<$BlogRSDURL$>

Limau Nipis - AvantGo

Laman Avantgo Limau Nipis oleh Nizam Zakaria

Friday, December 30, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 19



Pa: Bersembunyi di belakang pohon yang rendang

Rais telah ke rumah Ma dan Pa sejak pagi-pagi lagi. Dia dapat melihat Hadi sudah siap sedia untuk ke perlawanan bola sepaknya. Wajahnya nampak segar, tetapi sedikit terganggu. Dia tanya Ma ke mana perginya Pa. Ma kata Pa ke pasar.

"Jadi Pa tak tengok Adi main hari ni?" tanya Hadi. Wajahnya terus berubah.

"Tak. Hari ni kami ada kerja kahwin." Jawab Ma pantas.

"Kenapa tak beritahu Adi fasal ni?"

"Hadi kan tahu Ma dengan Pa selalu kerja masa hujung minggu?"

Hadi nampak kecewa. Dia memandang ke arah Rais. Dia dapati Rais kelihatan lesu, tapi tidaklah nampak sakit seperti hari-hari sebelumnya.

"Jangan melencong ke mana-mana pulak nanti." Pesan Ma kepada Rais. Rais tersenyum sambil memegang bahu Hadi.

Hadi dibawa keluar Rais dari rumahnya. Hadi mencium tangan Ma. Dia memandang ke kiri dan ke kanan seolah-olah mencari Pa. Pa tidak ada di pandangannya. Ketika di bawah flat di tempat Rais meletak motornya pun begitu, sehinggakan Rais terpaksa memintanya supaya jangan bergerak-gerak ketika dia memakaikannya topi keledar.

"Abang Is nampak Pa keluar pagi tadi, tak?" Tanya Hadi ketika dia sedang memeluk pinggang Rais.

"Tak nampaklah Hadi." Ujar Rais menghidupkan enjin.

"Hmmm..."

"Hadi masih tak cakap dengan Pa lagi ke?"

"Tak." Suara Hadi perlahan. Rais hampir-hampir tidak dapat mendengar. Dia memandang ke arah Hadi melalui cermin di sisinya. Dia dapati Hadi berwajah sedih.



Nad cukup gelisah pada hari itu. Pasukan Jaguh tidak menunjukkan sebarang pencapaian yang cemerlang. Di dalam tiga perlawanan yang mereka sertai, mereka seri dua kali dan kalah sekali. Peluang mereka untuk masuk ke perlawanan akhir di antara kumpulan-kumpulan yang terbaik tipis jika mereka kalah di dalam perlawanan seterusnya.

"Kenapa dengan Hadi?" tanya Nad kepada Rais.

"Entah."

"Awak tak tanya kat dia ke, kenapa dia macam tak ada semangat nak main?"

"Awak tak perasan ke?"

"Tak perasan apa?"

"Ma dengan Pa tak ada di sini."

"Ye ke?" tanya Nad. Dia memandang ke arah astaka. Kelibat Ma dan Pa memang tak ada di situ. "Ye tak ya, jugak kan?"

Nad terpaksa mengambil keputusan dengan pantas. Dia memberi isyarat kepada pengadil untuk menukar pemain.

"Zul ganti tempat Hadi ya!" ujar Nad kepada Zul yang setahun lebih tua dari Hadi. Zul mengangguk pantas. Dia berdiri di sebelah Nad di tepi padang. Beberapa saat kemudian, penukaran pemain dilakukan.

"Hadi tahu tak kenapa kak Nad tak bagi Hadi main?" tanya Nad dengan suara yang tegas kedengarannya.

Hadi menggeleng. Rais menyerahkan sehelai tuala kepada Hadi agar dia dapat mengesat peluhnya.

"Hadi tak tumpukan perhatian Hadi kepada permainan."

"Kalau kita tak kalahkan pasukan ini dengan kelebihan dua gol, kita tak akan dapat ke saringan terakhir." Beritahu Rais pula.

"Adi main macam biasa jer."

"Hadi boleh main dengan lebih baik lagi."

Tiba-tiba telefon bimbit Rais berdering. Dia dapati Pa yang menelefonnya. Rais membawa dirinya jauh dari Nad dan Hadi untuk menjawab telefon.

+ Kenapa dengan Hadi?
- Kenapa pulak dengan Hadi?
+ Kenapa dia tak main lagi?
- Pa kat mana ni?
+ Belakang pokok besar depan kau.

Pa menampakkan dirinya. Begitu juga Ma. Dari jauh mereka melambai-lambaikan tangan mereka. Dari jauh juga Rais mendapati mereka tidak memakai pakaian wanita seperti kebiasaannya.

- Kenapa ni Pa? Kenapa tak duduk kat astaka jer? Kenapa kena sembunyi belakang pokok pulak ni?
+ Kalau kami ada nanti, kami takut Hadi akan bergaduh lagi kerana kami.
- Lah! Fasal tu ke?
+ Dah tu?
- Hadi tak ada semangat nak main hari ni...
+ Kenapa?
- Entah...
+ Tanya dia kenapa!
- Okay. Nanti Is tanya Hadi... Saya call Pa balik bila dah dapat jawapannya.

Rais meletakkan kembali telefon bimbitnya ke depan kocek seluarnya. Dia menjeling ke arah pokok besar di tepi padang sebelum dia berdiri di hadapan Hadi.

"Hadi kata Ma dan Pa tak ada... Sebab tu dia tak dapat main bersungguh-sungguh." Nad menjelaskan kepada Rais.

"Betul ke ni, Hadi?" tanya Rais.

Hadi mengangguk.

"Tapi kenapa?"

"Diorang selalu tengok Adi main.. Tapi hari ni diorang tak ada!"

Rais memberi isyarat kepada Nad supaya dia dapat membawa Hadi pergi dari situ. Nad bersetuju di dalam keadaan dahinya terkerut. Rais memimpin tangan Hadi. Dia memandang ke jam tangannya. Mereka mempunyai 20 minit lagi sebelum perlawanan ditamatkan. Mereka berjalan mengelilingi padang lalu ke pokok besar di tepi padang.

"Ma, Pa!" jerit Hadi sebaik sahaja dia melihat kelibat mereka di belakang pokok. Hadi terus mendapatkan mereka. Pa yang pada mulanya teragak-agak, terus melulu mendapatkan Hadi. Hadi mendakap tubuhnya.

"Adi mintak maaf, Pa!" kata Hadi perlahan.

"Kenapa ni Hadi?"

"Adi takut Pa tak sayang Adi lagi."

"Apa pulak Pa tak sayang Hadi..."

"Pa tak nak cakap dengan Hadi lagi..."

"Alah, Pa marah sikit jer tu." Pa mengusap rambut Hadi yang dibasahi peluh itu. "Sekarang Pa tak marah lagi."

"Kenapa Pa dengan Ma pakai baju lelaki ni? Kenapa Ma dengan Pa sembunyi belakang pokok?"

"Kenapa? Tak boleh ke?" tanya Ma. Dia nampak seperti badut memakai baju kemeja dan seluar pejabat yang singkat itu.

Hadi menggeleng pasti. "Ma dengan Pa tak cantik kalau macam ni!" katanya kemudian.

"Ma dan Pa tak mahu Hadi malu dengan kami." Kata-kata Pa telah membuatkan dahi Hadi terkerut seribu.

"Malu apa?"

"Malu sebab kami tak cantik macam mak kawan-kawan Hadi yang lain." Ma berseloroh.

"Ma, Pa... Adi tak malu dengan Ma dengan Pa. Kalau Ma dengan Pa tak jaga Adi... Siapa lagi?" kata Hadi bersungguh-sungguh. Kemudian dia merenung ke dalam mata Pa. "Adi mintak maaf sebab kurang ajar dengan Pa hari tu."

Pa mengangguk. Dia mengusap-usap rambut Hadi.

"Adi nak Ma dengan Pa tengok Adi main. Bila Ma dengan Pa tak ada, Adi tak ada semangat nak main."

Ma dan Pa mengangguk. Si Ma bersiul kuat. Celisha dan Linda muncul di belakang pokok berdekatan. Hadi tersenyum kegirangan. Orang-orang yang paling dekat di dalam hidupnya kini ada di hadapannya untuk memberikan sokongan moral dan memberikan semangat kepadanya untuk terus bermain.

"Okah dah... Kita tak banyak masa lagi!" getus Rais. Dia memegang bahu Hadi lalu memintanya mengikutnya kembali mendapatkan Nad.

"Dia dah okay... Ma dan Pa ada di sini dengan kawan-kawannya." Ujar Rais sambil menjuihkan bibirnya ke arah astaka. Di sana Ma, Pa, Linda dan Celisha sedang mencari tempat duduk.

Nad mengangguk mengerti. Dia memberi isyarat untuk sekali lagi menukar pemain. Kali ini dia mahu tempat Fadli digantikan oleh Hadi.


Dalam minit ke 30, penyerang pasukan lawan, Pasukan Musang berjaya melobosi gol Pasukan Jaguh. Penyerang Pasukan Musang itu telah menggelecek bola lalu menendang bola ke dalam lubang gol sebelum sempat Wan dapat melakukan apa-apa. Dia tercengang jadinya. Kesemua penyokong Pasukan Jaguh mengeluh dalam kekecewaan. Beberapa minit sahaja kemudian, penyerang Pasukan Musang yang sama dengan pantas menggelecek bola lalu menendang kea rah pintu gol Pasukan Jaguh. Sorakan dan teriakan dari penyokong Pasukan Musang semakin lama semakin kuat Kali ini, Wan, walaupun bertubuh kecil, dengan pantas melompat tinggi lalu menanduk bola jauh dari kawasan gol.

Pa dan kawan-kawannya meneriak nama Wan berkali-kali untuk memberikan sokongan kepadanya. Beberapa penyokong Pasukan Musang menepuk tangan di dalam semangat kesukanan setelah melihatkan kecemerlangan Wan mengawal bola.

Di atas padang, Muzaffar juga menyebut nama Wan berkali-kali. Dia menoleh ke arah Hadi sambil tersenyum. Siapa akan menyangka Muzaffar si kaki buli ini akan menjadi kapten Pasukan Jaguh yang kebanyakan ahlinya adalah budak-budak yang pernah dibulinya dahulu.

"Kita perlu dapatkan dua gol untuk ke saringan akhir." Muz mengingatkan Hadi. Hadi mengangguk mengerti.

Hadi memandang ke arah astaka. Dia dapat melihat wajah Ma, Pa, Celisha dan Linda yang telah datang semata-mata untuk memberikan sokongan kepadanya dan kepada rakan-rakannya. Tatkala itu, timbullah kesedaran di dalam dirinya bahawa inilah tujuan utamanya untuk bermain dan menjadi seorang pemain bola sepak. Dia bermain untuk Ma, Pa, kawan-kawannya, penyokong-penyokong setia Pasukan Jaguh yang tak pernah berhenti dari terus menyokong dirinya dan anggota pasukan bola sepaknya. Mereka berhak mendapatkan yang terbaik darinya. Hadi menarik nafasnya dalam-dalam lalu dia merasa begitu gembira sekali pada waktu itu. Dia tidak dapat menahan dirinya dari merasa begitu bertuah kerana dirinya disayangi oleh Ma, Pa, Rais dan Nad lalu melakukan sesuatu yang amat-amat dicintainya - bola sepak. Dalam keadaan gembiranya itu, Hadi berlari dengan laju ke arah lubang gol Pasukan Musang. Di tepi matanya dia dapat melihat Muzaffar sedang menggelecek bola lalu menghantar bola tersebut kepadanya.

Pasukan pertahanan Pasukan Musang memperkuatkan bahagian pertahanan mereka. Dua orang pemain bahagian tengah cuba merampas bola dari Hadi, tetapi dengan licik Hadi terus menendang bola ke arah Muzaffar. Dalam sekelip mata, Muzaffar terus mengambil keputusan untuk menendang bola ke arah lubang gol. Keputusan yang diambilnya itu berbaloi. Pasukan Jaguh berjaya membolosi gol pasukan lawan.

Gol kedua Pasukan Jaguh telah dijaringkan tiga minit sebelum wisel penamat ditiup. Kali ini Hadi sendiri yang telah menjaringkan gol. Apabila wisel penamat ditiup, penyokong-penyokong Pasukan Jaguh bersorak gembira, lebih-lebih lagi Ma dan Pa yang begitu bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan Hadi pada petang itu.




posted by Nizam  # 2:07 PM

Wednesday, December 28, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 18



Pa: Warung Kak Yam

Sejak beberapa hari ini Pa langsung tidak membuka mulutnya untuk berkata-kata kepada Hadi. Ma sudah banyak kali meminta Pa supaya sekurang-kurangnya menegur Hadi, tapi Pa berdegil. Ma mula merasakan bahawa keturunan Pa memang jenis yang panas baran dan cepat ambil hati. Kalau beginilah jadinya, masing-masing tidak mungkin mahu beralah. Masing-masing akan terus merajuk tanpa mahu dipujuk.

Fikir Pa, Ma tidak mungkin akan dapat memahami perasaannya. Pa lari dari kampung kerana mahu melarikan dirinya dari bapanya yang menyeksa jiwa dan raganya. Arwah bapanya itu adalah seorang pemarah yang tidak tahu mengawal perasaannya. Sepanjang hayatnya, Pa telah berjanji kepada dirinya untuk tidak menjadi seperti bapanya, tetapi peristiwa yang telah berlaku beberapa hari yang lalu telah membuktikan sebaliknya.

Pa duduk termenung di warung Kak Yam. Rais meletakkan secawan kopi yang dipesan Pa ke atas meja. Tangan Rais menggigil. Pa mendongak lalu memandang ke arah Rais. Dia lihat Rais kelihatan tak sihat. Bajunya basah berpeluh-peluh.

"Kalau segala-galanya kau mahukan dengan segera, kau tak akan dapat apa yang kau mahukan."

"Hah?" tanya Rais bingung.

"Kau tahu apa yang aku cakapkan..."

Rais mengangguk-anggukan kepalanya.

"Is nak berhenti, tapi susah Pa."

"Benda tu dah jadi darah daging kau, inilah jadinya." Kata Pa. Dia menghirup kopi panasnya. "Kenapa baru sekarang kau nak berhenti?"

