Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 19 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Album gambar Miss Lee
Aku berdiri di bawah apartmen tempat tinggal Miss Lee. Aku termenung jauh ke hadapan. Aku sedang menunggu kedatangan Sanisah ke sini. Aku tahu beberapa minit lagi dia pasti akan sampai ke sini.
Aku memikirkan tentang nasib yang menimpa Sanisah. Aku pasti apa yang telah dilakukan oleh bapanya banyak mempengaruhi kehidupannya sekarang. Aku marah kepada bapanya, walaupun aku tak pernah menemuinya. Sekarang barulah aku faham mengapa Sanisah begitu membenci bapanya itu. Aku kurang pasti jika satu hari nanti Sanisah apa memaafi bapanya, tetapi jika perkara sama berlaku kepada ku, aku tidak mungkin dapat memaafkan.
Sanisah mahu melarikan dirinya dari segala-galanya lalu memulakan satu kehidupan yang baru. Aku pasti jika dia berusaha, dia akan dapat kecapi semua ini. Tapi masakan dia boleh melupakan kisah lampaunya begitu sahaja. Tidak ada sesiapapun yang boleh melakukan itu semua kerana apa yang telah berlaku kepada diri kita akan membentuk siapa diri kita ini sebenarnya.
Semalam aku ke rumah nenek. Mak ada di situ. Aku tanya dia sampai bila dia akan duduk di sini, dia tak mahu menjawab. Dia kata aku dah besar, aku tidak perlu terlalu mengharapkannya. Aku cakap aku tahu. Tapi aku risaukan tentang dirinya. Aku tanya kepadanya kalau dia akan pulang ke rumah atau tidak, dia diam seribu bahasa. Dia tanya bagaimana keadaan ayah sekarang. Aku kata dia tak banyak bercakap. Dia lebih banyak termenung. Dan buat pertama kalinya dalam masa lebih 10 tahun, ayah kembali bermain dengan gitar elektriknya.
Dia bawak lagu apa? Tanya Mak bersungguh-sungguh ingin tahu.
Dia mainkan lagu yang mak suka, tu... Cinta Takkan Pergi.
Mak mengeluh sendiri. Dia tahu ayah telah mencipta lagu itu khas untuknya ketika mereka mula-mula bercinta dahulu. Mungkin mak teringatkan masa-masa mudanya ketika mereka pernah bercinta dan berkasih mesra. Tetapi sekarang semuanya tak ada lagi. Aku tak tahu jika perasaan cinta yang mereka kongsi bersama akan berputik kembali.
Lagu Cinta Takkan Pergi adalah satu-satunya lagu cinta yang ayah cipta. Ia juga adalah di antara lagu yang tidak pernah ayah mainkan untuk sesiapa kecuali untuk mak. Ayah kata lagu ini adalah lagunya yang paling istimewa untuk mak.
Aku nampak Sanisah keluar dari keretanya yang diletakkan di tepi jalan. Dia masukkan beberapa keping wang siling ke dalam meter meletak kereta sebelum dia membuka bahagian penumpang keretanya lalu mengeluarkan sebuah plastik penuh dengan bahan-bahan makanan yang telah dibelikannya untuk Miss Lee. Aku perhatikannya dari jauh. Buat beberapa ketika tubuh ku terasa kaku seperti takut untuk mendekatinya. Kecantikannya meruntun jiwa ku. Dengan hati yang berdebar-debar aku berjalan mendekatinya.
Biar saya tolong. Kata ku di belakangnya. Dia menoleh. Dia terkejut melihat ku.
What are you doing here?
Tunggu awak. Zila kata hari ini giliran awak untuk jaga Miss Lee.
Okay... It's a free country. Katanya. Aku ambil plastik berisi bahan makanan dari tangannya. Dia macam tak nak bagi aku menolongnya. Aku kena tarik plastik tu kuat-kuat baru dia lepaskan.
Awak nak masak ke?
Ya. Sambutnya dengan dingin.
Sanisah menutup pintu keretanya. Dia menekan alat kawalan jauh untuk mengunci pintunya.
Anaïs Nin once said, "We don't see things as they are, we see things as we are." Kata Sanisah di hadapan pintu lif.
Jadi kenapa?
I just don't understand you, Masdor. You are nothing like me. You are nothing like anybody I've met before this. Jadi... I tak faham dengan you. I tak tahu apa you nak dari I.
Saya nak kita bersama. Itu sahaja yang saya mahukan. Kata ku dengan perlahan. Pintu lif terbuka. Aku biar dia masuk ke dalam lif sebelum aku sendiri masuk ke dalam lif. Oh, awak tahu lagu Speed of Sound oleh Coldplay?
Ya, kenapa? That's one of my favourite song. Jawabnya. Aku tahu. Aku dah baca diarinya dari mula sampai akhir.
Itu antara lagu yang paling saya minati juga.
Really?
Saya juga suka dengan lagu All These Things I've Done oleh The Killers, Tripping oleh Robbie Williams dan lagu Daniel Porter, Bad day.
I know. You gave me a compilation of the songs you liked last month. Lagu-lagu ini ada dalam kompilasi itu.
Jadi awak kenal saya... Semua ini adalah saya. Lagu-lagu ini. Awak sebenarnya tahu siapa saya, cuma awak tak mahu buka hati awak untuk sesiapa pun termasuk saya.
Pintu lif dibuka. Sanisah keluar dari perut lif. Dia terus berjalan ke apartmen Miss Lee. Dia buka pintu.
Sebaik sahaja kami masuk ke dalam rumah, aku dapat melihat Miss Lee tertidur di kerusinya. Rancangan bahasa Cina di Astro yang telah ditontonnya sehingga tertidur memecahkan kesunyian rumahnya.
Miss Lee, bangun. Dah masa untuk Miss Lee makan tengah hari. Ujar Sanisah kepadanya. Miss Lee tidak menjawab. Wajahnya nampak tenang.
Aku mendekati Miss Lee. Aku cuba mengejutnya dengan menggoyangkan tangannya. Aku dapati tangannya sejuk. Tubuhnya keras. Aku memegang pipinya. Dingin.
Kenapa Masdor?
Aku mendiamkan diri ku buat seketika. Aku cuba mencari detik nadi dengan meletakkan jari ku ke lehernya.
Dia tak ada lagi. Kata ku kemudian dengan perlahan.
What? But I talked to her last night! She was okay! She asked me to cook nasi goreng for her! Kata Sanisah bersungguh-sungguh. Dia menutup mulutnya. Matanya mula berkaca-kaca.
Saya perlu hubungi Suzi... Dia tahu apa yang perlu dilakukannya apabila perkara ini berlaku.
Sanisah mengangguk pantas. Aku suruh Sanisah duduk di kerusi sofa. Dia berada di dalam keadaan terkejut. Aku menggenggam tangannya ketika menelefon Suzi. Dengan suara yang tenang aku memberitahu kepadanya tentang pemergian Miss Lee.
Sanisah memangis. Aku mendakap tubuhnya. Dia memberitahu ku dia telah berbual panjang dengan Miss Lee semalam tentang rancangannya apabila dia tiba di UK nanti. Miss Lee telah memberinya banyak perangsang dan kata-kata nasihat. Sanisah tidak menyangka Miss Lee akan pergi secara tiba-tiba begini.
Aku memikirkan tentang kematian ku. Aku tahu, ada kemungkinan besar dalam masa yang terdekat ini aku juga akan mati. Adakah nanti Sanisah akan menangisi kematian ku seperti yang dilakukannya sekarang ini?
Sanisah berjalan ke arah laci Miss Lee di ruang tamu. Dia mengeluarkan sebuah album. Sanisah kata, Miss Lee suka melihat album ini. Sanisah menyerahkan album ini kepada ku.
Di dalam album ini ada beberapa keping gambar ku. Gambar ku sejak aku berusia 9 tahun sehinggalah setahun yang lepas. Miss Lee simpan kesemuanya.
Dia selalu cerita fasal you kat I. Dia kata you budak baik. She said whenever you come to her store, you will brighten up her day.
Oh...
She wants you to have this kalau terjadi apa-apa kepadanya.
Aku mengambil album ini lalu memeluknya. Terasa sebak di dalam hati ku. Aku menangis. Sanisah mengelap air mata ku dengan tangannya. Dia membaringkan kepalanya ke bahu ku.
Saya tahu awak nak belajar dan tinggalkan kita semua... Tapi saya harap nanti awak tak akan lupakan saya.
I can't promise you that.
Aku mengangguk mengerti. Sekarang bukan masanya untuk aku mempersoalkannya tentang hal ini. Tetapi aku ingat lagi pesan Prasasti, katanya, jika Sanisah mahu membuka pintu hatinya kepada ku dan menerima ku seadanya ke dalam hidupnya, dia akan meminta ku melakukan sesuatu untuknya.
Walau apa pun berlaku nanti, aku pegang kata Prasasti. Aku akan lakukan apa sahaja permintaan Sanisah nanti untuk membuktikan kepadanya bahawa aku sememangnya sayang kepadanya.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 18 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Diari Sanisah
Aku pulang dari rumah Zila dan Zeti pada malam itu juga. Aku rasa, lebih baik jika aku biarkan Sanisah di situ. Lagipun, Zila dan Zeti boleh menjaganya dengan baik. Aku perlu beri Sanisah masa untuk memikirkan kembali apa sahaja yang telah aku luahkan kepadanya. Sekurang-kurangnya sekarang aku tahu dia menyayangi ku.
Aku pulang ke rumah. Aku dapati ayah masih menonton TV. Dia tak dapat tidur. Aku rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Pintu bilik tidurnya terbuka luas. Aku jenguk ke dalam. Aku dapati mak tak ada di situ.
Mak mana, Yah?
Dia dah bawak dirinya ke rumah nenek kau. Jawabnya dengan selamba.
Aku mengeluh. Aku masuk ke dalam bilik. Aku dapati Prasasti sedang menonton rancangan telenovela dari Mexico. Aku tak tahu saluran mana yang ditontonnya. Tangannya memegang kertas tisu. Sedih kononnya.
Mereka bergaduh ke tadi? Tanya ku kepada Prasasti.
Siapa?
Mak dan ayah.
Tak. Senyap jer, u'olls.
Bila mak keluar dari rumah.
Pukul 9.
Aku berdecit lalu duduk di atas kerusi. Aku terpandang ke arah diari Sanisah yang telah aku kembarkan. Aku malas membaca, sebab itulah aku tak baca-baca diarinya itu sehingga ke hari ini. Aku membelek-belek diari itu sambil menciumnya. Aku dapat cium bau minyak wangi yang selalu dipakai Sanisah bercampur dengan bau rokok. Belum apa-apa lagi aku sudah merindukannya.
U'olls patut baca apa yang ditulisnya.
Buat apa? Kau dah baca ke?
Dah, katanya.
So? Apa isi kandungannya?
U'olls kena baca sendiri, kaedahnya!
Aku ambil diari itu lalu aku baring di atas katil. Aku buka diari tetapi aku tak tahu di mana aku hendak mula membaca. Jadi aku selak ke beberapa muka surat terakhir diari ini.
*
Julai 25
Aku perlu jual rekod-rekod mama yang aku simpan di dalam bilik. Dulu, ketika papa membuang segala-galanya yang mengingatkan dia kepada mama, dia mahu membuang rekod-rekod ini, tetapi aku tidak membenarnya. Aku mahu menyimpan rekod-rekod ini kerana ini sahaja barang-barang kepunyaan mama yang dapat mengingatkan aku kepadanya.
Malam semalam aku telah mengambil keputusan ini because I want to move on. Aku perlu terus hidup tanpa membiarkan memori mama terus menghantui ku. Biarlah aku hanya mengingatinya di dalam hati.
Tengah hari tadi aku ke Central Market. Aku ke sebuah kedai barang-barang antik, Theresa Forever nama kedainya. The owner, Miss Lee beli semua rekod-rekod yang aku bawa. Dia tanya aku kalau aku ada rekod-rekod macam ini lagi, aku kata ada, jadi aku tinggalkan nombor telefon ku kepadanya. Aku dapat sedikit wang dari penjualan rekod-rekod mama. Memang aku rasa sedih, tetapi sekurang-kurangnya akan ada orang yang akan membeli rekod-rekod lama mama lalu menikmatinya sebagaimana mama pernah menikmatinya dahulu.
Julai 27
Aku terima panggilan telefon dari seorang budak lelaki bernama Masdor. He's weird. Weird enough to buy mama's records. Nama dia Masdor. Dia kata dia ada terjumpa gambar mama dalam sampul rekod Sanisah Huri yang dibelinya dari Terese Foever. Dia mati-mati nak berjumpa dengan aku. I said why not. Lagipun aku tak buat apa sangat. Jadi aku suruh dia jumpa aku petang esok. Pukul 3.
Julai 28
Masdor turns out to be cute!!! Dia datang dengan kawan dia Zila. Masdor serahkan kepada aku satu-satunya gambar mama yang masih wujud. I thought of crying when I saw the picture, but I kept my cool. Bila dia tanya fasal mama, aku terus beritahu kepadanya mama mati kerana bunuh diri (I still can't figure out why I did this). Somewhere along the line, he told me that he likes me. That was fast! So, I told him that is he likes me so much, he should pierce my tongue. Guess what? He actually did what I asked him to do! So, aku rasa dia memang suka kat aku.
The process was painful, tapi tak kisahlah. He did a good job. Bila papa pulang dari pejabat, we didn't talk, so he hasn't realised yet about my pierced tongue.
I'm still thinking about mama. Gambar yang Masdor beri made me realised how happy she was back then. But how can I forget the day when she finally made the decision to end her life? Hari tu, dia sediakan kami sarapan, but she was awfully quiet to papa. Papa bawa Yusnor bersamanya ke The Mall sebab papa kata dia nak beli majalah. Aku duduk di dalam bilik sambil melukis.
Mama didn't say a word to me when I caught her opening the window. Dia hanya memandang ke arah ku kemudian dia cepat-cepat meloncat keluar. There was no drama to it macam yang selalu kita lihat dalam filem. Dia terjun, I screamed to call out her name and that was that. Bila aku turun ke bawah, aku dapat lihat kepalanya berdarah dan terpusing ke belakang. Matanya masih terbuka. Aku cuba peluk dia. Seorang lelaki menarik tubuh ku. Aku menjerit sehinggalah dia melepaskan tubuh ku. Aku tutup mata mama. Aku menangis. Aku salahkan diri aku kerana telah menyebabkan dia bunuh diri.
Aku sayangkan mama. Sekarang aku tahu kenapa dia terjun pada hari itu. Dia terjun kerana papa yang disayanginya telah mengecewakannya. Dia tidak mampu hidup lagi dengan apa yang diketahuinya tentang perbuatan papa terhadap diri ku.
