab orang kata dia jujur... Dia lurus bentul. Nak-nak masa dia buat komen fasal peserta-peserta lain. Tengok je lah budak-budak lain tu, pandai mengampu jer. Kalau nak pancing undi, menangis... Tak de kerja lain!" Kata Rosli dengan suara tidak puas hati. Meluat. Ada sahaja yang tak kena dengan Bintang Asli ini. Pada konsert Bintang Asli yang lepas, apabila pengacara Jaafar Pon meletakkan jawatan (ada desas desus mengatakan dia tidak puas hati dengan keputusan peserta Kamil dikeluarkan di konsert kedua), dan tempatnya digantikan oleh seorang pengacara muda yang kacak bernama Shafik - perasaan cemburu yang ada di dalam diri Rosli semakin membuak-buak.

"Alah biar lah diorang tu..." Kahar menggigit kukunya.

"Bang... Sebenarnya saya terlupa nak beritahu abang satu hal ni. Saya berhajat nak tinggalkan pesan." Kata Rosli sambil memandang ke arah jam tangannya. Dia mungkin akan terpaksa tergesa-gesa ke UM sebentar lagi. Kelas tutorialnya akan bermula dua jam lagi.

"Pesan apa ni?"

"Dari Kak Kavita." Beritahu Rosli akhirnya. Wajah Kahar berubah serius.

"Dia pesan apa ni?"

"Awal pagi tadi saya ke perpustakaan UM. Kebetulan saya terserempak dengan dia di sana. Saya bagitahu dia saya nak ke pejabat abang tengah hari ni sebab printer saya rosak. Jadi dia tinggalkan pesan... Dia kata dia nak abang datang ke latihan terakhir Limau Nipis sebelum kami bertanding di Battle of the Bands nanti."

"Mmm... Entahlah. Aku sibuk." Kahar memberi alasan.

"Sibuk apa pulak? Sabtu abang bukannya kerja!" Rosli meninggikan suaranya.

"Aku sibuk... Kau mana faham dengan kerja aku ni." Kahar degil memberi alasan.

"Bang... Please! Kalau abang tak nak buat sebab abang dah nekad tak nak jumpa dengan Kak Kavita, tak apa. But please do it for our band. Kita perlukan komen yang membina dari abang."

Kahar mengeluh. Dia rasa bersalah. Dia telah mengasaskan kumpulan muzik bernama Limau Nipis ini dan kini dia mahu lepas tangan. Fikirnya, dia sepatutnya perlu lebih bertanggungjawab terhadap kumpulan muzik yang telah diasaskannya ini.

"Okay... Aku datang nanti." Kahar akhirnya bersetuju.

"Cool! Abang datang ke studio AA Top Sabtu ini, ya! Tengah hari!"

"Ya." Jawab Kahar. Rosli keseronokan. Dia memandang ke hadapannya. Sekali lagi dia dapat melihat seorang gadis yang memakai tudung ala Seri masuk ke dalam pusat membeli belah Mid Valley...

*


Kahar masuk ke dalam studio AA Top. Dia mendapati terdapat beberapa orang pengunjung (atau mungkin mereka peminat setia kumpulan Limau Nipis) yang sedang menyaksikan latihan kumpulan Limau Nipis dari luar studio. Mereka sedang menikmati lagu yang dibawakan oleh kumpulan Limau Nipis sambil menggoyangkan kepala mereka mengikut irama lagu. Kumpulan Limau Nipis sedang membawakan sebuah lagu Melayu berirama New Romantic yang telah dicipta oleh Rosli khas untuk kumpulannya. Lagu yang bertajuk 'Cinta SMS' ini akan dipersembahkan di dalam Battle of the Bands nanti.

Kahar memerhatikan Kavita yang sedang bermain drum sambil menyanyi. Dia sedang menyanyi bersungguh-sungguh dengan sepenuh perasaan sehingga tidak sedar akan kehadirannya menyaksikan persembahannya.

Kahar bertepuk tangan sebaik sahaja persembahan selesai. Eling, Elina dan Kahar keluar dari studio sambil bersalaman dengan Kahar. Mereka kelihatan begitu teruja melihat kehadiran Kahar di situ.

"Korang memang best lah!" Puji Kahar dengan jujur.

"Kita berehat setengah jam... Kemudian kita sambung balik dengan lagu Good as Gold (Stupid as Mud) oleh The Beautiful South." Kata Rosli kepada anggota kumpulannya. Rosli kemudian memandang ke arah Kavita yang teragak-agak mahu berhadapan dengan Kahar. Dia seterusnya memberi isyarat kepada Eling dan Elina agar memberikan ruang kepada Kahar dan Kavita berbual buat seketika.

Eling dan Elina masing-masing mengikut Rosli ke kedai mamak berdekatan. Mereka meninggalkan Kahar duduk bersama Kavita di dalam studio.

"Lama kita tak bersemuka..." Kata Kavita perlahan.

"Ya..." sambut Kahar pendek. Dia nampak canggung duduk di hadapan Kavita.

"How was our performance just now?"

"Brilliant!"

"Thanks..."

"Jadi... Bagaimana dengan keadaan awak sekarang? Okay?" tanya Kahar ragu-ragu.

"Baik... Banyak yang telah berlaku sejak kita berpisah." Kavita memikirkan kembali kalimah 'berpisah' yang disebutkannya tadi. Mungkin ayat itu tidak sesuai digunakannya, kerana selama ini dia tidak pernah memikirkan bahawa dia pernah berpisah dengan Kahar.

"Okay... Seperti apa?"

"Mr. K... I've converted to Islam."

Kahar terdiam buat seketika.

"Mak bapak awak tahu tentang hal ini?" Tanya Kahar penuh minat setelah dia terkejut mendengar berita yang diterimanya dari Kavita.

"No... Belum lagi. Entahlah... I'm too scared to tell them."

"Lambat laun awak perlu beritahu juga..." Kahar menasihati. Kavita mengangguk lesu. "Bila awak jadi mualaf?"

"Two months ago... Dengan bantuan Nurul Ain dan Elina. They were there all the way to guide me and helped me with the process."

"Syukur alhamdulillah... Baguslah macam tu."

"But I wished you were there when it all happened--"

"Tak apalah. Yang penting awak dah melakukannya."

"I've done all these out of my own free will."

"Saya tahu."

"Nama baru saya Katijah Abdullah... But I still prefer you guys call me Kavita."

"Saya akan terus mengenali awak dan memanggil awak Kavita."

Kavita senyum mendengar kata-kata Kahar terhadap dirinya. Dia cukup sedar bahawa Kahar bencikan perubahan di dalam hidupnya.

"Jadi... Karamjit tak cakap apa-apa?" tanya Kahar. Kedua-dua tangannya di sorokkannya ke dalam poket seluarnya.

"Dia tahu tentang hal ini tapi dia tak cakap apa pun... He's happy for me."

"Okay-"

"We are just friends, Mr. K. Jangan salah anggap. There was nothing on between us. Trust me. Dari awal lagi saya beritahu kat dia, saya sayangkan awak dan saya tak akan lupakan awak sampai bila-bila. Awak terlalu istimewa buat saya, Mr. K!

"Saya beritahu kepadanya, hubungan saya dengannya hanya sebagai sahabat dan tidak lebih dari itu. Lagipun saya bersahabat dengannya semata-mata untuk puaskan hati mak bapak saya.

"Dia rasa lega, sebab dia sendiri sudah ada kekasih yang menunggunya di UK. Mereka pernah belajar di universiti yang sama satu ketika dahulu. A mat saleh girl. All he could think about right now is to migrate to the UK and marry his girlfriend."

"Oh..." Kahar tertunduk. Dia cuba mencernakan kata-kata Kavita kepadanya tadi. Selama ini dia tidak pernah berfikir Kavita masih menganggap dirinya istimewa.

"Kenapa awak tak datang ke konvokesyen saya bulan lepas. Ibu awak tak beritahu ke?" tanya Kavita ingin tahu. Dia mengusap hujung rambutnya, seperti mana yang selalu dilakukannya ketika mereka bersemuka.

"Ada... Cuma saya segan nak pergi."

"Kenapa? Awak tak sukakan kepada saya lagi? I thought of giving you a surprise that day."

"Maaf, saya tak faham..."

"I thought of telling you that more than ever, I want to be free."

"Bebas dari apa?"

"Saya mahu bebas untuk menentukan masa depan saya. Pada hari itu saya fikirkan saya nak beritahu kepada awak yang saya sudah bersedia dan mahu menjadi sebahagian dari hidup awak. Tapi awak tak ada pada hari itu..."

Kahar duduk kaku di hadapan Kavita. Nafasnya cetek. Fikirannya kosong. Dia tidak tahu apakah reaksi yang patut diberikannya pada waktu itu. Dia tidak mahu dirinya dilukai lagi, walaupun hatinya memberitahunya dia harus menerima Kavita kembali ke dalam hidupnya.

Kahar berdiri dari keadaan duduknya. "Saya perlu pergi!" Katanya kemudian dengan tergesa-gesa lantas dia berjalan keluar dari studio AA Top meninggalkan Kavita keseorangan di dalam Studio.

Seri: Panggilan telefon dari abang

Aku rasa cukup gembira apabila menerima berita bahawa kontrak pengacara Jaafar Pon dibatalkan setelah pihak penerbit merasakan mereka harus menyuntik imej remaja ke dalam rancangan Bintang Asli. Kini, tak ada lagi pakcik tua yang tergedik-gedik mengacara rancangan uji bakat ini.

Bagi aku, pengacara baru Shafik adalah seorang pengacara yang lebih profesional. Mungkin kerana dia tak larat nak berlagak seperti seorang tua tergedik-gedik kerana mahu nampak muda, Shafik aku lihat lebih tenang ketika mengacarakan rancangan Bintang Asli. Peserta-peserta pula aku lihat lebih senang berbual dengannya. Dia datangnya dari generasi yang lebih mementingkan qualiti soalan yang ditujukan ketika mengacara, dari cuba menimbulkan gosip tak tentu fasal dan membuat lawak-lawak yang bodoh.

Jadi aku cukup berpuas hati dengan Shafik. Sekarang, tak ada lagi soalan-soalan bodoh tentang hubungan aku dengan Malik. Malik juga tidak diusik lagi kerana dirinya lembut, lalu dijadikan bahan ketawa murahan para penonton. Shafik lebih suka bertanyakan soalan-soalan yang bersangkut paut dengan nyanyian kami dan perasaan kami ketika menyanyi...

Tetapi dengan adanya Shafik, kini aku sudah kehilangan akal tentang gimik yang harus aku gunakan untuk memastikan agar aku akan terkeluar dari Bintang Asli. Aku tidak lagi dapat mengusik pengacara rancangan dengan usikan-usikan pedas yang akan membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Tiap-tiap minggu jumlah undian SMS yang diberikan kepadaku adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan peserta-peserta yang lain. Perkara ini sememangnya membimbangkan kerana berbagai-bagai helah yang telah aku lakukan untuk memastikan agar aku dapat terkeluar dari Bintang Asli, seperti menggunakan props yang bukan-bukan (Ketika disuruh nyanyi lagu joget asli bertajuk Pucuk Pisang, aku pegang replika pucuk pisang sehingga aku dipanggil Ratu Prop).

Aku lihat, beberapa peserta lain mula mengikut strategiku semata-mata kerana mahu memancing undi. Mereka mula berhenti menangis dan membuat aksi comel. Mereka mula serius ketika belajar dan berlatih menyanyi. Ada peserta yang beria-ia menggunakan props ketika menyanyi. Ketika memberi komen tentang peserta-peserta lain, mereka mula memberikan komen yang bernas dan ikhlas, tidak lagi berdolak-dalik seperti dulu lagi...

