<$BlogRSDURL$>

Limau Nipis - AvantGo

Laman Avantgo Limau Nipis oleh Nizam Zakaria

Friday, January 20, 2006

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 27



Pasukan Jaguh vs Tiger Cub - 2

Jaguh masuk ke padang dengan semangat baru yang berkobar-kobar. Jauh di dalam hati mereka, walaupun ketinggalan dua gol, mereka pasti mereka dapat memenangi perlawanan ini nanti. Jika mereka kalah di dalam perlawanan ini, mereka akan dinobatkan sebagai naib Jaguh. Itu pun sudah cukup baik, rasanya.

Pasukan Jaguh berada di posisi masing-masing. Apabila wisel dibunyikan, masing-masing terus beraksi di tengah padang. Mereka tidak lupa akan strategi yang telah dibentangkan Rais. Apa yang mereka pelajari perlu mereka praktik sekarang.

Tiger Cub cukup keliru dengan beberapa pergerakan Jaguh. Mereka nampaknya tiba-tiba sahaja berubah. Pergerakan mereka di atas padang tidak boleh dijangka. Cara mereka menggelecek juga berbeza. Mereka sememangnya sedang menggunakan pengetahuan mereka menari tango di dalam permainan mereka kali ini!

Beberapa pemain Tiger Cub hilang sabar, lebih-lebih lagi apabila bahagian pertahanan Jaguh dimantapkan lagi sehingga mereka rasa sukar untuk berada dekat dengan pintu gol. Di dalam keadaan marah, seorang penyerang Tiger Cub bermain dengan kasar sehingga menyebabkan Wan jatuh tergolek di atas padang.

Nad kerisauan, tetapi dengan pantas dia diberitahu Rais supaya jangan bimbang. Rais yakin dia tak ada apa-apa. Beberapa orang penyokong Jaguh melepaskan rasa tidak puas hati mereka kepada pemain-pemain Tiger Cub.

Jaguh mendapat sepakan penalti. Beberapa orang pemain Tiger Cub berdiri di luar kotak penalti. Muz sebagai kapten mengambil keputusan untuk membuat sepakan penalti ini. Tetapi sebelum itu dia cepat-cepat pergi mendapatkan Wan. Dia membisikkan sesuatu kepada Wan. Wan pula cepat-cepat mengangguk.

Beberapa detik sebelum Muz ingin melakukan sepakan, Wan berjalan melenggok di bahagian kanan padang. Beberapa orang pemain Tiger Cub berpaling ke arahnya termasuklah si penjaga gol. Dalam pada itu, Muz dengan pantas menyepak bola ke gawang gol. Dalam sekelip mata sahaja, Jaguh berjaya mendapatkan jaringan mereka yang pertama.

Penjaga gol Tiger Cub mengadu kepada pengadil, tapi bantahannya tidak dilayan. Wan kata dia berjalan begitu kerana kakinya sakit, kemudian dia tersenyum manja.

Penyokong-penyokong Jaguh bersorak kesukaan. Suasana di padang gegak gempita.

Sepuluh minit kemudian, Muz sekali lagi berjaya menjaringkan gol. Kini kedudukan mereka 2-2. Pemain-pemain Tiger Cub semakin tertekan. Pengurus mereka menghamun beberapa pemain Tiger Cub yang dikatakan lalai. Mereka tidak lalai, mereka cuba tidak biasa dengan cara permainan Jaguh yang luar biasa.
Nasib mungkin tidak menyebelahi Tiger Cub hari ini. Lebih kurang sepuluh minit sebelum wisel dibunyikan, Muz menggelecek lalu menghantar bola ke arah Najmie sebelum Najmie dengan pantas menghantar ke arah Hadi yang kebetulan berada di dalam kotak penalti. Di dalam keadaan penuh keliru itu, Hadi terus mengambil peluang ini untuk menjaringkan gol.

"GOL!" Jerit Rais kesukaan. Dia menoleh ke arah astaka. Penyokong-penyokong Jaguh melonjak sambil menjerit gembira. Ma, Pa dan kawan-kawannya yang lain sebulan suara menjerit nama Hadi berkali-kali.

Rais menoleh ke arah Nad. Dia dapat melihat kegembiraan yang terlukis di wajahnya. Entah mengapa, pada saat itu, dia mula sedar mengapa dia diketemukan dengan Nad.

Pada detik itulah Rais mula bersungguh-sungguh mahu Nad menjadi teman hidupnya sampai mati. Satu hari nanti Rais mahu menghabiskan masa tuanya dengan Nad dan dia mahu menceritakan semula detik-detik manis ini kepadanya. Pada waktu itu, Rais mahu terus menyayangi Nad seperti mana dia menyayanginya sekarang...



Akhirnya, tatkala kegembiraan yang menyelubungi Jaguh dan penyokong-penyokong mereka semakin reda, pemain-pemain Jaguh akhirnya kembali ke kedudukan masing-masing di padang. Mereka mempunyai beberapa minit lagi sebelum wisel penamat dibunyikan dan mereka semua seperti tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu agar permainan dihentikan.

Tiger Cub menunggu agar bola dilepaskan dengan harapan mereka dapat menebus kekalahan mereka di dalam masa yang begitu singkat ini. Mereka tidak mampu menerima kenyataan bagaimana perlawanan yang didahului mereka dengan jaringan 2-0 di dalam separuh masa pertama tiba-tiba sahaja berakhir seperti ini? Apa yang telah berlaku?

Apabila bola berada di tengah-tengah padang, pemain-pemain Tiger Cub terus mendapatkan bola lalu bermain dengan separuh hati. Mereka masih tidak dapat menerima hakikat bagaimana Jaguh mampu menjaringkan gol yang ketiga di dalam minit-minit terakhir seperti ini. Jaguh pada dasarnya tidak mempertahankan kedudukan mereka mahupun menyerang. Mereka sekadar bermain dengan membuat hantaran biasa dan kemudian dengan secara tiba-tiba, mereka berjaya menjaringkan gol.

Jurulatih dan Pengurus Tiger Cub berpaling ke arah Nad dan Rais. Mereka tahu bahawa permainan Pasukan Jaguh yang mereka saksikan sekarang berlainan dengan permainan yang pernah mereka saksikan sebelum ini. Teknik bermain mereka nampak sangat berubah malah luar biasa. Kebanyakan pemain Jaguh mempunyai kelincahan bermain yang jarang-jarang dapat mereka saksikan di kalangan pemain cilik. Pergerakan kaki mereka pantas, terutamanya ketika mahu merebut bola. Ya, ada kalanya mereka kelihatan seperti sedang menari tango di tengah-tengah padang!

Seorang pengadil mengangkat sekeping papan tanda untuk menunjukkan bahawa mereka hanya mempunyai masa tiga minit sahaja untuk bermain. Penyokong Jaguh nampak tegang. Mereka terus memberikan sokongan walaupun mereka jelas tidak sabar mahu permainan ini ditamatkan.

Setelah menunggu depan penuh sabar, akhirnya wisel penamat dibunyikan. Kemenangan di tangan Jaguh juga akhirnya!