Julai 29
Aku pergi ke 7Eleven tempat kerja Masdor untuk serahkan sekotak rekod-rekod lama kepunyaan mama. Aku beritahu kepadanya tentang projek urban fairy tales aku. Dia macam minat nak dengar, tapi aku malas nak cerita panjang-panjang. Dia tanya kenapa aku keluar malam-malam buta untuk jumpa dia, aku cakap sebab papa pissed me off big time. I told him to fuck off bila dia nampak lidah aku. Dia marah-marah. Dia mengamuk. I told him that I can do whatever to my body. Nak tattoo ke nak pierce ke, ini semua hak aku. Well, maybe not tattoo, but you know where I'm getting at.
Belum sempat aku dapat berbual lama dengan Masdor, aunty Rafidah masuk ke dalam 7Eleven with her usual worried self. Yusnor beritaku kat dia aku ke sini. She was worried sick about me, I was told. Aku tak beritahu kepadanya kenapa aku mahu lari dari papa. Aku rasa dia tak tahu sebab sebenarnya. Dia ingat aku marah sebab papa mengamuk fasal aku lidah aku ni. She's so naive!
Sampai sekarang dia tak tahu kenapa mama bunuh diri. Seperti orang lain, dia fikir mama mengalami masalah tekanan mental.
Aunty Rafidah bawak aku pulang ke rumahnya. Dia kata kalau aku nak duduk lama-lama kat sini pun boleh. I will probably consider her offer afterall.
Julai 30
Aku pergi berjumpa dengan Masdor di Teresa Forever. Aku sempat berjumpa dengan Zila dan Suzi. Diorang ni couple and they look so happy together. I wonder if I can be as happy as them with someone I love...
Masdor ajak aku makan malam di Kampung Baru. I still find it difficult to eat, jadi dia cari tempat yang ada jual bubur. Kemudian dia bawa aku ke Bukit Ampang. Aku tak pernah tahu ada tempat macam Bukit Ampang ni di KL. Suasana KL nampak cantik sekali di sini. Too bad I didn't bring my camera along!
I told Masdor that I'm willing to consider him as my boyfriend, lagipun aku dah janji kat dia if he's willing to piece my tongue. Actually I don't mind, he's quite good looking and he has a nice bod (but I don't think he realised that he's cute). Dia ni jenis selamba. Jenis budak baik. You know, the type I won't hang out with? But Masdor is different. I really like him. He's cool I guess but in a dorky way. I cannot help but smile each time he blushes and goes 'isk!'
In a few hours, I will officially move out of this house. Aku tak sabar lagi untuk berpindah ke rumah Aunty Rafidah. Aku dah tak tahan lagi dengan papa. I really hate him.
Aku tak tahu jika aku harus beritahu kepada Aunty Rafidah that she deserves a better man and that he's not worth it. Aunty Rafidah terlalu baik untuk papa. Kalau boleh aku nak beritahu kepadanya dari awal sampai akhir mengapa aku benci dengan papa. Aku nak beritahu kepadanya bagaimana ketika aku berusia 9 tahun, papa pernah masuk ke dalam bilik ku dan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukannya kepada ku. Dia telah melakukannya berkali-kali walaupun berlaki-kali aku beritahu kepadanya supaya berhenti.
Mama telah membunuh dirinya dua hari selepas dia melihat papa berada di atas katil ku sambil melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh kepada ku. Aku rasa mama telah melakukan itu semua kerana dia kecewa dengan papa. Aku masih ingat lagi wajah mama ketika dia masuk ke dalam bilik ku. Wajahnya pucat. Dia nampak kecewa dan sedih. Buat beberapa saat dia berdiri tegak dan kaku. Kemudian dia menjerit dengan kuat lalu dia tarik papa dari katil ku. Dia kemudian pukul papa dengan segala tenaga yang dia ada. Papa keluar dari bilik ku lalu dia menghilang entah ke mana. Mama menangis di dalam bilik ku. Dia menangis sambil memeluk ku lalu meminta maaf. Aku memintanya supaya jangan menangis. Berkali-kali pada malam itu dia telah menyalahkan dirinya kepada segala apa yang telah papa lakukan kepada diri ku.
Aku telah menghabiskan masa awal remaja ku membenci mama. Aku benci kepadanya kerana dia telah mengambil jalan mudah untuk mengakhiri segala-galanya, sedangkan aku memerlukannya. Dia sepatutnya melindungi aku dari papa. Sejak akhir-akhir ini, aku mula memaafi mama. Aku mula mahu menyayanginya kembali walaupun dia sudah lama meninggalkan aku pergi.
Selepas mama membunuh dirinya, papa tidak lagi cuba menyentuh ku. Aku pula terus membencinya sehingga ke hari ini. Dia telah membunuh sebahagian dari diri ku dan mama.
*
Aku tidak mampu berkata-kata setelah aku selesai membaca diari Sanisah. Aku memandang ke arah Prasasti. Dia melentokkan kepalanya sambil merenung ke dalam mata ku.
Dah berapa lama kau tahu tentang hal ini?
Sejak dari mula lagi. Kata Prasasti lalu dia duduk di sebelah ku.
Kenapa kau tak beritahu aku awal-awal?
U'olls perlu tahu sendiri...
Aku tak salahkan Prasasti. Memang aku sepatutnya selidiki hal Sanisah dari awal lagi. Sekurang-kurangnya sekarang aku faham mengapa Sanisah begitu membenci bapanya. Aku meletakkan diari Sanisah ke tepi. Aku ambil lukisan-lukisan Sanisah yang aku ambil dahulu. Kini lukisan-lukisannya dapat aku fahami. Aku mula mengerti mengapa dalam salah satu lukisan Sanisah, dia telah melukis gambar seorang lelaki dengan menampakkan kemaluannya. Aku kini sedar mengapa lukisan-lukisan yang telah dilukisnya dahulu kelihatannya begitu menakutkan...
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 17 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Kebenaran itu menyakitkan! Apabila Prasasti tanya kepada ku apa yang aku akan aku buat dengan "Alat Membaca Minda"nya, aku terus terang memberitahunya aku mahu tahu jika Sanisah betul-betul sayang kepada ku. Dia kata aku mahu mengambil jalan pintas. Aku memberitahu kepadanya aku tidak mempunyai jalan lain. Tak berapa lama saja lagi, Sanisah akan bertolak ke England.
Prasasti memberitahu ku aku mungkin tidak mahu menggunakan alat ini kerana kebenaran itu ada kalanya menyakitkan. Alat ini kelihatan seperti ketayap.
Mana kau tahu ini semua? Aku bertanya kepadanya kembali.
Dia menyerahkan alat yang kelihatan seperti ketayap itu lalu meminta aku membaca label amaran di belakangnya --
AMARAN: KEBENARAN ITU MENYAKITKAN!
Aku menjeling ke arahnya. Aku simpan "Alat Membaca Minda" ke dalam beg ku. Aku cuit dia. Dia melatah: EH, SAKIT SAKIT NENEK KAU MELETOP! Aku ketawa. Dia berdecit kerana aku buat dia melatah. Tapi aku rasa dia tidak kisah sebab dah lama aku tak buat dia melatah begitu.
Aku telefon Sanisah. Dia jawab panggilan ku. Aku beritahu kepadanya aku mahu berjumpa dengannya pada malam ini. Dia kata sepatutnya aku beritahu awal-awal kerana dia ada temu janji dengan rakan-rakannya. Aku kata aku tak kisah, aku tetap mahu berjumpa dengannya malam ini juga. Dia kata boleh tapi pada pukul 12 tengah lama. Dia sarankan agar kami bertemu di Bintang Walk. Aku tak kisah, di mana-mana pun boleh.
Sanisah ada tanya aku jika aku masih marahkan kepadanya. Aku cakap tak. Aku okay jer.
Jadi pada malam itu aku tunggu dia di depan pintu masuk Lot 10 pada tepat jam 12. Dia tak sampai-sampai juga walaupun jam menunjukkan pukul 12.40 pagi. Aku cuba hubungi dia, tapi aku dapati dia tidak menjawab panggilan telefon ku. Dalam kebosanan aku bukak beg aku lalu aku pakai "Alat Membaca Minda" yang nampak macam ketayap tu. Bila aku pakai, orang yang lalu lalang toleh kat aku. Mungkin diorang ingat aku sesat jalan.
Comelnya ustaz ni! Ujar seorang abang polis di dalam hatinya yang isinya dapat ku baca. Dia memandang ke arah ku dengan wajah bengis. Aku cepat-cepat memandang ke arah lain. Aku terpandang ke arah seorang pelancong mat saleh yang sedang berjalan di sebelah seorang gadis Melayu yang bertubuh kecil. Si mat saleh tua tu sedang memikirkan perkara yang bukan-bukan yang ingin dilakukannya di dalam bilik hotelnya sebentar lagi. Seorang mat rempit dengan aweknya berhenti di hadapan simpang jalan. Si awek risau kerana dia dah seminggu lewat datang haid dan si balak pula risau sebab dia dah kehabisan wang untuk hantar ke kampung bulan ini. Apabila aku pandang ke belakang, aku dapat melihat seorang pemuda Cina yang sedang memikirkan jalan untuk dia memikat seorang gadis yang baru sahaja dikenalinya semalam...
Sorry I lambat. Ujar Sanisah tiba-tiba muncul di hadapan aku. Aku tak dapat membaca fikirannya. Apabila aku mendekatkan diri ku kepadanya aku dapat mencium bau alkohol. Dia mabuk.
Awak ke mana ni. Awak tahu dah pukul berapa ni?
Tahu. Katanya lalu duduk di sebelah ku.
Awak memandu ke sini?
No, my friend dropped me off. I dari Zouk.
Awak minum? Tanya ku. Dia tidak menjawab soalan ku itu. Matanya terus ke arah lampu isyarat yang membenarkan pejalan kaki berjalan melintasi jalan.
Saya nak hantar awak balik lah macam ni. Kata ku dengan tegas. Aku pegang tangannya. Aku bawa dia ke tempat menunggu teksi yang terdekat.
You don't have to do this, you know!
Awak tak faham-faham lagi kan yang saya sayang dengan awak?
I'm not worth it, Masdor. You ni budak baik...
Aku mengeluh. Aku tahan teksi. Sebuah teksi berhenti di hadapan kami.
I tak nak balik! Getus Sanisah sambil memandang ke arah ku dengan mengharapkan aku dapat memahami.
Tapi kenapa?
Yusnor cannot see me like this.
Okay. Saya faham.
Aku bawa Sanisah masuk ke dalam teksi. Aku suruh pemandu teksi bawa kami ke Jalan Scott yang terletak di Brickfields. Aku hantar SMS kat Yusnor. Aku beritahunya kakaknya ada bersama aku. Dia akan tidur di rumah Zila dan Suzi malam ini. Kemudian aku telefon Zila. Aku tanya kalau aku boleh lepak rumahnya. Dia kata dia tak kisah. Lagipun dia dan Suzi ada maraton DVD malam ni. Mereka akan tonton DVD sampai pagi.
Sorry kalau I menyusahkan you.
Pakcik pemandu teksi aku dapati sedang memikirkan yang bukan-bukan. Dia fikir aku dah mabukkan Sanisah dah tu aku nak bawak dia balik untuk ajak projek. Dia maki hamun aku di dalam hati.
Apa salah saya kat awak sampai awak buat saya macam ni? Tanya ku dekat ke telinganya.
What do you mean by that?
Bila awak akan terbang ke UK?
Sepuluh hari lagi...
Aku menghela nafas ku dalam-dalam. Si pakcik teksi sedang membuka lagu dangdut Aku Semut Merah yang dibawakan oleh Meggy Z. Dia menggoyang-goyangkan kepalanya. Lagu ini tiba-tiba sahaja membuat aku rasa sedih.
Aku memandang ke arah Sanisah. Dia tertidur di bahu ku. Aku mengusap rambutnya. Aku tak tahu mengapa dia harus jadi begini dan mengapa aku terus menyayanginya walaupun aku tahu dia begini.
Sesampainya kami di hadapan kondominium Zila dan Suzi, aku terus mengejutkan Sanisah. Dia menguap. Aku keluarkan dia dari perut teksi.
Ketika aku sedang membayar harga tambang teksi, Sanisah termuntah di tepi jalan. Aku cepat-cepat mendapatkannya. Aku mengurut tengkuknya. Aku keluarkan sapu tangan ku. Aku lap mulutnya.
Zila cepat-cepat mendapatkan Sanisah apabila dia membuka pintu rumahnya. Wajah Sanisah pucat. Suzi pula menyediakan kopi di dapur. Zila meminta aku menutup pintu apabila dia menyuruh Sanisah duduk di kerusi sofa.
Rancangan The L Word dari musim kedua terus bermain di kaca TV. Siri fasal lesbian ini datangnya dari koleksi DVD yang baru sahaja Suzi pesan melalui Amazon.com. Aku tak ada mood nak tonton TV, jadi aku berjalan ke arah balkoni yang menghadap ke arah Lumpur ini. Dari situ aku termenung memandang ke arah Stesen Kereta api Kuala Lumpur yang lama, kemudian aku menoleh pula ke arah KL Central. Suasana Kuala Lumpur kelihatan begitu tenang sekali dari sini. Angin malam sesekali menyapu pipi ku.
Aku menoleh ke belakang, ke arah ruang tamu. Aku dapati Zila dan Suzi sedang melayan Sanisah. Aku dapat membaca isi hatinya hati pasangan ini. Mereka saling menyayangi dan mereka akan melakukan apa sahaja asalkan kebahagiaan yang mereka kecapi ini berkekalan sampai bila-bila.
Isi hati Sanisah masih kabur. Mungkin dia masih mabuk. Dia dalam keadaan khayal. Suzi memintanya minum kopi pekat yang disediakan. Sanisah akur.
What happened to her? Tanya Suzi kepada ku di balkoni.
Entah. Dia kata dia baru balik dari Zouk.
You pergi ke sana dengan dia.
Aku mana suka pergi clubbing, ah moi!
Oh, I lupa. Suzi tersenyum. Di dalam kepalanya dia kata aku ni budak baik. Budak lurus bendul. Bila aku dalami lagi hatinya, aku dapat merasakan rasa gusarnya terhadap tahap kesihatan Miss Lee. Suzi dan Zila baru sahaja pulang dari rumah Miss Lee beberapa jam yang lalu. Apabila mereka meninggalkan rumah Miss Lee, keadaan orang tua itu agak lemah.
Sanisah tidur di sini ya, malam ni? Tanya ku kepada Suzi.
Of course she can stay here. Tak kan I nak biarkan dia ke mana-mana dengan keadaannya begini?
