Satu-satunya nombor yang menghubungkan aku dengan Ervin adalah seorang lelaki bernama Trey Ng. Nombor Trey telah disertakan di dalam salinan laporan polis yang aku terima. Di malam kematian Ervin, Trey ada bersamanya.
Ketika aku menghubunginya, Trey telah memberitahuku bahawa dia merupakan teman serumah Ervin. Dia memberitahuku dia masih ingat lagi denganku walaupun kami tidak pernah bersemuka. Dia mengenaliku sebagai penerbit rancangan 999 yang telah ke tempat kejadian di kelab malam Centro 360. Katanya dengan nada berseloroh: "Aku lihat kau selalu sahaja berkepit dengan jurukamera rancangan 999 yang kacak tu, pada malam itu. Ya, apabila aku ingat dia aku ingat kau. Masakan aku boleh lupa!"
Aku telah pergi menemui Trey di Hotel Fullerton. Dia telah bersetuju untuk menemuiku di sana kerana pejabatnya di Tung Centre, Collyer Quay itu terletak agak berdekatan dengan hotel tersebut. Dia telah bersetuju untuk menemuiku di sana tepat pukul 1. Waktu makan tengah hari.
Dari stesen MRT Raffles Place, aku berjalan ke arah Hotel Fullerton. Keadaan pada waktu itu mendung. Hujan turun renyai-renyai apabila aku tiba di hadapan bangunan bersejarah yang telah dibina pada tahun 1928 itu.
Pada pendapatku, bangunan Hotel Fullerton adalah di antara bangunan yang paling cantik di Singapura. Bangunan ini mengikut tradisi rekaan Palladian dengan kolum-kolum Doric menghiasi bahagian hadapan bangunan ini. Hanya ada dua lagi bangunan di Singapura yang setanding dengan bangunan yang gah ini - bangunan Dewan Bandar raya dan bangunan Mahkamah Tinggi.
Bangunan ini telah dibina dengan strategik di tepi Sungai Singapura yang pada dahulunya sibuk dengan aktiviti-aktiviti perdagangan. Bangunan ini terletak di tengah-tengah kawasan pusat pentadbiran dan kewangan Singapura. Bangunan ini pada satu ketika dahulu pernah dijadikan Pejabat Pos Besar, Dewan Perdagangan, Kelab Singapura yang mana masing-masing memainkan peranan untuk memastikan Singapura terus kekas sebagai pusat perdagangan yang penting di rantau ini.
Aku berjalan masuk ke dalam bahagian lobi Hotel Fullerton yang dibasahi cahaya mendung matahari dari bumbung kacanya. Lobi ini luas serta menakjubkan. Apabila aku memandang ke sekelilingku, aku dapati lobi hotel ini terletak di dalam sebuah atrium di tengah-tengah bangunan hotel setinggi lapan tingkat ini.
Muzik Jazz yang telah dimainkan oleh sekumpulan pemuzik sayup-sayup kedengarannya. Aku mencari-cari kelibat Trey. Ketika aku menelefonnya, aku membayangkan Trey adalah lelaki yang mungkin bertubuh rendah dan sedikit gempal. Suaranya menepati ciri-ciri ini.
Seorang lelaki yang sedang duduk di sebuah kerusi rehat di tengah-tengah lobi mengangkat tangannya. Dia memanggil namaku. Dengan pantas aku bergegas berjalan ke arahnya.
"Cik Pick Yin..." katanya, memanggil namaku sekali lagi dengan suara penuh yakin.
"Encik Trey apa khabar?" aku menghulurkan tanganku. Aku dapati Trey lain dari yang aku bayangkan. Orangnya tinggi, bertubuh tegap dan mempunyai wajah yang menarik, walaupun tidak akan aku kategorikan sebagai kacak. Walaupun usianya sudah mencecah pertengahan 30-an, wajahnya masih nampak muda.
"Baik," katanya sambil mengeluarkan kad perniagaannya. Perbuatannya ini membuatkan aku terkial-kial mengeluarkan kad perniagaanku sendiri. Kami bertukar-tukar kad perniagaan. Dengan pantas aku membaca kad perniagaannya. Trey Ng bertugas sebagai Penolong Pengurus bahagian Komoditi & Tenaga, BNP Paribas - salah sebuah bank antarabangsa yang paling terkemuka di Singapura.
"Jadi Encik Trey adalah teman serumah Ervin?" tanyaku sebaik sahaja aku dipersilakan duduk di hadapannya. Aku sudah dapat mengagak jawapan yang akan diberikannya, tetapi soalan ini perlu aku tanyakan kepadanya sebagai pembuka bicara.
"Ya..." Katanya sambil tertunduk. Wajahnya berubah sedih. Aku pasti hubungannya dengan Ervin lebih dari hubungan seorang teman serumah.
"Berapa lama Encik Trey mengenali Ervin?"
"Panggil sahaja saya Trey..."
Aku mengangguk tanda setuju. "Kalau begitu, panggil sahaja saya Pick Yin." Saranku, kemudian kami berdua diam seketika.
"Saya telah mengenalinya sejak tiga tahun yang lepas. Kami telah tinggal bersama sejak dua tahun yang lepas." Trey bersuara memecah sunyi.
"Trey ada kucing?" tanyaku melulu. Wajahnya berubah. Dia kurang pasti mengapa soalan ini tiba-tiba sahaja terpacul keluar dari mulutku.
"Tidak. Tetapi..." Trey mengeluarkan katanya lambat-lambat untuk berfikir.
"Tetapi apa, Trey?"
"Di kawasan kondominium kami di Sutton Place terdapat seekor kucing yang tidak bertuan. Ervin selalu meletakkan makanan untuk kucing ini setiap malam dan pagi."
"Dah lama dia buat begini?"
"Ya... Sejak hari pertama kami berpindah ke sana, dia telah memberi si Oscar tu makan. Dia namakan kucing itu Oscar... Bukan sempena nama Oscar Wilde ataupun Anugerah Academy, tetapi Oscar the Grouch dari Seseme Street." Terukir senyuman di wajah Trey tatkala dia mengingatkan kembali perkara ini. Kemudian dia menarik nafasnya dalam-dalam. Dia diam seketika sambil termenung ke arah bumbung kaca di atas kami.
Mata Trey berkaca-kaca. Dia sedaya upaya cuba menahan dirinya dari menangis. Aku merapatkan kerusiku kepadanya. Aku memegang tangannya untuk memujuknya supaya bersabar.
"Orangnya baik, Pick Yin... Mengapa dia perlu mati di dalam usia begitu muda?" soalan yang telah dikemukakannya ini tidak mungkin dapat kujawab.
"Trey dapat melihat apa-apa perbuatan ganjil yang telah dilakukan Ervin sebelum dia meninggal dunia?"
"Ya..." Trey menyapu manik-manik air yang terkumpul di kelopak matanya. "Dia merapu yang bukan-bukan tentang pilihan yang perlu dilakukannya."
"Pilihan apa?"
"Entahlah. Itulah yang disebutkannya. Dia perlu memilih. Saya sendiri tidak tahu apa yang perlu dipilihnya. Selama beberapa hari sebelum dia meninggal dunia, dia langsung tidak boleh tidur. Dia selalu sahaja meracau dan bercakap seorang diri. Dia selalu sahaja meminta supaya saya balik cepat dari pejabat agar kami dapat bersama di rumah. Dia takut berada di mana sahaja tanpa saya di sisinya. Memang perkara ini pelik, kerana Ervin tidak selalunya berperangai seperti ini.
"Pada malam kematiannya, saya telah mengajaknya keluar ke Centro... Saya fikir, dia perlu dibawa keluar kerana lebih dua minggu dia mengurungkan dirinya di rumah. Ketika bersama di Centro, tiba-tiba saya dapati dia lesap dari pandangan saya. Setengah jam kemudian, mayatnya di temui di dalam tandas. Saya diberitahu... Dia terkena serangan sakit jantung. Tapi saya tidak percaya dia telah diserang sakit jantung. Dia pernah bermain ragbi untuk maktab rendahnya dahulu. Malah dia pernah mewakili Yale dalam permainan ragbi satu ketika dahulu... Ervin seorang yang cergas. Setiap tahun kami menyertai Maraton Antarabangsa Singapura bersama!" Trey bermain-main dengan cincin perak di jari hantu sebelah tangan kirinya. Wajahnya nampak terganggu. Kemudian dia memandang penuh ke arahku sambil bertanya:
"Jadi kenapa Pick Yin bertanyakan soalan ini semua kepada saya?"
"Saya ingin mencari punca kematiannya. Buat masa ini saya perlu mengumpulkan seberapa banyak maklumat yang boleh saya cari."
"Oh, begitu-"
"Jadi saya perlukan bantuan Trey di dalam siasatan saya ini..."
"Sebutkan apa sahaja Pick Yin mahu, saya sanggup membantu. Asalkan saya tahu apa sebenarnya telah berlaku kepadanya."
"Begini... Boleh saya tahu di mana telefon bimbit Ervin sekarang?"
"Keluarganya telah mengambilnya... Kalau tak salah saya, mereka telah membuang telefon bimbitnya itu. Kononnya membuang sial. Pick Yin tahu bukan, ketika dia mati, tangannya memegang erat telefon bimbitnya itu?"
"Ya... Saya tahu." Aku mengeluh lesu.
"Kenapa Pick Yin mahu melihat telefon bimbitnya?"
"Saya mahu tahu jika dia ada menggunakan wallpaper dengan gambar kucing hitam..."
"Memang dia ada wallpaper itu." Ujar Trey sambil meraba-raba bahunya. "Tapi apa kena-mengena wallpaper itu dengan kematiannya?"
Aku menaikkan kedua belah bahuku. "Dengan melihat telefonnya, sekurang-kurangnya saya akan dapat melihat senarai nama dan nombor yang telah disimpan di dalam telefonnya itu."
"Oh... Mungkin saya dapat membantu."
"Bagaimana?"
"Dia sering menyelarikan senarai nombor yang disimpan di dalam telefonnya ke dalam komputer kami di rumah."
"Trey ada lagi menyimpan fail ini?"
"Ya... Sudah pasti. Sehingga kini saya belum lagi membuang mana-mana failnya yang tersimpan di dalam komputer kami."
"Boleh Trey hantar senarai nama dan nombor telefon di dalam telefon bimbitnya itu kepada saya."
"Boleh... Saya akan melakukannya secepat mungkin." Kata Trey bersungguh-sungguh. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya.
"Oh ya... Trey kenal dengan seorang lelaki tua India-Muslim bernama Ibrahim Maidin?"
"Ibrahim Maidin?"
"Ya... Dia pernah tinggal di Tanglin Halt, blok 61."
"Tak... Saya tak kenal dengannya." Dia menggeleng pasti.
"Kalau begitu tak apalah." Kata-kataku terus tergantung di situ. Aku membiarkan mataku merayap memandang ke arah bahagian dalam Hotel Fullerton sementara membiarkan lagu Jazz yang sedang dimainkan pada ketika itu meratah suasana.
*
Saiful mengetuk pintu pejabatku. Aku menjenguk memandang ke arah wajahnya yang sedang berdiri di luar. Aku cepat-cepat menyimpan fail siasatanku yang berada di atas meja lalu kumasukkan ke dalam laci. Aku membetulkan rambutku sebelum aku membenarkan dia masuk.
"Kau nak tahu apa?" dia bertanya kepadaku. Pada waktu itu dia sedang memakai baju-T lusuh berwarna hijau. Baju-T kegemarannya.
"Apa?" wajahku sedikit pucat. Lukisan wallpaper kucing hitam yang telah aku lukis dari ingatanku berada di atas buku notaku di atas meja. Aku berdoa di dalam hati agar Saiful tidak akan terpandang ke arah lukisan tersebut.
"Kau dah kurus sedikit sekarang." Ujarnya terus dia duduk di hadapanku. Aku pula cepat-cepat mengambil buku notaku, lantas aku memasukkannya ke dalam laci.
"Aku berdiet." Sahutku berbohong. Aku memandang ke arah jam tangan. Jam menunjukkan pukul 7 malam. Aku mahu pulang secepat mungkin. Aku mempunyai temu janji untuk makan malam dengan Aileen lantas membeli bahan-bahan dapur di Mustafa Centre pada malam ini.
"Aku nak ajak kau berbincang sedikit-"
"Bincang tentang apa?" tanyaku kehairanan.
"Tentang kau lah."
"Kenapa dengan aku?"
"Aku lihat kau sekarang jarang ikut aku ke tempat kejadian jenayah. Aku tahu sebagai Penerbit kau tak perlu pergi pun... Tapi, kalau kau tak ada, Jeannie macam tak boleh melakukan apa-apa, sebab selalunya kau yang beritahu kepadanya soalan-soalan yang perlu dituju serta haluan rancangan 999 pada minggu itu." Nadanya rendah ketika bersuara. Wajahnya serius. Rupa-rupanya dia mahu berbincang tentang hal kerja. Hatiku lega.
"Maafkan aku... Aku sibuk dengan kerja-kerja lain." Itulah alasan yang aku berikan kepadanya. Aku mematikan suis laptopku. Kemudian aku terus memasukkan laptopku itu ke dalam beg galas
"Kerja apa?" renungannya terlukis maksud yang kabur. "Selalunya kau tak macam ni!"
"Kenapa kau tanya aku soalan-soalan macam ni?" Aku menganggah kata-katanya dengan meninggikan sedikit suaraku. Mungkin sebaiknya aku memilih untuk membisu dan membiarkan soalannya ini berlalu dalam kesepian.
"Sebab aku risau tentang keadaan diri kau sekarang..." Tegurnya perlahan. Aku tersentak. Mataku meleret ke wajahnya.
"Ke... Kenapa pulak kau perlu risau?" suaraku tersekat-sekat. Matanya tajam ke arahku.
"Sebab aku risaulah!" Suaranya keras mencelah medan perbincangan. "Ada apa-apa yang perlu kau beritahu kepada aku?"
"Maksud kau?"
"Apa-apa sahaja yang tersimpan di dalam benak hati kau tu!" gema-gema suaranya memenuhi ruang pejabatku ini. "Kau boleh beritahu kepada aku. Kalau kau ada masalah, kau boleh beritahu kepada aku. Aku akan membantu sejauh yang aku mampu..."
Kecelaruan yang menguasai suasana tiba-tiba lenyap. Suara Saiful kembali lembut.
"Tak ada apa-apa Saiful. Mungkin aku perlu ambil cuti. Mungkin aku perlu berehat."
"Apa kata esok kita keluar bersiar-siar." Saran Saiful lantas membuatku terkejut sekali lagi.
"Keluar bersiar-siar?"
"Ya."
"Ke mana?"
"Orchard Road, lah... Mana lagi? Lagipun kita kan baru dapat gaji."
"Wah... Belum apa-apa kau dah nak berjoli."
"Apa salahnya, kan?"
"Boleh..." Fikiranku menerawang kepada beberapa hal. Tapi esok hari Sabtu. Mungkin ada baiknya jika aku merehatkan fikiranku seketika. Tekanan kerja dan tekanan hidup yang sedang aku hadapi sekarang mampu membuatkan aku gila jika aku tidak pandai mengawalnya.
"Jadi... Esok kau memang tak pergi ke mana-mana lah ni? Ye lah, mana lah tahu kau perlu keluar dengan Inspektor Jason. Aku tak mahu ganggu hubungan kau dengan dia-"
"Aku dengan dia kawan sahajalah!"
