<$BlogRSDURL$>

Limau Nipis - AvantGo

Laman Avantgo Limau Nipis oleh Nizam Zakaria

Tuesday, May 31, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 12



Sejurus selepas bersarapan pagi dengan datuknya, Kamarul ke rumah sebelah. Dia mahu menemui Lyold. Dia mahu meminta maaf kepadanya kerana telah berkasar kepadanya tempohari.

Kamarul memanggil nama Lyold berkali-kali di luar rumahnya. Sejak semalam dia tidak nampak kelibat Lyold. Dia mula berfikir bahawa Lyold masih memarahkannya. Margaret pula tidak datang melawat datuknya seperti mana yang dilakukannya sebelum ini. Dia mula risau, walaupun dia tahu Margaret berada di rumahnya. Dia dapat mendengar lagu-lagu sedih yang dimainkan dengan pianonya dari pagi sehinggalah ke petang. Adakah Lyold telah menghalang Margaret dari datang melawat datuknya kerana selisihan faham yang dihadapi oleh dirinya dan Lyold?

Beberapa hari yang lepas, si Jamal mata-mata dari Balai Polis Katong datang menemui Said Ali. Jamal berasal dari Alor Gajah, Melaka. Dia telah dihantar bertugas ke Singapura lebih sepuluh tahun yang lalu. Hubungan Said Ali dengan Jamal memang rapat, kerana Said Jamal banyak membantu Jamal setiap kali dia kesesakan wang. Sebagai balasannya, setiap kali Said Ali terpaksa meninggalkan rumahnya untuk ke Semenanjung (sama ada untuk bercuti atau menguruskan perniagaannya), Jamal lah yang akan membantu untuk menjenguk-jenguk rumahnya.

Ketika Jamal pergi menemui Said Ali, dia telah meluahkan kebimbangannya memberitahu Said Ali tentang dirinya yang kini terpaksa bekerja di bawah telunjuk Jepun. Jamal ada memberitahunya tentang kebencian Jepun terhadap orang-orang Cina. Dia ada mendengar desas-desus yang mengatakan orang Cina mahu dikumpul dan dihukum seberat-beratnya.

Kamarul mengkhabarkan hal ini kepada Lyold, dan inilah yang menjadi punca pergaduhan di antara mereka. Lyold seboleh-bolehnya tidak mahu dia masuk campur di dalam hal ini. Kata-katanya yang terakhir kepada Kamarul:

"Jika terjadi apa-apa kepada aku dan kau dilibatkan sama, macam mana? Siapa yang akan jaga si Margaret nanti? Siapa? Kalau kau ada sekurang-kurangnya kau boleh jenguk-jengukkan dia!"

Amah Kim keluar mendapatkan Kamarul. Dia menjemput Kamarul masuk ke dalam rumah. Wajahnya nampak risau. Katanya dengan suara perlahan kepada Kamarul:

"Kamarul... Margaret ada di dalam."

"Ya. Saya tahu... Lyold pula bagaimana? Saya sebenarnya datang kerana mahu bertemu dengan Lyold." Jelas Kamarul sambil menjenguk ke dalam rumah banglo yang besar ini.

"Lyold tak balik-balik lagi!" beritahu Amah Kim sambil menoleh ke dalam rumah. Kemudian dia tertunduk.

"Apa?"

"Dia masih berada di Jalan Besar..."

"Dia masih di tahan di situ?"

"Ya."

"Margaret pula bagaimana?"

"Dia tak mahu makan. Sejak semalam hari dia tak makan!" adu Amah Kim dengan suara risau.

"Macam mana boleh terjadi begini?"

"Dia risaukan kepada keselamatan Lyold..." ujar Amah Kim takut-takut sebelum dia mendekatkan dirinya kepada Kamarul. "Tolong pujuk dia supaya makan... Aku takut kalau dia tak makan nanti dia akan jatuh sakit!"

Kamarul mengangguk setuju. Dia meletakkan capalnya ke tepi. Dia masuk ke dalam rumah Margaret lalu terus ke bahagian ruang tamu ke tempat Margaret sedang bermain piano.

"Margaret... Amah Kim kata kau tak makan-makan lagi. Jangan sampai jadi macam ni, Margaret!"

Amah Kim menggaru-garu kepalanya yang bertocang panjang sehingga ke belakang itu. Wajahnya nampak serba salah. Margaret terus bermain pianonya tanpa henti. Langsung dia tidak menoleh ke arah Kamarul. Amah Kim perlahan-lahan membawa dirinya pergi untuk menyambung kerja-kerja rumahnya.

"Makan Margaret... Kalau kau tak makan nanti kau akan sakit. Kalau kau sakit nanti macam mana? Siapa yang susah?" getus Kamarul. Matanya kini kepada sebuah gurisan intaglio yang diletakkan Margaret di atas pianonya. Margaret terus bermain tanpa henti.

"Ini gambar pemandangan pantai di hadapan rumah Margaret, bukan? Saya kenal benar dengan pokok kelapa dengan batang yang condong ke pantai ni-"

"Ayah saya minat membuat cetakan gambar dari gurisan intaglio seperti ini..." Kata Margaret. Dia berhenti dari terus bermain pianonya. "Inilah satu-satunya barang yang terselamat dari rumah kami. Yang lain semuanya musnah."

Kamarul mengambil plat gurisan yang diperbuat daripada tembaga merah itu. Dia memerhatikan gurisan halus pada plat. Plat gurisan ini separuh siap.

"Papa tak sempat untuk siapkan plat ini." Kata Margaret lantas mengambil plat tersebut dari tangan Kamarul. Dia meletakkan plat itu kembali ke atas pianonya, kemudian dia sambung bermain dengan pianonya. Kamarul mengeluh lesu. Dia terus berdiri di sebelah Margaret sambil mendengar lagu yang dibawa Margaret.

Lagu yang dibawakan Margaret menusuk ke dalam kalbunya. Dia seolah-olah dapat merasakan kesedihan yang dialami oleh Margaret melalui irama sayu yang dimainkannya. Dia khayal buat seketika mendengar irama yang dimainkan oleh Margaret.

"Ada sebuah kereta yang masuk ke kawasan rumah!" ujar Amah Kim berlari-lari mendapatkan Margaret.

"Kereta apa?" tanya Kamarul yang tersentak dari lamunannya.

"Orang Jepun bawa kereta tu!"

"Apa mereka mahu?"

Amah Kim cepat-cepat menggelengkan kepalanya tanda dia tidak tahu.

"Amah Kim... Bawa Margaret masuk ke dalam biliknya!" perintah Kamarul dengan suara yang tegas. Amah Kim menganggukkan kepalanya berkali-kali.

Kamarul berjalan keluar. Dia mendapat melihat sebuah kereta Buick diletakkan di bahagian hadapan rumah. Tiga orang tentera Jepun pula masuk ke dalam rumah tanpa diundang dengan langkah yang cukup angkuh.

Kamarul dapat meneka bahawa dia sedang berhadapan dengan anggota tentera Jepun yang bukan berpangkat tinggi dari pedang pendek yang dibawa mereka. Perwatakan mereka juga kasar.

Kamarul menundukkan kepalanya. Ketiga-tiga tentera Jepun ini terus berjalan melepasinya, langsung tidak mengendahkannya seolah-olah dia tidak wujud di dalam dunia mereka.

"Gar!" ucap salah seorang dari mereka yang mempunyai wajah yang bengis.

"Gar?" tanya Kamarul dalam nada keliru. Dia tidak faham apa yang dimaksudkan oleh seorang anggota tentera Jepun yang bermisai tebal. Orangnya rendah, tetapi wajahnya nampak cukup garang.

"Gar!" Katanya dengan suara yang lebih keras. Dia menyerahkan sekeping surat kepada Kamarul. Di atas surat tersebut tertulis arahan yang ditulis di dalam bahasa Melayu, Cina dan Jepun.

Kamarul membaca isi surat tersebut. Dia mendapati rumah Margaret mahu dirampas tentera Jepun. Rumah ini dirampas Jepun kerana ia dipunyai oleh mendiang bapanya - seorang yang dianggap musuh kepada pemerintah Jepun dan Maharajanya, kerana aktiviti-aktiviti anti-Jepunnya sebelum perang meletus dahulu.

"Gar! Garrrr!" sela si tentera Jepun dengan lebih kuat lagi. Si Jepun naik ke tingkat atas. Kamarul cepat-cepat mengekorinya dari belakang. Dia membuka bilik-bilik yang terdapat di tingkat atas satu persatu sehinggalah dia masuk ke dalam bilik Margaret. Margaret sedang menunggu di dalam bilik sambil berdiri dengan kepalanya tertunduk ke bawah.

Si tentera Jepun yang bengis itu menarik tangan Margaret lalu mengheretnya keluar dari biliknya.

Amah Kim menangis dalam keadaan ketakutannya. Si tentera Jepun itu pula mengherdik Kamarul dengan memberitahunya bahawa 'gar' (atau girl) yang dimaksudkan olehnya tadi adalah Margaret. Dia sedang mencari seorang gadis yang diketahuinya sedang menetap di dalam banglo ini.

Kamarul tidak tahu apa yang harus dilakukannya pada ketika itu. Dia terus ke tingkat bawah sambil merayu agar si tentera Jepun itu melepaskan Margaret. Dilihatnya Margaret terus berkeadaan diam. Di dalam keadaan pasrahnya Margaret telah membiarkan dirinya dibawa oleh tentera Jepun itu untuk ke mana sahaja dia pergi.

"Tolong lepaskan dia tuan! Dia masih budak lagi!" ujar Kamarul berkali-kali, tetapi kata-katanya tidak diendahkan langsung.

Di dalam keadaan terdesaknya, Kamarul telah menggunakan sepenuh tenaganya untuk melepaskan genggaman tentera Jepun itu yang sedang memegang lengan Margaret dengan kuat. Apabila Margaret dapat dilepaskannya, dia menolak Margaret ke belakang.

Si tentera Jepun itu mengamuk. Dia rasa dirinya telah dimalukan oleh Kamarul di hadapan rakan-rakannya. Di dalam keadaan marahnya dia telah menempeleng Kamarul sekuat hatinya.

Pipi Kamarul terasa sebal buat beberapa ketika sebelum rasa sakit akibat ditempeleng tentera Jepun menyerap sehingga ke seluruh bahagian mukanya. Kamarul mendapati bibirnya basah. Apabila dia menjilat bibirnya dia dapat rasa masin darahnya sendiri. Dia menyapu darah yang mengalir dari hidungnya itu.

Si tentera Jepun itu belum puas hati lagi. Dia cukup marah apabila dia melihat Kamarul masih berdiri tegak di hadapannya, degil tidak mahu berganjak ke mana-mana.

Si tentera Jepun yang sedang mengamuk itu terus mengambil senapangnya lalu dia menggunakan bontot senapang untuk menghentak kepala Kamarul dengan kuat. Bunyi kepada Kamarul dihentak begitu membuatkan Margaret menjerit kerana terlalu terkejut.

Kejadian berlaku terlalu pantas. Kamarul langsung tidak dapat mengelak. Hentakan yang dilakukan oleh tentera Jepun tadi terlalu kuat sehingga membuatkan kepalanya berdarah. Dia jatuh tersungkur di atas lantai.

Margaret terus mendapatkan Kamarul. Darah bercucuran turun dari kepalanya jatuh ke mukanya. Mata Kamarul kini pedih kerana darahnya turun terlalu banyak sehingga membasahi mukanya.

"Bakayaro!" herdik seorang pegawai Polis Tentera yang tiba-tiba sahaja muncul di muka pintu dengan suara yang bengis. Suaranya begitu lantang sehingga membuat askar-askar Jepun yang lain terkejut. Mereka bertiga memberikan tabik hormat kepada pegawai tersebut.

Pegawai tersebut masuk ke dalam rumah lalu berdiri di hadapan Kamarul. Dia menarik nafasnya dalam-dalam sebelum dia menoleh mendapatkan tentera-tentera Jepun yang telah menceroboh masuk ke dalam rumah Margaret tadi.

Pegawai tersebut mengambil masa selama seminit memarahi anggota-anggota tentera berpangkat rendah ini. Kemudian seperkara yang tidak disangka-sangka berlaku. Dia telah menempeleng muka anggota tentera yang telah mencederakan Kamarul tadi dengan kuat.

"Bakayaro!" sekali lagi kalimah ini terkeluar dari mulutnya.

Si tentera yang kena sepak tadi menunduk hormat. Kemudian dia bersama dua kawannya yang lain beredar keluar dari rumah.

"Maafkan mereka..." Ujar pegawai yang garang tadi kepada Kamarul dan kepada Margaret di dalam bahasa Inggeris yang fasih. "Mereka tidak biasa berhadapan dengan orang awam seperti kamu berdua."

Kamarul tidak menjawab. Kepalanya terlalu sakit. Margaret terus menggunakan tangannya untuk menutup luka pada kepala Kamarul.

Amah Kim muncul dari dapur lalu menyerahkan dua helai kain bersih yang telah dibasahkan kepada Margaret. Margaret terus mengambil kain tersebut untuk ditekapkannya kepada kepala Kamarul. Sehelai kain lagi digunakan untuk membersihkan wajah Kamarul yang dilumuri darah.

"Rumah ini serta segala harta benda di dalam rumah ini akan diambil alih oleh Polis Tentera Jepun. Rumah ini diminta agar dikosongkan secepat mungkin. Maafkan saya kerana saya hanya menjalankan tugas saya." Jelas si pegawai Jepun berpangkat tinggi sambil menundukkan kepalanya.

Mata Kamarul terus kepada sebilah pedang samurai yang panjang tersisip di sisinya. Dia kemudian memandang wajah jernih pegawai tentera yang berkaca mata ini.

"Nama saya Kamarul... Saya jiran kepada mereka berdua." Ujar Kamarul cuba berdiri dari keadaan terduduknya tadi.

"Nama saya Leftenan Koji Mitsusuke dari Unit Lapangan Kedua Polis Tentera." Katanya sambil menundukkan dirinya. "Bagaimana dengan keadaan kamu sekarang?"

"Kepala saya luka sikit sahaja. Saya rasa pendarahannya dah kurang. Sekejap lagi baik lah tu." Jawab Kamarul sambil memegang kain yang diberikan Amah Kim ke kepalanya.

"Kalau begitu... Kamu perlu ikut saya," Ujar Koji

"Untuk apa?"

"Kamu cuba melawan seorang pegawai Polis Tentera... Bukan satu langkah yang bijak... Kamu sudah melakukan kesalahan yang besar." Ujar Koji dengan nada selamba.

Wajah Kamarul terkerut seribu. Dia menoleh ke arah Margaret. Didapatinya wajah Margaret berubah pucat. Amah Kim pula masih terkebil-kebil ketakutan.

"Jangan hukum dia... Dia tak bersalah!" getus Margaret terus dia sujud ke kaki Koji. "Hukum saya... Saya yang bersalah!"

"Aah, so desuka... Jadi begitulah ceritanya?" sambut Koji sambil mengusap rambut Margaret. Walaupun begitu, dia langsung mengendahkan rayuan Margaret. Dia terus berjalan keluar dari rumahnya tanpa meluahkan satu patah perkataan pun selepas itu.

"Saya perlu pergi..." ujar Kamarul kepada Margaret dan kepada Amah Kim. "Awak ambillah apa-apa yang patut... Kemudian tinggal sahaja di rumah datuk saya. Beritahu kepadanya apa yang telah berlaku, nanti dia akan faham."