*


Malam semalam Abang telah memanggilku melalui panggilan telefon. Dia memberitahuku tentang penemuan Mr. K yang telah diberitahu kepada abang Aizizi dan seterusnya kepadanya.

"Jadi betul kata abang dulu... Mama memang ada anak lelaki sebelum abang. Rahmat namanya." Kata abang bersungguh-sungguh. Kata-katanya membuat aku terkejut. Lebih terkejut lagi, Mr. K langsung tidak mahu memberitahuku tentang hal ini terlebih dahulu.

"Jadi apa abang nak buat sekarang?" tanyaku kepada abang. Keadaanku yang sebelum ini mengantuk tiba-tiba menjadi lebih segar. Mataku terbuka luas ketika sedang berbual dengannya.

"Entahlah... Abang tak tahu macam mana nak tanya mama tentang hal ini." Sambut abang serba salah.

"Seri pun sama, bang. Tak kan lah Seri nak beritahu mama kita dah tahu tentang rahsianya ini? Seri tak reti lah bang!"

"Apa kata Seri jumpa dengan abang Rahmat tu sendiri."

"Eh seganlah!"

"Minta tolong dari Mr. K lah!" Abang senang-senang sahaja menyarankan. Dia tak tahu yang Mr. K ni sentiasa sahaja sibuk dengan kerjanya.

"Tapi buat apa kalau Seri berjumpa dengan abang Rahmat? Apa yang harus seri beritahu kepadanya? Dan apa yang akan kita dapat jika kita beritahu kepada mama kita tahu tentang rahsianya ini?"

"Entahlah..."

"Bang... Buat masa ini, biar kita simpan jer lah rahsia mama ni?" pintaku dengan suara perlahan.

"Tapi kenapa?"

"Mungkin mama ada sebabnya yang tersendiri untuk dia tidak memberitahu kita. Mungkin dia belum sedia lagi."

"Tapi abang sebenarnya... Tak kisah. Dia mama kita, kan? Apa-apa pun, abang tetap sayangkan dia."

"Ya bang... Dia mama kita. Seri sayangkan dia." Kataku dengan ikhlas. Memang aku sayangkan mama. Mungkin sebab itulah aku tidak melatah ketika mengetahui rahsia mama ini. Aku bayangkan, jika apa yang aku alami ini dijadikan sebuah drama TV Melayu, tentu watakku ini akan menangis teresak-esak lalu trauma kerana tidak boleh menerima hakikat ini (aku akan menjadi seorang gadis liar). Abang pula akan kecewa lalu menjadi seorang penagih dadah lalu akan menjadi seorang penjahat yang akhirnya akan ditembak mati kerana merompak bank.

Tapi nampaknya kami telah menerima berita ini dengan tabah. Malah aku rasa lega setelah mengetahui penyebab yang membuatkan mama sedih sebulan dua dahulu.

Mama tidak seharusnya rasa sedih. Kami berdua mampu menyayangi mama dengan seadanya walaupun kami mengetahui tentang rahsia titik hitam yang menghantui mama ini.

Selepas perbualanku dengan abang selesai, aku cepat-cepat menelefon Mr. K. Aku memberitahunya bahawa aku sudah tahu rahsia mama.

"Kenapa awak tak nak beritahu saya saja?" tanyaku ingin tahu. Suaraku marah-marah.

"Lebih baik jika abang awak saja yang beritahu kat awak. Lagipun ini hal melibatkan keluarga awak."

Aku mengeluh. Mungkin Mr. K fikir aku akan menjadi histeria jika dia sendiri yang memberitahu hal ini kepadaku.

"Muka abang Rahmat tu macam mana?"

"Muka dia iras-iras Darwis. Tapi tinggi sikit, tubuhnya tegap dan nampak matang."

"Hensem ke?"

"Ya, hensem. Dia model iklan, tau!"

Dah aku agak. Anak lelaki mama kedua-duanya telah mewarisi kecantikannya. Mr. K seterusnya memberitahuku abang Rahmat juga pernah menjadi model iklan untuk iklan kad credit dan ubat gigi. Kini, Mr. K mahu menyarankan agar abang Rahmat menjadi model untuk iklan cecair sabun mandi khas untuk mereka yang aktif bersukan yang sedang diusahakannya di Glitterads.

"Oh ya, dia ada kedai Keknya sendiri." Beritahu Mr. K lagi.

"Ye ke?"

"Dia bukak kedai kek tu dengan kawan-kawan dia."

"Sedap ke kek dia?"

"Sedap gila... Saya ketagih makan kek dia."

"Jadi awak selalu ke kedai kek dia lah ni?"

"Ya... Dua tiga hari sekali, kot!"

"Awak dah kenal rapat dengan abang Rahmat lah ni?"

"Ya... Dia dan kawan-kawan dia peminat setia awak, tau! Mereka tidak pernah lepas dari menyaksikan Bintang Asli dan undi awak."

"Tengok... Tu lah fasal saya tak dapat keluar-keluar sampai hari ni!" kataku geram.

"Alah... Awak ramai peminat. Tengok sajalah peminat-peminat awak yang datang menyokong setiap kali konsert Bintang Asli diadakan!"

"Awak datang tak ke konsert saya Sabtu ini?" tanyaku, kerana Eling, Kavita dan Rosli tidak dapat datang kerana mereka akan bertanding di Battle of the Bands yang akan diadakan di bumbung kompleks membeli belah One Utama pada masa yang sama.

"Tidak." Jawab Mr. K pendek.

"Tapi kenapa? Mungkin saya akan terkeluar dalam konsert yang kali ini!" kataku penuh harapan.

"Awak tak akan terkeluarlah... Percayalah!"

"Awak ni... Macam doakan saya jadi juara pulak." Aku memarahinya lagi.

"Saya tak boleh pergi sebab saya nak hadiri Battle of the Bands nanti."

"Oh..." getusku pendek. Aku rasa terasing. Aku lebih suka bertanding dengan menyanyi di dalam Battle of the Bands dari menyanyi dalam rancangan realiti ini. "Tak apalah, awak patut pergi. Awak harus berikan sokongan padu kepada band kita."

"Ya. Saya patut berikan sokongan padu kepada mereka..."

"Terutamanya kepada Kavita."

"Ya... Terutamanya kepada Kavita." Mr. K mengulangi kata-kataku seolah aku mempunyai kuasa 'The Force' seorang pahlawan Jedi.

Kami mengakhiri perbualan kami di situ. Aku harap, Mr. K tahu bagaimana Kavita menyayanginya. Aku harap, Mr. K tahu bagaimana Kavita sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan agar mereka dapat bersama seperti dahulu.

posted by Nizam  # 10:48 AM

Friday, October 22, 2004

Seri Tertangguh: Bab 35

Seri Tertangguh

Kahar: Rosli yang cemburu

Zek tekun membaca skrip drama TV yang perlu dilakonkannya esok. Dia terbaring di atas sofanya sambil bercakap seorang diri. Tadi Fendi ada membantunya melakonkan beberapa watak yang perlu berinteraksi dengannya, tetapi kini Fendi sudah pergi ke tempat kerjanya. Jadi tinggallah Zek seorang diri menghafal skrip.

Kahar yang baru pulang dari melawat ke rumah Mak Mah duduk di hadapan Zek. Dia mengambil keputusan untuk singgah sebentar untuk melawat Zek dengan tujuan untuk menghilangkan rasa penatnya membersihkan beberapa buah akuarium kepunyaan Mak Mah.

Zek penat menghafal skrip. Fikirannya buntu. Dia memandang ke arah Kahar yang sedang memakan ais krim perisa coklat sambil menonton TV.

"Aku cuba call kau kat Opis kelmarin, tapi emak kau beritahu aku, kau ambil cuti setengah hari." Ujar Zek. Dia meletakkan skripnya ke tepi.

"Ya." Jawab Kahar sepatah. Matanya terus tertumpu ke kaca TV.

"Apa kau buat?"

"Buat apa?"

"Kau ambil cuti... Jadi kau buat apa masa tu!"

"Oh... Ermm... Buat penyiasatan."

"Penyiasatan apa pulak ni?"

"Untuk Seri."

"Macam-macam lah kau ni!" Ujar Zek sambil menggelengkan kepalanya. Kelucuan. Kemudian Kahar terus diam. Dia tidak mahu meneruskan perbualannya lagi. Zek terpaksa bertanya lagi untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang 'penyiasatan' yang dilakukan oleh Kahar.

"Jadi macam mana dengan penyiasatan kau tu?"

Kahar berpaling ke arah Zek tanpa memandang terus kepadanya.

"Okay lah, saya beritahu. Tapi jangan cakap orang lain... Seri dan Darwis ada abang tiri." Ujar Kahar selamba menjawab soalan Zek tadi.

"Apa?" nasib baik Zek tidak makan atau minum pada ketika itu, jika tidak pasti dia akan tersedak.

"Ya..."

"Jadi betullah cerita si Darwis tu..."

"Cerita apa?"

"Dia pernah cerita kat aku... Semasa dia tak sedarkan dirinya dahulu, mak dia ada cerita fasal hal dirinya itu kepadanya-"

"Hal apa?"

"Hal ibunya pernah berkahwin sebelum dia berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengejar cita-citanya sebagai penyanyi terkenal... Menurut Darwis, Datin Saliza ada seorang anak lelaki yang ditinggalkannya di kampung." Beritahu Zek. Dia tidak sempat memberitahu kepada Kahar tentang perkahwinan pertama Saliza yang tidak direstui orang tuanya. Atau bagaimana Saliza dihantui rasa bersalah meninggalkan anak lelakinya itu semata-mata kerana mahu mengejar cita-citanya untuk menjadi penyanyi terkenal. Semuanya ini telah diceritakan Saliza kepada Darwis di bilik hospital di Bristol dahulu...

"Jadi Darwis tahu fasal benda ni semua?

"Ya... Cuma dia tak pasti jika apa yang dialaminya adalah mimpi atau sebaliknya. Tapi dia yakin dia tidak bermimpi." Zek meneruskan lembaran bicaranya. "Jadi sekarang kita tahu dia tidak bermimpi..."

"Abang tiri Darwis dan Seri bernama Rahmat." Beritahu Kahar dengan suara yang dingin.

"Kau dah beritahu kepada Seri tentang hal ini?" tanya Zek sambil merenung ke mata Kahar.

"Belum..."

"Kau nak aku beritahu kepada Darwis tentang hal ini?"

Kahar mengangguk perlahan lalu berkata: "Biar Darwis yang beritahu kepada Seri nanti."

Kahar termenung jauh. Dia mengeluh sekali. Zek cukup kenal dengan sikap Kahar. Dia tahu jika Kahar berkeadaan diam dan mengeluh begitu, pasti Kahar mempunyai sesuatu yang ingin dibincangkan kepadanya. Mungkin itulah sebabnya Kahar datang untuk melawatnya malam itu.

"Kenapa Kahar? Kau nampak seperti ada masalah..." Zek mengambil alat kawalan jauh, lalu merendahkan volum TVnya.

"Saya pergi berjumpa dengan datuk saya..."

"Tan Sri Kamal?" tanya Zek semula untuk memastikan. Dia cukup mengenali nama datuk Kahar, lebih-lebih lagi apabila nama datuknya itu pernah disebut-sebut sebagai peguam bela yang telah berjaya melepaskan seorang ahli politik yang telah ditangkap kerana merogol seorang gadis bawah umur (baca: kanak-kanak), lalu memastikan sehingga akhirnya ahli politik itu dibebaskan dan gadis itu pula ditahan reman. Begitulah hebatnya Tan Sri Kamal...

"Ya..."

"Bila?"

"Kelmarin."