"Ye ke kau dengan dia sekadar kawan biasa sahaja? Jeannie kata kau dengan dia-"
"Alah, Jeannie tu pandai sajalah!" selaku dengan menjeling.
"Okay... Esok aku akan ambil kau di hadapan rumah kau di Novena. Pukul 12, ya?"
"Kau datang bawa motor kau tu?"
"Ya... Kenapa?"
"Jadi kau akan bawa aku naik motor macam kali terakhir kita keluar dahulu?"
"Ya... Kenapa? Kau tak suka?"
"Aku suka!" suaraku jelas ceria. Aku melemparkan senyumanku kepadanya.
"Kalau begitu... Kita jumpa esok." Saiful berdiri lalu melangkah keluar dari pejabatku. Aku memerhatikan tubuhnya yang tampak menarik dari arah belakang. Buat seketika, aku merasa gembira di dalam keadaanku yang terlalu gusar memikirkan tentang kes-kes aneh yang sedang aku selidiki sekarang ini. Entah mengapa, aku dapat merasakan seolah bala akan menimpa diriku tidak lama ini. Aku takut. Cemas.
Haruskah aku mempercayai Saiful lantas memberitahunya bahawa aku sedang mengkaji sesuatu yang mungkin sedang dikajinya sendiri di dalam diam-diam di belakangku? Bolehkah Saiful dipercayai? Entahlah...
Aku menunggu kemunculan Wendy Cheng di hadapan kampus Universiti Pengurusan Singapura yang terletak di Bukit Timah. Katanya dia hanya boleh menemui pada pukul 6 petang hari itu setelah kelas yang diambilnya untuk mendapatkan Sarjana Sains dalam Ekonomi selesai.
Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Kemudian ke hadapan sewaktu aku sedang berdiri di dalam tingkat bawah bangunan Eu Tong Sen. Aku dapat melihat beberapa orang pelajar berjalan di hadapanku setelah kelas yang mereka hadiri selesai. Wajah mereka riang. Aku termenung memandang ke arah di kawasan padang Upper Quandrangle yang terletak di tengah-tengah kampus yang kelihatan menghijau pada petang itu.
Inilah kali pertama aku menjejakkan kakiku di kampus yang bersejarah ini. Sememangnya tempat ini cukup bermakna buat diriku. Datukku pernah mendapatkan pendidikannya di sini tatkala kampus ini pernah dikenali dengan nama Kolej Raffles. Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Razak dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew pernah menuntut di sini. Tun Mahathir sendiri, ketika menuntut di Kolej Perubatan King Edward VII, telah menggunakan kampus ini sehinggalah beliau mendapatkan ijarah dalam bidang perubatannya.
Kampus ini memang cantik. Bangunan-bangunan kampus di sini mengingatkanku kepada bangunan-bangunan sekolah lama seperti St Michael's Institution atau Anderson School di Ipoh.
Pada tahun 1928, Kolej Raffles telah ditubuhkan sebagai kolej kesenian dan sains. Ia terus bertahan sehingga tahun 1949, apabila Kolej Raffles bergabung dengan Kolej Perubatan King Edward VII lalu diberi nama Universiti Malaya. Seterusnya ia dikenali sebagai Universiti Singapura dan akhirnya kampus ini diambil alih oleh Institut Pendidikan Kebangsaan. Kini, kampus di Bukit Timah ini menempatkan Universiti Pengurusan Singapura, justeru meneruskan warisan pendidikan tinggi di sini.
Datukku telah mengambil jurusan Kesusasteraan Inggeris di Kolej Raffles sejurus selepas Perang Dunia Kedua, iaitu pada tahun 1946. Banyak peristiwa pahit dan manis yang telah dialami datuk ketika bergelar sebagai pelajar di sini. Sejak aku kecil, aku suka membelek album lama datuk. Sememangnya datuk banyak menyimpan gambar-gambar lama yang telah diambilnya sewaktu menuntut di kampus ini.
Aku tersenyum tatkala aku memandang ke arah bangunan Manasseh Meyer yang tersergam di hadapanku. Bangunan yang telah diambil namanya dari seorang hartawan Yahudi yang terkemuka di Singapura satu ketika dahulu ini letaknya di bahagian tengah-tengah universiti ini. Bangunan ini cukup elegan dengan rekaan bercirikan Art Deco. Bangunan ini dapat dibezakan dengan bangunan-bangunan lain di kampus ini dengan adanya menara tengah dan struktur bumbung berkubah di bahagian hujung bangunan.
Bangunan istimewa bagi diriku, kerana aku pernah diberitahu datuk dia banyak menghabiskan masanya menghadiri kelas-kelasnya di sini. Aku pasti, datuk mempunyai banyak pengalaman-pengalaman yang manis yang tidak sempat diberitahu kepadaku -yang pernah dialaminya di dalam bangunan ini atau bangunan-bangunan di sekitarku ini.
Aku tersenyum sendiri memikirkan tentang hal ini semua. Nenekku pernah memberitahuku bahawa datuk adalah seorang pemuda yang nakal ketika dia muda-muda dahulu. Aku dapat membayangkan dirinya berlari-lari di kawasan lapang Upper Quadrangle ini ketika lambat untuk ke kelas atau ke temu janji bersama rakan-rakannya.
"Cik Pick Yin ke ni?" tanya seorang gadis berambut panjang dengan wajah yang manis.
"Ya... Kamu Wendy?" tanyaku ingin memastikan. Dia pasti dapat mengenaliku kerana aku telah memberitahunya bahawa aku akan memakai baju-T dengan gambar Che Guevara yang dipadankan dengan seluar jeans warna hitam. Aku telah memastikan agar diriku ini senang dicarinya nanti.
"Ya, saya Wendy." Jawabnya malu-malu. Desiran bayu petang yang bertiup meleraikan rambutnya yang panjang serta lembut itu. Wendy mempunyai gaya persis seorang model iklan syampu.
"Apa kata kita duduk bersantai di Ficus Bistro?" tanya Wendy dengan tertib. Aku mengangguk setuju, lantas dia mengarahkan aku supaya berjalan ke U-Centre yang terletak tidak begitu jauh dari kampus lama Kolej Raffles ini. Aku menurut sahaja.
Apabila aku berjalan dengannya, aku sempat bertanyakannya jika dia suka belajar di sini. Dia mengangguk cepat. Aku sempat memberitahunya bahawa datukku dahulu pernah belajar di sini.
"Dari gambar-gambar lamanya, saya dapat merasakan seolah saya pernah ke sini.. Walaupun inilah kali pertama saya menjejaki saya ke sini." Kataku menyala dengan api ingatan.
"Tempat ini tidak banyak berubah berbanding dengan zaman datuk Cik Pick Yin dahulu. Bangunan-bangunan yang lama terus tersergam indah, walaupun di dalamnya terdapat banyak kemudahan moden yang disediakan untuk para pelajar di sini setanding dengan universiti-universiti ternama di seluruh dunia." Sebutnya dengan mata yang bersinar dan suara yang galak menerangkan. "Sebab itulah saya senang belajar di sini."
"Ya... Saya pasti Wendy seronok belajar di sini." Kataku dengan suaraku yang masih ringan.
"Ya," Wendy tersenyum sambil mengangguk "Tapi ramai orang kata tempat ini berhantu!" kata Wendy kemudian sambil memandang ke kiri dan ke kanan.
"Dan awak percayakan ini semua?" aku bertanyakan soalan ini kepadanya, walaupun kini, soalan seperti ini terasa pelik pula kedengarannya apabila ia keluar dari mulutku sendiri.
"Ketika Perang Dunia Kedua dahulu... Tempat ini pernah menjadi ibu pejabat Tentera Jepun di Singapura. Ada desas desus yang mengatakan terdapat beberapa orang tempatan yang telah diseksa sampai mati di sini. Jadi roh mereka tidak tenteram." Wendy berbisik kepadaku. "Entahlah..."
"Ya, datuk saya juga ada juga bercerita tentang hal ini." kataku memulakan bicara ceritaku. "Ketika Perang Dunia Kedua dahulu, sebuah pangkalan tentera sementara British telah di bina di hadapan kolej ini. Tentera Jepun datang menyerang dengan menjatuhkan bom di sini. Kalau tak salah saya, beberapa pelajar mati akibat serangan bom ini."
"Jadi Cik Pick Yin percaya kepada hantu?" tanya Wendy bersungguh-sungguh.
"Tidak... Kenapa?"
"Takdelah... Saya cuma bertanya." Matanya yang bulat itu tertanam ke arah bangunan U-Centre.
Keadaan di Ficus Bistro membuatkan perasaan aku sedikit tenang. Bistro ini terletak di pinggir Taman Botani Singapura. Suasana yang menghijau dapat dilihat dengan jelas melalui tingkapnya yang besar. Wendi meminta pelayan supaya membawa kami duduk di tepi tingkap.
"Makanan di sini tidak menggunakan MSG dan hanya bahan-bahan asli dan organik digunakan." Wendi memberitahuku apabila kami diberikan menu.
Perutku entah mengapa terasa lapar begitu lapar pada ketika itu. Mungkin kerana sejak beberapa hari yang lepas aku kurang makan. Apabila selesai meneliti menu, aku memesan daging panggang dengan sos lada hitam dan Wendy pula memesan bratwurst di atas kentang lenyek dengan sos bawang.
"Seperti yang saya katakan ketika kita berbual di telefon malam tadi... Saya ingin berjumpa dengan Wendy untuk menyoal Wendy beberapa soalan tentang mendiang Melly." Aku memulakan bicaya dengan mengaturkan ayatku satu persatu. "Saya harap Wendy tidak keberatan."
"Tidak... Saya tak keberatan untuk membantu siasatan Cik Pick Yin ini..." Wendy mengalihkan pandangannya ke arah taman botani. Dia termenung ke sana buat beberapa ketika sebelum dia menambah lagi. "Saya dan Melly telah berkawan sejak kami belajar bersama di Maktab Rendah Anglo Chinese dahulu. Selepas kami berjaya mendapatkan keputusan A-levels yang cemerlang, kami bersama-sama ke NUS. Dia mengambil jurusan Perundangan dan saya pula Ekonomi.
"Sejurus selepas Wendy mendapatkan ijazahnya, dia bekerja di syarikat perundangan Balasundaram & Associates. Saya pula meneruskan pelajaran saya di sini. Walaupun begitu, hubungan kami tidak pernah renggang. Kami terus berkawan dan kami sering keluar bersama di hujung minggu." Wendy merapatkan bibirnya. Dia cuba menahan sebak yang ditahan-tahannya.
"Saya ingin tahu jika dia berkelakuan ganjil sebelum dia meninggal dunia..." aku membetulkan kedudukan kerusiku supaya aku dapat duduk rapat-rapat ke meja makan.
"Ya. Dia memang berkelakuan ganjil. Semuanya bermula apabila kucingnya Lolita itu hilang. Kemudian... Katanya..." Kalimah-kalimah akhirnya disebutnya lambat-lambat.
"Apa yang dia kata?" aku menagih jawapan. Aku ingin mengorek segala rahsia tentang Melly yang tersimpan di dalam benak hatinya.
"Katanya, dia kata dia perlu memilih... Antara dia atau orang yang disayanginya. Itu yang dikatanya berkali-kali kepada saya. Kemudian dia menangis teresak-esak. Dia berkelakuan begini kali terakhir saya menemuinya."
"Wendy tahu mengapa dia berkata begini?"
Wendy menggeleng. Wajahnya kosong.
"Beberapa minggu sebelum dia meninggal dunia, dia selalu memberitahu kepada saya bahawa dia pasti ada orang yang mengekorinya. Saya memintanya melaporkan perkara ini kepada pihak polis, tetapi dia degil."
Aku terus mendengar penjelasannya. Sesekali aku akan menganggukkan kepalaku dengan perlahan. Apabila sepi menyapa, aku bertanyakan kepadanya soalan ini pula:
"Wendy kenal dengan Ervin Goh?"
"Ervin?" Wendy memandang ke siling untuk mencari-cari nama ini di kepalanya. Terlukis garis-garis kerutan di wajahnya.
"Ya, Ervin namanya. Lulusan Yale. Eksekutif pengiklanan yang pernah bekerja di JWT. Orangnya tinggi, bertubuh tegap dengan janggut sejemput di dagunya." Kataku cuba mengingatkan.
"Oh... Ervin. Ya... Saya masih ingat. Saya dan Melly pernah bertemu dengannya di kelab malam Zouk. Dia adalah kawan kepada seorang kawan saya. Ketika saya dan Melly ke Zouk, dia ada bertanyakan kepada saya jika saya berminat jadi model. Saya tidak berminat. Saya fikir dia main-main.
"Kalau tak salah saya, dia ada menyuruh Melly mengambil nombornya dan menyuruh Melly memujuk saya supaya memikirkan tentang hal ini. Kononnya, bila saya sudah bersedia untuk menerima tawarannya untuk menjadi model, Melly boleh memberitahunya."
"Wendy rasa... Melly ada berhubungan dengan Ervin selepas itu. Maksud saya, Wendy rasa ada kemungkinan Melly telah jatuh hati kepada Ervin lalu cuba menghubunginya sendiri?" tanyaku cuba mengeluarkan teoriku sendiri.
Wendy ketawa kecil. "Cik Pick Yin... Ervin bukan lelaki seperti itu. Dia... Tidak minat dengan wanita seperti kita. Cik Pick Yin faham maksud saya, bukan?"
"Oh... Saya faham." Getusku perlahan. Bagaimana aku boleh menjadi begitu bodoh? Mayat Ervin telah dijumpai pada malam Ahad di Centro 360. Malam Ahad dikhaskan untuk pengunjung-pengunjung gay di kelab malam yang terkemuka itu.
"Bila agaknya Wendy mula-mula bertemu dengan Ervin di kelab malam Zouk dahulu?" aku terus bertanya apabila minuman yang kami pesan di letakkan di atas meja.
"Kira-kira... Tiga minggu sebelum Wendy meninggal dunia."
"Tapi kenapa? Apa kena mengena Ervin dengan Melly?"
"Tak ada apa-apa," jawabku sambil menjeling ke arah gelas minumanku. Tekakku terasa kering. Aku meneguk air minumanku.
"Wendy pernah melihat telefon bimbitnya?" tanyaku setelah aku meletakkan gelas minumanku ke atas meja.
"Pernah... Tapi kenapa?"
"Wendy tahu dia mempunyai wallpaper kucing hitam di telefon bimbitnya."
"Oh... Itu." Matanya menjunam ke arahku.
"Gambar kucing hitam..." aku mengingatkan lagi.
"Saya tahu... Dia telah menerima wallpaper itu dari satu nombor yang tidak dikenalinya. Tapi dia suka benar bila dia mula-mula mendapat wallpaper ini. Dia fikir pesanan MMS dengan hadiah wallpaper ini datangnya dari 'secret admirer'nya."
"Nombor yang tidak dikenali?" aku mengulangi kalimah-kalimahnya tadi.
"Ya... Nombornya pelik sedikit. Ketika dia menerima wallpaper ini saya ada bersamanya. Jadi dia ada menunjukkan nombor ini kepada saya."
"Pelik macam mana tu?"
"Apa yang saya ingat... Nombornya bermula dengan nombor 4."
"Pelik juga tu... Nombor perkhidmatan telefon selular di sini bermula dengan nombor 9, bukan?"
"Ya. Sebab itulah kami pelik. Nombor 4. Secara kebetulan ramai orang-orang Cina percaya nombor empat itu membawa maksud kematian."