Kamarul mengenakan capalnya. Dia berjalan mengekori Koji dari belakang. Dia mendapati Koji telah datang ke rumah Margaret dengan menaiki sebuah kereta Oldsmobile yang agak besar saiznya. Pemandu Koji nampaknya sedang menunggu di dalam kereta bersama seorang pegawai bawahan Koji yang kelihatan masih muda. Mereka berdua terus memandangnya dengan satu pandangan mata yang tajam.

Koji membuka pintu lantas meminta supaya Kamarul masuk ke dalam keretanya. Kamarul akur dengan perintahnya. Dia tidak mahu membuat kacau lagi. Dia tidak mahu nanti tindakannya akan meninggalkan kesan bukan sahaja kepada Margaret, tetapi kepada datuknya nanti.

Kereta yang dinaiki Kamarul dan Koji dengan laju meninggalkan kawasan rumah Margaret. Margaret yang telah berdiri di anjung di dalam keadaan diam sejak tadi kini menangis semahu-mahunya.

II


Di sepanjang perjalanan, Koji hanya diam sambil memandang ke luar tingkap. Kadangkala matanya akan berpindah memandang ke arah Kamarul. Wajahnya tenang di dalam diamnya. Mereka yang sedang berada di dalam kereta langsung tidak mengeluarkan sebarang suara. Senyap.

Kereta yang dinaiki mereka kini berhenti di sebuah kawasan pantai yang agak terpencil di East Coast Road. Kamarul diminta keluar oleh Koji. Kamarul menurut sahaja. Pegawai Polis Tentera yang sedang duduk di hadapan keluar dari perut kereta lalu mengeluarkan sebatang cangkul dari dalam but kereta.

Koji telah mengeluarkan arahan yang pendek kepada pegawai mudanya itu sebelum kereta yang dinaikinya bergerak dengan laju meninggalkan kawasan pantai itu.

Kini hanya tinggal Kamarul dan pegawai polis tentera itu di atas pantai. Si pegawai polis tentera itu mencacakkan cangkul yang dipegangnya ke atas tanah. Dia mengambil sebatang kayu untuk melukis keluasan tanah yang perlu dicangkul oleh Kamarul.

Dia meminta Kamarul mengorek sebuah lubang yang secetek 1.5 meter dengan dimensi 10 meter panjang dan 2 meter lebar.

Pegawai Polis Tentera itu kemudian mengeluarkan sekotak rokok berjenama Minami dari dalam kocek bajunya. Dia duduk di bawah sebatang pokok ru sambil menghisap rokoknya tatkala Kamarul menghempas pulas bercangkul di bawah terik matahari pagi.

Kamarul bercangkul selama dua jam tanpa henti. Bajunya dibasahi peluh. Tekaknya kering. Dia memegang luka di kepalanya. Dia mendapati bahagian kepalanya yang luka berkerak dengan darah yang telah kering.

Kamarul mencongak-congak tatkala bercangkul. Dia mendapati dia mungkin terpaksa bercangkul sehingga ke petang untuk menyiapkan lubang yang dikehendaki oleh polis tentera ini.

"Watashi wa Miyake desu!" kata si Polis Tentera yang sedang duduk di bawah pohon ru sejak tadi kepada Kamarul sambil menudingkan jarinya ke arah hidungnya. "Miyake," dia mengulangi namanya ini sekali lagi. "Anata no namae wa nan desu ka?" dia bertanya kepada Kamarul sambil menudingkan jarinya ke arahnya.

"Kamarul. My name is Kamarul." Jawab Kamarul terus mencangkul tanah yang berpasir di hadapannya.

"My Engruish very bad... Sorry!" katanya sambil tersenyum lalu tertunduk berkali-kali. "Tabako o suu?" dia bertanya kemudian sambil menawarkan rokoknya kepada Kamarul.

Kamarul menggeleng. Dia menunjukkan isyarat dengan tangannya bahawa dia mahu minum. Miyake mengangguk faham lalu memanggil Kamarul supaya duduk berehat dengannya di bawah pokok.

Kamarul meletakkan cangkulnya ke tepi. Dia berjalan menghampiri Miyake. Miyake menyerahkan botol airnya kepada Kamarul. "Ikki Ikki!" katanya menjemput Kamarul minum.

Kamarul meneguk air yang diberikan Miyake untuk membasahi tekaknya yang kering itu. Dia memastikan dia tidak minum bekalan air Miyake sehingga habis. Setelah dia selesai minum, dia menyerahkan botol air itu kembali kepada Miyake.

Miyake memintanya berehat sebentar. Kamarul mengangguk lalu membuka bajunya yang basah itu. Dia menjemur bajunya di atas dahan pokok ru berdekatan. Dia menarik nafas keletihan. Miyake pula terus menghisap rokoknya sambil memandang kosong ke arah Selat Singapura. Dua puluh minit kemudian, Miyake memintanya supaya menyambung kerja-kerja itu.

III


Pada pukul 4 petang, Koji kembali muncul untuk menemui Kamarul dan Miyake. Kali ini dia datang dengan bekalan makanan dan minuman untuk Miyake.

Koji memeriksa lubang yang telah dikorek Kamarul. Dia cukup berpuas hati dengan hasil kerja yang dilakukan oleh Kamarul. Cuma apa yang dia mahu sekarang adalah untuk Kamarul membuat lubang yang lebih dalam lagi.

"Lebih cepat kau siap, lebih cepat aku boleh hantar kau pulang sebentar lagi..." Ujar Koji mengukir janji.

Koji menyerahkan botol airnya kepada Kamarul. Kamarul mengucapkan terima kasih berkali-kali kepadanya. Kali ini dia telah meneguk air yang telah diberikan oleh Koji sehingga habis. Dia terlalu kehausan kerana terpaksa bercangkul di bawah cahaya panas terik. Perutnya lapar, dia juga kepenatan, tetapi hal itu semua ditolaknya ke tepi.

Koji berdiri di bawah pokok ru sambil berpeluk tubuh memerhatikan Kamarul yang sedang bersungguh-sungguh cuba menyiapkan tugasnya. Kamarul ingin pulang secepat mungkin. Dia tidak mahu lama-lama di sini.

Koji berdiri sambil memerhatikan tubuh muda Kamarul tatkala dia sedang mengayunkan cangkulnya. Tubuh Kamarul lencun dibasahi peluh. Kulit Kamarul yang sebelum ini cerah, kini nampak kemerahan akibat dimamah cahaya matahari. Setiap kali Kamarul mengayunkan cangkulnya, otot-otot kekar pada bahagian dada dan perutnya mengembang cantik.

Sepuluh minit kemudian, Koji berjalan mendapatkan Kamarul. Dia menyerahkan sehelai sapu tangan putih kepunyaannya kepada Kamarul.

"Lap tubuhmu itu," perintahnya sambil menarik nafasnya dalam-dalam. Kamarul menurut sahaja tanpa banyak soal. Dia mengelap tubuhnya yang basah itu dengan menggunakan sapu tangan pemberian Koji tadi.

Tubuh Kamarul kering sedikit kelihatannya sekarang. Tidaklah berkilat seperti tadi. Kamarul menyerahkan sapu tangan Koji kembali kepadanya. Dengan penuh berhati-hati Koji mengambil sapu tangannya lalu melipatnya baik-baik sebelum memasukkan sapu tangan tersebut ke dalam kocek seluarnya.

"Kerja kau sudah selesai..." ujar Koji sambil memandang ke arah jam tangannya. "Sebentar lagi beberapa buah terak akan tiba ke sini. Walau apa pun yang berlaku nanti, aku tak mahu kau bersuara. Kau perlu diam sepanjang masa. Faham?"

Kamarul mengangguk. Dia mengambil bajunya yang telah dijemurnya tadi. Dia memakai bajunya lalu membutangkan bajunya satu persatu.

Lima belas minit kemudian, dua buah terak yang dipenuhi lelaki-lelaki berbangsa Cina diberhentikan di tepi pantai. Lelaki-lelaki Cina ini diikat tangan mereka dengan tali rafia, dan diikat bersambung-sambung di dalam beberapa kumpulan.

Beberapa orang Polis tentera Jepun yang datang bersama terak-terak ini memerintahkan agar lelaki-lelaki Cina seramai 120 orang ini supaya berkumpul di atas pantai. Wajah mereka jelas ketakutan. Ada di antara mereka yang sedang menitiskan air mata mereka. Ada pula yang jelas nampak pasrah.

Koji mengumpulkan anak-anak buahnya seramai 6 orang termasuk Miyake. Dia memandang ke arah langit petang sebelum dia bersuara:

"Kamu semua perlu menurut perintah... Kamu perlu membunuh kesemua pesalah-pesalah Cina ini."

Bunuh. Mereka perlu membunuh lelaki-lelaki yang tidak berdosa ini walaupun mereka tidak mempunyai sebarang perasaan marah ataupun benci terhadap mereka. Mereka sedar bahawa tidak seorang pun dari tahanan berbangsa Cina ini telah membuat sebarang kesalahan. Mereka tidak mempunyai sebarang sebab untuk membunuh orang-orang awam ini. Mereka merasa teragak-agak untuk membunuh.

"Kamu semua perlu membunuh mereka di atas perintah Maharaja!" Ujar Koji dengan suara yang keras apabila anak-anak buahnya masih teragak-agak untuk menurut perintahnya.

Koji seterusnya bertindak dengan memotong tali dua orang tahanan lalu memaksa mereka supaya berlutut di tebing lubang yang telah digali oleh Kamarul tadi. Dengan teragak-agak mereka menurut. Salah seorang dari mereka mungkin berumur lebih muda dari Kamarul. Matanya berkaca-kaca. Dia terus memandang ke arah Kamarul seolah meminta tolong darinya.

Kamarul tidak dapat melakukan apa-apa kecuali berdiri di bawah pohon ru sambil berdiri tegak. Fikirannya berkecamuk.

Dengan pantas Koji mengeluarkan pedangnya lalu memenggal kepala kedua-dua lelaki Cina yang berlutut tadi. Darah keluar dengan deras dari leher mereka lantas mengeluarkan bunyi seperti air yang keluar dari batang paip. Darah mereka tersembur tiga meter ke hadapan.

Apa yang berlaku selepas itu adalah sesuatu yang tidak mungkin mahu diingati Kamarul sampai bila-bila. Satu persatu tahanan Cina dipancung leher mereka oleh anak-anak buah Koji. Apabila mereka penat memancung, ada di antara tahanan ditikam sampai mati.

Bau darah yang hanyir menusuk ke dalam hidungnya. Lubang yang digalinya tadi berkeladak dengan takungan darah yang masih segar. Mayat lelaki-lelaki Cina yang telah dibunuh oleh tentera-tentera Jepun kini memenuhi lubang kubur yang cetek yang telah digali Kamarul.

"Aku akan hantar kau pulang sekarang," ujar Koji dengan suara yang perlahan kepada Kamarul. Dia berjalan ke arah keretanya sambil membersihkan pedangnya dengan sehelai kain yang telah diserahkan oleh seorang anak buahnya.

Dengan perasaan berat Kamarul berjalan mengekori Koji lantas masuk ke dalam kereta Oldsmobile yang telah dinaiki untuk ke sini tadi. Di dalam kereta matanya terus ke bawah. Dia tidak berani memandang ke arah Koji mahupun memandang ke arah pantai yang pasirnya merah berlumuran dengan darah itu.




posted by Nizam  # 3:24 PM

Monday, May 30, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 11



Amah Kim pulang dari kawasan Joo Chiat dengan tangan kosong. Kedai-kedai yang biasanya dibuka untuk perniagaan banyak yang masib belum dibuka lagi. Ramai peniaga yang takut untuk membuka perniagaan mereka kerana kes-kes kecurian semakin menjadi-jadi sejak Singapura jatuh ke tangan Jepun.

Sebaik sahaja dia meletakkan basikal yang dinaikinya ke tepi, dia terus mencari Margaret yang tidak henti-henti bermain dengan pianonya sejak awal pagi tadi.

"Kenapa amah?" Tanya Margaret. Dia berhenti dari terus bermain lagu Chopin, Nocturne Opus 15, No. 2 yang telah dimainkannya dengan sayu. Dia melihat wajah Amah Kim terlukis kerisauan.

"Aku ada terbaca notis yang ditampal di hadapan Balai Polis Joo Chiat tadi."

"Notis apa?"

"Jepun mahu orang Cina yang berumur di antara 18-30 supaya berkumpul pada 21 Februari di beberapa buah tempat yang telah dikhaskan mereka." Ujar Amah Kim yang berasal dari daerah Canton itu dengan suara hampir berbisik kepadanya. Dia berhenti dari terus berkata-kata apabila dia dapat mendengar suara Lyold melangkah turun ke tingkat bawah dari arah biliknya.

Amah Kim sedang mengepit akhbar Inggeris Shonan Shimbun di ketiaknya. Sebaik sahaja Lyold muncul di hadapannya, dia cepat-cepat menyerahkan surat khabar tersebut kepada Lyold.

"Mana Straits Times? Bukan saya suruh Amah beli Straits Times tadi?" tanya Lyold dengan dahinya terkerut sewaktu merentangkan surat khabar Shonan Shimbun untuk dibaca.

"Itu sahaja akhbar Bahasa Inggeris yang dijual." Jawab Amah Kim serba salah. Lyold mengangguk sambil menjeling. Amah Kim cepat-cepat masuk ke dapur. Dia tidak mahu bertekak dengan Lyold. Dia sedar akan kedudukannya. Dia telah diambil bekerja dengan keluarga Say Hian sejak dia berusia 14 tahun ketika dia mula-mula menjejakkan kakinya ke Singapura. Baginya, Lyold adalah tuan mudanya - sumber rezekinya untuk terus hidup di dunia ini.

"Apa yang kau bualkan dengan Amah tadi?" tanya Lyold dengan lembut kepada adiknya. Dia ingin tahu mengapa wajah Margaret tiba-tiba risau.

Margaret tidak menjawab. Dia terus termenung memandang ke arah sebuah plat Intaglio yang diletakkan di atas pianonya.

Sebuah plat intaglio yang separuh siap...

Lyold mengeluh. Dia duduk di atas sebuah kerusi di atas verandah menghadap ke arah Selat Singapura. Dia mahu membaca surat khabarnya di situ. Margaret memandang abangnya dari jauh sebelum dia mengambil keputusan untuk mendapatkan abangnya.

Wajah Lyold berubah apabila dia terbaca arahan Pemerintah Tentera ke atas mereka yang berbangsa Cina di Singapura yang tertulis di dalam akhbar Shonan Shimbun:

Mereka yang berbangsa Cina yang menetap di Pulau Shonan berumur di antara 18 hingga 50 tahun, diminta berkumpul pada 21 Februari di kawasan-kawasan berikut:

Di medan terbuka di persimpangan Arab Street dan Jalan Besar

Di kawasan paling selatan River Valley Road

Ladang Getah di persimpangan Kallang Road dan Geylang Road.

Di dalam kawasan Stesen Polis Tanjong Pagar

Persimpangan Paya Lebar dan Changi Road

Mereka yang melanggar perintah ini akan dikenakan hukuman keras. Anda perlu menyediakan bekalan dan makanan anda sendiri.

Komander Tentera Jepun


Anak tekak Lyold bergerak-gerak apabila dia menelan air liurnya. Nafasnya turun naik dengan laju. Dia kaku di dalam keadaan duduknya begitu.

"Apa yang harus kita lakukan, bang?" tanya Margaret dengan nada bimbang di belakang Lyold. Matanya tertumpu pada arahan yang telah dipaparkan di dalam akhbar Shonan Shimbun yang telah dibacanya tatkala berdiri di belakang Lyold tadi.

"Kita tak boleh lakukan apa-apa kecuali menurut perintah mereka." Ujar Lyold dengan nada pasrah. Dia memegang bahu adiknya itu untuk memberitahunya walau apa pun yang berlaku, dia akan ada bersamanya untuk menjaga dan melindungnya.