Skor akhir: Jaguh 3, Tiger Cub 3

Kesemua penyokong-penyokong Jaguh bertepuk dan bersorak- sorai dalam kegembiraan. Mereka bertepuk tangan, mereka menjerit, budak-budak perempuan dari Studio Dance Dance Dance mencampakkan pom-pom mereka ke udara. Beberapa orang Mak Nyah mengibarkan sepanduk mereka dengan lebih bersungguh-sungguh lagi. Ma dan Pa nampak bangga. Mata mereka terus kepada Hadi yang sedang dipeluk oleh rakan-rakan sepasukannya. Linda dan Celisha punya terlonjak-lonjak kesukaan sambil berdakapan. Lady Sarah Samara duduk dengan tenang sambil tersenyum duduk di astaka sambil merokok. Senyumannya itu penuh dengan rasa puas yang hanya akan ditunjukkannya apabila dia berjaya melaksanakan sebuah kerja kahwin dengan jayanya dan hasil kerjanya dipuji-puji oleh kedua keluarga mempelai.

Hadi berdiri sendiri di tengah padang sambil memandang ke arah sekelilingnya, kemudian dia memandang ke arah kasut bolanya. Hadi tersenyum sendiri.

Hadi terus berlari mendapatkan Ma dan Pa apabila dia mendapati Ma dan Pa kini berada di tepi padang. Dia tak tahu bagaimana untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana tanpa mereka, dia tidak mungkin akan dapat mengecap kebahagiaan seperti ini.

Hadi terus mendakap mereka. Rasa-rasanya, itu sahaja sudah cukup untuk Ma dan Pa memahami bagaimana Hadi menyayangi diri mereka yang akan menjaganya dan terus menjaganya dengan rasa penuh kasih sayang.

TAMAT


posted by Nizam  # 4:05 PM

Thursday, January 19, 2006

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 26



Pasukan Juara vs Tiger Cub

Rais memandang ke arah pemain-pemain Tiger Cub yang nampak gah itu. Dia menoleh ke arah Pasukan Juara yang sedang berkumpul di hadapannya. Ini adalah permainan yang akan menentukan segala-galanya pada hari ini. Menang atau kalah itu semua tak penting baginya. Yang penting, mereka semua telah melakukan yang terbaik untuk sampai ke tahap ini.

"Kamu semua Juara. Ingat tu. Bukan calang-calang pasukan boleh sampai ke perlawanan akhir!" ucap Rais dengan semangat berkobar-kobar.

"Kita boleh menang!" Ujar Muz. Kawan-kawannya yang lain mengangguk dengan penuh bersemangat.

Pengadil memberi isyarat kepada Nad dan Rais agar Pasukan Juara masuk ke padang. Rais mengangguk mengerti. Dia kemudian meminta Pasukan Juara supaya berjalan masuk ke padang ke posisi masing-masing.

"Hadi, cuba yang terbaik, ya!" ujar Rais sambil menepuk bahu Hadi. Hadi mengetapkan bibirnya sambil mengangguk.

Hadi menoleh ke arah Zaki, pemain Tiger Cub yang telah menyebabkan dia mendapat kad merah dahulu. Zaki menjeling benci. Hadi sekadar melepaskan nafasnya. Dia ingin menumpukan perhatiannya kepada permainan ini. Dia tidak akan membiarkan Zaki atau sesiapa sahaja dari Pasukan Tiger Cub untuk memusnahkan peluang pasukannya dari memenangi perlawanan yang penting ini.

Bahang dapat dirasakan Pasukan Jaguh sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan. Tiger Cub dengan agresif membuat serangan bertubi-tubi untuk memastikan bola sentiasa berada dekat dengan pintu gol. Dalam masa 15 minit pertama, Tiger Cub hampir-hampir dapat menembusi gawang gol Jaguh. Penyokong-penyokong Jaguh langsung duduk terdiam dibuatnya. Bola yang ditendang oleh seorang penyerang Tiger Cub menendang bola dengan laju ke arah pintu gol. Penjaga gol Juara, Jason lambat menjunam untuk menyelamatkan bola. Nasib baiklah bola itu tidak masuk ke dalam lubang gol tetapi terlepas beberapa sentimeter sahaja di bahagian tepi tiang gol di sebelah kiri.

Penyokong-penyokong Tiger Cub mengeluh di atas peluang yang disia-siakan itu.

"Tak apa... Kita cuba lagi! Kita tunjukkan kepada budak-budak mentah siapa jaguh yang sebenarnya di sini!" kata Zaki kepada rakan-rakannya betul-betul di sisi Hadi. Apabila Zaki berjalan melepasinya, Hadi dapat merasakan rasa benci meluak-luak di dalam hatinya ke atas keangkuhan Zaki. Berani dia berkata-kata seperti itu di hadapannya.
Hadi memerhatikan bola kini berpindah kepada Wan setelah lama dia berada di pihak lawan. Hadi menghela nafas lega. Walaupun begitu, dia dapat merasakan nadinya berdegup kencang. Hadi dapati Wan menghantar bola kepadanya. Dengan pantas dia cuba mendapatkan bola tersebut. Tetapi belum sempat dia dapat melakukan apa-apa, seorang pemain Tiger Cub dengan pantas dapat merebut bola itu darinya.

Sekali lagi bola berada di kawasan bahaya. Pemain-pemain Tiger Cub menyepak bola kepada satu sama lain tanpa rasa tergesa-gesa. Mereka seolah-olah mahu mempermainkan lawan mereka. Hadi berada di tepi padang. Dia dapat mendengar kawan-kawannya dari studio tarian Dance, Dance, Dance bersorak-sorai diikuti oleh Celisha yang sedang menyebut namanya berkali-kali: "HADI! HADI! HADI!"

Muz mula hilang sabar. Dia cukup benci dengan taktik melambat-lambatkan permainan yang dipraktikkan Tiger Cub. Pemain-pemain Tiger Cub lebih matang dan berpengalaman. Mereka mempunyai stamina untuk bermain dengan lebih lama jika dibandingkan dengan Juara yang terdiri dari pemain-pemain lebih muda. Dalam keadaan kepenatan nanti, dia pasti Tiger Cub akan mengorak langkah untuk menyerang lalu memulakan pesta gol terhadap Juara. Perkara ini harus dielakkan sama sekali, fikir Muz dalam hati.

Muz mendekati Hadi lalu memberikan beberapa arahan kepadanya. Dia harus memberi tekanan kepada penyerang Tiger Cub. Tetapi itulah di mana letak silapnya. Apa yang dilakukannya kini adalah sesuatu yang telah dirancang awal-awal oleh Tiger Cub. Apabila Hadi, Muz dan tiga orang pemain Jaguh yang lain cuba menggelecek bola dari seorang penyerang Tiger Cub, bola terus dihantar oleh penyerang itu kepada seorang pemain tengah Tiger Cub. Tiba-tiba sahaja, Tiger Cub mengubah corak permainan. Dari bahagian tengah, bola dihantar jauh sehingga ke bahagian gol. Di situ terdapat beberapa orang pemain Tiger Cub yang sedang menunggu, sedangkan bahagian pertahanan hanya tinggal Wan sahaja di situ.

Seorang pemain Tiger Cub mengambil peluang keemasan ini untuk menyepak bola ke dalam lubang gol. Percubaannya berjaya. Hadi mengeluh lesu. Pemain-pemain Tiger Cub menjerit kesukaan. Penjaring gol Tiger Cub berlari-lari macam orang gila dikejar oleh kawan-kawannya yang lain.

Penyokong-penyokong Jaguh bersama-sama memekik dalam kecewa. Mereka sedar Jaguh telah melakukan satu kesilapan yang besar dari segi taktik permainan. Tiger Cub telah memperolok-olokkan Jaguh dan Jaguh pula telah termakan kepada taktik ini yang telah dirancang sejak awal-awal lagi.

"KUATKAN BAHAGIAN PERTAHANAN!" jerit Rais sekuat hati sambil menudingkan jarinya ke arah pintu gol.