Aku memikirkan katanya itu dalam-dalam. Di Singapura, Malaysia dan beberapa negara di Asia, terdapat banyak bangunan tidak mempunyai tingkat 4 atau 14.Tingkat-tingkat ini akan digantikan dengan nombor 3A dan 4A. David Phillips, seorang ahli sosiologis dari Universiti California di San Diego telah memeriksa sebanyak 47 juta sijil kematian dalam masa 25 tahun sehingga ke tahun 1998 untuk satu kajian yang diterbitkan di edisi Disember Jurnal Perubatan British. Di dalam kajiannya bersama ahli matematik Ian Abramson, dia mendapati pada hari keempat setiap bulan, terdapat lebih 13 peratus kematian yang disebabkan oleh serangan penyakit jantung di kalangan rakyat Amerika berbangsa Cina dan Jepun dari kebiasaan.
Aku mengeluarkan buku notaku untuk memeriksa tarikh kematian subjek-subjek yang ingin kusiasat, bermula dengan Melly:
Nama subjek: Melly Ung Siew Kwang, (Pita 242) Tarikh Kematian: 4 Mac 2004.
Nama subjek: Ervin Goh Keng Swee (Pita 411) Tarikh Kematian: 24 Jun 2004.
Nama Subjek: Ibrahim Maidin (Pita 481) Tarikh Kematian: 14 Ogos 2004.
Mengapa aku tidak pernah perasan akan persamaan ini sebelum ini? Nampaknya kematian-kematian ini bukan satu perkara yang rawak seperti yang aku fikirkan. Nombor 4 memainkan peranan yang penting.
"Wendy... Awak masih ingat nombor penghantar MMS wallpaper itu kepadanya?" tanyaku dengan cermat. Kesunyian mengunci suasana apabila makanan yang kami pesan diletakkan di atas meja makan.
"Tidak... Saya lupa." Jawabnya serba salah. "Saya ada juga suruh Melly menelefon orang yang menghantar MMS wallpaper ini kepadanya, tetapi apabila dicubanya, nombor ini tidak dapat dihubunginya sama sekali. Nombor ini langsung tidak wujud sama sekali. Pelik, bukan?"
"Ya... Pelik." Sambutku teragak-agak. "Maaf ya Cik Pick Yin, jika saya tidak dapat banyak membantu. Memang saya tidak boleh ingatkan nombor pesanan MMS tersebut." Suara Wendy lembut. Aku mengangguk mengerti sambil menyuak rambutku ke belakang telinga.
Aku termenung seketika untuk berfikir. Aku tahu aku tidak mungkin boleh mendapatkan nombor tersebut dari telefon Melly, kerana telefonnya itu sudah rosak dan tidak boleh dipakai lagi. Tapi aku pasti boleh mendapatkan nombor misteri ini dari telefon mendiang Ervin.
"Tak apa kalau Wendy lupa." Aku cuba mengukir senyuman. "Perkara ini perkara kecil, tak perlu Wendy fikirkan sangat." Aku menjemputnya makan. Dia mengangguk perlahan. Aku melepaskan nafasku sambil bermain-main dengan daging panggang yang telah kupesan. Seleraku untuk makan hilang entah ke mana...
Aku duduk termenung di dalam pejabat. Baru sahaja sebentar tadi Inspektor Jason menelefonku, lalu memberitahu bahawa terdapat kes pembunuhan di antara pekerja-pekerja asing dari Thailand di Punggol. Aku menghirup air kopi panas yang baru sahaja aku sediakan sendiri sebelum aku berjalan, lalu pergi ke kubikel Saiful untuk memberitahunya tentang hal ini.
"Ada kes bunuh di Punggol." Kataku perlahan.
"Okay." Saiful membuat persediaan dengan menghabiskan ayat-ayat terakhir pada e-melnya.
"Kau boleh uruskan rakaman di Punggol ini sendiri?" tanyaku terus kepada Saiful yang sedang berdiri sambil memasukkan telefon bimbitnya ke dalam kocek seluarnya.
"Kenapa? Kau mahu aku pergi ke tempat kejadian dengan Jeannie sahaja?"
"Ya."
"Kau tak sihat ke?" dia berdiri lalu berjalan mendapatkanku. Saiful berdiri di hadapanku sambil memandang terus kepadaku.
"Tak. Selesema sikit." Kataku berbohong. Aku menelan air liurku.
"Kau nak aku hantar kau ke klinik?"
"Tak apa... Kau pergilah ke Punggol dahulu dengan Jeannie. Aku hanya perlu berehat."
"Kalau Inspektor Jason tanya fasal kau nanti, apa aku perlu jawab?"
"Beritahu kepadanya... Aku demanlah." Kataku sambil memegang telinga kananku.
"Bila aku balik dari Punggol nanti, kita ke klinik, ya?"
"Baiklah..." sambutku cepat-cepat. Jika tidak Saiful aku terus kerisauan. Aku tak mahu dia risau tak tentu pasal semata-mata keranaku. Bila dia balik nanti, aku tak peyah berpura-pura sakit lagi.
"Kalau macam tu, beritahu kepada Jeanne aku akan menunggunya di tempat meletak kereta." Saiful berdiri menghadapku.
"Okay."
"Tadi aku nampak dia sedang sibuk merepek dengan Sonia fasal Sale di Isetan... Kalau dia dah mula berbual tentang sale tu, sampai tengah hari tak akan selesai." Katanya lalu berjalan keluar dari kubikelnya. Aku tersenyum lalu menelefon Jeannie untuk mengingatkannya supaya pergi ke tempat meletak kereta secepat mungkin...
*
Aku masuk ke perpustakaan video. Perpustakaan bertugas, seorang gadis berbangsa India bernama Parvathi membantuku untuk mencari rakaman video yang pernah dilakukan oleh Saiful untuk rancangan 999.
"Saya mahu pita nombor 126, 242, 321, 389, 411 dan 481." Ujarku sambil membaca nombor-nombor yang telah aku tulis di atas sekeping kertas kecil.
Parvathi yang bertubuh kecil itu menghilang seketika. Aku terus berdiri di hadapan kaunter. Pita-pita yang aku mahukan itu perlu aku telaah satu persatu. Pita-peta tersebut setiap satunya merakam kes-kes yang melibatkan kematian yang tidak dapat dijelaskan.
Lebih kurang lima minit kemudian, Parvathi datang bersama pita-pita video yang aku mahukan. Aku mengucapkan terima kasih lalu pergi ke tempat untuk menonton video.
Rakaman video ini aku tonton satu persatu. Aku tidak tahu apa yang hendak aku cari. Kes-kes bunuh yang aku perhatikan ini melibatkan kematian yang misteri. Pita 242 sebagai contoh menunjukkan seorang gadis yang berumur awal 20-an yang dijumpai mati di dalam sebuah lif di tempat dia bekerja secara tiba-tiba. Pita nombor 389 pula menunjukkan seorang lelaki berbangsa Serani yang dijumpai mati di dalam keretanya sendiri tanpa sebarang sebab di tempat meletak kereta pusat membeli belah Plaza Singapura.
Beberapa rakaman yang aku tonton ternyata tidak membawakan sebarang hasil. Aku tidak dapat melihat apa yang aku cari. Aku telah mengambil keputusan untuk menonton rakaman-rakaman ini dengan lebih teliti lagi sambil memerhatikan apa yang dapat aku lihat di luar fokus rakaman Saiful.
Aku akhirnya menjumpai apa yang aku cari dalam pita video 242 apabila aku sekali lagi memerhatikannya dengan teliti. Di dalam rakaman yang dilakukan oleh Saiful ini aku dapat melihat kelibat seekor kucing sedang memerhatikan pihak polis yang masih mengadakan siasatan pada waktu itu. Pihak polis kelihatannya memeriksa mayat gadis ini yang terbaring bergelimpangan di dalam lif dengan wajahnya kelihatan seperti dia telah mati dalam keadaan ketakutan. Kelibat kucing ini dalam dilihat dalam beberapa saat sebelum ia lari menghilang entah ke mana. Jika aku kurang meneliti, pasti aku tidak akan menyedari kelibatnya ini.
Kucing hitam ini adalah kucing yang sama seperti yang telah aku lihat di Tiong Bahru dua minggu yang lepas.
Aku terus melakukan siasatan. Aku perlu tahu jika terdapat lagi kes-kes yang melibatkan kematian misteri yang bersangkut paut dengan kucing hitam ini.
Rakaman 411 pula menunjukkan keadaan seorang eksekutif pengiklanan yang didapati mati di dalam tandas di kelab malam Centro 360. Pada mulanya pihak polis mengesyaki dia mati kerana telah mengambil lebihan dadah, tetapi setelah bedah siasat dilakukan, dia didapati mati kerana terkena serangan sakit jantung. Ketika rakaman di ambil, seekor kucing hitam dapat dilihat berjalan keluar dari dalam kelab lalu berlari keluar.
Rakaman 481 adalah satu kes di mana seorang lelaki tua didapati mati di dalam flatnya. Dia telah mati selama dua minggu sebelum mayatnya dijumpai. Itu pun setelah jiran-jirannya melaporkan kepada polis tentang bau busuk yang datang dari rumahnya. Lelaki tua ini suka membela kucing. Apabila dia mati, sebahagian dari tubuhnya di makan oleh kucing-kucingnya yang tidak diberi makan ini.
Kucing-kucingnya sebanyak empat ekor itu akhirnya ditangkap oleh pegawai-pegawai SCPA. Seorang pegawai mengatakan mereka tidak dapat menangkap kucing yang kelima. Seekor kucing hitam yang dapat dilihat mereka berkeliaran di dalam flat orang tua yang telah mati ini pada malam sebelumnya ketika mayatnya mula-mula ditemui.
Ketiga-tiga kes ini jelas mempunyai kaitan dengan seekor kucing hitam yang pernah aku lihat dahulu. Aku pasti, ada beberapa lagi kes yang melibatkan kucing ini yang tidak dapat dikesanku.
"Cik Pick Yin dengan Encik Saiful sedang buat kajian yang sama ke?" tiba-tiba Parvathi bersuara di belakangku. "Jika ya, Encik Saiful ada salinannya. Jadi tak payahlah saya susah-susah menyalinnya lagi."
"Apa?" tanyaku penuh hairan. Aku tidak faham maksud kata-katanya ini. Aku menoleh terus kepadanya.
"Dia ada minta saya buat salinan pita-pita yang sama dengan pilihan pita-pita video yang Cik Pick Yin suruh saya buat salinan ni... 242, 411 dan 481-"
"Bila?"
"Beberapa bulan yang lepas..."
"Ada lagi pita-pita yang lain yang mahu disalinnya?"
"Ada juga..."
"Macam ini... Dia sebenarnya dah hilang salinan yang dia suruh Parvathi buat dahulu. Sebab itulah saya datang ke sini untuk membuat salinannya semua. Kami ingin membuat sebuah rancangan khas 999 yang melihat semula beberapa kes polis yang tidak dapat diselesaikan mereka."
"Oh, begitu..." Parvathi mengangguk mengerti, lalu menyerahkan kepadaku sehelai borang yang perlu kuisi.
Aku menarik nafasku dalam-dalam. Nampaknya Saiful ada menyembunyikan sesuatu dari diriku.
*
Seperti yang telah aku jangkakan, Inspektor Jason telah menelefonku lalu bertanya khabar. Dia bersungguh-sungguh mahu melawatku di pejabat sebaik sahaja dia menyelesaikan tugasnya di Punggol. Aku menegahnya. Aku terpaksa memberitahunya bahawa aku mesyuarat sehingga ke petang.
"Jangan lupa ke klinik malam nanti!" perintahnya dengan tegas.
"Ya, aku akan ke klinik malam nanti." Jawabku perlahan.
"Kau mahu aku temankan kau ke klinik?"
"Tak payahlah... Kau sendiri tahu Hospital Tan Tock Seng dekat sahaja dengan rumah aku, bukan? Bila balik nanti aku akan singgah sekejap di sana. Kau tak perlu risau tentang aku lah!"
"Okay... Bila kau dah sampai ke rumah nanti, telefon aku."
"Untuk apa?"
"Untuk beritahu aku tentang keadaan kau lah!"
"Okay." Aku menjawab ringkas lalu memberikan alasan bahawa aku perlu berehat. Dia mengerti. Perbualan kami terhenti di situ.
Aku kembali ke pejabatku dengan membawa salinan rakaman yang telah aku minta dari Parvathi. Rakaman-rakaman ini telah disalin ke dalam cekera padat untuk aku selidik dengan lebih mendalam lagi.
Sejam kemudian, Saiful pulang ke pejabat. Dia datang menemuiku untuk melaporkan kepadaku apa yang telah dirakamkannya tadi.
"Kenapa kau diam saja ni?" tanya Saiful kepadaku, kerana kebiasaannya aku akan banyak bertanya.
"Deman..."
"Oh ya, kau tak sihat. Aku lupa."
Aku memandang ke dalam wajah Saiful. Aku tidak faham mengapa dia telah melakukan salinan kepada kes-kes aneh yang sedang aku selidiki sekarang. Kenapa dia telah melakukan ini semua? Apa yang dia tahu yang aku sendiri tidak tahu?
"Saiful," aku memanggil namanya ketika dia mahu melangkah keluar dari pejabatku.
"Ya?" dia menoleh dengan tangan kanannya tersembunyi di dalam kocek seluarnya.
"Tak ada apa-apa... Kau boleh pergi." Kataku sambil memandang ke tingkap. Saiful terus berjalan keluar. Aku membuka laci meja pejabatku. Cekera padat dengan salinan kes-kes yang melibatkan kematian dan kehadiran kucing hitam misteri tersimpan di dalam laciku ini. Aku perlu memeriksa kes-kes ini satu persatu dan dengan lebih mendalam lagi.
Aileen mengucapkan selamat jalan kepada aku dan kepada Saiful. Dia terpaksa bergegas kerana dia mempunyai temu janji untuk gambarnya diambil oleh jurugambar majalah Cleo.
"Kenapa dengan kau ni Pick Yin? Macam tak tentu arah saja aku lihat kau." Ujar Saiful kepadaku sebaik sahaja dia selesai membuat rakaman terhadap seorang remaja dibelasah dengan teruk di sekolahnya di Ang Mo Kio. Matanya terus kepada Aileen yang sedang berlari-lari anak ke arah tempat meletak kereta.
"Tak tentu arah?" tanyaku kembali. Aku tidak faham dengan apa yang dimaksudkan olehnya.
"Kenapa kau sampai lambat ke pejabat pagi tadi?" kini Saiful menjadi penyiasat sepenuh masa pula.
"Aku tahu aku lambat..." Terkial-kial aku menjawab soalannya.
"Kau tak pernah datang lambat sebelum ni. Tapi dalam masa seminggu dua ni aku tengok, dah tiga kali kau datang lambat ke pejabat!" tegurnya. Aku melihat beberapa orang pelajar perempuan di sekolah menengah tempat kami membuat rakaman rancangan 999 pada tengah hari itu sedang memandang ke arah Saiful. Mereka nampaknya minat betul kepada Saiful. Sebentar tadi, salah seorang dari mereka telah menyerahkan kepada Saiful sekeping nota. Aku tak tahu apa isi nota tersebut, tapi perkara ini telah membuatku sedikit cemburu. Lebih-lebih lagi apabila aku dapat melihat senyuman terukir di wajah Saiful setelah dia membaca nota tersebut lantas memasukkannya ke dalam kocek kemejanya.