II


Leftenan Koji Mitsusuke memandang ke langit biru tatkala sedang berdiri di luar Hotel White House yang terletak di persimpangan antara Jalan Besar dan Mayo Street. Cuaca panas yang menyengat membuatnya berpeluh. Walaupun begitu, dia cukup senang dengan cuaca panas seperti ini dibandingkan dengan cuaca sejuk yang pernah dihadapinya di Manchukuo - sebuah daerah yang terletak di utara negara China bersempadankan Russia.

Koji memang bencikan kepada ketandusan dan kedinginan Manchukuo, yang sering dibandingkannya dengan suasana di dalam Abikyokan, neraka yang paling bawah di dalam kepercayaan Budda. Hampir sepuluh tahun dia telah ditugaskan di sana. Hampir sepuluh tahun dia ditempatkan ke dalam sebuah tempat yang dianggapnya neraka...

Pagi musim dingin, 8 Disember 1941. Tatkala itu Koji sedang berada di sebuah bangunan di Mukden, sebuah bandar garison yang terletak di Manchukuo, apabila dia mendengar perkhabaran dari Radio Tokyo yang langsung mengubah haluan hidupnya:

"Hari ini Empayar kita telah berjaya memulakan serangan terhadap Asia Tenggara."

Koji masih tidak dapat mempercayai apa yang baru sahaja di dengarinya. Dari koridor yang dilaluinya itu, dia masuk ke dalam bilik di mana siaran dari Radio Tokyo itu dibuka kuat-kuat. Anggota-anggota 'hojo kempei' (dari Unit Lapangan Kedua Polis Tentera) serta-merta berdiri tegak sambil memberikan tabik hormat kepadanya. Koji membalas tabik hormat mereka, sebelum dia lalu menyuruh mereka kembali kepada apa yang telah mereka lakukan sebelum ini.

Sukar untuk dia mempercayai apa yang didengarinya. Wajah anak-anak buahnya nampak berseri-seri lebih-lebih lagi apabila suara di corong radio memberitahu bahawa Tentera Imperial dan Tentera Laut Jepun telah sedang berada di dalam kancah perang dengan kuasa Amerika Syarikat dan British.

Koji termenung memandang ke luar jendela. Pandangannya kosong. Lagu perbarisan diikuti dengan lagu tentera laut dimainkan sejurus selepas kenyataan perang selesai dilakukan. Lagu-lagu patriotik yang berkumandang di corong radio kini ditenggelamkan oleh suara pemuda-pemuda Jepun yang sedang menyanyikan lagu patriotik 'Damashii Yamato' sesudah mereka menerima berita gembira yang cukup-cukup membanggakan ini!

Dua bulan kemudian, Koji mendapati dirinya berada di semenanjung Tanah Melayu sebelum akhirnya dia diminta supaya memulakan tugasnya di Singapura - walaupun semahu-mahunya dia mahu berada di Manila. Dia pernah mendengar cerita bahawa suasana di Filipina lebih menyenangkan jika dibandingkan dengan Singapura. Pantai-pantai di sana lebih cantik. Tetapi apakan daya. Dia tidak mempunyai kata putus di dalam hal ini. Dia hanya menurut perintah. Kesetiaannya hanya kepada Maharajanya. Dia sanggup berkorban nyawa kerana Maharajanya yang dianggapnya sebagai tuhan.

Lagipun. Fikirnya, jika dia terkorban di dalam kancah peperangan ini, rohnya akan bersemadi di keramat Yasukuni dan dia akan menjadi seorang dewa - satu keinginan yang diimpikan oleh setiap warga Jepun yang mencintai negara serta Maharajanya.

Demi Maharajanya, dia sanggup dihantar ke Singapura. Lagipun bukankah itu yang dia mahu selama ini?

Kira-kira lima belas tahun yang lalu, Koji telah mendapatkan ijazahnya di dalam Bahasa Inggeris dari Kolej Bahasa-bahasa Asing Osaka. Cita-citanya selama ini adalah untuk melihat dunia dan bekerja di mana-mana pejabat perwakilan Jepun di luar negara. Cita-citanya ini tidak pernah tercapai kerana keluarganya tidak mempunyai nama atau kedudukan. Buat beberapa tahun dia menjadi guru Bahasa Inggeris sehinggalah dia terpanggil untuk memulakan kariernya sebagai seorang anggota tentera. Fikirnya, dengan menjadi seorang anggota tentera, dia pasti akan dapat mencapai cita-citanya melihat dunia. Maka betullah apa yang difikirkannya itu, apabila dia telah dihantar ke Manchukuo sejak tahun 1932 - pada tahun yang sama tatkala Pu Yi, Maharaja China yang telah diturunkan tahtanya dilantik Jepun sebagai Maharaja Boneka Machukuo...

Koji menarik nafasnya dalam-dalam sewaktu berada di hadapan luar Hotel White House. Dia merasa begitu segar pada hari itu. Dia baru diberitahu bahasa hotel ini pernah menjadi tempat yang sering dikunjungi oleh askar-askar British. Kini hotel ini dijadikan ibu pejabat Unit Lapangan Kedua Polis Tentera Jepun.

Koji berjalan ke arah pusat tahanan Jalan Besar sambil diiringi oleh dua orang anak buahnya. Dia mendapati pagi-pagi lagi kawasan itu telah dipenuhi oleh beribu-ribu bangsa Cina yang telah diperintahkan supaya berhimpun di situ.

Kawasan tersebut ditutup dan dijaga dengan rapi. Mereka yang masuk ke kawasan ini disuruh menunggu sehingga diri mereka diperiksa oleh pegawai-pegawai Polis Tentera Jepun.

Pegawai-pegawai Polis Tentera di bawah pimpinan Koji sedang mengawal keadaan. Beberapa hari sebelum ini, mereka telah berjaya mengawal kes kecurian di Singapura dengan cukup berkesan. Sekumpulan lelaki Cina telah melakukan kesilapan besar dengan merompak stor kepunyaan tentera Jepun. Seramai lapan orang pencuri ini ditangkap lalu dipancung. Kepala mereka telah dipacakkan di beberapa buah persimpangan di Singapura seperti di Tanjong Pagar, Stamford Road dan Fullerton Square. Di bawah kepala yang dipacakkan di tempat-tempat awam ini dikeluarkan amaran keras bahawa perkara yang sama akan dilakukan kepada sesapa yang didapati mencuri!

Sejak awal lagi dia dapat melihat keadaan huru-hara di pusat tahanan ini. Keadaan ini telah berlaku kerana pegawai-pegawainya menghadapi masalah untuk berkomunikasi - kerana tidak seorang pun di antara mereka yang tahu bertutur di dalam dialek Cina seperti Hokkien dan Kantonis. Keadaan di dalam pusat tahanan ini huru-hara. Bising. Tak sampai sejam, tercetus satu pergaduhan besar di antara sekumpulan lelaki Cina yang telah dikumpulkan di dalam pusat tahanan jalan Besar ini. Koji hanya berdiri memerhatikan.

Seorang pegawainya bergerak ke tempat pergaduhan. Dia mengambil sebilah pisau yang tajam lalu memotong telinga dua orang lelaki yang sedang bergaduh. Di dalam masa sekelip mata sahaja keadaan menjadi tenang. Tidak seorang pun dari beribu-ribu orang yang telah dikumpulkan membuat sebarang bunyi. Mereka semua terus duduk di atas kawasan lapang itu di bawah cahaya matahari yang terik dalam keadaan ketakutan.

Koji terus memeluk tubuh sambil memerhatikan sekali lagi surat arahan yang telah diterima oleh ketuanya. Dia telah diperintahkan untuk mengkategorikan lelaki-lelaki berbangsa Cina yang mereka kumpulkan di dalam pusat tahanan ini kepada sembilan kategori berasingan:

1. Mereka yang pernah aktif mengumpulkan wang untuk Dana Bantuan Negeri China;
2. Golongan kaya yang menderma sejumlah wang yang besar kepada Dana tersebut
3. Pengikut Tan Kah Kee, ketua Pergerakan Bantuan Kebangsaan Nanyang; guru besar, guru dan peguam;
4. Orang-orang Hainan yang disyaki berfahaman Komunis;
5. Cina kelahiran China yang telah berhijrah ke Malaya selepas meletusnya peperangan China-Jepun;
6. Lelaki dengan lukisan tatu di tubuh mereka yang disyaki menganggotai kumpulan samseng.
7. Mereka yang pernah berjuang bersama British sebagai sukarelawan menentang Jepun;
8. Pekerja Kerajaan dan mereka yang mempunyai pembawaan pro-British.
9. Mereka yang bersenjata serta cuba untuk mengganggu ketenteraman awam.

Apa yang perlu dilakukan oleh Koji serta pegawai-pegawainya (kebanyakan dari mereka berasal dari kawasan pendalaman di Jepun dan hanya mempunyai pendidikan sekolah rendah) bukannya satu perkara yang mudah. Untuk menyenangkan lagi tugas mereka, wanita, orang tua serta kanak-kanak disaringkan dahulu lalu diberikan cap perkataan 'jian' di atas lengan, muka, pakaian atau kertas.

Kerja-kerja saringan pada mulanya berjalan dengan lancar. Wanita, kanan-kanak serta orang tua diperiksa terlebih dahulu lalu diberikan cap 'jian'. Kemudian pada waktu tengah hari, Koji telah diberitahu tentang satu kes yang perlu ditelitinya sendiri. Seorang pemuda telah ditangkap apabila dia didapati sedang beratur di dalam barisan yang telah dikhaskan untuk orang tua, wanita dan kanak-kanak.

Beberapa orang wanita telah meraung-raung memberitahu kepada pegawainya supaya jangan menahan pemuda tersebut. Mereka telah memberitahu kepada pegawai-pegawai Polis Tentera Jepun bahawa pemuda sebenarnya adalah seorang gadis yang sedang pakaian lelaki. Mereka menjelaskan bahawa gadis itu disuruh menyerupai lelaki agar dirinya tidak dicabul tentera Jepun.

Koji telah memerintahkan supaya pemuda itu dibawa ke sebuah bilik pejabatnya. Seorang jurubahasa berbangsa India dibawanya bersama sebagai saksi mengikut prosedur dakwaan pesalah. Jurubahasanya menghadapi masalah bahasa kerana dia hanya mampu bertutur dalam Bahasa Melayu Pasar, sedangkan pemuda yang ditangkap itu langsung tidak pandai berbahasa Melayu. Di dalam keadaan yang tegang, pemuda tersebut tanpa perasaan malu kerana terlalu takut, terus menanggalkan seluarnya lalu menunjukkan kemaluannya kepada Koji.

Koji tercengang dibuatnya. Mulutnya ternganga.

"Beritahu kepadanya dia tidak perlu melakukan ini semua," ujar Koji kepada jurubahasanya di dalam bahasa Inggeris. "Suruh dia pakai semula seluarnya." Jurubahasanya memberitahu kepada gadis di hadapannya di dalam bahasa Melayu pasar. Gadis itu hanya faham apa yang disebutkan oleh jurubahasa apabila dia menggunakan isyarat tangan agar gadis itu dapat memahaminya.

"Beritahu kepadanya supaya memberitahu kepada anggota keluarganya yang lain bahawa Jepun datang dengan tujuan yang baik." Ujar Koji kepada jurubahasanya tanpa mahu memandang ke arah gadis yang rambutnya telah dipotong hampir botak.

Setelah gadis ini lengkap berpakaian, Koji terus mengarahkan pegawai-pegawainya supaya memastikan agar gadis ini dibebaskan. Dia mengeluarkan sapu tangannya lalu mengelap peluh pada dahinya. Dia mula merasakan tugasnya akan menjadi lebih sukar lagi selepas ini...

III


Margaret memegang tangan Amah Kim dan abangnya dengan erat. Dia mahu memastikan agar mereka tidak terpisah sewaktu sedang berasak-asak untuk masuk di dalam kawasan kem tahanan yang telah dibina di kawasan lapang di Jalan Besar ini. Sesekali dia akan memandang ke arah abangnya yang telah memakai pakaian yang cukup kemas - pakaian yang selalu dikhaskannya untuk ke gereja pada setiap hari ahad.

Seboleh-bolehnya Lyold tidak mahu menampakkan raut wajah yang cemas kepada adiknya, walaupun jantungnya berdegup kencang pada waktu itu. Sungguhpun hari masih pagi lagi, bahang panas cuaca tropika sudah mula dapat dirasakannya. Lyold berpeluh-peluh. Polis Tentera Jepun yang sedang mengawal keadaan meminta mereka yang baru masuk supaya duduk di tengah-tengah panas.

"Kita duduk di sini, bang?" pinta Margaret. Lyold mengangguk. Mereka bertiga membentangkan surat khabar lalu duduk di dalam kawasan yang telah disediakan. Amah Kim membuka payung lalu memayungi Margaret.

"Bang... Kenapa abang memarahi Kamarul di depan rumah tadi? Abang bergaduh dengannya ke?" tanya Margaret memberanikan dirinya setelah begitu lama dia memendamkan soalan ini di dalam hatinya.

"Bukan..."

"Dah tu kenapa?"

"Dia mahu temankan kita ke sini... Apa kata tak payah!"

"Oh..." Jawab Margaret lalu mengetapkan bibirnya.

"Dia suruh abang berhati-hati... Seorang anggota polis Melayu yang kini bekerja dengan Jepun pergi menemui Tok Said semalam. Dia kata Jepun sebenarnya mahu mencari musuh-musuh Jepun."

"Musuh-musuh Jepun?" tanya Margaret kerisauan.

"Ya..." Jawab Lyold serba salah. Dia cukup sedar bahawa dialah 'musuh-musuh' yang sedang diburu Jepun.

"Apa yang akan berlaku kepada kita nanti, bang?"

"Aku tak pasti..." Jawab Lyold sambil termenung jauh. "Tapi... Jika berlaku apa-apa kepada aku nanti, aku mahu kau jaga diri kau baik-baik."

"Jangan cakap yang bukan-bukan bang... Tak baik!" tegur Margaret dengan nafas yang cetek. Lyold tidak menjawab. Dia hanya mampu mendiamkan dirinya.

IV


Setelah berjam-jam duduk di bawah terik cahaya matahari, kanak-kanak, wanita dan orang tua diminta supaya beratur di dalam satu garisan yang panjang. Belum apa-apa lagi Margaret dapat melihat ramai yang berasak-asak di dalam garisan ini. Mereka mahu pulang secepat mungkin. Mereka tidak tahan dibiarkan duduk di tengah-tengah panas seperti ini.

"Kau baik pergi beratur bersama mereka. Margaret." Perintah Lyold.

"Tapi abang pula bagaimana?"

"Aku akan balik menemui kau nanti. Aku pasti benda ni akan selesai sebentar lagi, tak pun malam nanti. Percayalah!" Lyold memandang ke arah Amah Kim seolah memintanya supaya membawa Margaret pergi dari situ.

Amah Kim cepat-cepat menutup payungnya. Dia meninggalkan bekalan makanan dan minuman yang dibawa bersamanya kepada Lyold. Dia memegang tangan Margaret lalu menariknya pergi ke arah barisan yang semakin memanjang itu.

Dengan serba salah Margaret melangkah meninggalkan abangnya. Kemudian dia menjerit ke arah abangnya:

"Jaga diri abang baik-baik! Kita jumpa malam nanti!"

Lyold menganggukkan kepalanya sambil cuba mengukir senyuman. Beberapa detik kemudian dia tidak dapat lagi melihat kelibat adiknya dan Amah Kim hilang di kalangan mereka yang sedang berasak-asak.