Hadi menoleh ke arah Muz. Wajah Muz jelas terlukis perasaan marah yang sedang meluap-luap. Hadi seolah-olah dapat membaca perasaan Muz pada waktu itu. Dia tahu bila Muz begini, dia akan bermain dengan ganas. Sesaat kemudian, apabila seorang penyerang Tiger Cub membawa bola mendekatinya, dia cuba menggelecek bola dengan kasar. Dia hampir-hampir dapat menjatuhkan pemain tersebut lalu mencederakannya. Mungkin itulah yang mahu dilakukannya. Dia mahu Tiger Cub kekurangan pemain yang berbakat seperti si penyerang tadi.

"Jangan main macam tu. Nanti pengadil bagi kad merah!" ujar Hadi kepada Muz.

Muz menarik nafasnya dalam-dalam. Memang kata-kata Hadi itu ada betulnya. Jika dia diberikan kad merah, dia terpaksa keluar padang. Jaguh memerlukannya.

Tiger Cub sekali lagi menukar haluan permainan. Dari jauh Rais dapat melihat pengurus Tiger Cub menjerit kepada pemain-pemainnya beberapa langkah yang perlu mereka ambil. Sememangnya dari segi teknik permainan, mereka agak ketinggalan jauh jika dibandingkan oleh Pasukan Tiger Cub yang dilatih oleh seorang jurulatih profesional dan diuruskan oleh seorang berpangkat Datuk yang dikenali ramai sebagai seorang ahli korporat yang berjaya.

"Mereka tak gunakan lagi teknik-teknik yang mereka pelajari di studio 3D." Keluh Nad.

"Saya yang suruh." Kata Rais.

"Kenapa?"

"Save the best for last... Kita ada separuh masa kedua. Jangan risau, Nad."

Baru beberapa saat Rais mengakhiri kalimah-kalimahnya, Tiger Cub menjaringkan gol kedua mereka. Nad dan Rais terdiam seribu bahasa.

Nad menoleh ke arah Rais. Wajah Rais tenang. Dia nampaknya seperti mencongak-congak sesuatu. Nad. Nad memberikan seluruh kepercayaannya kepada Rais, kerana dia tahu Rais mempunyai pengalaman yang luas dalam permainan bola sepak dari dirinya...



Suasana di astaka gegak-gempita dengan suara sorakan para penonton. Penyokong-penyokong Juara tetap memberi sokongan walaupun pasukan kesayangan mereka jauh ketinggalan.

Dua minit kemudian, wisel dibunyikan. Para pemain keluar padang untuk berehat seketika. Para pemain pasukan Jaguh nampak muram. Rais sekadar tersenyum. Dia memberikan kata-kata perangsang kepada pasukannya.

"Korang masih ingat apa yang korang belajar kat studio tarian 3D, kan?"

"INGATTTT!" kata Juara beramai-ramai.

"Bila korang turun padang lepas ni... Gunakan segala apa yang korang belajar tu."

Para pemain menganggukkan kepala mereka. Di dalam kepala mereka, mereka jumpa mengingati segala langkah tarian tango yang mereka pelajari. Kini, setelah penat lelah mereka bermain beransur-ansur hilang, mereka rasa tak sabar untuk masuk semula ke padang.




posted by Nizam  # 1:57 PM

Tuesday, January 17, 2006

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 25



Hadi: Di mana Rais?

Pagi-pagi lagi kesemua anggota Pasukan Juara sudah berkumpul di tepi padang. Mereka bangga dengan pakaian baru yang dipakai mereka. Hadi pula tidak sabar-sabar mahu mengenakan kasut barunya. Pa mengeluarkan kasut Hadi dari dalam begnya lalu menyuruh Hadi pakai kasut tersebut. Ma membantu Hadi mengikat tali kasutnya. Mereka bangga melihat keadaan Hadi yang segak pada waktu itu.

Linda berdiri di sebelah Nad sambil berpeluk tubuh. Nad kelihatan resah. Dia tidak nampak lagi kelibat Rais di mana-mana. Dia cukup benci jika Rais berkelakuan begini apabila dia hilang secara tiba-tiba tanpa khabar berita. Tapi Rais memang begitu orangnya. Fikirnya, jika dia sayangkan Rais, dia perlu menerima perangai Rais yang sebegini rupa.

"Semalam Nad dah call Rais tak?" tanya Linda kepada Nad yang dilihatnya sedang menggigit bibirnya.

"Dah... Tapi line tak clear. Lepas tu terputus macam tu jer."

"Dia tak call balik?"

"Dia kata tak ada prepaid lagi-"

"Takde prepaid, katanya..."

"Entahlah Kak Linda... Saya takut-"

"Takut apa?"

"Takut dia menghilang begitu sahaja dengan duit Kak Linda."

"Jangan fikir yang bukan-bukan, Nad." Ujar Linda. "Lagipun kakak pasti dia tak akan lupakan tanggungjawabnya sebagai pengurus Pasukan Jaguh."

Nad mengangguk perlahan. "Tu lah, kalau dia tak datang, mungkin kita tak dapat bermain pagi ni." Kata Nad kemudian. Nad mahu memberikan sepenuh kepercayaan kepada Rais, tetapi dalam saat-saat seperti ini memang sukar rasanya.

Wan berdiri di hadapan Nad. Dia memandang ke arah penonton. Dia dapati hanya ibunya sahaja berada di situ. Bukan bapanya. Tapi dia rasa itu pun sudah mencukupi. Nad tunduk untuk mengikat kasut Wan yang buruk itu.

"Abang Rais mana, Kak?" Tanya Wan sambil menyedut hingusnya kembali ke dalam hidung.

"Sekejap lagi dia datang." Jawab Nad tanpa ragu. Nad mengeluarkan kertas tisu dari dalam poketnya lalu meminta supaya Wan menghembus hingusnya ke dalam kertas tisu.

"Abang Rais!" jerit Muz kesukaan. Dia dapati Rais datang dengan sebuah van kecil. Nad bersama beberapa orang anggota kumpulan Juara berlari mendapatkan Rais di tempat meletak kereta.

"Sorrylah abang lambat!" Kata Rais. Dia membuka pintu belakang van.

"Kenapa awak lambat?"

"Saya terpaksa ikut Encik Taufik untuk ambil stok kasut bola untuk saiz kanak-kanak. Susah nak cari kasut bola untuk budak-budak. Jadi saya terpaksa tunggu stok terbaru sampai." Rais menjelaskan kepada Nad sambil memandang ke arah Linda.

"Okay." Sambut Nad pendek sambil tersenyum.

"Ini ada duit lebih Kak Linda... Encik Taufik bagi saya diskaun." Kata Rais sambil menyerahkan sejumlah wang kepada Linda.

"Takpelah... Rais simpan duit tu. Kak Linda sedekahkan kepada Pasukan Juara ni. Kalau ada apa-apa aktiviti, Rais gunakanlah wang tu nanti." Ujar Linda dengan ikhlas. Dia menjeling ke arah Encik Taufik yang sedang merenung ke arahnya dengan penuh minat.

Rais berjalan ke arah kotak-kotak kasut yang tersimpan di belakang van. Dia mengeluarkan kasut-kasut yang telah dilabelkan dengan nama anggota-anggota Pasukan Jaguh. Dia menyerahkan kasut-kasut itu kepada mereka. Mereka yang menerima pemberian kasut baru ini terus nampak ceria. Mereka tidak sangka akan menerima kasut baru pada hari ini yang dipadankan dengan stoking baru.