"Aku ambil pil tidur-"
"Sejak bila pula kau ambil pil tidur?" tanya Saiful dalam nada prihatin.
"Sejak dua minggu lepas."
"Kenapa?" tanya Saiful, dia membuka pintu belakang van untuk menyimpan kamera videonya.
"Kalau tak, aku susah nak masuk tidur."
"Okay... Kau baik ceritakan kepada aku apa masalah kau sebenarnya." Aku dapat melihat wajah Saiful berubah tegas. Jeannie membunyikan hon keretanya apabila dia membawa kereta Mercedes dua pintunya itu melepasi kami. Saiful mengangkat tangannya ke arah Jeannie sebelum dia memandang semula ke arahku.
"Masalah apa ni?" tanyaku sambil duduk di dalam van. Aku terus menutup pintu van lalu memakai tali pinggang keledar.
"Pick Yin... Dah lama aku kenal kau. Aku tahu kau ada masalah yang kau cuba sembunyikan dari aku." Saiful menatap wajahku sambil memulas kunci van untuk menghidupkan enjin.
Aku melepaskan nafasku. Wajahku serba salah. Tapi akhirnya aku memberanikan diriku untuk berkata:
"Aku rasa diri aku diganggu."
"Diganggu?"
"Hampir setiap malam aku bermimpi perkara yang sama."
"Kau bermimpi tentang apa?"
"Kau masih ingat kes di Tiong Bahru tu dulu..."
"Kes lelaki yang matanya di korek tu?"
"Ya."
"Jadi kenapa?"
"Aku sering bermimpi si mati datang kepada aku."
"Kau kena badi mayat agaknya ni!" Saiful membawa van keluar dari kawasan meletak kereta di hadapan sekolah menengah di Ang Mo Kio itu, lalu bergerak ke arah lebuh raya Pan-Island Expressway.
"Badi mayat?"
"Ya."
"Kau tahu aku tak percayakan ini semua, kan?" entah sudah berapa kali aku memberitahunya bahawa aku seorang skeptis. Jika keadaan diri aku disamakan dengan watak dalam rancangan X-Files, aku pastinya akan disamakan dengan watak Dana Scully.
"Tahu." Saiful terus memandu dengan matanya terus ke hadapan. Kemudian dia mengambil puntung rokoknya untuk mula merokok. Dia memang perlu menghisap sekurang-kurangnya sepuntung rokok ketika sedang memandu.
"Jadi apa yang kau mimpikan?"
"Si Chee Meng tu selalu datang kepada aku di dalam mimpi aku dan menyuruh aku memikirkan tentang kematian-kematian lain yang pernah aku saksikan sebelum ini."
"Kau biar benar!" aku memandang ke arah Saiful. Matanya terbeliak seolah terkejut.
"Itulah... Apa aku nak buat sekarang?" keluhku meminta pendapat.
"Kalau aku minta kau buat sesuatu... Kau sanggup buat?"
"Apa dia?"
"Esok pagi-pagi... Apa kata kita pergi jumpa Nenek."
"Nenek?"
"Aku panggil dia dengan nama Nenek sahaja. Nama betulnya aku tak kenal."
"Macam mana kau kenal dengan Nenek ni?"
"Aku Agen SPI Saiful."
"SPI?"
"Singapore Paranormal Investigators!" Saiful tersenyum sendiri.
"Kau ni... Benda yang bukan-bukan juga yang menjadi tarikan kau!" aku macam tak percaya Saiful menjadi ahli SPI. Dah berapa lama agaknya dia menjadi ahli Penyiasat Paranormal Singapura ni? Kenapa selama ini aku tak tahu tentang hal ini?
"Semua orang perlu ada hobi!" sambut Saiful memberi alasan.
"Jadi... Nenek ini-"
"Nenek ini seorang bomoh. Dia tinggal di Bedok North Avenue 4, blok 99... Dia mempunyai kuasa psikik yang luar biasa dan dia selalu membantu orang yang datang menemuinya." Saiful menjelaskan bersungguh-sungguh.
"Dan kau percaya dengan benda-benda karut ni semua?"
"Aku tak anggap benda ni semua karut, Pick Yin."
"Oh, ya... Aku terlupa. Kau Agen SPI Saiful." Kataku mengajuk cara dia menyebutkan kalimah-kalimah ini kepadaku tadi.
Jika aku Dana Scully, dia Fox Mulder. Dah bagus lah tu. Kerja pun tempat sama.
"Okay... Esok pagi-pagi kita pergi jumpa Nenek, ya?" aku akhirnya bersetuju. Saiful mengambil telefonnya lalu menelefon Nenek yang dimaksudkannya untuk membuat temu janji.
"Okay. Dah. Esok kita ke Bedok North!" katanya lalu memasukkan kembali telefon bimbitnya ke dalam kocek seluarnya. Saiful bersiul-siul sendiri. Wajahnya tampak tenang. Aku pula terus termenung sambil memerhatikan lalu lintas yang sibuk di di hadapanku.
*
Aku menghirup udara pagi dari balkoni tingkat 14, blok 99. Segar. Aku memandang ke arah Saiful. Dia terus berjalan menuju ke sebuah rumah dengan pasu-pasu kecil di tanam di hadapan rumah. Dia memanggilku supaya jangan malu-malu. Dia tahu aku segan untuk berjumpa dengan Nenek.
"Assalamualaikum!" Saiful memberi salam. Dari dalam, salamnya di jawab oleh seorang wanita yang berumur di sekitar usia lewat 50-an. Jadi inilah Nenek yang disebutkannya itu...
Wajah Nenek nampak tenang. Serta-merta aku dapat merasakan aku boleh bermesra dengannya. Jauh di dalam hatiku ada tahu Nenek jujur dan ikhlas orangnya.
Rumah nenek sederhana besar dengan hiasan yang sederhana. Seperti kebanyakan rumah-rumah orang Melayu di Singapura, dia juga mempunyai sistem televisyen dan hi-fi yang nampak canggih.
"Jemputlah duduk... Nenek nak ke dapur untuk sediakan air." Ujar Nenek dengan ramah.
"Alah, sekejap jer. Air pun Nenek dah jerangkan." Nenek terus masuk ke dapur.
Aku duduk rapat-rapat di sebelah Saiful di kerusi sofa nenek yang usang itu. Wajahku jelas gelisah.
"Aku tak biasalah dengan benda ni semua," kataku kepada Saiful dengan berbisik.
"Alah, tak apa apa-apalah! Kau cerita sahaja masalah kau tu dengan Nenek. Dia akan faham." Saiful memujuk. Dia menyentuh tanganku sekali sebelum dia cepat-cepat menarik tangannya kembali. Aku dapat mendengar dia menarik nafasnya dalam-dalam dengan perasaan bersalah.
"Kau berjumpa dengannya dahulu untuk apa?" tanyaku ingin tahu.
"Panjang ceritanya..."
"Eh, ceritalah!" desakku.
"Ceritanya begini..." Saiful mengatur bicara. Matanya terus kepadaku. "Kejadian ni berlaku pada tahun lepas. Semuanya bermula bila aku dan beberapa orang ahli SPI pergi menyiasat ke kawasan hutan di MacRitchie Reservoir. Kami pergi menyiasat Keramat Shinto yang dikenali dengan nama Syonan Jinja yang telah dibina oleh tentera-tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua dahulu. Keramat itu dikatakan berhantu.
"Apabila berada di sana, aku telah terjumpa dengan sekeping wang syiling Jepun. Aku bawak balik wang syiling tu..."
"Dah tu apa yang berlaku?"
"Entah mengapa... Selepas itu, belakang aku selalu sahaja sakit-sakit. Kau ingat tahun lepas bila aku terpaksa ambil cuti sebab sakit belakang?"
"Ya, aku ingat lagi. Kau terpaksa ambil cuti seminggu kerana kau tak boleh bangun langsung sebab belakang kau sakit sehingga aku terpaksa ambil jurukamera video bebas untuk gantikan tempat kau..."
"Jadi siapa yang memperkenalkan kau dengan Nenek?"
"Mak aku sendiri... Dia suruh aku berubat cara kampung. Jadi dia lah yang bawa aku jumpa Nenek."
"Oh..."
"Bila aku jumpa Nenek, dia beritahu aku suruh pulangkan semula duit syiling Jepun yang aku simpan ke tempat yang aku jumpa sebab ada..." Saiful memandang ke kira dan ke kanan. Dia mula rasa tak selesa.
"Apa dia, cakap lah!"
"Ada hantu Jepun yang berpaut kepada belakang aku. Sebab itulah belakang aku rasa sakit. Ia terus berpaut ke belakang aku sampailah aku dengar nasihat Nenek untuk pulangkan semua wang syiling Jepun ke tempat yang aku jumpa wang tu dulu."
Meremang tengkuk aku mendengar penjelasan Saiful ini. Dia termenung seketika memikirkan sesuatu. Mungkin sesuatu yang terlalu menggerunkan baginya.
"Kau tahu tak... Aku mintak Nenek tunjukkan aku hantu Jepun yang berpaut belakang aku tu. Mula-mula Nenek tak bagi, tapi lama-lama dia benarkan bila aku pujuk dia dan dia yakin aku bukan jenis yang lemah semangat. Lalu selepas membaca mantera, dia suruh aku pandang ke dalam sekeping cermin muka lama kepunyaannya. Bila aku pandang, memang aku nampak ada hantu yang sedang berpaut kuat di belakang aku. Aku terkejut. Nyaris-nyaris aku mahu pitam."
"Jemputlah minum." Nenek masuk ke ruang tamu dengan dua cawan air kopi yang telah disediakan untuk kami. Tekakku terasa kering setelah mendengar cerita Saiful tadi. Terus aku minum kopi yang telah disediakan Nenek.
Saiful memandangku kemudian kepada Nenek untuk memperkenalkan diriku kepadanya:
"Nek... Inilah kawan saya yang datang nak minta tolong-"
"Nama kawannya siapa?" tanya Nenek sambil tersenyum ke arahku.
"Pick Yin, Nek." Sahutku perlahan.
"Beritahu kepada Nenek apa masalah Pick Yin."
"Saya selalu mimpi perkara-perkara yang buruk-buruk Nek..."
Nenek memandang ke arahku. Dia membetulkan cermin matanya.
"Kau kena sampuk ni, Pick Yin-"
"Kena sampuk, Nek?"
"Ya."
"Kena sampuk dengan apa?" aku sengaja bertanya.
"Kena sampuk dengan hantu tak bermata..."
Aku terkejut mendengar kata-katanya itu. Aku memandang ke arah Saiful. Dia menaikkan kedua belah bahunya.
"Mana nenek tahu?"
"Dia selalu ikut kau ke mana-mana."
Aku terkesima. Terlalu terkejut. Nafasku turun naik.
"Tapi kenapa?"
"Dia rasa kau boleh tolong dia."
"Tapi kenapa saya, Nek?"
"Kau dapat melihat penunggu kucing yang mahu membantunya dahulu."
"Penunggu kucing?"
"Bukan sebarang orang dapat melihat kucing istimewa ini."
"Kucing ini jahat ke, Nek?"
"Tidak... Penunggu Kucing ini sebenarnya baik, Ia mampu berhubungan dengan dunia lain, dan dapat merasakan adanya roh jahat."
"Jadi... Apa kena mengenanya dengan saya?"
"Kau perlu jaga dia kau baik-baik, Pick Yin."
"Kenapa?" wajahku terlukis garis-garis penuh bimbang.
"Ada roh jahat yang akan datang untuk mengganggu kau nanti."
"Jadi... Apa yang perlu saya lakukan?"
"Kau perlu memusnahkannya sebelum dia memusnahkan kau. Itulah yang mahu dilakukan oleh hantu yang tak bermata tu ketika dia hidup dulu... Tapi gagal. Jadi sekarang, dia mahu kau meneruskan tugasnya-"
"Apa yang dia mahu saya lakukan Nek?"
Nenek memandang ke arah belakangku. Aku termangu melihatnya begitu. Kemudian aku melihat ke arah biji matanya. Aku merenung matanya dekat-dekat. Aku dapat melihat bayangan diriku tercermin di situ dengan satu lembaga yang sedang berdiri di belakangku. Tidak syak lagi, lembaga itu adalah Chee Meng yang matanya telah dikorek itu.
Aku tidak ingat apa yang berlaku kepada diriku selepas itu. Apabila aku membuka mataku, aku mendapati Nenek sedang menyapukan air ke mukaku dan Saiful pula sedang mengipasku.
"Apa yang telah berlaku?" tanyaku kepada Saiful.
"Kau histeria... Kemudian kau pengsan." Ujar Saiful dengan kerisauan.
"Untuk berapa lama?" tanyaku yang kehilangan arah ruang dan waktu pada ketika itu.
"Sepuluh minit."
Aku menelan air liurku. Aku memandang kepada Nenek. Aku mahu dia membantuku. Aku tak sanggup dibelenggu sebegini rupa.
"Nek... Tolong saya!" aku merayu dalam ketakutan.
"Bukan Nenek tak mahu tolong, tapi kau perlu selesaikan hal ini sendiri, Pick Yin." Nenek bersuara lembut. Dia mengusap rambutku.
Aku memandang ke arah Saiful. Entah mengapa tiba-tiba aku menangis. Aku kurang bermaya untuk memikirkan perkara yang lain kecuali nasib yang menimpa diriku sekarang. Nak tak nak, seperti kata Nenek, aku terpaksa menyelesaikan perkara ini sendiri!
Pada malam itu, aku sukar untuk tidur lena. Rancangan 999 baru sahaja dikeudarakan beberapa jam yang lepas. Seperti biasa, aku pasti AC Nielsen akan mengeluarkan laporan bahawa rancangan yang kuterbitkan itu adalah antara 3 rancangan paling popular di Singapura. Hujung tahun ini aku akan dapat bonus yang boleh aku banggakan dan simpan ke tepi agar satu hari nanti, aku boleh merealisasikan impianku sejak kecil - menerbitkan filem.
Di dalam impianku, aku mahu menjadi penerbit filem. Aku mahu Eileen mengarahkannya dan Saiful pula menjadi sinematografer. Aku mahu mereka mengarahkan sebuah filem dalam Bahasa Melayu berdasarkan kepada skrip yang akan disediakan oleh penulis Alfian Sa'at dari koleksi Corridor: 12 Stories yang pernah memenangi Anugerah Kepujian Sastera Singapura.
Tidak ada sesiapapun tahu tentang impianku ini kecuali Aileen dan Saiful. Mereka berdua bersungguh-sungguh menyokong usahaku ini.
Pada malam itu aku dihantui oleh imej mata kucing yang telah kulihat dirakamkan oleh Saiful. Pada kebiasaannya aku bukanlah seorang penakut, tetapi ada sesuatu yang tidak kena dengan apa yang kulihat pada malam itu.
Mungkin aku terlalu berimaginasi. Aku berfikir yang bukan-bukan. Entah mengapa, aku membayangkan keadaan Chee Meng mengorek matanya sendiri. Manusia seperti apakah yang mampu mengorek matanya sendiri? Apa yang telah merasuk dirinya sehingga dia mampu melakukan perkara yang luar biasa seperti ini?
Di dalam keadaan resah, aku memainkan lagu dari album terbaru Sarah McLachlan pada alat pemain cekera padatnya. Aku perlu cukup tidur. Esok pagi-pagi aku perlu ke tempat kerja untuk menguruskan program yang perlu aku isikan untuk rancangan 999 edisi minggu depan.