Aku mengucapkan terima kasih. Zila membawa Sanisah ke bilik air. Dia menyuruh Sanisah mandi dan tukar pakaiannya yang terkena muntahnya tadi. Sanisah menurut sahaja tanpa banyak soal. Setelah selesai Sanisah mandi, Zila menyuruhnya masuk tidur di bilik tamunya.
Sanisah terbaring di atas katil. Zila menyelimutinya lalu membiarkan aku di dalam bilik bersamanya.
Awak dah okay ke belum?
Okay kot... But I think I'm going to have a terrible hangover tomorrow!
Jangan buat macam ini lagi.
I tak boleh janji... I memang macam ini. Itu pun you masih suka dengan I. I just don't get it. You budak baik, Masdor. You deserve someone far better than me.
Saya tahu awak sayang saya. Itu yang penting. Kataku, setelah aku akhirnya dapat membaca isi hatinya.
No. Jawab Sanisah menggelengkan kepalanya.
Awak takut saya akan mengecewakan awak. Saya tak akan mengecewakan awak.
Tapi semua lelaki sama saja!
Saya tak macam tu. Jawab ku pantas. Aku dapat merasakan Sanisah seperti mempunyai dendam dengan lelaki-lelaki yang muncul di dalam hidupnya. Termasuk aku. Dia ingin mengecewakan aku. Dia buat dirinya mabuk sebab dia fikir dia boleh buat aku meninggalkannya macam itu sahaja. Saya bukan macam lelaki-lelaki yang keluar dengan awak tu.
If that's the case, I've slept with all the men I went out with. I just want you to know that. With every one of them except you.
Saya tahu. Jawab ku perlahan sambil menelan air liur ku. Aku tahu dia bercakap benar. Aku juga tahu dia memberitahu kepada ku tentang perkara ini untuk menyakiti hati ku. Tapi macam saya katakan tadi, saya bukan macam mereka. Tentu awak dah tahu tentang hal ini dari mula-mula lagi...
Why do we always hurt the ones we love, Masdor? Dia bertanya kepada ku. Melalui "Alat Membaca Minda", aku dapat tahu bahawa Sanisah sebenarnya sedang memikirkan tentang bapanya ketika kalimah-kalimah ini diluahkan olehnya.
Awak fikir bila awak ke England nanti, awak akan dapat tinggalkan segala-galanya. Awak fikir awak boleh membina satu kehidupan baru di sana dengan melupakan segala-galanya di sini. Awak memang dah berniat untuk tidak mahu pulang lagi ke sini. Kata ku satu persatu. Kebenaran yang dibentangkan ke dalam kepala ku oleh "Alat Membaca Minda" tentang Sanisah cukup menyakitkan.
Siapa yang beritahu you? Siapa!
Tak penting tu semua. Saya cuma nak beritahu kepada awak yang saya juga sayangkan awak. Awak tak perlu ragu-ragu lagi.
Sanisah memalingkan tubuhnya ke arah dinding. Aku berdiri lalu berjalan ke luar bilik. Aku tutup lampu. Sebelum aku tutup pintu, aku beritahu kepadanya bahawa aku menyayanginya dan tidak ada apa yang dapat dilakukannya untuk membuatnya mengubah rasa sayang ku ini kepadanya kecuali jika dia sendiri berhenti untuk menyayangi ku.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 16 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Sid
Ketika bekerja aku banyak termenung. Jika tak termenung aku akan memandang ke arah handphone ku. Aku sedang menunggu jika ada sesiapa yang akan menelefon ku atau menghantar SMS kepada ku. Tapi tak ada. Pada malam itu aku sekadar melayan pelanggan-pelanggan yang datang membeli dengan wajah kosong. Kalau aku senyum pun, senyuman ku tawar tanpa makna.
Pagi tadi ayah balik. Mak tak cakap apa-apa. Agaknya dia bersyukur ayah balik juga akhirnya. Aku tanya dia ke mana dia pergi. Dia tak jawab. Aku kata kalau dia tak jawab aku nak pecahkan gitar dia. Aku rasa ayah tercengang bila dia dengar aku cakap macam tu. Mak aku tarik aku ke tepi. Dia tak mahu aku bergaduh dengan ayah. Dia suruh aku masuk dalam bilik.
Dalam bilik aku menangis. Aku tak tahu bagaimana aku boleh marah sampai aku tengking dia macam tu. Mungkin sebab aku tak suka apa yang telah dilakukannya kepada mak.
Prasasti cuba memujuk ku. Dia duduk di atas paha ku. Kemudian aku usap kepalanya. Dia memberitahu ku supaya jangan bersedih.
Dia tanya kepada ku tentang Sanisah. Aku kata aku masih tidak mahu bercakap dengannya. Dia kata aku tak patut merajuk macam ni. Tapi aku kata aku merajuk hanya kepada orang-orang yang aku sayangi dan aku menyayanginya.
Aku menoleh ke arah Halim. Aku beritahunya aku perlu ke tandas. Dia tidak menjawab. Aku suruh Pravathi supaya menjaga kaunter. Aku keluar dari kaunter lalu meninggalkan 7Eleven untuk ke tandas yang terdekat.
Ketika aku berjalan di sebelah Planet Hollywood, aku dapat melihat seorang pemuda India cuba berbual dengan Uncle Chandran. Pemuda itu dengan bersungguh-sungguh cuba mendapatkan Uncle Chandran supaya memandang ke arahnya ketika dia sedang bercakap, tetapi Uncle Chandran memandang ke tempat lain seolah-olah dia tidak memahami. Anjing Uncle Chandran pula memandang ke arah ku. Dia masih mengenali ku. Ekornya melibas ke kiri dan ke kanan.
Aku berjalan ke tandas. Selepas aku menggunakan tandas aku mahu kembali ke tempat kerja ku. Aku dapat melihat pemuda tadi sedang duduk di restoran Sbarro sambil minum secawan kopi. Wajahnya nampak sedih.
Aku mengambil keputusan untuk mendapatkannya. Aku perlu kenal dia siapa.
Nama saya Masdor... Saya nampak encik berbual dengan Uncle Chandran tadi.
Nama aku Siddharthan. Panggil saja Sid. Tak payah berencik-encik dengan aku... Eh duduk lah.
Aku duduk di hadapannya. Seorang pelayan cepat-cepat membawa menu. Aku kata aku tak nak minum.
Jadi, apa hubungan Sid dengan Uncle Chandran?
Aku anaknya.
Apa?
Ya, aku anaknya. Anak sulungnya.
Jadi apa yang berlaku tadi?
Aku pujuk dia supaya ikut aku pulang... Tapi dia tak mahu.
Kenapa pulak?
Entahlah Masdor... Tapi aku tak suka lihat dia berkeadaan begini. Saudara mara aku pun tak suka lihat dia merayau-rayau di sini. Mereka risau melihat keadaannya.
Dah berapa lama dia jadi begini?
Sejak 7 tahun yang lepas...
Apa yang sebenarnya berlaku?
Panjang ceritanya...
Saya sedia mendengar.
Kenapa?
Kerana saya selalu bertemu dengannya tapi saya tak kenal siapa dirinya yang sebenar...
Dia pernah menjadi seorang peguam...
Peguam?
Ya... Seorang peguam terkemuka di KL ini.
Jadi... Kenapa dia jadi macam ini?
Dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya... Dia mabuk pada ketika itu.
Dia mabuk?
Ya... Dia minum dan dia mabuk. Mak aku meninggal dunia dalam kemalangan itu. Apabila dia sedar dari komanya, dunianya hancur di hadapannya. Dia tidak boleh terima kenyataan yang telah berlaku ke atas dirinya. Perlahan-lahan dia jadi begini.
Uncle Chandran suka kepada Jalaluddin Rumi?
Ya... Dia banyak habiskan masanya membaca puisi-puisi Rumi.
Jadi Sid datang ke sini untuk mencarinya?
Tidak... Aku nampak dia lalu lalang di sini tadi ketika aku makan dengan client aku. Aku tak sampai hati melihat dia berkeadaan seperti ini. Lagipun dia bapak aku.
Saya faham...
Aku tak tahu apa yang patut aku lakukan lagi... Fikiran aku buntu. Kata Sid. Dia memegang cawan kopinya. Aku lihat wajahnya sedih berselubung duka. Beberapa saat kemudian dia mengesat air matanya.
Saya kerja di 7Eleven... Ada kalanya Uncle Chandran akan datang menemui saya kalau dia lapar. Saya akan belikan dia makanan.
Terima Kasih, Masdor. Ucapnya sambil tersenyum.
Saya perlu pergi. Kataku sambil menudingkan jari ku ke 7Eleven. Dia mengangguk lesu. Kami bersalaman sebelum aku pulang ke tempat kerja.
Pada pagi itu selepas kerja aku terus ke rumah abang Zamani. Aku telah berjanji kepadanya untuk membawa beberapa barang makanan ringan yang telah dipesan olehnya.
Aku ketuk pintu rumahnya dan memberi salam. Abang Zamani bukak pintu. Dia termengah-mengah. Hari ini dia kerja di rumahnya jadi dia tak keluar rumah. Aku bawa barang-barang yang dipesannya ke dapur. Dia kata wang untuk ku ada di dalam sampul surat di atas peti ais. Aku ambil sampul surat itu. Aku buka isinya. Ada wang 50 ringgit. Aku kata aku tak ada duit tukar, tapi dia suruh aku simpan wang selebihnya.
Aku lihat dia sedang duduk di kerusi malasnya. Dia sedang menonton rancangan CNN dengan laptop diletakkan di atas pahanya. Aku keluarkan dia biji mangkuk. Aku masukkan cornflakes kegemarannya ke dalam kedua biji mangkuk ini lalu aku tuangkan susu.
Aku duduk di atas kerusi sofa lalu meletakkan sebiji mangkuk di atas meja untuknya dan sebiji mangkuk lagi untuk ku.
Aku makan cornflakes yang aku sediakan untuk diri ku sambil menonton rancangan CNN. Apabila aku menoleh ke arahnya, aku dapati dia senang sibuk menjawab e-mail.
Bagaimana dengan hubungan kau dengan Sanisah sekarang? Tanya abang Zamani tiba-tiba kepada ku.
Entah.
Entah apa pulak ni?
Masing-masing senyap jer...
Dah berapa lama kau macam ni dengan dia?
Seminggu.
Jangan buat segala kesilapan yang telah aku lakukan kepada ibunya dulu, Masdor...
Tapi saya rasa, walau apa pun saya lakukan, dia tidak akan menjadi milik saya.
Dia bukan untuk dimiliki, Masdor. Dia hanya perlu kau sayangi.
Saya memang sayang dia, bang.
Kalau kau sayang dia, di mana sahaja dia berada, kau akan tetap sayang dia.
Tapi saya tak tahu kalau dia sayang saya ke tak...
Kau tak akan tahu sampai bila-bila selagi kau tak mampu untuk baca isi hatinya.
Prasasti mempunyai alat untuk membaca hati manusia. Kenapa aku tak terfikir tentang ini?
Terima kasih bang! Kataku dengan pantas. Aku cepat-cepat memakan cornflakes sampai habis. Kemudian aku terus ke dapur untuk membasuh mangkuk yang aku gunakan.
Kau tergesa-gesa ni nak ke mana, Masdor?
Saya nak mintak tolong dari Prasasti!
Prasasti?
Ermm... Tak ada apa-apa. Kata ku pantas. Aku mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Aku perlu pulang. Aku mahu berjumpa Prasasti secepat mungkin. Aku perlu pertolongan darinya sekarang lebih dari aku perlukan pertolongannya sebelum ini!
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 15 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Kaset istimewa rakaman suara bayi bernama Masdor
Sanisah tiba tepat pada masanya, menunggu ku di bawah flat. Dia senyum, aku balas dengan senyuman tawar. Dia menjemput ku masuk ke dalam kereta.
Kenapa you tercegat jer tadi? Kenapa tak terus masuk? Macam tak biasa je.
Sorry. Kata ku perlahan. Aku keluarkan headphone dari kedua belah telinga ku. Tadi aku dengar lagu bertajuk One dari kumpulan U2 yang telah aku muat turun ke alat pemain mp3 iPod Shuffle ku. Kini apabila masuk ke dalam kereta aku dengar lagu Robbie Williams, Tripping. Lagu bertukar, mood aku tetap sama.
So, Miss Lee tinggal di mana?
Chow Kit.
Lah... Dekat saja dengan tempat I.
Ya, dekat jugak. Awak boleh park kat tempat awak lepas tu kita jalan kaki ke sana.
Okay.
Aku kemudian mendiamkan diri ku. Aku tak tahu mengapa aku berperasaan begini. Mungkin aku masih memarahinya. Aku memarahinya tetapi aku tidak mungkin tak dapat meluahkan perasaan ku ini kepadanya, kerana aku menyayanginya. Aku selalu macam ni. Kalau aku marahkan mak bapak aku sekali pun, aku akan diam sahaja. Mak kata sebab aku kuat merajuk. Kadangkala aku rasa mak lagi suka kalau aku mengamuk dan marah-marah. Pernah sekali dia cakap aku patut luahkan perasaan aku kalau aku marah, bukan simpan-simpankan, tapi aku tak boleh. Aku tak mampu untuk melakukan itu semua. Ketika aku berumur 13 tahun, ayah janji nak bawak aku pergi ke Sunway Lagoon masa cuti sekolah, tapi last last, dia tak bawak aku pun ke sana. Aku tak bercakap dengannya selama sebulan. Aku hanya kembali bercakap dengannya bila dia serahkan aku sekeping pita rakaman yang telah disimpannya baik-baik selama ini...
Pita rakaman ini istimewa baginya. Aku tahu, selain dari gitarnya, inilah harta yang paling berharga baginya.
Pita rakaman ini terkandung suara ku ketika aku baru dilahirkan sehingga aku berusia setahun. Ayah menggunakan alat rakamannya lalu merakamkan suara ku ketika ketawa dan menangis. Jika aku mendengar rakaman ini betul-betul, ada kalanya aku akan mendengar suaranya mengucup dahi mak dan memberitahunya betapa dia menyayangi diri ku dan mak. Dalam beberapa segmen yang lain, aku akan mendengar dia mendodoikan aku dengan lagu yang diciptanya sendiri. Bagi aku, ada di antara lagu-lagu yang dinyanyikannya ini adalah lagu-lagu yang paling indah sekali yang pernah aku dengar. Aku tak mengerti mengapa dia mempersiakan bakat yang dia ada. Dia seharusnya meneruskan kerjanya sebagai pemuzik agar lagu-lagu yang diciptanya tidak akan terkubur begitu sahaja. Aku rasa kalau ayah jadi pemuzik, aku rasa mungkin kehidupan kami tak akan jadi macam ini. Aku rasa dia akan jadi seorang komposer terkenal seperti M. Nasir. Aku rasa bila dia mati nanti, namanya akan terus disebut-sebut sampai bila-bila. Mungkin itulah yang dia mahu dan apabila cita-citanya tak terlaksana, dia menjadi manusia gelas separuh kosong seperti yang aku lihat kini.