"Ibu kau tahu tentang hal ini?"

"Tak..."

"Kenapa dia tiba-tiba berjumpa dengan dia?" tanya Zek. Dari apa yang diketahuinya, datuknya itu tidak pernah mahu ambil tahu tentang Kahar. Malah, sejak dari mula lagi dia telah menahan isterinya dari membawa Kahar dibawa pulang ke rumahnya. Dan perkara inilah yang menyebabkan hubungannya dengan isterinya menjadi dingin.

"Dia mahu meminta maaf kepada saya..."

"Maaf?"

"Ya..."

"Baru sekarang dia nak minta maaf?"

"Entahlah bang. Dia kata dia dah tua... Darahnya tak panas macam dulu lagi. Itu yang dikatanya kepada saya." Kata Kahar dengan perlahan. Matanya tertunduk ke lantai. "Dia rasa bersalah ke atas segala tindak-tanduknya dahulu kepada saya. Dia baru mahu rasa menyesal kerana tidak pernah mencurahkan rasa kasih sayangnya kepada saya."

"Mungkin baru sekarang dia menagih rasa sayang yang boleh didapatkannya dari cucunya sendiri." Ujar Zek dengan penuh yakin sebelum dia menambah lagi: "Apa lagi yang dia katakan?"

"Dia mahu saya beritahu kepada ibu, dia mahu berjumpa dengannya-"

"Untuk apa?"

"Saya tak tahu untuk apa..."

"Jadi apa kau jawab?"

"Saya kata, ada baiknya jika dia meminta maaf dengan ibu dan emak dahulu setelah menidakkan mereka dengan sebegitu lama."

"Oh..." Zek menggaru-garu kepalanya. Dia tidak pernah menyangka Kahar begitu berani untuk memberikan syarat kepada Tan Sri Kamal - satu perkara yang mungkin tidak berani dilakukan oleh orang lain, terutamanya ahli-ahli politik di Malaysia yang mana rahsia-rahsia hitam mereka disimpan olehnya.

"Apa datuk kau kata selepas itu."

"Dia tak cakap apa-apa pun... Dia terdiam."

"Kau sayang kepadanya?"

"Siapa?"

"Datuk kau tu lah..."

"Entahlah. Saya tak kenal dengan dia sangat. Tapi saya sayangkan kepada arwah nenek saya. Dia selalu melawat saya dan ibu tanpa pengetahuan datuk... Malah saya, emak, ibu dan nenek pernah bercuti bersama ke Australia tanpa pengetahuan datuk!"

"Jadi kau mahu beritahu kepada ibu kau tentang hal ini?"

"Tak tahu lagi... Saya tak mahu fikirkan sangat tentang perkara ini." Kahar menjawab dengan kalimah-kalimah yang tersirat dengan kedegilan. Perkara yang terakhir yang dia takut berlaku kelak adalah datuknya itu akan melukai perasaan ibunya lagi...

*


Rosli duduk bersama Kahar dan kedua orang tuanya di ruang tamu rumahnya sambil menonton rancangan Bintang Asli bersama. Rosli nampak kekarutan, duduk tak menentu. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat peserta Malik keluar membuat persembahan.

Rosli berkeadaan resah begitu kerana belum apa-apa lagi, di dalam laman web Bintang Asli pelbagai tulisan yang keluar yang mengatakan bahawa Seri kelihatan secocok bersama Malik. Rata-ratanya penonton mahu melihat mereka berdua dipasangkan sebagai pasangan romantis...

"Tak payah jeles dengan Malik, Rosli... Trust me, you don't have to." Kata Yusni kepada Rosli sambil tersenyum kepada Aishah yang faham akan maksud kata-katanya itu.

Rosli termangu seorang diri.

Apabila tiba giliran Seri menyanyi, mereka semua terdiam. Memang mereka tidak boleh nafikan kebolehan Seri membawa lagunya. Dari awal-awal lagi mereka boleh mengagak Seri pasti akan menang dalam pertandingan ini.

Setelah selesai Seri mempersembahkan nyanyiannya, Seri diberikan komen yang positif oleh panel hakim yang terdiri dari tiga orang personaliti yang terlibat di dalam arena seni suara, khususnya di dalam genre lagu-lagu asli.

Selepas itu, Seri dipanggil oleh Jaafar Pon duduk bersamanya untuk berceloteh. Pada waktu itulah Kahar sekeluarga tertawa terbahak-bahak, kecuali Rosli.

Wajah Rosli jelas masam dan sekali-sekala dia akan mengeluh, seolah sedang menahan rasa kerinduan yang amat sangat...

Seri: Malam konsert pertama

Pada malan konsert pertama, aku dapat melihat Eling, Elina, Kavita dan mama di kalangan penonton. Mereka duduk di bahagian hadapan sekali di mana bahagian itu dikhaskan untuk para keluarga peserta. Mama diberikan posisi yang agak strategik agar jurukamera dapat merakamkan aksinya ketika aku sedang berada di atas pentas. Aku rasa, kehadiran mama, seorang penyanyi yang kini menjadi seorang ahli perniagaan yang terkenal mungkin mampu untuk menaikkan lagi rating rancangan ini - kerana mama mempunyai peminat-peminatnya tersendiri, terutamanya golongan suri rumah.

Pada malam konsert pertama aku telah memakai tudung rekaan Eling (Eling telah menyediakan aku beberapa rekaan tudungnya yang paling avant-garde yang mampu membuatkan rekaan pereka-pereka fesyen avant-garde dari Jepun seperti Kenzo, Issey Miyake, dan Yohji Yamamoto dianggap lapuk dan ketinggalan zaman). Akulah satu-satunya peserta yang bertudung di dalam Bintang Asli. Aku memakai tudungku dengan bangga walaupun dengan motif tersendiri. Aku memakai rekaan tudung yang tak masuk akal rekaan Eling agar aku akan ditertawakan dan jumlah undian SMSku paling rendah.

Aku tak sabar untuk keluar dari Bintang Asli.

Pada malam itu aku telah diminta untuk menyanyikan lagu Seri Mersing. Lagu itu dipilih kononnya kerana namaku Seri. Sebaik sahaja aku menyanyi aku lihat mama mengesat air matanya. Eling, Elina dan Kavita pula menjerit sekuat hati sambil menepuk tangan dengan bersungguh-sungguh.

"Wah, Seri... ramai betul peminat Seri malam ni." Ujar Jaafar Pon selepas aku dipuji oleh panel hakim yang ada. Kemudian, tanya Jaafar Pon dengan nada yang gedik sambil menampar lenganku: "Tadi Seri nyanyi untuk siapa? Untuk... Malik ke?"

Ish! Bencinya! Jaafar Pon sengaja mahu keken-kenenkan aku dengan Malik. Mungkin dia sedar aku rapat dengan Malik.

"Takdelah." Aku menjawab dengan cepat. "Dia kawan jer."

"Alah, kalau suka katakan suka!" ujar Jaafar Pon sengaja mengusik. Pondan tua ni memang sengaja nak buat aku marah!

"Pakcik Jaafar pulak syok kat Kamil kan? Kalau suka katakan suka, pakcik! Bukannya saya tak tahu!" Kataku sambil mencuit lengannya sehingga dia terkejut sambil mengipas-ngipas dadanya dengan tangannya. Aku sengaja memanggilnya pakcik kerana dia layak aku panggil pakcik dan bukan dipanggil abang seperti yang dilakukan oleh peserta-peserta lain. Aku juga sengaja 'memecahkan lubangnya' kerana aku tahu dia sukakan Kamil - petang tadi aku ternampak dia meraba-raba peha Kamil ketika mereka sedang duduk bersama di belakang pentas, kononnya untuk menenangkan perasaannya.

Penonton-penonton ketawa melihat gelagat Jaafar Pon yang tidak tentu arah. Dia terkedu buat seketika sebelum dia tersegih-sengih mengatakan aku pandai bergurau senda dengannya diikuti dengan tepukan gemuruh para penonton. Aku rasa mereka fikir aku sedang berjenaka sedangkan aku serius.

Apabila selesai kesemua peserta menyanyikan lagu, kami dihidangkan dengan lagu Jalak Lenteng dan Pasir Roboh oleh Maarof Abu Chik. Setelah nyanyiannya selesai, tiba pula segmen yang dinanti-nantikan di mana kami diberitahu siapa yang akan terus bertanding di dalam Bintang Asli dan siapa pula yang akan terkeluar.

Aku terus berdoa agar aku akan terkeluar dari Bintang Asli malam ini juga.

Tapi doaku tidak dimakbulkan. Malah, aku diberitahu bahawa jumlah SMSku adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan peserta-peserta lain. Apabila namaku tidak disebutkan di antara nama peserta yang terkeluar dan perkara ini diberitahu kepadaku, aku terus menangis.

"Tak adil!" kataku dengan kuat. Aku rasa penonton haruslah berfikir aku telah melafazkan kalimah-kalimah itu untuk membantah keputusan yang dijatuhkan ke atas peserta Nuar dan Zizah yang terkeluar pada konsert yang pertama ini.

Aku memandang ke arah mama. Dia kelihatan bangga terdapat 'pencapaian'ku pada malam itu.

*


Selepas selesainya konsert pada malam itu, aku kembali ke bilik hotel dengan rasa kepenatan yang amat sangat. Sebelum pulang, aku terpaksa telah dimarahi penerbit kerana tidak mengikut skrip ketika menjawab soalan Jaafar Pon tadi. Alasanku, aku gugup...

Di dalam bilik, aku menghidupkan telefon bimbitku. Aku mendapat pesanan SMS dari Kavita, Eling dan Elina yang masing-masing mengucapkan tahniah kepadaku. Mama memintaku agar menelefonnya kembali.

Aku juga telah menerima SMS dari Rosli:

sender: Rosli busyuk +6017683XXXX
message: Awak suka dengan si Malik tu ke? Satu Malaysia ingat awak dengan dia bercouple!
Sent: 28-Aug-2004 10.27pm

Oh, rupa-rupanya aku masih lagi wujud dalam hidup Rosli. Dia cemburu rupa-rupanya. Aku tidak menjawab SMSnya. Biar dia cemburu begitu!

Aku tak tahu mengapa sebahagian besar penonton berfikir bahawa aku dan Malik berpasangan. Entahlah. Apa-apa pun, sebentar tadi Malik sempat menunjukkan kepadaku wajah abang angkatnya yang sempat datang dari Kuantan untuk melihat persembahannya. Malik nampak seronok melihat abang angkatnya itu datang menonton.

Cuma aku sahaja yang tidak merasa seronok kerana aku tidak nampak kelibat Rosli di kalangan penonton....





posted by Nizam  # 12:16 PM

Wednesday, October 20, 2004

Seri Tertangguh: Bab 34

Seri Tertangguh

Kahar: Kedai Kek Impiana

Kahar menggigit kukunya sewaktu dia sedang menunggu di hadapan sebuah deretan rumah kedai yang terletak di Medan Damansara, di Bukit Damansara. Dia mengesat peluhnya berkali-kali. Dia memerhatikan sekeping kertas di tangan kanannya. Dia ingin memastikan agar alamat yang tertulis di atas kertas tersebut tepat berada di hadapannya.

Kahar sedang berdiri terpacak di hadapan sebuah kedai kek yang baru sahaja dibuka. Di hadapan kedai kek tersebut masih terdapat kalungan bunga yang masih segar yang mungkin telah dihadiahkan oleh mereka yang ingin mengucapkan tahniah ke atas pembukaan kedai kek itu.

"Kahar!" Dia menoleh ke belakang ke arah suara lelaki tua yang memanggil namanya dari bahagian penumpang sebuah kereta mewah Mercedes-Benz S-class. Kereta tersebut kini berhenti betul-betul di belakangnya.