"Is dapat lihat sendiri apa yang berlaku kepada ayah si Wan tu... Apa dia lakukan kepada Wan. Is tak mahu jadi macam tu. Lagipun-"

"Lagipun kau dah mula suka dengan budak Nad tu?"

"Bukan mula suka... Is memang suka dengan dia." Rais mengesat peluhnya.

"Dia suka dengan kau tak?"

"Entahlah Pa... Macam mana kita nak tahu kalau orang tu sukakan kita?"

"Bila dia dah mula selesa dengan kau dan dia akan luahkan isi hatinya kepada kau. Masa itulah kau tahu dia anggap kau istimewa, bukan sekadar kawan sahaja."

"Oh..." Rais mahu menarik kerusi lalu duduk di sebelah Pa, tetapi dia tak mahu Kak Yam merungut pula nanti.

Rais masuk ke tempat dia membancuh air. Buat seketika dia termenung memikirkan tentang Nad. Dia mencari jawapan kepada kegelisahan hatinya. Ada sesuatu tentang diri Nad yang disembunyikan darinya, tetapi dia tak tahu apa - tetapi mahu ketahuinya juga.



Kak Yam risau melihatkan keadaan Rais yang menggigil kesejukan di dapur. Dia meminta Rais pulang. Lagipun warungnya itu akan ditutup sebentar sahaja lagi. Pelanggan pun dah tak ramai yang datang.

Rais memeluk tubuhnya ketika dia berjalan pulang ke flatnya. Dia berjalan di tepi padang. Dia menoleh ke padang. Dia mendapati kereta Nad ada diletakkan di tepi padang. Rais berjalan ke arah kereta Nad. Dia mendapati Nad sedang duduk di dalam kereta sambil mendengar muzik.

"Awak buat apa di sini?" tanya Rais.

"Tunggu awak habis kerja..."

"Saya pulang awal malam ni. Tak sihat."

"Masuklah... Saya hantar awak pulang."

Rais masuk ke dalam kereta Nad. Nad menghidupkan enjin kereta. Dia memandu keretanya ke arah flat tempat tingga Rais.

Lagu Jatuh Cinta oleh Titiek Puspa yang dipopularkan kembali oleh Project Pop berkumandang di corong radio.

Biar Siang Biar Malam terbayang wajahnya.

Lagu in membuat Rais senyum seketika.

"Kenapa senyum-senyum ni?" tanya Nad ingin tahu.

"Tak ada apa-apa..."

"Awak perlu berehat. Lusa kita ada perlawanan saringan kedua."

"Saya tahu."

"Saya tahu awak mahu berhenti ambil dadah... Tapi saya tak sampai hati tengok awak macam ni."

Rais menarik nafasnya. Hingusnya disedutnya kembali ke dalam hidunya.

"Awak boleh cuba untuk mendapatkan rawatan buprenorphine dan methadone. Ini alamat kliniknya." Ujar Nad, dia mengeluarkan sekeping kertas dari kocek seluar jeansnya. "Beritahu kepada Doktor Mahmud, saya yang suruh awak berjumpa dengannya."

"Siapa Doktor Mahmud ni?"

"Awak dah jumpa dia... Hari tu di padang."

"Oh... Lelaki tu."

"Awak pergilah berjumpa dengan dia nanti. Dulu dia banyak membantu saya."

"Kenapa awak lain macam jer selepas awak bertemu dengan dia hari tu?"

"Banyak yang awak tak tahu fasal saya, Rais."

"Bila awak dah sedia nanti awak boleh beritahu." Jawab Rais pendek. Nad memberhentikan keretanya di hadapan flat Rais. Dengan perlahan setelah dia terbatuk kecil, Rais mengucapkan terima kasih kepada Nad. Dia keluar dari kereta Nad.

Nad merenung ke arah stereng keretanya. Dia sekali lagi menoleh ke arah Rais dalam keadaan serba salah. Rais membelakanginya, berjalan sambil berpeluk tubuh. Nad mematikan enjin keretanya. Dia keluar dari kereta lalu terus mendapatkan Rais.

Nad memegang lengan Rais yang dibasahi peluh itu. Dia dapati suhu tubuh Rais panas.

"Ketika saya remaja dulu saya banyak buat kesilapan..." Ujar Nad tiba-tiba.

"Kita semua tak pernah lari dari membuat sebarang kesilapan, Nad."

"Tapi kesilapan yang saya lakukan itu besar, Rais."

"Kesilapan apa?" Rais terus menoleh ke arah Nad.

"Sejurus selepas saya selesai SPM, saya dipaksa kahwin dengan seorang lelaki Siam." Kata Nad tanpa memandang ke arah Rais. "Bapak saya kaki judi... Dia tak boleh bayar hutangnya, jadi saya dipaksa kahwin dengan lelaki Siam yang boleh saya panggil datuk. Saya tak mahu berkahwin dengannya-"

"Jadi apa yang berlaku selepas itu?"

"Saya melarikan diri saya ke Kuala Lumpur. Di sini saya tak kenal dengan sesiapapun. Hidup saya terumbang ambing di sini. Nak dipendekkan cerita, saya buat kerja-kerja gila untuk dapatkan duit. Kemudian saya terpaksa jadi seorang perempuan simpanan seorang ahli korporat yang terkenal. Saya disimpannya sehingga satu hari saya dapati diri saya mengandung. Saya dipaksa menggugurkan anak saya itu demi untuk menjaga nama baiknya. Sekarang bila saya fikirkan balik, saya rasa bodoh sangat kerana telah mengikut sahaja katanya. Dia telah membawa saya berjumpa dengan Doktor Mahmud. Dialah yang telah menggugurkan janin di dalam perut saya-"

Wajah Nad terlukis garis-garis kekesalan.

"Awak tinggal dengan siapa sebenarnya sekarang ini?"

"Saya tinggal dengan Kak Idah. Dia bekas isteri ahli korporat yang buat saya mengandung... Dia akhirnya dapat tahu tentang saya. Saya sendiri yang beritahu kepadanya. Dia minta dirinya diceraikan. Kami akhirnya berkawan baik.

"Kak Idah ini baik orangnya... Dia akhirnya meminta saya supaya tinggal bersamanya. Dia mahu saya sambung belajar. Saya lakukan apa sahaja apa yang disuruhnya sehinggalah sekarang." Jelas Nad. Seorang wanita India berdiri di hadapan pintu lif. Dia menekan butang lif.

"Apa yang buat awak sedih ketika awak berjumpa dengan Doktor Mahmud hari tu?"

"Dia mengingatkan saya kepada segala kesilapan yang pernah saya lakukan dahulu, yang saya fikirkan dapat saya lupakan begitu sahaja."

"Lupakan saja perkara yang dah lepas tu, Nad." Kata Rais dengan perlahan. Pintu lif terbuka. Nad melepaskan lengan Rais yang telah digenggamnya sejak tadi.

Rais melangkah masuk ke dalam perut lif. Nad masih berdiri di tempatnya tadi. Rais terus memandang ke arahnya. Pintu lif tertutup tanpa mereka berkata apa-apa selepas itu.





posted by Nizam  # 4:19 PM

Tuesday, December 27, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 17



Pa: Marah

Rais menghilangkan diri buat seketika untuk pergi berjumpa dengan para penganjur pertandingan bola sepak ini untuk mengesahkan penglibatan Pasukan Jaguh terhadap perlawanan saringan seterusnya yang akan diadakan pada minggu hadapan. Itu pun dilakukannya setelah dia selesai memberi ucapan tahniah kepada anggota Pasukan Jaguh yang kelihatan kelesuan. Dia sempat memberikan kata-kata semangat kepada mereka bahawa mereka mampu melakukan apa sahaja asalkan mereka bersungguh-sungguh melakukannya.

Rais memandang ke arah senarai pasukan yang berjaya ke peringkat seterusnya. Dia dapati Pasukan Jaguh terpaksa melawan beberapa pasukan yang hebat-hebat belaka. Walaupun begitu, dia yakin pasukannya akan dapat memberikan yang terbaik walaupun mereka serba kekurangan.

Setelah selesai mengisi beberapa keping borang, Rais pergi mendapatkan Nad. Dia dapati Nad masih berada di tepi padang dengan seorang lelaki yang berusia pada awal 40-an. Mereka sedang berbual. Nad kelihatan tidak selesa berbual dengan lelaki tersebut.

Rais berdiri berdekatan dengan Nad. Nad pula memandang ke arah Rais depan pantas sebelum dia memberitahu sesuatu kepada lelaki di hadapannya. Lelaki di hadapannya memandang ke arah Nad. Dia mengeluarkan kad perniagaannya kepada Nad lalu beredar meninggalkannya untuk mendapatkan anaknya yang sedang menunggu di tepi padang berdekatan dengan tempat meletak kereta.

Nad membuang kad perniagaan lelaki itu ke tepi. Dia menoleh ke arah Rais seolah-olah tak ada apa yang berlaki.

"Siapa tu?" tanya Rais dengan selamba.

"Tak ada siapa..."

"Dia nak awak coach anak dia ke?"

"Ya." Jawab Nad. Dengan cepat Rais sedar Nad berbohong.

"So... Kat mana kita nak celebrate ni?"

"Celebrate apa?"

"Team kita dapat ke saringan seterusnya."

"Oh... Mana-mana pun boleh."

"Saya belanja."

"Dekat-dekat ini pun boleh."

"Kita makan kat CM lah macam tu."

"KFC?"

"Boleh jugak."

"Kalau macam tu, kita jumpa kat sana ya! Awak naik motor, kan?"

"Ya." Jawab Rais pantas. Dia membantu Nad membawa begnya lalu ke tempat meletak kereta. Dia meletakkan bag Nad ke bahagian penumpang, "Drive baik-baik ya!"

Nad tersenyum. Tawar. Perasaannya masih terganggu dengan pertemuannya dengan lelaki yang pernah dikenalinya dahulu. Dalam satu masa yang ingin dilupakannya.



Rais dapat melihat Nad seperti tak ada selera makan. Dia tak banyak makan. Ayam goreng yang dipesannya pun dicubitnya sahaja. Rais tahu ada perkara yang menganggu perasaan Nad, tetapi dia tak tahu apa.

"Awak okay ke tak ni?" Tanya Rais. Dia mengelap bibirnya dengan kertas tisu.

"Okay. Don't worry about me." Ujar Nad dengan mengerutkan dahinya.

"Baik..." sambut Rais dengan sinis.

"Is... I want to say something. Harap awak tak kecik hati."

"Apa?" tanya Rais dengan serius.

"Lain kali jangan tanya lagi fasal hal saya... Saya tak suka." Nad melepaskan nafas lesunya. "Diri awak tak terjaga, jangan jaga hal saya."

"Okay." Rais mengangguk sekali.

"And really... Where were you yesterday?"

"Jumpa kawan."

"Tadi kata demam?"

"Demam tapi jumpa kawan."

"Yeah right!"

"Nad... Kenapa ni?"

"Saya tahu awak ambil dadah."

Rais terdiam. Dia tak berani memandang ke arah Nad. Dia menarik nafasnya dalam-dalam. Dia menoleh ke tepi. Dia dapat melihat sebuah keluarga Melayu yang sedang makan di dalam restoran KFC.

"Kenapa awak cari fasal ni?" tanya Rais akhirnya setelah dia duduk membisu dengan agak lama.

"Saya bukan nak cari fasal... Tapi awak ada tanggungjawab sekarang ni-"

"Saya tahu lah!" Rais menaikkan suaranya.

Wajah Nad tiba-tiba sahaja berubah. Matanya berkaca-kaca.

"Maaf." Ujar Rais pantas dengan nada risau.

Nad mengesat air matanya. "I nak balik..."

Rais mengangguk. Dia memandang ke arah keluarga yang duduk di sebelahnya. Si bapa dan si ibu sedang memerhatikannya dengan penuh minat.

Rais pasti apa yang berlaku kepada Nad sekarang ini bukan semata-mata kerana dirinya tetapi kepada apa yang telah berlaku tadi. Perkara ini benar-benar mengganggu jiwa Nad.



Ma dan Pa membawa Hadi pulang dari padang bola. Dia kelihatan sugul walaupun Pasukan Jaguh berjaya ke peringkat seterusnya. Ma mahu memujuknya, tetapi Pa meminta Ma supaya membiarkan sahaja Hadi berkeadaan begitu. "Hatinya masih panas, biarlah dia lega sedikit," kata Pa.

Di rumah, Hadi terus masuk ke dalam bilik. Dia termenung. Pa tak tahu apa yang direnungkan itu, tapi dia mungkin dapat meneka. Tadi Rais telah menceritakan segala-galanya. Hadi telah bergaduh kerana menerima ejekan dari seorang anggota pasukan lawannya.

"Kita kena nasihatkan dia jugak." Bisik Ma kepada Ma di dapur ketika dia sedang memasak nasi goreng untuk makan malam.

Pa bercekak pinggang. Dia tidak tahu jika dia harus duduk di hadapan Hadi untuk berbincang mengenai apa yang telah berlaku tadi atau hanya mendiamkan dirinya.

"Hadi, mandi!" ujar Pa dari dapur. Dia lihat Ma menjelingnya.

Hadi tidak menjawab.

Pa masuk di dalam bilik Hadi. Dia lihat Hadi terbaring di atas katil di dalam gelap. Pa membuka lampu.

"Kenapa Hadi perlu bergaduh tadi?" tanya Pa dengan lembut.

Hadi tidak menjawab.

"Kalau ada orang ejek Hadi ke apa ke... Hadi diam jer. Jangan melawan. Tadi sebab Hadi melawan, Hadi dapat kad merah."

Hadi memeluk bantalnya. Pa mengambil bantal itu dari Hadi. Dia kata Hadi tak mandi lagi. Badannya berbau.

"Pa mahu Hadi kawal diri Hadi. Jangan cepat-cepat naik angin. Pa tak mahu lihat Hadi bergaduh lagi. Faham tak Hadi?"

Hadi menggelengkan kepalanya.

"Kenapa ni, Hadi?"

"Adi tak suka orang ejek Adi sebab diorang kata Ma dengan Pa, pondan!"

"Adi jangan layan diorang tu semua."

"Pa senang jer cakap macam tu!" Hadi menaikkan suaranya.

"Dah... Pergi mandi."

"Tak nak!"

"Hadi... Pergi mandi. Sekejap lagi kita makan sama-sama."

"Tak nak!"

"Hadi... Kenapa ni?"