Kenapa you nampak macam tak ada mood jer? Tanya Sanisah sambil merendahkan volum radio.
Bapak saya tak balik... Dah tiga hari dia tak balik. Mak saya risau. Saya kasihankan mak saya. Hari-hari dia tunggu bapak saya balik. Tapi dia tak balik-balik jugak. Saya tak tahu jika mereka bergaduh ke apa, tapi bapak saya macam tak mahu balik lagi ke rumah.
Awak tahu di mana dia sekarang?
Saya tahu... Dia dengan perempuan lain. Penyanyi kelab dangdut.
Oh...
Dia sayangkan perempuan tu. Saya rasa mak saya dah lama tahu tapi dia buat-buat tak tahu.
Sorry to hear that.
Saya kesian kan mak saya...
I know.
Sanisah memegang erat tangan ku buat beberapa ketika. Aku meletakkan tangannya ke stereng. Aku menyuruhnya menumpukan sepenuh perhatiannya kepada pemanduannya.
I hope everything will be okay.
Ya, saya harapkan begitu juga. Kata ku. Dia tidak tahu selain dari hal ayah, kepala aku berserabut memikirkan tentang halnya juga.
Aku memandang ke luar tingkap. Aku dapat melihat suasana sibuk kota Kuala Lumpur pada tengah hari Sabtu seperti ini. Ramai yang tak kerja pada hari-hari seperti ini. Satu masa dahulu, aku, mak dan ayah selalu keluar pada masa-masa begini. Kami akan keluar ke pusat membeli belah walaupun kami tak membeli apa-apa. Aku rasa bahagia sangat pada waktu itu. Tapi sekarang semuanya tak sama. Kami bertiga bawa diri masing-masing.
Aku kasihankan mak. Aku lihat dia hanya diam sahaja. Dia langsung tak bersuara kepada ayah. Aku tahu dia sedih. Dia sayang kepada ayah. Tapi dia hanya menerima sahaja apa yang dilakukan ayah kepadanya. Dia seperti memakan segala-gala keperitan yang ada di dalam hidupnya agar orang lain bahagia terutamanya ayah. Aku tak tahu kenapa dia sanggup buat begini kepada dirinya. Aku rasa ayah telah meninggalkannya sebab ini. Ayah tidak tahan mak hanya menerima sahaja segala keburukan yang ada di dalam dirinya tanpa sedikit pun menegur. Mungkin segala teguran ini tidak pernah datang dari mak kerana mak hanya berdiam diri. Mungkin sebab itulah mak tak suka aku berdiam diri jika aku marah, kerana dia tidak mahu aku jadi sepertinya.
Kami tiba ke flat yang didiami Miss Lee kira-kira dua puluh lima minit kemudian. Keadaan flatnya ini agak usang, mungkin kerana ia telah lama dibina. Ia pasti pernah mengalami masa kegemilangannya apabila ia nampak cantik dan dijaga dengan rapi.
Di bahagian bawah flat ini aku dapat melihat beberapa orang bangsa Afrika sedang berkumpul dan berbual sesama mereka. Aku tak tahu apa yang mereka lakukan di sini, begitu jauh dari negara mereka. Aku masih kurang pasti kita mereka datang ke sini untuk belajar atau bekerja. Apa yang pasti, jumlah mereka di kawasan ini agak ramai.
Kami berdua naik lif ke tingkat 7. Di dalam lif aku dan Sanisah hanya saling berpandangan sebelum dia merapatkan dirinya kepada ku lalu mengucup bibir ku dengan pantas.
I just like to see you blushing like that. You tahu kan, I mula jatuh hati kat you sebab muka you berubah merah bila I mula-mula cium you dulu? You looked so cute and innocent! Like a small child.
Aku menghela nafas ku. Pintu lif terbuka. Aku berjalan ke arah rumah Miss Lee. Aku mengetuk pintunya lalu memberitahunya aku sudah sampai dan aku akan membuka pintunya.
Aku keluarkan salinan kunci rumah Miss Lee yang telah diserahkan Zila kepada ku malam semalam. Aku buka pintu rumahnya. Aku dapati Miss Lee ada di dalam menunggu ketibaan kami. Rumahnya kelihatan tersusun cantik walaupun ia dihiasi dengan pelbagai jenis perhiasan dan parabot dari tahun 60an. Aku rasa seperti aku masuk di dalam satu ruang masa yang begitu asing bagi ku.
Miss Lee tersenyum ke arah kami. Dia nampaknya terus dapat mengenali Sanisah yang pernah datang ke kedainya untuk menjual koleksi rekod-rekod lama kepunyaan ibunya.
I dah agak mesti you berdua jadi couple punya, macam itu cerita Serendipity!
Tubuh Miss Lee susut sejak kali terakhir aku berjumpa dengannya. Dia tidak memakai make-up dan rambut palsu yang sering dipakainya. Dia kelihatan seperti mana-mana lelaki tua berbangsa Cina yang sering aku lihat. Aku rasa baru sekarang aku dapat tahu bahawa kepalanya botak di tengah. Aku rasa dia lebih cantik dengan keadaannya berhias.
Aku ke dapur. Aku keluarkan makanan-makanan yang disediakan mak untuk Miss Lee. Bubur Lambok dan cucur kodok. Aku letakkan ke dalam pinggan, kemudian aku hidangkan untuk Miss Lee di meja makan.
Sanisah membantu Miss Lee bangun. Aku ke dapur untuk sediakan air minuman. Apabila aku kembali ke meja makan, aku dapati Sanisah sedang menyuapkan Miss Lee makan. Aku duduk bersama mereka di atas meja. Aku toleh ke tepi. Aku dapati Miss Lee telah meletakkan ubat-ubatannya di situ.
I kena makan 15 tablet satu hari. Satu minggu kena makan 105 tablet. Katanya. Kemudian dia suruh capai sebotol ubat yang tertulis perkataan Zalcitabine di atasnya. Dia keluarkan beberapa biji tablet dari botol tersebut. Tabletnya besar. Aku tak tahu bagaimana dia mampu menelannya.
Miss Lee sakit apa ni? Kenapa banyak sangat ubat?
I dapat tahu I HIV positive since 1998. Masa tu I ingat I will die of AIDS straight away. Tapi I hidup sampai sekarang. But I now I tak tahu sampai bila I akan hidup.
Jangan cakap macam tu Miss Lee. Kata ku kepadanya. Sebenarnya aku masih berada dalam keadaan terkejut. Sanisah mengambil kertas tisu yang ada di atas meja makan untuk mengelap mulutnya.
I dah beritahu kepada Miss Lee tadi I akan cuba menjaganya setiap hari. Lagipun rumah I dekat.
Tapi sampai bila? Tanyaku tiba-tiba.
What do you mean by that?
Aku menggigit bibir ku. Miss Lee memandang ke arah ku seolah-olah menunggu jawapan dari ku.
Saya tahu awak akan bertolak ke UK tak lama lagi.
Siapa yang beritahu you fasal ni? Yus ke?
Awak dah beritahu kepadanya jangan sampai saya tahu fasal ni kan?
Sanisah tidak menjawab. Wajahnya pucat.
Kenapa tak nak beritahu?
Dah lah, jangan gaduh-gaduh! Pinta Miss Lee. Masdor, you duduk sana. Duduk diam-diam.
Aku menurut perintahnya. Aku duduk di kerusi sofanya sambil menonton rancangan Astro saluran Wah Lai Toi. Aku tak tahu apa yang aku tonton. Aku duduk diam sahaja. Dalam diam-diam ku, aku menangis. Air mata ku jatuh membasahi pipi ku.
Masdor! Kata Sanisah dengan nada serba salah.
Biarkan dia. Ujar Miss Lee perlahan.
Aku menangis kerana aku tak tahan melihat keadaan Miss Lee sekarang. Aku menangis kerana keretakan hubungan di antara mak dan ayah. Aku menangis kerana Sanisah tidak mahu berterus terang dengan ku.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 14 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Pintu Dimensi Ajaib
Sebaik sahaja aku pulang dari tempat kerja pagi itu aku terus masuk ke dalam bilik ku. Aku duduk sambil memandang ke arah dua ekor ikan emas yang baru aku beli semalam. Seperti biasa, ikan emas yang cacat itu akan dibantu oleh rakannya untuk berenang. Mereka saling membantu. Si cacat tu masih hidup lagi dan tak mati seperti mana yang diramalkan oleh apek yang jual ikan-ikan ini kepada ku.
U'olls mesti ingat mek dah makan ikan-ikan ni kan? Ujar Prasasti sambil menjeling.
Takdelah. Aku percayakan kau. Jawab ku. Aku menoleh ke arahnya. Aku dapati dia sedang menggeledah beg ku untuk mencari pau kacang yang aku simpan di situ.
So, macam mana dengan kerja?
Boring lah Zila tak ada. Tension siot.
Sabar je lah, u'olls. Nak buat macam mana, kan?
Eh, aku pinjam Pintu Dimensi Ajaib kau tu boleh?
Buat apa?
Nak ke bilik Sanisah...
Untuk apa?
Nak bersihkan bilik dia kat Kondominium Bestari tu.
Rajinnya!
Salah ke?
Tak.
PINTU DIMENSI AJAIB! Katanya, lalu dia keluarkan pintu itu dari koceknya. Dia letakkan pintu itu di hadapan ku.
Prasasti buka pintu ajaib ini. Di sebalik pintu aku dapat lihat bilik Sanisah yang berselerak. Aku masuk ke dalam biliknya. Aku lihat Prasasti sedang membelek-belek teddy bear kepunyaan Sanisah. Aku ambil teddy bear itu lalu aku meletakannya kembali di atas katil. Aku memintanya duduk diam dan jangan buat bising.
Jadi pada pagi itu aku kemaskan bilik Sanisah. Aku berulang alik dari bilik ku ke biliknya beberapa kali untuk buang sampah, ambil penyapu, ambil kain buruk, ambil mop. Aku ambil masa selama dua jam untuk memastikan biliknya itu betul-betul kemas dan bersih.
Aku menoleh ke arah Prasasti. Dia sedang membaca majalah Mestika sambil ketawa terkekek-kekek. Ada cerita tentang seekor pelacur yang melahirkan anak anjing kepala babi dan seorang penyamun yang disumpah menjadi beruk. Aku suruh dia diam, sebab aku tak mahu Yusnor tahu kami berdua sedang berada di dalam bilik kakaknya ini. Benci betul aku kalau Prasasti dah terkekek-kekek seorang diri macam ni. Dia tak boleh senyap langsung.
Aku lap meja belajar Sanisah dengan kain buruk. Aku pastikan mejanya itu teratur dan tidak berhabuk. Kemudian aku masuk semula ke dalam bilik ku. Aku bawa balang ikan emas yang aku beli semalam. Aku letak balang ikan emas itu di atas meja. Aku harap Sanisah akan suka hadiah pemberian ku ini walaupun aku tak mahu dia tahu aku yang bersihkan biliknya ini.
Kini bilik Sanisah nampak bersih. Tak lagi berserabut seperti sebelumnya. Aku bangga dengan apa yang berjaya aku lakukan.
Aku mahu tutup laci yang ada di meja belajar Sanisah ini. Aku dapati lacinya ini tersengkang. Aku rasa aku boleh memperbaikinya. Aku tarik laci tu. Aku kena tarik berkali-kali barulah boleh keluar. Bila laci dah terkeluar, aku minta Prasasti minyak pelincir. Dia keluarkan minyak pelincir dari koceknya. Aku letak minyak pelincir pada bahagian tepi laci ini.
Aku dapati laci ini terkandung beberapa keping kertas, surat dan sebuah buku kecil. Buku diari.
Prasasti, kau boleh buat salinan diari ni?
Buat apa?
Nak baca lah!
Aku serahkan buku itu kepadanya. Dia keluarkan sebuah alat yang kelihatan seperti pistol air. Aku pula cepat-cepat bergerak ke arahnya lalu tutup mulutnya. Aku tak nak dia menjerit dengan suara kepitnya lalu berkata: "ALAT MENGEMBARKAN OBJEK!"
Dia jeling kat aku. Dia kata kalau aku buat macam ni lagi dia nak gunakan alat ini kepada ku lalu kembarkan aku. Dia sebenarnya pernah buat macam tu. Kembar aku jahat. Dia ikat aku dalam bilik lepas tu dia pergi shopping beli baju sebab dia kata dia malu nampak selekeh macam aku. Bila dia balik, macam-macam dia beli. Nasib baik dia beli guna duit aku yang telah diduplikasikan sekali. Dan nasib baik lah alat ini hanya dapat mengembarkan objek-objek yang hidup selama 12 jam sahaja. Kalau tak, mati aku!
Prasasti akhirnya mengembarkan diari Sanisah dengan segala isi yang tertulis di dalamnya. Aku masukkan diari itu kembali ke dalam laci. Kemudian aku terpandangkan kepada sekeping sampul surat dari University of East Anglia. Aku ambil surat tersebut lalu aku baca isinya.
Wajah ku terus berubah pusat. Surat itu memberitahu tentang kejayaan Sanisah diterima belajar di universiti tersebut dalam bidang Kesusasteraan Inggeris dan Penulisan Kreatif. Dia akan memulakan pengajiannya dalam masa sebulan sahaja lagi.
Kenapa dia tak beritahu aku dia nak pergi? Tanya ku sendiri di dalam hati. Dalam keadaan yang sedih bercampur kecewa aku masukkan kembali surat yang aku baca ke dalam sampulnya lalu meletakkannya baik-baik di dalam laci yang telah aku betulkan ini.
Aku pegang tangan Prasasti. Aku bawa dia masuk balik ke dalam bilik ku. Sebaik sahaja kami masuk ke dalam bilik ku, dia tutup pintu lalu masukkan Pintu Dimensi Ajaib ke dalam koceknya.
Aku letakkan salinan diari Sanisah di atas meja. Aku langsung tak ada mood nak membacanya. Aku baringkan tubuh ku di atas katil. Aku sebenarnya kepenatan setelah membersihkan bilik Sanisah.
Kenapa dia tak beritahu aku dia nak pergi? Tanya ku kepada Prasasti.
Pergi mana?
Pergi belajar ke England.
Mungkin belum sampai masanya untuk dia beritahu?
Tadi dia dah lama terima surat tawaran tu... Sebulan sebelum kami berkenalan!
Mungkin dia ada sebabnya sendiri, u'olls!