Setelah lebih 30 minit aku mengelamun, aku akhirnya tertidur.
Aku membuka mataku tercungap-cungap. Aku memandang ke jam meja di sebelahku. Jam menunjukkan pukul 3.30 pagi. Tubuhku menggigil ketakutan. Aku bangun dari keadaan baringku. Aku keluar dari bilik tidurku lalu membuka lampu bilik. Apabila aku keluar dari bilikku, aku membuka lampu ruang tamu. Aku masuk ke dapur. Aku kehausan. Aku membuka peti air lalu membuka sebotol air mineral 500 ml dan meneguk kandungannya sehingga kosong.
Aku duduk termenung di ruang tamu. Aku membuka TV lantas menonton saluran ChannelNewAsia. Mataku tertancap terus ke kaca TV. Jiwaku resah. Aku mengambil telefon bimbitku lalu terus menelefon nombor Eileen.
"Hello... Eileen!" kataku sebaik sahaja panggilanku dijawab.
"Pick Yin... Apa khabar!" suara Eileen girang kedengarannya. "B... Baik."
"Kau tak tidur lagi ke?"
"Aku dah tidur... Tapi aku tak boleh masuk tidur lagi." Keluhku. Dalam masa-masa seperti ini sememangnya aku mengharapkan Aileen berada di rumah untuk menemaniku.
"Oh..."
"Aku mengganggu ke?"
"Tentunya Tidak! Sekarang dah masuk pukul 4.40 petang di Buenos Aires. Aku sedang berehat di dalam bilik hotel sementara menunggu malam untuk membuat rakaman tarian tango di dalam bar yang sama yang pernah digunakan oleh Wang Kar Wai di dalam filemnya Happy Together!"
"Aku betul-betul cemburu lah dengan kerja kau ni!"
"Aku tak suka dengan kerja aku ni... Ada saja yang tak boleh aku lakukan. Ini tak boleh itu tak boleh. Aku tak bebas melakukan apa yang aku suka." Eileen bersungut. Ketika dia belajar membuat filem ni Universiti New York dahulu, dia tidak pernah membayangkan dia terpaksa mengarahkan rancangan dokumentari tentang pengembaraan semata-mata untuk menampung kehidupannya. Dia mahu membikin filem kerana itu sahajalah yang mahu dilakukannya sejak kecil lagi. Tapi sehingga kini, dia hanya mampu membuat sebuah filem sahaja. Filemnya itu mendapat sambutan yang sederhana di panggung walaupun jualan VCD dan DVD agak menggalakkan.
"Sabar saja lah... Dah kerja kita kan? Kalau tak, macam mana nak cari makan? Kau ingat aku suka buat kerja aku sekarang ni?" aku cuba memujuk. Selain dari mahu menjadi seorang penerbit filem, aku sebenarnya mahu menjadi seorang jurnalis penyiaran. Aku mahu berada di hadapan kamera. Aku mahu menjadi seperti Mike Wallace dari rancangan 60 Minutes atau sekurang-kurangnya seperti Karam Singh Walia yang bertugas di TV3. Tetapi semua ini terpaksa aku kuburkan kerana aku tidak mempunyai wajah yang cantik seperti Jeannie, bekas Miss Chinatown/Singapore - yang digilai setiap lelaki heteroseksual yang pasti mahu menidurinya dan setiap lelaki homoseksual yang mahu diri mereka mempunyai daya tarikan semula jadi sepertinya...
"Okay... Kenapa kau telefon aku ni? Mesti ada hal penting. Kau bukannya pernah nak telefon aku macam ni kecuali kalau kau ada hal penting." Soalannya itu terus menerpa.
"Aku bangun dan tak boleh tidur sebab aku dapat mimpi ngeri lah, Jeannie." Aku membuka lembaran cerita.
"Lah... Mimpi ngeri apa pula ni, Pick Yin?"
"Aku mimpi tentang Chee Meng?"
"Siapa Chee Meng... Boyfriend baru kau? Eh bukan kau ada hati kat si Saiful?" tanya Aileen sempat dia mengusikku.
"Chee Meng ni dah mati lah!" tempelakku sambil memeluk tubuhku sendiri dengan erat.
"Ni mesti kau terbawa-bawa dengan pekerjaan kau ni. Dah aku agak, lambat laun, mesti benda macam ni akan terjadi."
"Itulah..." aku mengakuinya sendiri.
"Jadi apa yang kau mimpikan?"
"Dalam mimpiku, aku dapat lihat Chee Meng dengan keadaannya yang tak ada mata tu datang menemuiku untuk meminta pertolongan dariku."
"Tak ada mata?"
"Dia telah mengorek matanya sendiri."
"Ewww!" ujarnya dalam geli. "Jadi apa yang dia kata kepada kau?"
"Dia kata hanya aku sahaja yang mampu menolongnya. Jika tidak, rohnya tidak akan tenteram."
"Tak tenteram? Maksudnya dia akan kacau kau lah jika kau tak mahu menolongnya?"
"Entah... Aku tak tahu. Mungkin itu yang dimaksudkannya."
"Tapi mengapa pula dia kacau kau, dan bukan orang lain?"
"Aku tak tahu!" kataku bersungguh-sungguh dalam suara jelas ketakutan.
"Eh, apa kata kau tulis semua yang kau mimpi ni dalam buku nota kau... Mana tahu kita boleh buat filem seram. Filem seram sekarang laku tau!" dah aku agak, dia pasti akan mempermain-mainkanku.
"Kau janganlah buat lawak Eileen! Aku serius ni!"
"Aku serius lah ni... Kau ingat aku main-main ke?" katanya kemudian aku dapat mendengar dia ketawa.
"Okay macam ni... Aku rasa kau ni dibebankan tekanan kerja. Aku faham sangat dengan kerja kau tu. Hampir setiap hari ke tempat kejadian jenayah. Kalau aku lah, tentu aku tak boleh bertahan lama. Kau tu jenis manusia penyabar... Sebab tu kau boleh tahan kerja macam ni." Memang betul kata Jeannie. Mungkin aku ini jenis yang banyak bersabar. Sebab itulah aku boleh bertahan dengan kerja yang aku lakukan selama ini. "Apa kata kau ambil berehat." Dikatanya kemudian dengan suara perlahan.
"Tak boleh lah..."
"Okay... Macam ni. Kau jangan fikirkan sangat fasal benda ni. Aku yakin ini semua mainan perasaan sahaja. Kau tak boleh ikutkan perasaan kau tu sangat... Kau masuk ke dalam tandas dalam bilik aku. Dalam kabinet bilik air aku ada simpan pil Xanax. Kau ambil pil tu untuk tenangkan fikiran kau."
"Okay." Jawabku pendek. Kemudian aku menghabiskan masaku selama 5 minit seterusnya bertanyakan tentang pengalamannya di Buenos Aires.
Sejurus selepas aku selesai berbual dengan Eileen, aku masuk ke dalam biliknya untuk mencari pil Xanax yang telah disebutkannya tadi. Aku mengambil sebutir pil Xanax kepunyaannya itu lantas aku telan pil tersebut. Aku membaringkan diriku di atas katilnya. Mungkin kerana kepenatan, tak sampai lima minit selepas itu aku terlena tidur di atas katilnya itu...
*
Aku bertanyakan kepada Jason tentang laporan bedah siasat terhadap mayat Chee Meng. Selalunya aku tidak mahu mengambil tahu tentang hal ini semua, tetapi jauh di dalam hatiku, aku dapat merasakan sesuatu yang tidak kena yang telah berlaku di dalam kes ini. Mungkin perasaanku ini datangnya dari mimpi ngeri yang telah aku alami pagi tadi...
Aku mengikut gerak hatiku, lantas aku mahu menyiasat tentang kes ini sendirian.
Aku menghantar SMS kepada Inspektor Jason dan memintanya supaya menelefonku untuk memberitahu kepadaku tentang perkembangan terbaru tentang kes Chee Meng. Inspektor Jason tidak banyak membantu. Dia telah menjawab dengan melalui pesanan SMS bahawa mayat Chee Meng telah dibawa ke Pusat Perubatan Forensik, di Outram Road tanpa menelefonku untuk memberitahuku dengan terperinci laporan autopsi yang telah diterimanya.
Aku telah mengambil inisiatif untuk ke sana sendiri dengan mengambil teksi dari pejabatku yang terletak di Andrew Road lantas ke Outram Road.
Apabila aku tiba di hadapan pintu hadapan Pusat Perubatan Forensik, aku dapati Inspektor Jason sudah lama menunggu di sana. Dia seolah sudah dapat meneka aku pasti akan ke sini pada petang hari yang basah ini.
"Lain kali, kalau kau mahu ke sini, beritahu sahaja kepadaku... Aku boleh ambil kau dari pejabat. Kau tak perlu ambil teksi." Ujar Jason seperti merungut. Dia dapat melihatku melipatkan payung yang kubawa bersama. Baju yang kupakai sedikit lencun terkena hujan.
Aku cukup-cukup hairan dari mana dia dapat tahu aku telah menaiki teksi untuk ke sini. Apa, dia ada pasang perisik di seluruh pelosok Singapura untuk memerhatikan segala pergerakanku?
"Aku tak selesalah naik kereta ronda polis... Duduk belakang pula tu. Nanti apa pula orang akan fikir." Kataku mencipta alasan. Jason masuk ke dalam bangunan, Aku berjalan di sisinya.
"Apa pula yang orang akan fikirkan? Kau fikir orang akan menganggap kau ni penjahat yang mahu aku bawa ke lokap?"
"Dah tu?" tanyaku kembali dengan mencemikkan wajahku.
Selama aku bertugas sebagai penerbit 999, inilah kali pertama aku berkunjung ke pusat forensik seperti ini. Mataku rambang melihat suasana sekelilingku. Keadaan di sini tidak ubah seperti keadaan di mana-mana pusat rawatan di Singapura - Bersih dan teratur. Mungkin terlalu bersih dan teratur sehingga membuatku rasa kurang selesa tatkala berada di sini.
"Kau ni... Macam-macam lah Pick Yin!" Jason menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Kami terus berjalan sehingga ke sebuah bilik pejabat yang terletak di bahagian hujung pusat forensik ini. Inspektor Jason lantas menjemput aku berjumpa dengan seorang ahli patologi forensik yang telah membedah dan menyiasat mayat Chee Meng.
"Doktor Francis... Ini Pick Yin, penerbit rancangan 999." Ujar Jason kepada Doktor Francis Lim. Hubungan di antara mereka berdua nampaknya mesra. Mungkin Inspektor Jason sering berurusan dengannya.
Doktor Francis yang berusia di sekitar 40-an itu berjabat tangan denganku. Orangnya tinggi dan bertubuh kurus. Aku dapat melihat di dalam bilik pejabat Doktor Francis, dia ada meletakkan beberapa buah model kapal angkasa Star Trek. Sepasang uniform dari rancangan Star Trek Voyager ada digantungkan di sudut pejabat. Doktor Francis sempat bertanyakan kepadaku jika aku seorang 'Trekkie'. Aku menggelengkan kepalaku cepat-cepat. Kemudian dia bertanyakan kepadaku jika Jeannie ada bersamaku pada waktu itu. Aku menggeleng sekali lagi. Dia nampak kecewa. Terus dia memberitahuku bahawa dia adalah peminat nombor satu Jeannie, selain dari seorang peminat rancangan Star Trek Voyager...
"Nanti saya memberitahunya tentang hal ini, ya Doktor." Kataku sambil menjeling ke arah Jason. Jason hanya mampu tersengih.
Doktor Francis membawaku masuk ke bilik pembedahan forensik, walaupun aku tidak sedikit pun memintanya untuk membawaku ke sana. Dia seolah-olah mahu menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan pusat forensik ini kepadaku. Mungkin dia mahu aku menampilkan pusat ini kepada penonton-penonton rancangan 999 nanti. Apa tidaknya, menurut Doktor Francis, makmal-makmal forensik yang terdapat di sini setanding dengan makmal-makmal yang ditonjolkan dalam rancangan popular CSI di kaca TV.
Bilik makmal tengik dengan bau cecair phermaldahyde. Aku merasa kurang selesa tatkala berada di dalam makmal pembedahan ini. Aku dapat melihat beberapa kujur mayat di letakkan di atas meja pembedahan. Tekakku terasa loya. Terlukis kekarutan di wajahku. Doktor Francis tersenyum, lantas menyuruh aku menyapukan Vicks yang diserahkannya itu ke dalam hidungku. Aku menurut sahaja tanpa membantah.
Aku sekarang sedang berhadapan dengan sekujur mayat yang telah diselimutkan dengan kain putih. Tanpa memberi sebarang amaran terlebih dahulu, Doktor Francis terus menyelak kain putih tersebut dengan pantas, lantas aku dapat melihat mayat Chee Meng yang telah dibogelkan di hadapanku.
Mataku terbeliak dibuatnya. Nafasku terhenti buat seketika apabila melihat mayat Chee Meng di hadapanku. Keadaan mayatnya mengerikan seperti mana keadaan dirinya tatkala dia muncul di dalam mimpiku.
Tanpa aku sedari, aku telah memeluk tubuh Inspektor Jason yang telah berdiri di sisiku sejak tadi.
"Maaf," kataku malu-malu tanpa mahu memandang ke arah wajahnya.
Aku mendapati mayat Chee Meng telah pun dibedah. Bekas jahitan yang kasar dapat dilihat di bahagian tubuhnya. Bahagian kepalanya juga telah dipotong dan dijahit semula.
"Dari pemeriksaan kami... Kami telah mendapati dia telah mati akibat serangan sakit jantung... Tapi-" Suara doktor Francis berdengung memecahkan suasana sunyi di dalam bilik pembedahan forensik ini. Kemudian aku lihat doktor Francis menggaru-garu dagunya. Wajahnya terlukis dengan teka-teki yang tidak mampu dijawabnya.
"Dia seorang pemuda yang sihat tubuh badannya. Paru-parunya bersih. Dia tidak merokok. Keadaan jantungnya yang sihat menunjukkan dia seorang yang kuat bersukan. Tapi entahlah..."
Aku berharap Doktor Francis akan terus menjelaskan penyiasatannya tanpa perlu menunjukkan kepadaku paru-paru dan jantung Chee Meng yang telah dikeluarkannya.
"Kami juga telah memeriksa matanya," Doktor Francis mula bersuara. Dia terus merenung ke arah mayat Chee Meng yang telah dibedahnya sendiri ini. "Terdapat sesuatunya ganjil yang kami temui pada biji matanya yang sukar untuk kami jelaskan..."
"Apa yang tidak kena, doktor?" tanyaku ingin tahu. Walaupun lubang hidungku diselaputi oleh Vicks, aku masih boleh mencium bau mayat yang busuk di hadapanku.
"Kami dapati terdapat membran tapetum lucidum menyelaputi bahagian belakang biji matanya-"
"Jadi kenapa?" tanyaku yang sudah lama melupakan pelajaran biologi yang pernah aku ambil satu ketika dahulu.
"Membran tapetum lucidum ini berfungsi seperti cermin. Apabila cahaya masuk ke dalam anak mata, cahaya akan dibiaskan kembali melalui membran, lantas menyebabkan pendedahan berganda cahaya di dalam mata."
"Apa maksudnya ini semua?" tanyaku ingin tahu. Aku mahu dia menjelaskan apa yang disebutkannya tadi di dalam bahasa yang senang aku fahami.