"Adi tak nak mandi!"

"Dah tu Hadi nak apa?"

Hadi tak mahu menjawab. Wajahnya jelas marah. Hatinya masih belum sejuk lagi.

"Pa nak Hadi mandi... Bersihkan diri Hadi. Nanti kita sembahyang sama-sama. Ma pun dah nak siap masak tu."

"Ma dengan Pa bukan mak ayah Adi nak suruh Adi buat itu ini!" teriak Hadi sehingga membuat pa terkejut.

"Hadi!" menyirap darah Pa dibuatnya. Dia lihat Hadi menjerit-jerit di hadapannya tapi dia tak tahu apa yang hadi jeritkan. Dia terlalu marah sehinggakan apa yang dijeritkan Hadi langsung tidak didengarinya.

"Pa!" laung Ma dari belakang. Tanpa Pa sedari tangannya separuh jalan hampir-hampir melempang Hadi. "Mengucap Pa!" pinta Ma kemudian.

Pa tersedar dari keadaan marahnya. Dia terkejut melihat keadaannya begitu. Dia beristighfar berkali-kali. Tangan kirinya memegang tangan kanannya. Dia kecewa dengan dirinya. Kini apa yang pernah dilakukan oleh bapanya kepada dirinya ingin pula dilakukan kepada Hadi.

Pa meluru keluar dari bilik Hadi. Dia membuka pintu pagar rumahnya. Dia keluar dari rumah tanpa memberitahu Ma arah tujuannya.



posted by Nizam  # 4:23 PM

Friday, December 23, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 16



Pa: Di atas astaka

Ma dan Pa dapat melihat Celisha dan Linda berjalan di tepi padang lalu mencari kelibat mereka. Beberapa orang pemuda bersiul ke arah mereka, lebih-lebih lagi Linda yang cantik, bertubuh langsing dan tinggi lampai itu.

Ma melambaikan tangannya ke arah mereka, walaupun dari setengah batu mereka sudah dapat melihat payung merah jambu yang sedang digunakannya ketika sedang duduk di sebuah astaka yang telah disediakan untuk penonton.

"Sorry lah lambat." Ujar Linda dengan lembut. Mereka berdua terus duduk di sebelah Ma dan Pa.

"Perlawanan akhir baru sahaja bermula." Pa memberitahu. Penonton mula bersorak apabila para pemain dari pasukan Tiger Cub dan Jaguh masuk ke padang.

"Hadi!!!" jerit Ma. Hadi menoleh ke arah Ma lalu melambaikan tangannya. Beberapa orang penonton menoleh ke arah Ma sambil tersenyum. Kebanyakan dari mereka duduk ini adalah penyokong-penyokong Pasukan Juara. Di astaka sebelah bula adalah penyokong-penyokong Tiger Cub.

Linda memerhatikan penonton-penonton yang menyokong Pasukan Tiger Cub. Kebanyakannya nampak berpakaian ranggi. Mereka jelas bukan tergolong dari orang kebanyakan. Linda nampak seorang gadis remaja yang sedang menggunakan beg Channel yang diidamkannya selama ini. Linda mengeluh lesu. Dia tak tahu sampai bila dia harus terus menyimpan secebis impian yang sukar terlaksana sedangkan dia melihat seorang gadis yang entah apa-apa sudah boleh memakai beg yang diidamkan.

Para pemain semua nampak sudah siap sedia di atas padang. Pasukan Juara telah diberi peluang untuk sepak-mula. Pengadil meniup wiselnya lalu Muzaffar menendang bola ke arah Hadi.

Semuanya bermula di sini.

Nampaknya Pasukan Tiger Cub bukan calang-calang pasukan. Pasukan ini cukup terlatih. Pergerakan mereka pantas dan lincah di atas padang. Penyokong pasukan Jaguh yang sedang duduk di astaka Pasukan Juara terdiam dalam keadaan tegang. Mereka menyerahkan segala-galanya kepada takdir.

Hadi mengawal bolanya lalu mencari teman sepasukannya untuk membuat hantaran. Dia nampak kelibat Wan. Mereka bertentang mata buat beberapa saat, tetapi dalam beberapa saat itulah bolanya di rampas oleh pemain tengah Pasukan Tiger Cub. Dia terus mengelecek bola dengan tangkas lalu apabila dia tiba dekat dengan tiang gol, dia terus menendang bola dengan satu tendangan yang deras. Fadli yang menjaga gol berjaya menyelamatkan bola.

Tak sampai lima minit perlawanan, Pasukan Tiger Cub hampir-hampir menjaringkan gol mereka yang pertama.

Anggota-anggota Pasukan Jaguh saling berpandangan. Mereka nampak seperti kehilangan semangat. Mereka mempunyai 40 minit lagi untuk bermain. Sebelum ini setiap perlawanan yang mereka sertai mereka mampu menang mudah, tapi bukan kali ini.

"Main lah betul-betul!" jerit Muzaffar kepada Najmie dan Shegar di bahagian pertahanan. Mereka perlu bermain habis-habisan sehingga ke minit yang terakhir, walaupun mereka kalah 10-0 sekalipun. Fikir Muzaffar, walaupun mereka kalah dalam perlawanan ini, mereka perlu kalah dalam keadaan bermaruah bermain bermati-matian dengan penuh semangat.

Tiger Cub menguasai bahagian sudut dekat dengan pintu gol. Salah seorang penyerang Tiger Cub tiba-tiba sahaja muncul di sebelah Wan lalu menanduk bola ke arah pintu gol. Lagi sikit bola itu akan masuk ke lubang gol jika tidak kerana ia terkena palang gol.

Pa mengusap-usap dadanya. Dia menoleh ke arah Ma. Dia dapati Ma tidak lagi menjerit-menjerit memberi semangat macam tadi. Dia sedang mengesat peluhnya yang mula menitik di atas dahinya.

Sepuluh minit seterusnya, Juara menerima serangan bertubi-tubi dari Tiger Cub. Muzaffar dengan pantas mengambil keputusan untuk mendapatkan pemain-main lain untuk menguatkan bahagian pertahanan semata-mata untuk menepis serangan pantas dan pergerakan lincah dari Tiger Cub yang menghujani mereka. Malah dia sendiri kini terpaksa berada dekat dengan pintu gol untuk mengelakkan bola dari menembusi gawang.

Impian ngeri mereka berlaku jua akhirnya.

Hadi cuba menyelamatkan pasukannya dengan cuba menanduk keluar bola yang bergerak laju ke arahnya. Dia gagal. Bola jatuh di atas padang lalu melantun terkena kasut bola seorang pemain Tiger Cub, yang dengan pantas mengambil peluang ini untuk menyepak bola masuk ke lubang gol sebelum sempat Muzaffar dan Jason menyekatnya.

15 minit sebelum wisel penamat ditiup dan kini Jaguh ketinggalan 1-0 kepada Tiger Cub.

Pa mengeluh. Dia dapat mendengar keluhan penyokong-penyokong Juara yang ditenggelamkan oleh sorak gembira penyokong-penyokong Tiger Cub.

Pa, Ma, Linda dan Celisha saling berpandangan tetapi mereka cepat-cepat berpaling ke arah lain. Mereka tak mampu melihat kegelisahan dan keperitan yang terpancar di mata masing-masing. Mereka mula dapat merasakan Jaguh pasti akan kalah dalam perlawanan kali ini tetapi mereka kini dengan serentak dan sebulat suara ingin memberi semangat kepada Jaguh agar terus berjuang. Walaupun mungkin Jaguh kalah dalam perlawanan hari ini, sekurang-kurangnya mereka dapat membuktikan bagaimana bangganya mereka kepada Jaguh khususnya kepada Hadi yang telah melakukan segala-galanya untuk berjuang mempertahankan maruah pasukannya.



Hadi menggosok-gosok rambutnya. Dia kerisauan. Dia menoleh ke arah Nad dan Rais. Wajah mereka jelas kusut. Jaguh tidak mempunyai banyak masa lagi. 10 minit sahaja lagi sebelum wisel penamat dibunyikan. Dia memandang ke arah rakan-rakan sepasukannya yang lain. Masing-masing kepenatan.

Hadi bertekad untuk main dengan lebih bersungguh-sungguh. Kesungguhannya ini mula disedari oleh salah seorang pemain Tiger Cub bernama Zaki. Zaki perlu memastikan agar Hadi dijaga dengan rapi agar segala tindakannya untuk cuba menjaringkan gol cepat-cepat dapat dipantas olehnya.

Zaki mula mendapati Hadi ini walaupun kecil agak terlalu lincah buat dirinya. Apabila bola dihantarkan kepadanya, Hadi dengan pantas dapat merampas bola tersebut darinya lalu menendang ke arah Wan.

"Zaki! Stop dreamning lah!" jerit jurulatih Zaki dengan kuat.

Zaki memandang ke arah Hadi dengan perasaan benci. Dia kemudian menoleh ke arah penonton. Dia dapat melihat Hadi sedang memandang ke arah Ma, Pa, Linda dan Celisha yang sedang memberi kata-kata perangsang kepada dirinya.

"Hoi, tak tahu malu ke mak kau pondan!" getus Zaki apabila dia berdiri di belakang Hadi.

"Mak dia pondan pun, mak dia lagik cantik dari mak kau tu yang serabai tu!" sambuk Muzaffar yang berada dekat dengannya.

"Eh, kau ni apesal berani panggil mak aku serabai!" getus Zaki. Dia mendada ke arah Muzaffar. "Aku kutuk dia sebab mak dia PONDAN! Macam korang ni semua! PONDAN!"

Hadi dengan marah menumbuk muka Zaki. Si Zaki pula dengan penuh drama rebah ke atas padang sambil memegang mukanya. Muzaffar terpaksa memegang tubuh Hadi yang cuba menyepak Zaki yang sedang tergolek-golek di atas padang. Pengadil membunyikan wisel.

"Apa dah jadi ni nyah?" tanya Ma dengan risau kepada Pa. Pa tidak dapat menjawab. Perkara ini berlaku terlalu pantas di hadapan mereka. Belum sempat dia dapat membuka mulut, pengadil mengeluarkan kad merah.

Hadi dibuang padang.

"Oh my God!" Celishe menutup mulutnya. Matanya mengekori Hadi yang berjalan lesu mendapatkan Nad dan Rais. Dia senang menangis.

Pa berdiri dari tempat duduknya. Risau. Dia ingin mendapatkan Hadi. Dari jauh Rais memberi isyarat tangan kepada Pa supaya terus duduk di astaka. Dia dapat menyelesaikan hal ini sendiri.

Si Zaki pula kini sedang tersengih ke arah Muzaffar di atas padang. Dia puas dengan apa yang telah berjaya dilakukannya sekarang. Kini Jaguh hanya ada 10 pemain di tengah padang.

Kesukaran kini menimpa Pasukan Jaguh apabila mereka terus dibelasah oleh Pasukan Tiger Cub. Dalam saat-saat akhir perlawanan ini, Tiger Cub sekali lagi berjaya menembusi gawang gol Jaguh. Hadi yang sedang duduk di tepi padang terasa semakin serba salah dibuatnya. Dia rasa segala apa yang berlaku kepada Jaguh adalah salah dan silapnya sendiri.

"Kita kalah, tapi kalau ikut agregat, kita masih boleh ke saringan seterusnya." Ujar Rais kepada Nad sebaik sahaja wisel penamat ditiup. Nad mengangguk setuju. Para pemain Jaguh dengan sedih berjalan ke arahnya. Mereka kalah buat kali pertamanya pada hari itu. Nad senyum ke arah mereka. Nad meminta mereka senyum. Mereka telah mencuba yang terbaik.

Muzaffar menepuk bahu Hadi. Katanya, "dah, jangan nak sedih-sedih. Dah adat bermain, mesti ada kalah menang."

Hadi tidak menjawab. Dia terus berdiam. Dia menjeling ke arah ahli-ahli Pasukan Tiger Cub yang sedang bersorak kegembiraan, kemudian dia menoleh ke arah Ma dan Pa. Apabila mata mereka bertentangan, dia cepat-cepat berpaling ke arah lain.





posted by Nizam  # 3:52 PM

Thursday, December 22, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 15



Pa: Padang Merbok

Hadi sukar untuk melelapkan matanya, inikan pula untuk tidur. Esok, perlawanan bola sepak akan diadakan. Dia bukan sahaja tidak boleh tidur kerana memikirkan tentang perlawanan bola sepak itu, tetapi kepada apa yang telah dialaminya bersama Rais sebentar tadi. Dia telah ditengking Rais. Perasaannya sedih.

"Kenapa ni Hadi? Kenapa termenung je tu?" tanya Pa di muka pintu. Dia duduk di sisi Hadi di atas katilnya.

"Kenapa dengan abang Rais? Dia sakit ke?"

"Ya, dia sakit."

"Dia sakit apa, Pa?"

"Dia... Hmmm..." Pa mengusap rambut Hadi. Dia tidak dapat melengkapkan kalimah-kalimahnya. "Nanti baiklah dia tu."

"Esok Wan nak tumpang kita ke Padang Merbok." Hadi mengingatkan.

"Tahu... Mak dia dah bagitahu kat Pa petang tadi."

"Dia sedih sebab ayah dia jarang balik rumah. Lepas tu, ayah dia tak boleh tengok dia main."

"Pa tahu, Hadi. Kesian Pa dengan si Wan tu."

"Pa tahu mana Padang Merbok ni, kan?"

"Tahu lah... Budak bertuah ni. Pa kan dah lama duduk kat KL. Tak kan lah tak tahu mana Padang Merbok tu."

"Mana tahu Pa tak tahu ke... Kita semua kena ada kat sana pukul 7 pagi tau pa!"

"Ya, Pa tahu! Nanti kita ke sana naik teksi."

"Pa rasa abang Rais dapat datang tak?"

"Entahlah Hadi... Pa tak tahu." Mata pa tertumpu pada kasut bola kepunyaan Hadi hadiah pemberian arwah bapanya yang tersorok di tepi meja solek.

"Hadi pakai kasut bola tu esok?"

"Tak."

"Kenapa tidak?"

"Adi tak nak pakai."

Pa merenung ke dalam mata Hadi. Dia dapati Hadi sudah bertekat dengan hal ini. Lagipun dia tak makan pujuk. Jadi Pa rasa dia tak akan memujuk Hadi inikan pula memaksanya untuk memakai kasut bola itu.