Margaret dan Amah Kim terpaksa beratur selama dua jam sebelum diri mereka diperiksa. Diri mereka hanya diperiksa dengan ringkas. Nama mereka didaftarkan dan seterusnya seorang anggota polis tentera Jepun mengecap tanda 'jian' pada pipi Margaret yang putih itu sambil tersenyum. Amah Kim pula meminta si polis tentera Jepun yang sama supaya mengecapkan tanda tersebut pada sapu tangannya.

Setelah mereka dibenarkan keluar dari kawasan kem tahanan ini, mereka cepat-cepat mencari jalan pulang. Di luar kem tahanan, mereka dapat melihat beberapa orang wanita dan kanak-kanak yang sedang menunggu dengan wajah yang cemas giliran orang-orang yang mereka sayangi keluar dari kem tahanan ini.

"Harap-harap abang dapat pulang secepat mungkin!" ujar Margaret kepada Amah Kim. Amah Kim hanya mampu mengangguk. Dia mahu keluar dari kawasan ini secepat mungkin. Lebih-lebih lagi apabila dia dapat melihat beberapa buah terak tentera bergerak masuk ke kawasan ini lalu berhenti di hadapan kem tahanan ini seolah sedang menunggu untuk membawa muatannya...

Peristiwa yang disebutkan di atas dikenali dengan nama 'sook ching'. Perkataan Cina ini membawa maksud 'penghapusan melalui pembersihan'. Ironisnya, pihak Jepun juga menggunakan istilah yang sama untuk peristiwa ini yang mereka sebut sebagai daikensho.


posted by Nizam  # 4:16 PM

Thursday, May 26, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 10



Seusai sembahyang subuh pada pagi Ahad itu, Kamarul terus bersiap sedia untuk keluar dari asramanya untuk berjalan kaki ke Katong. Tatkala berada di luar asramanya yang terletak di atas bukit itu, dia mengambil keputusan untuk duduk sebentar di atas rumput sambil menunggu fajar matahari terbit di ufuk timur.

Buat pertama kali di dalam masa dua minggu, dia dapat merasakan ketenangan di sekelilingnya walaupun asap hitam masih berkepul-kepul datangnya dari tangki minyak terbakar di pulau Bukom dan Sambu di dalam polisi 'scorched earth' pihak British untuk memusnahkan dengan membakar kepentingan-kepentingan mereka di Singapura. Tindakan mereka telah membuatkan Kamarul dapat mencium bau terbakar ke mana sahaja dia pergi.

Kamarul duduk dengan tenang. Dia tidak lagi dapat mendengar bunyi ledakan bom, deruan kapal terbang yang sedang terbang rendah, bedilan mortar dan bunyi mesingan. Keadaan senyap sunyi.

"Saya dapat tahu awak hendak meninggalkan tempat ini," ujar gadis Cina yang telah disapanya buat pertama kali di dalam shelter asrama FMS semalam.

"Ya." Ujar Kamarul dengan pasti. Kemudian dia dapat melihat gadis itu membawakan sesuatu untuknya.

"Keluarga saya mendapat ration makanan... Keluarga kami ramai, jadi kami mempunyai lebihan dua biji limau mandarin ini. Bapa saya mahu saya hadiahkan limau mandirin ini kepada awak..."

"Selamat tahun baru Cina... Kung Hei Fat Choi!" ucap Kamarul sambil menggenggam kedua belah tangannya lalu menggoyangkannya berkali-kali. Dia cukup sedar bahawa pada hari itu, 15 Februari 1942, kaum Cina merayakan tahun baru mereka. "Jadi tahun ini tahun apa?"

"Tahun kuda..."

"Saya lahir pada tahun babi..." Kamarul ketawa sendiri. Dia melihat gadis itu tersenyum ke arahnya.

"Nama saya Elizabeth Chan dari Seremban. Kita tak sempat memperkenalkan diri masing-masing walaupun semalaman kita berbual." Ujar Elizabeth yang berusia dua tahun lebih muda dari Kamarul itu sambil tersenyum.

"Itulah... Baru saya sedar saya tak tahu nama awak tu... Nama saya Kamarul."

"Saya tahu... Bakal doktor dari Perak, bukan?"

"Ya." Kamarul mengangguk sekali sambil menyuak rambutnya ke belakang. Dia membuka begnya lalu dimasukkan limau mandarin pemberian Elizabeth ke dalam begnya itu yang dipenuhi dengan beberapa buah buku yang telah dikumpulkannya selama ini.

"Kami sekeluarga tidak menyangka Singapura akhirnya jatuh ke tangan Jepun. Bapa saya seorang pastor di sebuah gereja di Seremban. Sepanjang hidupnya dia mengagungkan British... Kadangkala saya lihat dia lebih Inggeris dari orang Inggeris sendiri... Seorang anglophile yang telah membesarkan kami di dalam sebuah dunia yang menganggap segala apa yang datang dari Britain itulah yang terhebat.

Dia seorang pemuja Empayar British. Dia pernah memarahi datuk saya kerana cuba mengajar saya bertutur di dalam bahasa Cina kerana dia mahu saya dibesarkan seperti seorang gadis Inggeris bukan seorang gadis Cina. Awak tahu sampai sekarang saya tak tahu bertutur dalam bahasa Cina kecuali mungkin perkataan-perkataan seperti dan 'wo ai ni' dan 'xie xie'?"

"Kau bukan Cina Peranakan?"

Elizabeth menggeleng sambil tersenyum. Kamarul tiba-tiba terfikir tentang Margaret yang mempunyai ibu seorang Cina Peranakan dan bapanya pula berbangsa Cina. Dia dan abangnya telah dihantar untuk menuntut di sekolah Inggeris. Setahunya, mereka pandai bertutur dalam dialek Hokkien dengan fasih walaupun mereka tidak mampu menulis dan membaca tulisan Cina...

"Tapi lihat apa yang telah berlaku sekarang... Pihak British tidaklah sehebat yang kita fikirkan! Dalam masa 55 hari sahaja pihak tentera Jepun dapat merampas semenanjung Malaya dari mereka!" kata Elizabeth dengan nada benci. Matanya terus ke arah matahari pagi yang mula membuka tirainya.

"Mereka juga manusia seperti kita, Elizabeth." Kamarul berbicara tanpa sebarang ekspresi terlukis di wajahnya. Dia diam buat beberapa ketika sambil membiarkan sinar pagi membasahi wajahnya.

"Bapa saya masih mengharap pihak British akan melakukan sesuatu untuk merampas semula Malaya dari tangan Jepun... Kerana kesetiaannya hanya kepada Baginda King... Di masih menyimpan bendera Union Jack yang pernah dikibarkan di gereja kami di dalam begnya."

Kamarul hanya mampu mengangguk. Dia memikirkan tentang kibaran bendera Union Jack di hadapan rumah mereka di Ipoh. Dia benar-benar berharap bapanya itu telah pun menurunkan benderanya itu ketika pihak tentera Jepun datang menakluki Ipoh. Semangat patriotik bapanya itu kepada Baginda King perlu bertempat, fikirnya di dalam hati.

"Saya perlu pergi dulu... Kirim salam kepada keluarga awak. Ucapkan selamat tahun baru cina kepada mereka bagi pihak saya."

"Saya harap awak akan jaga diri awak tu baik-baik bila awak mahu berjalan ke rumah datuk awak tu."

Kamarul menganggukkan kepalanya sambil berdiri dari keadaan duduknya tadi.

"Terima kasih," ujar Elizabeth selepas Kamarul mengangkat tangannya untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya.

"Kenapa?"

"Kerana telah menemani ibu saya yang sakit sepanjang malam tadi... Keadaannya sudah beransur pulih."

"Memang itu tugas saya, Elizabeth..." Kamarul menarik nafasnya dalam-dalam. Udara pagi yang dingin bercampur dengan bau minyak terbakar masuk ke dalam paru-parunya. Dia terus melangkah turun dari kawasan asrama FMS ke bawah bukit tanpa menoleh ke belakang.

Kamarul berjalan keluar dari kampusnya di Outram Road itu lalu bergerak ke arah timur. Keadaan di luar hospital nampak tenang. Tidak terdapat sebuah pun kenderaan yang sedang bergerak di jalan raya. Sewaktu sedang berjalan, dia terserempak dengan dua orang askar British yang kelihatan seperti kehilangan arah tujuan. Wajah mereka cukup lesu. Apabila Kamarul berjalan mendekati mereka, Kamarul dapat mendengar mereka bercerita tentang kekejaman tentera Jepun yang telah membunuh hampir 200 pesakit-pesakit British di Alexandra Barracks Hospital.

Kamarul mula kerisauan. Dia bertanyakan kepada dirinya adakah kekejaman yang sama akan dilakukan oleh tentera Jepun kepada pesakit-pesakit awam di Hospital Outram Road nanti?

Sewaktu berjalan di kawasan di sepanjang Eu Tong Sen Street Kamarul dapat melihat bendera Jepun yang dibuat dengan tergesa-gesa yang telah dikibarkan di hadapan beberapa buah rumah kedai. Di beberapa buat rumah kedai pula dia dapat melihat sepanduk di tulis di dalam bahasa Cina.

"Apa yang tertulis di situ?" tanya Kamarul kepada seorang anak muda Cina berkaca mata yang sedang berjalan di hadapannya.

"Mereka mengalu-alukan tentera Imperial Jepun yang datang untuk membebaskan mereka dari belenggu penjajahan British." Ujarnya sambil membetulkan cermin matanya. Kamarul hanya mampu mengangguk perlahan lalu meneruskan perjalanannya.

Setibanya di hadapan panggung Majestic, dia dapat melihat sebuah kereta kebal bergerak di atas jalan. Satu ketumbukan tentera Jepun pula berbaris di belakang kereta kebal tersebut.

Beberapa orang wanita samsui yang sedang berdiri berdekatan dengannya tertunduk hormat. Tanpa berfikir panjang, Kamarul terus tertunduk sama. Sesekali dia akan mendongak melihat beberapa orang tentera Jepun yang sedang berbaris dengan pakaian mereka yang lusuh serta wajah mereka yang lesu. Inilah kali pertama dia bertentang mata dengan tentera Jepun.

Seorang pemuda Cina di tarik oleh seorang pegawai dari kalangan mereka yang sedang berada di tepi jalan. Kamarul sendiri tidak tahu apa kesilapannya. Dia ditempeleng dengan kuat sehingga dia terjatuh dibuatnya. Mulutnya tersembur berdarah. Dia kemudian sujud di hadapan pegawai tentera Jepun yang telah menempelengnya tadi.

Kejadian yang berlaku di hadapannya itu telah membuatnya terkejut.
Jadi inilah dia gamaknya 'bangsa Yamato' (Yamato minzoku) yang pernah dibacanya dahulu. Orang-orang Jepun mempercayai bahawa mereka berasal dari keturunan Dewi Matahari - Amaterasu Omikami, maka mereka percaya bahawa mereka merupakan kelompok 'bangsa terulung'(shido minzoku). Mungkin sebab itulah mereka langsung tidak mempunyai rasa hormat terhadap bangsa-bangsa lain, fikir Kamarul, terutamanya bangsa Cina yang dianggap sebagai musuh tradisi mereka.

Kamarul memberitahu dirinya bahawa dia perlu berada jauh dari kawasan Chinatown ini secepat mungkin. Keadaan di kawasan ini terlalu menyedihkan. Begitu bencinya pihak Tentera Imperial Jepun kepada golongan Cina sehingga mereka telah menumpukan serangan bom mereka di kawasan ini. Banyak bangunan-bangunan yang roboh. Bangkai-bangkai kereta yang musnah dibiarkan di atas jalan raya. Bau mayat yang reput mencemari udara.

Sejurus selepas dia dapat melihat perbarisan tentera Jepun jauh melepasinya, dia mempercepatkan lagi langkahnya ke arah timur. Dia perlu berjalan dan terus berjalan. Beberapa ratus meter dari panggung Majestic dia dapat melihat pihak tentera Jepun telah menutup jalan dengan mendirikan pagar berduri di situ. Kamarul terus mencari jalan yang lain lantas melalui Cross Street untuk menuju ke arah South Bridge Road. Di kawasan itu pula dia mendapati terdapat sebuah jalan yang dijaga oleh tentera Jepun. Mereka yang mahu melepasi Chinatown terpaksa beratur untuk diperiksa mereka terlebih dahulu.

"Kau tak perlu takut... Mereka tak akan mengapa-apakan kau... Kau orang Melayu." Ujar seorang lelaki Cina yang sedang memerhatikan gelagat seorang tentera Jepun merampas jam tangan seorang pemuda Cina yang ditahan mereka. Pemuda Cina itu membiarkan sahaja dirinya diperlakukan begitu.

Kamarul tidak menjawab kata-kata lelaki Cina itu. Kemudian dia dapat melihat pemuda tersebut disepak Jepun tanpa sebarang sebab.

"Jangan lupa untuk menundukkan kepala kau bila berhadapan dengan mereka nanti." Lelaki Cina tadi mengingatkannya. Kamarul mengangguk mengerti. Dia mengeluarkan jam tangan pemberian datuknya lalu dimasukkan ke dalam kocek seluarnya.

Dengan perasaan takut-takut, Kamarul terus beratur di dalam satu barisan panjang agar dia dapat melepasi sekatan jalan. Apabila tiba gilirannya diperiksa, dia disuruh membuka begnya oleh seorang tentera Jepun yang seusia dengannya. Beg Kamarul digeledah. Beberapa buah bukunya jatuh di atas jalan. Kamarul mengutip semula buku-buku teks perubatannya terjatuh. Si tentera Jepun mengambil dua biji limau mandarin yang disimpan di dalam beg tersebut, lalu dia mengecap perkataan Cina 'jian' (?) yang membawa maksud 'sudah diperiksa' di atas kocek bajunya. Kamarul cepat-cepat memasukkan kembali buku-bukunya ke dalam beg lalu berjalan secepat mungkin meninggalkan kawasan Chinatown...

Pada pagi itu, bermacam-macam perkara yang dapat dilihatnya berlaku di hadapan matanya. Tatkala berada di Hill Street, dia telah terserempak dengan beberapa orang askar Australia yang sedang mabuk yang telah memecahkan sebuah kedai minuman keras lalu membawa keluar beberapa botol minuman keras untuk mereka minum. Di daerah Kallang Road pula, dia dapat melihat seorang tentera berbangsa Inggeris menanggalkan pakaian tenteranya lalu tanpa segan silu mencuri pakaian seorang keluarga tempatan yang sedang dijemur di tengah panas.

Sewaktu dia masuk ke kawasan Katong, dia dapat melihat beberapa buah rumah kepunyaan seorang peniaga Inggeris yang telah ditinggalkan dicerobohi. Seorang lelaki Melayu yang mungkin pernah bekerja sebagai tukang kebun untuk majikan Inggerisnya - dengan bantuan seorang rakannya telah mengeluarkan sebuah meja kecil dari rumah tersebut untuk dibawanya pulang. Kamarul hanya mampu menggelengkan kepalanya.

Kamarul akhirnya tiba ke rumah datuknya pada lewat pagi itu. Sebelum dia melangkah masuk ke dalam kawasan rumah datuknya, dia sempat menjenguk ke rumah sebelah. Dia dapat mendengar bunyi piano dimainkan dengan nota-nota yang sayu...

II


Kamarul mendapati keadaan datuknya bertambah sihat. Datuknya sempat memberitahu bahawa dia pihak Jepun tidak mendarat dari arah selatan seperti mana yang dijangkakan British. Mereka yang tidak mahu berganjak dari kawasan Katong langsung tidak mengalami pengalaman perang sebagaimana mereka yang tinggal di tengah-tengah kota Singapura.