Kalau dia pergi, aku pula bagaimana?
Prasasti tidak menjawab. Dia keluarkan semula majalah Mastika yang menjadi majalah kegemarannya itu. Dia nak sambung ketawa tak sudah-sudah, kali ini membaca sebuah artikel bertajuk: Lelaki Melayu haprak memperdaya wanita eksekutif.
Aku menghidupkan radio. Lagu yang berkumandang pada waktu itu ialah lagu Nirvana, Smells Like Teen Spirit. Aku mengeluh lesu. Aku rasa macam nak menangis pun ada.
Selama seminggu aku kesedihan. Aku tak lalu makan. Selalunya kalau aku sedih macam ni, Zila akan pujuk aku supaya jangan bersedih, tapi Zila tak ada. Kalau aku nak jumpa dia untuk mengadu nasib, aku terpaksa ke Central Market.
Sanisah menelefon ku. Dia tanya kenapa aku senyap sahaja. Dia kata dia mahu jumpa aku pada hujung minggu ini, tetapi aku kata aku sibuk. Dia kata dia dah berpindah ke rumah bapanya sebab dia kata dia nak jaga Yusnor.
- But you want to know what? + Apa? - Masa I masuk kat bilik I, segala-galanya bersih dan teratur. Kemudian ada ikan emas dua ekor. Bila I tanya Yusnor, dia kata tak ada sesiapa yang masuk bilik I tu, sebab I memang kunci bilik I dari luar. Weird, kan? + Ye ke? - You ni kenapa? Macam tak ada mood jer! + Tak ada apa-apa. - Cakap lah kenapa! + Betul tak ada apa-apa. - Ikan-ikan tu seekor cacat tetapi seekor lagi tu okay jer. Tapi kawan dia selalu tolong kawan dia yang cacat tu supaya berenang. You know, like they were made for each other. Cute sangat I tengok. + Awak ada beri nama kepada ikan-ikan tu? - Ada + Apa namanya? - Bomb dan Bass si ikan yang cacat tu dan Betty Boo kawannya. + Oh... - Are you okay? + Biasa jer. - Esok you nak ke mana? + Pergi melawat Miss Lee. - Oh ya, dia sakit... So you dah jumpa dia ke belum? + Tak sempat sebab sibuk sangat. - Jadi selama ini siapa yang jaga dia? + Zila dan Suzi. - Sakitnya dah reda? + Okay kot sekarang. Dah beransur pulih. Esok giliran saya untuk jaga dia. - I ikut sekali, boleh? + Hemmm... - Boleh ke tak? + Boleh. - Pukul berapa? + Tengah hari. Saya nak bawak bekal makanan yang mak saya masakkan untuk dia. - Nanti I ambil you kat tempat tinggal you, ya? Kita pergi sama-sama ke sana. + Okay.
Aku termenung sendiri. Aku tak tahu jika aku berani untuk berhadapan dengan Sanisah dan bertanyakan kepadanya kenapa dia tidak mahu memberitahu ku yang dia akan menyambungkan pelajarannya tidak berapa lama lagi. Kenapa hal ini mahu dirahsiakan dari ku. Adakah kerana aku ini sekadar tempat untuk dia lepaskan rasa bosannya seperti kawan-kawannya yang lain? Entah lah....
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 12 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Akuarium
Sebaik sahaja pulang dari Kuantan, aku terus mencari Prasasti. Aku nak tahu apa maknanya "kad menilik masa depan"nya itu. Aku tak faham kenapa kad itu mengatakan aku akan mati.
Kan mek dah kata kat u'olls, gambar lama Haryati yang u'olls jumpa itu akan menentukan hidup dan mati u'olls!
So... Bila aku akan mati? Tanya ku ingin tahu. Kalau aku mati pun, sekurang-kurangnya aku mahu tahu bila dan bagaimana.
Tak lama lagi dan dalam keadaan ngeri, u'olls! Jawabnya dengan selamba sambil memakan pau kacangnya.
Dah tu?
Dah tu apa? Dia kunyah lagi dengan lahap.
Apa aku perlu buat?
U'olls kena terima kenyataannya lah... Tapi-
Tapi apa?
Tapi masa dan ruang ini bukan satu ketetapan. Ia boleh berubah-ubah.
Ye ke? Macam mana tu?
Jika u'olls melakukan sesuatu untuk mengubah perjalanan masa, maka apa yang akan berlaku di masa depan juga akan berubah.
Aku tak nak mati. Lagi-lagi mati dalam keadaan ngeri. Kata ku bersungguh-sungguh. Aku teringatkan kepada e-mail yang pernah aku terima satu ketika dahulu yang menunjukkan keadaan ngeri seorang lelaki yang telah dilanggar lori. Dalam e-mail itu aku dapat melihat cebisan-cebisan tubuh lelaki itu di atas jalan raya. Bahagian tubuhnya yang lain pula tersepit pada bahagian tayar lori. Bila aku tengok gambar-gambar macam ini, tekak aku jadi loya. Aku selalu fikirkan tentang keluarga lelaki yang mati ini. Apa yang agaknya difikirkan mereka apabila mereka melihat gambar orang yang mereka sayangi begini. Hancur. Jadi apa agaknya yang akan difikirkan mak dan bapak aku nanti bila mereka lihat aku mati dalam keadaan ngeri.
Aku bukak lagu Selamat Tinggal Dunia oleh Butterfingers. Aku menongkat dagu ketika mendengar lagu melankolik ini. Aku berfikir tentang mati. Tentang hidup aku. Adakah aku dah cukup syarat untuk mati. Aku masih virgin. Satu benda pun aku tak rasa lagi. Aku tak rela mati lagi!
Oii! Merepak cakap sorang-sorang ni apasal? Sergah Prasasti. Aku menjeling. Aku benci tengok dia selamba derk jer.
Aku tutup mata. Aku nak tidur. Malam nanti aku kena masuk kerja.
Tapi aku tak boleh tidur nyenyak tengah hari tu. Jadi petang itu bila aku bangun sahaja aku ambil keputusan untuk habiskan masa ku di Central Market ke Teresa Forever.
Petang itu aku dapati Teresa Forever ditutup. Aku tak tahu kenapa kedai Miss Lee ditutup. Di hadapan kedai tak tertulis apa-apa kenyataan. Aku ke Annexx, bangunan sebelah Central Market untuk ke studio Suzi, Gambar Ini dan Itu. Mula-mula aku berjumpa dengan Brigette, rakan kongsi Suzi yang berambut botak dan suka memakai singlet dan seluar celoreng. Kemudian setelah selesai Suzi mengambil gambar pelanggannya di dalam studio, dia terus berjumpa dengan ku.
Suzi, kenapa kedai Teresa Forever tak bukak?
Kau tak tahu ke, Masdor?
Tahu apa?
Miss Lee sakit lah.
Tak tahu lah. Kata ku sambil menggaru-garu kepala ku serba salah. Dia sakit apa?
Ermm... Zila nak berhenti kerja.
Berhenti?
Ya. Dia nak berhenti kerja untuk jaga Teresa Forever.
Ye ke?
Dia dah hantar surat untuk berhenti kerja semalam... Jadi, dia akan mula kerja di Teresa Forever mulai esok. Lagipun dia suka bekerja di kedai tu. Dia tak payah kerja malam lagi dan kami boleh pergi dan balik kerja sama-sama.
Oh. Getus ku sedih. Sekarang Zila tak ada lagi untuk bekerja di samping ku. Yang ada si Halim tangan panjang tu saja. Aku tak mahu kerja dengan dia. Dia suka bukak lagu-lagu Boy Bands kalau dia jaga kaunter. Tak pun lagu-lagu hip-hop. Aku tak tahu macam mana dia boleh suka kedua-dua kombinasi jenis lagu ini. Apa-apa pun aku tak suka dengan dia sebab aku selalu saja bertekak dengannya.
Mata ku terpandang ke arah sekeping bingkai gambar yang menghiasi bahagian resepsi studio Gambar Ini dan Itu - gambar itu menunjukkan keadaan John Lennon memeluk Yoko Ono seperti seorang anak kecil memeluk ibunya. Aku berjalan ke arah gambar tersebut yang telah menghiasi kulit hadapan Rolling Stone pada Januari 1981.
Gambar ini telah diambil Annie Leibovitz beberapa jam sebelum Lennon ditembak di luar bangunan apartmentnya. Suzi memberitahu. Dia memeluk tubuhnya sambil berdiri di sebelah ku. Aku menoleh ke arahnya lalu barulah aku perasan dia sedang memakai baju kebaya yang pernah dipakai Zila pada hari raya tahun lepas. Amoi ni nampak cantik pulak bila dia pakai baju kebaya macam ni.
Oh ye ke?
Aku jumpa majalah ini di Teresa Forever kau tahu tak? Katanya dengan suara bangga. Lama dah aku simpan gambar ini, tapi baru bulan lepas aku nak frame.
Zila di mana, Suzi? Tanya ku kemudian setelah lama aku merenung ke dalam gambar John Lennon dan Yoko Ono ini.
Zila ada di rumah Miss Lee.
Dia jaga Miss Lee?
Ya. Dia dah beransur sihat.
Baguslah kalau macam tu. Esok saya akan cuba lawat dia.
Kita ke sana bersama lah, ya?
Okay.
Aku menetapkan agar aku dan dia bertemu di hadapan Teresa Forever pada pukul 3 petang esok. Dia bersetuju. Aku terus mengucapkan selamat tinggal kepadanya lalu keluar dari studionya. Aku berjalan masuk semula ke dalam Central Market yang tak pernah surut dengan pengunjungnya itu. Aku berjalan di hadapan Teresa Forever. Aku mengeluh sendiri. Inilah kali pertama aku lihat kedai ini di tutup pada hari-hari biasa.
Dengan perasaan sedih aku berjalan tanpa arah ke beberapa buah kedai yang ada di sini sehinggalah aku tiba di hadapan kedai akuarium yang terletak di sini. Aku masuk ke dalam akuarium tersebut. Aku berpaling ke arah sebuah akuarium yang terkandung banyak ikan-ikan emas. Di antara ikan-ikan emas yang aku lihat ini, ada seekor yang tak dapat berenang dengan betul. Ia akan timbul, tubuhnya terpusing-pusing dan tenggelam. Ada seekor kawannya yang akan membantunya agar terus terapung. Jika tidak, ia akan terus tenggelam di dasar akuarium.
Apek, saya nak ikan emas ni... Dua ekor ni.
Ikan emas ini dah nak mati lah. Lu cari ikan lain lah!
Tak, lah apek, dia belum nak mati lagi. Kawan dia ada jaga dia.
Si apek ni tenung aku macam aku orang gila. Dia geleng-gelengkan kepalanya lalu dia tangkap kedua-dua ekor ini lalu masukkan ke dalam beg plastik. Dia isikan beg plastik ini dengan oksigen.
Berapa harganya? Sepuluh ringgit, kan?
Lima ringgit. Ikan ni dah nak mati.
Bagi free ke ni?
Ya lah.
Saya nak beli mangkuk kaca ni sekali tau. Kata ku menuding ke arah mangkuk bulat yang kecil saiznya. Cukup sesuai untuk kedua-dua ikan emas ini. Apek tu ambil mangkuk itu lalu membalutnya dengan surat khabar Cina.
Aku ambil keputusan untuk pulang ke rumah dahulu sebelum ke tempat kerja. Aku bawa pulang kedua-dua ekor ikan emas ini lalu aku letak di dalam mangkuk kaca yang aku beli. Prasasti melihat sahaja apa yang aku lakukan dengan penuh minat. Aku beritahunya supaya jangan kacau ikan dua ekor ni. Dia kata dia bukan macam kucing biasa yang makan ikan. Aku percaya dengan cakapnya...
U'olls nak buat apa dengan ikan-ikan ni?
Nak jadikan hadiah. Kataku tanpa menjelaskan lagi. Aku terus keluar dari rumah ku. Aku tak nak lambat ke tempat kerja walaupun aku tahu, Zila tak ada lagi di sana untuk menemani malam-malam ku.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 12 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Dalam restoran Chantek
Aku tak mahu mandi laut. Jadi aku main dengan pasir. Aku korek lubang, keluarkan pasir dan buat kolam. Kolam ini lama-lama bertakung. Aku tak reti nak buat istana pasir. Kalau aku buat apa-apa yang nampak macam istana pasir, mesti apa yang aku bina itu akan runtuh. Jadi bila aku dah bosan, aku terus buat lubang ini.
Sanisah muncul di sebelah ku. Dia tanya aku kenapa aku tak nak mandi. Aku kata aku takut nak mandi laut. Dia tersenyum. Yusnor menjerit-jerit memanggil kakaknya. Sanisah berjalan ke arah Yusnor sehingga air laut berada di tahap pahanya.
Aku sebenarnya kehausan. Aku berjalan ke arah Aunty Rafidah. Aku dapati dia sedang membaca sebuah buku hasil tulisan Dan Brown. Dia nampak khusyuk membaca buku tersebut sehingga dia tidak sedar aku sedang duduk di atas tikar mencari cawan yang dibawanya.
Masdor nak minum, ke? Tanya Aunty Rafidah akhirnya kepada ku.
Ya.
Dia ambil cawan plastik yang diletakkan di bahagian kanan tempat dia duduk bersimpuh. Dia tuang air Coke yang masih sejuk lagi. Aku teguk air yang dia bagi sampai habis. Dia tahu aku haus, jadi dia tuang secawan lagi air coke.
Aku memandang ke arah laut. Aku dapat lihat Yusnor sedang bermain-main dengan Sanisah. Dia percikkan air kepada kakaknya itu sampai basah.
So... How's your relationship with Sanisah? Tanya Aunty Faridah kepada ku.
Okay.
Tak ada masalah?
Aku termenung jauh. Aku mengeluh. Sukar untuk aku menjawab soalannya itu.
Kenapa Madsor?
Tak ada apa-apa aunty.
Masdor risau melihat perangai Sanisah?
Ya, Aunty...
Masdor tak suka dia sosial sangat?
Saya tak faham dengan perangai dia... Kenapa dia buat apa dia buat.
Aunty pun tak faham, Masdor. Sejak ibunya tak ada, dia banyak berubah.
Aunty tahu kenapa ibunya membunuh diri dulu?
Tidak...
Sanisah kata aunty kawan serumahnya di London.
Ya. Aunty memang rapat dengan ibunya. Tapi aunty tak rapat lagi dengannya bila dia berkahwin-
Aunty... Apa perasaan aunty bila... Bila aunty dapat tahu ibu dan bapak Sanisah ingin berkahwin?
Maksud Masdor?
Sanisah ada beritahu saya tentang hubungan aunty dengan mak dan bapak dia dulu.