"Jadi Hadi nak pakai kasut apa bila main bola esok?"

"Kasut sekolah."

"Kasut sekolah mana sesuai untuk dibawa bermain bola, Hadi."

"Wan dengan kawan-kawan Adi pun pakai kasut sekolah jugak!"

Pa mengangguk sekali dengan rasa simpati. Dia tahu beberapa orang kanak-kanak yang bermain di dalam Pasukan Jaguh berasal dari keluarga yang daif. Ada pula yang porak-peranda kehidupan mereka. Buat masa ini Pa rasa bangga kerana Hadi dapat menyesuaikan dirinya dengan mereka. Sekurang-kurangnya Hadi dapat memahami segala rencah kehidupan dalam usia mudanya.

"Esok Ma dengan Pa tengok Hadi main, ya!"

"Ya. Kami akan sokong Hadi dengan team bola Hadi esok." Kata Pa dengan pasti. Dia menyelimutkan Hadi. Dia mahu Hadi mendapat cukup tidur dan berehat. Lagipun esok Hadi perlu bangun awal. Dia mahu Hadi memberikan yang terbaik di dalam perlawanan bola sepak esok.



Ma dan Pa berjalan ke arah Padang Merbuk dengan membawa Hadi dan Wan bersama mereka. Di sana mereka terus mendapatkan Nad yang sudah lama tunggu di tepi padang. Nad kelihatan resah. Dia sedang mencari-cari sesuatu.

"Kenapa Nad nampak risau jer ni?" tanya Ma. Wajahnya nampak merah jambu dek simbahan bayang dari payung merah jambu yang digunakannya.

"Rais... Dia tak ada pun kat mana-mana."

"Itulah. Budak ni suka sangat buat macam ni."

"Banyak kali saya call, dia tak jawab."

"Itu pun dia... Panjang umur budak tu." Ujar Pa. Dia dapat melihat Rais sedang membawa beberapa keping kertas yang perlu diisinya sebelum Pasukan Jaguh dapat bermain pada pagi itu.

Hadi memandang ke arah Rais. Dia tidak lagi kelihatan tak tentu arah seperti semalam. Rais menoleh ke arah Hadi. Dia lihat Hadi seperti cuba mengelak dari memandang ke arahnya.

"Maaf saya lambat." Ujar Rais kepada Nad.

Nad menarik Rais ke tepi. "Kenapa dengan awak ni?"

"Sorry, saya tak sihat."

"Dah tu kenapa tak beritahu kat saya... Saya boleh datang jenguk ke." Nad berwajah risau.

"Kredit dah habis."

"Lain kali jangan buat macam ni lagi!"

"Saya janji tak akan buat lagi. Maafkan saya." Rais menjeling ke arah Pa. Dia lihat Pa sedang merenung ke arahnya dari jauh. Rais menoleh ke arah Nad. Dia lihat Nad menganggukkan kepalanya dengan perlahan.

Beberapa orang pemain Pasukan Jaguh mula berkumpul. Mereka datang bersama penjaga masing-masing. Mereka gembira melihat Rais akhirnya datang juga untuk memberi semangat kepada pasukan mereka.

Rais berjalan mendapatkan mendekati Hadi. Dia meminta Hadi supaya datang ke arahnya. Hadi berjalan lalu berdiri diam di hadapannya.

"Abang Is mintak maaf sebab marahkan Hadi semalam."

"Okay."

"Hadi maafkan abang tak?"

"Ya."

"Abang tak sepatutnya naikkan suara abang kepada Hadi."

"Semalam abang sakit... Adi tahu."

Wajah Rais berubah. Kata-kata Hadi membuatkan dirinya rasa serba salah. Rais menarik nafasnya dalam-dalam. Dia memerhatikan salinan borang yang terkandung nama-nama Pasukan Jaguh yang ada di tangannya.

1.- Muzaffar Mustafa (kapten)
2.- Raihan Isa
3.- Hadi Razak
4.- Jason Lee
5.- Vinod Muthusamy
6.- Najmie Saat
7.- Faisal Rostam
8.- Zaha Zain
9.- Muhammad Fadli Al-Azam
10.- Wan Ariffin Wan Tahar
11.- Lee Teck Heok

Pemain Simpanan:

15.- Zulkefli Idris
19.- Mohd Yusof Khamaruddin

Jurulatih: Nurnadhrah binti Kassim
Pengurus Pasukan: Rais Samsuri


Rais tersenyum melihat nama Nad yang telah tertulis di atas namanya, lalu dia kembali mendapatkan Nad. Dia menyerahkan jadual perlawanan mereka pada hari ini yang telah distapel bersama nama senarai pemain kepada Nad.

"Muz jadi kapten?" tanya Rais dengan dahinya terkerut.

"Ya, dia memang sesuai dijadikan kapten..."

"Saya rasa dia memang sesuai... Tapi dia tu panas baran sikit orangnya."

"Tak apalah, kita bagi dia peluang. Lagipun dia yang paling tua dalam kumpulan ni." Nad menjelaskan. Rais mengangguk setuju.

Rais mengambil keputusan untuk duduk di tepi padang apabila dia dapat melihat Nad sedang sibuk mengumpulkan pemain-pemainnya untuk melakukan senaman memanaskan badan. Rais termenung jauh ketika dia duduk keseorangan di tepi padang. Hari ini giannya hilang setelah dia kembali mengambil dadah. Tapi sampai bila dia akan berkeadaan seperti ini. Dia bersungguh-sungguh mahu berhenti setelah melihat sendiri kesan dadah kepada ayah Wan. Fikir Rais, sampai bila agaknya dia akan terus bergantung dengan dadah? Adakah jika dia berterusan begini dia juga akan menjadi seperti ayah Wan yang sewenang-wenangnya memukul orang-orang yang disayanginya ketika sedang berada di dalam keadaan gian?



Rais tak sangka Pasukan Jaguh memenangi hampir kesemua perlawanan yang diadakan hari ini. Pemain yang paling terserlah adalah Hadi dan Muzaffar. Buat pertama kali, Rais dapat melihat kedua-dua pemain ini bermain bersungguh-sungguh dalam satu pasukan untuk memastikan kecemerlangan pasukan mereka.

"Kalau ikutkan agregat, kita ada peluang besar untuk ke saringan kedua." Ujar Rais kepada Nad.

"Itulah!" sambut Nad dengan nada seronok. "Tapi kesian jugak dengan budak-budak ni. Budak-budak ni dah kepenatan."

"Tak apa... Mereka mesti dibiasakan dengan keadaan macam ni." Jawab Rais dengan pantas. Dia memandang ke arah jam tangannya. Perlawanan terakhir pada hari itu akan dimulakan bila-bila masa sahaja. Dia berjalan mendekati ahli Pasukan Jaguh yang sedang memanaskan badan mereka di tepi padang.

"Okay dengar semua... Abang Rais nak cakap sikit ni." Ujar Nad kepada ahli pasukannya.

"Korang semua perlu bermain dalam perlawanan yang terakhir ini dengan bersungguh-sungguh. Kita perlu buktikan kepada semua orang kita yang terbaik." Kata Rais dengan lantang, sebelum dia terbatuk-batuk. Rais menoleh ke padang. Dia dapat melihat pengadil sudah pun turun padang. Dia diarahkan supaya membawa ahli-ahli Pasukan Jaguh masuk ke padang.

Rais menepuk bahu Muzaffar sebagai isyarat untuk memintanya membawa pasukannya masuk ke padang. Dengan bangga Muzaffar masuk ke dalam padang. Pada hari itu, hanya dia dan seorang lagi anggota pasukannya yang memakai kasut bola, yang lain hanya memakai kasut sekolah. Mereka hanya memakai baju dan seluar serba biru seperti mana yang dipinta Rais untuk membezakan pasukan mereka dengan pasukan yang lain. Mereka tidak mempunyai baju pasukan mereka sendiri.

Perasaan bangga yang ada di dalam diri Muzaffar tidak kekal lama. Kini dia berhadapan dengan Pasukan Tiger Cub dari Bukit Damansara. Hampir kesemua anggota kumpulan ini dianggotai oleh mereka yang seusia dengannya dan tubuh mereka pula besar dan tinggi. Baju yang mereka pakai berwarna hitam berjenama Adidas. Kasut bola sepak yang mereka pakai pula berjenama Reebok.

Muzaffar menarik nafasnya dalam-dalam. Dia tidak boleh menunjukkan kepada sesiapapun dia sedang berada dalam keadaan gementar, lebih-lebih lagi kepada anggota kumpulannya.

Muzaffar kini berhadapan dengan kapten kumpulan Tiger Cub yang tersengih memandangnya. Muzaffar menoleh ke kanan memandang ke arah Hadi, kemudian ke kiri ke arah Wan dan pemain-pemain yang lain. Buat pertama kali pada hari itu, dia tidak yakin pasukannya akan menang melawan kumpulan yang serba gah ini.




posted by Nizam  # 4:23 PM

Wednesday, December 21, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 14



Rais: Gian

Rais melihat kumpulan Juara yang diuruskannya berlatih hampir setiap petang. Ahli-ahli pasukan bolanya yang cilik itu kelihatan bersungguh-sungguh berlatih walaupun mereka kekurangan wang untuk membeli pakaian dan kasut yang sesuai untuk bermain bola sepak.

"Kita ada seminggu lagi untuk berlatih sebelum pertandingan diadakan." Rais mengingatkan Nad sesuatu yang dia sudah sedia maklum. "Bahagian midfield perlu dilatih lagi agar mereka boleh bergerak lebih pantas menggelecek bola."

"Hadi dan Wan tu perlu ditingkatkan skill mereka. Tapi overall diorang tu okay lah. Especially Hadi. Dia memang ada bakat." Sambut Nad dengan matanya terus ke padang.

"Itulah... Saya rasa dia memang ada bakat. Hanya perlu diasah sahaja."

"Dia kata ada kalanya awak ada ajar dia main bola?"

"Ya." Jawab Rais sambil tersenyum.

"Awak ni pemain bola, kan?"

"Tak lah."

"Jangan bohong!"

"Emm..."

"Saya tahu awak budak bola dari hari pertama kita bertemu."

"Mana awak tahu?"

"Entahlah... Sebab saya minat dengan bola sepak, jadi saya boleh tahu siapa yang main bola dan siapa yang kaki bangku. Bila saya perhatikan awak... I know you have a passion in football." Jelas Nad lalu dia menambah lagi, "lagipun, lutut awak ada kesan kecederaan yang selalunya pemain bola jer yang ada."

"Tu semua cerita lama..." jawab Rais. Wajahnya berubah serius. Suaranya berat ketika berkata-kata.

"Cerita lama macam mana ni?"

"Saya tak nak ingatkan itu semua!"

"Awak kecewa?"

"Kecewa?"

"Saya lihat awak macam kecewa dengan sesuatu."

Garis-garis kedutan terbentuk di dahi Rais ketika dia menggeleng lesu. Dia memandang ke belakang. Sebuah motosikal berhenti di tepi padang sedang membunyikan hon berkali-kali.

"Siapa tu?" tanya Nad.

"Member." Jawab Rais dengan pantas. Rais mengorak langkah untuk mendapatkan kawannya. "Nak jumpa member sat."

"Itu awek yang kau suka sangat tu?" tanya Syam kepada Rais. Rais memeluk tubuhnya yang kurung itu. Rambutnya dibiarkan kusut. Rais tidak menjawab. Dia menjeling ke arah Nad yang sedang meniup wisel.

"Cun budak tu." Syam menggeliat di atas motor.

"Hang nak jumpa aku kat sini untuk apa?"

"Kenapa bila aku SMS kau tak nak jawab? Aku call pun kau tak nak angkat?"

"Aku dah start kerja. Aku sibuk."

"Oh... Bila kau dapat gaji nanti bolehlah kau belanja aku. Kita keluar minum-minum ke-"

"Aku cuba nak kurangkan apa yang aku ambik, lah Sham. Aku nak berhenti minum. Aku tak nak balik ke rumah mabuk. Kekadang tu muntah-muntah tepi jalan. Aku nak kurangkan ambik ganja."

"Hek elleh! Apesal ni beb!"

"Rilek lah."

"Kau nak berubah? Kau ingat kau boleh berubah?"

"Aku boleh berubah kalau aku nak-"

"Butoh bapak hang lah!"

Nad menoleh ke arah Rais dan Sham. Dia cepat-cepat menoleh ke arah padang. Dia tak selesa mendengar Sham mencarut-carut di hadapan budak-budak di bawah jagaannya.

"Kau kan Rais, senang jer kau lupa! Kau tak ingat ke siapa yang ajar aku minum, ambik ganja, ambik syabu tu semua? Siapa lagi yang ajar aku buat jahat kalau bukan kau?"

"Aku rasa aku nak berhenti."

"Sebab tu lah kau tak nak jumpa aku lagi? Sebab kau nak jadi budak baik?"

"Ya." Jawab Rais teragak-ajak.

"Ini semua fasal betina tu kan? Molek sangat lah tu!" getus Sham dengan penuh sinis.

"Bukan... Memang aku nak berubah."

Sham menghidupkan enjin motosikalnya. "Aku nak tengok kau boleh berhenti ke tak! Bila kau dah start gian, kau sendiri yang akan datang merangkak kat aku nanti!"

Rais melepaskan nafasnya. Dia menoleh ke arah Nad. Dia dapati Nad menoleh ke arahnya sekali sebelum dia kembali memandang ke arah padang. Kemudian mata Rais berpindah ke arah Hadi. Dia dapat melihat Hadi sedang memandang ke arahnya dari jauh.



Hadi baru saja lepas mengaji. Dia berjalan pulang ke rumah. Dia naik lif. Dia tekan butang lif untuk ke tingkat rumahnya. Pintu lif tertutup, tapi belum sempat pintu lif tertutup rapat, dia dapat melihat tangan yang menghalang lif dari tertutup. Hadi terkejut. Pinta lif terbuka. Dia dapat melihat Rais di luar lif.

"Ingatkan siapa tadi!" ujar Hadi sambil mengurut dadanya.

Rais menyandarkan tubuhnya di dinding lif. Tubuhnya basah berpeluh. Dia menggigil.