"Assalamualaikum, tok..." Kahar menyahut sambil berjalan ke arah datuknya lalu terus bersalaman dengannya. Kahar mahu bersalaman dengan pemandu kereta datuknya, tetapi pemandunya itu tidak menurunkan cermin tingkapnya, malah dia terus memandang ke hadapan tanpa menoleh ke kiri atau ke kanan.

Kahar serba salah apabila menyedari kehadiran datuknya di situ. Datuknya itu merupakan bapa kepada ibunya, seorang lelaki yang masih kelihatan tegap dan segak walaupun berusia di sekitar pertengahan 60-an. Beliau memiliki sebuah firma guaman di kawasan yang terletak di Jalan Semantan, Bukit Damansara (Kamal Aziz & Co.) dan masih aktif menguruskan firmanya itu.

"Waalaikumsalam... Buat apa kau di sini?" Tanya datuknya ingin tahu. Kamal memandang ke arah cucunya itu dari atas ke bawah.

"Tunggu kawan."

"Ibu kamu bagaimana sekarang?"

"Dia baik sahaja... Sihat, tok." Jawab Kahar dengan perlahan tanpa mahu memandang terus kepada datuknya. Dia cukup sedar akan konflik datuknya dengan ibunya yang tidak pernah selesai sehingga kini. Datuknya itu tidak mungkin akan memaafkan ibunya kerana enggan mengahwini semula bapa tirinya setelah dia bercerai dengan Wan Jasni (yang akhirnya dikenali sebagai emaknya dengan panggilan Yusni).

Lebih memeranjatkan datuknya itu lagi apabila Wan Jasni mengambil keputusan untuk menukar jantinanya. Satu perkara yang tidak mungkin dapat diterimanya sampai bila-bila sehingga menyebabkan dia langsung tidak mahu menerima anak perempuannya serta cucunya sendiri ke dalam hidupnya. Satu perkara yang kini mula dikesalinya...

Jika bukan kerana isterinya yang sudah tujuh tahun meninggal dunia, sudah pastinya dia langsung tidak akan mengenali Kahar sama sekali.

"Kahar buat apa sekarang?" tanya Tan Sri Kamal .

"Maksud datuk?"

"Kahar kerja di mana sekarang... Atau mahu sambung belajar?"

"Kerja tok."

"Di mana?"

"Di Glitterads."

"Sebagai apa?"

"Copywriter."

Tan Sri Kamal sekadar mengangguk. Dia mengeluh panjang.

"Hari ini kau tak kerja?"

"Tak... Saya ambil cuti setengah hari. Saya dah janji nak jumpa kawan saya di sini."

"Lama?"

"Tak lama kot... Sekejap sahaja."

"Apa kata Kahar datang melawat datuk nanti."

"Bila?"

"Petang nanti..."

Kahar kaget. Dia tidak pernah mendengar datuknya berkata begini. Dia tidak faham jika datuknya itu mahu dia pergi melawatnya ke rumahnya yang terletak di Bukit Tunku atau di pejabatnya yang Kahar tahu lokasinya terletak berdekatan dengan kawasan ini, tetapi dia tidak tahu alamat sebenarnya.

"Saya tak faham..."

"Datang ke pejabat datuk. Ada benda yang ingin datuk bincangkan."

Kahar tidak pasti jika dia harus menelefon ibunya terlebih dahulu untuk memberitahunya tentang perkembangan ini, atau dia harus terus mengambil keputusannya sendiri untuk bersetuju dengan permintaan datuknya.

"Saya tidak boleh janji-"

Tan Sri Kamal mengeluarkan kad perniagaannya. Kahar mengambil kad perniagaan tersebut dari tangannya. Tan Sri Kamal memberi salam lantas mengarahkan pemandunya membawanya pulang ke firma guamannya setelah dia makan tengah hari dengan seorang kliennya di sini.

Kahar mengeluh panjang sambil menggelengkan kepalanya. Mungkin ada baiknya dia tidak perlu memberitahu kepada ibunya tentang kejadian dia bertembung dengan datuknya di sini. Dia tahu bagaimana datuknya ini telah melukai perasaan ibunya dengan menidakkan dirinya sebagai anaknya sendiri, dan dia sendiri tahu bagaimana datuknya itu langsung membenci emaknya tanpa sebab kecuali keadaan emaknya yang tidak mungkin dapat diterimanya sebagai manusia biasa.

Kahar terpandang kelibat seorang pemuda kacak bertubuh tegap tinggi di hadapannya. Dia kelihatan seperti sedang menanti ketibaan seseorang. Kahar cepat-cepat mendapatkannya.

"Rahmat ke ni?" tanya Kahar cuba meneka.

"Ya, saya Rahmat. Kau Kahar, ya?" tanya Rahmat. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Kahar. Kahar menyambut tangannya sambil mengangguk bersalaman dengan Rahmat.

Rahmat meneliti wajah Kahar dengan merenung ke dalam matanya. Kahar terus memandang ke arah lain. Sememangnya dia ingin tahu mengapa Kahar mahu berjumpa dengannya. Kelmarin, Kahar telah menelefonnya lalu memberitahunya bahawa dia mendapat nombor telefonnya ini dari Salina. Kata Kahar, dia mempunyai sesuatu yang penting yang ingin ditanyakan secara peribadi kepadanya.

Rahmat membawa Kahar berjalan masuk ke dalam sebuah kedai kek yang nampak eksklusif dengan hiasan dalaman perabot klasik moden era 60-an. Sebaik sahaja Kahar masuk ke dalam kedai kek yang baru sahaja dibuka tidak sampai dua minggu ini, Rahmat terus memperkenalkan dirinya kepada seorang gadis bertudung yang sedang bertugas di kaunter yang bernama Timah.

Kahar memerhatikan di dalam kedai kek itu terdapat beberapa buah kerusi dan meja yang dipenuhi pengunjung. Masing-masing nampaknya kelihatan begitu asyik menjamah kek yang dihidangkan di hadapan mereka. Di kaunter pula beberapa orang sedang beratur untuk memesan kek agar dapat dibawa pulang.

Rahmat memberitahunya bahawa kedai kek ini baru sahaja dibukanya dengan dua orang rakan kongsinya - seorang peguam bernama Linus dan seorang pembuat kek yang dipanggilnya dengan nama Gundutz. Mereka bertiga menyewa kedai ini dari sebuah kedai kek yang telah lama ditutup. Mereka sekadar menukar hiasan dalaman kedai kek ini dan membuka kedai kek ini dengan nama baru. Kedai Kek Impiana...

Menurut Rahmat, penjualan kek di kedai keknya ini agak memberangsangkan, lebih-lebih lagi dengan adanya khidmat penghantaran kek secara percuma kepada pelanggan-pelanggannya yang dilakukan oleh Rahmat sendiri. Ramai juga pekerja-pekerja pejabat yang bekerja di sekitar kawasan Medan Damansara, juga mereka yang menetap di Bukit Damansara, Bukit Kiara dan Bangsar yang mula datang berduyun-duyun memesan kek di kedai kek ini.

"Apa hubungan kau dengan Salina?" Tanya Rahmat. Dia menggaru-garu janggutnya yang baru tumbuh melebat di dagunya.

"Dia kenalan emak saya..." Kahar berterus-terang. Seorang gadis berbangsa Cina datang ke meja mereka dengan membawa sepotong kek dan dua cawan kopi untuk Kahar dan Rahmat.

"Bila kau jumpa Salina?"

"Minggu lepas..." Kahar mencuba kek keju blueberry di hadapannya. Matanya terbeliak buat seketika tatkala menjamah kek yang paling enak yang pernah dirasakannya di dalam hidupnya itu. Dia membuat nota mental untuk memesan beberapa potong kek agar boleh dibawanya pulang untuk bekalan emak, ibu dan Mak Mahnya.

"Bagaimana dengan keadaannya?" tanya Rahmat dengan perlahan agar suaranya tidak didengar oleh sesiapapun kecuali Kahar.

"Entahlah... Dia nampak sedih jer."

"Ye ke?" tanya Rahmat. Wajahnya terus berubah. Risau.

"Emak saya kata dia akan kahwin bulan depan. Dia minta saya temankan dia ke majlis perkahwinannya nanti." Kahar memberitahu.

Rahmat mengeluh panjang, seolah ada sesuatu yang mengganggu fikirannya pada waktu itu.

Rahmat memandang ke arah Timah yang sedang sibuk bertugas di kaunter. Dia menutup matanya seketika untuk cuba melupakan tentang Salina sama sekali.

"Jadi kenapa kau mahu berjumpa dengan aku?" tanya Rahmat akhirnya.

"Saya nak bertanya mengapa abang dan Kak Salina pergi berjumpa Datin Saliza..."

Nadi Rahmat terasa seperti ia telah berhenti sebentar buat beberapa detik apabila dia mendengar nama Saliza disebut oleh Kahar.

"Apa kena mengena kau dengan Datin Saliza."

"Saya kenal dengan anaknya-"

"Darwis?" Rahmat cuba meneka, walaupun belum sekali dia pernah bertentang mata dengan anak lelaki Saliza itu.

"Bukan... Saya kawan kepada Seri."

"Lama kau kenal dengan Seri?"

" Nak kata lama tak lama juga... Sejak awal tahun lepas."

"Seri... Anak Datin Saliza yang jadi peserta Bintang Asli."

"Ya..."

"Hari-hari aku lihat promo Bintang Asli di TV. Gundutz, Timah dan Linus suka benar menonton rancangan itu." Ujar Rahmat sambil tersenyum sendiri.

Kahar memberanikan dirinya untuk memandang ke wajah Rahmat. Entah mengapa dia dapat merasakan seolah-olah dia sudah kenal lama dengan Rahmat. Mungkin caranya senyum mengingatkan dirinya kepada senyuman Seri.

"Apa kena mengena abang dengan Seri?" Kahar memberanikan dirinya untuk bertanya.

"Aku abang tirinya." Jawab Rahmat tanpa mahu berselindung lagi. Dia melihat wajah Kahar langsung tidak berubah apabila dia mendapat tahu tentang hal ini. "Mengapa kau tanya?"

"Seri ingin tahu..."

"Datin Saliza belum beritahu kepadanya lagi."

"Entahlah bang... Saya rasa belum lagi."

"Jadi apa yang kau mahu buat sekarang?"

"Entahlah. Mungkin beritahu kepada Seri apa yang saya tahu."

"Apa yang kau rasa akan Seri lakukan?"

"Saya rasa, lambat laun dia akan tahu jua akhirnya. Biarlah dia tahu sendiri. Sebaiknya, abang pergilah jumpa Seri sendiri." Pinta Kahar. Rahmat tertunduk buat seketika sebelum dia mengangguk lemah.

Kahar meneliti wajah Rahmat. Kini dia mula sedar tentang iras-iras wajah Saliza yang ada di dalam diri Rahmat. Kahar mula menyedari kini bahawa dia mengenali Seri, Darwis dan kini Rahmat. Ketiga-tiga anak Saliza, sedangkan dia tidak pernah mengenali Saliza secara dekat...

Seri: Latihan untuk konsert pertama Bintang Asli

Aku rasa kepenatan setelah sehari suntuk terpaksa berlatih menari dan menyanyi di dalam auditorium TV10. Konsert pertama kami akan diadakan beberapa hari lagi, jadi peserta-peserta semua nampaknya bersungguh-sungguh berlatih agar mereka dapat memberikan yang terbaik kecuali aku. Aku tidak mahu menang. Aku tidak mahu ke tahap yang seterusnya kerana aku sudah membuktikan kepada mama bahawa aku sudah pun memenuhi kemahuannya. Bila aku dikeluarkan kelak, aku mahu kembali kepada Rosli dan memberitahunya bahawa aku mahu bersama-sama Limau Nipis bertanding di dalam Battle of the Bands nanti.