"Dia mampu melihat di dalam gelap... Selalunya kucing yang mempunyai membran tapetum ini." jelas Doktor Francis. "Sebab itu apabila kita melihat kucing di dalam gelap, mata mereka akan kelihatan bersinar. Apa yang kita lihat sebenarnya adalah cahaya yang dibalikkan oleh membran tapetum ini.:
Aku menelan air liurku. Sukar untuk aku mempercayai kata-kata Doktor Francis ini kepadaku.
"Jadi... Dia ada mata kucing?" tanyaku meminta kepastian.
"Ya... Itu yang menghairankan kami... Kerana mata manusia tidak ada membran tapetum ini." Doktor Francis pergi ke kabinet yang terletak di belakangnya. Dia mengambil sebiji lagi mata Chee Meng yang telah disimpannya di dalam sebuah takar kaca untuk disiasatnya dengan lebih mendalam. Biji matanya ini masih belum terusik. Ia tenggelam di dalam cecair phermaldahyde yang memenuhi takar kaca yang sedang dipegang Doktor Francis.
"Mungkin semua ini hasil eksperimen... Mungkin matanya itu adalah mata kucing yang telah diklon untuk digunakan manusia?" aku melepaskan teoriku sendiri, lantas aku langsung terfikir tentang cerita The Island of Doctor Moreau yang telah ditulis oleh HG Wells yang menceritakan tentang seorang ahli saintis gila yang melakukan eksperimen untuk mencipta hibrid manusia dan haiwan di sebuah pulau yang terpencil.
"Erm... Saya rasa kita belum ada teknologi sehebat itu lagi." Kata Doktor Francis seolah memperkecilkan teoriku tadi. Dia tersengih sendiri.
"Jadi apa agaknya penjelasan kepada penemuan doktor ini?" tanyaku sambil bercekak pinggang.
"Entahlah..." Doktor Francis menaikkan kedua belah bahunya. Dia memandang ke arah Jason. "Tugas kami di sini sekadar melakukan bedah siasat dan kemudian menyediakan laporan tentang apa yang dapat kami temui. Yang lain tu... Adalah kerja pihak polis yang menyiasat."
Aku mengangguk aku, lalu aku memandang ke arah Inspektor Jason. Wajahnya kosong. Aku tahu, kes ini bukan diselenggarakan olehnya. Dia membawaku ke sini di atas nama budi bicara pihak polis yang kononnya ingin bekerjasama dengan pihak media.
Setelah doktor Francis membuat beberapa penjelasan yang remeh tentang prosedur pembedahan yang telah dilakukan ke atas mayat Chee Meng, aku dan Inspektor Jason dibawa keluar dari bilik pembedahan forensik itu. Perasaanku sedikit terganggu tatkala berjalan keluar. Sebelum pintu bilik pembedahan forensik ditutup, aku menoleh sekali lagi memandang ke arah mayat Chee Meng. Mayatnya kaku. Keras.
Naluriku memberitahu bahawa kes kematian ini adalah satu kes yang perlu disiasat dengan lebih lanjut, walaupun Jason secara peribadi memikirkan sebaliknya.
"Kau tak perlu memikirkan sangat tentang kes ini," nasihat Jason kepadaku sebaik sahaja kami meninggalkan Doktor Francis di hadapan pejabatnya.
"Kenapa pula?"
"Ada banyak lagi perkara yang kau perlu fikirkan, bukan? Seperti hala tuju rancangan 999? Biar pihak kami yang menyelesaikan kes ini dengan cara kami sendiri."
Apabila aku melangkah keluar dari Pusat Perubatan Forensik, aku mendapati keadaan hujan masih lebat. Inspektor Jason mengeluarkan alat walkie talkienya. Dia menghubungi rakan sekerjanya, Sarjan Raymond Wong yang sedang menunggu di dalam kereta. Beberapa detik kemudian aku dapat melihat Sarjan Raymond membawa keretanya lalu berhenti di hadapan kami.
"Kau tunggu apa lagi?" mata Jason menjunam ke arah dadaku sebelum berpindah ke mataku.
"Huh?"
"Masuklah... Aku akan bawa kau sehingga ke Caldecott Broadcast Centre-"
"Tak apalah..."
"Masuklah!" katanya kini dengan suara yang lebih tegas.
Aku menarik nafasku lalu mengangguk perlahan. Inspektor Jason membuka pintu belakang kereta polis berwarna putih itu untuk membenarkan aku masuk.
Aku duduk tanpa berkata-kata. Sarjan Raymond terus memandu laju bergerak ke arah utara untuk membawaku pulang ke pejabatku. Sesekali aku dapat melihat Inspektor Jason memandang ke arahku melalui cermin kereta.
Fikiranku terlalu kusut untuk memulakan bicara. Aku masih memikir tentang mimpi ngeriku semalam. Aku berdoa agar malam ini aku dapat tidur dengan lebih nyenyak...
Jason tiba di hadapan rumah sewaku di Jalan Novena Utara tepat pada masa yang telah ditetapkan. Dia menekan loceng berkali-kali sehinggalah aku menyelak langsir untuk melihat kelibatnya menunggu di luar pintu pagar. Aku menyuruhnya membuka pintu pagar yang tidak berkunci lalu masuk ke dalam rumah. Dia menurut sahaja.
Dia telah ke rumahku dengan berjalan kaki.
Inspektor Jason memakai pakaian biasa pada tengah hari itu. Sehelai baju T yang terlalu ketat untuk dirinya dan seluar jeans yang nampak lusuh. Memang tidak aku nafikan dia nampak ranggi. Wajahnya nampak lebih muda apabila dia berkeadaan begini dari keadaannya ketika dia memakai uniform polis. Di dalam keadaannya begini, tidak sesiapapun yang akan menyangka dia seorang pegawai polis.
"Maaf... Rumah bujang. Berselerak sedikit." Kataku sambil mengemaskan surat khabar The Sunday Times yang bersepah-sepah di atas lantai di ruang tamu. Jason dapat melihat aku belum bersedia untuk keluar. Aku baru sahaja menerika bajuku ketika dia menekan loceng rumah.
"Cantik rumah ni... Mesti sewanya mahal." katanya dengan matanya memerhatikan keadaan rumah dua tingkat yang aku sewaku bersama Aileen yang sentiasa tidak ada di rumah ini.
"Tak, sebenarnya rumah ini disewa dengan seorang kawan. Dia dapat harga yang baik untuk rumah ini." aku memberitahu sambil menyediakan air untuk Jason di dapur. "Tuan rumah ini, ibu saudaranya sendiri... Sebab itulah sewa yang dikenakan murah sahaja. Kami sekadar menjaga rumah ini, sehinggalah anak tuan rumah pulang dari San Francisco dan berkahwin di sini nanti dengan calon isteri pilihan mereka. Tapi entahlah... Eileen kata sepupu lelakinya itu tak mungkin akan berkahwin sampai bila-bila. Dia lebih senang tinggal di kawasan Castro di San Francisco... Kau sendiri tahu kenapa dia tak mahu pulang semula ke Singapura lantas di paksa kahwin di sini, bukan?"
Jason mengangguk sambil tersenyum.
"Si Aileen tu di mana sekarang?" tanya Jason sewaktu kesepian mula menguasai keadaan.
"Di Buenos Aires... Dia sedang mengarahkan rancangan pengembaraan-"
"Oh, rancangan pengembaraan dengan pengacara dari Malaysia tu?" tanya Jason. Aku dapat melihat wajahnya nampak teruja sewaktu aku sedang menatang segelas air limau yang telah aku sediakan untuknya.
"Ya... Rancangan pengembaraan dengan pengacara dari Malaysia itu." Jawabku lalu menyerahkan segelas air limau kepadanya. "Sebab itulah selalunya dia tidak ada di rumah... Jadi tinggal aku seorang sahaja di sini."
"Kau tak takut ke?"
"Nak takutkan apa?" tanyaku tersengih.
"Aku dengar kawasan ini berhantu... Bukan rumah mayat hospital Tan Tock Seng letaknya berdekatan dengan sini? Dan... Novena MRT tu dahulunya kawasan perkuburan."
Aku tidak percaya mendengar kata-kata ini keluar dari Inspektor Jason. Sejak bila pula dia percaya kepada hantu?
"Mengarutlah benda tu semua." Kataku pendek lantas aku biarkan kata-kataku tergantung di situ sahaja. Aku masuk ke dalam bilikku. Aku memakai baju yang telah aku gosok tadi. Kemudian rambutku disikat rapi. Aku mengenakan solekan yang ringkas. Kemudian aku keluar dari bilik. Aku mendapati Jason sedang memeriksa koleksi DVD kepunyaanku dan Aileen.
"Kau ada banyak tajuk-tajuk filem yang susah untuk di cari dari oleh pengarah-pengarah besar Eropah seperti Passolini, Pedro Almodóvar dan François Truffaut." kata Jason lantas mengeluarkan DVD yang bertajuk Salo dari Koleksi Criterion.
Aku tidak menyangka pula Inspektor Jason tahun tentang pengarah-pengarah besar dari Eropah. Apa lagi tentang dirinya yang aku tidak tahu?
"Oh... DVD itu kepunyaan Eileen. Aku lebih suka mengumpul DVD filem-filem dari Asia." Aku menjelaskan. Sememangnya Aileen lebih gemar mengumpul filem-filem dari pengarah-pengarah terkenal dari Eropah. Jika tak salah aku, sejak dia menuntut jurusan Perfileman di Universiti New York, dia telah memulakan koleksi ini. Di biliknya di tingkat atas, terdapat beratus-ratus keping pita VHS filem-filem yang telah dikumpulkannya selama ini.
"Boleh aku pinjam DVD ini... Dan ini?" tanya Jason yang ingin meminjam DVD bertajuk Salo dan Pierrot Le Fou."
"Boleh, tapi jangan buat harta pula nanti." Jawabku tanpa berfikir panjang. "Okaylah, jom kita keluar."
Jason mengangguk. Kami keluar dari rumah sewaku, lalu berjalan ke arah Novena Square. Keadaan pada waktu itu agak panas.
"Semalam aku fikir kau berkereta bila kau kata kau nak mengambil aku di hadapan rumah aku..." kataku dengan selamba.
"Aku belum mampu untuk berkereta." Jawan Jason dengan ikhlas. "Jika kau tak selesa untuk naik MRT, kita boleh naik teksi-"
"Tidak, bukan itu maksud aku. Jangan salah faham." Kataku bersungguh-sungguh. Aku tidak mahu dia berfikir aku ini materialistik. Cuma aku tidak pernah membayangkan dia tanpa kereta ronda yang selalu dibawanya ke mana-mana. "Kau nampak janggal seperti ini... Hari ini kau tidak beruniform. Kau berjalan seperti orang awam."
"Selama ini kau fikir aku ini apa? Separuh dewa?"
"Aku tak pernah melihat kau macam orang lain... Selama ini aku anggap kau sebagai 'Inspektor Jason'."
"Okay... Hari ini kau boleh anggap aku sebagai Jason sahaja... Boleh?"
"Boleh." Aku mengangguk perlahan. Dia tersenyum. Kami masuk ke dalam Novena Square, lantas terus ke stesen MRT Novena. Kami menaiki kereta api untuk menuju ke arah selatan...
*
Kami turun di stesen MRT Citi Hall, lantas dari sana kami menggunakan jalan bawah tanah CitiLink untuk ke Marina Square dan seterusnya ke Esplanade.
"Kita nak tonton cerita apa sebenarnya?" tanyaku apabila kami melintasi toko muzik HMV. Aku dapati terlalu ramai orang yang sedang berjalan menggunakan jalan bawah tanah ini. Mereka semua nampaknya sedang sibuk membeli-belah - aktiviti masa lapang nombor satu di Singapura!
"People Say Got Ghost... Sebuah teater arahan Krishen Jit. Kau pasti kenal dengan Krishen Jit."
"Ya, siapa yang tak kenal dengan Krishen Jit... Tambahan pula aku ni orang Malaysia." Kataku meluru. "Jadi ceritanya ini fasal apa?"
"Cerita ini adalah sebuah drama di dalam drama di mana ia menceritakan tentang dua orang pelakon yang menemui hantu di dalam sebuah teater." Jason menjelaskan.
"Cerita seram ke ni?"
"Entahlah... Komedi kot."
"Kita nak makan dulu sebelum kita tonton teater ni ke?"
"Sudah tentu."
"Kita nak makan di mana?"
"Kau suka makan makanan apa?"
"Aku suka makanan Jepun-"
"Di Esplanade ada restoran Jepun..."
"Ya aku tahu."
"Kita makan di sana, ya?"
Aku mengangguk. Kami terus berjalan di CitiLink. Sesekali aku akan menoleh ke arah Jason. Aku tidak faham mengapa dia mahu keluar denganku pada tengah hari itu. Apa motif sebenarnya?
Jason adalah seorang pemuda yang peramah. Jika aku membawa dia berjumpa dengan orang tuaku, pasti mereka akan suka. Dia cukup sopan bila bercakap. Apabila ditugaskan untuk menyoal siasat mereka yang berada di bawah tahanan reman, dia tidak akan menengking walaupun kadangkala dia akan diherdik dan dimarahi. Dia akan menghormati hak mereka dan berpendapat, sesiapapun yang berada di dalam tahanan polis tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.
Seperti aku, dia juga seorang Cina Peranakan. Dia tahu aku seorang Cina Peranakan sejak hari pertama aku menemuinya. Katanya, gerak dan gayaku menyerupai seorang wanita Melayu - aku tidak faham apa maksudnya itu sehingga ke hari ini. Pada hari-hari tertentu, mengikut mood, aku akan memakai baju kebaya dan baju kurung. Dia suka benar melihat aku memakai pakaian tradisi seperti ini. Dia pasti akan memuji. Katanya, aku tidak seperti wanita-wanita Singapura yang lain - ya, kata-katanya ini juga tidak aku fahami. Mungkin di dalam dunia fantasinya, aku seorang gadis kampung dari Malaysia, walaupun aku budak PJ - tidak ada bezanya diri aku ini dengan wanita-wanita yang berasal dari Singapura. Aku juga bersifat kosmopolitan. Aku bukannya kolot. Empat tahun dari masa lewat remajaku telah kuhabiskan di Boston. Tetapi tidak aku nafikan, aku tidak mahu melupakan asal usulku atau tradisi nenek moyangku. Mungkin itulah yang membezakan aku dengan gadis-gadis berbangsa Cina yang lain di singapura. Entahlah.
Kami tiba di restoran Jepun Shima Aji dan terpaksa beratur untuk menunggu giliran sebelum dibenarkan masuk. Ketika masuk ke restoran, Jason menarik kerusi untuk lantas menjemput aku duduk. Aku mengucapkan terima kasih, walaupun pada fikiranku, dia tidak perlu melakukan ini semua untukku. Untuk makan tengah hari, aku memesan set Teppanyaki dan Sashimi dan dia pula memesan set Sushi Sashimi Tempura.
"Kau pernah makan di sini?" dia menanyaiku sambil mengeluarkan chopstick dari balutan kertas.
"Pernah... di Hot Halal Café dengan Saiful." Jawabku berterus terang.
"Cameraman kau tu?" suaranya berbaur cemburu.
"Ya."
"Kau selalu keluar dengan dia ke?"