"Tadi Kak Nad cari abang, tapi abang tak datang ke latihan. Dia kata dia cuba call abang, tapi abang tak jawab. Abang Is sakit ke?" tanya Hadi dengan nada risau. Dia melihat mata Rais berair. Hidungnya berhingus.

"Hang tak payah risau fasal aku!" Kata Rais tanpa memandang ke arah Hadi. Tekaknya terasa mual. Badannya terasa sengal-sengal sejak semalam. Buat pertama kali dia merasakan apa yang dikenali dengan nama gian. Dia tidak suka dengan apa yang dialaminya sekarang. Dia terasa seperti mahu mati.

"Kalau abang sakit macam ni... Esok abang boleh tengok kami main tak?"

"Hang tak perlu risau! Berapa kali aku nak habaq!" Rais menaikkan suaranya. "Awat hang yang kalut semacam ja ni!"

Kata-kata Rais membuatkan Hadi terdiam. Rais menarik nafasnya dalam keadaan serba salah. Rais mengusap kepala Hadi seolah-olah mahu dirinya dimaafi, tapi Hadi hanya berdiam. Beberapa detik kemudian dia termuntah di hadapan Hadi.

Pintu lif terbuka. Hadi cepat-cepat keluar. Rais berjalan keluar dari dalam perut lif. Dia memeluk tubuhnya yang terasa teramat sejuk pada ketika itu. Dia dapat melihat Hadi cepat-cepat mahu masuk ke dalam rumah. Dia sedang memberitahukan sesuatu kepada Pa. Pa menjenguk ke arahnya.

Rais terkial-kial mahu membuka pintu. Dia mengesat mulut dan hidungnya yang berlendir.

"Bagi aku kunci tu," ujar Pa dengan tenang. Rais ingin menyerahkan kunci tersebut kepada Pa, tapi kunci jatuh ke atas lantai. Pa mengutip kunci Rais. Pa membuka pintu rumah sewa Rais yang kosong pada waktu itu.

Rais berlari masuk ke dalam tandas. Dia mahu melegakan keadaan dirinya yang sedang mengalami cirit-birit.

"Dah berapa lama kau tak ambil dadah?"

"Seminggu." Ujar Rais dari dalam tandas.

"Sejak bila kau ambil dadah?"

Rais tidak menjawab. Dia tidak mahu memberitahu Pa yang dia telah berjinak-jinak mengambil dadah sejak dia berusia 17 tahun. Ketika itu dia pernah menjadi ketua pasukan bola sepak di sekolahnya. Setahun selepas itu pula dia hampir-hampir dipilih untuk mewakili pasukan bola sepak Kedah jika bukan kerana kesan dadah yang dijumpai di dalam air kencingnya. Rais kecewa, kerana peluangnya untuk bermain bola langsung tertutup. Dalam keadaan kecewanya dia membawa diri ke Kuala Lumpur. Kalau boleh, dia tak mahu lagi berfikir tentang impiannya untuk menjadi pemain bola, kerana dia tahu dia tidak mungkin akan dapat mencapai impiannya itu.

"Kalau kau perlukan apa-apa bantuan... Aku dan Ma sedia menolong."

"Is tahu, Pa." Kata Rais dengan perlahan. Dia terus duduk di dalam tandas. Beberapa saat kemudian dia dapat mendengar bunyi pintu rumahnya di tutup. Rais menarik nafasnya dalam-dalam.

Rais menyeluk tangannya ke bahagian belakang tangki tandasnya. Dia menjumpai satu straw dadah yang ada disimpannya di situ. Dia merenung ke arah straw dadah di atas tangannya yang pastinya akan menghilangkan rasa gian yang terpaksa ditanggungnya pada ketika itu. Fikir Rais, dia sekurang-kurangnya perlu nampak sihat ketika Pasukan Juara yang diuruskannya buat pertama kalinya bermain di dalam pertandingan bola sepak yang mereka sertai esok. Dia tidak boleh berkeadaan seperti sekarang...




posted by Nizam  # 4:19 PM

Tuesday, December 20, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 13



Rais: Juara

Pa menjawab salam. Di luar rumahnya dia dapat melihat Cikgu Sherita. Nad ada bersamanya berdiri di belakangnya sambil tersenyum. Hadi dan Wan berhenti bermain dengan PS2. Mereka memandang ke arah Cikgu Sherita dan Nad.

"Hadi, bawak Wan pergi rumah abang Rais sekejap." Perintah Pa. Hadi mengangguk. Sebentar kemudian mereka berdua keluar dari rumah.

"Budak tu baru saja berhenti menangis." Ujar Ma dari dapur. Cikgu Sherita dan Nad mengangguk lesu.

"Kami baru saja pulang dari rumahnya tadi." Cikgu Sherita membuka lembaran bicara. Wajahnya nampak sayu. Dia memang sayangkan murid-muridnya. Apa yang telah berlaku kepada Wan sememangnya telah membuatnya dirinya tak tenteram.

"Ibunya mahu kami tumpangkan Wan di sini sehingga keadaan di rumahnya reda." Ujar Pa.

"Bapak Wan tak ada di rumah. Tak tahu ke mana lesapnya." Ujar Nad. Dia cuba menghilangkan rasa terkejutnya apabila dia melihat keadaan ibu Wan yang dipukul suaminya.

"Dah keluar masuk Pusat Serenti pun masih tak serik-serik lagi." Keluh Pa.

"Budak Wan tu macam mana keadaannya sekarang?" tanya Nad kepada Pa.

"Bila dia dengan Hadi keadaannya macam biasa jer. Tapi ye lah, budak-budak. Tapi isi hatinya siapa yang tahu."

"Saya dah tak tahu apa yang boleh saya lakukan. Sebab tu saya nasihatkan ibunya supaya tumpangkan Wan di sini buat sementara waktu-"

"Mungkin itu yang terbaik untuknya sekarang." Pintas Ma. Dia menatang dua cawan air teh yang telah disediakannya. Dia terus menjemput Nad dan Cikgu Sherita agar minum. Mereka nampak kelesuan. Mungkin kerana terpaksa berhadapan dengan situasi tegang yang tak pernah mereka hadapi sebelum ini.

Setelah hampir setengah jam berbual-bual, Cikgu Sherita dan Nad meminta diri. Nad berjalan di hadapan rumah sewa Rais. Dia dapat melihat Rais sedang duduk bersama Wan dan Hadi sambil menonton TV. Nad tersenyum ke arah Rais. Si Rais yang tak berbaju itu berdiri. Dia berjalan ke arah pintunya yang terbuka luas itu. Dia memeluk tubuhnya ketika berhadapan dengan Nad. Dia dapati Cikgu Sherita ada di situ.

"Cikgu tunggu kat bawah... Saya nak berbual dengan Rais sekejap." Beritahu Nad. Cikgu Sherita tersenyum sambil mengangguk.

"Saya baru dapat kerja." Bisik Rais kepada Nad.

"Bila?"

"Petang tadi..."

"Kat mana?"

"Kat warung nasi lemak Kak Yam-"

"Kak Yam sebelah padang bola tu?"

"Ya."

"Buat kerja apa?"

"Bancuh air." Jawab Rais tanpa teragak-agak. Rais telah diberikan kerja ini oleh Kak Yam setelah Pa bertanyakan kepada Kak Yam jika dia mempunyai kerja kosong di warungnya itu. Kebetulan, budak Kelantan yang bekerja sebelum ini mahu pulang ke kampung untuk mengerjakan kebun bapanya. Tanpa banyak soal, Kak Yam terus bersetuju untuk mengambil Rais bekerja walaupun Rais tidak mempunyai sebarang pengalaman menyediakan minuman. Tapi seperti kata Pa, Rais sebenarnya cerdik orangnya. Dia cepat belajar.

Rais sebenarnya beria-ia mahu mencari kerja setelah dia bertanyakan kepada Ma bagaimana caranya untuk dia memikat hati seorang gadis. Ma kata: "Hensem macam mana pun kalau tak ada kerja, tak guna. Perempuan tak akan minat dengan kau." Jadi setelah mendengar kata-kata Ma, dia terus beria-ia mahu mencari kerja. Dia tak mahu jadi penganggur. Dia mahu ada duit hasil titik peluhnya sendiri. Dia tidak mahu menyusahkan sesiapa lagi.

"Baguslah macam tu... Sekurang-kurangnya sekarang awak ada pekerjaan. Tak duduk rumah jer goyang kaki." Kata Nad sambil tersenyum. Dia memandang ke arah Hadi dan Wan yang sedang tersengih. "Okaylah... Saya minta diri dulu. Cikgu Sherita tumpang kereta saya..."

"Okay... Kita jumpa esok kat padang." Kata Rais sambil menggaru-garu dadanya yang tak gatal itu. Nad mengangguk. Dia berjalan ke arah lif. Rais menoleh ke arah Hadi dan Wan. Didapatinya mereka tak henti-henti tersengih.



Pada petang itu Rais membawa Wan dan Hadi ke padang. Wajahnya cukup teruja. Dia cepat-cepat mahu berjumpa dengan Nad. Dia terus berjalan ke arah Nad yang sedang mengikat tali kasut bolanya di tepi padang.

"Boleh order Milo ais tak?" tanya Nad berseloroh.

"Bang Is, Adi dengan Wan nak Milo ais jugak!"

"Boleh! Kejap lagi abang bawakan!" jawab Rais dengan pantas.

"Eh, saya gurau je lah." Nad berdiri bertentangan dengan Rais. "Saya ada bawa bekal air saya sendiri."

"Tahu..." mata Rais berpindah ke arah botol air Nad yang diletakkan bersebelahan dengan beg sukannya. Botol air berwarna biru yang diisi dengan air kegemarannya - Milo.

"Kenapa hari ini awak nampak macam excited je ni?"

"Oh, awak tahu fasal perlawanan bola sepak antara kelab kanak-kanak bawah 12 tahun?"

"Oh, tahu. Saya ada baca dalam akhbar tadi."

"Jadi-"

"Jadi kenapa?"

"Team awak ni nak masuk tak?"

"Entahlah... Budak-budak ni main suka-suka."

"Lah! Bagi lah diorang peluang bermain dengan pasukan lain!"

"Awak cuba lah tengok budak-budak ni... Main bola pakai kasut sekolah. Itu satu hal. Lagi satu hal, kita tak ada pengurus pasukan. Nak masuk pertandingan bola sepak tu kena ada pengurus pasukan."

"Ye ke?"

"Ya!"

Rais menggaru-garu kepalanya. Dia memandang ke arah Muzaffar yang baru sahaja tiba ke padang untuk memulakan latihan. Dia dapat melihat Muzaffar sedang berjalan ke arah Wan dan Hadi. Dia membiarkan sahaja.

"Apa kata saya jadi pengurus pasukan ini?" kata Rais dengan tiba-tiba.

"Awak nak jadi pengurus pasukan ini?" Nad mengulangi saranan Rais tadi.

"Ye lah. Dah tu siapa lagi?"

Nad memandang penuh ke arah Rais. Dia pernah duduk semeja bersama Ma dan Pa lalu meminta mereka berdua bercerita tentang latar belakang Rais kepadanya. Dia mendapat tahu dari mulut Ma dan Pa sendiri tentang tabiat buruk Rais mengambil dadah dan ada kalanya pulang dalam keadaan mabuk setelah dia menghabiskan masanya bersama kawan-kawan rempitnya yang lain. Walaupun begitu, Ma dan Pa tahu bahawa sanya Rais adalah seorang yang berhati baik. Tanpa ragu-ragu mereka memberitahu kepada Nad tentang perkara ini.

"Kalau macam tu... Saya tak kisah kalau awak nak jadi pengurus pasukan kita ni. Tapi saya harap awak serius dan tak main-main."

"Saya memang serius." Rais menoleh ke arah Wan dan Hadi. Dia dapat melihat Muzaffar sedang mengeluarkan sesuatu dari begnya. Rais mahu mendapatkan Hadi dan Wan. Dia takut Wan dan Hadi diapa-apakan oleh Muzaffar nanti.

"Biarkan mereka." Ujar Nad, dia memegang lengan Rais lalu dengan pantas dia melepaskannya seolah-olah dia baru sahaja terkena arus elektrik yang kuat. "Muzaffar tu taklah sejahat mana... Dia membuli sebab dia mahu mendapatkan perhatian. Sekarang Wan dan Hadi tu kawan dia sepasukan. Mereka semua perlu diberikan sedikit masa untuk menerima diri masing-masing di dalam satu pasukan."

Rais mengangguk setuju. "Pasukan ini perlu ada nama."

"Jadi... Awak sebagai pengurus baru pasukan ini nak menamakannya apa?"

"K.G.B."

"Biar betul! Macam nama organisasi perisikan jer."

"KGB tu Kampung Baru... Tapi memang ler nama KGB tu ganas sikit kan?"

"Oh." Nad ketawa sendiri. "Tak ada nama lain ke?"

"Okay, apa kata kita guna nama Jaguh. Kita namakan team ini Jaguh FC?"

"Boleh!" Nad mengangguk pantas. Dia terus memandang ke arah Rais. Dia telah memberikan sepenuh kepercayaan kepada Rais untuk menguruskan pasukan bola sepaknya. Dia berharap, dia tidak akan menyesal kelak ke atas keputusan yang telah diambilnya ini.



Hadi memandang ke arah kereta Wira yang berhenti di tepi padang. Di dalamnya Muzaffar mencium tangan ibunya sebelum dia keluar dari dalam kereta. Dia menoleh ke arah kereta Wira yang dipandu ibunya itu beredar dari kawasan padang sebelum dia berjalan ke arah Wan dan Hadi.

Wan menahan nafasnya. Dia masih takut dengan Muzaffar walaupun Muzaffar tidak lagi mengganggunya di sekolah. Muzaffar berdiri di hadapannya. Dia.

"Nak apa?" tanya Hadi memberanikan dirinya semata-mata kerana Rais ada berdekatan, walaupun dia sedang tekun kelihatannya berbual dengan Nad.

"Bapak aku jumpa bapak kau semalam kat Chow Kit." Muzaffar memberitahu. "Dia kata bapak kau ambik dadah kat belakang lorong."

Wan tidak menjawab. Dia dah lama tahu tentang hal ini.

"Bapak aku sebenarnya kawan baik bapak kau masa diorang kecik-kecik dulu. Dia kata dulu bapak kau tak macam ni."

Hadi memandang ke arah Wan. Dia lihat Wan diam sambil menelan air liurnya.