Terdapat 12 orang peserta yang bertanding di dalam Bintang Asli. Enam lelaki dan Enam perempuan. Sejak dari awal lagi aku tidak mahu terlalu rapat dengan peserta-peserta yang ada. Biar mereka tuduh aku sombong. Aku tidak peduli. Kerana aku tahu cuma dengan cara ini aku akan dibenci dan akan mendapat undian SMS yang terendah.

Setiap hari, latihan yang kami jalani bersama akan dirakamkan. Kemudian kami dibenarkan memberi sebarang komen mengenai rakan-rakan peserta atau tenaga pengajar dan komen kami akan dirakamkan. Pada waktu inilah aku akan memberi komen yang ikhlas mengenai tenaga pengajar dan beberapa orang pelajar yang membuat aku meluat tak sudah. Sebagai contoh:

1. Aku mengatakan peserta bernama Idah tidak perlu menangis tak sudah kononnya dia merindukan orang tuanya sedangkan kami hanya berenggang dengan orang yang kami sayangi tidak sampai seminggu.

2. Aku marah dengan sikap peserta Nuar yang mahu bercinta dengan peserta Zizah. Mahu juga aku tanya kepada mereka apa motif utama mereka bertanding - mencari calon pasangan hidup ataupun mahu menjadi penyanyi? (Nota untuk diri: Nuar juga selalu aku lihat mencuri pandang ke arah peserta Kamil yang kacak itu dan sering kelihatan mahu bermanja dengannya. Mengapa, ya?)

3. Aku memberitahu kepada penonton tentang taktik peserta Zirah dan Rizal yang cuba sedaya mungkin di hadapan kamera untuk melakonkan sikap ceria dan happy-go-lucky sedangkan ketika kami pulang ke bilik hotel kami (yang ditaja), sikap mereka berdua sebaliknya pula.

4. Aku tidak suka dengan sikap bermuka-muka sesetengah peserta yang mengucapkan kata-kata pujian kepada peserta lain ketika di hadapan kamera, tetapi di luar kamera mereka sebenarnya suka mengumpat.


Pendek kata, kami semua, generasi TV Realiti kini sudah tahu bagaimana untuk berlakon di hadapan TV untuk meraih simpati dan mengumpan undi. Aku pula, menggunakan pengetahuanku ini untuk cuba sedaya upaya agar aku dapat terkeluar dari Bintang Asli dari konsert pertama (Ada enam konsert kesemuanya, di mana dua peserta akan dibuang setiap minggu).

Selama aku berada di dalam rancangan Bintang Asli, aku hanya rapat dengan seorang peserta sahaja. Aku rapat dengan peserta Malik kerana seperti aku, dia tak suka bermuka-muka dan berlakon di dalam rancangan realiti ini. Malik orangnya bertubuh kecil, comel dan seusia denganku. Orangnya lembut. Seperti aku, dia tidak suka dengan sikap kebanyakan peserta-peserta Bintang Asli yang pandai mencari peluang di hadapan kamera untuk tergedik-gedik, berlakon comel, kontrol macho (walaupun sebaliknya) dan mencurahkan air mata 'on-cue' bila perlu.

Malik memberitahuku, dia mahu menjadi penyanyi, bukan pelakon. Dia masuk Bintang Asli kerana dia fikir, inilah satu-satunya cara untuk dia membuktikan kepada semua bahawa dia mempunyai bakat untuk menyanyi, walaupun dia minat kepada lagu-lagu R&B (dia peminat setia Anuar Zain, Hazami dan Rem) dan tidak pernah terfikir untuk menyanyikan lagu-lagu asli sebelum ini.

Malik berasal dari Kuantan, Pahang. Di Kuantan, dia bekerja di 7Eleven di Berjaya Megamall. Selama aku mengenalinya, dia selalu mahu meminjam telefon bimbitku (dia tak boleh gunakan telefon bimbitnya sendiri kerana tak ada kredit). Katanya dia perlu berhubung dengan abang angkatnya di Kuantan. Tak larat katanya untuk terus menghadapi cabaran Bintang Asli tanpa dia dapat menghilangkan rasa rindunya itu kepada abang angkatnya...

*


Apabila aku pulang ke hotel tadi, aku cuba menelefon Rosli. Dia tidak menjawab panggilanku. Aku sedih.

Kemudian Mr. K menelefonku. Dia memberitahuku dia sedang menjalankan penyiasatannya terhadap Kak Salina. Katanya, dia telah pun menemui abang Rahmat... Lelaki yang datang melawat mama dengan Kak Salina.

"Jadi abang Rahmat ni orangnya macam mana?" tanyaku ingin tahu.

"Orangnya tinggi... Dalam kategori lelaki hensem lah kot." Jawab Mr. K kebosanan menjawab soalanku.

"Jadi... Siapa abang Rahmat ni sebenarnya?"

Mr. K terdiam sebentar. Dia tak tahu bagaimana untuk menjawab soalanku ini.

"Oh ya, tadi saya jumpa datuk saya. Lama kami duduk berbual." Beritahu Mr. K tanpa menjawab soalanku tadi.

"Awak berbual fasal apa dengannya."

"Macam-macam... Dia suruh saya sambung belajar. Dia mahu saya jadi peguam."

"Awak nak jadi peguam ke?"

"Entah..."

"Abang Darwis akan jadi peguam bila dia pulang ke Malaysia nanti..."

"Tahu."

"Kawan Kavita... Karamjit tu peguam jugak!"

"Ya, saya tahu. Awak tak payah beritahu fasal semua tu kat saya." Aku tak pasti jika Mr. K tidak suka aku menyebut nama Kavita ataupun nama Karamjit.

"Awak ada berhubung dengan Rosli?"

"Ada. Semalam."

"Bagaimana keadaannya sekarang."

"Okay jer... Sibuk dengan Battle of the Bands."

"Ye ke? Tanpa saya?"

"Ya... Rosli sendiri yang jadi vokalis."

"Oh..." Hatiku tercuit dengan rasa rindu yang amat sangat kepada Rosli. Terus aku terlupa untuk bertanyakan Mr. K tentang abang Rahmat. Selama lima minit aku mencurahkan perasaanku kepada Mr. K dengan memberitahunya aku takut Rosli akan terus membenciku dan melupakanku.




posted by Nizam  # 9:37 AM

Monday, October 18, 2004

Seri Tertangguh: Bab 33

Seri Tertangguh

Kahar: Pergi menyiasat sendiri

Kahar menggigit hujung pennya. Kemudian dia mengetuk hujung pen yang sama ke atas meja. Kahar menjengah ke arah pejabat emaknya. Dia mendapati emaknya sedang berada di sana sambil berbual dengan seorang Eksekutif Akaun yang sedang memberitahunya tentang permintaan-permintaan klien mereka. Lima minit kemudian, perbincangan mereka selesai. Eksekutif Akaun yang memakai skirt pendek itu keluar dari pejabat Yusni lalu kembali ke kubikelnya.

Kahar mengambil keputusan untuk berjumpa dengan emaknya. Dia berjalan keluar dari kubikelnya lalu berdiri di hadapan pintu pejabat Yusni. Dia mengetuk pintu.

"Masuk lah... Berdiri jer kat luar tu buat apa? Macam tak biasa pulak." Rungut Yusni sambil tersenyum. Kahar masuk, lalu dia duduk di hadapan Yusni.

"Tadi mak baru sahaja habis berbincang dengan si Annabelle-"

"Tahu... Dia baru sahaja keluar tadi." Kahar bermain-main dengan jari jemarinya sendiri.

"Dia ada beritahu mak minggu depan dia sibuk sikit. Dia berlakon teater. Dia bagi mak tiket. Nak ikut tak?"

"Bila dan di mana?"

"Actor's Studio Bangsar. Hari Khamis malam."

"Boleh jugak..."

"Dia tanya dengan mak... Bila lagi Kahar nak sambung menulis... Dia kata dia dah baca Kisah Dua Wanita. Dia fikir Kahar dah siapkan siri Ranjang Empat Kahar tu-"

"Saya takde mood lah nak menulis lagi."

"Tak kan lah sebab Kavita tak ada, Kahar terus nak berhenti menulis terus?"

Kahar tidak mahu menjawab. Dia berpaling ke tempat lain.

"Mak... boleh tanya sikit tak?" soal Kahar yang selalunya akan memanggil emaknya dengan panggilan Puan Yusni, jika mereka mempunyai urusan rasmi di pejabat.

"Nak tanya fasal apa, Kahar?"

"Mak... Saya nak tanya sikit fasal Kakak Salina."

"Nak tanya fasal apa? Bukan Kahar kenal dengan dia ke? Dia kata dia selalu nampak Kahar di Silverfish."

"Tak kenal sangat lah Mak. Dia tak pernah tegur saya pun. Ramai sangat yang keluar masuk Silverfish tu, saya mana boleh ingat." Kahar berterus terang.

"Sebelum dia berpindah ke Ogilvy, dia bekerja di sini." Beritahu Yusni dengan bangga dengan kemajuan karier anak didiknya itu.

"Ye ke?"

"Sekejap jer... Tak lama. Tak sampai setahun. Tapi banyak juga akaun-akaun besar yang dia bawa masuk ke Glitterads."

"Oh... Begitu."

"Kenapa? Kahar suka kat dia ke? Isn't Salina a bit too old for you?" Yusni sengaja mahu menyakat anaknya itu.

"Eh takde lah mak!"

"Dah tu?"

"Mak ada jumpa dia kan? Dua atau tiga minggu lepas."

"Jadi kenapa?"

"Mak ada cakap mak jumpa dia kat Concord Hotel. Lepas tu dia nak mak kenalkan dia dengan Datin Saliza. Tapi kenapa?"

"Hal peribadi..."

Kahar berdecit perlahan. Dia berdiri lalu bergerak ke arah tingkap besar di pejabat Yusni yang terletak di MidValley Boulevard itu.

"Kenapa ni Kahar? Kenapa Kahar nak tahu sangat fasal dia?"

"Tak ada apa-apa lah mak." Kahar membuka langkah untuk keluar dari pejabat Yusni. "Saya nak half-day hari ini, ya?"

"Kenapa?"

"Tak sihat sangat... Pening."

"Kalau pening, pergi balik rumah... Berihat." Wajah Yusni jelas nampak risau. Dia memandang terus kepada Kahar. Di dapati anak lelakinya itu berdesup berjalan keluar dari pejabatnya.

*


Kahar membuka pintu pejabat agensi pengiklanan Ogilvy yang serba merah itu. Dia berjalan ke arah gadis yang bekerja sebagai penyambut tamu lalu bertanyakan tentang Salina.

"Encik ada temu janji dengannya?" tanya gadis tersebut dengan lembut.

"Tak ada."

Gadis tersebut mendail nombor Salina. Dia memberitahunya ada seorang pemuda bernama Kahar yang mahu berjumpa dengannya. Salina memberitahunya agar meminta Kahar supaya menunggunya di ruang legar sehingga dia sampai.

"Sila duduk. Sekejap nanti dia sampai." Ujar gadis tersebut. Kahar mengangguk lalu duduk di atas sebuah bangku panjang.

Salina menemui Kahar beberapa minit kemudian. Mereka berdua bersemuka lalu bersalaman.

"Mr. K... Apahal you nak jumpa I. Your mom sent you here?"

"Tak... Saya nak jumpa sendiri."

"Kenapa?"

"Hal peribadi..."

Salina mengangguk, lalu menyarankan agar mereka turun ke bawah lalu ke Starbucks, Pusat Bandar Damansara untuk duduk berbincang. Kahar bersetuju dengan saranannya.