"Jangan lupa ucap terima kasih kepada Kak Linda. Dia yang sponsor korang kasut-kasut ni.

"TERIMA KASIH KAK LINDA!" ucap mereka beramai-ramai. Linda senyum tersipu-sipu.

"Okay dah... Bila dah siap pakai kasut nanti semua perlu berkumpul di tepi padang!" ujar Nad. Dia kemudian mengingatkan Rais supaya jangan lupa mendaftarkan kumpulan mereka agar mereka dapat bermain pada pagi itu. Rais mengangguk sekali. Dengan pantas dia melakukan tugasnya sebagai pengurus Pasukan Jaguh.



Pasukan Jaguh masuk ke padang di dalam perlawanan pertama mereka dengan rasa penuh megah. Kini mereka memperagakan kasut, stoking, seluar dan baju baru mereka. Sememangnya mereka nampak segak. Sebaik sahaja mereka masuk ke padang, penyokong-penyokong Pasukan Jaguh bertepuk tangan dan bersorak untuk memberi sokongan padu kepada mereka.

Hadi menoleh ke arah astaka. Ma dan Pa ada di situ. Dia melambaikan tangannya ke arah mereka. Dia mendapati ramai kawan-kawan Ma dan Pa ada di astaka. Ada yang datang dengan bersepanduk. Rata-ratanya mereka datang menggayakan baju mengikut warna Pasukan Jaguh. Di tepi padang, budak-budak perempuan dari studio tarian Dance, Dance, Dance lengkap dengan pom-pom memberi sokongan dengan menjadi cheerleader diketuai oleh Celisha.

"Jangan lupa... Kita Jaguh!" Jerit Nad dari tepi padang. Hadi tersenyum ke arahnya dan ke arah Rais. Hari ini dia rasa seperti dia mampu terbang melayang. Bayang-bayang hitam yang telah menjerat dirinya sejak kematian orang tuanya yang juga mula menyusur keluar dari ruang hatinya. Dia kini sedar dia akhirnya telah pun menjumpai secebis kebahagiaan di dalam hidupnya.



posted by Nizam  # 3:05 PM

Monday, January 16, 2006

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 24



Hadi: Kasut Bola

Apabila Linda mendapati proses membuat pakaian bola sepak Pasukan Jaguh mengambil masa yang lebih panjang dari yang disangkanya, beberapa orang mak nyah yang dikenalinya dengan sukarela datang menolong. Mereka beramai-ramai cuba menyiapkan baju yang perlu disiapkan untuk perlawanan saringan akhir nanti. Mereka mula mendengar tentang perlawanan bola ini dari buah mulut kawan-kawan mereka. Ramai yang ingin membantu. Maka, pada setiap petang, penuh rumah Lady Sarah Shamara dengan mak nyah dari kawasan sekitar yang duduk beramai-ramai sambil menjahit baju Pasukan Jaguh dengan penuh teliti. Tak kurang juga ada yang mula membuat sepanduk.

Baju yang terakhir akhirnya dapat disiapkan pada hari Jumaat petang. Mereka yang telah bertungkus-lumus untuk menyiapkan baju untuk Pasukan Jaguh rasa cukup puas dengan apa yang berjaya mereka lakukan.

Baju-baju yang telah disiapkan akhirnya dibawa oleh Ma, Pa, Linda dan Lady Sara Shamara ke studio Dance, Dance, Dance. Anggota-anggota Jaguh mengadakan jamuan kecil di situ sebelum mereka semua berjuang di padang pada hari esoknya.

"Cantik baju ni, Pa!" Ujar Hadi apabila dia memandang ke arah pakaian yang telah Pa sendiri jahitkan untuk Hadi.

Hadi menoleh ke arah Wan. Wan sudah pun memakai bajunya. Bajunya itu dipakaikan oleh Linda yang cukup bangga dengan baju yang dijahitnya untuk Wan. Dia suka dengan baju yang diterimanya. Dah lama dia tak ada baju baru. Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas pun dia tak dibelikan baju baru.

Ma duduk sambil menjamah kuih yang disediakan Celisha. Dia memandang ke arah seorang budak perempuan yang tak henti-henti memandangnya. Ma tersenyum ke arahnya. Budak perempuan itu yang mungkin seusia dengan Hadi senyum kembali.

"Kak Nad... Mana abang Rais?" tanya Hadi ketika diserahkan sepotong kek olehnya.

"Hari ini dia kata dia sibuk sikit. Ada hal."

"Hal apa?"

"Entahlah Hadi...Tapi esok dia janji nak datang."

"Dia dah beli kasut untuk kami ke?" tanya Hadi berbisik kepada Nad.

"Kak Nad tak tahu, Hadi..."

"Adi dah bagitahu dia jangan belikan kasut untuk Hadi."

"Kenapa Hadi?"

"Sebab Adi nak pakai kasut yang bapak Adi belikan untuk Adi sebelum dia meninggal dunia dulu."

"Kenapa Hadi ambik keputusan ni?"

"Sebab ayah Hadi belikan kasut tu untuk Hadi sebab dia nak Hadi main bola dengan kasut tu." Hadi menjelaskan. "Kalau Hadi tak pakai kasut yang dia belikan tu, kan rugi? Betul tak kak Nad?"

"Betul tu, Hadi." Kata Nad sambil tersenyum. Dia memandang ke hadapan. Dia dapat Pa tersenyum ke arahnya.

Nad memegang bahu Hadi. Hadi kemudian meminta diri kerana dia mahu menemui Muz yang memanggilnya kerana ingin memberitahu sesuatu.

"Dia dah mahu bersedih lagi macam dulu..." Ujar Pa kepada Nad. Nad memotong sekeping kek untuk Pa lalu diserahkan kepadanya.

"Baguslah macam tu, Pa."

"Hadi buat aku sedar tentang diri aku sendiri..."

"Macam mana tu, Pa?"

"Dia buat aku sedar yang kita tak boleh biarkan kejadian masa lampau untuk menghantui hidup kita." Kata Pa tanpa mahu menjelaskan lagi. Dia memikirkan kehidupannya selama ini. Apa yang telah berlaku kepada dirinya di kampung sehingga membuatnya membawa diri ke Kuala Lumpur. Dia sememangnya menyesal kerana pernah bersumpah tidak mahu pulang ke kampung lalu menghalang dirinya dari mengecap satu kehidupan yang pastinya lebih bermakna bagi dirinya bersama keluarga kakaknya yang pasti akan menerima dirinya seadanya.

Ma dan Pa duduk di kerusi di sediakan sambil makan-makan bersama beberapa orang ibu bapa yang hadir. Mereka yang mempunyai anak yang menjadi anggota Pasukan Jaguh sibuk memperkatakan tentang pertandingan yang akan diadakan esok. Mereka yang mempunyai anak-anak perempuan yang dimasukkan di dalam kelas tarian pula memperkatakan tentang niat anak-anak mereka untuk menjadi 'cheerleader' pada hari esok.

"Okay... sebagai penutup kepada jamuan makan-makan ni, kita akan adakan pertunjukan tarian tango gandingan Pasukan Jaguh dan pelajar tarian dari studio 3D!" Celisha mengisytiharkan. Ibu bapa pelajar yang hadir di dalam jamuan ini bertepuk tangan. Pelajar-pelajar yang perlu mempersembahkan tarian mereka pula mula mengambil tempat masing-masing.