Muzaffar mengeluarkan sesuatu dari dalam begnya. Dia keluarkan sepasang baju sekolah. Dia serahkan baju tersebut kepada Wan.

"Baju ini aku beli untuk kau. Aku ganti balik baju kau yang aku koyakkan dulu." Kata Muzaffar lalu mengetapkan bibirnya. Bapanya sendiri yang telah memintanya agar menggunakan wang sakunya sendiri untuk membelikan baju sekolah Wan sebagai hukuman ke atas segala apa yang telah dilakukannya selama ini kepada Wan di sekolah.

"Terima kasih." Jawab Wan perlahan sambil menggigit kuku. Dia berpaling ke arah Hadi. Dia dapat melihat Hadi sedang memandang ke arah Rais yang nampaknya bersungguh-sungguh menyebut perkataan 'Jaguh FC' kepada Nad...



posted by Nizam  # 4:09 PM

Wednesday, December 14, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 12



Rais: Di atas padang

Ma dan Pa menonton sebuah rancangan realiti TV yang melibatkan seorang pelakon lelaki yang mereka berdua minati. Rancangan ini mempertontonkan kehidupan individu atau keluarga yang daif. Ma dan Pa saling bertanya jika stesen TV yang menayangkan rancangan ini yang untungnya beratus ribu dari hasil kutipan iklan akan menderma sebahagian dari keuntungan mereka dari manusia-manusia malang yang dipertontonkan kepada umum nasib mereka.

"Nyah, macam mana dengan Hadi?" tanya Ma tiba-tiba kepada Pa dengan suara perlahan. Dia tak mahu Hadi mendengar suaranya. Hadi sedang berada di dalam biliknya merajuk.

"Kenapa dengan dia?"

"Dia nak ikut kawan dia Wan tu main bola."

"Dah tu kenapa?"

"Bagilah dia main dengan kawan-kawan dia tu. Lagipun mak tengok budak Nad tu baik orangnya."

"Kalau dia kena buli lagi macam mana?"

"Kan si Rais tu ada."

Pa mencebik sambil menjeling.

"Nok... Sampai bila kita nak kongkong hidup dia? Sampai bila?"

"Dulu kau tentu pernah kena jadi bahan ejekan orang. Kau tentu pernah rasa betapa sedihnya diri kau bila diejek. Dikeji. Dibuli. Aku tak nak Hadi lalui itu semua!"

"Nok... Mak tahu sangat. Kekadang tu mak ada jugak fikir, apa dosa mak? Mak sampai tahap tanya kepada diri mak, ada ke agama di dunia ini yang memang meminta pengikutnya membenci, menghukum, menzalimi dan menyisihkan orang-orang macam kita?"

"Entahlah... Yang penting sekarang aku tak nak Hadi lalui kehidupan yang normal."

"Nok... Kalau kau nak dia lalui kehidupan yang normal, kau kena beri dia hadapi semua ini dengan tabah." Nasihat Ma.

Pa mengeluh. Dia memanggil Hadi supaya keluar dari biliknya. Dia terpaksa memanggil beberapa kali barulah Hadi keluar.

"Ya, Pa?" tanya Hadi lesu.

"Hadi nak main bola dengan Wan?"

Hadi mengangguk perlahan.

"Kalau Hadi nak main... Abang Is mesti temankan. Dengar tak apa Pa cakap ni?"

Wajah Hadi dengan pantas berubah ceria. Tak sabar rasanya dia mahu ke sekolah esok lalu memberitahu Wan dia akan pergi bermain bola dengan pasukannya.



Awal-awal lagi Rais membawa Hadi ke padang bola sepak. Di situ dia dapat melihat Nad sedang menyusun kon di atas padang. Nad gembira melihat Hadi dapat datang ke sesi latihannya pada petang itu.

"Dah lama sampai?" tanya Rais. Dia kemudian mengarahkan Hadi supaya duduk di tepi padang untuk menunggu sehingga budak-budak yang lain datang.

"Baru saja sampai."

"Awak tinggal kat mana?"

"Dekat dengan sini... Palladium... Jalan Gurney."

"Awak tinggal dengan siapa?"

"Dengan boyfriend." Katanya selamba. Dia melihat wajah Rais berubah. Dia tergelak. "Takdelah... I duduk sana dengan aunty I."

"Oh... Awak tak tinggal dengan keluarga awak?"

"Tak... Mereka masih berada di Kuala Kangsar."

"Awak pulak?"

"Saya di sini sorang saja. Duduk dengan member."

"Awak study ke, dah kerja?"

"Tanam anggur."

"Oh..."

"Awak study kat mana?"

"UTM, Jalan Semarak. I buat diploma jer."

"Maaflah kalau saya banyak bertanya."

"Alah, apa salah kalau bertanya..."

"Ma dan Pa suruh saya jaga Hadi."

"Ya, saya tahu."

"Mana budak yang buli Hadi tu?"

"Muz... Dia tak datang lagi. Kenapa?"

"Tak ada apa-apa." Rais menoleh ke arah Hadi. Dia sedang berbual dengan Wan yang nampak sedih. Ada sesuatu yang tak kena berlaku. Beberapa detik kemudian, Rais dapat melihat Wan sedang menangis.

"Kenapa Wan?" tanya Nad berjalan ke arahnya.

Wan terus menangis. Dia tidak mahu menjawab soalan Nad tadi.

"Dia kena buli lagi ke, Hadi?" tanya Rais dengan matanya terus kepada Hadi.

"Tak." Jawab Hadi takut-takut.

"Dah tu kenapa?" tanya Rais memegang bahu Hadi.

"Mak dia gaduh dengan ayah dia." Hadi menjawab dengan berbisik kepada Hadi. Dia masih segan lagi dengan Nad.

"Oh ya ke?" tanya Rais kembali dengan wajahnya terkerut. Dia memberitahu kepada Nad sebab mengapa Wan menangis.

"Bapaknya baru sahaja keluar dari pusat serenti... Mak dia dulu ada ambil benda tu jugak, tapi dah berhenti." Bisik Nad kepada Rais.

Rais menelan air liurnya. Wajahnya nampak serba salah. Dia tahu dia ada ambil dadah. Tapi dia selalu memberitahu dirinya dia boleh berhenti jika dia mahu. Dia sering beritahu kepada dirinya dia bukan penagih. Dia bukan macam bapa si Wan ini, fikirnya dalam hati.

"Wan... Tanda apa ni Wan?" tanya Nad dengan gelisah. Baru dia sedar ada tanda lebam-lebam pada paha Wan dan bahagian lain di tubuhnya.
"Ayah pukul Wan tadi. Dia kata Wan jahat!"

"Apa Wan buat sampai dia jadi marah begitu?" tanya Nad dengan penuh simpati. Dia mengusap-usap rambut Wan dengan harapan Wan akan berhenti menangis.

"Dia marah Wan sebab Wan mintak dia duit untuk ikut kelas wan pegi Zoo minggu depan. Dia kata Wan suka habiskan duit dia."

"Berapa Wan perlukan?"

"Sepuluh ringgit."

"Lain kali kalau Wan perlukan wang, Wan tanya kat Kak Nad dulu tau." Beritahu Nad bersungguh-sungguh. Wan mengangguk ketika dia sedang bertunduk begitu. Dia mengesat air matanya. Dia mahu melawat ke Zoo bersama rakan-rakannya yang lain. Dia merasa bersalah kerana telah merengek kepada bapanya tadi sehingga menyebabkan bapanya memukulnya dengan tali pinggang. Dia menyalahkan dirinya kerana telah menyebabkan ibunya bergaduh dengan bapanya tadi. Dia ke sini pun kerana dia ingin melarikan dirinya dari ibu dan bapanya yang bergaduh sampai terbang pinggan dan mangkuk.

Hadi berpaling ke arah Rais. Dia lihat wajah Rais kaku memandang ke arah Wan. Nad mengeluarkan kertas tisu dari kocek seluarnya lalu mengesat mata Wan. Dia meminta Wan menghembuskan hingus yang meleleh dari hidungnya.

"Wan duduk dulu... Nanti bila Wan dah bersedia, Wan join kitaorang buat latihan, ya? Abang Rais ni akan temankan Wan duduk kat bangku bawah pokok tu." Kata Nad. Dia memandang ke arah Rais. Rais menganggukkan kepalanya kepada Wan. Wan memegang tangan Rais.

Rais membawa Wan ke tempat duduk yang dinyatakan Nad. Wan duduk diam di situ sambil memandang ke arah padang. Sesekali Hadi akan menoleh ke arah Wan lalu melambaikan tangannya ke arahnya dan Rais.

Lama-kelamaan semakin ramai anggota pasukan bola sepak cilik yang dikendalikan Nad berkumpul di padang, termasuklah Muz. Hadi diperkenalkan kepada rakan-rakan barunya. Wajah Hadi semakin ceria jadinya apabila dia melihat Wan tidak lagi nampak sedih malah dia berjalan meninggalkan Rais lalu pergi mendapatkan Nad untuk memulakan latihannya pada hari itu.




posted by Nizam  # 4:01 PM

Tuesday, December 13, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 10



Pa: Mee Soto Istimewa

Seperti kebiasaannya, pada petang Jumaat itu Hadi akan berbasikal untuk ke padang bola. Di situ dia dapat melihat Wan bersama rakan-rakannya yang lain bermain bola. Tapi pada hari ini terdapat satu perbezaan yang ketara di padang bola. Cikgu Sherita ada di situ di samping Muzaffar.

Hadi mengambil keputusan untuk bersembunyi di sebalik sebuah pokok besar yang rendang. Dia hairan melihat Muzaffar si kaki buli itu akhirnya masuk di dalam pasukan bola ini yang dianggotai Wan dan beberapa pelajar lain yang pernah dibulinya.

Cikgu Sherita bercekak pinggang memandang ke arah Muzaffar. Lebih-lebih lagi apabila dia tak mahu bekerjasama dengan anggota-anggota pasukan yang lain yang lebih kecil saiz tubuh dan lebih muda usianya.

"Awak main-main lagi! Kalau awak main-main saya akan beritahu kepada bapak awak yang awak main-main!" Kata Cikgu Sherita dengan suara tegas. Dia memang cukup marah dengan Muzaffar. Apa tidaknya, baru sekarang dia tahu ramai di antara anak-anak muridnya yang menjadi mangsa buli si Muzaffar.

"Mana ada main-main cikgu!"

"Dah, jangan nak melawan." Cikgu Sherita membeliakkan matanya. Satu ketika dahulu Muzaffar pernah menjadi anak muridnya. Memang si Muzaffar ini degil, orangnya, tetapi dia tak pernah menyangka dia akhirnya akan menjadi seorang kaki buli.

Muzaffar menjeling ke arah Wan. Dia tahu Wan yang telah memberitahu kepada Nad dan seterusnya Nad telah melaporkan tentang aktiviti bulinya kepada guru besarnya. Bapanya telah dipanggil untuk menghadap guru besarnya semalam. Nad memberitahu kepada guru besarnya supaya jangan mengenakan hukuman buang sekolah terhadap Muzaffar. Nad berjaya mendapatkan sepenuh kepercayaan dan kerjasama dari guru besar agar menyerahkan Muzaffar supaya dia berada di bawah jagaannya dan cikgu Sherita. Muzaffar perlu datang ke setiap latihan yang diadakannya. Itulah syarat yang diberikan. Jika tidak Muzaffar akan dibuang sekolah. Bapa Muzaffar, Encik Mustafa bersetuju benar dengan hukuman ini.

Nad yakin bahawa dia mampu mengubah Muzaffar menjadi seorang manusia yang lebih baik. Dia yakin sukan dapat membantu seorang budak lelaki seperti Muzaffar menjadi lebih berdisiplin.

Muzaffar menyepetkan matanya ke arah Wan. Wan ketakutan. Dia menjauhkan dirinya dari Muzaffar. Semalam teruk Muzaffar dipukul bapanya. Tak cukup dengan dipukul, dia disuruh ketuk ketampi di hadapan keluarganya pula.

"Jaga kau!" bisik Muzaffar kepada Wan. Wan menelan air liurnya.

"Cikgu kenal dengan budak tu?" tanya Nad ke arah Hadi yang sedang bersembunyi di belakang pokok.

"Itu Hadi... Dia tinggal berdekatan di sini. Kenapa?"

"Dia selalu tengok kami bermain."

"Kenapa tak jemput dia main sekali?"

"Entahlah... Wan kata mak dan bapaknya tak bagi."

"Maksud Nad, Ma dan Pa?"

"Ya... Bukan itu mama dan papa dia?"

"Bukan," cikgu Sherita tersenyum. "Mereka penjaga Hadi... Pa itu pakciknya."

"Oh." Nad menganggukkan kepalanya. Kemudian dia menjerit ke arah Muzaffar. Dia menyuruhnya mempercepatkan pergerakannya menggelecek bola. "Kaki bangku ke ah!"

Muzaffar mengeluh. Dia menoleh ke arah Hadi yang sedang memerhatikannya dari jauh. Beberapa detik kemudian, Hadi cepat-cepat mendapatkan basikalnya apabila dia mula menyedari Muzaffar sedang memerhatikannya.

"Cikgu tahu di mana tempat tinggal Hadi ni?"

"Kenapa?"

"Saya rasa dia minat main bola." Nad meniupkan wiselnya. Dia meminta pasukannya yang tidak bernama itu berlatih menendang bola masuk ke dalam lubang gol pula.

"Dia tinggal di flat depan tu jer. Tingkat 7. Rumah nombor 3. Rumahnya kalau Nad nak tahu yang paling cantik dan paling bersih dengan langsir mengalahkan rumah mak datin."

"Oh ye ke?"

"Nanti Nad pergi ke rumahnya Nad tahulah." Cikgu Sherita tersenyum sambil berpeluk tubuh. Dia memandang ke arah Muzaffar. Marahnya kepada Muzaffar belum reda lagi.



Selepas latihan diadakan, Nad melangkah ke arah flat tempat tinggal Hadi. Dia pergi ke unit rumah yang disebutkan cikgu Sherita. Seperti yang dikatakan cikgu Sherita, memang rumah Ma dan Pa dijaga dengan baik. Di luar rumah ada terdapat pasu-pasu dengan pokok-pokok bunga yang menyegarkan suasana.

"Assalamualaikum." Ucap Nad dari luar.