"Tak... Jarang." Jawabku perlahan. Mahu sahaja aku memberitahu kepada Jason aku suka keluar bersiar-siar dengan Saiful. Ya, dia memang mengingatkan aku kepada Kamil. Tetapi Saiful jauh lebih menarik dari Kamil. Saiful mempunyai jiwa yang bebas. Dia suka meneroka perkara-perkara yang baru. Jika kami keluar bersama, aku akan serta-merta merasa selesa dengan keadaan dirinya - dia akan memakai baju-T dengan slogan-slogan anti-kapitalisme, atau yang mempunyai gambar Mao Tze Tung atau Che Guevara dan memakai seluar pendek paras lutut. Aku suka dengan caranya yang sempoi.
"Kalau begitu baguslah." Jawab Jason bersahaja.
"Kenapa pula?" tanyaku yang tidak suka mendengar kalimah yang dikeluarkan Jason tadi.
"Dia ada kes polis... Dia tak pernah ceritakan kau?"
"Tak..." kataku teragak-agak. "Kes apa ni?"
"Dia pernah mempunyai kes juvana kerana mencuri dan bergaduh. Dulu si Saiful ni anggota samseng remaja." Jelas Jason seolah dia sedang membaca sebuah fail khas tentang Saiful di hadapannya.
"Tapi ini kes lama, kan?"
"Ya..."
"Sekarang dia dah berubah." Kataku dengan tegas.
"Itulah yang aku harapkan..." jawabnya, terus dia mengambil sehiris daging ikan salmon mentah lalu dimasukkannya ke dalam mulutnya.
Aku mengeluh sendiri. Entah mengapa, selera makanku terus hilang entah ke mana. Aku banyak termenung dari makan. Apabila ditanya mengapa aku tidak menghabiskan makananku, aku memberitahu Jason aku sedang berdiet. Itulah jawapan yang kuberi kepadanya...
*
"Baru balik dating lah ni?" Saiful mengusikku sebaik sahaja aku masuk ke dalam studio post-production.
"Ya... Kenapa?" aku membeliakkan mataku kepadanya sambil bercekak pinggang.
"Kau tonton cerita apa?"
"People Say Got Ghost."
"Seronok tak?"
"Tak sangat..." Aku mengeluh perlahan. Mataku terus ke monitor komputer untuk melihat suntingan yang sedang dilakukan oleh Saiful untuk rancangan 999 edisi esok. Dia bukan sahaja menjadi jurugambar video untuk rancangan ini, tetapi segala kerja-kerja suntingan juga dilakukan sendiri.
Aku duduk di sebelahnya. Aku membuat nota. Kadang kala mataku akan berpindah ke skin komputer.
"Apa tu?" tanyaku tiba-tiba kepada Saiful. Mataku tertanggap satu imej yang luar biasa monitor. Aku menyuruhnya menunjukkan kembali rakaman rambang yang telah diambilnya.
Saiful melakukan perkara yang aku suruhnya tadi. Kameranya telah merakamkan sesuatu tanpa pengetahuannya. Pergerakan gambar kadang kala kabur apabila kameranya bergerak ke kiri dan ke kanan.
"Tu... Kau nampak tu." Kataku dengan kuat. Tanganku menggenggam bahunya dengan erat. Aku mahu dia mencari kembali adegan yang aku sebutkan tadi.
Saiful menggerakkan tombol kawalan video. Dia menggerakkan pita beberapa saat ke belakang. Apabila dia menjumpai bahagian rakaman yang aku sebutkan tadi, dia memainkan pita video dengan pergerakan perlahan.
Apa yang aku dapat saksikan agak menakutkan. Aku dapat melihat dua pasang mata yang bulat sedang memandang ke arah kamera, lalu bergerak ke arah kawasan yang lebih gelap. Aku yakin, inilah lembaga yang telah aku lihat semalam di sisi mataku.
Tengkukku meremang melihat sepasang biji mata yang bercahaya yang berjaya dirakam oleh kamera Saiful itu. Aku kurang pasti apa wang sedang aku lihat. Tapi dua pasang mata itu memandang ke arah kamera seolah ia tahu bahawa dirinya akan dapat dilihat olehku nanti.
Aku mengharapkan Saiful akan mengatakan sesuatu untuk menafikan imej yang menakutkan yang telah dirakamnya - sepasang mata di dalam gelap yang sedang memandang ke arah kamera.
"Oh... Ini mata kucing." Ujar Saiful sambil membuat beberapa perubahan kontras terhadap montaj yang dipaparkan di hadapan dalam monitor.
"Kau pasti?" tanyaku sambil meraba tengkukku sendiri.
"Ya... Aku pernah pelihara kucing. Ini memang mata kucing. Lampu kamera dibiaskan oleh matanya." Jelas Saiful. Dia membesarkan montaj itu agar aku dapat melihat bentuk tubuh seekor kucing dengan lebih jelas. "Kawasan ini memang banyak kucing, jadi tak hairan jika ada kucing yang tersesat sehingga ke atas bumbung..."
"Kau nak tahu apa... Sebelum Chee Meng mati, dia banyak melukis gambar kucing."
Saiful mentertawakanku. Mungkin dia menganggap aku sudah gila kerana berfikir yang bukan-bukan tentang kes ini.
"Aku serius ni!" getusku sambil bercekak pinggang. Suaraku bergema di dalam studio post-production yang kecil ini.
"Kau serius fasal apa?" Saiful bertanya kembali.
"Fasal kes inilah. Aku dapat rasakan sesuatu yang tak kena sejak semalam dalam kepala aku, tapi susah untuk aku jelaskan apa."
"Kau rasa kucing yang kita lihat ini ada kena mengena dengan kematian Chee Meng?" tanya Saiful separuh berjenaka.
"Entahlah... Aku tak pasti." Aku melepaskan nafasku. Jam menunjukkan pukul 9 malam. Kami masih berada di studio untuk menyelesaikan tugas kami ini. Mungkin kami terpaksa berada di dalam studio sehingga ke pukul 11 malam ini. Tatkala mengelamun sambil memandang ke arah jam di dinding, aku teringatkan kepada coklat yang telah aku belikan untuk Saiful. Aku keluarkan kotak coklat itu dari begku lalu aku serahkan kepada Saiful.
Coklat memang menjadi satu kegemaran Saiful. Dia kenal kepada semua jenis coklat yang ada dijual di pasaran.
"Eh... Kau selalu saja belikan aku hadiah," katanya dengan suara girang. "Ni mesti kau belikan aku coklat lagi, kan?" Dia membuka kotak coklat tersebut. Dia mengambil sebiji coklat lalu menyerahkan sebiji lagi untukku.
"Alah... Anggap hadiah coklat ini sebagai hadiah ikhlas seorang penerbit kepada jurukameranya yang paling rajin yang pernah ditemuinya." Sambutku sambil mengunyah coklat yang baru dimasukkan ke dalam mulutku. Perasaanku gembiraku pada ketika itu sedikit terjejas apabila aku melihat kepada rakaman mata kucing di dalam monitor. Mata kucing itu berkelip, walaupun terdapat tanda 'pause' di atas monitor.
Jantungku berdegup kencang. Mungkin apa yang telah aku lihat tadi telah disebabkan oleh keadaanku yang kepenatan kerana kurang berehat.
"Tak ada apa-apa." Ujarku perlahan. Aku memandang ke tempat lain. Aku menghidupkan laptopku, lantas menulis laporan ringkas tentang kejadian semalam untuk diserahkan kepada penulis rancangan kami pada pagi esok.
Lagu Connie Francis yang bertajuk Siboney memenuhi ruang van yang aku naiki. Lagu ini telah dimainkan beratus kali sehingga aku mampu menghafal liriknya. Saiful suka benar memainkan lagu-lagu lama ini ketika kami terpaksa melakukan tugas kami pada larut malam seperti ini. Malam ini tidak terkecuali.
"Aku tinggal di kawasan ini ketika aku masih kecil dahulu sebelum aku berpindah ke Yishun." Saiful tiba-tiba bersuara. Aku yang sedang duduk di sebelahnya terus memandang ke arahnya yang sedang memandu. Tidak banyak perkara tentang kisah silamnya yang aku tahu, walaupun sudah lebih dua tahun kami bekerja bersama.
"Di mana?" tanyaku dengan wajah yang jelas menunjukkan aku berminat mendengar ceritanya lagi. Aku menoleh ke belakang. Aku dapati Jeannie Tan, pengacara rancangan 999 yang wajahnya terpapar di muka hadapan majalah 8 Days edisi terbaru itu sedang melelapkan matanya. Aku pasti dia sedang sedar pada waktu itu dan sedang berpura-pura tidur. Dia tahu aku marah kerana terpaksa menunggu lama di bawah kondonya tadi untuk mengheretnya ke sini.
"Di estet perumahan Bukit Merah. Kau nampak sekolah tu... Henderson Secondary... Aku pernah bersekolah di situ sehinggalah aku selesai ambil peperiksaan 'O'-Levels. " Kata Saiful sambil tersenyum. Saiful jarang senyum. Bila dia senyum, wajahnya nampak manis. Mungkin banyak peristiwa-peristiwa manis yang pernah dialaminya di sini yang membuatkannya tersenyum begitu.
Memang aku tidak boleh nafikan lagi. Aku memang suka kepada Saiful, kerana dia mengingatkan aku kepada Kamil, kawan abangku yang selalu datang ke rumahku satu masa dahulu. Aku pernah jatuh hati kepada Kamil yang berusia empat tahun lebih tua dariku. Sehingga kini Kamil tidak sedar bahawa aku suka kepadanya. Dari apa yang diberitahu oleh abangku, Kamil sudah pun berkahwin dan mempunyai dua orang anak...
"Sebelum aku dan keluarga aku berpindah ke Yishun, kami tinggal di sebuah flat satu bilik di sini. Kau bayangkanlah, kami sekeluarga seramai 7 orang tinggal bersesak-sesak dalam sebuah flat kecil macam tu." Saiful bercerita sambil menggaru keningnya.
Aku tidak dapat membayangkan keadaan yang terpaksa dilaluinya. Entah mengapa, aku terfikirkan tentang kehidupanku dengan keluargaku di Petaling Jaya. Aku berasal dari sana. Aku telah membesar di kawasan Seksyen 11 sehinggalah aku berjaya melanjutkan pelajaranku dalam bidang Jurnalisme Penyiaran di Boston University. Setelah aku berjaya mendapatkan ijazah di dalam bidang tersebut, aku pulang ke Malaysia. Setelah setahun menganggur, aku mengambil keputusan untuk mengadu nasib di Singapura. Aku berhijrah ke kota ini sebaik sahaja aku berjaya mendapatkan pekerjaan di Mediacorp. Setelah dua tahun aku bekerja di belakang tabir sebagai penerbit kanan sebuah rancangan remaja untuk saluran 5, tiba-tiba aku diberi tanggungjawab untuk menerbitkan rancangan 999 - sebuah rancangan yang membongkar kejadian-kejadian di Singapura. Rancangan ini adalah di antara rancangan yang mendapat rating paling tinggi di republik ini.
"Jadi sekarang... Semua anggota keluarga kau tinggal di Yishun lagi?" tanyaku ikhlas ingin tahu.
"Hanya kedua orang tuaku bersama aku dan adik aku seorang lagi. Kakak dan abangku dah kahwin dan tinggal di tempat lain." Jawabnya sambil memandang ke arahku. Saiful jarang mahu bercerita tentang keluarganya, tapi entah mengapa, pada malam yang bertuah ini dia mahu menceritakan kepadaku secebis kisah tentang latar belakang keluarganya itu.
Saiful lebih suka bercerita tentang masa-masa yang dihabiskan tatkala menjalani Perkhidmatan Awam dari menceritakan kepadaku tentang perihal keluarganya. Aku tidak tahu mengapa...
Saiful berusia 27 tahun. Dia setahun lebih tua dariku. Dia masih belum berkahwin dan setahu aku, sehingga hari ini dia masih tidak mempunyai teman wanita. Bila aku tanya mengapa, katanya dia pernah mempunyai seorang teman wanita, tetapi dia tidak tahan dengan kerjanya ini. Kadangkala Saiful terpaksa bekerja sehingga ke lewat malam dan pada hari-hari hujung minggu seperti ini. Bekas teman wanitanya tidak memahami pekerjaannya, malah berfikir dia mempunyai kekasih yang lain. Akibat terlalu cemburu, mereka akhirnya berpisah...
Saiful membawa van yang kami naiki ke kawasan Tiong Baru Estate. Dia mencari tempat yang sesuai untuk meletakkan van. Aku dapat melihat dua buah kereta polis sudah berada di tempat kejadian. Van koroner belum sampai lagi. Aku melepaskan nafas lega. Kami belum terlambat untuk merakamkan segala apa yang patut kami rakamkan. Jika kami dapat membuat rakaman mayat bergelimpangan, rating akan naik. Jika ada darah, rating akan naik lebih tinggi...
"Jeannie, bangun." Ujarku perlahan. Jeannie membuka matanya. Cepat-cepat dia mengeluarkan beberapa alat solek dari tas tangannya. Dia memandang wajahnya ke cermin van. Dia membetulkan rambutnya. "Dah cantik lah tu," aku merungut sendiri.
Saiful mengeluarkan sebuah kamera video dari belakang van. Dia mengambil sedikit masa untuk mencari pita kosong lalu memasukkannya ke dalam kamera videonya. Setelah dia bersedia, dia terus menutup pintu belakang van lantas berjalan mendapatkanku.
"Kita perlu ke blok 50. Kejadian berlaku di atas bumbung." Aku memberitahu kepada Saiful dan Jeannie.
"Kes bunuh diri ke, Pick Yin?" tanya Jeannie kepadaku dengan nada kebosanan.
"Entah," aku menaikkan kedua belah bahuku.
"Macam mana boleh entah pula?" tanya Jeannie dengan suara sinis. "You tak tanya ke dengan Inspektor Jason tu?" kasut tumit tinggi yang dipakai Jeannie mengeluarkan bunyi setiap kali dia melangkah di atas lantai simen di tingkat bawah blok 50.
Lampu kalimantang berkelip-kelip di bahagian balkoni tingkat bawah blok 50 di Tiong Bahru Estate. Bangunan empat tingkat ini pernah menempah sejarah menjadi sebahagian dari kawasan estet perumahan yang pertama di Singapura apabila bangunan apartmen di sini dibina dari tahun 1936 sehingga ke tahun 1954. Apabila ia mula-mula dibina dahulu, ia menampakkan seni bina modenis yang mempunyai kesamaan dengan rekaan Bandar-bandar di Britain. Walau bagaimanapun, ciri-ciri tempatan seperti topologi seni bina rumah kedai Penempatan Selat tetap diterapkan kepada senibina flat-flat di sini.
Kawasan Tiong Baru Estate pada tengah malam itu sunyi sepi. Hujan lebat yang baru turun sepanjang malam tadi baru sahaja berhenti. Jalan yang kami lalui basah. Titik-titik air turun satu persatu dari atas bumbung.
Kami bertiga menggunakan tangga untuk ke tingkat yang teratas. Apabila kami tiba di tingkat empat, kami bertemu dengan seorang pegawai polis muda. Dia mengenali wajah Jeannie. Dia tersenyum simpul ke arah Jeannie seolah mahu menggodanya. Jeannie membalas senyumannya dengan manja. Pegawai polis muda itu terus mengarahkan kami sebuah anak tangga yang boleh kami gunakan untuk ke bumbung.
Aku membiarkan Saiful naik ke bumbung dahulu. Dia tangkas naik tangga sambil meletakkan kamera di belakangnya.