Apabila muzik dimainkan, pelajar-pelajar terus menari tarian tango seperti mana yang telah mereka pelajari. Ada yang dapat menari dengan baik dan ada pula masih lagi kelihatan kaku. Apa yang pasti mereka semua kelihatan comel dengan gerak tarian yang dipersembahkan. Ibu bapa yang hadir jelas terhibur melihatkan anak-anak mereka dapat menari dengan baik.

Ketika sedang menari, Hadi tersengih ke arah Ma dan Pa. Ma dan Pa terus melambaikan tangan mereka ke arah Hadi yang dengan lincah menari tarian tango. Mereka cukup gembira melihat keadaan Hadi yang tidak lekang senyuman.

Nad berpeluk tubuh. Fikirannya melayang ke tempat lain. Dia kerisauan kerana dia tidak dapat menghubungi Rais dengan telefon bimbitnya. Dia masih dapat mengukir senyuman walaupun hatinya risau memikirkan tentang Rais dan ke mana menghilangnya dirinya itu.


posted by Nizam  # 3:28 PM

Friday, January 13, 2006

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 23



Rais: Harapan

Linda membelek-belek kain yang dibelinya. Kain itu dirasakannya adalah jenis kain yang terbaik untuk digunakan untuk bersukan. Ia dapat meresap peluh dan di dalam masa yang sama cepat kering. Dia arif benar dengan kain-kain sebegini. Dia membentangkan kain di hadapan kawan-kawannya yang sedang berkumpul di rumah Lady Sarah Shamara.

"Saiz-saiz baju budak Jaguh ada di sini." Linda meletakkan sekeping kertas di atas lantai tempat mereka semua duduk bersimpuh. "Ma dan Pa buat saiz Small. Celisha buat saiz Medium dan Mak buat saiz Large."

"Suka lah kau yang large segala ni!" usik Celisha.

"Hanjs molot!" Linda menjeling dalam.

"So... Macam mana dengan kelas tango mereka?" tanya Pa dengan penuh minat kepada Celisha. Dia lihat Linda sudah mula mengukur kain untuk dibahagi-bahagikan.

"Okay lor," jawab Celisha pendek.

"Okay lor aja?" tanya Pa kembali. Dia membetulkan duduk simpuhnya.

"Macam biasa lah... ada yang natural dancers. Ada tu masih kaku."

"Hadi pula bagaimana?"

"Dia macam biasa... Tapi Wan lagi pandai menari."

"Wan tu memang!" Ma mencelah dengan nada sinis.

"Oh ya, Linda... Aku dengar kau ada bagi si Rais tu duit yang kau sepatutnya guna untuk beli beg Chanel kau tu." Ujar Pa sengaja menunggu masa yang sesuai untuk bertanyakan hal ini kepadanya.

"Takdelah!"

"Eleh, dia ingat orang tak tahu konon!"

"Siapa beritahu u'olls ni?" tanya Linda bersungguh-sungguh walaupun dia dah agak perkara seperti ini memang tak boleh disimpan dengan lama.

"Rais tanya si Hadi tu saiz kasut dia. Si Hadi nak tahu kenapa... Rais bagitahu dia tapi dia suruh Hadi jangan beritahu sesiapa. Tapi kau tahu lah si Hadi tu, mana dia boleh simpan rahsia lama-lama dari aku?"

"Alah... Sedekah mek kepada budak-budak jaguh, katanya." Ujar Linda perlahan.

"Tapi kau percaya pulak dengan budak Rais tu kan? Berani mati!" Ma meluru menyampuk.

"Dia kan pengurus Pasukan Juara..."

Pa hanya menjeling sinis. Dia langsung tidak mengeluarkan sebarang pendapat. Dia terus memikirkan tentang jahitan yang perlu dilakukannya nanti untuk menjahit baju bola sepak untuk Pasukan Juara yang perlu mereka siapkan secepat mungkin!



Rais termenung ke arah panorama bangunan-bangunan pencakar langit di hadapannya. Sejak dia kecil, dia mempunyai cita-cita yang tinggi. Dia mahu jadi orang kaya. Dia mahu duduk di rumah yang besar. Dia mahu bekerja di pejabat yang selesa dan berhawa dingin. Tapi semuanya ini hanya tinggal cita-cita. Impian yang tidak mungkin dapat dicapainya.

Rais memandang ke arah duit pemberian Linda di tangannya. Tangannya terketar. Rasa gian kepada dadah masih menyelubungi dirinya walaupun dia sudah diberikan ubat agar kesan-kesan gian ini berada di dalam tahap yang terkawal. Rais terfikir tentang kisah lampaunya, bagaimana dia telah dibuang dari pasukan bolanya setelah dia didapati mengambil ganja. Juga kepada Sham yang telah dijinakkan dengan dadah sehingga kini dia menjadi pengedar dadah. Rais mengeluh sesal.

Mungkin jalan ke hadapan sudah lama tutup untuknya. Atau mungkin tidak. Dia memikirkan tentang Linda, Ma, Pa, Hadi dan Nad. Mereka telah memberi seluruh kepercayaan mereka kepadanya. Harapan yang diberikan inilah yang menjanjikan Rais bahawa dia masih punya nilai diri. Yang penting sekarang, harapan ini baginya menjadi penyuluh jalan hidupnya yang berliku ini.




posted by Nizam  # 3:42 PM

Wednesday, January 11, 2006

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 22



Celisha: Tango

Motosikal yang dibawa Rais berhenti di hadapan studio tarian Dance, Dance, Dance. Dia dapati Kereta Nad, Linda dan Celisha sudah ada di situ membawa anggota-anggota Pasukan Jaguh yang lain. Rais membantu Hadi membuka topi keledarnya lalu turun dari motor yang dinaiki. Hadi terus mendapatkan kawan-kawannya yang lain yang sedang menunggu di bawah studio tarian Dance, Dance, Dance.

"Okay semua... Selain dari bermain di padang bola. Hari ini kita akan mulakan latihan kita di sini, ya!" Ujar Nad kepada anggota-anggota Pasukan Jaguh yang sedang berdiri terpinga-pinga di hadapannya.

"Okay, kita bawa mereka semua ke atas." Ujar Celisha. Nad mengangguk.

Hadi berjalan di samping Wan menaiki tangga ke tingkat dua. Di tepi tangga ada ditampal beberapa poster persembahan tarian yang ada diadakan di sekitar ibu kota.

Celisha membuka pintu studionya. "Eh masuk lah," ujar Celisha kepada Hadi dan Wan yang berada di barisan paling hadapan.

Hadi dan Wan masuk ke dalam studio. Di dalam studio dia dapat melihat beberapa orang kanak-kanak perempuan yang sedang berdiri di dalam satu garisan tegak. Mereka memandang ke arahnya. Ada yang tersenyum. Ada pula yang nampak garang.

"Apa ni?" tanya Hadi kepada Wan. Wan menaikkan kedua belah bahunya. Mata Hadi terus ke hadapan, memandang ke arah budak-budak perempuan seusia dengannya yang sedang memakai baju balet. Wan pula dengan penuh minat melihat baju yang dipakai oleh budak-budak perempuan di hadapannya.

"Hari ini kita akan belajar menari tango." Ujar Celisha kepada pelajar-pelajarnya dan kepada anggota-anggota Pasukan Jaguh.

Mereka semua tercengang, termasuk Rais.

"Tango?" tanya Rais ke telinga Nad. "Kenapa tango?"

"Dengan belajar tarian tango nanti mereka akan menjadi lebih tangkas." Jawab Nad penuh yakin.

Beberapa orang budak perempuan Celisha memasamkan muka mereka. Mereka suka menari, tetapi mereka rasa kurang bersama budak-budak lelaki di hadapan mereka.