Tatkala sedang makan tengah hari bersama datuknya, Kamarul telah mengkhabarkannya bahawa pihak tentera Jepun telah pun menguasai kota Singapura. Kamarul menceritakan kembali pengalamannya berhadapan dengan tentera jepun di sebuah sekatan jalan raya di Chinatown.

Kata-kata Kamarul telah membuatkan Said Ali terdiam buat beberapa ketika. Satu perkara yang tidak disangka-sangkanya kini telah pun berlaku. Kini seleranya untuk makan langsung tertutup.

"Margaret di mana, Tok?" tanya Kamarul menoleh ke arah Selat Singapura dari arah meja makannya. Cuaca pada hari itu panas terik tetapi berangin. Pohon nyiur melambai-lambai di tepi pantai.

"Dia menemani Lyold di sebelah... Lyold baru sahaja pulang subuh tadi."

"Bagaimana dengan keadaannya." Kamarul tidak jadi menyuapkan nasinya ke dalam mulut.

"Si Margaret atau si Lyold?"

"Kedua-duanya sekali..."

"Margaret banyak diam sejak kematian keluarganya." Ujar Said Ali sambil mengesat mulutnya dengan sehelai kain putih. "Aku dah beritahu kepadanya dia boleh tinggal di sini bersamaku. Lagipun aku dah lama menganggapnya macam cucu aku sendiri, jadi apa salahnya. Dia bersetuju. Dia hanya ke rumah sebelah apabila subuh tadi Lyold datang ke sini untuk mencarinya."

"Jadi Lyold baru dapat tahu tentang kematian keluarganya?"

"Ya."

Kamarul memegang tengkuknya. Dia menggelengkan kepalanya sambil mengeluh lesu.

"Tok... Saya mahu ke sebelah. Saya mahu berjumpa dengan Lyold sebentar."

Said Ali sekadar mengangguk. Dia terus termenung keluar. Dia merapatkan matanya. Kamarul kurang pasti apa yang sedang difikirkan datuknya ketika itu. Tetapi dia pasti datuknya mula pasrah kepada segala apa yang menimpa Singapura pada ketika itu.

III

Kamarul memanggil nama Lyold dari luar rumah. Ketibaannya disambut oleh Margaret dan bukan Lyold, yang menurutnya sedang berehat di dalam rumah kerana kepenatan.

"Bila abang balik?" tanya Margaret seraya menjemput Kamarul masuk ke dalam rumahnya. Itulah kali pertama Kamarul masuk ke dalam rumah mereka yang terletak di Katong itu. Walaupun rumahnya itu tidak segah villa mereka di Palm Grove Avenue, yang pernah dilawatinya, dia mendapati bahagian dalam rumah ini tetap dihias dengan perabot-perabot yang mahal yang telah diimport dari Paris dan London.

"Baru sahaja tadi..."

"Saya dapat tahu tentera Jepun dah mula masuk ke kawasan kota-"

"Ya."

"Abang kau di mana?"

"Dia... Dia sedang berada di bilik atas." Kata Margaret teragak-agak.

"Bagaimana dengan keadaannya?"

Margaret tidak dapat menjawab soalan Kamarul tadi. Dia sendiri sukar untuk menyelami perasaan berkecamuk yang sedang dihadapi Lyold.

"Boleh aku pergi berjumpa dengannya?"

Margaret mengangguk. Dia membawa Kamarul ke tingkat atas. Dia mengetuk pintu bilik abangnya sebelum Lyold membenarkan masuk.

Kamarul dapat melihat Lyold cepat-cepat mengesat air matanya. Dia meletakkan beberapa keping gambar keluarganya ke tepi. Dia bersalaman dengan Kamarul sebelum memintanya duduk bersamanya di atas kerusi sofa.

"Aku mendapat tahu dari Margaret kau orang yang terakhir yang menemui bapaku sebelum dia meninggal dunia." Ujar Lyold memulakan bicaranya. Matanya bengkak. Wajahnya kini nampak lebih keras dari kali terakhir Kamarul menemuinya. Mungkin pengalamannya bertempur dengan tentera Jepun di dalam hutan yang telah menyebabkan perubahan ini ke atas dirinya.

"Ya."

"Bagaimana dengan keadaan dirinya pada ketika itu?"

"Dia sedang nazak... Tidak apa-apa yang dapat kami lakukan untuk menyelamatkan nyawanya."

"Dia berada di dalam kesakitan?"

Kamarul tidak mahu menjawab soalan tersebut. Dia terus mendiamkan dirinya.

Mata Kamarul berpindah kepada lencana yang perlu dipakai oleh pasukan Dalforce di lengan mereka yang kita diletakkan Lyold di atas mejanya. Lyold mengambil lencana tersebut lalu diserahkan kepada Kamarul.

"Mereka hanya memberi aku sepucuk raifal dengan tiga butir peluru. Itu pun aku dah boleh dikira bernasib baik. Yang lain pula diberikan rifel yang selalunya digunakan untuk menembak burung. Kami hanya dilatih selama sepuluh hari sebelum kami dihantar untuk menghadapi kemaraan tentera Jepun." Ujar Lyold satu persatu dengan matanya kaku memandang ke hadapan.

"Apabila Jepun mendarat ke Singapura melalui tambak Johor, pasukan kami telah diminta untuk menumpahkan simpanan minyak dari sebuah depot minyak di Woodlands ke atas jalan. Sepasukan tentera Jepun masuk ke dalam perangkap kami. Terus api dinyalakan. Mereka dibakar hidup-hidup di hadapan mata aku sendiri." Lyold menelan air liurnya. Dia masih sukar untuk mempercayai apa yang telah dilakukannya bersama anggota pasukan gerila Dalforce yang lain. "Kami kemudian masuk ke dalam hutan. Kami terus berjuang walaupun ramai dari anggota pasukan kami yang terkorban... Kemudian yang hanya tinggal cuma aku dan tiga orang kawan aku yang lain-"

"Kau telah cuba sedaya mana yang termampu. Itu yang penting, Lyold." Kamarul cuba memujuknya.

"Aku telah berada di dalam hutan tanpa mengetahui keluarga aku dah mati... Manusia apa aku ini, Kamarul? Di mana aku sebagai anak lelaki yang paling tua ketika ibu dan bapa aku ditanam beberapa hari yang lepas?"

Keadaan menjadi senyap. Mata Lyold berkaca-kaca. Tanpa rasa malu, dia terus membiarkan air matanya mengalir.

"Kau perlu membuang lencana serta apa-apa dokumen yang mengatakan kau pernah menganggotai pasukan Dalforce, Lyold. Demi keselamatan kau sendiri." Kamarul memberi nasihat. Suaranya berat dan tegas.

Lyold mengangguk lesu. Matanya kini tertunduk di lantai sambil memikirkan masa depannya yang tidak menentu itu.



posted by Nizam  # 3:02 PM

Wednesday, May 25, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 9



Meriam antikapal terbang yang telah ditempatkan di sekeliling kawasan Hospital Besar Outram Road telah menyebabkan para pekerja hospital terpaksa berhadapan dengan bunyi bising setiap kali siren dibunyikan. Tetapi bunyi bising meriam antikapal terbang bukannya satu-satunya tekanan yang terpaksa dihadapi mereka. Bagi mereka yang tinggal di asrama FMS, terpaksa berkongsi ruang tempat tinggal dengan pelarian yang ditempatkan di bilik mereka.

Singapura dibanjiri dengan pelarian. Pada pertengahan bulan Februari apabila tentera Jepun mara ke selatan, lebih kurang 50,000 pelarian lari ke Singapura. Kini seramai 2000 orang pelarian telah ditempatkan di kampus Kolej Perubatan King Edward VII.

Kamarul terkejut dari tidurnya apabila bunyi meriam antikapal terbang yang memekakkan memecahkan suasana tenteram di sekelilingnya. Dia mendapati tubuhnya berpeluh-peluh. Tekaknya kering. Dia bangun dari keadaan baringnya. Dia mendapati beberapa orang anak kecil sedang bersembunyi di satu sudut di dalam bilik asramanya sambil menutup telinga mereka rapat-rapat dengan tangan. Dia tak tahu ke mana perginya ibu bapa mereka. Mungkin mereka sedang sibuk mengambil bekalan makan petang di kantin.

Kamarul memandang ke luar tingkapnya. Dia dapat melihat kepulan asap hitam yang tebal yang datangnya dari arah depot minyak Normanton yang telah dimusnahkan tentera British memenuhi angkasa. Bunyi tembakan mesingan yang datangnya entah dari mana tidak henti-henti kedengarannya. Begitu juga bunyi kapal terbang yang sedang terbang rendah.

Kamarul memegang tangan dua orang kanak-kanak berbangsa India yang paling kecil usianya. Kemudian dia meminta dua kanak-kanak lagi yang masing-masing berusia 8 dan 10 tahun supaya mengikutnya berjalan ke tingkat bawah. Mereka perlu berlindung di dalam shelter.

Kanak-kanak ini diketemukan kepada ibu bapa mereka di tingkat bawah. Sememangnya mereka telah ke kantin untuk mengambil bekalan makanan untuk anak-anak mereka. Mereka mengucapkan terima kasih kepada Kamarul sebelum mereka bergegas masuk ke dalam shelter yang telah disediakan.

Kamarul tidak mengenali seorang pun wajah-wajah yang dilihatnya sedang berlindung di dalam shelter yang telah disediakan. Dia memandang ke arah balutan luka di betisnya. Sudah dua hari balutan lukanya itu tidak ditukar. Kemudian dia mengoyak plaster yang menutupi kesan saluran tiub untuk memasukkan darah di tangannya. Dia memerhatikan tanda-tanda lebam di pergelangan tangan yang telah disebabkan oleh kesan darah yang masuk ke dalam urat sarafnya. Dia mengeluh lesu melihatkan keadaan dirinya yang tidak terurus pada ketika itu.

Tubuhnya masih lemah walaupun hampir seminggu dia terlantar di atas katilnya. Dia telah jatuh sakit sejurus selepas pemindahan darah dilakukan kepada dirinya. Dia tidak pasti apa yang berlaku di lingkungan dunia di luar bilik asramanya selama dia terlantar di atas katil. Apa yang diketahuinya, semakin hari semakin ramai keluarga yang telah ditempatkan ke dalam asrama FMS. Pihak Jepun pula telah berjaya mencerobohi Singapura pada 9 Januari 1942, walaupun tambak Johor dimusnahkan British pada 31 Januari 1941. Keluarga India yang berasal dari Negeri Sembilan yang ditempatkan di dalam bilik asramanya telah memberitahunya pada hari yang sama mereka menaiki kereta api untuk lari ke Singapura, mereka dapat melihat sepasukan tentera Jepun berbasikal mengayuh ke arah selatan.

"Hari ini berapa hari bulan?" tanya Kamarul kepada seorang gadis Cina yang sedang duduk memegang lututnya sambil memegang loket salib yang sedang dipakainya pada ketika itu. Tangannya terketar-ketar, lebih-lebih lagi apabila dia dapat merasakan gegaran letupan bom yang hampir-hampir mampu membuatnya mati dalam kekejutan.

"14 hari bulan Februari..." Jawabnya dengan keadaan terkejutnya masih belum reda.

Kamarul duduk bercangkung di sebelah gadis yang sedang menggigil ketakutan itu. Dia meraba bahagian pipi serta dagunya yang ditumbuhi jambang. Sudah seminggu lebih dia tidak bercukur. Makan tidurnya juga tidak menentu. Dia memandang ke arah wajah-wajah cemas mereka yang sedang berlindung di dalam shelter.

Dia mula hairan apabila mendapati rakan-rakannya yang lain tidak ada di dalam shelter. Ke mana perginya mereka?

"Awak sedang mencari rakan-rakan awak yang lain?" tanya gadis itu cuba meneka.

"Ya... Di mana perginya sukarelawan MAS yang lain?"

"Saya dengar Jepun telah menyerang Hospital Tan Tock Seng... Seorang pelajar telah cedera parah lalu di bawa ke sini untuk dibedah. Tetapi dia tidak dapat diselamatkan. Jadi sebentar tadi saya dengar rakan-rakan awak yang lain pergi ke pengebumiannya."

"Apa?"

"Mereka berada di luar ketika siren dibunyikan. Sehingga kini saya tidak nampak mereka pulang ke mari lagi."

Kamarul berjalan keluar dari bilik bawah tanah yang telah dijadikan shelter itu. Dia memberanikan dirinya untuk berjalan ke luar asramanya. Keadaan semakin reda. Dia tidak dapat mendengar lagi dentuman bom walaupun bunyi siren terus berbunyi tanpa henti.

Dari jauh dia dapat melihat beberapa orang pelajar sedang berkumpul di hadapan sebuah lubang yang telah di korek berdekatan dengan kawasan kolejnya. Dia berlari dengan pantas ke arah mereka.

Sukar untuk Kamarul percaya kepada apa yang sedang disaksikannya sekarang. Mayat-mayat pelajar bergelimpangan di sana-sini. Semuanya telah mati dalam keadaan yang mengerikan.

Dia mendapati terdapat beberapa pelajar yang cedera parah. Seramai lebih kurang 25 orang pelajar yang datang ke pengebumian Yoong Tat Sin, pelajar perubatan tahun empat Kolej Perubatan King Edward VII. Apabila sebuah kapal terbang Jepun dapat melihat kelibat mereka dari udara, beberapa butir bom terus dijatuhkan ke atas mereka. Beberapa orang pelajar lari lintang pukang mencari tempat untuk berlindung di bangunan kolej mereka. Ada pula yang bersembunyi di dalam lubang kubur yang telah pun digali. Lapan orang pelajar telah mati dengan serta-merta. Lima cedera parah dan dua dari yang cedera ini tidak dapat diselamatkan.

Kamarul berdiri tegak di sebelah kubur sambil memandang ke arah beberapa mayat pelajar yang dikenalinya.

"Mereka telah muncul secara tiba-tiba." Ujar Joseph sambil memegang bahagian bahunya yang terluka. "Mereka tak sempat lari!" dia menangis sepuas-puasnya. Kamarul tidak pernah melihatnya berkeadaan begitu, malah dia tidak pernah menyangka Joseph yang difikirkannya buta hati dan perasaan itu akan menangis seperti itu.

"Kenapa saya tidak dikejutkan tadi? Kenapa?" tanya Kamarul mendesak agar jawapan diberikan kepadanya.

"Chin Chuan fikir kau masih perlu berehat..."

"Di mana Chin Chuan?"

Joseph tidak mahu menjawab. Matanya terus berlinangan dengan air mata.

Kamarul menarik nafasnya dalam-dalam. Kemudian dia berkata dengan tenang:

"Kita perlu uruskan mayat mereka sekarang juga!"

Joseph menganggukkan kepalanya tanda setuju.

Kamarul berjalan mendekati sekujur mayat yang terdekat dengannya. Dia mendapati dia sedang memandang mayat seorang anak Melayu. Seorang anak Melayu yang bakal menjadi seorang doktor yang berjaya jika tragedi ini tidak menimpa dirinya.

"Abdul Hamid..." Kamarul menyebut nama pelajar itu di dalam hati. Sememangnya dia kenal benar dengannya. Kamarul berdiri diam buat seketika untuk menyedekahkan Al-Fatihah kepadanya. Kemudian dengan rasa berat hati, Kamarul menggunakan segala tenaga yang dia ada untuk mengalihkan mayat Abdul Hamid lalu di letakkan ke satu bahagian padang agar mayatnya dapat diuruskan dengan sempurna nanti.