Pa berjalan ke pintu pagar. Dia dapat melihat seorang anak gadis berpakaian sukan di hadapan rumahnya. Orangnya cantik. Sekali pandang nampak macam tomboy, dua kali pandang nampak macam model iklan TV.

"Ya, cik ini siapa?"

"Nama saya Nurnadhrah. Panggil sahaja Nad. Saya pelatih bola sepak."

"Jadi Nad nak jumpa dengan siapa?"

"Saya nak jumpa dengan Ma atau Pa-"

"Saya Pa."

"Oh..." Nad cuba sedaya upayanya untuk tidak menunjukkan sebarang rasa terkejut.

"Pa, saya sebenarnya nak berbincang tentang Hadi."

"Eh, jemput lah budak tu masuk kalau ya, pun!" ucap Ma dari dalam. Pa membuka pintu. Dia menjemput Nad masuk.

"Eh, jemput makan, Nad." Ujar Ma dari dapur.

"Tak apalah. Saya rasa macam mengganggu pulak."

"Eh apa pulak... Meh kita makan sama-sama." Ma meletakkan sebiji mangkuk berisi mee di atas meja makan. Malam ini mereka semua makan mee soto. Rais pun ada. Matanya terus kepada Nad.

"Nad... ini Ma. Dan ini Rais, jiran kami yang selalu datang untuk makan dengan kami sebab dia tak ada kerja lagi sebab dia malas nak cari kerja." Ujar Pa menjeling ke arah Rais. Si Rais pula tersengih.

"Nama saya Rais." Ujar Rais malu-malu. Dia meletakkan sudu dan garpunya ke tepi.

"Saya Nad." Jawab Nad perlahan sambil tersenyum. "Dan ini Hadi, kan?"

Hadi mengangguk. Dia memandang ke arah Ma dan Pa.

"Saya selalu nampak Hadi tengok kami berlatih petang-petang..."

"Oh ye ke?" Ujar Ma. Dia menjemput Nad makan Mee Sotonya yang ditaburkan dengan sambal kicap yang agak banyak. Nad cuba menjamah mee sotonya. Pedas, tapi rasa sedapnya tak terkira.

"Kenapa Hadi tak cakap kami Hadi selalu pergi lihat diorang berlatih?" tanya Pa.

Hadi tidak menjawab. Dia mengunyah cebisan ayam di dalam mulutnya.

"Saya sebenarnya nak Hadi masuk ke dalam pasukan kami. Wan kata Hadi suka main bola."

Ma dan Pa saling berpandangan. Pa mengeluh.

"Nad, bukannya kami tak suka Hadi bercampur dengan budak-budak lain. Tapi kami tak nak dia kena buli." Pa berkata. Di dalam fikirannya dia memikirkan tentang dirinya sendiri yang teruk menjadi mangsa buli di kampungnya dahulu. Dia tak mahu Hadi menghadapi segala trauma yang dihadapinya yang jelas memberi kesan yang mendalam kepada dirinya sehingga kini.

"Pa dan Ma tak payah takut. Budak Muz yang buli hadi tu ada dalam pasukan kami." Nad memberitahu dengan nada yakin.

Hadi menelan air liurnya. Dia menoleh ke arah Rais. Dia lihat mata Rais hanya kepada Nad dan Nad sahaja.

"Kami tak boleh beri keputusan sekarang-"

"Hadi nak main bola dengan kawan-kawan Wan!" pintas Hadi dengan pantas kepada Pa.

"Hadi... Bila makan tu tak sopan jerit-jerit macam ni." Tegur Pa. Dia menjeling ke arah Ma. Dia lihat Ma sekadar duduk diam tanpa mahu menyelitkan sebarang pendapatnya.

"Tapi Hadi nak main bola." Kata Hadi dengan lebih perlahan.

"Pa, kalau Pa takut Hadi kena buli... Is ada. Nanti petang-petang Is pergi temankan Hadi ke padang." Rais beria-ia berkata.

Pa termenung ke hadapan. Dia memikirkan tentang Hadi. Haruskan dia benarkan Hadi memasuki pasukan bola yang dipimpin Nad?

"Dah lama Nad jadi pelatih pasukan bola sepak untuk budak-budak sekolah tu?" Tanya Ma.

"Dah setahun... Saya anggap apa yang saya lakukan ini sebagai kerja sukarela. Saya masih belajar lagi. Budak-budak yang saya latih ni hampir kesemuanya berasal dari keluarga susah dan bermasalah-"

"Tapi kami tak susah atau bermasalah."

"Saya tahu Ma. Cikgu Sherita pun dah beritahu kepada saya Hadi dijaga oleh dua orang penjaga yang istimewa. Bukan semua pelajar yang bernasib baik sepertinya."

Hadi memandang ke arah Ma dan Pa. Dia menunggu sabar agar Pa dan Ma membenarkan dia berlatih di bawah arahan Nad.

"Beri kami masa untuk buat keputusan, Nad. Perkara ini kami perlu bawak berfikir dulu, baru kami boleh benarkan." Ujar Pa. Dia memandang ke arah Hadi. Dia lihat wajah Hadi berubah sugul.

"Saya faham. Memang saya tak memaksa. Pa dan Ma fikirkan baik-baik nanti. Kalau Pa dan Ma bersetuju untuk benarkan Hadi bermain dengan kami, dia boleh datang ke padang untuk berjumpa dengan saya." Sambut Nad dengan penuh hormat. Matanya kini tertumpu kepada mangkuk mee soto Dia mahu menghabiskan mee sotonya yang kini dianggapnya sebagai mee soto yang paling sedap yang pernah dicubanya.


posted by Nizam  # 12:06 PM

Monday, December 12, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 10



Ma: Buli

Pada hari itu, seperti hari-hari sebelumnya, Hadi duduk dengan Wan di tepi padang pada masa rehat. Wan memang susah nak berenggang dengan Hadi. Di mana ada Hadi, di situ ada Wan.

Hadi sedar bahawa Wan tak pernah dibekalkan dengan makanan oleh ibunya. Wang sakunya pun tak banyak. Hadi pernah memberitahu Ma tentang hal ini, sebab itulah Ma menyediakan dua bekal yang berasingan. Satu untuk Hadi dan satu lagi untuk Wan.

"Hari ni Ma masak apa?" tanya Wan ingin tahu. Dia kelaparan.

"Maggie goreng." Jawab Hadi. Dia menyerahkan bungkusan Maggie goreng ke tangan Wan. Wan membuka bungkusan tersebut. Dia mengambil garpu plastik pemberian Hadi. Dia makan Maggie goreng yang disediakan untuknya itu.

"Sedapnya!" ujar Wan yang tak makan sarapan itu.

"Ma memang pandai masak! Pagi-pagi Ma dah bangun untuk masak. Pa pun bangun awal jugak. Dia yang seterika baju Adi tiap-tiap pagi." Hadi memandang ke arah baju Wan yang lusuh. Dia sebenarnya dah lama sedar bagaimana dirinya agak beruntung jika dibandingkan dengan Wan dan beberapa rakan sekelasnya yang lain. Hari-hari bajunya dibasuh dan diseterika. Hari-hari dia bawa bekal ke sekolah. Hari-hari Pa akan menghantarnya ke sekolah dan Ma pula menjemputnya pulang.

Wan duduk dekat-dekat dengan Hadi sambil menyuapkan Maggie goreng ke dalam mulutnya. Matanya terus ke padang.

"Adi tahu kan, Wan ada berlatih main bola petang-petang kat padang dekat dengan rumah Adi?"

"Tahu... Wan dah bagitahu banyak kali."

"Adi join kitaorang lah."

"Hoi!" ujar suara garang di belakang mereka. Hadi dan Wan menoleh. Mereka dapat melihat sekumpulan budak-budak darjah 6. Yang menjerit ke arah mereka adalah seorang budak lelaki bertubuh tinggi lampai dengan wajah yang bengis. Namanya Muzaffar. Anak polis. Kaki buli sekolah ini. "Dating ke hah!"

Hadi dan Wan menoleh tercengang. Wan nampak takut. Ini bukan kali pertama dia diganggu Muzaffar dan rakan-rakannya.

"Bagi aku duit kau!" jerkahnya bercekak pinggang. Kawan-kawannya yang lain tersengih di belakangnya.

Wan keluarkan duitnya yang tak seberapa itu. Tanpa teragak-agak dia serahkan sekeping wang RM 1 kepada Muzaffar. Dia tak mahu cari fasal. Dia memang takut dengan Muzaffar, lebih-lebih lagi kerana tubuh Muzaffar yang jauh lebih besar darinya.

"Eh, kau tercegat ni apesal?" bentak Muzaffar kepada Hadi. Mata Hadi terkebil-kebil. "Mana duit kau?"

Hadi tak mahu bagi wangnya kepada Muzaffar. Dia degil.

"Kau ni budak yang pondan dua ekor tu jaga kan?" kata Muzaffar dengan kurang ajar.

Hadi mahu menjawab, tapi Wan menutup mulutnya. Muzaffar pegang kolar Hadi. Dia tolak paksa Hadi berdiri. Kemudian dia tolak Hadi sampai dia terjatuh di atas lopak. Baju Hadi kotor. Kawan-kawan Muzaffar ketawa berdekah-dekah.

"Dasar anak pondan!" herdik Muzaffar. Kawan-kawannya lain mengajuk beramai-ramai: "Anak pondan! Anak pondan!"

Hadi memandang ke arah Wan. Wan menggelengkan kepalanya untuk memberi isyarat kepadanya supaya jangan melawan. Wan cepat-cepat mendapatkan Hadi. Dia memasukkan tangannya ke dalam kocek seluar Hadi. Dia keluarkan wang Hadi. Dia serahkan wang Hadi kepada Muzaffar.

"Kau tu budak baru di sini... Jangan cuba kurang ajar dengan kami!" Muzaffar memberi amaran. Hadi membersihkan bajunya yang kotor. Matanya merenung tajam ke arah Muzaffar.

Muzaffar menolak Hadi sekali lagi. Kali ini dia lebih berhati-hati mengimbangi tubuhnya dari mengelakkan dirinya terjatuh. Muzaffar masih tidak puas hati. Dia menendang bungkusan makanan yang dibawa Hadi sehingga bersepah. Kemudian dia ketawa kuat-kuat sebelum dia dan kawan-kawannya meninggalkan mereka berdua di tepi padang. Ada banyak lagi budak-budak darjah 1, 2 dan 3 yang mahu diperas ugut si Muzaffar dan kawan-kawannya.

"Diorang memang jahat!" ujar Wan. Dia mengesat baju Hadi yang kotor terkena lumpur terutama pada bahagian belakangnya. Hadi tak menjawab. Dia hanya diam. Perkataan "anak pondan" terus terngiang-ngiang di dalam kepalanya.



"Kenapa baju Hadi kotor ni?" tanya Ma kepada Hadi di hadapan sekolah tempat dia selalu menunggunya.

"Adi terjatuh masa main bola dengan Wan masa rehat." Ujar Hadi perlahan. Macam nak tak nak dia menjawab soalan Ma tadi.

"Lain kali jangan main ganas-ganas sangat, Hadi." Ujar Ma. "Nanti yang kena basuh Ma jugak." Dia berjalan berlenggang sambil berpayung. Dia tak mahu dirinya atau Hadi terkena panas terik tengah hari.

Hadi menoleh ke tepi. Dia menjeling ke arah Muzaffar yang sedang berbisik-bisik dengan kawan-kawannya lalu mentertawakannya dari jauh. Hadi menghela nafas panjang.

"Ma, tak payah pakai payung lah. Bukannya hujan." Pinta Hadi dengan wajah murung. Ma memandang ke arah Hadi lama-lama. Dia menutup payungnya. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena telah berlaku kepada Hadi, tetapi dia diam sahaja. Hadi menambah lagi. "Mulai esok Ma dengan Pa tak payah hantar dan jemput Adi macam ni. Adi boleh pergi dan balik sendiri."

Ma terus berjalan. Dia tidak mahu menunjukkan walau sedikit pun cetusan perasaannya kepada Hadi setelah mendengar permintaan Hadi tadi.



Pa telah membelikan Hadi sebuah basikal baru agar senang Hadi ke sekolah. Setiap hari, Hadi akan mengambil Wan di rumahnya lalu Wan akan menumpang basikalnya itu untuk ke sekolah. Hadi akan mengayuh, Wan pula akan duduk di bahagian belakang basikal Hadi. Beginilah atur cara hidup mereka seharian.

Pada petang itu, Hadi mengayuh basikalnya ke kedai. Ma telah memintanya membeli sedozen telur. Hadi lalu di jalan di tepi padang. Dia sengaja mengambil jalan jauh agar dia dapat menghirup udara segar di waktu petang. Dia lebih suka berada di luar rumah dari duduk terperap di dalam rumah bermain dengan alat permainan video PS2nya.

Di tepi padang, Hadi dapat melihat beberapa orang budak lelaki yang sedang bermain bola. Hadi turun dari basikalnya. Dia berdiri di tepi padang yang berpagar itu.

Hadi dapat melihat Wan di kalangan kanak-kanak yang dilatih bermain bola. Wan dapat melihat kelibat Hadi dari jauh. Wan memanggil namanya. Hadi tidak menjawab. Dia terus berdiri di belakang pagar. Dia dapat melihat Wan sedang dilatih oleh seorang jurulatih wanita.

Wan memberitahu sesuatu kepada jurulatihnya itu. Kemudian jurulatihnya membenarkan Wan pergi mendapatkan Hadi.

"Jom lah join dengan kitaorang." Ujar Wan sebaik sahaja dia mendekati Hadi.

"Tak apalah..." jawab Hadi perlahan. Dia mengambil basikalnya. Dia meninggalkan kawasan padang.

Pada hari esoknya, Hadi pergi ke padang yang sama. Dia dapat melihat Wan dan kawan-kawannya yang lain berlatih di padang bola. Mereka semua berusia di sekitar usianya. Wan memberitahunya pagi tadi, kawan-kawannya ini berasal dari Kampung Baru dan kawasan perumahan berdekatan.

Ketika sedang berlatih, Wan asyik memandang ke arah Hadi yang sedang berdiri di belakang pagar. Si jurulatih sesekali akan memandang ke arah Hadi.