"Tango tu apa?" Muzaffar memberanikan dirinya untuk bertanya mewakili kawan-kawannya yang lain.

"Tango itu sejenis tarian yang berasal dari Tango Buenos Aires, Argentina. Kini terdapat banyak jenis tango. Tango Argentina, tango China dan ballroom tango. Ada perbezaan di antara ballroom tango dengan tango Argentina. Dalam tango Argentina, kita akan menggunakan langkah staccato berbanding dengan langkah meluncur. Hari ini I akan ajar you all tango Argentina. Tariannya senang sahaja." Celisha menjelaskan.

Celisha memandang ke arah Kaladevi. Dia berjalan ke arah sebuah alat pemain cekera padat. Dia memainkan lagu tango.

Kaladevi dengan pantas terus memegang tangannya. Mereka berdua membuat demonstrasi tarian tango di atas dewan tarian.

Mereka yang ada ternganga melihat ketangkasan Celisha dan Kaladevi menari. Tarian ini memerlukan pergerakan kaki yang pantas. Kedua-dua penari kelihatan seperti bertarung di mana langkah gancho digunakan tatkala kaki penari dicangkuk ke kaki pasangannya, parada sewaktu kaki penari diletakkan bertentangan dengan pasangannya, arreste apabila si penari kelihatan seperti mengheret kaki pasangannya dan beberapa pergerakan sacada ketika Celisha memindahkan kaki Kaldevi ke tempat lain dengan memijakkan kakinya di dalam ruang langkah Kaladevi.

Langkah mereka berdua ketika menari lincah, lebih-lebih lagi apabila tarian mereka digandingkan dengan lagu tango dari Ástor Piazzolla.

Apabila lagu berhenti dan tarian mereka terhenti. Semua yang ada di dalam studio tarian bertepuk tangan. Celisha dan Kaladevi menundukkan diri mereka.

Celisha kemudian memandang ke arah Nad. Nad faham apa maksudnya. Nak menyuruh budak-budak lelaki supaya beratur dalam satu barisan di hadapan budak-budak perempuan di hadapan mereka. Nad menyuruh mereka mencari pasangan mereka untuk belajar menari.

"Malu lah!" ucap Muzaffar.

"Nak malukan apa... ish!" sambut Rais dengan pantas. Dia memegang bahu Muzaffar lalu memintanya berdiri menghadap dengan budak perempuan berbangsa Cina di hadapannya.

"Kamu berdua pun sama!" ujar Celisha kepada Nad dan Rais.

"Sama?" tanya Rais dengan dahinya berkerut.

"Belajar menari bersama, lah!" Celisha memegang tangan Rais lalu memintanya memegang pinggang dan tangan Nad.

Rais tersipu-sipu malu. Wajahnya merona merah. Hadi menutup mulutnya mentertawakannya sehinggalah Celisha menyuruhnya melakukan perkara yang sama dengan seorang budak perempuan di hadapannya.

Dengan penuh sabar Celisha menunjukkan langkah-langkah asas yang perlu mereka ikut untuk menari tango. "SLOW SLOW QUICK QUICK SLOW!" getus Celisha mengikut rentak staccato tango yang dimainkan.

Mereka yang sedang menari nampak kekok, kecuali Wan. Celisha berdiri di hadapan Wan. Dia dapati Wan mempunyai bakat menari. Celisha tersenyum. Dia meminta pelajar-pelajar lain ke tepi lalu memerhatikan Wan dengan pasangannya. Wan seolah-olah tarian tango ini sudah lama dipelajarinya.

"Pergerakan kaki di dalam tango ini penting. Si penari perlu tahu bagaimana meneka pergerakan pasangannya seperti seorang pemain bola meneka pergerakan lawannya."

"Tapi susahlah menari tango ni..." rungut Muzaffar.

"Menari tango ini tak susah... Tarian ini boleh kita tarikan mengikut gerak langkah kita sendiri, kerana penari tango tidak pernah meniru apa-apa langkah yang dilihatnya. Dia tak mengikut corak tarian yang sudah ada, atau mengikut style orang lain. Seorang penari tango yang sebenar hanya tahu menari mengikut caranya sahaja. Itu sahaja yang mahu dilakukannya. Seperti juga seorang pemain bola. Dia hanya mahu bermain bola mengikut caranya sendiri tanpa mengikut cara orang lain." Celisha menjelaskan dengan panjang lebar.

Hadi menoleh ke arah Rais. Dia mendapati mata Rais terus kepada Nad. Mereka seperti di dalam dunia mereka sendiri. Tarian mereka perlahan. Muzik tango yang dimainkan seolah-olah tidak didengari mereka sama sekali.

"Biarkan mereka macam tu." Ujar Celisha kepada Hadi. Dia juga menjeling ke arah Rais. Dia tahu Rais dan Nad sedang dilamun cinta. "SLOW SLOW QUICK QUICK SLOW!" katanya kemudian sambil menepuk tangannya mengikut irama muzik.



Apabila Rais pulang ke rumahnya dia rasa kepenatan. Dia tidak pernah menyangka menari itu satu aktiviti yang memenatkan. Tapi apa yang diyakini sekarang, sememangnya tarian tango yang dipelajari oleh anggota-anggota Jaguh sedikit sebanyak akan membantu mereka di dalam teknik mereka bermain bola sepak. Setelah menghadiri beberapa sesi kelas tarian, dia mendapati teknik permainan beberapa orang pemain Jaguh langsung bertambah baik.

Rais membuka pintu biliknya. Dia mendapati Sham ada di situ. Berderu darahnya. Dia dengan pantas memandang ke arah lacinya. Masih berkunci.

"Kau ingat aku datang nak rompak kau ke?" tanya Sham dengan sinis.

"Tak... Aku kenal kau, Sham. Kau tak akan buat ni semua kat aku." Jawab Rais dengan perlahan. Dia duduk di atas katil. Dia memerhatikan Sham. Dia dapati Sham baru sahaja beli sebuah telefon bimbit baru.

"Ini apa?" Sham mengeluarkan beberapa paket pil yang disembunyikan Rais di bawah katil.

"Methadone."

"Ini dadah jugak, kan?"

"Ya... Tapi ia boleh membantu untuk aku kurangkan dari mengambil heroin dan morfin."

"Oh begitu..." Sham tersenyum sinis.

"Jadi buat apa kau ke sini?"

"Aku ada bawak ni untuk kau." Dia menunjukkan sepaket besar serbuk putih kepada Rais. "Aku boleh bagi kau diskaun. Tiga ribu. Lepas tu kau nak guna sendiri ke, nak jual ke... Kau punya fasal."

"Kau gila ke apa, Sham?"

"Kau kan dah ada duit... Gunakan je lah!"

"Itu bukan duit aku..."

"Duit pondan tu kan? Alah, kalau kau lesap dengan duit dia... Apa yang dia boleh buat?"

"Ini amanah orang, Sham!"

"Aku dah muak lah dengan perangai kau sekarang ni!"

"Kan aku cakap aku nak berubah."

"Kalau kau dah kenal dengan dadah... Kau ingat kau boleh berhenti macam tu jer?"

Rais tidak menjawab. Dia mengeluh.

"Ini aku bagi kau satu straw... Free sebab nak tolong kawan, kan?"

"Aku tak nak."

"Ambiklah!" Sham meletakkan dadah itu ke tangan Rais. Sham dapat merasakan tangan Rais sejuk.

"Aku nak kau fikirkan betul-betul. Kalau kau nak dadah ni, kau boleh contact aku. Kalau kau jual sendiri kau boleh untung 20,000 ringgit."