Oh... Aunty rasa sedih. Tapi apa yang aunty boleh buat. Dah bukan jodoh aunty.
Ibu Sanisah tu, bagaimana orangnya aunty?
Orangnya peramah, macam Sanisah. Dia suka mendengar muzik. Banyak piring hitam yang dia kumpul ketika dia di London dulu. Duitnya habis di situ sahaja. Kata Aunty Rafidah. Dia tersenyum sendiri. Aku mengeluarkan tuala ku dari dalam beg Yusnor. Aku selubungkan tubuh ku dengan tuala tersebut kerana kesejukan tak pakai baju.
Ketika dia hidup dulu... Dia bahagia tak dengan suami dia?
Setahu aunty, dia sayangkan suaminya. Mungkin terlalu sayang. Aunty tak tahu kenapa secara tiba-tiba dia mahu mengakhiri hidupnya sendiri. Tapi memang perkara ini berlaku dengan secara mengejut.
Ketika perkara ini berlaku... Sanisah ada melihatnya.
Aunty Rafidah mengangguk serba salah. Sanisah menyalahkan dirinya. Dia fikir semua ini telah berlaku kerananya. Dia terus jadi pendiam. Bila dia meningkat remaja, dia mula memberontak. Sehinggalah sekarang. Kalau boleh dia tak mahu pulang ke rumahnya.
Aunty tak suka dia tinggal dengan aunty, ke?
Bukan begitu Masdor... Lagipun bila aunty kahwin dengan papanya nanti, tentu dia akan berpindah ke rumah aunty juga akhirnya. Tapi, sebaiknya dia tinggal dengan papanya tu. Aunty tak mahu nanti kerananya, aunty gaduh dengan papanya tak tentu fasal.
Aunty nak saya pujuk dia supaya pindah semula ke rumahnya?
Kalau Masdor boleh tolong aunty, bagus juga.
Aunty... Aunty kenal dengan seorang lelaki bernama Zamani?
Zamani?
Ya... Dia berkawan dengan aunty dahulu.
Ya, tapi dari mana Masdor kenal dengannya?
Secara kebetulan sahaja... Dia selalu beli barang di tempat saya bekerja.
Aunty Rafidah meletakkan novel yang dibacanya ke tepi. Dia memandang ke arah ku. Kepalanya di lentukkannya ke kanan.
Dia kawan baik aunty ketika di UK dahulu. Kami mengambil jurusan yang sama, jadi kami banyak menghabiskan masa kami belajar bersama-sama.
Dia sukakan kepada ibu Sanisah ke, aunty?
Ya... Dia sayangkan kepada Haryati setengah mati. Sebenarnya Haryati juga sukakan kepadanya, tetapi mereka tidak pernah luahkan perasaan cinta mereka. Akhirnya, Haryati tak tahu Zamani sukakan kepadanya.
Bagaimana ibu dan bapa Sanisah bertemu?
Mokhtar, papa Sanisah datang ke London untuk bercuti. Ketika itulah dia mula jatuh hati dengan Haryati. Aunty terpaksa menerima ini semua dengan redha, kerana mak bapak aunty memang tak suka kepadanya.
Kenapa?
Entahlah... Orang tua aunty kata papa Sanisah tak sesuai untuk dijadikan suami. Mereka tak setuju kalau aunty berkahwin dengannya. Tapi sekarang orang tua aunty dah tak ada lagi...
Kenapa aunty tak cuba hubungi abang Zamani lagi?
Entahlah Masdor... Hubungan kami terputus macam itu sahaja. Dia betul-betul kecewa apabila dia melihat hubungan mama dan papa Sanisah semakin hari semakin rapat. Sampai sekarang aunty tak pernah berjumpa dengannya lagi. Dah lebih 20 tahun kami tak bersemuka.
Aku memandang ke hadapan. Sanisah sedang berjalan ke arah ku. Baju T yang dipakainya basah. Aunty Rafidah cepat-cepat mengambil tuala dari dalam begnya lalu diserahkan kepada Sanisah.
Sanisah duduk di sebelah ku. Dia mengeringkan rambutnya yang basah itu. Dia bertanyakan kepada Aunty Rafidah apa yang kami bualkan berdua. Aunty Rafidah kata kami berbual mengenai keadaan cuaca yang berawan mendung pada ketika itu. Kemudian dia diam. Matanya terus ke arah awan yang mendung di hujung laut.
Pada malam itu Aunty Rafidah membawa kami makan malam di Restoran Chantik. Restoran ini terletak di Jalan Besar di tengah-tengah bandar Kuantan. Restoran ini dihias dengan hiasan-hiasan antik ala Belanda dan Inggeris. Kami dibawa ke sebuah meja yang terletak di tengah-tengah restoran ini. Bahagian ini terdapat sebuah taman yang kecil.
Sanisah memang kelihatan anggun pada malam itu. Dia memakai baju kurung yang telah dihadiahkan oleh aunty Rafidah kepadanya. Rambutnya yang panjang itu diikat dengan sanggul. Aku saja yang nampak selekeh malam tu, tapi dia kata dia tak kisah.
Kami diberikan menu. Aku pesan apa yang dipesan Yusnor, Fish and Chips. Yusnor kata dia lapar setelah bermain di laut sampai nak dekat Maghrib. Dia tolong aku buat istana pasir yang aku tak reti buat tu.
Setelah makan, Aunty Rafidah berkata dia mahu mengambil gambar kami semua di sini, tetapi kameranya tertinggal di dalam kereta. Dia meminta Yusnor menemaninya ke tempat meletak kereta.
Kini tinggal aku dan Sanisah sahaja di meja kami. Si pelayan meletakkan kek yang kami pesan di atas meja.
I'm glad that you came to Kuantan with us... I really had fun with you. Kata Sanisah. Dia memotong secebis kek di mejanya lalu dia menyuapkan kek itu ke mulut ku.
Saya pun rasa seronok. Kata ku bersungguh-sungguh.
So... Yus sekarang tak sekolah lagi. Dia akan duduk saja di rumah. Awak nak temankan dia ke JPJ ke munggu depan? Dia kata dia nak apply lesen motor dia tu.
Ya. Jawab ku sambil mengangguk. Aku termenung memandang wajahnya yang ayu itu di bawah sinaran lampu yang kelam di dalam restoran ini sebelum aku berkata: Apa kata awak temankan Yus di rumah sementara dia tak buat apa-apa sekarang ni?
I lebih suka duduk rumah Aunty Rafidah. Lagipun, I tak suka dengan bilik lama I. Berselerak. Gloomy. I don't like it there!
Itu jer ke sebabnya?
Ya.
Yusnor perlukan awak.
I know... I'm his sister.
Tapi awak tahu ke dia bawak ganja dalam beg dia?
What?
Dia isap dalam bilik tadi... Nampak sangat dia baru jer start belajar nak isap.
Fuck! Getusnya dengan wajah pucat.
Awak kena jaga dia betul-betul... Kalau tak rosak dia nanti.
So, what do you want me to do?
Awak kena jaga dia betul-betul. Tanya kepadanya kenapa dia buat benda ni semua.
Kata-kata ku membuat Sanisah termenung jauh. Dia berhenti dari terus menyuap kek ke dalam mulut ku. Wajahnya jelas terganggu. Aku rasa dia risau melihatkan keadaan Yusnor.
Beberapa minit kemudian apabila Aunty Rafidah dan Yusnor pulang ke meja kami, Sanisah cepat-cepat mengukir senyuman. Dia memandang sekali kepada ku kemudian kepada Yusnor. Dalam senyumannya itu wajahnya jelas sedih.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 10 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Teluk Chempedak
Apabila aku membuka mata ku, aku dapati aku sudah berada di Kuantan. Aku menarik nafas ku dalam-dalam. Aku memerhatikan suasana bandar Kuantan. Aunty Rafidah sedang memandu keretanya melalui Jalan mahkota. Aku dapati tak ada yang istimewanya tentang bandar Kuantan ini. Ia kelihatan seperti bandar-bandar kecil yang lain di seluruh Malaysia. Mungkin kalau aku di suruh duduk di sini aku akan mati kutu.
Kita ada berhenti berhenti berehat ke tadi? Tanya ku kepada Yusnor. Dia menganggukkan kepalanya.
Kenapa tak kejutkan aku?
Kak Sanisah kata kau perlu berehat. Kau kerja malam. Tapi dia ada belikan nasi lemak. Yusnor menyerahkan sebungkus nasi lemak kepada ku. Aku lapar, tapi aku tak ada mood nak makan.
You tidur mati, I tak nak kejut you bangun. I tahu you penat. Kata Sanisah menoleh ke belakang untuk berbual dengan ku.
Dah pukul berapa sekarang?
12 tengah hari.
Oh... Dah tengah hari.
You kan macam burung hantu. Siang-siang you tidur. Malam you berjaga.
Betullah tu. Kata ku sambil menggosok-gosok mata ku. Aku mengeluarkan telefon bimbit ku. Aku mengSMS ibu ku untuk memberitahunya aku susah selamat sampai ke Kuantan.
Aunty Rafidah membawa keretanya masuk ke dalam Berjaya Megamall. Dia memberitahu kami dia perlu mendapatkan kunci rumah banglo dari tuan punya rumah yang kini sedang menunggu di dalam pusat membeli belah ini.
Aku dapati tidak ada apa-apa yang terdapat di dalam Berjaya Megamall yang berjaya menarik perhatian ku. Aku kebosanan. Sanisah bertanya jika aku kepenatan. Aku mengangguk. Dia memegang tangan ku. Sementara Aunty Rafidan berjumpa dengan agen kepada tuan punya banglo yang akan menyerahkannya kunci banglo di Delifrance, Sanisah mengajak ku farmasi berdekatan. Dia mahu membeli sunblock. Aku ikut sahaja. Yusnor mengekori kami dari belakang.
You ada bawak seluar untuk berenang tak? Tanya Sanisah kepada ku apabila dia sedang memilih sunblock yang sesuai untuknya. Ada bermacam-macam-macam jenis sunblock di atas rak. Dia membuka penutup sunblock ini satu persatu untuk mencium baunya.
Ada bawak. Yusnor dah ingatkan saya banyak kali supaya jangan lupa.
You pandai berenang tak?
Pandai jugak.
Baguslah macam tu... You selalu mandi laut?
Jarang. Keluarga saya jarang dapat cuti. Kalau ada pun, saya ikut Zila dan Suzi pergi bercuti ke Port Dickson tahun lepas.
Dulu mama saya suka membawa kami sekeluarga ke Teluk Chempedak.
Ye ke?
You tak tahu ke... Aunty Rafidah berfikir untuk beli banglo yang akan digunakan kami nanti?
Kenapa?
Papa dan mama pernah berbulan madu di sini... I rasa, sebelum papa kahwin dengan mama, Aunty Rafidah dan papa tentu selalu datang ke sini.
Ohhh... Kata ku dengan mulut ku terlopong.
Papa used to tell me he wants to retire in Kuantan. Can you believe that?
Di sini dia boleh mencari ketenangannya kot...
Sanisah menaikkan kedua belah bahunya. Dia memandang ke arah Yusnor yang sedang memilih berus gigi yang mahu dibelinya.
Of all the boyfriends I used to have, you seorang sahaja yang ikut I bercuti... You nak tahu kenapa?
Kenapa?
Sebab Yus suka kat you. He really likes you! Dia kata you baik. Bila you ajar dia naik motor you banyak bersabar... You tak pernah marah-marah dia walaupun dia banyak kali cuai.
Saya tak suka marah-marah tak tentu fasal... Buat apa? Menghabiskan tenaga jer.
Tapi you marah fasal I kan?
Aku menoleh ke arah Yusnor sambil menggaru-garu tengkuk ku. Dia telah membocorkan rahsia ku kepada kakaknya. Menyesal aku ceritakan fasal ini semuanya kepadanya. Memang tak boleh dipercayai langsung!
Ya. Aku mengakui. Aku tak pernah berbohong kepadanya dan aku tidak mahu memulakannya kalau boleh sampai bila-bila.
You marah I selalu pergi clubbing dengan kawan-kawan I, kan?
Ya. Saya tak suka lah. Awak tahu saya tak suka, kan?
Kenapa you tak suka?
Saya tak suka awak keluar dengan lelaki lain. Saya rasa diri saya ni awak buat macam tunggul pulak.
Masdor... Lain kali kalau you tak suka, you beritahu kat I, okay?
Aku mengangguk. Aku tidak tahu apa yang sedang difikirkannya ketika itu. Aku harap dia tak marah. Lagipun dia pernah beritahu kepada ku, dia tidak mungkin sampai hati untuk memarahi ku. Bila aku tanya kenapa, dia tak mahu jawab.
Saya mintak maaf kalau awak dapat tahu tentang benda ni semua dari Yusnor dan bukan dari saya.
You tak payah risau lah sayang... I faham. Dia menggenggam tangan ku dengan erat.
Aku mengangguk perlahan. Sanisah ke kaunter pembayaran. Dia mengambil berus gigi dari Yusnor yang sedang berdiri di belakang ku lalu membayar harga berus gigi Yusnor.
Kami pergi menemui Aunty Rafidah di Delifrance. Dia nampaknya sudah pun mendapat kunci banglo yang akan digunakan kami pada hujung minggu itu. Wajahnya nampak ceria. Dia mengajak kami pergi ke pasar raya yang ada di dalam pusat membeli belah ini untuk membeli keperluan dapur agar kami tidak perlu membeli makanan di luar setiap masa. Dia sempat mengingatkan aku bahawa Sanisah pandai memasak.
Awak pandai masak ke? Tanya ku kepada Sanisah apabila dia sedang memilih tomato.
Tak tahu ke?
Mana nak tahu... Awak tak pernah nak masakkan untuk saya pun!
Alalalala busyukkkk! Nanti I masakkan untuk you, yer!
Aku mengangguk pantas. Sanisah tersenyum lalu terus memilih tomato yang nampak segar dan cantik untuk dibelinya.
Dari Berjaya Megamall, kami terus ke Teluk Chempedak. Banglo yang didiami kami terletak agak berdekatan dengan pantai Teluk Chempedak. Kawasannya agak eksklusif juga. Banglo ini dipunyai oleh seorang ekspatriat dari England yang bertugas di sebuah firma kewangan di Kuala Lumpur. Kini tuan punya banglo ingin pulang ke England, jadi rumah ini mahu dijualnya.
Bahagian dalaman rumah ini dihias dengan perabot-perabot ala tropika yang kelihatan agak eksklusif. Hampir segala jenis kelengkapan ada di dalam rumah ini yang telah dijaga dengan rapi. Yusnor dan aku berkongsi bilik di dalam sebuah bilik yang mempunyai dua buah katil yang besar. Dari veranda di bilik kami, kami boleh melihat Laut China Selatan. Aku membuka jendela lalu membiarkan bayu laut masuk menyejukkan bilik.