Saiful menghulurkan tangannya untuk membantuku naik ke atas. Aku memegang tangannya yang kasar dan berurat itu dengan erat. Sebaik sahaja aku naik ke bumbung, aku dapat melihat beberapa orang anggota polis sedang melakukan tugas mereka di sana. Wajah mereka nampak serius.
Inspektor Jason Lai yang telah diberikan jawatan sebagai pegawai perhubungan awam Pasukan Polis Republik Singapura yang telah ditugaskan untuk membantu kami membuat rakaman untuk rancangan 999, nampaknya telah lama sampai ke tempat kejadian.
Inspektor Jason merenung ke dalam mataku, kemudian kepada Jeannie. Dia pasti kami lambat kerana Jeannie. Dia sudah cukup masak dengan sikap primadonna Jeannie.
"Apa yang telah berlaku di sini?" tanyaku kepada Jason. Tubuh Jason tinggi dan tegap. Jika rambutnya panjang sedikit, pasti orang akan berfikir dia seorang penyanyi atau pelakon terkenal. Wajahnya persis penyanyi terkenal dari Taiwan, Jay Chou.
"Kami masih lagi menyiasat." Katanya perlahan. Matanya masih kepadaku. Wajahku merah tersipu-sipu.
Aku menjenguk ke arah tempat kejadian. Dua orang penyiasat polis dari bahagian forensik sedang mengumpul bahan bukti. Mereka nampaknya tekun melakukan tugas mereka.
Aku mengarahkan Saiful supaya mula melakukan rakaman. Seperti biasa, Jeannie akan berada di hadapan kamera agar dirinya terus dapat dilihat penonton nanti sebagai pemberita kejadian yang berdedikasi, sanggup melakukan pekerjaannya pada lewat malam minggu seperti itu, walaupun sebaliknya.
"Aku rasa, kali ini kau tak payah suruh jurukamera kau ambil gambar mayat-"
"Tapi kenapa pula, Jason?" tanyaku kehairanan. Jason tidak pernah melarangku mengambil apa-apa gambar kejadian kes pembunuhan hatta kes pembunuhan yang berat sekalipun.
"Kau pergi lihat sendiri." Kata Jason kepadaku seolah mencabar. Aku menoleh ke hadapan. Aku Saiful sudah memulakan rakaman. Jeannie, bercakap ke dalam kamera. Jeannie terus berceloteh ke dalam kamera sambil mendekati ke arah mayat seorang pemuda Cina di atas bumbung itu. Dia menoleh ke arah mayat tersebut. Wajahnya berubah pucat.
"Cut, cut!" perintahnya kepada Saiful. Aku lihat Saiful tersenyum, dia terus merakamkan detik-detik Jeannie termuntah di atas seluar seorang pegawai polis yang sedang berada di tempat kejadian.
Aku hanya mampu menggelengkan kepalaku. Aku cukup mengerti bahawa setiap kejadian jenayah yang terpaksa kami liputi adalah unik. Tak ada satu pun yang sama. Setelah melihat entah berapa ratus mayat di hadapan kami, aku mengharapkan diri kami akan lali ketika melakukan tugas kami, tetapi jelas sebaliknya.
Aku menghampiri Saiful. Dia tersenyum ke arahku. Aku mendekati mayat di hadapanku. Aku menutup mulut dan hidungku rapat-rapat dengan tanganku. Bau mayat terlalu busuk. Aku mahu termuntah dibuatnya. Aku tidak faham bagaimana Saiful dapat menghadapi ini semua dengan selamba.
Mayat di hadapanku mungkin telah berada di atas bumbung ini selama dua atau tiga hari lamanya. Mayat ini sudah mula kembung. Mayat ini tidak bermata. Bahagian matanya telah dikorek. Wajahnya pula berkerut seakan-akan dia tidak mahu melihat sesuatu yang terlalu menakutkan.
"Kes bunuh?" tanya aku kepada inspektor Jason yang kini sedang berada di sebelahku.
"Kami masih lagi menyiasat..." itulah jawapan yang diberinya. Dia memandang ke arahku. Dia tahu aku tidak puas dengan jawapan yang diberi.
Tatkala itu, di hujung mataku aku dapat melihat lembaga yang sedang bergerak pantas di bahagian gelap di atas bumbung. Aku mendapati orang lain tidak melihat apa yang dapat aku lihat tadi. Mungkin aku terlalu kepenatan. Aku mengeluh lesu.
"Yang pasti, ini bukan kes bunuh diri." Bisik Jason ke telingaku.
"Kenapa kau kata begitu?"
"Dia menggenggam matanya sendiri."
"Apa?"
"Jika kau mahu membunuh diri, adakah kau akan mengorek mata kau sendiri?"
Aku tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalannya itu. Tetapi jika aku katakan aku tidak pernah memikirkan perkara yang akan aku lakukan jika aku ingin membunuh diri, pasti aku berbohong. Jika aku mahu membunuh diri, aku akan memilih untuk makan ubat tidur sehingga aku mati kerana keracunan. Aku tak sanggup melakukan apa-apa perkara yang melibatkan kesakitan yang amat sangat.
"Tidak..." Aku menjawab setelah aku melihat Jeannie sedang terduduk sambil mengelap mulutnya dengan kertas tisu. Aku lihat Saiful sedang mentertawakannya dari jauh.
Aku memberanikan diriku untuk melihat mayat pemuda Cina itu sekali lagi. Sememangnya aku dapat melihat dia sedang memegang dua biji matanya. Di matanya yang berlubang itu aku dapat lihat beberapa ekor ulat merayap keluar. Meloyakan.
"Namanya Lim Chee Meng, 27 tahun dan tinggal bersama keluarganya di tingkat 3 blok ini. Seorang juruteknik di sebuah kilang berdekatan." Jason memberitahuku. Keluarganya sedang bercuti di Hong Kong. Mereka belum dapat kita hubungi.
"Kenapa?"
"Batteri di telefon bimbitnya dah mati. Dia tidak menyimpan sebarang nombor di kad SIMnya. Mungkin jiran-jirannya ada menyimpan nombor salah seorang anggota keluarganya. Kami cuba mendapatkannya sekarang."
"Tak ada apa-apa kelakuan yang pelik yang jiran-jiran mereka dapat lihat sebelum kejadian ini berlaku kepadanya?" tanyaku sambil mengambil nota.
"Jirannya yang terdekat kata... Tak ada apa. Dia nampak biasa sahaja." Kata Jason sambil cuba berpaling ke tempat lain. Bau mayat Chee Meng menusuk ke dalam hidungnya.
"Jadi... Kau rasa ini kes bunuh?" tanyaku kepadanya walaupun aku dapat rasakan dia tidak mungkin dapat meneka tanpa bukti-bukti yang jelas.
"Selepas bedah siasat nanti baru kita akan tahu..."
"Boleh kami buat rakaman di rumahnya?"
"Kau perlu mendapatkan kebenaran ahli keluarganya... Kau sendiri tahu, bukan?"
"Aku mengangguk perlahan." Aku memasukkan notaku ke dalam seluar kargo yang kupakai. Kemudian aku meminta Saiful supaya meneruskan rakaman. "Ambil sahaja gambar mayat tu, jika tak sesuai, kita suntingkan keluar."
Saiful mengangguk. Dia mengeluarkan gula getah Wrigley's lalu dibuka pembalutnya untuk dikunyahnya. Dia menawarkan paket gula getahnya kepadaku. Aku menggeleng.
"Jeanne, teruskan rakaman. Ini informasi ringkas yang telah aku sediakan untuk kau." Ujarku kepada primadona muda itu lalu mengoyakkan kertas notaku lalu kuserahkan kepadanya. Dia mengangguk perlahan. Dia membaca notaku dengan cepat, menghafalnya, lalu berdiri di hadapan kamera. Aku memintanya membetulkan rambutnya, lalu aku berundur ke belakang sambil memeluk tubuhku.
"Pick Yin," namaku dipanggil dari belakang. Jason ingin mengatakan sesuatu kepadaku.
"Ya, kenapa?"
"Esok hari Ahad..."
"Jadi kenapa?"
"Kau tak cuti?"
"Kau sendiri tahu kerja aku ini macam mana... Kes-kes jenayah tak pernah tahu cuti." Mataku kini terus kepada Saiful yang sedang melakukan rakaman, juga kepada kata-kata yang diluarkan Jeanne tentang kes ini.
Aku melihat sudut yang dipilih Saiful agak menarik. Dia telah meminta Jeanne supaya melakukan liputan di tepi tangki air. Aku yakin bila aku menonton kembali rakamannya, aku akan seolah menonton sebuah filem ala Chungking Express lengkap dengan sinematografi Christopher Doyle. Inilah keistimewaannya. Dia telah belajar membikin filem di Ngee Ann Politeknik dengan harapan untuk menjadi seorang ahli sinematografi. Setiap rakamannya akan diatur dengan suntikan seni. Aku rasa ramai juga penonton yang sedar tentang perkara ini, bukan aku sahaja. Dialah satu-satunya jurukamera yang aku kenal yang mampu membuat Jeanne kelihatan seperti Maggie Cheung di dalam filem In Mood For Love.
"Eh, kenapa pula kau tanya aku soalan-soalan ini semua, Jason?" tanyaku menoleh ke arahnya. Di bawah cahaya samar-samar spotlight yang telah diletakkan untuk menerangi tempat kejadian, aku dapat melihat bayang-bayang menyelubungi separuh dari wajahnya. Sememangnya dia kelihatan kacak. Aku pasti ramai gadis-gadis yang meminatinya.
"Esok... Aku ada tiket untuk tayangan teater di Esplanade. Tayangan matinee." Dia meluahkan kalimahnya malu-malu. "Kawan aku tak boleh pergi dengan aku... Jadi, aku ada tiket-"
"Kau nak ajak aku keluar lah ni?" tanyaku sambil memandang keadaan di sekelilingku. Ketika aku berada di Boston dahulu, aku tidak pernah membayangkan diriku bekerja di Singapura, di atas bumbung sebuah estet perumahan yang tertua di Singapura, dan diajak untuk keluar menonton teater oleh seorang inspektor polis yang kacak. Mungkin ini semua sudah menjadi nasibku.
"Tapi esok aku sibuk Jason!" kataku memberi alasan.
"Sibuk apa pula ni?"
"Rancangan 999 akan ke udara pada hari Isnin, kau sendiri tahu."
"Aku boleh uruskan hal-hal penyuntingan video nanti!" sampuk Saiful sambil menoleh ke arahku. Aku merenung ke dalam matanya. Dia tahu aku tidak begitu selesa dengan Inspektor Jason. Dia tersengin nakal.
"Beginilah... Esok aku akan tunggu di hadapan rumah kau pukul 12 tengah hari." Terus Jason membuat temu janji ini tanpa persetujuanku.
"Esok aku perlu ke gereja..."
"Kalau macam tu, kita akan ke gereja bersama... Bagaimana?."
"Eh... tunggu sebentar." Aku mencekak pinggang. "Dari mana kau tahu alamat aku?"
"Aku bukan seorang inspektor kalau aku tak tahu tentang ini semua." Kata Jason sambil menaikkan keningnya. Seorang rakan penulis yang aku kenali mula mensyaki pihak Pemerintah Singapura mungkin ada menyimpan sebuah fail khas mengenai dirinya dan mereka sering melakukan menyiasatan terhadap dirinya. Pada ketika itu aku berfikir dia mungkin paranoid. Tetapi sekarang, aku mula merasakan apa yang difikirkannya itu betul. Mungkin Jason mengetahui segala-galanya tentang diriku lebih dari diriku sendiri. Entah-entah, dia tahu jenama shampoo yang aku gunakan atau aku perlu membeli stok tuala wanitaku secepat mungkin...
"Okay..." aku mengeluh sebelum aku menyambung kata-kataku. "Esok aku akan ikut kau keluar asalkan kau beri aku masuk ke dalam rumah mangsa."
"Untuk apa?" tanya Jason. Keningnya terkerut.
"Aku mahu melihat biliknya... Manalah tahu, ada apa-apa yang dapat kami gunakan nanti apabila keluarganya pulang ke Singapura."
Jason termenung buat seketika, sebelum katanya:
"Aku akan benarkan kau masuk ke dalam rumahnya. Tapi ini semua 'off the record' ya?"
"Ya." Jawabku pendek. Aku berjalan mendapatkan Saiful. Aku memberitahunya aku mahu ke rumah Chee Meng. Dia boleh terus membuat rakaman dan setelah itu, aku akan menunggunya dia van. Dia mengangguk cepat.
Aku mengikut Inspektor Jason turun dari bumbung ini, lalu ke tingkat tiga. Aku dapati pintu rumah Chee Meng terbuka luas.
"Pintu ini telah terbuka sebegini sejak tiga hari yang lepas... Sebab itulah jirannya menghubungi polis." Inspektor Jason memberitahu kepadaku. Aku sekadar mengangguk.
Aku masuk ke dalam rumah Chee Meng. Aku dapati rumahnya agak sederhana. Bersih. Aku dibawa oleh Inspektor Jason ke bilik tidur Jason. Di sana aku dapat melihat seorang penyiasat wanita sedang memeriksa biliknya dengan teliti. Mungkin dia sedang mencari sebuah nota bunuh diri yang sehingga kini tidak dapat dicari mereka.
"Dia suka melukis," ujar penyiasat tersebut dengan perlahan kepada Inspektor Jason.
Mataku kini terus kepada lukisan-lukisan kucing yang dilukisnya. Aku mendapati lukisan-lukisan ini masih baru lagi dilukis. Di atas mejanya terdapat pensel lukisan dan sebuah lukisan yang tidak tersiap.
"Tak ada apa-apa yang ganjil di sini... Itulah yang menghairankan aku." Ujar penyiasat tersebut sambil melepaskan nafasnya.
Tidak ada apa-apa yang menarik perhatian aku di rumah ini. Aku melangkah keluar. Inspector Jason mengekoriku dari belakang.
"Okay... Esok tunggu aku di hadapan rumah aku pukul 12.30, ya?" aku tidak pernah memungkiri janji. Lagipun, aku dah lama tak menonton teater. Tak salah rasanya jika aku keluar dengan Inspektor Jason pada hari esok. Beberapa jam lagi dari sekarang...
Aku mengucapkan selamat jalan kepadanya. Dia mahu menemaniku ke tempat letak kereta, tetapi aku kata tidak payah. Aku boleh ke sana sendiri.
Jadi aku berjalan menuju ke tempat letak kereta. Jalan masih basah. Suasana agak sunyi.
Aku terserempak dengan beberapa ekor kucing. Mereka mengiau ke arahku. Mungkin mereka kelaparan. Aku sukakan kucing, tetapi dalam keadaan begini apa yang dapat aku lakukan?
Aku terus berjalan ke arah van. Aku dapati Saiful sedang meletakkan kameranya ke dalam sebuah kotak khas di belakang van. Aku tidak nampak Jeanne di mana-mana.
"Mana perempuan tu?" tanyaku kepada Saiful.
"Dia ke Zouk... Kawan-kawannya mahu berjumpa dengannya di sana." Jawab Saiful. "Kau pula mahu ke mana?"
"Aku nak balik ke Novena... Mahu tidur." Sahutku sambil menguap. Saiful masuk ke dalam van. Dia menghidupkan enjin van.
Van yang dipandu Saiful terus bergerak dari kawasan Tiong Bahru. Sekali lagi suara Connie Francis memecahkan kesunyian malam.