Rais tidak menjawab. Matanya berpaling ke arah lain. RM 20,000 bukan satu jumlah yang kecil. Bermacam-macam yang boleh dilakukan dengan wang sebanyak itu. Rais menghela nafas panjang.




posted by Nizam  # 3:04 PM

Friday, January 06, 2006

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 21



Celisha: Dance Dance Dance

Linda dan Celishaa turun dari kereta kancil yang mereka naiki lalu terus berjalan ke padang untuk melihat pasukan Jaguh berlatih pada petang itu. Mereka berpayung. Rais cepat-cepat mendapatkan Linda. Wajahnya berseri-seri.

"Kak Linda... Terima kasih sebab-"

Linda terus menarik Rais ke tepi. Dia memandang ke arah Celisha. Dia berbisik kepada Rais:

"Jangan beritahu sesiapa fasal benda ni, ya Rais? Biarlah kita-kita sahaja yang tahu."

"Okay. Saya faham."

"Dah ambil saiz kasut budak-budak tu?"

"Sudah... Tapi beri saya masa untuk cari kedai kasut yang berikan harga yang sesuai."

"Okay... Apa-apa pun, Rais uruskanlah hal ini semua, ya?"

Rais mengangguk pantas. Linda berjalan kembali ke arah Celisha. Dia berdiri di tepi padang sambil memerhatikan Pasukan Jaguh yang sedang berlatin bersungguh-sungguh di tepi padang untuk menghadapi perlawanan saringan akhir pada minggu hadapan.

"Diorang ni main okay tau... Tapi macam ada yang kurang." Ujar Celisha sambil menggigit jarinya.

"Eh, apa yang u'olls tahu fasal bola?" tanya Linda.

"Haiyoh! I pernah jadi lelaki lah u'olls!"

"Tomboy lah gituh?"

"Very der!"

"Memang ada yang kurang..." Celah Nad yang telah mendengar kata-kata Celisha tadi. "Memang budak-budak ni boleh main, tapi skill diorang ni kureng sikit."

"Itulah." Sambut Celisha. Sebiji bola tersasar ke arahnya. Celisha dengan tangkas menyebak bola kembali ke padang.

"ZAASSST!" ucap Linda hampir-hampir mahu ternganga dibuatnya.

"Apa kata kita cuba cara lain untuk ajar budak ni dengan skill main bola?" saran Celisha kepada Nad.

"Skill apa tu?" tanya Nad ingin tahu. Celisha membisikkan sesuatu ke dalam telinga Nad. Nad tersenyum lalu mengangguk. Rais yang sedang berdiri berdekatan saling berpandangan dengan Linda.



Pada petang itu setelah menamatkan latihan, Nad dibawa Celisha ke Studio Dance Dance Dance di Jalan Ipoh. Linda pun ikut sama. Nad tidak pernah ke sebarang studio tarian. Apabila dia ke sini, dia terus rasa seperti seorang kanak-kanak yang baru sahaja dibawa ke taman permainan. Dia dapat mendengar lagu Tchaikovsky, dimainkan. Beberapa orang kanak-kanak perempuan didapatinya sedang diajar menari oleh seorang tenaga pengajar muda berbangsa India.

"Kaladevi pandai menari Bharatanatyam juga!" beritahu Celisha dengan bangga.

"Comelnya budak-budaknya menari ballet!" ujar Nad sambil memegang kedua belah pipinya.

"Umur diorang sama macam budak-budak yang you coach tu, Nad." Beritahu Linda.

"Tu lah!"

Celisha menjemput Linda dan Nad ke pejabatnya. Apabila dia masuk sahaja ke pejabatnya, dia terus menutup pintu. Biliknya itu dihias seperti sebuah pejabat moden dengan perabot dari Ikea.

Celisha membuka laci yang diletakkan di bawah tingkap. Di situ terdapat beberapa piala dan sebuah album.

"Piala Bola sepak?" tanya Nad.

"Ya... Pemain terbaik Sekolah Menengah St. Micheal, Ipoh." Ujar Linda ketika dia mengambil piala tersebut tanpa pengetahuan Celisha. "Jantan sangat kan kau, nok!" katanya kemudian sengaja mahu mengusik Celisha.

Celisha menjeling. Dia mengeluarkan sebuah album gambar-gambar lamanya. Nad memerhatikan gambar-gambar tersebut. Terdapat gambar Celisha ketika di sekolah menengah dahulu beraksi di padang bola. Linda ketawa terkekek-kekek.

"Tapi bukan kau minat tarian ke, Celisha?" tanya Linda selepas dia berhenti ketawa.
"Memang mek minat menari. Sebab menari lah mek pandai main bola."

"Apa?"

"Menari tu kan memerlukan kelincahan dan stamina." Cepat Celisha menjawab.

"Betul tu Kak Linda... Kadangkala saya dapat melihat dua orang pemain yang bergelut merebut bola macam dua orang penari yang sedang menari bersama." Jelas Nad.

"Jadi esok, Nad bawa budak-budak Jaguh ke sini, ya? Kita mulakan latihan mereka di sini."

"Ya, Kak Celisha. Nanti saya akan SMS ibu bapa diorang suruh mereka ke sini terus. Yang tak ada transport tu nanti saya uruskan sendiri."

Linda tak faham apa yang dipersetujui di antara Nad dan Celisha. Apa yang difahaminya, esok anggota-anggota Pasukan Jaguh disuruh datang ke studio tarian Dance Dance Dance dan bukan ke padang bola seperti kebiasaannya.




posted by Nizam  # 3:59 PM

Wednesday, January 04, 2006

Hadi sebuah novela oleh Nizam Zakaria (idea asal oleh Saiful Baharom). Bab 20



Linda: Beg Chanel

Ma, Pa dan Celisha berkumpul di rumah Lady Sara Shamara. Mereka sedang bergotong-royong menyiapkan beberapa set hantaran yang telah ditempah untuk kerja kahwin yang akan berlangsung pada hari esok. Seperti biasa, mulut mereka tidak henti-henti mengomel dan bergosip. Ada sahaja topik perbualan yang mahu mereka bincangkan.

"Mana si Linda ni?" tanya Ma kerisauan. Linda sepatutnya datang untuk membantu mereka agar kerja yang perlu dilakukan dapat disiapkan dengan cepat.

"Bukan dia dengan kau ke tadi?" tanya Lady Sara Syamara.

"Lepas tengok bola, dia kata dia perlu ke KLCC sekejap." Jawab Celisha yang sememangnya berkawan rapat dengan Linda.

"Kenapa?"

"Chanel ada sale!" jawab Celisha pantas.

"Ye ke?" tanya Ma dengan penuh minat.

"Kalau Chanel ada diskaun 80% pun bukannya kau mampu." Perli Pa sambil melipat sekeping wang RM10 untuk dijadikan sebahagian dari kepak seekor burung yang mahu dijadikan barang hantaran.

"Dah lama si Linda tu kumpul duit untuk beli beg Chanel yang dia idam-idamkan tu." Jelas Celisha. "Dia nak bah dia beli tu sedondon dengan wallet D&G, belt Gucci, boot D&G, dengan sunglasses DIOR yang dia dah kumpulkan selama ini."

"Oh, selama ini dia berjimat-jimat sebab nak beli beg Chanel tu lah?" tanya Pa.

"Ye lah, dah tu?"

"Sanggup pondan tu sekat-sekat makan, kan?" ujar Ma.

"Itu lah sebabnya badan dia ramping." Sambut Pa.