Ketika mayat-mayat di susun, Kamarul dapat melihat keadaan mayat Chin Chuan yang kelihatan ngeri. Tubuhnya hampir berkecai dua. Tatkala itulah perasaan sebak mula melanda jiwanya. Baru sahaja pagi tadi mereka sempat berjenaka bersama. Sejak dia terlantar di katilnya, Chin Chuanlah yang telah menemaninya serta membawakan makanan untuknya dan memaksanya makan walaupun selera makannya hilang sejak akhir-akhir ini.

Kini dia sudah tiada lagi.

Kamarul menarik nafasnya dalam-dalam. Dia mahu menangis tetapi ditahan-tahannya air matanya itu dari mengalir keluar. Dia tidak mempunyai masa untuk itu semua. Di dalam fikirannya, dia hanya mahu pulang secepat mungkin untuk mendapatkan datuknya di Katong. Dia bertekat tidak mahu berada lebih lama lagi di sini!

Kamarul memandang ke arah barat Singapura. Dia masih dapat mendengar ledakan bunyi mesingan dan senapang Lewis dan raifal yang tidak henti-henti yang datangnya dari daerah Pasir Panjang...

II


Pada petang itu, di dalam keadaan kacau bilau pertempuran, tubuh Korporal Yaakob jatuh di atas timbunan mayat rakan-rakan seperjuangannya yang telah mati ditembak tentera Jepun. Beberapa detik sebelum itu dia dapat melihat dengan mata kepalanya sendiri bagaimana Leftenan Adnan dari Rejimen Askar Melayu berserta beberapa orang anak-anak buahnya yang lain akhirnya berjaya ditawan Jepun. Leftenan Adnan berusia 27 tahun ketika kejadian ini berlaku...

Sejak pagi semalam lagi tentera Jepun telah menumpukan serangan bedilan bom, mortar berat dan bedilan meriam ke kawasan Pasir Panjang kerana mereka tahu, inilah kawasan terakhir yang perlu mereka tawan sebelum Singapura jatuh ke tangan mereka. Pihak British mempertahankan kawasan secara habis-habisan kerana kawasan tanah tinggi ini menghadap ke arah utara Singapura serta merupakan jalan ke arah Alexandra di mana letaknya depot senjata serta hospital tentera, serta kepentingan lain milik British.

Divisyen Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun di bawah pemerintahan Leftenan Jeneral Renya Mutaguchi telah diperintahkan untuk menghadapi 'C' Coy. 'C' Coy merupakan sebuah pasukan yang membentuk Batalion Pertama dan Kedua Kedua Rejimen Askar Melayu Rejimen British 2nd Loyals dan Briged 44th Indian. 'C' Coy berserta Leftenan Adnan Saidi telah ditempatkan untuk mempertahankan Perkampungan Pasir Panjang. Mereka telah memberi tentangan yang hebat kepada Tentera Jepun sehingga tentera Jepun dari Divisyen Chrysanthemum yang terkenal kerana kehebatan serta kehandalan mereka berperang terpaksa berundur.

Pada tengah malam semalam, Leftenan Adnan telah diperintahkan oleh Kepten H.R. Rix untuk berpindah ke sebuah tapak pertahanan baru. Mereka telah bertahan di sebuah kilang memproses candu kepunyaan pemerintah British di kaki sebuah bukit di Pasir Panjang.

Seramai 42 orang anggota Batalion pertama dan Kedua Rejimen Askar Melayu bertahan di situ tanpa air, makanan serta bekalan senjata tambahan. Di dalam keadaan terdesak, Leftenan Adnan telah memerintah anak buahnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Dia tahu, jumlah tentera Jepun yang akan datang menyerang terlalu banyak jumlahnya dibandingkan dengan jumlah tentera di bawah pimpinannya.

Pada tengah hari 14 Februari, pihak tentera Jepun akhirnya memulakan serangan mereka terhadap Rejimen Askar Melayu yang sedang bertahan di Bukit Chandu. Sekumpulan anggota tentera Jepun yang menyamar sebagai anggota tentera Punjabi datang mendekati mereka. Sebelum sempat mereka dapat mendekati kawasan yang dipertahankan oleh 'C' Coy, Leftenan Adnan yang telah ditugaskan untuk mempertahankan bahagian utara kawasan tanah tinggi ini sudah dapat menghidu helah yang telah dilakukan oleh tentera Jepun. Tentera Punjabi itu dilihatnya sedang mara bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Leftenan Adnan yakin, apa yang dilihatnya itu adalah satu helah yang dilakukan oleh tentera Jepun, kerana pasukan tentera di bawah pimpinan British tidak mungkin akan melakukan kesilapan yang besar seperti yang dilihatnya pada ketika itu. Terus dia mengarahkan agar tembakan dilepaskan bertubi-tubi ke arah tentera Jepun yang sedang menyamar ini.

Seramai 20 anggota tentera Jepun telah mati serta cedera di dalam serangan ini. Perkara ini telah membuatkan tentera Jepun mengamuk, lantas membalas dengan serangan tembakan bertubi-tubi ke atas Rejimen Askar Melayu.

Rejimen Askar Melayu telah berjuang dengan berani sehingga titisan darah yang terakhir walaupun mereka terpaksa berhadapan dengan tentera Jepun dengan menggunakan jumlah peluru yang terhad.

Tubuh Korporal Yaakob kaku tatkala dia berpura-pura mati di atas tubuh seorang rakannya yang telah mati ditembak pada bahagian lehernya. Korporal Yaakob dapat mencium bau hanyir darah yang masih mengalir hangat dari bahagian leher kawannya itu. Begitu meloyakan sehinggakan dia merasa seperti mahu muntah di situ juga. Sebelum Korporal Yaakob rebah di dalam kekalutan pertempuran tadi, dia dapat melihat Kapten Rix terbunuh bersama 12 orang tentera Melayu yang lain yang telah berjuang bermati-matian dengannya.


Kini, dari posisinya Korporal Yaakob dapat melihat keadaan Leftenan Adnan yang cedera parah diheret dan disepak terajang oleh tentera Jepun yang sedang marah menggila pada ketika itu. Mereka betul-betul ingin membalas dendam ke atas kematian rakan-rakan mereka yang telah mati ditembak oleh Leftenan Adnan serta anak-anak buahnya yang lain. Enam orang anggota tentera Melayu yang berjaya ditawan terus diikat, lantas ditikam dengan bayonet oleh tentera Jepun sehingga mati. Suara anggota tentera Melayu yang telah mengerang kesakitan di dalam saat-saat akhir hidup mereka terus berdengung di dalam kepala Korporal Yaakob. Dia tidak dapat melakukan apa-apa kecuali terus berpura-pura mati.

Tubuh Leftenan Adnan yang lemah itu kemudian diserkup dengan guni. Kakinya di gantung ke sebuah pokok ceri berdekatan dengan sebuah rumah banglo di Pepys Road. Kemudian, tanpa sebarang pertimbangan, tentera Jepun telah menikam tubuh Leftenan Adnan berkali-kali sehinggalah tubuhnya berhenti bergerak. Kaku. Titisan darah yang pekat mula membasahi kain guni yang menutupi tubuh Leftenan Adnan.

Seorang pegawai tentera Jepun mengeluarkan balutan kain guni pada tubuh Leftenan Adnan. Dia mengambil pisaunya lalu leher Leftenan Adnan dikelar. Darahnya menitik dengan deras ke tanah.

Pegawai tersebut lalu memerintahkan anak-anak buahnya supaya memberi amaran kepada penduduk-penduduk tempatan supaya jangan menyentuh mayat Leftenan Adnan untuk dikebumikan. Jika tidak padah jadinya.

III


Peristiwa Pertempuran di Bukit Chandu merupakan pertempuran terakhir sebelum Singapura akhirnya jatuh ke tangan Jepun. Pada 15 Februari 1942, Leftenan-Jeneral A.E Percival dari Pakatan Tentera British akhirnya menyerah kalah kepada Leftenan-Jeneral Yamashita Tomoyuki dari Tentera Imperial Jepun di bangunan Kilang Ford di Bukit Timah. Penyerahan Singapura kepada Jepun ini menandakan tamatlah ikatan Malaya dan khususnya Singapura kepada Kerajaan Britih yang telah memerintahnya selama lebih seabad lamanya sebelum ini.

Pada hari yang sama, bendera Union Jack diturunkan lantas bendera Matahari Terbit atau Hinomoru dikibarkan di sebatang tiang bendera berdekatan dengan bangunan Cathay, bangunan yang tertinggi di Singapura pada waktu itu.

Ketika Jepun mengambil alih Singapura, tahun 1942 telah ditukar menjadi tahun 2602 mengikut kalendar yang digunakan oleh Jepun. Jam-jam pula diubah agar mengikut masa yang sama di Tokyo.

Singapura dinamakan mereka 'Shonan-to' dam Malaya pula 'Malai' atau 'Maraiee' dan Pulau Pinang pula 'Tojoto'.

Maka kini bermulalah penjajahan Jepun ke atas bumi Malaya dan Singapura!


posted by Nizam  # 2:46 PM

Tuesday, May 24, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 7



Bab 8

Kamarul tidak akan dapat melupakan wajah Margaret yang dilihatnya pada hari itu. Setiap garis yang terlukis di wajah Margaret akan terus diingatinya di dalam kepalanya sampai bila-bila. Kemunculan Margaret di hadapannya telah membuatkan jiwanya yang kacau itu tiba-tiba tenang. Buat beberapa saat, dia terus terlupa tentang serpihan bom yang tertusuk di betisnya.

Kamarul menoleh ke arah sebuah cermin besar yang diletakkan di ruang tamu. Dia terkejut melihat dirinya yang kusut masai itu. Kini barulah dia sedar mengapa teksi-teksi yang ditahannya tidak mahu berhenti mengambilnya tadi.

"Di mana Tok Said, Margaret?" tanya Kamarul dengan lembut. Dia terus memeluk beg rawatan yang terkandung beberapa jenis ubat yang mungkin dapat diberikan kepada datuknya itu dengan erat. Sesekali matanya akan berpindah ke arah veranda bahagian belakang banglo datuknya untuk melihat keadaan laut yang tenang membiru.

"Di dalam biliknya, bang." Jawab Margaret dengan dahinya terkerut, lebih-lebih lagi apabila dia dapat melihat kesan tapak kaki yang berdarah di atas lantai yang telah ditinggalkan Kamarul.

Kamarul melangkah masuk ke dalam bilik Said Ali. Dia mendapati datuknya itu sedang terbaring di atas katilnya.

Kamarul meletakkan topi besinya ke atas meja. Dia memanggil nama datuknya berkali-kali sebelum datuknya itu terjaga lalu membuka matanya perlahan-lahan.

"Apa kau buat di sini, Kamarul?" tanya Said Ali dengan suara yang berat.

"Saya dapat tahu datuk sakit... Jadi saya cepat-cepat ke sini." Ujar Kamarul sambil memegang dahi Said Ali. Kamarul mendapati dahinya panas.

"Aku demam sikit sahaja." Kata Said Ali bersungguh-sungguh. "Aku dah beransur pulih... Nasib baik lah Margaret ni ada-"

"Kenapa datuk tak beritahu saya siang-siang datuk sakit?" pintas Kamarul dengan pantas. Dia mahu mendapatkan jawapan pasti dari datuknya itu.

"Aku tak mahu ganggu kau... Aku tahu kau sibuk di hospital."

"Tapi tok-"

"Kenapa dengan kaki kau?" Said Ali cuba bangun dari keadaan baringnya, lalu cepat-cepat dia dibantu Margaret.

"Tak ada apa-apa tok." Jawab Kamarul berpaling ke arah lain. Dia tidak berani bertentang mata dengan datuknya ketika dia berbohong begitu.

"Jangan bohong, Kamarul!" ujar Said Ali dengan nada risau.

"Saya... Terkena serpihan bom dalam perjalanan di sini tadi." Kamarul akhirnya mengakui dalam nada serba salah.

"Di mana?"

"Masjid Malabar..."

"Jepun serang masjid pula?"

"Ya, tok..."

"Astaghfirullah hal azim!" Syed Ali menggelengkan kepalanya. Sukar untuk dia mempercayai perkhabaran yang dibawakan oleh cucunya itu. Kemudian dia memegang bahu Kamarul sambil berkata: "Bagi aku lihat luka di kaki kau tu."

Kamarul menyelak seluarnya. Darah mula membeku pada bahagian betisnya. Said Ali jelas nampak bimbang. Dia menyeringai apabila melihat serpihan bom yang tajam terjuntai keluar dari betis kanan Kamarul.

"Muka kau nampak pucat... Badan kau sejuk!" tegur Said Ali ketika dia memegang lengan Kamarul.

Kamarul terasa seperti mahu pitam. Tubuhnya terhuyung-hayang buat beberapa ketika. Margaret cepat-cepat bertindak dengan menampung tubuhnya yang lemah itu, lalu memintanya duduk di atas sebuah kerusi berdekatan.

"Saya dah kehilangan banyak darah, tok." Beritahu Kamarul tersekat-sekat.

"Jadi apa yang perlu kita lakukan?"

"Sebaik-baiknya serpihan bom ini dikeluarkan kemudian lukanya dijahit... Secepat mungkin." Kamarul menjawab dengan tenang.

Margaret keluar dari bilik Said Ali. Seminit kemudian dia masuk dengan sebuah besen yang telah diisikan dengan air panas serta beberapa helai tuala bersih.

"Biar saya tolong," ujar Margaret sambil membasahkan sehelai tuala kecil dengan air panas dari dalam besen.

Kamarul terkejut mendengar kata-kata Margaret tadi. "Kau nak tolong apa?"

"Saya nak tolong keluarkan cebisan logam dari betis abang tu..."

"Tapi-"

"Biar saya tolong, bang!" ucap Margaret dengan tegas.

Kamarul mengangguk serba salah. Dia memandang ke arah datuknya. Ketika Margaret keluar tadi, dia telah memberitahu kepada datuknya apa yang telah berlaku kepada keluarga Margaret. Wajah datuknya jelas sedih.

"Margaret... Ada sesuatu yang perlu aku beritahu kepada kau-"

"Biar saya selesaikan kerja saya ini dulu," pinta Margaret bersungguh-sungguh.

Kamarul menarik nafasnya dalam-dalam. Dia sekali lagi memandang ke arah datuknya. Datuknya mengangguk perlahan.

Kamarul mengeluarkan beberapa peralatan yang diperlukan Margaret untuk melakukan tugasnya. Dia kemudian mengeluarkan sepasang gunting kecil lalu membuat belahan kecil bahagian seluarnya pada bahagian pahanya. Seluarnya dikoyakkan pada bahagian itu.

Kamarul memberitahu kepada Margaret supaya membersihkan betisnya. Margaret menurut tanpa banyak soal. Sesekali Kamarul akan menggigit bibirnya apabila rasa sakitnya menjadi-jadi, lebih-lebih lagi apabila air panas suam terkena pada bahagian lukanya.

Margaret tahu bahawa Kamarul merasa sakit yang teramat sangat tatkala dia membersihkan lukanya itu. Lantas dia membuat kerjanya itu dengan lebih berhati-hati lagi.

Setelah Margaret selesai membersihkan kawasan lukanya, Kamarul meminta Margaret supaya menggunakan sepasang gunting untuk memotong bulu kaki yang tumbuh lebat pada bahagian betisnya yang tercedera. Margaret kemudian diberikan sepasang alat penyepit agar dia dapat mengeluarkan cebisan logam yang tertusuk di dalam betisnya itu.

"Selalunya dalam keadaan begini, pesakit akan diberikan bius?" tanya Margaret kepada Kamarul tatkala Margaret sedang memotong bulu kakinya dengan penuh berjati-hati.

"Ya." Jawab Kamarul sambil memandang ke arah Margaret, kemudian kepada datuknya yang sedang memerhatikannya dari arah katilnya.