Di Starbucks, Salina memesan minuman untuk Kahar. Di berpaling kepada Kahar. Dia dapat melihat Kahar termenung jauh. Selama ini Salina sering melihat Kahar di toko buku Silverfish, tetapi dia tidak pernah menegurnya. Selama ini dia hanya mengenali Kahar melalui Yusni yang telah menceritakannya perihal anaknya itu sejak dia mula-mula bekerja dengannya dahulu.

Salina meletakkan minuman kopi yang telah dipesannya di atas meja. Dia melihat Kahar duduk malu-malu di hadapannya.

"Kenapa you nak jumpa I?"

"Nak tanya sikit."

"Tanya fasal apa?"

"Kenapa Kak Salina pergi berjumpa dengan Datin Saliza?"

Salina tersentak menerima soalan ini dari Kahar. Beberapa detik kemudian barulah Salina sedar bahawa Seri adalah kawan Kahar. Pasti Seri telah meminta Kahar agar berjumpa dengannya.

Salina nampak serba salah. Sukar untuk dia menceritakan hal sebenar yang telah berlaku ke atas dirinya dan Saliza.

"Maaf, Mr. K. Dalam hal-hal seperti ini I tak boleh membantu."

Kahar hanya mendiamkan dirinya. Dia tertunduk. Dia tidak berani memandang ke arah Salina. Wajah Salina yang cantik itu beberapa kali mengingatkannya kepada Kavita, lebih-lebih lagi senyumannya itu.

"Beginilah... Kalau you nak tahu sangat. You have to talk to... Rahmat." Salina akhirnya berkata apabila melihat Kahar diam begitu kepadanya. Salina termenung seketika tatkala dia menyebut nama Rahmat.

Salina menulis nombor Rahmat ke atas sekeping kertas yang diambilnya dari tas tangannya, kemudian diserahkan kepada Kahar.

"Terima kasih." Ujar Kahar perlahan sambil mengangguk. Dia memerhatikan pengunjung Starbucks yang lain yang tekun dengan hal masing-masing.

"I harap dia boleh bantu you nanti..." Kata Salina perlahan. Dia berdiri dari tempat duduknya, lalu meminta diri untuk pulang ke pejabatnya. Wajahnya jelas muram...

Seri: Menangis sendiri lagi

Mama tiba-tiba mengetuk pintuku. Dia meminta supaya aku membuka pintu. Aku berhenti dari terus menulis draf wawancara kumpulan underground Headonis yang mahu aku terbitkan di dalam blogku.

Sebaik sahaja aku membuka pintu aku dapati terdapat seorang jurukamera dan pembantunya, beberapa orang yang tidak aku kenali, seorang pengacara TV terkenal, Jaafar Pon dan mama.

Mama nampak gembira. Aku bercekak pinggang.

"Dengan sukacitanya ingin abang Jaafar umumkan Seri telah dipilih sebagai salah seorang dari 12 peserta Bintang Asli!" Ujar Jaafar Pon yang layak aku panggil pakcik (atau mungkin makcik) dengan penuh semangat.

Aku ingin menutup pintu, tetapi mereka beramai-ramai masuk ke dalam bilikku.

"Apa perasaan Seri sekarang?" tanya Jaafar Pon.

"Biasa jer." Kataku sambil sesekali memandang ke arah kamera.

"Seri tak rasa seronok ke?"

"Tak kot..." sambutku dengan selamba. Kalau boleh aku mereka semua keluar dari bilikku.

Jaafar Pon terkebil-kebil di hadapanku. Dia menoleh ke arah penerbitnya, Faridah Mohammad Nor. Dia mungkin mengharapkan aku menjerit dan meloncat gembira sambil memeluknya. Tapi aku tidak lakukan itu semua.

Maka kerana aku tidak melakukan ini semua, Kak Faridah telah meminta mama supaya memujukku agar aku berlakon untuk rancangan realiti TV terbitannya ini. Aku hanya bersetuju apabila aku dapat melihat keceriaan dan kegembiraan terpancar di wajah mama ketika dia memujukku. Sejak dua tiga minggu kebelakangan ini aku lihat mama selalu sahaja murung.

Jadi buat sekali lagi mama telah mengetuk pintuku, kali ini aku mengenakan tudungku sebelum aku terpaksa buat-buat terkejut dan teruja melihat Jaafar Pon memberitahuku bahawa aku telah diterima sebagai peserta Bintang Asli.

*


Aku telah meminta agar Rosli mengambilku dari HELP Institute petang itu dengan alasan aku mahu dia menemaniku membeli belah di Bangsar Shopping Centre. Rosli bersetuju, kerana kebetulan dia tidak sibuk. Jadi dari UM dia telah ke Pusat Bandar Damansara dengan motornya.

Aku menunggu di hadapan 7Eleven. Rosli tiba tepat pada masa yang dijanjikan. Dia menyerahkan topi keledar untukku pakai. Dia tidak banyak bercakap, mungkin kepenatan setelah sehari suntuk menghadiri kelas tutorialnya.

Rosli meletakkan skuternya di sebelah Bangsar Shopping Centre. Aku membuka topi keledar dari kepalaku, lalu menyerahkan kepadanya. Dia menyemat topi keledar yang kupakai ke skuternya.

"Awak dah makan ke belum?" tanyaku kepada Rosli.

"Belum."

"Kenapa awak tak makan lagi?"

"Banyak kerja tadi..."

"Kesian awak kan?"

"Nak kesian apa pulak... Dah kerja, nak buat macam mana." Rosli memegang tanganku ketika kami berjalan masuk ke dalam pusat membeli belah di Bangar itu.

"Awak pula macam mana sekarang." Tanya Rosli ingin tahu. Aku memandang kepada rambutnya. Dia potong rambutnya pendek lagi, tapi tidak sependek rambut budak skinhead. Tapi Rosli nampak seperti budak skinhead dengan kepalanya yang hampir botak itu - ditambah lagi dengan wajahnya yang keras dan garang itu.

Bagi aku, Rosli tidaklah sekeras dan segarang wajahnya. Rosli berhati mulia dan lemah lembut orangnya. Mungkin sebab itulah semakin hari aku semakin menyayanginya. Seperti Kahar menyayangi Kavita.

"Saya okay jer." Jawabku setelah aku mengelamun buat beberapa saat.

"Nak makan kat mana ni?"

"Kat McD, okay?"

Rosli mengangguk. Aku memandang ke arahnya. Rosli yang aku kenali dahulu lain dari Rosli yang aku kenal sekarang. Rosli yang aku kenali sekarang lebih matang dan yakin. Malah secara fizikal, aku lihat dirinya semakin segak dengan tubuhnya yang kelihatan semakin tinggi dan tegap. Mungkin sebab itulah sejak kebelakangan ini aku lihat ramai gadis-gadis yang seusia dengan kami yang sering menjeling ke arahnya. Kavita juga pernah memberitahuku Rosli agak popular di kalangan pelajar wanita yang sefakulti dengannya.

Di McDonald's, kami berdua memesan makanan yang ingin kami makan. Aku sekadar memesan Apple Pie dan memberitahu Rosli bahawa aku sudah makan tengah hari tadi walaupun aku berbohong. Aku perlu memastikan berat badanku dapat diturunkan lagi, lebih-lebih lagi apabila aku akan menjadi peserta Bintang Asli nanti.

"Kenapa awak nampak lain macam jer ni?" tanya Rosli ketika dia sedang mengunyah Big Macnya. Dia memandang ke dalam wajahku. Seperti Eling, dia juga dapat membaca perasaanku setelah begitu lama kami menghabiskan banyak masa kami bersama.

"Ada satu benda saya terpaksa beritahu kat awak..."

"Apa dia?"

"Tapi saya takut nak beritahu... Saya tahu awak tak suka." Kataku teragak-agak.

"Cakap je lah..." Rosli memperlahankan suaranya.

"Sebelum saya mulakan... Saya nak beritahu kat awak yang saya sayangkan awak." Kataku sambil mendekatkan kerusiku kepadanya. "Memang saya mengaku... Mula-mula saya tak minat dengan awak langsung. Saya pun tak tahu kenapa. Bukannya awak tak kiut. Ye lah, sampai Gina tergila-gilakan awak. Kiut lah tu, kan? Cuma masa tu saya tak nampak...

"Agaknya sebab saya minat kat Mr. K masa tu. Tapi lepas saya buka hati saya untuk terima awak, saya mula rasa sayang kat awak. Saya mula faham kenapa Gina suka kat awak. Sebab awak baik hati dan caring. Sebab tu semakin hari saya rasa semakin sayang kat awak.

"Apa awak nak cakap ni?" Rosli mula kelihatan risau. Aku pasti dia sudah dapat mengagak bahawa apa yang akan aku beritahunya nanti adalah satu berita yang tidak begitu menyenangkan baginya.

"Kalau saya cakap benda ni kat awak... Saya harap awak tak marah."

"Ye lah, tapi apa dia?"

"Saya tak boleh sertai Battle of the Bands."

"Apa?" Rosli meletakkan Big Macnya ke tepi. Selera makannya terus hilang.

"Saya diterima masuk Bintang Asli."

"Jangan masuklah. Awak kata awak tak nak masuk. Susah sangat ke?" Rosli menyarankan dengan suara marah-marah.

"Mak saya dah paksa. Saya lihat dia gembira bila saya diterima jadi peserta Bintang Asli. Saya tak berani nak tolak... Saya nak lihat dia gembira."

"Dah tu saya pula macam mana? Saya ni tunggul ke?"

"Rosli... Saya sayangkan awak. Tapi saya sayangkan mama saya juga. Awak kena faham."

"Awak tahu tak bagaimana saya bekerja keras nak pastikan kumpulan kita dapat bertanding dalam Battle of the Bands tahun ini? Awak sendiri tahu bagaimana kita semua berlatih bersungguh-sungguh sepanjang tahun untuk pastikan tahun ini kami dapat menang!"

"Tahu... Tapi saya tak boleh buat apa-apa-"

"Boleh! Awak tak payah masuk Bintang Asli tu!"

"Tak boleh lah!" Aku cuma memegang tangan Rosli. Tapi Rosli cepat-cepat menarik tangannya.

"Dah lah... Saya tak nak gaduh depan orang ramai macam ni. Saya nak balik." Kata Rosli. Dia berdiri dari tempat duduknya.

Aku kemudian memberitahu kepada Rosli bahawa aku mahu pulang ke rumahku sendiri dengan menaiki teksi. Merajuk.

Rosli menggelengkan kepalanya sambil berpeluk tubuh. Dia berkeras mahu membawaku pulang dengan skuternya. Aku terpaksa bersetuju, lebih-lebih lagi apabila Rosli mula mengeluarkan suara garangnya itu.

Ketika menaiki skuter Rosli aku sempat mencuri lihat wajahnya. Rosli masih nampak marah dan kecewa. Dia terus membawaku pulang tanpa singgah di mana-mana. Sebaik sahaja aku turun dari skuternya, dia terus membawa motornya laju meninggalkanku. Langsung tidak sempat untuk aku memberinya kembali topi keledar yang telah dibelikan khas untukku itu untuk disimpannya.

Aku masuk ke dalam rumahku. Keadaan rumahku dengan yang luas dengan perabot-parabot minimalis telah membuatkan suasana semakin dingin dan kosong. Aku merasa sepi di dalam rumahku ini. Aku duduk di atas sofa lalu membenamkan mukaku ke dalam kusyen. Aku menjerit sekuat hati. Kemudian aku menangis.