"Assalamualaikum!" ujar Linda dari luar. Mereka semua menjawab salam, kecuali Celisha. Lady Sara Shamara membuka pintu lalu menjemput Linda masuk.

"Tak shopping ke?" tanya Lady Sara Shamara sambil menghisap rokoknya dalam-dalam.

"Eh, takdelah." Jawab Linda. Dia memandang terus kepada Celisha.

"Ye lah, ingatkan u'olls beli beg Chanel tadi." Ujar Ma dengan sinis.

"Kena tunggu sampai dapat gaji bulan depan..."

"Tak cukup-cukup lagi duit yang u'olls kumpul ke?"

"Tak cukup lah."

"Beg tu tengah sale pun masih mahal lagi?"

Linda mengangguk lemah. Dia duduk di sebelah Pa untuk menyudahkan kerja yang dilakukannya.

"Macam mana dengan permainan Hadi tadi?" tanya Lady Sara Shamara.

"Pasukannya menang tipis, tapi masih boleh ke saringan akhir dua minggu lagi." Beritahu Pa.

"Tapi kesian lah tengok diorang tu semua." Celah Celisha.

"Kenapa?"

"Mereka tak ada baju... Kasut bola pun tak ada." Keluh Celisha. Dia memandang ke arah Linda. Linda nampaknya seperti ada dan tiada. Dia sedang memikirkan tentang beg yang sudah lama menjadi idamannya selama ini yang kini dijual dengan harga diskaun.

"Apa kata kita buat baju untuk budak-budak tu?" saran Lady Sara Shamara.

"Baju bola untuk Pasukan Jaguh?" tanya Pa.

"Ya, lah! Dah tu baju untuk kau buat show?"

Ma ketawa sambil menutup mulutnya.

"Bukannya susah sangat nak buat baju budak-budak tu." Tambah Linda. "Yang kita perlukan sekarang: kain."

"Kain tu boleh dibeli." Kata Lady Sara Shamara. Dia ke dapur. Dia mengeluarkan sebiji balang kecil dari kabinet dapurnya. Dia mengeluarkan beberapa wang kertas dan siling yang ada di dalam balang tersebut. Apabila dikiranya, di dalam balang itu terkandung wang sebanyak RM 232.45.

Pa mengeluarkan wang sebanyak RM 100 dari dompetnya. Ma mengeluarkan jumlah wang RM 50. Celisha mendermakan wang sebanyak RM 70 dan Linda pula, menderma sebanyak RM 30.

"Cukup ke?" tanya Ma ingin tahu.

"Cukup... Lebih dari cukup." Ujar Linda dengan pasti. "Bahan-bahan menjahit tu kan kita dah ada. Yang kena dibeli kain ela yang sesuai... Mak tahu mana nak beli. Boleh dapat diskaun lagi u'olls!"

"Kalau macam tu, nanti kau uruskan dengan si Rais tu fasal saiz badan budak-budak tu. Kita tanya siapa saiz S, M dan L. Senang sikit, kan?" ujar Lady Sarah Shamara kepada Linda sambil menyerahkan wang yang terkumpul kepadanya.

"Tapi kita sama-sama jahit kan? Bukan mak sorang jer kena buat benda ni, kan?"

"Ye lehhhh!" getus Ma sambil menjeling. Dia duduk semakin rapat kepada Linda. Dia ingin menyarankan konsep baju boleh yang kini terlukis di dalam kepalanya. Kalau boleh, dia mahu Jaguh kelihatan lain dari pasukan bola yang lain!

Linda termenung jauh. Dia memikirkan tentang Hadi dan pasukan bolanya. Pasukan Jaguh banyak kekurangannya, tetapi mereka tetap mahu bermain bersungguh-sungguh.



Linda berjaya mendapatkan saiz anggota Pasukan Jaguh dari Rais. Dia membuat beberapa pengiraan ringkas di atas buku nota kecilnya untuk mengira berapa ela kain yang perlu dibelinya.

Nad dibawa Linda ke kedai kain yang selalu dikunjunginya ketika membeli fabrik di untuk pakaian yang direka di butik tempat kerjanya. Nad dibawanya bersama agar Nad dapat memilih jenis fabrik dan warna yang sesuai untuk Pasukan Jaguh.

"Kami dah confirm warna pasukan kumpulan jaguh adalah purple, pink dan putih. Nad memberitahu.



"Bukan pink sayang.. fuschia." ternaik kening kanan Linda. Satu kombinasi yang pelik, tapi menarik.

"Oh... okay. Fuschia."

"Kenapa fuschia?"

"Saya suka dengan warna tu. Rais pula suka dengan warna purple."

"Rempit sangat warna purple tu kan?"

"Tu lah!" kata Nad sambil tersenyum. Dia meraba-raba sehelai kain yang di hadapannya. Kain itu lembut rasanya.

"Nad... sebenarnya kakak panggil Nad ikut kakak beli kain ni sebab kakak ada hajat."

"Apa dia kak Linda?"

Linda mengeluarkan sampul surat dari dalam tas tangannya. Sampul surat tebal itu diserahkan kepada Nad.

"Apa ni kak?"

"Ini wang yang Kak Linda kumpul selama ini..."

"Oh, yang kakak nak guna untuk beli beg Chanel tu kan?"

"Eh, macam mana Nad tahu?"

"Ma beritahu kepada Hadi dan Hadi beritahu kepada Rais dan kemudian Rais beritahu kepada saya."

"Satu KL agaknya dah tahu, kan?"

Nad tersenyum.

"Kakak pergi semula ke KLCC semalam... Kakak tengok beg tu. Tapi entahlah Nad. Kakak rasa kalau kakak dapat beli pun, kakak tak dapat apa. Beg Chanel tu sekadar beg saja, kan?"

Nad tak tahu apa sebenarnya yang mahu diluarkan Linda. Dia mengangguk sahaja.

"Bila akak fikirkan balik... Akak rasa orang tak akan anggap kakak ni lebih woman... Atau perlu dihormati dengan adanya beg itu. Kalau ada orang yang benci akak kerana akak ni mak nyah, beg Chanel tu tak akan menyebabkan mereka kurang membenci. Lagipun, akak rasa dengan tak ada beg itu pun, dah ada orang yang boleh terima akak seadanya."

"Betul tu kak..."

"Jadi... Sebab itulah akak mahu Nad serahkan duit ini kepada Rais nanti. Suruh dia ambil saiz kasut budak-budak tu secara rahsia, kemudian suruh dia belikan kasut-kasut bola untuk mereka. Kita surprisekan budak-budak tu nanti di hari perlawanan!"

"Kakak nak Rais buat ini semua?" Nad menggaru kepalanya.

"Ya... Rais. Kakak dah fikirkan fasal benda ni dalam-dalam. Biar dia dipertanggungjawabkan dengan tugas ini. Kakak tahu Rais tu mat fit. Tapi kakak percayakan dia. Kita kena bagi dia peluang, Nad."

Nad mengangguk setuju. Dia sendiri mahu memberikan sepenuh kepercayaan kepada Rais dalam hal ini.

"Terima kasih kak!" ujar Nad. Dia terus mendakap tubuh Linda.

Linda merasa puas walaupun wang yang telah dikumpulkannya selama ini bertukar tangan. Dia sedikit pun tidak menyesal. Tatkala Nad sedang mendakapnya, di hujung matanya, dia ternampak kain berwarna Fuschia yang paling sesuai untuk digunakan bagi membuat baju-baju baru Pasukan Jaguh...




posted by Nizam  # 4:45 PM