Aku terbaring di atas katil. Yusnor terus menghidupkan suis TV. Kalau dia tak duduk depan TV aku rasa dia tak boleh hidup. Aku terlelap lagi. Apabila aku membuka mata ku, Yusnor memberitahu ku aku harus bersedia agar kami semua dapat bertolak ke pantai Teluk Chempedak.
Auntry Rafidah memberitahu kami dia mempunyai tempat yang paling disukainya di pantai ini. Kami berjalan di atas jalan yang telah dibina dengan kayu sehingga kami tiba di bahagian penghujung jalan berkayu ini. Kami tiba di sebuah kawasan pantai yang berteluk dengan batu-batu besar yang menghiasi gigi pantai. Aunty Rafidah mencari sebuah tempat yang diteduhi sebuah pohon ru yang tumbuh merendang lalu membentangkan tikar yang dibawa Yusnor di situ.
Jom mandi! Ujar Yusnor macam tak sabar-sabar.
Sebelum membuka seluar lalu berseluar pendek agar aku dapat mandi air laut nanti, aku sempat mengeluarkan dompet ku. Aku lihat Aunty Rafidah sedang sibuk meletakkan bekalan roti tuna di atas tikar. Sanisah pula sedang mengeluarkan radio transistornya dari dalam beg.
Aku mengeluarkan "kad menilik masa depan" yang ditinggalkan Prasasti. Aku membaca arahan yang ditulis kecil-kecil pada bahagian belakang kad. Apa yang harus lakukan adalah untuk menyebut nama orang yang ingin ku tilik masa depannya kepada kad tersebut dan kad itu akan memberikan jawapannya.
Seperti kebanyakan manusia rasional, aku semestinya mahu mengetahui tentang nasib ku sendiri. Jadi aku menyebut nama ku. Pada bahagian hadapan kad itu berubah. Aku dapat melihat gambar tengkorak dan perkataan 'Death' tertulis di atas kad.
Wajah ku berubah pucat. Apa maknanya ini semua? Adakah aku akan mati tidak lama lagi?
What's wrong with you, Masdor. Kenapa tercegat jer kat situ? Tanya Aunty Rafidah kepada ku.
Tak ada apa-apa aunty.
Kamu tak makan lagi kan?
Tak.
Aunty Rafidah membuka bekas plastik yang terkandung ayam goreng yang telah dimasaknya tadi bersama Sanisah.
Makan ni dulu Masdor, Dah makan nanti pergilah ikut si Yus tu mandi laut.
Aku duduk bersila di atas tikar. Sebenarnya aku tak ada mood nak makan setelah aku dapat tahu aku mungkin akan mati tak lama lagi. Aunty Rafidah nasi goreng dan ayam goreng di atas sekeping piring kertas.
Sedap nasi goreng ni... Awak masak ke? Tanya ku kepada Sanisah. Dia memakai cermin mata hitam dan bertopi. Dia duduk bersimpuh sambil memegang majalah The New Yorker yang ingin dibacanya.
Ye... Saya masak.
Sedap giler! Mak saya pun tak masak macam ni.
Dia macam arwah mamanya yang pandai masak. Dulu ketika kami sama-sama tinggal serumah di London, mamanya lah yang memasak. Aunty kemas rumah. Memang dia tak suka mengemas, tapi dalam bab memasak, panggillah dia. Macam-macam lauk yang dia akan masak untuk kami.
Masak untuk kami? Aku memberanikan diri ku untuk bertanya.
Aunty Rafidah menghela nafasnya. Dia tersenyum. Sepantas kilat dia terus mendiamkan dirinya begitu. Aku pasti "kami" yang dimaksudkannya adalah dirinya, ibu Sanisah dan abang Zamani.
Selesai makan, Yusnor terus mengajak ku untuk mandi di pantai. Dia nampaknya tak sabar-sabar lagi untuk mandi laut.
Macam mana kau buat badan kau nampak tough ah? Tanya Yusnor kepada ku. Aku memandang ke arah tubuhnya yang kurus itu. Aku rasa dia tidak puas hati dengan keadaan bentuk tubuhnya.
Entah... Aku pun tak tahu. Kata ku. Masa tu aku tak pakai baju. Pakai seluar bola jer.
Kau pergi gym ke?
Tak lah. Aku dah memang macam ni sejak sekolah menengah lagi.
Yeah, right! Katanya langsung dia tidak mahu mempercayai kata-kata ku. Dia terus berjalan ke gigi air. Aku mengekorinya dari belakang. Tanpa berfikir panjang terus dia berlari masuk ke dalam laut. Seronok benar dia tu. Macam tak pernah tengok laut.
Apabila sampai ke bahagian dalam aku berhenti. Aku teringatkan kepada "kad menilik masa depan" tadi. Fikir ku, bila-bila sahaja aku boleh mati dalam keadaan apa sekalipun!
Woi! Kau berdiri kat situ buat apa? Jerit Yusnor sambil memercikkan air laut ke arah ku.
Aku memandang ke kiri dan ke kanan. Ramai orang yang berkelah di pantai. Mereka semua nampak gembira. Seorang budak perempuan sedang mengorek tanah. Aku rasa dia sedang membuat istana pasir. Kalau aku mati lemas petang ni, apa agaknya kesan yang akan aku tinggalkan kepada mereka. Tak ada agaknya, sebab mereka semua tak kenal aku.
Aku memberanikan diri ku memijak gigi air. Aku lihat Yusnor sedang memandang ke arah ku sambil memeluk tubuh. Aku rasa aku belum bersedia untuk mati lagi. Aku memberitahunya aku nak korek tanah dan buat istana pasir...
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 10 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Uncle Chandran dan anjingnya yang tak bernama
Jeles aku kau dapat ke Kuantan. Kata Zila pada tepat pukul 6 pagi itu. Pada masa-masa seperti itu jarang ada pelanggan yang masuk ke dalam kedai. Jadi kami akan menghabiskan masa kami dengan mengira stok dan membersihkan kedai. Tetapi memandangkan ada seorang rakan sekerja kami bernama Halim yang memang rajin orangnya, kami suruh dia sahaja melakukan kerja-kerja ini untuk kami.
Alah sekejap jer beb. Bukannya lama. Kata ku selamba sambil menongkat dagu di atas kaunter.
Tapi dapat jugak kau cuti-cuti Malaysia dengan awek kau, kan?
Alah, bukan boleh buat apa pun, aunty dia ada.
Ye lah tu.
Betullah! Aku segan dengan aunty dia.
Oh, kau bawak dia masuk dalam bilik stor hari tu tak segan?
Alah bukannya aku buat apa pun dalam tu.
Sudah! Kalau ada video kamera dalam bilik stor tu, aku boleh jadi kaya jaja rakaman video korang kat apek VCD, tau!
Alah ringan-ringan jer.
Macam tak ada tempat lain, kan? Zila menjeling. Aku tersengih. Tapi hari tu, memang aku dengan Sanisah masuk ke dalam bilik stor yang kecil dalam kedai ni. Aku tak buat apa-apa dengannya. Aku nampak dia macam nak menangis. Dia kata dia perlu berbual dengan ku. Jadi aku bawak dia ke stor. Dia terus menangis dalam bilik stor tu. Aku tutup pintu stor sebab aku tak mahu pelanggan-pelanggan kedai nampak dia menangis begitu. Aku cuba pujuk dia supaya jangan menangis. Bila aku tanya kenapa dia menangis, dia kata sebab bapak dia mahu dia pulang ke rumahnya sedangkan dia tak nak. Aku meminta dia bawak berbincang dengan Aunty Rafidah. Aku cakap, tentu Aunty Rafidah dapat memberitahu kepada bapanya yang dia masih mahu tinggal dengannya. Aku memintanya supaya banyak bersabar.
Beberapa minit sebelum syif ku untuk hari ini selesai, aku keluar dari kaunter. Aku ambil sebuah bakul plastik dan masukkan beberapa bungkus makanan ringan ke dalam bakul. Aku letakkan bakul di hadapan kaunter. Aku keluarkan dompet wang aku. Zila mengira harga barang yang ingin aku beli.
Ketika mengeluarkan wang, aku terjumpa dengan sekeping kad yang telah diselitkan di dalam dompet aku.
KAD MENILIK MASA DEPAN!
Suara Prasasti tiba-tiba sahaja kedengaran apabila aku mengeluarkan kad tersebut dari dompet ku. Dah sah lah dia yang letakkan kad ini.
Bunyi apa tu? Tanya Zila dengan dahi terkerut. Dia menjengahkan lehernya ke arah ku.
Tak ada apa-apa! Kata ku cepat-cepat. Aku memandang ke arah kad tersebut. Ia kelihatan seperti sekeping kad tarot. Aku tak tahu bagaimana untuk menggunakannya. Mungkin arahannya ada di belakang kad ini, cuma aku malas untuk membacanya sekarang. Aku meletakkan kad ini kembali ke dalam dompet ku.
RM 10.90 kesemuanya. Kata Zila. Aku mengeluarkan wang kertas sebanyak 10 ringgit dan wang siling sebanyak 90 sen.
Kau tak pergi ke mana-mana hari ni, Zila?
Mungkin sekejap lagi aku kena tolong Miss Lee jaga kedai dia.
Kenapa?
Dia tak sihat.
Ye ke?
Tu lah. Suzi tolong jaga kedai masa siang. Aku pulak petang nanti baru aku gantikan tempat dia. Lepas ni aku akan ke rumahnya. Aku kena jaga dia.
Teruk sangat ke sakit dia tu?
Zila tidak menjawab. Dia masukkan barang-barang yang aku beli ke dalam beg plastik. Barang-barang yang aku beli itu aku bawa masuk ke dalam bilik stor. Kemudian aku kembali ke kaunter. Aku lihat Zila sedang termenung.
Uncle Chandran berjalan di hadapan kedai. Seekor anjing berjalan mengekorinya. Kemudian dia berhenti berjalan. Dia memandang ke arah ku.
Aku keluar dari kaunter lalu keluar dari kedai untuk mendapatkannya. Mana uncle dapat anjing ni? Tanya ku kepadanya.
Dia tidak menjawab. Aku merenung ke arah anjing berwarna kekuningan ini. Aku menundukkan diri ku lalu bertanya: Excuse me, are you hungry? What is your name?
Anjing tu memang lah tak boleh menjawab. Dia bukan macam Prasasti, kan? Jadi aku tergelak sendiri bila aku cakap orang putih dengan anjing tu. Anjing tu pulak nampak manja. Ekornya melibas ke kiri dan ke kanan dengan pantas. Aku rasa anjing tu kelaparan. Kesian pulak aku lihatnya kelaparan macam tu.
Aku berpaling ke arah Uncle Chandran. Aku rasa pun lapar. Aku tak tahu berapa hari dia tak makan. Aku memegang tangannya untuk memintanya mengikut ku masuk ke dalam kedai. Ketika dia dibawa masuk ke dalam 7eleven, dia pun berkata kepada ku:
Sebakul penuh dengan roti berada di atas kepala mu, tetapi kau menagih cebisan roti dari pintu ke pintu. Air sungai mengalir hingga ke tahap lutut mu, tetapi kau tetap menagih air dari orang lain.
Rumi lagi, Uncle Chandran? Tanya ku. Dia tidak menjawab. Aku tanya kepadanya jika kata-kata dari Rumi itu ditujukan kepada ku ataupun ia satu ucapan yang dilakukan secara rawak, dia masih tidak mahu menjawab.
Aku suruh dia duduk di atas kerusi makan. Dia menurut sahaja. Aku belikan dia air kopi dan roti sardin. Dia makan dengan perlahan dengan mulutnya terkumat-kamit.
Aku memberitahunya dia perlu mencari tempat untuk mandi. Tubuhnya berbau hapak. Aku tak tahu jika dia memahami kata-kata ku. Matanya terus kepada anjingnya yang sedang menunggu dengan setia di luar. Sebaik sahaja dia selesai makan, aku ke bilik stor. Aku keluarkan plastik penuh dengan makanan ringan yang telah aku beli tadi dari dalam stor. Barang-barang makanan ini aku beli dengan tujuan dijadikan bekalan makanan ke Kuantan, tapi aku rasa Uncle Chandran dan anjingnya lebih memerlukannya.
Di luar kedai aku memintanya supaya menjaga dirinya baik-baik. Aku keluarkan roti sadin dari dalam plastik yang membungkusinya lalu aku berikan kepada anjingnya. Anjingnya makan dengan lahap dek kelaparan. Selepas dia habis makan, dia mahu bermanja dengan ku. Aku usap-usap kepalanya. Aku beritahu kepadanya supaya menjaga Uncle Chandran baik-baik. Kata Prasasti, jika manusia bercakap kepada binatang yang cerdik seperti anjing dan kucing, mereka akan memahami. Aku tak tahu jika dia temberang ataupun apa yang dikatakannya ini betul. Tapi apa yang pasti, anjing Uncle Chandran aku lihat seolah-olah dia mengerti kata-kata ku tadi. Dia seperti ingin berterima kasih kepada ku lalu mengucapkan selamat jalan.
Uncle Chandran berjalan ke hadapan dengan beg plastik penuh dengan makanan ringan pemberian ku tanpa menoleh ke belakang. Anjingnya mengekorinya dari belakang - anjingnya yang sehingga kini aku tidak tahu namanya itu.
Eh, kau tak takut dosa ke? Kan pegang anjing tu haram! Ujar Halim ketika dia keluarkan sampah sarap untuk dibuang ke tempat pembuangan sampah.
Sejak bila pulak pegang anjing yang kering macam tu haram? Siapa ajar kau?
Aku tahu lah fasal halal haram ni semua! Kau ingat aku tak belajar agama ke?
Pegang anjing tu makruh. Kau tahu apa beza haram dengan makruh?
Kau ingat aku bodoh ke?
Makruh hukumnya bila kau merokok. Kau suka merokok, kan? Setiap kali kau merokok hukumnya makruh. Bila aku usap anjing tu tadi, hukumnya makruh juga. Kalau aku tak konfiden, aku samak je lah.
Hek elleh, berlagak lah tu!
Oh, semalam kau bagi kawan kau rokok tiga kotak free macam tu kat kaunter tak haram?
Dah lah! Kau ingat kau ustaz?
Aku cuma nak ingatkan... Mencuri tu haram.
Halim mendengus benci. Dia bawak plastik hitam penuh dengan sampah ke tempat membuang sampah. Aku hanya mampu menjeling. Aku masuk semula ke dalam kedai.
Kau ni baik sangat lah Masdor. Kata Zila.
Apa yang baiknya?