Aku menangis kerana aku telah mengecewakan Rosli dan anggota-anggota kumpulan Limau Nipis. Aku menangis kerana aku terlalu sayangkan Rosli tetapi di dalam masa yang sama, aku terpaksa membuatnya marah. Aku menangis kerana terpaksa melakukan sesuatu yang tidak aku sukai semata-mata kerana aku mahu melihat mama gembira...


posted by Nizam  # 11:49 AM

Thursday, October 14, 2004

Seri Tertangguh: Bab 32

Seri Tertangguh

Kahar: Mr. K P.I.

Kahar termenung sambil menongkat dagunya di kaunter pembayaran toko buku Silverfish. Setiap lima minit dia akan menguap, kecuali jika ada pelanggan yang mahu membayar harga buku yang ingin dibeli mereka.

Pintu toko Silverfish dibuka lalu kedengaran bunyi loceng berbunyi. Kahar menoleh ke arah muka pintu lalu dia dapat melihat kelibat Seri di situ.

Seri melambaikan tangannya sambil berkata, "hi!" Kahar sekadar mengangkat tangannya dengan lemah seraya mengangguk lesu.

"Awak sibuk ke?" tanya Seri kepada Kahar. Dia menjenguk ke dalam kedai untuk melihat jumlah pengunjung yang datang. Tak ramai.

"Sibuk jugak." Bohong Kahar.

"Ye ke? Awak sibuk buat apa?"

"Melayan kerenah orang macam awak ler!"

"Wah! Garang awak sekarang, kan?" perli Seri sambil menjeling.

"Mana Rosli?" Kahar memandang ke kiri dan ke kanan, seolah-olah mencari Rosli yang mungkin bersembunyi di belakang Seri.

"Dia sibuk dengan study group dia kat UM."

"Okay..."

"Nak tahu apa?" tanya Seri seperti bersedia mahu memberitahu Kahar berita terbaru yang berlaku di dalam hidupnya.

"Apa?"

"Dia juga sekarang sibuk dengan menyediakan kami untuk bertanding dalam Battle of the Bands nanti."

"Lagu apa korang nak bawak?"

"Kitaorang nak bawak lagu baru."

"Ye ke?" tanya Kahar penuh minat.

"Ya. Dua buah lagu yang Rosli cipta sendiri dengan irama New Romantic. Lagu Melayu."

"Baguslah macam tu." Kata Kahar dengan nada bangga.

"Oh ya... Abang Darwis dah selamat sampai ke London semalam. Dia kirim salam kat awak."

"Sorrylah saya tak boleh hantar dia ke KLIA. Sibuk sangat dengan kerja."

"Tak apa."

"Darwis tak perlu risau sangat tentang abang Zek..." kata Kahar sambil termenung.

"Maksud awak?"

"Abang Zek akan ke London bila filem yang dilakonkannya mengadakan tayangan perdana di sana. Ye lah, kalau mereka berenggang lama-lama, rindu pulak nanti."

Seri setakat mengangguk kepalanya tanda setuju. Dia tahu apa yang dimaksudkan Kahar, cuma dia tidak berminat untuk berbual tentang hal abangnya itu dengan Kahar.

"Awak ada ikuti Akademi Impiana musim baru?"

"Mana ada masa... Saya sibuk dengan kerja."

"Awak ni tak habis-habis dengan kerja." Seri mengadu seperti seorang isteri yang tidak puas hati dengan kesibukan suaminya di pejabat.

"Bila awak mula bekerja nanti awak tahu lah." Kahar bercakap seperti seorang yang sudah lama bekerja. "Apa yang menariknya tentang Akademi Impiana ni? Hari-hari orang asyik sibuk bual fasal benda tu."

"Akademi Impiana tu program realiti dan peraduan menyanyi. Penyanyi akan dipilih melalui SMS. Siapa yang mendapat SMS yang paling rendah akan disingkir keluar."

"Oh begitu..."

"Konsert akhir Akademi Impiana hujung minggu ini." Beritahu Seri. Seorang pengunjung Silverfish sedang berjalan melintasi kaunter. Seri membuka ruang agar dia dapat berjalan keluar dari kedai buku itu.

"Dah tu?"

"Lagu mama telah dipilih untuk dinyanyikan peserta Akademi Impiana."

"Baguslah macam tu."

Seri termenung seketika sebelum dia menambah lagi: "Mama saya sejak kebelakangan ini pelik lah!"

"Pelik apa?"

"Dia banyak termenung. Semalam saya nampak dia menangis sorang-sorang. Entahlah."

"Bercakap fasal mak awak ni... Sebenarnya ada seorang kakak ni yang berjumpa dengan mak saya. Nama kakak tu Salina. Dia selalu jugak datang ke sini. Tapi saya tak kenal sangat dengan dia."

"Apa kena mengena Kak Salina tu dengan mama?"

"Kak Salina datang untuk berjumpa dengan mak saya sebab dia mahu berjumpa dengan mama awak."

"Ye ke?"

"Ya... Mak saya dengan mama awak tu sebenarnya saling mengenali. Agensi pengiklanan Glitterads memegang akaun Promosi dan Pengiklanan Layla Los Angeles." Beritahu Kahar tentang syarikat pengiklanan yang telah diasaskan oleh emaknya itu.

"Ermm... Awak nak tahu tak? Kak Erni ada beritahu saya beberapa hari yang lepas seorang lelaki dan seorang perempuan datang melawat mama. Bila mereka pulang, mama menangis seorang diri di dalam biliknya."

"Ye ke?"

"Kak Erni kata perempuan yang datang menemui mama tu cantik orangnya. Mukanya Kak Erni kenal... Kak Erti kata dia pelakon sebuah iklan syampoo-"

"Oh, itu Kak Salina."

"Ye ke?"

"Ya..."

"Kita kena siasat lah fasal benda ni..."

"Kita?"

"Ye lah... Kita berdua. Awak kena tolong saya siasat fasal benda ni."

"Siasat apa pulak ni?"

"Fasal benda ni lah. Fasal mama saya. Something is not right! Saya rasa mesti ada sesuatu yang membuatkan mama saya sedih. Tentu Kak Salina tahu jawapannya."

"Awak ni macam-macam ler... Lebih-lebih lagi bila awak makin kurus sekarang ni. Saya rasa produk langsingkan badan yang awak ambil tu tentu meninggalkan kesan sampingan kat otak awak tu kan?"

"Whateverlah!" Seri menjeling. "Awak tolong saya, ya?"

"Okay." Kahar akhirnya bersetuju. Fikir Kahar, jika dia tidak bersetuju, Seri akan merengek di hadapannya sehingga ke petang.

Seorang pelanggan membawa beberapa buah buku ke kaunter. Kahar melihat tajuk-tajuk buku yang mahu dibelinya. Buku-buku tersebut telah ditulis oleh Anthony Burgess, Somerset Maugham and Noel Coward.

"Cik tak mahu cuba buku Henri Fauconnier, "The Soul of Malaya," yang pernah memenangi anugerah Prix Goncourt pada tahun1930. Selain dari tulisan-tulisan Anthony Burgess, saya rasa tulisan Fauconnier agak tepat menceritakan tentang suasana di Malaya pada awal abad yang lepas." Beritahu Kahar. Wanita yang membeli buku itu mengangguk, lalu Kahar keluar dari kaunter untuk mencari buku yang disebutkan itu. Setelah terjumpa buku tersebut, Kahar memberi buku itu kepada wanita berbangsa Cina itu lalu beliau terus bersetuju untuk membeli buku yang disyorkan Kahar.

Selepas wanita tersebut keluar dari Silverfish, Kahar terus duduk di kaunter sambil memandang kepada Seri yang masih berdiri di hadapannya. Mungkin dia mahu berbual lagi.

"Kavita kata awak memang pandai jual buku kat orang..." Kata Seri sambil memandang kepada sebuah buku baru yang pamerkan di hadapan kaunter.

"Dah lah... Saya tak nak dengar lagi fasal dia lagi."

"Sabar jelah!"

"Saya tak nak fikir-fikirkan sangat tentang kisah-kisah lalu. Buat apa? Bukannya boleh mendatangkan faedah!"

"Alah ngaku je lah awak masih sayangkan Kavita!" Seri memberanikan dirinya untuk menguji tahap kesabaran Kahar.

"Dah lah tu!" Kahar mengeraskan suaranya.

"Saya akan ke uji bakat Bintang Asli esok..." Seri menukar topik perbualannya untuk mengelakkan Kahar dari marah tak tentu fasal kepadanya nanti.

"Bintang Asli?"

"Rancangan realiti yang meminta peserta-pesertanya membawa lagu asli dan lagu etnik Melayu."

"Oh... Good luck!"

"Saya tak mahu diri saya diterima masuk lah!"

"Pulak!" Kahar kehairanan. "Dah tu awak pergi ke uji bakat untuk apa?"

"Sekadar nak puaskan hati mama saya..." Seri mengakui. "Dia bising kalau saya tak mencuba."

"Awak nak bawak lagu apa?"

"Lagu lama mama saya... Laila Majnun."

"Oh... Sedap lagu tu."

"Mama yang pilih lagu tu."

"Ada dua versi filem lama Laila Majnun. Versi pertama dibuat pada tahun 1933 dan versi kedua pula pada tahun 1962. Kalau awak nak tahu, Laila Majnun merupakan filem pertama yang dibuat dalam Bahasa Melayu. Versi kedua pula telah diarahkan oleh BN Rao dan dilakonkan oleh Nordin Ahmad dan Latifah Omar..." Kahar ingin mengorek data-data yang tersimpan di dalam kepalanya mengenai kedua-dua filem ini, tetapi dia dapat merasakan Seri mungkin tidak biasa dengan cerita Laila Majnun ini. Dia juga pernah diberitahu oleh Kavita bahawa tidak semua orang yang mungkin mahu mendengar fakta-fakta yang ingin dibentangkan mengenai satu-satu subjek yang diketahuinya.

"Oh..." Seri mengangguk dengan mulutnya terlopong.

"Awak tahu tak cerita Laila Majnun ni fasal apa?"

Seri menggelengkan kepalanya. Dia sekadar tahu cerita Laila Majnun ini secara ringkas melalui lirik lagu yang pernah dinyanyikan ibunya ini.

"Laila Majnun menceritakan tentang seorang pemuda bernama Qais yang mencintai seorang gadis bernama Laila setengah mati. Tetapi percintaan mereka tidak direstui oleh orang tua Laila, kerana Qais ini miskin. Untuk memisahkan mereka berdua, bapa Laila membawa keluarganya berpindah jauh dari Qais. Apabila Qais mengetahui kekasihnya itu berpindah, dia terus bertekad mencari Laila, sehingga dia berjaya menemuinya ketika Laila sedang bersedekah kepada mereka yang daif...

"Pada masa yang sama, seorang putera raja singgah di kota tempat keluarga Laila baru berpindah. Baginda terpandang wajah Laila yang cantik lalu terus jatuh hati kepadanya. Bapa Laila terus menerima lamaran putera raja itu lalu Laila dikahwinkan-"

"Tak suka lah dengar cerita sad ending macam ni!" pintas Seri yang terus memotong cerita Kahar.

"Hemm... Awak nak tahu apa makna majnun?"

"Nak..."

"Majnun bermaksud gila dalam bahasa Arab."

"Kenapa pula Qais dianggap gila?"

"Entahlah... Agaknya dalam konteks budaya patriaki Arab, hanya wanita sahaja yang jatuh cinta kepada lelaki. Jika seorang lelaki tergila-gilakan wanita yang dicintainya, dia akan dianggap gila. Sebab itulah Qais dipanggil majnun"

"Tapi saya rasa, lelaki Melayu tak macam tu. Sekeras-keras hati dan seangkuh-angkuh lelaki Melayu, mereka masih bersikap lemah-lembut."

"Ye ke? Lemah lembut ke? Bukan kah ini satu pendapat yang etnosentrik?"