"Dalam beg abang tu ada bius?"

"Tidak," jawab Kamarul perlahan. Dia pernah melihat seorang lelaki yang menjerit kesakitan walaupun sudah diberikan ubat pelali apabila cebisan bom dikeluarkan dari bahagian belakangnya. Dia tidak dapat membayangkan kesakitan yang akan dialaminya nanti apabila perkara yang sama dilakukan kepadanya.

Said Ali melangkah dari katilnya untuk mendapatkan Kamarul. Dia duduk di sebelah Kamarul lalu memegang tangan cucunya itu dengan erat.

Margaret dengan berhati-hati menggunakan alat penyepit untuk cuba mengeluarkan cebisan logam di betis Kamarul. Dia sememangnya tidak menyangka apa yang terpaksa dilakukannya lebih sukar dari yang difikirkan sebelum ini. Cebisan logam yang terpaksa dikeluarkan nampaknya seperti telah melekat pada tulang betis Kamarul.

Margaret perlu memberanikan dirinya untuk mencabut cebisan logam itu dari betis Kamarul.

Kesakitan yang amat sangat yang terpaksa ditanggung Kamarul tidak terperi rasanya. Matanya ditutup rapat-rapat. Buat beberapa ketika dia terasa begitu sukar untuk bernafas. Dia cuba sedaya mungkin untuk tidak mengeluarkan sebarang suara apabila Margaret sedang merawatnya. Dia hanya mengerang kesakitan apabila Margaret akhirnya berjaya mengeluarkan cebisan logam seinci besarnya dari bahagian betisnya itu.

Darahnya meleleh keluar dengan deras. Kamarul meminta Margaret supaya melekapkan kain balutan yang dibawa bersamanya pada bahagian betisnya selama lima minit. Margaret terus melakukannya tanpa banyak soal, sementara Kamarul menyediakan benang dan jarum yang ada dibawanya bersama pada ketika itu.

Lima minit kemudian, Kamarul meminta Margaret supaya bersedia untuk menjahit bahagian lukanya itu. Sementara itu, dia melakukan tekanan pada bahagian urat femoral pada pangkal pahanya. Dia mahu mengelakkan pendarahan dari terus menerus keluar dari lukanya itu.

Ternyata, darah berhenti mengalir. Kini tiba giliran Margaret untuk menjahit luka pada betis Kamarul.

"Bagaimana cara untuk menjahit luka abang ni?"

"Bermula dari tengah, kemudian jahit sehingga ke tepi di sebelah kanan. Kemudian lakukan sekali lagi dengan bermula di bahagian tengah dan jahit sehingga ke kiri... Kau pernah menjahit kain yang koyak, bukan?"

Margaret mengangguk pantas, walaupun di dalam masa yang sama, dia cukup sedar bahawa apa yang perlu dijahitnya kini adalah luka pada bahagian betis Kamarul. Dia pasti apa yang akan dilakukannya nanti akan menyakitkan Kamarul.

Margaret menarik nafasnya dalam-dalam. Dia melakukan jahitannya seperti mana yang telah diminta Kamarul. Margaret cuba sedaya mungkin untuk menumpukan perhatiannya kepada apa yang perlu dilakukannya lantas menepikan keluhan sakit yang terpaksa dihadapi Kamarul setiap kali jarum menembusi kulitnya.

Kepala Kamarul berdenyut-denyut menahan sakit. Dia hampir-hampir tidak sedar dia telah menggenggam tangan datuknya dengan kuat. Dia melepaskan genggaman pada tangan datuknya itu.

Kamarul mendapati dirinya terlalu lesu. Dia terasa begitu penat di dalam keadaan dirinya terpaksa menanggung rasa perit pada bahagian betis kanannya.


Margaret membersihkan tangannya. Kemudian dia memandang ke arah Kamarul sambil tersenyum.

"Terima Kasih..." ujar Kamarul perlahan. Dia menyandarkan kepalanya ke kerusi. Dia melelapkan matanya.

Kamarul tidak tahu berapa lama dia telah terlelap. Dia hanya tersedar apabila dia dapat mendengar suara Margaret menangis di ruang tamu.

Kamarul memandang ke arah datuknya. Dia dapat melihat datuknya itu sedang mengesat air matanya.

"Kau perlu dibawa ke hospital..." ujar Said Ali sambil mengeluh. "Kau perlu berehat dan mendapatkan rawatan lanjut di sana... Lagipun, Margaret perlu dibawa untuk melihat jenazah bapanya."

"Tapi bagaimana untuk kita ke sana... Yunus dah berhenti-"

"Tak apa... Biar datuk sahaja yang memandu."

"Tapi datuk tak sihat-"

"Kau tak perlu risaukan tentang aku... Rasa demam aku dah reda sejak tengah hari tadi!" Said Ali menegaskan. Kamarul tidak dapat melakukan apa-apa kecuali mendengar serta menurut kemahuan datuknya. Dia tahu walaupun datuknya sudah agak berusia, tubuh badannya masih tegap lagi. Jika dia tidak sakit, mungkin kemahuan datuknya untuk memandu tidak akan dijadikannya satu isu sama sekali. Tetapi dia sedar dia tidak mempunyai banyak pilihan dalam masa-masa yang terdesak seperti ini...

II


Chin Chuan terkejut apabila dia dapat melihat keadaan Kamarul yang kelihatan keletihan dan pucat. Bahagian betis kanannya dibalut kemas dengan kain pembalut luka.

"Apa yang telah berlaku?" tanya Chin Chuan. Dia melihat tompokan darah pada bahagian kain pembalut luka pada betis Kamarul.

"Aku terkena serpihan bom... Nanti bila kita ada masa, aku akan ceritakan." Ujar Kamarul sambil cuba mengukir senyuman. Kemudian dia menoleh ke arah Margaret yang sedang berdiri di sebelah datuknya. Wajah Margaret muram.

"Mayat Encik Neo Say Hian telah dibawa ke bilik mayat..." Bisik Chin Chuan kepada Kamarul. "Baru sahaja sebentar tadi beberapa orang rakannya dari Kelab Ee Hoe Hean telah datang ke sini. Mereka mahu menguruskan jenazahnya. Mungkin mereka masih berada di situ lagi."

Kamarul mengangguk mengerti. Dia berjalan mendapatkan datuknya. Dia memberitahu kepadanya tentang rakan-rakan Say Hian yang sedang menunggu di luar bilik mayat. Kemudian dia menoleh ke arah Margaret. Kata Kamarul kepada Margaret:

"Kawan-kawan bapak awak mahu menguruskan jenazah bapa awak..."

"Jadi... Boleh saya pergi melihat mayat bapa saya sekarang?" tanya Margaret perlahan.

"Boleh... Tapi jangan lama-lama. Tempat ini bahaya. Lagipun curfew akan dimulakan dalam masa dua jam lagi." Kata Kamarul sambil memandang ke arah jam dinding. Datuknya perlu keluar dari kawasan hospital sejam sebelum perintah berkurung dikuat kuasakan agar dia dapat pulang ke Katong dengan selamat.

"Saya faham..." Margeret menjawab sambil tertunduk.

Kamarul membawa Said Ali dan Margaret ke bilik mayat. Sememangnya, rakan-rakan Say Hian sedang berada di situ untuk menunggu sebuah kereta mayat yang telah mereka sewa datang mengambil mayat Say Hian dari situ.

Kamarul dapat melihat titisan air mata jatuh berderai di atas pipi Margaret apabila dia diberitahu bahawa mayat keluarga dan saudara maranya yang terperangkap di dalam rumahnya yang telah musnah dibom belum dapat dikeluarkan lagi. Walaupun begitu, mereka telah berjanji untuk mencari beberapa orang kuli untuk melakukan kerja ini secepat mungkin agar mayat-mayat mereka dapat diuruskan dengan segera.

Margaret termenung buat beberapa ketika memikirkan tentang musibah yang telah menimpa dirinya. Beberapa kali dia mengingatkan dirinya agar tabah menghadapi semua ini.

"Di mana Lyold sekarang, Margaret?" tanya Kamarul. Dia dapat melihat Margaret mengesat air matanya. Dia cuba senyum kepada Kamarul. Senyuman yang dipaksa-paksanya.

"Kalau tak salah saya, dia sedang berada di Sekolah Nan Chiao dia Kim Yam Road. Dia telah diserapkan di dalam pasukan Dalforce. Itu sahaja yang saya tahu." Jelas Margaret dengan matanya tertumpu ke pintu masuk bilik mayat.

Kamarul hanya dapat mengangguk. Dia tidak tahu ke mana arah hidup Margaret selepas ini apabila semua anggota keluarga sudah tiada lagi kecuali abangnya Lyold. Mungkin Lyold akan dapat menjaganya. Lagipun, itulah gunanya seorang abang...


posted by Nizam  # 1:25 PM

Thursday, May 19, 2005

Gurisan Intaglio oleh Nizam Zakaria. Bab 7



Bab 7

Sebelum British menyerah kalah, Singapura telah dibom siang dan malam, lebih-lebih lagi pada lewat bulan Januari dan awal Februari 1942. Rakyat Singapura diselubungi ketakutan. Ada kalanya Jepun akan menyerang secara bertubi-tubi - tiga kali pada hari siang dan tiga kali lagi pada waktu malam.

Kerana terlalu sibuk, Kamarul sering akan tidur di hospital sahaja. Sememangnya, pelajar perubatan sepertinya yang telah menjadi ahli sukarelawan MAS telah diminta oleh pengetua Kolej Perubatan King Edward VII, Dr. Allen untuk membawa bersama mereka bantal selimut dan tilam sendiri ke hospital seperti yang dilakukan oleh penduduk London ketika berlakunya serangan Jepun. Fikirnya, Jepun tidak mungkin akan menyerang kawasan hospital. Para pelajar yang menjadi sukarelawan lebih selamat jika berlindung di situ.

"Kamarul!" dia hanya menyedari dirinya dipanggil setelah namanya itu disebut berkali-kali. Dia terlalu sibuk menolong seorang jururawat mencabut beberapa serpihan bom yang terkena pada bahagian perut seorang kanak-kanak perempuan.

Kamarul menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang telah memanggilnya tadi.

"Apa yang kau nak Chuan? Kau tak nampak ke aku sedang sibuk sekarang ni? Sela Kamarul. Manik-manik peluh terkumpul di dahinya.

"Kau baik pergi ke Blok K sekarang juga!" Chin Chuan menegaskan. "Ada seorang pesakit yang mahu berjumpa dengan kau... Keadaannya tenat!"

Nadi Kamarul hampir terhenti untuk beberapa detik. Wajahnya tiba-tiba sahaja berubah. Pucat. Pada waktu itu dia hanya dapat memikirkan perkara yang buruk-buruk sahaja.

"Pesakit tu... Aku pernah berjumpa dengannya di majlis hari jadi adik kau dulu. Aku pernah berbual dengannya sekejap-"

"Siapa?" tanya Kamarul dengan suara perlahan. Hatinya berdebar-debar.

"Encik Neo Say Hian… Jiran datuk kau di Katong." Jawab Chin Chuan serba salah. "Dia mahu bercakap dengan kau. Sebab itulah aku datang ke mari untuk cari kau di sini."

"Tapi... Sekarang aku sibuk." Ujar Kamarul tersekat-sekat. Dia serba salah antara mahu dengan tidak. Budak perempuan yang sedang dirawati semakin kuat tangisannya. Jururawat yang sedang membantu cuba sedaya mungkin untuk menenteramkannya.

"Pergi sahaja Kamarul..." Ujar Joseph yang tiba-tiba sahaja muncul berdiri di sebelahnya. "Biar aku sahaja ambil alih tugas kau ini."

"Tapi sekarang masa rehat kau!" Kamarul menjawab. Dia memang tidak mahu menyusahkan sesiapa, lebih-lebih lagi Joseph yang tidak begitu disukainya itu.

"Pergi! That's an order!" getus Joseph dengan keras dan tegas seperti mana yang pernah dilakukannya ketika Kamarul diragging dahulu. Kemudian dengan kasar dia menolak Kamarul ke tepi.

Kamarul terpaksa menurut sahaja. Dia melangkah beberapa tapak ke belakang. Dia hampir-hampir terlanggar sebiji besen besi yang dipenuhi dengan kain kapas yang dilumuri darah yang diletakkan di atas sebuah meja kecil.

Kamarul berjalan melintasi wad hospital yang sesak dengan katil dan pesakit itu lalu berjalan dengan pantas di belakang Chin Chuan untuk ke bangunan sebelah di mana letaknya Blok K. Hatinya semakin berdebar-debar. Dia berdoa di dalam hati agar keadaan Say Hian tidaklah seteruk seperti mana yang dilaporkan oleh Chin Chuan.

Kamarul menarik nafasnya dalam-dalam. Dia mendapati keadaan di dalam Blok K lebih sesak jika dibandingkan dengan Blok C. Setiap wad dipenuhi dengan pesakit-pesakit yang kelihatan begitu parah.

"Dia berada di dalam wad ini..." beritahu Chin Chuan, mengarahkan kamarul masuk ke dalam wad tempat dia bertugas.

Dari jauh lagi Kamarul sudah dapat melihat Say Hian terlantar di atas sebuah katil yang letaknya berdekatan dengan veranda. Seorang sukarelawan MAS nampaknya sedang membantu seorang jururawat membersihkan luka di kepalanya.

"Uncle ingin berjumpa dengan saya?" tanya Kamarul dengan lembut dekat ke telinganya.

Say Hian menutup matanya dengan perlahan sebelum dia membukanya semula. Keadaannya tenat. Dia telah kehilangan banyak darah.

"Misi, kenapa tak bekalkan dia dengan darah?" tanya Kamarul marah-marah.

"Bekalan darah yang kita ada telah dikhaskan untuk kegunaan pesakit-pesakit British." Jururawat berbangsa India itu berterus terang dengannya.

Kamarul menggelengkan kepalanya. Darahnya menyirap naik ke muka. Dengan pantas dia memandang ke papan pemberitahuan berdekatan untuk mencari nama doktor yang mengendalikan wad ini. Kemudian dia terus menyeru dengan pantas:

"Misi, tolong panggilkan doktor Winston!"

"Dia sedang sibuk sekarang... Awak mesti faham-"

"Panggil saja dia, misi!" suara Kamarul semakin meninggi. "Pasakit ini sudah kehilangan banyak darah!"

Chin Chuan menasihati jururawat itu supaya mengikut sahaja perintah Kamarul. Si jururawat merungut-rungut, walaupun begitu dia tetap mengorak langkah untuk mencari doktor Winston yang sedang berada di wad sebelah - merawat pesakit-pesakit yang sebangsa dengannya.

Kamarul mengeluh. Dia merenung ke wajah Say Hian yang dilumuri darah. Sekarang timbul pula rasa kasihannya terhadap Say Hian. Dia terfikir tentang Lyold. Adakah dia dia tahu bahawa bapanya kini sedang terlantar di hospital?

Baru sahaja minggu lepas Lyold menjemputnya untuk makan malam di rumahnya yang terletak di Palm Grove Avenue. Say Hian telah bersusah payah meminta Bibik Puteh mencari tukang masak Melayu untuk menyediakan makanan agar mereka dapat sama-sama makan semeja. Say Hian telah meminta supaya Lyold menjemputnya supaya makan malam bersama keluarganya setelah dia mendapat tahu Kamarul bekerja tanpa henti di hospital.

Hanya pada hari itulah Kamarul mula mempelajari bahawa datuknya dan Say Hian adalah rakan niaga yang rapat hubungannya. Malah, Say Hian telah mengenali datuknya sejak kecil lagi, kerana kayu balak yang dihantar ke kilang kepunyaan keluarganya datangnya dari kayu balak yang telah diimport oleh Said Ali dari Pahang...