Eleh, buat-buat tanta pulak! Kata Zila mencebik. Kemudian dia minta aku ambil sahaja barang makanan ringan yang ingin aku bawa ke Kuantan. Dia kata dia nak belanja. Aku cakap tak apa. Dia kata kalau aku tak buat apa aku suruh dia akan sekeh kepala aku. Jadi aku buat jer apa dia suruh tu tanpa banyak soal.
Sejurus selepas aku selesai dengan syif aku pada pagi Sabtu itu, aku terus bergegas ke rumah Yusnor. Apabila aku tiba di situ, Yusnor sedang menunggu di hadapan pondok jaga. Dia nampak gembira melihat ku.
Macam mana dengan semalam? Okay tak? Tanya ku. Semalam dia mengambil kertas SPM terakhirnya. Hari ini kami ke Kuantan agar dia dapat merehatkan fikirannya setelah berhempas puas selama hampir 3 minggu menjawab segala kertas peperiksaan yang diambilnya.
Okay lah...
Kau rasa boleh skor tak?
Skor macam kakak Sanisah susah kot...
Kenapa?
Dia dapat 6 A1, 3 A2
Ye ke?
Tu lah...
Kau boleh skor lah. Kata ku. Aku nampak dia risau seperti mana risaunya aku ketika aku baru sahaja selesai mengambil kertas peperiksaan SPM ku dahulu.
Kereta pacuan beroda empat yang dipandu Aunty Rafidah berhenti di hadapan kami. Sanisah turun dari kereta lalu membuka pintu paling belakang agar kami boleh letak barang-barang kami di situ. Sanisah tersenyum ke arah ku. Aku pegang tangannya buat seketika sebelum Yusnor menjeling ke arah ku.
Aku masuk ke dalam kereta Aunty Rafidah yang luas itu. Aku duduk di depan dan Yusnor duduk di belakang. Hanisah dan Aunty Rafidah yang sedang duduk di bahagian paling depan sedang berbual tentang sebuah restoran yang terletak di Jalan Besar, Kuantan bernama Chantek. Aunty Rafidah kata makanan di situ sedap-sedap.
Masdor dah pernah sampai ke Kuantan? Tanya Aunty Rafidah tiba-tiba kepada ku.
Tak pernah Aunty. Saya jarang keluar dari Kuala Lumpur ni. Jawab ku. Kemudian suasana dalam kereta terus senyap.
Sesekali aku akan memandang ke hadapan untuk melihat wajah Aunty Rafidah dengan lebih dekat lagi. Wajahnya memang nampak tegas, tetapi dalam ketegasannya ada kelembutannya. Rambutnya ikal. Wajahnya masih nampak muda lagi walaupun usianya sudah lama mencecah 40 tahun.
Aku membaringkan tubuh ku sambil menutup mata ku. Aunty Rafidah sedang membuka stesen radio Light & Easy yang sedang memainkan lagu When Doves Cry oleh Prince. Lagu ini terus membuai ku lantas membuat aku tidur lena.
Novel Halimunan oleh Nizam Zakaria: Bab 9 Novel ini adalah untuk bacaan pembaca 18 tahun ke atas sahaja (terkandung tema dewasa, adegan ganas dan bahasa kasar). Harap maklum.
Orang terasing
Sanisah suka jika aku menghantar SMS kepadanya. Dia suka jika aku mengingatkan kepadanya bahawa aku sayang kepadanya. Tidak cukup sekali, dia mahu aku ucapkan berkali-kali. Tapi aku tak kisah. Memang aku ikhlas menyayanginya. Tetapi kini setelah lebih sebulan aku mengenalinya, aku dapat merasakan dirinya seolah-olah satu entiti yang sukar untuk aku fahami. Ada sahaja tentang dirinya yang sukar untuk aku capai. Aku rasa, dia telah membina satu tembok tebal yang tidak membenarkan aku untuk cuba memahaminya.
Sanisah sering keluar malam untuk keluar dengan rakan-rakannya. Ada kalanya aku tidak faham mengapa dia harus melakukan ini semua. Dia kata dia tidak suka duduk di rumah. Dia kata dia rimas. Jadi, pada setiap hujung minggu ada sahaja pesta yang perlu dihadirinya. Jika tidak, dia suka menghabiskan masanya di Zouk. Dia pernah ajak aku untuk menemaninya, tetapi dia tahu aku tidak selesa dengan caranya. Aku pernah cakap, aku tak kisah apa sahaja yang dilakukannya asalkan dia anggap diriku ini istimewa di dalam hatinya.
Pada malam ini, sebelum masuk kerja, aku keluar makan dengannya. Ketika sedang makan, aku tanya kepadanya sampai bila dia akan tinggal di rumah Aunty Rafidah. Dia kata kalau boleh untuk selama-lamanya. Aku tanya kenapa, dia kata dia benci dengan perangai bapanya. Aku tak berani tanya dia kenapa dia benci sangat dengan bapanya itu. Tapi aku yakin dia mempunyai sebab-sebabnya tersendiri.
Pada malam itu, sedang kami makan malam di restoran Hainanese Chicken Rice di Jalan Bukit Bintang, aku sempat bertanyakan kepada Sanisah mengapa dia rapat dengan Aunty Rafidah. Katanya, dia telah mengenali Aunty Rafidah sejak kecil lagi. Aunty Rafidah adalah kakak angkat kepada ibunya. Mereka saling mengenali sejak di London lagi.
They used to be room mates in Islington. Jelas Sanisah kepada ku. Dia mengunyah peha ayam masak Hainan yang menjadi kegemarannya itu.
Ketika mereka belajar di London School of Economics?
Mana you tahu?
Saya pakai teka jer. Ujar ku sambil mengaru kepala ku. Alah, kat London tu bukannya banyak universiti yang famous.
Ya. Mereka sama-sama belajar di situ. Aunty Rafidah buat Masters dalam bidang ekonomi dan arwah mama I pula mendapatkan ijazah dalam bidang perakaunan.
Jadi... Ayah awak pulak?
Kenapa dengan dia?
Bagaimana mak awak mula berkenalan dengannya?
Melalui Aunty Rafidah believe it or not.
Ye ke?
Papa dan Aunty Rafidah dulu you know lah... They were lovers.
Dah tu apa jadi?
Bapa Aunty Rafidah tak suka dengan papa...
Kenapa?
Papa tu dulu hippies tahu tak?
Ye ke?
No lah... Just kidding. Sanisah ketawa sendiri sambil menjeling. Keluarga papa orang kuat UMNO. Keluarga Aunty Rafidah pula orang kuat PAS. You know how silly it is.
Jadi... Sebab itulah mereka tidak boleh mengadakan sebarang hubungan?
Ya... Something like that. I don't really know the details. But that's when arwah mama I come to the picture.
Maksud awak?
Papa mendapat tahu tentang mama dari Aunty Rafidah. Mereka berkenalan... Mula-mulanya sebagai adik dan abang angkat. Akhirnya mama jatuh cinta dengan papa selepas mama pulang ke malaysia. Mereka kahwin, maka lahirlah I ke dunia ini.
Aku mendengar cerita dari Sanisah ini dengan penuh teliti. Abang Zamani jelas tidak wujud di dalam dunianya ini.
Aku telah menemui abang Zamani dua tau tiga kali setiap minggu sejak bulan yang lepas. Banyak yang aku pelajari darinya. Dengan penuh sabar dia membacakan kepada ku novel Albert Camus yang bertajuk L'Étranger dengan menterjemahkan isi buku tersebut agar aku dapat memahaminya. Dia menjelaskan kepada ku maksud-maksud yang tersirat yang ada di dalam novel itu, termasuklah falsafah eksistensialis yang cuba dikemukakan oleh Camus.
Aku sebenarnya tak faham langsung dengan apa yang cuba dijelaskannya. Tetapi aku terus menemaninya kerana aku rasa dia perlukan kawan. Dia seperti seorang manusia terasing yang kehilangan sesuatu. Aku dapat merasakan dia seolah-olah kehilangan segala harapan untuk mencari sebarang makna kebahagiaan di dalam hidupnya. Sebab itulah aku mahu menemaninya, agar dia tidak rasa dirinya terasing lagi.
Kelmarin aku telah beranikan diri ku untuk bertanyakan kepada Abang Zamani sejak bila tubuhnya menjadi besar. Dia kata sejak awal tahun 80-an dulu. Dia pernah menunjukkan gambar-gambarnya ketika muda kepada ku. Abang Zamani memang kacak orangnya walaupun sedikit berisi. Aku tanya sebab apa. Dia kata setiap kali dia merasa murung, dia akan makan. Jadi dia makan dan terus makan sehinggalah tubuhnya sebesar sekarang. Apabila tubuhnya menjadi semakin besar, dia tak mampu lagi melakukan kerja-kerja berat dan bersenam. Berjalan jauh pun sukar untuk dilakukannya. Jika dia berdiri terlalu lama, lutut dan kakinya akan terasa sakit. Dia kata dia malu dengan keadaan dirinya. Dia kata dia tahu orang sering mentertawakannya kerana melihat keadaan dirinya itu.
Aku seterusnya bertanyakan pula tentang Haryati, arwah ibu Sanisah. Aku mahu tanya tentang hubungannya dengan Haryati. Dia tersenyum. Dia fikirkan aku tidak akan menyebut nama itu lagi sejak kali pertama aku datang ke rumahnya. Jadi setelah mendiamkan dirinya dengan begitu lama, dia akhirnya bertanyakan pula kepada ku dari mana aku mengenali Haryati.
Aku ceritakan kepadanya bagaimana aku menjumpai gambarnya di Carnaby Street dari sampul EP Sanisah Huri. Dari gambarnya itulah aku akhirnya mengenali Sanisah anak kepada Haryati yang aku cinta setengah mati. Aku mengeluarkan dompet wang ku untuk mengeluarkan gambar Sanisah. Dia terkejut melihat wajah Sanisah yang dikatanya saling tak tumpah seperti ibunya.
Abang Zamani termenung buat seketika sebelum dia menjelaskan bahawa dialah yang telah menghadiahkan EP Sanisah Huri itu kepada Haryati. Dia telah mendapatkan seorang kawannya agar mengepos EP tersebut kepadanya semata-mata agar EP ini dapat dinikmati Haryati yang diketahuinya meminati Sanisah Huri.
Jadi apa hubungan abang dengan dia? Tanya ku ingin tahu.
Abang Zamani tidak mahu menjawab. Dia sekadar menyuruh ku mengambil sebuah kotak yang diletakkan di bawah katilnya. Aku mengambil keluar kotak tersebut. Aku menyerahkan kotak tersebut kepadanya. Dia membuka kotak itu lalu menyerahkan beberapa keping gambar yang diambil dari kotak itu kepada ku. Aku memerhatikan gambar-gambar yang diberikannya kepada ku satu persatu.
Buat beberapa saat aku fikirkan aku sedang memandang ke arah gambar-gambar Sanisah, tetapi ternyata aku sebenarnya sedang memandang ke arah gambar-gambar ibunya. Dalam setiap gambar ini wajahnya nampak ceria, seolah-olah kita langsung tidak boleh meneka bahawa satu hari nanti dia akan mengambil nyawanya sendiri.
Jadi abang suka kepadanya?
Aku telah jatuh hati kepada Haryati sejak hari pertama aku bertentang mata dengannya. Katanya sambil berpaling ke arah tingkap rumahnya. Dia memandang kosong di situ. Mungkin dia sedang memikirkan tentang kisah-kisah lamanya dengan Haryati.
Kami berdua langsung tidak berhubungan selepas dia berkahwin. Ya, KL ini kecil, tetapi memang aku tidak pernah bersemuka dengannya walaupun aku tahu dia berada di kota ini. Kau tahu aku takut untuk keluar ke mana-mana kerana aku takut untuk bertemu dengannya. Aku tidak mahu dia lihat aku berkeadaan begini.
Abang tahu apa yang berlaku kepadanya?
Haryati?
Ya.
Tidak...
Dia dah tak ada lagi.
Apa?
Haryati sudah lama meninggal dunia.
Bagaimana?
Dia mati akibat membunuh diri. Dia terjun dari tingkap rumahnya sendiri ketika Sanisah berumur 10 tahun.
Wajah abang Zamani berubah pucat. Sukar untuk dia mempercayai kata-kata ku. Dia meminta aku pergi. Aku mengangguk perlahan lalu membiarkannya keseorangan di dalam rumahnya.
Aku termenung jauh di meja makan. Sanisah memanggil nama ku berkali-kali sebelum aku menyahut.
Tengah fikir fasal apa tu? Tanya Sanisah. Dia menggunakan sudu panjang untuk mengeluarkan buah laici dari gelas air laicinya.
Fasal awak. Kata ku berbohong. Fikiranku sarat memikirkan tentang hubungan abang Zamani dan Sanisah yang masih samar-samar di dalam fikiran ku.
Ye lah tu.
Betul... Saya fikir hubungan fasal kita.
Kenapa?
Tak ada apa-apalah.
Alah cakap lah.
Saya tak suka lah awak campur dengan budak-budak lelaki yang suka bawak awak clubbing tu.
Kenapa ni? You rasa insecure ke?
Entah... Mungkin juga.
Alah, you tahu sejak awal lagi I macam ni, kan?
Tahu apa?
Yang I suka berkawan dengan sesiapa yang I suka?
Aku mengeluh seorang diri. Aku menggigit bibir ku. Aku dapat rasakan walaupun dia selalu berada di samping ku, sebahagian dari dirinya masih bukan milik ku.
Kita cakap fasal benda lain, ya?
You like to avoid issues at all cost, don't you?
Ya. Aku menjawab dengan jujur.
Well, at least you're honest. Katanya sambil menggigit hujung strawnya.
Yus ada jemput saya pergi temankan dia bercuti ke Teluk Chempedak esok. Dia kata boring kalau dia pergi sana dengan awak dan Aunty Rafidah sahaja.
Really?
Ya. Tapi kalau awak tak bagi saya ikut sekali, saya faham.
Masdor! Oh you silly little boy! I suka kalau you ikut sekali. Katanya, lalu dia memegang tangan ku. Dia kata aku suka sangat merajuk. Setiap kali dia rasa aku akan merajuk, dia akan pegang tangan aku begitu, lalu dia akan pandang ke dalam mata ku dalam-dalam.
Actually I tahu you nak ikut sekali. Aunty Rafidah yang sarankan Yus supaya jemput you sekali kalau dia takut boring kat sana nanti. Kita akan sewa sebuah banglo dekat dengan Pantai Teluk Chempedak. There are plenty of rooms for all of us.
Saya tak sabar tunggu esok.
Well, me too. Katanya sambil tersenyum. Hati ku sejuk. Tak sabar rasanya untuk aku tunggu sehingga hari esok!