"Itu yang mama saya kata..."

"Mengikut pengalaman dia dengan papa awak lah ni?"

"Ya, lah kot... Entah."

"Papa awak buat apa sekarang?"

"Mama minta papa uruskan semula syarikat pembinaannya. Mama dah tak tahan melihat papa habiskan masanya di padang golf setiap masa, jika tidak, dia akan tidur di rumah kami tanpa berbuat apa-apa." Seri berterus terang. "Tapi mama akan terus menguruskan soal kewangan syarikatnya itu - dan mama tidak mahu papa terlibat dengan politik lagi."

"Okay..."

"Bagus juga papa bekerja. Kadangkala sedih juga saya lihat dia duduk di rumah tak buat apa-apa."

"Dulu selalu saya dengar awak komplen dia sering tak ada di rumah!"

"Tu lah. Bila dia ada pula. Lain macam pula rasanya. Entahlah. Agaknya sebab saya dan mama dah biasa hidup tanpanya."

Kahar hanya mengangguk sambil tertunduk. Dia tidak mahu memberi apa-apa komen lagi mengenai hal peribadi hubungan Seri dengan papanya.

"Saya rasa awak majnun." Kata Seri tiba-tiba.

"Eh kenapa pulak ni?"

"Saya rasa awak masih tergila-gilakan Kavita."

"Ya Allah! Ke situ pulak. Awak ni memang tak boleh diajak berbual langsung! Pi mai pi mai tang tu jugak!"

"Kenapa awak sayangkan Kavita?

Kahar mengeluh panjang. Dia termenung buat beberapa ketika sebelum dia berkata:

"Sebab dia sahaja yang mampu fahami jiwa saya. Kenapa saya suka kepada satu-satu benda dan membenci benda-benda yang lain. Dia faham mengapa saya tak suka berada di tempat ramai orang berkumpul, jadi dia akan pastikan dia akan berada di samping saya setiap masa agar saya rasa tenang.

"Saya tak suka bertentang mata dengan sesiapapun... termasuk kedua orang tua saya. Tetapi saya suka melihat jauh ke dalam matanya. Kerana dari anak matanya saya dapat melihat diri saya..." Kahar akhirnya menjawab soalan dari Seri dengan jujur.


"Dan seterusnya awak dapat melihat keindahan yang ada di dalam diri awak tu..."

"Mana awak tahu?" kata-kata Seri tadi adalah kata-kata sama yang pernah diucapkan Kavita kepadanya.

"Kavita pernah ceritakan perkara yang sama kepada saya. Dia kata itulah yang dapat awak lihat ketika awak akhirnya memberanikan diri awak bertentang mata dengannya."

Kahar memalingkan kepalanya. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Seri terus memandang ke arah Kahar sambil mengeluh. Dia kasihan melihat keadaan Kahar. Dia berharap dia dapat melakukan sesuatu untuk menceriakan Kahar. Tapi dia tahu dia tidak mampu untuk melakukannya. Yang dapat menceriakan Kahar sekarang ini adalah Kavita. Tapi sayangnya, semakin hari semakin jauh Kavita dari diri Kahar...

Seri: Uji bakat Bintang Asli

Aku lihat Rosli banyak kali mengeluh apabila dia pergi menemaniku untuk ke uji bakat Bintang Asli yang diadakan di hotel Mutiara. Uji bakat diadakan di Grand Nirwana Ballroom. Tidak ramai yang datang ke uji bakat Bintang Asli di Kuala Lumpur jika dibandingkan dengan uji bakat Akademi Impiana. Yang datang aku rasa seramai 500 orang. Mungkin ramai anak-anak muda yang segenerasi denganku tidak minat dengan lagu-lagu berirama asli...

Uji bakat ini mempunyai dua saringan sebelum kami diuji buat kali terakhir. Kami semua diuji dengan disuruh menyanyi di hadapan beberapa orang yang mewakili TV10.

Mereka yang berjaya melepasi uji bakat pertama akan ditemu duga pula. Di antara lainnya, kami ditanya beberapa soalan am mengenai hobi kami serta cita-cita kami. Kami juga ditanya tentang apa yang mahu kami lakukan jika kami menjurai Bintang Asli. Jawapan yang aku berikan adalah: "saya akan gunakan hadiah wang tunai yang saya terima untuk menerbitkan album band saya yang pertama."

Akhirnya, hanya tinggal seramai 30 orang yang lepas kedua-dua saringan. Rosli nampak cukup risau apabila dia melihat aku berjaya melepasi kedua-dua saringan awal uji bakat ini.

"Kenapa muka awak monyok jer ni?" tanyaku kepada Rosli. Rosli menggaru-garu kepalanya sebelum dia menjawab.

"Saya tak suka awak habiskan masa awak kat sini. Fasal uji bakat ni, latihan band kita terpaksa ditunda sampai minggu hadapan. Battle of the Bands dah semakin hampir!" Rosli memeluk tubuhnya sambil memandang ke hadapan. Kami sedang duduk di dalam sebuah dewan besar untuk menunggu giliranku menyanyi. "Kalau kita tak berlatih, macam mana nak menang?"

Rosli begitu beriya-iya mahu kumpulan Limau Nipis menang Battle of the Bands nanti. Kerana jika kami menang, kami akan menerima tawaran untuk merakamkan sebuah album.

"Sabar lah... Awak sayang saya kan?"

"Sayanglah! Kalau tak saya tak temankan awak ke sini." Jawab Rosli marah-marah.

Aku terus bersandar ke kerusi. Rosli pula duduk diam sambil bermain-main dengan telefon bimbit Nokianya. Setengah jam kemudian, namaku dipanggil.

"Saya pergi, ya?" tanyaku meminta keizinan dari Rosli. Rosli sekadar mengangguk tanpa memandang ke arahku.

Aku masuk ke sudut di hujung dewan yang tertutup. Keadaan di sana sama sahaja seperti keadaannya ketika aku diuji bakat di Gastro dahulu - dengan tiga orang personaliti sebagai pengadil dan beberapa orang warga kerja yang sedang merakamkan bakat yang mahu diuji. Tapi ada satu sahaja yang berbeza. Di sini terdapat beberapa orang pemain akordion, rebana dan viola yang akan mengiringi peserta menyanyi.

Ketiga-tiga personaliti di hadapanku masing-masing merupakan penyanyi lagu asli, komposer dan pelakon veteran yang terkenal. Penyanyi lagu asli itu bernama Kamariah Nor, seorang penyanyi yang telah berkecimpung di dalam bidang seni suara sejak lewat tahun 70-an dahulu. Komposer itu pula bernama Mak Ngah, seorang komposer wanita terkenal di tanah air yang sering mencipta lagu-lagu etnik Melayu. Dan pelakon veteren itu pula adalah Pak M. Sahab yang dahulu terkenal dengan watak-watak hero yang dilakonkannya ketika dia muda dahulu.

Mereka bertiga memandang ke arahku. Kemudian mereka berbisik sesama sendiri.

"Awak ni anak kepada Datin Saliza?" Tanya Cik Kamariah. Dia membaca butir-butir peribadiku yang tertulis di dalam salinan borang di hadapannya.

"Ya."

"Oh, ya ke?"

Aku mengangguk beberapa kali.

"Awak akan menyanyikan lagu yang pernah dipopularkan oleh mak awak?"

"Saya akan cuba yang terbaik."

"Saya harap awak boleh membawa lagu ini dengan baik, kerana lagu ini sukar untuk dinyanyikan." Cik Kamariah tersenyum meleret ketika dia memintaku menyanyi. Aku mengangguk, aku memberitahu kepada para pemuzik yang akan mengiringi nyanyianku agar membawa lagu Laila Majnun, sebuah lagu berirama asli yang 'evergreen'.

Inilah kali pertama aku menyanyi mengikut iringan pemuzik yang biasa membawa lagu-lagu asli. Jadi aku rasa seronok. Aku menyanyi dengan jujur. Aku cuba membayangkan diri aku ini Laila yang amat sayangkan kekasihnya Qais, tetapi cinta kami berakhir dengan tragedi.

Setelah aku selesai menyanyi, aku lihat Cik Kamariah, Mak Ngah dan Pak M. Sahab terdiam buat seketika. Aku memandang ke arah Cik Kamariah untuk memberi komen.

Cik Kamariah: Suara kamu mengagumkan. Jarang-jarang kita dapat dengar suara yang begitu unik seperti ini.

Mak Ngah: Saya setuju dengan pendapat Cik Kamariah tadi. Suara awak unik. Tak mengikut klon Siti Nurhaliza seperti mana yang dilakukan oleh ramai peserta yang lain.

Pak M. Sahab: Uncle suka melihat Seri betul-betul dapat memahami maksud lagu ini. Jadi Seri dapat hayati lagu ini dengan berkesan.


Belum sempat aku dapat berkata apa-apa, aku telah diberitahu bahawa aku akan dipilih ke peringkat seterusnya.

Aku hanya mampu mengangguk lalu berterima kasih kepada mereka. Aku keluar dari kawasan uji bakat, lalu berjalan keluar. Di luar, aku ditemu ramah oleh seorang pengacara TV yang seusia denganku. Dalam keadaan aku yang penuh keliru, aku lupa apa yang aku katakan. Mungkin aku kata aku bersyukur kerana telah diterima masuk dalam rancangan realiti ini. Aku harap aku tidak mengeluarkan kata-kata yang bodoh yang memalukan. Cukuplah dengan montaj uji bakat Akademi Impiana yang menampilkan tarian ala robotku yang dijadikan bahan ketawa orang yang telah diulang tayang berkali-kali di saluran @15, Gastro.

Rosli merenung ke dalam mataku. Aku tahu dia marah. Anak tekaknya bergerak-gerak. Dia terus berjalan meninggalkanku.

Aku mengekorinya dari belakang.

"Kenapa ni Rosli!" getusku dari belakang.

"Awak kata awak akan gagal... Sekarang ni apa dah jadi? Awak akan dipilih untuk saringan yang seterusnya!"

"Sabar lah! Diorang mesti tak pilih saya."

"Tak pilih? Tadi satu dewan dengar suara awak menyanyi. Mereka semuanya ternganga bila dengar awak menyanyi!"

"Saya suka nyanyi lagu Laila Majnun ni. Jadi saya lupa untuk tone downkan suara saya tadi..."

"Awak sengaja kan?"

"Sengaja apa ni?"

Nafas Rosli naik dan turun dengan cepat. Aku tahu dia sedang marah, jadi aku tidak mahu menambahkan lagi kemarahannya. Dia terus berjalan ke tempat dia meletakkan skuternya tadi. Dia memberiku topi keledar, lalu aku terus dibawanya pulang.

Kami tidak berhenti di mana-mana walaupun pada mulanya tadi, Rosli ingin membawaku makan petang di McDonald's Jalan Bukit Bintang.

Rosli tidak memandang ke wajahku apabila aku menyerahkan kembali topi keledar yang kupakai kepadanya. Dia terus membawa motornya laju meninggalkanku di hadapan rumahku.

Di dalam rumah aku lihat mama tersenyum lebar. Aku pasti dia tahu aku telah dipilih untuk ke peringkat yang seterusnya.

"Mama pasti Seri akan dipilih untuk menyertai Bintang Asli ini." Ujar mama sambil mendakap tubuhku. Maka benarlah telahanku tadi.

Dari ramai-ramai peserta yang datang ke ujibakat yang telah diadakan di seluruh negara, hanya 12 peserta akhir yang akan diambil untuk bertanding dalam rancangan realiti ini.

Aku yakin aku tidak akan dipilih sebagai salah seorang peserta akhir untuk rancangan realiti ini...

posted by Nizam  # 3:15 PM