"Ka... Kamarul," ucap Hay Hian dengan perlahan. Suaranya hampir tidak dapat didengar Kamarul di dalam keadaan suasana hospital yang gamat apabila siren tiba-tiba dibunyikan. Beberapa detik kemudian, bunyi meriam antikapal terbang disulami dengan bunyi bom yang meletup di sana sini menguasai keadaan.

Kamarul mendekatkan telinganya ke mulut Hay Hian. Dia mahu mendengar apa yang mahu disampaikan oleh Hay Hian kepadanya.

"Bibik Puteh... Kevin dan Albert dah mati. Rumah kami musnah dibom. Saudara mara kami yang berlindung sama juga semuanya dah mati." Sebutnya dengan suara terketar-ketar.

"Rumahnya yang terletak di Palm Grove Avenue musnah terkena bom pada awal pagi tadi." Chin Chuan mencelah untuk menjelaskan. "Hanya dia seorang sahaja yang dapat diselamatkan."

Dahi Kamarul terkerut resah. Inilah kami pertama dia menerima berita kematian yang melibatkan orang-orang yang pernah dikenalinya. Dia hanya mampu menutup mulutnya. Diam.

"Margaret... Dia sedang berada di Katong. Aku telah menghantarnya ke sana semalam kerana aku dengar Tok Said sedang sakit... Margaret berkeras mahu ke Katong untuk menjaga Tok Said. Dia risau benar dengan keadaan Tok Said yang terlantar di atas katil..." jelas Say Hian. Sememangnya hubungan Margaret dengan Said Ali dan Syarifah Zubaidahcagak rapat. Sejak kecil lagi dia suka berkunjung ke rumah mereka untuk bermain dengan Sabariah. Said Ali dan Syarifah Zubaidah telah menganggap Margaret sebagai anggota keluarga mereka sendiri.

"Tidak! Dia berada di Muar." Kamarul menggeleng pantas.

"Dia masih berada di sini..." Suara Say Hian terketar-ketar. "Dia akhirnya mengambil keputusan untuk tidak meninggalkan Singapura kerana kau masih berada di sini lagi."

Wajah Kamarul semakin pucat. Jika ditoreh mukanya itu, pasti tidak akan berdarah gamaknya. Dia risau akan keadaan datuknya.

"Beritahu kepada Margaret apa yang telah berlaku... Begitu juga kepada Lyold. Beritahu kepada mereka berdua aku sayangkan mereka."

Kamarul memegang tangan Say Hian dengan erat. Dia mengangguk perlahan. Mata Say Hian kini tertutup rapat apabila dia melihat Kamarul berjanji untuk melaksanakan permintaannya itu.

Bunyi letupan bom semakin memekakkan, menandakan bom telah dijatuhkan ke beberapa lokasi berdekatan dengan hospital.

Kemudian tanpa sebarang amarah, sebuah bom telah dijatuhkan di kawasan hospital, betul-betul di hadapan Blok K. Secara spontan Kamarul dan Chin Chuan berlindung sebelah katil Say Hian.

Bunyi letupan sangat kuat. Membingitkan. Menggegarkan. Buat beberapa saat, telinga kamarul menjadi pekak. Kemudian dia dapat melihat deraian tanah turun seperti hujan di luar veranda.

Beberapa saat kemudian, bom yang kedua dijatuhkan lantas meletus di sebuah padang kecil yang letaknya berdekatan dengan bangunan pentadbiran.

Doktor Winston merangkak untuk menemui Kamarul dan Chin Chuan.

"Kau panggil aku tadi?" tanya doktor Winston kepada Kamarul.

Kamarul mengangguk cepat, lalu memberitahu kepada doktor muda berbangsa Inggeris itu bahawa Say Hian memerlukan bekalan darah.

Doktor Winston memberanikan dirinya untuk berdiri, lalu memeriksa keadaan Say Hian.

"Dia tidak memerlukan darah," ujar Doktor Winston bersahaja. Mereka yang sedang berada di dalam wad masih berada dalam keadaan terkejut. Mereka ketakutan.

"Tapi kenapa?" Kamarul terus berdiri di hadapan Doktor Winston untuk membantah.

"Saya kata dia tak perlukan darah!" selanya dengan kuat tanpa memberikan sebarang alasan yang kukuh, lantas dia terus beredar dari katil Say Hian.

Wajah Kamarul berubah marah. Mahu sahaja dia bertumbuk dengan Doktor Winston. Apabila dia mula mengorak langkah untuk berbuat demikian, dengan pantas Chin Chuan menahannya. Jika tidak, pasti nahas jadinya nanti.

"Dia dah mati, kamarul!" beritahu Chin Chuan tatkala dia melepaskan genggamannya pada lengan Kamarul.

"Apa Chuan?"

"Dia sudah tidak ada lagi." Chin Chuan cuba memastikan dengan meletakkan jadinya di bergelanggang tangan Say Hian. Dia tidak dapat mencari nadinya.

"Tidak!" sebut Kamarul tidak percaya. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali. "Darah aku jenis 'O'... Dia boleh gunakan darah aku. Aku sedia menderma."

"Jika dia masih hidup sekalipun, kau masih tidak boleh menolongnya. Kau baru saja menderma darah empat hari yang lepas. Apa kau dah lupa?" Chin Chuan cuba mengingatkan. "Dia sudah mati, Kamarul!" kali ini Chin Chuan ingin membuktikan dengan membakar sebatang mancis lalu dimatikan di hadapan hidung Say Hian. Asap tidak disedut masuk ke dalam lubang hidungnya. Dia sudah lama berhenti bernafas.

Kamarul menarik nafasnya yang tersekat-sekat itu. Perlahan-lahan dia mula dapat menerima hakikat bahawa Say Hian sudah tiada lagi dan tidak ada apa-apa yang mampu dilakukannya untuk mengubah apa yang telah berlaku di hadapannya ketika itu.

"Urusakan mayatnya, Chuan... Aku perlu ke Katong secepat mungkin. "Aku perlu menemui datuk aku yang sakit dan mengkhabarkan apa yang telah berlaku kepada Say Hian dan keluarganya kepada Margaret."

Chin Chuan mengangguk mengerti. Dengan perlahan Kamarul berjalan meninggalkan wad tempat Chin Chuan bertugas untuk kembali ke wadnya sendiri di bangunan sebelah. Kamarul berjalan dengan perasaan yang cukup kacau.

II


Kamarul telah meminjam beg rawatan dari Joseph sebelum dia bergegas keluar dari kawasan hospital. Di luar hospital, dia mendapati keadaan kelam-kabut. Beberapa orang kanak-kanak sedang menangis sambil mencari ibu dan bapa mereka. Seorang wanita muda dengan wajah yang kosong pula dilihatnya sedang merayau-rayau sambil bercakap seorang diri. Wayar trem melingkari jalan. Kini dia pasti dia tidak akan dapat menggunakan trem untuk meninggalkan Outram Road.

Kamarul terus berjalan sambil memeluk erat beg rawatan yang sedang dibawanya pada ketika itu. Dia dapat melihat beberapa bangunan yang musnah di kawasan yang dilaluinya. Yang hanya tinggal cuma anak tangga yang diperbuat daripada batu. Kawasan yang dilaluinya seperti telah dilanggar garuda.

Setibanya dia di New Bridge Road, dia dapat melihat sebuah bas dari syarikat Singapore Transport Company bergerak ke arahnya. Kamarul menahan bas tersebut. Bas itu terus berhenti di sebelahnya. Bas itu tidak berpenumpang.

"Bas ini hendak ke mana?" tanya Kamarul kepada pemandu bas berbangsa Melayu itu yang berusia 30 tahun itu.

"Arab Street... Orchard Road..."

Kamarul terus menaiki bas tersebut. Dia berfikir, mungkin setibanya di Arab Street nanti dia boleh mencari teksi ataupun beca untuk ke Katong.

"Kau dari mana?" tanya si pemandu bas membuka lembaran bicara.

"Dari hospital besar..."

"Kalau tak salah aku... Kawasan itu terkena bom Jepun tadi."

"Ya."

"Apa kau buat di hospital tu?"

"Tolong orang sakit," jawab Kamarul pendek dalam keadaannya yang lebih senang mendiamkan dirinya dari menjawab soalan-soalan kosong dari pemandu bas ini.

Apabila bas yang dinaikinya itu lalu di Victoria Street, tiba-tiba siren berkumandang lagi. Beberapa penumpang di dalam bas mula panik. Mereka ingin turun dari bas.

Apabila bas berhenti di sebuah persimpangan jalan, penumpang-penumpang lari lintang pukang.

"Apa kata kita ke Jalan Sultan... Di situ ada shelter. Lagipun tempatnya tak jauh dari sini. Keluarga aku selalu berulang alik untuk berlindung di situ!" ujar si pemandu bas kepada konduktornya. Si konduktor bersetuju. Kamarul pula masih tidak mahu berganjak dari tempat duduknya.

Bas yang dibawa si pemandu kini membelok ke arah Jalan Sultan. Tatkala itu, bunyi ledakan meriam anti kapal terbang berdentum-dentum kedengarannya. Kamarul mendongak ke langit dari tingkap bas. Dia dapat melihat sebuah kapal terbang Jepun terbang rendah, diikuti oleh bunyi letupan yang maha kuat. Bas serta-merta dihentikan.

Si pemandu meminta Kamarul keluar dari dalam bas. Kamarul menurut tanpa banyak soal. Si pemandu bas dengan pantas berlari masuk ke dalam sebuah masjid kecil yang telah dibina oleh orang-orang Malbari yang terselit di antara rumah-rumah kedai di Jalan Sultan. Kamarul berlari masuk ke dalam masjid. Dia dapat mendengar suara seorang anak kecil yang sedang menangis yang datangnya dari arah sebuah kubur yang bertembok batu berukir-ukir si kelilingnya. Dia terus ke situ.

Kamarul mendapati terdapat ramai orang yang sedang berlindung di atas kubur bertembok batu itu. Mereka semua kelihatan takut.

Keadaan agak tenang buat seketika. Kamarul memberanikan dirinya untuk menjenguk ke luar tembok. Dia dapat melihat beberapa orang anak muda berbangsa India yang langsung tidak mengendahkan bunyi siren yang tidak henti-henti berbunyi itu. Mungkin mereka sudah biasa dengan amaran seperti ini yang dibunyikan hampir setiap hari. Mereka nampaknya sedang asyik bermain dengan terup keling.

Kamarul keluar dari lingkungan tembok kubur. Dia dapat melihat si pemandu bas sedang berbaring di luar.

Pada saat itulah Kamarul dapat merasakan sesuatu yang tidak kena akan berlaku. Dia mendongak. Langit yang membiru terbentang indah. Cuaca pada tengah hari itu panas tetapi berangin.

Dengan tiba-tiba, sebuah kapal terbang Mitsubishi A6M Zero Fighter terbang rendah lalu memuntahkan muatan bomnya. Walaupun perkara ini berlaku dengan pantas, Kamarul dapat melihatnya seolah segala-galanya telah diperlahankan.

Bom jatuh mengena tepat kepada pemuda-pemuda India yang sedang bermain terup keling tadi. Letupan bom yang kuat telah menyebabkan tubuh Kamarul tercampak ke belakang. Serpihan tanah bercampur cebisan daging manusia terjatuh dari langit.

Seorang anak ke kecil berusia di sekitar 8 tahun menjerit sekuat hari. Ia berlari keluar dari kawasan shelter walaupun cuba dihalang oleh ibunya.

Anak kecil itu pergi mendapatkan bapanya yang tercedera. Pemuda-pemuda India yang bermain terup tadi semuanya mati.

Kamarul terus mendapatkan anak kecil yang sedang menangis di hadapan tubuh pemandu bas yang terbaring di atas tanah. Apabila Kamarul memeriksa keadaan si pemandu bas, dia mendapati si pemandu itu tidak sedarkan diri dengan keadaan kaki kirinya berlumuran dengan darah.

Kini isterinya datang menangis sambil memangku kepala suaminya ke atas pahanya.

Dengan penuh berhati-hati Kamarul membuka kasut kanvas yang dipakai si pemandu yang basah berlumuran darah. Apabila dibukanya, dia mendapati dua jari kaki kirinya terputus. Dengan pantas dia mengeluarkan apa yang patut dari beg rawatannya. Dia membalut kaki si pemandu agar darahnya berhenti dari terus mengalir.

"Saya Kamarul... Kakak pula?" tanya Kamarul sewaktu dia membalut luka si pemandu.

"Katijah."

"Anak kakak ni pula, apa namanya?"

"Hilmy..."

"Hilmy jangan menangis lagi ya? Ayah Hilmy tak ada apa-apa sebenarnya." Ujar Kamarul dengan nada memujuk, walaupun kini dia baru sedar daging di peha suami Katijah tersauk keluar akibat terkena serpihan bom. Dengan pantas, Kamarul membalut peha si pemandu bas sambil menasihati Katijah supaya membawa suaminya itu ke hospital secepat mungkin.

Katijah mengucapkan terima kasih kepada Kamarul kerana sedia membantu suaminya. Kamarul sekadar mengangguk, lalu memberi salam.

Tidak ada apa lagi yang mampu dilakukan oleh Kamarul di sini. Kamarul melangkah keluar dari masjid kecil yang terletak di Jalan Sultan itu. Apabila dia keluar dari perut masjid, dia dapati pakaian yang dipakainya dikotori tanah dan percikan darah. Terdapat percikan daging yang melekat di rambutnya. Dia mengibas-ngibas rambutnya itu. Dan pada tatkala itulah dia mula menyedari kasutnya kanannya basah.

Dia menyelak seluarnya. Dia mendapati terdapat serpihan bom yang terkena pada bahagian betisnya dan serpihan itu masih tertanam di situ. Tidak terdapat banyak darah yang mengalir keluar malah dia juga tidak dapat merasakan sebarang rasa sakit.

Kamarul terus berjalan. Setelah berjalan selama lebih 20 minit, kakinya mula merasa kebas. Dia cuba menahan beberapa buah teksi yang lalu di hadapannya tetapi tidak sebuah pun yang berhenti.

Kamarul akhirnya berjaya mendapatkan sebuah beca berdekatan dengan Sungai Kallang. Dengan pantas dia memberitahu kepada si pembawa beca supaya membawanya ke Tanjong Katong. Si pembawa beca bersetuju.

III


Kamarul turun dari beca yang dinaikinya lalu membayar harga perjalanannya. Dia dapat merasakan tubuhnya semakin lemah. Dia naik ke rumah datuknya. Dia memanggil nama datuknya berkali-kali.

Dia dapat melihat Margaret keluar dari bilik datuknya lalu berjalan mendapatkannya. Wajah Margaret berubah cemas sebaik sahaja mereka bersemuka. Margaret terus berdiri kaku di hadapannya. Dia sesungguhnya terkejut melihat keadaan Kamarul yang tidak terurus itu.

Lidah Kamarul langsung kelu apabila dia berhadapan dengan Margaret. Dia tidak tahu bagaimana untuk memberi perkhabaran kepadanya bahawa ibu, bapa, kedua orang adik-adiknya berserta beberapa orang anggota keluarganya yang terdekat mati dibom Jepun.

NB: Watak Katijah dan Hilmi (serta bapanya, si pemnadu bas STC) adalah watak-watak yang wujud dalam novel Salina oleh A. Samad Said. Beberapa dialog yang terdapat di dalam novel Gurisan Intaglio telah diangkat dan diolah agar dapat disesuaikan untuk novel ini.

posted by Nizam  # 3:27 PM