"Kak Nad... Kawan Wan tu suka main bola. Kak Nad pujuk dia join team kitaorang lah!" ujar Wan termengah-mengah setelah tamat latihan.

"Siapa nama kawan Wan tu?" tanya Nad dengan lembut. Dia membetulkan ikatan pada rambutnya yang panjang itu.

"Wan panggil dia Adi. Nama betul dia Hadi."

"Kak Nad tak pernah nampak dia pun sebelum ni."

"Dia budak baru kat kampung ni."

"Oh ye ke?" Nad mengumpul beberapa biji bola yang ada di padang lalu memasukkannya ke dalam beg khas untuk menyimpan bola-bolanya ini. "Kenapa dia tak nak ikut Wan berlatih bermain? Dia tahu akak buat latihan ni secara percuma, tak?"

"Dia tahu... Wan dah bagitahu. Tapi dia rasa Ma dengan Pa tak bagi sebab Ma dengan Pa baru tahu dia kena buli kat sekolah."

"Jadi kenapa?" tanya Nad ingin tahu. Di dalam hatinya dia berfikir kedua orang tua Hadi pastinya seorang yang terlalu prihatin terhadap diri Hadi.

"Ma dengan Pa tak bagi dia kawan dengan orang sembarangan... Diorang takut Hadi kena buli lagi."

"Buli?"

"Kitaorang selalu kena buli dengan geng Muz."

"Geng Muz? Budak darjah berapa ni?"

"Dia budak darjah enam."

"Eh, cikgu korang tahu tak fasal benda ni semua?"

Wan menggeleng kepala.

"Kenapa Wan tak beritahu?"

"Nanti Muz dengan kawan-kawan dia akan pukul kitaorang. Matilah kiorang nanti!"

"Esok Kak Nad nak jumpa dengan cikgu Wan!"

"Eh, jangan lah Kak Nad!" pinta Wan dengan nada runsing.

"Jangan takutlah. Kak Nad tahu apa Kak Nad nak buat nanti."

Wan memandang ke arah Hadi. Di dapatinya Hadi tidak ada lagi di tepi padang. Dia sudah menghilang entah ke mana. Wan menggigit kukunya. Dia takut menghadapi hari esok apabila Nad pergi ke sekolahnya. Dia mula merasa menyesal memberitahunya tentang dirinya yang sering dibuli Muzaffar.

Nad bercekak pinggang. Dia cukup pantang melihat Wan menggigit kukunya begitu. Wan meletakkan tangannya ke bawah. Nad tersenyum melihat telatah Wan.



posted by Nizam  # 4:16 PM

Friday, December 09, 2005

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 9



Ma: Sambutan hari jadi Hadi ke-8

Sejak awal pagi lagi Ma telah memastikan agar keadaan rumahnya nampak cantik dan terurus apabila para jemputan hadir ke majlis sambutan hari jadi Hadi. Pa pula sibuk menghias beberapa sudut rumah dengan reben-reben dan belon yang digantung dari siling.

Ma dan Pa memastikan agar Hadi memakai pakaian yang kemas dan cantik. Mereka tak mahu Hadi nampak selekeh dan tak terjaga. Nanti apa pula orang akan kata.

"Ye lah, kalau anak orang lain tunggang-langgang, kurang ajar, kaki curi dan nakal, orang tak akan cakap apa. Tapi kalau Hadi buat salah sikit walau sekecil kuman pun orang akan mengata," leter Ma sendiri ketika dia sedang menyikat rambut Hadi. Sebelum ini Hadi berdegil tak mahu rambutnya disikat dan didandan dengan gel. Dia rasa rimas.

"Adi tahu lah Ma." Muka Hadi berkerut apabila rambutnya disikat leper ke tepi. Ma menyuruhnya memasukkan hujung kemeja-tnya ke dalam seluar. Kali ini Hadi menurut sahaja tanpa banyak soal.

Ma memandang ke arah jam di dinding. Pukul 2 petang. Dia telah meminta jemputan-jemputan lain datang pada pukul 3. Kawan-kawan yang terdekat dengannya disuruhnya datang pada pukul 2.

Lima belas minit kemudian, Linda dan Celisha muncul di muka pintu. Apabila mereka tiba, mereka dapati Hadi sedang duduk di ruang tamu bersama Rais. Mereka berdua bersetuju Hadi ini comel budaknya.

Seperti biasa, Linda mahu kelihatan seperti seorang mak Datin. Dia memakai baju kurung merah jambu sedondon. Di antara kawan-kawan Ma dan Pa, si Linda inilah yang paling muda dan yang paling cantik. Umurnya baru mahu mencecah 30. Orang tak akan percaya Linda ini dahulunya lelaki. Apa tidaknya, wajahnya lebih cantik dari kebanyakan wanita di luar sana. Linda ini lulusan UiTM dalam bidang fesyen. Kini dia bekerja dengan seorang pereka fesyen terkenal sebagai penasihat fesyen kepada pelanggan-pelanggannya yang kebanyakannya terdiri dari wanita-wanita dari golongan elit. Impiannya adalah untuk membeli sebuah tas tangan dari Chanel berwarna merah jambu yang berharga lebih RM 5000. Kini dia telah berjaya mengumpul lebih RM 3000 dengan membantu mak ayamnya, Lady Sarah Shamara dengan kerja-kerja persediaan pengantinnya. Linda lah yang mereka beberapa pakaian pengantin yang ada di dalam koleksi Lady Sarah Shamara.

Celisha pula berasal dari Ipoh. Celisha telah membawa dirinya ke Kuala Lumpur sejak dia berusia awal 20-an dengan tujuan utama untuk menjadi seorang penari. Dia telah memulakan kariernya sebagai seorang penari latar di dalam pertunjukan 'paperdoll' yang pernah dikendalikan oleh Lady Sarah Shamara. Pada awal tahun 90-an dahulu, dia telah menggunakan wang peninggalan bapanya yang telah meninggal dunia dengan membeli studio tarian di sebuah rumah kedai di Jalan Ipoh. Studio Dance Dance Dance (atau panggilan manjanya, 3D), kini menjadi di antara tempat yang paling popular di KL untuk mempelajari tarian tango - sejenis tarian dari Amerika Latin yang telah menjadi kegemarannya sejak kecil. Celisha dikatakan telah jatuh cinta dengan tarian tango setelah dia mendengar album Astor Piazzolla yang terdapat di dalam koleksi piring hitam lama kepunyaan bapanya...

Linda dan Celisha masing-masing menyerahkan hadiah kepada Hadi. Hadi mengucapkan terima kasih. Dia menggoncang kotak hadiah Linda dan kemudian Celisha. Dia mahu tahu apa yang dihadiahkan kepadanya. Pa meminta Hadi supaya meletakkan hadiah di atas meja makan. Hadi menurut sahaja walaupun dia tak sabar mahu membuka kotak hadiah pemberian Linda dan Celisha tadi.

Lady Sarah Shamara tiba kita-kira setengah jam kemudian. Dia dipersilakan Ma dan Pa masuk ke dalam rumah. Ma dan Pa telah menyediakan sudut khas untuknya di dapur. Di situ juga mak nyah-mak nyah lain berkumpul.

Pada pukul 3, pengunjung mula datang. Ustazah Saleha datang bersama suaminya Tarmizi. Mereka hanya datang berdua. Sudah tiga tahun mereka berkahwin, tapi masih belum dikurniakan anak. Ustazah Saleha terus masuk ke dapur untuk membantu apa yang patut dan bergurau senda. Dia memang rapat dengan beberapa mak nyah di situ. Ada di antara mereka yang datang belajar mengaji dengannya.

Cikgu Sherita pula datang bersama suaminya, seorang pegawai tentera yang bertugas di Wisma Pertahanan, Jalan Semarak. Mereka baru sahaja berkahwin pada awal tahun ini. Mereka nampak bahagia bersama. Ma cukup-cukup berbesar hati kerana Cikgu Sherita dapat datang.

"Tak kan lah saya tak datang, Ma... Hadi ni dah mula jadi murid kesayangan saya." Jelas Cikgu Sherita ketika dia sedang menuangkan air untuk Wan yang datang bersama bapanya itu.

Wan menyerahkan air kepada bapanya yang sedang duduk di ruang tamu. Rambut bapanya itu botak. Tubuhnya kurus. Dia agak pendiam orangnya. Hadi dan Wan duduk bersama. Beberapa orang rakan sekelas Hadi datang sendiri kerana kebetulan mereka duduk di kawasan flat yang sama. Kawan-kawan mengajinya pun ada. Rumah Ma dan Pa kini sesak dengan pengunjung kanak-kanak dan dewasa.

Ma cukup berpuas hati dengan jumlah pengunjung yang datang. Rumahnya yang kecil ini walaupun sesak, kelihatan meriah dan ceria. Pada pukul 3.45 petang, setelah mengadakan beberapa peraduan untuk pengunjung kanak-kanak yang disertakan dengan hadiah, mereka pun memulakan upacara meniup lilin.

Ma mengeluarkan kek yang telah dimasak sendiri oleh Lady Sarah Shamara. Kek keju blueberry itu kelihatan seperti sebuah kek yang telah dibeli dari sebuah hotel terkemuka. Di atasnya Ma meletakkan lapan batang lilin kecil. Ma meletakkan kek tersebut di atas meja. Pa membantu dengan menghidupkan lilin.

Lagu hari jadi Hadi dinyanyikan beramai-ramai. Setelah lagu selesai, Hadi meniup lilin. Ma, Pa dan Hadi sama-sama memotong kek. Buat seketika, wajah Hadi tak lagi nampak sayu seperti sebelumnya. Entah mengapa, Hadi kelihatan layu sejak pagi. Dia cuba senyum dan ketawa, tetapi ada kalanya akan nampak buat-buat.

Cabutan bertuah diadakan selepas kek dipotong lalu diberikan kepada semua pengunjung yang ada. Cikgu Sherita dan Ustazah Saleha memuji kek yang dibuat oleh Lady Sarah, apa tidaknya, suami masing-masing mahu kek tambah setelah kek yang mereka makan dihabiskan dengan pantas.

"Kalau cikgu dan ustazah nak belajar buat kek ni saya boleh ajar." Lady Sarah Shamara menawarkan dengan ikhlas. Cikgu Sherita dan Ustazah Saleha bertukar-tukar nombor telefon dengan Lady Sarah Shamara. Masing-masing tahu di antara rahsia kebahagiaan suami mereka di adalah di perut mereka.

Pada pukul 5 jumlah pengunjung semakin berkurangan. Yang hanya tinggal adalah rakan-rakan mak nyah Ma dan Pa juga beberapa rakan Hadi yang sedang melihatnya membuka kotak-kotak hadiah yang diberikan kepadanya. Hadi membuka bungkusan hadiah pemberian Linda. Dia mendapati Linda telah menghadiahkan sepasang jam digital. Celisha pula telah menghadiahkannya dengan beberapa helai baju sukan. Ketika hanya tinggal beberapa orang sahaja yang tinggal di dalam rumah, Hadi pergi menemui Linda dan Celisha yang sedang duduk di dapur sambil bergurau senda dengan Ma dan Pa lalu mengucapkan terima kasih kepadanya.

"Baik budak ni... Sopan sangat." Ujar Linda kepada Celisha. Celiha mengangguk bersetuju. Dia melihat Hadi membawa hadiah-hadiah hari jadinya masuk ke dalam biliknya apabila kawan-kawannya yang lain semuanya sudah pulang.



Pa mendapati Hadi tidak keluar-keluar dari biliknya sejak tadi. Jam menunjukkan pukul 8 malam. Yang tinggal di rumahnya kini hanya Ma, Linda dan Celisha. Mereka bertiga sedang sibuk mengemas rumah.

"Dia kepenatan agaknya." Ujar Ma.

Pa rasa tidak sedap hati. Dia masuk ke dalam bilik Hadi. Dia dapati Hadi sedang duduk di atas katilnya sambil merenung ke arah kasut bola pemberian bapanya. Sepatutnya Hadi menerima kasut itu sebagai hadiah hari jadinya pada hari ini.

"Kenapa Hadi?" tanya Pa, dia duduk di sisi Hadi.

"Tak ada apa-apa."

"Kenapa Hadi nampak sedih jer dua tiga hari ni?"

Hadi tidak mahu menjawab. Matanya terus ke hadapan. Termenung jauh dalam bisu.

"Kalau Hadi ada masalah, Hadi beritahu saja. Pa sedia mendengar." Pa memegang bahu Hadi. Hadi menoleh ke arah Pa. Wajahnya jelas sedih.

"Dulu... Tiap-tiap tahun Mak dengan Ayah akan sambut birthday Adi sama-sama. Tapi sekarang mereka dah tak ada." Hadi akhirnya bersuara, meluahkan punca kesedihannya.

"Dulu lain, Hadi."

"Ayah dengan mak mati sebab Adi nak kasut ni!" mata Hadi mula berkaca-kaca. Dia tak dapat menahan lagi rasa sedihnya yang telah lama terbuku.

"Jangan cakap macam tu Hadi."

"Semua ni salah Adi!"

Pa terus mendakap Hadi. Tubuh kecil Hadi nampak kerdil di dalam dakapannya. Hadi menangis teresak-esak dalam kemarahannya menyalahkan dirinya kepada segala apa yang berlaku kepada orang tuanya.

"Semua ini takdir, Hadi... Kita tak boleh melawan takdir. Tuhan sayang dengan mak dan ayah Hadi sebab tu mereka pergi dalam usia begitu muda."

"Tapi kenapa Adi pulak kena? Orang lain ada mak dan ayah! Kenapa Hadi kena jadi anak yatim?"

"Itulah ujian dari Allah untuk menguji ketabahan hamba-hambanya."

"Adi rindukan mak dan ayah Adi!"

"Pa tahu... Pa pun rindukan mak Hadi. Pa sayang dengan dia, Hadi. Pa menyesal sebab Pa degil tidak mahu pulang ke kampung untuk melawatnya walaupun sudah dipujuk banyak kali." Dalam diam, air mata Pa berlinangan membasahi pipinya. "Pa pun rasa bersalah."

Pa mengesat air matanya dengan pantas. Dia tidak mahu Hadi tahu dia menangis. Dia terus mendakap tubuh kecil Hadi mengharapkan segala kesedihan di dalam diri Hadi berpindah kepadanya agar dia sahaja yang menanggungnya...




posted by Nizam  # 4:53 PM